Tafsir Surah Baqarah Ayat 224 – 225 (Hukum Sumpah)

HUKUM BERKENAAN SUMPAH

Baqarah Ayat 224: Ayat ini adalah jenis umur munazimah (hukum berkaitan hubungan dengan makhluk). Kena jaga perkara-perkara umur munazimah supaya hubungan dalam masyarakat menjadi baik dan apabila baik, barulah lebih mudah untuk berdakwah kepada manusia. Kalau kehidupan kita pun kucar kacir, bagaimana hendak berdakwah kepada orang lain? Maka di dalam ayat ini adalah tentang sumpah yang dilafazkan oleh manusia.

وَلا تَجعَلُوا اللَّهَ عُرضَةً لِّأَيمَـٰنِڪُم أَن تَبَرّوا وَتَتَّقوا وَتُصلِحوا بَينَ النّاسِ ۗ وَاللَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

And do not make [your oath by] Allah an excuse against being righteous and fearing Allah and making peace among people. And Allah is Hearing and Knowing.

MALAY

(Dan janganlah kamu jadikan nama) Allah dalam sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi kamu daripada berbuat baik dan bertaqwa, serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa mengetahui.

 

وَلا تَجعَلُوا اللَّهَ عُرضَةً لِّأَيمَـٰنِڪُم

Dan janganlah kamu jadikan nama Allah sebagai penghalang dalam sumpah kamu

Kalimah عُرضَةً adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘alasan’, ‘penghalang’. Ia daripada kata dasar ع ر ض yang bermaksud berlaku; tawaran; menyampaikan; menunjukkan; mencadangkan; diletakkan di hadapan; memberi isyarat; menentang; mencadangkan; mendedahkan; memeriksa (tentera); pandangan; menyediakan; menjadi luas; melebar; barangan; nafas; lebar; penghormatan; niat; sasaran; tujuan; berpaling; belakang; meluncur; pengasingan; sikap acuh tak acuh; memutuskan hubungan; berpanjangan; banyak; barang runcit. Apabila sesuatu diletakkan di hadapan, ia menjadi penghalang.

Erti kedua daripada عُرضَةً, ialah sasaran, atau alamat pembidikan ketika belajar memanah dan menembak, sehingga seluruh mata dan perhatian ditujukan ke arahnya. Maka apabila Allah ‎ﷻ telah dijadikan “sasaran” sumpah ertinya ialah mempermudah-mudah kebesaran Tuhan, untuk memperkuat suatu sumpah. Ini pun perbuatan yang tidak layak.

Kalimah أَيمَـٰنِ adalah dalam bentuk isim jamak dan ia bermaksud ‘sumpah-sumpah’. Ia berasal daripada kata dasar: ي م ن yang bermaksud sebelah kanan, tangan kanan, sumpah. Selalunya sumpah dilakukan dengan tangan kanan.

Orang Arab selalu bersumpah. Sikit-sikit mereka akan kata: “Wallahi (demi Allah)… aku lapar sangat, nanti sampai sana aku nak makan seekor kambing…” dan macam-macam lagi. Kadang-kadang ada yang sumpah dengan cara salah dan bodoh. Untuk bersumpah tidaklah salah (apabila perlu), namun jangan gunakan sumpah sebagai alasan.

 

أَن تَبَرّوا

daripada berbuat baik

Ayat ini adalah teguran kepada manusia kerana ada yang menggunakan nama Allah ‎untuk tidak membuat ibadat atau kebaikan. Sebagai contoh, ada yang bersumpah atas nama Allah ‎untuk tidak datang ke masjid. Kalau kita ajak mereka ke masjid, mereka kata kalau pergi juga, mereka sudah melanggar sumpah kepada Allah ‎ﷻ. Arab Jahiliyyah yang selalu buat begini kerana mereka dibisikkan oleh syaitan untuk bersumpah begitu. Sebagai contoh, mereka ada yang bersumpah atas nama Allah ‎untuk kekal atas agama tok nenek mereka. Jadi mereka tidak masuk Islam sebab takut melanggar sumpah.

Orang Arab dahulu bila sebut nama Allah, mereka akan jaga betul-betul. Tidak seperti orang kita sekarang, senang sahaja hendak sumpah menggunakan nama Allah. Akan tetapi itu adalah cara sumpah yang salah dan hendak diperbetulkan oleh Allah ‎ﷻ dalam ayat ini. Maka Allah ‎ﷻ hendak kata, jangan jadikan nama Dia sebagai penghalang untuk membuat kebaikan dan pahala. Jangan beri alasan sudah bersumpah sampai tidak buat kebaikan lagi.

Kita pun mungkin boleh terbuat perkara ini. Contohnya kita dua tiga kali pergi rumah pakcik kita tetapi dia layan kita acuh tak acuh sahaja. Mungkin kita tersebut: “Ish sumpah demi Allah aku takkan pergi rumah dia lagi!”; atau kita tolong seseorang tetapi orang itu tidak berterima kasih pun, maka kita tersebut, “Sumpah demi Allah aku takkan tolong dia lagi!”. Ini adalah contoh-contoh yang dilarang di dalam ayat ini. Maka janganlah kita buat perkara ini dan hendaklah berhati-hati dengan kata-kata kita.

Selain itu, pengajaran yang kita boleh ambil adalah jangan kita ringan sahaja mulut untuk bersumpah. Jangan banyak bersumpah seperti orang munafik yang suka bersumpah. Ini kerana sumpah adalah perkara yang besar dan kalau kita selalu bersumpah, orang pun sudah tidak percaya kita lagi. Tambahan pula nama Allah adalah mulia dan kalau senang sahaja disebut begitu sahaja, sudah jadi main-main pula.

 

Sebab Turunnya Ayat
Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari jalur Ibnu Juraij berkata, “Aku diceritakan bahawasanya firman Allah ‎ﷻ, “Janganlah kamu jadikan (nama) Allah dalam sumpahmu sebagai penghalang untuk berbuat kebajikan, bertaqwa dan mengadakan islah di antara manusia. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” Turun pada Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dalam perkara Misthah bin Utsasah.”

Al-Qurthubi رَحِمَهُ اللَّهُ berkata bahawasanya ada yang berkata ayat ini turun pada Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang bersumpah tidak akan menafkahi Misthah bin Ursasah ketika dia berkata buruk tentang A’isyah رضي الله عنها dengan hal yang tidak benar seperti dalam peristiwa ifk (menuduh A’isyah رضي الله عنها telah berzina). Ada yang berkata bahawasanya ayat ini turun pada Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang bersumpah untuk tidak makan dengan para tamu. Ada yang berkata bahawasanya ayat ini turun pada Abdullah bin Rawahah ketika dia bersumpah untuk mengajak bicara suami saudari perempuannya iaitu Basyir bin Nu’man.

Peristiwa ifk ini disebut di dalam Surah Nur (ayat 11-20). Juga di dalam ayat 22, Allah ‎ﷻ berfirman,

وَلا يَأتَلِ أُولُو الفَضلِ مِنكُم وَالسَّعَةِ أَن يُؤتوا أُولِي القُربىٰ وَالمَسٰكينَ وَالمُهٰجِرينَ في سَبيلِ اللهِ ۖ وَليَعفوا وَليَصفَحوا ۗ أَلا تُحِبّونَ أَن يَغفِرَ اللهُ لَكُم ۗ وَاللهُ غَفورٌ رَّحيمٌ
Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada kaum kerabat(nya), orang-orang yang miskin dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang,

Allah ‎ﷻ menegur Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ di dalam ayat ini. Kalimah يَأتَلِ daripad أ ل و yang bermaksud ‘bersumpah untuk tidak melakukan sesuatu’. Beliau telah bersumpah untuk tidak menolong seseorang. Yang dimaksudkan adalah seorang mukmin yang bernama Mistah. Dia sebenarnya adalah sepupu Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, maka dia adalah ahli kerabat Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Dia seorang yang miskin dan kerana itulah Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ selalu menolongnya dan Misthah banyak bergantung kepada Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ di dalam kehidupannya. Walaupun Misthah ini seorang Muslim (bukan munafik) tetapi dia ada juga bercakap tentang tuduhan ini dan memperbesarkan perkara ini dengan menyampaikannya kepada orang lain. Maka tentulah Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ marah dengan perbuatannya itu. Dek kerana sampai-menyampaikan inilah yang menyebabkan sesuatu perkara itu menjadi besar. Allah ‎ﷻ telah menegur Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ di dalam ayat ini supaya jangan bersumpah untuk tidak membantu orang lain. Tambahan pula kerana Misthah itu telah bertaubat dan telah dirotan sebanyak 80 kali.

 

وَتَتَّقوا

dan bertaqwa,

Jangan jadikan sumpah sebagai penghalang daripada menjaga hukum yang lain. Taqwa adalah menjaga hukum, tetapi ada di antara mereka yang menggunakan sumpah sebagai alasan untuk tidak menjaga hukum. Sebaliknya kita kena ikut ajaran Allah ‎ﷻ dan taat kepada arahan-Nya.

Kalimah تَبَرّوا dan تَتَّقوا lebih kurang sahaja maknanya, iaitu buat apa yang Allah ‎ﷻ suruh dan tinggalkan apa yang Allah ‎ﷻ larang. Kalau digunakan bersendirian, ia boleh ditukar ganti sahaja kerana maknanya sama sahaja. Akan tetapi apabila diletakkan bersebelahan di dalam satu ayat seperti di dalam ayat ini, maka kena bezakan apakah beza antara keduanya. Jadi تَبَرّوا bermaksud melakukan arahan Allah ‎ﷻ dan تَتَّقوا bermaksud meninggalkan larangan-Nya.

 

وَتُصلِحوا بَينَ النّاسِ

serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia.

Ada yang menggunakan sumpah dengan nama Allah ‎ﷻ untuk tidak berbuat baik dengan manusia. Mungkin ada yang apabila dinasihati untuk berbaik dengan musuh dia, dia jawab dia sudah bersumpah dengan nama Allah ‎ﷻ yang dia tidak akan berbaik dengan orang itu; atau ada yang kata dia telah bersumpah dengan nama Allah ‎untuk tidak bercakap dengan orang itu sampai bila-bila. Atau, seseorang bersumpah untuk tidak membantu mendamaikan antara sesama Muslim. Ini semua adalah cara sumpah yang salah. Mereka sebut nama Allah ‎itu dengan cara yang salah kerana tidak mahu membuat kebaikan. Jangan buat begitu. Ia adalah salah dan tidak menepati syari’at.

Mendamaikan sesama Muslim adalah amalan yang amat baik. Bukankah ia termasuk juga di dalam perkara تَبَرّوا dan تَتَّقوا? Kenapa Allah ‎ﷻ mengkhususkan perkara ini? Ini kerana dalam banyak-banyak perkara, mendamaikan sesama Muslim adalah amat penting. Allah ‎ﷻ telah berfirman di dalam Hujurat: 10

إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا۟ بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ
“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah di antara kedua saudaramu (yang berselisih)

Oleh itu Allah ‎ﷻ hendak menekankan kepentingan mendamaikan sesama Muslim. Ini sama seperti ayat Qadr: 4

تَنَزَّلُ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيہَا
Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril

Perhatikan Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga adalah sebahagian daripada ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ tetapi Allah ﷻ mengkhususkan sebut namanya kerana hendak menekankan kepentingan dan ketinggian kedudukan Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Jadi begitu juga di sini Allah ‎ﷻ hendak menekankan kepentingan mendamaikan sesama Muslim. Ini kerana sekiranya saudara sesama Muslim kita bergaduh, maka ia akan melemahkan umat Islam. Kalau Islam lemah, maka kita susah untuk menjalankan dakwah dan susah untuk mempertahankan umat Islam. Perhatikanlah sekarang, umat Islam di Palestin tidak mendapat pembelaan kerana umat Islam sedang lemah sangat sampai tidak boleh berbuat apa-apa. Ini kerana kita umat Islam di seluruh dunia berbalah sesama sendiri.

Kerana itulah kita sedih apabila melihat asatizah kita berbalah sesama sendiri. Perbezaan pendapat memang akan ada; hati memang senang terguris. Namun sepatutnya asatizah janganlah sampai berbalah kerana ia melemahkan umat Islam. Para pelajar akan menjadi keliru kerana melihat perbalahan di antara asatizah.

Jadi mendamaikan sesama Muslim amatlah digalakkan dan sepatutnya ia dilakukan oleh semua orang. Bayangkan, untuk mendamaikan ini dibenarkan berbohong sedangkan berbohong itu berdosa. Ini disebut di dalam hadith,

عَنْ أَسْمَاءَ بِنْتِ يَزِيدَ، قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ” لاَ يَحِلُّ الْكَذِبُ إِلاَّ فِي ثَلاَثٍ يُحَدِّثُ الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ لِيُرْضِيَهَا وَالْكَذِبُ فِي الْحَرْبِ وَالْكَذِبُ لِيُصْلِحَ بَيْنَ النَّاسِ “
Daripada ‘Asma binti Yazid رضي الله عنها, beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: Tidak halal berbohong kecuali dalam tiga keadaan: Perkataan seorang suami kepada isterinya agar isterinya gembira, berbohong ketika perang, dan berbohong untuk mendamaikan manusia.
[Jami’ at-Tirmidzi, Kitab al-Birr wa al-Silah, hadith no: 1939, hadith hasan]

Jadi hadith ini menjadi galakan untuk mendamaikan sesama Muslim. Yang menjadi masalah, sudahlah kita tidak menjadi pihak ketiga yang mendamaikan, kadangkala kita pula menjadi batu api untuk bagi orang berbalah. Kadangkala kita sampaikan kata-kata orang lain terhadap orang lain yang menyebabkan mereka berkelahi, bukan? Itu adalah amat buruk sekali.

Sekarang kita tahu haram bersumpah untuk tidak melakukan kebaikan. Lalu apakah yang harus dilakukan kalau sudah buat begitu? Jawapannya: kena batalkan sumpah itu. Permasalahan ini banyak dibincangkan dalam hadith. Salah satu hadith seperti berikut:

عَنْ أَنَسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَى شَيْخًا يُهَادَى بَيْنَ ابْنَيْهِ فَقَالَ مَا بَالُ هَذَا قَالُوا نَذَرَ أَنْ يَمْشِيَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ عَنْ تَعْذِيبِ هَذَا نَفْسَهُ لَغَنِيٌّ وَأَمَرَهُ أَنْ يَرْكَبَ
Daripada Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Nabi ﷺ melihat seorang lelaki tua berjalan dengan dipapah oleh dua orang anaknya, lantas baginda bersabda: “Kenapa orang tua ini?” Mereka menjawab, “Dia bernazar (bersumpah untuk beribadah haji) dengan berjalan kaki.” Baginda lalu bersabda: ‘Sesungguhnya Allah tidak berkehendakkan penyeksaan orang ini ke atas dirinya (sendiri).’ Kemudian baginda memerintahkannya supaya menaiki kenderaan.”
(Sahih Muslim No. 3100)

Hadith ini mengajar yang kalau bernazar itu janganlah berjanji untuk buat benda-benda mengarut. Ada yang buat kerja bodoh, kalau pasukan bola dia menang, dia akan berjalan kaki dari Johor ke Perlis. Jangan buat perkara mengarut yang akhirnya akan menyusahkan diri sendiri sahaja.

Kedua, kalau sudah tersilap bernazar dan nazar itu mengarut, tidaklah perlu ikut juga. Sudahlah buat kesalahan pertama buat nazar bodoh, janganlah terus menjadi bodoh dengan membuat kesalahan kedua dengan melakukannya juga (dengan alasan sudah nazar dan bersumpah, kena buat juga). Kerana nazar itu boleh sahaja dibatalkan dengan syarat-syaratnya.

Menurut suatu riwayat daripada Ibnu Abi Hatim, yang diterima daripada ‘Atha’, ada seorang lelaki datang kepada A’isyah رضي الله عنها. Orang itu berkata: “Saya bernazar bahawa saya tidak akan bercakap-cakap dengan si Fulan. Kalau aku bercakap dengan dia, maka sekalian budak-budakku akan merdeka, dan segala hartabendaku akan aku jadikan bayaran buat menutupi Ka’bah.” Mendengar nazar yang ganjil itu, A’isyah رضي الله عنها berkata padanya: “Janganlah engkau lanjutkan sumpah atau nazar demikian. Janganlah engkau jadikan yang demikian akan sebab merdeka budak-budakmu dan jadikan hartabendamu akan menjadi pakaian Ka’bah. Sebab cara yang demikian telah dilarang Allah dengan ayat. Dan janganlah kamu jadikan Allah penghalang daripada sumpahmu, sebab itu hendaklah segera engkau bayar kaffarah daripada sumpahmu itu.”

Rasulullah ﷺ juga telah bersabda,

من حلف على يمين فرأى غيرها خيرًا منها، فليأتِ الذي هو خير وليكفر عن يمينه
“Barangsiapa yang bersumpah atas suatu persumpahan, lalu dilihatnya ada hal yang lebih baik daripada itu, hendaklah dia lakukan pekerjaan yang lebih baik itu, dan hendaklah dia bayar kaffarah sumpahnya.”

(Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

Rasulullah ﷺ juga telah bersabda,

لاَ نَذْرَ وَلاَ يَمِينَ فِيمَا لاَ يَمْلِكُ ابْنُ آدَمَ وَلاَ فِي مَعْصِيَةِ اللَّهِ وَلاَ فِي قَطِيعَةِ رَحِمٍ
Tidak ada nazar dan tidak ada sumpah pada perkara yang tidak dikuasai oleh anak Adam, dan tidak pula dalam hal yang maksiat kepada Allah dan tidak pula dalam hal yang memutuskan silaturrahmi.

(Diriwayatkan oleh Abu Daud no. 3274) Status: hasan

Syarah: contoh perkara yang tidak dikuasai oleh anak Adam adalah sumpah untuk berpindah ke negeri lain esok juga. Ini tidak boleh kerana esok bukan dalam tangan kita, sebaliknya kata in sha Allah sahaja.
Sumpah nazar dalam perkara maksiat adalah seperti kata: Wallahi, sebelum aku dapat berzina dengan perempuan itu, aku takkan bertaubat!”
Sumpah ketiga yang dilarang adalah seperti: “Wallahi, aku takkan bertegur sapa dengan si polan”.

 

وَاللَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

Dan (ingatlah), Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa mengetahui.

Allah ‎ﷻ Maha Mendengar sumpah yang kita lakukan. Malah bukan sahaja Dia dengar, tetapi Allah‎ ﷻ jua tahu apa yang dalam hati kita semasa mengucapkan sumpah itu. Allah‎ ﷻ juga tahu sama ada kita betul-betul bersumpah atau cakap-cakap kosong sahaja.


 

Baqarah Ayat 225: Sambungan tentang hukum bersumpah. Ia hendak menjawab persoalan bagaimana dengan kebiasaan mengucapkan nama Allah, yang bukan dengan maksud sumpah? Ini perlu dijelaskan kerana telah menjadi kebiasaan masyarakat Arab menyebut nama Allah dengan lafaz yang sama dengan cara bersumpah, padahal mereka tidak memaksudkannya sebagai sumpah,

لّا يُؤاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغوِ في أَيمٰنِكُم وَلٰكِن يُؤاخِذُكُم بِما كَسَبَت قُلوبُكُم ۗ وَاللَّهُ غَفورٌ حَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

Allah does not impose blame upon you for what is unintentional in your oaths, but He imposes blame upon you for what your hearts have earned. And Allah is Forgiving and Forbearing.

 

MALAY

Allah tidak mengira kamu bersalah tentang sumpah kamu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah), tetapi Dia mengira kamu bersalah (dan akan mengenakan hukuman) dengan sebab sumpah yang diusahakan (disengajakan) oleh hati kamu (dengan niat bersumpah). Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.

 

لّا يُؤاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغوِ في أَيمٰنِكُم

Allah tidak mengira kamu bersalah tentang sumpah kamu yang tidak dimaksudkan

Ada orang yang tersasul dalam bersumpah. Kalau seseorang itu tersasul dalam bersumpah dengan tidak ada niat, tidak ada apa-apa. Atau, dia bersumpah atas sesuatu perkara yang rupanya tidak benar. Dia sangka ia benar ikut pengetahuan dia, namun sebenarnya tidak. Sebagai contoh, seseorang bersumpah si A sudah sampai, tetapi sebenarnya tidak. Maknanya, di akhirat nanti tidak ada hukuman ke atas orang itu kerana tidak ada dosa bagi sumpah jenis sebegini.

Di dalam ayat ini ia disebut sebagai اللَّغوِ dan ia bermaksud ‘tidak dimaksudkan’. Ia biasanya lahir daripada perbuatan spontan, tanpa fikir dan pertimbangan. Ia daripada kata dasar: ل غ و yang bermaksud bercakap karut, melakukan kesalahan sengaja atau tidak, menggunakan perkataan yang sia-sia, bercakap kosong, buat bising, terlepas cakap, bercakap tanpa maksud, cakap meraban. Kadang-kadang ia terkeluar ketika sedang marah. Begitulah Allah ‎ﷻ menilai manusia daripada niatnya,

Daripada Amirul Mukminin, Abu Hafsh ‘Umar bin Al-Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata bahawa beliau telah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda,

إنَّمَا الأعمَال بالنِّيَّاتِ وإِنَّما لِكُلِّ امريءٍ ما نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إلى اللهِ ورَسُولِهِ فهِجْرَتُهُ إلى اللهِ ورَسُوْلِهِ ومَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُها أو امرأةٍ يَنْكِحُهَا فهِجْرَتُهُ إلى ما هَاجَرَ إليهِ
“Sesungguhnya setiap amalan tergantung pada niatnya. Setiap orang akan mendapatkan apa yang dia niatkan. Siapa yang hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya untuk Allah dan Rasul-Nya. Siapa yang hijrahnya kerana mencari dunia atau kerana wanita yang dinikahinya, maka hijrahnya kepada yang dia tuju.” 
(HR. Bukhari No. 1 dan Muslim No. 1907)

Menurut erti yang biasa اللَّغوِ bermaksud kata-kata terlanjur atau kata-kata yang tidak diperhitungkan masak-masak. Bercakap asal boleh sahaja. Maka dalam hal ini ahli-ahli tafsir yang mu’tabar telah mengeluarkan berbagai pendapat. Menurut Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا dan A’isyah رضي الله عنها dan sebahagian ahli-ahli tafsir, erti اللَّغوِ di sini ialah kata terbiasa yang diucapkan orang sekadar menguatkan kata sahaja, misalnya “Tidak! Demi Allah!” atau “Memang begifu halnya! Demi Allah.” Ini boleh bermaksud dalam percakapan sehari-hari, dengan tiada maksud di hati sebagai bersumpah.

Bangsa kita mungkin jarang kita dengar tetapi bagi bangsa Arab, mereka memang senang sahaja melafazkan sumpah. Sebagai contoh, mereka ada yang berkata: “Wallahi, kalau aku jumpa dia, aku akan bunuh dia”, “Wallahi, laparnya aku, kalau aku dapat makanan nanti, aku nak makan lima pinggan terus!” Semua sumpah itu adalah menggunakan nama Allah, tetapi bukanlah dia sebenarnya bermaksud berbuat seperti yang dikatakannya itu. Ia cuma kata-kata kosong sahaja. Allah ‎ﷻ tahu isi hati manusia.

Orang Islam kita yang tidak terbiasa atau tidak mempunyai kalimat Wallah untuk menguatkan kata dan hanya untuk bersumpah saja, apabila mulai bergaul dengan orang Arab, kerapkali merasa terkejut dan menuduh orang Arab mempermudah-mudah nama Allah dan mempermudah-mudah sumpah. Padahal bagi mereka hal itu bukan sengaja sumpah, hanya penguat kata saja. Rupanya kerana ini telah kebiasaan lama, dan bukan sengaja bersumpah, tidaklah dia ditarik oleh Tuhan. Contohnya apabila ditanya khabar, mereka ada jawab: “Khair, wallahi!” Ini kerana memang sudah terbiasa di dalam bahasa mereka.

Walaupun Allah ‎ﷻ tidak menghukum sumpah yang demikian sifatnya, namun penamaannya dengan اللَّغوِ memberi isyarat bahawa menyebut nama Allah tanpa berfikir, tanpa pertimbangan, apatah lagi yang memberi kesan meyakinkan orang lain, tidaklah kena pada tempatnya dan tidaklah wajar. Bukankah pada ayat yang lalu telah disebut tuntunan agar jangan senang-senang menyebut nama Allah yang bukan pada tempatnya? Kita telah dinasihatkan untuk meninggalkan perkara yang sia-sia seperti disebut di dalam Mukminoon: 3 tentang sifat orang Mukmin,

وَالَّذينَ هُم عَنِ اللَّغوِ مُعرِضونَ
dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna,

Kita ikutlah adab Imam Syafie رَحِمَهُ اللَّهُ yang berkata: “Aku tidak pernah menggunakan sumpah, baik pada yang benar atau pun pada yang dusta.”

Semoga kita tidak membudayakan kalimah sumpah-sumpah ini dan tidak termasuk di dalam larangan Allah ‎ﷻ di dalam Qalam: 10

وَلا تُطِع كُلَّ حَلّافٍ مَّهينٍ
Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina,

 

وَلٰكِن يُؤاخِذُكُم بِما كَسَبَت قُلوبُكُم

tetapi Dia mengira kamu bersalah dengan sebab sumpah yang disengajakan oleh hati kamu

Akan tetapi, kalau seseorang itu bersumpah dengan nama Allah ‎dengan niat hendak meyakinkan orang yang mendengarnya dan kemudian dia melanggar sumpah itu, dia berdosa dan akan dihukum kerana dosanya itu. Kalau dia tidak langgar sampai dia mati, tidak mengapa. Yang menjadi kesalahan adalah kalau dia melanggar sumpah itu.

Orang yang melanggar sumpah mesti membayar kaffarah sumpah. Kaffarah sumpah disebut disebut di dalam Maidah: 89

لا يُؤاخِذُكُمُ اللهُ بِاللَّغوِ في أَيمٰنِكُم وَلٰكِن يُؤاخِذُكُم بِما عَقَّدتُمُ الأَيمٰنَ ۖ فَكَفّٰرَتُهُ إِطعامُ عَشَرَةِ مَسٰكينَ مِن أَوسَطِ ما تُطعِمونَ أَهليكُم أَو كِسوَتُهُم أَو تَحريرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَّم يَجِد فَصِيامُ ثَلٰثَةِ أَيّامٍ ۚ ذٰلِكَ كَفّٰرَةُ أَيمٰنِكُم إِذا حَلَفتُم ۚ وَاحفَظوا أَيمٰنَكُم ۚ كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللهُ لَكُم ءآيٰتِهِ لَعَلَّكُم تَشكُرونَ
Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpahmu yang tidak dimaksud (untuk bersumpah), tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengaja, maka kaffarat (melanggar) sumpah itu, ialah memberi makan sepuluh orang miskin, iaitu daripada makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu, atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang budak. Barang siapa tidak sanggup melakukan yang demikian, maka kaffaratnya puasa selama tiga hari. Yang demikian itu adalah kaffarat sumpah-sumpahmu bila kamu bersumpah (dan kamu langgar). Dan jagalah sumpahmu. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu hukum-hukum-Nya agar kamu bersyukur (kepada-Nya).

Bagaimana dengan orang yang bersumpah dengan nama Allah untuk meyakinkan orang yang mendengarnya, sedangkan hatinya tidak bermaksud sumpah? Maknanya dia menipu dan sumpah itu dinamakan sumpah palsu. Orang ini berdosa dan akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Melainkan dia bertaubat. Adakah dia dikenakan kaffarah sumpah juga walaupun telah bertaubat? Ya, dia kena juga membayarkan sepertimana seseorang yang bertaubat daripada mencuri hendaklah mengembalikan barang yang dicurinya.

Sumpah di dalam Islam dibahagikan kepada tiga jenis:

1. Sumpah yang Tidak Disengaja (Yamin al-Laghu – يَمِينُ اللَّغْوِ)

    • Definisi: Sumpah yang diucapkan secara spontan, tanpa maksud bersumpah yang sebenarnya, atau hanya kebiasaan lisan. Ini adalah berupa ucapan yang keluar tanpa ada niat untuk mengikat diri dengan sumpah.
    • Contoh: Seseorang yang secara refleks mengatakan “Demi Allah!” atau “Wallahi” dalam percakapan sehari-hari tanpa ada maksud untuk menegaskan sesuatu dengan sumpah yang serius. Atau, seseorang yang bersumpah kerana latah atau kebiasaan.
    • Konsekuensi: Sumpah jenis ini tidak dikenakan kaffarah (denda) dan tidak dianggap sebagai sumpah yang mengikat secara hukum. Allah ‎ﷻ memaafkan sumpah jenis ini.

2. Sumpah yang Disengaja tetapi Dusta (Yamin al-Ghamus – يَمِينُ الْغَمُوسِ)

    • Definisi: Sumpah yang diucapkan dengan sengaja untuk berdusta atau menipu tentang sesuatu yang telah terjadi di masa lalu. Orang yang bersumpah mengetahui bahawa ucapannya adalah bohong.
    • Contoh: Seseorang bersumpah “Demi Allah, saya tidak pernah mengambil wang itu,” padahal dia sebenarnya telah mengambilnya.
    • Konsekuensi: Sumpah jenis ini adalah dosa besar dan sangat tercela dalam Islam. Para ulama sepakat bahawa sumpah ghamus tidak memiliki kaffarah yang boleh menghapuskan dosanya. Ini kerana kaffarah itu seumpama jalan keluar untuk kesalahan dan untuk sumpah ghamus ini tidak ada jalan keluar lagi. Taubat nasuha (taubat yang sungguh-sungguh) adalah kewajipan bagi pelaku sumpah ini, disertai dengan penyesalan yang mendalam dan tidak mengulanginya. Beberapa ulama’ berpendapat bahawa hukuman di dunia juga boleh dikenakan jika terbukti di pengadilan.
    • Dalil: Meskipun tidak ada dalil spesifik yang menyebutkan kaffarah untuk sumpah ghamus, ancaman keras terhadap pendusta dan orang yang bersumpah palsu banyak disebutkan dalam Al-Qur’an dan Hadith. Sumpah ini dinamakan “ghamus” (yang menenggelamkan) kerana menenggelamkan pelakunya dalam dosa dan neraka.

3. Sumpah yang Disengaja untuk Melakukan atau Meninggalkan Sesuatu di Masa Depan (Yamin al-Mun’aqidah – يَمِينُ الْمُنْعَقِدَةِ)

    • Definisi: Sumpah yang diucapkan dengan sengaja untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu di masa depan. Sumpah ini mengikat orang yang mengucapkannya untuk melaksanakan apa yang disumpahkannya.
    • Contoh: Seseorang bersumpah “Demi Allah, saya akan membantu kamu esok,” atau “Demi Allah, saya tidak akan pernah merokok lagi.”
    • Konsekuensi: Jika seseorang melanggar sumpah jenis ini, maka dia wajib membayar kaffarah (denda). Kaffarah sumpah ini telah dijelaskan dalam Surah Al-Ma’idah (5:89), iaitu:
      • Memberi makan sepuluh orang miskin dengan makanan yang layak.
      • Memberi pakaian kepada sepuluh orang miskin.
      • Memerdekakan seorang budak (jika ada).
      • Jika tidak mampu melakukan salah satu dari tiga pilihan di atas, maka wajib berpuasa tiga hari.

 

وَاللَّهُ غَفورٌ حَليمٌ

Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyantun.

Allah ‎ﷻ Maha Pengampun kesalahan hamba-Nya yang tidak berniat dalam sumpah mereka. Kerana itulah Allah ﷻ tidak menghukum orang yang tidak bermaksud sumpah.

Allah ‎ﷻ juga penyabar, tidak cepat dalam bertindak menghukum. Allah ‎ﷻ tidak terus menghukum. Sifat حَليمٌ itu adalah seperti kasih seorang ibu kepada anak. Walaupun dia marah tetapi masih sayang. Tetap si ibu itu bersabar dengan kerenah anak-anaknya. Walaupun ibu itu marah kepada perangai anaknya tetapi dalam masa yang sama dia masih nampak anaknya itu comel lagi. Begitulah Allah ﷻ yang sabar tidak terus menghukum hamba-Nya yang melakukan dosa setiap hari. Allah ﷻ masih beri peluang kepada manusia untuk berubah.

Begitulah sedikit penerangan tentang maksud sifat ini dan tentunya sifat Allah ‎ﷻ itu berkali-kali ganda lagi yang kita tidak tahu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 24 April 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Kitab Asbabun Nuzul oleh Imam As-Suyuthi

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 224 – 225 (Hukum Sumpah)”

Leave a comment