Tafsir Surah Yunus Ayat 76 – 80 (Kisah Nabi Musa عليه السلام)

Yunus Ayat 76: Apakah tuduhan mereka terhadap Nabi Musa dan Harun عليهماالسلام? Ini adalah khulasah (summary) kesesatan mereka.

فَلَمّا جاءَهُمُ الحَقُّ مِن عِندِنا قالوا إِنَّ هٰذا لَسِحرٌ مُّبينٌ

Sahih International

So when there came to them the truth from Us, they said, “Indeed, this is obvious magic.”

Malay

Oleh sebab itu ketika datang kepada mereka kebenaran dari sisi Kami, berkatalah mereka: “Sesungguhnya ini ialah sihir yang nyata”.

 

فَلَمَّا جَاءَهُمُ الْحَقُّ

Ketika datang kepada mereka kebenaran

Kebenaran itu adalah ajaran tauhid yang dibawa Nabi Musa عليه السلام. Kebenaran itu juga adalah mukjizat yang baginda tunjukkan kepada mereka sebagai bukti kenabian baginda.

 

مِنْ عِندِنَا

dari sisi Kami,

Apa yang nabi Musa dan Harun عليهماالسلام bawa adalah daripada Allah ‎ﷻ, bukan daripada mereka berdua. Maknanya, Allah ﷻ mahu mengingatkan kita bahawa jangan main-main dengan ajakan mereka, ini adalah daripada Dia sendiri. Ajakan tauhid yang dibawa itu sebelum turunnya kitab Taurat kerana kitab Taurat hanya diturunkan selepas itu (selepas menyeberangi Laut Merah).

Diingatkan sekali lagi bahawa kebenaran itu mesti datang dan diambil daripada Allah ﷻ. Itulah ilmu wahyu. Bermula semenjak Nabi Adam عليه السلام diturunkan lagi Allah ﷻ suruh ambil kebenaran daripada-Nya seperti disebut dalam Baqarah: 147

الحَقُّ مِن رَّبِّكَ ۖ فَلا تَكونَنَّ مِنَ المُمتَرينَ
Kebenaran datangnya daripada Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu.

Kita diwajibkan mengajar ilmu yang ada sandaran daripada dalil wahyu (Al-Qur’an atau Sunnah). Jikalau ilmu wahyu yang disampaikan, maka sepatutnya manusia mestilah terima tanpa ragu-ragu, bukan? Akan tetapi apa yang terjadi sekarang ini terbalik pula kita nampak. Jika kita beritahu sesuatu itu daripada Al-Qur’an (dan hadith), kelihatan muka mad’u berkerut macam pelik sangat. Seolah-olah tidak percaya dengan apa yang kita ceritakan kepadanya itu.

Sebaliknya jikalau ajaran tok-tok guru mereka, tok sheikh mereka, ulama’ mereka (yang mereka anggap sebagai ulama’), terus mereka terima tanpa usul periksa, tanpa ragu-ragu. Walaupun ajaran itu ternyata mengarut sekali. Namun golongan jahil itu menerimanya sahaja bulat-bulat. Sebab itulah sepatutnya ajaran daripada Al-Qur’an ini mesti diberikan pada peringkat awal lagi kepada anak-anak kita. Jangan sempat mereka dengar dan termakan dengan ajaran mengarut.

Bagi para pelajar pula, mereka ada hak untuk bertanya apakah dalil bagi sesuatu amalan dan fahaman. Para guru agama pula wajib untuk menjawabnya. Tidak boleh hanya bersandarkan kepada hujah lain (ada dalam kitab, guru saya ajar, sudah lama orang amal, ulama’ cakap itu mesti ada dalil, orang awam tidak faham dalil). Antara hujah popular sekarang: ‘Orang awam tidak perlu dalil’. Ini tidak patut menjadi hujah kerana segala amalan memerlukan dalil. Dalam keadaan waktu yang terhad, bolehlah kita berikan jawapan tanda dalil, tetapi dalam sesi ilmiah, dalil mesti diberikan.

Jangan pula dimarah orang yang meminta dalil. Sekiranya ada dalil, maka berikan sahaja. Yang sebenarnya, yang ditanya itu pun tidak ada dalil, tidak tahu pun apa itu yang dimaksudkan dengan ‘dalil’. Mereka pun amalkan sahaja tanpa periksa sebab itu mereka tidak boleh berikan dalil kerana besar kemungkinan mereka tiada dalil pun. Namun disebabkan tidak ada dalil, maka yang bertanya pula yang dimarahi.

 

قَالُوا إِنَّ هَٰذَا لَسِحْرٌ مُّبِينٌ

berkatalah mereka: “Sesungguhnya ini ialah sihir yang nyata”.

Mereka menolak sambil meletakkan label. Mereka tahu yang disampaikan itu benar tetapi mereka tolak. Mereka kata apa yang Nabi Musa عليه السلام tunjuk itu adalah ‘sihir’. Padahal dalam hati mereka, mereka tahu yang ia adalah benar. Ini seperti disebut dalam Naml: 14

وَجَحَدوا بِها وَاستَيقَنَتها أَنفُسُهُم ظُلمًا وَعُلُوًّا ۚ فَانظُر كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ المُفسِدينَ
Dan mereka mengingkarinya kerana kezaliman dan kesombongan (mereka) padahal hati mereka menyakini (kebenaran)nya. Maka perhatikanlah betapa kesudahan orang-orang yang berbuat kebinasaan.

Melabel dengan mengatakan para Nabi mengamalkan sihir adalah hujah yang diulang-ulang oleh para penentang mereka. Ini seperti disebut dalam Dzaariyat: 52-53

كَذٰلِكَ ما أَتَى الَّذينَ مِن قَبلِهِم مِّن رَّسولٍ إِلّا قالوا ساحِرٌ أَو مَجنونٌ
Demikianlah tidak seorang rasul pun yang datang kepada orang-orang yang sebelum mereka, melainkan mereka mengatakan: “Dia adalah seorang tukang sihir atau seorang gila”.

Semua umat gunakan hujah yang sama. Pelik bukan? Padahal mereka bukan saling mengenali di antara satu sama lain pun.

أَتَوَاصَوا بِهِ ۚ بَل هُم قَومٌ طاغونَ
Apakah mereka saling berpesan tentang apa yang dikatakan itu. Sebenarnya mereka adalah kaum yang melampaui batas.

Ini sebenarnya tidak pelik kerana yang memberikan hujah itu adalah syaitan belaka dan syaitan akan kitar semula hujah yang sama sahaja. Sebab itu kita sudah boleh tahu hujah golongan penentang kerana disebut berkali-kali di dalam Al-Qur’an dan hujah yang sama digunakan oleh manusia yang menentang.

Golongan penentang akan sentiasa menolak dan mereka akan meletakkan label dengan tujuan untuk melemahkan peribadi pendakwah Tauhid (“character assassination”). Sebagaimana kita yang bawakan dakwah sunnah ini selalu diberi gelaran ‘Wahabi’. Takkan mereka hendak tolak begitu sahaja, bukan? Oleh itu mereka kena berikan label yang merendahkan apa yang ditolak itu. Kemudian mereka senaraikan pula ciri-ciri ‘Wahabi’ yang kononnya tersasar jauh daripada ajaran Islam yang sebenarnya. Maka mereka yang mendengar hujah mereka akan percaya bahawa ‘Wahabi’ ini adalah golongan sesat dan mesti dijauhi sepenuhnya.

Apabila diberi label ajaran sunnah ini sebagai ‘Wahabi’, maka tidaklah nampak salah sangat kalau tolak kerana yang ditolak adalah ‘Wahabi’, bukan ‘Sunnah’. Mereka tidak sedar yang mereka tolak itu adalah Sunnah Nabi sebenarnya.


 

Yunus Ayat 77: Apakah reaksi Nabi Musa عليه السلام?

قالَ موسىٰ أَتَقولونَ لِلحَقِّ لَمّا جاءَكُم ۖ أَسِحرٌ هٰذا وَلا يُفلِحُ السّٰحِرونَ

Sahih International

Moses said, “Do you say [thus] about the truth when it has come to you? Is this magic? But magicians will not succeed.”

Malay

(Mendengarkan yang demikian), Nabi Musa bertanya: Patutkah kamu berkata demikian terhadap sesuatu kebenaran ketika datangnya kepada kamu? Adakah bawaanku ini sihir? Sedang ahli-ahli sihir itu sudah tetap tidak akan berjaya”.

 

قَالَ مُوسَىٰ

Nabi Musa berkata:

Nabi Musa عليه السلام berkata kepada mereka dengan yakin dan sabar. Baginda tidak kelam kabut. Baginda bercakap dengan berani kerana baginda diberikan keberanian oleh Allah ‎ﷻ. Maka ini menjadi pengajaran bagi kita supaya jangan melenting.

 

أَتَقُولُونَ لِلْحَقِّ لَمَّا جَاءَكُمْ

Patutkah kamu berkata demikian terhadap sesuatu kebenaran ketika datangnya kepada kamu?

Nabi Musa عليه السلام berkata: “Patutkah kamu kata begini tentang kebenaran selepas kau melihatnya?”. Iaitu mereka nampak kebenaran itu, tetapi mereka tetap tidak mahu terima, dan malah berkata yang ia adalah perkara lain pula, bukan kebenaran.

 

أَسِحْرٌ هَٰذَا

Adakah bawaanku ini sihir?

Nabi Musa عليه السلام seperti berkata lagi: “Kau lihatlah betul-betul, adakah apa yang aku bawa ini sihir? Takkan sihir macam ini. Ini benda lain kerana kamu patut tahu bagaimana rupa sihir dan apa yang aku ini bukan sihir.”

Kebenaran telah dibawa kepada mereka, tetapi mereka kata ia adalah sihir? Adakah patut mereka berkata begitu?

Adakah sesat jalan yang baginda bawa itu? Nabi Musa عليه السلام bagaikan tidak percaya dengan kata-kata mereka yang menolak dakwah baginda. Sedangkan tidak sama sihir dan mukjizat. Yang tukang sihir lakukan itu adalah sihir. Ketahuilah sihir itu sebenarnya mengelabui mata mereka yang melihat sahaja. Apabila mereka lempar tongkat dan tali mereka, ‘nampak’ seperti tongkat dan tali itu menjadi ular.

Akan tetapi sebenarnya tongkat itu tidak bertukar menjadi ular pun – masih tongkat dan tali sahaja. Namun mata mereka yang melihat telah dikaburkan. Itulah kadangkala sihir dipanggil ‘Silap Mata’ atau ‘Sulap Mata’ dalam bahasa kita. Kerana mata kita telah disilapkan dalam melihat. Kerana itu orang yang mengamalkan sihir juga dipanggil ‘penyulap’. Sebagaimana Harry Potter itu juga digelar sebagai ahli sihir. Sebaliknya apa yang dilakukan oleh Nabi Musa عليه السلام dengan tongkat baginda itu bukanlah sihir kerana tongkat itu benar-benar bertukar menjadi ular.

Ketahuilah bahawa sihir ini memang boleh dipelajari (ia haram, tetapi ia sesuatu yang mampu dipelajari). Sama juga jikalau orang kita mahu menjadi Ahli Silap Mata pun boleh juga. Mahukan ilmu keramat pun boleh juga. Begitulah yang banyak dilakukan oleh masyarakat kita. Asalkan tahu apa amalan yang hendak dibuat. Ilmu sebegini adalah untuk orang yang tidak pedulikan hukum halal dan haram. Kebiasaannya mereka mestilah mengamalkan suatu zikir jampi serapah dengan banyak sekali. Malah ada yang mengamalkan zikir dengan menggunakan ayat Al-Qur’an. Walaupun zikir yang diamalkan itu berasal daripada ayat Al-Qur’an, namun apabila dibaca dengan niat untuk mendapatkan sesuatu, ia berubah menjadi sihir. Inilah penyalahgunaan Al-Qur’an.

Orang kita yang jahil agama pun ada buat sihir juga tanpa sedar. Kadang-kadang mereka diberi amalan sesuatu ayat untuk sesuatu kelebihan. Pelbagai potongan ayat-ayat yang dicedok bersesuaian dengan tafsiran mereka sendiri lalu mereka datangkan fadilat tertentu untuk ayat-ayat tersebut. Bermacam fadilat diberikan contohnya untuk pendinding diri, ayat pengasih, menaikkan seri wajah dan sebagainya. Amat mengecewakan sekali apabila amalan-amalan sebegini banyak dikongsi melalui media sosial seperti TikTok, FB, Twitter, Instagram dan sebagainya. Dengan hanya satu klik amalan karut sebegini tersebar ke seluruh alam dan diamalkan oleh mereka yang jahil agama.

Perbuatan sebegini sebenarnya termasuk dalam perbuatan mempersenda ayat Al-Qur’an. Ayat Qur’an sepatutnya digunakan sebagai petunjuk, sebaliknya mereka gunakan untuk perkara yang lain. Balasannya adalah Neraka! Sila rujuk ayat Kahf:106

ذَٰلِكَ جَزَاؤُهُمْ جَهَنَّمُ بِمَا كَفَرُوا وَاتَّخَذُوا آيَاتِي وَرُسُلِي هُزُوًا
(Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayat-Ku dan Rasul-rasul-Ku sebagai senda gurau.

 

وَلَا يُفْلِحُ السّٰحِرُونَ

Sedang ahli-ahli sihir itu tetap tidak akan berjaya”.

Ahli sihir tidak akan berjaya dan ini adalah janji Allah ‎ﷻ. Sekiranya Nabi Musa عليه السلام itu bawa sihir, baginda juga tidak akan berjaya. Sihir akan kalah dengan mukjizat. Memang Allah ﷻ sudah tetapkan begitu. Mereka yang mengamalkan sihir itu sahaja yang sangka mereka hebat dan mereka boleh buat macam-macam. Mereka tidak tahu yang mereka tidak akan berjaya sama ada di dunia, lebih-kebih lagi di akhirat.

Daripada ayat ini, kita tahu yang sihir itu tidak kuat. Kita boleh kalahkan dengan mudah dengan menggunakan Al-Qur’an. Sebagai contoh, boleh dibacakan ayat ini apabila berhadapan dengan sihir (untuk mengingatkan kita tentang lemahnya sihir itu dan kembalikan pergantungan kita kepada Allah ﷻ). Maka jangan takut dengan sihir. Kita kena takut dengan Allah ﷻ dan kita kena mengharap dengan Allah ﷻ semata-mata. Selepas kita baca ayat itu, maka doa kepada Allah ﷻ untuk hilangkan sihir itu (bukannya setakat baca sahaja ayat ini).


 

Yunus Ayat 78: Ini adalah tuduhan daripada pihak Firaun. Sebelum ini dia telah menuduh Nabi Musa عليه السلام melakukan sihir, sekarang lain pula tuduhannya. Memang Firaun hebat dalam berhujah, kerana itulah Allah ﷻ masukkan hujahnya dan diberikan jawapan kepada hujahnya itu. Kebanyakan hujahnya turut digunakan oleh golongan penentang sampai sekarang.

قالوا أَجِئتَنا لِتَلفِتَنا عَمّا وَجَدنا عَلَيهِ ءآباءَنا وَتَكونَ لَكُمَا الكِبرِياءُ فِي الأَرضِ وَما نَحنُ لَكُما بِمُؤمِنينَ

Sahih International

They said, “Have you come to us to turn us away from that upon which we found our fathers and so that you two may have grandeur in the land? And we are not believers in you.”

Malay

Mereka pula berkata: “Adakah engkau datang (wahai Musa) untuk memesongkan kami dari penyembahan berhala yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya, dan untuk membolehkan kamu berdua membolot kekuasaan di bumi (Mesir)? Dan (ketahuilah) sebenarnya kami tidak akan beriman kepada kamu berdua”.

 

قَالُوا

Mereka pula berkata:

Firaun dan pembesar-pembesarnya berhujah dengan Nabi Musa dan Harun عليهماالسلام. Mereka buat tuduhan palsu kepada baginda. Bila mereka kata begitu, dan di hadapan khalayak rakyat pula, mereka mahu meperdayakan fikiran rakyat supaya melihat seolah-olah Nabi Musa dan Harun عليهماالسلام sebenarnya hendak mengejar pangkat kedudukan tinggi sahaja.

 

أَجِئْتَنَا لِتَلْفِتَنَا

“Adakah engkau datang untuk memesongkan kami

Mereka kata Nabi Musa dan Harun عليهماالسلام bawa ajaran sesat pula iaitu bawa ajaran yang berbeza daripada yang biasa mereka amalkan. Ini kerana mereka sudah terima yang amalan agama yang mereka ada sudah pasti benar (walaupun tidak).

Sama sahaja seperti hujah puak syirik dan bid’ah negara ini. Mereka akan kata kita hendak mengubah agama pula. Mereka kata agama sudah elok-elok, kita yang pusingkan pula ke tempat lain.

 

عَمَّا وَجَدْنَا عَلَيْهِ ءآبَاءَنَا

daripada agama yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya,

Mereka kata Nabi Musa عليه السلام hendak mengubah apa yang mereka sekian lama telah lakukan semenjak nenek moyang mereka lagi. Apabila digunakan perkataan عَلَيْهِ (atasnya), itu bermaksud, mereka memang bersungguh-sungguh mengamalkan amalan yang dibuat oleh tok nenek mereka dahulu.

Sepertimana jikalau kita tegur amalan bid’ah yang diamalkan oleh masyarakat kita, mesti ramai pengamal bid’ah yang akan marah. Mereka akan kata yang amalan itu sudah lama ada dalam masyarakat. Ini kerana tok nenek kita sudah lama buat amalan itu (mereka kata: takkan tok nenek mereka salah?).

Itulah amalan bid’ah yang dalam bermacam bentuk dan cara. Mereka amalkan berdasarkan kepada amalan tok nenek sahaja. Mereka bukan tahu sama ada ia berasal daripada wahyu atau tidak. Mereka amalkan bid’ah secara semberono sahaja kerana malas hendak fikir, malas hendak persoalkan. Begitulah jahilnya masyarakat kita dalam agama. Mereka sangka, kalau orang dulu buat, tentulah ia benar. Kenapa perlu untuk tukar pula, mereka kata. Ini perkara yang biasa terjadi di dalam sejarah manusia yang jahil seperti disebut dalam Baqarah:170

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ ٱتَّبِعُواْ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ قَالُواْ بَل نَتَّبِعُ مَآ أَلفَينَا عَلَيهِ ءَابَآءَنَآ‌ۗ أَوَلَو كَانَ ءَابَآؤُهُم لَا يَعقِلُونَ شَيـًٔا وَلَا يَهتَدُونَ
Dan apabila dikatakan kepada mereka” Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah” mereka menjawab: “(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya”. Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara ugama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (daripada Allah)?

 

وَتَكُونَ لَكُمَا الْكِبْرِيَاءُ فِي الْأَرْضِ

dan untuk membolehkan kamu berdua membolot kekuasaan di bumi (Mesir)?

Ini adalah tuduhan ketiga pula. Mereka menuduh Nabi Musa عليه السلام hendak mengambil alih kerajaan negeri Mesir. Inilah yang mereka takut sangat dengan Nabi Musa عليه السلام. Mereka takut mereka akan kehilangan kuasa. Beginilah juga sifat diktator. Mereka hendak terus berkuasa sahaja.

Tuduhan mereka itu amat tidak berasas sekali. Bayangkan, sebagai diktator, dia memerlukan orang bawahan yang hanya menurut kata-katanya, bukan? Sememangnya Firaun menghambakan Bani Israil pun tanpa diberi peluang mereka membantah. Kalau bantah sahaja, akan terus dibunuh.

Jika benarlah Musa عليه السلام hendak mengambil alih kerajaan Mesir, tentu baginda sepatutnya meneruskan tradisi itu, bukan? Namun sebaliknya, apa yang Nabi Musa عليه السلام suruh Firaun lakukan? Baginda suruh Firaun bebaskan Bani Israil daripada kekangan perhambaan dan lepaskan mereka, bukan? Amat tidak kena dengan tuduhan Firaun dan kaumnya itu.

Keduanya, sekiranya seseorang itu hendak mengambil alih sesuatu kerajaan, tentu dia akan datang dengan tentera yang ramai dan kuat, bukan? Akan tetapi Musa عليه السلام datang dengan siapa? Baginda datang bersama Nabi Harun عليه السلام sahaja. Adakah dua orang nabi itu mampu untuk merampas kuasa takhta kerajaan Firaun yang hebat itu?

Sekarang kalau kita cuba hendak berdakwah, ada yang kata kepada kita adakah kita hendak memperbaiki agama pula? Adakah kita mahu mengambil alih majlis agama pulakah? Sampai ke situ mereka perli dan tuduh kita. Subhanallah! Apakah kita sudah tidak boleh memberi teguran?

 

وَمَا نَحْنُ لَكُمَا بِمُؤْمِنِينَ

Dan (ketahuilah) sebenarnya kami tidak akan beriman kepada kamu berdua”.

Mereka tidak mahu percaya kepada Nabi Musa dan Nabi Harun عليهماالسلام kerana itulah mereka menuduh yang Musa dan Harun عليهماالسلام itu hanya hendak mendapatkan kuasa dan kekayaan sahaja. Semenjak dari awal lagi mereka tidak mahu terima, mereka terus tolak sahaja. Samalah dengan pengamal bid’ah negara ini. Jika kita tegur sahaja amalan mereka, mereka terus tolak tanpa dengar apakah alasan kita.

Tidaklah para Nabi itu mahukan kuasa dan kekayaan. Seperti yang telah disebut tentang Nabi Nuh عليه السلام, baginda telah memberitahu bahawa baginda tidak pernah meminta upah kepada kaumnya atas dakwahnya. Kelebihan dunia bukanlah apa yang baginda cari. Maka samalah juga dengan Nabi Musa عليه السلام – baginda bukannya datang hendak meminta upah. Baginda bukan datang berdakwah kerana hendakkan kuasa.


 

Yunus Ayat 79: Apabila Firaun kalah dengan menggunakan hujah, maka dia telah menggunakan kuasa. Kuasa pada waktu itu adalah melalui para golongan tukang sihir.

وَقالَ فِرعَونُ ائتوني بِكُلِّ سٰحِرٍ عَليمٍ

Sahih International

And Pharaoh said, “Bring to me every learned magician.”

Malay

Dan berkatalah Firaun (kepada orang-orangnya): “Bawalah kamu kepadaku semua ahli sihir yang mahir”.

 

وَقَالَ فِرْعَوْنُ

Dan berkatalah Firaun:

Firaun memberi arahan kepada orang-orang bawahannya. Dia berkata ini selepas Nabi Musa عليه السلام datang kepadanya dan menunjukkan dua mukjizat: tongkat menjadi ular dan tangannya yang bercahaya. Dia telah buat keputusan untuk melawan Nabi Musa عليه السلام.

 

ائْتُونِي بِكُلِّ سٰحِرٍ عَلِيمٍ

“Bawa kepadaku semua ahli sihir yang mahir”.

Firaun nampak mukjizat Nabi Musa عليه السلام dan dia menyangka mukjizat itu lebih kurang seperti sihir juga. Maka Firaun mengarahkan untuk dipanggil ahli-ahli sihir yang mahir dan hebat-hebat dalam negara Mesir itu kerana zaman itu memang ramai yang tahu sihir dan mengamalkan sihir. Akan tetapi dia tidak mahu yang biasa-biasa sahaja, dia mahu ahli sihir yang betul-betul mahir yang dia mampu untuk melawan mukjizat Nabi Musa عليه السلام itu. Dia suruh panggil semua sekali yang mahir untuk datang.

Firaun sedar yang Nabi Musa عليه السلام itu bukanlah ahli sihir sebenarnya (seperti yang telah disebut sebelum ini). Akan tetapi dia hendak melawan Nabi Musa عليه السلام menggunakan sihir kerana itulah sahaja senjata yang dia ada. Inilah cara mereka yang telah kalah dari mula-mula lagi. Mereka yang berada dalam keadaan terdesak akan menggunakan apa sahaja yang mereka ada walaupun mereka sudah tahu yang mereka sudah kalah. Dalam Bahasa Inggeris, perbuatan mereka ini dipanggil ‘grasping at straws’.

Sepatutnya dia beriman dengan apa yang dibawa oleh Nabi Musa عليه السلام itu tetapi dia hendak melawan pula. Dia tidak perlu pun serahkan kuasanya itu, dia tetap terus menjadi Firaun jika dia beriman. Namun dia tetap berdegil dan sombong untuk beriman. Kisah tentang tukang-tukang sihir ini ada disebut dengan lebih panjang dalam A’raf:109-112

قالَ المَلَأُ مِن قَومِ فِرعَونَ إِنَّ هٰذا لَسٰحِرٌ عَليمٌ
Berkatalah Ketua-ketua daripada kaum Firaun: “Sesungguhnya orang ini (Musa) ialah seorang ahli sihir yang mahir.

يُريدُ أَن يُخرِجَكُم مِّن أَرضِكُم ۖ فَماذا تَأمُرونَ
“Dia bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu”. (Firaun bertanya): “Oleh itu, apa yang kamu syorkan?”

قالوا أَرجِه وَأَخاهُ وَأَرسِل فِي المَدائِنِ حٰشِرينَ
Mereka berkata: “Tangguhkanlah dia dan saudaranya (daripada dijatuhkan sebarang hukuman) serta utuslah ke bandar-bandar (di merata-rata negeri Mesir untuk) mengumpulkan (ahli-ahli sihir);

يَأتوكَ بِكُلِّ سٰحِرٍ عَليمٍ
“Yang kelak akan membawa kepadamu segala ahli sihir yang mahir”.

Firaun menggunakan kuasa yang dia ada pada waktu itu. Sihir diamalkan dengan banyak dan Firaun menggunakan kedudukan mereka dan kemahiran mereka untuk menentang Nabi Musa عليه السلام. Dia hendak menggunakan ahli sihir yang terhebat dan berkemahiran tinggi; setaraf Dumbledore, budak hingusan baru belajar seperti Harry Potter boleh tolak ke tepi sahaja.

Memang sentiasa sahaja penyebar tauhid ditentang semenjak dahulu sampai sekarang. Jika Firaun mengumpulkan ahli-ahli sihir, puak Musyrikin Mekah pula mengumpulkan penyair-penyair untuk melawan Nabi Muhammad ﷺ. Merekalah yang mengkritik baginda kerana mereka dipandang sebagai orang yang berilmu zaman itu dan disanjung tinggi. Maka mereka berasa merekalah yang paling layak untuk menegur Nabi ﷺ.

Begitulah juga apabila kita berhujah dengan puak syirik dan puak bid’ah. Apabila kita bawakan dalil Al-Qur’an & Hadith, sepatutnya mereka terima tetapi mereka tolak juga. Mereka menolak itu dengan menggunakan dalil-dalil yang bathil seperti kata-kata manusia dan akal fikiran mereka. Mereka gunakan para ustaz juga untuk menentang dakwah Sunnah (tetapi guna hujah bathil). Mereka tetap tidak mahu juga mengaku salah. Mereka hendak juga melawan.

Mereka akan panggil ustaz-ustaz mereka, guru-guru pondok mereka untuk berbincang dengan kita dan menegur kita. Akan tetapi yang selalunya terjadi, apabila kita berjumpa ustaz dan guru itu, kemudian membangkitkan beberapa isu, mereka sendiri yang tidak dapat jawab.

Contohnya, kita tanya manakah dalil tawasul dengan orang mati, mereka sendiri tidak dapat jawab. Atau mereka jawab dengan hujah-hujah akal sahaja. Atau, mereka bawa juga dalil yang sahih, tetapi diterjemahkan dan ditafsir mengikut fahaman mereka sahaja (bukan cara fahaman salaf).

Kerana itulah sekarang kita lihat sudah semakin banyak debat antara asatizah diadakan. Ia sama seperti yang dilakukan oleh Nabi Musa عليه السلام dengan golongan tukang sihir. Tunjukkan perdebatan itu di khalayak ramai supaya masyarakat sendiri boleh nilai. Namun begitu golongan jahil marah kerana mereka kata golongan ilmuwan asyik hendak berkelahi sahaja sesama sendiri. Mereka tidak faham bahawa perdebatan itu adalah majlis ilmu. Ia adalah medan dan ruang untuk pihak masing-masing mengeluarkan hujah.


 

Yunus Ayat 80: Ini adalah apabila Nabi Musa عليه السلام sudah berhadapan dengan golongan ahli sihir.

فَلَمّا جاءَ السَّحَرَةُ قالَ لَهُم مّوسىٰ أَلقوا ما أَنتُم مُّلقونَ

Sahih International

So when the magicians came, Moses said to them, “Throw down whatever you will throw.”

Malay

Setelah datang ahli-ahli sihir itu, Nabi Musa berkata kepada mereka:” Campakkanlah kamu dahulu apa yang kamu hendak campakkan (diri benda-benda yang kamu jadikan sihir itu)!”

 

فَلَمَّا جَاءَ السَّحَرَةُ

Setelah datang ahli-ahli sihir itu,

Dipendekkan cerita, ahli-ahli sihir itu sudah dikumpulkan dan sekarang mereka semua dan Nabi Musa عليه السلام berada di khalayak ramai. Ada banyak pendapat tentang berapa ramainya ahli-ahli sihir itu. Ada yang kata berpuluh dan ada yang kata sampai beribu. Kita kena ingat yang zaman itu adalah zaman sihir dan kerana itu memang bilangan mereka sangat ramai.

Pertarungan ini dilakukan ketika hari perayaan, bermaksud semua rakyat Mesir boleh berkumpul untuk melihat peristiwa bersejarah itu. Hari itu mereka tidak bekerja dan memang mereka sudah berkumpul pada satu tempat kerana telah lama diiklankan perjumpaan itu. Maka memang ramai yang hadir pada kejadian itu. Ini penting supaya ramai-ramai boleh nampak kebenaran.

 

قَالَ لَهُم مُّوسَىٰ

Nabi Musa berkata kepada mereka:”

Nabi Musa عليه السلام berkata kepada ahli-ahli sihir itu. Ini kerana sebelum itu mereka telah bertanya: siapa yang akan lempar tongkat dahulu? Ini telah disebut di dalam ayat lain.

 

أَلْقُوا مَا أَنتُم مُّلْقُونَ

Campakkanlah kamu dahulu apa yang kamu hendak campakkan!”

Dalam surah yang lain, ada dikisahkan bagaimana ahli-ahli sihir itu yang bertanya kepada baginda sama ada baginda yang campak dahulu atau mereka. Ini boleh dibaca di dalam Taha: 65-69. Maka Nabi Musa عليه السلام suruh mereka yang campak dahulu.

قالوا يا موسىٰ إِمّا أَن تُلقِيَ وَإِمّا أَن نَكونَ أَوَّلَ مَن أَلقىٰ
Mereka berkata: “Wahai Musa! Engkaukah yang akan mencampak lebih dahulu atau kamikah yang mula-mula mencampak?”

قالَ بَل أَلقوا ۖ فَإِذا حِبالُهُم وَعِصِيُّهُم يُخَيَّلُ إِلَيهِ مِن سِحرِهِم أَنَّها تَسعىٰ
Nabi Musa menjawab: “Bahkan kamulah campak dahulu”. Tiba-tiba tali-tali mereka dan tongkat-tongkat mereka terbayang-bayang kepadanya seolah-olah benda-benda berjalan, disebabkan sihir mereka.

فَأَوجَسَ في نَفسِهِ خيفَةً موسىٰ
Maka yang demikian menjadikan Nabi Musa merasa takut sedikit dalam hatinya.

قُلنا لا تَخَف إِنَّكَ أَنتَ الأَعلىٰ
Kami berfirman kepadanya: “Janganlah engkau takut (wahai Musa)! Sesungguhnya engkaulah yang tertinggi mengatasi mereka dengan kemenangan.

وَأَلقِ ما في يَمينِكَ تَلقَف ما صَنَعوا ۖ إِنَّما صَنَعوا كَيدُ ساحِرٍ ۖ وَلا يُفلِحُ السّاحِرُ حَيثُ أَتىٰ
“Dan campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia menelan segala (benda-benda sihir) yang mereka lakukan, kerana sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah tipu daya ahli sihir; sedang ahli sihir itu tidak akan beroleh kejayaan, di mana sahaja dia berada”.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 25 Jun 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment