Tafsir Surah Yunus Ayat 71 – 72 (Kisah Nabi Nuh عليه السلام)

NABI NUH عليه السلام DAN UMATNYA

Yunus Ayat 71: Sekarang Allah ﷻ beri contoh Takhwif Duniawi tentang kaum yang sesat dan balasan yang dikenakan kepada mereka. Allah ﷻ beri contoh kepada kita tentang satu kaum yang mengamalkan tawasul, iaitu kaum Nabi Nuh عليه السلام. Kaum Nabi Nuh عليه السلام mengamalkan tawasul dengan menggunakan lima orang wali mereka yang telah mati sebagai perantara (tawasul) kepada Allah ﷻ. Kisah ini ada disebut dengan panjang lebar di dalam Surah Nuh.

Ada yang berpendapat Nabi Nuh عليه السلام ini telah berdakwah ke serata dunia kerana Banjir Besar itu terjadi di seluruh dunia. Sesungguhnya Allah ﷻ tidak menghancurkan umat melainkan mereka telah diberikan dengan Rasul untuk menyampaikan dakwah kepada mereka. Jika bukan seluruh dunia yang menolak ajakan tauhid itu, maka tidaklah keseluruhan manusia yang dibanjirkan. Tambahan pula umur baginda amat panjang yang boleh dijadikan hujah yang baginda telah merantau ke serata dunia untuk menyampaikan dakwah tauhid.

Allahu a’lam. Akan tetapi yang lebih kuat adalah baginda hanya berdakwah kepada kaum baginda sahaja dan Banjir Besar itu terjadi di kawasan baginda sahaja. Boleh rujuk perbincangan di dalam Hud:48.

وَاتلُ عَلَيهِم نَبَأَ نوحٍ إِذ قالَ لِقَومِهِ يٰقَومِ إِن كانَ كَبُرَ عَلَيكُم مَّقامي وَتَذكيري بِئآيٰتِ اللَّهِ فَعَلَى اللَّهِ تَوَكَّلتُ فَأَجمِعوا أَمرَكُم وَشُرَكاءَكُم ثُمَّ لا يَكُن أَمرُكُم عَلَيكُم غُمَّةً ثُمَّ اقضوا إِلَيَّ وَلا تُنظِرونِ

Sahih International

And recite to them the news of Noah, when he said to his people, “O my people, if my residence and my reminding of the signs of Allah has become burdensome upon you – then I have relied upon Allah. So resolve upon your plan and [call upon] your associates. Then let not your plan be obscure to you. Then carry it out upon me and do not give me respite.

Malay

Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad) perihal Nabi Nuh, ketika dia berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Sekiranya kedudukan aku dalam kalangan kamu, dan peringatan yang aku berikan kepada kamu dengan ayat-ayat keterangan Allah itu, menjadi keberatan kepada kamu, maka (buatlah apa yang kamu hendak buat, kerana) kepada Allah jualah aku berserah diri. Oleh itu, tetapkanlah keazaman kamu serta sekutu-sekutu kamu untuk melakukan rancangan jahat kamu terhadapku; kemudian janganlah hendaknya rancangan jahat kamu itu, kamu jalankan secara tersembunyi (tetapi biarlah terbuka); sesudah itu bertindaklah terus terhadapku dan janganlah kamu tunggu-tunggu lagi.

 

وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ نُوحٍ

Dan bacakanlah kepada mereka berita Nabi Nuh,

Allah ﷻ memerintahkan Nabi Muhammad ﷺ dan kita yang membawa mesej Al-Qur’an ini untuk menyampaikan kepada manusia tentang kisah Nabi Nuh عليه السلام dan kaumnya. Kisah baginda disebutkan dahulu kerana baginda adalah Rasul yang pertama dan kerana lamanya tempoh baginda berdakwah. Ada pengajaran yang kita kena belajar daripada kisah baginda.

Ia juga bertindak sebagai tasliah (pujukan) kepada Rasulullah ﷺ. Apabila baginda mendengar kisah-kisah para Nabi yang terdahulu, maka terubatlah sedikit rasa berat di hati baginda kerana dakwah para Nabi sebelum baginda juga ditolak. Begitu juga kepada kita para pendakwah ini, ia menjadi pujukan juga kepada kita. Kalau para Nabi pun ditolak, apatah lagi kita?

Ia mengingatkan kita supaya jangan mudah berputus asa dalam berdakwah. Kalau baru berdakwah dan kemudian ditolak, janganlah patah semangat kerana Nabi Nuh عليه السلام amat lama berdakwah, 950 tahun baginda ditolak seperti disebut dalam Ankabut:14

وَلَقَد أَرسَلنا نوحًا إِلىٰ قَومِهِ فَلَبِثَ فيهِم أَلفَ سَنَةٍ إِلّا خَمسينَ عامًا
Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya, maka dia tinggal di antara mereka seribu tahun kurang lima puluh tahun.

Allah ﷻ suruh sampaikan kisah daripada Al-Qur’an, maka ini mengajar kita yang berdakwah mestilah menggunakan Al-Qur’an. Mahu ditambah dengan perkara-perkara dan kaedah lain boleh, tetapi metod dakwah utama mestilah menggunakan Al-Qur’an.

Dan setelah dibacakan ayat-ayat wahyu, kenalah diikuti. Kerana kalimah اتْلُ ada membawa maksud ‘ikut’ seperti yang digunakan di dalam Syams:2

وَٱلقَمَرِ إِذَا تَلَٮٰهَا
dan bulan apabila mengikutinya,

Banyak sekali kisah para Nabi di dalam Al-Qur’an ini. Sikit-sikit kita jumpa kisah mereka, kadangkala berulang-ulang pula. Kenapa Allah ﷻ sebut kisah mereka? Secara umumnya ada tiga sebab:

1. Sebagai ibrah (pengajaran). Dalilnya adalah Yusuf: 111

لَقَد كانَ في قَصَصِهِم عِبرَةٌ لِأُولِي الأَلبابِ
Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal.

2. Supaya manusia berfikir dan memilih jalan yang benar. Dalilnya A’raf:176

ذٰلِكَ مَثَلُ القَومِ الَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِنا ۚ فَاقصُصِ القَصَصَ لَعَلَّهُم يَتَفَكَّرونَ
Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir.

3. Untuk meneguhkan iman orang Mukmin yang melakukan kerja dakwah. Dalilnya adalah Hud:120

وَكُلًّا نَقُصُّ عَلَيكَ مِن أَنباءِ الرُّسُلِ ما نُثَبِّتُ بِهِ فُؤادَكَ
Dan semua kisah daripada rasul-rasul Kami ceritakan kepadamu, ialah kisah-kisah yang dengannya Kami teguhkan hatimu;

Maka amat penting sekali kisah para Nabi ini kepada kita. Sebab itu Allah ﷻ sampaikan kepada kita dan kita kena sampaikan kepada orang lain pula. Malangnya kalau kita dengar ceramah dan kelas agama sekarang, bukan kisah para Nabi yang disampaikan tetapi kisah tok guru itu, tok syeikh itu, Habib itu, wali ini. Kononnya mereka buat itu dan ini. Kisah-kisah itu pula mengarut-ngarut jadinya dan tidak boleh dipastikan sama ada benar ataupun tidak. Seolah-olah golongan itu berlumba pula kisah siapa yang paling mengarut di antara tok guru mereka.

 

إِذ قالَ لِقَومِهِ يٰقَومِ

ketika dia berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku!

Ini adalah kata-kata terakhir daripada baginda kepada kaumnya sebelum Banjir Besar berlaku. Iaitu selepas 950 tahun baginda berdakwah kepada mereka. Mereka itu semua adalah kaumnya, sepertimana Quraish dan Arab adalah bangsa Nabi Muhammad ﷺ. Tentunya baginda sayang kepada kaumnya, tetapi mereka tetap menolak ajakan dakwah baginda.

Lihatlah cara panggilan Nabi Nuh عليه السلام kepada kaumnya itu. Baginda memanggil dan menyeru mereka dengan menggunakan kalimah yang baik-baik. Beginilah cara dakwah, bukannya dengan cara yang kasar dan biadap. Jangan gunakan bahasa yang kesat kerana ia boleh menolak manusia daripada dakwah.

 

إِن كَانَ كَبُرَ عَلَيْكُم مَّقَامِي

Sekiranya menjadi keberatan kepada kamu kedudukan aku dalam kalangan kamu,

“Sekiranya kamu berasa berat kerana aku tinggal bersama kamu; Kalau kamu rasa susah apabila aku berada bersama-sama dengan kamu.” Begitulah lebih kurang kata baginda. Ini kerana kaumnya yang ingkar sudah berasa tidak selesa Nabi Nuh عليه السلام tinggal bersama mereka. Mereka rasa berat dengan adanya baginda bersama mereka.

Memang sudah lumrah yang orang yang mengamalkan tauhid dan sunnah, akan dibenci oleh orang lain yang hendak mengamalkan syirik dan bid’ah. Sampai ada yang kena halau dari kampung halaman pun pernah kita dengar. Apabila mereka nampak kita, mereka akan menjuihkan mulut ke arah kita. Mereka pula akan bercakap sesama mereka tentang kita dalam nada menghina. Mereka naik bosan apabila selalu ditegur. Maka begitulah dengan Nabi Nuh عليه السلام, malah lebih teruk lagi.

Maksud kedua perkataan مَّقَامِ itu adalah ‘kedudukan’. Jikalau mereka rasa berat dengan ‘kedudukan’ Nabi Nuh عليه السلام itu. Apakah ‘kedudukan’ Nabi Nuh عليه السلام? Iaitu sebagai Rasul dan penyebar tauhid kepada mereka. Maka, sebagai Rasul, tentunya tugas baginda adalah menyampaikan ajaran agama dan menegah mereka daripada berbuat dosa, lebih-lebih lagi dosa syirik. Mereka tidak senang dengan dakwah yang disampaikan oleh baginda.

Memang kaum Nabi Nuh عليه السلام rasa berat dengan dakwah baginda. Ada dua sebab:

    1. Baginda terus menerus berdakwah tanpa henti. Mereka sudah rasa rimas dan tidak tahan lagi. Kalau orang dakwah kepada kita sebentar sahaja, kita bolehlah hendak tahan walaupun kita tidak suka. Akan tetapi kalau hari-hari dakwah kepada kita, tentu kita rasa tertekan, bukan?
    2. Kerana apa yang baginda dakwah itu berlawanan dengan kehendak nafsu mereka. Mereka hendak buat apa sahaja yang mereka suka. Apabila Nabi Nuh عليه السلام mengajak kepada yang lain (ke arah Tauhid), mereka tidak suka.

 

وَتَذْكِيرِي بِئآيٰتِ اللَّهِ

dan peringatan yang aku berikan kepada kamu dengan ayat-ayat Allah itu,

Sebenarnya, bukan kerana Nabi Nuh عليه السلام tinggal dengan mereka yang menyebabkan mereka benci itu, tetapi kerana dakwah baginda yang mereka benci. Kalau duduk buat senyap sahaja, tidak ada hal kepada mereka. Kalau kita tahu tentang tauhid, tetapi kita buat senyap sahaja, kita pun selamat juga daripada diganggu puak bidaah. Akan tetapi, kita nanti tidak selamat daripada seksa Allah ﷻ kerana tidak menyampaikan ilmu.

Kalimat آيَاتِ اللَّهِ (ayat-ayat Allah ﷻ) yang dimaksudkan itu adalah ‘ayat-ayat tauhid’; iaitu wahyu daripada Allah ﷻ. Itulah mesej utama yang disampaikan oleh semua Rasul dan Nabi; iaitu memberitahu manusia tentang Allah ﷻ dan tentang larangan kesyirikan yang dilakukan oleh manusia. Nabi Nuh عليه السلام mengajak mereka untuk menyembah Allah ﷻ sahaja. Nabi Nuh عليه السلام melarang mereka melakukan tawasul. Disebabkan teguran baginda itulah yang menyebabkan baginda dibenci.

Ini mengajar kita dakwah mesti dibawakan dengan ayat-ayat wahyu. Namun sekarang jarang kita dengar pada penceramah membawakan ayat Al-Qur’an, bukan? Apa mereka sangka masyarakat sudah mahirkah dengan Al-Qur’an sampai tidak diajar kepada masyarakat lagi? Atau, penceramah itu sendiri tidak mahir Al-Qur’an sampai mereka pun tidak boleh ajar?

Kembali kepada kisah Nabi Nuh عليه السلام. Selama 950 tahun Nabi Nuh عليه السلام telah berdakwah kepada kaumnya dan kaumnya sudah berasa terlalu bosan dengan ajakan baginda. Kebosanan mereka telah bertukar menjadi benci sehingga mereka hendak melakukan rancangan jahat terhadap baginda. Maka baginda telah bercakap dengan mereka secara terbuka.

Namun sebelum itu mari kita lihat bagaimana cara dakwah Nabi Nuh عليه السلام dan sikap umat baginda terhadap dakwah itu. Mari kita lihat nukilan Allah ﷻ tentang aduan Nabi Nuh عليه السلام kepada-Nya di dalam Nuh: 5-9

قالَ رَبِّ إِنّي دَعَوتُ قَومي لَيلًا وَنَهارًا
Nabi Nuh berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam

فَلَم يَزِدهُم دُعائي إِلّا فِرارًا
“Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (sesuatu faedah pun) selain daripada menambahi mereka melarikan diri (daripada kebenaran).

وَإِنّي كُلَّما دَعَوتُهُم لِتَغفِرَ لَهُم جَعَلوا أَصابِعَهُم في آذانِهِم وَاستَغشَوا ثِيابَهُم وَأَصَرّوا وَاستَكبَرُوا استِكبارًا
“Dan sesungguhnya aku, tiap-tiap kali menyeru mereka (beriman) supaya Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, – mereka menyumbatkan telinganya dengan jari masing-masing, dan berselubung dengan pakaiannya, serta berdegil dengan keingkarannya, dan berlaku sombong takbur dengan melampau.

ثُمَّ إِنّي دَعَوتُهُم جِهارًا
“Kemudian aku telah menyeru mereka dengan terang-terang;

ثُمَّ إِنّي أَعلَنتُ لَهُم وَأَسرَرتُ لَهُم إِسرارًا
“Selain daripada itu, aku (berulang-ulang) menyeru mereka secara beramai-ramai dengan berterus-terang, dan menyeru mereka lagi secara berseorangan dengan perlahan-lahan.

Begitulah cara baginda berdakwah tanpa lelah dan tanpa bosan. Kita pun boleh melihat bagaimana kaum baginda tidak suka dengan dakwah itu. Hanya beberapa puluh orang sahaja beriman dengan baginda. Adakah Nabi Nuh عليه السلام telah gagal dalam dakwahnya? Tentu tidak! Dakwah tidak dinilai dengan jumlah bilangan pengikut. Nabi Muhammad ﷺ selama berdakwah 13 di Mekah pun hanya lebih kurang 200 orang sahaja yang beriman. Adakah Rasulullah ﷺ telah gagal? Tentu tidak!

Walaupun hanya sedikit sahaja beriman, tetapi dakwah baginda telah sampai kepada kita. Begitu juga dengan Nabi Nuh عليه السلام. Taqdirnya adalah baginda tidak kisah dengan sikap mereka, baginda tetap melakukan dakwah. Kita ini semua keturunan baginda. Ya, tidak ramai yang beriman di masa hidup baginda, namun akhirnya dakwah baginda telah sampai juga kepada kita melalui keturunan baginda.

 

فَعَلَى اللَّهِ تَوَكَّلْتُ

Kepada Allah aku bertawakal.

Disebabkan Nabi Nuh عليه السلام yang tidak berhenti mengajak kepada Tauhid, maka kaumnya telah marah dan telah membuat perancangan jahat terhadap baginda. Nabi Nuh عليه السلام membalas dengan memberitahu yang baginda hanya bertawakal kepada Allah ﷻ sahaja. Apa-apa sahaja yang mereka hendak buat kepada baginda, baginda telah menyerah dirinya kepada Allah ﷻ. Terpulang kepada Allah ﷻ apa yang Allah ﷻ akan lakukan kepada baginda. Baginda akan terima sahaja apa yang Allah ﷻ telah tentukan untuknya.

Maka begitulah juga kita mestilah bertawakal kepada Allah ﷻ dan hanya kepada Allah ﷻ sahaja. Ini kita dapat tahu daripada susunan ayat ini. Apabila ditaqdimkan (didahulukan) huruf jar على, maka ia memberi isyarat eksklusif. Ia tidak sama kalau susunannya وعلي الله توكلت. Kalau susunannya begini, ia membawa maksud biasa sahaja. Akan tetapi daripada ayat yang kita belajar ini, ia membawa maksud yang tidak boleh langsung tawakal kepada selain Allah ﷻ. Memang tidak sesuai pun kerana selain Allah ﷻ tidak ada lagi tempat untuk kita meletakkan harapan kita.

Selain itu juga maksud tawakal mestilah difahami dengan jelas. Bukan setakat menyerah sahaja urusan kita kepada Allah ﷻ. Namun kena ada usaha, kemudian barulah serahkan kepada Allah ﷻ, dan selepas itu apa-apa sahaja keputusan Allah ﷻ berikan kepada kita, kita kena redha. Janganlah pula kata tawakal, tetapi apabila Allah ﷻ buat keputusan yang kita tidak suka, kita marah pula.

 

فَأَجْمِعُوا أَمْرَكُمْ وَشُرَكَاءَكُمْ

Oleh itu, kamu kumpullah urusan kamu dan sekutu-sekutu kamu

“Kalau kamu tidak suka aku berada bersama kamu dan dengan kedudukan aku sebagai Rasul kamu, dan dengan aku memberi peringatan kepada kamu, maka kamu buatlah rancangan kamu. Teruskan rancangan untuk melakukan rancangan jahat kamu terhadapku.” Ini adalah kata-kata Nabi Nuh عليه السلام kepada kaumnya secara terbuka.

Sebelum itu, sudah kedengaran kepada Nabi Nuh عليه السلام yang kaumnya mahu membunuhnya. Maka Nabi Nuh عليه السلام suruh mereka teruskan apa yang mereka telah rancang itu kerana baginda telah menyerahkan diri baginda kepada Allah ﷻ.

 

ثُمَّ لَا يَكُنْ أَمْرُكُمْ عَلَيْكُمْ غُمَّةً

kemudian janganlah hendaknya rancangan jahat kamu itu, kamu jalankan secara tersembunyi

“Jangan kamu rahsiakan rancangan kamu itu. Tak perlu buat rancangan secara sembunyi-sembunyi!” Kalimah غُمَّةً berasal daripada katadasar غ م م yang bermaksud ‘awan’ dan sifat awan itu melindungi. Melindungi kepanasan matahari daripada sampai ke bumi. Nabi Nuh عليه السلام suruh mereka jangan sembunyikan apa perancangan mereka itu. Jangan buat secara tersembunyi. Buatlah secara ‘gentleman’, berdepan.

“Kamu buatlah rancangan kamu itu dengan cara terbuka. Buat rancangan itu di depan aku dan di depan semua orang.” Sebab kalau mereka buat rancangan tersembunyi, nanti ada dalam kalangan mereka yang tidak tahu apa hendak buat, bukan? Maka, berpakatlah molek-molek dan terang-terang, supaya perancangan mereka betul-betul mantap.

Ini adalah cabaran Nabi Nuh عليه السلام kepada mereka. Selalunya rancangan jahat akan dilakukan dengan sembunyi dan rahsia. Akan tetapi Nabi Nuh عليه السلام sudah beri mereka peluang untuk buat rancangan secara terbuka. Supaya semua tahu apa yang hendak dibuat kepada baginda. Tidak ada yang tertinggal daripada dapat maklumat yang jelas.

 

ثُمَّ اقْضُوا إِلَيَّ

sesudah itu bertindaklah terhadapku

Kalimah اقْضُوا berasal daripada katadasar ق ض ى yang bermaksud menjalankan sesuatu rancangan. “Buatlah apa pun rancangan yang telah kamu semua tetapkan untuk diriku.” Nabi Nuh عليه السلام sudah bersedia untuk menerima apakah keputusan dan tindakan mereka kerana pengharapan dan tawakal baginda kepada Allah ﷻ amat tinggi.

 

وَلَا تُنظِرُونِ

dan janganlah kamu lengahkan kepadaku.

“Jangan beri tangguh kepada aku. Buat terus apa yang kamu telah rancangkan. Jangan beri peluang untuk aku melarikan diri atau apa-apa sahaja.”

Nabi Nuh عليه السلام berkata begitu kerana baginda tidak takut kepada mereka dan baginda telah bertaqwa kepada Allah ﷻ. Baginda hanya takut kepada Allah ﷻ sahaja. Baginda juga amat yakin dengan apa yang baginda lakukan. Baginda juga yakin yang Allah ﷻ akan selamatkan baginda.

Begitu jugalah dengan kita yang menjalankan kerja dakwah ini, perlu juga yakin bahawa apa yang kita lakukan dan sampaikan ini adalah kebenaran. Bila kita yakin dengan dakwah yang kita bawa, maka kita akan jadi berani. Kita tidak takut dengan ancaman musuh.

Apabila kita berdakwah, sudah tentu kita akan ditentang. Ini adalah sunnatullah dan pasti akan berlaku. Jangan terkejut bila ia terjadi dan jangan takut dengan tentangan itu sampai kita memberhentikan gerakan dakwah ini. Kita kena teruskan juga walau apa pun kata-kata nista daripada masyarakat yang terpaksa kita hadap.

Manusia tidak akan mampu untuk memberi mudarat kepada kita tanpa izin daripada Allah ﷻ. Walaupun mereka berkumpul ramai-ramai membuat rancangan jahat kepada kita dan mereka beramai-ramai datang kepada kita untuk menyakiti kita, mereka tidak dapat berbuat apa-apa jika Allah ﷻ tidak izinkan. Akan tetapi tidaklah kita disuruh mengikut cara Nabi Nuh عليه السلام ini dengan mencabar manusia pula kerana tahap kita tidaklah sama dengan tahap para Nabi.


 

Yunus Ayat 72: Sambungan kata-kata Nabi Nuh عليه السلام.

فَإِن تَوَلَّيتُم فَما سَأَلتُكُم مِن أَجرٍ ۖ إِن أَجرِيَ إِلّا عَلَى اللَّهِ ۖ وَأُمِرتُ أَن أَكونَ مِنَ المُسلِمينَ

Sahih International

And if you turn away [from my advice] then no payment have I asked of you. My reward is only from Allah, and I have been commanded to be of the Muslims.”

Malay

“Oleh itu, jika kamu berpaling membelakangkan peringatanku, maka tidaklah menjadi hal kepadaku, kerana aku tidak meminta sebarang balasan daripada kamu (mengenai ajaran ugama Allah yang aku sampaikan itu); balasanku hanyalah dari Allah semata-mata (sama ada kamu beriman ataupun kamu ingkar); dan aku pula diperintahkan supaya menjadi dari orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah)”.

فَإِن تَوَلَّيْتُمْ

“Oleh itu, jika kamu berpaling membelakangkan peringatanku,

Ini merupakan peringatan untuk mereka yang menolak dakwah tauhid disampaikan oleh Nabi Nuh عليه السلام. Setelah diberi peringatan, tetap juga tidak mahu terima. Sekarang Nabi Nuh عليه السلام berhujah dengan mengingatkan kepada mereka bahawa baginda tidak pernah meminta habuan apa-apa pun daripada mereka.

 

فَمَا سَأَلْتُكُم مِّنْ أَجْرٍ

aku tidak pernah meminta sebarang balasan upah daripada kamu

Nabi Nuh عليه السلام mengingatkan mereka yang baginda tidak pernah meminta upah daripada mereka atas dakwahnya itu kerana memang sudah tugas baginda untuk menyampaikan. Ini adalah sepertimana kita beritahu kepada keluarga kita tentang suatu nasihat kebaikan, takkan selepas itu kita minta upah daripada mereka pula, bukan?

Maka Nabi Nuh عليه السلام di dalam ayat ini memberitahu kepada mereka bahawa jika mereka menolak dakwah daripada baginda, baginda tidak terkesan dengan penolakan mereka itu. Baginda tidak rugi pun kerana baginda tidak pernah meminta upah daripada mereka. Maknanya, sekiranya mereka beriman, tidaklah baginda mendapat ganjaran wang atau sebarang keuntungan daripada mereka.

Begitu juga kalau mereka tidak mahu beriman, baginda tidak rugi apa-apa kerana baginda berdakwah bukanlah kerana mahukan upah daripada mereka. Yang rugi hanyalah mereka sahaja kerana menolak jalan tauhid yang baginda sampaikan.

 

إِنْ أَجْرِيَ إِلَّا عَلَى اللَّهِ

balasanku hanyalah atas Allah semata-mata

Kalau umat baginda tidak beri upah pun, baginda tidak rugi kerana yang baginda harapkan hanyalah balasan daripada Allah ﷻ yang lebih baik daripada dunia dan segala isinya. Pahala sebar tauhid itu adalah seperti jihad fisabilillah. Takkan kita tidak mahu? Kalau upah di dunia berapa lama sangat kita boleh guna? Akan tetapi pahala dakwah itu berterusan walaupun kita sudah mati. Lihat bagaimana Allah ﷻ meneruskan pahala Rasulullah ﷺ kerana menyampaikan agama seperti disebut dalam Qalam:3

وَإِنَّ لَكَ لَأَجرًا غَيرَ مَمنونٍ
Dan sesungguhnya bagi kamu benar-benar pahala yang besar yang tidak putus-putusnya.

Allah ﷻ juga mengingatkan yang balasan di akhirat itu lebih baik seperti disebut dalam Dhuha:4

وَلَلأَخِرَةُ خَيرٌ لَّكَ مِنَ ٱلأُولَىٰ
Dan sesungguhnya hari kemudian itu lebih baik bagimu daripada yang sekarang (dunia)..

Ayat ini mengingatkan kita untuk tidak meminta upah dalam mengajar agama kepada orang lain. Ketahuilah bahawa meminta upah itu adalah kesalahan yang besar. Sesiapa yang minta upah dalam mengajar, akan dimasukkan ke dalam neraka seperti yang disebut dalam Hud 15-16.

مَن كانَ يُريدُ الحَياةَ الدُّنيا وَزينَتَها نُوَفِّ إِلَيهِم أَعمالَهُم فيها وَهُم فيها لا يُبخَسونَ
Sesiapa yang usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya, maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikit pun padanya.

أُولٰئِكَ الَّذينَ لَيسَ لَهُم فِي الآخِرَةِ إِلَّا النّارُ ۖ وَحَبِطَ ما صَنَعوا فيها وَباطِلٌ ما كانوا يَعمَلونَ
Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan.

.

Ayat ini memberitahu kita yang jikalau ibadah yang kita lakukan kerana hendakkan balasan keduniaan (seperti upah), maka tidak ada pahala langsung baginya. Maka begitu juga dengan dakwah, ia adalah satu ibadah. Takkan kita minta wang dari orang yang kita dakwah itu? Begitu juga dengan mengajar, jangan berharap kepada bayaran. Jangan letak kadar yuran.

Ini kerana jika kita mengenakan yuran, maka ia akan menghalang sesetengah orang daripada belajar agama. Sedangkan belajar agama itu wajib. Kalau diletakkan yuran, maka hanya orang yang mampu sahaja boleh belajar. Adakah patut orang miskin terus menjadi jahil kerana tidak mampu untuk membayar yuran kelas? Ini tidak patut kerana semua manusia patut belajar agama, dan bagi yang ada ilmu wajib menyampaikannya. Sampaikan Allah ﷻ beritahu jangan semua mukmin pergi berjihad, kena ada yang perlu mendalami agama dan kemudian menyampaikannya kepada manusia. Ini Allah ﷻ sebut dalam Tawbah:122

وَما كانَ المُؤمِنونَ لِيَنفِروا كافَّةً ۚ فَلَولا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرقَةٍ مِنهُم طائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهوا فِي الدّينِ وَلِيُنذِروا قَومَهُم إِذا رَجَعوا إِلَيهِم لَعَلَّهُم يَحذَرونَ
Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi daripada tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.

Akan tetapi bagaimana kalau kita mengenakan yuran dan ada yang tidak mampu membayarnya? Adakah mereka itu tidak dapat belajar? Lihat apa Allah ﷻ firman dalam Thur:40

أَم تَسأَلُهُم أَجرًا فَهُم مِّن مَّغرَمٍ مُّثقَلونَ
Ataukah kamu meminta upah kepada mereka sehingga mereka dibebani dengan hutang?

Maknanya kalau kita mengenakan yuran belajar, ditakuti pelajar menjadi berat pula untuk belajar. Namun begitu jikalau ada pelajar yang menghulurkan hadiah, maka ada pendapat mengatakan bolehlah diterima. Rezeki jangan ditolak. Tambahan pula yang memberi itu hendak menunjukkan kesyukuran mereka terhadap ilmu yang kita sampaikan. Akan tetapi jikalau itu pun kita tidak terima, maka lebih baik lagi kerana ia dapat menjaga hati kita supaya terus ikhlas mengajar. Terdapat ada sebuah hadith yang menakutkan tentang menerima hadiah kerana mengajar:

عَنْ مُغِيرَةَ بْنِ زِيَادٍ عَنْ عُبَادَةَ بْنِ نُسَيٍّ عَنْ الْأَسْوَدِ بْنِ ثَعْلَبَةَ عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ قَالَ عَلَّمْتُ نَاسًا مِنْ أَهْلِ الصُّفَّةِ الْكِتَابَ وَالْقُرْآنَ فَأَهْدَى إِلَيَّ رَجُلٌ مِنْهُمْ قَوْسًا فَقُلْتُ لَيْسَتْ بِمَالٍ وَأَرْمِي عَنْهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ لَآتِيَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَأَسْأَلَنَّهُ فَأَتَيْتُهُ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ رَجُلٌ أَهْدَى إِلَيَّ قَوْسًا مِمَّنْ كُنْتُ أُعَلِّمُهُ الْكِتَابَ وَالْقُرْآنَ وَلَيْسَتْ بِمَالٍ وَأَرْمِي عَنْهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ قَالَ إِنْ كُنْتَ تُحِبُّ أَنْ تُطَوَّقَ طَوْقًا مِنْ نَارٍ فَاقْبَلْهَا
Daripada ‘Ubadah bin Ash Shamit dia berkata; aku mengajari orang-orang ahli Shuffah kitab dan Al-Qur’an, kemudian seseorang di antara mereka memberiku hadiah sebuah busur panah. Kemudian aku katakan; busur bukanlah sebuah harta, dan aku akan menggunakannya untuk memanah di jalan Allah عَزَّ وَجَلَّ. Sungguh aku akan datang kepada Rasulullah ﷺ dan bertanya kepada baginda. Kemudian aku datang kepada baginda dan aku katakan; wahai Rasulullah, seorang laki-laki di antara orang-orang yang aku ajari menulis dan membaca telah memberiku hadiah satu busur panah, dan busur bukanlah merupakan harta dan aku akan menggunakannya untuk memanah di jalan Allah ﷻ. Baginda berkata: “Apabila engkau ingin dikalungi dengan kalung daripada api maka terimalah!”
(Riwayat Abu Daud No. 2964)
Status: sahih

Walau bagaimanapun tidaklah patut jika kita menghalang orang lain daripada menerima sumbangan pelajar. Ini kerana ada dalam kalangan para guru agama yang tidak mempunyai pekerjaan tetap yang lain. Maka mereka memerlukan juga sumbangan daripada pelajar. Maka jika perlu, ambillah, jika tidak, tolaklah dengan cara baik. Cuma jangan ditetapkan bayaran yuran itu. Sekiranya ada yang belajar secara percuma, maka biarkan mereka dan tetap ajar juga mereka. Allah ﷻ akan beri rezeki dengan cara lain. Jangan kita lebihkan dunia ini dan Allah ﷻ telah nasihat kita dalam A’la:16-17

بَل تُؤثِرونَ الحَياةَ الدُّنيا
Tetapi kamu memilih kehidupan duniawi.

وَالآخِرَةُ خَيرٌ وَأَبقىٰ
Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.

Sebenarnya masalah ini dapat diselesaikan dengan mudah jikalau pihak kerajaan sendiri memberi upah kepada para guru agama. Ini seperti yang dilakukan oleh Khalifah Umar رضي الله عنه ketika zaman pemerintahannya. Akan tetapi malangnya asatizah Sunnah susah untuk mendapat mendapat tempat mengajar secara rasmi, maka mereka tidak mendapat upah daripada kerajaan. Namun begitu ajaran Sunnah perlu disampaikan. Kerana itu kalau diperhatikan, asatizah Sunnah tidak menetapkan bayaran dan tidak menerima upah kerana mereka amat faham tentang hal ini. Kalau diberikan sumbangan pun, ada yang memasukkan ke dalam tabung masjid/surau.

Mungkin ada yang berhujah: berhibur dengar lagu pergi konsert, menonton wayang dan sebagainya pun kena bayar, maka kalau kelas pengajian tentulah lebih patut dikenakan bayar, sebab belajar agama. Ini hujah yang salah kerana menyamakan kelas pengajian agama dengan majlis maksiat pula. Amat sempit perbandingan ini. Tentulah jauh bezanya bagaikan langit dengan bumi.

Ada juga berhujah, perlu diletakkan yuran sebagai komitmen. Mereka kata kalau tidak ada bayaran, pelajar tidak menghargai apa yang mereka belajar (sebab dapat percuma). Ini pun tidak benar. Komitmen atau tidak bukan berlandaskan wang ringgit. Sekiranya orang yang menghargai ilmu, mereka akan tetap hargai ilmu itu dan jika guru agama tidak mengambil upah dan mengajar dengan ikhlas, semoga dengan keikhlasannya itu menyebabkan ajarannya itu sampai masuk ke dalam hati pelajar (kerana ia disampaikan dengan ikhlas). Kerana itu penting untuk menjaga hati kita supaya ikhlas dalam mengajar. Ini dapat dijaga kalau tidak mengambil bayaran. Kalau tidak, hati akan teringat-ingat ‘Berapa banyak mereka akan beri aku selepas ini’?

 

وَأُمِرْتُ أَنْ أَكُونَ مِنَ الْمُسْلِمِينَ

dan aku pula diperintahkan supaya menjadi daripada orang-orang Islam”.

Menjadi seorang Muslim bermaksud berserah diri kepada Allah ﷻ dengan mengesakan-Nya. Maka Muslimin di sini bermaksud Muwahhidin. Iaitu, tidak kira apa yang mereka hendak lakukan kepada baginda, baginda akan berserah kepada Allah ﷻ semata.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 24 Jun 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah Yunus Ayat 71 – 72 (Kisah Nabi Nuh عليه السلام)”

Leave a comment