AMARAN KEPADA ORANG KAFIR
Kahf Ayat 29:
وَقُلِ الحَقُّ مِن رَّبِّكُم ۖ فَمَن شاءَ فَليُؤمِن وَمَن شاءَ فَليَكفُر ۚ إِنّا أَعتَدنا لِلظّٰلِمينَ نارًا أَحاطَ بِهِم سُرادِقُها ۚ وَإِن يَستَغيثوا يُغاثوا بِماءٍ كَالمُهلِ يَشوِي الوُجوهَ ۚ بِئسَ الشَّرابُ وَساءَت مُرتَفَقًا
Sahih International
And say, “The truth is from your Lord, so whoever wills – let him believe; and whoever wills – let him disbelieve.” Indeed, We have prepared for the wrongdoers a fire whose walls will surround them. And if they call for relief, they will be relieved with water like murky oil, which scalds [their] faces. Wretched is the drink, and evil is the resting place.
Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya”. Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang.
وَقُلِ الْحَقُّ مِنْ رَّبِّكُمْ
Dan katakanlah kebenaran itu datang daripada Tuhan kamu;
Nilai-nilai yang disebut sebelum ini tidak boleh diubah atau diabaikan. Dari segi bahasa ٱلحَقُّ adalah sesuatu yang tetap dan mantap tidak berubah-ubah. Ini seperti Allah ﷻ itu satu, azab kubur, syurga neraka dan lain-lain perkara yang telah disebut di dalam wahyu. Sedangkan ٱلبَـٰطِلُ pula adalah lawan kepada ٱلحَقُّ iaitu sesuatu yang sentiasa berubah-ubah. Perkara yang bathil seperti syirik dan bid’ah sentiasa berubah-ubah. Lihatlah fahaman syirik dan bid’ah yang tidak tetap. Sekejap mereka buat begini, kemudian mereka tukar pula kepada amalan yang lain, bukan?
Firman-firman-Nya pun adalah haq yakni tidak berubah-ubah. Kebenaran yang tidak bersumber daripada Allah ﷻ, sifatnya relatif, boleh jadi hari ini benar dan esok boleh jadi salah. Boleh jadi juga sebahagian kandungannya benar dan sebahagian lainnya keliru. Sesuatu yang diragukan tidaklah bersifat haq, kerana ia tidak mantap di hati, demikian juga kebatilan, kerana kebatilan pasti lenyap, cepat atau lambat.
Kebenaran itu bukan datang daripada kita tetapi daripada Allah ﷻ. Apabila Nabi ﷺ menolak permintaan mereka (Pendeta Yahudi dan Pemuka Quraish) supaya Nabi ﷺ hanya melayan mereka sahaja, lalu Nabi ﷺ disuruh memberitahu bahawa kebenaran itu daripada Allah ﷻ. Nabi ﷺ tidak memerlukan mereka. Islam tidak memerlukan sokongan dan harta mereka. Maka sebutkan dan sampaikan sahaja kebenaran daripada Allah ﷻ itu. Terpulang siapa yang mahu ikut atau tidak kerana kebenaran bukan hanya milik orang kaya sahaja, malah sesiapa sahaja layak untuk mendapat kebenaran.
فَمَنْ شَاءَ فَلْيُؤْمِنْ
Maka sesiapa yang hendak beriman, berimanlah.
Manusia telah diberikan pilihan untuk memilih jalan sendiri. Manusia bukan seperti malaikat yang tidak ada pilihan untuk tidak taat. Maka sekiranya manusia hendak memilih jalan yang salah, memang boleh. Kalau mereka hendak beriman, maka bagus bagi mereka. Allah ﷻ tidak memaksa iman ke atas manusia dan jin.
وَمَنْ شَاءَ فَلْيَكْفُرْ
dan sesiapa yang ingin kafir, maka kafirlah;
Akan tetapi kalau manusia memilih hendak menjadi ingkar, maka silakan. Namun jangan salah faham pula. Ayat ini sebenarnya adalah ancaman keras. Bukan untuk memberi kebenaran kepada manusia untuk menjadi kafir pula. Ini adalah ayat dalam bentuk sindiran. Kalau tidak mahu beriman, terpulang kepada kamulah. Nanti hadaplah azab di akhirat kelak.
Ini seperti anak yang hendak bermain di luar rumah dalam hujan. Ayahnya tidak benarkan tetapi dia mahu juga. Maka ayahnya pun berkata: “Nak pergi sangat, pergilah!” Ini bukan kebenaran sebenarnya, tetapi ancaman. Kalau anak itu pergi juga, siaplah dia.
إِنَّا أَعْتَدْنَا لِلظَّٰلِمِينَ نَارًا
Sesungguhnya Kami sediakan api Neraka kepada orang yang buat syirik itu;
Ini adalah Takhwif ukhrawi (Penakutan dengan azab akhirat). Memang manusia boleh memilih untuk menjadi kafir, tetapi ada ancamannya. Kalau kamu kufur, maka tempat kamu adalah di neraka.
Dalam ayat ini digunakan kalimah ‘zalim’. Zalim dalam ayat ini bermaksud melakukan syirik. Ini adalah kerana syirik adalah kezaliman yang paling besar.
Bukan Allah ﷻ ‘akan sediakan’ neraka itu tetapi Allah ﷻ sudah sediakan siap-siap api neraka itu. Maknanya neraka memang sudah ada. Ini adalah dalil yang syurga neraka sudah ada.
Lihatlah bagaimana mereka yang ingkar diancam dengan api neraka. Allah ﷻ sahaja yang boleh buat begini. Kalau kita berniaga, dan pelanggan hampir meninggalkan kita, kita akan tawar dia bermacam-macam perkara tambahan untuk dia terus membeli, bukan? Takkan kita mahu marah dia pula, bukan? Namun lihatlah bagaimana Allah ﷻ melayan mereka. Allah ﷻ tidak perlu tawarkan kebaikan kepada mereka, sebaliknya Allah ﷻ ancam mereka kalau mereka tidak terima. Ini kerana agama ini bukanlah barang murah yang boleh ditawar-tawar lagi. Kalau kamu tidak mahu, maka inilah ancamannya.
Ayat seterusnya menerangkan apakah api neraka itu.
أَحَاطَ بِهِمْ سُرَادِقُهَا
yang gelegaknya akan meliputinya seperti dinding;
Allah ﷻ menceritakan kedahsyatan neraka itu. Ia dipenuhi dengan api sahaja. Di atas, bawah dan tepi mereka akan diliputi oleh api neraka. Dindingnya, atap dan bawahnya adalah daripada api. Maka tidak ada tempat untuk lari dan selamatkan diri. Kemudian orang itu dibakar dengan api pula. Semuanya api belaka. Ini kerana kalimah سُرَادِقُ bermaksud khemah yang tidak ada atap.
Kalimah سُرَادِقُ berasal daripada bahasa Parsi (ya ada kalimat di dalam Al-Qur’an menggunakan bahasa Parsi). Selain daripada khemah, ia juga bermaksud penghalang yang menghalang orang daripada memasuki rumah atau khemah. Dalam kes neraka ini, ia menghalang penghuni neraka daripada keluar dan juga menghalang sesiapa untuk membantu. Biasanya rumah-rumah yang سُرَادِقُ adalah kepunyaan orang kaya-kaya. Maka terdapat sindiran kepada orang kaya yang menentang kebenaran di sini.
وَإِنْ يَسْتَغِيثُوا
Dan jika mereka minta minum;
Ahli neraka akan dahaga sentiasa semenjak mereka masuk ke dalam neraka dan kehausan mereka itu tidak akan hilang sampai bila-bila. Maka tentulah mereka akan meminta air kerana mereka dahaga sangat. Mereka terpaksa minta air itu selama seribu tahun barulah malaikat penjaga Neraka menoleh tanya apa yang mereka hendak.
يُغَاثُوا بِمَاءٍ كَالْمُهْلِ
mereka diberi minum dengan air yang seperti besi cair yang mendidih;
Mereka akan diberi minum tetapi bukan dengan air yang dapat menghilangkan dahaga. Mereka akan diberikan dengan air menggelegak atau tembaga cair yang mendidih. Adakah mereka sanggup meminumnya? Air itu kelihatan seperti kerak minyak besi. Maknanya air minuman pun menjadi azab juga buat mereka!
يَشْوِي الْوُجُوهَ
yang menghancurkan muka;
Ia terlampau panas sampai hangus muka sesiapa yang hendak meminumnya. Ini belum masuk ke dalam mulut lagi. Padahal kulit muka di neraka itu bukan seperti kulit muka kita yang di dunia ini. Sebelum masuk neraka, kulit telah dinaiktaraf setebal 42 hasta. Sudah tebal sebegitu pun boleh hancur lagi bila diberi minum dengan tembaga mendidih itu.
بِئْسَ الشَّرَابُ
Alangkah buruknya minuman itu;
Maka cubalah fikirkan dan bayangkan. Ini bukan air biasa tetapi air minuman yang paling teruk Allah ﷻ beri. Air itu bukannya mereka minum dengan senang hati, dengan rela, akan tetapi akan dipaksakan ke atas mereka kerana mereka sendiri yang asalnya meminta air, bukan? Nah inilah airnya!
وَسَاءَتْ مُرْتَفَقًا
Dan seburuk-buruk tempat berehat;
Kalimah مُرْتَفَقًا sebenarnya bermaksud tempat rehat. Allah ﷻ perli dengan sebut neraka itu adalah ‘tempat rehat’. Padahal, bukan. Sindiran ini seperti untuk banduan masuk penjara dan warden penjaga kata: “Ha masuklah bilik hotel 5 bintang kau ni….”. Mana mungkin ia menjadi tempat rehat kerana ahli neraka akan diseksa sejak mula masuk tanpa henti.
GANJARAN KEPADA ORANG BERIMAN
Kahf Ayat 30: Tabshir Ukhrawi (beri gembira dengan akhirat). Setelah diceritakan tentang ahli neraka, Allah ﷻ cerita tentang ahli syurga pula. Begitulah keseimbangan yang ada di dalam Al-Qur’an. Kalau hanya cerita tentang keburukan dan perkara yang menakutkan sahaja, maka hilanglah rahmat di dalam dakwah.
إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ إِنّا لا نُضيعُ أَجرَ مَن أَحسَنَ عَمَلًا
Sahih International
Indeed, those who have believed and done righteous deeds – indeed, We will not allow to be lost the reward of any who did well in deeds.
Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh sudah tetap Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya.
إِنَّ الَّذِينَ ءآمَنُوا
Sesungguhnya orang-orang yang beriman sempurna;
Orang yang ‘beriman sempurna’ adalah mereka yang tidak melakukan syirik. Tidak cukup dengan ‘beriman’ Sahaja kerana ada orang yang percaya dengan perkara-perkara yang perlu dipercayai seperti Allah, Rasul, Kitab dan sebagainya. Namun begitu dalam masa yang sama, mereka percaya pula kepada kuasa wali, boleh tawasul dengan mereka dan sebagainya. Maka ini adalah kepercayaan yang salah dan tidak beriman dengan ‘sempurna’.
Orang yang beriman sempurna akan menolak salah faham syirik ini daripada kehidupan mereka. Mereka tahu apa yang perlu diimani dan apa yang tidak perlu.
وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ
dan beramal soleh;
Iman bukan hanya di dalam hati dan cakap kosong sahaja, tetapi hendaklah ditunjukkan dengan amalan. Amalan itu mestilah amalan yang soleh (baik). Iaitu mereka melakukan amal ibadat yang betul-betul seperti yang Nabi ﷺ ajar. Kalau selain itu, itu adalah amal ibadat bid’ah dan amalan itu ditolak. Bukan sahaja sia-sia amalan itu, malah akan dimasukkan ke neraka kerana mengamalkan amalan ibadat yang salah. Ramai masyarakat kita senang sekali dengan jahilnya mengamalkan amalan-amalan bid’ah yang tidak ada dalil sandaran daripada Rasulullah ﷺ dan para sahabat.
إِنّا لا نُضيعُ أَجرَ مَن أَحسَنَ عَمَلًا
Sesungguhnya Kami tidak akan menyia-nyiakan pahala kepada orang yang berbuat baik;
Maknanya, Allah ﷻ akan balas amalan baik manusia. Tidaklah amalan baik kita ini percuma sahaja, melainkan akan dibalas dengan kebaikan. Pahala yang diberi adalah lebih baik daripada ibadat yang dibuat. Satu ibadat akan dibalas dengan sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda. Atau lebih lagi sampai tidak terkira banyaknya.
Kahf Ayat 31: Sambungan tabshir ukhrawi.
أُولٰئِكَ لَهُم جَنّٰتُ عَدنٍ تَجري مِن تَحتِهِمُ الأَنهٰرُ يُحَلَّونَ فيها مِن أَساوِرَ مِن ذَهَبٍ وَيَلبَسونَ ثِيابًا خُضرًا مِّن سُندُسٍ وَإِستَبرَقٍ مُّتَّكِئينَ فيها عَلَى الأَرائِكِ ۚ نِعمَ الثَّوابُ وَحَسُنَت مُرتَفَقًا
Sahih International
Those will have gardens of perpetual residence; beneath them rivers will flow. They will be adorned therein with bracelets of gold and will wear green garments of fine silk and brocade, reclining therein on adorned couches. Excellent is the reward, and good is the resting place.
Mereka itu, disediakan baginya syurga yang kekal, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan emas, dan memakai pakaian hijau dari sutera yang nipis dan sutera tebal yang bersulam; mereka berehat di dalamnya dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias). Demikian itulah balasan yang sebaik-baiknya dan demikian itulah Syurga tempat berehat yang semolek-moleknya.
أُولَٰئِكَ
Orang-orang yang seperti ini
Iaitu orang-orang yang mempunyai sifat-sifat seperti yang disebut sebelum ini. Mereka itu orang yang beriman sebenar dan beramal dengan amalan yang soleh. Semoga kita termasuk di dalam golongan ini.
لَهُمْ جَنّٰتُ عَدْنٍ
bagi mereka adalah syurga Ad’nin
Mereka akan mendapat nikmat dimasukkan ke dalam Syurga Ad’nin. Syurga ini disebut dalam bahasa Inggeris sebagai Eden. Maksudnya syurga yang kekal abadi.
تَجْرِي مِنْ تَحْتِهِمُ الْأَنْهٰرُ
yang mengalir di bawahnya anak-anak sungai;
Oleh kerana manusia suka kepada air, maka Allah ﷻ berikan suasana rumah yang ada air sungai di bawahnya. Ini tentunya hebat kerana orang Arab tidak ada sungai di tempat mereka. Apabila ada istana yang ada sungai, tentulah mereka amat suka sekali. Kalau kita hidup di Malaysia yang banyak sungai ini pun, bukannya senang hendak main sungai. Kena memandu pula ke kawasan yang jauh kerana selalunya sungai tempat orang berkelah duduknya di dalam hutan.
Maksud ‘di bawah’ mereka itu juga boleh bermaksud yang sungai-sungai itu (kalimah الْأَنْهٰرُ adalah dalam bentuk jamak, maka bukan hanya ada satu sungai sahaja, tetapi banyak) ‘di bawah perintah’. Maknanya penghuni syurga boleh memerintahkan sungai itu untuk lalu ikut laluan yang dia suka. Ini tentu tidak dapat dilakukan di dunia kerana sungai di dunia sudah tetap. Begitulah Allah ﷻ benarkan penghuni syurga untuk menghias sendiri sungainya. Maka penghuni syurga boleh mengarahkan sungai itu sama ada ikut laluan bawah, ikut laluan atas dan sebagainya.
Syurga itu adalah taman yang terlalu indah dan bukan hanya dipenuhi dengan pokok-pokok sahaja, malah ada sungai-sungai. Sungai-sungai itu pula mengalir di dalam syurga itu. Terlalu indah tidak dapat dibayang dek akal kita yang cetek ini. Tambahan pula kepada bangsa Arab waktu itu yang jarang dapat melihat sungai kerana tempat mereka hanya ada padang pasir sahaja. Maka ini sangat menarik perhatian mereka dan dapat memberi motivasi yang amat tinggi kepada mereka.
Allah ﷻ banyak kali menyebut tentang sungai-sungai di dalam Al-Qur’an untuk memberitahu motivasi kepada kita untuk beriman dan beramal. Ini kerana manusia memang sukakan air seperti sungai. Ramai yang suka berkelah di sungai tetapi kena pergi jauh sebab sungai selalunya jauh dari tempat tinggal kita. Apatah lagi orang Arab yang mungkin tidak pernah melihat sungai pun, dengar cerita sahaja. Maka Allah ﷻ hendak menarik perhatian manusia.
Di sini tidak disebut apakah jenis sungai itu tetapi disebut di dalam ayat yang lain iaitu Muhammad: 15
فيها أَنهارٌ مِّن مّاءٍ غَيرِ ءآسِنٍ وَأَنهٰرٌ مِّن لَّبَنٍ لَّم يَتَغَيَّر طَعمُهُ وَأَنهٰرٌ مِّن خَمرٍ لَّذَّةٍ لِّلشّٰرِبينَ وَأَنهٰرٌ مِّن عَسَلٍ مُّصَفًّى
ada sungai-sungai daripada air yang tiada berubah rasa dan baunya, sungai-sungai daripada air susu yang tidak berubah rasanya, sungai-sungai daripada khamr yang lazat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai daripada madu yang disaring
Cerita tentang sungai ini pun sudah hebat kerana ia tidak sama dengan sungai di dunia ini. Ini semua untuk menaikkan semangat kita untuk memasuki syurga.
يُحَلَّوْنَ فِيهَا مِنْ أَسَاوِرَ مِنْ ذَهَبٍ
Mereka akan dipakaikan dengan perhiasan daripada gelang-gelang emas;
Setelah Allah ﷻ menceritakan tentang istana dan kawasan sekitar, Allah ﷻ sebut tentang perhiasan bagi penghuni syurga itu. Mereka akan diberikan dengan أَسَاوِرَ (jamak bagi سِوَارٌ) iaitu gelang perhiasan yang amat-amat indah. Kalimah yang digunakan adalah يُحَلَّوْنَ bermaksud mereka akan dipakaikan, bukan pakai sendiri. Bidadari akan pakaikan sebagai tanda kehebatan, bagaikan raja yang dipakaikan perhiasan oleh pelayan mereka. Maka Allah ﷻ beritahu yang mereka itu akan dihiaskan dengan emas, iaitu emas dari syurga. Apabila digunakan kalimah jamak, bermaksud mereka memakai banyak gelang dan berbagai jenis.
Ini bukanlah emas dunia kerana kualitinya tidak sama dengan emas di dunia. Emas dunia hanyalah tiruan emas syurga sahaja. Begitu juga dengan sutera di dunia, hanya tiruan dari syurga sahaja. Maknanya, yang dari syurga itu lebih baik lagi. Di dalam ayat ini disebut gelang daripada emas, sedangkan di dalam Insan: 21 disebut gelang daripada perak pula. Begitulah keadaan penghuni syurga yang dapat memakai gelang dan perhiasan daripada jenis emas dan juga perak.
وَحُلّوا أَساوِرَ مِن فِضَّةٍ
dan dipakaikan kepada mereka gelang terbuat daripada perak
Mungkin ada yang berhujah, dia lelaki maka tidak memakai pun perhiasan gelang-gelang ini semua. Malah kalau dia pakai perhiasan sebegitu sekarang, ia akan nampak pelik sangat dan tidak sesuai pula bagi lelaki untuk memakai perhiasan sebegitu. Malah dilarang oleh agama, bukan? Jawapannya, itu semua adalah untuk situasi di dunia, belum lagi di dalam syurga. Pemakaian perhiasan bergantung kepada tempat dan juga kepada masa. Dalam syurga nanti memang tidak buat kerja, memang berhias dan melepak sahaja. Manakala perhiasan pun tidak sama dengan perhiasan di dunia. Dengan segala istana dan kemewahan di syurga, pemakaian perhiasan gelang sebegitu adalah amat sesuai. Waktu itu dia akan suka untuk memakai perhiasan daripada gelang emas. Di syurga nanti, larangan di dunia sudah tidak ada. Kerana itulah juga lelaki boleh memakai pakaian barangan emas dan juga memakai pakaian sutera.
وَيَلْبَسُونَ ثِيَابًا خُضْرًا مِّنْ سُنْدُسٍ
Dan mereka akan memakai pakaian warna hijau daripada sutera halus
Ahli syurga akan diberikan pakaian daripada sutera. Pakaian sebegini selalunya di dunia akan dipakai oleh raja-raja sahaja. Di syurga nanti, semua penghuni syurga akan dilayan seperti raja, malah lebih lagi. Pakaian daripada sutera memberi isyarat yang ahli syurga tidak bekerja kerana hanya orang tidak bekerja sahaja yang memakai sutera. Ini kerana tidak ada lagi kerja di syurga, malah tidak ada amal ibadat pun lagi yang perlu dilakukan.
Sutera itu pula berwarna hijau kerana memang fitrah manusia sukakan warna hijau. Sebab itu tumbuhan banyaknya warna hijau. Sila perhatikan, kalau kita melalui kawasan yang menghijau, hati dan mata kita pasti akan tenang.
وَإِسْتَبْرَقٍ
dan daripada sutera tebal;
Mereka akan diberikan persalinan sutera sebanyak 70 helai. Tadi disebut sutera halus dan sekarang disebut sutera tebal pula. Maksudnya bahagian dalam pakaian mereka adalah daripada sutera tebal dan bahagian luar dipakaikan dengan sutera halus.
Atau, ia boleh bermaksud sutera tebal digunakan untuk seluar dan sutera halus untuk baju. Sebagaimana di dunia pun sekarang kita pakai untuk seluar dengan kain yang kasar sedikit dan untuk baju pula menggunakan kain yang lembut supaya sesuai dengan badan.
مُّتَّكِئِينَ فِيهَا عَلَى الْأَرَائِكِ
Mereka bersandar di dalam syurga itu, di atas pelamin-pelamin;
Tadi telah disebut pakaian, sekarang disebut cara duduk ahli syurga pula. Ahli syurga akan berehat di atas tempat duduk mereka dalam keadaan duduk bersenggeng. Maksudnya duduk berehat dengan senang lenang kerana tidak ada kerja dan ibadat lagi. Mereka hanya duduk menikmati segala nikmat dalam syurga sampai melihat segala harta mereka dalam syurga. Mereka duduk dengan tenang sahaja.
نِعْمَ الثَّوَابُ
Sebaik-baik balasan yang diberi;
Itulah sebaik-baik pemberian balasan yang Allah ﷻ berikan kepada penghuni syurga di atas usaha dan amal mereka semasa di dunia. Mereka memang layak mendapatnya.
وَحَسُنَتْ مُرْتَفَقًا
Seindah-indah tempat berehat;
Ini barulah benar-benar tempat berehat. Bandingkan dengan neraka yang bukan tempat berehat. Memang di syurga dapat rehat dengan serehat-rehatnya. Tidak ada kerja dan tidak ada ibadat lagi. Ini juga memberi isyarat yang semasa kita di dunia, kita kena bekerja. Waktu berehat nanti akan ada di syurga. Sebaik-baik pekerjaan kita di dunia adalah sebagai pendakwah. Kalau kerja lain, sampai masanya akan pencen, tetapi kerja sebagai pendakwah tidak ada pencen.
Habis bahagian pertama Surah Kahfi ini berkenaan Pemuda Kahfi. Ada 4 cerita dalam surah ini dan kita sudah habiskan cerita yang pertama.
Sekian Ruku’ 4 daripada 12 ruku’ surah ini.
KISAH 2: DUA ORANG PEMILIK KEBUN
Kahf Ayat 32: Sekarang kita masuk dalam kisah yang kedua. Semua sekali ada 4 kisah besar dalam surah ini. Ini adalah kisah tentang satu orang kafir yang menjadi kaya raya hasil daripada bertani dan berniaga. Kekayaan yang didapati oleh lelaki yang disebut dalam ayat ini adalah hebat.
Bermula ayat ini sehingga ke ayat 59 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia memberi contoh perbezaan sikap di antara dua orang yang ada iman dan seorang lagi tidak ada iman. Allah ﷻ juga hendak bezakan dengan orang yang tidak berharta dan tentang harta yang diusahakan.
Sebelum ini telah disampaikan tentang penghuni neraka dan penghuni syurga. Sekarang Allah ﷻ memberi contoh apa yang berlaku dalam dunia ini sekarang. Allah ﷻ hendak memberitahu yang manusia rosak akidah kerana cintakan dunia.
۞ وَاضرِب لَهُم مَّثَلًا رَّجُلَينِ جَعَلنا لِأَحَدِهِما جَنَّتَينِ مِن أَعنٰبٍ وَحَفَفنٰهُما بِنَخلٍ وَجَعَلنا بَينَهُما زَرعًا
Sahih International
And present to them an example of two men: We granted to one of them two gardens of grapevines, and We bordered them with palm trees and placed between them [fields of] crops.
Dan berikanlah kepada mereka satu contoh: Dua orang lelaki, Kami adakan bagi salah seorang di antaranya, dua buah kebun anggur; dan Kami kelilingi kebun-kebun itu dengan pohon-pohon tamar, serta Kami jadikan di antara keduanya, jenis-jenis tanaman yang lain.
وَاضْرِبْ لَهُمْ مَّثَلًا
Dan buatlah satu contoh bandingan kepada mereka;
Satu contoh bandingan mestilah sesuatu yang boleh dikaitkan dengan keadaan semasa. Apa yang Allah ﷻ sampaikan ini adalah perkara yang terjadi pada zaman dulu tETapi boleh dikaitkan dengan zaman sekarang. Mereka yang dimaksudkan di dalam ayat ini pertamanya adalah golongan Arab Mekah. Al-Qur’an memberikan pengajaran yang relevan dengan keadaan semasa. Tidaklah Al-Qur’an ini sesuatu yang jumud walaupun ia telah diturunkan lebih daripada seribu tahun dahulu. Maka jangan kata Al-Qur’an ini tidak sesuai untuk zaman sekarang.
Salah satu cara pengajaran Al-Qur’an adalah menggunakan perumpamaan kerana dengan bentuk perumpamaan, manusia akan lebih faham sesuatu penerangan. Oleh itu memang sedih dan bahaya kalau tidak tahu misalan yang Allah ﷻ berikan dalam Al-Qur’an. Sebahagian ulama Salaf mengatakan, “Apabila aku membaca suatu masal (perumpamaan) dari Al-Qur’an, lalu aku tidak memahaminya, maka aku menangisi diriku sendiri, kerana Allah ﷻ telah berfirman: ‘dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.’ (Ankabut: 43).”
وَتِلكَ الأَمثٰلُ نَضرِبُها لِلنّاسِ ۖ وَما يَعقِلُها إِلَّا العٰلِمونَ
Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buat untuk manusia; dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.
Malangnya orang kita rata-ratanya tidak kisah pun. Jangankan perumpamaan, ayat-ayat yang muhkam tanpa perumpamaan pun mereka tidak faham. Ramai yang baca sahaja tanpa faham sebutir habuk pun apa yang ada dalam Al-Qur’an itu. Lalu bagaimanakah hendak mengambil hidayah daripadanya?
Dunia memandang kejayaan seseorang manusia itu daripada kekayaan mereka. Begitulah dunia dulu dan sekarang pun. Kalau orang ada harta, kita pandang tinggi padanya. Kalau seseorang itu kaya, kadang-kadang ada yang bangga diri. Sampai mereka memandang rendah kepada orang lain. Padahal, apa yang mereka ada itu, semuanya daripada Allah ﷻ.
رَّجُلَيْنِ
Tentang dua orang lelaki;
Allah ﷻ menceritakan tentang situasi ini dengan memberikan perumpamaan dua orang lelaki yang berjiran. Seorang kaya dan seorang miskin. Seorang yang kufur dan seorang lagi seorang mukmin. Ada juga yang kata dua-dua orang itu adalah Muslim. Cuma seorang yang baik, seorang tidak.
جَعَلْنَا لِأَحَدِهِمَا
Kami jadikan bagi salah seorang dari keduanya;
Sekarang Allah ﷻ sampaikan kisah lelaki pertama. Iaitu salah seorang daripada dua orang lelaki yang disebut dalam kisah ini. Lelaki ini bukan seorang yang beriman.
Dalam ayat ini, digunakan perkataan جَعَلْنَا (Kami jadikan) – bermakna, Allah ﷻ kata Dia yang jadikan. Allah ﷻ mengaitkan Diri-Nya yang menjadikan kebun-kebun itu. Kalau Allah ﷻ yang menjadikan, tentulah kebun-kebun itu adalah hebat sekali.
جَنَّتَيْنِ مِنْ أَعْنٰبٍ
dua buah kebun anggur;
Apabila Allah ﷻ kata Dia berikan dua kebun, mengikut riwayatnya, dalam kebun itu ada 70 jenis anggur pula. Ini adalah satu nikmat daripada Allah ﷻ yang besar. Sebab kebun anggur adalah susah untuk dijaga. Kalau di negara barat sekarang, dipanggil vineyard – dan jenis ladang ini adalah yang paling mahal sekali. Ini kerana anggur adalah buah yang boleh dijadikan makanan dan juga minuman. Ia boleh dimakan masa kering dan basah juga.
Oleh kerana menjaganya susah, maka memerlukan pekerja yang ramai. Bermakna, lelaki itu mempunyai banyak pekerja di bawahnya untuk menguruskan tanaman anggurnya itu. Maknanya, bukan sahaja dia mempunyai harta yang banyak, tetapi dia juga ada orang bawahan yang ramai.
Dalam ayat ini, Allah ﷻ hanya menyebut tentang apa yang telah diberikan kepada yang kaya sahaja. Bermakna yang seorang lagi itu hartanya tidak bernilai sampai tidak layak disebut pun.
وَحَفَفْنٰهُمَا بِنَخْلٍ
dan Kami kelilingkan dua kebun anggur itu dengan kebun-kebun kurma;
Sudahlah orang itu ada kebun anggur dengan 70 jenis anggur, sekarang Allah ﷻ sebut kebun anggur itu dikelilingi pula dengan kebun kurma. Kurma itu pun ada 70 jenis juga. Kurma juga buah yang hebat, yang boleh menjadi makanan ruji. Ini kerana kurma adalah makanan yang mengenyangkan. Ia boleh dimakan masa kering dan basah juga.
Maknanya, besar sangatlah kebunnya itu. Kebun kurma itu menutupi kebun anggurnya kerana tanaman anggur itu senang musnah, maka kebun kurma itu dijadikan sebagai pendinding daripada ditiup angin kuat. Malah kebun-kebun kurma itu pula boleh juga membuahkan hasil – bukan dijadikan sebagai pendinding sahaja. Sudahlah dia ada kebun anggur, Allah ﷻ jadikan ‘Security System’ lagi untuknya.
Sekali lagi ayat menyebut bahawa Dialah حَفَفْنَاهُمَا yang mengelilingkan kebun itu dengan kebun-kebun kurma. Maksudnya Allah ﷻ mahu mengingatkan yang Dia yang memberi nikmat itu. Bukannya orang itu dapat sendiri.
وَجَعَلْنَا بَيْنَهُمَا زَرْعًا
Dan Kami jadikan di antara dua kebun anggur dan kurma itu, tanaman lain;
Sudah disebut dua jenis tanaman yang orang itu ada dan sekarang Allah ﷻ sebut dia ada tanaman lain lagi. Ada yang kata tanaman yang dimaksudkan adalah ladang gandum atau jagung. Ladang itu pun tentunya membuahkan hasil bagi tuannya ini. Atau, tanaman dalam ladang ini menjadi makanan bagi ladang kurma dan anggurnya. Bayangkan betapa banyak hasil dia telah dapat.
Sekali lagi Allah ﷻ kata جَعَلْنَا ‘Kami yang menjadikan’. Allah ﷻ mengingatkan bahawa Dialah yang menjadikan. Maka ini mengingatkan kita yang apa sahaja nikmat harta yang kita ada, semuanya itu adalah pemberian daripada Allah ﷻ. Akan tetapi apabila kalimah جعل yang digunakan, bukan خلق, maka ia bermaksud ada keterlibatan usaha daripada makhluk juga.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 3 Jun 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Tafsir Jalalain
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Setiap ahli syurga akan menerima nikmat yg hebat2 didlm syurga ‘sendiri’ bersama bidadari.. adakah ahli neraka tinggal didlm nerakanya sendiri yg mana dia tinggal sorang saje didlmnya sptmana ahli syurga?? Sedangkan byk ayat Quran menyatakan ahli neraka berkumpul bersama2 dgn iblis yg mereka jdkan ‘Wali’ itu.. bole ustaz jelaskan
LikeLike
tidak. dalam neraka tak selesa, bersesak-sesak mereka di dalamnya. semakin banyak ahli neraka, semakin panas neraka itu kerana setiap orang adalah bahan bakar. sampaikan bila datang orang baru, yang otak akan marah orang yang baru datang. Ya antara masuk di dalam neraka itu adalah iblis dan syaitan sekali.
LikeLike