Tafsir Surah Baqarah Ayat 160 – 163 (Ancaman laknat Allah)

Baqarah Ayat 160: Maka, siapakah yang selamat dari laknat itu? Masihkah ada peluang kepada mereka yang telah dilaknat itu?

إِلَّا الَّذينَ تابوا وَأَصلَحوا وَبَيَّنوا فَأُولٰئِكَ أَتوبُ عَلَيهِم ۚ وَأَنَا التَّوّابُ الرَّحيمُ

Sahih International

Except for those who repent and correct themselves and make evident [what they concealed]. Those – I will accept their repentance, and I am the Accepting of repentance, the Merciful.

Malay

Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan memperbaiki, serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

 

إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا

Melainkan kepada orang-orang yang sudah bertaubat.

Mereka yang selamat daripada dilaknat itu adalah mereka yang sempat bertaubat semasa mereka hidup lagi. Kalau sudah mati, tidak sempat bertaubat, tidak ada gunanya. Mereka bertaubat daripada kesalahan mereka menyembunyikan ajaran-ajaran dari wahyu. Maknanya mereka mengaku kesalahan mereka. Tapi untuk mengaku itu kenalah sedar kesalahan yang mereka sedang buat. Masalahnya ramai yang tidak sedar kerana mereka tidak tahu bahawa apa yang mereka sedangkan lakukan itu adalah salah. Ini kerana rukun taubat itu antaranya mestilah mengaku salah, mesti ada rasa bersalah dan menyesal. Beginilah cara doa yang diamalkan oleh Nabi Yunus عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ketika baginda di dalam perut ikan seperti disebut di dalam Anbiya’: 87

وَذَا النّونِ إِذ ذَّهَبَ مُغٰضِبًا فَظَنَّ أَن لَّن نَّقدِرَ عَلَيهِ فَنادىٰ فِي الظُّلُمٰتِ أَن لّا إِلٰهَ إِلّا أَنتَ سُبحٰنَكَ إِنّي كُنتُ مِنَ الظّٰلِمينَ
Dan (ingatlah kisah) Dzun Nun (Yunus), ketika dia pergi dalam keadaan marah, lalu dia menyangka bahawa Kami tidak akan menyempitkannya (menyulitkannya), maka dia menyeru dalam keadaan yang sangat gelap: “Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim”.

 

وَأَصْلَحُوا

dan memperbaiki balik perbuatan mereka;

Selain dari bertaubat, mereka wajib memperbaiki amalan mereka. Maksudnya mereka tidak sembunyikan ilmu lagi dan bahkan mula mengajar (dan mula memberitahu). Mereka mesti sebut kebenaran, mereka sudah tidak kira sama ada manusia boleh terima atau tidak. Mereka sudah mula mengajar balik dan memberitahu kepada manusia tentang kebenaran. Kalau dahulu mereka telah ajar ajaran yang salah, mereka kena beritahu balik kepada orang yang mereka telah ajar itu yang dahulu mereka telah tersilap. Kalau pernah tulis kitab ajar ajaran yang salah, mereka kena tulis balik kitab lain yang membatalkan apa yang mereka pernah tulis dulu.

Antara yang perlu dilakukan adalah menegur kesalahan yang dilakukan umat di hadapan mata kita. Tidak boleh kita lihat sahaja dan tunjuk redha dengan kesalahan yang mereka sedang lakukan. Ini pun bahaya kerana kalau kita tidak tegur, manusia akan sangka yang ia tidak salah. Mereka boleh berhujah: “itu ustaz itu tengok sahaja tak tegur pun…. takkan salah kot!” Ingatlah pesan Rasulullah,

رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, bersabda: “Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran hendaklah dia mencegah kemungkaran itu dengan tangannya. jika tidak mampu, hendaklah mencegahnya dengan lisan, jika tidak mampu juga, hendaklah dia mencegahnya dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman.”
Sahih Muslim (70)

 

وَبَيَّنُوا

dan menjelaskan;

Juga hendaklah diberitahu apa yang benar kerana sebelum ini mereka sembunyikan, maka sekarang mereka kena beritahu kepada manusia. Kalau dahulu mereka sembunyikan, tetapi apabila mereka sudah bertaubat, mereka kena jelaskan kepada manusia. Kalau zaman kita, kita kena jelaskan isi kandung Al-Qur’an. Kalau kita tidak jelaskan, maknanya kita telah menyorok ayat-ayat Al-Qur’an.

Selalunya yang disembunyikan adalah tentang ayat-ayat tauhid dan tentang syirik kepada Allah ‎ﷻ. Amalan syirik yang banyak dibuat oleh manusia itu adalah kerana mereka yang berilmu telah sembunyikan ilmu itu daripada pengetahuan masyarakat.

Yang penting adalah kita memberikan penjelasan dengan tuntas dan senang difahami. Jangan kita pusing-pusing cakap sampaikan orang tidak faham. Dan hendaklah kita mengajar sampai mereka jelas. Dan antara cara untuk kita jelaskan adalah melihat tahap golongan pendengar itu. Kalau mereka orang yang berpelajaran, maka kita ajar yang tahap tinggi; kalau mereka baru belajar dan bertatih, maka kita ajar dengan bahasa yang mudah-mudah sahaja. Ini seperti yang dinasihatkan oleh Saidina Ali,

عن علي بن أبي طالب رضي الله عنه قال: حدثوا الناس بما يعرفون، أتريدون أن يُكذَّب اللهُ ورسولهُ؟
Dari Ali bin Abi Ṭalib -raḍiyallāhu ‘anhu-, dia berkata, “Berbicaralah dengan manusia sesuai dengan tingkat pemahaman mereka. Apakah kalian ingin Allah dan Rasul-Nya didustakan?”
[Sahih Bukhari no. 127, sahih mauquf]

 

فَأُولٰئِكَ أَتوبُ عَلَيهِم

Maka mereka yang bersifat seperti itu, Aku akan terima taubat mereka;

Setelah melakukan tiga perkara di atas, barulah Allah akan terima taubat mereka. Kalau setakat mengaku bersalah sahaja tapi tidak buat apa-apa, ia masih tidak diterima dan mereka masih tidak dikeluarkan dari laknat itu semua.

Maka ayat-ayat inilah yang memberi semangat kepada kita untuk menyampaikan ajaran tafsir Al-Qur’an kepada manusia. Walaupun berat, kita teruskan sahaja dan serahkan kepada Allah sahaja. Kita tidak kisah dengan kata-kata manusia kerana kita lebih pentingkan kehendak Allah ‎ﷻ. Maka jangan simpan apa yang ada dalam Al-Qur’an.

Namun bagaimana kita hendak sampaikan kalau kita sendiri tidak tahu tentang ajaran isi kandung Al-Qur’an? Bagaimana kalau kita sendiri tidak belajar tafsir? Maka, kita sendiri kena belajar terlebih dahulu. Apabila sudah belajar, kita sampaikan kepada orang lain. Kalau tidak mampu sampaikan, maka ajak mereka belajar sekali. Berkata hukamak:

فاقد الشيء لا يعطيه
Orang yang tidak memiliki sesuatu, tidak dapat memberi sesuatu itu.

Maka dari kata hukamak ini, orang yang tidak ada ilmu tidak perlulah hendak memandai mengajar atau menjawab soalan orang. Takut salah pula jawapan yang diberi. Ini tidak dikira menyembunyikan ilmu kerana memang tidak ada ilmu pun untuk diberi pada waktu itu. Juga kalau kita tahu jawapan, tapi ada orang lain yang lebih pandai lagi, berilah kepada orang lebih alim itu jawab. Begitu jugalah kalau soalan yang kita terima itu agak sukar, maka boleh minta tangguh untuk menjawab setelah merujuk kepada orang yang lebih tahu. Ini juga tidak dikira sebagai menyembunyikan ilmu.

 

وَأَنَا التَّوَّابُ

dan Akulah Penerima Taubat

Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan أَنَا (Aku) dalam ayat ini. Jarang Allah ‎ﷻ membahasakan Diri-Nya sebegini (menggunakan kata ganti diri yang pertama). Selalunya Allah ‎ﷻ akan membahasakan Diri-Nya dengan perkataan ‘Kami’. Allah ‎ﷻ akan menggunakan perkataan أَنَا itu jikalau Allah ‎ﷻ hendak menekankan Sifat-Nya yang Amat Menerima Taubat, atau dalam keadaan Amat Marah.

Perkataan التَّوَّابُ bermaksud ‘sentiasa’ menerima keampunan makhluk-Nya. Walaupun banyak kali kesalahan yang dibuat dan berkali-kali makhluk minta ampun atas kesalahan yang sama, Allah ‎ﷻ sanggup untuk menerima ampun itu dan memaafkan hamba-Nya yang sanggup untuk bertaubat kepada-Nya.

Kalimah التَّوَّابُ daripada kata ت و ب yang bermaksud kembali, taubat, berpaling dengan belas kasihan, menyesuaikan diri. Kata ini mengandungi makna bahawa yang kembali pernah berada pada satu posisi — baik tempat mahupun kedudukan — kemudian meninggalkan posisi itu, selanjutnya dengan “kembali” ia menuju kepada posisi itu semula. Sebagai contoh, Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pernah berada pada kedudukan yang rapat dengan Allah ﷻ, tetapi apabila baginda melakukan kesalahan, baginda telah menjauhkan diri baginda daripada Allah ﷻ. Maka dengan melakukan taubat, ia adalah perbuatan ‘kembali’ pada kedudukan yang sebelum itu, iaitu rapat dengan Allah ﷻ.

Sifat Allah ﷻ adalah التَّوَّابُ yang bermaksud Dia (Allah ﷻ) yang kembali berkali-kali menunjukkan cara yang memudahkan taubat untuk hamba-hamba-Nya, dengan jalan menampakkan tanda-tanda kebesaran-Nya, menyampaikan kepada mereka peringatan-peringatan-Nya, serta mengingat¬kan ancaman-ancaman-Nya, sehingga bila mereka telah sedar akan akibat buruk daripada dosa-dosa, dan merasa takut daripada ancaman-ancaman-Nya, mereka kembali (bertaubat) dan Allah ﷻ pun kembali kepada mereka dengan anugerah pengabulan. Maknanya, untuk seorang manusia bertaubat kepada Allah ﷻ, memerlukan juga rahmat daripada Allah ﷻ. Bukankah Allah ﷻ juga yang menggerakkan manusia itu untuk bertaubat?

Allah التَّوَّابُ bermaksud Dia berulang-ulang kembali kepada hamba-hamba-Nya, memberi mereka dorongan untuk bertaubat, dan berulang-ulang pula kembali untuk menerima taubat mereka, dalam erti melimpahkan rahmat-Nya. Allah ﷻ senang menerima taubat hamba-hamba-Nya. Ini seperti disebut di dalam sebuah hadith,

الَلَّهُ أَشَدُّ فَرَحًا بِتَوْبَةِ عَبْدِهِ حِينَ يَتُوبُ إِلَيْهِ مِنْ أَحَدِكُمْ كَانَ عَلَى رَاحِلَتِهِ بِأَرْضِ فَلاَةٍ فَانْفَلَتَتْ مِنْهُ وَعَلَيْهَا طَعَامُهُ وَشَرَابُهُ فَأَيِسَ مِنْهَا فَأَتَى شَجَرَةً فَاضْطَجَعَ فِى ظِلِّهَا قَدْ أَيِسَ مِنْ رَاحِلَتِهِ فَبَيْنَا هُوَ كَذَلِكَ إِذَا هُوَ بِهَا قَائِمَةً عِنْدَهُ فَأَخَذَ بِخِطَامِهَا ثُمَّ قَالَ مِنْ شِدَّةِ الْفَرَحِ اللَّهُمَّ أَنْتَ عَبْدِى وَأَنَا رَبُّكَ.أَخْطَأَ مِنْ شِدَّةِ الْفَرَحِ
“Sesungguhnya Allah sangat gembira dengan taubat hamba-Nya ketika dia bertaubat pada-Nya melebihi kegembiraan seseorang di antara kalian yang berada di atas kenderaannya dan berada di suatu tanah yang luas (padang pasir), kemudian haiwan yang ditungganginya lari meninggalkannya. Padahal pada haiwan tunggangannya itu ada bekalan makan dan minumnya. Sehingga dia pun menjadi putus asa. Kemudian dia mendatangi sebuah pohon dan tidur berbaring di bawah naungannya dalam keadaan hati yang telah berputus asa. Tiba-tiba ketika dia dalam keadaan seperti itu, kenderaannya tampak berdiri di sisinya, lalu dia mengambil ikatnya. Kerana sangat gembiranya, maka dia berkata, ‘Ya Allah, Engkau adalah hambaku dan aku adalah Rabb-Mu.’ Dia telah salah mengucapkan kerana terlalu gembiranya.”
(Sahih Muslim No. 2747)

 

الرَّحِيمُ

Maha Mengasihani;

Sesiapa yang telah diterima taubatnya, tidak akan diseksa di akhirat nanti. Allah ‎ﷻ akan belas kasihan kepada hamba itu. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ amat kasih kepada hamba-Nya. Allah ‎ﷻ tidak akan sanggup untuk mengazab orang yang telah diberi taubat oleh-Nya.

Allah ﷻ juga bersifat الرَّحِيمُ dan dinyatakan di sini untuk memberitahu bahawa walaupun seorang hamba itu telah melakukan kesilapan besar sehingga menyebabkan layak masuk ke dalam neraka, bukanlah bermaksud Allah ﷻ tidak menyayangi hambaNya itu. Tidak ada manusia yang Allah ﷻ hilangkan rahmah-Nya. Selagi kita masih hidup di dunia ini, Allah ﷻ masih menerima taubat kita.

Perangkaian kata التَّوَّابُ dengan الرَّحِيمُ memberi gambaran yang lebih sempurna kerana pengampunan yang dianugerahkan Allah ﷻ itu, tidak terlepas daripada rahmat kasih sayang-Nya. Tanpa kasih sayang itu, boleh sahaja Dia menghukum manusia atas kesalahan yang telah dilakukannya atau sekadar meringankan hukumnya. Akan tetapi Allah ﷻ boleh ampunkan terus dosa kesalahan itu.

Selepas Allah ﷻ sebut sifatnya yang sanggup menerima taubat (التَّوَّابُ) Allah ﷻ selalu sebut sifat رَحِيمٌ. Ini sebenarnya memberi motivasi kepada kita untuk segera bertaubat. Apabila kita bertaubat, Allah ﷻ akan memasukkan kita ke dalam rahmah-Nya. Maka untuk segera dapat rahmah, maka bersegeralah meminta ampun. Perumpamaannya begini, katakanlah kita ada berbuat salah dengan seorang yang kaya. Kemudian dia kata kalau kita meminta maaf kepadanya, bukan sahaja dia akan maafkan kita, tetapi dia juga akan hadiahkan kita sebuah kereta BMW baru! Apa kita akan buat kalau begitu? Tentulah kita akan segera meminta maaf, bukan?


 

Baqarah Ayat 161:  Di atas telah diberitahu yang pintu taubat terbuka, namun bagaimana nasib mereka yang tidak sempat bertaubat dan tidak sempat memperjelaskan kebenaran kepada manusia?

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا وَماتوا وَهُم كُفّارٌ أُولٰئِكَ عَلَيهِم لَعنَةُ اللَّهِ وَٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةِ وَالنّاسِ أَجمَعينَ

Sahih International

Indeed, those who disbelieve and die while they are disbelievers – upon them will be the curse of Allah and of the angels and the people, all together,

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang kafir, dan mereka mati sedang mereka tetap dalam keadaan kafir, mereka itulah orang-orang yang ditimpa laknat Allah dan malaikat serta manusia sekaliannya.

 

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا

Sesungguhnya orang-orang yang masih lagi engkar;

Iaitu mereka yang tidak sebar pembongkaran syirik yang dibuat oleh manusia. ‘Kufur’ dalam ayat ini bermaksud mereka yang masih lagi tidak mahu bertaubat daripada menyembunyikan apa yang ada dalam Al-Qur’an. Masih lagi mereka menyembunyikan ajaran-ajaran dari Al-Qur’an itu. Setelah diberitahu kena sampaikan ajaran yang benar, mereka tetap tidak sampaikan. Mereka tidak sempat bertaubat dan mereka mati dalam keadaan engkar kepada arahan itu.

Oleh kerana mereka telah meninggalkan penyebaran wahyu Allah, maka ramai yang menentang kebenaran. Di dalam permulaan Surat al-Baqarah sudah juga diterangkan tentang kufur atau orang kafir. Puncak kekafiran adalah mengingkari adanya Allah, atau mempersekutukanNya dengan yang lain, atau tidak mahu percaya kepada adanya hari kemudian (Kiamat) atau tidak mahu mengakui wahyu, atau berkata tentang Allah dengan tidak ada pengetahuan. Pendeknya segala sikap menolak kebenaran yang dijalankan agama dan mempertahankan yang batil, yang telah diterangkan batilnya oleh agama.

 

وَماتوا وَهُم كُفّارٌ

dan mereka itu mati dan mereka dalam keadaan kufur

Mereka mati dan tidak sempat bertaubat. Oleh itu, ingatlah jangan kita tangguh-tangguhkan taubat kita kerana kita tidak tahu bila kita akan mati. Jangan kita dilengahkan oleh syaitan. Salah satu Talbis Iblis adalah Taswif (melengah-lengahkan). Kadangkala kita tahu mana yang benar, tetapi kita tangguh hendak buat. Ini memang ramai yang kena tipu, tunggu masa lapang, tunggu pencen, tunggu anak-anak sudah besar dan macam-macam lagi mereka tunggu, sampai akhirnya mati begitu sahaja.

Mereka mati itu dalam syirik; atau mereka mati itu tidak sempat beritahu kebenaran kepada manusia lain. Maksud ‘kufur’ bukanlah orang kafir sahaja, tetapi ‘kufur’ itu bermaksud ‘engkar’. Ramai orang yang kita tidak nampak mereka sebagai orang kafir kerana namanya seperti nama seorang Muslim akan tetapi mereka engkar dengan ayat-ayat wahyu Allah. Alangkah malangnya.

Mereka yang dilaknat itu ماتوا وَهُم كُفّارٌ. Akan tetapi kita tidak tahu siapakah yang mati dalam keadaan kufur. Kita tidak tahu dengan pasti kerana kita bukan Allah. Oleh kerana itu ulama’ mengatakan kita tidak boleh melaknat individu secara spesifik melainkan melaknat mereka secara umum sahaja. Dari hadis kita tahu yang Rasulullah pernah melaknat dengan menyebut nama-nama individu secara spesifik. Akan tetapi dibenarkan kepada baginda kerana baginda telah diberitahu secara wahyu tentang kekafiran orang kafir itu, dan kita tidak ada maklumat sebegitu. Jadi berhati-hati dalam kata-kata kita ya.

 

أُولٰئِكَ عَلَيهِم لَعنَةُ اللَّهِ

orang-orang yang bersifat seperti ini ke atas mereka laknat Allah;

Mereka tidak diberi rahmat Allah ‎ﷻ untuk masuk syurga. Tidak ada harapan untuk mereka masuk syurga. Padahal mereka mungkin tidak buat syirik. Namun salah mereka adalah mereka tidak beritahu kepada manusia. Mereka inilah yang dipanggil ‘syaitan bisu’. Inilah yang dipanggil Ulama Su’ (Ulama’ Jahat). Mereka ada ilmu tetapi tidak sampaikan.

Perhatikan perbezaan perkataan ‘laknat’ yang digunakan dalam ayat ini dan ayat sebelumnya. Dalam ayat sebelum ini, perkataan yang digunakan adalah يَلْعَنُهُمُ – melaknat – perkataan ini dalam bentuk kata kerja (verb) – bermakna, ia adalah dalam bentuk sementara. Kalau mereka bertaubat, maka Allah ‎ﷻ akan menerima taubat mereka. Namun dalam ayat ini, perkataan yang digunakan adalah لَعْنَةُ – laknat – dalam bentuk kata nama (noun) bermaksud ia sudah tetap. Tidak boleh diubah lagi kerana mereka sudah mati dan mereka tidak bertaubat semasa mereka hidup dahulu. Mereka tidak sempat memperbetulkan kesalahan yang mereka telah lakukan. Maknanya mereka jenis ini tidak ada harapan untuk mendapat taubat Allah ‎ﷻ sekarang. Tempat mereka adalah neraka jahannam. Mereka akan mendapat laknat sampai bila-bila.

 

وَٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةِ

dan (laknat )para malaikat

Para malaikat juga akan melaknat mereka yang sebegini. Ada malaikat yang Allah ﷻ jadikan khusus untuk kerja melaknat.

 

وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

dan (laknat) manusia semua sekali;

Orang yang tidak diberitahu kesalahan mereka semasa mereka di dunia dahulu pun akan laknat mereka yang menyimpan ilmu. Dia marah kita sebab kita ada dengan dia dahulu, tetapi tidak beritahu kepada mereka. Ibaratnya kita ada ubat yang mampu untuk mengubat kanser, tetapi kita tidak beritahu kepada orang lain. Kita simpan sendiri sahaja. Tentulah orang akan marah kita sebab kita simpan ubat itu. Apatah lagi penyakit yang lebih teruk daripada melakukan kesalahan dalam agama? Ia adalah lebih teruk daripada kanser. Kanser susah di dunia sahaja, tetapi kalau buat syirik akan susah dunia akhirat.

Ma’azallah, apakah nanti alasan kita di akhirat nanti apabila orang-orang yang mati kafir itu berhujjah bahawa kita tidak pernah beritahu mereka tentang Islam? Kita jiran mereka, kawan mereka, sahabat mereka, rakan sekerja mereka, tetapi kita tidak pernah beritahu kepada mereka tentang kebenaran. Mereka nanti akan kata ramai orang Islam yang mereka kenal, tetapi orang-orang Islam itu tidak pernah beritahu mereka tentang agama Islam yang indah ini. Sepatutnya kita menjadi duta kepada agama Islam.

Sekarang hidayah ini perlu disampaikan kepada seluruh manusia di dunia ini. Bagaimana dengan orang-orang yang tinggal di pulau yang tidak sampai maklumat kepada mereka? Bagaimana dengan mereka? Sebenarnya tugas kita untuk menyampaikan kepada mereka. Lihatlah ayat ini yang menyebut tentang keseluruhan manusia. Tugas kita sebagai Muslim untuk menyampaikan ajaran agama ini kepada manusia. Namun sudahkah kita menjalankan tugas kita ini? Bagaimana hendak dakwah kepada orang lain kalau ahli keluarga dan sahabat handai pun kita belum dakwah lagi?

Di dalam ayat ini disebut yang semua manusia akan melaknat. Bagaimana dengan orang-orang kafir? Takkan mereka hendak melaknat kumpulan mereka sendiri? Mereka sebenarnya nanti akan melaknat sesama sendiri di akhirat. Lihat A’raf:38

قالَ ادخُلوا في أُمَمٍ قَد خَلَت مِن قَبلِكُم مِّنَ الجِنِّ وَالإِنسِ فِي النّارِ ۖ كُلَّما دَخَلَت أُمَّةٌ لَّعَنَت أُختَها ۖ حَتّىٰ إِذَا ادّارَكوا فيها جَميعًا قالَت أُخرىٰهُم لِأولىٰهُم رَبَّنا هٰؤُلاءِ أَضَلّونا فَئآتِهِم عَذابًا ضِعفًا مِّنَ النّارِ ۖ قالَ لِكُلٍّ ضِعفٌ وَلٰكِن لّا تَعلَمونَ
Allah berfirman: “Masuklah kamu ke dalam neraka bersama-sama umat-umat yang terdahulu daripada kamu, dari jin dan manusia. Tiap-tiap satu umat yang masuk, mengutuk akan saudaranya (golongannya sendiri); hingga apabila mereka semua berhimpun di dalamnya, berkatalah golongan yang akhir mengenai golongan yang pertama di antara mereka: “Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang telah menyesatkan kami; oleh itu berilah kepada mereka azab seksa yang berlipat ganda dari (azab) neraka”. Allah berfirman: “Kamu masing-masing disediakan (azab seksa) yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahui”.

Lihat juga Ankabut:25

وَقالَ إِنَّمَا اتَّخَذتُم مِّن دونِ اللهِ أَوثٰنًا مَّوَدَّةَ بَينِكُم فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا ۖ ثُمَّ يَومَ القِيٰمَةِ يَكفُرُ بَعضُكُم بِبَعضٍ وَيَلعَنُ بَعضُكُم بَعضًا وَمَأوٰكُمُ النّارُ وَما لَكُم مِّن نّاصِرينَ
Dan berkata Ibrahim: “Sesungguhnya berhala-berhala yang kamu sembah selain Allah adalah untuk menciptakan perasaan kasih sayang di antara kamu dalam kehidupan dunia ini kemudian di hari kiamat sebahagian kamu mengingkari sebahagian (yang lain) dan sebahagian kamu melaknati sebahagian (yang lain); dan tempat kembalimu ialah neraka, dan sekali-kali tak ada bagimu para penolong pun.

Akan tetapi ada juga pendapat yang mengatakan النَّاسِ أَجْمَعِينَ bukanlah merujuk kepada semua manusia, akan tetapi kelompok manusia yang taat kepada Allah sahaja.


 

Baqarah Ayat 162:

خٰلِدينَ فيها ۖ لا يُخَفَّفُ عَنهُمُ العَذابُ وَلا هُم يُنظَرونَ

Sahih International

Abiding eternally therein. The punishment will not be lightened for them, nor will they be reprieved.

Malay

Mereka kekal di dalam laknat itu, tidak diringankan azab sengsara dari mereka dan mereka pula tidak diberikan tempoh atau perhatian.

 

خٰلِدِينَ فِيهَا

Kekal mereka dalam neraka

Mereka tidak ada peluang untuk masuk syurga. Mereka akan kekal tinggal di dalam neraka buat jangka masa yang sangat lama. Mungkin kita selalu sangka bahawa orang Islam akan akhirnya masuk syurga setelah diseksa sekian lama di neraka, tetapi tidak ada kesempatan itu kepada mereka yang menyembunyikan ajaran dari Al-Qur’an. Ma’azallah.

 

لَا يُخَفَّفُ عَنْهُمُ الْعَذَابُ

dan tidak diringankan daripada mereka azab itu

Mungkin kepada orang lain, ada azab yang dapat diringankan tetapi tidak diringankan sedikit pun kepada mereka yang menyembunyikan ajaran dari Al-Qur’an. Ahli neraka memang akan cuba untuk minta diringankan azab mereka barang sehari dua, tapi tidak akan mendapat perkenan seperti disebut di dalam Ghafir:49-50

وَقَالَ الَّذِينَ فِي النَّارِ لِخَزَنَةِ جَهَنَّمَ ادْعُوا رَبَّكُمْ يُخَفِّفْ عَنَّا يَوْمًا مِّنَ الْعَذَابِ
Dan berkatalah pula orang-orang yang ada dalam neraka kepada malaikat-malaikat penjaga neraka Jahannam: “Pohonkanlah kepada Tuhan kamu, supaya Dia meringankan sedikit azab seksa dari kami, barang sehari”.

قَالُوا أَوَلَمْ تَكُ تَأْتِيكُمْ رُسُلُكُم بِالْبَيِّنٰتِ قَالُوا بَلَىٰ قَالُوا فَادْعُوا وَمَا دُعٰؤا الْكٰفِرِينَ إِلَّا فِي ضَلٰلٍ
Malaikat penjaga neraka menjawab: “Bukankah kamu telah didatangi Rasul-rasul kamu dengan membawa keterangan-keterangan (yang menyatakan akibat perbuatan derhaka kamu)?” Mereka menjawab: “Ya, telah datang”. Malaikat itu berkata: “Jika demikian, maka berdoalah kamu sendiri. Dan doa permohonan orang-orang yang kafir pada saat ini hanya menyebabkan mereka berada dalam keadaan dukacita dan kecewa sahaja”.

Jangan kata dikurangkan, dikekalkan azab itu pun tidak, melainkan ia akan semakin teruk dan semakin teruk lagi seperti disebut di dalam Naba’:30

فَذوقوا فَلَن نَزيدَكُم إِلّا عَذابًا
(Setelah mereka masuk ke dalam neraka, dikatakan kepada mereka: “Oleh sebab kamu telah mendustakan ayat-ayat Kami) maka rasalah kamu (azab yang disediakan), kerana Kami tidak akan melakukan selain dari menambah berbagai azab kepada kamu”.

 

وَلَا هُمْ يُنْظَرُونَ

dan mereka tidak diberi tangguh (dari diseksa);

Tidak boleh hendak suruh malaikat yang menyeksa itu untuk beri tangguh sekejap. Kadangkala kalau kita dengan kawan sedang berlumba, mungkin kita boleh kata: “Tunggu sekejap, aku penat dah ni”. Namun dengan malaikat, dengan seksa itu, tidak ada tangguh lagi. Kerana malaikat tidak akan dengar kata-kata dan rayuan dari penghuni neraka. Mereka itu amat keras dan hanya ikut arahan Allah sahaja. Allah beritahu tentang mereka di dalam Tahrim:6

عَلَيها مَلٰئِكَةٌ غِلاظٌ شِدادٌ لّا يَعصونَ اللَّهَ ما أَمَرَهُم وَيَفعَلونَ ما يُؤمَرونَ
penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.

Lagi satu terjemahan bagi kalimah يُنْظَرُونَ adalah ‘mereka diperhatikan’ atau dilihat. Iaitu mereka tidak akan dilihat dengan kasih sayang. Jadi orang-orang yang disebut di dalam ayat ini tidak diperhatikan oleh Allah dan juga malaikat dengan pandangan rahmat. Maksudnya Allah tidak hiraukan mereka dan biarkan sahaja mereka di dalam neraka dan tidak diberi rahmat. Kerana kalau kita diperhatikan oleh seseorang, maknanya orang itu kasihan kepada kita dan akan cuba selamatkan. Tapi tidak bagi ahli neraka.

Ayat-ayat ini merupakan penutup semua ayat-ayat terdahulu yang berbicara tentang Bani Israil dan yang dimulai dengan ajakan mengingat nikkmat-nikmat-Nya (ayat 40), percaya kepada apa yang diturunkan-Nya (ayat 41), dan tidak mencampuradukkan yang haq dan yang batil (ayat 42). Dengan demikian, bertemulah awal uraian yang dikandung oleh ketiga ayat tersebut (40-42) dengan akhir uraian ayat-ayat penutup ini. Bertemu perintah mengingat nikmat dan memenuhi perjanjian (ayat 40) dengan syukur Ilahi dalam erti limpahan nikmat-Nya bagi yang melakukan ketaatan. Bertemu juga sikap tidak percaya dan pencampuradukan kebenaran dan kebatilan dan penyembunyian kebenaran yang disebut pada ayat 41-42 dengan ancaman-ancaman ayat 159-160.


 

TANDA-TANDA ALLAH ﷻ

Baqarah Ayat 163: Sekarang kita kembali berbicara tentang Allah. Ini adalah pengulangan semula ayat 21. Allah ‎ﷻ ulang semula Maksud/Dakwa surah Baqarah ini. Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan yang ibadah dan doa hanya kepada Allah ‎ﷻ. Tidak boleh bercampur aduk.

Bezanya dalam ayat dahulu, ayat 21 menafikan syirik iktikad – dari segi akidah. Dalam ayat ini, ia menolak syirik amali (perbuatan). Ada orang yang sudah mempunyai akidah syirik tetapi dia belum melakukannya lagi. Itu pun sudah salah sebenarnya. Namun ada yang telah melakukan amalan yang syirik. Sebagai contoh, ada yang berpantang makanan yang dihalalkan oleh Allah ‎ﷻ. Ini adalah amalan syirik dari segi amali. Ia dilakukan kerana sudah ada akidah syirik dalam iktikadnya. Maka sekarang Allah mengingatkan tentang DiriNya.

وَإِلٰهُكُم إِلٰهٌ وٰحِدٌ ۖ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ الرَّحمٰنُ الرَّحيمُ

Sahih International

And your god is one God. There is no deity [worthy of worship] except Him, the Entirely Merciful, the Especially Merciful.

Malay

Dan Tuhan kamu ialah Tuhan yang Maha Esa; tiada Tuhan (Yang berhak disembah) selain dari Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

 

وَإِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وٰحِدٌ

Dan Tuhan bagi kamu semua adalah Tuhan yang satu;

Dalam ayat ini Allah ‎ﷻ sebut tentang Tauhid. Sedarlah wahai manusia sama ada yang mukmin, kafir atau yang munafik. Ilah itu hanya Allah ‎ﷻ sahaja, tidak ada yang lain. Dia yang Maha Esa, maka Dia sahaja tempat sembahan kita, tempat pengharapan kita. Akan tetapi ramai yang tidak tahu perkara ini kerana mereka tidak faham apakah ilah itu.

Masyarakat kita memang ramai yang tak faham ilah. Mereka hanya pandai sebut sahaja. Sebab itu, apabila kita tegur mereka tentang ‘tawasul’ salah yang mereka lakukan, mereka akan tolak kita, lawan kita. tuduh kita macam-macam. Ini semua kerana mereka tak faham dengan sebenarnya, apakah lafaz ilah itu. Maka kitalah yang kena belajar dan yang kena faham dulu supaya kita dapat beri penjelasan kepada mereka. Isu agama memang sensitif dan mereka akan marah kalau kita tegur mereka, walaupun mereka salah – manusia memang susah ditegur, apatah lagi dalam hal agama. Maka kita kena faham dengan kemas dulu sebelum beritahu kepada orang lain.

Ilah itu bukan sahaja bermaksud ‘tuhan’. Ini kerana masyarakat Arab Jahiliyyah hanya menganggap Allah sahaja Tuhan. Berhala-berhala itu mereka tidak anggap sebagai Tuhan tapi ilah. Jadi pada mereka ilah itu banyak kerana ilah bukan Allah sahaja pada mereka. Jadi mereka menjadi Nabi, wali, malaikat dan jin sebagai ilah dan begitulah juga akidah ramai dari kalangan manusia kerana tidak faham perbahasan ilah ini.

 

لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ

Tidak ada lagi yang layak disembah, pujaan, melainkan Tuhan yang bernama Allah sahaja

Selepas Allah ‎ﷻ menceritakan tentang seksa yang akan diberikan kepada mereka yang menyembunyikan ilmu dari Al-Qur’an, Allah ‎ﷻ sambung dengan ayat-ayat Tauhid ini. Ini menunjukkan kepentingan ilmu Tauhid dan memang banyak yang disembunyikan oleh manusia adalah ajaran Tauhid. Kalau bab feqah, bab sejarah, tidak ada masalah guru hendak mengajar dari ajaran Al-Qur’an. Namun apabila masuk bab Tauhid, ramai yang terjemah sahaja ayat-ayat Al-Qur’an tanpa tafsir. Mereka tidak beritahu yang ada dari kalangan pelajar mereka yang melakukan syirik (tanpa sedar).

Allah ‎ﷻ hendak mengatakan bahawa hanya Dialah yang layak disembah, bukan tuhan-tuhan lain. Namun kalau kita sebagai pemegang Al-Qur’an tidak menyampaikan ajaran Al-Qur’an itu, bukankah kita telah melakukan satu kesalahan yang amat besar? Ini kerana ramai manusia sembah selain Allah ‎ﷻ, bukan?

Itulah sebabnya Allah ‎ﷻ beri seksaan yang berat kepada mereka yang menyembunyikan Al-Qur’an itu. Kerana ramai yang terus melakukan syirik tanpa sedar kerana yang tahu, tidak memberitahu. Ramai orang-orang bukan Islam tidak kenal Allah ‎ﷻ kerana kita tidak menyampaikan ayat-ayat Allah ‎ﷻ kepada mereka. Siapa yang hendak sampaikan kepada mereka kalau bukan kita? Takkan kita hendak biarkan sahaja umat kita menyebut kalimah لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ akan tetapi di dalam masa yang sama mereka menyembah dan berdoa kepada selain Allah?

 

الرَّحْمَٰنُ

Yang bersifat Maha Penyayang;

Maknanya, Allah ‎ﷻ beri lagi nikmat kepada manusia walaupun mereka duduk dalam kufur. Allah ‎ﷻ masih lagi beri peluang untuk manusia bertaubat. Allah ‎ﷻ bersifat Maha Penyayang. Salah satu hasil daripada sifat itu adalah Allah ‎ﷻ telah memberikan Al-Qur’an kepada seluruh manusia. Namun kalau kita tidak sampaikan, maka rahmat itu tidak disampaikan kepada seluruh makhluk. Maka kita telah melakukan satu kesalahan yang amat besar. Sebab itulah Allah ‎ﷻ marah sangat kepada mereka yang menyembunyikan ajaran ayat-ayat Al-Qur’an.

 

الرَّحِيمُ

Dan Maha Mengasihani;

Bagi manusia yang sudah diuji iman mereka, bila mati, Allah ‎ﷻ akan memberikan nikmat yang tidak terhingga kepada mereka. Dalam ayat ini ia memberi isyarat adalah beza antara sifat Ar-Rahmaan dan Ar-Raheem Allah ‎ﷻ.

Ar-Rahman – sifat pemurah Allah ‎ﷻ yang luas yang diberikan kepada semua makhluk.

Ar-Raheem – sifat pemurah dan kasih sayang Allah ‎ﷻ yang diberikan hanya kepada hamba-Nya yang mukmin.

Setelah Allah menceritakan tentang azab-azab yang akan dikenakan kepada mereka yang menyembunyikan ilmu, Allah menutup rentetan ayat-ayat itu dengan menyebut sifatNya الرَّحمٰنُ الرَّحيمُ. Ini adalah sifat lembut sedangkan sebelum ini disebut tentang azab, seolah-olah tidak kena pula. Mungkin kita rasa sifat lain seperti Al-Jabbar yang lebih sesuai, bukan? Jadi di mana rahmahnya? Rahmahnya adalah Allah sekarang memberitahu awal-awal lagi apa yang akan terjadi kalau tidak mengikut arahanNya dan menyembunyikan ilmu yang amat diperlukan oleh hamba. Allah telah berikan wahyu, bangkitkan para Rasul dan para pendakwah yang memberi peringatan. Itulah rahmah Allah, tidaklah Allah terus hukum makhlukNya.

Habis Ruku’ 19 dari 40 surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 6 Disember 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Maariful Qur’an

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 160 – 163 (Ancaman laknat Allah)”

  1. Assalamualaikum, saya nak perbetulkan sedikit, kalau saya silap maafkn saya. Bukankh solat hajat secara berjemaah itu bagus walaupun x dilakukan oleh Rasulullah SAW? Knp mesti terus di bid’ah kan? Bukan kah agama Islam itu mudah? Selama hal itu tidak bertentangan dengan syariat dan dapat mendatangkan maslahat bagi kehidupan -walaupun tidak ada pada zaman Rasulullah saw,- maka hal tersebut bukanlah suatu perbuatan bid‘ah. Btlkan saya kalau saya salah

    Wallahu a‘lam

    Rujukan
    https://www.google.com/amp/s/m.republika.co.id/amp/qnbk6o169895073423000

    Like

    1. Waalaikum salam.

      Kalau ianya baik, tentu sudah dilakukan pada zaman Nabi. Apakah kita sangka ia baik, bagus, terus ia jadi baik? Jadi adakah kita lebih baik dari Rasulullah dan para sahabat? Mereka tidak tahu melakukannya? Mereka malas? Mereka tidak sempat? Apakah alasan hendak kita berikan: kenapa mereka tidak melakukannya?

      Solat Hajat berjemaah adalah bid’ah. Rasulullah hendak pergi berperang pun tidak buat solat hajat, kita anak nak exam pun buat solat hajat berjemaah?

      Liked by 1 person

Leave a reply to Fea Cancel reply