NABI IBRAHIM DI MEKAH
Baqarah Ayat 124: Ini adalah berkenaan dengan kisah Nabi Ibrahim عليه السلام. Ini adalah kali pertama kita berjumpa kisah baginda di dalam Al-Qur’an. Allah ﷻ hendak menceritakan permulaan kebangkitan umat akhir zaman (umat Nabi Muhammad ﷺ). Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa ada keistimewaan pada umat Nabi Muhammad ﷺ. Bukan umat Bani Israil sahaja yang ada keistimewaan. Jadi mereka sepatutnya jangan pandang rendah sangat kepada ‘Bani Ismail’ itu.
Jadi dalam ayat-ayat ini Allah ﷻ menceritakan tentang Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail. Allah ﷻ mengingatkan bahawa Nabi Ibrahim عليه السلام bukan hanya ada Nabi Ishaq عليه السلام sahaja (bapa keturunan Yahudi) tapi ada seorang lagi iaitu Nabi Ismail عليه السلام, abang sulung kepada Nabi Ishaq عليه السلام.
Umat Nabi Muhammad ﷺ lahir dari doa seorang Nabi dan yang mendoakan untuk mereka itu adalah Nabi Ibrahim عليه السلام, seorang Nabi yang hebat, yang unggul. Bani Israil juga mengenali baginda. Sebelum ini telah banyak disebut tentang kisah-kisah mereka dan sekarang kita akan belajar tentang datuk mereka dan juga datuk kita juga, iaitu Nabi Ibrahim عليه السلام.
Yahudi menerima Nabi Ibrahim عليه السلام juga walaupun mereka menolak Nabi Isa عليه السلام dan Nabi Muhammad ﷺ. Mereka sampai ada beri nama Ibrahim kepada anak-anak mereka (Abraham). Begitu juga Nasara menerima Nabi Ibrahim عليه السلام (mereka menamakan anak mereka Abraham) walaupun mereka tolak Nabi Muhammad ﷺ. Jadi ayat-ayat ini adalah untuk memperkenalkan baginda. Yahudi dan Nasara perasan Nabi Ibrahim adalah Yahudi atau Nasrani maka pemahaman mereka ditolak di dalam kisah tentang Nabi Ibrahim ini.
Ayat 124 – 141 adalah peringatan kepada Bani Israil supaya kembali kepada ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام. Mereka jangan ikut ajaran tok nenek mereka sahaja tapi kena kembali kepada ajaran asal mereka iaitu bawaan Nabi Ibrahim yang mereka sendiri terima. Ini juga pengajaran kepada kita sebenarnya untuk kembali kepada ajaran Islam yang asal. Jangan tengok hanya kepada Islam yang sampai di negara ini dan diamalkan turun temurun, tapi kembalilah kepada ajaran Islam yang asal.
Juga diingatkan tentang seruan Nabi Ya’qub عليه السلام (anak Nabi Ishak dan cucu kepada Nabi Ibrahim) supaya mentauhidkan Allah ﷻ. Nabi Muhammad ﷺ juga merupakan keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام hasil daripada doa Nabi Ibrahim عليه السلام sendiri.
Ahli kitab diingatkan supaya tidak membezakan rasul-rasul, terima semuanya daripada Allah ﷻ. Ahli kitab diperintahkan menerima syariat daripada rasul terakhir dan tinggalkan ajaran terdahulu yang telah banyak diselewengkan.
وَإِذِ ابتَلىٰ إِبرٰهِـمَ رَبُّهُ بِكَلِمَـٰتٍ فَأَتَمَّهُنَّ ۖ قالَ إِنّي جاعِلُكَ لِلنّاسِ إِمامًا ۖ قالَ وَمِن ذُرِّيَّتي ۖ قالَ لا يَنالُ عَهدِي ٱلظَّـٰلِمِينَ
Sahih International
And [mention, O Muhammad], when Abraham was tried by his Lord with commands and he fulfilled them. [ Allah ] said, “Indeed, I will make you a leader for the people.” [Abraham] said, “And of my descendants?” [ Allah ] said, “My covenant does not include the wrongdoers.”
Malay
Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia”. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: “(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)”. Allah berfirman: “(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.”
وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبرٰهِـمَ رَبُّهُ
Ketika diuji Nabi Ibrahim oleh Tuhannya
Allah ﷻ memulakan dengan kisah perjuangan Nabi Ibrahim عليه السلام. Ini kerana hebatnya manusia adalah kerana perjuangan mereka. Baginda telah diuji dengan perkara-perkara keagamaan dengan ujian yang besar-besar. Baginda telah mendapat julukan Khalilullah (Kekasih Allah) kerana ujian dan sanggupnya baginda menghadapi segala ujian itu.
Kalimah اِبتِلَى adalah dalam bentuk fi’il madhi dan ia bermaksud ‘telah menguji‘. Ia di dalam format Wazan VIII (افتعل) Ia dari kata dasar ب ل و yang bermaksud cubaan, ujian sama ada baik atau jahat; menjadi tua dan usang, haus dan lusuh, layu, reput; tidak mengambil berat, tidak mempedulikan, tidak mengendahkan, atau memberi perhatian; menganugerahkan nikmat, faedah atau berkat; bersumpah, perjanjian; memaklumkan; berkenalan; mendedahkan; menjelma; membuatkan jelas; bersaing; berusaha atau bersegera.
Siapakah Nabi Ibrahim? Ada yang mengatakan nama Ibrahim itu dari gabungan ab (ayah) dan rahim (penuh kasih). Maknanya baginda adalah seorang ayah yang penuh kasih sayang. Ada juga pendapat yang mengatakan Abram adalah bahasa Ibrani (Hebrew) yang bermaksud ayah kepada kelompok manusia yang banyak.
Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lahir dan membesar di bumi Iraq. Ini sekitar 4 ribu tahun yang lalu di wilayah Kasdim atau Kaldan. Kemudian baginda telah hijrah ke Palestin. Baginda turut menziarahi bumi Mesir, dan di sinilah berlakunya peristiwa Sarah di’rampas’ oleh Raja Mesir dalam Hadith Bukhari dengan kisah yang panjang. Dengan ketakutan Raja tersebut, lantas menghadiahkan seorang hamba yang bernama Hajar kepada Sarah, lalu mereka pulang ke Palestin. Selepas kelahiran Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Allah ﷻ memerintahkan Baginda untuk berhijrah ke bumi Hijjaz (Mekah). Al-Qur’an merekodkan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkunjung ke Mekah hanya beberapa kali sahaja melalui plot yang bersejarah: iaitu ketika Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ masih bayi, kemudian ketika Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah berkahwin, kemudian membina Ka’bah dan terakhir ketika peristiwa penyembelihan Qurban.
Baginda diberi gelaran yang amat tinggi iaitu Khalilullah (Kekasih Allah). Ini seperti disebut di dalam Nisa’:125
وَاتَّخَذَ اللَهُ إِبْرٰهِيمَ خَلِيلًا
dan Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya.
Sesungguhnya baginda telah mencapai kedudukan tingkatan khullah (kekasih) yang merupakan kedudukan mahabbah yang tertinggi. Ini adalah kerana baginda telah melepasi segala ujian yang Allah telah kenakan ke atas baginda. Perlu juga diingatkan bahawa bukan Nabi Ibrahim sahaja yang mendapat gelaran Khalilullah akan tetapi Nabi Muhammad juga seperti sabda Nabi Muhammad:
فَإِنَّ اللَّهَ قد اتَّخَذَنِي خَلِيلًا كَمَا اتَّخَذَ إِبْرَاهِيمَ خَلِيلًا
Sesungguhnya Allah telah menjadikanku sebagai khalil (iaitu kekasih) sebagaimana Dia telah menjadikan Ibrahim sebagai khalil.
Riwayat Muslim (532)
Jadi salahlah jikalau kita menggelar Rasulullah sebagai habibullah. Inilah gelaran yang kemudiannya digunakan bagi golongan Habaib sesat itu. Kenapa ia tidak patut? Kerana kedudukan habib lebih rendah dari kedudukan khalil. Maka dari itu, siapa yang menyifatinya dengan habib sahaja, maka dia telah menurunkan baginda Nabi Muhammad dari martabatnya, kerana sifat khalil lebih mulia dan lebih tinggi dari habib. Setiap mukmin adalah kekasih Allah (habibullah), tetapi Rasulullah shalallahu ‘alaihi wa sallam berada pada martabat yang lebih tinggi dari itu, iaitu khalil, kerana Allah telah menjadikannya sebagai khalil (kekasih) seperti Ibrahim. Maka dari itu kita kena katakan bahawa Nabi Muhammad adalah Khalilullah, kerana kata khalil mengandung di dalamnya kata habib, dan khalil adalah puncak tertinggi dari mahabbah.
Apakah ujian yang dimaksudkan? Ada riwayat yang kata ujian itu adalah dengan 10 perkara amalan fitrah seperti potong kuku, simpan janggut dan sebagainya. Tetapi itu tidak berapa tepat kerana itu bukanlah perkara-perkara yang besar. Malah yang kata sampai 40 ujian kesemuanya. Yang besarnya adalah perjuangan baginda memperjuangkan tauhid.
Dan kisah perjuangan baginda itu ada disebut dalam Al-Qur’an di pelbagai tempat. Bayangkan baginda telah bertembung dengan raja dunia, Namrud. Namrud itu adalah raja yang besar, kerana dia adalah Raja Dunia, tidak macam Firaun, kerana Firaun adalah Raja Negara Mesir sahaja. Bayangkan, Nabi Ibrahim عليه السلام yang miskin diperintahkan untuk mengajak raja satu dunia untuk beriman. Ini bukan hal yang kecil.
Baginda diuji untuk menegakkan kalimah tauhid. Bukan sahaja kaum baginda sedang melakukan syirik, malah ayahnya sendiri. Baginda kemudian terpaksa berhijrah ke Syria. Dan dari Syria untuk baginda kena bawa pula anak isterinya ke Mekah yang tidak ada apa-apa di situ pada waktu itu. Bukan sahaja itu, baginda kena tinggalkan mereka pula di situ! Kisah ini menyayat hati kalau kita baca tentangnya. Nabi Ibrahim terlalu ingin taat kepada Allah sampaikan baginda apabila sampai sahaja terus meninggalkan isteri dan anaknya tanpa memberitahu tentang arahan Allah itu.
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ لَمَّا كَانَ بَيْنَ إِبْرَاهِيمَ وَبَيْنَ أَهْلِهِ مَا كَانَ خَرَجَ بِإِسْمَاعِيلَ وَأُمِّ إِسْمَاعِيلَ وَمَعَهُمْ شَنَّةٌ فِيهَا مَاءٌ فَجَعَلَتْ أُمُّ إِسْمَاعِيلَ تَشْرَبُ مِنْ الشَّنَّةِ فَيَدِرُّ لَبَنُهَا عَلَى صَبِيِّهَا حَتَّى قَدِمَ مَكَّةَ فَوَضَعَهَا تَحْتَ دَوْحَةٍ ثُمَّ رَجَعَ إِبْرَاهِيمُ إِلَى أَهْلِهِ فَاتَّبَعَتْهُ أُمُّ إِسْمَاعِيلَ حَتَّى لَمَّا بَلَغُوا كَدَاءً نَادَتْهُ مِنْ وَرَائِهِ يَا إِبْرَاهِيمُ إِلَى مَنْ تَتْرُكُنَا قَالَ إِلَى اللَّهِ قَالَتْ رَضِيتُ بِاللَّهِ
Dari [Ibnu ‘Abbas radliallahu ‘anhuma] berkata; “Ketika Ibrahim keluar berkelana bersama Isma’il dan ibu Isma’il, mereka membawa geriba (kantung empat air) yang berisi air, ibu Isma’il minum dari persediaan air dalam geriba tersebut sehingga dia dapat menyusui bayinya. Ketika tiba di Makkah, Ibrahim menempatkan keduanya di bawah sebuah pondok. Tatkala Ibrahim hendak kembali kepada keluarganya, ibu Isma’il mengikutinya di belakang hingga ketika sampai di dataran yang agak tinggi, ibu Isma’il memanggilnya dari belakang; “Wahai Ibrahim, kepada siapa engkau meninggalkan kami?”. Ibrahim menjawab; “Kepada Allah”. Hajar berkata; “Kalau begitu, aku telah redha kepada Allah”.
Sahih Bukhari (3114)
Banyak pelajaran yang dapat kita petik daripada kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam menghadapi ujian yang datangnya daripada Allah ﷻ. Sekurang-kurangnya ada empat ujian yang diberikan Allah ﷻ kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang kita boleh cerita panjang sikit di sini:
1. Dibakar Raja Namrud
Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lahir di Fadan Aram Irak, di tengah kaum penyembah berhala, termasuk ayahnya sendiri, yang disebut di dalam Al-Qur’an sebagai Azar). Sedangkan rajanya bernama Namrud. Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengajak ayahnya untuk beriman, antaranya seperti disebut di dalam An’am: 74
وَإِذ قالَ إِبرٰهيمُ لِأَبيهِ آزَرَ أَتَتَّخِذُ أَصنامًا ءآلِهَةً ۖ إِنّي أَرٰىكَ وَقَومَكَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: “Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata”.
Akan tetapi bapanya menolak dan menghalau baginda seperti disebut di dalam Maryam: 46,
قالَ أَراغِبٌ أَنتَ عَن آلِهَتي يٰۤاِبرٰهِيمُۚ ۖ لَئِن لَّم تَنتَهِ لَأَرجُمَنَّكَ ۖ وَاهجُرني مَلِيًّا
(Bapanya) menjawab: “Adakah engkau bencikan tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim? Demi sesungguhnya jika engkau tidak berhenti (daripada menyeru dan menasihati daku) sudah tentu aku akan melontarmu dengan batu; dan (ingatlah lebih baik) engkau tinggalkan daku sepanjang masa”.
Kemudian, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menghancurkan patung berhala mereka. Kerana itu, Raja Namrud akhirnya memerintahkan rakyatnya untuk membakar Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hidup-hidup. Namun, api yang berkobar yang hendak membakar Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjadi dingin atas perintah Allah ﷻ. Di dalam Anbiya: 69, Allah ﷻ berfirman:
قُلْنَا يَا نَارُ كُوْنِيْ بَرْدًا وَّسَلَمًا عَلَى إِبْراهِيْمَ
“Kami berfirman, ‘Wahai api! Jadilah kamu dingin, dan penyelamat bagi Ibrahim!’,”
Begitulah hebatnya ujian api Allah kenakan kepada baginda. Allah boleh sahaja selamatkan baginda sebelum masuk api itu tapi Allah tunggu sampai baginda masuk dalam api barulah Allah suruh api itu jadi sejuk. Ini untuk menguji kepercayaan Nabi Ibrahim kepada janji Allah untuk menyelamatkannya. Setelah peristiwa itu, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersama isterinya berhijrah ke Syam untuk beribadah dengan tenang.
2. Diperintahkan khitan
Pada usia 99 tahun, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diperintahkan oleh Allah ﷻ untuk melakukan khitan, maka kemudian baginda berkhitan bersama anaknya Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang berusia 13 tahun ketika itu. Sejak saat itu Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mulai melaksanakan khitan dalam keluarganya sehingga menjadi sunnah bagi kita sekarang.
Atau, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dikhitan pada usia 80 tahun, sesuai hadith daripada Rasulullah ﷺ.
اختتن إبراهيم عليه السلام وهو ابن ثمانين سنة بالقدوم
Rasulullah ﷺ bersabda, “Ibrahim al Khalil berkhitan setelah mencapai usia 80 tahun dan beliau berkhitan menggunakan kapak.”
(Sahih Bukhari No. 3107)
3. Diperintahkan menyembelih anaknya
Allah ﷻ juga memerintah dan memberikan ujian kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk menyembelih puteranya Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, yang masih berusia 13 tahun sebagai qurban. Demi membuktikan kecintaannya kepada Allah ﷻ, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun melaksanakannya dengan penuh ketaatan, keimanan dan keikhlasan yang tinggi. Ini disebut di dalam Saffat: 102
فَلَمّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعيَ قالَ يٰبُنَيَّ إِنّي أَرىٰ فِي المَنامِ أَنّي أَذبَحُكَ فَانظُر ماذا تَرىٰ ۚ قالَ يٰأَبَتِ افعَل ما تُؤمَرُ ۖ سَتَجِدُني إِن شاءَ اللهُ مِنَ الصّٰبِري
Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: “Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” Dia menjawab: “Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar”.
Ini adalah ujian yang amat besar kerana Nabi Ibrahim sudah tua dan tidak pernah ada anak. Maka mendapat anak itu adalah satu perkara besar bagi baginda dan tentulah amat berat untuk baginda melakukannya. Akan tetapi ini pun Nabi Ibrahim telah melakukannya. Namun, Allah ﷻ kemudian menggantikannya dengan menyembelih haiwan. Peristiwa besar ini telah diteruskan umat Islam sampai saat ini hingga hari akhir yang disebut dengan Hari Raya Qurban atau Idul Adha.
4. Diperintahkan membangunkan Ka’bah
Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diperintahkan Allah ﷻ untuk membangun Ka’bah menjadi kiblat solat umat Islam seluruh dunia hingga saat ini. Ka’bah menjadi salah satu bukti kebesaran maqam Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di sisi Allah ﷻ.
Ka’bah merupakan sebuah bangunan suci yang sangat bersejarah dan akan tetap abadi hingga sampai hari akhir nanti. Dalam membangun Ka’bah ini, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri yang menjadi tukangnya dan dibantu oleh puteranya Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang menjadi kulinya, serta dibantu Malaikat Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang menjadi arkiteknya. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Baqarah: 127
وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَاهِيمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ وَإِسْمَاعِيلُ
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu
Antara soalan yang mungkin timbul tentang ayat ini adalah: Kenapa Allah ﷻ menguji baginda? Ada beberapa sebab mengapa seseorang itu diuji, antaranya kerana kesalahan itu sendiri. Atau kerana ujian untuk mengetahui kedudukan orang yang diuji. Akan tetapi ini bukanlah kesnya di sini. Nabi Ibrahim tidak melakukan kesalahan dan Allah ﷻ tidak perlu uji baginda untuk tahu siapa baginda kerana Allah ﷻ lebih tahu. Jawapannya kita boleh lihat dari penggunaan kalimah رب yang Allah ﷻ gunakan untuk merujuk kepada DiriNya. Maksud رب dari segi bahasa adalah seseorang yang mendidik dan mentarbiyah. Maka ia bermaksud ujian yang diberikan oleh Allah ﷻ itu adalah mendidik baginda. Ianya untuk menzahirkan kualiti terbaik yang ada dalam diri baginda.
Dalam potongan ayat ini, kita boleh lihat yang nama Nabi Ibrahim عليه السلام didahulukan sebelum nama Allah ﷻ. Ini adalah sebagai penghormatan kepada baginda, berbanding para Nabi yang lain. Allah juga menyandarkan namaNya kepada Nabi Ibrahim iaitu رَبُّهُ. Allah boleh sahaja berfirman: وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبرٰهِـمَ رَبُّ dan ia juga benar. Akan tetapi dengan menggunakan kalimat رَبُّهُ (Tuhannya) Allah menekankan yang memang Nabi Ibrahim benar-benar menjadi Allah sebagai Rabbnya dengan menjadi hamba yang amat taat.
بِكَلِمَـٰتٍ
dengan beberapa kalimah (suruhan dan larangan);
Seperti yang telah disebut, baginda telah diuji dengan berbagai-bagai lagi ujian. Di dalam ayat ini Allah menggunakan istilah كَلِمَـٰتٍ yang dari segi bahasa bermaksud ‘kata-kata’. Ulama’ tafsir berpendapat كَلِمَـٰتٍ yang dimaksudkan adalah kata-kata yang mengandungi perintah dari Allah ﷻ. Cuma para alim termasuk para sahabat pun tidak sepakat berapa banyak ujian yang telah diberikan kepada baginda; seperti yang telah disebut di atas, ada yang kata sepuluh ujian tapi ada yang kata sampai tiga puluh malah sampai empat puluh. Cuma yang pasti ujian yang telah diberikan kepada baginda bukanlah ujian bertulis seperti peperiksaan kita atau ujian kesihatan sebelum masuk kerja kerajaan. Ujian yang diberikan kepada baginda adalah untuk menguji kesediaan Nabi Ibrahim untuk taat kepada Allah dan kesabaran baginda di dalam taat kepada Allah.
Kita tahu banyak perkara yang telah diarahkan kepada baginda. Kita telah sebut beberapa perkara di atas dan sebagai tambahan lagi antara ujian yang diberi kepada baginda adalah kena berpisah dengan ayah dan kampung halaman kerana baginda telah dihalau dari kampung halamannya; baginda terpaksa berpisah dengan isteri-isterinya untuk jangka masa yang lama. Baginda terpaksa meninggalkan isterinya Sarah, hanya empat kali sahaja jumpa isterinya dalam setahun. Isterinya yang kedua, Hajar, harus ditinggalkan di Mekah. Baginda juga harus meninggalkan anaknya Nabi Ismail عليه السلام. Hanya dapat ziarah setahun sekali. Kalau kita perhatikan, memang teruk-teruk ujian yang dikenakan ke atas baginda. Selain dari waktu yang disebut di atas, baginda mesti pula menyebarkan Islam ke seluruh dunia.
Apakah pengajaran bagi kita di dalam kehidupan kita ini? Kalau kekasihNya pun diuji, maka janganlah kita tidak redha atau pelik kalau kita pun diuji. Bersabarlah dengan segala ujian hidup kita kerana memang hidup ini adalah ujian. Ujian yang dikenakan kepada kita tidaklah seteruk yang dikenakan kepada para Nabi kerana Rasulullah pernah bersabda,
أَشَدُّ النَّاسِ بَلاَءً الأَنْبِيَاءُ ، ثُمَّ الصَّالِحُونَ، ثُمَّ الأَمْثَلُ فَالأَمْثَلُ
“Manusia yang paling berat ujiannya adalah para nabi, lalu orang-orang soleh dan seterusnya.”
Riwayat al-Nasa’ie (7440) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9776)
Ini adalah kerana manusia itu diuji di atas kadar tinggi atau rendah imannya. Dan para Nabi itu mempunyai tingkatan iman yang tinggi, maka ujian yang dikenakan kepada mereka adalah berat. Kerana itu selepas para Nabi, mereka yang menerima ujian yang berat selepasnya adalah orang soleh. Ini bertepatan dengan sabda Baginda SAW bersabda:
يُبْتَلَى الرَّجُلُ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ، فَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ صَلَابَةٌ زِيدَ فِي بَلَائِهِ
“Seseorang diuji sesuai dengan kadar keagamaannya. Apabila agamanya kuat, maka ujiannya akan ditambah.”
Riwayat Ahmad (1481) Sanadnya Hasan menurut Arna’uth
Tapi segala ujian ini bukan percuma sahaja. Ini adalah satu anjakan paradigma bagi kita sebenarnya kalau kita faham. Iaitu segala ujian yang kita dapat ini menjadi pembersih kepada dosa kita seperti yang telah disebut oleh Rasulullah,
مَا يَزَالُ الْبَلاَءُ بِالْمُؤْمِنِ وَالْمُؤْمِنَةِ فِي نَفْسِهِ وَوَلَدِهِ وَمَالِهِ حَتَّى يَلْقَى اللَّهَ وَمَا عَلَيْهِ خَطِيئَةٌ
Bala berterusan akan menimpa orang Mukmin lelaki dan perempuan sama ada pada dirinya sendiri, anaknya atau hartanya (yang menyebabkan dosa-dosanya sentiasa gugur) sehingga dia bertemu dengan Allah SWT dalam keadaan dia tidak mempunyai apa-apa dosa.
Riwayat Tirmizi (2399) Hasan menurut Darussalam
Begitulah rahmat yang Allah berikan kepada orang Mukmin. Dari Shuhaib, dia berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
“Sungguh menakjubkan keadaan seorang mukmin. Seluruhnya urusannya itu baik. Ini tidaklah didapati kecuali pada seorang mukmin. Jika mendapatkan kesenangan, maka dia bersyukur. Itu baik baginya. Jika mendapatkan kesusahan, maka dia bersabar. Itu pun baik baginya.”
(Sahih Muslim, no. 2999)
Cuma kita kena ingat yang ujian itu bukan sahaja dalam bentuk musibah, tetapi dalam bentuk nikmat juga. Ramai mungkin lebih suka jika diuji dengan nikmat berbanding musibah. Malah tidak kurang yang mungkin menyangka bahawa mendapat nikmat ialah tanda Allah ﷻ sayang manakala musibah ialah tanda Allah ﷻ benci. Pemahaman ini perlu diluruskan.
Pertamanya, perlu diingatkan bahawa kedua-dua nikmat dan musibah ialah ujian Allah ﷻ atas manusia bagi menentukan antara mereka yang bersyukur dengan mereka yang sabar. Ini bermakna nikmat itu tidak semestinya baik khususnya jika orangnya kufur dan tidak bersyukur. Demikian sebaliknya, musibah tidak semestinya buruk apatah lagi jika orangnya bersabar. Kerana itu Allah ﷻ berfirman di dalam Baqarah:216:
وَعَسَىٰٓ أَن تَكۡرَهُواْ شَيۡٔٗا وَهُوَ خَيۡرٞ لَّكُمۡۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّواْ شَيۡٔٗا وَهُوَ شَرّٞ لَّكُمۡۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ
“Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Sedangkan Allah jualah yang mengetahui dan kamu tidak.”
Justeru Muslim seharusnya beringat bahawa rasa suka dengan nikmat dan benci pada musibah haruslah berpada-pada. Usah terlalu gembira jika mendapat nikmat atau terlalu bersedih jika ditimpa musibah sampai hilang pedoman. Ini kerana kesudahannya kita tidak tahu yang mana sebenarnya baik untuk kita; mendapat nikmat atau ditimpa musibah. Betapa ramainya mereka yang sesat sesudah Allah ﷻ uji dengan nikmat, dan tidak kurang mereka yang kembali ke pangkal jalan sesudah Allah ﷻ uji dengan musibah. Berdasarkan hakikat ini Khalifah Umar al-Khattab r.a. berkata:
مَا أُبَالِي عَلَى أَيِّ حَالٍ أَصْبَحْتُ، عَلَى مَا أُحِبُّ أَوْ عَلَى مَا أَكْرَهُ، لِأَنِّي لَا أَدْرِي الْخَيْرَ فِيمَا أُحِبُّ أَوْ فِيمَا أَكْرَهُ
“Aku tidak peduli sama ada keadaan yang aku terpaksa hadapi itu aku suka atau tidak. Ini kerana aku tidak tahu kebaikan itu ada pada yang aku suka atau pada yang aku benci.”
[al-Zuhd oleh Ibnu Mubarak]
فَأَتَمَّهُنَّ
Semuanya Nabi Ibrahim sempurnakan;
Allah ﷻ beritahu dalam ayat ini yang Nabi Ibrahim عليه السلام telah menyempurnakan dan melepasi segala ujian-ujian itu. Kalimah أَتَمَّ adalah dalam bentuk fi’il madhi dan ia bermaksud ‘telah memenuhi‘. Ia di dalam Format Wazan IV (أفعل). Ia dari kata dasar: ت م م yang bermaksud penuh, berbunga, telah masak, lengkap, sempurna, berjaya, kuat, teguh, keras. Kalimah yang menggunakan kata dasar ini seperti tamat (tammat), juga ‘tamimah’ yang bermaksud: tangkal. Dan huruf ف di sini memberi isyarat yang baginda terus menyempurnakannya tanpa lengah dan menunda-nunda. Begitulah kita dengan arahan Allah, teruslah buat jangan tangguh-tangguh lagi.
Kita semua memang diuji selama kita di dunia. Tetapi kita tidak tahu sama ada kita telah melepasi ujian kita. Namun lihatlah Nabi Ibrahim عليه السلام dapat tahu semasa di dunia lagi yang baginda telah melepasi ujiannya. Alangkah beruntungnya Nabi Ibrahim عليه السلام. Memang baginda telah menyempurnakan segala arahan kepadanya seperti disebut di dalam Najm:37
وَإِبرٰهيمَ الَّذي وَفّىٰ
Dan juga (lembaran-lembaran) Nabi Ibrahim yang memenuhi dengan sempurnanya (segala yang diperintahkan kepadanya)?
Antara banyak-banyak ujiannya yang kita pernah dengar, yang paling selalu kita dengar adalah tentang bagaimana baginda telah disuruh untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail عليه السلام. Baginda telah bermimpi bahawa Allah ﷻ telah mengarahkan baginda untuk menyembelih Nabi Ismail عليه السلام. Baginda amat sayangkan anaknya itu, namun baginda sedar bahawa itu adalah arahan daripada Allah ﷻ. Sudahlah baginda sebelum itu tidak pernah ada anak walaupun isterinya ada dua. Setelah anaknya Nabi Ismail ﷻ itu besar, sudah boleh menolong baginda dalam kerja-kerja dakwah, baginda disuruh pula untuk menyembelih anaknya itu. Maka baginda telah bertanya pendapat Nabi Ismail ﷻ tentang perkara itu dan Nabi Ismail ﷻ pun sanggup untuk menerima ujian itu. Nabi Ibrahim ﷻ telah menjalankan suruhan Allah ﷻ itu. Tetapi Allah ﷻ telah menggantikan Nabi Ismail ﷻ dengan seekor kibas. Jadi, Nabi Ismail ﷻ tidak disembelih akhirnya. Maka, kita telah diarah untuk mengabadikan kisah itu ke dalam amalan berkorban. Setiap tahun kita akan berkorban dan kita mengingati peristiwa Nabi Ibrahim ﷻ telah menjalankan suruhan Allah ﷻ tanpa bantahan.
Kalau kita fikirkan secara logik, tentulah tidak patut seorang ayah untuk menyembelih anaknya sendiri. Tetapi oleh kerana ia adalah perintah Allah ﷻ, maka Nabi Ibrahim عليه السلام telah jalankan juga. Itulah satu contoh bagaimana seorang Nabi tidak melanggar arahan Allah ﷻ dan telah melakukannya tanpa soal. Jadi ujian kepada Nabi Ibrahim عليه السلام bukanlah ujian bertulis, ujian matematik atau ujian kepandaian baginda. Akan tetapi ujian sama ada baginda taat perintah atau tidak. Ini memberi pengajaran tentang ketaatan kepada kita. Walaupun ia kedengaran tidak logik pada akal kita, namun begitulah juga, sepatutnya kita menjalankan suruhan Allah ﷻ tanpa persoalan. Walaupun kita tidak tahu apakah hikmat dalam perbuatan itu. Seperti contohnya, Allah ﷻ telah mengarahkan kita semua menjalankan hukum hudud. Lalu bagaimana lagi kita boleh membantahnya?
Malangnya, banyaklah alasan-alasan akal yang diberikan oleh manusia sebagai mengatakan bahawa ia tidak boleh dilakukan. Ada yang kata ia tidak sesuai dijalankan pada zaman ini. Mereka sebenarnya hendak menggunakan akal untuk menghujah hukum yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita. Padahal, hikmat sesuatu perkara itu hanya akan didapati apabila kita telah menjalankannya.
Kita selalu menyebut-nyebut kisah Nabi Ibrahim عليه السلام itu tetapi kita tidak mengambil pengajaran daripadanya. Pengajarannya adalah kita sebagai manusia hendaklah mengikut perintah Allah ﷻ tanpa apa-apa alasan lagi. Bukanlah kita boleh menggunakan akal untuk membincangkan sama ada arahan Allah ﷻ itu sesuai ataupun tidak. Kerana akal kita tidak akan dapat menilainya. Akal kita tidak akan sampai untuk mencapai maksudnya.
قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا
Allah berfirman: sesungguhnya Aku hendak menjadikan kamu bagi manusia semua sekali sebagai imam;
Maksud ‘imam’ itu adalah ‘sebagai ikutan’, pemimpin atau teladan. Ikutan bagi semua manusia kerana imam dalam salat duduk di hadapan dan menjadi ikutan makmum, bukan? Kalimah إمَامًا adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘pemimpin’, ‘orang yang menjadi ikutan’. Kita biasa dengan kalimah ‘imam’ dalam solat atau gelaran seperti Imam Syafie, Imam Malik dan sebagainya. Ia dari kata dasar أ م م yang bermaksud mencadangkan, menuju ke sesuatu tempat, ibu, punca, prinsip, buta huruf, tiada ilmu kitab, puak, komuniti, umat, generasi, ciptaan Allah, iman, agama, masa, orang yang dijadikan contoh, orang beragama, pemimpin, imam, di hadapan.
Ini adalah satu penghormatan yang besar kepada Nabi Ibrahim عليه السلام. Imam yang dimaksudkan sebagai ikutan daripada segi sifat. Kerana ‘Imam’ yang menjadi ikutan ada banyak – bidang hadith, bidang feqah dan sebagainya. Tetapi Nabi Ibrahim عليه السلام ini adalah ikutan dari segi sifat baginda. Antaranya, sifat taatnya, sifat kemanusiaan yang sempurna. Baginda telah menjadi contoh teladan bagi seluruh umat. Dan kerana kita membincangkan tentang kedudukan Nabi Ibrahim, maka kedudukan ‘imam’ yang dimaksudkan ini juga boleh jadi khusus, iaitu sebagai seorang Rasul.
Kalau kita sebagai manusia ini juga diajar untuk menjadi imam supaya menjadi contoh tauladan kepada orang Mukmin yang lain seperti disebut di dalam doa yang diajar oleh Allah di dalam Furqan:74
وَالَّذينَ يَقولونَ رَبَّنا هَب لَنا مِن أَزوٰجِنا وَذُرِّيّٰتِنا قُرَّةَ أَعيُنٍ وَاجعَلنا لِلمُتَّقينَ إِمامًا
Dan orang orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.
Memang layak pangkat Imam ini diberikan kepada Nabi Ibrahim kerana baginda telah melepasi ujian yang Allah berikan. Imamat yang sejati tidaklah mudah didapat oleh sebarang orang. Kekayaan harta boleh diwariskan kepada anak, pangkat jabatan jadi Raja boleh diturunkan, akan tetapi Imamat yang sejati haruslah melalui ujian. Di dalam Sajdah:34, Allah menjelaskan bahawa di antara pengikut- pengikut Nabi Musa ada yang diangkat Tuhan menjadi Imam, diberi pula petunjuk dan pimpinan, setelah ternyata akan keteguhan hati, ketabahan mereka dan sabar mereka menempuh berbagai ujian hidup.
وَجَعَلنا مِنهُم أَئِمَّةً يَهدونَ بِأَمرِنا لَمّا صَبَروا ۖ وَكانوا بِئايٰتِنا يوقِنونَ
Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.
Kita boleh kaitkan kisah ini dengan kisah Nabi Adam bermula ayat 30 surah ini. Di situ telah diberitahu yang Nabi Adam menjadi patron/bapa bagi seluruh manusia, sekarang disebut lantikan kepada Nabi Ibrahim pula yang menjadi imam atau tauladan kepada seluruh manusia. Malah Nabi Muhammad pun telah diperintahkan untuk mengikuti Nabi Ibrahim seperti firman Allah di dalam Nahl:123
ثُمَّ أَوحَينا إِلَيكَ أَنِ اتَّبِع مِلَّةَ إِبرٰهيمَ حَنيفًا ۖ وَما كانَ مِنَ المُشرِكينَ
Kemudian Kami wahyukan kepadamu (Muhammad): “Ikutilah agama Ibrahim seorang yang hanif” dan bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan.
قَالَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي
Nabi Ibrahim jawab: dan daripada anak cucu aku juga;
Nabi Ibrahim عليه السلام meminta supaya Allah ﷻ melantik juga keturunan baginda sebagai imam yang akan menjadi ikutan manusia juga. Baginda tidak mahu baginda seorang sahaja yang menjadi ikutan. Baginda hendakkan keturunannya dijadikan sebagai contoh juga. Maknanya, Nabi Ibrahim عليه السلام ini memikirkan tentang orang lain juga, bukan dirinya sahaja.
Permintaan Nabi Ibrahim pun tidaklah berlebihan sebenarnya. Kerana kalau kita lihat kalimat yang digunakan adalah: وَمِنْ ذُرِّيَّتِي (dan sebahagian dari keturunanku); bukannya: وَذُرِّيَّتِي (dan keturunanku). Nabi Ibrahim عليه السلام meminta supaya keturunannya menjadi imam juga kerana baginda tahu ajaran yang dibawanya akan menjadi ikutan. Maka baginda mengharap supaya akan ada yang mentadbir selepas baginda tiada nanti.
Tapi lihatlah cara Nabi Ibrahim عليه السلام meminta. Baginda bermohon kepada Allah ﷻ selepas baginda telah melakukan suruhan dan ujian Allah ﷻ. Begitulah juga kita, seeloknya kita berdoa selepas kita telah melakukan ibadat kepada Allah ﷻ, sama ada salat, baca Al-Qur’an, tolong orang lain dan sebagainya. Iaitu selepas kita melakukan taat kepada Allah ﷻ kerana waktu itu doa kita lebih diterima.
قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي ٱلظَّـٰلِمِينَ
Allah jawab: tidak akan terima perjanjian ini kepada orang yang zalim;
Walaupun seseorang itu adalah anak cucu Nabi Ibrahim عليه السلام, tetapi kalau dia melakukan syirik, dia tidak akan diterima untuk menjadi imam, untuk jadi ikutan. Maknanya, bukanlah Allah ﷻ tidak kabulkan, tapi Allah ﷻ beritahu, bukan semua dari keturunannya yang akan imam. Memang ramai dari keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام seperti Nabi Ishak عليه السلام yang menjadi Nabi dan rasul. Memang tidak dinafikan ramai daripada keturunan baginda yang beriman. Namun ada juga yang sesat dan zalim. Zalim di dalam ayat ini adalah bermaksud syirik kepada Allah ﷻ. Allah ﷻ kata golongan zalim tidak akan dapat mencapai kedudukan Imam itu. Maknanya ada keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام yang zalim juga.
Allah ﷻ hendak memberitahu Nabi Ibrahim عليه السلام bahawa bukan semua dari keturunannya akan jadi baik. Ada juga yang tidak menjadi, kerana iman bukan boleh diwarisi. Kalau Allah ﷻ telah memberikan sesuatu kelebihan kepada seseorang, bukanlah bermakna keturunannya pun akan dapat juga. Jadi janganlah kita mengagungkan keturunan, walaupun keturunan itu dari keturunan Rasulullah ﷺ sekalipun. Sedangkan keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام sendiri tidak diterima secara menyeluruh. Sekarang ini sudah ada satu pemahaman di kalangan masyarakat kita yang mengagung-agungkan keturunan Nabi Muhammad ﷺ. Iaitu yang dipanggil golongan Habib. Ini adalah produk rekaan baru manusia kerana kalau dahulu kita tidak dengar pun golongan ini. Mereka kebanyakannya datang dari Yaman dan mereka telah mengelabui mata mereka yang jahil dalam negara kita ini.
Ramai masyarakat kita yang menerima bulat-bulat amalan dan ajaran daripada mereka itu walaupun apa yang mereka ajar itu bukanlah bawaan dari Nabi Muhammad ﷺ. Tetapi, kerana masyarakat kita sayang kepada Nabi ﷺ, maka mereka sangka betullah anak cucu keturunan baginda juga. Ini adalah fahaman yang cetek sangat. Ingatlah bahawa kalau benar pun mereka dari keturunan Nabi ﷺ (ini pun belum tentu lagi sebenarnya), tetapi kalau apa yang mereka bawa itu adalah ajaran dan amalan bidaah, ia tetap tidak akan diterima. Maka golongan Habib ini kena ditolak dan dibongkarkan kesesatan mereka.
Masyarakat kita pun kalau ada di kalangan mereka yang ada Sayed, atau Syed sahaja sudah layan mereka lain macam. Ketahuilah bahawa tidak ada kelebihan apa-apa kalau pun mereka memang benar daripada keturunan Nabi ﷺ. Mereka juga sama macam kita. Kalau apa yang mereka amalkan itu benar, akan diterima. Malah mereka lebih lagi daripada kita kerana mereka itu keturunan Rasulullah ﷺ. Tetapi kalau amalan mereka itu salah, tetap tidak akan diterima walaupun mereka daripada keturunan Nabi Muhammad ﷺ yang sah pun.
Ayat di atas juga mengisyaratkan bahawa kepemimpinan dan ketauladan harus berdasarkan kepada keimanan dan ketakwaan, pengetahuan, dan keberhasilan dalam aneka ujian. Kerana itu kepemimpinan tidak akan dapat dianugerahkan oleh Allah kepada orang-orang yang zalim, yakni yang melakukan aniaya
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 15 November 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Jalalain
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
TafsirWeb
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
