BALASAN KEPADA ORANG BERIMAN
Baqarah Ayat 25: Ini adalah ayat tabshir – berita gembira. Berita gembira kepada orang-orang beriman. Kalau sebelum ini telah disebut orang kafir, sekarang disebut orang berjaya pula. Ini adalah kebiasaan Al-Qur’an, setelah menyebut satu kumpulan maka kemudian akan dibandingkan dengan kumpulan yang lain pula. Kalau menolak Al-Qur’an maka akan dimasukkan ke dalam neraka, sebaliknya kalau beriman dengannya maka akan dimasukkan ke dalam syurga. Apabila kita sudah terima Allah ﷻ yang Maha Esa, dan terima Nabi Muhammad ﷺ sebagai Rasul, dan kita terima cara hidup yang diredhai oleh Allah ﷻ, kita akan berjaya.
وَبَشِّرِ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ أَنَّ لَهُم جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ ۖ كُلَّما رُزِقوا مِنها مِن ثَمَرَةٍ رِّزقًا ۙ قالوا هٰذَا الَّذي رُزِقنا مِن قَبلُ ۖ وَأُتوا بِهِ مُتَشٰبِهًا ۖ وَلَهُم فيها أَزوٰجٌ مُّطَهَّرَةٌ ۖ وَهُم فيها خٰلِدونَ
And give good tidings to those who believe and do righteous deeds that they will have gardens [in Paradise] beneath which rivers flow. Whenever they are provided with a provision of fruit therefrom, they will say, “This is what we were provided with before.” And it is given to them in likeness. And they will have therein purified spouses, and they will abide therein eternally.
Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: “Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu”; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.
وَبَشِّرِ الَّذِينَ ءآمَنُوا
Dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang telah beriman,
Sekurang-kurangnya mereka kenalah beriman dengan Rukun-rukun Iman. Namun itu pun tidaklah cukup sebenarnya kerana yang dapat masuk ke dalam syurga adalah orang-orang yang beriman ‘sempurna’. Bukan setakat beriman sahaja tetapi mestilah iman sempurna. Iaitu mereka yang tidak membuat syirik kepada Allah ﷻ. Itulah yang bermaksud beriman sempurna, kerana kalau beriman sahaja tidak cukup. Ini kerana ada yang beriman dengan Allah ﷻ, namun dalam masa yang sama, dia beriman kepada entiti selain Allah ﷻ juga. Mereka sangka ada entiti selain Allah ﷻ yang ada kuasa Allah ﷻ walaupun tidak selengkap kuasa Allah ﷻ. Itu maksudnya iman mereka tidak sempurna.
Maka untuk mendapat iman sempurna, seorang Muslim itu mestilah faham apa itu iman dan apa itu syirik kerana kalau setakat tahu iman sahaja, tetapi tidak tahu tentang syirik, mungkin seseorang itu melakukan syirik tanpa disedarinya. Untuk tahu tentang syirik dan iman, ia disentuh di dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an. Maka seseorang itu tidak sempurna imannya jikalau dia tidak belajar tafsir Al-Qur’an dengan lengkap.
Dalam ayat ini, Allah ﷻ suruh Nabi Muhammad ﷺ yang beritahu kepada orang yang beriman itu. Wajib bagi baginda untuk menyampaikannya kerana kalimah بَشِّرِ itu adalah di dalam bentuk perintah. Allah ﷻ tidak terus berikan sendiri berita gembira itu. Ini adalah kerana orang yang beriman, kena juga percaya kepada Nabi Muhammad ﷺ. Tidak boleh hanya percaya kepada Allah ﷻ sahaja.
Tambahan pula Al-Qur’an yang disampaikan ini disampaikan melalui mulut Nabi ﷺ kepada kita. Kalau kita tidak percayakan Nabi, bagaimana boleh kita percayakan Al-Qur’an dan Allah ﷻ? Sedangkan kita tidak dapat melihat Allah ﷻ. Maka, keimanan itu bukan hanya percaya kepada Allah ﷻ, taetpi memerlukan kita percaya kepada Nabi Muhammad ﷺ juga. Maka, dalam ayat ini juga adalah konsep Risalah yang disampaikan.
Kalimah بَشِّرِ adalah daripada kata dasar ب ش ر yang bermaksud kulit, kecantikan, berita gembira, tidur bersama, golongan manusia. Apa kaitan kulit dengan gembira? Ini adalah kerana kegembiraan manusia itu tampak pada wajahnya.
Kita manusia memang suka berita gembira seperti dapat anak, dapat harta, dapat naik pangkat dan sebagainya. Di dalam ayat ini berita gembira lagi hebat iaitu dapat masuk ke dalam syurga. Akan tetapi untuk merealisasikan berita gembira ini, kena ingat yang kita kenalah ikut seperti apa yang Allah ﷻ dan Rasul-Nya suruh kita lakukan.
Untuk mendapat efek berita gembira ini, hendaklah kita tahu apa yang kita akan dapat di dalam syurga itu. Kalau setakat kata di syurga itu ‘sedap’, ‘tempat best’, belum cukup lagi. Kena tahulah serba sedikit apa yang akan didapati di syurga itu. Ia adalah tempat yang tidak ada kerja, tidak ada ibadah, tidak tidur, tidak lapar, tidak ada kerisauan. Ia adalah tempat untuk memuaskan syahwat sahaja. Tubuh kita akan dinaiktaraf untuk mampu menerima segala nikmat itu, nafsu berhubungan kelamin akan naik, nafsu makan akan naik. Tidak ada perasaan buruk, menyedihkan atau apa-apa sahaja emosi yang tidak menyenangkan. Ini semua untuk dibayangkan supaya kita memang rasa kegembiraan itu. Kalau tidak ada maklumat ini, maka kita akan baca ‘kosong’, sambil lalu sahaja tanpa memberi kesan kepada kita.
Ini penting kerana Allah ﷻ sebut di sini وَبَشِّرِ الَّذينَ ءآمَنوا (dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang beriman). Maka jikalau kita tidak gembira, maknanya kita bukanlah orang-orang beriman, bukan? Oleh itu, kalau kita beriman, memang kita sepatutnya akan bergembira.
وَعَمِلُوا الصّٰالِحٰتِ
dan mereka yang beramal dengan amalan-amalan yang soleh
Iaitu dengan melakukan amalan sepertimana yang diajar oleh Nabi ﷺ. Allah ﷻ mengkhususkan dalam ayat ini, bukan setakat ‘beriman’ sahaja, tetapi kenalah buat amalan yang baik – amal soleh. Amalan yang soleh dan baik itu adalah apa yang diajar dan dibuat oleh Nabi ﷺ. Bukan yang kita manusia reka sendiri.
Amalan yang diterima hanyalah amalan yang soleh. Bukan ‘amalan’ sahaja, tetapi ‘amalan yang soleh’. Iaitu amalan yang menepati seperti yang diajar oleh Nabi ﷺ. Oleh itu, kalau amalan itu adalah amalan bid’ah seperti yang banyak dilakukan oleh masyarakat Muslim kita sekarang, maka ia tidak diterima. Oleh itu, syarat untuk diterima sesuatu amalan itu mestilah:
Ikhlas
Ikut Sunnah Rasulullah ﷺ
Kalau Allah ﷻ sebut ‘orang-orang yang beriman’ sahaja, ia mungkin termasuk orang-orang yang beriman sedikit sahaja, atau orang munafik, sebab mereka pun mengaku beriman juga. Maka, Allah ﷻ masukkan sekali dengan satu lagi syarat – beramal soleh supaya orang-orang yang tidak beramal itu jangan perasan boleh masuk ke dalam syurga.
Allah ﷻ menggunakan kalimah الصّٰالِحٰتِ yang di dalam bentuk jamak, tetapi jamak yang sedikit. Istilahnya adalah ‘jamak qillah’. Maksudnya tidaklah amal itu kena banyak. Di dalam ayat-ayat yang lain, Allah ﷻ sebut amal yang terbaik. Maka ia memberikan kelegaan kepada kita juga supaya tidaklah kita rasa terbeban dengan rasa terpaksa melakukan amal yang banyak. Kita buat yang termampu sahaja, ikut apa yang kita boleh buat. Bukannya kita kena ikut kuantiti amal orang lain kerana yang terlebih penting adalah kualiti.
Selain daripada syarat ibadah diterima, ada lagi syarat ketika melakukan ibadah itu iaitu kena ada mahabbah dan ta’zim.
Mahabbah bermaksud cinta kepada Allah ﷻ. Bukankah kalau kita cinta kepada seseorang, senang sahaja kita berkhidmat kepadanya? Sebagai contoh isteri kita yang kita cintai meminta kita buat sesuatu, senang sahaja kita buat, bukan? Begitu juga kalau ada rasa cinta kepada Allah ﷻ, maka senang untuk kita melakukan ibadah. Kalau kita tidak ada rasa itu, maka berat bagi kita hendak melakukan ibadah seperti solat contohnya. Maka Allah ﷻ tidak terima ibadah sebegitu seperti firman-Nya di dalam Nisa’: 142 mengutuk solat orang Munafik,
إِنَّ المُنٰفِقينَ يُخٰدِعونَ اللهَ وَهُوَ خٰدِعُهُم وَإِذا قاموا إِلَى الصَّلوٰةِ قاموا كُسالىٰ يُراءونَ النّاسَ وَلا يَذكُرونَ اللهَ إِلّا قَليلًا
Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).
Ta’zim bermaksud mengagungkan Allah ﷻ. Umumnya terbit daripada perasaan kerendahan dan kelemahan dalam diri. Ta’zim kepada Allah ﷻ terbit daripada rasa kehambaan dan kehinaan kepada-Nya. Apabila kita ada rasa ini ketika melakukan ibadah, maka kita akan merendahkan diri di hadapan Allah ﷻ semasa melakukannya dan inilah sikap yang perlu ada. Tidak diterima ibadah daripada orang yang sombong dengan Allah ﷻ. Apabila ada rasa ta’zim ini maka kita akan takut untuk melakukan dosa, terutama sekali meninggalkan ibadah yang wajib kepada-Nya.
أَنَّ لَهُمْ جَنّٰتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهٰرُ
bahawa bagi mereka itu kebun-kebun (Syurga) yang mengalir di bawahnya, anak-anak sungai;
Mereka yang layak akan dimasukkan ke dalam جَنّٰتٍ yang dari segi bahasa bermaksud taman-taman. Di dalam bahasa kita dipanggil ‘syurga’. Kalimah ‘syurga’ daripada bahasa Sanskrit suarga atau sawarga. Akhirnya kita menggunakannya menjadi syurga. Kalimah جَنّٰتٍ juga bermaksud seorang penghuni syurga bukan sahaja dapat sebuah taman tetapi banyak taman kerana kalimah جَنّٰتٍ itu di dalam bentuk jamak.
Allah ﷻ sebut ‘sungai-sungai’ mengalir di bawah syurga. Kenapa? Manusia memang sukakan air. Kalau sekarang pun, kalau rumah itu jenis yang ‘oceanview’, harganya akan mahal. Itu adalah kawasan perumahan yang paling mahal. Sebab naluri manusia memang suka kepada air. Yang lagi mahal adalah rumah yang di bawahnya adalah air. Allah ﷻ beri perumpamaan kepada manusia bahawa kalau mereka beriman sempurna, mereka akan diberikan dengan rumah yang amat hebat.
Naluri manusia memang hendakkan tempat tinggal yang baik. Selagi tidak ada rumah, selagi itu mereka rasa tidak lengkap. Ramai yang sanggup berhutang bertahun-tahun asalkan mereka ada rumah yang mereka boleh kata itu adalah rumah mereka sendiri.
Syurga itu adalah taman yang indah tetapi bukan ada pokok-pokok sahaja, malah ada sungai-sungai. Sungai-sungai itu mengalir di dalam syurga itu. Ini amat indah sekali. Tambahan pula kepada bangsa Arab waktu itu yang jarang dapat melihat sungai kerana tempat mereka hanya ada padang pasir sahaja. Maka ini sangat menarik perhatian mereka dan dapat memberi motivasi yang amat tinggi kepada mereka.
Allah ﷻ banyak kali menyebut tentang sungai-sungai di dalam Al-Qur’an untuk memberitahu motivasi kepada kita untuk beriman dan beramal. Ini kerana manusia memang sukakan air seperti sungai. Ramai yang suka berkelah di sungai tetapi kena pergi jauh sebab sungai selalunya jauh dari tempat tinggal kita. Apatah lagi orang Arab yang mungkin tidak pernah melihat sungai pun, dengar cerita sahaja. Maka Allah ﷻ hendak menarik perhatian manusia.
Di sini tidak disebut apakah jenis sungai itu tetapi disebut di dalam ayat yang lain iaitu Muhammad: 15
فيها أَنهارٌ مِّن مّاءٍ غَيرِ ءآسِنٍ وَأَنهٰرٌ مِّن لَّبَنٍ لَّم يَتَغَيَّر طَعمُهُ وَأَنهٰرٌ مِّن خَمرٍ لَّذَّةٍ لِّلشّٰرِبينَ وَأَنهٰرٌ مِّن عَسَلٍ مُّصَفًّى
ada sungai-sungai daripada air yang tiada berubah rasa dan baunya, sungai-sungai daripada air susu yang tidak berubah rasanya, sungai-sungai daripada khamr yang lazat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai daripada madu yang disaring
Cerita tentang sungai ini pun sudah hebat kerana ia tidak sama dengan sungai di dunia ini. Ini semua untuk menaikkan semangat kita untuk memasuki syurga.
Allah ﷻ kata bahawa Dia boleh berikan rumah yang paling baik kepada mereka. Tidak ada rumah yang lagi baik dari tempat tinggal yang Allah ﷻ akan berikan ini. Tambahan pula, pendengar ayat ini yang awalnya adalah para sahabat yang telah berkorban meninggalkan rumah dan kampung halaman mereka di Mekah untuk berhijrah ke Madinah. Allah ﷻ mahu sejukkan hati mereka dengan mengatakan bahawa mereka akan diberikan rumah yang lebih baik daripada yang mereka tinggalkan itu. Pengorbanan mereka tidak sia-sia.
Apa lagi penerangan tentang syurga? Kita boleh dapat maklumat daripada hadith-hadith Nabi yang banyak tentang hal ini. Antaranya,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا لَنَا إِذَا كُنَّا عِنْدَكَ رَقَّتْ قُلُوبُنَا وَزَهِدْنَا فِي الدُّنْيَا وَكُنَّا مِنْ أَهْلِ الْآخِرَةِ فَإِذَا خَرَجْنَا مِنْ عِنْدِكَ فَآنَسْنَا أَهَالِينَا وَشَمَمْنَا أَوْلَادَنَا أَنْكَرْنَا أَنْفُسَنَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ أَنَّكُمْ تَكُونُونَ إِذَا خَرَجْتُمْ مِنْ عِنْدِي كُنْتُمْ عَلَى حَالِكُمْ ذَلِكَ لَزَارَتْكُمْ الْمَلَائِكَةُ فِي بُيُوتِكُمْ وَلَوْ لَمْ تُذْنِبُوا لَجَاءَ اللَّهُ بِخَلْقٍ جَدِيدٍ كَيْ يُذْنِبُوا فَيَغْفِرَ لَهُمْ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ مِمَّ خُلِقَ الْخَلْقُ قَالَ مِنْ الْمَاءِ قُلْنَا الْجَنَّةُ مَا بِنَاؤُهَا قَالَ لَبِنَةٌ مِنْ فِضَّةٍ وَلَبِنَةٌ مِنْ ذَهَبٍ وَمِلَاطُهَا الْمِسْكُ الْأَذْفَرُ وَحَصْبَاؤُهَا اللُّؤْلُؤُ وَالْيَاقُوتُ وَتُرْبَتُهَا الزَّعْفَرَانُ مَنْ دَخَلَهَا يَنْعَمُ لَا يَبْأَسُ وَيَخْلُدُ لَا يَمُوتُ لَا تَبْلَى ثِيَابُهُمْ وَلَا يَفْنَى شَبَابُهُمْ ثُمَّ قَالَ ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ الْإِمَامُ الْعَادِلُ وَالصَّائِمُ حِينَ يُفْطِرُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ يَرْفَعُهَا فَوْقَ الْغَمَامِ وَتُفَتَّحُ لَهَا أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَيَقُولُ الرَّبُّ عَزَّ وَجَلَّ وَعِزَّتِي لَأَنْصُرَنَّكِ وَلَوْ بَعْدَ حِينٍ
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] berkata: Kami berkata: Wahai Rasulullah, kenapa kami bila berada di dekat engkau, hati kami melunak, kami zuhud di dunia dan kami termasuk ahli akhirat, tetapi bila kami bergegas meninggalkan engkau lalu kami bergaul dengan keluarga kami, mencium anak-anak kami, kami mengingkari diri kami sendiri. Rasulullah ﷺ bersabda: “Andai kalian bila pergi meninggalkanku berada dalam keadaan kalian seperti itu, nescaya para malaikat mengunjungi kalian di rumah-rumah kalian dan seandainya kalian tidak berbuat dosa, nescaya Allah menciptakan makhluk baru agar mereka berbuat dosa lalu Allah akan mengampuni mereka.” Berkata Abu Hurairah: Aku berkata: Wahai Rasulullah, daripada apa makhluk diciptakan? Rasulullah ﷺ menjawab: “Daripada air.” Kami bertanya: Syurga, apa bangunannya? Baginda menjawab: Bata daripada perak dan bata daripada emas, simennya minyak kasturi yang harum, tanahnya mutiara dan permata, debunya za’faran, barangsiapa memasukinya, dia bersenang-senang dengan tidak jemu, kekal, tidak mati, baju mereka tidak usang, kemudaan mereka tidak lenyap.” Setelah itu baginda bersabda: “Tiga orang yang doanya tidak tertolak; imam yang adil, orang puasa saat berbuka dan doa orang yang terzalimi, doanya diangkat di atas awan dan pintu-pintu langit dibukakan, Rabb عَزَّ وَجَلَّ berfirman: Demi keperkasaan-Ku, aku akan menolongmu meski setelah selang berapa lama.”
(Jami’ Tirmizi (2449) dengan sanad yang sahih)
Walaupun begitu, hadith-hadith itu sebagai bayangan sahaja kepada kita kerana di dalam hadith yang lain, Rasulullah ﷺ telah bersabda di dalam sebuah Hadith Qudsi,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ أَعْدَدْتُ لِعِبَادِيَ الصَّالِحِينَ مَا لَا عَيْنٌ رَأَتْ وَلَا أُذُنٌ سَمِعَتْ وَلَا خَطَرَ عَلَى قَلْبِ بَشَرٍ قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ وَمِنْ بَلْهَ مَا قَدْ أَطْلَعَكُمْ اللَّهُ عَلَيْهِ اقْرَءُوا إِنْ شِئْتُمْ { فَلَا تَعْلَمُ نَفْسٌ مَا أُخْفِيَ لَهُمْ مِنْ قُرَّةِ أَعْيُنٍ جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ } قَالَ وَكَانَ أَبُو هُرَيْرَةَ يَقْرَؤُهَا مِنْ قُرَّاتِ أَعْيُنٍ
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “Allah عَزَّ وَجَلَّ berfirman; “Aku persiapkan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga, dan tidak pernah terlintas pada hati manusia.” Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; “Barangsiapa di antara kalian yang benaknya telah di perlihatkan, maka bacalah, jika kalian mahu: “Seorang pun tidak akan mengetahui apa yang disembunyikan bagi mereka iaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyedapkan pandangan mata, sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.” Sajdah: 17.
(Sahih Bukhari (4319))
Syarah: perhatikan susunan hadith ini. Allah ﷻ sebut mata – telinga – hati. Kenapa ikut susunan ini? Kerana mata itu hanya dapat melihat di hadapan sahaja, maka ia terhad. Akan tetapi telinga dapat mendengar dari semua arah, maka ia lebih lagi daripada mata. Namun hati itu dapat membayangkan lebih lagi walaupun benda yang tidak pernah dilihat atau didengari. Allah ﷻ beritahu kita di sini, jangankan mata yang terhad dan telinga yang lebih luas itu tidak pernah lihat dan dengar keadaan di dalam syurga, hati yang lebih luas itu pun tidak akan dapat membayangkan syurga yang amat hebat itu.
كُلَّمَا رُزِقُوا مِنْهَا مِنْ ثَمَرَةٍ رِّزْقًا
Setiap kali mereka diberi daripada buah dari syurga sebagai rezeki;
Di syurga nanti, bermacam-macam buah mereka boleh dapat. Bukanlah hanya dapat makan buah sahaja di syurga; tetapi diberikan contoh buah kerana masyarakat Arab sangat suka makan buah. Bukan hanya buah yang mereka pernah lihat di dunia, tetapi buahan yang mereka tidak pernah lihat pun mereka akan dapat juga nanti. Buah-buahan ini semua orang suka dan ia bukanlah makanan yang ruji. Seperti nasi atau roti, bukannya sedap pun kalau dimakan kosong. Namun kita makan kerana ia makanan yang mengenyangkan. Sedangkan buah ini manusia makan bukan untuk kenyang tetapi kerana ia sedap.
Mereka diberi rezeki dengan percuma, tanpa kerja dan tanpa usaha. Kalau di dunia ini rezeki memang daripada Allah ﷻ, tetapi kita tetap kena usaha. Akan tetapi di syurga nanti, memang tunggu sahaja rezeki sampai. Malah tidak perlu usaha untuk makan, kerana semuanya dimudahkan. Hendak makan sahaja, makanan sampai tanpa perlu pergi ke tempat makan, apatah lagi memasaknya. Allah ﷻ beritahu kita di dalam Haqqah: 23
قُطوفُها دانِيَةٌ
buah-buahannya dekat,
قَالُوا هَٰذَا الَّذِي رُزِقْنَا مِنْ قَبْلُ
mereka berkata: ini adalah buah yang pernah diberi kepada kami sebelumnya
Mereka kata rezeki itu pernah diberi dahulu kepada mereka. Ada dua kemungkinan: sama ada diberi semasa di dunia dahulu atau telah diberikan di akhirat sebelum itu.
Oleh itu, mungkin penghuni syurga diberi sesuatu yang nampak seperti sama dengan apa yang ada semasa di dunia. Mungkin nampak seperti buah durian, tetapi tentunya rasa yang lain. Ia nampak sama, tetapi rasanya lebih sedap lagi daripada buah durian dunia.
Atau, kalau yang dimaksudkan adalah benda sama seperti yang pernah diterima sebelum itu di syurga juga, maknanya mereka sudah pernah makan. Iaitu ia yang mempunyai rupa yang sama, tetapi apabila diberi lagi, rasanya sudah berlainan kerana ia bertambah sedap lagi.
Kata-kata mereka ini bukan menunjukkan bahawa apabila mereka nampak buah itu, mereka rasa tidak suka sebab dapat buah yang sama. Tidak begitu. Mereka suka apabila nampak buah itu lagi. Sebab mereka sudah pernah makan, dan mereka tahu buah itu sedap sangat. Bukankah pernah kita makan sesuatu yang kita ingat makanan itu sedap, dan apabila kita jumpa lagi, kita mahu makan lagi sebab kita masih ingat kesedapan makanan itu? “Ini aku dah pernah makan ni…. sedap….!”. Tentu ada. Beginilah perasaan mereka.
Mengapa Allah ﷻ menyerupakan buah-buah yang dihidangkan itu dengan apa yang telah diberikan sebelumnya? Tampaknya, agar mereka tidak ragu memakannya, kerana sesuatu yang belum pernah dicuba boleh jadi menimbulkan tanda tanya di dalam benak yang dapat mengakibatkan seseorang enggan mencicipinya.
وَأُتُوا بِهِ مُتَشٰبِهًا
dan telah diberikan yang serupa dengannya;
Buah itu nampak seperti sama dengan buah yang mereka pernah rasa dulu. Mereka ingat lagi memang buah itu sedap. Namun, buah-buah yang mereka makan berubah-ubah semakin sedap dan semakin sedap lagi. Ia lebih sedap daripada apa yang mereka pernah makan dulu. Walaupun mungkin nampak sahaja sama.
Kemudian nanti, mereka akan diberikan dengan buah yang nampak sama. Waktu itu pun mereka ingat sedap lagi, sama seperti yang mereka pernah makan, tetapi ia akan jadi lagi sedap lagi. Masya Allah, semoga kita dapat menikmati kenikmatan itu nanti.
Begitu juga dengan orang yang duduk dalam syurga itu sendiri, mereka semakin lama semakin cantik. Semua perkara semakin sedap, semakin wangi dan sebagainya. Tidak akan jemu-jemu, sampai bila-bila.
وَلَهُمْ فِيهَا أَزْوٰجٌ مُّطَهَّرَةٌ
Dan bagi mereka itu pasangan-pasangan yang disucikan;
Sebuah rumah tidak lengkap jikalau tidak ada pasangan. Kita makhluk sosial yang suka mempunyai pasangan dan teman. Berkenaan tempat tinggal dan makanan telah disebut dengan hebat tadi. Sekarang, Allah ﷻ sebut yang Allah ﷻ tambah kehidupan yang hebat itu dengan pasangan hidup.
Pasangan pula bukanlah pasangan seperti di dunia iaitu di syurga nanti kita akan diberikan dengan pasangan yang tidak ada perasaan hasad dengki, cemburu, riak dan sebagainya. Tuhan sudah membuang belaka perasaan yang tidak elok itu. Pasangan itu suci dari segi perangai, percakapan mereka dan sebagainya. Ini kerana mereka disucikan oleh Allah. Kalimah مُطَهَّرَةٌ perlu untuk diterjemahkan sebagai bentuk pasif (disucikan) dan bukan suci bersih.
Fizikal mereka juga sempurna. Bau busuk dan tidak menyenangkan tidak langsung ada pada mereka. Kalau wanita, tidak ada haid kerana haid itu adalah sesuatu yang kotor. Tidak ada najis keluar daripada mereka. Dalam syurga, tidak akan ada yang buang najis. Makan banyak mana pun, tidak perlu pergi ke tandas untuk buang air. Ia hanya akan keluar sebagai peluh dan peluh itu berbau wangi.
Oleh itu, pasangan yang diberikan adalah yang suci bersih. Iaitu suci bersih dari segi fizikal dan dari segi akhlak. Tidak ada kekotoran apa-apa seperti pasangan yang di dunia. Malah bukan itu sahaja, akhlaknya pun amat molek sekali. Kerana di dunia, ada orang yang cantik tetapi perangai tidak molek. Kalau kita sayang bagaimana sekalipun, sekali sekala akan menjemukan juga. Kadang-kadang pening kepala kita juga untuk melayan karenah mereka. Namun di syurga kelak, penghuni syurga akan diberi pasangan yang molek fizikalnya dan molek akhlaknya.
Maka memang syurga adalah tempat memuaskan nafsu sahaja. Sampaikan sibuk menikmati segala macam nikmat itu, tidak ingat benda yang lain. Allah ﷻ beritahu keadaan ahli syurga itu di dalam Yaasin: 55
إِنَّ أَصحٰبَ الجَنَّةِ اليَومَ في شُغُلٍ فٰكِهونَ
Sesungguhnya penghuni syurga pada hari itu bersenang-senang dalam kesibukan.
Di dunia tentulah kita tidak dapat semua itu kerana memang dunia adalah tempat ujian dan penuh dengan kekurangan. Janganlah diharap kesempurnaan daripada pasangan kita pula. Tidak akan dapat lagi seperti yang akan ada di syurga itu. Allah ﷻ telah menasihati kita di dalam Nisa’: 19
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ فَإِن كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا
Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).
وَهُمْ فِيهَا خٰلِدُونَ
Mereka duduk dalam syurga kekal buat selama-lamanya;
Kalau duduk sebentar pun tidak hebat kerana nikmat yang tidak kekal bukanlah nikmat sebenarnya. Contohnya kita dapat duduk di hotel paling mahal di dunia pun, kita tahu di dalam hati kita yang tempat itu bukan milik kita dan kita akan keluar juga dari hotel itu akhirnya. Mendapat tempat yang kekal menjadi cita-cita semua orang yang normal. Sebab itu ramai yang bergolok gadai untuk membeli rumah daripada menyewa. Kerana kalau duduk rumah sewa, ada kemungkinan kita akan dihalau sekiranya tuan punya mahukan rumahnya itu. Allah ﷻ yang buat kita tahu kehendak kita, maka syurga bukan seperti kehidupan di dunia kerana di syurga ahli syurga akan tinggal untuk selama-lamanya. Penghuninya akan mengecapi kenikmatan selama-lamanya. Tidak ada ketakutan kemungkinan dihalau dari syurga itu. Ahli syurga pun tidak akan berfikir untuk berhijrah dari syurga itu kerana nikmatnya yang hebat. Ini seperti disebut dalam Kahf: 108
خٰلِدينَ فيها لا يَبغونَ عَنها حِوَلًا
Mereka kekal di dalamnya, (dan) tidak ingin berpindah daripadanya.
Di dunia ini, kita tidak boleh kata kita akan dapat tinggal di sesuatu tempat itu sampai bila-bila. Sesiapa pun tidak boleh kata begitu kerana belum tentu lagi dia berterusan di situ. Berapa banyak manusia yang sangka mereka akan tinggal terus di sesuatu negara, tetapi terpaksa meninggalkan negara yang mereka sayangi kerana peperangan dan sebagainya? Berapa ramai yang beli rumah sendiri tetapi terpaksa meninggalkan rumah itu kerana malapetaka seperti tanah runtuh dan sebagainya?
Allah ﷻ beri jaminan bahawa tempat tinggal mereka di Syurga itu nanti adalah yang kekal abadi. Semoga kita semua menjadi ahli Syurga hendaknya. Mereka akan hidup bergembira dalam keredhaan Allah ﷻ. Semoga Allah ﷻ memilih kita untuk memasuki syurga dan tinggal selama-lamanya di sana. Ameen.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 12 Jun 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Assalam.
Tuan, saya ingin bertanya..
Adakah kita hanya boleh menyebut atau mengucap ‘LA ILAHA ILLAH ALLAH’, MUHAMMADUR RASULLAH ‘ sahaja TETAPI tidak boleh digunakan untuk berzikir.. betul ker tuan? Mohon maaf tuan jika saya terkhilaf tentang perkara tersebut.
LikeLike
zikir hanya LA ILAHA ILLAH ALLAH sahaja. LA ILAHA ILLAH ALLAH’, MUHAMMADUR RASULLAH adalah syahadah dan tidaklah diulang-ulang seperti zikir.
LikeLiked by 1 person