Yaasin Ayat 60: Kenapa Allah ﷻ tidak boleh dikatakan sebagai zalim? Kerana Allah ﷻ telah beri peringatan kepada kita semua. Dari awal kejadian kita lagi Allah ﷻ telah beri peringatan tentang syaitan.
۞ أَلَم أَعهَد إِلَيكُم يٰبَني ءآدَمَ أَن لّا تَعبُدُوا الشَّيطٰنَ ۖ إِنَّهُ لَكُم عَدُوٌّ مُّبينٌ
Sahih International
Did I not enjoin upon you, O children of Adam, that you not worship Satan – [for] indeed, he is to you a clear enemy –
“Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!
أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يٰبَنِي ءآدَمَ
Bukankah Aku telah ambil perjanjian dengan kamu wahai anak cucu Adam
Kalimah أَلَمْ di sini adalah dalam bentuk istifham (soalan) tetapi bukanlah Allah ﷻ hendak bertanya tetapi ia adalah dalam bentuk At-Taqrir (Penetapan/Pengakuan): Pertanyaan yang jawapannya sudah diketahui dan bertujuan untuk mengukuhkan atau menetapkan sesuatu dalam fikiran pendengar. Jadi ia sebenarnya bermakna ‘sesungguhnya’. Macam kita cakap dengan orang: “Bukan aku dah cakap ke dengan kau?”
Allah ﷻ mengingatkan kembali kepada orang-orang yang berdosa itu yang Dia telah pernah beritahu kita tentang syaitan dan telah mengambil perjanjian dengan kita supaya jangan sembah syaitan. Sekarang ini kamu dipisahkan ini kerana kesalahan kamu sendiri yang menyembah syaitan itulah. Maka kepada kita sekarang, Allah ﷻ mengingatkan kita dengan perjanjian kita dengan-Nya semasa alam roh lagi dan juga semasa kita hidup di dunia. Kita sahaja yang sudah lupa akan perjanjian itu maka kerana itu peringatan sentiasa diberikan kepada kita di dalam ayat-ayat Al-Qur’an. Allah ﷻ berfirman di dalam A’raf: 172
وَإِذ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَني ءآدَمَ مِن ظُهورِهِم ذُرِّيَّتَهُم وَأَشهَدَهُم عَلىٰ أَنفُسِهِم أَلَستُ بِرَبِّكُم ۖ قالوا بَلىٰ ۛ شَهِدنا ۛ أَن تَقولوا يَومَ القِيٰمَةِ إِنّا كُنّا عَن هٰذا غٰفِلينَ
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) daripada (tulang) belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firman-Nya): “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”.
Perhatikan Allah ﷻ menggunakan kata ‘Aku’ di dalam أَعْهَدْ sedangkan di dalam banyak ayat, Allah ﷻ menggunakan istilah kami. Jarang Allah ﷻ menggunakan kataganti diri ‘Aku’ maka kita kena perhatikan kenapa.
1. Kerana pesan itu daripada-Nya sendiri, datang daripada Allah ﷻ sendiri. Maka ia menunjukkan kepentingan peringatan dan pesan itu.
2. Digunakan kerana dalam bab ibadah dan menghambakan diri kita kepada-Nya, ia tidak melibatkan selain daripada-Nya. Sebagai contoh kalau tentang beri rezeki, Allah ﷻ menggunakan kataganti ‘Kami’ kerana ada para malaikat yang menurunkan rezeki itu. Sebaliknya dalam bab sembah, kita hanya sembah Allah ﷻ semata.
Allah ﷻ sekarang bercakap dengan manusia akan tetapi Allah ﷻ gunakan istilah anak cucu Adam untuk merujuk kepada manusia. Allah ﷻ tidak gunakan insan, nas, basyar di dalam ayat ini. Penggunaan istilah Allah ﷻ semestinya ada sebab tertentu. Apabila digunakan istilah anak cucu Adam, Allah ﷻ sebenarnya hendak menyentuh tentang sejarah manusia yang berasal daripada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Dalam kes ini Allah ﷻ hendak merujuk kepada kisah-kisah yang melibatkan iblis dan permusuhannya dengan manusia sejak zaman Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Allah ﷻ hendak mengingatkan yang permusuhan antara manusia dan iblis/syaitan itu telah berakar umbi sejak dari mula penciptaan manusia lagi yang entah berapa ribu tahun kita pun tidak tahu. Maka ia tidak akan berkurang dan tidak akan gencatan senjata daripada mereka. Iblis dan syaitan tidak akan berhenti untuk menghasut dan menyesatkan manusia. Allah ﷻ mengingatkan kepada kita semua di dalam A’raf: 27
يَـٰبَنِىٓ ءَادَمَ لَا يَفۡتِنَنَّڪُمُ ٱلشَّيۡطَـٰنُ كَمَآ أَخۡرَجَ أَبَوَيۡكُم مِّنَ ٱلۡجَنَّةِ يَنزِعُ عَنۡہُمَا لِبَاسَہُمَا لِيُرِيَهُمَا سَوۡءَٲتِہِمَآۗ
Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, dia telah menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: Aurat mereka (yang sebelum itu tertutup).
Iblis telah membogelkan ibu dan bapa kita, takkan kita hendak biarkan begitu sahaja dan ikut ajaran dan bisikan iblis dan syaitan? Memang tidak patut!
أَنْ لَّا تَعْبُدُوا الشَّيْطٰنَ
jangan sekali-kali kamu puja/sembah syaitan.
Allah ﷻ telah mengingatkan kita tentang syaitan, bukan? Jangan sesekali sembah syaitan. Ini agak pelik kerana tentulah kita tidak pernah berniat hendak menyembah syaitan. Kita pun tidaklah pernah sujud, rukuk atau zikir nama syaitan pula, jadi kenapa perlu diingatkan di sini? Ini kerana perkataan ‘sembah’ itu ramai tidak faham. Mereka sangka sembah itu hanya bentuk ibadah sahaja. Sedangkan ia boleh jadi bermacam-macam aspek. Salah satunya adalah dengan ‘menghambakan’ diri kepada syaitan. Iaitu apa yang syaitan suruh kita buat, kita ikut. Itulah maksudnya menghambakan diri kepada syaitan kerana taat kepada syaitan. Jikalau ikut jejak langkah syaitan pun dikira sembah kepada syaitan juga. Ini banyak diingatkan di dalam Al-Qur’an seperti Baqarah: 168
يَـٰٓأَيُّهَا النّاسُ كُلوا مِمّا فِي الأَرضِ حَلٰلًا طَيِّبًا وَلا تَتَّبِعوا خُطُوٰتِ الشَّيطٰنِ ۚ إِنَّهُ لَكُم عَدُوٌّ مُّبينٌ
Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.
Diingatkan lagi di dalam Baqarah: 208
يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءَامَنُواْ ادخُلوا فِي السِّلمِ كافَّةً وَلا تَتَّبِعوا خُطُوٰتِ ٱلشَّيطَـٰنِ ۚ إِنَّهُ لَكُم عَدُوٌّ مُّبينٌ
Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.
Perhatikan juga Nur: 21
۞ يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَتَّبِعوا خُطُوٰتِ الشَّيطٰنِ ۚ وَمَن يَتَّبِع خُطُوٰتِ الشَّيطٰنِ فَإِنَّهُ يَأمُرُ بِالفَحشاءِ وَالمُنكَرِ ۚ وَلَولا فَضلُ اللهِ عَلَيكُم وَرَحمَتُهُ ما زَكىٰ مِنكُم مِّن أَحَدٍ أَبَدًا وَلٰكِنَّ اللهَ يُزَكّي مَن يَشاءُ ۗ وَاللهُ سَميعٌ عَليمٌ
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Barangsiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan yang mungkar. Sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, nescaya tidak seorang pun daripada kamu bersih (daripada perbuatan-perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Maka jangan buat perkara yang bercanggah dengan wahyu. Jangan reka dan ikut fahaman-fahaman yang endah datang dari mana (selain ada dalilnya daripada wahyu). Ini kerana sekiranya berlawanan dengan wahyu sahaja, itu adalah daripada syaitan. Akan tetapi jikalau kita tidak tahu dan faham wahyu, bagaimana mungkin kita tahu yang kita buat perkara yang bercanggah dengan wahyu? Oleh sebab ramai dalam kalangan umat Islam sudah jauh daripada wahyu, maka kerana itu banyak yang terpesona dengan ajaran-ajaran sesat yang reka fahaman yang entah apa-apa.
Kalau tidak faham maksud sembah inilah yang menyebabkan ramai terkeliru. Sebagaimana puak Habib apabila kita nasihat mereka jangan sembah kubur, mereka balas balik dengan kata mereka tidak sujud pun kepada kubur itu. Memanglah tidak sujud, tetapi dengan perbuatan mereka minta kepada si mati dalam kubur, beribadat kepada ahli kubur itu, hias kubur itu, i’tikaf di kubur itu, bergendang dan banyak lagi benda mengarut mereka buat di kubur, itu semua termasuklah dalam perbuatan ‘sembah’.
Bagaimana pula kalau ikut syaitan itu dikira ‘sembah’? Ini pun ada sahabat tidak faham sehinggalah Nabi Muhammad ﷺ ajar. Perhatikan hadith yang diriwayatkan daripada Adi bin Hatim At-Ta’i رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata:
أَتَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَفِي عُنُقِي صَلِيبٌ مِنْ ذَهَبٍ فَقَالَ: “يَا عَدِيُّ اطْرَحْ عَنْكَ هَذَا الْوَثَنَ.” فَطَرَحْتُهُ ثُمَّ انْتَهَيْتُ إِلَيْهِ وَهُوَ يَقْرَأُ سُورَةَ بَرَاءَةَ فَقَرَأَ هَذِهِ الْآيَةَ: {اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا إِلَهًا وَاحِدًا لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ}. فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّهُمْ لَمْ يَعْبُدُوهُمْ. فَقَالَ: “بَلَى، إِنَّهُمْ أَحَلُّوا لَهُمُ الْحَرَامَ وَحَرَّمُوا عَلَيْهِمُ الْحَلَالَ فَاتَّبَعُوهُمْ، فَذَلِكَ عِبَادَتُهُمْ إِيَّاهُمْ.”
“Aku datang kepada Nabi Muhammad ﷺ, dan di leherku ada salib emas. Baginda bersabda: ‘Wahai Adi, buanglah berhala ini daripada dirimu.’ Maka aku membuangnya. Kemudian aku menghadap baginda, dan baginda sedang membaca Surah Bara’ah (At-Taubah), lalu Baginda membaca ayat ini: ‘Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah, dan (juga menjadikan) Al-Masih putera Maryam; padahal mereka tidak disuruh kecuali menyembah Tuhan yang Maha Esa; tidak ada tuhan selain Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.’ (Taubah: 31). Maka aku berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya mereka (yakni penganut Kristian dan Yahudi) tidak menyembah para rahib dan pendeta itu.’ Baginda bersabda: ‘Bukan begitu (bahkan mereka menyembah). Sesungguhnya mereka (para rahib dan pendeta) menghalalkan bagi mereka (pengikut mereka) perkara yang haram dan mengharamkan bagi mereka perkara yang halal, lalu mereka (pengikut) mengikutinya. Maka itulah bentuk penyembahan mereka kepada mereka (para rahib dan pendeta).'”
Hadith ini diriwayatkan oleh:
- Imam At-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab Tafsir Al-Quran, Bab: Wa Min Surah At-Taubah (No. 3095). Tirmidzi رَحِمَهُ اللَّهُ mengkategorikannya sebagai hadith Hasan Gharib.
- Imam Ahmad dalam Musnadnya (No. 19488).
- Imam At-Tabarani dalam Al-Mu’jam Al-Kabir.
- Hadith ini juga disahihkan oleh beberapa ulama hadith kontemporari seperti Syekh Al-Albani رَحِمَهُ اللَّهُ.
إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
Sesungguhnya ia adalah musuh kamu yang nyata;
Tidak patut sekali kita taat dan termakan bisikan syaitan kerana dia adalah musuh yang nyata bagi kita. Iblis sendiri sudah mengaku dia adalah musuh kita seperti yang telah disebut dalam Al-Qur’an di dalam banyak ayat yang lain. Dia telah berjanji dengan Tuhan hendak mengeluarkan anak cucu Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dari syurga. Dia telah berikrar akan menyesatkan manusia semenjak dulu lagi. Dia akan menggunakan berbagai-bagai cara untuk menyesatkan keturunan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Namun Allah ﷻ berfirman yang dia tidak boleh sesatkan orang yang ikhlas beriman.
Ada juga yang tanya: ‘Kita tidak nampak syaitan, kenapa mereka dianggap musuh yang nyata?’ Nyata itu bukan dari segi penampakan. Syaitan dikatakan musuh yang nyata (عدو مبين – ‘aduwwun mubin) dalam Al-Qur’an dan hadith kerana permusuhannya terhadap manusia adalah jelas, terang, dan berterusan sejak penciptaan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lagi. Label “musuh yang nyata” ini diulang berkali-kali dalam Al-Qur’an untuk memberi peringatan keras kepada manusia. Nyata juga bermaksud secara terang iblis menyatakan permusuhan terhadap Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan anak cucunya. Kalau musuh kita kadangkala tidak mengaku pun musuh; di hadapan kita mereka nampak macam kawan, tetapi sebenarnya mereka menyimpan dendam dan menikam belakang kita. Namun iblis dengan nyata telah mengisytiharkan yang dia akan sesatkan anak cucu Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti disebut di dalam A’raf: 16-17
قَالَ فَبِمَآ أَغۡوَيۡتَنِى لَأَقۡعُدَنَّ لَهُمۡ صِرٰطَكَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ (١٦) ثُمَّ لَأَتِيَنَّهُم مِّنۢ بَيۡنِ أَيۡدِيہِمۡ وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ وَعَنۡ أَيۡمَـٰنِہِمۡ وَعَن شَمَآٮِٕلِهِمۡۖ وَلَا تَجِدُ أَكۡثَرَهُمۡ شَـٰكِرِينَ (١٧)
Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus; (16) Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur. (17)
Sekali lagi: Adakah kita sembah syaitan? Kita rasa kita tidak pernah pun sembah syaitan. Memang tidak, tetapi bisikan dia kita ikut, bukan? ‘Puja’ syaitan maksudnya ikut bisikan syaitan. Apa sahaja dalil yang bukan daripada Al-Qur’an, hadith sahih atau perbuatan dari sahabat, dalil itu dipanggil dalil hawa nafsu. Dalil nafsu daripada bisikan syaitan juga. Contohnya, apabila kita beri nasihat kepada mereka yang melakukan syirik yang amalan yang mereka belajar daripada guru mereka adalah amalan yang salah, mereka akan berhujah: “Takkan tok guru tu nak masuk neraka.” Atau mereka kata: “Takkan Allah tak beri pahala sedangkan kita buat benda yang baik.” Dan banyak lagi hujah-hujah yang bukan datang daripada dalil Al-Qur’an dan hadith. Hawa nafsu itu sebenarnya adalah daripada bisikan syaitan. Hasilnya, manusia buat perkara yang bukan diambil daripada sunnah.
Maka jangan kita sempitkan makna تَعْبُدُوا dengan makna ‘sembah’ sahaja. Ia diambil daripada perkataan عبد yang bermaksud ‘menghambakan diri’. Jadi kalau kita ikut bisikan syaitan, taat kepada syaitan, itu sudah bermaksud kita menghambakan diri kita kepadanya.
Siapakah syaitan itu? Syaitan/Syaithan berasal daripada bahasa Arab yang didasarkan kepada ش ط ن yang bermaksud keras kepala; songsang; jauh daripada kebenaran dan rahmat Tuhan; memberontak; syaitan. Bukan sahaja mereka jauh daripada rahmat Allah ﷻ, mereka juga hendak menjauhkan manusia dan jin daripada Allah ﷻ. Sebenarnya aspek terjemahan kalimah syaitan ini amat meluas. Antara lain syaitan membawa maksud “terbakar“, “kesulitan“, “hancur terbakar” dan pelbagai lagi erti syaitan menurut bahasa.
Dari segi istilah pula, syaitan bermaksud “segala yang buruk dan jahat“. Sebenarnya kalimah Syaitan bukanlah mutlak berasal daripada kalimah bahasa Arab kerana di dalam bahasa Ibrani, syaitan disebut sebagai Satan [satanot – jamak] yang turut merujuk kepada “kejahatan” dan terma satan banyak digunakan di dalam kitab-kitab agama Yahudi sejak beribu tahun dahulu.
Oleh itu, kalimah ‘Syaitan’ sebenarnya adalah kata sifat yang dinaqalkan kepada sesuatu yang buruk sifatnya tidak kira sama ada manusia, jin, haiwan, penyakit atau sesuatu yang berkaitan dengannya. Namun terma syaitan lebih utama digunakan terhadap jin dan manusia.
Ramai yang tidak tahu dan pelik apabila kita beritahu hal ini kerana mereka sangka syaitan ini satu jenis bangsa makhluk pula. Mereka sangka ada manusia, malaikat, jin dan juga syaitan. Tidak sebenarnya, kerana makhluk yang ada akal hanya tiga sahaja iaitu jin, manusia, malaikat. Maka ‘syaitan’ ini boleh jadi dalam kalangan jin dan juga kalangan manusia. Benar, jangan pelik manusia pun ada yang mempunyai sifat syaitan itu. Dalilnya daripada ayat yang kita selalu baca, iaitu Nas: 6
مِنَ الجِنَّةِ وَالنّاسِ
“(Iaitu pembisik dan penghasut) dalam kalangan jin dan manusia”.
Maknanya ayat ini memberitahu kita bahawa ada syaitan jin dan juga ada syaitan manusia. Bukan itu sahaja, ada lagi dalil-dalil lain seperti ayat Baqarah: 36
فَأَزَلَّهُمَا الشَّيطٰنُ عَنها
Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu
Di dalam ayat Baqarah ini, ia adalah kisah iblis menghasut Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawwa. Pada peringkat awal, disebut namanya sebagai iblis. Akan tetapi di ayat 36 disebut ia sebagai ‘syaitan’ sedangkan ia adalah entiti yang sama. Kita pun tahu bahawa iblis adalah daripada bangsa jin. Di dalam ayat Baqarah: 14 pula para pendeta Yahudi juga menggunakan istilah syaitan bagi mereka:
وَإِذا لَقُوا الَّذينَ ءآمَنوا قالوا ءآمَنّا وَإِذا خَلَوا إِلىٰ شَيٰطينِهِم قالوا إِنّا مَعَكُم إِنَّما نَحنُ مُستَهزِءونَ
Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: ” Kami telah beriman “, dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula:” Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)”.
Kalau sifat mereka itu jauh daripada Allah ﷻ dan menjauhkan orang lain daripada Allah ﷻ, maka mereka sebenarnya adalah ‘syaitan’. Maka jangan pelik sangat apabila kita katakan yang ‘syaitan’ itu sebenarnya sifat. Akan tetapi itu adalah penerangan secara umum apakah yang dimaksudkan dengan ‘syaitan’. Hendaklah dilihat konteks ayat untuk melihat Allah ﷻ merujuk kepada siapa. Di dalam ayat yang kita sedang baca ini, ia merujuk kepada bapak syaitan iaitu iblis Laknatullah. Itu ada seekor sahaja.
Syaitan itu adalah tentera iblis yang membantu iblis menjalankan niatnya untuk memasukkan anak cucu Adam ke dalam neraka. Iblis sudah berjanji di hadapan Allah ﷻ untuk menyesatkan anak cucu Adam. Dia akan menggunakan segala macam cara untuk menipu manusia. Kalau anak Adam itu seorang yang kuat melakukan ibadat, dia akan kempen orang itu untuk membuat syirik dalam ibadat: Maka manusia sudah melakukan syirik dalam ibadat seperti seru tok wali, seru Nabi, malaikat dan sebagainya.
Kalau manusia seorang yang minat jihad, syaitan akan menyesatkan orang itu dalam perkara jihad, contohnya mengamakan ilmu kebal supaya musuh tetak tidak lut. Jadi untuk mendapatkan ilmu itu, seseorang itu kenalah bela jin. Untuk bela jin atau supaya jin berdamping dengan mereka, mereka perlu melakukan perkara syirik dahulu. Contohnya, mereka beri salam kepada malaikat, Nabi dan sebagainya. Apabila beri salam sahaja kepada malaikat, Nabi dan wali, jin akan datang dan berdamping dengan dia. Kerana semua salam itu tidak sampai kepada malaikat, Nabi dan wali itu. Itu adalah perbuatan menyeru kepada yang tidak ada.
Ingatlah yang para malaikat bukan ditugaskan untuk berkhidmat kepada kita; Nabi sudah mati semuanya, mereka tidak hidup di dunia ini lagi; begitu juga dengan wali-wali itu semua. Mereka semuanya sudah mati. Bagaimana yang sudah mati boleh mendengar salam yang kita berikan kepada mereka? Yang Maha Mendengar adalah Allah ﷻ. Allah ﷻ sahaja yang boleh mendengar segala percakapan kita. Oleh itu, apabila kita beri salam kepada Nabi, wali dan malaikat itu, dan kita kata mereka boleh dengar, maka kita sebenarnya mengatakan bahawa Nabi dan wali-wali itu ada kuasa Tuhan. Sedarlah bahawa ini adalah satu perbuatan syirik. Tidak ada dalil yang mengajar kita untuk beri salam kepada malaikat, Nabi dan wali-wali. Itu semua adalah rekaan dari guru-guru yang telah dibisikkan ajaran itu oleh syaitan-syaitan yang mahu menyesatkan manusia.
Yang diajar kepada kita hanyalah memberi salam kepada penghuni kubur. Itu sahaja dan tidak lebih daripada itu. Jangan kita ambil dalil itu untuk mengatakan orang dalam kubur boleh mendengar percakapan kita. Sampai ada yang bermohon kepada ahli kubur seperti puak Barelvi dan ajaran tarekat dan Habib yang menziarah kuburan dan meminta pertolongan kepada orang dalam kubur. Mereka mungkin tidak memohon terus kepada penghuni kubur itu tetapi mereka menggunakan penghuni kubur itu sebagai perantara (wasilah) antara mereka dan Allah ﷻ. Itu semua adalah kerana mereka rasa bahawa menggunakan perantaraan (tawasul) dalam berdoa itu adalah baik kerana mereka telah diajar oleh syaitan bahawa itulah cara yang baik untuk berdoa. Mereka telah ditipu oleh syaitan. Padahal Allah ﷻ sudah beritahu yang syaitan itu adalah musuh kita yang pasti akan menipu kita.
Ketahuilah yang syaitan-syaitan itu teramatlah pandai menipu kita. Mereka ada kursus khas agaknya yang iblis bagi sebelum boleh keluar tipu manusia. Perhatikan susunan ayat ini: إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ dan bukannya إِنَّهُ عَدُوٌّ لَكُمْ. Kedua-dua ayat frasa ini kalau diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sama sahaja. Akan tetapi susunan yang berlainan ini makna yang tersirat. Apabila kalimah لَكُمْ ditaqdimkan (diawalkan), ia mengandungi maksud eksklusif. Maknanya syaitan itu eksklusif ditugaskan untuk menipu dan menyesatkan manusia sahaja. Mereka tidak ada kerja lain seperti jadi cikgu sekolah, peguam atau jurutera. Memang kerja mereka siang dan malam hanyalah menipu manusia. Maknanya mereka ada pengkhususan.
Memang hebatlah penipuan mereka. Maka kita jangan sekali-kali leka. Yang ramai orang Melayu tertipu adalah bab perubatan. Syaitan akan mengganggu kita dengan merasuk manusia. Jin selalunya akan merasuk manusia, supaya manusia pergi jumpa bomoh. Bomoh akan membaca bermacam-macam mentara kononnya untuk menghalau syaitan, padahal kita orang Islam disuruh baca ayat Kursi untuk menghalau syaitan. Sudahlah amalan bomoh itu entah datang dari mana kemudian dia beri pula bahan-bahan untuk digunakan halau jin. Kita pula percaya beras kunyit, garam atau apa-apa yang digunakan oleh bomoh itulah yang menyebabkan jin hantu lari. Ini adalah kepercayaan khurafat dan boleh membawa kepada syirik. Jin syaitan sebenarnya tidak terkesan pun dengan beras kunyit dan sebagainya itu sebab dia makhluk jenis lain. Namun mereka akan mengolok-olok menggelepar dan kononnya keluar daripada manusia yang dirasuk. Salah satu latihan yang mereka terima mungkin adalah lakonan. Hebat mereka berlakon sampai menjeritlah, mengaku masuk Islam lah dan bermacam-macam lagi. Yang kita ini pula pergi percaya. Apabila kita percaya benda-benda seperti itu boleh menghalau jin syaitan, itu sudah syirik.
Iblis sebenarnya mahukan kita masuk neraka sekali dengan dia. Kalau menjadi pun perbuatan bomoh-bomoh itu menghalau jin yang merasuk, itu adalah kerana mereka telah bersekongkol sesama mereka: kalau sesiapa menggunakan benda-benda seperti itu, mereka akan olok-olok keluar. Mereka akan cuba memesongkan akidah kita. Apabila akidah kita sudah terpesong, maka kerja mereka sudah selesai, lalu mereka pun keluar daripada orang yang dirasuk itu. Syaitan hendak kita mensyirikkan manusia dengan mengatakan bomoh itu dan bomoh ini hebat sampai boleh menyembuhkan mereka. Padahal, Allah ﷻlah yang menyembuhkan manusia, bukan makhluk. Akan tetapi masyarakat kita suka berjumpa dengan bomoh dan dukun dan apabila mereka ditakdirkan oleh Allah ﷻ untuk sihat, mereka akan kata: “Hebat bomoh/dukun/ustaz tu, dah baik dah aku ni.”
Ramai juga tertipu dengan maklumat yang jin syaitan berikan melalui tok bomoh. Ini kerana asalnya sebelum Nabi diangkat menjadi Nabi, jin boleh terbang ke langit dan boleh mencuri-curi dengar perbualan para malaikat. Ini kerana para malaikat apabila mendapat berita dari langit, mereka akan bercakap-cakap sesama mereka. Jin akan mencuri-curi mendengar perbualan malaikat itu. Mereka gunakan apa yang mereka dengar daripada perbualan malaikat itu untuk menipu manusia. Namun kemudian mereka sudah tidak boleh senang-senang buat begitu lagi selepas Nabi Muhammad ﷺ diangkat menjadi Nabi kerana sudah ada ramai malaikat penjaga langit. Jikalau mereka cuba untuk mencuri dengar perbualan malaikat, malaikat-malaikat penjaga langit itu akan baling mereka dengan bebola api.
Begitulah sampai sekarang mereka cuba lagi mendengar perbuatan para malaikat. Akan tetapi mereka pergi dengan risiko dilempar dengan bebola api. Jin yang terkena bebola api itu akan menjadi gila atau mati. Yang gila dipanggil hantu raya dan sebagainya. Hantu yang hodoh seperti yang dinamakan Langsuir, rupa mereka sebegitu sebab mereka telah dibaling dengan bebola api dan ada terkena pada perut. Jadi hantu-hantu itu sebenarnya adalah jin-jin yang sudah gila dan mereng, tetapi masih lagi hendak tipu manusia. Mana yang dibaling bebola api dengan tepat, akan mati. Kalau yang terkena sipi-sipi itu yang jadi bermuka hodoh.
Ramai dalam kalangan masyarakat kita takut sangat dengan hantu dan jin kerana mereka sangka jin itu ada kekuatan dan kuasa. Akan tetapi ketahuilah yang sebenarnya jin amat takut kepada manusia. Mereka pernah bertanya kepada Tuhan di manakah mereka akan duduk setelah manusia mengambil tempat mereka? Tuhan kata mereka kena duduk di hutan, lautan, bukit dan padang-padang. Maknanya, mereka itu hina sampai kena duduk di tempat terpencil. Maka tempat yang ramai jin, orang kita panggil bunian. Banyaklah pula kepercayaan salah kita tentang bunian ini pula. Ada dalam kalangan masyarakat Islam kita yang minta tolong kepada bunian-bunian itu. Padahal semua itu adalah bangsa jin belaka. Ada pula yang perasan menikah dengan jin pun ada. Semua itu boleh memesongkan akidah.
Ada pula yang buat alasan tidak mengapa berhubungan dengan jin kerana mereka itu jin Islam. Memang ada jin yang Islam tetapi tidak ramai. Macam juga kita, banyak yang kafir daripada yang Islam. Namun jin-jin Islam itu bukannya ada hubungan dengan manusia. Mereka itu menjalani kehidupan mereka sendiri – mereka tidak ada kena mengena dengan manusia. Jadi tidak ada istilah ‘berkawan dengan jin’. Kalaulah ada perhubungan kita dan mereka, maka tentulah para sahabat yang mula-mula berkawan dan beramah mesra buat kenduri kendara dengan jin. Namun tidak sampai kepada kita tentang hal itu. Lagi pun mana kita tahu yang mereka itu benar-benar Muslim? Mereka ada IC seperti kitakah. Kita juga telah beritahu yang mereka itu pandai berlakon.
Jelaslah dalam dunia ini ada dua jenis makhluk sahaja: manusia atau jin. Maka Tuhan kata dalam ayat ini supaya kamu jangan sembah syaitan. Jadi kena faham siapakah mereka. Kena belajar sedikit sebanyak tentang mereka supaya kita jangan senang ditipu seperti kebanyakan manusia. Namun begitu kenalah belajar mengikut cara yang Sunnah supaya tidak terpesong pemahaman kita. Jin kafir itu adalah syaitan. Semuanya kafir belaka, termasuk yang dipanggil ‘saka’ yang menyebabkan orang yang membelanya tidak boleh mati.
Ini pun satu masalah juga dengan orang kita. Banyak keluar duit sahaja untuk buang saka sedang untuk buang saka mudah sahaja. Iaitu ajar kepada sesiapa yang ada saka itu, siapa Tuhan, apa itu ajaran Al-Qur’an, apa syurga dan neraka. Maksudnya, ringkasan dan perdu ajaran agama Islam. Kalau dia percaya dan boleh terima, ajar kepadanya kalimah Syahadah. Maknanya ajar maksud dan apa yang berkaitan, bukan setakat baca sahaja. kita cakap kepadanya: “Buang jin kamu dengan bacaan bismillahirrahmanirrahim“. Jin itu lemah dan tidak dapat mengawal manusia yang ada iman. Kalau ada yang kata tidak boleh buang jin dan saka dalam badan, macam mana tok sami yang banyak bela jin? Boleh pula mereka masuk Islam, bukan? Oleh itu, cara untuk membuang jin adalah dengan kalimah syahadah, bukan dengan bomoh. Sekiranya tidak perbetulkan akidah kita, memang saka itu tidak akan keluar. Selagi akidah rosak, selagi itu saka itu akan ada dalam badan.
Syaitan menggoda manusia sebab dia telah berjanji mahu sesatkan manusia. Kalau seorang itu orang yang melakukan syirik, syaitan akan kempen dia supaya kuat buat ibadat dan supaya tidak belajar agama lagi. Dia akan disibukkan dengan buat ibadah sahaja dan dia sangka dia telah terpimpin. Buat ibadah memang bagus, tetapi syaitan akan ajar dia buat banyak-banyak ibadah yang bid’ah. Apabila terlalu banyak buat ibadah bid’ah, maka seseorang akan sibuk dengan ibadah itu sahaja. Contohnya bila masuk tarekat, kena berzikir beribu-ribu dalam sehari. Bila masa lagi dia hendak belajar? Kerana itulah orang dalam Tarekat jahil agama belaka. Syaitan tidak mahu dia belajar agama, sebab kalau dia belajar, dia akan tahu apa yang dia buat selama ini adalah salah. Kerana amalan dia walaupun banyak, tetapi amalan syirik dan bid’ah sahaja. Jadi, untuk mengelakkan dia daripada tahu kesalahan yang dia telah buat, dia akan digoda oleh syaitan untuk buat ibadat banyak dan banyak lagi. Memang ibadat itu penting, tetapi yang lebih penting adalah buat ibadat dengan ilmu. Biar ibadat kita sedikit, tetapi biarlah kita buat ibadat yang sudah pasti diambil daripada ajaran Nabi.
Jadi ketahuilah dan ingatlah yang syaitan itu adalah musuh kita yang nyata. Di akhirat nanti, iblis sendiri akan berkhutbah. Iblis akan berkata bahawa dia cuma mencadangkan sahaja kepada kita untuk jadi sesat. Dia akan kata, manusialah yang bersalah kerana mengikutnya. Waktu itu penyesalan tidak berguna lagi. Ini seperti disebut di dalam Ibrahim: 22
وَقالَ الشَّيطٰنُ لَمّا قُضِيَ الأَمرُ إِنَّ اللهَ وَعَدَكُم وَعدَ الحَقِّ وَوَعَدتُكُم فَأَخلَفتُكُم ۖ وَما كانَ لِيَ عَلَيكُم مِّن سُلطٰنٍ إِلّا أَن دَعَوتُكُم فَاستَجَبتُم لي ۖ فَلا تَلوموني وَلوموا أَنفُسَكُم ۖ ما أَناْ بِمُصرِخِكُم وَما أَنتُم بِمُصرِخِيَّ ۖ إِنّي كَفَرتُ بِما أَشرَكتُمونِ مِن قَبلُ ۗ إِنَّ الظّٰلِمينَ لَهُم عَذابٌ أَليمٌ
Dan berkatalah syaitan tatkala perkara (hisab) telah diselesaikan: “Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan aku pun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku akan tetapi cercalah dirimu sendiri. Aku sekali-kali tidak dapat menolongmu dan kamu pun sekali-kali tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu”. Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu mendapat seksaan yang pedih.
Maka kita kalau prihatin dengan perkara ini, kita akan belajar Talbis Iblis (belitan Iblis). Kita kena belajar bagaimana cara Iblis dan syaitan menipu manusia. Kita kena tahu cara-cara mereka supaya kita dapat berhati-hati. Jikalau kita mula belajar, kita akan dapati yang penipuan mereka amat licik sekali. Jangan kita rasa kononnya kita hebat sangat sampaikan tidak akan tertipu dengan syaitan. Bayangkan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang sepatutnya bijak itu pun boleh tertipu, apatah lagi kita yang lemah akal fikiran ini? Memang senang sangat iblis/syaitan hendak menipu kita kerana mereka ada kursus menipu manusia, sedangkan kita tidak belajar cara mengelak dari mereka.
Perhatikan bagaimana Nabi ﷺ sebut cara syaitan menipu manusia,
Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, dia berkata:
إِنَّ الشَّيْطَانَ قَعَدَ لِابْنِ آدَمَ بِطُرُقِهِ كُلِّهَا، فَقَعَدَ لَهُ بِطَرِيقِ الْإِسْلَامِ فَقَالَ: أَتُسْلِمُ وَتَدَعُ دِينَكَ وَدِينَ آبَائِكَ؟ فَعَصَاهُ وَأَسْلَمَ. ثُمَّ قَعَدَ لَهُ بِطَرِيقِ الْهِجْرَةِ فَقَالَ: أَتُهَاجِرُ وَتَدَعُ أَرْضَكَ وَسَمَاءَكَ؟ فَعَصَاهُ وَهَاجَرَ. ثُمَّ قَعَدَ لَهُ بِطَرِيقِ الْجِهَادِ فَقَالَ: أَتُجَاهِدُ فَتُقْتَلُ فَيُقْسَمُ مَالُكَ وَتُنْكَحُ امْرَأَتُكَ؟ فَعَصَاهُ وَجَاهَدَ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “فَمَنْ فَعَلَ ذَلِكَ، فَكَانَ حَقًّا عَلَى اللَّهِ أَنْ يُدْخِلَهُ الْجَنَّةَ.”
“Sesungguhnya syaitan itu duduk (menghalang) anak Adam di semua jalannya. Lalu ia duduk (menghalang)nya di jalan Islam, seraya berkata: ‘Apakah engkau akan masuk Islam dan meninggalkan agamamu serta agama nenek moyangmu?’ Namun dia (anak Adam) durhaka kepadanya (syaitan) dan masuk Islam. Kemudian syaitan duduk (menghalang)nya di jalan hijrah, seraya berkata: ‘Apakah engkau akan berhijrah dan meninggalkan negerimu serta langitmu (tanah airmu)?’ Namun dia derhaka kepadanya dan berhijrah. Kemudian syaitan duduk (menghalang)nya di jalan jihad, seraya berkata: ‘Apakah engkau akan berjihad, lalu engkau terbunuh, hartamu dibahagi-bahagikan, dan isterimu dinikahi orang lain?’ Namun dia derhaka kepadanya dan berjihad. Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Barangsiapa yang melakukan itu (menentang bisikan syaitan dalam perkara-perkara ini), maka wajib atas Allah untuk memasukkannya ke syurga.'”
Musnad Ahmad (No. 14619), Sunan An-Nasa’i (No. 3134), Sunan Ibnu Majah (No. 2795). Disahihkan oleh Syekh Al-Albani.
Syarah: syaitan tidak akan lepaskan manusia. Apabila gagal satu peringkat, dia akan cuba di peringkat lain pula.
Syaitan akan sentiasa membisikkan bermacam-macam idea yang karut marut. Kalau kita melayan dan tidak menolaknya dengan ilmu, maka kita tentu akan terpesong dan tergelincir. Bisikan ini dinamakan was-was dan ramai yang sudah tertipu dengan cara ini.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:
“يَأْتِي الشَّيْطَانُ أَحَدَكُمْ فَيَقُولُ: مَنْ خَلَقَ كَذَا؟ مَنْ خَلَقَ كَذَا؟ حَتَّى يَقُولَ: مَنْ خَلَقَ رَبَّكَ؟ فَإِذَا بَلَغَهُ فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ وَلْيَنْتَهِ.”
“Syaitan akan datang kepada salah seorang di antara kamu, lalu berkata: ‘Siapa yang menciptakan ini? Siapa yang menciptakan itu?’ Sehingga ia bertanya: ‘Siapa yang menciptakan Tuhanmu?’ Maka apabila sampai kepadanya (bisikan) itu, hendaklah dia memohon perlindungan kepada Allah (A’udzu billahi minasy-syaitanir rajim) dan hendaklah dia berhenti (daripada memikirkannya).”
(Sahih Bukhari No. 3276 dan Sahih Muslim No. 134)
Ini hanyalah sebahagian sahaja cara-cara syaitan menipu kita. Jadi kita kena belajar supaya kita dapat berhati-hati.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 18 Jun 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

