SUDAH TERLAMBAT BAGI PARA PENENTANG
Yaasin Ayat 48: Ayat Syikayah lagi. Ayat Syikayah adalah apabila Allah ﷻ merungut dengan menyebut kata-kata golongan penentang kebenaran. Sekarang disambung lagi menceritakan mereka yang musyrik dan menolak wahyu Allah ini. Apakah lagi yang mereka kata?
Atau, kalau kita lihat di dalam cara yang lain, sekarang masuk kepada topik yang baru iaitu tentang Kiamat dan Akhirat.
وَيَقولونَ مَتىٰ هٰذَا الوَعدُ إِن كُنتُم صٰدِقينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And they say, “When is this promise, if you should be truthful?”
(MELAYU)
Dan mereka berkata: “Bilakah (terjadinya) janji ini (hari berbangkit) jika kamu adalah orang-orang yang benar?”.
وَيَقُولُونَ
Dan mereka berkata;
Yang berkata itu adalah orang-orang orang musyrik. Mereka akan berkata begini apabila mereka bertambah kufur. Mereka berkata dengan sombongnya kepada Nabi ﷺ dan pendakwah.
Perkataan يَقُولُونَ adalah dalam ‘present tense’, bermaksud ia akan berlaku dan sedang berlaku. Memang ada orang yang bercakap sebegini lagi pun sekarang. Begitulah jikalau ada yang berkata begini zaman sekarang pun maka tidak perlu hairanlah kerana Al-Qur’an sudah sentuh tentang perkara ini. Sebelum mereka cakap pun Allah ﷻ sudah beritahu kita.
مَتَىٰ هَٰذَا الْوَعْدُ
bilakah akan berlaku janji ini?;
Kalimah الْوَعْدُ daripada kata dasar و ع د yang bermaksud berjanji; mengancam; amaran; dilantik; temujanji; masa; tempat atau masa pemenuhan janji atau amaran. Yang dimaksudkan dengan الْوَعْدُ di dalam Al-Qur’an adalah salah satu daripada 3 jenis:
1. Kemusnahan umat besar-besaran (contohnya kepada Kaum Aad dan Tsamud)
2. Hari Kiamat
3. Akhirat
Mereka bertanya dalam nada mengejek: “Bilakah janji yang dimaksudkan itu?” Ia adalah janji bahawa mereka yang ingkar dengan wahyu dan agama itu akan dikenakan azab di akhirat. Atau mereka yang menyembah berhala itu akan masuk neraka. Mereka mengejek dengan mengatakan tidak ada pun bala datang kepada mereka yang menyembah berhala itu atau semasa mereka berbuat perkara syirik itu. Seolah-olah mereka berkata: sudah lama mereka tolak Nabi Muhammad ﷺ, tetapi tiada apa-apa pun berlaku? Mana dia, mana dia janji itu?
Sebenarnya kalau pertanyaan yang ikhlas kerana hendak tahu, maka ia tidaklah salah kerana ada sahaja sahabat yang pernah bertanya kepada Nabi Muhammad ﷺ. Akan tetapi perhatikan jawapan Nabi ﷺ yang paling bagus,
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَتَى السَّاعَةُ قَالَ وَمَا أَعْدَدْتَ لِلسَّاعَةِ قَالَ حُبَّ اللَّهِ وَرَسُولِهِ قَالَ فَإِنَّكَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ قَالَ أَنَسٌ فَمَا فَرِحْنَا بَعْدَ الْإِسْلَامِ فَرَحًا أَشَدَّ مِنْ قَوْلِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِنَّكَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ قَالَ أَنَسٌ فَأَنَا أُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَأَبَا بَكْرٍ وَعُمَرَ فَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ مَعَهُمْ وَإِنْ لَمْ أَعْمَلْ بِأَعْمَالِهِمْ
Daripada Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dia berkata; “Pada suatu hari seorang laki-laki datang kepada Rasulullah ﷺ seraya bertanya; ‘Ya Rasulullah, bilakah kiamat itu akan datang?’ Mendengar pertanyaan laki-laki itu, Rasulullah ﷺ kembali bertanya: ‘Apa yang telah engkau siapkan untuk menghadapi kiamat? ‘ Laki-laki itu menjawab; ‘Kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya.’ Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Sesungguhnya engkau akan bersama orang yang engkau cintai.’ Anas berkata; ‘Tidak ada yang lebih menyenangkan hati kami setelah masuk Islam selain sabda Rasulullah ﷺ yang berbunyi: ‘Sesungguhnya engkau akan bersama orang yang engkau cintai.’ Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; ‘Kerana saya mencintai Allah, Rasulullah, Abu Bakar, dan Umar, maka saya berharap kelak akan bersama mereka meskipun saya tidak dapat beramal seperti mereka.’
(Sahih Muslim No. 4777)
Syarah: Perhatikan jawapan baginda. Ternyata persediaan menghadapi akhirat adalah lebih penting daripada mengetahui bilakah Kiamat akan tiba.
إِنْ كُنْتُمْ صٰدِقِينَ
Jika benar kamu orang-orang yang benar?
Mereka kata sekiranya para pendakwah itu benar dalam dakwaan mereka yang mengatakan orang yang ingkar akan masuk neraka dan dikenakan azab, manakah azab itu? – itulah kata-kata nista mereka. Memang berlagak sungguh mereka dan berani sungguh mereka cakap begitu. Dalam ayat lain disebutkan melalui firman-Nya di dalam Syura: 18:
يَسْتَعْجِلُ بِهَا الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِهَا
Orang-orang yang tidak beriman kepada hari kiamat meminta supaya hari itu segera didatangkan.
Mereka berkata: “Kami dah lama ingkar dah ni, tapi tak datang pun azab.” Seperti apa yang dilakukan oleh orang Musyrikin Mekah, di mana mereka tawaf Ka’bah dalam keadaan telanjang tetapi tiada apa pun berlaku. Mereka sembah berhala tetapi tiada pula sakit perut, diserang penyakit atau apa-apa bala pun. Jadi mereka sangka, benarlah apa yang mereka lakukan itu. Kalau semua itu salah kata mereka, takkan Allah ﷻ biarkan tanpa lakukan apa-apa kepada mereka. Mereka letak berhala di kawasan Ka’bah, pun selamat sahaja tiada apa-apa bala berlaku. Maka apabila tiada apa-apa balasan, mereka sangka Tuhan membenarkan apa yang mereka lakukan itu.
Di zaman sekarang ini, orang Islam menggunakan dalil yang sama. “Semua guru buat, takkanlah semua nak masuk neraka kot”, begitu yakin mereka berkata. Begitu juga ada yang berkata, “Tengoklah, orang Hindu pun boleh berjalan atas api, takkan mereka salah”.
Begitulah golongan Musyrikin Mekah itu mencabar Nabi ﷺ untuk menurunkan bala kepada mereka. Inilah perangai kaum Musyrikin. Jadi kalau ada yang berani mencabar penyebar agama untuk menurunkan bala, bermakna mereka itu tidak ubah sama sahaja seperti Musyrikin Mekah itu.
Ayat sebegini selalu ditanya oleh orang-orang kafir seperti yang disebut dalam Al-Qur’an sejak zaman berzaman. Kaum yang ingkar seperti Kaum Aad dan Tsamud juga bertanya sebegitu juga. Mereka berani minta kerana mereka tidak percaya dengan ancaman. Bila tidak percayalah yang menyebabkan mereka berani minta ditunjukkan azab itu. Akan tetapi, kenapakah orang yang ingkar dan berbuat zalim di dunia tidak dikenakan hukuman semasa di dunia? Jawapan itu ada dalam ayat yang lain. Kita semua ini dalam peringkat ujian semasa di dunia ini. Dalam tempoh ujian ini, kita boleh berbuat apa sahaja, tetapi Allah ﷻ tidak terus beri azab kepada kita semasa di dunia ini kerana kita diberi peluang untuk bertaubat. Sebagaimana dalam proses pembelajaran di sekolah, guru berikan peluang kepada para pelajar untuk membuat kesalahan dan belajar daripada kesilapan mereka.
Maknanya Allah ﷻ sanggup beri tangguh. Ini adalah kerana Allah ﷻ telah berjanji pada Diri-Nya untuk melewat-lewatkan azab. Allah ﷻ sebut hal ini di dalam An’am: 12
قُل لِّمَن مَّا فِي ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ ۖ قُل لِّلَّهِ ۚ كَتَبَ عَلَىٰ نَفۡسِهِ ٱلرَّحۡمَةَ ۚ لَيَجۡمَعَنَّكُمۡ إِلَىٰ يَوۡمِ ٱلۡقِيَـٰمَةِ لَا رَيۡبَ فِيهِ ۚ ٱلَّذِينَ خَسِرُوٓاْ أَنفُسَهُمۡ فَهُمۡ لَا يُؤۡمِنُونَ
“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Milik siapakah segala yang ada di langit dan di bumi?’ Katakanlah: ‘Milik Allahlah.’ Dia telah menetapkan rahmat atas Diri-Nya. Sesungguhnya Dia akan mengumpulkan kamu pada hari Kiamat yang tidak ada keraguan padanya. Orang-orang yang merugikan diri mereka sendiri, mereka itu tidak beriman.”
Selagi dalam ujian, mereka boleh berbuat apa sahaja mereka hendak. Seperti kita juga semasa dalam ujian di sekolah. Hanya apabila sudah selesai peperiksaan Akhir Tahun barulah dikenakan hukuman sebab gagal dalam peperiksaan. Ini seperti firman Allah ﷻ di dalam Ibrahim: 42
وَلَا تَحۡسَبَنَّ ٱللَّهَ غَـٰفِلًا عَمَّا يَعۡمَلُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ۚ إِنَّمَا يُؤَخِّرُهُمۡ لِيَوۡمٍ تَشۡخَصُ فِيهِ ٱلۡأَبۡصَـٰرُ
“Dan janganlah sekali-kali kamu (Muhammad) mengira, bahawa Allah lalai daripada apa yang diperbuat oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnya Allah memberi tangguh kepada mereka sampai hari yang pada waktu itu mata (mereka) terbelalak.”
Namun begitu, ada pengecualian yang Allah ﷻ berikan kepada umat-umat yang terdahulu seperti Kaum Nabi Musa, Saleh, Syuaib, Nuh dan lain-lain. Mereka terus dikenakan azab semasa di dunia lagi. Itu adalah kerana mereka hendak mencederakan atau membunuh Rasul mereka. Apabila terjadi begitu, Nabi-Nabi telah mengangkat doa supaya Allah ﷻ menolong mereka dan Allah ﷻ terus menurunkan bala kepada kaum mereka.
Bala yang diturunkan semasa di dunia itu akan menghancurkan seluruh baka kaum itu, tidak tertinggal sedikit pun, kecuali orang yang beriman yang Allah ﷻ selamatkan dengan mengeluarkan mereka terlebih dahulu sebelum azab diturunkan. Selagi umat mereka belum mengancam bunuh, mereka akan selamat selama di dunia. Allah ﷻ hanya akan mengazab mereka apabila mereka mati nanti.
Begitu juga kalau ada yang mengancam hendak membunuh penyebar ugama, Allah ﷻ akan turunkan azab terus. Ini boleh berlaku sekiranya penyebar tauhid itu mengangkat tangan untuk berdoa agar diselamatkan. Ini kerana senjata orang mukmin adalah doa.
Yaasin Ayat 49: Jawapan syikayah dalam ayat sebelum ini. Tadi disebut tentang mereka yang tidak percaya, mereka minta ditunjukkan azab itu. Maka sekarang Allah ﷻ ceritakan tentang Hari Kiamat itu.
ما يَنظُرونَ إِلّا صَيحَةً واحِدَةً تَأخُذُهُم وَهُم يَخِصِّمونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
They do not await except one blast1 which will seize them while they are disputing.
- Literally, “cry” or “shriek,” meaning the first blast of the Horn which will strike dead every living thing on the earth without warning.
(MELAYU)
Mereka tidak menunggu melainkan satu teriakan saja yang akan membinasakan mereka ketika mereka sedang bertengkar.
مَا يَنْظُرُونَ إِلَّا صَيْحَةً وَاحِدَةً
Tidaklah mereka tunggu melainkan satu tempikan sahaja;
Iaitu tempikan tiupan sangkakala daripada Israfil. Malaikat Israfil akan tiup sekali sahaja, bukan ‘pet pet pet’ banyak kali. Langit akan pecah dan apabila nampak sahaja langit menjadi merah, maka matilah semua orang. Tidak sempat berbuat apa-apa. Daripada hadith Nabi, Israfil itu sudah bersedia dengan sangkakala itu di mulutnya, menunggu arahan Allah ﷻ sahaja untuk meniupnya.
Lihatlah perkataan صَيْحَةً pernah digunakan dalam Surah Yaasin sebelum ini. Lihat ayat 29,
إِن كانَت إِلّا صَيحَةً وّاحِدَةً فَإِذا هُم خامِدونَ
Tidak ada seksaan atas mereka melainkan satu teriakan suara saja; maka tiba-tiba mereka semuanya dipadamkan.
Asalnya ia adalah suara keras yang keluar daripada kerongkongan untuk meminta pertolongan atau mengherdik. Di dalam ayat ini ia adalah satu suara pekikan yang amat kuat sampaikan boleh memecahkan kepala mereka yang mendengarnya. Jadi Allah ﷻ hendak memberi ancaman kepada Musyrikin Mekah itu; bukan kaum dahulu sahaja boleh terkena tempikan itu kerana mereka pun boleh terkena juga. Allah ﷻ boleh ulang sejarah dan kenakan tempikan yang menghancurkan itu kepada Musyrikin Mekah.
Akan tetapi tempikan apakah itu? Kalau di dalam ayat 29, pendapat mengatakan itu adalah tempikan daripada Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sesetengah ulama’ berpendapat tempikan di dalam ayat 49 adalah tiupan Sangkakala Israfil. Tiupan Sangkakala itu pun memang akan mengejutkan satu dunia nanti dan keadaan akan menjadi kecoh.
Sebenarnya kalau digunakan kalimah صَيْحَةً pun sudah bermaksud ‘satu pekikan’. Namun perhatikan Allah ﷻ tambah penjelasan lagi dengan meletakkan kalimah وَاحِدَةً (satu). Ini sebagai penekanan memang satu tempikan sahaja, bukan banyak kali. Kalau kita tafsirkan sebagai bunyi trompet atau sangkakala itu, bunyinya sekali sahaja, bukannya pot-pot-pot-pretttt. Ini sebagai tanda hebatnya Allah ﷻ boleh mematikan dengan sekali bunyi sahaja. Bandingkan kalau kita bertempik kepada sekumpulan semut yang hurung makanan kita, seekor semut pun tidak mati, bukan?
تَأخُذُهُم وَهُم يَخِصِّمونَ
yang akan menimpa mereka sedang mereka sedang bertengkar-tengkar;
Tempikan yang akan menyebabkan kematian mereka. Keadaan dunia akan menjadi kecoh sangat ketika itu dan ini telah diberi penerangan dalam ayat-ayat pada surah yang lain. Kena baca keseluruhan Al-Qur’an baru akan dapat gambaran yang lebih jelas.
Namun apakah yang mereka bertengkar pada waktu itu? Mungkin waktu itu mereka sedang bertengkar tentang bilakah akan terjadinya kiamat. Ada yang percaya dan ada yang tidak. Kalau zaman sekarang, memang ada yang mengkaji tentang bumi dan para saintis sedang bertengkar tentang bilakah kehancuran dunia akan berlaku. Waktu mereka bertengkar itu, mereka sudah tahu bahawa kiamat akan berlaku dan mereka sudah yakin ia sudah terlalu hampir tetapi mereka tidak tahu bilakah akan terjadinya dengan tepat.
Atau mereka sedang bertengkar tentang kehidupan masing-masing. Tentang perniagaan dan sebagainya. Mereka sibuk dengan hal dunia dan perkara remeh temeh. Waktu itulah Kiamat datang tanpa mereka sedar dan bersedia.
Kalimah يَخِصِّمونَ juga memberi isyarat yang manusia pada waktu itu sibuk bertengkaran sahaja. Keadaan tidak aman malah penuh dengan keburukan dan ini bersesuaian dengan hadith Nabi yang mengatakan Kiamat itu berlaku kepada orang kafir sahaja, seperti disebut di dalam hadith daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ (diriwayatkan oleh Imam Muslim):
لَا تَقُومُ السَّاعَةُ إِلَّا عَلَى شِرَارِ النَّاسِ
“Kiamat tidak akan terjadi kecuali pada seburuk-buruk manusia.”
Keterangan: Hadith ini secara langsung dan jelas menyatakan bahawa hari Kiamat tidak akan menimpa orang-orang yang beriman atau orang-orang yang masih mengucapkan nama Allah. Sebelum Kiamat datang, Allah ﷻ akan mencabut nyawa orang-orang beriman melalui angin yang lembut, sehingga yang tersisa hanyalah orang-orang yang paling jahat.
Juga daripada hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ (diriwayatkan oleh Imam Muslim):
لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى لاَ يُقَالَ فِى الأَرْضِ اللَّهُ اللَّهُ
“Kiamat tidak akan terjadi hingga di bumi tidak ada lagi yang mengucapkan: Allah, Allah.”
Keterangan: Hadith ini menguatkan hadith sebelumnya. Kiamat tidak akan datang selagi masih ada orang yang mengesakan Allah ﷻ dan menyebut nama-Nya. Ini menunjukkan bahawa ketika Kiamat terjadi, tingkat keburukan dan kekufuran manusia telah mencapai puncaknya, sehingga tidak ada lagi yang beribadah kepada Allah ﷻ.
Sebuah lagi hadith daripada Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘Ash رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ (diriwayatkan oleh Imam Muslim) menyebut: Rasulullah ﷺ bersabda:
لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ إِلاَّ عَلَى شِرَارِ الْخَلْقِ هُمْ شَرٌّ مِنْ أَهْلِ الْجَاهِلِيَّةِ لاَ يَدْعُونَ اللَّهَ بِشَىْءٍ إِلاَّ رَدَّهُ عَلَيْهِمْ
“Kiamat tidak akan terjadi kecuali kepada makhluk yang paling buruk. Mereka lebih buruk daripada penduduk jahiliyah (pra-Islam), mereka tidak berdoa kepada Allah dengan sesuatu pun melainkan Allah menolaknya atas mereka.”
Keterangan: Hadith ini menjelaskan ciri-ciri “seburuk-buruk manusia” yang akan menghadapi Kiamat: mereka lebih buruk daripada orang Jahiliyah (yang masih mengakui Tuhan meskipun menyekutukan-Nya), dan doa mereka tidak lagi diterima oleh Allah ﷻ kerana kekufuran dan kejahatan mereka yang amat sangat.
Jadi daripada hadith-hadith ini, kita berharap ia tidaklah terjadi semasa kita hidup ini kerana keadaan Kiamat itu amatlah teruk. Kita berharap ia tidak berlaku kerana kita masih lagi kenal Allah ﷻ dan masih lagi menyembah Allah ﷻ. Akan tetapi kenapa Allah ﷻ ajar kita tentang ayat-ayat Kiamat ini sedangkan kita berkemungkinan besar tidak akan melaluinya?
Pertamanya untuk menguji kita sama ada kita beriman dengan ayat-ayat sebegini atau tidak. Ia adalah perkara ghaib yang Allah ﷻ sampaikan kepada kita dan kita wajib beriman dengannya. Ini seperti firman Allah ﷻ di dalam Baqarah: 3 tentang sifat orang-orang bertaqwa:
الَّذينَ يُؤمِنونَ بِالغَيبِ
Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib
Keduanya, kita dapat kenal Allah ﷻ dan kehebatan-Nya. Kita boleh tahu betapa mudahnya Allah ﷻ mematikan semua makhluk, menghancurkan alam ini dan kemudian menghidupkan semua sekali. Apabila kita sedar yang Allah itu Maha Hebat, maka lebih mudah untuk kita berserah kepada-Nya.
Ketiganya hendak mengingatkan kita. Kalau engkau baca tentang kejadian Hari Kiamat yang menakutkan ini, apa yang akan berlaku selepasnya itu lebih teruk lagi dan ini kita pasti melaluinya. Iaitu kejadian di Mahsyar, timbangan amal, ketakutan kerana tidak tahu dimasukkan ke syurga ataupun neraka. Semua itu kita pasti lalui dan ia pasti menakutkan kita. Ia mengingatkan kita untuk membuat persediaan bagi menghadapinya. Semoga kita semua selamat akhirnya kerana kalau kita tahu, semua ini menyebabkan kita amat-amat takut sebenarnya.
Begitulah kesannya kepada Rasulullah ﷺ sebagaimana disebut di dalam hadith dari Abu Sa’id Al-Khudri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ (diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi, dihasankan oleh Al-Albani):
كَيْفَ أَنْعَمُ وَصَاحِبُ الْقَرْنِ قَدِ الْتَقَمَ الْقَرْنَ وَحَنَى جَبْهَتَهُ يَسْتَمِعُ مَتَى يُؤْمَرُ فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا تَأْمُرُنَا؟ قَالَ: قُولُوا: حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ
“Bagaimana mungkin aku boleh bersenang-senang, sedangkan malaikat sangkakala telah meletakkan sangkakala di mulutnya dan mencondongkan dahinya (telinganya), menunggu bila dia diperintahkan (untuk meniupnya)?” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apa yang engkau perintahkan kepada kami?” Baginda menjawab: “Ucapkanlah: ‘Hasbunallah wa Ni’mal Wakil (Cukuplah Allah bagi kami dan Dia sebaik-baik Pelindung).'”
Yaasin Ayat 50: Gambaran orang yang akan mati su’ul khotimah (penutup yang buruk). Ini adalah mereka yang tidak buat persiapan untuk akhirat.
فَلا يَستَطيعونَ تَوصِيَةً وَلا إِلىٰ أَهلِهِم يَرجِعونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And they will not be able [to give] any instruction, nor to their people can they return.
(MELAYU)
lalu mereka tidak kuasa membuat suatu wasiat pun dan tidak (pula) dapat kembali kepada keluarganya.
فَلَا يَسْتَطِيعُونَ تَوْصِيَةً
Tidaklah mereka mampu untuk berpesan;
Kejadian kiamat itu tiba-tiba sampaikan tidak sempat untuk beri apa-apa pesanan lagi – untuk hantar Whatsapp kepada sesiapa pun tidak boleh. Tidak sempat untuk beritahu kepada sesiapa pun waktu itu. Mereka akan mati dengan serta merta apabila tiupan sangkakala berbunyi. Kepada siapa yang kita selalu berpesan? Kepada anak-anak kita, bukan? Allah ﷻ telah sentuh tentang zuriat di dalam ayat 41 sebelum ini. Allah ﷻ beritahu yang apabila Kiamat berlaku, tidak sempat pun untuk berpesan kepada anak-anak yang disayangi kerana cepat sekali ia berlaku.
Keadaan pula amat mengejutkan dan menakutkan. Ada ibu yang mengandung terkeluar anaknya daripada kandungan kerana terkejut dengan suasana itu. Ada ibu yang mengendong anak akan membuang anaknya kerana takutkan kejadian kiamat. Allah ﷻ berfirman tentang hal ini di dalam Hajj: 1-2
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّڪُمۡۚ إِنَّ زَلۡزَلَةَ ٱلسَّاعَةِ شَىۡءٌ عَظِيمٌ۬ (١) يَوۡمَ تَرَوۡنَهَا تَذۡهَلُ ڪُلُّ مُرۡضِعَةٍ عَمَّآ أَرۡضَعَتۡ وَتَضَعُ ڪُلُّ ذَاتِ حَمۡلٍ حَمۡلَهَا وَتَرَى ٱلنَّاسَ سُكَـٰرَىٰ وَمَا هُم بِسُكَـٰرَىٰ وَلَـٰكِنَّ عَذَابَ ٱللَّهِ شَدِيدٌ۬ (٢)
Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar. (1) Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan. (2)
Ini kerana langit akan terbelah dan nampak api yang merah menyala turun dari langit. Allah ﷻ berfirman di dalam Rahman: 37
فَإِذَا ٱنشَقَّتِ ٱلسَّمَآءُ فَكَانَتۡ وَرۡدَةًۭ كَٱلدِّهَانِ
“Maka apabila langit telah terbelah dan menjadi merah mawar seperti (kilauan) minyak.”
Dalam Zumar: 68 ada menyebut apa yang akan terjadi apabila ditiup Sangkakala ini dan bagaimana semua makhluk akan mati kecuali sesiapa yang Allah tentukan sahaja.
وَنُفِخَ فِي الصّورِ فَصَعِقَ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَمَن فِي الأَرضِ إِلّا مَن شاءَ اللَهُ ۖ ثُمَّ نُفِخَ فيهِ أُخرىٰ فَإِذا هُم قِيامٌ يَنظُرونَ
Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya); kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing).
Pada hari ditiupkan sangkakala, mati semua makhluk di tujuh langit dan tujuh bumi, melainkan sesiapa yang Allah ﷻ kehendaki; maknanya, ada yang tidak mati. Mengenai “siapakah yang dikehendaki Allah” untuk tidak mati pada tiupan sangkakala yang pertama (tiupan kematian), terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan para ulama tafsir. Al-Qur’an sendiri tidak menyebutkan secara spesifik siapa golongan yang dikecualikan ini. Berikut adalah beberapa pandangan yang masyhur:
1. Malaikat-malaikat Tertentu:
-
- Jibril, Mikail, Israfil, dan Malaikat Maut: Ini adalah pendapat yang paling banyak disebut. Logiknya, Malaikat Israfil adalah peniup sangkakala itu sendiri, jadi beliau tidak mungkin mati sebelum tiupan itu selesai. Malaikat Maut adalah yang bertugas mencabut nyawa, jadi beliau akan menjadi makhluk terakhir yang mati setelah mencabut nyawa semua makhluk lain, termasuk malaikat-malaikat yang lain. Jibril dan Mikail juga sering disebut kerana kedudukan mereka yang sangat tinggi di sisi Allah ﷻ.
- Malaikat Hamalatul ‘Arsy (Pembawa Arasy): Sebahagian ulama juga memasukkan mereka dalam golongan yang dikecualikan. Terdapat sejumlah 8 Malaikat Hamalatul ‘Arsy.
2. Hanya Allah ﷻ Yang Kekal:
-
- Ada pandangan yang mengatakan bahawa pada akhirnya, semua makhluk akan mati, termasuk malaikat-malaikat yang dikecualikan ini. Pengecualian “kecuali siapa yang dikehendaki Allah” hanyalah untuk menunjukkan bahawa ada makhluk yang akan mati paling akhir, setelah yang lain mati. Pada akhirnya, hanya Allah ﷻ sahaja yang Maha Kekal, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-Qasas (28): Ayat 88: “كُلُّ شَيْءٍ هَالِكٌ إِلَّا وَجْهَهُ” (“Tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan Zat Allah.”)
3. Para Nabi dan Syuhada:
-
- Sebahagian kecil ulama berpendapat bahawa Nabi dan Syuhada (orang-orang yang mati syahid) mungkin tidak mati dalam erti kata kematian biasa (pengsan atau tertidur daripada kesedaran) kerana mereka hidup di sisi Tuhan mereka dan diberi rezeki. Namun, pandangan majoriti adalah mereka juga akan mengalami kematian atau ‘ketidaksedaran’ seperti makhluk lain, walaupun hidup mereka di barzakh adalah istimewa.
4. Sikap Tafwid (Menyerahkan kepada Allah ﷻ):
-
- Beberapa ulama berpendapat bahawa oleh kerana Al-Quran dan hadith tidak menyebut secara pasti siapa yang dikecualikan, maka yang terbaik adalah untuk menyerahkan pengetahuan ini kepada Allah ﷻ. Kita hanya perlu menyakini bahawa memang ada makhluk yang dikecualikan pada tiupan pertama itu, tanpa perlu berspekulasi tentang identiti mereka.
Di dalam ayat ini juga ada disebut mereka قِيامٌ يَنظُرونَ (mereka berdiri menunggu). Nanti selepas ini يَنسِلونَ (mereka bergerak dengan cepat). Ini tidak bercanggah kerana pada permulaan mereka kebingungan tidak tahu berbuat apa-apa kemudian barulah para malaikat menghalau mereka bergerak dengan cepat. Allah ﷻ sebut di dalam Fussilat: 19
وَيَوْمَ يُحْشَرُ أَعْدَاءُ اللَّهِ إِلَى النَّارِ فَهُمْ يُوزَعُونَ
“Dan (ingatlah) pada hari (ketika) musuh-musuh Allah digiring ke neraka, lalu mereka dikumpulkan (secara paksa).”
وَلَا إِلَىٰ أَهْلِهِمْ يَرْجِعُونَ
Dan tidak sempat kembali kepada keluarga masing masing;
Kejadian itu berlaku dengan teramat cepat sampaikan kalau duduk luar rumah untuk kembali masuk rumah pun tidak sempat. Jadi tidak sempat hendak berpesan kepada ahli keluarga sendiri. Ini adalah gambaran orang yang tidak membuat persiapan tentang akhirat. Bukan orang yang menghadapi Kiamat sahaja mengalami hal ini. Orang yang lalai leka dengan dunia pun tidak sempat untuk beri apa-apa pesanan kepada keluarga mereka. Kalau orang yang rapat dengan wahyu, mereka telah membuat persiapan untuk menghadapi akhirat. Ini kerana kematian boleh berlaku bila-bila masa sahaja. Terutama zaman sekarang yang selalu sahaja kita dengar kejadian orang yang mati sekelip mata secara tiba-tiba sahaja. Ini telah disebut di dalam hadith riwayat At-Tabarani dalam Al-Mu’jam Al-Saghir
إِنَّ مِنْ أَمَارَاتِ السَّاعَةِ … وَأَنْ يَظْهَرَ مَوْتُ الْفَجْأَةِ
“Sesungguhnya di antara tanda-tanda Kiamat adalah… akan banyak berlakunya kematian secara mengejut.”
Orang yang mukmin akan selalu beringat tentang hal ini dan membuat persediaan bagi menghadapinya, seperti disebut di dalam hadith riwayat Imam Ahmad (25556) dan riwayat lain daripada Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا:
Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا bertanya kepada Rasulullah ﷺ mengenai kematian mengejut, lalu Baginda bersabda: رَاحَةٌ لِلْمُؤْمِنِ، وَأَخْذَةُ أَسَفٍ لِلْفَاجِرِ
“(Mati mengejut) adalah suatu kesenangan bagi seorang mukmin dan penyesalan bagi orang derhaka (fajir).”
Apabila kiamat berlaku nanti, tidak sempat untuk berbuat apa-apa lagi kerana langit dan bumi semuanya dihancurkan dengan serta merta. Kenapakah segalanya dihancurkan? Kerana dunia adalah ibarat tiang-tiang sokongan yang digunakan untuk membina rumah. Apabila rumah sudah siap, maka tiang-tiang itu akan dibuang kerana tidak perlu lagi. Begitu juga dunia adalah sebagai tempat ujian kepada makhluk dan apabila Kiamat datang, ia telah habis gunanya. Waktu itu akan dibicarakan makhluk semua sekali dan akan dimasukkan makhluk sama ada ke neraka atau ke syurga.
Ayat ini mengajar kita hendaklah sentiasa mengingati mati. Di dalam setiap mukasurat Al-Qur’an pasti menyebut tentang kematian, tentang Kiamat. Ini adalah untuk mengingatkan kita kepada kematian atau sering disebut zikrul mawt. Antaranya ayat seperti Nisa’: 78
اَيْنَ مَا تَكُوْنُوْا يُدْرِكْكُمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنْتُمْ فِيْ بُرُوْوجٍ مُّشَيَّدَةٍ
“Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, walau pun kamu berada di dalam benteng yang tinggi dan kukuh.”
Malah Rasulullah ﷺ juga mengingatkan kita akan hal ini. Di dalam hadith riwayat At-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan An-Nasa’i (dihasankan oleh Al-Albani), baginda bersabda
أَكْثِرُوا ذِكْرَ هَاذِمِ اللَّذَّاتِ يَعْنِي الْمَوْتَ
“Perbanyaklah mengingat pemutus segala kenikmatan, iaitu kematian.”
Juga di dalam hadith riwayat Ibnu Majah (dihasankan oleh Al-Albani) daripada Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا: Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah ﷺ:
“Wahai Rasulullah, siapakah di antara orang-orang mukmin yang paling utama?” Nabi ﷺ menjawab: “Yang paling baik akhlaknya.” Lelaki itu bertanya lagi: “Siapakah di antara orang-orang mukmin yang paling cerdik?” Nabi ﷺ menjawab: أَكْثَرُهُمْ لِلْمَوْتِ ذِكْرًا، وَأَحْسَنُهُمْ لِمَا بَعْدَهُ اسْتِعْدَادًا، أُولَئِكَ هُمُ الأَكْيَاسُ
“Orang yang paling banyak mengingat kematian, dan yang paling baik persiapannya setelah kematian. Merekalah orang-orang yang cerdik.”
Sentiasa memikirkan bahawa ada kemungkinan esok kita boleh sahaja mati. Jangan kita terus sangka yang umur kita panjang. Kerana kita tidak tahu bilakah ‘expiry date’ (tarikh luput) kita. Nescaya kalau kita ada ingatan sebegitu, iman kita akan meningkat. Kita pun tidak berani untuk membuat benda-benda yang salah dan berdosa. Kita juga akan sentiasa berhati-hati dalam amalan dan perbuatan kita. Kita akan beringat untuk memesan tentang kebaikan kepada anak isteri kita.
Jauhkan diri daripada melakukan dosa walau kecil mahupun besar kerana kita takut kalau kita ditanya tentangnya. Jikalau tidak bersedia, maka kita akan jadi seperti orang yang disebut dalam ayat ini. Oleh itu, tinggalkan apa yang perlu tinggal, buat apa yang perlu buat. Jikalaulah tidak mampu untuk buat lagi, maka teruslah minta ampun siap-siap.
Sekian Ruku’ 3 daripada 5 ruku’ surah ini
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 14 Jun 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
