Tafsir Surah an-Nur Ayat 3 – 4 (Hukum Qazf)

Nur Ayat 3: Ini adalah hukum yang kedua. Orang yang baik-baik jangan bercampur gaul dengan orang yang buruk. Mereka yang bersifat buruk, selalunya akan mencari kawan yang sepertinya juga.

الزّاني لا يَنكِحُ إِلّا زانِيَةً أَو مُشرِكَةً وَالزّانِيَةُ لا يَنكِحُها إِلّا زانٍ أَو مُشرِكٌ ۚ وَحُرِّمَ ذٰلِكَ عَلَى المُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The fornicator does not marry except a [female] fornicator or polytheist, and none marries her except a fornicator¹ or a polytheist, and that [i.e., marriage to such persons] has been made unlawful to the believers.

  • Included in this ruling is the adulterer as well. Such persons cannot be married to believers unless they have repented and reformed.

(MELAYU)

Lelaki yang berzina tidak mengahwini melainkan perempuan yang berzina, atau perempuan yang musyrik; dan perempuan yang berzina tidak dikahwini melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik, dan yang demikian itu diharamkan atas orang-orang yang mukmin.

 

الزّاني لا يَنكِحُ إِلّا زانِيَةً

Lelaki yang berzina tidak mengahwini melainkan perempuan yang berzina,

Ini bukanlah merupakan ayat arahan pula, maka jangan salah faham. Bukanlah seseorang yang telah berzina hanya boleh berkahwin dengan orang yang berzina sahaja. Banyak juga yang salah faham dengan maksud ayat ini. Tidaklah ayat ini hendak memberitahu: kalau penzina mesti mencari penzina sahaja baru dia boleh berkahwin.

Ada pula yang berkata: “Kalau sudah seorang penzina, memang akan berkahwin dengan penzina juga.” Ini pun fahaman yang tidak benar. Bukan begitu maksudnya.

Maksud ayat ini adalah: mereka yang bersifat kotor adalah untuk orang yang kotor juga. Dan kerana itu kebiasaannya, orang yang berzina dari kalangan lelaki akan berkahwin dengan perempuan yang melakukan zina juga. Mereka akan mencari orang yang sama sifat dengan mereka juga kerana senang untuk mereka meneruskan sifat buruk mereka itu.

Mereka akan cari orang yang sama perangai dengan mereka. Begitulah yang Allah ‎ﷻ akan jadikan. Keinginan dan sifat mereka sama sahaja. Mereka senang klik.

 

أَو مُشرِكَةً

atau perempuan yang musyrik;

Dan satu lagi kebarangkalian: lelaki penzina akan berkahwin dengan perempuan yang mengamalkan syirik. Ini adalah kerana seorang lelaki yang tidak menjaga agamanya dan tidak peduli kepada hukum-hakam agama, akan sudah tidak kisah dengan siapa yang dikahwininya lagi. Kalau berkahwin dengan wanita yang mengamalkan amalan syirik pun mereka tidak kisah.

Kalau undang-undang perkahwinan pun dia sanggup langgar, apatah lagi perkara lain. Ini sudah tentu termasuk perkara tauhid.

Satu lagi, ayat ini hendak memberitahu dengan kata lain, tiada seorang wanita pun yang mahu melayani hawa nafsu zina lelaki penzina melainkan hanyalah wanita penzina lagi derhaka atau wanita musyrik yang tidak menganggap perbuatan zina itu haram.

Maksud ini diambil dari Sufyan As-Sauri yang mengatakan dari Habib ibnu Abu Amrah, dari Sa’id ibnu Jubair, dari Ibnu Abbas رضي الله عنهم sehubungan dengan makna firman-Nya: Lelaki yang berzina tidak mengahwini melainkan perempuan yang berzina atau perempuan yang musyrik. (An-Nur: 3) Bahawa yang dimaksudkan dengan ‘nikah’ dalam ayat ini bukanlah ‘kahwin’, melainkan ‘bersetubuh’.

Dengan kata lain, dapat disebutkan bahawa tiada seorang pun yang berzina dengan perempuan penzina melainkan hanyalah lelaki penzina atau lelaki musyrik sahaja. Sanad riwayat ini sahih sampai kepada Ibnu Abbas رضي الله عنه.

Telah diriwayatkan pula dari Ibnu Abbas رضي الله عنه melalui berbagai jalur sehubungan dengan masalah ini. Hal yang semisal telah diriwayatkan dari Mujahid, Ikrimah, Sa’id ibnu Jubair, Urwah ibnuz Zubair, Ad-Dahhak, Makhul, Muqatil ibnu Hayyan, رضي الله عنهم dan lain-lainnya yang bukan hanya seorang.

Allah ‎ﷻ telah memberikan ancaman ini kerana institusi perkahwinan adalah satu institusi yang amat besar dan penting di dalam Islam. Maka kenalah dijaga institusi ini. Tidak mungkin kita mahu berkahwin dengan penzina atau orang musyrik pula, bukan? Kalau tidak mahu, maka kita sendiri janganlah menjadi penzina.

Disebut ‘orang musyrik’ di dalam ayat ini kerana orang yang bersifat musyrik itu tidak cukup dengan satu Tuhan sahaja tetapi mereka masih hendak mencari dan puja ilah yang lain. Maka begitu juga dengan orang yang berzina: iaitu mereka tidak cukup dengan satu pasangan sahaja tetapi mereka hendakkan kepada pasangan yang lain. Jadi terdapat persamaan di antara mereka.

 

وَالزّانِيَةُ لا يَنكِحُها إِلّا زانٍ أَو مُشرِكٌ

dan perempuan yang berzina tidak dikahwini melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik, 

Dan begitu juga kepada wanita yang melakukan zina. Mereka juga akan selalunya berkahwin dengan penzina juga.

Atau mereka juga akan bertemu dengan lelaki yang mengamalkan amalan musyrik juga. Penjelasannya seperti di atas tadi.

 

وَحُرِّمَ ذٰلِكَ عَلَى المُؤمِنينَ

dan yang demikian itu diharamkan atas orang-orang yang mukmin.

Dan perkara ini dilarang di dalam Islam. Islam tidak membenarkan perkahwinan dengan penzina dan musyrik. Maksudnya, diharamkan ke atas mereka melakukan perbuatan tersebut dan mengahwini pelacur-pelacur, atau mengahwinkan wanita-wanita yang terpelihara kehormatannya dengan lelaki yang lacur.

Maknanya, seorang wali tidak sepatutnya membenarkan anaknya mengahwini orang yang diketahui sebagai seorang penzina. Ini tidak patut berlaku di dalam masyarakat yang normal. Kalau ada yang melakukannya juga, maka ini mungkin terdapat masalah dengan otak mereka! Maka kenalah elakkan perkara ini melainkan kalau orang itu sudah bertaubat.

 

Hukum Mengahwini Penzina

Ayat ini menjadi perbincangan di kalangan ahli feqah tentang boleh atau tidak mengahwini penzina (yang telah diketahui). Ada pendapat yang mengatakan tidak sah menikahi penzina melainkan mereka bertaubat dahulu. Pandangan ini diriwayatkan daripada ‘Ali, Al-Bara’, ‘Aisyah dan Ibn Mas’ud. Ini juga adalah pandangan sebahagian ulama’ mazhab Hambali. Imam Ahmad ibnu Hambal رحم الله berpendapat bahawa tidak sah akad nikah seorang lelaki yang memelihara dirinya dari perbuatan zina terhadap wanita pelacur, selagi wanita yang bersangkutan masih tetap sebagai pelacur, kecuali jika dia telah bertaubat. Jika wanita itu telah bertaubat, maka akad nikah dengannya sah; dan jika masih belum bertaubat, akad nikahnya tidak sah.

Demikian pula halnya sebaliknya, iaitu mengahwinkan wanita yang terpelihara kehormatan dirinya dengan seorang lelaki yang suka melacur atau penzina, sebelum lelaki itu bertaubat dengan taubat yang sebenar-benarnya, kerana berdasarkan firman Allah ‎ﷻ yang mengatakan: dan yang demikian itu diharamkan atas orang-orang yang mukmin. (An-Nur: 3).

Tapi pendapat Imam Ahmad رحم الله ini dikritik kerana perkara haram tidaklah menjadikan sesuatu itu tidak sah. Ya, memang mengahwinkan anak perempuan dengan penzina itu adalah haram dan tentunya dilarang, tetapi tidaklah menjadikan pernikahan itu tidak sah pula. Jadi ‘haram’ bagi perkahwinan dengan orang yang penzina adalah berdosa, walaupun perkahwinan itu sah.

Malah pandangan Imam As-Syafie mengatakan ayat ini telah dimansuhkan. (Rujuk: Al-Umm 5/158). Pandangan ini juga diriwayatkan daripada Sa’id bin al Musayyib yang menyatakan ayat ini telah dimansuhkan oleh Nisa’:3.

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ

“Maka nikahilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi.”

Jadi ada pendapat yang mengatakan perkahwinan dengan pasangan penzina adalah sah dan tidaklah memerlukan penzina itu bertaubat dahulu. Pendapat ini diriwayatkan daripada Abu Bakar, ‘Umar, Ibnu ‘Abbas, dan ia juga merupakan pendapat majoriti ulama’ dan ulama’ mujtahid empat mazhab. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Saidina Umar R.A:

كما روي أن عمر رضي الله عنه ضرب رجلًا وامرأة في الزنا وحرص على أن يجمع بينهما

“Dan telah diriwayatkan bahawasanya Saidina Umar R.A telah memukul lelaki dan perempuan yang telah berzina dan ingin mengahwinkan keduanya .”

Riwayat Al-Baihaqi (7/155).

Maknanya tidaklah Saidina Umar mengatakan pernikahan mereka tidak sah. Cuma mereka dipukul kerana melakukan perkara yang haram.

Satu lagi dalil yang diketengahkan adalah firman Allah dalam Nisa’:24:

وَأُحِلَّ لَكُمْ مَا وَرَاءَ ذَلِكُمْ

“Dan dihalalkan bagi kamu selain yang demikian.”

Ayat An-Nisa di atas turun setelah menjelaskan wanita-wanita yang haram dinikahi. Oleh itu hukum selain wanita yang telah disebutkan adalah halal untuk dinikahi, termasuk wanita yang berzina. Maknanya pernikahan itu tetap sah.

Jadi ada khilaf tentang sah atau tidak pernikahan dengan penzina. Tapi ingat, walaupun para ulama berbeza pendapat mengenai keharusan berkahwin dengan wanita penzina, namun para ulama’ telah  bersepakat bahawa zina adalah dosa besar yang wajib dijauhi. Zina juga mengundang kemurkaan Allah sehingga diwajibkan ke atasnya hukuman tertentu iaitu bertujuan untuk memberatkan penzina tersebut ke atas dosa yang dilakukan.

Justeru, sebaiknya hendaklah dipastikan pelaku zina tersebut benar-benar bertaubat terlebih dahulu sebelum dinikahi kerana perkahwinan dalam islam merupakan ibadah. Maka sewajarnya pelakunya bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat sebelum melaksanakan tuntutan ibadah yang besar iaitu perkahwinan.

Maka jikalau kita telah tahu bahawa seseorang lelaki ataupun wanita itu memang kaki zina, maka kita janganlah berkahwin dengan mereka atau mengahwinkan ahli keluarga kita. Tetapi di dalam masa yang sama, kenalah ada bukti yang kukuh untuk mengatakan mereka itu penzina. Janganlah pakai tuduh sahaja kerana menuduh zina ke atas orang pun adalah dosa besar juga kalau tiada bukti.

Satu lagi tafsiran bagi ayat ini, ia tentunya larangan untuk berzina. Ia adalah tambahan (penguat) bagi ayat larangan zina seperti firman Allah di dalam Nisa’:32

 وَلا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلا 

Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan seburuk-buruk jalan.

 

Dan bagi perkahwinan dengan orang musyrik, ‘haram’ yang dimaksudkan pula adalah ‘tidak sah’. Ini adalah kerana kalimah ‘haram’ membawa dua maksud: sama ada tidak sah atau berdosa.


 

Nur Ayat 4: Ini adalah hukum yang ketiga. Ini dinamakan Hukum Qozaf. Orang yang baik jangan dituduh dengan sewenang-wenangnya. Islam amat menjaga perkara ini dan meletakkan hukuman kalau ada yang menuduh tanpa saksi.

Ini adalah ayat yang penting dalam surah ini. Akan disebut dengan panjang lebar dalam ayat-ayat seterusnya nanti.

وَالَّذينَ يَرمونَ المُحصَنٰتِ ثُمَّ لَم يَأتوا بِأَربَعَةِ شُهَداءَ فَاجلِدوهُم ثَمٰنينَ جَلدَةً وَلا تَقبَلوا لَهُم شَهٰدَةً أَبَدًا ۚ وَأُولٰئِكَ هُمُ الفٰسِقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who accuse chaste women and then do not produce four witnesses – lash them with eighty lashes and do not accept from them testimony ever after. And those are the defiantly disobedient,

(MELAYU)

Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka rotanlah mereka (yang menuduh itu) lapan puluh kali rotan, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik.

 

وَالَّذينَ يَرمونَ المُحصَنٰتِ

Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik

Kalimah المُحصَنٰتِ dari katadasar ح ص ن yang bermaksud ‘sesuatu yang diletakkan di dalam kubu’. Maksudnya terpelihara sungguh sesuatu itu kalau begitu. Ia digunakan sebagai istilah untuk ‘perempuan yang baik-baik’ kerana mereka itu terpelihara di dalam rumah mereka yang diibaratkan sebagai kubu.

Mereka itu sentiasa menjaga maruah dan kemaluan mereka. Mereka ini ialah wanita merdeka yang sudah baligh dan memelihara kehormatan diri mereka. Jadi, hukum ini hanya untuk wanita yang baik-baik sahaja yang dituduh. Walau bagaimanapun jika wanita itu sendiri yang mempunyai masalah moral, maka hukum ini tidak lagi terpakai.

Kalimah المُحصَنٰتِ ini dari kalimah احصان dan dalam hukum syarak, kalimah احصان ini ada dua:

    1. Merujuk kepada wanita atau lelaki yang telah bernikah dan mereka telah merasai jimak yang halal.
    2. Merujuk kepada wanita atau lelaki yang baik-baik. Kalau mereka ini dituduh melakukan zina, maka hukuman qazf boleh dikenakan kepada penuduh.

Kalimah يَرمونَ pula diambil dari kalimah ر م ي yang bermaksud ‘membaling kepada sesuatu’ seperti membaling batu kepada seseorang. Digunakan dalam ayat ini sebagai merujuk kepada perbuatan ‘menuduh seseorang’.

Dan tuduhan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah menuduh perempuan yang baik-baik telah melakukan zina. Ini dilarang dan ini adalah perbuatan yang amat teruk dan keji. Jadi perbuatan menuduh perempuan yang baik telah melakukan zina adalah satu perbuatan yang besar seolah-olah berperang. Allah ‎ﷻ menegur dengan keras perbuatan itu dalam ayat ini.

Ulama bersetuju bahawa walaupun kalimah yang digunakan dalam ayat ini adalah المُحصَنٰتِ yang merujuk kepada perempuan, tetapi kalau lelaki pun dituduh, hukum yang sama juga digunakan.

Dan walaupun kalimah penuduh itu dalam bentuk lelaki (وَالَّذينَ يَرمونَ), tetapi kalau penuduh itu wanita, maka hukuman yang sama akan dikenakan kepada mereka.

Hukuman qazf ini adalah hak mereka yang dituduh. Oleh itu hukuman akan dijalankan kalau orang yang dituduh itu mahu melaksanakannya. Maka dia boleh sahaja memaafkan orang yang menuduhnya itu. Ini berlainan dengan hukuman zina kerana ia adalah hak Allah ‎ﷻ. Tidak ada sesiapa yang boleh memaafkan mereka yang telah ditangkap berzina. Maka ia akan tetap dijalankan juga.

 

ثُمَّ لَم يَأتوا بِأَربَعَةِ شُهَداءَ

dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, 

Menuduh seseorang telah melakukan zina, secara dasarnya tidaklah dilarang tetapi mestilah dibawakan saksi dan bukti. Jangan hanya sesuka hati menuduh sahaja tetapi gagal membawakan bukti dan saksi. Manusia dilarang untuk menuduh perempuan yang nampak baik dengan tuduhan berzina melainkan jikalau mereka dapat membawa empat orang saksi yang menyaksikan perkara zina itu berlaku.

Dan tentulah ini adalah perkara yang agak luar biasa. Kalau terjadi, maka ia sudah menunjukkan yang masyarakat itu sudah teruk sampaikan empat orang boleh melihat kejadian zina itu pada satu masa. Jadi,  perkara ini tidak sepatutnya berlaku dari mula lagi. Ini seolah-olah dilakukan di khalayak ramai pula, atau tidak disorok-sorok lagi. Pelakunya tidak kisah kalau orang lain tahu dan nampak. Memang tanda masyarakat sudah amat teruk kalau sudah mencapai tahap begitu.

Maka jikalau ada orang yang nampak seseorang telah berzina tetapi tidak ada saksi yang dapat mengukuhkan dakwaan itu, maka biarkan sahaja kerana mereka akan menerima nasib mereka di akhirat kelak. Dalam kes ini, tidak boleh untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa kerana tidak mencukupi syarat.

Dan kerana itulah ramai susah untuk menerima ayat ini. Mereka seolah-olah nampak susah untuk mensabitkan seseorang telah berzina kerana syarat terlalu ketat yang Allah ‎ﷻ letakkan. Sebenarnya kita kena faham yang Allah  ‎ﷻ ketatkan penghukuman zina ini agar tidaklah manusia menuduh orang lain dengan sewenang-wenangnya.

Bayangkan kalau mudah sahaja untuk menuduh orang berbuat zina, maka akan ada manusia jahat yang boleh mengambil kesempatan dengan menuduh orang dan menjatuhkan nama baik seseorang.

Mungkin ada yang berhujah: “Kalau macam itu, susahlah nak tuduh orang berzina sebab susah sangat syaratnya… nanti ramailah orang yang senang sahaja nak berzina”. Seolah-olah agama menggalakkan zina pula.

Maka kita jawab: Itu adalah kata-kata menggunakan akal sahaja dan bukan mengikut kehendak Allah ‎ﷻ. Allah  ‎ﷻ telah menetapkan hukumnya maka mestilah kita mengikutinya begitu tanpa ragu-ragu lagi. Tidak mungkin kita berani untuk mengatakan yang Allah ‎ﷻ tidak pandai membuat hukuman pula?

Kita juga mengetahui bahawa hukuman yang dikenakan ke atas penzina adalah ketat sebagaimana yang telah disebut di dalam Surah Nisa’. Maka kalau hukuman hudud sebegini dijalankan, tentu manusia tidak berani untuk membuat dosa zina lagi.

Kita kenalah ingat yang tujuan kita bukanlah untuk menghukum manusia sahaja, tetapi lebih kepada untuk menghalang manusia dari melakukan zina; dan hukuman yang ada dalam Islam amatlah ketat supaya tidaklah boleh disalahgunakan oleh manusia. Biar yang benar-benar salah sahaja dihukum.

Jangan tersilap hukum pula iaitu dengan menghukum yang tidak bersalah. Biarlah kita melepas orang yang benar-benar bersalah dari kita hukum orang yang tidak bersalah.

 

فَاجلِدوهُم ثَمٰنينَ جَلدَةً

maka rotanlah mereka (yang menuduh itu) lapan puluh kali rotan,

Kalau ada yang menuduh perempuan baik telah berzina, dan mereka tidak dapat mendatangkan empat orang saksi, maka hukuman kepada mereka adalah sebatan sebanyak 80 kali. Mereka yang menuduh pula yang akan dikenakan hukuman! Maka kerana itu kalau tidak ada saksi, senyaplah sahaja.

Jika yang dituduh melakukan zina itu adalah seorang lelaki yang terpelihara kehormatan dirinya, maka begitu pula ketentuan hukumnya, yakni si penuduh dikenakan hukuman dera. Tiada seorang pun dari kalangan ulama yang memperselisihkan masalah hukum ini.

Dalam sejarah pemerintahan Sayidina Umar رضي الله عنه, pernah terdapat orang yang menuduh seorang sahabat berzina. Maka itu adalah perkara berat. Tetapi kemudian ditanya adakah terdapat saksi yang lain? Mereka membawa saksi yang lain, di mana saksi kedua dan ketiga berkata memang ada penzinaan terjadi. Tetapi orang yang keempat tidak dapat memastikan sama ada kejadian zina itu berlaku atau tidak, kerana dia nampak lelaki itu dengan seorang wanita sahaja. Maka pertuduhan itu telah ditolak dan para saksi itu semuanya telah disebat.

Hukuman ini hanya akan dijalankan setelah melalui proses perbicaraan, iaitu mestilah terdapat pelapor yang benar-benar nampak kejadian itu berlaku. Kalau yang dituduh tidak melaporkan perkara itu, maka kerajaan tidak boleh mengambil tindakan undang-undang qazaf terhadap penuduh. Apabila yang dituduh itu telah dikatakan sebagai penzina, maka yang menuduh mesti membawakan saksi.

Ayat ini membuka satu perbincangan yang besar di kalangan umat, tentang apakah yang kita perlu lakukan jikalau ada perbuatan buruk di kalangan masyarakat kita? Tidak mungkin kita hanya berdiam diri sahaja?

Maka kita jawab: Kebanyakan yang dilakukan oleh manusia hanyalah bercakap-cakap tentang perkara itu sahaja tetapi tidak melakukan apa-apa pun dan ini bukanlah yang diajar oleh Islam. Sebagai contoh, kalau  ada jiran sebelah membawa masuk teman lelakinya ke dalam rumahnya, apa yang selalu terjadi adalah jiran tetangganya hanya akan bercakap sesama sendiri sahaja tetapi tidak pula dinasihati ataupun ditegur wanita itu.

Islam mengajar kita untuk menangani perkara ini adalah dengan menasihati mereka yang melakukan kesalahan zina itu dan menghalang mereka dari melakukan perbuatan salah itu dari awal lagi. Bukankah kita mesti menjalankan tugas kita untuk memberi nasihat? Memang kita tidak boleh menghukum mereka, tetapi kita masih boleh memberikan nasihat lagi, bukan?

Berikan nasihat dan halangnya dari terjadi. Bukannya hanya menunggu sehingga terjadinya penzinaan barulah ditangkap penzina-penzina itu. Malangnya beginilah yang seringkali berlaku di dalam masyarakat kita. Mereka bukannya ingin menghalang, tetapi lebih suka dan bergembira pula jika dapat menangkap orang berzina ‘selepas’ mereka melakukan penzinaan. Sebab itu orang kampung dan pencegah maksiat duduk tempat gelap, tunggu sudah mula berzina baru nak cekup. Ini konsep yang salah dalam otak mereka.

Maka kalau kita mempunyai kedudukan yang boleh menghalang perkara itu dari terjadi, maka kita kenalah menggunakan kuasa yang ada pada kita. Kita tidak boleh hanya diam dan berpeluk tubuh sahaja. Tidak mungkin kita menunggu anak kita berzina dahulu barulah kita ingin menasihatinya, bukan?

Dan bayangkan apa yang akan terjadi jikalau kita bercakap-cakap sahaja tentang perkara ini sehinggakan ramai orang akan mengetahui tentang perkara itu dan ia akan menjadikan perbuatan salah itu seolah-olah popular dan sudah biasa sahaja. Manusia jahil akan berkata: “alaahhh, ramai jer yang buat… kenapa nak heran?”

Maknanya, kalau perbuatan zina itu banyak diperkatakan, ia sampai boleh menyebabkan masyarakat sudah lali dan biasa dengannya, maka mereka tidak berasa bersalah pun untuk melakukannya (kerana mereka akan kata: “orang lain pun ramai buat, apa salahnya?”).

Maka kita haruslah berhati-hati dengan perkara yang kita cakapkan terutama di hadapan anak-anak kecil kerana kita tidak mahu mereka berasa yang perkara itu biasa sahaja di dalam masyarakat. Jangan kita jadikan kesalahan manusia seperti perbuatan zina sebagai normal sehingga menjadi kebiasaan pula.

Lihatlah sekarang ini bagaimana perhubungan lelaki dan perempuan yang bergaul mesra biasa sahaja, sampaikan tidak rasa bersalah pun tentang perkara itu. Maka kita kena elakkan ia dari berlaku. Kerana itulah Islam amat menjaga hal ikhtilat ini.

Maka timbul satu lagi persoalan: Kalau susah untuk melaporkan, maka sangat senanglah untuk orang berbuat maksiat? Senang sahaja mereka masuk ke dalam bilik hotel, tetapi nanti tidak boleh untuk menuduh mereka kerana tidak ada empat orang saksi.

Jawapan: Kita kena sedar yang ayat ini memperkatakan tentang perbuatan zina dalam bentuk jimak. Kriteria yang ketat dikenakan kerana hukuman yang dikenakan juga berat. Maka layaklah kalau penghakiman yang ketat dikenakan.

Akan tetapi, kerajaan boleh buat membuat hukum di bawah ta’zir di mana boleh menetapkan lelaki dan wanita tidak boleh duduk dalam bilik yang sama dalam keadaan yang mencurigakan tanpa mahram. Hukuman yang dikenakan pula boleh ditetapkan oleh kerajaan seperti denda, penjara dan sebagainya. Boleh dikenakan apa-apa hukuman yang dirasakan sesuai asalkan bukan hukum hudud.

 

وَلا تَقبَلوا لَهُم شَهٰدَةً أَبَدًا

dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. 

Kembali kepada hukum dalam ayat ini. Apabila mereka telah dikenakan sebatan sebanyak 80 kali rotan, satu lagi hukuman kepada mereka adalah tidak boleh diterima persaksian daripada mereka sampai bila-bila.

Mereka sudah tidak dipercayai lagi sampai bila-bila di mahkamah. Mereka tidak boleh menjadi saksi dalam perbicaraan. Maka amat bahaya sekali kalau menuduh orang berzina tanpa dibawakan saksi.

 

وَأُولٰئِكَ هُمُ الفٰسِقونَ

Dan mereka itulah orang-orang yang fasik.

Dan Allah ‎ﷻ berfirman  bahawa mereka itu adalah orang-orang yang ‘fasik’ iaitu orang-orang yang dalaman mereka sudah busuk. Iaitu orang-orang yang berdosa.

Jadi, terdapat tiga jenis hukuman yang ditimpakan kepada orang yang menuduh orang lain berbuat zina tanpa bukti yang membenarkan kesaksiannya, iaitu:

    • Pertama, dikenakan dengan hukuman dera sebanyak lapan puluh (80) kali.
    • Kedua, kesaksiannya tidak dapat diterima buat selama-lamanya.
    • Ketiga, dicap sebagai orang fasik dan bukan orang adil, baik dari sudut pandangan Allah ‎ﷻ mahupun pandangan manusia.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 24 Ogos 2023

Ringkasan Surah Nur


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah an-Nur Ayat 1 – 2 (Tentang Zina)

Pengenalan:

Surah ini adalah Surah Madaniyyah. Sekarang kita bertemu pula dengan Surah Madaniyyah setelah sekian lama kita menghadap Surah Makkiyah. Ia terselit di antara dua surah Makkiyyah iaitu Surah Mukminoon dan Surah Furqan. Surah ini berkait rapat dengan Surah al-Ahzab.

Surah ini banyak menyebut tentang undang-undang yang perlu ditaati oleh manusia. Dan memang begitulah ciri Surah Madaniyyah. Surah Madaniyyah banyak mengajar manusia cara untuk menjalani kehidupan dengan hukum-hakam dalam kehidupan.

Undang-undang mestilah diwujudkan dengan tujuan untuk mengawal manusia. Kalau tidak akan porak perandalah manusia. Ramailah yang akan mengambil kesempatan dan menjadi zalim.

Namun, manusia boleh berubah dengan adanya ilmu. Bagi manusia yang berilmu, kesedaran sivik mereka akan tinggi dan tidak memerlukan undang-undang lagi untuk mengawal mereka. Mereka sendiri mengetahui memang molek untuk membuat perkara baik dan memang salah untuk membuat perkara zalim. Mereka sudah dapat membezakan sendiri tanpa orang beritahu mereka.

Maka kerana itu banyak diingatkan kepada manusia tentang hukum dalam Qur’an. Diingatkan berkali-kali supaya manusia faham. Kalau undang-undang ditetapkan kepada manusia tetapi mereka tidak faham, maka mereka akan susah untuk mematuhinya. Sememangnya terdapat hukuman dunia tetapi Allah ‎ﷻ lebih menekankan tentang hukuman akhirat. Ini supaya manusia taat kepada hukuman itu kerana takutkan balasan di akhirat.

Kalau manusia tidak memahami akan kepentingan hukum itu, maka akan terjadi seperti kes Prohibition di Amerika Syarikat (Pengharaman arak dari tahun 1920 hingga 1932). Kerajaan Amerika telah nampak keburukan arak dan mereka mengambil langkah mengharamkannya. Tapi masyarakat tidak dapat terima dan undang-undang ini terpaksa dimansukhkan. Mereka tidak memahami kenapakah mereka tidak boleh meminum arak. Maka mereka melanggar undang-undang itu dan akhirnya undang-undang itu telah terpaksa dimansuhkan kerana mendapat tentangan yang amat kuat. Ini adalah kerana mereka tidak ada kesedaran dari segi agama.

Oleh sebab itulah betapa pentingnya iman manusia perlu dipupuk dahulu. Kerana kalau tiada iman, manusia tidak akan kisah dengan hukuman. Biarlah betapa hebat dan berat ancaman dibuat, mereka tidak akan mahu mengikutinya.

Surah ini amat penting sekali sehinggakan Sayidina Umar رضي الله عنه pernah memberikan arahan kepada rakyatnya untuk setiap rumah mengajarkan anak-anak dan isteri mereka tiga surah iaitu Surah Nisa’, Surah Nur ini dan Surah Ahzab. Ini kerana apabila ketiga-tiga surah ini sudah difahami, maka akan timbul satu perasaan cinta terhadap agama. Mereka yang memahami tiga surah ini tidak akan berani untuk menderhakai Allah ‎ﷻ. Dan surah-surah ini mengandungi hukuman dan ajaran untuk menjalani kehidupan dalam keluarga dan masyarakat.

Surah ini memberikan satu pengajaran kepada kita bahawa orang-orang kafir tidak mempunyai dalil untuk melawan orang Islam tetapi apa yang mereka mampu lakukan hanyalah dengan menimbulkan propaganda yang boleh mengucar-kacirkan fikiran orang Islam sahaja.

Maka kita janganlah sampai termakan dengan propaganda mereka itu. Sebagai contoh, orang-orang kafir akan menimbulkan propaganda di dalam dunia media massa yang orang-orang yang beragama Islam ini adalah ganas dan kerana itu orang orang Islam yang jahil akan termakan propaganda itu sampaikan takut untuk bercerita tentang jihad.

Maka surah ini mengajar umat Islam supaya tidak termakan dengan propaganda yang mereka timbulkan di dalam media mereka seperti surat khabar mereka dan filem-filem mereka. Kita mestilah sedar yang musuh memang sentiasa akan menimbulkan isu-isu sebegini untuk menjatuhkan nama baik agama Islam. Kita mestilah bijak untuk membezakan yang mana benar dan mana yang tidak.

Di dalam surah ini terdapat empat (4) undang-undang kekeluargaan. Inilah hukum-hukum yang setiap ahli keluarga memang mesti jaga betul-betul. Ini kerana masyarakat yang baik bermula dari keluarga yang tersusun agama dan akhlaknya.

Kemudian Allah ‎ﷻ menambah lagi dengan enam (6) undang-undang untuk menjaga dari bahaya kepada keluarga. Kita mesti mengelakkan dari melakukan perkara-perkara yang disebutkan di dalam enam (6) undang-undang ini kerana ia adalah untuk kebaikan kita. Maka mesti diambil perhatian.

Jadi terdapat 10 perkara tentang kekeluargaan dan yang paling penting di antara 10 perkara ini kita hendaklah mewujudkan suasana Iman di dalam keluarga kita. Hendaklah ada penyebaran ilmu di dalam keluarga. Hendaklah ada suasana untuk menyuburkan iman di dalam kehidupan seharian.

Maklumat Ringkas surah ini:

🔹Mula diturunkan dalam tahun 5 — 6 Hijrah. Selepas peperangan Bani Mustalib. Zaman ketika kaum munafik masih ramai.
🔸Bil Ayat: 64
🔸Bilangan Perenggan: 8

P1⃣: [24:1-34] HUKUM-HUKUM RUMAHTANGGA
P2⃣: [24:35-40] BEZA AMALAN ORANG MUKMIN DAN ORANG KAFIR
P3⃣: [24:41-46] KAJI SIFAT ALLAH SEBAGAI CARA MENGENAL ALLAH
P4⃣: [24:47-57] SIFAT ORANG MUKMIN DAN MUNAFIK
P5⃣: [24:58-59] HUKUM KAMAR TIDUR
P6⃣: [24:60] HUKUM PEREMPUAN TUA
P7⃣: [24:61] ADAB MAKAN, SALAM, MASUK RUMAH
P8⃣: [24:62-64] HUKUM JAMAAH

SYARIAT (Hukum-hukum Berkaitan Rumahtangga):

  1. Hukum ZINA [ayat 2-3].
  2. Hukum QAZF [ayat 4-5].
  3. Hukum LI’AN [ayat 6-10].
  4. IZIN sebelum memasuki RUMAH [ayat 27-29], KAMAR [ayat 57-60].
  5. Hukum MENUNDUK PANDANGAN dan HIJAB [ayat 30-31].
  6. Hukum PERNIKAHAN [ayat 32-34].
  7. MAKAN di rumah orang TANPA IZIN [ayat 61].
  8. Pengajaran daripada Penyebaran Khabar Palsu tentang Aisyah [ayat 11-26].

 

MESEJ PENTING:
1⃣ Tinggalkan Sifat Kekufuran dan Sifat Nifaq
2⃣ Tegakkan dan Patuhi Hukum Kekeluargaan, Kemasyarakatan, Undang-undang Jinayah Islam
3⃣ Janji diberi Kekuasaan dan Pemerintahan Islam Jika Ikhlas dan Kuat Cita-cita Menegakkan Islam [55].

🔁 HUBUNGKAIT SURAH MUKMINUN DAN AN-NUR

1⃣ JANJI TEGUHKAN KEDUDUKAN DAN DIBERI KEKUASAAN PEMERINTAHAN

🍂 AL-HAJJ:. (iaitu) orang-orang yang jika Kami TEGUHKAN KEDUDUKAN mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang ma’ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah ‎ﷻlah kembali segala urusan. (22:41)
🍁 AL-MUKMINUN: Surah ini menjelaskan beberapa amalan dan syarat-syarat untuk mendapatkan janji Allah  ‎ﷻ agar diberikan kekuasaan dan kemenangan.
☘️ AN-NUR: Dan Allah ‎ﷻ telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan MENJADIKAN MEREKA BERKUASA di bumi, sebagaimana Dia akan MENEGUHKAN bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka, …. (24:55)

2⃣ AMALAN DAN SYARIAT YANG DIJELASKAN LEBIH LANJUT.

🍁 AL-MUKMINUN: Orang beriman yang beruntung adalah mereka yang menjaga lisannya dari pembicaraan yang tidak berguna.
☘️ AN-NUR: diterangkan tentang hukum-hukum yang berkaitan dengan larangan menuduh dan mencemarkan nama baik orang yang menjaga diri dan kehormatannya seperti Hukum Qazaf, Li’an.

🍁 AL-MUKMINUN: Orang yang beruntung ialah orang beriman yang dapat menjaga kemaluannya dari perbuatan zina.
☘️ AN-NUR: Menjelaskan hukum hudud ke atas pelaku zina. Menjauhkan rangsangan zina dengan menundukkan pandangan, bernikah, berpuasa. Juga adanya peraturan meminta izin sebelum memasuki rumah atau bilik.


 

Ayat 1: Surah ini dimulai dengan memberitahu kepentingan surah ini.

Surah ini mempunyai 8 Perenggan Makro. Dari ayat ini sehingga ke ayat ke 34 adalah Perenggan Makro Pertama dan ia menyampaikan Hukum Hakam Rumahtangga.

سورَةٌ أَنزَلنٰها وَفَرَضنٰها وَأَنزَلنا فيها ءآيٰتٍ بَيِّنٰتٍ لَّعَلَّكُم تَذَكَّرونَ

 

(SAHEEH INTERNATIONAL

An-Nūr: Light.

[This is] a sūrah which We have sent down and made [that within it] obligatory and revealed therein verses of clear evidence that you might remember.

(MELAYU)

(Ini adalah) satu surah yang Kami turunkan dan Kami wajibkan (menjalankan hukum-hukum yang ada di dalam)nya, dan Kami turunkan di dalamnya ayat-ayat yang jelas, agar kamu selalu mengingatinya.

 

سورَةٌ أَنزَلنٰها وَفَرَضنٰها

(Ini adalah) satu surah yang Kami turunkan dan Kami wajibkannya

Allah ‎ﷻ menekankan di awal surah ini yang ia diturunkan olehNya. Maka jangan pandang ringan akan surah ini dan Qur’an ini. Kenalah kita ambil perhatian dan belajar untuk memahaminya. Ini kerana ia bukan untuk dibaca sahaja tetapi kena diamalkan juga. Dan kalau tidak belajar, bagaimanakah pula untuk mengamalkannya?

Surah ini lain sedikit dari surah-surah yang lain. Ia menggelarkan dirinya sebagai سورَةٌ. Ini adalah kerana ramai sahabat sudah menunggu-nunggu turunnya surah ini. Ada isu yang akan disebutkan nanti yang menyebabkan surah ini ditunggu-tunggu.

Jadi Allah ‎ﷻ mulakan surah ini dengan memberitahu ini adalah surah yang sedang mula diturunkan (belum habis lagi kerana ia turun sedikit demi sedikit). Allah ‎ﷻ memberikan muqaddimah sebelum meneruskannya perbincangan dalam surah ini. Kerana Allah hendak menunjukkan kepentingannya dahulu.

Allah ‎ﷻ kemudian memberitahu yang Dia memfardhukan surah ini kepada kita. Maknanya surah ini ada banyak hukum hakam di dalamnya. Kalimah ف ر ض asalnya bermaksud membuat lubang pada pokok. Kalau sudah dibuat lubang pada pokok, tentulah tidak boleh diubah lagi selepas itu. Maksudnya hukum hakam ini adalah sesuatu yang setiap Muslim mesti ikut dan tak boleh diubah. Kalau dalam bahasa kita, kita katakan sebagai ‘wajib’.

 

وَأَنزَلنا فيها ءآيٰتٍ بَيِّنٰتٍ

dan Kami turunkan di dalamnya ayat-ayat yang jelas, 

Hukum hakam yang diberikan dalam surah ini adalah jelas. Tidaklah ia samar-samar kepada mereka yang belajar. Kalau tidak belajar, memanglah tidak faham apakah yang disampaikan. Maka kenalah kita meluangkan masa kita untuk mempelajarinya.

Maka kerana hukum di dalam surah ini adalah jelas, maka tidak ada alasan untuk berkata: “Maaflah saya tak dapat nak ikut kerana tidak faham”.

Hukuman yang dikenakan kepada penzina adalah keras kalau dibandingkan dengan kesalahan dosa yang lain. Ini adalah kerana perlakuan zina itu bukan sahaja antara kedua-dua pasangan tetapi mengakibatkan kesan yang buruk terhadap orang lain juga. Satu keluarga boleh terpalit kerana dosa ini.

Penzina bukan sahaja telah melakukan zina sahaja, tetapi berkait juga dengan dosa-dosa yang lain. Antaranya dosa menipu, dosa membunuh, mencuri dan sebagainya. Allah ‎ﷻ hendak menghapuskan terus perbuatan ini maka kerana itu hukuman ke atas dosa ini amat berat.

 

لَّعَلَّكُم تَذَكَّرونَ

agar kamu selalu mengingatinya.

Bila Allah ‎ﷻ memerintahkan sesuatu, kita mesti mengikutinya sahaja. Kena beringat tentang kepentingan Allah dan hukum-hukum yang diberikan.

Allah ‎ﷻ memberikan maklumat tentang kelebihan surah ini. Tidaklah Allah  ‎ﷻ memerintahkan untuk mengikutnya sahaja. Ini seumpama kita melarang anak kita memanjat pokok. Apabila kita melarangnya, maka perlulah kita beritahu sebabnya: “Kerana ia bahaya wahai anakku… nanti kamu jatuh dan cedera nanti”. Kalau manusia memahami sebab dan tujuan dia perlu melakukan sesuatu perkara, maka dia akan lebih bersemangat untuk mentaatinya.

Ketika surah ini diturunkan, negara Islam Madinah sedang berkembang pesat. Ia sudah menjadi satu komuniti yang sudah dewasa. Maka ia memerlukan undang-undang untuk mengawalnya. Terdapat banyak sekali kebaikan dalam hukum hakam yang disampaikan. Tujuannya adalah untuk kemaslahatan masyarakat, bukannya untuk menyusahkan.

Malangnya ramai tidak mengetahui tentang pengajaran di dalam surah ini. Ini adalah kerana mereka tidak mempelajarinya.

Sekian pengenalan atau muqaddimah untuk Surah Nur ini. Dan pembukaan surah ini tidak ada sepertinya di dalam surah-surah yang lain. Maka ia amat kuat dan tegas sekali.


 

Ayat 2: Ini adalah hukum yang pertama. Tentang hukum penzinaan. Ini termasuk dalam salah satu dari Hukum Hudud.

الزّانِيَةُ وَالزّاني فَاجلِدوا كُلَّ وٰحِدٍ مِّنهُما مِائَةَ جَلدَةٍ ۖ وَلا تَأخُذكُم بِهِما رَأفَةٌ في دينِ اللهِ إِن كُنتُم تُؤمِنونَ بِاللهِ وَاليَومِ الآخِرِ ۖ وَليَشهَد عَذابَهُما طائِفَةٌ مِّنَ المُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The [unmarried] woman or [unmarried] man found guilty of sexual intercourse¹ – lash each one of them with a hundred lashes,² and do not be taken by pity for them in the religion [i.e., law] of Allāh,³ if you should believe in Allāh and the Last Day. And let a group of the believers witness their punishment.

  • Either by voluntary confession of the offender or the testimony of four male witnesses to having actually seen the act take place. Otherwise, there can be no conviction.
  • The ruling in this verse is applicable to unmarried fornicators. Execution by stoning is confirmed in the sunnah for convicted adulterers.
  • i.e., Do not let sympathy for a guilty person move you to alter anything ordained by Allāh, for in His law is protection of society as a whole.

(MELAYU)

Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka rotanlah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali rotan, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.

 

الزّانِيَةُ وَالزّاني فَاجلِدوا كُلَّ وٰحِدٍ مِّنهُما مِائَةَ جَلدَةٍ

Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka rotanlah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali rotan,

Hukuman jenis ini dipanggil Hukum Hudud. Dalam Qur’an dan Hadis, hanya ada empat (4) jenayah sahaja yang ditetapkan hukumannya. Selain dari itu, terpulang kepada pemerintah untuk memilih hukuman kepada pesalah. Hukuman yang sudah ditetapkan adalah:

  1. Mencuri
  2. Menuduh zina kepada perempuan yang baik
  3. Minum arak
  4. Zina

Ayat ini adalah hukum zina kepada mereka yang belum berkahwin. Kalau sudah berkahwin, hukumnya sudah terdapat di dalam sunnah, iaitu direjam sampai mati. Mereka yang sudah berkahwin itu dipanggil muhsan (yakni orang yang pernah melakukan persetubuhan dalam ikatan nikah yang sahih sedangkan dia telah akil baligh).

Hukum ini telah ada di dalam Kitab Taurat dan tidak dimansukhkan dan diikuti oleh Rasulullah ﷺ pada zaman baginda. Satu lagi hukum yang masih digunakan di dalam Taurat adalah hukuman mati kepada mereka yang murtad. Ini kerana mengikut hukum Bani Israil yang menyembah patung anak lembu di mana mereka juga dibunuh.

Kalau telah ditukar, tentu Nabi ﷺ akan beritahu. Khalifah selepas baginda pun menjalankan hal yang sama. Tidak ada tentangan dari para sahabat yang lain. Ini penting untuk diketahui kerana ada juga yang keliru tentang perkara ini. Ada yang berhujah dengan menggunakan ayat Qur’an ini. Mereka berkata: ayat Qur’an hanya kata ‘sebat’ sahaja, tidak ada sebut tentang rejam pun.

Maka kita kenalah tahu hujah mereka dan mesti mengetahui dalilnya. Ini kerana merejam sudah ada pada zaman Nabi ﷺ dan telah disambung pada zaman khalifah Islam yang lain. Maka tidak ada percanggahan tentang perkara ini melainkan dari golongan sesat seperti Muktazilah sahaja. Hal yang sama telah dikatakan oleh Imam Malik رحم الله:

Dia mengatakan telah menceritakan kepadaku Ibnu Syihab, telah menceritakan kepada kami Ubaidillah ibnu Abdullah ibnu Atabah ibnu Mas’ud; Ibnu Abbas pernah mengatakan kepadanya bahawa Khalifah Umar رضي الله عنه pada suatu hari berdiri di atas mimbarnya, lalu mengucapkan puji dan sanjungan kepada Allah ‎ﷻ, kemudian mengatakan:

أَمَّا بَعْدُ، أَيُّهَا النَّاسُ، فَإِنَّ اللَّهَ بَعَثَ مُحَمَّدًا بِالْحَقِّ، وَأَنْزَلَ عَلَيْهِ الْكِتَابَ، فَكَانَ فِيمَا أَنْزَلَ عَلَيْهِ آيَةُ الرَّجْمِ، فَقَرَأْنَاهَا وَوَعَيْناها، وَرَجمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَجمْنا بَعْدَهُ، فَأَخْشَى أَنْ يُطَولَ بِالنَّاسِ زَمَانٌ أَنْ يَقُولَ قَائِلٌ: لَا نَجِدُ آيَةَ الرَّجْمِ فِي كِتَابِ اللَّهِ، فَيَضِلُّوا بِتَرْكِ فَرِيضَةٍ قَدْ أَنْزَلَهَا اللَّهُ، فَالرَّجْمُ فِي كِتَابِ اللَّهِ حَقٌّ عَلَى مَنْ زَنَى، إِذَا أُحْصِنَ، مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ، إِذَا قَامَتِ الْبَيِّنَةُ، أَوِ الْحَبَلُ، أَوْ الِاعْتِرَافُ.

Amma Ba’du. Hai manusia, sesungguhnya Allah ‎ﷻ. telah mengutus Muhammad ﷺ dengan hak dan menurunkan kepadanya Al-Qur’an. Maka di antara yang diturunkan kepada­nya ialah ayat rejam, lalu kami membacanya dan menghafalnya. Rasulullah ﷺ telah melakukan hukuman rejam dan kami pun melakukannya pula sesudah baginda tiada. Aku merasa khawatir dengan berlalunya masa pada manusia, lalu ada orang yang mengatakan bahawa kami tidak menemukan ayat rejam di dalam Kitabullah. Akhirnya mereka sesat kerana meninggalkan suatu perintah fardhu yang telah diturunkan oleh Allah ‎ﷻ. Hukum rejam benar ada di dalam Kitabullah ditujukan kepada orang yang berbuat zina bila dia telah muhsan, baik laki-laki mahupun perempuan, sedangkan kesaksian telah ditegakkan terhadapnya atau terjadi kandungan atau pengakuan.

Memang terbukti hadis ini apabila sudah semakin ramai yang mempersoalkan hukum rejam ini. Ini kerana mereka memandangnya sebagai hukuman yang kejam dan malu pula nak sampaikan cerita tentang hukuman ini kepada orang bukan Islam. Seolah-olah kita pula kena jaga hati mereka.

Baik, kembali kepada ayat ini. Didahulukan menyebut penzina dari kalangan perempuan kerana angkara merekalah yang lebih banyak menyebabkan penzinaan. Kalau lelaki hendak berzina dan mencari perempuan itu agak payah sedikit jika dibandingkan dengan perempuan yang hendak berzina. Ini kerana mudah sahaja baginya untuk mencari lelaki. Maka, merekalah yang lebih banyak menyebabkan zina terjadi.

Sebab kedua adalah penekanan terhadap perempuan dalam hal ini. Selalunya Qur’an hanya khitab kepada lelaki sahaja dan wanita termasuk di dalam khitab tersebut. Tetapi apabila disebut wanita sekali, ini memberikan penekanan. Maknanya, tanggungjawab wanita juga besar di dalam hal ini dan tidak boleh mereka lepas tangan dalam hal zina ini. Kalau zina terjadi, mereka pun layak dipersalahkan.

Kalimah فَاجلِدوا itu dari ج ل د yang bermaksud ‘kulit’. Jadi kalimah فَاجلِدوا bermaksud ‘pukul kulit manusia’. Dan kerana zaman dulu, rotan selalunya dibuat dari kulit binatang.

Ia juga memberi isyarat yang pukul itu tidaklah kuat, boleh rasa di ‘kulit’ sahaja. Maka rotan kepada penzina ini bukanlah seperti rotan di penjara kita sekarang. Cara hukuman rotan sekarang amat menyakitkan sehingga boleh melukakan kulit. Sampaikan setahun hanya sekali sahaja boleh dirotan kerana teruk sangat cara merotan itu.

Dalam Islam, tidak dibenarkan merotan dengan cara sebegitu. Kalau kita baca cara para sahabat melakukannya, mereka akan pukul dengan selipar, atau kain sahaja. Ini penting diberitahu kerana ramai manusia tidak tahu akan perkara ini. Mereka mengatakan agama Islam ini “barbaric” (ganas/kejam), menyeksa manusia sahaja. Ini adalah kerana mereka tidak faham hukuman di dalam Islam. Lebih malang lagi, orang Islam sendiri pun tidak tahu.

Maka, pukulan rotan itu kadangkala hanya dengan pelepah tamar sahaja dan orang yang memukul itu lengannya tidak lepas dari sisi tubuhnya. Maknanya, kalau dia mengepit buku di celah ketiaknya sambil memukul orang, buku itu tidak jatuh. Maknanya, pukulan itu tidaklah sampai merosakkan kulit dan tidaklah lembut sangat sampai tidak rasa dan tidak memberikan kesan langsung. Haruslah menggunakan cara pertengahan dan ini boleh dilihat cara perlaksanaannya.

Dan sebagai hukuman tambahannya ialah dibuang selama satu tahun jauh dari negerinya, menurut pendapat jumhur ulama.

Lain halnya dengan pendapat Imam Abu Hanifah رحم الله: beliau berpendapat bahawa hukuman pengasingan ini sepenuhnya diserahkan kepada imam (khalifah). Dengan kata lain, jika imam melihat bahawa si pelaku zina harus diasingkan, maka dia boleh melakukannya; dan jika dia melihat bahawa pelaku zina tidak perlu diasingkan, maka dia boleh melakukannya.

Berkenaan Zina

Mungkin kita patut sentuh sedikit tentang apakah yang dimaksudkan dengan ‘zina’ ini dan kenapakah ia diharamkan dan dikenakan dengan hukuman yang berat.

‘Zina’ bukan sahaja berkenaan perlakuan seks antara manusia semata-mata tetapi terdapat juga zina mata, zina hati, zina tangan dan sebagainya. Tetapi yang dikenakan dengan hukuman dalam ayat ini hanyalah berkenaan perlakuan seks sahaja.

Di dalam mana-mana masyarakat yang baik dan bertamadun (sama ada Muslim atau tidak) tidak akan menerima perlakuan zina ini. Semua manusia yang bertamadun tahu bahawa zina adalah buruk dan tidak patut dilakukan. Ini kerana manusia sememangnya mempunyai sifat malu untuk melakukannya secara terang-terangan. Cuma kalau di zaman sekarang, apabila manusia sudah jauh dari akhlak yang baik, ada yang buat tidak kisah sahaja.

Zina ini buruk kerana ia akan merosakkan institusi kekeluargaan di dalam masyarakat. Kalau penzinaan itu menghasilkan anak luar nikah, tidak ada pertanggungjawaban dari lelaki yang telah melakukan zina itu. Maka anak itu akan lahir tanpa bapa dan ia akan menyebabkan dia membesar tidak sempurna.

Kita takut akhirnya dia tidak dapat berfungsi dengan baik di dalam masyarakat. Tidaklah semua menjadi begitu, tetapi potensi ke arah keburukan sudah ada dan kita tidak mahu ini berlaku. Seboleh-bolehnya kita mahukan anak-anak kita membesar dalam suasana kekeluargaan yang sempurna.

Masyarakat terdahulu dari mana-mana tamadun lagi telah menerima yang zina adalah perbuatan tidak bermaruah. Sama ada di dalam Islam ataupun bukan Islam. Semua menerima keburukannya, tetapi sama ada dikenakan hukuman atau tidak sahaja. Ada agama yang memberikan hukuman dan ada yang tidak. Ada agama yang hanya meletakkan bayaran pampasan wang sahaja sebagai denda.

Selalunya perlakuan zina dengan wanita yang tidak bersuami itu lebih ringan bagi mereka. Ada agama yang menghukum potong hidung bagi wanita itu dan ada yang hukumannya membuang wanita itu kepada anjing-anjing ganas untuk dimakan! Manakala lelaki itu pula diletakkan di atas katil besi yang panas dikelilingi api untuk membakarnya.

Hukuman berubah-ubah dari satu agama ke satu agama yang lain dan dari satu zaman ke zaman yang lain. Ada pemuka agama yang mengubah hukum Allah ‎ﷻ dalam kitab mereka seperti Yahudi. Pada asalnya memang terdapat hukuman untuk zina tetapi mereka tidak mengamalkannya. Ini terjadi apabila orang yang berkedudukan pula yang berzina dan mereka tidak berani kenakan hukuman berat. Maka mereka ubah hukum.

Begitu jugalah zaman sekarang di dalam masyarakat kita. Oleh kerana tidak mengamalkan hukum Islam maka perbuatan zina tidak dihukum seperti yang sepatutnya.

Maka walaupun tidak diamalkan sekarang, kita tetap mesti mengetahui hukum ini agar dengan harapan di masa hadapan masyarakat kita mahu kembali mengamalkan hukum Islam dan menjadikan hukuman di dalam ayat ini sebagai realiti.

Ini penting kerana zina adalah perbuatan yang amat buruk dan kalau dibiarkan berleluasa akan menyebabkan runtuhnya institusi kekeluargaan dan seterusnya akan merosakkan masyarakat.

Hukuman dalam ayat ini adalah mengenai lelaki dan wanita yang tidak berkahwin lagi. Kalau sudah berkahwin atau pernah berkahwin, maka hukumannya lebih berat lagi kerana mereka sudah pernah melakukan persetubuhan yang halal. Mereka sudah rasa seks halal dan kalau masih lagi mencari persetubuhan haram, maka mereka itu memang orang yang jahat dan hendaklah dikenakan hukuman yang paling berat.

Hukuman yang diberikan memang amat berat kerana ia hendak menghalang manusia dari berzina. Biar manusia terkenang akan beratnya hukum zina ini sampai mereka tidak berani untuk melakukannya. Sekarang apabila tiada hukuman berat dikenakan, maka manusia tidak takut berzina dan kerana itulah banyak sekali perbuatan zina berleluasa.

Islam bukan hendak menghukum sahaja, sebaliknya konsep Islam adalah menghalang dari perkara itu dari terjadi. Oleh sebab itulah Islam menggalakkan perkahwinan. Sampaikan kalau tidak mampu, berkahwinlah dengan hamba yang murah lagi belanjanya.

Kalau tidak cukup dengan seorang isteri, maka bolehlah berkahwin sehingga empat asalkan berlaku adil. Ini kerana mungkin ada orang yang nafsu seksnya terlalu kuat sampaikan tidak cukup kalau dengan seorang isteri  sahaja. Maka kenalah berbincang secara baik di antara  suami dan isteri. Tentu isteri tahu kehendak suaminya. Kalau dia sendiri tidak mampu untuk melayan suaminya, maka izinkanlah suaminya berkahwin lagi.

Dan Islam mewajibkan wanita menutup aurat, duduk di rumah sahaja kalau tidak perlu keluar. Juga terdapat larangan wanita dari tabarruj supaya lelaki tidak mudah terangsang. Islam juga melarang percampuran lelaki dan wanita tanpa kawalan (ikhtilat). Oleh itu Islam mengajar siapakah yang mahram dan siapakah yang ajnabi, supaya lelaki dan perempuan dapat mengetahui dengan siapa mereka boleh bergaul dan dengan siapa yang mereka perlu berhati-hati di dalam pergaulan.

Semua di atas dan banyak lagi adalah sebagai cara untuk menghalang zina dari berlaku. Tetapi oleh kerana perkara ini tidak dijaga dari mula lagi, maka perbuatan zina mudah sahaja terjadi.

 

وَلا تَأخُذكُم بِهِما رَأفَةٌ في دينِ اللهِ

dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah,

Kalimah dari katadasar ر ء ف yang bermaksud lembut, belas kasihan. Darinya datang kalimah untuk sifat Allah  رَءوفٌ.

Memang sifat lembut itu adalah baik pada asalnya tetapi dalam menjalankan hukum Allah‎ ﷻ, tidak dibenarkan untuk berlembut. Jangan ada sifat kasihan belas di dalam menjalankan hukum kerana hukum itu mesti dijalankan. Kita mesti bertegas di dalam menegakkan agama Allah ‎ﷻ. Ada masa kena berlembut dan ada masa kena bertegas.

Bukanlah ayat ini menidakkan perasaan belas kasihan terhadap manusia. Memang perasaan belas kasihan tetap ada, tetapi kita lebih mementingkan hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ. Kita akan mendapat pahala kalau kita melakukannya.

Di dalam kitab Musnad telah disebutkan sebuah hadis dari salah seorang sahabat yang mengatakan:

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku benar-benar menyembelih kambing, sedangkan hatiku merasa kasihan kepadanya.” Maka Rasulullah ﷺ bersabda:

“وَلَكَ فِي ذَلِكَ أَجْرٌ”

Engkau mendapat suatu pahala atas belas kasihanmu itu.

Hukuman sebat ini mestilah dijalankan oleh kerajaan Islam, dan termasuk juga ketua masyarakat bukannya oleh orang lain. Penghakiman tentang perkara ini memang perlu diadakan.

Dan tidaklah boleh dikenakan hukuman ini jikalau tidak cukup syaratnya. Antara syarat-syaratnya mestilah:

  • Terdapat empat (4) orang saksi.
  • Pasangan yang melakukan penzinaan itu tidak terpaksa atau dipaksa untuk melakukannya.
  • Pasangan itu tidak gila
  • Dan pasangan itu sudah baligh.

Ulama fiqh sampai berbincang adakah orang bukan Islam juga dikenakan dengan hukuman ini? Maka pendapat yang lebih kuat mengatakan hukuman ini untuk orang Islam sahaja. Oleh sebab itulah mereka mesti tahu tentang haramnya perkara ini dan mempunyai pengetahuan tentang zina.

Hukuman zina ini juga hanya boleh dijalankan sama ada terdapat pengakuan dari pelaku zina itu sendiri ataupun terdapat empat (4) orang saksi yang benar-benar menyaksikan sendiri kejadian itu berlaku.

Mungkin ada yang bertanya: kalau untuk mendapatkan empat (4) orang saksi, tentulah susah. Maka tidakkah ini menjadi satu kemudahan kepada manusia untuk berzina?

Jawapannya: tidaklah Islam hendak menghukum orang sahaja. Islam lebih mementingkan menjaga nama baik manusia. Kalau syarat ini tidak ketat, mungkin akan ada berlakunya saksi palsu yang menuduh orang lain berzina sedangkan ia tidak terjadi. Maka, Islam lebih banyak mendidik dari menghukum.

Dan kalaulah kejadian zina itu dapat disaksikan oleh empat (4) orang saksi, maka tentulah masyarakat waktu itu sangatlah teruk sampaikan perlakuan zina boleh berlaku secara terang-terangan. Maka waktu itu mereka sememangnya layak dikenakan dengan hukuman yang berat.

 

إِن كُنتُم تُؤمِنونَ بِاللهِ وَاليَومِ الآخِرِ

jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat,

Sekiranya kamu benar-benar beriman kepada Allah ‎ﷻ dan hari akhirat, kamu pasti akan tetap akan menjalankan hukumNya dan tidaklah terkesan dengan emosi sampai tidak melakukannya. Tidak berlembut dalam hal ini termasuklah kepada ahli keluarga sendiri.

Maka ini adalah ujian untuk melihat sama ada seseorang itu beriman atau tidak.

 

وَليَشهَد عَذابَهُما طائِفَةٌ مِّنَ المُؤمِنينَ

dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.

Hukuman kepada mereka itu mestilah dihadiri oleh orang awam. Tujuannya agar ramai dapat melihat perlaksanaan hukuman tersebut dan supaya masyarakat menjadi takut untuk melakukannya. Ini adalah satu perkara yang amat penting. Beginilah cara hukuman dilaksanakan di dalam Islam. Ini akan menjadikan hukuman tersebut sebagai sebab untuk menghalang manusia lain daripada melakukannya. Maka ini bukanlah perkara kecil.

Ini bermakna juga pelaksanaan hukuman tersebut mestilah dilakukan di tempat yang orang ramai boleh datang dan tidak boleh dilakukan di dalam penjara secara rahsia kerana orang tidak akan dapat melihatnya. Ini kerana kita bukannya hendak menghukum mereka yang bersalah itu sahaja tetapi kita hendak memberikan pengajaran kepada orang-orang lain juga.

Tidaklah wajib untuk manusia datang untuk melihatnya tetapi kita mesti melakukannya di tempat yang orang ramai boleh datang dan melihatnya. Tidaklah diiklankan hukuman yang akan dijalankan tetapi kalau orang ingin datang untuk melihatnya, memang dibenarkan.

Malangnya hukuman undang-undang kita dilakukan secara rahsia pula di penjara maka tidaklah dapat mencapai kehendak Allah ‎ﷻ dalam hukuman itu, bukan?

Kita kenalah sedar yang di dalam agama Islam, dalam menghukum itu ada pengajarannya. Termasuk pengajaran di dalam perkara ini adalah bertujuan untuk memalukan pelaku salah supaya orang tahu bahawa ia adalah perkara berat dan amat memalukan. Kalau telah tsabit kesalahannya, maka boleh diberitahu kepada orang awam. Memang mereka akan berasa malu dan kita sebenarnya bukanlah hendak memalukan mereka sangat.

Tetapi ia dilakukan supaya manusia lain akan takut untuk membuat perkara yang sama kerana mereka pun tentu akan berasa malu, bukan? Malangnya apabila tidak faham, ramai yang kecoh kalau kes-kes tangkap khalwat disebarkan di dada akhbar. Memang tidak salah kalau menyebut tentang kesalahan mereka. Tapi haruslah memastikan yang kesalahan mereka itu telah tsabit.

Kita haruslah menakutkan manusia dengan penghukuman di khalayak ramai supaya manusia yang ada akal boleh terfikir: Kalau beginilah teruknya hukuman di dunia, bagaimana pula nanti di akhirat kelak? Tentulah lebih teruk lagi. Jadi ini amat menakutkan mereka dan semoga mereka takut untuk berbuat salah.

Satu lagi kelebihan menerima hukuman di dunia, kalau redha dikenakan hukum di dunia, maka sudah selamat di akhirat. Oleh sebab itu kalau kita baca hadis, kita akan melihat bagaimana para sahabat lebih rela mereka dihukum di dunia supaya mereka tidak dihukum di akhirat.

Satu lagi kelebihan apabila ramai orang datang melihat, mereka itu boleh berdoa kepada Allah ‎ﷻ semoga dosa kedua mereka yang dihukum itu diampunkan oleh Allah ‎ﷻ.

Jadi, kita boleh melihat yang hukuman yang dikenakan ini memang keras. Kita telah sebutkan ini adalah kerana kesan perbuatan zina ini amat besar sekali dan bukan sahaja melibatkan dua pelakunya sahaja. Mari kita bincangkan:

  1. Merosakkan nama baik wanita itu. Kedudukan dan kesucian wanita penzina memang rosak teruk selepas itu. Kalau kehilangan seluruh harta pun tidak sama dengan hilangnya kesucian seorang wanita. Kerana itu kita selalu dengar bagaimana ada ahli keluarga yang wanita mereka telah diliwat, mereka sanggup kehilangan nyawa membalas dendam kepada lelaki yang meliwat ahli keluarga mereka.
  2. Keturunan atau nasab sesuatu keluarga itu rosak. Sudah tidak ketahui ini anak siapa. Kemungkinan terjadinya seorang lelaki boleh berkahwin dengan anaknya sendiri!
  3. Selain dari wang, zina adalah penyebab kepada banyak permasalahan di dalam masyarakat. Ada yang sanggup mencuri, membunuh dan sebagainya.

Akhir kata, walaupun nampak hukuman ini keras, tetapi sebenarnya ia tidaklah keras mana. Malah ia sudah dikurangkan dari hukuman yang lebih berat yang diberikan pada awal Islam. Memang ada syariat yang berubah mengikut masa. Sebagai contoh, pengharaman arak dilakukan secara tiga peringkat.

Pada peringkat awal Islam di Madinah, penzina akan dikurung di dalam rumah sampai mati. Ini boleh dilihat dalam ayat Nisa: 14 & 15.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 25 Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Mukminoon Ayat 112 – 118 (Seru ilah lain bersama seru Allah)

Ayat 112: Keadaan di akhirat kelak.

قٰلَ كَم لَبِثتُم فِي الأَرضِ عَدَدَ سِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh] will say, “How long did you remain on earth in number of years?”

(MELAYU)

Allah bertanya: “Berapa tahunkah lamanya kamu tinggal di bumi?”

 

Allah ﷻ tanya mereka: Kira berapa tahun kamu hidup di dunia?

Atau ada juga yang mengatakan mereka bertanya khabar sesama mereka. Hendak tahu berapa lama mereka tinggal semasa di dunia dahulu. Kerana rasa sangat tunggu di Mahsyar, agaknya berapa lama kah dulu mereka hidup di dunia? Sudah lupa kira-kira tahun kerana lama sangat di Mahsyar menunggu pengadilan.


 

Ayat 113: Jawapan mereka.

قالوا لَبِثنا يَومًا أَو بَعضَ يَومٍ فَاسئَلِ العادّينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They will say, “We remained a day or part of a day; ask those who enumerate.”

(MELAYU)

Mereka menjawab: “Kita tinggal (di bumi) sehari atau setengah hari, maka tanyakanlah kepada orang-orang yang menghitung”.

 

قالوا لَبِثنا يَومًا أَو بَعضَ يَومٍ

Mereka menjawab: “Kita tinggal (di bumi) sehari atau sebahagian dari sehari,

Mukmin dan kafir akan jawab dengan jawapan yang sama sahaja. Mereka rasa mereka tinggal sekejap sahaja di dunia walaupun mungkin mereka hidup selama 60 tahun di dunia. Apabila mereka di akhirat nanti, jangka masa 60 tahun itu rasa sehari atau setengah hari sahaja. Ini adalah kerana lama sangat mereka di akhirat. Kalau di Mahsyar pun dikatakan sampai 50 ribu tahun menunggu.

 

فَاسئَلِ العادّينَ

maka tanyakanlah kepada orang-orang yang menghitung”.

Mereka tidak pasti berapa lama mereka sebenarnya tinggal di dunia dahulu. Anggaran masa mereka jadi sudah tidak betul kerana lama sangat di akhirat. Mereka minta tanyalah kepada malaikat. Tanya kepada para malaikat kerana mereka yang  tulis dan jaga amalan.


 

Ayat 114:

قٰلَ إِن لَّبِثتُم إِلّا قَليلًا ۖ لَّو أَنَّكُم كُنتُم تَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He will say, “You stayed not but a little –if only you had known.

(MELAYU)

Allah berfirman: “Kamu tidak tinggal (di bumi) melainkan sebentar saja, kalau kamu sesungguhnya mengetahui”

 

قٰلَ إِن لَّبِثتُم إِلّا قَليلًا

Allah berfirman: “Kamu tidak tinggal (di bumi) melainkan sebentar saja,

Allah ﷻ memberitahu mereka yang manusia tinggal di dunia dulu sekejap sahaja. Maka tahulah kita yang kita duduk sekejap sahaja di dunia kalau dibandingkan dengan akhirat. Tidak penting pun kehidupan dunia ini kerana sekejap sahaja. Maka janganlah kita melebihkan dunia dari akhirat.

Maka ingatlah, bukan lama pun kehidupan di dunia ini. Kalau dapat sabar menyembah Allah ﷻ seperti yang sepatutnya kita lakukan, maka kita akan selamat di akhirat selama-lamanya. Kalau kita tahu kita kena tahan buat sesuatu perkara sekejap sahaja, tentulah kita tidak rasa lelah sangat, bukan? Maka Allah ﷻ ingatkan, kamu kena bersabar di dunia ini sekejap sahaja. Jangan mengeluh.

 

لَّو أَنَّكُم كُنتُم تَعلَمونَ

kalau kamu sesungguhnya mengetahui”

Kalaulah manusia tahu bahawa tidak lama pun kehidupan di dunia. Duduk di akhirat lagi lama. Persediaan untuk akhirat yang lebih penting. Kalau mereka yakin perkara ini, tentulah mereka tidak jadi begini.


 

Ayat 115: Ayat zajrun. Tidakkah manusia memikirkan kenapakah mereka dihidupkan di dunia ini?

أَفَحَسِبتُم أَنَّما خَلَقنٰكُم عَبَثًا وَأَنَّكُم إِلَينا لا تُرجَعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then did you think that We created you uselessly and that to Us you would not be returned?”

(MELAYU)

Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?

 

أَفَحَسِبتُم أَنَّما خَلَقنٰكُم عَبَثًا

Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja),

Adakah mereka sangka mereka dihidupkan tanpa ada sebab? عَبَثًا digunakan jika kita  duduk buang masa sahaja. Buat sesuatu yang tidak ada nilai. Tak serius dalam melakukan sesuatu perkara.

Adakah Allah ﷻ lakukan perkara yang sia-sia? Tidak mungkin sama sekali. Allah ﷻ lebih tinggi dari itu. Jadi Allah ﷻ tegur fahaman manusia yang sangka mereka dijadikan sia-sia tanpa sebab dan tidak diperhitungkan.

Kerana ramai manusia yang ada fahaman sebegini lah yang menyebabkan ramai yang memuaskan kehendak nafsu mereka sahaja. Tidak tahu apakah yang mereka lakukan. Sepanjang hari selain bermain-main sahaja. Mereka bangun, main dan tidur sahaja.

 

وَأَنَّكُم إِلَينا لا تُرجَعونَ

dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?

Mereka macam tidak sangka yang mereka akan dikembalikan untuk bertemu dengan Penciptanya iaitu Allah ﷻ. Maka mereka tidak membuat persediaan untuk menghadapi akhirat. Mereka gunakan masa mereka semasa di dunia untuk membuat perkara keduniaan sebanyak mungkin. Iaitu sebelum mereka mati. Sampaikan ada yang buat tema: you only live once YOLO!!

Ini adalah perkara yang amat malang sekali. Malangnya ramai yang buat begitu. Maka kita janganlah begitu. Jangan buang masa seperti orang-orang yang lagha. Sebaliknya jadikan dunia ini sebagai tempat bercucuk tanam pahala supaya ada banyak pahala yang dibawa ke akhirat.


 

Ayat 116: Ini adalah khulasah (ringkasan) surah ini. Allah ﷻ menyebut perkara yang penting setelah banyak ayat-ayat disebut sebelum ini. Maka apakah pengajaran yang sepatutnya kita ambil dari surah ini secara ringkas?

فَتَعٰلَى اللهُ المَلِكُ الحَقُّ ۖ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ رَبُّ العَرشِ الكَريمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So exalted is Allāh, the Sovereign, the Truth; there is no deity except Him, Lord of the Noble Throne.

(MELAYU)

Maka Maha Tinggi Allah, Raja Yang Sebenarnya; tidak ada Tuhan selain Dia, Tuhan (Yang mempunyai) ‘Arsy yang mulia.

 

فَتَعٰلَى اللهُ المَلِكُ الحَقُّ

Maka Maha Tinggi Allah, Raja Yang Sebenarnya;

Allah ﷻ Maha Tinggi dari segala-galanya. Kehendak Allah ﷻlah yang paling penting sekali.

Allah ﷻlah sebenar-benar Raja. Memang ada banyak raja di dunia tetapi kekuasaan mereka itu diberikan oleh Raja segala raja, iaitu Allah ﷻ. Allah ﷻ sahaja yang paling berkuasa.

 

لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ

tidak ada Tuhan selain Dia,

Inilah Kalimah Tauhid pegangan kita. Tidak ada ilah selain Allah ﷻ. Ilah adalah tempat pergantungan harap. Maka kepada Allah ﷻ sahaja tempat yang kita berharap.

Dan kepada Allah ﷻ sahaja yang kita sembah dan seru dalam doa. Ketaatan kepada Allah yang paling utama.

 

رَبُّ العَرشِ الكَريمِ

Tuhan (Yang mempunyai) ‘Arsy yang mulia.

Kehebatan Allah ﷻ itu tidak ada bandingan. Tidak dapat hendak dibandingkan. Allah ﷻ mempunyai dan memiliki Arasy iaitu makhlukNya yang paling besar. Arasy ini saja sudah tidak dapat dibayangkan. Mana kita hendak bayangkan Arasy sedangkan langit yang tujuh lapis itu pun kita tidak dapat hendak bayangkan.

Dan memang tidak perlu hendak bayangkan pun. Akal kita memang tidak mampu hendak fikirkan pun. Jadi buat apa hendak pecah kepala fikirkan? Tetapi ada juga yang hendak buang masa dan kemudian kutuk orang lain yang tidak sefahaman dengan mereka.


 

Ayat 117: Jangan seru selain Allah ﷻ.

وَمَن يَدعُ مَعَ اللهِ إِلٰهًا ءآخَرَ لا بُرهٰنَ لَهُ بِهِ فَإِنَّما حِسابُهُ عِندَ رَبِّهِ ۚ إِنَّهُ لا يُفلِحُ الكٰفِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whoever invokes besides Allāh another deity for which he has no proof – then his account is only with his Lord. Indeed, the disbelievers will not succeed.

(MELAYU)

Dan barangsiapa menyembah tuhan yang lain di samping Allah, padahal tidak ada suatu dalil pun baginya tentang itu, maka sesungguhnya perhitungannya di sisi Tuhannya. Sesungguhnya orang-orang yang kafir itu tiada beruntung.

 

وَمَن يَدعُ مَعَ اللهِ إِلٰهًا ءآخَرَ

Dan barangsiapa menyeru ilah yang lain di samping Allah,

Ini adalah larangan seru selain Allah bersama Allah ﷻ. Ada manusia yang menyeru Allah ﷻ, tetapi dalam masa yang sama mereka seru ilah lain. Ilah lain itu selalunya Nabi, wali dan malaikat.

Inilah yang dilakukan oleh Musyrikin Mekah. Mereka menyeru Allah ﷻ tetapi mereka juga seru ilah-ilah lain. Kerana mereka beriktikad Nabi, wali, malaikat dan jin juga adalah ilah juga. Ilah yang paling besar pada mereka adalah Allah ﷻ. Manakala ilah-ilah lain itu sebagai wasilah untuk memakbulkan doa-doa mereka.

Akan tetapi,  jangan disangka ini adalah perbuatan Musyrikin Mekah sahaja. Ramai yang tidak tahu apakah akidah Musyrikin Mekah. Mereka sangka akidah Musyrikin Mekah itu amat jauh dari kefahaman manusia lain. Mereka tidak sangka bahawa fahaman mereka pun sama sahaja dengan fahaman Musyrikin Mekah itu.

Kerana tidak faham perkara inilah yang menyebabkan masyarakat Muslim kita sendiri sama sahaja akidahnya dengan Musyrikin Mekah. Sebab itulah ramai orang kita seru Nabi, wali dan malaikat dalam doa. Mereka tidaklah panggil Nabi, wali dan malaikat itu sebagai ilah, tetapi apa yang mereka lakukan terhadap Nabi, wali dan malaikat itu memang sebagai ilah. Mereka menjadikan roh-roh itu sebagai perantara dalam doa mereka. Mereka berharap kepada roh-roh itu.

Dan kerana tidak faham ayat inilah ramai yang membuat syirik. Iaitu mereka seru selain Allah ﷻ. Paling senang kita lihat ibu-ibu di negara ini. Apabila mereka mendodoi anak-anak mereka, ramai yang menyanyi begini:

la ilaaha illallah… Muhammadurr Rasulullah…..

Mereka tidak sedar yang mereka sebenarnya sedang berzikir dan menyeru Allah  ﷻ dan dalam masa yang sama menyeru Nabi Muhammad ﷺ juga! Ma sha Allah! Tetapi berapa ramaikah yang berbuat begini?

 

لا بُرهٰنَ لَهُ بِهِ

padahal tidak ada suatu dalil pun baginya tentang itu,

Jadi ramai yang menyeru Nabi, wali dan malaikat dalam seruan doa mereka. Mereka seru Nabi Muhammad ﷺ, Nabi Zakariya عليه السلام, Nabi Khidr عليه السلام dan bermacam-macam Nabi lagi; ramai yang menyeru para wali seperti Syaikh Abdul Qadir Jailani dan lain-lain; dan ramai yang memberi salam dan meminta tolong kepada para malaikat seperti Malaikat Jibrail عليه السلام dan lain-lain lagi.

Semua perbuatan dan amalan ini tidak ada dalil pun. Tidak ada diajar oleh Nabi Muhammad ﷺ dan tidak diamalkan oleh para sahabat dan salafussoleh. Ini semua adalah ajaran dari syaitan. Tetapi kerana jauh dari wahyu, ramai yang tertipu dengan ajaran syaitan.

Tambahan pula ajaran ini diajar oleh mereka yang kononnya ahli agama, ulama, ustaz, tok guru tarekat dan lain-lain lagi. Maka berterusanlah manusia melakukan syirik tanpa mereka sedari.

 

فَإِنَّما حِسابُهُ عِندَ رَبِّهِ

maka sesungguhnya perhitungannya di sisi Tuhannya. 

Mereka akan kena audit nanti. Segala amalan syirik dan bidaah itu akan ditulis oleh malaikat dan akan dipertanggungjawabkan nanti di akhirat. Allah ﷻ memberitahu yang Dia akan “menghitung” itu maksudnya Dia akan membalas. Kalau perbuatan itu memang salah, maka mereka akan kena azab di akhirat kelak.

Dan amalan syirik bukannya tinggal sekejap di neraka tetapi akan tinggal selama-lamanya di neraka! Tidakkah mereka takut melakukan perkara ini? Mereka memang tidak takut kerana mereka tidak percaya yang mereka ada buat salah. Malah kalau kita tegur, kita pula yang dituduh sesat!

Tetapi kita hanya boleh sampaikan sahaja. Sama ada mereka terima atau tidak, terpulang kepada iman mereka. Kita telah jalankan tugas kita sekiranya kita telah menyampaikan. Jangan kita dituduh tidak menyampaikan.

 

إِنَّهُ لا يُفلِحُ الكٰفِرونَ

Sesungguhnya orang-orang yang kafir itu tiada beruntung.

Allah ﷻ memberitahu dalam ayat ini yang orang kafir tidak akan berjaya. Tetapi kenapa tiba-tiba Allah ﷻ menyebut ‘orang kafir’ pula dalam ayat ini?

Ini adalah kerana mereka yang mengamalkan amalan salah menyeru selain Allah ﷻ itu, walaupun seru dengan Allah ﷻ juga, mereka itu kafir sebenarnya! Ma sha Allah! Alangkah teruknya… nama muslim, perwatakan nampak macam muslim juga, tetapi kufur rupanya!

Maknanya mereka muslim di mata manusia, tetapi kufur di mata Allah! Semoga kita dan ahli keluarga kita terselamat dari keadaan dan kejahilan ini. Aameen.


 

Ayat 118: Akhir sekali sebagai penutup surah, Allah ﷻ mengajar satu doa.

وَقُل رَّبِّ اغفِر وَارحَم وَأَنتَ خَيرُ الرّٰحِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And, [O Muḥammad], say, “My Lord, forgive and have mercy, and You are the best of the merciful.”

(MELAYU)

Dan katakanlah: “Ya Tuhanku berilah ampun dan berilah rahmat, dan Engkau adalah Pemberi rahmat Yang Paling baik”.

 

وَقُل رَّبِّ اغفِر

Dan katakanlah: “Ya Tuhanku berilah ampun

Allah ﷻ menyuruh kita istighfar banyak-banyak. Kerana istighfar bukan dilakukan di akhirat tetapi semasa di dunia. Semasa di dunia inilah kita kena mengaku dosa kita dan meminta ampun. Jangan tunggu di akhirat baru sedar diri dan baru hendak meminta ampun. Waktu itu sudah terlambat.

 

وَارحَم وَأَنتَ خَيرُ الرّٰحِمينَ

dan berilah rahmat, dan Engkau adalah Pemberi rahmat Yang Paling baik”.

Dan berharaplah dengan rahmat Allah ﷻ. Rahmat itu maksudnya kasihan. Maka kita berdoa kepada Allah ﷻ: Kasihanilah kami dalam kehidupan dunia dan akhirat. Ada 4 perkara penting yang kita minta dalam permintaan rahmat ini:

  1. Jangan susahkan dalam kehidupan dunia ini.
  2. Beri taufik kepada kita supaya dapat taat kepada hukum Allah ﷻ.
  3. Berilah keselamatan di akhirat
  4. Kurniakan kami dengan syurga. Ini penting kerana kita masuk Jannah adalah kerana rahmah Allah ﷻ, bukannya kerana amalan kita. Jangan minta selamat dari neraka sahaja kerana sekiranya kita tidak terkena azab neraka, itu adalah kerana Allah ﷻ bersifat al-Ghafir. Tetapi itu baru tidak masuk neraka, sedangkan kita hendak masuk syurga sekali.

Allahu a’lam. Sekian tafsir Surah Mukminoon yang mulia ini. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah an-Nur.

Kemaskini: 24 Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Surah Mukminoon Ayat 105 – 111 (Nak kembali ke dunia)

Ayat 105: Di akhirat nanti Allah ﷻ akan bertanya tentang Qur’an juga. Lihatlah pentingnya Qur’an itu.

أَلَم تَكُن ءآياتي تُتلىٰ عَلَيكُم فَكُنتُم بِها تُكَذِّبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[It will be said], “Were not My verses recited to you and you used to deny them?”

(MELAYU)

Bukankah ayat-ayat-Ku telah dibacakan kepadamu sekalian, tetapi kamu selalu mendustakannya?

 

أَلَم تَكُن ءآياتي تُتلىٰ عَلَيكُم

Bukankah ayat-ayat-Ku telah dibacakan kepadamu sekalian,

Mereka yang kena seksa di akhirat itu akan ditanyakan tentang Qur’an. Sambil mereka kena seksa mereka akan diejek dengan pertanyaan-pertanyaan begini. Ini adalah takzib rohani (azab emosi). Kerana memang mereka sudah pernah mendengar pun ayat-ayat Qur’an dan wahyu dibacakan kepada mereka.

Begitulah dikatakan ayat-ayat itu ‘dibacakan’ kepada mereka. Maksudnya bukan mereka baca sendiri tetapi ada orang yang bacakan. Kalau harap mereka baca sendiri memang tidaklah. Allah ﷻ tidak zalim.  Semua umat dapat kata-kata Rasul mereka. Dan Allah ﷻ tidak akan azab kalau dakwah tidak dapat sampai kepada mereka. Seperti Allah ﷻ sebut dalam ayat:

{وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَثَ رَسُولا}

dan Kami tidak akan mengazab sebelum Kami mengutus seorang rasul. (Al-Isra: 15)

Maka itulah tugas kita sebagai orang yang kenal Qur’an. Kita sudah tahu kelebihan dan kepentingan Qur’an ini. Maka bacakanlah dan sampaikanlah kepada kawan dan ahli keluarga kita. Memang mereka tidak tanya pun, tetapi kita kena cari peluang untuk sampaikan. Carilah ruang dimana kita boleh selit ayat-ayat Qur’an. Kena kreatiflah sedikit.

فَكُنتُم بِها تُكَذِّبونَ

tetapi kamu selalu mendustakannya?

Ditanya kepada mereka yang mendapat seksa itu: bukankah kamu dahulu tidak percaya dengan ayat-ayat wahyu yang disampaikan kepada kamu? Kamu anggap ia dusta sahaja, jadi kerana itu kamu tidak ambil peduli.

Dikatakan begini kepada mereka kerana mereka hendak balik ke dunia. Allah ﷻ ingatkan balik yang dahulu mereka dibacakan dengan ayat-ayat wahyu tetapi mereka tidak percaya. Mereka kata orang yang bacakan ayat itu berdusta sahaja. Begitu juga sekarang apabila kita bacakan tafsir ayat-ayat Qur’an kepada manusia, ramai yang tidak percaya. Mereka kata kita salah tafsir pula.


 

Ayat 106: Apabila ditanya soalan di atas, mereka akan mengaku.

قالوا رَبَّنا غَلَبَت عَلَينا شِقوَتُنا وَكُنّا قَومًا ضالّينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They will say, “Our Lord, our wretchedness overcame us, and we were a people astray.

(MELAYU)

Mereka berkata: “Ya Tuhan kami, kami telah dikuasai oleh kejahatan kami, dan adalah kami orang-orang yang sesat.

 

قالوا رَبَّنا غَلَبَت عَلَينا شِقوَتُنا

Mereka berkata: “Ya Tuhan kami, kami telah dikuasai oleh kejahatan kami,

Mereka mengaku yang memang sifat buruk mereka telah menang. Waktu dibacakan ayat-ayat wahyu itu, memang mereka dengar tetapi nafsu mereka telah mengalahkan mereka. Nafsu mereka tidak izinkan mereka mengikut ajaran dalam wahyu-wahyu itu. Mereka mengaku yang mereka terikut-ikut dengan nafsu mereka.

 

وَكُنّا قَومًا ضالّينَ

dan adalah kami orang-orang yang sesat.

Dan kerana mengikut hawa nafsu mereka, akhirnya mereka menjadi sesat.

Maka kita kena belajar kawal nafsu kita. Kalau ada mana-mana ajaran dari Qur’an yang hendak ditolak, kenang balik: memang ayat itu salah tafsir atau kita sebenarnya hendak ikut nafsu kita sahaja?


 

Ayat 107: Sekali lagi disebut ahli neraka minta belas kasihan, minta dikeluarkan dari neraka.

رَبَّنا أَخرِجنا مِنها فَإِن عُدنا فَإِنّا ظٰلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Our Lord, remove us from it, and if we were to return [to evil], we would indeed be wrongdoers.”

(MELAYU)

Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami daripadanya (dan kembalikanlah kami ke dunia), maka jika kami kembali (juga kepada kekafiran), sesungguhnya kami adalah orang-orang yang zalim”.

 

رَبَّنا أَخرِجنا مِنها

Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami daripadanya

Mereka merayu-rayu lagi dengan Allah ﷻ. Mengharap sungguh supaya mereka dikeluarkan. Mereka berjanji akan jadi baik, buat amal yang soleh; sudah tidak mahu buat amal syirik dan amalan buruk.

 

فَإِن عُدنا فَإِنّا ظٰلِمونَ

maka jika kami kembali (juga kepada kekafiran), sesungguhnya kami adalah orang-orang yang zalim”.

Mereka minta berilah peluang untuk mereka memperbaiki amal mereka. Kerana mereka sudah nampak mana yang benar dan mana yang salah. Dan mereka berhujah lagi: kalaulah mereka diberi peluang dan mereka membuat salah lagi, memang benarlah mereka itu benar-benar zalim. Waktu itu barulah azab mereka kerana sudah terbukti mereka memang zalim pun. Tapi berilah peluang sekali lagi.


 

Ayat 108: Allah ﷻ tidak mahu layan.

قالَ اخسَئوا فيها وَلا تُكَلِّمونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He will say, “Remain despised therein and do not speak to Me.

(MELAYU)

Allah ﷻ berfirman: “Tinggallah dengan hina di dalamnya, dan janganlah kamu berbicara dengan Aku.

 

قالَ اخسَئوا فيها

Allah berfirman: “Tinggallah dengan hina di dalamnya,

Allah ﷻ tidak mahu layan dan halau mereka macam halau binatang hina sahaja. Kalimah اخسَئوا ini digunakan juga apabila menghambat atau menghalau anjing kurap. Kena guna bahasa yang keras kerana binatang dengar suara kita tetapi mereka tidak faham. Sudah memang perangai mereka macam binatang juga dahulu, maka digunakan bahasa yang sama juga.

Allah ﷻ suruh mereka diamlah di dalam neraka. Duduk senyap-senyap dan jangan meminta apa-apa lagi selepas ini.

 

وَلا تُكَلِّمونِ

dan janganlah kamu berbicara dengan Aku.

Jangan bercakap dengan Allah ﷻ. Allah ﷻ tidak mahu mendengar lagi. Dahulu mereka tidak mahu mendengar ajaran wahyu, tidak mahu mendengar nasihat ulama dan ajakan para pendakwah. Jadi jangan harap hendak dapat peluang didengari oleh Allah ﷻ. Peluang mereka sudah tiada.


 

Ayat 109: Allah ﷻ marah pada mereka kerana mereka lawan orang yang mukmin. Allah ﷻ ingatkan balik apa yang mereka lakukan semasa di dunia dulu.

إِنَّهُ كانَ فَريقٌ مِّن عِبادي يَقولونَ رَبَّنا آمَنّا فَاغفِر لَنا وَارحَمنا وَأَنتَ خَيرُ الرّٰحِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, there was a party of My servants who said, ‘Our Lord, we have believed, so forgive us and have mercy upon us, and You are the best of the merciful.’

(MELAYU)

Sesungguhnya, ada segolongan dari hamba-hamba-Ku berdoa (di dunia): “Ya Tuhan kami, kami telah beriman, maka ampunilah kami dan berilah kami rahmat dan Engkau adalah Pemberi rahmat Yang Paling Baik.

 

إِنَّهُ كانَ فَريقٌ مِّن عِبادي

Sesungguhnya, ada segolongan dari hamba-hamba-Ku

Allah ﷻ ingatkan mereka dengan segolongan manusia yang benar-benar beriman. Mereka itu benar-benar menjadi hamba Allah ﷻ – mereka taat kepada suruhan Allah ﷻ.

 

يَقولونَ رَبَّنا آمَنّا

Mereka berkata: “Ya Tuhan kami, kami telah beriman,

Mereka mengaku mereka beriman. Mereka bukan sahaja cakap dengan mulut tapi mereka benar-benar tunjukkan keimanan mereka. Kerana kalau setakat cakap sahaja, tapi tidak tunjukkan tanda keimanan itu pun tidak berguna.

Maka Allah ﷻ puji mereka yang beriman itu. Beginilah yang kita kena ikut. Kena cakap masa di dunia macam mereka ini. Jangan sembunyikan iman kita. Kena mengaku beriman di hadapan Allah. Dan ini adalah jenis tawasul yang dibenarkan: tawasul dengan iman kita.

Mereka menyatakan keimanan mereka kerana ada perkara yang mereka hendak minta kepada Allah ﷻ. Muqaddimah doa mereka adalah dengan pernyataan iman. Amalkanlah cara tawasul ini dan jangan tawasul dengan Nabi, wali dan malaikat.

 

فَاغفِر لَنا

maka ampunilah kami

Selepas mereka mengaku beriman, inilah doa mereka: mereka berdoa supaya dosa mereka diampunkan. Inilah doa yang amat penting. Kerana kalau dosa kita banyak, lebih banyak dari pahala, maka ini akan menyebabkan seseorang itu dimasukkan ke dalam neraka untuk mencuci dosanya dahulu.

Maka mereka yang bijak dan berilmu, akan memohon ampun semasa di dunia lagi supaya mereka mati tanpa dosa. Kerana amat malang kalau mati dengan dosa yang banyak.

Sebagai manusia, memang tidak sunyi dari dosa. Tidak kira sama ada orang itu mukmin atau tidak. Bezanya adalah sama ada kita minta ampun atau tidak. Ramai yang buat dosa tetapi mereka tidak minta ampun dengan Allah ﷻ. Mereka berterusan dalam dosa mereka. Sudahlah mereka tidak ubah perangai mereka, malah mereka langsung tidak minta ampun.

Ini juga mengajar kita cara berdoa. Mula sekali sebelum minta apa-apa, mintalah ampun dahulu. Jangan dosa kita berkepuk di belakang kita, tapi kita terus nak minta macam-macam dengan Allah.

 

وَارحَمنا وَأَنتَ خَيرُ الرّٰحِمينَ

dan berilah kami rahmat dan Engkau adalah Pemberi rahmat Yang Paling Baik.

Ini adalah permintaan kedua mereka. Maka molek lah kalau kita dapat amalkan doa ini. Permintaan kedua adalah minta rahmat dari Allah ﷻ. Kerana Allah ﷻ sahaja yang boleh beri rahmat. Jadi kita berharap sangat dengan Allah ﷻ.

Dan kita hendak masuk syurga, bukan? Dan kalau hendak masuk syurga memerlukan rahmat Allah ﷻ. Kerana kita tidak dapat masuk syurga tanpa rahmat dari Allah ﷻ. Amal ibadat kita tidak cukup untuk memasukkan kita ke dalam syurga.

Doa ini diakhiri dengan memuji Allah ﷻ. Kerana memang Allah ﷻ bersifat rahmah. Allah ﷻ bersifat Rahman di dunia dimana Allah ﷻ memberi bermacam-macam nikmat kepada manusia. Dan Allah ﷻ juga bersifat Raheem di akhirat nanti.

Tapi sifat Raheem itu hanya khusus diberikan kepada orang beriman sahaja. Kita bermohon kepada Allah ﷻ supaya kita mendapat kesan sifat Rahman dan juga sifat Raheem Allah ﷻ juga. Dua-dua kita hendak.


 

Ayat 110: Semasa di dunia memang ada golongan yang beriman. Tetapi bagaimanakah sikap orang-orang ahli neraka itu kepada orang-orang yang beriman itu? Allah ﷻ ingatkan balik.

فَاتَّخَذتُموهُم سِخرِيًّا حَتّىٰ أَنسَوكُم ذِكري وَكُنتُم مِنهُم تَضحَكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But you took them in mockery to the point that they made you forget My remembrance, and you used to laugh at them.

(MELAYU)

Lalu kamu menjadikan mereka buah ejekan, sehingga (kesibukan) kamu mengejek mereka, menjadikan kamu lupa mengingat Aku, dan adalah kamu selalu mentertawakan mereka,

 

فَاتَّخَذتُموهُم سِخرِيًّا

Lalu kamu menjadikan mereka buah ejekan,

Allah ﷻ bercakap kepada ahli neraka. Allah ﷻ mengingatkan mereka dahulu semasa di dunia, mereka hina dan ejek orang-orang yang beriman itu.

Memang begitulah sikap para penentang. Mereka akan gunakan kata-kata kesat dan ejekan sahaja apabila mereka tidak bersetuju dengan apa yang disampaikan dari wahyu. Mereka kata orang yang amalkan wahyu itu sesat, wahabi dan sebagainya. Mereka bukannya pakai hujah tetapi pakai caci makian sahaja. Kita kasihan kepada mereka tetapi mereka tidak kasihan kepada diri mereka.

 

حَتّىٰ أَنسَوكُم ذِكري

menjadikan kamu lupa mengingat Aku,

Mereka sibuk hendak maki dan ejek orang lain sampaikan mereka jauh dari Qur’an. Mereka lupa siapa yang sampaikan Qur’an itu kepada manusia. Mereka lupa kepada Allah kerana sibuk buat dosa mengutuk dan mengganggu orang.

Mereka tidak tengok pun apa yang disampaikan oleh pendakwah dan orang beriman itu. Orang beriman itu sampaikan ajaran dari wahyu, maka sepatutnya mereka tengoklah apa wahyu itu kata. Tetapi mereka tidak buat begitu. Apabila mereka nampak lain dari fahaman mereka, terus mereka tembak sahaja.

Memang mereka tidak tolak Qur’an sepenuhnya tetapi mereka mempersendakan orang yang menyampaikan ajaran Qur’an itu. Maka sebenarnya tanpa mereka sedari, mereka telah menolak Qur’an. Ini amat bahaya.

 

وَكُنتُم مِنهُم تَضحَكونَ

dan adalah kamu selalu mentertawakan mereka,

Ahli neraka itu mentertawakan para pendakwah yang mukmin itu. Mereka ejek-ejek macam-macam perkara. Mereka gunakan macam-macam gelaran untuk golongan sunnah.

Yakni mentertawakan perbuatan mereka dan ibadah mereka, seperti yang disebutkan oleh firman-Nya dalam ayat yang lain:

{إِنَّ الَّذِينَ أَجْرَمُوا كَانُوا مِنَ الَّذِينَ آمَنُوا يَضْحَكُونَ * وَإِذَا مَرُّوا بِهِمْ يَتَغَامَزُونَ}

Sesungguhnya orang-orang yang berdosa adalah mereka dahulu mentertawakan orang-orang yang beriman. Dan apabila orang-orang yang beriman itu lewat di hadapan mereka, mereka saling mengedip-ngedipkan matanya (di antara sesama mereka). (Al-Muthaffifin: 29-30)

Maka kerana itu mereka tidak perlu buka mulut untuk minta macam-macam. Tidak perlulah hendak minta kembali ke dunia. Tidak perlulah sekarang baru hendak mengaku salah.


 

Ayat 111: Balasan kepada penentang adalah neraka. Tetapi bagaimanakah pula balasan kepada mereka yang beriman itu? Tabshir Ukhrawi.

إِنّي جَزَيتُهُمُ اليَومَ بِما صَبَروا أَنَّهُم هُمُ الفائِزونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, I have rewarded them this Day for their patient endurance – that they are the attainers [of success].”

(MELAYU)

Sesungguhnya Aku memberi balasan kepada mereka di hari ini, kerana kesabaran mereka; sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang menang”.

 

إِنّي جَزَيتُهُمُ اليَومَ بِما صَبَروا

Sesungguhnya Aku memberi balasan kepada mereka di hari ini, kerana kesabaran mereka; 

Allah ﷻ membalas mereka kerana kesabaran mereka. Sabar kerana ditertawakan, sabar diejek. Mereka terima sahaja dan tidak balas dengan kata-kata kesat kepada para penentang. Kerana itu mereka dibalas dengan balasan yang berganda-ganda.

Mereka juga sabar dalam iman mereka. Mereka tetap istiqamah dalam dakwah. Dan mereka juga istiqamah dalam menjalankan kewajipan agama.

 

أَنَّهُم هُمُ الفائِزونَ

sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang berjaya”.

Merekalah yang selamat dan berjaya masuk ke dalam Syurga. Kalimah الفائِزونَ bermaksud mereka selamat dari bahaya. Maksudnya mereka selamat dari masuk ke dalam neraka dan itulah kejayaan yang amat besar sekali.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 24 Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Surah Mukminoon Ayat 98 – 104 (Roh tak kembali)

Ayat 98: Ayat sebelum ini Nabi ﷺ diajar untuk berdoa supaya diselamatkan dari bisikan syaitan.

وَأَعوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحضُرونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And I seek refuge in You, my Lord, lest they be present with me.”

(MELAYU)

Dan aku berlindung (pula) kepada Engkau ya Tuhanku, dari kedatangan mereka kepadaku”.

 

Dan ini adalah permintaan yang lebih tinggi lagi iaitu meminta supaya syaitan hendak datang bisik pun tidak boleh. Kerana bahaya kalau syaitan sudah datang bisik kerana mungkin kita akan termakan dengan bisikan mereka. Syaitan memang pandai hendak menipu kita kerana dia tahu apa yang manusia minat.

Kerana itulah Nabi ﷺ memerintah­kan agar selalu disebut nama Allah ﷻ dalam permulaan semua urusan untuk mengusir syaitan, baik ketika hendak makan, bersetubuh, menyembelih mahupun urusan-urusan lainnya.

Ini perumpamaan macam ada anjing datang kacau kita. Kita kita halau dia, dia tak mahu pergi. Maka cara terbaik untuk halau anjing itu adalah dengan panggil tuan dia untuk tinggalkan kita. Dan begitulah kita dengan syaitan – kita minta tolong kepada ‘tuan’ syaitan, iaitu Allah ﷻ. Syaitan takut  kepada Allah ﷻ.

Ini mengajar kita untuk berharap dengan Allah ﷻ dan bergantung kepada Allah ﷻ sahaja. Kalau kita hendak guna kekuatan kita sendiri, tidak boleh lawan syaitan.


 

Ayat 99: Sekarang Allah ﷻ menceritakan bagaimanakah keadaan manusia yang mengikut bisikan syaitan di akhirat kelak.

حَتّىٰ إِذا جاءَ أَحَدَهُمُ المَوتُ قالَ رَبِّ ارجِعونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[For such is the state of the disbelievers] until, when death comes to one of them, he says, “My Lord, send me back

(MELAYU)

(Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka, dia berkata: “Ya Tuhanku kembalikanlah aku (ke dunia),

 

حَتّىٰ إِذا جاءَ أَحَدَهُمُ المَوتُ

(Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka,

Sampai bilakah kita kena minta perlindungan kepada Allah ﷻ dari bisikan dan kedatangan syaitan? Sampai kita mati nanti. Kerana apabila kita hendak mati nanti pun syaitan akan datang dan cuba hendak hasut kita untuk kali terakhir.

Kerana itu Rasulullah ﷺ berdoa kepada Allah ﷻ dari diganggu syaitan semasa hendak mati. Imam Abu Daud telah meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ pernah berkata dalam doanya:

“اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الهَرَم، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الهَدْم وَمِنَ الْغَرَقِ، وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ يَتَخَبَّطَنِيَ الشَّيْطَانُ عِنْدَ الْمَوْتِ”

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari nyanyuk, dan aku berlindung kepada Engkau dari keruntuhan dan tenggelam. Dan aku berlindung kepada Engkau agar terhindar dari rasukan (godaan) syaitan ketika hendak mati.

Dan amat malang kalau kita termakan dengan bisikan syaitan. Kerana nanti apabila orang yang sudah termakan bisikan syaitan itu mati, mereka akan menyesal. Kerana mereka akan sedar yang mereka sudah buat salah dan mereka tahu yang mereka sudah kena tipu. Waktu itu, apa yang mereka akan minta?

 

قالَ رَبِّ ارجِعونِ

dia berkata: “Ya Tuhanku kembalikanlah aku (ke dunia),

Mereka yang berdosa akan meminta supaya mereka dikembalikan ke dunia semula. Mereka sudah sedar yang mereka sudah buat salah semasa di dunia. Maka mereka hendak baiki amalan dan fahaman mereka balik. Banyak disebut tentang perkara ini dalam Qur’an. Antaranya:

{وَلَوْ تَرَى إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُءُوسِهِمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ}

Dan (alangkah ngerinya) jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya. (Mereka berkata), “Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal soleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin.” (As-Sajdah: 12)

Janganlah nanti sewaktu kita sudah mati nanti kita bermohon kepada Allah ﷻ untuk dikembalikan ke dunia kerana kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan. Kerana waktu itu sudah terlambat. Maka kita kena baiki amalan dan akidah kita semasa di dunia lagi. Marilah belajar agama dengan benar. Iaitu pengajaran agama yang berasaskan dalil dari Qur’an dan sunnah.

Allah ﷻ memberi isyarat di dalam ayat ini yang orang-orang zalim dan tidak memikirkan hal agama dan tidak memikirkan persediaan ke akhirat kelak, mereka nanti akan meminta supaya dikembalikan ke dunia kerana waktu itulah baru mereka hendak mempertahankan diri mereka dari syaitan dan tidak mahu mengikut bisikan syaitan.


 

Ayat 100: Kenapa mereka hendak balik ke dunia? Allah ﷻ jelaskan kenapa.

لَعَلّي أَعمَلُ صٰلِحًا فيما تَرَكتُ ۚ كَلّا ۚ إِنَّها كَلِمَةٌ هُوَ قائِلُها ۖ وَمِن وَرائِهِم بَرزَخٌ إِلىٰ يَومِ يُبعَثونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That I might do righteousness in that which I left behind.”¹ No! It is only a word he is saying; and behind them is a barrier until the Day they are resurrected.

  • Or “in that which I neglected.”

(MELAYU)

agar aku berbuat amal yang soleh terhadap yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya saja. Dan di hadapan mereka ada dinding sampai hari mereka dibangkitkan.

 

لَعَلّي أَعمَلُ صٰلِحًا فيما تَرَكتُ

agar aku berbuat amal yang soleh yang telah aku tinggalkan.

Begitulah apabila sudah mati baru mereka hendak kembali ke dunia kerana waktu itu baru mereka berazam untuk melakukan amal-amal soleh. Masa di dunia dahulu mereka tidak membuat amal yang soleh. Nah sekarang baru mereka hendak buat semula.

Mereka sekarang baru bersungguh hendak buat amal-amal kebaikan yang dahulu mereka tidak lakukan semasa mereka hidup di dunia. Mereka tinggalkan amalan-amalan itu sebab sibuk dengan dunia. Mereka sibuk membuat amalan-amalan yang salah termasuk amalan-amalan yang bidaah.

Banyak ayat-ayat dalam Qur’an yang menyebut permintaan sebegini. Tetapi bolehkah balik ke dunia?

 

كَلّا

Sekali-kali tidak. 

Ini adalah kalimah penolakan. Tidak ada harapan dan permohonan itu tidak akan dipenuhi langsung. Mahu balik ke dunia mana lagi? Dunia sudah hancur pada masa itu. Kalau mereka di alam kubur, badan mereka pun sudah hancur. Macam mana hendak balik?

Maka ambillah iktibar dari ayat ini. Kita hanya ada satu peluang sahaja semasa di dunia ini untuk beramal dengan amalan yang soleh. Janganlah buang masa hendak dunia sahaja.

Janganlah juga sibuk hendak beramal dengan amalan bidaah yang tidak memberikan pahala pun. Buang masa sahaja.

 

إِنَّها كَلِمَةٌ هُوَ قائِلُها

Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya saja.

Allah ﷻ memberitahu yang permintaan mereka itu adalah kata-kata kosong dari mereka sahaja. Ini adalah kerana jikalau mereka dikembalikan ke dunia pun, mereka akan jadi orang yang sama juga dengan tidak melakukan amalan soleh.

Allah ﷻ tahu apakah yang mereka akan lakukan. Kerana mereka itu orang yang sama sahaja, dengan perangai yang sama sahaja. Kalau diberi peluang kedua pun mereka takkan berubah. Ini seperti yang Allah ﷻ sebut dalam ayat lain:

{وَلَوْ رُدُّوا لَعَادُوا لِمَا نُهُوا عَنْهُ وَإِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ}

Sekiranya mereka dikembalikan (ke dunia), tentulah mereka kembali kepada apa yang mereka telah dilarang menger­jakannya. Dan sesungguhnya mereka itu adalah pendusta-pendusta belaka. (Al-An’am: 28)

Memang kalimah ini akan diucapkan oleh setiap yang mati dan menyesal kerana tidak menjalankan tugas di dunia dahulu. Tetapi itu tinggal sebagai permintaan sahaja kerana permohonan itu tidak akan dilayan.

 

وَمِن وَرائِهِم بَرزَخٌ إِلىٰ يَومِ يُبعَثونَ

Dan di hadapan mereka ada dinding sampai hari mereka dibangkitkan.

Kenapa mereka tidak akan dapat kembali? Kerana di belakang mereka ada ‘barzakh’ iaitu halangan sebagai pengadang; dan mereka sekarang berada di alam barzakh yang mereka tidak akan dapat keluar darinya sampai bila-bila hinggalah ke hari kiamat. Memang mereka hidup tetapi ia dinamakan Hidup Barzakhi.

Muhammad ibnu Ka’b berkata, barzakh adalah alam yang terletak di antara alam dunia dan alam akhirat. Para penghuninya tidak sama dengan ahli dunia yang dapat makan dan minum, tidak pula sama dengan ahli akhirat yang mendapat balasan dari amal perbuatan mereka.

Abu Sakhr mengatakan bahawa barzakh adalah alam kubur, para penghuninya tidak ada di dunia dan tidak pula di akhirat; mereka tinggal di alam barzakh menunggu sampai hari berbangkit.

Ayat ini juga menjadi dalil bahawa roh orang mati tidak dapat balik ke dunia. Soalan ini akan timbul setiap kali bulan Puasa dan Hari Raya kerana masih ada lagi masyarakat Melayu yang berfahaman begitu. Masih sampai lagi fahaman Hindu tok nenek dalam diri mereka. Nama mereka Muslim tetapi masih ada fahaman Hindu dalam fikiran mereka. Maka sampaikan kepada mereka ayat ini sebagai dalil bahawa roh orang mati tidak akan pulang ke dunia.

Ayat ini juga menjadi dalil untuk menolak hujah puak Sufi dan tariqat yang mengatakan ada roh-roh wali yang kembali ke dunia untuk tolong manusia dan sebagainya. Itu bukan roh wali tetapi syaitan yang menjelma sebagai mereka yang dikatakan wali itu untuk menipu orang-orang yang senang ditipu.

Ayat Qur’an menjadi pegangan kita. Mana mungkin hujah akal dapat melawan hujah dari Qur’an? Kalau ada yang kata boleh roh kembali ke dunia semula, maka kena ada hadis yang sahih dari Rasulullah ﷺ sebagai pengecualian. Kerana keadaan umum sudah ada di dalam ayat ini: roh takkan kembali ke dunia.

Ini kerana ada dari sesetengah hujah yang berkata: “Roh orang biasa memang tak boleh balik, tapi roh wali boleh balik untuk menolong Manusia”. Kita katakan: Ya, kalau ada dalilnya, bawa ke mari. Kita orang Islam pakai dalil, bukan?


 

Ayat 101: Ini pula kejadian selepas habis dan tamat alam barzakh. Masuk ke alam akhirat pula.

فَإِذا نُفِخَ فِي الصّورِ فَلا أَنسابَ بَينَهُم يَومَئِذٍ وَلا يَتَساءَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So when the Horn is blown, no relationship will there be among them that Day, nor will they ask about one another.

(MELAYU)

Apabila sangkakala ditiup maka tidaklah ada lagi pertalian nasab di antara mereka pada hari itu, dan tidak ada pula mereka saling bertanya.

 

فَإِذا نُفِخَ فِي الصّورِ

Apabila sangkakala ditiup

Ini adalah apabila tiupan sangkakala yang kedua telah ditiup. Tiupan yang pertama akan mematikan semua makhluk yang masih hidup. Dan tiupan kedua dalam ayat ini akan membangkitkan semua makhluk dari kuburan masing-masing.

 

فَلا أَنسابَ بَينَهُم يَومَئِذٍ

maka tidaklah ada lagi pertalian nasab di antara mereka pada hari itu, 

Maka pada waktu itu tidak ada lagi talian kekeluargaan dan talian persaudaraan sesama manusia. Bukan sahaja talian kekeluargaan tidak ada, tetapi apa-apa talian dengan orang lain pun tidak ada, seperti kawan, majikan, guru dan murid dan apa-apa sahaja talian. Tiada guna lagi kaitan adik beradik dan emak ayah sekali pun.

Ini adalah kerana manusia akan bersendirian sahaja waktu itu. Pertalian Nasab yang dikira masa di dunia sahaja. Di akhirat nanti tidak ada guna kalau ada ayah mukmin atau abang yang soleh. Kerana mereka tidak dapat menyelamatkan kita. Kita kena bergantung kepada amalan kita sahaja.

 

وَلا يَتَساءَلونَ

dan tidak ada pula mereka saling bertanya.

Dan apabila hari kiamat telah bermula maka tidak ada lagi sesiapa pun yang akan bertanya tentang kawannya, keluarganya, anak muridnya, kerana semua sibuk dengan hal masing-masing. Mereka takut risaukan nasib mereka entah selamat, entah tidak. Mereka yang masuk ke dalam neraka tidak akan bertanya pun tentang kawan-kawan yang dulu mereka rapat semasa di dunia.

{وَلا يَسْأَلُ حَمِيمٌ حَمِيمًا. يُبَصَّرُونَهُمْ}

Dan tidak ada seorang teman akrab pun menanyakan temannya, sedangkan mereka saling melihat. (Al-Ma’arij: 10-11)

Tetapi ada disebut dalam ayat-ayat yang lain kepada kita tentang ahli syurga, kita dapat tahu bahawa ahli syurga akan bertanya tentang kawan-kawan mereka yang mereka rapat di dunia dahulu. Maka ahli neraka takkan bertanya tetapi ahli syurga akan bertanya. Tetapi itu adalah apabila sudah di syurga nanti.

Jadi jangan hendak berharap kepada orang lain nanti. Mereka takkan bertanya, malah ada yang lari dari orang yang mereka kenal kalau mereka nampak di Mahsyar. Kita hanya boleh berharap kepada amalan kita sahaja. Ini disebut dalam ayat yang lain.

{يَوْمَ يَفِرُّ الْمَرْءُ مِنْ أَخِيهِ. وَأُمِّهِ وَأَبِيهِ. وَصَاحِبَتِهِ وَبَنِيهِ}

Pada hari ketika manusia lari dari saudaranya, ibu dan bapak­nya, dari isteri dan anaknya. (‘Abasa: 34-36)


 

Ayat 102: Waktu itu, kena tengok kepada amalan. Kalau banyak amalan yang baik, maka mereka akan selamat. Maka ayat ini Tabshir Ukhrawi.

فَمَن ثَقُلَت مَوٰزينُهُ فَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those whose scales are heavy [with good deeds] – it is they who are the successful.

(MELAYU)

Barangsiapa yang berat timbangan (kebaikan)nya, maka mereka itulah orang-orang yang dapat keberuntungan.

 

Dan di akhirat nanti mereka yang ada amal timbangan yang berat, mereka itulah orang yang akan mendapat kejayaan yang sebenar. Iaitu akan ditimbang pahala dan dosa manusia untuk melihat mana yang lebih berat. Sekiranya berat lebih satu sahaja dari dosa, maka berjayalah orang itu. Mereka akan berjaya masuk ke dalam syurga.

Dan kalimah المُفلِحونَ ini telah kita berjumpa di dalam ayat yang pertama surah ini lagi. Maknanya mereka yang telah berusaha dengan amalan itu. Kerana mereka amalkan sendiri – bukannya berharap orang lain bersedekah amal. Perangai orang kita banyak yang buruk – malas hendak beramal kerana kononnya mereka boleh disedekahkan pahala oleh orang lain masa majlis tahlil dan sebagainya.

Itu adalah harapan yang sia-sia kerana pahala itu tidak akan sampai kepada mereka. Tetapi kerana ada fahaman salah macam inilah yang menyebabkan orang kita lemau dalam beramal. Mereka sangka anak beranak dan ahli keluarga mereka akan sedekah pahala nanti.

Janganlah begitu. Beramal lah sendiri. Jangan menyesal nanti apabila pahala yang ditunggu-tunggu tidak sampai. Waktu itu, siapa yang rugi? Pahala memang tidak sampai. Yang untung adalah manusia yang hidup dan datang ke majlis tahlil itu. Kerana mereka dapat kenyangkan perut mereka. Serta ustaz dan tok imam yang menjadi tekong majlis itu akan dapat sampul berisi wang. Mereka itu sahajalah yang untung. Tapi untung dunia sahaja.


 

Ayat 103: Bagaimana pula kalau timbangan amal itu kurang? Sekarang diberikan Takhwif Ukhrawi.

وَمَن خَفَّت مَوٰزينُهُ فَأُولٰئِكَ الَّذينَ خَسِروا أَنفُسَهُم في جَهَنَّمَ خٰلِدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But those whose scales are light – those are the ones who have lost their souls, [being] in Hell, abiding eternally.

(MELAYU)

Dan barangsiapa yang ringan timbangannya, maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, mereka kekal di dalam neraka Jahannam.

 

وَمَن خَفَّت مَوٰزينُهُ فَأُولٰئِكَ الَّذينَ خَسِروا أَنفُسَهُم

Dan barangsiapa yang ringan timbangannya, maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri,

Mereka yang mempunyai timbangan amal yang ringan lah sebenarnya orang yang rugi kerana mereka tidak mengambil peluang semasa mereka di dunia untuk melakukan amal-amal kebaikan. Mereka sibuk dengan dunia, sibuk kejar harta, sibuk berjalan melancong ke sana sini, sibuk dengan politik dan macam-macam lagi perkara keduniaan.

Mereka terlalu sibuk sampai tidak sempat hendak beramal. Sibuk sampai tidak sempat hendak belajar agama. Akhirnya jahil tentang agama, tidak tahu apa-apa.

 

في جَهَنَّمَ خٰلِدونَ

mereka kekal di dalam neraka Jahannam.

Dan kalau amal mereka itu adalah amal syirik, maka mereka akan kekal di dalam neraka selama-lamanya. Kerana kalau amal kebaikan tidak ada, maka amal apa lagi yang ada? Kerana manusia tetap akan beramal.

Maka kalau bukan amal kebaikan yang mereka lakukan, maka amal keburukan lah yang mereka akan amalkan. Dan paling teruk kalau amal yang mereka lakukan itu adalah amal syirik. Maka kerana amal syirik, akan menyebabkan manusia kekal di dalam neraka.


 

Ayat 104: Dan sekarang Allah ﷻ menerangkan keadaan di neraka kelak.

تَلفَحُ وُجوهَهُمُ النّارُ وَهُم فيها كٰلِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The Fire will sear their faces, and they therein will have taut smiles.¹

  • Their lips having been contracted by scorching until the teeth are exposed.

(MELAYU)

Muka mereka dibakar api neraka, dan mereka di dalam neraka itu dalam keadaan cacat.

 

تَلفَحُ وُجوهَهُمُ النّارُ

Muka mereka dibakar api neraka,

Bukanlah wajah sahaja yang kena bakar api neraka tetapi keseluruhan tubuh badan. Akan tetapi disebut wajah kerana wajah lah anggota badan yang paling dijaga oleh manusia. Maka kalau wajah pun sudah kena bakar, maka tubuh badan yang lain tentulah sudah kena bakar juga maksudnya.

 

وَهُم فيها كٰلِحونَ

dan mereka di dalam neraka itu dalam keadaan cacat.

Kalimah كٰلِحونَ dari katadasar ك ل ح yang bermaksud muka yang mencebik, atau menyeringai. Ini adalah kerana mereka teruk menahan kesakitan sampaikan muka mereka menunjukkan mereka sakit ataupun bibir mereka yang terkiat. Ini kerana mereka akan diberi minum air yang amat panas sampai bibir mereka akan terkiat kerana rosak. Maka bibir dan muka akan menjadi cacat.

Juga bermaksud mulut mereka tidak dapat ditutup kerana mereka sentiasa menjerit kerana kesakitan. Lihatlah bagaimana semasa di dunia mulut mereka tidak berhenti-henti mencaci-maki Rasulullah ﷺ dan juga agama Islam, maka Allah ﷻ balas perbuatan mereka itu dengan menyebabkan mulut mereka tidak dapat ditutup kerana menahan kesakitan. Maka menjerit-jeritlah mereka tanpa henti meminta pertolongan yang tidak akan ada datang kepada mereka.

Allah ﷻ memberi gambaran yang menakutkan tentang neraka supaya kita beringat. Maka takutlah dengan ancaman-ancaman ini supaya kita berhati-hati dengan amalan kita. Jangan kita menyesal di akhirat kelak.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat seterusnya.

Kemaskini: 23 Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an