Tafsir Surah Mukminoon Ayat 98 – 104 (Roh tak kembali)

Ayat 98: Ayat sebelum ini Nabi ﷺ diajar untuk berdoa supaya diselamatkan dari bisikan syaitan.

وَأَعوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحضُرونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And I seek refuge in You, my Lord, lest they be present with me.”

(MELAYU)

Dan aku berlindung (pula) kepada Engkau ya Tuhanku, dari kedatangan mereka kepadaku”.

 

Dan ini adalah permintaan yang lebih tinggi lagi iaitu meminta supaya syaitan hendak datang bisik pun tidak boleh. Kerana bahaya kalau syaitan sudah datang bisik kerana mungkin kita akan termakan dengan bisikan mereka. Syaitan memang pandai hendak menipu kita kerana dia tahu apa yang manusia minat.

Kerana itulah Nabi ﷺ memerintah­kan agar selalu disebut nama Allah ﷻ dalam permulaan semua urusan untuk mengusir syaitan, baik ketika hendak makan, bersetubuh, menyembelih mahupun urusan-urusan lainnya.

Ini perumpamaan macam ada anjing datang kacau kita. Kita kita halau dia, dia tak mahu pergi. Maka cara terbaik untuk halau anjing itu adalah dengan panggil tuan dia untuk tinggalkan kita. Dan begitulah kita dengan syaitan – kita minta tolong kepada ‘tuan’ syaitan, iaitu Allah ﷻ. Syaitan takut  kepada Allah ﷻ.

Ini mengajar kita untuk berharap dengan Allah ﷻ dan bergantung kepada Allah ﷻ sahaja. Kalau kita hendak guna kekuatan kita sendiri, tidak boleh lawan syaitan.


 

Ayat 99: Sekarang Allah ﷻ menceritakan bagaimanakah keadaan manusia yang mengikut bisikan syaitan di akhirat kelak.

حَتّىٰ إِذا جاءَ أَحَدَهُمُ المَوتُ قالَ رَبِّ ارجِعونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[For such is the state of the disbelievers] until, when death comes to one of them, he says, “My Lord, send me back

(MELAYU)

(Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka, dia berkata: “Ya Tuhanku kembalikanlah aku (ke dunia),

 

حَتّىٰ إِذا جاءَ أَحَدَهُمُ المَوتُ

(Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka,

Sampai bilakah kita kena minta perlindungan kepada Allah ﷻ dari bisikan dan kedatangan syaitan? Sampai kita mati nanti. Kerana apabila kita hendak mati nanti pun syaitan akan datang dan cuba hendak hasut kita untuk kali terakhir.

Kerana itu Rasulullah ﷺ berdoa kepada Allah ﷻ dari diganggu syaitan semasa hendak mati. Imam Abu Daud telah meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ pernah berkata dalam doanya:

“اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الهَرَم، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الهَدْم وَمِنَ الْغَرَقِ، وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ يَتَخَبَّطَنِيَ الشَّيْطَانُ عِنْدَ الْمَوْتِ”

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari nyanyuk, dan aku berlindung kepada Engkau dari keruntuhan dan tenggelam. Dan aku berlindung kepada Engkau agar terhindar dari rasukan (godaan) syaitan ketika hendak mati.

Dan amat malang kalau kita termakan dengan bisikan syaitan. Kerana nanti apabila orang yang sudah termakan bisikan syaitan itu mati, mereka akan menyesal. Kerana mereka akan sedar yang mereka sudah buat salah dan mereka tahu yang mereka sudah kena tipu. Waktu itu, apa yang mereka akan minta?

 

قالَ رَبِّ ارجِعونِ

dia berkata: “Ya Tuhanku kembalikanlah aku (ke dunia),

Mereka yang berdosa akan meminta supaya mereka dikembalikan ke dunia semula. Mereka sudah sedar yang mereka sudah buat salah semasa di dunia. Maka mereka hendak baiki amalan dan fahaman mereka balik. Banyak disebut tentang perkara ini dalam Qur’an. Antaranya:

{وَلَوْ تَرَى إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُءُوسِهِمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ}

Dan (alangkah ngerinya) jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya. (Mereka berkata), “Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal soleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin.” (As-Sajdah: 12)

Janganlah nanti sewaktu kita sudah mati nanti kita bermohon kepada Allah ﷻ untuk dikembalikan ke dunia kerana kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan. Kerana waktu itu sudah terlambat. Maka kita kena baiki amalan dan akidah kita semasa di dunia lagi. Marilah belajar agama dengan benar. Iaitu pengajaran agama yang berasaskan dalil dari Qur’an dan sunnah.

Allah ﷻ memberi isyarat di dalam ayat ini yang orang-orang zalim dan tidak memikirkan hal agama dan tidak memikirkan persediaan ke akhirat kelak, mereka nanti akan meminta supaya dikembalikan ke dunia kerana waktu itulah baru mereka hendak mempertahankan diri mereka dari syaitan dan tidak mahu mengikut bisikan syaitan.


 

Ayat 100: Kenapa mereka hendak balik ke dunia? Allah ﷻ jelaskan kenapa.

لَعَلّي أَعمَلُ صٰلِحًا فيما تَرَكتُ ۚ كَلّا ۚ إِنَّها كَلِمَةٌ هُوَ قائِلُها ۖ وَمِن وَرائِهِم بَرزَخٌ إِلىٰ يَومِ يُبعَثونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That I might do righteousness in that which I left behind.”¹ No! It is only a word he is saying; and behind them is a barrier until the Day they are resurrected.

  • Or “in that which I neglected.”

(MELAYU)

agar aku berbuat amal yang soleh terhadap yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya saja. Dan di hadapan mereka ada dinding sampai hari mereka dibangkitkan.

 

لَعَلّي أَعمَلُ صٰلِحًا فيما تَرَكتُ

agar aku berbuat amal yang soleh yang telah aku tinggalkan.

Begitulah apabila sudah mati baru mereka hendak kembali ke dunia kerana waktu itu baru mereka berazam untuk melakukan amal-amal soleh. Masa di dunia dahulu mereka tidak membuat amal yang soleh. Nah sekarang baru mereka hendak buat semula.

Mereka sekarang baru bersungguh hendak buat amal-amal kebaikan yang dahulu mereka tidak lakukan semasa mereka hidup di dunia. Mereka tinggalkan amalan-amalan itu sebab sibuk dengan dunia. Mereka sibuk membuat amalan-amalan yang salah termasuk amalan-amalan yang bidaah.

Banyak ayat-ayat dalam Qur’an yang menyebut permintaan sebegini. Tetapi bolehkah balik ke dunia?

 

كَلّا

Sekali-kali tidak. 

Ini adalah kalimah penolakan. Tidak ada harapan dan permohonan itu tidak akan dipenuhi langsung. Mahu balik ke dunia mana lagi? Dunia sudah hancur pada masa itu. Kalau mereka di alam kubur, badan mereka pun sudah hancur. Macam mana hendak balik?

Maka ambillah iktibar dari ayat ini. Kita hanya ada satu peluang sahaja semasa di dunia ini untuk beramal dengan amalan yang soleh. Janganlah buang masa hendak dunia sahaja.

Janganlah juga sibuk hendak beramal dengan amalan bidaah yang tidak memberikan pahala pun. Buang masa sahaja.

 

إِنَّها كَلِمَةٌ هُوَ قائِلُها

Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya saja.

Allah ﷻ memberitahu yang permintaan mereka itu adalah kata-kata kosong dari mereka sahaja. Ini adalah kerana jikalau mereka dikembalikan ke dunia pun, mereka akan jadi orang yang sama juga dengan tidak melakukan amalan soleh.

Allah ﷻ tahu apakah yang mereka akan lakukan. Kerana mereka itu orang yang sama sahaja, dengan perangai yang sama sahaja. Kalau diberi peluang kedua pun mereka takkan berubah. Ini seperti yang Allah ﷻ sebut dalam ayat lain:

{وَلَوْ رُدُّوا لَعَادُوا لِمَا نُهُوا عَنْهُ وَإِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ}

Sekiranya mereka dikembalikan (ke dunia), tentulah mereka kembali kepada apa yang mereka telah dilarang menger­jakannya. Dan sesungguhnya mereka itu adalah pendusta-pendusta belaka. (Al-An’am: 28)

Memang kalimah ini akan diucapkan oleh setiap yang mati dan menyesal kerana tidak menjalankan tugas di dunia dahulu. Tetapi itu tinggal sebagai permintaan sahaja kerana permohonan itu tidak akan dilayan.

 

وَمِن وَرائِهِم بَرزَخٌ إِلىٰ يَومِ يُبعَثونَ

Dan di hadapan mereka ada dinding sampai hari mereka dibangkitkan.

Kenapa mereka tidak akan dapat kembali? Kerana di belakang mereka ada ‘barzakh’ iaitu halangan sebagai pengadang; dan mereka sekarang berada di alam barzakh yang mereka tidak akan dapat keluar darinya sampai bila-bila hinggalah ke hari kiamat. Memang mereka hidup tetapi ia dinamakan Hidup Barzakhi.

Muhammad ibnu Ka’b berkata, barzakh adalah alam yang terletak di antara alam dunia dan alam akhirat. Para penghuninya tidak sama dengan ahli dunia yang dapat makan dan minum, tidak pula sama dengan ahli akhirat yang mendapat balasan dari amal perbuatan mereka.

Abu Sakhr mengatakan bahawa barzakh adalah alam kubur, para penghuninya tidak ada di dunia dan tidak pula di akhirat; mereka tinggal di alam barzakh menunggu sampai hari berbangkit.

Ayat ini juga menjadi dalil bahawa roh orang mati tidak dapat balik ke dunia. Soalan ini akan timbul setiap kali bulan Puasa dan Hari Raya kerana masih ada lagi masyarakat Melayu yang berfahaman begitu. Masih sampai lagi fahaman Hindu tok nenek dalam diri mereka. Nama mereka Muslim tetapi masih ada fahaman Hindu dalam fikiran mereka. Maka sampaikan kepada mereka ayat ini sebagai dalil bahawa roh orang mati tidak akan pulang ke dunia.

Ayat ini juga menjadi dalil untuk menolak hujah puak Sufi dan tariqat yang mengatakan ada roh-roh wali yang kembali ke dunia untuk tolong manusia dan sebagainya. Itu bukan roh wali tetapi syaitan yang menjelma sebagai mereka yang dikatakan wali itu untuk menipu orang-orang yang senang ditipu.

Ayat Qur’an menjadi pegangan kita. Mana mungkin hujah akal dapat melawan hujah dari Qur’an? Kalau ada yang kata boleh roh kembali ke dunia semula, maka kena ada hadis yang sahih dari Rasulullah ﷺ sebagai pengecualian. Kerana keadaan umum sudah ada di dalam ayat ini: roh takkan kembali ke dunia.

Ini kerana ada dari sesetengah hujah yang berkata: “Roh orang biasa memang tak boleh balik, tapi roh wali boleh balik untuk menolong Manusia”. Kita katakan: Ya, kalau ada dalilnya, bawa ke mari. Kita orang Islam pakai dalil, bukan?


 

Ayat 101: Ini pula kejadian selepas habis dan tamat alam barzakh. Masuk ke alam akhirat pula.

فَإِذا نُفِخَ فِي الصّورِ فَلا أَنسابَ بَينَهُم يَومَئِذٍ وَلا يَتَساءَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So when the Horn is blown, no relationship will there be among them that Day, nor will they ask about one another.

(MELAYU)

Apabila sangkakala ditiup maka tidaklah ada lagi pertalian nasab di antara mereka pada hari itu, dan tidak ada pula mereka saling bertanya.

 

فَإِذا نُفِخَ فِي الصّورِ

Apabila sangkakala ditiup

Ini adalah apabila tiupan sangkakala yang kedua telah ditiup. Tiupan yang pertama akan mematikan semua makhluk yang masih hidup. Dan tiupan kedua dalam ayat ini akan membangkitkan semua makhluk dari kuburan masing-masing.

 

فَلا أَنسابَ بَينَهُم يَومَئِذٍ

maka tidaklah ada lagi pertalian nasab di antara mereka pada hari itu, 

Maka pada waktu itu tidak ada lagi talian kekeluargaan dan talian persaudaraan sesama manusia. Bukan sahaja talian kekeluargaan tidak ada, tetapi apa-apa talian dengan orang lain pun tidak ada, seperti kawan, majikan, guru dan murid dan apa-apa sahaja talian. Tiada guna lagi kaitan adik beradik dan emak ayah sekali pun.

Ini adalah kerana manusia akan bersendirian sahaja waktu itu. Pertalian Nasab yang dikira masa di dunia sahaja. Di akhirat nanti tidak ada guna kalau ada ayah mukmin atau abang yang soleh. Kerana mereka tidak dapat menyelamatkan kita. Kita kena bergantung kepada amalan kita sahaja.

 

وَلا يَتَساءَلونَ

dan tidak ada pula mereka saling bertanya.

Dan apabila hari kiamat telah bermula maka tidak ada lagi sesiapa pun yang akan bertanya tentang kawannya, keluarganya, anak muridnya, kerana semua sibuk dengan hal masing-masing. Mereka takut risaukan nasib mereka entah selamat, entah tidak. Mereka yang masuk ke dalam neraka tidak akan bertanya pun tentang kawan-kawan yang dulu mereka rapat semasa di dunia.

{وَلا يَسْأَلُ حَمِيمٌ حَمِيمًا. يُبَصَّرُونَهُمْ}

Dan tidak ada seorang teman akrab pun menanyakan temannya, sedangkan mereka saling melihat. (Al-Ma’arij: 10-11)

Tetapi ada disebut dalam ayat-ayat yang lain kepada kita tentang ahli syurga, kita dapat tahu bahawa ahli syurga akan bertanya tentang kawan-kawan mereka yang mereka rapat di dunia dahulu. Maka ahli neraka takkan bertanya tetapi ahli syurga akan bertanya. Tetapi itu adalah apabila sudah di syurga nanti.

Jadi jangan hendak berharap kepada orang lain nanti. Mereka takkan bertanya, malah ada yang lari dari orang yang mereka kenal kalau mereka nampak di Mahsyar. Kita hanya boleh berharap kepada amalan kita sahaja. Ini disebut dalam ayat yang lain.

{يَوْمَ يَفِرُّ الْمَرْءُ مِنْ أَخِيهِ. وَأُمِّهِ وَأَبِيهِ. وَصَاحِبَتِهِ وَبَنِيهِ}

Pada hari ketika manusia lari dari saudaranya, ibu dan bapak­nya, dari isteri dan anaknya. (‘Abasa: 34-36)


 

Ayat 102: Waktu itu, kena tengok kepada amalan. Kalau banyak amalan yang baik, maka mereka akan selamat. Maka ayat ini Tabshir Ukhrawi.

فَمَن ثَقُلَت مَوٰزينُهُ فَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those whose scales are heavy [with good deeds] – it is they who are the successful.

(MELAYU)

Barangsiapa yang berat timbangan (kebaikan)nya, maka mereka itulah orang-orang yang dapat keberuntungan.

 

Dan di akhirat nanti mereka yang ada amal timbangan yang berat, mereka itulah orang yang akan mendapat kejayaan yang sebenar. Iaitu akan ditimbang pahala dan dosa manusia untuk melihat mana yang lebih berat. Sekiranya berat lebih satu sahaja dari dosa, maka berjayalah orang itu. Mereka akan berjaya masuk ke dalam syurga.

Dan kalimah المُفلِحونَ ini telah kita berjumpa di dalam ayat yang pertama surah ini lagi. Maknanya mereka yang telah berusaha dengan amalan itu. Kerana mereka amalkan sendiri – bukannya berharap orang lain bersedekah amal. Perangai orang kita banyak yang buruk – malas hendak beramal kerana kononnya mereka boleh disedekahkan pahala oleh orang lain masa majlis tahlil dan sebagainya.

Itu adalah harapan yang sia-sia kerana pahala itu tidak akan sampai kepada mereka. Tetapi kerana ada fahaman salah macam inilah yang menyebabkan orang kita lemau dalam beramal. Mereka sangka anak beranak dan ahli keluarga mereka akan sedekah pahala nanti.

Janganlah begitu. Beramal lah sendiri. Jangan menyesal nanti apabila pahala yang ditunggu-tunggu tidak sampai. Waktu itu, siapa yang rugi? Pahala memang tidak sampai. Yang untung adalah manusia yang hidup dan datang ke majlis tahlil itu. Kerana mereka dapat kenyangkan perut mereka. Serta ustaz dan tok imam yang menjadi tekong majlis itu akan dapat sampul berisi wang. Mereka itu sahajalah yang untung. Tapi untung dunia sahaja.


 

Ayat 103: Bagaimana pula kalau timbangan amal itu kurang? Sekarang diberikan Takhwif Ukhrawi.

وَمَن خَفَّت مَوٰزينُهُ فَأُولٰئِكَ الَّذينَ خَسِروا أَنفُسَهُم في جَهَنَّمَ خٰلِدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But those whose scales are light – those are the ones who have lost their souls, [being] in Hell, abiding eternally.

(MELAYU)

Dan barangsiapa yang ringan timbangannya, maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, mereka kekal di dalam neraka Jahannam.

 

وَمَن خَفَّت مَوٰزينُهُ فَأُولٰئِكَ الَّذينَ خَسِروا أَنفُسَهُم

Dan barangsiapa yang ringan timbangannya, maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri,

Mereka yang mempunyai timbangan amal yang ringan lah sebenarnya orang yang rugi kerana mereka tidak mengambil peluang semasa mereka di dunia untuk melakukan amal-amal kebaikan. Mereka sibuk dengan dunia, sibuk kejar harta, sibuk berjalan melancong ke sana sini, sibuk dengan politik dan macam-macam lagi perkara keduniaan.

Mereka terlalu sibuk sampai tidak sempat hendak beramal. Sibuk sampai tidak sempat hendak belajar agama. Akhirnya jahil tentang agama, tidak tahu apa-apa.

 

في جَهَنَّمَ خٰلِدونَ

mereka kekal di dalam neraka Jahannam.

Dan kalau amal mereka itu adalah amal syirik, maka mereka akan kekal di dalam neraka selama-lamanya. Kerana kalau amal kebaikan tidak ada, maka amal apa lagi yang ada? Kerana manusia tetap akan beramal.

Maka kalau bukan amal kebaikan yang mereka lakukan, maka amal keburukan lah yang mereka akan amalkan. Dan paling teruk kalau amal yang mereka lakukan itu adalah amal syirik. Maka kerana amal syirik, akan menyebabkan manusia kekal di dalam neraka.


 

Ayat 104: Dan sekarang Allah ﷻ menerangkan keadaan di neraka kelak.

تَلفَحُ وُجوهَهُمُ النّارُ وَهُم فيها كٰلِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The Fire will sear their faces, and they therein will have taut smiles.¹

  • Their lips having been contracted by scorching until the teeth are exposed.

(MELAYU)

Muka mereka dibakar api neraka, dan mereka di dalam neraka itu dalam keadaan cacat.

 

تَلفَحُ وُجوهَهُمُ النّارُ

Muka mereka dibakar api neraka,

Bukanlah wajah sahaja yang kena bakar api neraka tetapi keseluruhan tubuh badan. Akan tetapi disebut wajah kerana wajah lah anggota badan yang paling dijaga oleh manusia. Maka kalau wajah pun sudah kena bakar, maka tubuh badan yang lain tentulah sudah kena bakar juga maksudnya.

 

وَهُم فيها كٰلِحونَ

dan mereka di dalam neraka itu dalam keadaan cacat.

Kalimah كٰلِحونَ dari katadasar ك ل ح yang bermaksud muka yang mencebik, atau menyeringai. Ini adalah kerana mereka teruk menahan kesakitan sampaikan muka mereka menunjukkan mereka sakit ataupun bibir mereka yang terkiat. Ini kerana mereka akan diberi minum air yang amat panas sampai bibir mereka akan terkiat kerana rosak. Maka bibir dan muka akan menjadi cacat.

Juga bermaksud mulut mereka tidak dapat ditutup kerana mereka sentiasa menjerit kerana kesakitan. Lihatlah bagaimana semasa di dunia mulut mereka tidak berhenti-henti mencaci-maki Rasulullah ﷺ dan juga agama Islam, maka Allah ﷻ balas perbuatan mereka itu dengan menyebabkan mulut mereka tidak dapat ditutup kerana menahan kesakitan. Maka menjerit-jeritlah mereka tanpa henti meminta pertolongan yang tidak akan ada datang kepada mereka.

Allah ﷻ memberi gambaran yang menakutkan tentang neraka supaya kita beringat. Maka takutlah dengan ancaman-ancaman ini supaya kita berhati-hati dengan amalan kita. Jangan kita menyesal di akhirat kelak.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat seterusnya.

Kemaskini: 23 Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Surah Mukminoon Ayat 90 – 97 (Cara berdakwah)

Ayat 90: Ayat zajrun.

بَل أَتَينٰهُم بِالحَقِّ وَإِنَّهُم لَكٰذِبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Rather, We have brought them the truth, and indeed they are liars.

(MELAYU)

Sebenarnya Kami telah membawa kebenaran kepada mereka, dan sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.

 

بَل أَتَينٰهُم بِالحَقِّ

Sebenarnya Kami telah membawa kebenaran kepada mereka,

Maka Musyrikin Mekah telah mengaku yang mereka kenal Allah ﷻ dan mereka menyangka itu sudah cukup sedangkan tidak. Kerana apabila telah kenal Allah ﷻ, maka hendaklah tahu apa yang Allah ﷻ hendak kita lakukan. Dan Allah ﷻ telah memberitahu kepada manusia apakah kehendakNya di dalam wahyu-wahyu yang disampaikanNya. Tetapi ramai daripada manusia yang mendustakan wahyu itu.

 

وَإِنَّهُم لَكٰذِبونَ

dan sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.

Mereka berdusta sahaja apabila mereka mengatakan mereka percaya kepada Allah ﷻ kerana hati mereka tidak menerimanya dengan sempurna. Kerana tanda percaya sepenuhnya dengan Allah ﷻ adalah dengan taat kepada wahyu yang Allah ﷻ berikan tetapi mereka itu tidak taat.

Mereka menentang dengan menggunakan hujah-hujah batil sahaja. Sebagaimana yang disebutkan dalam akhir surah ini melalui firman-Nya di hujung-hujung surah ini nanti:

{وَمَنْ يَدْعُ مَعَ اللَّهِ إِلَهًا آخَرَ لَا بُرْهَانَ لَهُ بِهِ فَإِنَّمَا حِسَابُهُ عِنْدَ رَبِّهِ إِنَّهُ لَا يُفْلِحُ الْكَافِرُونَ}

Dan barang siapa menyembah tuhan yang lain di samping Allah, padahal tidak ada suatu dalil pun baginya tentang itu, maka sesungguhnya perhitungannya di sisi Tuhannya. Sesungguhnya orang-orang yang kafir itu tiada beruntung. (Al Mu’minun: 117)

Orang-orang musyrik melakukan hal tersebut tanpa suatu dalil pun yang mendorong mereka melakukan kebohongan dan kesesatannya. Sesungguhnya mereka melakukan hal tersebut hanyalah semata-mata mengikuti jejak nenek moyang mereka dan para pendahulu yang tidak punya pegangan lagi bodoh, seperti yang disebutkan oleh firman-Nya:

{إِنَّا وَجَدْنَا آبَاءَنَا عَلَى أُمَّةٍ وَإِنَّا عَلَى آثَارِهِمْ مُقْتَدُونَ}

Sesungguhnya kami mendapati bapak-bapak kami menganut suatu agama dan sesungguhnya kami adalah pengikut jejak-jejak mereka. (Az-Zukhruf: 23)


 

Ayat 91: Ayat untuk menafikan ‘naib’. Naib adalah perantara antara Allah ﷻ dan manusia. Manusia sesat menggunakan ‘naib’ atau wasilah untuk menyampaikan doa mereka kepada Allah ﷻ. Ini dinamakan tawasul. Allah ﷻ menolak amalan sesat ini.

مَا اتَّخَذَ اللهُ مِن وَلَدٍ وَما كانَ مَعَهُ مِن إِلٰهٍ ۚ إِذًا لَّذَهَبَ كُلُّ إِلٰهٍ بِما خَلَقَ وَلَعَلا بَعضُهُم عَلىٰ بَعضٍ ۚ سُبحٰنَ اللهِ عَمّا يَصِفونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh has not taken any son, nor has there ever been with Him any deity. [If there had been], then each deity would have taken what it created, and some of them would have sought to overcome others. Exalted is Allāh above what they describe [concerning Him].

(MELAYU)

Allah sekali-kali tidak mempunyai anak, dan sekali-kali tidak ada ilah (yang lain) berserta-Nya, kalau ada tuhan berserta-Nya, masing-masing tuhan itu akan membawa makhluk yang diciptakannya, dan sebahagian dari tuhan-tuhan itu akan mengalahkan sebahagian yang lain. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sifatkan itu,

 

مَا اتَّخَذَ اللهُ مِن وَلَدٍ

Allah sekali-kali tidak mempunyai anak, 

Oleh kerana Musyrikin Mekah dan mereka yang akidahnya sama dengan mereka, tidak berpegang dengan wahyu, maka konsep ketuhanan yang ada pada mereka itu adalah konsep yang salah; diantaranya mereka mengatakan Allah ﷻ ada anak sedangkan itu tidak benar.

Yang mereka maksudkan bukan anak sebenar tetapi ‘anak angkat’. Anak angkat itu mereka angkat sebagai wakil untuk menyampaikan doa kepada Allah ﷻ. Dalam istilah lain, mereka itu digelar ‘naib’. Padahal Allah ﷻ tidak pernah suruh pun tetapi manusia sahaja yang reka sendiri.

Maka mereka mengatakan yang Allah ﷻ ada wakil untuk menyampaikan doa kepadaNya. Inilah sebab terjadinya kekafiran pada manusia. Apabila mereka mewujudkankan ‘anak angkat’, naib atau wakil kepada Allah ﷻ, lama kelamaan mereka akan sembah wakil itu.

Malangnya inilah juga fahaman Muslim yang jauh dari wahyu. Ramai dari kalangan masyarakat Muslim kita sendiri menjadikan Nabi, wali dan malaikat sebagai wasilah kepada Allah ﷻ.

 

وَما كانَ مَعَهُ مِن إِلٰهٍ

dan sekali-kali tidak ada ilah (yang lain) berserta-Nya,

Musyrikin Mekah juga mengatakan ada ilah-ilah lain selain Allah ﷻ dan ini juga adalah salah. Ini adalah syirik. Kerana pada Musyrikin Mekah, Allah ﷻ memang ilah yang besar, tetapi ada ilah-ilah kecil selain Allah ﷻ. Dan mereka menyembah dan membuat ibadat kepada ilah-ilah itu. Maka kerana itu apabila Nabi Muhammad ﷺ bangkit dengan mengajar kalimah tauhid la ilaaha illallah, maka mereka melawan baginda dan mengata baginda seorang yang sesat.

Maka Allah ﷻ memberi satu logik kepada mereka yang jikalau ada ilah lain selain Allah ﷻ, tentulah akan porak peranda alam ini kerana masing-masing ilah itu ada kehendak mereka.

 

إِذًا لَّذَهَبَ كُلُّ إِلٰهٍ بِما خَلَقَ

kalau ada tuhan berserta-Nya, masing-masing tuhan itu akan membawa makhluk yang diciptanya,

Kalau satu ilah itu, mestilah dia boleh mencipta, bukan? Kerana tentulah kalau layak menjadi ilah maka mereka boleh mencipta makhluk masing-masing. Kalau tidak boleh mencipta, buat apa jadi ilah?

Dan kalau mereka yang dianggap sebagai ilah itu telah mencipta sesuatu, maka mungkin ilah-ilah itu akan berkelahi sesama mereka dan ada ilah-ilah itu yang mahu pergi dengan membawa benda-benda yang mereka ciptakan; sebagai contoh, mungkin ada tuhan yang buat gunung maka dia hendak pergi dengan bawa gunung itu. Maka nanti tidak adalah gunung pula, bukan? Tetapi kita lihat alam ini sempurna elok sahaja, bukan? Maknanya, memang tidak ada tuhan yang lain selain Allah ﷻ. Seperti Allah ﷻ menyebut dalam ayat yang lain:

{مَا تَرَى فِي خَلْقِ الرَّحْمَنِ مِنْ تَفَاوُتٍ}

Kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Tuhan Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang. (Al-Mulk: 3)

 

وَلَعَلا بَعضُهُم عَلىٰ بَعضٍ

dan sebahagian dari tuhan-tuhan itu akan mengalahkan sebahagian yang lain. 

Dan bukan sahaja ilah-ilah itu akan bawa ciptaan mereka, malah mereka mungkin akan berkelahi sesama mereka. Kerana kalau memang ada ilah-ilah yang banyak, tentulah ilah-ilah itu akan berlainan pendapat dan mungkin berperang sesama mereka untuk menjadi ilah yang paling besar. Ini pun tidak patut dan tidak terjadi pun kerana memang tidak ada ilah-ilah lain pun.

Beginilah yang kita dapat lihat di dalam filem-filem yang menceritakan tentang agama-agama lain yang mempunyai banyak tuhan; di mana tuhan-tuhan mereka itu akan berperang sesama mereka dan menyebabkan kerosakan di muka bumi. Kerana kalau seorang ilah, tentu tidak boleh kalah dengan ilah yang lain; maka tentulah mereka akan berperang dan berlawanan antara satu sama lain.

Maka kalau kita lihat dunia sekarang ini tidak ada hancur, maka itu menunjukkan bahawa tidak ada ilah selain Allah ﷻ. Hanya Allah ﷻ sahaja yang ilah. Yang lain, bukan ilah.

 

سُبحٰنَ اللهِ عَمّا يَصِفونَ

Maha Suci Allah dari apa yang mereka sifatkan itu,

Allah ﷻ Maha Suci dari apa-apa sahaja sifat yang direka oleh orang-orang itu. ‘Suci’ itu bermaksud Allah ﷻ tidak begitu, tidak seperti yang mereka sebutkan itu. Mereka itu hanya reka sahaja sifat Allah ﷻ dan sifat-sifat ilah-ilah yang lain itu. Semua itu adalah dari bisikan syaitan sahaja.


 

Ayat 92: Kalau Allah ﷻ bukan seperti yang dikatakan oleh mereka yang sesat itu, maka apakah sifat Allah ﷻ sebenarnya?

عٰلِمِ الغَيبِ وَالشَّهٰدَةِ فَتَعٰلىٰ عَمّا يُشرِكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[He is] Knower of the unseen and the witnessed, so high is He above what they associate [with Him].

(MELAYU)

Yang mengetahui semua yang ghaib dan semua yang nyata, maka Maha Tinggilah Dia dari apa yang mereka persekutukan.

 

عٰلِمِ الغَيبِ وَالشَّهٰدَةِ

Yang mengetahui semua yang ghaib dan semua yang nyata,

Kenapa Allah ﷻ memberitahu di dalam ayat ini yang Dia sahaja yang tahu ilmu-ilmu ghaib? Kerana sebelum ini telah diberitahu tentang andaian-andaian manusia tentang hal ghaib seperti Allah ﷻ ada anak, Allah ﷻ ada ilah-ilah lain dan sebagainya. Itu semua adalah hal-hal ghaib yang mereka tidak ada dalil pun tentangnya; melainkan yang dilakukan oleh akal-akal mereka sahaja (dan dipandu oleh syaitan).

Allah ﷻ tahu yang ghaib, maka tentulah Allah ﷻ tahu juga yang nyata. Tidak ada yang tersembunyi dari Allah ﷻ. Maka Allah ﷻ menempelak mereka dengan mengatakan yang mereka itu tidak tahu tentang hal ghaib kerana Allah ﷻ sahaja yang mengetahui perkara ghaib itu. Kalau tidak ada dalil, maka jangan pandai-pandai hendak reka dan buat andaian.

Maka ini juga menjadi dalil bagi kita yang hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu perkara ghaib. Para Nabi dan malaikat pun tidak tahu perkara ghaib. Malangnya, orang yang jauh dari  wahyu dari kalangan masyarakat kita, sampai ada berkata guru mereka tahu perkara ghaib, tahu apa terjadi di Arash, tahu apa terjadi di tempat lain, tahu apa yang ada dalam hati manusia; dan macam-macam lagi. Selalu yang buat begini adalah golongan tarekat dan sufi kerana mereka memang tidak kenal wahyu.

 

فَتَعٰلىٰ عَمّا يُشرِكونَ

maka Maha Tinggilah Dia dari apa yang mereka persekutukan.

Allah ﷻ lebih tinggi lagi dari sangkaan-sangkaan mereka itu. Mereka hendak berkata Allah ﷻ perlukan anak? Perlukan wakil? Perlukan itu dan ini? Ini tidak patut mereka katakan begitu. Bila mereka kata begitu, mereka sebenarnya mensyirikkan Allah ﷻ. Ingatlah yang Allah ﷻ tidak begitu dan tidak memerlukan semua itu.


 

Ayat 93: Dari ayat ini sehingga ke akhir surah adalah Perenggan Makro Kelapan surah ini. Ia mengandungi ajaran tentang adab etika dalam tabligh (dakwah).

Perenggan ini dimulai dengan ayat takhwif duniawi. Ia mengandungi yang Allah ajar kepada Nabi Muhammad.

قُل رَّبِّ إِمّا تُرِيَنّي ما يوعَدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, [O Muḥammad], “My Lord, if You should show me that which they are promised,

(MELAYU)

Katakanlah: “Ya Tuhanku, jika Engkau sungguh-sungguh hendak memperlihatkan kepadaku azab yang diancamkan kepada mereka,

 

Kalau mereka berterusan berfikiran begitu, maka mereka akan mendapat azab. Allah ﷻ  telah mengancam azab kepada mereka tetapi mereka buat tidak tahu sahaja. Mereka tidak percaya dengan azab yang dijanjikan oleh Allah ﷻ dan disampaikan oleh Rasulullah ﷺ.

Maka kerana mereka memang telah menentang, maka mereka akan menerima azab itu. Mungkin Nabi Muhammad ﷺ dapat melihat sendiri azab yang akan dikenakan kepada mereka.

Dan memang Nabi Muhammad ﷺ telah ditunjukkan dengan sedikit dari azab-azab yang dijanjikan kepada manusia yang engkar; iaitu semasa perjalanan Mikraj baginda di mana baginda ditunjukkan dengan neraka dan segala azab-azab yang dikenakan di dalamnya.


 

Ayat 94: Maka apabila Nabi ﷺ sesudah melihat sendiri azab-azab itu, maka baginda berdoa:

رَبِّ فَلا تَجعَلني فِي القَومِ الظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

My Lord, then do not place me among the wrongdoing people.”

(MELAYU)

ya Tuhanku, maka janganlah Engkau jadikan aku berada di antara orang-orang yang zalim”.

 

Allah ﷻ memberitahu yang jikalau para rasul ditunjukkan dengan azab yang dikenakan kepada penderhaka maka inilah doa Rasul itu yang memohon kepada Allah ﷻ supaya mereka diselamatkan dari termasuk ke dalam golongan orang-orang yang zalim. Kerana mereka sudah tahu azab yang akan dikenakan itu amat teruk sekali. Maka mereka mohon berlindung dari dikenakan dengan azab-azab itu.

Nabi ﷺ juga tidak sanggup hendak melihat azab yang dikenakan kepada manusia yang menentang baginda. Ini seperti yang disebut di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam Turmuzi yang menilainya sahih, iaitu:

“وَإِذَا أَرَدْتَ بِقَوْمٍ فِتْنَةً فَتَوَفَّنِي إِلَيْكَ غَيْرَ مَفْتُونٍ”

Dan apabila Engkau hendak menimpakan fitnah kepada suatu kaum, maka wafatkanlah aku menghadap kepada-Mu dalam keadaan tidak terfitnah.


 

Ayat 95: Allah ﷻ jawab yang Dia tetap boleh hendak tunjukkan azab itu kepada baginda.

وَإِنّا عَلىٰ أَن نُّرِيَكَ ما نَعِدُهُم لَقٰدِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, We are Able to show you what We have promised them.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Kami benar-benar kuasa untuk memperlihatkan kepadamu apa yang Kami ancamkan kepada mereka.

 

Dan Allah ﷻ memberitahu kepada Nabi ﷺ bahawa Dia boleh dan berkuasa untuk menunjukkan azab-azab yang dijanjikan kepada orang-orang yang zalim itu. Kadangkala dengan melihat musuh dimusnahkan pun menjadi satu kelegaan dan kepuasan hati. Maka seperti Nabi Muhammad, baginda dapat melihat kehancuran penentang kuat baginda di medan peperangan.


 

Ayat 96: Allah ﷻ mengajar cara berdakwah kepada puak penentang. Iaitu cara interaksi dengan mereka. Allah ﷻ memberikan petunjuk kepada Nabi ﷺ tentang cara yang paling efektif dan metode yang sukses dalam ber­masyarakat, iaitu berbuat baik kepada orang yang berbuat buruk terhadap dirinya agar hati mereka terpikat dan simpati, sehingga permusuhannya berganti menjadi persahabatan, dan kemarahannya berganti menjadi simpati. Untuk itu Allah ﷻ berfirman:

ادفَع بِالَّتي هِيَ أَحسَنُ السَّيِّئَةَ ۚ نَحنُ أَعلَمُ بِما يَصِفونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Repel, by [means of] what is best, [their] evil. We are most knowing of what they describe.

(MELAYU)

Tolaklah perbuatan buruk mereka dengan yang lebih baik. Kami lebih mengetahui apa yang mereka sifatkan.

 

ادفَع بِالَّتي هِيَ أَحسَنُ السَّيِّئَةَ

Tolaklah perbuatan buruk mereka dengan yang lebih baik.

Dan apabila ada orang yang datang berhujah dengan menggunakan hujah-hujah batil menentang agama Islam, maka Allah ﷻ menyuruh kepada para nabi dan kita juga untuk menolak kata-kata mereka itu dengan cara yang baik dan bukan mengikut cara kurang ajar seperti mereka.

Memang manusia yang menentang itu akan kurang ajar dan menggunakan bahasa yang kesat. Ini adalah kerana mereka tidak ada hujah. Lihatlah bagaimana orang kita yang jauh dari wahyu itu bahasanya kesat, bodoh dan tak masuk akal. Mereka hanya tahu nak tuduh dan kutuk sahaja. Antaranya mereka akan guna gelaran ‘wahhabi’ dan lain-lain lagi. Hujah tidak ada, tetapi kutukan sahaja.

Maka kita jangan jadi bodoh dan rendah akhlak seperti mereka. Mereka memang begitu kerana mereka tidak ada hujah. Tetapi kita ada hujah, maka tidak perlulah hendak menjadi macam mereka pula. Biarlah mereka meroyan tetapi kita tetap melayan orang lain dengan baik. Orang luar akan nampak mana yang benar dan mana yang buruk.

Jangan kita putuskan hubungan dengan mereka dengan menggunakan kata-kata kesat. Perumpamaannya: Ular mesti mati tetapi tongkat jangan patah. Maksiat mesti hilang tetapi hati jangan pecah.

Maksudnya janganlah kita dalam berdakwah itu bercakap kepada manusia sampai boleh menyebabkan mereka sakit hati. Kadang-kadang memang mereka yang didakwah itu sakit hati kerana tidak bersetuju dengan kita tetapi janganlah sakitkan hati mereka itu kerana kata-kata kita yang hodoh dan juga dengan tindak tanduk kita yang tidak berakhlak. Kita golongan sunnah kena sabar. Kita ada wahyu di pihak kita.

Kalau kita berkeras dengan mereka, nanti kita sudah tidak dapat nak dakwah lagi kepada mereka kerana mereka pun sudah tidak mahu dengar malah tidak mahu jumpa kita pun. Inilah maksudnya: tongkat patah.

Dan kalau kita berbalas dengan baik kepada mereka yang menentang, mereka pun ada kemungkinan akan berubah sikap. Hal ini sama dengan apa yang diungkapkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ. وَمَا يُلَقَّاهَا إِلا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ}

Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah teman yang sangat setia. Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar. (Fushshilat: 34-35), hingga akhir ayat.

Tetapi memang bukan senang hendak buat. Maka Allah ﷻ mengajar cara rawat dalam ayat seterusnya.

 

نَحنُ أَعلَمُ بِما يَصِفونَ

Kami lebih mengetahui apa yang mereka sifatkan.

Allah ﷻ maha tahu apa yang mereka katakan. Kita mengadu sahaja kepada Allah ﷻ kalau kita disakiti. Sibukkan diri dengan ibadat dan jangan hirau mereka.


 

Ayat 97: Allah ﷻ mengajar bagaimana hendak buat kalau mereka buat tidak baik kepada kita; kalau mereka bercakap kasar dan sebagainya. Inilah doa yang Allah ﷻ ajar.

وَقُل رَّبِّ أَعوذُ بِكَ مِن هَمَزٰتِ الشَّيٰطينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And say, “My Lord, I seek refuge in You from the incitements of the devils,

(MELAYU)

Dan katakanlah: “Ya Tuhanku aku berlindung kepada Engkau dari bisikan-bisikan syaitan.

 

Allah ﷻ mengajar kita untuk meminta perlindungan dari bisikan syaitan yang menyebabkan kita marah tidak bertempat. Jangan kita marah tidak tentu pasal. Bukan tidak boleh hendak marah, tetapi kalau hendak marah kena ikut tempat. Kerana marah memang boleh apabila perlu.

Orang yang kesat kepada kita telah dibisiki oleh syaitan. Mereka ikut bisikan syaitan sebenarnya. Dan syaitan juga akan bisikkan kepada kita untuk balas dengan kata-kata buruk seperti mereka juga. Kalau kita termakan dengan bisikan syaitan itu, tentu kita pun hendak maki juga mereka, bukan?

Tetapi Allah ﷻ tidak benarkan. Maka baginda pun ada sedih juga apabila mendengar kata-kata kaumnya itu. Ini biasa kerana baginda juga manusia.

Para nabi dipelihara daripada dipengaruhi oleh syaitan dan bisikannya. Akan tetapi ada beza jikalau dikatakan para rasul itu boleh terganggu dengan bisikan-bisikan syaitan itu. Sebagai contoh, katakanlah kita sedang solat dan ada orang di sebelah kita yang buat bunyi yang pelik-pelik, maka tentulah kita pun terganggu juga bukan? Jadi gangguan itu mungkin terasa, tapi tidaklah teruk sangat.

Dan kerana itu Allah ﷻ mengajar kepada Nabi ﷺ untuk berdoa bagaimana untuk mempertahankan diri mereka. Dan walaupun mereka terpelihara daripada bisikan syaitan itu, Allah ﷻ tetap mengajar mereka untuk berdoa dan mereka terselamat daripada bisikan syaitan itu kerana mendapat perlindungan dari Allah ﷻ juga. Maka kita pun kena amalkan doa macam ini juga.

Rasulullah ﷺ sering mengucapkan doa berikut ini:

“أَعُوذُ بِاللهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ، مِنْ هَمْزه ونَفْخه ونَفْثه”

Aku berlindung kepada Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui dari setan yang terkutuk, iaitu dari godaan, bisikan, dan tiupannya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 23 Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Surah Mukminoon Ayat 83 – 89 (Musyrikin Mekah kenal Allah)

Ayat 83: Dalam ayat sebelum ini telah disebut bagaimana Musyrikin Mekah menolak kebangkitan semula. Kerana mereka kata, nanti sudah jadi tulang, takkan boleh hidup semula? Ini adalah sambungan hujah mereka.

لَقَد وُعِدنا نَحنُ وَءآباؤُنا هٰذا مِن قَبلُ إِن هٰذا إِلّا أَسٰطيرُ الأَوَّلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We have been promised this, we and our forefathers, before; this is not but legends of the former peoples.”

(MELAYU)

Sesungguhnya kami dan bapak-bapak kami telah diberi ancaman (dengan) ini dahulu, ini tidak lain hanyalah dongengan orang-orang dahulu kala!”.

 

لَقَد وُعِدنا نَحنُ وَءآباؤُنا هٰذا مِن قَبلُ

Sesungguhnya kami dan bapak-bapak kami telah diberi ancaman (dengan) ini dahulu,

Lihatlah bagaimana sebenarnya musyrikin Mekah itu mengaku yang mereka pernah dengar tentang kisah-kisah kebangkitan semula itu dari tok nenek mereka. Maknanya bukanlah mereka tidak pernah dengar. Mereka macam pernah dengar, tetapi mereka tidak mempercayainya langsung.

 

إِن هٰذا إِلّا أَسٰطيرُ الأَوَّلينَ

ini tidak lain hanyalah dongengan orang-orang dahulu kala!”.

Mereka mengatakan itu semua adalah kisah-kisah dongeng belaka yang tidak boleh dipercayai. Mereka anggap ia sebagai kisah dongeng sahaja yang hanya disebut orang dan tidak boleh dipercayai. Kalimah أَسٰطيرُ ini dari katadasar س ط ر yang menjadi ustur. Dari ustur diambil oleh orang Barat menjadi story iaitu cerita, kisah dan dongeng.


 

Ayat 84: Ayat dalil aqli iktirafi. Allah ﷻ suruh tanya kepada musyrikin Mekah itu beberapa soalan.

قُل لِّمَنِ الأَرضُ وَمَن فيها إِن كُنتُم تَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, [O Muḥammad], “To whom belongs the earth and whoever is in it, if you should know?”

(MELAYU)

Katakanlah: “Kepunyaan siapakah bumi ini, dan semua yang ada padanya, jika kamu mengetahui?”

 

Allah ﷻ suruh bertanya kepada mereka siapakah yang memiliki alam ini jika mereka mengetahui.

Soalan ini ditanya kepada mereka kerana Musyrikin Mekah itu manusia yang kenal agama. Mereka bukannya langsung tidak tahu apa-apa. Ada perkara agama juga yang mereka tahu. Kerana jangan lupa yang Nabi mereka dahulu adalah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail عليهما السلام. Jadi adalah pengetahuan yang sampai juga kepada mereka.


 

Ayat 85: Kalau ditanya soalan itu kepada mereka, tentu inilah jawapan orang Mekah itu.

سَيَقولونَ ِللهِ ۚ قُل أَفَلا تَذَكَّرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They will say, “To Allāh.” Say, “Then will you not remember?”

(MELAYU)

Mereka akan menjawab: “Kepunyaan Allah”. Katakanlah: “Maka apakah kamu tidak ingat?”

 

سَيَقولونَ ِللهِ

Mereka akan menjawab: “Kepunyaan Allah”.

Tentu mereka akan jawab yang bumi ini adalah milik Allah ﷻ. Ini kerana mereka memang kenal Allah ﷻ sebagai Pencipta dan Tuhan alam ini. Maka tentulah mereka akan jawab begini.

Mungkin ada yang hairan bagaimana Musyrikin Mekah boleh terima Allah ﷻ sebagai Tuhan pula. Bukankah mereka itu musyrik lagi kafir? Ini bukan perkara yang pelik. Musyrikin Mekah bukannya tidak terima Allah ﷻ sebagai Tuhan. Mereka memang kenal Allah ﷻ sebagai Pencipta. Akan tetapi mereka dipanggil ‘musyrikin’ kerana pada mereka, ada ilah lagi selain Allah ﷻ seperti Nabi, wali dan malaikat. Ini seperti yang disebut dalam ayat yang lain:

{مَا نَعْبُدُهُمْ إِلا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَى}

“Kami tidak menyembah mereka (berhala-berhala) melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah dengan sedekat-dekatnya.” (Az-Zumar: 3)

Malangnya, beginilah juga akidah kebanyakan masyarakat Islam di dunia. Mereka kenal Allah ﷻ sebagai Tuhan dan Nabi Muhammad  ﷺ sebagai Rasul, tetapi mereka ada fahaman salah tentang ilah dan tentang Allah ﷻ. Maka kalau diperhatikan, tidak banyak beza pun akidah masyarakat Arab Jahiliyah dengan masyarakat Islam sekarang. Iaitu mereka yang tidak kenal wahyu dan tidak belajar wahyu.

Maka lihatlah bagaimana Musyrikin Mekah sendiri mengatakan yang Allah ﷻ memang memiliki alam ini dan ini mengajar kita bahawa orang yang percaya kepada Allah ﷻ masih boleh menjadi kafir dan masih  boleh menjadi musyrik. Ini kerana ada salah faham dalam diri mereka tentang Allah ﷻ. Beginilah kalau jauh dari wahyu.

 

قُل أَفَلا تَذَكَّرونَ

Katakanlah: “Maka apakah kamu tidak ingat?”

Ini adalah ayat dalil i’tirafi. Maksudnya mereka sudah iktiraf sebahagian dari agama. Kerana memang mereka tahu yang Allah ﷻ pemilik alam ini. Maka kalau mereka sudah terima, maka tanya kepada mereka bagaimana mereka tidak boleh mengingati Allah ﷻ dan taat kepadaNya pula?

Nota: Musyrikin Mekah memang kenal nama Allah ﷻ. Maka mereka akan sebut nama Allah ﷻ kalau ditanya soalan ini. Tapi bagaimana dengan orang kafir yang lain?

Sebenarnya orang kafir lain seperti Buddha dan Hindu pun kenal Tuhan juga. Cuma mereka tidaklah sebut nama Allah ﷻ. Mereka akan sebut: ‘Tuhan yang satu’. Mereka tahu ada entiti yang menjadikan alam ini. Buddha dan dewa-dewa orang Hindu itu hanyalah wasilah sahaja untuk menyampaikan mereka kepada Tuhan yang satu itu.


 

Ayat 86: Soalan yang kedua pula. Tadi soalan tentang dunia, sekarang tentang alam langit pula.

قُل مَن رَّبُّ السَّمٰوٰتِ السَّبعِ وَرَبُّ العَرشِ العَظيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Who is Lord of the seven heavens and Lord of the Great Throne?”

(MELAYU)

Katakanlah: “Siapakah Yang Empunya langit yang tujuh dan Yang Empunya ‘Arsy yang besar?”

 

Tanya lagi kepada mereka: siapakah Rabb? Rabb maksudnya Allah ﷻ yang menjadikan dan memelihara alam ini. Maknanya semua perkara dalam alam ini Allah ﷻ yang jadikan dan Allah ﷻ yang mengurus. Dan Allah ﷻ mengurus alam ini dari ArashNya yang besar itu.


 

Ayat 87: Sekali lagi mereka akan iktiraf Allah ﷻ sebagai Rabb.

سَيَقولونَ ِلِلهِ ۚ قُل أَفَلا تَتَّقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They will say, “[They belong] to Allāh.” Say, “Then will you not fear Him?”

(MELAYU)

Mereka akan menjawab: “Kepunyaan Allah”. Katakanlah: “Maka apakah kamu tidak bertakwa?”

 

سَيَقولونَ ِلِلهِ ۚ

Mereka akan menjawab: “Kepunyaan Allah”. 

Mereka masih tetap menjawab yang Tuhan kepada alam ini adalah Allah ﷻ.

 

قُل أَفَلا تَتَّقونَ

Katakanlah: “Maka apakah kamu tidak bertakwa?”

Dan tanya kembali kepada mereka kalau begitu kenapa mereka tidak bertaqwa, iaitu melakukan sesuatu yang dapat menyelamatkan diri mereka? Kerana taqwa itu salah satu maksudnya adalah ‘takut’ (iaitu takut kepada Allah ﷻ dan azabNya). Kalau sudah takut, maka kenalah lakukan sesuatu untuk menyelamatkan diri dari perkara yang ditakuti itu.

Kalau takut dengan manusia atau binatang, kita akan lari, bukan? Tetapi dengan Allah ﷻ kita tidak lari dari Allah ﷻ, sebaliknya kita kena dekatkan diri kita dengan Allah ﷻ. Maka kenalah kenal Allah ﷻ supaya dapat dekatkan diri denganNya. Dan hendak kenal Allah ﷻ dari mana lagi kalau bukan dengan Qur’an?

Dan apabila sudah kenal Allah ﷻ maka kenalah kenal hukum Allah ﷻ. Apakah yang Allah ﷻ suruh dan larang? Maka kena belajar syariat Allah ﷻ kalau begitu. Dan kena mulakan dengan belajar tafsir Qur’an dan sunnah Nabi ﷺ dari hadis yang sahih.


 

Ayat 88: Soalan yang ketiga pula. Allah ﷻ suruh tanya lagi. Ini akan membongkar apa yang ada dalam hati mereka.

قُل مَن بِيَدِهِ مَلَكوتُ كُلِّ شَيءٍ وَهُوَ يُجيرُ وَلا يُجارُ عَلَيهِ إِن كُنتُم تَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “In whose hand is the realm of all things – and He protects while none can protect against Him – if you should know?”

(MELAYU)

Katakanlah: “Siapakah yang di tangan-Nya berada kekuasaan atas segala sesuatu sedang Dia melindungi, tetapi tidak ada yang dapat dilindungi dari (azab)-Nya, jika kamu mengetahui?”

 

قُل مَن بِيَدِهِ مَلَكوتُ كُلِّ شَيءٍ

Katakanlah: “Siapakah yang di tangan-Nya berada kekuasaan atas segala sesuatu

Kalimah مَلَكوتُ bermaksud kuasa mengurus dan mentadbir segala sesuatu. Alam langit dan bumi ini semua dalam kawalan Allah (dalam tangan Allah ﷻ).

 

وَهُوَ يُجيرُ وَلا يُجارُ عَلَيهِ

sedang Dia melindungi, tetapi tidak ada yang dapat dilindungi dari (azab)-Nya,

Kalimah يُجيرُ bermaksud ‘memberi perlindungan’. Allah ﷻ yang memberi perlindungan dan Allah ﷻ tidak memerlukan perlindungan.

Dan tidak ada sesiapa yang dapat melindungi dari Allah ﷻ. Apabila Allah ﷻ tangkap maka tidak ada sesiapa pun yang boleh melepaskan orang itu.

 

إِن كُنتُم تَعلَمونَ

jika kamu mengetahui?”

Cubalah jawab wahai Musyrikin Mekah kalau kamu mengetahui.

Jawablah wahai manusia kalau kamu ada ilmu.


 

Ayat 89: Maka inilah jawapan mereka.

سَيَقولونَ ِللهِ ۚ قُل فَأَنّىٰ تُسحَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They will say, “[All belongs] to Allāh.” Say, “Then how are you deluded?”

(MELAYU)

Mereka akan menjawab: “Kepunyaan Allah”. Katakanlah: “(Kalau demikian), maka dari jalan manakah kamu ditipu?”

 

سَيَقولونَ ِللهِ

Mereka akan menjawab: “Kepunyaan Allah”.

Sekali lagi mereka akan jawab dengan mengatakan Allah lah yang mempunyai kuasa penuh. Dan ini memberi isyarat bahawa mereka juga percaya kepada Allah ﷻ dan pada mereka, mereka sangka yang hanya percaya sahaja sudah cukup.

Begitulah, ada manusia yang tidak beramal ibadat dengan cara Islam, tapi mereka kata mereka ‘spiritual’ seolah-olah itu sudah cukup.

Dan ada juga orang Muslim sendiri yang menentang hukum Allah ﷻ contohnya tidak menutup aurat, tetapi bila kita tegur dia, dia jawab: “Apa kau ingat aku tak percaya Allah kah?! Dalam hati aku mana kau tahu!! “

Itu adalah alasan sahaja. Lihatlah bagaimana Musyrikin Mekah itu kenal Allah ﷻ dan mereka tidak menolak pun yang Allah ﷻ memiliki alam dan mengurus alam ini. Tetapi lihatlah mereka dipanggil ‘musyrik’ kerana kesalahan mereka.

 

قُل فَأَنّىٰ تُسحَرونَ

Katakanlah: “(Kalau demikian), maka dari jalan manakah kamu ditipu?”

Maka Allah ﷻ sendiri mengajar atau menyuruh Nabi Muhammad ﷺ bertanya kepada mereka: “Sudah tahu semua itu, tapi macam mana lagi kamu boleh tertipu? Kenapa senang sangat kamu kena tipu?”

Kalimah yang digunakan adalah تُسحَرونَ dari katadasar س ح ر yang darinya juga kalimah sihir dijadikan. Kerana kalau orang kena sihir, kadangkala salah satu cara adalah untuk mengelabui mata mangsa dimana mereka nampak perkara yang tiada atau bagi tidak nampak perkara yang ada. Maka itu maksudnya orang itu telah ditipu oleh syaitan sampai mereka tidak nampak mana kah kesalahan dan kesesatan mereka.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 23 Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Surah Mukminoon Ayat 75 – 82 (Musibah untuk rendahkan ego)

Ayat 75:

۞ وَلَو رَحِمنٰهُم وَكَشَفنا ما بِهِم مِّن ضُرٍّ لَّلَجّوا في طُغيٰنِهِم يَعمَهونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And even if We gave them mercy and removed what was upon them of affliction, they would persist in their transgression, wandering blindly.

(MELAYU)

Andaikata mereka Kami belas kasihani, dan Kami lenyapkan kemudharatan yang mereka alami, benar-benar mereka akan terus menerus terombang-ambing dalam keterlaluan mereka.

 

وَلَو رَحِمنٰهُم وَكَشَفنا ما بِهِم مِّن ضُرٍّ

Andaikata mereka Kami belas kasihani, dan Kami lenyapkan kemudharatan yang mereka alami,

Apabila para Rasul diutus kepada sesuatu kaum, dan mereka tolak dakwah baginda, selalunya akan ada musibah yang dikenakan kepada kaum itu. Ini diberikan kepada mereka supaya dapat merendahkan sedikit ego mereka. Supaya apabila para rasul itu berdakwah kepada mereka, mereka lebih mendengar kerana kalau mereka kaya raya dan senang lenang, memang susah untuk mereka menerima dakwah.

Memang Rasulullah ﷺ pernah mendoakan musibah ke atas kaum Quraisy ketika mereka membangkang iaitu:

“اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَيْهِمْ بِسَبْعٍ كَسَبْعِ يُوسُفَ”

Ya Allah, tolonglah aku dalam menghadapi mereka dengan (menimpakan) musim tujuh tahun kemarau seperti kemaraunya Nabi Yusuf (kepada mereka).

Rasulullah ﷺ berdoa begitu kepada Allah ﷻ supaya ego mereka berkurangan dan lembut hati mereka untuk menerima dakwah baginda. Dan memang sebelum itu pun, Allah ﷻ telah pernah menimpakan Musyrikin Mekah itu dengan bala. Ini seperti disebut di dalam satu hadis:

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ali ibnul Husain, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Hamzah Al-Marwazi, telah menceritakan kepada kami Ali ibnul Husain, telah menceritakan kepada kami ayahku, dari Yazid An-Nahwi, dari Ikrimah, dari Ibnu Abbas yang mengatakan bahawa Abu Sufyan datang kepada Rasulullah ﷺ lalu berkata, “Hai Muhammad, saya memohon kepadamu demi Allah dan demi pertalian persaudaraan, sesungguhnya kami telah memakan ‘alhaz (yakni bulu unta dan darah kerana kemarau yang berpanjangan).” Maka Allah سبحانه وتعالى menurunkan firman-Nya: Dan sesungguhnya Kami telah pernah menimpakan azab kepada mereka, maka mereka tidak tunduk. (Al Mu’minun: 76), hingga akhir ayat.

Allah ﷻ boleh sahaja mengangkat musibah itu. Tetapi adakah mereka akan mengambil pengajaran dari musibah-musibah itu?

 

لَّلَجّوا في طُغيٰنِهِم يَعمَهونَ

benar-benar mereka akan terus menerus terombang-ambing dalam keterlaluan mereka.

Tetapi Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa Musyrikin Mekah itu adalah puak yang paling teruk kerana jika segala mudarat itu diangkat daripada mereka sekalipun, mereka tetap tidak akan beriman. Allah ﷻ sudah tahu apa yang akan mereka lakukan. Seperti yang diungkapkan di dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَلَوْ عَلِمَ اللهُ فِيهِمْ خَيْرًا لأسْمَعَهُمْ وَلَوْ أَسْمَعَهُمْ لَتَوَلَّوْا وَهُمْ مُعْرِضُونَ}

Kalau sekiranya Allah mengetahui kebaikan pada mereka, tentulah Allah menjadikan mereka dapat mendengar. Dan jikalau Allah menjadikan mereka dapat mendengar, nescaya mereka pasti berpaling juga, sedangkan mereka memalingkan diri (dari apa yang mereka dengar itu). (Al-Anfal: 23)

Mereka akan tetap terus di dalam kesesatan mereka kerana hati mereka yang telah lama duduk di dalam kegelapan syirik dan mereka tidak mahu keluar darinya. Malahan mereka telah menentang kebenaran yang sampai kepada mereka. Kerana banyak kali mereka menentang, maka Allah ﷻ telah menutup pintu hati mereka dari menerima kebenaran.


 

Ayat 76:

وَلَقَد أَخَذنٰهُم بِالعَذابِ فَمَا استَكانوا لِرَبِّهِم وَما يَتَضَرَّعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We had gripped them with suffering [as a warning], but they did not yield to their Lord, nor did they humbly supplicate, [and will continue thus]

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Kami telah pernah menimpakan azab kepada mereka, maka mereka tidak tunduk kepada Tuhan mereka, dan (juga) tidak memohon (kepada-Nya) dengan merendahkan diri.

 

وَلَقَد أَخَذنٰهُم بِالعَذابِ

Dan sesungguhnya Kami telah pernah menimpakan azab kepada mereka,

Manusia yang engkar itu walaupun telah dikenakan dengan mudarat untuk merendahkan ego mereka, mereka tetap tidak  merendahkan diri kepada Allah ﷻ. Mereka tidak terkesan dengan musibah yang dikenakan kepada mereka, kerana mereka amat degil.

 

فَمَا استَكانوا لِرَبِّهِم

maka mereka tidak tunduk kepada Tuhan mereka, 

Badan mereka tidak mahu tunduk kepada Allah ﷻ. Hati mereka pun tidak mahu tunduk kepada Allah.

 

وَما يَتَضَرَّعونَ

dan (juga) tidak memohon (kepada-Nya) dengan merendahkan diri.

Ia bermaksud hati mereka tidak mahu  tunduk berdoa kepada Allah ﷻ. Ini sebagaimana disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{فَلَوْلا إِذْ جَاءَهُمْ بَأْسُنَا تَضَرَّعُوا وَلَكِنْ قَسَتْ قُلُوبُهُمْ وَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيْطَانُ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ}

Maka mengapa mereka tidak memohon (kepada Allah) dengan tunduk merendahkan diri ketika datang seksaan Kami kepada mereka, bahkan hati mereka telah menjadi keras. (Al-An’am: 43), hingga akhir ayat.

Ayat ini juga mengajar kita yang apabila kita berdoa, kita berdoa dengan hati yang tunduk berharap kepada Allah ﷻ. Kena merendahkan diri kepada Allah ﷻ kerana kita amat berharap kepada pemberian dari Allah ﷻ. Maka jangan sombong. Jangan meminta kepada Allah ﷻ seperti kita memesan (order) makanan di kedai makan pula. Kena kenal lah siapa diri kita.


 

Ayat 77: Mereka tidak mahu merendahkan diri kepada Allah ﷻ sampai bila? Adakah sampai bila-bila?

حَتّىٰ إِذا فَتَحنا عَلَيهِم بابًا ذا عَذابٍ شَديدٍ إِذا هُم فيهِ مُبلِسونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Until when We have opened before them a door of severe punishment, immediately they will be therein in despair.

(MELAYU)

Hingga apabila Kami bukakan untuk mereka suatu pintu tempat azab yang amat sangat (di waktu itulah) tiba-tiba mereka menjadi putus asa.

 

حَتّىٰ إِذا فَتَحنا عَلَيهِم بابًا ذا عَذابٍ شَديدٍ

Hingga apabila Kami bukakan untuk mereka suatu pintu tempat azab yang amat sangat 

Apabila mereka tidak merendahkan diri kepada Allah ﷻ, maka Allah ﷻ akan mengenakan azab yang lagi teruk kepada mereka. Seperti contohnya Perang Badar di mana mereka mengalami kekalahan yang teruk.

 

إِذا هُم فيهِ مُبلِسونَ

tiba-tiba mereka menjadi putus asa.

Apabila itu berlaku, waktu itu mereka rasa tidak ada harapan lagi dan mereka akan rasa putus asa. Mereka telah habis ikhtiar. Oleh kerana mereka sombong sangat maka mereka dikenakan dengan balasan itu.


 

Ayat 78: Sekarang kita masuk ke bahagian kedua surah ini. Bahagian ini memberikan dalil menolak syirik amali. Allah ﷻ memulakan dengan memberi Dalil Aqli kepada kita supaya kita yakin yang kita kena sembah dan berdoa kepada Allah ﷻ sahaja.

Dari ayat ini sehingga ke ayat 92 adalah Perenggan Makro Ketujuh. Ia mengandungi dalil Tauhid dan hari akhirat.

وَهُوَ الَّذي أَنشَأَ لَكُمُ السَّمعَ وَالأَبصٰرَ وَالأَفئِدَةَ ۚ قَليلًا مّا تَشكُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And it is He who produced for you hearing and vision and hearts [i.e., intellect]; little are you grateful.

(MELAYU)

Dan Dialah yang telah menciptakan bagi kamu sekalian, pendengaran, penglihatan dan hati. Amat sedikitlah kamu bersyukur.

 

وَهُوَ الَّذي أَنشَأَ لَكُمُ السَّمعَ وَالأَبصٰرَ وَالأَفئِدَةَ

Dan Dialah yang telah menciptakan bagi kamu sekalian, pendengaran, penglihatan dan hati.

Allah ﷻ memberitahu yang Dia telah memberi segala keperluan kepada manusia untuk mengenal agama ini. Untuk kenal Dia, Allah ﷻ telah memberi segala pancaindera dan intelek. Semua keperluan Allah ﷻ telah berikan tetapi kebanyakan manusia masih tidak mahu menerima kebenaran.

Maka ini mengajar kita bahawa tidak ada alasan di akhirat kelak untuk mengatakan kita tidak kenal Allah ﷻ kerana Allah ﷻ telah memberikan segala keperluan untuk mengenalNya. Maka kalau ada yang berkata mereka tidak tahu, itu adalah salah mereka sendiri kerana tidak belajar.

Segala peluang sudah ada diberikan kepada manusia. Tambahan pula amat mudah untuk belajar agama sekarang. Guru Sunnah sudah ramai, penulisan sudah banyak, senang hendak berhubung untuk berbincang, hendak belajar di YouTube pun boleh. Maka apa alasan lagi? Melainkan sombong tidak mahu belajar sahaja. Salah siapa jika begitu?

Dan kalau ada yang berkata, mereka ikut sahaja kebanyakan orang, mereka ikut apa yang dikatakan oleh ustaz kampung mereka, mufti negeri mereka, amalan tok nenek, majoriti dari amalan masyarakat, maka akan ditanya nanti: bukankah kamu telah diberikan dengan akal, kenapa kamu tidak gunakan? Kenapa kamu ikut sahaja tanpa usul periksa?

 

قَليلًا مّا تَشكُرونَ

Amat sedikitlah kamu bersyukur.

Maka memang benarlah yang ramai dari kalangan manusia tidak bersyukur dengan pemberian yang Allah ﷻ telah berikan. Kerana kalau bersyukur dengan pemberian pancaindera dan intelek yang Allah ﷻ telah berikan, maka kenalah gunakan untuk kebaikan. Janganlah gunakan pancaindera itu untuk keburukan dan gunakan intelek itu untuk kerosakan pula.


 

Ayat 79:

وَهُوَ الَّذي ذَرَأَكُم فِي الأَرضِ وَإِلَيهِ تُحشَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And it is He who has multiplied you throughout the earth, and to Him you will be gathered.

(MELAYU)

Dan Dialah yang mengembang biakkan kamu di bumi ini dan kepada-Nya-lah kamu akan dihimpunkan.

 

وَهُوَ الَّذي ذَرَأَكُم فِي الأَرضِ

Dan Dialah yang mengembang biakkan kamu di bumi ini

Allah ﷻ telah mengembang biakkan manusia di atas muka bumi ini dan Allah ﷻ juga mengingatkan mereka yang kita semua akan dikumpulkan untuk menemui-Nya nanti.

 

وَإِلَيهِ تُحشَرونَ

dan kepada-Nya-lah kamu akan dihimpunkan.

Memang Allah ﷻ yang menghidupkan manusia tetapi Allah ﷻ jugalah nanti yang akan mematikan manusia. Kemudian, semua makhluk akan dibangkitkan di Mahsyar dan semua amalan manusia dan jin akan ditimbang.

Mereka yang mempunyai timbangan amal yang ringan, sebenarnya adalah orang yang rugi kerana mereka tidak mengambil peluang semasa mereka di dunia untuk melakukan amal kebaikan.


 

Ayat 80: Dalil aqli.

وَهُوَ الَّذي يُحيي وَيُميتُ وَلَهُ اختِلٰفُ اللَّيلِ وَالنَّهارِ ۚ أَفَلا تَعقِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And it is He who gives life and causes death, and His is the alternation of the night and the day. Then will you not reason?

(MELAYU)

Dan Dialah yang menghidupkan dan mematikan, dan Dialah yang (mengatur) pertukaran malam dan siang. Maka apakah kamu tidak memahaminya?

 

وَهُوَ الَّذي يُحيي وَيُميتُ

Dan Dialah yang menghidupkan dan mematikan,

Allah ﷻ memberitahu tentang QudratNya dimana yang menghidupkan dan mematikan hanyalah Dia ﷻ. Tidak ada yang lain. Maka kenalah menghambakan diri kepadaNya sahaja.

 

وَلَهُ اختِلٰفُ اللَّيلِ وَالنَّهارِ

dan Dialah yang (mengatur) pertukaran malam dan siang. 

Dan hanyalah Allah ﷻ sahaja yang mengawal alam ini. Allah ﷻ lah yang menjadikan siang dan malam itu. Siang dan malam itu tidak terjadi dengan sendiri tetapi ianya adalah di atas kudrat Allah ﷻ.

 

أَفَلا تَعقِلونَ

Maka apakah kamu tidak memahaminya?

Maka kenapakah kamu tidak memikirkan, wahai orang-orang kafir dan degil? Kenapa kamu tidak menggunakan akal? Kalau Allah ﷻ sahaja yang Maha Berkuasa menentukan segala-galanya, maka kenapa kamu tidak mahu ingin tahu apa yang Allah ﷻ hendak dan kamu penuhi kehendak Allah ﷻ itu?


 

Ayat 81: Ayat syikayah

بَل قالوا مِثلَ ما قالَ الأَوَّلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Rather,¹ they say like what the former peoples said.

  • Instead of understanding or reasoning.

(MELAYU)

Sebenarnya mereka mengucapkan perkataan yang serupa dengan perkataan yang diucapkan oleh orang-orang dahulu kala.

Ramai yang tidak mengambil perhatian dengan apa yang disampaikan oleh Rasul. Musyrikin Mekah menentang Allah ﷻ sebagaimana yang dilakukan kebanyakan manusia.

Tidaklah menghairankan apa yang dikatakan oleh Musyrikin Mekah itu kepada Nabi Muhammad ﷺ kerana perkataan mereka itu telah di ulang-ulang oleh puak-puak yang terdahulu lagi. Dan kalau kaum  yang terdahulu itu telah dimusnahkan kerana kesalahan mereka, maka Allah ﷻ memberi isyarat bahawa jikalau Musyrikin Mekah itu juga berkata begitu, maka mereka pun akan dikenakan dengan nasib yang sama juga.

Kata-kata penolakan manusia ini sama sahaja zaman berzaman.


 

Ayat 82: Apakah kata-kata mereka? Sekarang Allah berikan ayat syikayah iaitu memberitahu apakah kata-kata mereka.

قالوا أَإِذا مِتنا وَكُنّا تُرابًا وَعِظٰمًا أَءِنّا لَمَبعوثونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “When we have died and become dust and bones, are we indeed to be resurrected?

(MELAYU)

Mereka berkata: “Apakah betul, apabila kami telah mati dan kami telah menjadi tanah dan tulang belulang, apakah sesungguhnya kami benar-benar akan dibangkitkan?

 

قالوا أَإِذا مِتنا وَكُنّا تُرابًا وَعِظٰمًا

Mereka berkata: “Apakah betul, apabila kami telah mati dan kami telah menjadi tanah dan tulang belulang,

Mereka tanya dalam nada mengejek. Semua mereka tahu yang mereka akan mati dan akan hancur dalam tanah dan tinggal tulang belulang sahaja. Pada mereka, kalau sudah macam itu, memang akan hancurlah takkan hidup lagi.

 

أَءِنّا لَمَبعوثونَ

apakah sesungguhnya kami benar-benar akan dibangkitkan?

Pada mereka jika sudah hancur macam itu, takkan boleh hidup semula sampai bila-bila. Begitulah logik akal mereka: bagaimana boleh ada kebangkitan semula?  Tidak pernah dalam sejarah mereka jumpa orang mati hidup balik.

Jadi kata-kata penolakan ini telah diulang-ulang dari kalimah-kalimah umat yang terdahulu. Musyrikin Mekah ulang semula dan umat kemudian pun akan ulang perkara yang sama.

Kata-kata ini akan menjadi penyesalan untuk mereka. Apabila mereka tidak percaya ada kebangkitan semula, maka tentulah mereka tidak bersedia untuknya. Mereka akan hidup di dunia ini seolah-olah hidup ini sekali ini sahaja. Maka begitulah cara hidup manusia sekarang. Malangnya mereka yang mengaku Muslim pun hidup macam itu juga.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 23 Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Surah Mukminoon Ayat 68 – 74 (Ikut nafsu binasa)

Ayat 68: Ayat zajrun. Jika hendak menolak sesuatu pun kenalah fikirkan dahulu dan dengarlah apa yang disampaikan dahulu. Kalau sesuatu itu munasabah dan boleh diterima oleh akal, takkan kita hendak terus tolak begitu sahaja?

Tambahan pula Qur’an ini disampaikan oleh Rasulullah ﷺ dan mereka pun kenal yang baginda itu tidak pernah menipu.

أَفَلَم يَدَّبَّرُوا القَولَ أَم جاءَهُم مّا لَم يَأتِ آباءَهُمُ الأَوَّلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then have they not reflected over the word [i.e., the Qur’ān], or has there come to them that which had not come to their forefathers?

(MELAYU)

Maka apakah mereka tidak memperhatikan perkataan (Kami), atau apakah telah datang kepada mereka apa yang tidak pernah datang kepada nenek moyang mereka dahulu?

 

أَفَلَم يَدَّبَّرُوا القَولَ

Maka apakah mereka tidak memperhatikan perkataan (Kami),

Tidakkah mereka memikirkan tentang kalimah-kalimah di dalam Qur’an itu yang diberikan kepada mereka di dalam bentuk القَولَ (percakapan)? Ini kerana Qur’an itu bukannya asal diturunkan dalam bentuk kitab tetapi disampaikan melalui lisan. Dan apabila kita membaca Qur’an pun, ianya indah dalam bentuk percakapan.

Kalaulah mereka hendak menolak Qur’an itu pun sekurang-kurangnya gunakanlah akal dan hati mereka dahulu untuk memikirkan apakah yang disampaikan oleh Qur’an itu.

 

أَم جاءَهُم مّا لَم يَأتِ آباءَهُمُ الأَوَّلينَ

atau apakah telah datang kepada mereka apa yang tidak pernah datang kepada nenek moyang mereka dahulu?

Atau adakah mereka tolak Qur’an itu hanya kerana ia tidak pernah diberikan kepada bapa-bapa dan tok nenek mereka, sampaikan mereka rasa ianya salah? Adakah apabila datang benda baharu sahaja, mereka terus hendak tolak?

Ini macam orang kita juga, apabila kita sampaikan ajaran tauhid dan sunnah kepada mereka, mereka jawab: “Eh, tok nenek kita tak cakap pun macam kau cakap ni…”

Tetapi sebenarnya apa yang disampaikan oleh Qur’an ini bukanlah perkara baharu kerana ianya telah ada di dalam ajaran rasul-rasul yang terdahulu seperti Nabi Ibrahim dan juga Nabi Ismail عليهما السلام. Dan mereka juga kenal dan pernah mendengar tentang kitab Taurat dan Kitab Injil.

Dan apa yang kita sampaikan kepada masyarakat sekarang pun bukannya benda baharu – memang ada di dalam Qur’an dan hadis pun. Tetapi oleh kerana mereka tidak pernah mendengar sebab tidak pernah diajarkan kepada mereka, jadi perkara yang disebut di dalam Qur’an pun mereka kata ianya ajaran baharu.


 

Ayat 69: Allah ﷻ menegur lagi mereka yang menolak ajaran tauhid ini.

أَم لَم يَعرِفوا رَسولَهُم فَهُم لَهُ مُنكِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or did they not know their Messenger, so they are toward him disacknowledging?

(MELAYU)

Atau kah mereka tidak mengenal rasul mereka, kerana itu mereka memungkirinya?

 

أَم لَم يَعرِفوا رَسولَهُم

Atau kah mereka tidak mengenal rasul mereka,

Adakah mereka tidak kenal Nabi Muhammad ﷺ itu yang mereka membesar dengannya dan mereka kenal sifat-sifat baginda yang baik itu?

 

فَهُم لَهُ مُنكِرونَ

kerana itu mereka memungkirinya?

Adakah patut orang sebaik itu mereka tolak? Mereka kenal Nabi Muhammad ﷺ itu seorang yang baik dan tidak pernah menipu tetapi apabila datang kepada mereka ayat-ayat Qur’an disampaikan oleh Nabi ﷺ itu mereka sanggup menolaknya dari baginda seolah-olah baginda ﷺ itu seorang penipu?

Padahal dahulu mereka memberi gelaran Al-Amin (yang dipercayai) kepada Nabi Muhammad ﷺ. Maka baginda adalah seorang tokoh Mekah di mana orang tua-tua pun hormat kepada baginda kerana baginda tidak pernah menipu.

Dan mereka pun tahu bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu tidak pernah ada salah pada diri baginda. Orang macam inikah yang mereka tolak begitu sahaja? Memang tidak patut.


 

Ayat 70: Dari ayat ini sehingga ke ayat 77 adalah Perenggan Makro Keenam. Ia mengandungi jawapan kepada penentang Rasulullah.

Ayat 70 ini adalah ayat syikayah.

أَم يَقولونَ بِهِ جِنَّةٌ ۚ بَل جاءَهُم بِالحَقِّ وَأَكثَرُهُم لِلحَقِّ كٰرِهونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or do they say, “In him is madness”? Rather, he brought them the truth, but most of them, to the truth, are averse.

(MELAYU)

Atau (apakah patut) mereka berkata: “Padanya (Muhammad) ada penyakit gila”. Sebenarnya dia telah membawa kebenaran kepada mereka, dan kebanyakan mereka benci kepada kebenaran itu.

 

أَم يَقولونَ بِهِ جِنَّةٌ

Atau (apakah patut) mereka berkata: “Padanya (Muhammad) ada penyakit gila”.

Dan alangkah teruknya mereka apabila mereka menuduh yang Nabi Muhammad ﷺ itu disampuk oleh jin. Oleh itu mereka kata Nabi Muhammad ﷺ itu telah terkena penyakit gila kerana bercakap tentang tauhid. Mereka tidak boleh terima jadi terus menuduh sebegitu.

 

بَل جاءَهُم بِالحَقِّ

Sebenarnya dia telah membawa kebenaran kepada mereka,

Itu tidak benar sama sekali. Ini adalah jawab syikayah mereka itu. Tidak patut sekali mereka menolak baginda sedangkan apa yang dibawa oleh baginda itu adalah kebenaran daripada Allah ﷻ.

 

وَأَكثَرُهُم لِلحَقِّ كٰرِهونَ

dan kebanyakan mereka benci kepada kebenaran itu.

Mereka itu memang orang-orang yang tidak suka kepada kebenaran dan benci kepada kebenaran. Kadang-kadang kebenaran itu telah jelas dalam diri mereka tetapi mereka sanggup menolaknya kerana mereka tidak sanggup mengubah cara hidup mereka yang mereka telah biasa dengannya.

Atau mereka menolak kerana ia akan menjejaskan kedudukan mereka di dalam masyarakat. Atau mereka rasa ia akan menyebabkan mereka rugi dalam hal dunia.


 

Ayat 71:

وَلَوِ اتَّبَعَ الحَقُّ أَهواءَهُم لَفَسَدَتِ السَّمٰوٰتُ وَالأَرضُ وَمَن فيهِنَّ ۚ بَل أَتَينٰهُم بِذِكرِهِم فَهُم عَن ذِكرِهِم مُّعرِضونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But if the Truth [i.e., Allāh] had followed their inclinations, the heavens and the earth and whoever is in them would have been ruined. Rather, We have brought them their message,¹ but they, from their message, are turning away.

  • Or “reminder.”

(MELAYU)

Andaikata kebenaran itu menuruti hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi ini, dan semua yang ada di dalamnya. Sebenarnya Kami telah mendatangkan kepada mereka peringatan (Al Qur’an) mereka tetapi mereka berpaling.

 

وَلَوِ اتَّبَعَ الحَقُّ أَهواءَهُم

Andaikata kebenaran itu menuruti hawa nafsu mereka,

Manusia ramai yang hendak mengikut apa yang mereka rasa baik. Mereka bukannya hendak mengikut agama. Mereka buat apa yang hati mereka kata “OK” sahaja. Macam ada pakar psikologi suruh pesakit mereka: “ikut apa hati mereka kata”. Mereka berkata “yang penting adalah buat apa sahaja keinginan hati itu”.

Ini adalah salah kerana itu adalah hawa nafsu. Keinginan manusia berbagai-bagai dan ada yang boleh menyebabkan kehancuran dunia ini. Maka hawa nafsu itu tidak boleh diikuti kehendaknya kalau ia bertentangan dengan wahyu. Maka kenalah tahu apakah kehendak wahyu itu terlebih dahulu.

 

لَفَسَدَتِ السَّمٰوٰتُ وَالأَرضُ وَمَن فيهِنَّ

pasti binasalah langit dan bumi ini, dan semua yang ada di dalamnya. 

Maka kalaulah hendak diikuti hawa nafsu, maka akan rosaklah dunia ini. Hawa nafsu bukannya boleh dijadikan sebagai sandaran.

 

بَل أَتَينٰهُم بِذِكرِهِم

Sebenarnya Kami telah mendatangkan kepada mereka peringatan

Janganlah begitu. Allah ﷻ tekankan yang apa yang disampaikan dalam wahyu ini adalah peringatan yang baik. Maka kalau mahu jadi baik, kenalah ikut. Kalau mahu selamat dunia akhirat, kenalah ikut ajaran wahyu ini.

 

فَهُم عَن ذِكرِهِم مُّعرِضونَ

tetapi mereka berpaling dari peringatan itu.

Tetapi apa yang diberi kepada mereka itu mereka tidak terima. Padahal pengajaran dari Qur’an itu sesuai buat mereka.

Kalimah ذِكرِهِم juga boleh ditafsirkan sebagai ‘kebanggaan mereka’ iaitu sesuatu yang dapat meninggikan dan memuliakan nama mereka. Kerana kalau mereka terima ajaran itu, maka akan terkenal lah mereka dan dikenang sebagai orang yang mula-mula menerima wahyu.

Sebagaimana nama-nama para sahabat dikenang sampai sekarang dengan harumnya. Mereka terus didoakan dengan kebaikan yang berpanjangan zaman berzaman. Tetapi kerana Musyrikin Mekah itu menolak, maka mereka dikenang sampai bila-bila sebagai ‘Musyrikin Mekah’ dan dikutuk sampai bila-bila.


 

Ayat 72: Ayat zajrun.

أَم تَسئلُهُم خَرجًا فَخَراجُ رَبِّكَ خَيرٌ ۖ وَهُوَ خَيرُ الرّٰزِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or do you, [O Muḥammad], ask them for payment? But the reward of your Lord is best, and He is the best of providers.

(MELAYU)

Atau kamu meminta upah kepada mereka?”, maka upah dari Tuhanmu adalah lebih baik, dan Dia adalah Pemberi rezeki Yang Paling Baik.

 

أَم تَسئلُهُم خَرجًا

Atau kamu meminta upah kepada mereka?”,

Kalimah خَرجًا dari katadasar خ ر ج yang bermaksud ‘keluar’. Digunakan untuk ‘upah’ juga kerana upah itu dikeluarkan untuk membuat bayaran.

Allah ﷻ bertanya kepada Rasulullah ﷺ, adakah baginda meminta upah dari mereka? Adakah baginda hendak menjadi kaya atas ajaran agama ini?

Tentu tidak. Baginda memberi ajaran itu percuma sahaja. Maka begitulah apabila kita mengajar, kita tidak boleh meminta upah. Yang mengajar kena bagi ajaran percuma kerana kalau kena dibayar upah, maka bagaimana orang miskin hendak belajar?

Maka banyak sekali ayat-ayat di dalam Qur’an yang memberi isyarat bahawa tidak boleh meminta upah di dalam dakwah dan mengajar agama. Seperti contohnya:

{قُلْ لَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا إِلا الْمَوَدَّةَ فِي الْقُرْبَى}

Katakanlah, “Aku tidak meminta kepada kalian suatu upah pun atas seruanku kecuali kasih sayang dalam kekeluargaan.” (Asy-Syura: 23)

Dan firman Allah ﷻ:

{وَجَاءَ مِنْ أَقْصَى الْمَدِينَةِ رَجُلٌ يَسْعَى قَالَ يَا قَوْمِ اتَّبِعُوا الْمُرْسَلِينَ اتَّبِعُوا مَنْ لَا يَسْأَلُكُمْ أَجْرًا وَهُمْ مُهْتَدُونَ}

Dan datanglah dari hujung kota seorang laki-laki (Habib An-Najjar) dengan bergegas-gegas ia berkata, “Hai kaumku, ikuti­lah utusan-utusan itu, ikutilah orang yang tiada minta balasan kepada kalian.” (Yasin: 20-21)

 

فَخَراجُ رَبِّكَ خَيرٌ

maka upah dari Tuhanmu adalah lebih baik, 

Kita pun tahu yang Nabi Muhammad ﷺ tidak pernah meminta upah. Maka apakah yang Allah ﷻ ‘tegur’ baginda di dalam ayat ini?

Yang baginda ﷺ selalu harapkan adalah supaya golongan pemuka masyarakat baginda dapat masuk ke dalam agama Islam. Kerana baginda rasa, apabila mereka sudah masuk, maka akan ramailah lagi yang akan masuk Islam. Ini kerana masyarakat selalunya akan mengikut perbuatan pemimpin mereka. Maka kerana itulah baginda selalu berharap dan berdoa mereka masuk Islam. Dan baginda ada tumpukan dakwah kepada mereka.

Jadi Allah ﷻ memberitahu kepada baginda, jangan berharap orang-orang kaya akan masuk ke dalam Islam kerana menyangka jika mereka masuk Islam, maka akan lebih mudah Islam ini hendak dikembangkan. Bukan tidak boleh berdakwah kepada mereka, tetapi jangan berharap sangat sampai nampak terkinja-kinja berharap kepada mereka. Ini ada disentuh di dalam Surah Abasa juga.

 

وَهُوَ خَيرُ الرّٰزِقينَ

dan Dia adalah Pemberi rezeki Yang Paling Baik.

Allah ﷻ lah yang tahu siapakah yang patut mendapat pengajaran agama ini. Rezeki itu bukan sahaja di dalam bentuk wang tetapi di dalam bentuk hidayah juga.

Allah ﷻ tahu siapakah yang layak mendapat hidayah. Mungkin Rasulullah ﷺ ada sangkaan siapakah yang bagus kalau dapat hidayah itu, tetapi Allah ﷻ  berkata, serahkan sahaja kepadaNya.


 

Ayat 73:

وَإِنَّكَ لَتَدعوهُم إِلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, you invite them to a straight path.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya kamu benar-benar menyeru mereka kepada jalan yang lurus.

 

Kamu tidak ada apa-apa lagi yang dikehendaki dari mereka seperti upah dan sebagainya melainkan hanya untuk menyampaikan ajaran ke jalan yang lurus.

Walaupun ramai yang tidak terima dakwah daripada Nabi ﷺ tetapi Allah ﷻ  ingatkan kepada baginda bahawa baginda sebenarnya mengajak kepada kebenaran. Maka janganlah baginda risau.

Ini kerana apabila baginda ditolak dengan teruk sekali, maka risaulah hati baginda. Baginda takut kalau ada kesilapan baginda dalam berdakwah. Maka Allah ﷻ  tenangkan hati baginda: jangan risau, kamu memang sudah mengajak mereka ke jalan yang lurus. Teruskan sahaja dakwah kamu. Tentang siapa masuk Islam dan siapa tidak, maka serahkan kepada Allah ﷻ.


 

Ayat 74:

وَإِنَّ الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِالآخِرَةِ عَنِ الصِّرٰطِ لَنٰكِبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But indeed, those who do not believe in the Hereafter are deviating from the path.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada negeri akhirat benar-benar menyimpang dari jalan (yang lurus).

 

وَإِنَّ الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِالآخِرَةِ

Dan sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada negeri akhirat

Walaupun telah disampaikan ajaran wahyu yang benar, tetapi memang akan ada sahaja yang menolak untuk menerimanya. Mereka yang menolak itu kerana tidak beriman dengan hari akhirat. Mereka tidak takut membawa ajaran dan amalan yang salah ke akhirat nanti.

Mereka sangka mereka sudah selamat. Ini adalah kerana mereka tidak tahu tentang akhirat dengan sebenarnya. Mereka menyangka mereka dapat melepaskan diri.

عَنِ الصِّرٰطِ لَنٰكِبونَ

benar-benar menyimpang dari jalan (yang lurus).

Kalimah لَنٰكِبونَ dari kalimah ن ك ب yang bermaksud ‘merendahkan kepala dan berlalu pergi’.  Ini juga kadangkala terjadi kepada kita. Apabila kita mengajak orang lain berbincang tentang hari akhirat, ada yang tidak mahu mendengar dan akan tukar topik kepada benda yang lain. Ini kerana mereka tidak memikirkan tentang akhirat dan mereka tidak mementingkan persediaan kepada akhirat itu dan kerana itu mereka malas dan tidak suka mendengar.

Mereka mahu hati senang sahaja. Pada mereka, buat apa hendak difikirkan tentang akhirat, bukankah jauh lagi? Mereka tidak mahu serabutkan kepala otak mereka. Maka mereka terus dilambung oleh keduniaan.  Mereka berasa macam lama sahaja mereka akan hidup lagi. Padahal mereka tidak tahu, kematian itu boleh terjadi pada bila-bila masa sahaja.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 24 Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an