Tafsir Surah Yusuf Ayat 99 (Keluarga sampai ke Mesir)

MIMPI NABI YUSUF عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ MENJADI KENYATAAN

Yusuf Ayat 99: Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam Al-Qur’an adalah antara naratif yang paling kita kenali dan sayangi. Namun, di sebalik plot yang mungkin sudah kita hafal, tersembunyi sebuah perincian kecil yang sering terlepas pandang—satu teka-teki yang apabila dirungkai, membuka pintu kepada lautan makna.

Persoalan itu timbul dalam ayat ini, apabila Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akhirnya bertemu semula dengan keluarganya. Al-Qur’an merakamkan bahawa baginda terus menarik “kedua ibu bapanya” (أَبَوَيْهِ) ke dalam pelukan. Di sinilah letaknya kejanggalan itu: menurut riwayat yang masyhur, ibu kandung Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Rahil (Rachel), telah lama wafat. Jadi, siapakah “ibu” yang dipeluknya? Perincian ini memaksa kita untuk berhenti dan bertanya. Mari kita selami pengajaran luar biasa yang terungkap daripada satu persoalan yang kelihatannya remeh ini.

فَلَمَّا دَخَلُواْ عَلَىٰ يُوسُفَ ءَاوَىٰٓ إِلَيهِ أَبَوَيهِ وَقَالَ ٱدخُلُواْ مِصرَ إِن شَآءَ ٱللَّهُ ءَامِنِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when they entered upon Joseph, he took his parents to himself [i.e., embraced them] and said, “Enter Egypt, Allāh willing, safe [and secure].”

(MALAY)

Maka tatkala mereka masuk ke (tempat) Yusuf: Yusuf merangkul ibu bapanya dan dia berkata: “Masuklah kamu ke negeri Mesir, insya Allah dalam keadaan aman”.

 

فَلَمّا دَخَلوا عَلىٰ يوسُفَ

Maka tatkala mereka masuk ke (tempat) Yusuf:

Sebelum ini Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah mengarahkan abang-abangnya itu untuk membawa semua keluarga mereka ke Mesir. Maka sekarang adalah babak di mana semuanya sudah tiba dan bertemu untuk menghadap baginda. Kedua ibu bapa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, adik-beradik baginda serta keluarga baginda semua sekali berada di istananya di Mesir.

Inilah titik permulaan bagi Bani Israil berada di Mesir. Kerana itulah nanti apabila Firaun berkuasa (setelah ratusan tahun), bangsa Qibti menindas dan menghambakan Bani Israil kerana Bani Israil dianggap sebagai bangsa pendatang ke Mesir dan kedudukan mereka rendah jika dibandingkan dengan bangsa Qibti. Namun, ketika mereka datang pada zaman Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini, mereka dihormati kerana masih ada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam kalangan mereka.

 

ءَاوَىٰٓ إِلَيهِ أَبَوَيهِ

Yusuf merangkul ibu bapanya

Apabila Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ nampak bapa dan ibunya, baginda telah menarik mereka kepadanya dan memeluk mereka dengan mesra dan tanda hormat. Bayangkan berapa lama mereka tidak berjumpa. Tentu rasa rindu yang teramat sangat, bukan? Kalimah “ءَاوَىٰٓ” (dibaca: āwā) berasal daripada akar kata “أوى” yang bermakna “berlindung”, “menyandar”, “menumpang”, atau “menjadikan tempat tinggal”. Dalam konteks Al-Qur’an dan bahasa Arab klasik, kata ini digunakan untuk menunjukkan makna “melindungi”, “menampung”, “menyediakan tempat tinggal”, atau “mengumpulkan ke suatu tempat yang aman”. Penggunaan kalimah ini menunjukkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sangat merindui bapanya dan tidak sabar untuk merangkulnya.

Yang menjadi perbincangan adalah kalimah أَبَوَيهِ yang bermaksud kedua ibu bapanya. Ini adalah kali kedua ibu disebut setelah hanya disebut sepintas lalu di dalam Ayat 4,

إِذ قالَ يوسُفُ لِأَبيهِ يٰأَبَتِ إِنّي رَأَيتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوكَبًا وَالشَّمسَ وَالقَمَرَ رَأَيتُهُم لي سٰجِدينَ
(Ingatlah), ketika Yusuf berkata kepada ayahnya: “Wahai ayahku, sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan; kulihat semuanya sujud kepadaku”.

Kalimah وَالشَّمسَ وَالقَمَرَ di dalam ayat itu merujuk kepada ibu dan bapa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Akan tetapi selepas ayat itu, tidak langsung ada disebut tentang ibunya sehinggalah sekarang. Kenapa ibu tidak disebut, sedangkan kalau anak hilang, tentulah ibu lagi meroyan, bukan? Namun, kita tidak diberitahu tentang hal itu. Kenapa ibunya tidak disebut? Kalau sebelum ini tidak pernah disebut, jadi apa pentingnya disebut kali ini? Inilah persoalan yang boleh ditimbulkan dan untuk kita perhatikan.

Sebenarnya ada pendapat yang kuat mengatakan ibu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah wafat dan ibu yang datang kepada baginda adalah ibu tiri baginda iaitu adik kepada ibunya sendiri. Terdapat dua pendapat utama dalam hal ini:

1. Pendapat Pertama: Ibu Kandungnya Masih Hidup

Pendapat ini dipegang oleh sebahagian besar ahli tafsir (termasuk Imam al-Hasan dan Ibnu Ishaq). Mereka berhujah berdasarkan zahir ayat Al-Qur’an yang kita sedang bincangkan ini. Hujah mereka:

  • Perkataan أَبَوَيْهِ dalam bahasa Arab secara literal bermaksud “kedua ibu bapanya” (ayah dan ibu).

  • Oleh itu, ibu kandung Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang bernama Rahil (Rachel) dianggap masih hidup dan turut serta berhijrah ke Mesir.

2. Pendapat Kedua: Ibu Kandungnya Sudah Wafat (Ibu Saudara)

Pendapat ini dipegang oleh ramai ulama besar seperti Ibnu Abbas, Qatadah, dan juga dibahas secara mendalam oleh Imam Al-Alusi. Hujah mereka:

  • Menurut riwayat sejarah (Ahli Kitab) dan fakta sirah para Nabi, ibu kandung Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Rahil, telah meninggal dunia semasa melahirkan adiknya, Bunyamin.

  • Wanita yang datang ke Mesir itu adalah Lia (Leah), iaitu ibu saudara Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (kakak kepada Rahil) yang juga merupakan isteri Nabi Ya’qub selepas kematian Rahil.

  • Mengapa dipanggil “Ibu”? Dalam budaya Arab dan gaya bahasa Al-Qur’an, ibu saudara (mak cik) atau ibu tiri sering dipanggil dengan gelaran “ibu” sebagai tanda penghormatan. Ini sama seperti Nabi Ismail dipanggil “bapa” kepada anak-anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam Surah Al-Baqarah ayat 133, sedangkan baginda adalah bapa saudara.

Untuk memahami kenapa ini berlaku, kita perlu selami dahulu cara Al-Qur’an bercerita, yang sangat berbeza daripada naratif lain. Memang benar, ibu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Rahil, telah meninggal dunia semasa melahirkan adiknya, Bunyamin. Jadi, bagaimanakah Al-Qur’an boleh menyebut Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memeluk “kedua ibu bapanya”?

Di sinilah letaknya falsafah penceritaan Al-Qur’an. Matlamatnya bukanlah untuk memberikan laporan sejarah yang lengkap. Sebaliknya, ia memilih butiran-butiran tertentu untuk menyampaikan pengajaran abadi. Sebagai perbandingan, naratif Bible menceritakan secara terperinci drama keluarga yang kompleks iaitu persaingan sengit antara isteri-isteri Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, iaitu Leah dan Rahil. Oleh kerana persaingan itu telah menyebabkan anak-anak pun sudah berpecah menjadi dua kumpulan. Kerana itulah abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak baik dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan adiknya Bunyamin. Namun, Al-Qur’an dengan sengaja mengetepikan semua “drama” ini. Jika kita perhatikan dengan lebih teliti, Al-Qur’an bukan sekadar mengabaikannya; ia sedang mengajar kita bahawa drama itu sendiri tidak relevan. Ia hanyalah topeng luaran yang menutupi masalah rohani yang sebenar: Hasutan syaitan yang menanamkan racun cemburu dan hasad dengki di dalam hati. Al-Qur’an mengalihkan fokus kita daripada menyalahkan dinamik keluarga kepada mengenali musuh sebenar yang beroperasi di sebalik tabir.

Al-Qur’an sengaja mengetepikan semua itu untuk mengajar kita satu perkara: Semua itu tidak relevan. Situasi, drama, ketegangan, persaingan; semuanya hanyalah topeng luaran. Isu sebenarnya ialah bagaimana syaitan mencetuskan hasad dengki… Apa puncanya? Syaitan telah menguasai kamu. Namun, jika anda kaji Bible, puncanya bukanlah syaitan, tetapi dinamik keluarga itu sendiri.

 

Kemaafan Paling Agung Bukan Dizahirkan Melalui Ucapan, Tetapi Pelukan

Apabila keluarganya tiba di Mesir, tindakan pertama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ialah menarik “kedua ibu bapanya” ke dalam dakapannya (آوَىٰ إِلَيْهِ أَبَوَيْهِ). Perbuatan ini jauh lebih mendalam daripada sekadar kata-kata kerana ada sentuhan fizikal di situ. Seperti yang kita telah sebut, kemungkinan besar, “ibu” yang hadir pada waktu itu ialah Leah, ibu kandung kepada enam daripada abangnya yang telah menganiayainya.

Cuba kita bayangkan sejenak apa yang bermain di fikiran Leah ketika itu. Dia mungkin melangkah masuk dengan perasaan serba salah dan gentar, sedar bahawa dialah ibu kepada anak-anak yang menjadi punca penderitaan Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Dia mungkin menjangkakan dirinya akan dipinggirkan. Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terus memeluknya dengan penuh kemesraan dan hormat, seolah-olah dia adalah ibu kandungnya sendiri. Tindakan spontan ini serta-merta meruntuhkan segala tembok kebimbangan dan menghantar mesej perdamaian yang luar biasa kuat.

Abang-abangnya membenci Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana asal-usul ibunya, Rahil. Kini, mereka menyaksikan ibu mereka sendiri dimuliakan oleh orang yang sama. Ini adalah manifestasi kemaafan yang paling agung yang bukan sekadar memaafkan, tetapi secara aktif memuliakan dan membina semula jambatan. Ia mengajar kita untuk tidak menghukum seseorang hanya kerana kaitan mereka dengan orang lain. Baginda melayan wanita itu bagaikan ibu kandungnya sendiri. Bayangkan mesej yang diterima oleh abang-abang Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, yang selama ini membencinya kerana siapa ibunya… Baginda langsung tidak menyimpan sebarang dendam. Baginda begitu menyayanginya dan memuliakan kedua-dua ibu dan ayahnya sama rata.

 

Keluarga “Kompleks” Bukan Perkara Baru Dan Al-Qur’an Mengiktirafnya

Kisah ini secara langsung menyentuh realiti keluarga yang kompleks yang kita sangka hanya wujud pada zaman moden. Struktur keluarga dengan pelbagai isteri, ibu tiri, dan adik-beradik tiri sebenarnya telah wujud sejak zaman purba. Keluarga kita pun tidak kurang juga; ada sahaja kisah kusut dan kompleks yang ada banyak isu dari masa ke semasa. Setiap keluarga ada ceritanya; tidak ada keluarga yang sempurna. Tidak ada. Melalui contoh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Al-Qur’an memberikan panduan abadi tentang cara menangani hubungan ini dengan ihsan dan kemuliaan.

Menariknya, bahasa Arab itu sendiri menyokong prinsip ini. Perkataan والد merujuk khusus kepada bapa kandung, manakala أب merujuk kepada figura bapa atau penjaga. Yang mungkin bukan bapa sebenar. Pilihan Al-Qur’an untuk menggunakan perkataan أَبَوَيهِ (bentuk dual daripada أب) dalam ayat ini adalah bukti linguistik yang mengesahkan pengajaran moralnya: yang diutamakan adalah peranan dan kedudukan seseorang dalam keluarga, bukannya hubungan biologi semata-mata. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menghormati Leah bukan kerana hubungan darah, tetapi kerana kedudukannya sebagai isteri kepada bapanya. Apabila ibunya telah meninggal dunia, Leah inilah yang menjaganya dan bertindak sebagai ibu kepadanya. Oleh kerana itu, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menghormatinya dan melayannya dengan baik dan hormat.

Maka pelajaran terpenting yang kita terima daripada ayat ini adalah bagaimana kita melayan ahli keluarga kita. Mereka ini orang paling rapat dengan kita. Kita boleh pilih kawan, tetapi Allah ‎ﷻ telah sediakan keluarga kita untuk kita terima di dunia ini. Sama ada sebagai rahmat atau boleh jadi juga sebagai ujian. Kita diajar untuk memberikan hak mereka sebagai keluarga, tidak kira betapa teruknya mereka. Kita kena menghormati kedudukan mereka sebagai bapa, ibu atau penjaga kita, abang-abang kita dan juga adik-adik kita. Kalau mereka ada buat salah, itu antara mereka dengan Allah ‎ﷻ. Namun, kita sebagai manusia yang ada ilmu, harga diri dan adab tetap melayan mereka sebagai keluarga kita.

Kenapa institusi keluarga ini penting? Kerana ia ada hubungan sosial yang paling rapat dengan kita. Kita hendak menjaga agama Islam, kerajaan Islam, hubungan antara negara Islam, dan macam-macam lagilah yang kita gebang di media sosial. Akan tetapi, jikalau dalam keluarga kita sendiri pun kita tidak boleh menjaga hubungan, apa cerita hendak bincang perkara yang besar-besar? Bagaimana kita hendak berdakwah kepada orang lain kalau dengan keluarga kita sendiri pun kita tidak dipercayai kerana sudah banyak kali kita mematah hati ahli keluarga kita sendiri? Sebab itulah, Allah ‎ﷻ amat mementingkan hubungan silaturahim sesama ahli keluarga kerana ini adalah latihan kepada kita untuk perhubungan yang lebih besar lagi. Tersangat pentingnya menjaga hubungan ini sampaikan Rasulullah ﷺ pernah bersabda,

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ قَاطِعٌ
“Tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan (tali silaturahmi).”

(Sahih Bukhari No. 5984 dan Muslim No. 2556)

Maknanya, kalau gagal menjaga silaturahim ini, akan menyebabkan tidak masuk syurga! Lalu bagaimana hubungan kekeluargaan kita? Adakah kita lebih senang membantu orang luar, tetapi kalau ahli keluarga sendiri dalam kepayahan, kita buat tidak tahu sahaja? Kalau dengan orang lain kita senang berjumpa dan bergelak sakan, tetapi dengan ahli keluarga mencuka sahaja mukanya? Kalau orang lain kita boleh jaga hati mereka, tetapi kita anggap ahli keluarga kita tidak ada hati dan muka?

Ayat ini juga menyentuh tentang hubungan kita dengan ibu bapa kita, terutama setelah kita dewasa dan mereka sudah tua. Dahulu kita memerlukan mereka, tetapi sekarang mereka pula yang memerlukan belaian daripada kita. Maka kena santuni mereka, beradab dengan mereka dan bersabar dengan mereka. Kenapa kena bersabar? Kerana mereka telah tua dan perangai mereka pun ada lain sikit. Mereka senang terasa hati, fikiran mereka pun tidak fokus lagi, mereka mungkin buat perangai yang pelik-pelik dan bermacam-macam lagi. Ketika ini kita sebagai anak yang akan diuji.

 

وَقالَ ادخُلوا مِصرَ

dan dia berkata: “Masuklah kamu ke negeri Mesir,

Baginda mengajak mereka semua masuk dan tinggal di Negeri Mesir. Inilah permulaan datangnya Bani Israil ke Mesir dari Kan’an. Ini menjawab persoalan Yahudi yang bertanya kepada Nabi Muhammad ﷺ, bagaimanakah Bani Israil boleh berada di Mesir pula?

 

إِن شَآءَ ٱللَّهُ ءَامِنِينَ

in sya Allah dalam keadaan aman”.

Masuklah dengan keadaan aman. Aman daripada kemarau, aman daripada kesusahan dan segala bahaya lain. Atau, boleh terus masuk tanpa halangan seperti yang dikenakan kepada orang luar seperti zaman sekarang perlu ada visa. Maknanya sekarang, mereka sudah menjadi warganegara Mesir. Mereka diterima duduk di situ dengan aman dan tidak perlu takut penindasan daripada sesiapa. Baginda sebagai pemerintah Mesir akan memberikan perlindungan kepada mereka semampu baginda. Abang-abang itu patutnya takut kepada baginda, tetapi baginda sendiri yang mengatakan mereka akan selamat. Maka itu sepatutnya menenangkan hati mereka.

Ia juga bermaksud nasihat kepada mereka untuk duduklah dengan aman. Apa-apa drama di masa lalu, lupakan sahaja. Kita sekarang hendak hidup tenang-tenang sahaja tanpa ada rasa dengki dan cemburu lagi.

Kenapa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyebut إِن شَآءَ ٱللَّهُ di sini? Bukankah ada hadith yang menyebut jangan menggunakan إِن شَآءَ ٱللَّهُ di dalam doa? Nabi Muhammad ﷺ yang menjelaskan masalah ini:

إِذَا دَعَا أَحَدُكُمْ فَلاَ يَقُلْ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي إِنْ شِئْتَ، وَلَكِنْ لِيَعْزِمِ الْمَسْأَلَةَ وَلْيُعَظِّمِ الرَّغْبَةَ، فَإِنَّ اللَّهَ لاَ يَتَعَاظَمُهُ شَىْءٌ أَعْطَاهُ
“Apabila salah seorang di antara kalian berdoa, maka janganlah dia berkata: ‘Ya Allah, ampunilah aku jika Engkau mahu,’ tetapi hendaklah dia memastikan permohonannya (yakin dan bersungguh-sungguh) dan hendaklah dia mengagungkan permohonannya. Sebab sesungguhnya Allah tidak terbebani oleh sesuatu pun yang Dia berikan.”

Diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahih Muslim, Kitab Adz-Dzikr wa Ad-Du’a (Nombor Hadith: 2679). Juga diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari (Nombor Hadith: 6338).

Syarah: Maksudnya adalah harus bersungguh-sungguh (yakin) dalam meminta. Jangan ada keraguan, kerana Allah Maha Mampu dan Maha Pemurah. Sebab utama larangan tersebut adalah untuk menjaga adab kepada Allah ‎ﷻ. Jika kita mengucapkan “jika Engkau mahu”, seolah-olah kita khuatir Allah ‎ﷻ terbebani atau terpaksa memberikan permohonan kita, padahal Allah Maha Kaya dan Maha Pemberi. Ketika berdoa memohon sesuatu kepada Allah ‎ﷻ, hendaknya kita meminta dengan penuh keyakinan, kesungguhan (azam), dan tanpa menggantungkannya pada kehendak Allah ‎ﷻ secara lisan (misalnya dengan mengucapkan “In sya Allah” atau “In Syi’ta”).

Namun begitu, bagaimana pula dengan ucapan Nabi Yusuf ‎ﷻ di dalam ayat ini: Ucapan “insya Allah dalam keadaan aman” ini adalah ucapan selamat datang yang menenangkan dan memberi jaminan keamanan kepada ayah, ibu, dan seluruh keluarganya ketika mereka tiba di Mesir. Ucapan ini juga merupakan ungkapan tawakal (berserah diri) dan memohon berkah kepada Allah ‎ﷻ atas keamanan yang dijanjikan. Jadi ia bukanlah doa sebenarnya.

Baginda juga menyebut إِن شَآءَ ٱللَّهُ kerana hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang dapat memberi keamanan kepada keluarga baginda. Walaupun baginda berkuasa di Mesir ketika itu, namun bukanlah baginda mampu memberikan keselamatan dan keamanan penuh kepada mereka, melainkan Allah ‎ﷻ sahaja.

 

Makna Sebenar “Insha’Allah” Daripada Seorang Pemerintah

Selepas memeluk ibu bapanya, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berpaling kepada seluruh keluarganya dan berkata: “Masuklah kamu ke negeri Mesir, insya-Allah dalam keadaan aman sentosa.” Penggunaan ungkapan “Insha’Allah” di sini sarat dengan makna. Kita sering menyalahgunakannya sebagai tanda ketidakpastian atau alasan. Contohnya ada orang ajak kita datang ke mana-mana, kita jawab: “ha insha Allah aku datang….” padahal kita sebenarnya tidak mahu pergi dan insha Allah itu sebagai penyedap mulut sahaja. Sampai ada orang tanya balik: “Ini insha Allah Melayu ke Islam punya ni?” kerana ia telah disalahgunakan oleh orang kita.

Akan tetapi bukan begitulah maksud Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Baginda sekarang mengajar kita tentang maksud insha Allah yang sebenarnya. Harap jangan kita salahgunakan lagi. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberi jaminan kepada mereka di dalam ayat ini. Apabila ia datang daripada seorang pemerintah yang berada di puncak kuasa—yang mempunyai segala autoriti untuk menjamin keselamatan mereka—ia menunjukkan satu bentuk kerendahan hati yang mendalam. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah jelmaan hidup bagaimana takdir boleh berubah dalam sekelip mata. Baginda lebih arif daripada sesiapa pun bahawa jaminan manusia adalah rapuh. Satu hari baginda sedang berada dengan bapanya, tetapi tiba-tiba berada di dalam perigi, kemudian di dalam penjara, dan kini di atas takhta. Pengalaman hidupnya sendiri mengajar baginda bahawa segala kuasa dan keselamatan pada hakikatnya tertakluk kepada kehendak mutlak Allah ‎ﷻ.

Maka, ucapannya bukanlah sekadar adab teologi. Ia adalah satu pengakuan tulus yang lahir daripada pengalaman pahit manis hidupnya: Walau setinggi mana pun pangkatku, aku tidak akan pernah membuat janji tentang masa depan tanpa menyandarkannya kepada Allah ‎ﷻ. Sekarang aku, sebagai pemerintah Mesir, memberi jaminan kamu akan selamat tetapi aku sendiri tidak boleh mengatasi kuasa Pemerintah segala pemerintah iaitu Allah ‎ﷻ. Jika Dia berkehendak, keselamatan kamu boleh berakhir pada langkah pertama. Kerana itu, aku tidak akan sekali-kali bercakap tentang masa depan tanpa menambah: ‘Insha’Allah’.

 

 

Beberapa Pengajaran Ringkas: 

Memuliakan Kedudukan Penjaga (Ibu Tiri/Ibu Saudara): Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melayan ibu tirinya (berkemungkinan besar namanya Leah) dengan penuh hormat dan kasih sayang seolah-olah ibu kandungnya sendiri. Ini mengajar kita bahawa penghormatan dalam keluarga harus diberikan berdasarkan peranan dan kedudukan seseorang, bukan sekadar hubungan biologi semata-mata.

Mengabaikan “Drama” dan Fokus kepada Masalah Rohani: Al-Qur’an dengan sengaja tidak menceritakan drama persaingan antara isteri-isteri Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk mengajar bahawa konflik keluarga seringkali hanyalah luaran. Isu sebenarnya adalah hasutan syaitan yang menanam racun hasad dengki di dalam hati.

Kemaafan yang Aktif dan Fizikal: Kemaafan yang paling agung bukan hanya pada lisan, tetapi dizahirkan melalui tindakan, seperti pelukan yang meruntuhkan tembok kebimbangan. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak meminggirkan ibu kepada abang-abang yang telah menzaliminya, sebaliknya baginda memuliakan wanita tersebut secara terbuka.

• Silaturahim sebagai Asas Hubungan yang Lebih Besar: Kegagalan menjaga hubungan kekeluargaan adalah tanda kegagalan yang besar, kerana silaturahim adalah latihan untuk perhubungan sosial dan dakwah yang lebih luas. Malah, memutuskan tali persaudaraan boleh menjadi penghalang seseorang daripada memasuki syurga.

Menyantuni Ibu Bapa yang Lanjut Usia: Apabila ibu bapa sudah tua, mereka memerlukan belaian dan kesabaran yang tinggi daripada anak-anak kerana emosi mereka yang mudah terasa hati atau fikiran yang tidak lagi fokus.

Makna Sebenar “Insha’Allah” dalam Kekuasaan: Penggunaan “Insha’Allah” oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (seorang pemerintah yang berkuasa) menunjukkan kerendahan hati yang mendalam. Ia bukan alasan untuk tidak menepati janji, tetapi satu pengakuan bahawa walau setinggi mana pun pangkat manusia, segala keselamatan dan masa depan tetap tertakluk kepada kehendak mutlak Allah.

Keadilan dalam Melayan Ahli Keluarga: Walaupun abang-abangnya pernah berbuat jahat, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetap memberikan hak mereka sebagai keluarga dan menjamin keamanan mereka di Mesir. Kesalahan peribadi mereka adalah urusan mereka dengan Allah ‎ﷻ, namun sebagai manusia yang beradab, kita perlu tetap melayan mereka dengan ihsan.

Analogi: Melayan keluarga yang kompleks ibarat menjaga sebuah taman yang mempunyai pelbagai jenis tumbuhan; ada yang berduri dan ada yang berbuah manis. Kita tidak memusnahkan seluruh taman hanya kerana satu duri, sebaliknya kita terus menyiramnya dengan adab dan ihsan agar keindahan keseluruhannya terjaga.

 

Kuiz Uji Kefahaman (Soalan Jawapan Pendek)

Jawab soalan-soalan berikut dalam dua hingga tiga ayat berdasarkan maklumat daripada teks sumber.

1. Siapakah yang dimaksudkan dengan “kedua ibu bapanya” (أَبَوَيْهِ) yang dipeluk oleh Nabi Yusuf, dan apakah persoalan utama yang timbul daripada perkataan ini?

2. Nyatakan dua pendapat utama ulama tafsir mengenai identiti ibu Nabi Yusuf yang hadir di Mesir.

3. Menurut sumber, mengapakah Al-Qur’an dengan sengaja tidak menceritakan drama keluarga Nabi Ya’qub, seperti persaingan antara isteri-isterinya?

4. Bagaimanakah tindakan Nabi Yusuf memeluk ibu tirinya, Lia, dianggap sebagai manifestasi kemaafan yang agung?

5. Apakah perbezaan linguistik antara perkataan Arab والد (wālid) dan أب (ab), dan bagaimana ia berkaitan dengan kisah Nabi Yusuf?

6. Jelaskan bagaimana kedatangan keluarga Nabi Ya’qub ke Mesir menjadi titik permulaan bagi kewujudan Bani Israil di sana.

7. Apakah dua makna bagi jaminan “aman” (ءَامِنِينَ) yang diberikan oleh Nabi Yusuf kepada keluarganya?

8. Mengapakah penggunaan ungkapan “Insha’Allah” oleh Nabi Yusuf dianggap sebagai tanda kerendahan hati yang mendalam, walaupun baginda seorang pemerintah?

9. Menurut hadis yang dipetik, mengapakah kita dilarang menggunakan “Insha’Allah” atau “jika Engkau mahu” semasa berdoa kepada Allah?

10. Apakah pengajaran utama mengenai kepentingan institusi keluarga dan silaturrahim yang dapat diambil daripada ayat ini, seperti yang disokong oleh hadis Rasulullah?

 

Glosari Istilah Penting

Istilah
Definisi
أَبَوَيْهِ (Abawaihi)
Perkataan Arab yang bermaksud “kedua ibu bapanya”. Dalam konteks ayat ini, ia menimbulkan perbincangan mengenai identiti ibu Nabi Yusuf.
ءَاوَىٰٓ (Āwā)
Berasal daripada akar kata yang bermaksud “berlindung” atau “menyediakan tempat tinggal”. Dalam ayat ini, ia digunakan untuk menunjukkan tindakan Nabi Yusuf yang merangkul ibu bapanya dengan mesra dan penuh hormat.
وَالشَّمسَ وَالقَمَرَ (Wasy-syamsa wal-qamar)
Frasa daripada Surah Yusuf Ayat 4 yang bermaksud “matahari dan bulan”. Ia ditafsirkan sebagai simbolik kepada ibu dan bapa Nabi Yusuf dalam mimpi baginda.
Rahil (Rachel)
Nama ibu kandung Nabi Yusuf. Menurut pendapat yang kuat, beliau telah meninggal dunia semasa melahirkan Bunyamin.
Lia (Leah)
Kakak kepada Rahil dan isteri Nabi Ya’qub. Beliau adalah ibu tiri Nabi Yusuf dan ibu kandung kepada enam abang baginda.
Bani Israil
Keturunan Nabi Ya’qub. Kedatangan keluarga baginda ke Mesir adalah permulaan sejarah mereka di tanah tersebut.
Qibti
Bangsa asli Mesir yang kemudiannya menindas Bani Israil pada zaman Firaun.
والد (Wālid)
Perkataan Arab yang merujuk secara khusus kepada bapa kandung atau bapa biologi.
أب (Ab)
Perkataan Arab yang lebih umum untuk figura bapa atau penjaga, yang tidak semestinya mempunyai hubungan darah.
إِن شَآءَ ٱللَّهُ (Insha’Allah)
Ungkapan yang bermaksud “jika Allah menghendaki”. Digunakan oleh Nabi Yusuf untuk menunjukkan kerendahan hati dan pengakuan bahawa semua kuasa dan jaminan keselamatan datang daripada Allah semata-mata.
Silaturrahim
Hubungan kekeluargaan. Menjaga hubungan ini adalah kewajipan yang sangat penting dalam Islam, manakala memutuskannya adalah dosa besar.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 23 Disember 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 98 (Permohonan Maaf)

Yusuf Ayat 98: Jawapan daripada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

قَالَ سَوفَ أَستَغفِرُ لَكُم رَبِّىٓ‌ۖ إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلغَفُورُ ٱلرَّحِيم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “I will ask forgiveness for you from my Lord. Indeed, it is He who is the Forgiving, the Merciful.”

(MALAY)

Ya’qub berkata: “Aku akan memohonkan ampun bagimu kepada Tuhanku. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

 

قَالَ سَوفَ أَستَغفِرُ لَكُم رَبِّىٓ‌

Ya’qub berkata: “Aku akan memohonkan ampun bagimu kepada Tuhanku.

Baginda beritahu yang baginda akan mendoakan pengampunan untuk mereka. Kalimah سَوفَ (akan) bermaksud sesuatu yang akan berlaku di masa hadapan. Maknanya baginda tidak terus istighfar bagi pihak mereka. Kenapa pula begitu? Kita telah bincangkan di dalam Ayat 92 sebelum ini perbezaan antara pengampunan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terus memaafkan, tetapi nampaknya Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menunda permaafan baginda. Ada beberapa kemungkinan yang telah kita sebutkan di situ. Kemungkinan lain kenapa ia berlaku adalah:

1. Nanti baru Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan istighfar untuk mereka, bukan waktu itu terus. Maknanya, baginda tidak buat terus kerana baginda sedang marah kepada mereka. Baginda mahu menunggu tenang dahulu dan sekarang baginda hendak menikmati kegembiraan mendapat tahu yang memang benar anaknya Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu masih hidup dan sekarang sedang hidup dengan baik.

2. Ada yang mengatakan baginda menunggu sampai nanti berjumpa dengan anaknya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di Mesir. Kerana ketika itulah baru hati baginda tenang dan hilang rasa marah dan patah hati dengan anak-anaknya itu dan doa baginda baru ikhlas. Lagi pun, dosa mereka itu terbabit juga dengan perbuatan salah mereka terhadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

3. Ada yang memang begitulah orang tua, lebih senang terasa dan lebih lama terasa. Jadi baginda hendak bagi hati baginda tenang dulu.

4. Ada yang kata baginda tunggu untuk istighfar kepada mereka kerana hendak tunggu waktu makbul, sama ada di malam (waktu sahur) atau hari Jumaat, atau ketika solat. Ini kerana kesalahan yang mereka lakukan itu besar dan makan tahun, jadi bukan boleh doa biasa sahaja. Ibnu Mas’ud, Ibrahim At-Taimi, Amr ibnu Qais, Ibnu Juraij, dan lain-lainnya mengatakan bahawa Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menangguhkan permohonan mereka sampai waktu sahur. Ini kita boleh rujuk kepada satu athar:

عَنْ إِبْرَاهِيمَ النَّخَعِيِّ، قَالَ: سَمِعَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، رَجُلًا يُنَاجِي اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ مِنَ اللَّيْلِ فِي بَيْتِهِ، وَهُوَ يَقُولُ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي بِحَقِّ هَذَا السَّحَرِ. فَاسْتَمَعَ لَهُ عُمَرُ، فَإِذَا هُوَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْعُودٍ، فَقَالَ عُمَرُ: مَا حَمَلَكَ عَلَى مَا سَمِعْتُكَ تَقُولُ؟ فَقَالَ ابْنُ مَسْعُودٍ: إِنَّ يَعْقُوبَ عَلَيْهِ السَّلَامُ قَالَ لِبَنِيهِ: [يوسف: 98] فَأَخَّرَهَا إِلَى السَّحَرِ
Daripada Ibrahim An-Nakha’i, dia berkata: Umar bin Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mendengar seseorang bermunajat kepada Allah ‘Azza wa Jalla di malam hari di rumahnya, dan dia berdoa: “Ya Allah, ampunilah aku dengan hak waktu sahur ini.” Maka Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pun mencari siapa orang itu, ternyata dia adalah Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Lalu Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bertanya: “Apa yang mendorongmu mengucapkan apa yang aku dengar darimu itu?” Maka Ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menjawab: “Sesungguhnya Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata kepada anak-anaknya: ‘Kelak aku akan memohonkan ampun bagi kalian kepada Tuhanku’ [Yusuf: 98], lalu beliau menangguhkannya (istighfar itu) hingga waktu sahur.”

Syarah: Riwayat ini seringkali diulas oleh para ulama ketika membahas keutamaan berdoa di waktu sahur dan penafsiran ayat Al-Qur’an. Riwayat ini dicatat oleh Imam Ibnu Jarir Ath-Thabari dalam tafsirnya, Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ayi al-Qur’an, ketika menafsirkan Surah Yusuf ayat 98. Doa yang didengar Umar dari rumah Ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ adalah permohonan ampunan, khususnya dengan menyebutkan waktu sahur: “Demi waktu sahur ini, berilah ampunan kepadaku.” Ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menjelaskan bahawa beliau mengambil dalil (alasan) daripada ucapan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada anak-anaknya seperti di dalam ayat yang kita sedang bincangkan ini. Menurut Ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, penangguhan permintaan ampun (istighfar) oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah hingga datangnya waktu sahur (penghujung malam).

Ini selari dengan pemberitahuan daripada Rasulullah ﷺ tentang mustajabnya doa di waktu Sahur yang kita sepatutnya kena ambil peluang.

يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ يَقُولُ: مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ؟ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ؟ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ؟
“Tuhan kita, Tabaraka wa Ta’ala (Maha Suci dan Maha Tinggi), turun setiap malam ke langit dunia, iaitu ketika tersisa sepertiga malam yang terakhir. Dia berfirman: ‘Siapa yang berdoa kepada-Ku, maka Aku akan mengabulkannya?’ ‘Siapa yang memohon kepada-Ku, maka Aku akan memberinya?’ ‘Siapa yang memohon ampunan kepada-Ku, maka Aku akan mengampuninya?'”

(Sahih Al-Bukhari No. 1145 dan Muslim No. 758)

Syarah: Kalimah ثُلُثُ اللَّيْلِ bermaksud waktu sahur. Maka ini mengajar kita untuk memilih waktu-waktu mustajab doa yang dibincangkan secara khusus di dalam bab doa. Kalaulah kita tahu di mana waktu mustajab doa itu, kita boleh ambil peluang dan tidaklah kita buat perkara mengarut seperti pergi ke busut, ke kubur, minta berkat wali, minta wali dalam kubur doakan, minta terus kepada malaikat, buat amalan-amalan yang tidak ada sumbernya, dan bermacam-macam lagi. Pilih sahaja waktu yang mustajab. Ia terlalu banyak untuk disenaraikan di sini, cuma sekarang kita sudah sebut beberapa masa yang mustajab.

Jawapan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada anak-anaknya adalah sesuatu yang sangat mengejutkan dan penuh dengan lapisan makna. Perkataan سَوفَ yang bermaksud “kelak” atau “nanti” adalah sesuatu yang di luar jangkaan. Mengapa seorang Nabi menangguhkan doa untuk anak-anaknya? Di sinilah dua bacaan yang berbeza muncul, masing-masing menawarkan hikmah yang luar biasa.

 

Bacaan Husnuzon (Memberi Sangka Baik)

Dari sudut pandang ini, penangguhan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dilihat sebagai tanda kesungguhan dan kedalaman spiritualnya:

• Beratnya Dosa Itu: Baginda mungkin menangguhkannya untuk mencari waktu yang paling mustajab seperti yang kita telah sebutkan. Ini menunjukkan betapa beratnya dosa yang dilakukan oleh anak-anaknya sehingga ia memerlukan waktu dan suasana khas untuk memohon kepada Tuhan. Bukan senang-senang minta ampun/istighfar seperti biasa.

• Pengampunan Adalah Proses Berterusan: Satu lagi tafsiran yang indah ialah سَوفَ bermaksud baginda akan mendoakan mereka setiap kali kenangan pahit itu kembali. Ini mengajar kita bahawa kemaafan, terutamanya untuk luka yang dalam, bukanlah satu peristiwa sekali sahaja. Ia adalah satu proses yang perlu diulangi setiap kali kesakitan itu muncul semula. Kerana baginda boleh memaafkan, baginda juga manusia. Mungkin sesekali baginda akan teringat balik peristiwa itu dan timbul perasaan tidak sedap hati dalam diri baginda. Maka baginda kata baginda akan terus meminta ampun bagi pihak mereka setiap kali ia berlaku. Malah ada riwayat yang mengatakan baginda berterusan meminta ampun bagi mereka selama 20 tahun!

 

Binaan Sebuah Permintaan Pengampunan

Mufassir moden ada yang membincangkan interaksi anak beranak ini dari sudut proses meminta ampun. Bahagian ini agak teknikal dan kita cuba mudahkan. Apabila seseorang meminta maaf, ada dua elemen penting yang perlu ada:

1. Minta maaf atas kesalahan apa?

2. Minta maaf kepada siapa?

Sebagai contoh, kalau kita makan kek seseorang kita minta maaf dengan berkata: Saya minta maaf kepada awak (kepada siapa) kerana saya makan kek awak tadi (kesalahan itu). Sekarang perhatikan, apabila anak-anak itu meminta maaf, kalimat yang mereka gunakan adalah: ٱستَغفِر لَنَا ذُنُوبَنَآ (mohonkanlah ampun bagi kami terhadap dosa-dosa kami). Jadi mereka sebut kesalahan mereka, tetapi mereka tidak sebut kepada siapa mereka meminta ampun itu.

Kemudian apabila Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjawab permintaan mereka itu, baginda sebut: أَستَغفِرُ لَكُم رَبِّىٓ‌ (Aku akan memohonkan ampun bagimu kepada Tuhanku). Baginda sebut kepada siapa permohonan ampun itu ditujukan, tapi ia tidak ada satu lagi elemen: apakah sebab permintaan maaf itu.

Al-Alusi (Syihabuddin Abu al-Thana’ Mahmud bin Abdullah al-Husaini al-Alusi (1802M – 1854M) penulis kitab Ruh al-Ma’ani fi Tafsir al-Qur’an al-’Azim wa al-Sab’ al-Mathani membincangkan hal ini. Beliau mengatakan dari segi bahasa Arab, apabila tidak disebut kepada siapa permohonan maaf itu ditujukan, maka ia memberi isyarat yang bukan satu sahaja yang dimaksudkan. Maknanya, bukan minta kepada Allah ‎ﷻ sahaja, tetapi mereka ada buat salah kepada ramai. Kepada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kepada Bunyamin, setakat yang kita tahu. Jadi mereka minta Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukan sahaja minta istighfar kepada Allah sahaja, tapi bolehkah tolong minta Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Bunyamin pun maafkan mereka? Ini kerana Allah ﷻﷻ ada hak, tetapi makhluk pun ada hak juga. Mereka minta kalau boleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ boleh nasihat kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Bunyamin untuk maafkanlah abang-abang itu. Kalau seorang bapa cakap macam itu, mungkin mereka akan lembut hati. Jadi ada sebab mereka tidak menyebut meminta ampun kepada Allah ﷻ di dalam permintaan maaf mereka.

Sekarang kita lihat pula jawapan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang tidak disebut apakah kesalahan mereka, tetapi menyebut permohonan ampun adalah kepada Allah ﷻ. Seolah-olah baginda hendak memberitahu, yang paling penting adalah pengampunan daripada Allah ﷻ. Tak perlu risau kesalahan banyak yang mereka telah lakukan itu terhadap ramai orang. Kalau Allah ﷻ sudah maafkan, maka kira setellah. Rasulullah ﷺ pernah bersabda,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى إِذَا أَحَبَّ عَبْدًا نَادَى جِبْرِيلَ إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَحَبَّ فُلَانًا فَأَحِبَّهُ فَيُحِبُّهُ جِبْرِيلُ ثُمَّ يُنَادِي جِبْرِيلُ فِي السَّمَاءِ إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَحَبَّ فُلَانًا فَأَحِبُّوهُ فَيُحِبُّهُ أَهْلُ السَّمَاءِ وَيُوضَعُ لَهُ الْقَبُولُ فِي أَهْلِ الْأَرْضِ (رواه البخاري)
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, “Bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya Allah Ta’ala jika mencintai seseorang, maka Allah akan memanggil Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, ‘(wahai Jibril) Sesungguhnya Allah mencintai fulan maka cintailah dia, sehingga Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun mencintainya. Kemudian Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memanggil seluruh penghuni langit seraya berseru, ‘Sesungguhnya Allah mencintai si fulan maka cintailah dia, maka penghuni langit pun mencintainya, sehingga orang tersebut diterima oleh penduduk bumi.”

(Sahih Bukhari No. 1502)

Maka Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ fokus kepada Allah ‎ﷻ, tanpa menyebut pun tentang dosa mereka. Pertama, mereka telah menyebut pun tentang dosa, maka ia tidak perlu disebut lagi. Kedua, Allah ‎ﷻ boleh sahaja ampunkan dosa mereka tidak kira sebanyak mana dosa mereka. Ingatlah kepada sebuah Hadith Qudsi yang terdapat di dalam Hadith 40 Imam Nawawi (hadith ke 42)

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ ﷺ يَقُولُ: «قَالَ اللهُ تَعَالَى: يَا ابْنَ آدَمَ! إِنَّكَ مَا دَعَوتَنِي وَرَجَوْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ عَلَى مَا كَانَ مِنْكَ وَلَا أُبَالِي. يَا ابْنَ آدَمَ! لَو بَلَغَتْ ذُنُوبُكَ عَنَانَ السَّمَاءِ ثُمَّ اسْتَغْفَرْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ. يَا ابْنَ آدَمَ! إِنَّكَ لَو أَتَيْتَنِي بِقُرَابِ الأَرْضِ خَطَايَا ثُمَّ لَقِيْتَنِي لاَ تُشْرِكُ بِي شَيْئاً لَأَتَيْتُكَ بِقُرَابِهَا مَغْفِرَةً» رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ وَقَالَ: حَدِيْثٌ حَسَنٌ.
Daripada Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata, aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda, “Allah Ta’ala berfirman, ‘Hai anak Adam, sesungguhnya selagi engkau berdoa kepada-Ku dan berharap kepada-Ku, Aku ampuni dosa yang ada padamu dan aku tidak peduli. Hai anak Adam, seandainya dosa-dosamu setinggi langit (begitu banyak), kemudian engkau meminta ampun kepada-Ku, pasti Aku ampuni. Hai anak Adam, seandainya engkau mendatangi-Ku dengan dosa sepenuh bumi, kemudian engkau menemui-Ku tanpa menyekutukan-Ku dengan apa pun, pasti Aku akan menemuimu dengan ampunan sepenuh bumi pula.”

[Jami’ Tirmidzi, no. 3540 dan Ahmad, 5:154, 176. Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahawa sanad hadith ini hasan].

Ini selari dengan Zumar:53 yang kita kena selalu ingat,

قُل يٰعِبادِيَ الَّذينَ أَسرَفوا عَلىٰ أَنفُسِهِم لا تَقنَطوا مِن رَّحمَةِ اللهِ ۚ إِنَّ اللَهَ يَغفِرُ الذُّنوبَ جَميعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الغَفورُ الرَّحيم
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Dan akhir sekali, perhatikan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan kalimah رَبِّىٓ‌ (Tuhanku) dan bukannya menggunakan nama Allah. Ini hendak menekankan sifat Allah sebagai Tuhan. Tuhanlah yang menjadikan kita, mendidik kita, memberikan segala keperluan kepada kita. Maka hadapkanlah diri kepada Tuhan yang sayang kepada kita itu.

 

إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلغَفُورُ ٱلرَّحِيم

Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

Baginda yakin bahawa Allah ‎ﷻ akan mengampunkan dosa mereka kerana Allah ‎ﷻ Maha Pengampun.  Allah ‎ﷻ Maha Pengampun kerana Dia Maha Penyayang. Penambahan kalimah هُوَ di dalam frasa ini adalah sebagai penguat kerana kalau ia tidak ada pun, terjemahan akan sama sahaja.

Memang manusia termasuk Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun mungkin susah untuk memaafkan manusia yang banyak melakukan kesalahan kepadanya, akan tetapi Allah ‎ﷻ bukan manusia, Allah ‎ﷻ boleh memaafkan walaupun banyak dosa manusia itu. Maka selalulah minta ampun kepada Allah ‎ﷻ.

Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberitahu mereka untuk berharap dan hadap kepada Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ ada dua sifat ini. Dua sifat ini amat penting bagi kita. Kita memang banyak dosa, maka kita memerlukan sifat Allah ﷻ yang غَفُورٌ kerana kalau tidak, kita pasti akan masuk ke dalam neraka untuk mencuci dosa kita. Kemudian kita tentu mahu masuk ke dalam syurga-Nya, maka ini memerlukan sifat Allah ﷻ yang رَحِيمٌ kerana kita tidak akan dapat masuk syurga melainkan dengan rahmat-Nya.

Selepas Allah ﷻ sebut sifatnya yang mengampunkan (غَفُورٌ) Allah ﷻ selalu sebut sifat رَحِيمٌ. Ini sebenarnya memberi motivasi kepada kita untuk segera bertaubat. Apabila kita bertaubat, Allah ﷻ akan memasukkan kita ke dalam rahmah-Nya. Maka, untuk segera dapat rahmat, bersegeralah meminta ampun. Perumpamaannya begini, katakanlah kita berbuat salah kepada seorang yang kaya. Kemudian dia kata kalau kita meminta maaf kepadanya, bukan sahaja dia akan maafkan kita, tetapi dia juga akan menghadiahkan kita sebuah kereta BMW baru! Apa yang akan kita buat kalau begitu? Tentulah kita akan segera meminta maaf, bukan?

Lagi satu, Allah ‎ﷻ bersifat رَحِيمٌ. Kalau manusia, mungkin boleh memaafkan, tetapi hubungan selepas itu tentu tidak sama kerana kita akan asyik teringat tentang perbuatan orang itu. Kita sudah tidak boleh lepak bersama lagi, sudah tidak percaya dalam perniagaan lagi, sudah susah melihat mukanya tersenyum lagi. Kerana itu, kita dengan pasangan kita hendaklah berjaga-jaga agar kepercayaan kita tidak menghilang. Kerana kalau sekali mereka tidak percaya, entah sampai bila perasaan itu akan tersemat dalam hati pasangan kita. Kerana mereka tidak boleh baca hati kita dan tidak tahu kita ikhlas akan berubah atau tidak. Namun Allah ‎ﷻ yang bersifat رَحِيمٌ boleh sahaja lupakan kesalahan manusia itu bersihkan dosa hamba-Nya. Allah ‎ﷻ tahu hati manusia itu ikhlas meminta ampun atau tidak. Kalau ikhlas, Allah ‎ﷻ ampunkan; kalau tidak ikhlas, Allah ‎ﷻ tidak ampunkan. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu hati manusia.

 

Bacaan Skeptikal / Kemanusiaan (Melihat dari Sisi Realiti Insan)

Kita telah melihat pandangan dari sudut husnuzon. Sekarang kita bincangkan pula dari wajah yang lain pula, iaitu kita tidaklah pandang baik sangat terhadap abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Dari sudut pandang ini, jawapan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mencerminkan realiti emosi seorang insan, walaupun baginda seorang Nabi akan tetapi:

• Manusia Memerlukan Masa: Tafsiran yang paling menyentuh hati ialah, walaupun seorang Nabi, baginda tetap seorang manusia. Baginda mungkin memerlukan masa untuk memproses kesakitan dan trauma yang teramat sangat sebelum hatinya benar-benar tulus untuk mendoakan mereka yang telah melukakannya. Ini kerana sangat lama baginda ditipu oleh anak-anaknya itu. Mereka juga telah melakukan kesalahan yang besar-besar, termasuk mereka kurang ajar kepada baginda, maka tentulah baginda memerlukan masa. Begitulah realiti kehidupan. Seorang ayah yang baik tidak semestinya mendapat anak yang baik. Itulah orang kata: kemenjadian anak pun adalah satu nikmat besar dan bukan semua ibubapa dapat anak-anak sebegitu.

• Pendekatan “Tunggu dan Lihat”: Boleh jadi سَوفَ membawa maksud, “Aku perlu lihat jika permohonan maaf kamu ini benar-benar ikhlas.” Setelah dikhianati begitu lama, adalah wajar bagi seorang bapa untuk tidak terus menerima kata-kata mereka tanpa bukti. Baginda pun kenal anak-anak Baginda sendiri dan sudah banyak kali Baginda terkena dengan mereka. Agak sukar untuk menerima bahawa mereka kali ini sudah benar-benar bertaubat. Entah-entah mereka ini hanya meminta maaf kerana telah kantoi, telah terdesak, takut dengan kekuasaan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula. Ini sama seperti Firaun yang menentang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi hanya apabila hendak lemas, baru hendak mengaku beriman kepada Tuhan seperti disebut di dalam Yunus:90

حَتّىٰ إِذا أَدرَكَهُ الغَرَقُ قالَ ءآمَنتُ أَنَّهُ لا إِلٰهَ إِلَّا الَّذي ءآمَنَت بِهِ بَنو إِسرٰءيلَ وَأَناْ مِنَ المُسلِمينَ
sehingga apabila Firaun hampir tenggelam, berkatalah dia (pada saat yang genting itu): “Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (Islam)

Hati manusia siapalah yang tahu. Maknanya, baginda akan berdoa untuk mereka apabila baginda sudah bersedia dan yakin dengan perubahan mereka. Baginda hendak lihat dahulu adakah sifat dan sikap mereka berubah selepas ini.

Tanggapan bahawa para Nabi tidak mempunyai emosi manusia biasa sebenarnya menjauhkan kita daripada mereka. Nanti kita ada satu tanggapan: “takpelah, dia tu Nabi…bolehlah buat macam itu…” Sebaliknya, Al-Qur’an menunjukkan sisi manusiawi mereka dengan begitu jujur. Kerana jika kita katakan para Nabi itu manusia super yang mampu memaafkan dalam keadaan paling mustahil sekalipun, ia seolah-olah bermakna mereka tidak perlu berusaha langsung. Pemikiran sebegini mewujudkan jurang antara kita dengan para Nabi Allah. Rasa sakit seorang bapa tetaplah rasa sakit seorang bapa, walaupun dia seorang nabi.

Kewaspadaan seorang bapa yang telah lama menderita inilah yang membawa kita kepada pengajaran terakhir dan paling realistik tentang sifat pengampunan. Inilah pengajaran yang paling penting dan mungkin paling mengejutkan. Al-Qur’an tidak pernah menyatakan secara jelas sama ada permohonan maaf anak-anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu 100% ikhlas atau sekadar oportunistik (didorong oleh rasa takut terhadap kuasa baru Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ). Al-Qur’an juga tidak pernah menyatakan secara eksplisit bahawa Allah ‎ﷻ telah mengampunkan mereka. Di dalam Al-Qur’an ada sahaja ayat yang Allah ‎ﷻ beritahu Dia telah ampunkan, sebagai contoh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diampunkan oleh Allah ﷻ secara eksplisit di dalam Qasas:16

قالَ رَبِّ إِنّي ظَلَمتُ نَفسي فَاغفِر لي فَغَفَرَ لَهُ ۚ إِنَّهُ هُوَ الغَفورُ الرَّحيمُ
Musa berdoa: “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diriku sendiri kerana itu ampunilah aku”. Maka Allah mengampuninya, sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Mengapa Al-Qur’an membiarkannya samar-samar? Kerana pengajaran terbesarnya adalah untuk kita, pengampunan perlu diimbangi dengan kewaspadaan (ihtiyat). Kisah ini mengajar kita bahawa kita boleh memaafkan seseorang, tetapi pada masa yang sama, kita perlu tetap berhati-hati. Memaafkan tidak bermakna menjadi naif atau memadam sepenuhnya memori tentang satu kesalahan yang besar. Anda boleh memaafkan rakan niaga yang pernah menipu anda, tetapi itu tidak bermakna anda wajib untuk berniaga dengannya sekali lagi. Itu sudah membuka peluang untuk orang mengambil mudah dengan anda dan senang-senang sahaja menipu kita pada lain kali. Ini adalah pendekatan yang realistik dan manusiawi terhadap perdamaian. Tidak salah untuk kita tidak sepenuhnya yakin tentang niat seseorang. Kita boleh memaafkan di dalam hati, tetapi dalam masa yang sama “tidur dengan sebelah mata terbuka” untuk melindungi diri kita.

Jadi ini adalah pandangan skeptikal. Mana satu yang lebih kuat? Allahu a’lam, kita sendiri tidak akan tahu. Namun begitu, kalau kita lihat pengakhiran hidup Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan baginda bertanya kepada anak-anaknya itu, semua mereka menjawab dengan baik dan Allah ﷻ  nukilkan jawapan mereka itu. Ini berkemungkinan memberi isyarat bahawa mereka itu ikhlas berubah. Perhatikan Baqarah:133

أَم كُنتُم شُهَداءَ إِذ حَضَرَ يَعقوبَ المَوتُ إِذ قالَ لِبَنيهِ ما تَعبُدونَ مِن بَعدي قالوا نَعبُدُ إِلٰهَكَ وَإِلٰهَ ءَابَآٮِٕكَ إِبرٰهِـۧمَ وَإِسمَـٰعِيلَ وَإِسحَـٰقَ إِلٰهًا وٰحِدًا وَنَحنُ لَهُ مُسلِمونَ
(Demikianlah wasiat Nabi Ya’qub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu, wahai orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Ya’qub hampir mati, ketika dia berkata kepada anak-anaknya: “Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?” Mereka menjawab: “Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepada-Nyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman)”.

Sekian kisah pertikaian Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan saudara-saudaranya. Yang akhirnya ditutup dengan permohonan maaf mereka. Sama ada ikhlas atau tidak. Kisah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan anak-anaknya mendedahkan bahawa pengampunan bukanlah satu tindakan magis yang mudah. Sebaliknya, ia adalah sebuah perjalanan yang penuh dengan dualiti: Antara kedalaman sebuah taubat sejati dan sekadar ucapan maaf di bibir; antara kesabaran ilahiah seorang Nabi dan keperluan manusiawinya untuk mengambil masa; dan yang terpenting, antara tuntutan untuk membuka hati memaafkan dan kebijaksanaan untuk tetap waspada. Ia adalah satu proses yang kompleks, penuh nuansa, dan sangat manusiawi. Ia dipenuhi dengan kesakitan, kewaspadaan, dan harapan. Setelah memahami sisi ini, bagaimanakah ia mengubah cara kita memandang kemaafan yang kita beri dan terima dalam hidup kita?

Ada keindahan pada Struktur Cincin yang kita telah kenalkan di dalam Ayat 3 dahulu. Perhatikan cermin C dan C’. Dari aya 8 hingga 18, kita belajar tentang cemburu abang-abang kepada Nabi Yusuf. Kita juga telah belajar tentang keprihatinan Nabi Ya’qub terhadap kecenderungan mereka. Kita telah belajar tentang keseluruhan adegan mereka bersekongkol antara satu sama lain untuk menyingkirkan Nabi Yusuf dalam beberapa cara. Mereka akhirnya sampai kepada kesimpulan bahawa mereka perlu menjatuhkannya di parit di suatu tempat, di dalam telaga di tempat yang jauh, dan mungkin akan ada yang datang dan akan mengambil baginda. Kemudian mereka kembali dan memberitahu kepada bapa mereka akan kisah rekaan mengenai serigala yang telah memakan adik mereka. Semua itu ialah ketegangan dalaman keluarga dan yang semuanya pada dasarnya membawa kepada pemisahan keluarga.

And that entire engagement, which we will dig into a little deeper, leads to the opposite of what happened in the beginning. In the beginning, that tension led to a separation of the family. And this time that tension is going to lead to a reunification of the family. So those two things converge with each other also.

Kemudian Ayat 58 hingga 98 adalah cerminan kepada kisah itu. Sekali lagi kita menjumpai insiden ketegangan keluarga. Mereka kembali dalam hidup baginda apabila datang meminta bantuan di Mesir. Sebaik sahaja baginda melihat mereka, baginda mengenali mereka, tetapi mereka tidak. Sekali lagi mereka mengatakan perkara-perkara yang menyinggung perasaan baginda dan kita belajar bagaimana tindakan baginda terhadap mereka. Akan tetapi keadaan sudah berbeza. Kalau dahulu baginda di dalam keadaan lemah, kali ini kedudukan baginda di atas. Kalau dahulu, kisah itu membawa kepada pemisahan keluarga akan tetapi kali ini kisah ini akan membawa kepada penyatuan semula keluarga.

 

Beberapa Pengajaran Penting: 

1. Memilih Waktu yang Mustajab untuk Berdoa
Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan perkataan saufa (akan) yang bermaksud baginda tidak terus memohon ampun pada waktu itu juga. Salah satu sebab utama adalah baginda menunggu waktu yang paling makbul, iaitu waktu sahur (sepertiga malam terakhir). Ini mengajar kita bahawa untuk dosa-dosa yang besar dan berat, kita perlu mencari waktu dan suasana khas agar permohonan kita lebih bersungguh-sungguh dan diterima oleh Allah ‎ﷻ.

2. Memaafkan adalah Satu Proses, Bukan Tindakan Sekali Sahaja
Penggunaan kata “akan” juga memberi isyarat bahawa kemaafan—terutamanya untuk luka yang sangat mendalam—adalah sebuah proses berterusan. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mungkin mendoakan mereka setiap kali kenangan pahit itu muncul semula untuk memujuk hati sendiri dan memastikan doa tersebut benar-benar ikhlas. Ini menunjukkan bahawa adalah normal bagi manusia (malah seorang Nabi) untuk memerlukan masa bagi memproses trauma dan kesakitan sebelum benar-benar tulus mendoakan orang yang melukakannya.

3. Fokus kepada Pengampunan Allah ‎ﷻ sebagai Matlamat Utama
Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menekankan permohonan maaf kepada “Tuhanku” (Rabbi) tanpa menyebut secara terperinci dosa-dosa anak-anaknya. Ini mengajar kita bahawa jika Allah ‎ﷻ sudah mengampunkan seseorang, maka urusan itu dianggap selesai kerana Allah ﷻ mampu memadamkan dosa hamba-Nya dan meletakkan penerimaan di hati makhluk-makhluk lain. Sifat Allah yang Al-Ghafur (Maha Pengampun) dan Ar-Rahim (Maha Penyayang) seharusnya menjadi motivasi untuk kita segera bertaubat tanpa berputus asa.

4. Perbezaan Kemaafan Manusia dan Kemaafan Tuhan
Kemaafan manusia selalunya meninggalkan kesan; walaupun sudah memaafkan, hubungan mungkin tidak lagi sama atau kepercayaan sukar dipulihkan. Sebaliknya, pengampunan Allah ﷻ yang bersifat Rahim adalah sempurna dan mampu membersihkan dosa sepenuhnya. Oleh itu, kita diingatkan untuk sentiasa menjaga amanah dan kepercayaan orang lain kerana sekali ia hilang, ia sangat sukar untuk dikembalikan dalam hati manusia.

5. Memaafkan Tidak Bermakna Menjadi Naif (Ihtiyat)
Satu pengajaran realistik daripada ayat ini ialah kita boleh memaafkan seseorang dalam hati, namun tetap perlu berwaspada (ihtiyat). Memaafkan tidak mewajibkan kita untuk mempercayai mereka sepenuhnya semula dalam urusan penting (seperti perniagaan) jika mereka pernah mengkhianati kita. Kita boleh berdamai tanpa perlu menjadi naif, atau seperti ungkapan dalam sumber: “memaafkan di dalam hati, tetapi tetap tidur dengan sebelah mata terbuka” untuk melindungi diri.

6. Keberkatan Doa Ibu Bapa
Anak-anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meminta bapa mereka mendoakan mereka kerana mereka yakin dengan kemustajaban doa seorang bapa dan Nabi. Ini menekankan peranan ibu bapa sebagai pembimbing spiritual yang sangat penting dalam membantu anak-anak kembali ke jalan yang benar melalui doa dan sokongan.

Kuiz Kefahaman

Jawab soalan-soalan berikut dengan ringkas (2-3 ayat) berdasarkan konteks sumber yang diberikan.

1. Apakah maksud kalimah سَوفَ (saufa) dalam jawapan Nabi Ya’qub dan mengapa ia dianggap sesuatu yang di luar jangkaan?

2. Sebutkan dua sebab dari perspektif Husnuzon (sangka baik) mengapa Nabi Ya’qub menangguhkan permohonan ampun untuk anak-anaknya.

3. Menurut riwayat yang dipetik daripada Ibnu Mas’ud, bilakah waktu khusus yang ditunggu oleh Nabi Ya’qub untuk memohonkan keampunan, dan mengapa waktu itu istimewa?

4. Jelaskan perbezaan antara struktur permintaan maaf anak-anak Nabi Ya’qub dengan struktur jawapan baginda dari segi elemen “kesalahan apa” dan “kepada siapa”.

5. Apakah hikmah di sebalik tindakan Nabi Ya’qub yang hanya menyebut permohonan ampun ditujukan kepada Allah tanpa mengulangi dosa-dosa anak-anaknya?

6. Dari sudut pandang skeptikal atau kemanusiaan, apakah dua kemungkinan sebab Nabi Ya’qub menggunakan perkataan سَوفَ?

7. Apakah yang dimaksudkan dengan konsep “pengampunan perlu diimbangi dengan kewaspadaan (ihtiyat)” seperti yang dibincangkan dalam teks? Berikan contoh yang dinyatakan.

8. Mengapakah Al-Qur’an tidak menyatakan secara jelas sama ada Allah telah mengampunkan anak-anak Nabi Ya’qub?

9. Jelaskan kepentingan dua sifat Allah, iaitu ٱلغَفُورُ (Al-Ghafur) dan ٱلرَّحِيم (Ar-Rahim), dalam konteks taubat dan pengampunan.

10. Mengapakah Nabi Ya’qub menggunakan kalimah رَبِّىٓ‌ (Tuhanku) dan bukannya nama Allah apabila merujuk kepada Tuhan?

Glosari Istilah Utama

Istilah
Definisi Berdasarkan Konteks
سَوفَ (Saufa)
Kalimah Arab yang bermaksud “akan” atau “kelak”, menunjukkan satu tindakan yang akan berlaku pada masa hadapan dan bukan serta-merta.
ٱلغَفُورُ (Al-Ghafur)
Salah satu sifat Allah yang bermaksud “Yang Maha Pengampun”. Sifat ini penting bagi manusia yang banyak dosa untuk diampunkan.
ٱلرَّحِيم (Ar-Rahim)
Salah satu sifat Allah yang bermaksud “Yang Maha Penyayang”. Sifat ini diperlukan agar manusia dapat dimasukkan ke dalam syurga melalui rahmat-Nya.
رَبِّىٓ‌ (Rabbi)
Kalimah Arab yang bermaksud “Tuhanku”. Penggunaannya menekankan sifat Allah sebagai Tuhan yang mencipta, mendidik, dan memberi keperluan.
Istighfar
Permohonan ampun kepada Allah. Dalam konteks ini, Nabi Ya’qub berjanji akan memohonkan istighfar bagi pihak anak-anaknya.
Waktu Sahur
Waktu di penghujung malam sebelum fajar. Ia disebut sebagai waktu yang mustajab untuk berdoa, seperti yang ditunggu oleh Nabi Ya’qub.
Husnuzon
Bersangka baik. Ia merujuk kepada tafsiran yang melihat tindakan Nabi Ya’qub menangguhkan doa sebagai satu tanda kesungguhan spiritual dan bukan kemarahan.
Ihtiyat
Kewaspadaan. Konsep yang mengajar bahawa permaafan perlu diimbangi dengan sikap berhati-hati untuk melindungi diri daripada dikhianati lagi.
Al-Alusi
Seorang mufassir (Syihabuddin Abu al-Thana’ Mahmud bin Abdullah al-Husaini al-Alusi) yang membincangkan analisis bahasa Arab dalam interaksi antara Nabi Ya’qub dan anak-anaknya.
Hadis Qudsi
Hadis yang merupakan firman Allah, tetapi disampaikan melalui lisan Nabi Muhammad SAW. Teks ini merujuk kepada hadis mengenai keluasan ampunan Allah.
Athar
Riwayat yang disandarkan kepada para sahabat Nabi atau generasi selepas mereka (tabi’in). Teks ini memetik athar daripada Ibnu Mas’ud.
Mufassir
Seorang ahli tafsir Al-Quran, iaitu orang yang menghuraikan dan menjelaskan makna ayat-ayat Al-Quran.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 1 April 2026

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 97 (Abang-abang sudah menyesal)

Yusuf Ayat 97: Anak-anaknya mengaku kesalahan mereka dan meminta maaf bersungguh-sungguh.

قَالُواْ يَـٰٓأَبَانَا ٱستَغفِر لَنَا ذُنُوبَنَآ إِنَّا كُنَّا خَـٰطِـِٔينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “O our father, ask for us forgiveness of our sins; indeed, we have been sinners.”

(MALAY)

Mereka berkata: “Wahai bapa kami, mohonkanlah ampun bagi kami terhadap dosa-dosa kami, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah (berdosa)”.

 

قَالُواْ يَـٰٓأَبَانَا ٱستَغفِر لَنَا ذُنُوبَنَآ

Mereka berkata: “Wahai bapa kami, mohonkanlah ampun bagi kami terhadap dosa-dosa kami,

Kita sering menganggap pengampunan sebagai satu tindakan yang mudah dan lurus, terutamanya dalam kisah-kisah keagamaan. Ia digambarkan sebagai satu detik pencerahan di mana hati yang terluka menjadi lapang dan kesalahan dimaafkan begitu sahaja. Namun, Al-Qur’an sentiasa kaya dengan lapisan makna yang lebih mendalam dan realistik. Ambil contoh kisah anak-anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang akhirnya kembali kepada bapa mereka untuk memohon keampunan atas dosa besar yang mereka lakukan terhadap adik mereka, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan terhadap bapa mereka sendiri. Dialog ringkas antara mereka yang dirakamkan dalam Surah Yusuf, iaitu ayat 97 – 98, mendedahkan sisi pengampunan yang jauh lebih kompleks dan manusiawi.

Keindahan ayat-ayat ini terletak pada kemampuannya untuk dibaca melalui dua lensa yang sangat berbeza, malah bertentangan: satu sisi membacanya dengan penuh husnuzon (sangka baik) terhadap taubat yang ikhlas, manakala sisi yang lain membacanya dengan kanta skeptikal yang lebih berhati-hati. Dengan meneroka kedua-dua perspektif inilah kita akan menemui pengajaran yang paling realistik dan mendalam tentang hakikat sebuah kemaafan.

Pertamanya, mari kita lihat dari sudut yang husnuzon. Mereka minta bapa mereka istighfar bagi pihak mereka. Dalam masa yang sama, mereka pun sama-sama minta ampun. Mereka minta Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meminta ampun bagi pihak mereka dan mereka akan aminkan. Mereka nampaknya sudah berubah dan mereka pun tentu tahu kepentingan meminta ampun kerana doa minta ampun adalah doa yang paling penting dalam dunia. Ini kerana kalau kita ada dosa, ia akan mengganggu kehidupan kita, bukan sahaja di akhirat malah di dunia lagi. Maka, kalau kita hendak senang hidup di dunia, selalulah meminta ampun. Ini telah diajar di dalam Nuh:10-12

فَقُلۡتُ ٱسۡتَغۡفِرُواْ رَبَّكُمۡ إِنَّهُ ۥ كَانَ غَفَّارًا (١٠) يُرۡسِلِ ٱلسَّمَآءَ عَلَيۡكُم مِّدۡرَارًا (١١) وَيُمۡدِدۡكُم بِأَمۡوٰلٍ وَبَنِينَ وَيَجۡعَل لَّكُمۡ جَنَّـٰتٍ وَيَجۡعَل لَّكُمۡ أَنۡهَـٰرًا (١٢)
Sehingga aku berkata (kepada mereka): Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. (10) (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu; (11) Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya). (12) 

Apabila anak-anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memohon ampun, mereka tidak menggunakan perkataan yang biasa. Pilihan perkataan mereka menunjukkan tahap penyesalan yang sangat mendalam, melangkaui ucapan “maaf” yang ringkas.

Pertama, mereka menggunakan perkataan ذُنُوبَ (jamak bagi ذنب) untuk merujuk kepada dosa-dosa mereka. Di dalam Al-Qur’an banyak disebut tentang dosa dengan pelbagai istilah yang berbeza-beza. Kalau setakat baca terjemahan, semua itu diterjemahkan sebagai ‘dosa’ sahaja. Namun kalimah di dalam Bahasa Arabnya berubah-ubah pula. Maka inilah kepentingan mempelajari Bahasa Arab serba sedikit supaya kita dapat menghargai perbezaan antara kalimah-kalimah yang Allah ‎ﷻ gunakan.

Kalimah “ذنب” secara etimologi berasal daripada makna asalnya dalam bahasa Arab sebagai “ekor” atau “bahagian belakang” daripada sesuatu, seperti ekor haiwan. Kalau manusia ada ekor, tentulah ia sesuatu yang memalukan, bukan? Dalam penggunaan bahasa, ia kemudian berkembang menjadi istilah untuk sesuatu yang mengikuti atau datang setelahnya, dan dari sini diambil makna kiasan untuk “dosa” atau “kesalahan” kerana akibatnya yang mengikuti pelaku, seperti ekor yang selalu mengikuti tubuh haiwan.

Dalam penjelasan para ahli bahasa dan tafsir seperti Al-Raghib al-Asfahani رَحِمَهُ اللَّهُ, beliau menyatakan: “الذنب في الأصل: الأخذ بذنب الشيء، يقال: ذنبته: أصبت ذنبه، ويستعمل في كل فعل يستوخم عقباه اعتبارا بذنب الشيء، ولهذا يسمى الذنب تبعة، اعتبارا لما يحصل من عاقبته” (Secara asal, ذنب adalah mengambil bahagian ekor sesuatu, dan digunakan untuk setiap perbuatan yang akibatnya buruk, kerana ekor selalu mengikuti. Oleh itu, dosa disebut ‘تبعة’ kerana akibatnya yang mengikuti pelaku).

Dengan menggunakan perkataan ini, abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu bukan sekadar mengaku kesilapan, tetapi mereka sedang meluahkan rasa malu dan hina yang amat sangat atas perbuatan mereka. Malah mereka telah menambah dengan kalimah ذُنُوبَنَآ (dosa-dosa kami), padahal kalau hanya disebut ٱستَغفِر لَنَا (minta ampun bagi kami) pun sudah cukup bermaksud minta ampun. Akan tetapi apabila ada penambahan ذُنُوبَنَآ ia memberi isyarat yang mereka memang rasa bersalah betul.

Apa lagi kalimat lain yang digunakan untuk merujuk kepada ‘dosa’? Setiap satu ini mempunyai perbezaan dan nuansa yang berbeza antara satu sama lain. Beberapa jenis kalimah yang bermaksud dosa di dalam Al-Qur’an antara lain:

ذنب .1 (dzanb)
Maknanya adalah setiap perbuatan maksiat, baik kecil mahupun besar. Kita telah sebutkan ia merujuk kepada perbuatan dosa yang memalukan. Contohnya dalam ayat: ﴾ربنا اغفر لنا ذنوبنا﴿ (Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami).

إثم .2 (itsm)
Merujuk kepada perbuatan yang menghalangi daripada pahala atau kebaikan, dan digunakan untuk berbagai bentuk dosa, seperti zina, kesalahan, dan syirik. Contoh ayat: ﴾فيهما إثم كبير ومنافع للناس﴿ (Pada keduanya terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia).

سيئة .2 (sayyi’ah)
Biasanya digunakan untuk dosa-dosa kecil atau perbuatan buruk. Contoh ayat: ﴾ليكفر الله عنهم أسوأ الذي عملوا﴿ (Agar Allah menghapuskan darippada mereka keburukan yang telah mereka lakukan).

خطيئة .3 (khati’ah)
Digunakan untuk kesalahan, baik yang dilakukan dengan sengaja mahupun tidak sengaja. Contoh ayat: ﴾مما خطيئاتهم أغرقوا فأدخلوا نارا﴿ (Kerana kesalahan-kesalahan mereka, mereka ditenggelamkan lalu dimasukkan ke neraka).

وزر .4 (wizr)
Maknanya adalah beban dosa atau kesalahan yang berat. Contoh ayat: ﴾ولا تزر وازرة وزر أخرى﴿ (Dan seseorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain).

فاحشة .5 (fahisyah)
Merujuk kepada perbuatan keji dan dosa besar yang melibatkan seksual seperti zina dan homoseksual. Contoh ayat: ﴾اجتنبوا الفواحش ما ظهر منها وما بطن﴿ (Jauhilah perbuatan keji, baik yang tampak mahupun yang tersembunyi).

سوء .6 (su’)
Bererti keburukan atau perbuatan buruk yang juga bermakna dosa. Contoh ayat: ﴾ساءت مصيرا﴿ (Sungguh buruk tempat kembali itu).

Perhatikan, pendek sahaja permintaan mereka terhadap ayah mereka ini, hanya minta doa sahaja atas kesalahan mereka. Tidak disebut mereka sebut satu per satu kesalahan mereka itu. Ini pun menjadi pengajaran juga kepada kita untuk kita amalkan. Adakah perlu disebut kesalahan kita ketika kita meminta maaf kepada orang yang kita telah buat salah? Dalam Islam, meminta maaf kepada orang yang telah kita sakiti adalah perbuatan yang dianjurkan, terutama jika kesalahan tersebut berkaitan dengan hak orang lain seperti mengambil harta, mencemarkan nama baik, atau menyakiti perasaan. Mengenai menyebut kesalahan satu persatu ketika meminta maaf, para ulama membezakan antara dua keadaan seperti disebut di dalam Fatāwā al-Shabaka al-Islāmiyya:

1. Jika kesalahan itu sudah diketahui oleh orang yang dizalimi, maka dianjurkan untuk menyebutkan kesalahan tersebut secara jelas dan meminta maaf secara langsung. Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

«من كانت عنده مظلمة لأخيه من عرض أو شيء، فليتحلله اليوم قبل ألا يكون دينار ولا درهم»
“Barang siapa yang memiliki kesalahan terhadap saudaranya, baik berkaitan dengan kehormatan atau sesuatu, maka mintalah kehalalannya hari ini sebelum datang hari di mana tidak ada dinar dan dirham.”

Sahih Bukhari (2449) (Kitab Kezaliman – Kitab al-Mazhalim) dan juga disebut dalam nombor 6534 (Kitab Ar-Riqaq).

2. Akan tetapi, jika kesalahan itu belum diketahui oleh orang yang dizalimi, tidak perlu disebut terperinci apakah kesalahan itu. Jika menyebutkan kesalahan secara rinci akan menimbulkan fitnah, permusuhan, atau kerosakan yang lebih besar, maka tidak dianjurkan untuk menyebutkan satu per satu. Sebaiknya cukup meminta maaf secara umum, mendoakan kebaikan untuknya, dan memperbaiki kesalahan tersebut dengan cara lain seperti menyebutkan kebaikan orang tersebut di tempat kita pernah mengghibahnya. Kerana kalau kita sebut satu per satu, tentu dia akan terasa pula, bukan?

Sekarang bagaimana pula dengan kes anak-anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini? Ia mengandungi satu lagi pengajaran. Jika orang yang kita sakiti sudah mengetahui kesalahan kita, hukum asalnya adalah kita dianjurkan untuk meminta maaf (seperti yang disebut di atas) dan menyebutkan kesalahan tersebut secara jelas agar dia dapat memaafkan dan haknya dapat dikembalikan. Namun, jika menyebutkan kesalahan itu secara terperinci akan menimbulkan kembali kesedihan, luka lama, atau mudarat yang lebih besar kepada orang tersebut, para ulama membenarkan untuk tidak menyebutkan secara terperinci, bahkan cukup meminta maaf secara umum.

Ibn حجر الهيتمي menyatakan bahawa tujuan meminta maaf adalah untuk menghilangkan kesedihan dan tekanan perasaan pada orang yang dizalimi. Namun, jika menyebutkan kesalahan secara terperinci hanya akan memperbaharui kesedihan itu, maka tidak perlu disebutkan secara terperinci. Beliau menukil:

لأن القصد بالاعتذار إزالة الغم وهذا يجدده… نعم لا يبعد أن يجب هنا من الاعتذار أشد مما وجب منه ثم وكذا لو سرق مالا ثم رده لمحله ولم يشعر مالكه فيلزمه الاعتذار إليه لكونه إساءة إليه وظلما له، ولو كان كما ادعاه هذا القائل لسقط وجوب الاعتذار إليه من الإساءة العظيمة في الأهل والمال إذا علم أن المساء إليه يغتم بذلك
Jika menyebutkan kesalahan akan memperbaharui kesedihan, maka tidak perlu disebutkan secara terperinci, cukup dengan permohonan maaf secara umum. (Rujuk Kitab Al-Zawājir ʿan Iqtirāf al-Kabāʾir)

Begitu juga dalam kitab “المنثور في القواعد الفقهية”, dinyatakan bahawa jika memberitahu kesalahan itu akan menyebabkan mudarat atau kesedihan yang lebih besar, maka tidak perlu disebutkan secara terperinci, bahkan tidak boleh memberitahu kerana “لا يؤذه مرتين” (jangan menyakitinya dua kali).

Kesimpulannya, jika menyebutkan kesalahan secara terperinci akan menimbulkan kembali kesedihan atau mudarat, cukup meminta maaf secara umum dan berusaha memperbaiki hubungan serta mendoakan kebaikan untuknya.

 

Tawassul (menggunakan perantaraan dalam doa)

Ramai yang menggunakan ayat ini sebagai dalil untuk bertawassul – minta orang lain doakan. Ramailah yang minta ustaz doakan, orang surau doakan, tok guru doakan. Namun, ini bukan cara berdoa yang diajar di dalam wahyu daripada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ tidak memilih bulu di dalam mendengar doa kita. Tidaklah ada diajar yang orang yang baik, orang berilmu, keturunan Nabi, tok guru, ustaz dan lain-lain itu doa mereka lebih hebat dan diterima melebihi doa kita. Allah ‎ﷻ tidak begitu kerana Allah ‎ﷻ mengajar semua kita untuk terus berdoa kepada-Nya. Itu memang ada di dalam agama lain, tetapi tidak di dalam Islam. Di dalam agama lain, penganut kena berharap kepada tok sami, paderi atau lain-lain ahli agama dalam berdoa kerana mereka kata orang awam mereka banyak dosa, tidak tahu cara berdoa. Rasulullah ﷺ telah mengajar cara berdoa iaitu dengan bersungguh-sungguh berharap dan meletakkan harapan kepada Allah ‎ﷻ sahaja,

عَنْ أَنَسٍ ـ رضى الله عنه ـ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ إِذَا دَعَا أَحَدُكُمْ فَلْيَعْزِمِ الْمَسْأَلَةَ، وَلاَ يَقُولَنَّ اللَّهُمَّ إِنْ شِئْتَ فَأَعْطِنِي‏.‏ فَإِنَّهُ لاَ مُسْتَكْرِهَ لَهُ ‏”‏‏
Daripada Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Apabila salah seorang daripada kamu berdoa, hendaklah dia bersungguh-sungguh (memantapkan tekad) dalam memohon, dan janganlah sekali-kali dia berkata: ‘Ya Allah, jika Engkau kehendaki, maka berilah kepadaku.’ Kerana sesungguhnya tidak ada sesiapa pun yang dapat memaksa Allah.”

Sahih al-Bukhari No. 6338 (Dalam Kitab Doa-doa)

Jadi bagaimana kita boleh jadi bersungguh-sungguh dalam berdoa? Kalau kita sendiri yang minta! Kalau kita minta orang lain minta, adakah kita rasa dia bersungguh? Bukan hal dia pun. Namun begitu, kenapa anak-anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu minta baginda pula yang doakan? Ini yang memerlukan perbincangan dan kefahaman.

Yang utama adalah kita kena ingat yang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah seorang Nabi. Maka doa baginda memang makbul. Dalam Al-Qur’an banyak disebut doa para Nabi dan bagaimana Allah ‎ﷻ telah memakbulkan doa mereka. Jadi patutlah kalau mereka minta Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ doakan untuk mereka. Akan tetapi, bagaimana pula kalau guru, ustaz dan orang surau, adakah doa mereka itu makbul? Kalau tidak pasti, kenapa bergantung sangat pada doa mereka? Apa beza doa mereka dengan doa kita sendiri? Kalau kita sendiri doa sudah tentu lebih ikhlas lagi daripada doa mereka dan doa yang ikhlas yang lebih makbul.

Maka ini menjawab persoalan yang timbul: mengapa anak-anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak berdoa terus kepada Allah ‎ﷻ? Bukankah Islam mengajar kita untuk memohon terus kepada-Nya tanpa perantara?

Prinsip asas dalam Islam sememangnya doa secara langsung kepada Allah ﷻ. Namun, Al-Qur’an sendiri mengesahkan keharusan meminta seorang Nabi untuk berdoa bagi pihak kita. Contohnya, Nabi Muhammad ﷺ diperintahkan untuk mendoakan umatnya kerana doa baginda menjadi sumber ketenangan (sakan) bagi mereka. Ini bukanlah satu syarat, tetapi ia adalah satu lapisan sokongan spiritual. Ia umpama satu talian hayat harapan, terutamanya apabila seseorang itu rasa terlalu terbeban dengan beratnya dosa dan mengharapkan doa daripada insan yang mereka yakini dekat dengan Allah ‎ﷻ. Mereka juga berdoa, tetapi mereka rasa tidak cukup. Contoh lain kita boleh lihat di dalam Nisa’:64

وَلَو أَنَّهُم إِذ ظَّلَموا أَنفُسَهُم جاءوكَ فَاستَغفَرُوا اللهَ وَاستَغفَرَ لَهُمُ الرَّسولُ لَوَجَدُوا اللهَ تَوّابًا رَّحيمًا
Dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (wahai Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

Perhatikan pertamanya Allah ‎ﷻ sebut: فَاستَغفَرُوا اللهَ (lalu memohon ampun kepada Allah). Maknanya mereka sendiri kena minta ampun kepada Allah ‎ﷻ. Kemudian barulah وَاستَغفَرَ لَهُمُ الرَّسولُ (dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka). Jadi ini bermakna, doa istighfar Nabi untuk mereka itu adalah sebagai penguat. Bukannya kena berharap dengan doa baginda sahaja. Maka dalam kisah yang kita sedang bincangkan ini, anak-anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ merasa begitu terhimpit dengan kesalahan mereka, mencari sebarang bantuan yang boleh mereka dapatkan, termasuklah keberkatan doa daripada bapa mereka yang merupakan seorang Nabi. Kerana mereka tahu dosa yang mereka lakukan sangat besar dan mereka memerlukan bantuan tambahan dalam doa pengampunan.

Oleh itu, jangan gunakan dalil ini sebagai hujah untuk mengatakan patut minta ‘orang alim’ doakan untuk kita. Ini kerana kita sendiri pun tidak pasti yang mereka itu soleh atau tidak. Sekarang orang yang digelar ‘ustaz’ pun kita sudah tidak boleh percaya. Kadang mereka tidak layak pun dipanggil ustaz kerana mereka tidak berilmu; atau mereka berilmu tetapi kita tidak tahu pun apa yang mereka lakukan di belakang kita. Maka kita tidak boleh harapkan mereka sepenuhnya; dan tentu sekali kita tidak boleh mengharapkan doa mereka pasti diterima oleh Allah ‎ﷻ. Jadi yang kita hendak cakap adalah: Doalah sendiri sahaja, tanpa perlu berharap kepada doa orang lain. Kalau kita doa sendiri, itu lebih ikhlas dan lebih makbul daripada doa orang lain yang belum tentu ikhlas kerana mereka tidak terlibat dengan perkara itu, jadi tidak boleh kita hendak berkata mereka lebih ikhlas. Sedangkan kalau kita yang berdoa, memang lebih ikhlas dan lebih berharap kepada Allah ‎ﷻ kerana kita yang dalam kepayahan memerlukan pertolongan Allah ‎ﷻ.

Di dalam ayat ini, abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak disebut meminta ampun kepada Allah ‎ﷻ, tetapi disebut mereka meminta Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ agar memohonkan ampunan untuk mereka. Mungkin mereka juga ada berdoa kepada Allah ‎ﷻ, tetapi ini tidak disebut, cuma disebut mereka minta bapa mereka yang istighfar bagi pihak mereka. Tindakan ini memiliki beberapa alasan yang dijelaskan oleh para ulama dan mufassir:

1. Kepercayaan kepada Doa Nabi
Mereka tahu bahawa Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah seorang Nabi yang doanya mustajab dan dekat kepada Allah ‎ﷻ. Oleh itu, mereka berharap dengan perantaraan doa seorang Nabi, permohonan ampun mereka lebih mudah diterima.

2. Adab dan Penghormatan
Mereka mengakui kesalahan mereka secara langsung kepada bapa mereka, yang telah banyak menderita akibat perbuatan mereka. Meminta bapa mereka berdoa adalah sebagai bentuk penghormatan dan pengakuan atas kesalahan yang telah dilakukan terhadapnya, bukan hanya terhadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

3. Tawassul (Perantaraan dalam Doa)
Perbuatan ini juga menunjukkan konsep tawassul, iaitu meminta seseorang yang lebih dekat kepada Allah (seperti Nabi) untuk mendoakan mereka. Ini adalah konsep yang disebut secara jelas dalam Al-Qur’an.

4. Mereka Sudah Mengakui Dosa dan Hendak Bertaubat
Mereka telah mengakui kesalahan mereka dan sekarang hendak bertaubat, tetapi tetap meminta bapa mereka berdoa sebagai tambahan usaha agar Allah ‎ﷻ mengampuni mereka.

5. Tidak Mengetahui Kedudukan Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai Nabi
Sebahagian ulama menyebutkan, mereka lebih yakin dengan kenabian bapa mereka daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, sehingga mereka meminta kepada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, bukan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

6. Mereka mengharapkan Bapa Mereka Mengampunkan Mereka
Ini kerana kalau bapa mereka meminta ampun bagi pihak mereka, maka automatik bapa mereka pun telah mengampunkan mereka juga. Kerana takkan bapa minta ampun bagi pihak mereka kepada Allah ‎ﷻ, sedangkan bapa itu sendiri tidak terlebih dahulu memaafkan mereka. Boleh faham? Kita jelaskan dengan melihat contoh di dalam Ali Imran:159

فَبِما رَحمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُم ۖ وَلَو كُنتَ فَظًّا غَليظَ القَلبِ لَانفَضّوا مِن حَولِكَ ۖ فَاعفُ عَنهُم وَاستَغفِر لَهُم
Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, 

Latar belakang ayat ini adalah Perang Uhud di mana pihak Muslim kalah di dalam perang itu kerana kesalahan yang dilakukan oleh sebahagian dari tentera Muslim yang meninggalkan tempat strategik di dalam perang itu. Maka para sahabat di dalam ketakutan yang amat sangat kerana mereka memang ada yang bersalah benar kerana tidak ikut arahan Rasulullah dan kesannya sangat besar. Nabi sendiri cedera di dalam peperangan itu! Akan tetapi Allah ‎ﷻ mengajar Nabi bagaimana bertindak dalam hal mereka. Allah ‎ﷻ suruh baginda berlembut dengan mereka (لِنتَ لَهُم) dan meminta ampun bagi pihak mereka (وَاستَغفِر لَهُم). Akan tetapi sebelum baginda disuruh meminta ampun itu, apa yang Allah ‎ﷻ suruh baginda buat? Allah ‎ﷻ kata فَاعفُ عَنهُم (Oleh itu maafkanlah mereka). Ini kerana proses untuk meminta ampun bagi pihak orang lain, kita kena maafkan dahulu mereka. Kalau tidak, takkan jadi doa itu. Maka dalam kes anak-anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini, mereka minta baginda doa minta ampun dan secara tersirat, mereka minta baginda maafkan dahulu mereka.

Kesimpulannya, mereka meminta Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memohonkan ampunan kepada Allah ﷻ kerana percaya kepada keutamaan doa seorang Nabi, sebagai bentuk penghormatan dan pengakuan kesalahan, serta sebagai usaha tambahan agar Allah ﷻ menerima taubat mereka.

 

إِنَّا كُنَّا خَـٰطِـِٔينَ

sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah (berdosa)”.

Sekarang benar-benar mereka mengaku kesalahan mereka. Terdapat penekanan daripada mereka di dalam kalimah إنَّ. Malah kita boleh lihat penggunaan kalimah خَـٰطِـِٔينَ yang mereka gunakan. Sebelum ini kita telah bincangkan mereka menggunakan kalimah ذُنُوبَ yang menggambarkan mereka rasa malu dengan perbuatan mereka selama ini. Perkataan خَـٰطِـِٔينَ ini pula merujuk kepada seseorang yang melakukan kesalahan dengan sengaja, bukan kerana terkhilaf atau tidak sengaja. Ini kita telah bincangkan di dalam Ayat 91 tentang perbezaan antara kalimah خاطئ (pelaku kesalahan dengan sengaja) dan مخطئ (pelaku kesalahan dengan tidak sengaja). Apabila mereka menggunakan kalimah خَـٰطِـِٔينَ, ini menunjukkan mereka mengambil tanggungjawab penuh tanpa memberi sebarang alasan. Mereka tidak berkata, “…tapi bapa lebih sayangkan Yusuf,” atau cuba meringankan kesalahan mereka. Mereka mengakuinya secara total yang mereka memang sengaja melakukan kesalahan itu.

Ini mengajar kita bahawa sebuah permohonan maaf yang sejati melibatkan dua perkara: Pengakuan terhadap rasa malu atas perbuatan kita, dan pengambilan tanggungjawab sepenuhnya tanpa sebarang alasan atau cubaan untuk membela diri. Barulah betul-betul nampak seseorang itu rasa bersalah dan hendak meminta maaf. 

Oleh itu, walaupun kita sudah baca banyak kesalahan mereka dari mula surah ini, kita kena ingat yang mereka ini telah bertaubat dan telah meminta ampun daripada Allah ‎ﷻ. Maka mereka ini sebenarnya termasuk orang yang terselamat. Jangan kita kutuk mereka pula. Kita ini yang belum tentu selamat lagi.

Ayat ini mengajar kita bahawa apabila kita meminta ampun, kita kena sedar dan mengakui kesalahan kita. Barulah diterima doa pengampunan itu. Lalu bagaimana orang yang masih tidak tahu dia bersalah dan membuat dosa seperti dosa syirik dan dosa bid’ah? Mereka tentu setiap hari meminta ampun, bukan? Adakah diterima pengampunan mereka itu? Tentu tidak kerana mereka belum mengakui lagi kesalahan yang mereka lakukan. Jadi kena belajar dan terima dahulu akan kesalahan yang sedang dilakukan, kemudian ditinggalkan terus. Ramai yang tidak belajar lagi, maka mereka terus mengamalkan amalan yang syirik dan bid’ah, dan mereka tidak sedar kesalahan itu, malah berbangga mengamalkan amalan-amalan salah itu.

 

Pengajaran Ringkas daripada Surah Yusuf Ayat 97

1. Kepentingan Taubat dan Istighfar: Doa memohon ampun adalah doa yang paling penting di dunia, kerana dosa akan mengganggu kehidupan kita di dunia dan di akhirat

2. Penyesalan Mendalam: Permintaan anak-anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu melangkaui ucapan ‘maaf’ yang ringkas. Dengan menggunakan perkataan ذُنُوبَنَآ (dosa-dosa kami), yang secara etimologi merujuk kepada ‘ekor’ atau sesuatu yang memalukan dan membawa akibat buruk, mereka menunjukkan rasa malu dan hina yang amat sangat atas perbuatan mereka.

3. Pengambilan Tanggungjawab Penuh: Mereka menggunakan kalimah خَـٰطِـِٔينَ (pelaku kesalahan dengan sengaja) untuk mengakui bahawa mereka sengaja melakukan kesalahan itu. Ini mengajar bahawa permohonan maaf yang sejati melibatkan pengambilan tanggungjawab sepenuhnya tanpa sebarang alasan atau cubaan membela diri.

4. Adab Meminta Maaf: Dalam kes di mana orang yang kita sakiti sudah mengetahui kesalahan kita, adab yang dibenarkan adalah meminta maaf secara umum tanpa menyebut kesalahan secara terperinci jika perincian itu akan membangkitkan kembali kesedihan, luka lama, atau mudarat yang lebih besar.

5. Tawassul yang Sah (Doa dengan Perantaraan Nabi): Permintaan mereka kepada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk mendoakan istighfar adalah kerana mereka yakin doa seorang Nabi itu mustajab dan dekat dengan Allah ‎ﷻ. Ini adalah bentuk sokongan spiritual yang diharuskan dalam konteks kenabian, terutamanya apabila seseorang berasa terlalu terbeban dengan beratnya dosa.

6. Pengampunan Ibu Bapa sebagai Prasyarat: Secara tersirat, apabila anak-anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meminta baginda memohon ampun bagi pihak mereka, mereka juga memohon agar baginda terlebih dahulu memaafkan mereka. Ini kerana proses untuk seorang itu mendoakan istighfar bagi pihak orang lain memerlukan dia memaafkan kesalahan mereka terlebih dahulu.

7. Keperluan Kesedaran Dosa: Pengampunan hanya akan diterima apabila kita sedar dan mengakui kesalahan yang kita lakukan. Orang yang masih tidak sedar bahawa perbuatan syirik atau bid’ah adalah dosa, walaupun mereka meminta ampun setiap hari, pengampunan mereka mungkin tidak diterima kerana mereka belum mengakui kesalahan tersebut. 

 

Kuiz Kefahaman

Jawab soalan-soalan berikut dengan jawapan ringkas (2-3 ayat) berdasarkan pemahaman anda terhadap teks sumber.

1. Apakah dua perspektif berbeza yang boleh digunakan untuk memahami permohonan ampun oleh abang-abang Nabi Yusuf seperti yang dibincangkan dalam teks?

2. Mengapakah pilihan perkataan ذُنُوبَ (dzunub) oleh abang-abang Nabi Yusuf menunjukkan tahap penyesalan yang mendalam?

3. Jelaskan asal-usul etimologi kalimah ذنب (dzanb) dan bagaimana ia memberi makna kiasan kepada perbuatan dosa.

4. Menurut teks, bilakah seseorang itu dianjurkan untuk menyebut kesalahan secara terperinci ketika meminta maaf?

5. Apakah hujah utama yang dikemukakan dalam teks mengenai amalan meminta orang lain seperti ustaz atau tok guru untuk berdoa (tawasul) bagi pihak kita?

6. Nyatakan dua sebab mengapa abang-abang Nabi Yusuf meminta bapa mereka, Nabi Ya’qub, untuk memohonkan ampun bagi mereka.

7. Apakah perbezaan utama antara kalimah خاطئ (khati’) dan مخطئ (mukhti’) seperti yang dijelaskan dalam tafsir?

8. Berdasarkan contoh dari Surah Ali Imran ayat 159, apakah langkah yang perlu diambil oleh seseorang sebelum memohonkan ampun bagi pihak orang lain yang bersalah terhadapnya?

9. Apakah kaitan antara doa memohon ampun dengan kesenangan hidup di dunia, menurut rujukan dari Surah Nuh ayat 10-12?

10. Mengapakah doa pengampunan seseorang yang masih melakukan dosa syirik dan bid’ah tidak akan diterima, walaupun mereka memintanya setiap hari?

 

Glosari Istilah Penting

Istilah

Definisi Berdasarkan Teks Sumber

Husnuzon
Sangka baik; satu lensa atau perspektif untuk membaca niat taubat abang-abang Nabi Yusuf sebagai sesuatu yang tulus dan ikhlas.
Istighfar
Permohonan ampun kepada Allah. Teks menekankan bahawa ini adalah doa yang paling penting untuk kehidupan di dunia dan akhirat.
ذُنُوبَ (Dzunub)
Bentuk jamak bagi ذنب. Perkataan yang digunakan oleh abang-abang Nabi Yusuf untuk merujuk dosa-dosa mereka, yang meluahkan rasa malu dan hina yang amat sangat atas perbuatan tersebut.
ذنب (Dzanb)
Istilah untuk dosa yang berasal dari perkataan Arab “ekor”. Ia merujuk kepada perbuatan dosa yang memalukan yang akibatnya akan sentiasa mengikuti pelaku.
إثم (Itsm)
Sejenis dosa yang merujuk kepada perbuatan yang menghalangi dari pahala atau kebaikan. Ia boleh digunakan untuk pelbagai bentuk dosa seperti zina dan syirik.
سيئة (Sayyi’ah)
Istilah yang biasanya digunakan untuk merujuk kepada dosa-dosa kecil atau perbuatan buruk.
خطيئة (Khati’ah)
Istilah yang digunakan untuk kesalahan, sama ada yang dilakukan dengan sengaja mahupun tidak sengaja.
وزر (Wizr)
Istilah yang membawa makna beban dosa atau kesalahan yang berat.
فاحشة (Fahisyah)
Istilah yang merujuk kepada perbuatan keji dan dosa besar yang melibatkan aspek seksual, seperti zina dan homoseksual.
سوء (Su’)
Perkataan yang bererti keburukan atau perbuatan buruk yang juga boleh bermakna dosa.
Tawasul
Konsep menggunakan perantaraan dalam berdoa, seperti meminta seseorang yang diyakini lebih dekat kepada Allah (contohnya seorang Nabi) untuk mendoakan bagi pihak kita.
خَـٰطِـِٔينَ (Khati’in)
Orang-orang yang melakukan kesalahan dengan sengaja. Penggunaan perkataan ini oleh abang-abang Nabi Yusuf menunjukkan mereka mengambil tanggungjawab penuh tanpa memberi alasan.
مخطئ (Mukhti’)
Pelaku kesalahan yang melakukannya secara tidak sengaja atau terkhilaf, berbeza dengan خاطئ.
Syirik
Dosa menyekutukan Allah. Teks menyebutnya sebagai contoh dosa yang pelakunya sering tidak sedari, menyebabkan taubatnya tidak diterima.
Bid’ah
Amalan rekaan dalam agama. Teks menyebutnya sebagai contoh dosa yang pelakunya sering tidak sedari, menyebabkan taubatnya tidak diterima. Tak sedar kerana tidak belajar dan degil apabila dinasihati. 

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 18 Disember 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 96 (Penglihatan dikembalikan)

Yusuf Ayat 96:

فَلَمَّآ أَن جَآءَ ٱلبَشِيرُ أَلقَٮٰهُ عَلَىٰ وَجهِهِۦ فَٱرتَدَّ بَصِيرًا‌ۖ قَالَ أَلَم أَقُل لَّڪُم إِنِّىٓ أَعلَمُ مِنَ ٱللَّهِ مَا لَا تَعلَمُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the bearer of good tidings¹ arrived, he cast it over his face, and he returned [once again] seeing. He said, “Did I not tell you that I know from Allāh that which you do not know?”

  • He who carried Joseph’s shirt from among the brothers.

(MALAY)

Tatkala telah tiba pembawa khabar gembira itu, maka diletakkannya baju itu ke wajah Ya’qub, lalu kembalilah dia dapat melihat. Berkata Ya’qub: “Tidakkah aku katakan kepadamu, bahawa aku mengetahui daripada Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya”.

 

فَلَمَّآ أَن جَآءَ ٱلبَشِيرُ أَلقَٮٰهُ عَلَىٰ وَجهِهِۦ

Tatkala telah tiba pembawa khabar gembira itu, maka diletakkannya baju itu ke wajah Ya’qub,

Ini adalah peristiwa yang berlaku lama selepas ayat sebelum ini. Tidaklah selepas Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan anak cucu bersembang itu, terus sampai baju itu. Ia mengambil masa berminggu-minggu, cuma tidak disebut di dalam ayat ini. Jadi kita kena fikirkan sendiri.

Pertama, mari kita lihat dari sudut bahasa dahulu. Kita lihat ada kalimah أَن di dalam ﴾فَلَمَّآ أَن جَآءَ ٱلبَشِيرُ﴿. Tambahan kalimah ﴾أَن﴿ adalah penggunaan bahasa Arab yang dikenali sebagai “أن” الزائدة (huruf ‘an’ yang ditambah secara tatabahasa). Ini kerana kalau ia tiada pun, ia tidak mengubah maksud makna ayat ini. Para ahli bahasa dan mufassir menjelaskan bahawa “أن” di sini tidak membawa makna baru, tetapi digunakan untuk tujuan penegasan atau penguatan makna, khususnya selepas “لمّا” yang bermaksud “apabila” atau “ketika”. Penegasan ini kerana di dalam ayat sebelum ini telah disebut bahawa anak cucu Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak percaya, namun lihatlah sekarang, memang betul-betul baju itu sampai!

Sekarang  mari kita bincangkan siapakah ٱلبَشِيرُ ini. Tafsir Klasik mengatakan yang membawa baju Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu tentu salah seorang daripada abangnya. Banyak yang mengatakan namanya Yahuda. Ini kerana dialah juga yang membawa baju Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang dilumuri darah itu sebelum ini. Maka dia ingin menebus kesalahannya itu dengan dia pula yang membawa baju yang membawa khabar gembira kepada bapanya itu. Begitulah kalau kita ada berbuat dosa, maka kita tebus dengan melakukan kebaikan pula seperti kita diajar di dalam Hud:114

إِنَّ الحَسَنٰتِ يُذهِبنَ السَّيِّئَاتِ
Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk

Kali ini dia datang dengan berlari. Kali ini mereka adik-beradik datang membawa baju dengan gembira. Masihkah ingat dahulu ketika kali pertama mereka bawa baju baginda yang berlumuran darah, mereka menangis di dalam Ayat 16? وَجَآءُوٓ أَبَاهُم عِشَآءً يَبكُونَ (Kemudian mereka datang kepada ayah mereka di malam hari sambil menangis.) Keadaan sudah terbalik sekarang. Maka ٱلبَشِيرُ itu terus meletakkan sahaja baju itu ke atas muka Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tanpa berkata-kata apa pun kerana risau bapa mereka tidak percaya.

Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa “البشير” bermaksud “pembawa berita” secara umum, iaitu sesiapa sahaja yang terlebih dahulu sampai membawa berita gembira tentang Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ  kepada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ , tanpa menentukan nama tertentu. Mereka datang dalam rombongan yang ramai (yang dihantar oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ) dan sesiapa sahaja boleh menjadi orang yang menyampaikan berita gembira itu kepada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Pendapat ini bagi orang yang sukar untuk menerima hakikat bahawa salah seorang daripada abang-abang itu yang membawa baju itu. Kerana ia bukanlah sesuatu yang senang untuk dilakukan, bukan? Bertahun-tahun mereka telah menipu bapa mereka dan setiap kali bapa mereka merindui Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ , mereka menghina baginda dengan mengatakan baginda telah nyanyuk. Jadi tentu mereka akan rasa berat hati dan tidak sanggup untuk membawa baju yang menjadi bukti bagi penipuan mereka selama ini.

 

فَارتَدَّ بَصيرًا

lalu kembalilah dia dapat melihat.

Apabila baju itu terkena muka baginda, maka baginda boleh melihat semula. Kita tahu yang terus sahaja pandangan mata Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ  kembali kerana kalimah فَلَمَّآ yang digunakan. Kalaulah kita dapat melihat peristiwa itu… alangkah gembiranya Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ . Bayangkan baginda tentu memeluk dan mencium-cium baju itu dan dibawanya tidur dengannya setiap malam sehinggalah dapat berjumpa anak kesayangannya itu.

Memang baju orang yang kita sayang ada harganya. Kita akan simpan dan kita akan lihat berkali-kali. Malah kita akan menciumnya berkali-kali. Begitulah kalau kita kehilangan pasangan, lebih-lebih lagi kalau kehilangan anak, baju anak itulah yang dipegang, dibelai… Allah…. Sekiranya ibubapa hendak pergi outstation meninggalkan anak kecil, tinggalkan baju yang ada bau ibu atau bapa itu sebagai pengubat rindu kepada anak itu.

 

Baju Yusuf: Kelegaan dalam Janji yang Pasti

Satu pemerhatian yang sangat penting ialah baju Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ  bukanlah penamat kepada penderitaan itu sendiri. Ia hanyalah tanda atau janji bahawa kelegaan akan tiba. Namun, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ  menjadi gembira serta-merta hanya dengan menerima janji itu, walaupun baginda belum pun bertemu semula dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ . Sampai matanya yang buta (atau hampir buta) itu terus boleh melihat kembali! Kegembiraannya datang daripada keyakinan terhadap janji, bukan pada hasil akhir semata-mata.

Analoginya seperti ini: Seorang lelaki yang muflis menerima sepucuk surat rasmi yang mengesahkan dia akan menerima warisan sejuta dolar pada bulan hadapan. Walaupun pada hakikatnya dia masih hidup dalam kemiskinan selama sebulan lagi, hatinya sudah dipenuhi kegembiraan kerana dia memegang satu janji yang pasti. Bagi seorang mukmin, Al-Qur’an dan janji-janji Allah ‎ﷻ tentang keampunan, syurga, dan balasan baik, semuanya adalah seperti “baju Yusuf” untuk kita. Walaupun kita masih di dunia dan belum merasai nikmat akhirat, kepercayaan mutlak pada janji Allah ‎ﷻ itu sudah cukup untuk memberikan ketenangan dan kebahagiaan dalam menghadapi apa jua cabaran hidup.

 

قَالَ أَلَم أَقُل لَّڪُم إِنِّىٓ أَعلَمُ مِنَ ٱللَّهِ مَا لَا تَعلَمُونَ

Berkata Ya’qub: “Tidakkah aku katakan kepadamu, bahawa aku mengetahui daripada Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya”.

Sekarang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah gembira semula. Baginda mengingatkan kembali mereka yang tidak percaya kepadanya dahulu. Lihat kembali di dalam Ayat 86: وَأَعلَمُ مِنَ ٱللَّهِ مَا لَا تَعلَمُونَ (dan aku mengetahui daripada Allah apa yang kamu tiada mengetahuinya). Ia sama dengan frasa ayat sekarang di dalam Ayat 95. Jadi sekarang seolah baginda berkata: “Bukankah aku dulu cakap kepada kamu semua? Kamu dulu tidak percaya, bukan? Lihat sekarang baju Yusuf sudah sampai. Dari dulu lagi aku cakap dia masih hidup lagi.” Begitulah terbukti kesabaran Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang bersabar kerana percaya kepada Allah ‎ﷻ yang akan mengembalikan anaknya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada baginda.

Sekarang cuba bayangkan suasana yang sangat tegang ketika kebenaran akhirnya terbongkar. Anak-anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berdiri di hadapannya, diselubungi rasa malu dan bersalah yang amat sangat. Pada saat itu, setelah berdekad-dekad menderita, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berada dalam kedudukan yang paling berkuasa untuk menghukum, memarahi, dan menyalahkan mereka. Baginda berhak untuk berkata, “Kan ayah dah cakap kamu semua penipu!” atau “Kamu sedar tak betapa seksanya ayah selama ini kerana perbuatan kamu?” atau “Pergi dari sini, kamu bukan anak-anakku lagi!” Sebaliknya, apa yang keluar dari mulutnya adalah satu peringatan yang lembut tetapi menusuk kalbu. “Bukankah aku telah katakan kepada kamu, sesungguhnya aku mengetahui daripada Allah apa yang kamu tidak ketahui?”

Keutamaan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pada saat itu bukanlah untuk membalas dendam atau meluahkan kemarahan yang terpendam. Keutamaannya adalah untuk memulihkan iman anak-anaknya. Dengan kata-kata itu, baginda tidak membuat mereka malu di hadapannya, tetapi mendorong mereka untuk merasa malu di hadapan Allah ‎ﷻ. Ia adalah satu tindakan yang dibuat untuk memberi inspirasi agar mereka bertaubat dengan ikhlas. Inilah hadiah terbesar yang boleh diberikan oleh seorang bapa, iaitu menggunakan detik kelemahan anak-anaknya bukan untuk menghukum, tetapi untuk membimbing mereka kembali kepada Tuhan. Begitulah dalam dakwah, ketika ego seseorang tengah merendah, waktu itulah baru mudah dakwah dan ajaran hendak masuk. 

Selama ini anak-anak itu telah lama melakukan kesalahan dan sekarang semua orang tahu. Mereka tentunya sedang tertunduk malu. Waktu itu Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengambil peluang untuk menyedarkan mereka. Sedarkan mereka bahawa mereka telah bersalah dan ini adalah masa untuk berubah. Pintu taubat masih terbuka.

 

Gandingan Sabar (Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) & Syukur (Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ)

Al-Qur’an secara unik menonjolkan sifat sabar pada watak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan sifat syukur pada watak Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Jika kita selusuri ayat-ayat tentang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kita tidak dengar pun kata-kata daripada baginda yang menggambarkan sifat syukur. Yang banyaknya adalah baginda ditonjolkan sebagai seorang yang penyabar. Manakala jikalau kita baca tentang perjalanan hidup Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam surah ini, yang ditonjolkan adalah sifat syukur baginda sama ada di dalam penjara atau di luar penjara.

Ini bukanlah bermakna seorang tidak memiliki sifat yang satu lagi; kedua-dua Nabi ini memiliki kedua-dua sifat dengan sempurna. Namun, Al-Qur’an sengaja mengetengahkan satu sifat utama bagi setiap watak untuk memberi kita pengajaran yang lebih mendalam: Sabar dan syukur adalah dua sisi dari syiling yang sama, dan yang lebih penting, syukur adalah enjin yang menggerakkan kesabaran.

Rasa syukur menjadikan kesabaran itu mudah. Contohnya, anda membuka peti sejuk untuk minum jus oren tetapi mendapati ia sudah habis. Anda mungkin merasa sedikit kecewa. Tetapi jika pada saat itu anda bersyukur kerana masih ada air sejuk atau jus epal, rasa kecewa itu akan hilang. Prinsip ini bukan sekadar idea yang baik; ia adalah satu hakikat Al-Qur’an. Lihatlah Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang bersabar selama 950 tahun. Bagaimana Allah ‎ﷻ menggambarkannya? Bukan sebagai “hamba yang sabar”, tetapi sebagai “hamba yang banyak bersyukur” (عَبْدًا شَكُورًا). Ini mendedahkan rahsia di sebalik kesabarannya yang luar biasa: Rasa syukurlah yang memberinya kekuatan. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seolah-olah mewakili dua dimensi daripada satu keperibadian rohani yang lengkap, mengajar kita bahawa untuk menjadi mukmin yang utuh, kita perlu menghayati kesabaran dalam ujian dan kesyukuran dalam nikmat.

 

Pengajaran Ringkas

Berikut adalah beberapa pengajaran ringkas yang boleh diambil daripada Surah Yusuf Ayat 96, yang mengisahkan pemulihan penglihatan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ setelah baju Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diletakkan di wajahnya:

1. Kekuatan Keyakinan Mutlak (Yaqin). Kelegaan dan penyembuhan boleh berlaku serta-merta hanya melalui janji yang pasti (baju Yusuf sebagai tanda), walaupun pertemuan sebenar belum berlaku. Ini menunjukkan bahawa kepercayaan mutlak kepada janji Allah sudah cukup untuk memberikan ketenangan dan kebahagiaan, malah penyembuhan fizikal,.

2. Penebusan Dosa Melalui Kebaikan. Peristiwa ini mengajar tentang prinsip (إِنَّ الحَسَنٰتِ يُذهِبنَ السَّيِّئَاتِ), di mana perbuatan-perbuatan baik menghapuskan dosa perbuatan buruk. Pembawa khabar gembira (Al-Basyir) yang dipercayai membawa baju kegembiraan (mungkin Yahuda) adalah individu yang sama yang dahulu membawa baju palsu berlumuran darah, berharap untuk menebus kesalahannya yang lalu.

3. Keutamaan Memulihkan Iman, Bukan Membalas Dendam. Ketika kebenaran terbongkar dan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berada dalam kedudukan yang paling berkuasa untuk menghukum, baginda memilih untuk tidak memarahi atau membalas dendam. Sebaliknya, baginda menggunakan kata-kata peringatan yang lembut: “Tidakkah aku katakan kepadamu, bahawa aku mengetahui dari Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya”.

4. Membimbing Kepada Taubat. Matlamat utama Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah untuk memulihkan iman anak-anaknya, bukan untuk membuat mereka malu di hadapannya. Peringatan itu dibuat untuk mendorong mereka berasa malu di hadapan Allah ‎ﷻ dan memberi inspirasi kepada mereka untuk bertaubat dengan ikhlas.

5. Gandingan Sifat Sabar dan Syukur. Kejadian ini membuktikan balasan yang diterima oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ atas kesabarannya yang bersumber dari kepercayaannya kepada Allah ‎ﷻ. Kesabaran Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam ujian dan kegembiraan serta-merta baginda setelah menerima janji menunjukkan bahawa syukur adalah enjin yang menggerakkan kesabaran.

 

 

Kuiz Uji Kefahaman

Jawab soalan-soalan berikut dalam 2-3 ayat berdasarkan pemahaman anda daripada teks tafsir.

1. Siapakah yang dikenal pasti sebagai ٱلبَشِيرُ (pembawa khabar gembira) menurut Tafsir Klasik, dan apakah motivasinya?

2. Apakah fungsi tatabahasa dan makna penambahan huruf أَن dalam frasa فَلَمَّآ أَن جَآءَ ٱلبَشِيرُ?

3. Bagaimanakah teks tafsir membezakan keadaan adik-beradik Yusuf ketika mereka membawa bajunya kali ini berbanding kali pertama?

4. Apakah tindakan pertama yang dilakukan oleh ٱلبَشِيرُ setibanya di hadapan Nabi Ya’qub, dan mengapa dia berbuat demikian?

5. Apakah yang ditunjukkan oleh penggunaan kalimah فَلَمَّآ berkaitan dengan pemulihan penglihatan Nabi Ya’qub?

6. Apakah analogi yang digunakan dalam teks untuk menjelaskan bagaimana “baju Yusuf” memberi kelegaan kepada Nabi Ya’qub walaupun sebelum bertemu semula dengannya?

7. Selepas penglihatannya pulih, apakah perkara utama yang Nabi Ya’qub ingatkan kepada anak-anaknya?

8. Menurut teks, apakah keutamaan Nabi Ya’qub pada saat kebenaran terbongkar, dan mengapa ia dianggap sebagai hadiah terbesar seorang bapa?

9. Apakah dua sifat utama yang sengaja ditonjolkan oleh Al-Qur’an pada watak Nabi Ya’qub dan Nabi Yusuf?

10. Bagaimanakah teks menjelaskan hubungan antara sabar dan syukur, dengan menggunakan Nabi Nuh sebagai contoh sokongan?

 

Glosari Istilah Penting

Istilah
Definisi
ٱلبَشِيرُ (Al-Basyir)
Bermaksud “pembawa khabar gembira”. Dalam konteks ini, ia merujuk kepada individu, kemungkinan besar Yahuda, yang membawa baju Nabi Yusuf kepada Nabi Ya’qub.
أَن الزائدة (‘an’ al-za’idah)
Penggunaan tatabahasa Arab di mana huruf أَن ditambah selepas لَمَّآ untuk tujuan penegasan atau penguatan makna, tanpa mengubah maksud asal ayat.
فَلَمَّآ (Falamma)
Kalimah dalam bahasa Arab yang menunjukkan sesuatu peristiwa itu berlaku dengan serta-merta atau terus sahaja selepas peristiwa sebelumnya.
Sabar
Sifat utama yang ditonjolkan pada watak Nabi Ya’qub, yang menahan penderitaan selama berdekad-dekad dengan keyakinan penuh kepada janji Allah.
Syukur
Sifat utama yang ditonjolkan pada watak Nabi Yusuf, sama ada ketika di dalam penjara atau ketika menjadi pemerintah. Ia dianggap sebagai enjin yang menggerakkan kesabaran.
Dakwah
Usaha menyeru atau mengajak orang lain kepada kebaikan atau keinsafan. Nabi Ya’qub menggunakan momen pemulihan penglihatannya sebagai peluang dakwah untuk menyedarkan anak-anaknya.
Yahuda
Nama salah seorang abang Nabi Yusuf yang disebut oleh tafsir klasik sebagai individu yang membawa baju Nabi Yusuf untuk menebus kesalahannya membawa baju berlumuran darah sebelum ini.

 

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 18 Disember 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 95 (Muslim namun tiada adab)

Yusuf Ayat 95:

قَالُواْ تَٱللَّهِ إِنَّكَ لَفِى ضَلَـٰلِكَ ٱلقَدِيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “By Allāh, indeed you are in your [same] old error.”

(MALAY)

Keluarganya berkata: “Demi Allah, sesungguhnya kamu masih dalam kekeliruanmu yang dahulu”.

 

قالوا تَاللهِ

Keluarganya berkata: “Demi Allah,

Keluarga baginda yang menjaga Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pada waktu itu, yang tinggal dengan baginda waktu itu, kehairanan dengan apa yang dikatakan oleh baginda. Mana mungkin baginda boleh mencium bau orang dari jauh?

 

إِنَّكَ لَفِى ضَلَـٰلِكَ ٱلقَدِيمِ

sesungguhnya kamu masih dalam kekeliruanmu yang dahulu”.

Mereka pun merendahkan kata-katanya itu. Mereka kata baginda dalam kesilapan yang amat lama. Kalimah ضلال di dalam ayat ini bukanlah bermaksud kesesatan dalam agama akan tetapi kesilapan. Iaitu mereka kata kenapalah baginda masih lagi menyangka Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dapat hidup sekian lama, sampai boleh tercium baunya pula? Atau mereka kata teruk betul baginda kerana masih lagi sayang terlajak kepada anaknya yang seorang itu. Mereka mengatakan kalimat yang kurang ajar terhadap baginda, padahal kata-kata itu tidak layak mereka katakan kepada seorang tua, apatah lagi baginda merupakan seorang Nabi Allah!

Reaksi sinis dan menghina yang diterima oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini bukan datang daripada anak-anaknya (abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) kerana mereka masih dalam perjalanan. Sebaliknya, ia datang daripada ahli keluarga yang lain, mungkin cucu-cucu dan menantunya. Dari mana mereka belajar sikap ini? Kenapa mereka boleh sampai cakap begitu kepada seorang yang tua yang patut dihormati dan malah seorang Nabi? Kerana mereka mewarisi sikap daripada bapa-bapa mereka dan suami-suami mereka yang tidak guna itu.

Di sini ada terdapat pengajaran yang menakutkan: Adab buruk yang tidak dibendung dalam satu generasi akan bermutasi dan merebak menjadi sesuatu yang lebih buruk kepada generasi seterusnya. Dahulu, abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengata bapa mereka di belakang baginda. Kini, anak-anak mereka menghina datuk mereka secara berdepan kerana mereka pun telah biasa mendengar kata bapa-bapa dan suami mereka itu. Ini mengingatkan kita yang keluarga kita terutama sekali anak-anak akan meniru perbuatan dan amalan kita. Mereka belajar daripada kita walaupun kita tidak berniat mengajar mereka. Ini kerana mereka melihat kita ibubapa sebagai contoh dalam kehidupan ini. Maka ini mengandungi pengajaran kepada kita supaya berhati-hati dengan tingkah laku kita di hadapan mereka. Kena fikirkan: Apa yang aku hendak anak aku belajar daripada aku? Kalau tidak dididik dengan baik, jadi seperti anak cucu Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ inilah nanti. Lihatlah bagaimana mereka berkata dengan angkuh: “Demi Allah, sesungguhnya kamu benar-benar masih dalam kekeliruanmu yang lama.”

Ini kerana mereka sudah biasa mendengar bapa-bapa mereka mengutuk datuk mereka itu. Kita pun telah baca sebelum ini dalam Ayat 8,

إِنَّ أَبانا لَفي ضَلٰلٍ مُّبينٍ
Sesungguhnya bapa kita adalah dalam kekeliruan yang nyata.

Namun perhatikan, ketika itu mereka cakap di belakang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kemudian lihat pula di dalam Ayat 85,

قَالُواْ تَٱللَّهِ تَفتَؤُاْ تَذڪُرُ يُوسُفَ حَتَّىٰ تَكُونَ حَرَضًا أَو تَكُونَ مِنَ ٱلهَـٰلِكِينَ
Mereka berkata: “Demi Allah, senantiasa kamu mengingati Yusuf, sehingga kamu mengidapkan penyakit yang berat atau termasuk orang-orang yang binasa”.

Ssekarang lihatlah anak-anak mereka pun sanggup menggunakan تَٱللَّهِ itu berdepan dengan Datuk mereka. Alangkah kurang ajarnya mereka itu! Begitulah apabila kesalahan itu bermutasi, ia menjadi semakin teruk daripada sebelumnya kerana ia tidak dibendung dari awal.

Lagi satu yang perlu dibersihkan daripada perbuatan masyarakat kita adalah menggunakan anak-anak sebagai alat untuk menjatuhkan maruah ahli keluarga lain. Sebagai contoh, kadangkala suami isteri berkelahi, anak dan bapa tidak bertegur sapa, atau adik-beradik yang tidak sehaluan. Kadangkala kita perhatikan ada yang mengajar anak untuk menghina pasangan (atau bekas pasangan kalau telah bercerai), menghina datuk atau bapa saudara mereka. Ini sangat teruk sekali. Kita yang berkelahi, kita yang menurunkan/wasiatkan kebencian kita kepada anak-anak pula. Ini sama seperti yang dilakukan oleh kaum Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Mereka ajar anak-anak mereka untuk kutuk Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, jangan dengar cakap Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kerana itulah turun temurun masyarakat itu membenci Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Namun apa yang kita belajar daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Baginda tidak membenci anak keturunan abang-abangnya itu kerana anak-anak itu tidak bersalah. Jadi jangan kita kucar-kacirkan keluarga kita. Kalau berkelahi itu, simpan sahaja di antara individu yang berkelahi. Jangan gunakan orang lain pula. 

Perhatikan, mereka menggunakan kalimah تَٱللَّهِ dan sekarang anak-anak mereka pun menggunakannya juga. Ironinya, lafaz sumpah “Tallahi” (Demi Allah) pernah digunakan oleh moyang mereka Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, untuk menentang berhala. Kini, keturunannya menggunakan lafaz yang sama untuk merendah-rendahkan seorang Nabi Allah, iaitu bapa dan datuk mereka sendiri.

Jika benar mereka fikir dia nyanyuk, mengapa perlu membalas kata-kata baginda? Sepatutnya dibiarkan sahaja baginda dan jangan diganggu. Maknanya, mereka itu orang yang sudah teruk adab mereka. Reaksi tajam mereka mendedahkan sejenis penyakit hati. Terdapat segelintir manusia yang tidak boleh tahan melihat kebahagiaan, ketenangan, atau kelegaan pada orang lain. Apabila mereka melihat seseorang gembira, mereka merasa satu desakan untuk melontarkan komen negatif untuk merosakkan detik itu. Ia seolah-olah satu bisikan syaitan yang membuatkan seseorang itu ketagih untuk menjatuhkan semangat orang lain. Reaksi mereka yang begitu keras menunjukkan ada sesuatu yang lebih mendalam, iaitu satu keresahan melihat orang lain menemui kebahagiaan, dan satu keperluan untuk mengawal naratif kesedihan di sekeliling mereka. Ini adalah penyakit hati yang harapnya kita boleh kesan dalam diri kita dan menghilangkannya. Apa salahnya melihat orang lain bergembira? Kegembiraan orang yang rapat dengan kita sebenarnya adalah kegembiraan kitalah patutnya, bukan? Kenapa hendak sentap? 

Satu lagi adalah kita belajar bagaimana kejahatan terus berleluasa. Dalam sebuah keluarga yang besar, mustahil semua orang bersikap jahat. Akan ada sahaja yang jahat dan busuk hati. Akan tetapi, takkan semua begitu? Berkemungkinan besar, ada di antara ahli keluarga itu yang bersimpati dengan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga. Takkan semua teruk sangat? Namun, tiada seorang pun yang tampil untuk membelanya. Mengapa? Ini adalah gambaran “mentaliti kumpulan” (mob mentality). Apabila budaya membuli dan merendah-rendahkan sudah berleluasa, mereka yang baik akan memilih untuk berdiam diri kerana takut menjadi sasaran buli seterusnya. Ironinya, keluarga ini bertindak seperti “sekawan serigala”, di mana kisah ini bermula dengan serigala dijadikan sebagai alasan palsu atas kejahatan mereka. Dalam Islam, sikap berdiam diri dan hanya menjadi pemerhati terhadap kezaliman juga dikira sebagai satu kesalahan.

Orang yang beriman perlu bersuara menentang kezaliman, walaupun ia mungkin akan mendatangkan kesusahan yang memerlukan kesabaran. Membiarkan kezaliman berlaku tanpa bantahan hanya akan membuatkan ia terus subur. Kalau kita terus berdiam diri kerana takut, akan banyak lagi keburukan yang terjadi. Maka sudah-sudahlah menjaga keselamatan diri sampai orang lain terzalimi. Anda ada suara kot, Allah sudah bagi suara dan akal, kenapa tidak digunakan dengan sewajarnya? Entah-entah, kalau anda mula bersuara, ada orang lain yang akan ikut anda juga dan ini dapat menyelamatkan orang lain. 

Ya Allah… kisah agung ini meninggalkan kita dengan sebuah persoalan asas: Di manakah kita mencari nilai dan kemuliaan diri kita? Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dihina dan dianggap tidak waras oleh keluarganya sendiri. Namun, di sisi Allah, baginda adalah seorang hamba yang begitu mulia sehingga para malaikat dihantar untuk memberinya kelegaan. Ini mengajar kita bahawa nilai sejati seseorang datang daripada hubungannya dengan Allah ‎ﷻ, bukan daripada pengiktirafan orang sekeliling. Orang sekeliling selalunya tidak tahu apa-apa. Kata-kata hina manusia tidak akan mampu merampas kemuliaan yang hidup di dalam diri, kerana kemuliaan itu adalah anugerah daripada Tuhanku.

Sebagai renungan, marilah kita bertanya kepada diri sendiri: “Dalam kehidupan kita, adakah kita menjadi sumber kelegaan bagi orang lain, atau tanpa sedar, kita menjadi punca yang memadamkan harapan mereka?” Teringat kata-kata yang lebih kurang berbunyi: “Kalau tidak boleh jadi garam untuk mengawet ikan, sekurang-kurangnya jangan jadi ulat yang menyebabkan ikan itu busuk.”

Satu hakikat yang paling mengejutkan daripada kisah ini adalah bagaimana ahli keluarga seorang Nabi boleh berkelakuan buruk. Anak cucu Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah orang-orang yang beragama Islam tentunya, berasal pula daripada keturunan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang hebat itu, dan mengamalkan ritual agama. Kita pun telah lihat mereka pun ada sebut nama Allah, bukan? Namun, ini tidak menghalang mereka daripada memfitnah, menipu, dan tidak menghormati bapa dan atuk mereka sendiri. Ini mengajar kita satu realiti pahit: Amalan luaran semata-mata tidak menjamin kesempurnaan akhlak. Orang yang solat, belum tentu orang yang baik lagi. Kegagalan mereka berpunca daripada satu tindakan dalaman yang berbahaya: Mereka memisah-misahkan agama mereka. Mereka berpegang pada sebahagian ajaran (seperti ritual dan kepercayaan), atau pentingkan sangat bab pakaian, tetapi melepaskan bahagian yang lain (seperti adab dan hormat kepada orang tua) seolah-olah ia tiada kaitan dengan identiti keimanan mereka. Mereka tidak tahukah yang adab dan akhlak adalah bahagian besar di dalam agama? Ini jelas dari hadis, 

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: “إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الأَخْلاَقِ”
Daripada Abu Hurairah , beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya aku diutus hanyalah untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.

Rujukan: Riwayat Imam Ahmad (dalam Musnad), Imam al-Bukhari (dalam Al-Adab al-Mufrad), dan Imam al-Hakim (dalam Al-Mustadrak). Hadith ini disahihkan oleh ramai ulama hadith seperti Imam al-Hakim, dan dihasankan oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’ut. Maknanya adalah sahih dan disepakati.

Analogi terbaik untuk memahaminya adalah seperti sebuah taman. Anda mungkin mempunyai tanah yang paling subur, air, dan cahaya matahari yang mencukupi; maknanya semua keadaan luaran yang sempurna. Namun, jika benih yang ditanam itu sendiri rosak, ia tetap tidak akan tumbuh dengan baik walaupun kita telah sediakan tanah yang bagus, air yang mencukupi dan baja yang sesuai. Ironinya, moyang mereka, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah antitesis kepada keadaan ini: Baginda adalah benih yang sempurna di tengah-tengah padang pasir yang kontang. Baginda dikelilingi oleh persekitaran yang memusuhi iman, akan tetapi baginda dapat tumbuh menjadi sebatang pohon tauhid yang rendang. Sebaliknya, cicit-cicitnya berada dalam “taman” yang paling subur, dididik oleh seorang Nabi, tetapi gagal menyerap nilai-nilai murni. Ini adalah peringatan bahawa Islam bukan hanya tentang ritual, tetapi sebuah pakej lengkap yang merangkumi adab dan kemuliaan akhlak. Kadang-kadang kita lihat orang yang menjaga solat, penampilannya seperti berjanggut, memakai jubah dan sebagainya, namun malang sekali akhlak tidak ada. Jadi tentu ada sesuatu yang tidak kena di situ. Mereka ini luaran sahaja nampak Muslim, namun hakikat sebenarnya, kefahaman agama mereka kurang. 

 

Pengajaran Ringkas daripada Ayat 95

Pewarisan Adab Buruk. Adab buruk yang tidak dibendung dalam satu generasi akan bermutasi dan merebak menjadi sesuatu yang lebih teruk kepada generasi seterusnya. Anak-anak cucu Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menghina datuk mereka secara berdepan, berbeza dengan bapa mereka yang mengata di belakang sebelum ini.

Contoh Ibu Bapa. Kanak-kanak akan meniru perbuatan dan amalan yang mereka lihat. Oleh itu, ibu bapa perlu berhati-hati dengan tingkah laku mereka di hadapan anak-anak kerana mereka belajar melalui teladan.
Eskalasi Kurang Ajar. Apabila kesalahan (seperti kurang ajar terhadap orang tua) tidak dibendung dari awal, ia boleh bermutasi menjadi semakin teruk.
Penyakit Hati. Reaksi tajam dan sinis keluarga yang merendahkan kata-kata Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menunjukkan penyakit hati. Terdapat manusia yang tidak tahan melihat kebahagiaan, ketenangan, atau kelegaan pada orang lain, lalu merasa terdesak untuk melontarkan komen negatif bagi merosakkan detik gembira itu.

Nilai Sejati di Sisi Allah. Walaupun Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dihina dan dianggap keliru atau nyanyuk oleh keluarganya sendiri, nilai sejati seseorang datang daripada hubungannya dengan Allah, bukan daripada pengiktirafan atau kata-kata hinaan orang sekeliling.

Kewajipan Bersuara Menentang Kezaliman. Kisah ini menggambarkan “mentaliti kumpulan” (mob mentality) di mana ahli keluarga yang bersimpati memilih untuk berdiam diri kerana takut menjadi sasaran. Sikap berdiam diri dan hanya menjadi pemerhati kepada kezaliman juga dikira sebagai satu kesalahan dalam Islam. Kita perlu bersuara menentang kezaliman kerana membiarkan ia berlaku akan membuatkan keburukan terus subur.

Kekurangan Akhlak dalam Amalan Agama. Ayat ini menunjukkan realiti pahit bahawa amalan luaran agama (seperti menggunakan lafaz sumpah Tallahi atau mengamalkan ritual) tidak menjamin kesempurnaan akhlak dan adab jika adab dan hormat kepada orang tua dipisahkan daripada identiti keimanan.

 

Kuiz Pemahaman

Jawab soalan-soalan berikut dalam 2-3 ayat berdasarkan pemahaman anda terhadap teks sumber.

1. Siapakah yang mengucapkan kata-kata penghinaan dalam Ayat 95 kepada Nabi Ya’qub, dan mengapa ia bukan diucapkan oleh anak-anaknya (abang-abang Nabi Yusuf)?

2. Apakah maksud sebenar kalimah ضَلَال (kekeliruan) dalam konteks ayat ini, dan apakah yang disalah anggap oleh keluarga Nabi Ya’qub?

3. Bagaimanakah sikap kurang ajar generasi baharu ini berbeza dengan sikap generasi sebelumnya (abang-abang Nabi Yusuf)?

4. Apakah pengajaran menakutkan tentang adab buruk yang tidak dibendung, seperti yang ditunjukkan oleh keluarga Nabi Ya’qub?

5. Apakah ironi di sebalik penggunaan lafaz sumpah تَٱللَّهِ (Demi Allah) oleh keturunan Nabi Ya’qub terhadap baginda?

6. Apakah “penyakit hati” yang didedahkan oleh reaksi tajam ahli keluarga Nabi Ya’qub apabila baginda menunjukkan tanda-tanda kelegaan?

7. Jelaskan bagaimana konsep “mentaliti kumpulan” (mob mentality) berlaku dalam keluarga Nabi Ya’qub dan apakah kesannya?

8. Menurut tafsiran, apakah tanggungjawab seorang mukmin apabila menyaksikan kezaliman, dan apakah akibat jika hanya berdiam diri?

9. Berdasarkan kisah Nabi Ya’qub, dari manakah datangnya nilai dan kemuliaan sejati seseorang?

10. Apakah realiti pahit yang diajarkan oleh kisah ini mengenai hubungan antara amalan agama luaran dan kesempurnaan akhlak?

 

Glosari Istilah Utama

Istilah
Definisi Berdasarkan Konteks
ضَلَال (Ḍalāl)
Dalam konteks Ayat 95, ia merujuk kepada “kesilapan” atau “kekeliruan,” bukan kesesatan akidah. Ia digunakan untuk menuduh Nabi Ya’qub masih berada dalam kesilapan lamanya kerana terlalu mengharapkan kepulangan Nabi Yusuf.
تَٱللَّهِ (Tallahi)
Lafaz sumpah yang bermaksud “Demi Allah.” Dalam kisah ini, ia digunakan secara ironis oleh keturunan Nabi Ya’qub untuk menguatkan penghinaan mereka terhadap seorang Nabi, berbeza dengan penggunaannya oleh moyang mereka Nabi Ibrahim untuk menentang syirik.
Penyakit Hati
Satu keadaan rohani di mana seseorang tidak tahan melihat kebahagiaan, ketenangan, atau kelegaan pada orang lain dan merasakan desakan untuk merosakkan kegembiraan tersebut dengan kata-kata atau tindakan negatif.
Mentaliti Kumpulan (Mob Mentality)
Fenomena di mana individu yang baik dalam sebuah kumpulan memilih untuk berdiam diri dan tidak menentang kezaliman atau buli kerana takut menjadi sasaran seterusnya. Sikap ini membolehkan kejahatan terus berleluasa tanpa bantahan.
Akhlak
Kemuliaan adab dan tingkah laku. Menurut hadis yang dipetik, menyempurnakan kemuliaan akhlak adalah tujuan utama Rasulullah ﷺ diutuskan, menunjukkan ia adalah komponen penting dan tidak terpisah daripada ajaran Islam.
Mutasi Kesalahan
Idea bahawa kesalahan atau adab buruk yang tidak dibendung akan berkembang dan menjadi lebih teruk pada generasi yang akan datang. Contohnya, daripada mengumpat di belakang kepada menghina secara berhadapan.
Muslim tapi tiada adab
Frasa yang menggambarkan individu yang mengamalkan ritual agama (seperti solat atau menyebut nama Allah) tetapi gagal menunjukkan adab dan akhlak yang mulia dalam pergaulan, terutamanya terhadap orang tua dan ahli keluarga.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 17 Disember 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)