Tafsir Surah Yusuf Ayat 101 Bahagian 2 (Doa Mati yang Baik)

أَنتَ وَلِىِّۦ فِى ٱلدُّنيَا وَٱلأَخِرَةِ

Engkaulah Pelindungku di dunia dan di akhirat,

Nabi Yusuf عليه السلام mengaku yang Allah ‎ﷻ adalah penolong baginda sepanjang masa. Allah ‎ﷻ sentiasa sahaja bersama baginda walaupun baginda dalam kesusahan dan menerima musibah dan ujian. Allah ‎ﷻ tidak pernah tinggalkan baginda. Baginda dipisahkan dari bapanya, dibuang oleh abang-abangnya. Maknanya baginda tidak ada sesiapa yang melindunginya dari kecil sehinggalah baginda dewasa. Akan tetapi baginda sedar yang Allah sentiasa bersama.

Kalimah ini banyak digunakan oleh umat Islam. Jadi mari kita bincangkan secara mendalam sedikit. Perkataan “وَلِيٍّ” (waliyy) dalam bahasa Arab mempunyai beberapa makna utama, bergantung kepada konteks penggunaannya. Secara asas, “الولي” berasal daripada akar kata و ل ي yang bermaksud rapat; dekat; ikut; berpaling; jalan belok; menjalankan; berada dalam kuasa; mengambil sebagai kawan; melindungi; mempertahankan; membuat kawan; penolong; sekutu; pengganti; penjaga; pewaris; pembela; warisan; penaung; tuan; pemilik; pelindung; dermawan; pelanggan; tempat tumpuan. Berikut adalah makna-makna utama “وَلِيٍّ” menurut sumber-sumber klasik:

1. Penolong, Pelindung, dan Penjaga. Kalimah “الولي” bermaksud penolong, pelindung, atau penjaga, iaitu seseorang yang dekat dan bertanggungjawab terhadap urusan orang lain. Dalam konteks agama, Allah disebut sebagai “ولي” bagi orang beriman, bermaksud Allah adalah pelindung, penolong, dan yang mengurus urusan mereka. Perhatikan Baqarah:257 الله ولي الذين آمنوا (Allah Pelindung orang-orang yang beriman). 

2. Orang yang Mengurus atau Mentadbir. Kalimah “الولي” juga bermaksud orang yang mengurus atau mentadbir sesuatu urusan, seperti wali kepada anak yatim, wali dalam pernikahan, atau pemerintah yang mentadbir urusan rakyat.

3. Sahabat, Kekasih, atau Orang yang Rapat. Dalam makna lain, “الولي” juga bermaksud sahabat, kekasih, atau orang yang sangat rapat, lawan kepada “عدو” (musuh). Mereka ini yang selalu membantu kita dan selalu bersama dengan kita.

4. Makna-makna Lain. Kalimah “الولي” boleh juga bermaksud “mereka yang mewarisi” (dalam konteks warisan). Dalam konteks sosial, ia boleh bermaksud jiran, pembantu, atau orang yang membela.

Nabi Yusuf sebut di sini yang Allah adalah wali kepada baginda. Yang selalu bersama baginda, memberi perlindungan kepada baginda. Baginda tidak kata baginda yang sendiri dekat dengan Allah, sebaliknya kata Allah yang dekat dengan baginda. Ada perbezaan di situ, bukan?

Kemudian, ada satu lagi istilah yang datang dari kata dasar yang sama, المَولىٰ. Ini seperti digunakan di dalam Anfal:40

وَإِن تَوَلَّوا فَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ مَولىٰكُم ۚ نِعمَ المَولىٰ وَنِعمَ النَّصيرُ
Dan jika mereka berpaling, maka ketahuilah bahwasanya Allah Pelindungmu. Dia adalah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong.

Berikut adalah perbezaan antara Al-Wali (الولي) dan Al-Mawla (المولى):

1. Al-Wali (الولي)

Kalimah ini lebih menekankan aspek kedekatan (proximity) dan kasih sayang. Makna: Pelindung, teman setia, atau penolong yang sangat dekat.

Nuansa: Ia menggambarkan hubungan yang bersifat peribadi dan penuh kasih sayang. Apabila Allah disebut sebagai Wali, ia bermakna Allah sangat dekat dengan hamba-Nya, menjaga urusan mereka, dan mencintai mereka. Contoh dalam Al-Qur’an adalah Baqarah:257.

Wali ini adalah sifat seseorang yang mahu membantu, ada keinginan dan potensi untuk membantu. Tapi tidaklah semestinya sekarang. Sebagai contoh saya mungkin berkawan dengan awak dan ingin membantu awak. Akan tetapi ketika saya tidur, saya tidaklah sedang bertindak sebagai kawan. Tapi kita tahu yang apabila awak memerlukan saya, saya akan datang kerana kita kawan.

2. Al-Mawla (المولى)

Kalimah ini lebih menekankan aspek autoriti, ketuanan, dan pembelaan. Makna: Tuan, Pemilik, atau Pelindung yang mempunyai kuasa mutlak.

Nuansa: Ia menggambarkan hubungan antara “Tuan dan Hamba” atau “Pemimpin dan Pengikut”. Al-Mawla adalah pihak yang memberikan perlindungan kerana dia mempunyai kuasa dan kekuatan untuk membela. Contoh dalam Al-Qur’an adalah Anfal:40.

Kalau المولى pula ia bukan bercakap tentang potensi lagi, tapi memang sedang dilakukan. Kalau contoh kawan rapat, dia sedang membantu kawan dia. Ini lebih dijelaskan lagi di dalam Muhammad:11

ذٰلِكَ بِأَنَّ اللهَ مَولَى الَّذينَ ءآمَنوا وَأَنَّ الكٰفِرينَ لا مَولىٰ لَهُم
Yang demikian itu kerana sesungguhnya Allah adalah pelindung orang-orang yang beriman dan sesungguhnya orang-orang kafir itu tidak mempunyai pelindung.

Di dalam Muhammad:11 ini kita diberitahu yang hanya orang Mukmin sahaja yang ada المولى. Sedangkan di dalam Baqarah:11 kita diberitahu yang orang kafir pun ada وَلِيُّ. Perhatikan ayat penuhnya,

اللَهُ وَلِيُّ الَّذينَ ءآمَنوا يُخرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمٰتِ إِلَى النّورِ ۖ وَالَّذينَ كَفَروٓا أَولِياؤُهُمُ الطّٰغوتُ يُخرِجونَهُم مِّنَ النّورِ إِلَى الظُّلُمٰتِ
Allah Pelindung orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka daripada kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur).

Jadi kita diberitahu yang orang kafir ada وَلِيُّ malah mereka ada banyak wali dan kerana itu digunakan kalimah أَولِياؤُ (jamak bagi وَلِيُّ) tapi mereka tidak ada المولى. Tidak ada yang dapat membantu menyelamatkan mereka dari Allah. Hanya orang Mukmin sahaja yang ada المولى iaitu Allah. Jadi Allah adalah وَلِيُّ dan juga مولى bagi kita.

Maksud “وَلِيِّي فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ” dalam ayat ini ialah Allah adalah pelindung, penolong, dan pengurus urusan Nabi Yusuf bukan sahaja di dunia, tetapi juga di akhirat. Para mufassir menjelaskan bahawa “wali” di sini bermaksud Allah yang mengurus, menjaga, dan memberikan kebaikan kepada hamba-Nya dalam segala urusan, termasuk urusan akhirat seperti keselamatan dari azab, kemuliaan, dan penyertaan bersama golongan yang soleh. Imam al-Tabari menyebut: ﴾أنت وليي في دنياي على من عاداني وأرادني بسوء بنصرك، وتغذوني فيها بنعمتك، وتليني في الآخرة بفضلك ورحمتك﴿ Maksudnya: “Engkaulah pelindungku di dunia terhadap sesiapa yang memusuhiku dan menginginkan keburukan padaku dengan pertolongan-Mu, Engkau juga yang memberiku nikmat di dunia, dan Engkau yang mengurusku di akhirat dengan kelebihan dan rahmat-Mu”.

Imam al-Razi pula menyatakan: ﴾أنت الذي تتولى إصلاح جميع مهماتي في الدنيا والآخرة﴿ Maksudnya: “Engkaulah yang mengurus dan memperbaiki semua urusanku di dunia dan di akhirat”. Tafsir al-Baydawi juga menegaskan: ﴾أنت وليي ناصري ومتولي أمري في الدنيا والآخرة أو الذي يتولاني بالنعمة فيهما﴿ Maksudnya: “Engkaulah penolongku dan yang mengurus urusanku di dunia dan akhirat, atau yang melimpahkan nikmat kepadaku pada kedua-duanya”. Justeru, maksud “wali” di akhirat ialah Allah yang akan menjaga, melindungi, memberi rahmat, dan memasukkan Nabi Yusuf ke dalam golongan orang-orang yang soleh serta menyempurnakan segala kebaikan untuknya di akhirat, sebagaimana Allah menjadi pelindung dan penolongnya di dunia.

 

تَوَفَّني مُسلِمًا

wafatkanlah aku dalam keadaan Islam

Sekarang baru masuk doa permintaan dari Nabi Yusuf. Sebelum ini baginda buat apa? Baginda memuji-muji Allah. Memuji Allah sebelum berdoa adalah satu adab yang sangat ditekankan dalam Islam dan mempunyai beberapa kepentingan utama:

1. Mencontohi Sunnah Nabi ﷺ. Rasulullah ﷺ mengajarkan agar seseorang memulakan doa dengan memuji Allah dan berselawat ke atas Nabi sebelum menyatakan hajatnya. Dalam hadis sahih, Nabi ﷺ bersabda:

عَنْ فَضَالَةَ بْنِ عُبَيْدٍ قَالَ: بَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَاعِدٌ، إِذْ دَخَلَ رَجُلٌ فَصَلَّى، فَقَالَ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «عَجِلْتَ أَيُّهَا الْمُصَلِّي، إِذَا صَلَّيْتَ فَقَعَدْتَ فَاحْمَدِ اللَّهَ بِمَا هُوَ أَهْلُهُ، وَصَلِّ عَلَيَّ، ثُمَّ ادْعُهُ. قَالَ: ثُمَّ صَلَّى رَجُلٌ آخَرُ بَعْدَ ذَلِكَ، فَحَمِدَ اللَّهَ وَصَلَّى عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَيُّهَا الْمُصَلِّي، ادْعُ تُجَبْ
Daripada Fadhalah bin Ubaid, beliau menceritakan: “Ketika Rasulullah ﷺ sedang duduk, tiba-tiba seorang lelaki masuk lalu menunaikan solat. Kemudian (setelah selesai solat) lelaki itu berdoa: ‘Ya Allah, ampunilah aku dan rahmatilah aku’. Maka Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Kamu telah terburu-buru, wahai orang yang solat! Apabila kamu telah solat dan kamu duduk (untuk berdoa), maka pujilah Allah dengan pujian yang layak bagi-Nya, dan berselawatlah ke atasku, kemudian barulah berdoa kepada-Nya.’ Kemudian, selepas itu seorang lelaki lain pula solat. (Setelah selesai solat), dia pun memuji Allah dan berselawat ke atas Nabi ﷺ. Maka Nabi ﷺ bersabda kepadanya: ‘Wahai orang yang solat, berdoalah (sekarang), nescaya doamu akan dikabulkan!'”

Sunan al-Tirmidzi: Hadis No. 3477 (Beliau mengatakan: Hadis ini Hasan Sahih); Sunan Abu Dawud: Hadis No. 1481; Sunan al-Nasa’i: Hadis No. 1284.

2. Lebih Mudah Diterima. Memuji Allah sebelum berdoa menjadikan doa lebih mudah diterima. Para ulama menyatakan bahawa memulakan doa dengan pujian dan sanjungan kepada Allah adalah lebih dekat untuk dikabulkan kerana ia menunjukkan kerendahan hati dan pengakuan terhadap keagungan Allah. Allah berfirman di dalam A’raf:55

ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri (tadharru’) dan dengan suara yang perlahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”

3. Mengakui Keagungan dan Nikmat Allah. Dengan memuji Allah, seseorang mengakui segala nikmat, keagungan, dan kekuasaan Allah. Ini adalah bentuk pengabdian dan pengakuan bahawa hanya Allah yang layak dipuji dan dimohon pertolongan.

4. Mengikuti Adab Para Nabi. Para nabi seperti Nabi Ibrahim, Nabi Yunus dan sekarang kita lihat juga Nabi Yusuf memulakan doa mereka dengan pujian kepada Allah sebelum menyatakan permintaan mereka.

5. Membuka Pintu Keikhlasan dan Kekhusyukan. Memuji Allah sebelum berdoa membantu menanamkan rasa keikhlasan dan kekhusyukan dalam hati, serta mengingatkan diri bahawa segala sesuatu adalah milik Allah dan hanya Dia yang berkuasa memberi pertolongan.

6. Menjadi Sebahagian dari Tauhid dan Pengesaan Allah. Memuji Allah dengan nama-nama-Nya yang indah dan sifat-sifat-Nya yang mulia adalah sebahagian daripada tauhid dan pengesaan Allah, sebagaimana firman-Nya di dalam A’raf:180

وَلِلَّهِ الأَسماءُ الحُسنىٰ فَادعوهُ بِها
Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu

7. Membuka “Pintu Langit”. Para ulama menjelaskan bahawa pujian kepada Allah (seperti membaca Alhamdulillah, Subhanallah, atau Asma’ul Husna) bertindak sebagai “pembuka” kepada pintu rahmat. Sebagaimana kita tidak akan meminta hajat kepada seorang raja sebelum memberikan salam dan penghormatan, begitulah kiasannya dengan Allah yang Maha Raja.

8. Meniru Pola Surah Al-Fatihah. Allah SWT mengajar kita cara berdoa yang terbaik melalui Surah Al-Fatihah. Allah mengajar kita memuji-Nya dahulu sebelum meminta hidayah. Perhatikan susunannya:

Pujian: Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin… (Ayat 1-4).
Ikrar Penghambaan: Iyyaka Na’budu… (Ayat 5).
Permohonan (Doa): Ihdinas Siratal Mustaqim… (Ayat 6).

Sekarang kita lihat kandungan doa Nabi Yusuf. Baginda telah dapat segala nikmat yang telah disebut tadi dan banyak lagi. Sekarang baginda berdoa supaya bila sampai masa nanti, apabila telah habis ajal baginda, baginda minta dimatikan baginda sebagai seorang Muslim. Maksudnya supaya mati dalam tauhid. Ini penting kerana kita dikira dan dinilai dengan iman kita semasa kita mati. Rasulullah telah bersabda,

وَإِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالخَوَاتِيمِ
“Sesungguhnya amalan itu dilihat pada pengakhirannya.”

[Riwayat al-Bukhari (6607)]

Masa sekarang, kalau kita sudah beriman, belum tentu kita selamat lagi kerana mungkin kita mati dalam keadaan kufur. Kita minta berlindung dari keadaan itu. Kerana itu, kita pun kena minta supaya akhir hayat kita nanti, kita masih lagi beriman sempurna.

Maksud Muslim seperti yang kita tahu adalah berserah kepada Allah. Nama Muslim dipilih sendiri oleh moyangnya Nabi Ibrahim seperti disebut di dalam Hajj:78

مِّلَّةَ أَبيكُم إِبرٰهيمَ ۚ هُوَ سَمّٰكُمُ المُسلِمينَ مِن قَبلُ
(Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang Muslim dari dahulu

Nabi Ibrahim telah berserah diri dan sekarang anaknya pun meneruskan legasi itu seperti disebut di dalam Baqarah:131

إِذْ قَالَ لَهُ رَبُّهُ أَسْلِمْ ۖ قَالَ أَسْلَمْتُ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ
“Ketika Tuhannya berfirman kepadanya: ‘Berserahlah diri (wahai Ibrahim)!’ Nabi Ibrahim menjawab: ‘Aku berserah diri (menjadi Muslim) kepada Tuhan semesta alam.'”

Dan Nabi Ibrahim telah berdoa supaya anak cucu keturunannya juga jadi Muslim berserah diri seperti disebut di dalam Baqarah:128

رَبَّنَا وَٱجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَآ أُمَّةً مُّسْلِمَةً لَّكَ
Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua orang-orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan jadikanlah daripada zuriat keturunan kami umat Islam (yang berserah diri) kepada-Mu;

Kenapa sebut tentang kematian pula? Ini kerana kita kena sentiasa melihat dan bersedia untuk mati. Nabi Yusuf ingat sungguh yang segala nikmat yang baginda dapat itu tidak kekal. Akhirnya baginda tetap akan wafat. Entah bila masanya baginda akan wafat, baginda belum tahu lagi, tapi ia pasti. Lihatlah bagaimana Nabi Muhammad ﷺ nanti, apabila telah mendapat kejayaan menyebarkan agama Islam dan apabila sudah dapat mengembalikan agama tauhid di Mekah, maka baginda sudah bersedia untuk mati. Ini disebut dalam Surah an-Nasr.

Doa Nabi Yusuf di dalam ayat ini adalah tentang kematian. Akan tetapi bukanlah baginda minta dimatikan seperti pendapat sesetengah ulama’. Mereka berpendapat Nabi Yusuf cakap begitu kerana baginda telah selesai urusan baginda di dunia, jadi baginda minta mati. Tidak begitu sama sekali. Moyang baginda Nabi Ibrahim telah melepasi segala ujian yang Allah kenakan kepada baginda seperti disebut dalam Baqarah:124, tapi baginda pun tidak minta mati.

وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ
“Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa perintah (dan larangan), lalu Nabi Ibrahim memenuhinya (menunaikannya dengan sempurna).

Malah kita pun diajar doa yang lebih kurang sama dalam Ali Imran:193. Tidak pun kita minta mati di dalam doa ini, bukan?

رَبَّنَا فَٱغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّـَٔاتِنَا وَتَوَفَّنَا مَعَ ٱلْأَبْرَارِ
Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama-sama orang-orang yang berbakti (dalam iman).”

Maksud baginda, apabila baginda sudah sampai ajalnya nanti. Doa sebegini boleh. Yang tidak boleh adalah doa minta mati. Daripada Anas bin Malik, beliau berkata bahawa Rasulullah bersabda:

لَا يَتَمَنَّيَنَّ أَحَدُكُمُ الْمَوْتَ مِنْ ضُرٍّ أَصَابَهُ
“Janganlah sekali-kali salah seorang daripada kamu bercita-cita (meminta) untuk mati kerana sesuatu kemudaratan (musibah/kesusahan) yang menimpanya.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari, No. 5671 & Muslim, No. 2680)

Sambungan daripada hadis di atas, sekiranya seseorang itu merasa ujian yang dihadapi sudah tidak tertanggung, Rasulullah SAW mengajar doa yang menyerahkan urusan tersebut sepenuhnya kepada Allah:

فَإِنْ كَانَ لَا بُدَّ فَاعِلًا، فَلْيَقُلْ: اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مَا كَانَتِ الْحَيَاةُ خَيْرًا لِي، وَتَوَفَّنِي إِذَا كَانَتِ الْوَفَاةُ خَيْرًا لِي
“Sekiranya dia terpaksa melakukannya (memohon sesuatu), maka hendaklah dia berdoa: ‘Ya Allah, hidupkanlah aku sekiranya kehidupan itu lebih baik bagiku, dan matikanlah aku sekiranya kematian itu lebih baik bagiku.'”

Kenapa Minta Mati Itu Dilarang? Terdapat hadis lain yang menjelaskan hikmah di sebalik larangan ini. Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA:

لَا يَتَمَنَّى أَحَدُكُمُ الْمَوْتَ، إِمَّا مُحْسِنًا فَلَعَلَّهُ يَزْدَادُ، وَإِمَّا مُسِيئًا فَلَعَلَّهُ يَسْتَعْتِبُ
“Janganlah salah seorang daripada kamu mengharapkan kematian… kerana jika dia seorang yang baik, semoga dia dapat menambah kebaikannya. Dan jika dia seorang yang buruk (berdosa), semoga dia dapat bertaubat (meminta keredaan Allah).”

(Hadis Riwayat al-Bukhari, No. 7235)

Kembali kepada doa Nabi Yusuf ini, hendaklah kita mengikutinya. Yang penting adalah cara kita mati, bukannya panjang atau tidak umur kita. Adakah kita ikut cara doa Nabi Yusuf ini? Kalau kita perhatikan, yang banyaknya berdoa minta dipanjangkan umur sahaja, bukan?

Doa Nabi Yusuf ini juga adalah mengikut apa yang telah diwasiatkan oleh leluhur baginda seperti disebut di dalam Baqarah:132

وَوَصَّىٰ بِهَا إِبْرٰهِيمُ بَنِيهِ وَيَعْقُوبُ يَا بَنِيَّ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَىٰ لَكُمُ الدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ
“Dan Ibrahim pun mewasiatkan (pesanan berserah diri) itu kepada anak-anaknya, dan demikian juga Yaakub (mewasiatkan kepada anak-anaknya), katanya: ‘Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi pilihan untuk kamu, maka janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan menjadi orang-orang Islam (Muslimun)’.”

وَأَلحِقنِى بِٱلصَّـٰلِحِينَ

dan gabungkanlah aku dengan orang-orang yang saleh.

Nabi Yusuf عليه السلام berdoa semoga baginda digabungkan dengan orang-orang soleh selepas baginda wafat nanti. Kalimah أَلحِق dari kata dasar ل ح ق yang bermaksud menyertai atau bergabung. Di dunia, baginda waktu itu telah digabungkan dengan keluarga baginda, tetapi ada lagi yang lebih penting. Sebelum ini baginda telah sebut Allah sebagai wali baginya, tapi sekarang baginda menyebut pertalian yang lain. Iaitu apabila mati, semoga dikumpulkan dengan orang-orang yang soleh di akhirat nanti. Iaitu semoga baginda ditempatkan di dalam syurga kerana orang soleh tempatnya di syurga. Ini sejajar dengan apa yang telah dianugerahkan kepada moyangnya Nabi Ibrahim seperti yang disebut di dalam Baqarah:130

وَلَقَدِ ٱصطَفَينَـٰهُ فِي الدُّنيا ۖ وَإِنَّهُ فِي الآخِرَةِ لَمِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ
kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini; dan sesungguhnya dia pada hari akhirat kelak tetaplah dari orang-orang yang soleh yang (tertinggi martabatnya).

Nabi Yusuf sedar yang baginda memerlukan teman dan kenalan yang rapat. Tapi baginda juga sedar yang kawan dan keluarga di dunia datang dan pergi. Yang baginda mahukan adalah kawan dan keluarga yang kekal di akhirat kelak. Baginda hidup lama di awal kehidupan baginda di dalam keseorangan, jadi baginda memang berharap sangat dapat ada kawan dan keluarga di akhirat kelak yang berterusan.

Maka kita pun kena berdoa seperti Nabi Yusuf ini. Kerana takut kita semasa hidup di dunia banyak bergaul dengan orang baik-baik, tapi takut diri kita sendiri tidak baik. Tengok-tengok dihidupkan balik dengan golongan ahli neraka pula. Tapi jangan berdoa sahaja, kita kenalah belajar apakah amalan dan fahaman orang yang baik-baik itu dan kita kenalah ikut.

Bagaimana kita boleh dimasukkan ke dalam golongan orang yang baik-baik? Dengan berkawan dengan orang baik-baik seperti diajar oleh Rasulullah di dalam satu hadis,

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: أَنَّ رَجُلًا سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ السَّاعَةِ، فَقَالَ: مَتَى السَّاعَةُ؟ قَالَ: مَا أَعْدَدْتَ لَهَا؟ قَالَ: مَا أَعْدَدْتُ لَهَا مِنْ كَثِيرِ صَلاَةٍ وَلاَ صَوْمٍ وَلاَ صَدَقَةٍ، وَلَكِنِّي أُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ قَالَ: أَنْتَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ قَالَ أَنَسٌ: فَمَا فَرِحْنَا بِشَيْءٍ فَرَحَنَا بِقَوْلِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَنْتَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ قَالَ أَنَسٌ: فَأَنَا أُحِبُّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبَا بَكْرٍ، وَعُمَرَ، وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ مَعَهُمْ بِحُبِّي إِيَّاهُمْ، وَإِنْ لَمْ أَعْمَلْ بِمِثْلِ أَعْمَالِهِمْ
Daripada Anas bin Malik RA, beliau menceritakan: “Seorang lelaki bertanya kepada Nabi ﷺ tentang hari Kiamat, katanya: ‘Bilakah berlakunya Kiamat?’ Baginda ﷺ bertanya kembali: ‘Apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapinya?’ Lelaki itu menjawab: ‘Aku tidak menyediakan (amalan sunat) yang banyak, sama ada daripada solat, puasa, mahupun sedekah, tetapi aku mencintai Allah dan Rasul-Nya.’ Baginda ﷺ bersabda: ‘Engkau akan bersama dengan siapa yang engkau cintai.’ Anas menceritakan: ‘Maka kami (para sahabat) tidak pernah merasa sangat gembira dengan sesuatu perkara sepertimana kegembiraan kami mendengar sabda Nabi ﷺ: Engkau akan bersama dengan siapa yang engkau cintai.’ Anas berkata lagi: ‘Maka aku mencintai Nabi ﷺ, Abu Bakar, dan Umar. Aku berharap dapat bersama mereka (di akhirat nanti) disebabkan kecintaanku kepada mereka, walaupun amalanku tidaklah menyamai amalan mereka.'”

Sahih al-Bukhari: No. 3688; Sahih Muslim: No. 2639

Maka kita kena pandai memilih kawan dan dengan siapa kita banyak berinteraksi. Ini kerana siapa kawan kita akan mempengaruhi kita. Ia juga boleh mempengaruhi emosi dan mental kita. Tidak ada gunanya terus duduk dengan orang yang toksik kerana mereka itu akan memburukkan kita sahaja. Dalam Islam, hukum tidak berkawan atau menjauhkan diri daripada orang yang “toksik” (dalam bahasa agama disebut sebagai Jalis al-Su’ atau teman yang buruk) adalah diharuskan, malah dalam banyak keadaan, ia menjadi tuntutan (disunnahkan) untuk menjaga agama, mental, dan maruah diri.

Dalam Islam, terdapat konsep Hajr, iaitu memutuskan hubungan atau menjauhkan diri daripada seseorang. Hukum asalnya adalah haram memutuskan silaturahim lebih daripada 3 hari bagi sesama Muslim. Akan tetapi para ulama (seperti Imam Ahmad dan Imam al-Nawawi) menyatakan bahawa jika bergaul dengan seseorang itu mendatangkan mudarat kepada agama (maksiat) atau mudarat kepada dunia (mental/emosi/fizikal), maka dibolehkan menjauhkan diri lebih daripada 3 hari sehingga keadaan menjadi selamat. Kita biarkanlah mereka dengan perangai mereka itu. Memang Rasulullah sudah mengajar kita supaya berhati-hati dengan kawan di sekeliling kita,

عَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَثَلُ الجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالجَلِيسِ السَّوْءِ، كَمَثَلِ صَاحِبِ المِسْكِ وَكِيرِ الحَدَّادِ، فَصَاحِبُ المِسْكِ: إِمَّا أَنْ يُحْذِيَكَ، وَإِمَّا أَنْ تَبْتَاعَ مِنْهُ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ مِنْهُ رِيحًا طَيِّبَةً، وَكِيرُ الحَدَّادِ: إِمَّا أَنْ يُحْرِقَ ثِيَابَكَ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ رِيحًا خَبِيثَةً
Daripada Abu Musa al-Asy’ari RA, daripada Nabi ﷺ bersabda: “Perumpamaan teman duduk (kawan rapat) yang baik dan teman duduk yang buruk adalah seperti penjual minyak wangi dan tukang besi. Adapun penjual minyak wangi: sama ada dia memberinya kepadamu, atau kamu membelinya daripadanya, atau sekurang-kurangnya kamu mendapat bau wanginya. Manakala tukang besi: sama ada percikan apinya mengenai dan membakar bajumu, atau kamu mendapat bau asapnya yang busuk.”

Sahih al-Bukhari: Hadis No. 5534; Sahih Muslim: Hadis No. 2628.

Nota: Al-Jalis (الجليس): Merujuk kepada orang yang kita selalu duduk bersama (kawan rapat). Ia bukan sekadar kenalan biasa, tetapi orang yang kita pilih untuk menghabiskan masa bersama.

Malah ada doa yang diajar untuk mengelakkan kita dari kawan yang toksik,

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ يَوْمِ السُّوءِ، وَمِنْ لَيْلَةِ السُّوءِ، وَمِنْ سَاعَةِ السُّوءِ، وَمِنْ صَاحِبِ السُّوءِ، وَمِنْ جَارِ السُّوءِ فِي دَارِ الْمُقَامَةِ
“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada hari yang buruk, daripada malam yang buruk, daripada waktu yang buruk, daripada kawan yang buruk, dan daripada jiran yang buruk di tempat tinggal tetapku.”

Rujukan: Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (No. 14227). Status: Hadis ini dinilai Hasan oleh ramai ulama, antaranya Syeikh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah (No. 1443).

Perhatikan doa Nabi Yusuf ini mengulang kembali kata-kata tok nenek baginda Nabi Ibrahim. Kita banyak perhatikan ada persamaan antara kata-kata baginda dengan mereka. Maknanya baginda menerima ilmu agama dari leluhur baginda juga. Perhatikan doa Nabi Ibrahim di dalam Syu’ara:77-83

فَإِنَّہُمۡ عَدُوٌّ لِّىٓ إِلَّا رَبَّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ (٧٧) ٱلَّذِى خَلَقَنِى فَهُوَ يَہۡدِينِ (٧٨) وَٱلَّذِى هُوَ يُطۡعِمُنِى وَيَسۡقِينِ (٧٩) وَإِذَا مَرِضۡتُ فَهُوَ يَشۡفِينِ (٨٠) وَٱلَّذِى يُمِيتُنِى ثُمَّ يُحۡيِينِ (٨١) وَٱلَّذِىٓ أَطۡمَعُ أَن يَغۡفِرَ لِى خَطِيٓـَٔتِى يَوۡمَ ٱلدِّينِ (٨٢) رَبِّ هَبۡ لِى حُڪۡمًا وَأَلۡحِقۡنِى بِٱلصَّـٰلِحِينَ (٨٣)
Sesungguhnya berhala-berhala itu ialah musuhku, (aku tidak menyembah) melainkan Allah Tuhan sekalian alam; (77) Tuhan yang menciptakan daku, maka Dialah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku; (78) Dan Tuhan yang Dialah jua memberiku makan dan memberi minum, (79) Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkan penyakitku; (80) Dan (Dialah) yang mematikan daku, kemudian Dia menghidupkan daku; (81) Dan (Dialah) yang aku harap-harapkan supaya mengampunkan dosaku pada hari kiamat; (82) Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan agama dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh; (83)

Perhatikan ada elemen yang sama dengan doa Nabi Yusuf:

    • iktiraf jasa Allah kepada dirinya
    • iktiraf kedudukan dan ketinggian Allah
    • doa minta dikumpulkan dengan orang-orang soleh

Maka untuk dapat dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang soleh, maka kita hendaklah tahu siapakah mereka dan kita hendak ikut mereka. Kita diajar untuk tahu apakah ciri-ciri orang soleh ini setiap hari iaitu ketika kita membaca Fatihah:7 صِرٰطَ الَّذينَ أَنعَمتَ عَلَيهِم (Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka). Siapakah pula orang-orang yang dimaksudkan itu? Ayat ini ditafsirkan dalam Ayat Nisa: 69

وَمَن يُطِعِ اللهَ وَالرَّسولَ فَأُولٰئِكَ مَعَ الَّذينَ أَنعَمَ اللهُ عَلَيهِم مِنَ النَّبِيّينَ وَالصِّدّيقينَ وَالشُّهَداءِ وَالصّالِحينَ ۚ وَحَسُنَ أُولٰئِكَ رَفيقًا
Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).

Tapi Nabi Yusuf itu seorang Nabi, kenapa baginda minta yang paling rendah sekali iaitu الصّالِحينَ? Ulama’ mengatakan ini adalah adab baginda dan baginda hendak merendah diri.

Sekian topik yang melibatkan mimpi Nabi Yusuf dan kisah Nabi Yusuf. Selepas ini kita akan lihat bagaimana Allah bercakap kepada Nabi Muhammad pula.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 2 Januari 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment