Tafsir Surah Yaasin Ayat 70 – 71 (Terkesan dengan Al-Qur’an)

Yaasin Ayat 70: Apakah tujuan Al-Qur’an itu?

لِيُنذِرَ مَن كانَ حَيًّا وَيَحِقَّ القَولُ عَلَى الكٰفِرينَ

Sahih International

To warn whoever is alive and justify the word against the disbelievers.

Malay

Supaya ia memberi peringatan kepada orang yang sedia hidup (hatinya), dan supaya nyata tetapnya hukuman (azab) terhadap orang-orang yang kufur ingkar.

 

لِيُنْذِرَ مَنْ كَانَ حَيًّا

Supaya memberi ancaman kepada sesiapa yang hidup; 

Dalam bahasa Arab, “inzar” (إنذار) mengandung makna ancaman, peringatan akan bahaya, atau khabar buruk yang akan datang. Oleh kerana itu, ketika Allah ‎ﷻ atau Rasul-Nya memberikan “inzar”, itu adalah peringatan keras tentang kesan negatif atau azab jika tidak mentaati perintah atau menjauhi larangan. Sebagai contoh, kalau setakat kita suruh anak kita pergi sekolah, itu bukan inzar. Akan tetapi kalau kita tambah: “Kalau tak pergi, daddy rotan”, itu barulah dikira sebagai inzar.

Tentulah inzar itu hanya berguna bagi orang yang hidup, jadi hidup yang dimaksudkan di sini adalah hati yang hidup. Ada orang yang hatinya mati dan kerana itu mereka tidak mahu terima ajaran tauhid. Kita cakap mereka buat ‘derk’ sahaja. Hanya mereka yang hatinya hidup sahaja yang sanggup menerima ajaran tauhid. Hatinya hidup kerana hatinya hendak mencari kebenaran. Ini adalah pengulangan dan tafsiran bagi ayat 12,

إِنّا نَحنُ نُحى المَوتىٰ
Sesungguhnya Kami menghidupkan yang mati

Iaitu hati yang ada inabah (condong kepada kebenaran). Mereka mahu menerima kebenaran dan mencari-carinya. Dengan mempelajari ilmu tafsir Al-Qur’an, imannya menjadi semakin kuat. Semakin hidup hatinya dalam keimanan kerana ayat-ayat Al-Qur’an itu mengisi hatinya. Kerana itulah Al-Qur’an ini hanya boleh diterima oleh orang yang berakal waras kerana mereka yang membuka minda mereka kepada kebenaran. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Qaf: 37

إِنَّ في ذٰلِكَ لَذِكرىٰ لِمَن كانَ لَهُ قَلبٌ أَو أَلقَى السَّمعَ وَهُوَ شَهيدٌ
Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai hati atau yang menggunakan pendengarannya, sedang dia menyaksikannya.

Kenapa ramai orang yang tidak dilahirkan dalam keluarga Muslim, tetapi akhirnya mereka memeluk agama Islam? Itu adalah kerana hati mereka hidup dan mahu mencari kebenaran. Mungkin mereka lahir dalam keluarga non-Muslim tetapi mereka sudah dapat rasa yang agama keluarganya itu tidak benar. Maka mereka mengkaji-kaji apa lagi agama yang ada dalam dunia ini. Apabila mereka mengkaji Islam dan Al-Qur’an, mereka akan mendapati kebenaran ada dalam Islam dan Al-Qur’an. Kerana mereka nampak ia adalah bertepatan dengan apa yang ada dalam fitrah mereka. Sebab itulah mereka memeluk agama Islam dengan rela.

Adakah hati kita terkesan dengan ayat-ayat inzar ini? Ada orang yang sangat terkesan seperti contohnya Zararah bin Aufa. Beliau  adalah seorang tabi’in yang soleh dan ahli ibadah. Dikisahkan bahawa suatu ketika beliau menjadi imam solat. Ketika sampai pada ayat Al-Qur’an daripada Muddaththir, ayat 8-10: “فَإِذَا نُقِرَ فِي النَّاقُورِ (8) فَذَٰلِكَ يَوْمَئِذٍ يَوْمٌ عَسِيرٌ (9) عَلَى الْكَافِرِينَ غَيْرُ يَسِيرٍ (10)” (“Maka apabila ditiup sangkakala, (8) maka itulah hari yang sulit, (9) bagi orang-orang kafir tidak mudah.” (10)), beliau jatuh pengsan dan kemudian diketahui telah meninggal dunia. Ayat-ayat ini menggambarkan kengerian Hari Kiamat dan kesulitan yang akan dihadapi orang-orang kafir, yang mungkin begitu menyentuh hatinya hingga beliau tidak sanggup menahannya.

Satu lagi kita kongsikan kisah Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ.

أنس بن مالك، قال: قال النبي صلى الله عليه وسلم: «مُرُوا أَبَا بَكْرٍ فَلْيُصَلِّ بِالنَّاسِ». فَقَالَتْ عَائِشَةُ: إِنَّ أَبَا بَكْرٍ إِذَا قَامَ مَقَامَكَ لَمْ يُسْمِعِ النَّاسَ مِنَ الْبُكَاءِ، فَمُرْ عُمَرَ فَلْيُصَلِّ بِالنَّاسِ. فَقَالَ: «مُرُوا أَبَا بَكْرٍ فَلْيُصَلِّ بِالنَّاسِ». فَقَالَتْ عَائِشَةُ لِحَفْصَةَ: قُولِي لَهُ: إِنَّ أَبَا بَكْرٍ إِذَا قَامَ مَقَامَكَ لَمْ يُسْمِعِ النَّاسَ مِنَ الْبُكَاءِ، فَمُرْ عُمَرَ فَلْيُصَلِّ بِالنَّاسِ. فَفَعَلَتْ حَفْصَةُ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: «مُرُوا أَبَا بَكْرٍ فَلْيُصَلِّ بِالنَّاسِ، إِنَّكُنَّ لأَنْتُنَّ صَوَاحِبُ يُوسُفَ». فَأَمَرَ أَبُو بَكْرٍ فَصَلَّى بِالنَّاسِ.
Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: Nabi ﷺ bersabda: “Perintahkanlah Abu Bakar untuk mengimami solat bersama orang-orang (jemaah).” Maka Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا berkata: “Sesungguhnya Abu Bakar, apabila dia berdiri di tempatmu (sebagai imam), dia tidak akan dapat memperdengarkan bacaannya kepada orang-orang (jemaah) kerana banyak menangis. Maka perintahkanlah Umar untuk mengimami solat bersama orang-orang.” Maka baginda bersabda (lagi): “Perintahkanlah Abu Bakar untuk mengimami solat bersama orang-orang.” Maka Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا berkata kepada Hafshah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا: “Katakanlah kepadanya (Nabi ﷺ): ‘Sesungguhnya Abu Bakar, apabila dia berdiri di tempatmu, dia tidak akan dapat memperdengarkan bacaannya kepada orang-orang kerana banyak menangis. Maka perintahkanlah Umar untuk mengimami solat bersama orang-orang.'” Maka Hafshah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا melakukan hal itu. Lalu Rasulullah ﷺ bersabda: “Perintahkanlah Abu Bakar untuk mengimami solat bersama manusia. Sesungguhnya kalian adalah seperti para wanita pendamping Yusuf (yang banyak bantahan dan pujuk rayu).” Maka Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pun diperintahkan, lalu dia mengimami solat bersama orang-orang.
Sahih Bukhari, Hadith No. 664 (dalam Kitab Al-Adzan)

Kita entahlah, mungkin sibuk menjaga tajwid sahaja ketika membacanya kerana tidak faham atau faham tetapi tidak terasa pun. Begitulah ada orang yang hatinya mati, walaupun dilahirkan dalam keluarga yang beragama Islam, tetapi mereka tidak endahkan Al-Qur’an, mereka tidak memahaminya dan kerana itu mereka langgar arahan-arahan dan ajaran di dalamnya. Lagi pun mereka bukannya faham apa yang ada dalam Al-Qur’an itu kerana mereka tidak pernah mempelajarinya. Ini kerana mereka tidak mahu kebenaran. Mereka telah diberi banyak pilihan tetapi tidak mahu menerima ajakan Tauhid. Malah mereka menolak dakwah tauhid yang disampaikan kepada mereka. Kepada orang-orang sebegini, apakah nasib mereka nanti?

 

وَيَحِقَّ الْقَوْلُ عَلَى الْكٰفِرِينَ

Dan sudah tetaplah keputusan azab kepada orang orang kafir;

Allah ‎ﷻ telah tetapkan bahawa kepada mereka yang ingkar kepada ajakan Tauhid, tolak Al-Qur’an, mereka akan dimasukkan ke dalam Neraka. Inilah yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan bagi mereka. Allah ‎ﷻ telah sebut janji ini dalam Al-Qur’an di mana mereka akan diazab dengan sekeras-kerasnya. Antaranya Allah ‎ﷻ telah sebut di awal surah ini di dalam ayat 7 lagi tentangnya,

لَقَد حَقَّ القَولُ عَلىٰ أَكثَرِهِم فَهُم لا يُؤمِنونَ
Demi sesungguhnya, telah tetap perkataan atas kebanyakan mereka, mereka tidak beriman.

Jadi ayat ayat 70 ini adalah tafsir kepada ayat 7 itu. Di sini kita diingatkan yang maksud وَيَحِقَّ الْقَوْلُ antara lain bermaksud memang mereka itu layak dimasukkan ke dalam neraka kerana mereka tidak mengambil pengajaran daripada wahyu. Jadi ada dua maksud يَحِقَّ الْقَوْلُ,

1. Telah jelas ramai yang akan masuk neraka

2. Memang patut mereka masuk neraka. Contohnya kita telah beritahu anak kita untuk kemas rumah, kalau tidak akan diambil barang mereka. Sebaliknya jikalau mereka tidak kemas, maka memang layak barang mereka diambil.

Kerana itulah Al-Qur’an itu adalah rahmat bagi orang-orang yang beriman dan hujah bagi orang-orang yang kafir. Bagi yang mengikuti ajaran Al-Qur’an, ia akan menjadi syafaat bagi mereka seperti disebut di dalam banyak hadith,

الصيام والقرآن يشفعان للعبد يوم القيامة
“Puasa dan Al-Qur’an akan memberikan syafaat pada seorang hamba di hari kiamat kelak”.
(Musnad Ahmad:6626, dan al-Hakim: 1/554, hasan li ghairihi).

Di dalam hadith yang lain, Rasulullah ﷺ bersabda:

اقرءوا القرآن فإنه يأتي يوم القيامة شفيعا لأصحابه، اقرءوا الزهراوين البقرة، وسورة آل عمران، فإنهما تأتيان يوم القيامة كأنهما غمامتان، أو كأنهما غيايتان، أو كأنهما فرقان من طير صواف، تحاجان عن أصحابهما
“Bacalah Al-Qur’an kerana Al-Quran akan datang pada hari kiamat nanti sebagai pemberi syafaat bagi yang membacanya (dengan tadabbur dan mengamalkannya). Bacalah al-Zahrawain (dua cahaya) iaitu surat Al-Baqarah dan Ali ‘Imran kerana keduanya datang pada hari kiamat nanti seperti dua awan atau seperti dua cahaya sinar matahari atau seperti dua ekor burung yang membentangkan sayapnya, keduanya akan menjadi pembela bagi yang rajin membaca dua surat tersebut.”
(Riwayat Muslim No. 1910).

Namun begitu, harus diingatkan sekali lagi dan lagi dan lagi bahawa Al-Qur’an ini bukan setakat dibaca sahaja seperti yang orang kita banyak lakukan. Al-Qur’an ini hendaklah difahami dengan belajar tafsirnya dan mentadabbur pengajarannya. Kemudian hendaklah diamalkan. Daripada Abu Musa Al Asy’ariy رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Rasulullah ﷺ bersabda,

الْمُؤْمِنُ الَّذِى يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَعْمَلُ بِهِ كَالأُتْرُجَّةِ ، طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَرِيحُهَا طَيِّبٌ ، وَالْمُؤْمِنُ الَّذِى لاَ يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَعْمَلُ بِهِ كَالتَّمْرَةِ ، طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَلاَ رِيحَ لَهَا ، وَمَثَلُ الْمُنَافِقِ الَّذِى يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَالرَّيْحَانَةِ ، رِيحُهَا طَيِّبٌ وَطَعْمُهَا مُرٌّ ، وَمَثَلُ الْمُنَافِقِ الَّذِى لاَ يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَالْحَنْظَلَةِ ، طَعْمُهَا مُرٌّ – أَوْ خَبِيثٌ – وَرِيحُهَا مُرٌّ
“Permisalan orang yang membaca Al Qur’an dan mengamalkannya adalah bagaikan buah utrujah, rasa dan baunya enak. Orang mukmin yang tidak membaca Al-Qur’an dan mengamalkannya adalah bagaikan buah kurma, rasanya enak namun tidak beraroma. Orang munafik yang membaca Al Qur’an adalah bagaikan royhanah, baunya menyenangkan namun rasanya pahit. Dan orang munafik yang tidak membaca Al-Qur’an bagaikan hanzholah, rasa dan baunya pahit dan tidak enak.”
(Sahih Bukhari No. 5059)

Ada pun bagi orang yang buat tidak kisah kepada Al-Qur’an, nanti Al-Qur’an akan jadi pendakwa kepadanya pula. Al-Qur’an akan bongkar apa yang orang itu tidak buat. Sudah ada Al-Qur’an tetapi buat tidak tahu sahaja. Setakat tampal di dinding, atau simpan di rak-rak buku, atau dijadikan sebagai azimat sahaja. Begitulah Rasulullah ﷺ telah mengingatkan kita tentang perkara ini,

وَالقُرْاَنُ حُجَّةٌ لَكَ أَوْ عَلَيْكَ
“Al-Qur’an itu boleh menjadi pembelamu atau musuh bagimu.”
(Sahih Muslim No. 223)

Apabila di akhirat nanti, mereka akan kata bahawa dakwah tidak sampai kepada mereka, dan sebab itu mereka sesat. Allah ‎ﷻ akan mengingatkan mereka bahawa Al-Qur’an itu telah diturunkan kepada mereka sudah lama, mereka sahaja yang tidak ambil peduli.


 

TANDA-TANDA ALLAH. 5) BINATANG TERNAK

Yaasin Ayat 71: Ayat 71 – 83 adalah Perenggan Makro Keenam. Ia menceritakan sifat-sifat Qudrat Allah. Sebelum ini pun di awal surah ini telah disebut tentang tanda-tanda Allah ‎ﷻ dan sekarang Al-Qur’an kembali lagi memperkatakannya supaya kita berfikir. Ayat 71 ini adalah Dalil aqli. Ini lagi satu ayat dalil menunjukkan Tuhan itu berkuasa penuh dan kerana itu hanya Dia sahaja yang patut disembah.

أَوَلَم يَرَوا أَنّا خَلَقنا لَهُم مِّمّا عَمِلَت أَيدينآ أَنعٰمًا فَهُم لَها مٰلِكونَ

 Sahih International

Do they not see that We have created for them from what Our hands have made, grazing livestock, and [then] they are their owners?

Malay

Tidakkah mereka melihat dan memikirkan, bahawa Kami telah menciptakan untuk mereka binatang-binatang ternak, di antara jenis-jenis makhluk yang telah Kami ciptakan dengan kekuasaan Kami lalu mereka memilikinya?

 

أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّا خَلَقْنَا لَهُمْ

Tidakkah mereka melihat bahawa Kamilah yang menciptakan bagi mereka

Allah ‎ﷻ sahaja yang menciptakan apa sahaja dalam alam ini. Alam ini dan segala yang ada di dalamnya adalah untuk kita kerana Allah ‎ﷻ gunakan kalimat لهم (untuk mereka) dalam ayat ini.

Kalimah ‘tidakkah engkau melihat’ bermaksud ‘tidakkah engkau faham’? Tidakkah engkau mahu memikirkan? Dalam bahasa kita pun selepas kita jelaskan sesuatu kepada seseorang, kita tanya dia: “Kau nampak tak?”

 

مِمَّا عَمِلَتْ أَيْدِينَا

daripada yang dibuat dengan tangan Kami

Allah ‎ﷻ mengingatkan manusia bahawa semua itu dilakukan oleh-Nya. Bukan oleh tangan manusia sendiri, tetapi Allah ‎ﷻ cipta dengan kekuasaan-Nya, dengan Tangan-Nya sendiri. Maknanya Dia sendiri yang jadikan binatang ternak itu.

Di sini Allah ‎ﷻ sebut Dia mempunyai tangan maka sepatutnya kita beriman sahaja dengan penerangan daripada Allah ‎ﷻ ini. Bagaimana rupa tangan Allah ‎ﷻ, tidak perlu kita bayangkan dan cuba jelaskan. Yang sudah pasti, ia tidak sama dengan tangan kita. Seperti ayat pertama surah ini (يس) kita tidak dapat jelaskan, begitu jugalah bagaimana rupa tangan Allah ini. Akan tetapi ia menjadi isu besar pula dalam kalangan umat Islam. Takut sangat mereka hendak kata Allah ‎ﷻ mempunyai tangan. Ia dibincangkan dalam bab Sifat-Sifat Allah ‎ﷻ (Asma wa Sifat). Berikut penjelasan berdasarkan perspektif Ahlus Sunnah wal Jama’ah:

1. Dalil Naqli (Al-Qur’an & Hadith)

Allah ‎ﷻ memang menyebut kata “yad” (tangan) dengan jelas di dalam Al-Qur’an, seperti di dalam Maidah: 64:

بَل يَداهُ مَبسوطَتانِ
kedua-dua tangan Allah terbuka

Jadi ada banyak ayat-ayat Allah ‎ﷻ tentang tangan dengan jelas disebut. Ia juga terdapat di dalam hadith seperti yang diriwayatkan daripada Abu Musa Al-Asy’ari رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda:

“إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَبْسُطُ يَدَهُ بِاللَّيْلِ لِيَتُوبَ مُسِيءُ النَّهَارِ، وَيَبْسُطُ يَدَهُ بِالنَّهَارِ لِيَتُوبَ مُسِيءُ اللَّيْلِ، حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ مِنْ مَغْرِبِهَا.”
“Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla membentangkan tangan-Nya di malam hari untuk menerima taubat orang yang berbuat dosa di siang hari. Dan Dia membentangkan tangan-Nya di siang hari untuk menerima taubat orang yang berbuat dosa di malam hari, hingga matahari terbit dari baratnya (Hari Kiamat).”
(Hadith riwayat Muslim No. 2759)

Selain itu, ada lagi hadith lain yang menyebut Allah ‎ﷻ mencipta Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan tangan-Nya. Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, daripada Nabi ﷺ, beliau bersabda:

“يَتَحَاجُّ آدَمُ وَمُوسَى، فَقَالَ مُوسَى لِآدَمَ: أَنْتَ آدَمُ الَّذِي خَلَقَكَ اللَّهُ بِيَدِهِ، وَنَفَخَ فِيكَ مِنْ رُوحِهِ، وَأَسْجَدَ لَكَ مَلاَئِكَتَهُ، وَأَسْكَنَكَ جَنَّتَهُ، ثُمَّ أَهْبَطْتَ النَّاسَ بِخَطِيئَتِكَ إِلَى الْأَرْضِ؟ فَقَالَ آدَمُ: أَنْتَ مُوسَى الَّذِي اصْطَفَاكَ اللَّهُ بِرِسَالاَتِهِ وَبِكَلاَمِهِ، أَتَلُومُنِي عَلَى أَمْرٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيَّ قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَنِي بِأَرْبَعِينَ سَنَةً؟ فَحَجَّ آدَمُ مُوسَى.”
“Adam dan Musa saling berdebat (di hadapan Allah). Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata kepada Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ: ‘Engkau adalah Adam, yang Allah ciptakan dengan tangan-Nya, dan Dia meniupkan kepadamu daripada roh-Nya, dan Dia memerintahkan malaikat-Nya bersujud kepadamu, dan Dia menempatkanmu di syurga-Nya, kemudian engkau menyebabkan manusia turun ke bumi kerana kesalahanmu?’ Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjawab: ‘Engkau adalah Musa, yang Allah pilih dengan risalah-Nya dan dengan kalam-Nya (berbicara langsung denganmu). Apakah engkau mencelaku atas suatu perkara yang telah Allah tetapkan atasku sebelum Dia menciptakanku empat puluh tahun?’ Maka Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengalahkan Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam hujjah.”
(Hadith riwayat Bukhari No. 3409, 6614, 7515; Muslim No. 2652)

 

2. Pandangan Ulama Ahlus Sunnah

Terdapat dua pendekatan utama dalam memahami sifat “tangan” Allah ‎ﷻ:

A. Tafwidh (Penyerahan Makna):
Maksudnya dengan mengimani sifat-sifat Allah ‎ﷻ sebagaimana disebutkan tanpa menanyakan bentuknya, kerana hakikatnya hanya Allah ‎ﷻ yang tahu. Contoh: Ketika Imam Malik ketika ditanya tentang istiwa’ (bersemayam) Allah ‎ﷻ. Diriwayatkan daripada Yahya bin Yahya, dia berkata: Kami berada di sisi Malik bin Anas, lalu datanglah seorang laki-laki dan bertanya:

“يا أبا عبد الله، الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى، كيف استوى؟”
(Wahai Abu Abdillah [kunyah Imam Malik], “Ar-Rahman bersemayam di atas ‘Arsy”, bagaimana Dia bersemayam?) Maka Imam Malik menundukkan kepalanya, hingga beliau berkeringat deras. Kemudian beliau mengangkat kepalanya dan berkata:

“الِاسْتِوَاءُ غَيْرُ مَجْهُولٍ، وَالْكَيْفُ غَيْرُ مَعْقُولٍ، وَالْإِيمَانُ بِهِ وَاجِبٌ، وَالسُّؤَالُ عَنْهُ بِدْعَةٌ.”
“Istiwa’ itu tidaklah majhul (tidak diketahui/asing maknanya dalam bahasa Arab), dan kaifiyah (bagaimana hakikatnya) itu tidaklah ma’qul (tidak dapat dijelaskan/difikirkan oleh akal), dan beriman dengannya adalah wajib, dan bertanya tentangnya (kaifiyahnya) adalah bid’ah.”

Konsep Tafwidh ini agak selamat kerana begitulah yang telah disebut oleh ulama’ terdahulu. Antaranya,

1. Berkata al-Hafiz al-‘Iraqi ketika berkata mengenai ‘wajah’:

تكرر ذكر وجه الله تعالى في الكتاب والسنة وللناس في ذلك مذهبان مشهوران: أحدهما: إمرارها كما جاءت من غير كيف فنؤمن بها ونكل علمها إلى عالمها مع الجزم بأن الله ليس كمثله شيء وأن صفاته لا تشبه صفات المخلوقين، وثانيهما: تأويلها على ما يليق بذاته الكريمة فالمراد بالوجه الموجود
Berulangan disebut ‘wajah Allah’ dalam al-Kitab (Al-Qur’an) dan al-Sunnah (Hadith). Pada manusia mengenainya terdapat dua mazhab yang masyhur: Pertama: Lalukannya sebagaimana ia datang tanpa kaif (tanya bagaimana), maka kami beriman dengannya, menyerahkan rahsianya kepada pemberitahunya, berserta jazam (tanpa ada keraguan) bahawasanya Allah ‎ﷻ ‘Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan-Nya’, dan sesungguhnya sifat-sifat-Nya tidak menyerupai sifat-sifat makhluk. Keduanya, mentakwilnya dengan apa yang layak dengan Zat-Nya yang mulia, dan dikehendaki dengan wajhun itu ialah al-maujud.

2. Berkata Ibn Qudamah al-Maqdisi:

وكل ما جاء في القرآن أو صح عن المصطفى عليه السلام من صفات الرحمن وجب الإيمان به، وتلقيه بالتسليم والقبول، وترك التعرض له بالرد والتأويل، والتشبيه، والتمثيل، وما أشكل من ذلك وجب إثباته لفظا،وترك التعرض لمعناه، ونرد علمه إلى قائله، ونجعل عهدته على ناقله اتباعا لطريق الراسخين في العلم الذين أثنى الله عليهم في كتابه المبين بقوله سبحانه وتعالى: {والر’سخون في العلم يقولون ءامنا به كل من عند ربنا}
Setiap apa yang datang daripada Al-Qur’an atau apa-apa yang sah daripada Mustafa Alaihissalam mengenai sifat-sifat al-Rahman, wajib beriman dengannya, dan patuh tunduk dan terima. Hendaklah meninggalkan untuk menolak atau mentakwilnya; mentasybih dan mendatangkan contoh. Apa-apa yang memusykilkan dari perkara tersebut, wajib menetapkan lafaznya dan meninggalkan memberi makna padanya dan kita kembalikan rahsianya kepada pengatanya, dan kami menjadikan pengakuannya di atas pembawanya sebagai mengikut jalan-jalan orang-orang الراسخين في العلم yang berkata: kami beriman dengannya setiap apa daripada tuhan kami.

3. Kata Imam Malik sebagaimana diriwayatkan oleh al-Hafiz az-Zahabi dalam Siyar A’lam an-Nubala’:

قال الإمام مالك في أحاديث الصفات: أمرَّها كما جاءت بلا تفسير
Berkata Imam Malik pada hadith-hadith sifat: lalukannya sebagaimana ia datang tanpa tafsir.

4. Kata-kata al-Hafiz az-Zahabi:

فقولنا في ذلك وبابه: الإقرار، والإمرار، وتفويض معناه إلى قائله الصادق المعصوم
kami katakan pada perkara tersebut dan babnya: Menyakininya, lalukannya dan menyerahkan (tafwidh) maknanya kepada Pengatanya Yang Benar dan Maksum.

5. Kata-kata Ibn Daqiq al-‘Id pada masalah akidah:

نقول في الصفات المشكلة إنها حق وصدق على المعنى الذي أراده الله، ومن تأول نظرنا فإن كان تأويله قريبا على مقتضى لسان العرب لم ننكر عليه، وإن كان بعيدا توقفنا عنه ورجعنا إلى التصديق والتنزيه
Kami berpandangan pada sifat-sifat yang pelbagai ini, sesungguhnya ia benar dan membenarkan makna yang dikehendaki Allah ﷻ, sesiapa yang mentakwil, kami akan kaji, sekiranya takwilnya dekat dengan penggunaan bahasa Arab, kami tidak membantah. Namun sekiranya jauh takwilannya, kami bertawaqquf darinya (tidak mengiakannya) dan kami kembali pada menyakini dan mengesakan.

 

B. Ta’wil Tafsili (Penafsiran Kontekstual):
Sebahagian ulama (seperti Asy’ariyah & Maturidiyah) menafsirkan “yad” sebagai kekuasaan, nikmat, atau qudrah Allah, bukan anggota badan. Begitulah mereka akan takwil (ubah) makna sifat-sifat Allah ﷻ. Sebagai contoh lihat ayat Taha: 5

الرَّحْمَٰنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَىٰ
“(Yaitu) Tuhan Yang Maha Pemurah, yang bersemayam di atas ‘Arsy.”

Di sini “bersemayam” mereka tafsirkan sebagai ‘penguasaan’, bukan duduk.

Antara contoh yang biasa disebut oleh ulama:

1. Takwil Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا terhadap Dzariyat: 7 sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Tabari (wafat: 310H) dalam tafsirnya:

وَالسَّماءِ ذاتِ الحُبُكِ
Demi langit yang mempunyai jalan-jalan,

حدثني علي، قال: ثنا أبو صالح، قال: ثنى معاوية، عن علي، عن ابن عباس، قوله: {والسماء بنيناها بأيد} يقول: بقوة.
……….عن مجاهد، قوله{بأيد} قال: بقوة
Berkata kepada kami Ali, berkata: berkata kepada kami Abu Saleh, berkata kepadaku Muawiah, dari Ali, daripada Ibn Abbas, katanya: {والسماء بنيناها بأيد} berkata: dengan kekuasaan.
Daripada Mujahid: Dengan kekuasaan.

2. Takwil al-Imam al-Bukhari mengenai makna al-dhahak (الضحك). Imam al-Baihaqi (wafat 456) menukilkan riwayatnya mengenai takwilan Imam al-Bukhari:

معنى الضحك الرحمة
Makna al-dhahak ialah rahmat.

3. Imam at-Tabari memberikan dua tafsiran iaitu tafwidh dan takwil secara serentak:

وفي قوله: {يد الله فوق أيديهم}وجهان في التأويل: أحدهما: يد الله فوق أيديهم عند البيعة، لأنهم كانوا يبايعون الله ببيعتهم نبيه صلى الله عليه وسلم، والآخر: قوة الله فوق قوتهم في نصرة رسوله صلى الله عليه وسلم، لأنهم إنما بايعوا رسول الله صلى الله عليه وسلم على نصرته على العدو
Pada firman-Nya: {يد الله فوق أيديهم} terdapat dua bentuk takwil.
Pertamanya, tangan Allah di atas tangan-tangan mereka ketika baiah kerana mereka ketika itu berbaiah kepada Allah apabila mereka berbaiah dengan Nabi-Nya ﷺ.
Keduanya: Kekuasaan Allah di atas kekuasaan mereka pada membela Rasul-Nya ﷺ kerana mereka berbaiah dengan Rasulullah ﷺ untuk membelanya berhadapan dengan musuh.

 

3. Prinsip Utama dalam Memahami Sifat Allah ‎ﷻ

Ini adalah perkara utama yang kita kena pegang apabila berbicara tentang sifat-sifat Allah ‎ﷻ dan jangan keluar daripada perkara yang disebut di bawah:

a. Tanpa Tasybih (menyerupakan Allah ‎ﷻ dengan makhluk). Takkan sama sifat Allah ‎ﷻ dengan sifat makhluk. Dalilnya Syura: 11

لَيسَ كَمِثلِهِ شَيءٌ
“Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan-Nya”

b. Tanpa Ta’thil (mengingkari sifat Allah ‎ﷻ). Sifat Allah ‎ﷻ adalah kebenaran yang wajib diimani. Jangan kosongkan, menidakkan Allah ‎ﷻ ada sifat seperti golongan sesat seperti Jahmiyyah, Mu’tazilah dan sebahagian Asya’irah dan Maaturidiyyah.

c. Tanpa Takyif (mempertanyakan bentuk/cara). Takyif itu daripada كيف (bagaimana). Akal manusia terbatas untuk memahami hakikat Zat Allah, maka jangan dicuba-cuba.

 

4. Kesimpulan

“Tangan Allah” adalah sifat hakiki yang wajib diimani. sesuai keagungan Allah ‎ﷻ, tanpa:
– Membayangkan bentuk (seperti tangan manusia).
– Menolak maknanya (kerana Allah ‎ﷻ yang menyebutnya).

Hujjah yang terkuat adalah kembali kepada Al-Qur’an dan Sunnah dengan pemahaman salafush shalih (generasi awal Islam), serta menjauhi kontroversi yang tidak bermanfaat. Senangnya adalah kita kembali kepada tekstual ayat-ayat yang ada di dalam Al-Qur’an. Ini lebih mudah dan lebih selesa sebenarnya. Kita faham ada pendapat yang mentakwil (mengubah makna) ayat-ayat sifat ini kepada makna lain seperti ‘tangan’ menjadi ‘kuasa’. Kita tidaklah selesa menukar makna ayat-ayat sebegini kerana kalau Allah ﷻ hendak maksudkan ‘kuasa’, boleh sahaja Allah ﷻ tulis kuasa. Kita tidaklah berapa bersetuju tetapi di dalam masa yang sama tidaklah kita mengkafirkan orang yang mentakwilnya dan tidaklah kita kata mereka sesat. Sebenarnya ia sesuai juga bagi golongan yang tidak dapat kawal akalnya. Iaitu bagi mereka yang kalau disebut ‘tangan Allah’ mulalah mereka terbayang-bayang bentuk tangan itu. Orang yang akalnya bagus, dia boleh tolak imaginasi itu kerana dia tahu yang tidak mungkin sekali tangan Allah ﷻ sama dengan tangan makhluk. Namun bagi mereka yang tidak boleh kawal, maka mereka boleh guna kaedah takwil itu supaya selamat akidah mereka kerana memang ada yang lemah akalnya tetapi suka pula menghina orang yang bagus akalnya.

 

أَنْعٰمًا

binatang-binatang ternak;

Allah ‎ﷻ telah menjadikan untuk kita ternakan seperti lembu, kambing dan sebagainya. Kerana kalau an’am, ia adalah binatang ternak; kalau bahimah, ia adalah binatang liar. Dalam Al-Quran dan tradisi Islam, istilah “an’am” (الأنعام) dan “bahimah” (بهيمة) merujuk kepada haiwan, tetapi terdapat perbezaan dalam skop dan penggunaannya.

 

An’am (الأنعام)

An’am secara spesifik merujuk kepada binatang ternakan berkaki empat (herbivor) yang dipelihara oleh manusia untuk manfaatnya, seperti:

    • Unta
    • Lembu 
    • Kambing 
    • Biri-biri

Istilah ini sering disebut dalam Al-Qur’an dalam konteks nikmat Allah ‎ﷻ kepada manusia, seperti menjadi sumber makanan (daging dan susu), pengangkutan, pakaian (kulit dan bulu), serta sebagai binatang korban. Surah ke-6 dalam Al-Qur’an dinamakan Surah Al-An’am (Binatang Ternakan), yang banyak membincangkan tentang penciptaan dan hukum-hakam berkaitan haiwan-haiwan ini.

Ciri-ciri utama An’am:

    • Dipelihara oleh manusia.
    • Digunakan untuk pelbagai manfaat (makanan, pengangkutan, pakaian, korban).
    • Umumnya adalah haiwan jinak dan herbivor.

 

Bahimah (بهيمة)

Bahimah adalah istilah yang lebih umum dan luas, merujuk kepada semua jenis haiwan, termasuk an’am, serta binatang liar dan lain-lain. Ia berasal daripada akar kata yang bermaksud “tidak dapat berfikir” atau “tidak dapat berbicara”, merujuk kepada sifat haiwan yang tidak memiliki akal dan kemampuan berbicara seperti manusia.

Dalam Al-Qur’an, perkataan “bahimah” boleh ditemukan dalam ayat seperti Ma’idah: 1: “أُحِلَّتْ لَكُمْ بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ…” Ertinya: “Dihalalkan bagi kamu binatang-binatang ternak (bahimatul an’am), kecuali yang akan dibacakan kepada kamu (tentang haramnya)…” Ayat ini secara jelas menggabungkan kedua istilah, “bahimah al-an’am”, yang menunjukkan bahawa an’am adalah sebahagian daripada kategori bahimah.

Ciri-ciri utama Bahimah:

    • Merangkumi semua jenis haiwan.
    • Boleh jadi haiwan ternakan, haiwan liar, haiwan buas, serangga, dan lain-lain.
    • Menekankan sifat haiwan yang tidak berakal dan tidak dapat bertutur.

Secara ringkas, an’am adalah subset atau jenis khusus daripada bahimah. Semua an’am adalah bahimah, tetapi tidak semua bahimah adalah an’am. An’am adalah haiwan ternakan yang memberi manfaat besar kepada manusia dan disebut secara spesifik dalam syariat Islam, manakala bahimah merangkumi keseluruhan alam haiwan.

Begitu banyak nikmat yang manusia telah dapat daripada binatang-binatang ternak ini. Dari zaman dulu sampailah zaman sekarang. Mungkin manusia zaman sekarang tidak perasan sebab kita beli daging dan susu melalui pasaraya sekarang, tetapi hendaklah kita ingat bahawa ia datang daripada binatang-binatang itu juga. Cuma sahaja kita tidak bela dan tidak sembelih sendiri binatang-binatang itu.

 

فَهُمْ لَهَا مٰلِكُونَ

yang mereka miliki?

Kalau ikut kebiasaan, kalau sesiapa yang buat sesuatu, tentulah dia akan memilikinya, bukan? Allah ‎ﷻ telah sebut yang Dialah yang menjadikan binatang ternak itu. Namun Allah ‎ﷻ dengan rahmatnya telah memberikan pemilikan itu kepada manusia untuk digunakan. Oleh itu manusia memiliki binatang ternak itu untuk kegunaan mereka dengan mudahnya. Ini menunjukkan bahawa Allah ‎ﷻ telah menundukkan binatang ternak kepada manusia. Memang manusia memiliki kemampuan untuk menundukkan binatang. Sedangkan binantang ternak itu kadangkala lebih besar dan kuat daripada kita. Sampaikan kanak-kanak pun dapat tunggang unta. Mudah sahaja bagi kita untuk menjaganya hinggakan kalau unta beratus-ratus pun kita masih dapat kawal mereka – tidaklah mereka berani untuk melawan manusia kerana mereka lebih ramai. Ini semua adalah daripada rahmat Allah ‎ﷻ. Kalau bukan kerana Allah ‎ﷻ benarkan, tidak dapat kita lakukan.

Maka di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ mengingatkan manusia tentang nikmat yang telah diberikan-Nya kepada manusia; namun kebanyakan manusia lupa tentangnya. Kalau kita telah berbakti kepada manusia dan manusia itu tidak ikut cakap kita, kita akan mengingatkan mereka tentang segala pertolongan dan jasa yang telah diberikan kepada mereka dulu semasa mereka susah, atau semasa mereka memerlukannya. Ini adalah untuk melembutkan hatinya untuk dengar cakap kita. Begitulah dengan manusia, kadang-kadang perlu diingatkan dengan nikmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan sebagai peringatan untuk mereka.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini 24 Jun 2025

Ringkasan Surah Yaasin


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment