Tafsir Surah Hud Ayat 97 – 100 (Balasan kepada Firaun)

Hud Ayat 97:

إِلىٰ فِرعَونَ وَمَلَإيْهِ فَاتَّبَعوا أَمرَ فِرعَونَ ۖ وَما أَمرُ فِرعَونَ بِرَشيدٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

To Pharaoh and his establishment, but they followed the command of Pharaoh, and the command of Pharaoh was not [at all] discerning.

(MALAY)

kepada Fir’aun dan pemimpin-pemimpin kaumnya, tetapi mereka mengikut perintah Fir’aun, padahal perintah Fir’aun sekali-kali bukanlah (perintah) yang benar.

 

إِلىٰ فِرعَونَ وَمَلَإيْهِ

kepada Fir’aun dan pemimpin-pemimpin kaumnya,

Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diutuskan kepada Firaun dan pemimpin-pemimpin bawahannya yang memerintah Mesir waktu itu. Walaupun bukanlah kepada mereka sahaja, namun ditekankan tentang mereka kerana merekalah yang banyak menentang dakwah baginda dan juga kerana mereka itu pemimpin. Masyarakat selalunya akan mengikut pemimpin. Kalau pemimpin sudah terima hidayah, maka senang masyarakat untuk terima. Walaupun Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (dan Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) diutuskan kepada bangsa Qibti secara keseluruhan, di sini hanya disebut Firaun dan para pemimpin sahaja.

Kenapa kena pergi kepada Firaun dan dakwah kepadanya? Kerana dia sudah melampau sangat. Disebut dalam Naazi’at: 17

ٱذهَب إِلَىٰ فِرعَونَ إِنَّهُ ۥ طَغَىٰ
“Pergilah kamu kepada Fir’aun, sesungguhnya dia telah melampaui batas,

Apabila berdakwah dan menegur orang yang salah, kena pergi kepada orang itu. Bukannya tunggu orang itu yang datang kerana orang yang zalim, tidak sesekali akan menyerah tengkuknya untuk kita menegurnya pula. Malah tentu sekali dia tidak akan mengaku salah, maka kita kena berhujah dengan dia.

Disebabkan itulah ada masalah dengan gerakan dakwah di negara kita kerana kebanyakan pendakwah hanya menunggu orang ramai untuk datang ke kelas. Kemudian kelas itu dikenakan yuran pula. Memang tidaklah ada orang yang datang. Kalau ada yang datang pun, itu sudah tentu orang yang sudah baik-baik, yang memang hendak belajar.

Ternyata berdakwah ini memang bukan kerja yang senang. Maka kerana itulah Allah ﷻ menyediakan bekal apakah yang perlu dilakukan oleh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ apabila berhadapan dengan Firaun. Allah ﷻ ajar di dalam Taha: 42-44

اذهَب أَنتَ وَأَخوكَ بِآياتي وَلا تَنِيا في ذِكرِي
“Pergilah, engkau dan saudaramu, membawa mukjizat-mukjizat pengurniaan-Ku dan janganlah kamu berdua lemah dan cuai dalam menyebut serta mengingati Daku.

اذهَبا إِلىٰ فِرعَونَ إِنَّهُ طَغىٰ
“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya.

فَقولا لَهُ قَولًا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَو يَخشىٰ
“Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut”.

Pengajaran juga kepada kita dalam ayat-ayat ini, semasa berdakwah jangan lupa ingat Allah ﷻ kerana Allah ﷻlah yang memberi hidayah dan kekuatan kepada kita untuk berdakwah. Malah hujah pun datang daripada Allah ﷻ juga. Selain itu, hendaklah kita menggunakan bahasa yang lembut kerana manusia melihat kepada akhlak kita sebenarnya. Kalau kita berkasar dan berkeras, maka orang akan tutup telinga mereka daripada mendengar kata-kata kita.

Dalam ayat ini disebut ‘pembesar-pembesar’. Mereka inilah yang ada masalah selalunya. Mereka adalah orang-orang yang berkuasa pada zaman mereka. Mereka inilah golongan yang ada kuasa, ada harta dan ada pengaruh dalam masyarakat. Mereka tidak suka kalau agama yang benar ditegakkan kerana mereka akan kerugian dalam bentuk keduniaan. Bagaimana dengan orang kebanyakan? Orang kebanyakan akan mengikut sahaja kata-kata pembesar mereka.

Mereka inilah juga yang selalunya menjadi penentang jalan Sunnah yang kuat di Malaysia ini. Kalau di masjid, mereka itu adalah imam-imam, pengerusi masjid, ahli jawatankuasa surau. Kalau di kampung pula, mereka itulah ahli JKKK dan sebagainya iaitu mereka yang ada pangkat. Orang awam kemudian mengikut sahaja kata-kata orang yang ada kuasa ini. Yang disebut ini sebagai contoh sahaja, bukanlah mereka itu semestinya menentang agama. Cuma di sini hendak menjelaskan siapakah ketua masyarakat itu.

Firaun ada para penyokongnya, yang boleh juga ditafsirkan dengan orang-orang yang mengelilinginya, atau dalam bahasa yang lebih moden lagi: ‘Rejim’nya atau gengnya. Kebiasannya seorang raja yang memerintah dengan kehendak sendiri, mesti mempunyai geng, atau penyokong-penyokong, pembantu atau staf atau lebih besar lagi; “orang-orang yang mengelilingi” atau penjilat-penjilat yang selalu memuji dan memuja dan memasukkan usul dan saranan untuk memperkuat kedudukan “daulat tuanku” yang sedang berkuasa itu. Sudah terang bagaimanapun puncak kekuasaan yang dicapai oleh seorang ketua, dia tidak akan dapat memperkukuh kekuasaan, kalau tidak ada rejim yang menyokong. Di antara orang-orang seperti ini dengan si puncak kekuasaan adalah beri-memberi: ‘Aku sudah puji engkau, jadi naikkan pangkat aku. Aku beri engkau kehormatan tertinggi, jadi puja aku seperti Tuhan!

 

فَاتَّبَعوا أَمرَ فِرعَونَ

maka mereka mengikut perintah Fir’aun,

Pemimpin masyarakat dan termasuk juga kaumnya hanya mengikut arahan Firaun dan bukan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Mereka takut kalau mereka ikut Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan tinggalkan Firaun, akan jatuh kedudukan mereka dalam masyarakat dan akan susah di dunia, maka mereka tetap taat kepada Firaun dan tidak berani untuk menolak arahan Firaun. Mereka sanggup menolak seorang Rasulullah hanya kerana mahu mengikut seorang pemimpin yang zalim.

Dek kerana taat setia kepada Firaun, lama-lama kemerdekaan jiwa mereka tidak ada lagi, mereka tidak merdeka lagi menyebut kebenaran, sebab lidah mereka telah dipotong dengan harta, mulut mereka telah disumbat dengan emas, dan kebebasan diri telah terikat dan terbelenggu oleh pangkat-pangkat yang tinggi. Maka terjadilah apa yang selalu bertemu dalam ungkapan kuno: “Ampun Tuanku. ⁣Titah perintah Tuanku, patik junjung di atas batu jemala patik.”. Walaupun titah itu jauh daripada garis kebenaran.

Memang selama itu mereka akan ikut sahaja apa kata Firaun. Ini adalah kerana Firaun ini bukan sahaja pandai beri hujah, tetapi dia juga pandai memerintah dengan cara kuku besi. Dia mengamalkan apa yang dikatakan ‘pecah dan perintah’. Dia memperbodohkan rakyatnya supaya tidak ada yang pandai sampai berani menentangnya. Memang kalau rakyat pandai, susah untuk kerajaan diktator mengawal mereka. Oleh kerana itulah diktator hanya memberikan ilmu cukup-cukup sahaja, setakat boleh baca sahaja. Cara Firaun ini disebut dalam Zukhruf: 54

فَاستَخَفَّ قَومَهُ فَأَطاعوهُ ۚ إِنَّهُم كانوا قَومًا فٰسِقينَ
maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasiq – derhaka.

Dalam ayat Zukhruf: 54 ini kita mendapat tahu yang mereka itu diperbodohkan oleh Firaun kerana mereka itu fasiq. Inilah balasan yang Allah ﷻ berikan kepada mereka kerana mereka fasiq.

Semoga kerajaan dan pemimpin kita dan orang-orang yang di atas kita tidaklah melakukan perkara yang sama seperti Firaun ini. Untuk negara menjadi maju, maka rakyatnya mestilah diberikan dengan ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan yang paling utama adalah ilmu agama dan ilmu agama yang paling utama adalah tafsir Al-Qur’an dan juga pemahaman hadith.

Alhamdulillah negara kita sudah menuju ke arah itu apabila sudah mula untuk mengadakan silibus pengajian 40 hadith Imam Nawawi. Semoga kerajaan menjadi semakin berani untuk menerapkan pelajaran tafsir Al-Qur’an pula kepada anak-anak kita di sekolah. Bayangkan kalau semenjak muda lagi sudah diterapkan tafsir Al-Qur’an ke dalam pendidikan anak-anak kita ini, alangkah hebatnya kita nanti! Barulah boleh kita menguasai dunia kembali seperti zaman awal Islam!

 

وَما أَمرُ فِرعَونَ بِرَشيدٍ

padahal perintah Fir’aun sekali-kali bukanlah (perintah) yang bijaksana.

Mereka menurut sahaja arahan Firaun walaupun arahan itu tidak betul, bukan bijak pula kata-katanya. Dia bukanlah pemimpin yang baik malah menghancurkan mereka. Kajian tentang apa yang terjadi ini perlu dilakukan kerana walaupun ia telah berlaku beribu tahun dahulu, tetapi perkara yang sama berlaku lagi sepanjang zaman. Ramai rakyat hanya mengikut apa yang dikatakan oleh pemimpin mereka sahaja, tanpa usul periksa. Mereka sanggup menolak kebenaran walaupun ia akan membahayakan mereka.

Begitulah juga dengan masyarakat kita. Kalau dalam beragama, mereka akan mengikut sahaja ustaz-ustaz yang popular yang banyak pengikut berstatus selebriti dan pernah masuk TV dan terkenal di media sosial. Walaupun ajaran para ustaz itu tidak ada dalil tetapi setakat pendapat atau dicedok daripada kitab sahaja. Kadang-kadang viral pendapat yang karut, menjadikan susah pula kerja kita terpaksa memberikan penerangan untuk menjelaskan yang kata-kata ustaz di media sosial itu tidak benar, tidak mengikut dalil, ikut sedap mulut dia sahaja. Mujurlah juga pada hari ini sudah ramai asatizah sunnah melakukan video-video ‘react’, untuk memberikan maklumat tentang kesalahan asatizah nusantara di meja penceramah.

Perintah Firaun tidak mengandungi kebenaran, tidak pula mempunyai petunjuk; melainkan hanyalah kebodohan, kesesatan, kekufuran, dan keingkaran. Sebagaimana mereka mengikuti Firaun di dunia sehingga Firaun berada di hadapan mereka sebagai pemimpin mereka, maka demikian pula halnya kelak di hari kiamat; Firaun berada di hadapan mereka menuju neraka Jahanam, lalu dia memasukkan mereka ke dalamnya dan merasakan azab tempat yang dimasukinya. Sedangkan Firaun sendiri memperoleh bahagian yang paling banyak daripada azab yang sangat besar itu.


 

Hud Ayat 98:

يَقدُمُ قَومَهُ يَومَ القِيٰمَةِ فَأَورَدَهُمُ النّارَ ۖ وَبِئسَ الوِردُ المَورودُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He will precede his people on the Day of Resurrection and lead them into the Fire; and wretched is the place to which they are led.

(MALAY)

Dia berjalan di muka kaumnya di hari kiamat lalu memasukkan mereka ke dalam neraka. Neraka itu seburuk-buruk tempat yang didatangi.

 

يَقدُمُ قَومَهُ يَومَ القِيٰمَةِ

Dia berjalan di muka kaumnya di hari kiamat

Maksudnya dia akan mendahului kaumnya masuk neraka. Dia yang di hadapan. Kalimah يَقدُمُ daripada katadasar ق د م yang bermaksud mendahului, bergerak ke hadapan. Sebagaimana di dunia ini jika Firaun berangkat ke mana-mana, dia yang berjalan di muka sekali, kenderaannya didahulukan daripada kenderaan yang lain, dan yang lain adalah semata-mata iring-iringan, maka dibayangkanlah dalam ayat ini bahawa sampai ke akhirat pun Firaun akan di muka sekali juga di dalam perjalanan menuju azab llahi.

Kejadian ini adalah di Hari Kiamat. Sedangkan selepas mereka dimatikan dalam laut itu, mereka terus dikenakan dengan azab api barzakh – mereka telah diseksa di alam barzakh. Maknanya di alam barzakh lagi mereka telah diseksa dan apabila kiamat telah bermula, Firaun akan berjalan di hadapan kaumnya. Dia dahulu yang akan masuk neraka.

 

فَأَورَدَهُمُ النّارَ

lalu memasukkan mereka ke dalam neraka. 

Dia akan mendahului pengikutnya ke dalam neraka. Kalimah أَورَدَ daripada katadasar و ر د yang bermaksud membawa seseorang dekat kepada sesuatu. Kalimah أَورَدَ bermaksud membawa seseorang ke tempat yang ada air. Di padang pasir, ini adalah perbuatan yang amat besar kerana sekiranya mereka sesat di padang pasir, kalau ada orang yang bawakan mereka ke tempat yang ada air, ini adalah jasa yang amat besar sekali.

Sebaliknya, dalam kes Firaun ini, ia adalah sebagai ejekan kepada dirinya. Ini kerana memang dia yang membawa kaumnya kepada air, tetapi kepada air yang membunuh mereka, bukan menghilangkan dahaga mereka. Iaitu bawa ke Laut Khulzum yang menyebabkan mereka semua tenggelam mati kelemasan.

Di akhirat nanti dia akan membawa kaumnya dan pengikutnya ke dalam neraka pula. Kaum dan pengikutnya pun bersalah juga, kerana mereka dahulu hanya mengikut sahaja apa yang Firaun katakan. Maka itulah balasan bagi mereka. Ini kerana seorang raja atau kepala negara tidaklah akan berani menyatakan dirinya sama berkuasa dengan Allah ﷻ, atau menjadi Tuhan, kalau tidak ada yang menyokong, kalau tidak ada yang menuhankan.

Di dalam sejarah hasil penyelidikan tentang Firaun-firaun Mesir itu terdapat keterangan bahawa pendeta-pendeta atau kahin-kahin, berdiri di samping Firaun untuk menanamkan kepada rakyat akan keyakinan bahawa Firaun itu memang Tuhan. Beribu tahun lamanya telah tertanam di dalam jiwa orang Mesir kuno itu bahawa Firaun adalah keturunan Dewa Oziris, iaitu Tuhan Langit. Dengan memelihara dan memupuk kepercayaan seperti ini, dengan gandingan Firaun dengan pemimpin-pemimpin agama, pendeta, kahin atau pedanda, kekallah kepercayaan itu dan mudahlah rakyat diperintah. Maka memang patut mereka semua dihumban masuk ke dalam neraka bersama dengan Firaun.

Sebenarnya semua kita akan melalui neraka. Lihat Maryam:71

وَإِن مِّنكُم إِلّا وارِدُها ۚ كانَ عَلىٰ رَبِّكَ حَتمًا مَّقضِيًّا
Dan tiada seorang pun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya; (yang demikian) adalah satu perkara yang mesti (berlaku) yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu.

Lihat kalimah وارِدُها menggunakan katadasar yang sama dengan kalimah فَأَورَدَهُمُ. Akan tetapi orang Mukmin tidaklah akan terjatuh ke dalam neraka. Ini seperti disebut dalam sebuah hadith,

الْمُؤْمِنُ عَلَيْهَا كَالطَّرْفِ وَكَالْبَرْقِ وَكَالرِّيحِ وَكَأَجَاوِيدِ الْخَيْلِ وَالرِّكَابِ فَنَاجٍ مُسَلَّمٌ وَنَاجٍ مَخْدُوشٌ وَمَكْدُوسٌ فِي نَارِ جَهَنَّمَ حَتَّى يَمُرَّ آخِرُهُمْ يُسْحَبُ سَحْبًا
( متفق عليه)
“Orang Mukmin (berada) di atasnya (sirat), ada yang secepat kerdipan mata, ada yang secepat kilat, ada yang secepat angin, ada yang secepat kuda yang amat kencang berlari, dan ada yang secepat pengendara. Maka ada yang selamat setelah tertatih-tatih dan ada pula yang dilemparkan ke dalam neraka. Mereka yang paling terakhir merangkak secara perlahan-lahan”.
(Muttafaqun ‘alaih)

 

وَبِئسَ الوِردُ المَورودُ

Neraka itu seburuk-buruk tempat yang didatangi.

Kalimah الوِردُ boleh bermaksud ‘tempat yang didatangi’. Mereka masuk ke neraka kerana mengikut Firaun dan taat kepadanya. Ternyata mereka telah membuat keputusan yang amat salah.

Kalimah الوِردُ juga boleh bermaksud ‘mereka yang dahaga’. Mereka yang dahaga selalunya akan mengikut orang yang boleh membawa mereka kepada air. Sebaliknya pengikut Firaun itu adalah teruk sekali kerana mereka mengikut Firaun bukannya kepada air yang dapat menghilangkan dahaga mereka, tetapi kepada air yang mematikan dan neraka yang akan membakar mereka.

Walaupun mereka itu pengikut sahaja, tetapi mereka tidak mempunyai alasan untuk mengelakkan diri mereka lagi kerana Allah ﷻ telah kurniakan semua manusia dengan akal untuk membuat keputusan yang waras. Akal telah diberi tetapi tidak digunakan dengan sepatutnya, hanya mengikut sahaja tanpa soal, maka jangan salahkan sesiapa apabila Allah ﷻ masukkan ke dalam neraka nanti!

Banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an membicarakan perkara ini. Ramai yang akan menyalahkan guru/pemimpin/ustaz mereka yang telah menyesatkan mereka. Mereka marah sekali tetapi kemarahan mereka itu tidak dapat menyelamatkan mereka pun nanti, kerana mereka akan sama-sama masuk ke dalam neraka dengan guru/pemimpin/ustaz mereka yang sesat.

Allah ﷻ menceritakan pula perihal orang-orang kafir, bahawa mereka di dalam neraka mengatakan:

رَبَّنَا إِنَّا أَطَعْنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَاءَنَا فَأَضَلُّونَا السَّبِيلَ رَبَّنَا آتِهِمْ ضِعْفَيْنِ مِنَ الْعَذَابِ وَالْعَنْهُمْ لَعْنًا كَبِيرًا
Dan mereka berkata, “Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mentaati pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan (yang benar). Ya Tuhan kami, berilah kepada mereka azab dua kali lipat ” (Al-Ahzab: 67-68), hingga akhir ayat.

Kalimah المَورودُ pula bermaksud mereka yang mengikut orang yang membawa kepada air. Juga merujuk kepada pengikut-pengikut Firaun. Mereka mahukan dunia, lalu mereka mengikut arahan Firaun maka mereka akan dimasukkan ke dalam neraka yang tidak ada peluang untuk keluar lagi. Mereka akan kekal di dalamnya.

Namun sekarang pun Firaun dan pengikutnya sedang merasai azab di Alam Barzakh. Ini disebut dalam Ghafir: 46

النَّارُ يُعْرَضُونَ عَلَيْهَا غُدُوًّا وَعَشِيًّا وَيَوْمَ تَقُومُ السَّاعَةُ أَدْخِلُوا آلَ فِرْعَوْنَ أَشَدَّ الْعَذَابِ
Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh); dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): “Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!”


 

Hud Ayat 99:

وَأُتبِعوا في هٰذِهِ لَعنَةً وَيَومَ القِيٰمَةِ ۚ بِئسَ الرِّفدُ المَرفودُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they were followed in this [world] with a curse and on the Day of Resurrection. And wretched is the gift¹ which is given.

  • i.e., the curse which follows them in both worlds.

(MALAY)

Dan mereka selalu diikuti dengan laknat di dunia ini dan (begitu pula) di hari kiamat. Laknat itu seburuk-buruk pemberian yang diberikan.

 

وَأُتبِعوا في هٰذِهِ لَعنَةً

Dan mereka selalu diikuti dengan laknat di sini 

Mereka itu telah dilaknat semasa di dunia lagi. Laknat itu akan ikut mereka sahaja ke mana sahaja mereka pergi. Laknat itu maksudnya mereka tidak akan mendapat rahmat daripada Allah ﷻ.

 

وَيَومَ القِيٰمَةِ

dan (begitu pula) di hari kiamat.

Bukan sahaja di dunia mereka mendapat laknat, di Hari Kiamat juga nanti mereka tidak akan mendapat rahmat daripada Allah ﷻ kerana Allah ﷻ mahu menghukum mereka secukup-cukupnya.

 

بِئسَ الرِّفدُ المَرفودُ

Laknat itu seburuk-buruk pemberian yang diberikan.

Kalimah الرِّفدُ daripada katadasar ر ف د yang bermaksud hadiah, pemberian, kongsi, bantuan. Maka kalimah الرِّفدُ asalnya adalah pertolongan yang diberikan kepada mereka yang tidak berupaya. Kalimah المَرفودُ pula bermaksud orang yang diberi dengan hadiah atau bantuan itu.

Namun adakah laknat dan segala azab itu boleh dikatakan sebagai ‘pertolongan’? Tentu tidak. Maka Allah ﷻ hendak mengejek mereka seperti banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an dalam bentuk sarkastik. Ia memang hadiah, tetapi hadiah yang amat buruk sekali.


 

BALASAN KEPADA KEZALIMAN

Hud Ayat 100: Ini adalah Perenggan Makro ke 8 dan terakhir. Ia adalah rumusan bagi surah ini. Allah ﷻ hendak memberitahu yang ramai kaum telah dimusnahkan kerana kesalahan mereka sendiri. Kemudian Allah ﷻ kembali mengatakan tentang Tauhid Ibadah (Tauhid Uluhiyyah) seperti yang telah disebut dalam Makro Pertama.

ذٰلِكَ مِن أَنباءِ القُرىٰ نَقُصُّهُ عَلَيكَ ۖ مِنها قائِمٌ وَحَصيدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That is from the news of the cities, which We relate to you; of them, some are [still] standing and some are [as] a harvest [mowed down].¹

  • Their structures have been completely destroyed.

(MALAY)

Itu adalah sebahagian dan berita-berita negeri (yang telah dibinasakan) yang Kami ceritakan kepadamu (Muhammad); di antara negeri-negeri itu ada yang masih ada bekas-bekasnya dan ada (pula) yang telah musnah.

 

ذٰلِكَ مِن أَنباءِ القُرىٰ نَقُصُّهُ عَلَيكَ

Itu adalah sebahagian dan berita-berita negeri (yang telah dibinasakan) yang Kami ceritakan kepadamu

Itulah kisah-kisah besar dan penting yang disampaikan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Bukan semua, tetapi sebahagian sahaja, namun cukuplah untuk diambil sebagai peringatan dan kajian kita. Supaya kita dapat tahu bahawa perkara yang terjadi pada zaman sekarang, telah berlaku semenjak dahulu lagi. Allah ﷻ banyak menggunakan konsep penceritaan untuk mendidik manusia kerana manusia memang sukakan cerita. Ini akan lebih menarik perhatian manusia. Semua kisah-kisah itu disampaikan kepada Nabi ﷺ dalam bentuk wahyu. Apakah tujuannya?

Banyak kisah para Nabi disampaikan di dalam Al-Qur’an yang menjadi ibrah (pengajaran) kepada kita. Ini sebagaimana yang Allah ‎ﷻ sebut di dalam Yusuf: 111

لَقَد كانَ في قَصَصِهِم عِبرَةٌ لِأُولِي الأَلبابِ
Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal

Keduanya, kisah-kisah mereka itu sebagai tasbit al qalbi (menguatkan hati). Ini kerana kita akan belajar kisah-kisah dugaan yang mereka terima dalam menjalankan dakwah mereka. Allah ‎ﷻ hendak beritahu kita: Kalau mereka boleh bersabar, maka kenapa tidak kita? Allah ‎ﷻ sebut di dalam Hud: 120

وَكُلًّا نَقُصُّ عَلَيكَ مِن أَنباءِ الرُّسُلِ ما نُثَبِّتُ بِهِ فُؤادَكَ
Dan semua kisah daripada rasul-rasul Kami ceritakan kepadamu, ialah kisah-kisah yang dengannya Kami teguhkan hatimu

Ketiga, disebut juga di dalam ayat yang sama, sebagai nasihat dan peringatan,

وَجاءَكَ في هٰذِهِ الحَقُّ وَمَوعِظَةٌ وَذِكرىٰ لِلمُؤمِنينَ
dan dalam surat ini telah datang kepadamu kebenaran serta pengajaran dan peringatan bagi orang-orang yang beriman

 

مِنها قائِمٌ وَحَصيدٌ

di antara negeri-negeri itu ada yang masih ada bekas-bekasnya dan ada (pula) yang telah musnah.

Walaupun disampaikan dalam bentuk kisah, namun ada tempat-tempat itu yang masih قائِمٌ (berdiri) lagi dan ada yang orang masih tinggal lagi di tempat itu. Maka masih boleh pergi lagi ke tempat-tempat itu kalau tidak percaya. Ada yang masih dapat dilihat bekasnya, runtuhan rumahnya, jalan-jalan kampungnya, yang masih dapat disaksikan dengan mata untuk menjadi i’tibar, contohnya bekas negeri kaum Tsamud yang didatangi Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, yang sehingga kepada zaman Nabi Muhammad ﷺ masih dapat disaksikan, bahkan sampai masa tafsir ini ditulis.

Ada yang حَصيدٌ (sudah hancur). Kalimah حَصيدٌ daripada katadasar ح ص د yang bermaksud ‘tuai’. Apabila waktu tuaian, tanaman-tanaman itu ditarik, dipetik dan dicabut sampai tidak ada lagi di pokok atau di tanah. Begitu jugalah dengan sesetengah kisah dalam Al-Qur’an. Ada tempat yang kesan peninggalan tidak ada lagi, seperti tanaman yang telah dituai sampai tidak ada kesan lagi. Semuanya telah runtuh dan hilang sama sekali, terbenam ke dalam lapisan bumi, seperti negeri kaum Luth.

Semua itu menjadi pengajaran kepada kita. Kita kena bandingkan mereka dengan diri kita. Kita kena ambil pengajaran daripada kesalahan yang mereka telah lakukan. Inilah yang Allah ﷻ firmankan seperti disebut dalam Rum: 9

أَوَلَم يَسيروا فِي الأَرضِ فَيَنظُروا كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ الَّذينَ مِن قَبلِهِم ۚ كانوا أَشَدَّ مِنهُم قُوَّةً وَأَثارُوا الأَرضَ وَعَمَروها أَكثَرَ مِمّا عَمَروها وَجاءَتهُم رُسُلُهُم بِالبَيِّنٰتِ
Dan apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di muka bumi dan memperhatikan bagaimana akibat (yang diderita) oleh orang-orang sebelum mereka? Orang-orang itu adalah lebih kuat daripada mereka (sendiri) dan telah mengolah bumi (tanah) serta memakmurkannya lebih banyak daripada apa yang telah mereka makmurkan. Dan telah datang kepada mereka rasul-rasul mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 29 Ogos 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment