Hud Ayat 93:
وَيٰقَومِ اعمَلوا عَلىٰ مَكانَتِكُم إِنّي عٰمِلٌ ۖ سَوفَ تَعلَمونَ مَن يَأتيهِ عَذابٌ يُخزيهِ وَمَن هُوَ كٰذِبٌ ۖ وَارتَقِبوا إِنّي مَعَكُم رَقيبٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And O my people, work according to your position; indeed, I am working. You are going to know to whom will come a punishment that will disgrace him and who is a liar. So watch; indeed, I am with you a watcher, [awaiting the outcome].”
(MALAY)
Dan (dia berkata): “Hai kaumku, berbuatlah menurut kemampuanmu, sesungguhnya aku pun berbuat (pula). Kelak kamu akan mengetahui siapa yang akan ditimpa azab yang menghinakannya dan siapa yang berdusta. Dan tunggulah azab (Tuhan), sesungguhnya aku pun menunggu bersama kamu”.
وَيٰقَومِ اعمَلوا عَلىٰ مَكانَتِكُم إِنّي عٰمِلٌ
Dan (dia berkata): “Hai kaumku, berbuatlah menurut kedudukanmu, sesungguhnya aku pun beramal juga.
Akhirnya, setelah kaumnya itu tidak mahu juga hendak beriman, tidak mahu mengikut ajaran baginda, maka baginda berkata buatlah apa yang mereka hendak buat. Mereka amallah apa yang mereka hendak amal dan baginda akan amal apa yang Allah ﷻ telah arahkan kepada baginda. Kalau mereka rasa kedudukan mereka hebat sangat, maka buatlah! Janganlah pula sangka yang ini adalah pelepasan daripada baginda atau baginda benar-benar suruh mereka berbuat apa sahaja yang mereka suka. Ternyata ini adalah ancaman daripada baginda.
Ini baginda bercakap dalam rangka sudah berputus asa dengan mereka. Kalau tidak mahu berubah juga, biarlah kamu seperti itu. Kerana kamu degil sangat, maka kamu buatlah amalan syirik dan bid’ah yang kamu hendak buat, dan aku akan buat amalan aku yang berdasarkan sunnah.
Beginilah juga kata-kata kita kepada umat Islam yang degil tidak mahu kembali kepada ajaran Al-Qur’an dan sunnah. Kita katakan begini setelah kita berkali-kali berdakwah kepada mereka. Kalau masih tidak faham juga, biarlah mereka. Namun kenalah beri penjelasan kepada mereka. Kalau mereka masih buka telinga lagi, terus sampaikan. Namun kalau sudah melawan sangat, barulah tinggalkan mereka.
سَوفَ تَعلَمونَ مَن يَأتيهِ عَذابٌ يُخزيهِ وَمَن هُوَ كٰذِبٌ
Kelak kamu akan mengetahui siapa yang akan ditimpa azab yang menghinakannya dan siapa yang berdusta.
Namun ingat, ini bukan pelepasan bagi mereka. Bukanlah setelah dikatakan begitu, mereka mendapat tiket untuk berbuat apa sahaja. Ini adalah ancaman sebenarnya: kalau kamu hendak buat juga amalan kamu itu, nanti kamu akan tahu siapa yang akan mendapat azab dan siapa yang mendustakan agama. Akukah yang menipu atau kamu yang menipu? Kelak kamu akan tahu.
Memang kamu berkuasa di dunia sekarang, kamu boleh degil, tetapi nanti di akhirat kamu tidak akan dapat pergi ke mana-mana. Waktu itu sudah tidak terlambat, tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Kalau di akhirat baru tahu selama ini kamu tertipu, sudah terlambat. Memang apabila dimasukkan ke dalam neraka adalah satu perkara yang amat memalukan dan menghinakan.
Kita hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah ﷻ untuk menyelamatkan diri kita daripada azab yang hina ini seperti yang disebut di dalam Ali Imran: 194
رَبَّنَا وَءآتِنَا مَا وَعَدتَّنَا عَلَىٰ رُسُلِكَ وَلَا تُخْزِنَا يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ إِنَّكَ لَا تُخْلِفُ الْمِيعَادَ
Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji”.
Inilah antara ayat-ayat yang Rasulullah ﷺ baca apabila baginda bangun untuk mengerjakan Solat Tahajjud seperti disebut dalam sebuah hadith,
أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَبَّاسٍ أَخْبَرَهُ أَنَّهُ بَاتَ لَيْلَةً عِنْدَ مَيْمُونَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهِيَ خَالَتُهُ فَاضْطَجَعْتُ فِي عَرْضِ الْوِسَادَةِ وَاضْطَجَعَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَهْلُهُ فِي طُولِهَا فَنَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى إِذَا انْتَصَفَ اللَّيْلُ أَوْ قَبْلَهُ بِقَلِيلٍ أَوْ بَعْدَهُ بِقَلِيلٍ اسْتَيْقَظَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَلَسَ يَمْسَحُ النَّوْمَ عَنْ وَجْهِهِ بِيَدِهِ ثُمَّ قَرَأَ الْعَشْرَ الْآيَاتِ الْخَوَاتِمَ مِنْ سُورَةِ آلِ عِمْرَانَ ثُمَّ قَامَ إِلَى شَنٍّ مُعَلَّقَةٍ فَتَوَضَّأَ مِنْهَا فَأَحْسَنَ وُضُوءَهُ ثُمَّ قَامَ يُصَلِّي
[‘Abdullah bin ‘Abbas رضي الله عنهما] mengabarkan, bahawa beliau pada suatu malam pernah bermalam di rumah Maimunah, isteri Nabi ﷺ, dan ibu saudara sebelah ibunya. Katanya, “Aku berbaring di sisi bantal sementara Nabi ﷺ dan isterinya berbaring pada bahagian panjang (tengahnya). Rasulullah ﷺ lalu tidur hingga pada tengah malam, atau kurang sedikit, atau lewat sedikit, baginda bangun dan duduk sambil mengusap sisa-sisa mengantuk yang ada di wajahnya dengan tangan. Baginda kemudian membaca sepuluh ayat terakhir daripada Surah Ali ‘Imran. Kemudian berdiri menuju tempat wudhu’, baginda lalu berwudhu’ dengan memperbaguskan wudhu’nya, lalu solat.”
(Sahih Bukhari (177))
Apabila Allah ﷻ sebut azab yang ‘menghinakan’, maka tentu juga ada azab yang tidak menghinakan, bukan? Kerana manusia yang beriman dan menegakkan iman mereka di hadapan orang zalim juga ada diazab. Akan tetapi azab mereka itu tidak menghinakan, malah menjadi kemuliaan kepada mereka kerana mereka tetap teguh di atas iman.
Kalimah yang digunakan di dalam ayat ini adalah سَوفَ تَعلَمونَ (kelak kamu akan mengetahui). Maknanya nanti di akhirat golongan yang ingkar itu akan menerima azab. Malangnya ada juga yang mentafsir ayat ini dengan mengatakan hanya di akhirat baru tahu siapa yang salah dan siapa yang benar. Ini disebut oleh seorang ahli tafsir Indonesia yang bernama Muhammad Quraish Shihab. Dia berhujah dengan ayat sebegini mengatakan yang Islam belum tentu benar lagi. Hanya di akhirat nanti akan diketahui. Ini adalah tafsiran yang bahaya maka kena berhati-hati dengan tafsiran dia ini.
وَارتَقِبوا إِنّي مَعَكُم رَقيبٌ
Dan tunggulah azab (Tuhan), sesungguhnya aku pun memerhatikan”.
Kamu lihatlah dengan betul-betul, tunggulah dengan betul-apa yang akan terjadi. Kalimah رقب bermaksud menunggu dengan betul-betul seperti menunggu serangan daripada musuh. Sekiranya musuh akan menyerang bila-bila tentu kita akan berjaga bersungguh-sungguh, bukan? Maka, ini bukan tunggu biasa sahaja, tetapi tunggu yang bersungguh-sungguh. Oleh itu kalimah رقيب bermaksud mengawas. Inilah juga sifat dua malaikat yang menjaga kita seperti disebut dalam Qaf: 18
مّا يَلفِظُ مِن قَولٍ إِلّا لَدَيهِ رَقيبٌ عَتيدٌ
Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir.
Jelas dalam ayat ini menunjukkan bahawa رقيب bukanlah nama Malaikat tetapi sifat malaikat yang mengawas.
Setelah Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyampaikan dakwahnya dan kaumnya itu tidak mahu menerima, maka baginda berhenti. Baginda tidak memaksa mereka, tidak bertegang urat dengan mereka. Ini kerana manusia diberikan dengan pilihan untuk membuat keputusan sendiri. Kita haruslah bersikap ‘gentleman’; kalau tidak mahu terima maka cukup sampai di sini sahaja. Kamu sudah membuat keputusan sendiri, maka nanti terimalah balasan dan kesannya.
AZAB YANG DIKENAKAN
Hud Ayat 94: Akhirnya azab telah dikenakan kepada mereka
وَلَمّا جاءَ أَمرُنا نَجَّينا شُعَيبًا وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ بِرَحمَةٍ مِّنّا وَأَخَذَتِ الَّذينَ ظَلَمُوا الصَّيحَةُ فَأَصبَحوا في دِيٰرِهِم جٰثِمينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And when Our command came, We saved Shu‘ayb and those who believed with him, by mercy from Us. And the shriek seized those who had wronged, and they became within their homes [corpses] fallen prone
(MALAY)
Dan tatkala datang azab Kami, Kami selamatkan Syu’aib dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengan dia dengan rahmat dari Kami, dan orang-orang yang zalim dibinasakan oleh satu suara yang mengguntur, lalu jadilah mereka mati bergelimpangan di rumahnya.
وَلَمّا جاءَ أَمرُنا نَجَّينا شُعَيبًا وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ
Dan tatkala datang azab Kami, Kami selamatkan Syu’aib dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengan dia
Apabila kaum Madyan tetap berdegil, tetap menolak ajakan tauhid, tetap melakukan syirik, tetap melawan Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, maka Allah ﷻ mengenakan azab yang menghinakan kepada mereka.
Namun sebelum azab itu dikenakan, seperti selalunya, Allah ﷻ menyelamatkan Rasul dan umat yang beriman bersama baginda. Sebagaimana Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berserta orang beriman dinaikkan ke dalam bahtera dahulu sebelum banjir besar, keluarga Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disuruh meninggalkan tempat tinggal mereka dan jangan pandang belakang, maka Syu’aib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disuruh untuk menyelamatkan diri.
بِرَحمَةٍ مِّنّا
dengan rahmat daripada Kami,
Allah ﷻ mengingatkan yang mereka diselamatkan kerana rahmat daripada Allah ﷻ. Selalunya Allah ﷻ akan menghantar malaikat untuk berjumpa dengan Nabi dan suruh baginda selamatkan diri dengan meninggalkan tempat itu bersama-sama dengan pengikut baginda.
Mereka itu diselamatkan bukannya kerana mereka solat dan berpuasa, tetapi Allah ﷻ beritahu بِرَحمَةٍ مِّنّا (dengan rahmat daripada Kami). Hanya kerana rahmat Allah ﷻ sahaja mereka selamat. Iaitu kerana kasih sayang Allah ﷻ. Kerana itu kita kena berharap kepada rahmat Allah ﷻ. Untuk masuk ke dalam syurga pun bukannya bergantung kepada ibadah solat dan puasa kita, tetapi bergantung kepada rahmat Allah ﷻ juga. Ini seperti disebut di dalam sebuah hadith,
عَنْ جَابِرٍ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يُدْخِلُ أَحَدًا مِنْكُمْ عَمَلُهُ الْجَنَّةَ وَلَا يُجِيرُهُ مِنْ النَّارِ وَلَا أَنَا إِلَّا بِرَحْمَةٍ مِنْ اللَّهِ
Daripada [Jabir] beliau berkata: Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Tidak seorang pun daripada kalian yang dimasukkan syurga oleh amalnya dan tidak juga diselamatkan dari neraka kerananya, tidak juga aku kecuali kerana rahmat daripada Allah ﷻ.”
(Riwayat Muslim (5042))

Kerana Allah ﷻ boleh sahaja mengenakan azab itu kepada semua orang, termasuk orang yang beriman juga seperti disebut dalam Anfal: 25
وَاتَّقوا فِتنَةً لّا تُصيبَنَّ الَّذينَ ظَلَموا مِنكُم خاصَّةً
Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu.
وَأَخَذَتِ الَّذينَ ظَلَمُوا الصَّيحَةُ
dan orang-orang yang zalim dibinasakan oleh satu suara yang mengguntur,
Orang-orang kafir itu dikenakan dengan azab tempikan daripada Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan gegaran dari bumi. Azab yang dikenakan kepada mereka itu bersesuaian dengan penolakan kepada Nabi mereka – apabila mereka berbuat kurang ajar kepada Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, maka mereka telah dikenakan dengan tempikan yang amat kuat sehingga mematikan mereka.
Kita pun mengetahui berbagai-babagi bunyi dalam alam ini yang menimbulkan kengerian dan ketakutan. Misalnya bunyi ombak di laut yang terlalu besar, apabila angin taufan datang. Atau bunyi letupan gunung berapi atau bunyi lahar seketika ia dimuntahkan oleh puncak gunung berapi dan derak lahar itu ketika bergerak ke bawah melanda dan menumbangkan pohon-pohon yang besar. Atau bunyi kilat sambung-menyambung. Atau bunyi air mengalir seketika terjadi banjir besar. Semuanya itu menimbulkan kengerian dan ketakutan manusia, sehingga banyak yang mati terlebih dahulu kerana dahsyatnya ketakutan. Bayangkan bunyi siren di waktu perang, atau deru kapal-udara ketika ia datang untuk menjatuhkan bom kepada sebuah kota, atau bunyi tembakan meriam yang kuat, semuanya itu mampu menyebabkan orang mati ketakutan, ada yang tersungkur dan pecah hempedunya dan ada bergoncang jantungnya yang lemah, semuanya itu sampaikan boleh membawa maut; apatah lagi azab seksa yang telah diatur Tuhan.
Dalam surah-surah yang lain, disebut azab yang dikenakan kepada mereka lain pula, kerana penekanan kesalahan mereka dalam surah-surah itu berlainan. Dalam surah ini, ia adalah tentang mereka kurang ajar kepada Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, maka mereka disebut dimatikan dengan suara pekikan.
Ini adalah antara kehalusan bahasa dalam Al-Qur’an, yang bersesuaian dengan ayat-ayat yang sebelumnya. Maksudnya, mereka dikenakan dengan semua azab itu, tetapi azab yang disebut dalam surah adalah berkaitan dengan cara mereka menolak.
فَأَصبَحوا في دِيٰرِهِم جٰثِمينَ
lalu jadilah mereka mati bergelimpangan di rumah mereka.
Oleh kerana tempikan yang sangat dahsyat itu sehingga boleh mematikan mereka. Mereka terjatuh mati di rumah mereka dalam keadaan bergelimpangan. Mereka mati begitu sahaja. Allah ﷻ sebut mereka mati di tempat mereka tinggal iatu tempat yang mereka selesa. Tempat itu sepatutnya menjadi tempat yang selamat bagi mereka akan tetapi mudah sahaja bagi Allah ﷻ untuk memusnahkan mereka dan Allah ﷻ pilih tempat tinggal untuk menghina mereka.
Hud Ayat 95:
كَأَن لَّم يَغنَوا فيها ۗ أَلا بُعدًا لِّمَديَنَ كَما بَعِدَت ثَمودُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
As if they had never prospered therein. Then, away with Madyan as Thamūd was taken away.
(MALAY)
Seolah-olah mereka belum pernah berdiam di tempat itu. Ingatlah, kebinasaanlah bagi penduduk Mad-yan sebagaimana kaum Tsamud telah binasa.
كَأَن لَّم يَغنَوا فيها
Seolah-olah mereka belum pernah berdiam di tempat itu.
Mereka mati senyap sunyi sampaikan bila dilihat, bagaikan tidak ada kesan mereka pernah hidup di situ dahulu. Dahulu mereka hidup dengan gembira, dengan kehebatan mereka, namun oleh kerana mereka dimatikan dengan cara begitu, hanya mereka sahaja yang mati dan tidak ada kesan langsung peninggalan mereka di situ.
Mereka dihancurkan sampai tidak ada kesan yang mereka pernah tinggal di situ. Kalimah يَغنَوا daripada katadasar غ ن ي yang bermaksud tinggal; berkembang; memanfaatkan; mendiami; menjadi kaya atau dalam keselesaan hidup; bebas daripada kekurangan; memperkayakan; menjadikan kaya; mengeluarkan; kaya raya; berdikari; mampu melakukan tanpa bantuan orang lain; seseorang yang cukup atau berdiri di tempat orang lain; memenuhi sesuatu keperluan.
Maknanya mereka telah hidup dengan selesa dan mencari kekayaan di situ akan tetapi apabila Allah ﷻ musnahkan mereka langsung tidak ada kesan mereka di situ. Seakan-akan mereka tidak pernah wujud di situ. Sampai begitu sekali Allah ﷻ azab mereka.
Melihat kepada bekas kehancuran itu tidaklah dapat dibayangkan lagi yang negeri itu dahulunya pernah didiami manusia. Negeri Madyan akhirnya kosong daripada manusia, sampaikan takut orang berjalan berdekatannya, seakan-akan didiami oleh hantu belaka, yang di dalam ungkapan orang Melayu disebut: ‘Laksana negeri dilanda garuda’ atau “padang jarak padang tekukur”.
أَلا بُعدًا لِّمَديَنَ كَما بَعِدَت ثَمودُ
Ingatlah, jauhlah bagi penduduk Mad-yan sebagaimana kaum Tsamud telah binasa.
Mereka ditakdirkan jauh daripada rahmat Allah ﷻ. Tidak ada harapan untuk mendapat rahmat lagi. Maka penduduk Madyan itu mati seperti kaum Tsamud juga.
Habis Ruku’ 8 dari 10 ruku’ surah ini
KISAH NABI MUSA عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ
Hud Ayat 96: Sekarang kita masuk kepada Kisah Ke 7, iaitu kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Firaun. Daripada ayat ini ke ayat 99 adalah juga Perenggan Makro 7 surah ini.
Kisah ini menekankan Dakwa Ketiga – tidak boleh ada kekurangan dalam menyampaikan wahyu. Sekeras mana pun umat menentang, kena sampaikan semua maksud daripada wahyu. Tidak boleh kurangkan sedikit pun, kena sampaikan kesemuanya sekali.
وَلَقَد أَرسَلنا موسىٰ بِئآيٰتِنا وَسُلطٰنٍ مُّبينٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And We did certainly send Moses with Our signs and a clear authority
(MALAY)
Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Musa dengan tanda-tanda (kekuasaan) Kami dan mukjizat yang nyata,
وَلَقَد أَرسَلنا موسىٰ بِئآيٰتِنا
Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Musa dengan tanda-tanda (kekuasaan) Kami
Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak perlu diperkenalkan lagi kerana banyak sekali kisah baginda dalam Al-Qur’an. Allah ﷻ telah menghantar Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan membawa wahyu daripada Allah ﷻ untuk disampaikan kepada Firaun, bangsa Qibti dan juga Bani Israil.
Kisah baginda disebut di 136 tempat di dalam Al-Qur’an dan kisah musuhnya Firaun pula disebut di 74 tempat. Ini adalah kerana dakwah baginda yang berat dan musuh baginda juga hebat. Teruknya Firaun sampai mengaku tuhan yang tidak pernah dilakukan oleh manusia lain.
Selain itu, Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga berhadapan dengan Bani Israil yang semua sangatlah teruk dan kaum yang degil. Kisah baginda banyak diceritakan supaya menjadi pengajaran bagi Nabi Muhammad ﷺ dan kita sebagai umat baginda. Cuma di dalam surah ini kisah baginda tidak panjang kerana di tempat lain sudah ada banyak kisah yang panjang.
Allah ﷻ juga telah menghantar Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan tanda-tanda kebesaran-Nya, iaitu dengan membawa mukjizat sebagai tanda kenabian baginda. Banyak sekali mukjizat yang ditunjukkan oleh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dan Allah ﷻ sebut baginda diberi dengan 9 mukjizat seperti disebut dalam Isra’: 101
وَلَقَد آتَينا موسىٰ تِسعَ آياتٍ بَيِّناتٍ
Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Musa sembilan buah mukjizat yang nyata
Apakah 9 mukjizat itu? Al-Qur’an memberikan keterangan terkait sembilan mukjizat Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, iaitu tongkat, tangan yang memancarkan cahaya, taufan/banjir, belalang, kutu, katak, darah, laut yang terbelah, dan gunung (Sinai) diangkat.
Kisah tongkat baginda menjadi ular banyak disebut dalam Al-Qur’an, antaranya di dalam A’raf: 107
فَأَلقىٰ عَصاهُ فَإِذا هِيَ ثُعبانٌ مُّبينٌ
Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang jelas nyata.
Kemudian mukjizat tangan baginda yang bercahaya disebut dalam ayat seterusnya.
وَنَزَعَ يَدَهُ فَإِذا هِيَ بَيضاءُ لِلنّٰظِرينَ
Dan Nabi Musa mengeluarkan tangannya, tiba-tiba tangannya (menjadi) putih (bersinar-sinar) bagi orang-orang yang melihatnya.
Allah ﷻ sebut lagi tanda-tanda lain dalam A’raf: 133
فَأَرسَلنا عَلَيهِمُ الطّوفانَ وَالجَرادَ وَالقُمَّلَ وَالضَّفادِعَ وَالدَّمَ ءآيٰتٍ مُّفَصَّلٰتٍ فَاستَكبَروا وَكانوا قَومًا مُّجرِمينَ
(Allah berfirman): Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan, dan belalang, dan kutu, dan katak, dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka.
Terbelahnya lautan disebut dalam Syuara’:63
فَأَوحَينا إِلىٰ موسىٰ أَنِ اضرِب بِّعَصاكَ البَحرَ ۖ فَانفَلَقَ فَكانَ كُلُّ فِرقٍ كَالطَّودِ العَظيمِ
Lalu Kami wahyukan kepada Musa: “Pukullah lautan itu dengan tongkatmu”. Maka terbelahlah lautan itu dan tiap-tiap belahan adalah seperti gunung yang besar.
Terangkatnya Gunung Sinai disebut dalam Baqarah: 63
وَإِذ أَخَذنا مِيثَـٰقَكُم وَرَفَعنا فَوقَكُمُ الطّورَ
Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil perjanjian setia kamu semasa Kami angkatkan Gunung Tursina di atas kamu
وَسُلطٰنٍ مُّبينٍ
dan mukjizat yang nyata,
Kalimah سُلطٰنٍ mungkin kita sudah biasa kerana sultan pemerintah negeri-negeri kita menggunakan gelaran ini. Ia daripada katadasar س ل ط yang bermaksud menjadi kuat; keras; tajam; memperkasakan; menang; pihak berkuasa; rayuan; hujah; kuasa; demonstrasi; bukti yang meyakinkan. Maka di dalam ayat ini سُلطٰنٍ bermaksud dalil, bukti dan hujah.
Sebelum ini kita dapat tahu bahawa Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ membawa tanda daripada Tuhan (بِئآيٰتِنا) dalam bentuk mukjizat. Para Nabi diberikan dengan mukjizat sebagai bukti yang mereka adalah Nabi. Ini adalah kerana mereka membawa perkara yang besar, maka perlu dibuktikan yang mereka adalah Nabi. Sekarang disebut hujah pula. Ia adalah hujah dalam bentuk wahyu dan ini pun mestilah jelas. Sebab itu kita kena rujuk kepada wahyu dalam hal agama. Tidak boleh kita buat fahaman sendiri. Apa-apa dakwaan tentang agama mestilah datang daripada Allah ﷻ.
Sifatnya mesti مُّبينٍ (jelas). Memang apa-apa sahaja daripada Tuhan adalah jelas. Yang tidak jelas adalah apabila tidak belajar dan berhati keras kerana tidak mahu menerima kebenaran. Wahyu adalah jelas, maka salahlah fahaman sesetengah orang agama yang kata tidak boleh belajar tafsir Al-Qur’an bagi orang awam. Seolah-olah orang istimewa sahaja yang boleh belajar. Mereka sampai kata kalau belajar tafsir, boleh keliru dan malah boleh menjadi sesat! Ini adalah pandangan yang salah dan merbahaya.
Bayangkan Al-Qur’an adalah sumber utama kita tetapi kita tidak boleh belajar untuk memahaminya? Amatlah rugi kalau begitu. Di dalam masa yang sama, kita faham juga kerisauan mereka. Memang kalau tidak belajar dengan orang yang mahir, ia boleh menyebabkan salah faham dan ya, boleh sampai sesat. Kita pun pernah baca fahaman-fahaman yang mengarut daripada orang yang tafsir Al-Qur’an mengikut nafsu sendiri, hanya berdasarkan terjemahan sahaja.
Maka nasihat kami adalah kena belajar tafsir, tetapi hendaklah berhati-hati. Dapatkan ilmu daripada guru yang mahir. Selain itu mestilah belajar lebih daripada seorang guru supaya dapat dibanding-bandingkan. Kalau kita baru belajar, kita tidak tahu guru itu ajar betul atau tidak. Maka kena bandingkan dengan guru yang lain juga. Kerana itu seeloknya belajar secara talaqqi (berdepan) supaya boleh bertanya soalan.
Allah ﷻ mengutuskan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk membawa kebenaran dengan menunjukkan mukjizat daripada Allah ﷻ. Malah kisah yang paling banyak di dalam Al-Qur’an adalah mukjizat Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (sehingga terdapat 9 mukjizat yang disebut).
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 28 Ogos 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Ibn Kathir
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
