Taghabun Ayat 10: Ayat Takhwif Ukhrawi.
وَالَّذينَ كَفَروا وَكَذَّبوا بِئآيٰتِنا أُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ خٰلِدينَ فيها ۖ وَبِئسَ المَصيرُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
But the ones who disbelieved and denied Our verses – those are the companions of the Fire, abiding eternally therein; and wretched is the destination.
(MELAYU)
Dan orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah penghuni-penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya. Dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.
وَالَّذينَ كَفَروا وَكَذَّبوا بِئآيٰتِنا
Dan orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami,
Kufur itu bermaksud menutup pintu hatinya daripada menerima kebenaran. Bila ditutup pintu hati itu, maka dia akan menjadi kufur.
Mendustakan ayat-ayat Allah ﷻ adalah tidak menghiraukan wahyu Al-Qur’an iaitu buat tidak kisah sahaja dengan Al-Qur’an ini. Tidak ada keinginan untuk belajar tafsir Al-Qur’an supaya dapat memahami kehendak Allah ﷻ. Mereka tidaklah kata ayat Allah ﷻ itu ‘dusta’, tetapi bila tidak menghiraukannya, itu sudah termasuk ‘mendustakan’ ayat-ayat Allah ﷻ.
أُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ خٰلِدينَ فيها
mereka itulah penghuni-penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.
Apabila tidak hiraukan ajaran Al-Qur’an dengan tidak mempelajari tafsir, maka mereka akan menjadi ahli neraka. Kenapa sampai begini sedangkan ada pendapat yang mengatakan belajar tafsir Al-Qur’an ini adalah sunat sahaja?
Ini adalah kerana syaitan akan mengambil peluang atas kejahilan orang itu untuk terus menyesatkan orang itu. Syaitan akan sesatkan supaya orang itu melakukan dosa syirik. Perkara berkenaan syirik pula banyak disentuh di dalam Al-Qur’an. Maka untuk tahu tentang mana yang tauhid dan mana yang syirik hendaklah dipelajari dan difahami daripada Al-Qur’an.
Apabila jahil wahyu Al-Qur’anlah yang menyebabkan ramai yang melakukan syirik tanpa sedar. Dosa syirik akan mengekalkan pelakunya dalam neraka selama-lamanya.
وَبِئسَ المَصيرُ
Dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.
Tidak ada tempat kembali yang lebih buruk dari neraka itu. Tidak akan rasa selesa langsung di dalamnya. Azab tidak pernah berhenti dan tidak akan rasa lali dengan azab itu. Maknanya, ia akan sentiasa sahaja menyakitkan.
Ramai dalam kalangan orang Islam tidak kenal neraka kerana tidak belajar sifat-sifatnya kerana itu mereka tidak takut dengan neraka. Kalau kita tanya mereka adakah wujud neraka itu, mereka akan jawab ya. Namun cara hidup mereka seolah-olah menunjukkan mereka tidak hiraukan pun. Mereka seolah-olah tidak takut kalau mereka masuk neraka.
Ini adalah kerana tidak belajar sifat-sifat neraka seperti yang disampaikan dalam Al-Qur’an dan juga hadith. Ini kerana ramai yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an dan hadith Nabi.
Sekian Ruku’ 1 daripada 2 ruku’ dalam surah ini.
Taghabun Ayat 11: Selepas disebut tentang berita-berita buruk kalau ingkar dengan wahyu, maka sekarang kita kena masuk kepada kisah kemanisan iman yang kita sebutkan di dalam pengenalan surah ini. Maka ayat ini sekarang disampaikan kepada orang mukmin. Semasa mereka hidup di dunia, mungkin mereka hidup dalam kesusahan dan kepayahan. Namun jangan bersedih kerana ada berita baik bagi mereka.
ما أَصابَ مِن مُّصيبَةٍ إِلّا بِإِذنِ اللَّهِ ۗ وَمَن يُؤمِن بِاللَّهِ يَهدِ قَلبَهُ ۚ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
No disaster strikes except by permission of Allāh. And whoever believes in Allāh – He will guide his heart. And Allāh is Knowing of all things.
(MELAYU)
Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barangsiapa yang beriman kepada Allah nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.
ما أَصابَ مِن مُّصيبَةٍ إِلّا بِإِذنِ اللَّهِ
Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah;
Apa-apa sahaja musibah yang dikenakan kepada manusia adalah dengan izin Allah ﷻ. Memang kita nampak ada makhluk yang mengenakan perkara itu kepada kita, akan tetapi ketahuilah yang ia tidak akan terjadi tanpa izin Allah ﷻ. Tidak akan bergerak satu zarrah pun melainkan dengan izin Allah ﷻ.
Perkara yang sama telah juga disebut sebelum ini dalam Hadid: 22-23. Kalimah أَصابَ bermaksud sesuatu yang dikenakan tepat kepada tempatnya. Seperti anak panah yang tepat kena sasaran.
![]()
Ini bermaksud apa sahaja yang kena kepada kita memang telah ditetapkan oleh Allah ﷻ dan memang kita tidak boleh elak kerana Allah ﷻ tidak pernah tersasar daripada sasaran-Nya. Oleh itu kita tidak boleh kata “Jikalaulah aku tidak pergi ke sana, tentu aku tidak jadi begini dan begini ….” kerana ini sudah menidakkan takdir Allah ﷻ. Memang apa yang terjadi kepada kita adalah kehendak Allah ﷻ dan tidak dapat dielak lagi.
‘Musibah’ itu dalam bahasa Arab boleh menjadi apa-apa saja yang dikenakan kepada kita dan tidak semestinya terhad kepada perkara yang buruk sahaja seperti yang selalu kita gunakan di dalam bahasa kita.
Maka perkara ini penting kerana ada manusia yang tidak dapat menerima takdir Allah ﷻ apabila apa-apa saja yang berlaku, dan kerana itu mereka mempersoalkan: “Kenapa benda ini terjadi kepada aku?….” dan “kenapa Allah buat begini kepada aku?…” dan lain-lain lagi kata-kata yang bersifat kufur kerana menolak takdir.
Oleh kerana tidak dapat terima perkara inilah maka ramai yang tidak percaya dengan Tuhan dan menjadi atheis. Mereka berhujah tidak mungkin ada Tuhan kerana kalau benar ada Tuhan, tentulah Tuhan tidak akan menjadikan perkara-perkara yang buruk. Mereka lihat musibah dalam dunia ini teruk sangat. Sebagai contoh, mereka lihat ada anak kecil yang dapat barah dan mereka kata: “Tuhan jenis apa yang buat begini?”
Benar, amat susah untuk kita terima sahaja musibah dan takdir yang telah ditetapkan kepada kita kerana kadang-kadang ia adalah terlalu pahit untuk ditelan. Namun itulah tanda iman yang kuat dan teguh tanpa goyah. Maka sekarang Allah ﷻ hendak memuji sesiapa yang boleh beriman walaupun mereka dikenakan dengan musibah.
Mereka tetap beriman dan tidak marah kepada Allah ﷻ. Mereka itu telah mendapat kelebihan kerana dapat sabar dalam apa jua keadaan. Keimanan mereka telah diuji. Mereka telah mendapat kemanisan iman sampaikan musibah pun senang sahaja mereka terima.
Perkara ini hanya boleh dicapai oleh mereka yang ada ilmu tentang Allah ﷻ. Mereka tahu bahawa apa-apa sahaja yang terjadi bukanlah kemalangan namun ia hanya terjadi dengan izin Allah ﷻ. Mereka sedar yang mereka itu hanyalah hamba Allah ﷻ dan sebagai seorang hamba, mereka tidak layak mempersoalkan keputusan Allah ﷻ untuk melakukan apa-apa sahaja. Mereka sedar yang terjadi itu memang terjadi kerana kehendak Allah ﷻ.
وَمَن يُؤمِن بِاللَّهِ يَهدِ قَلبَهُ
dan barangsiapa yang beriman kepada Allah nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya.
Sesiapa yang dapat beriman dan percaya bahawa apa-apa musibah yang Allah ﷻ berikan itu adalah ujian daripada Allah ﷻ, maka mereka itu akan mendapat kelebihan. Mereka sedar yang musibah itu boleh menjadi punca untuk Allah ﷻ beri pahala kepada seseorang kerana sabar. Oleh kerana mereka sedar tentang perkara ini, maka Allah ﷻ akan pimpin hati mereka untuk dapat bersabar.
Dia juga sedar yang kalau dia sabar di dunia ini dengan musibah yang Allah ﷻ berikan kepadanya, maka dia akan mendapat ganjaran tertinggi iaitu syurga. Dia sedar bahawa di syurga nanti segala musibah yang di dunia tidak ada ertinya kerana semua akan dilupakan dek kerana banyaknya nikmat di syurga nanti.
Orang yang mendapat petunjuk itu akan menyerahkan urusannya kepada Allah ﷻ. Yakni mengembalikan segala sesuatu kepada Allah ﷻ dan mengatakan:
{إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ}Sesungguhnya kami adalah milik Allah, dan hanya kepada-Nyalah kami dikembalikan. (Al-Baqarah: 156)
Di dalam sebuah hadith yang telah disepakati kesahihannya telah disebutkan sebagai berikut:
“عَجَبًا لِلْمُؤْمِنِ، لَا يَقْضِي اللَّهُ لَهُ قَضَاءً إِلَّا كَانَ خَيْرًا لَهُ، إِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاء صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاء شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَلَيْسَ ذَلِكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ”
Sungguh mengagumkan orang mukmin itu, tiadalah Allah memutuskan suatu keputusan baginya kecuali adalah kebaikan belaka baginya. Jika dia tertimpa kedukaan, maka dia bersabar, dan bersabar itu adalah baik baginya. Dan jika dia mendapat kesukaan, maka bersyukurlah dia dan bersyukur itu lebih baik baginya. Dan hal itu tidak didapati pada seorang pun kecuali pada diri orang mukmin.
(HR Muslim No 2999)

Kita tidak boleh berdoa kepada Allah ﷻ untuk menjadikan kita seorang yang penyabar (kerana kita minta bala sebenarnya kalau kita minta Allah ﷻ jadikan kita sebagai seorang penyabar). Maka untuk jadi penyabar, kita haruslah melengkapkan diri kita dengan ilmu kefahaman tentang takdir. Lagi satu kena sedar yang kita ini hamba dan Allah ﷻ itu Rabb. Bila dapat pemahaman ini, barulah dapat sabar.
Kalau tidak faham perkara inilah yang menyebabkan ramai manusia putus asa kerana mereka tidak meletakkan pengharapan mereka kepada Allah. Apabila mereka terkena musibah, mereka sangka ada manusia yang ada kuasa, atau perkara itu terjadi dengan sendiri tanpa urusan Allah ﷻ.
Malah yang lebih teruk lagi, kalau mereka percaya ada entiti lain selain Allah ﷻ yang menjadikan musibah pada dirinya. Mungkin ada yang kata wali yang sudah mati marah kepada mereka; atau hantu yang ganggu mereka; atau jin bagi mereka sakit; dan sebagainya lagi fahaman-fahaman khurafat dan syirik yang berlegar-legar dalam kalangan masyarakat kita yang lemah iman dan tiada ilmu agama.
Sedangkan kalau orang yang benar-benar beriman dengan Allah ﷻ, mereka akan tenang sahaja kalau ada apa-apa musibah terjadi kepada mereka. Mereka tahu Allah ﷻ yang izinkan perkara itu terjadi dan tidak ada selain-Nya yang menjadikan perkara itu.
Allah ﷻ berjanji di dalam ayat ini kepada sesiapa yang dapat mengekalkan imannya walaupun setelah dikenakan dengan musibah, maka Allah ﷻ akan menetapkan hatinya di atas iman. Mereka akan mendapat kemanisan iman itu yang amat-amat indah. Untuk faham ayat ini, maka kita boleh baca Surah Yusuf dan lihat bagaimana Nabi Yusuf عليه السلام itu diuji berkali-kali dengan ujian yang besar namun baginda tetap juga beriman.
Kisah itu penting kerana kalau kita boleh persoalkan keputusan Allah ﷻ, maka kita boleh mempertikaikan apa yang Allah ﷻ lakukan terhadap Nabi Yusuf عليه السلام itu. Ini kerana baginda tidak ada buat apa-apa kesalahan, tetapi baginda tetap juga diuji dengan ujian yang berat-berat.
وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ
Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.
Allah ﷻ tahu duduk perkara sesuatu kejadian itu. Kita sering bersangka buruk kalau apa-apa musibah terjadi kepada kita. Ini kerana ilmu kita terhad. Kita hanya nampak satu bahagian sahaja. Namun Allah ﷻ yang menjadikan sesuatu perkara itu tahu sama ada perkara itu baik untuk kita atau tidak.
Kita kena redha dengan keputusan Allah ﷻ itu dan yakin bahawa ada kebaikan dalam apa sahaja perkara yang Allah ﷻ telah jadikan. Kita sahaja yang tidak nampak dan tidak memahaminya. Allah ﷻ tahu apa yang terjadi kepada kita, bukannya Dia tidak tahu. Maka janganlah kita berkeluh kesah, kerana Allah ﷻ tidak pernah tinggalkan kita. Percayalah yang ada kebaikan dalam sahaja yang Allah ﷻ kenakan kepada kita.
Allah ﷻ tahu siapakah yang benar-benar beriman. Oleh kerana Allah ﷻ tahu, maka Allah ﷻ tahu siapakah yang layak diberikan petunjuk kepada orang itu. Kita telah sebut sebelum ini, kalau beriman maka Allah ﷻ akan beri petunjuk kepada orang itu.
Taghabun Ayat 12: Sekarang Allah ﷻ ajar kita bagaimana cara kita menjaga iman kita semasa kita mendapat musibah. Caranya adalah dengan melakukan taat kepada Allah ﷻ dan Rasul.
وَأَطيعُوا اللَّهَ وَأَطيعُوا الرَّسولَ ۚ فَإِن تَوَلَّيتُم فَإِنَّما عَلىٰ رَسولِنَا البَلٰغُ المُبينُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And obey Allāh and obey the Messenger; but if you turn away – then upon Our Messenger is only [the duty of] clear notification.
(MELAYU)
Dan taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul-Nya, jika kamu berpaling sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan terang.
وَأَطيعُوا اللَّهَ وَأَطيعُوا الرَّسولَ
Dan taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul,
Hendaklah taat kepada Allah ﷻ dengan melakukan ibadat kepada-Nya. Apabila kita ditimpa musibah maka sebenarnya kita kena lebih kuat lagi beribadat kepada Allah ﷻ kerana Allah ﷻ sedang mengingatkan kita kepada-Nya. Kemungkinan besar masalah yang kita hadapi berpunca daripada kita lupa kepada Allah ﷻ dan tidak menjalankan tanggungjawab kita. Maka apabila dikenakan dengan musibah adalah masa untuk kita kembali bertaubat kepada Allah ﷻ dan meningkatkan ibadah kepada-Nya.
Bagaimana hendak taat kepada Allah ﷻ dan Rasul? Iaitu dengan mempelajari wahyu dalam bentuk Al-Qur’an (taat kepada Allah ﷻ) dan hadith yang sahih (taat kepada Rasul). Kedua-dua ini adalah wahyu daripada Allah ﷻ jua dan ia akan memimpin kita supaya kita dapat taat dengan benar. Ini kerana ramai yang menyangka mereka taat, tetapi kalau ia bukan mengikut acuan daripada wahyu, itu bukanlah taat namanya.
Para sahabat yang telah menjalankan tugas mereka menegakkan agama Allah ﷻ juga telah menerima dugaan dan ini bermakna walaupun kita buat kerja-kerja agama dan kita telah benar pun, tetapi ujian masih tetap ada. Ujian itu amat banyak sekali seperti kehilangan orang yang dikasihi, kesakitan di dalam perang, kesusahan dalam usaha dan sebagainya.
Maka janganlah kita salahkan Allah ﷻ ataupun sangka Allah ﷻ tidak suka kepada kita jika kita telah melakukan perkara-perkara ketaatan namun tetap juga ada kesusahan dan kepayahan. Contohilah para Nabi dan sahabat yang tetap sabar dalam menerima dugaan yang Allah ﷻ telah berikan.
Kesusahan yang dialami oleh penegak agama itu semuanya dalam perancangan Allah ﷻ sebagaimana yang terjadi ke atas Nabi Musa عليه السلام yang Allah ﷻ ilhamkan kepada ibunya untuk membuangnya ke dalam sungai. Namun akhirnya Allah ﷻ selamatkan Nabi Musa عليه السلام. Akan tetapi tentulah ibu Nabi Musa عليه السلام tidak mengetahui apa yang akan terjadi, bukan?
Maka begitulah kita tidak nampak hujung kepada rancangan Allah ﷻ itu dan kerana itu kita kenalah bertawakal dan redha dengan apa yang Allahﷻ lakukan kerana itu semua sebahagian daripada rancangan Allah ﷻ.
فَإِن تَوَلَّيتُم فَإِنَّما عَلىٰ رَسولِنَا البَلٰغُ المُبينُ
jika kamu berpaling sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan terang.
Sekiranya berpaling daripada dakwah tauhid dan ajaran agama itu, tidaklah Rasul itu bersalah. Ini kerana tugas seorang Nabi adalah menyampaikan sahaja, bukannya harus memastikan orang mengikut ajakan baginda.
Maka begitu jugalah para pendakwah agama ini. Kita tidak perlu memastikan semua orang ikut ajakan dakwah kita. Yang kita perlu lakukan adalah menyampaikan ajaran agama ini dan terpulang kepada mereka sama ada terima ataupun tidak. Ia adalah di luar kawalan dan kemampuan kita.
Sekiranya kita beriman dalam mendapat musibah, kita akan mendapat petunjuk. Namun kalau kita berpaling daripada beriman, kita sendiri yang tanggung. Para Rasul tidak bersalah pun dan tidak ada kena mengena dengan kesalahan kita itu dan tidak bertanggungjawab.
Sebagaimana tugas para Rasul menyampaikan dengan ‘jelas’, maka kita pun kena sampaikan ajaran agama ini dengan jelas. Tidak perlu kita cakap pusing-pusing, tetapi beritahulah dengan jelas nyata. Beritahulah mana yang boleh buat dan mana yang tidak boleh buat kerana kalau kita pusing-pusing bahasa dan cara penyampaian kita, nanti ada orang tidak faham pula.
Taghabun Ayat 13: Ini adalah Dakwa Surah ini. Dakwa surah ini adalah tentang Tauhid. Allah ﷻ kembali mengingatkan perkara yang amat penting sekali, iaitu tauhid.
اللَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ ۚ وَعَلَى اللَّهِ فَليَتَوَكَّلِ المُؤمِنونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Allāh – there is no deity except Him. And upon Allāh let the believers rely.
(MELAYU)
(Dialah) Allah tidak ada Tuhan selain Dia. Dan hendaklah orang-orang mukmin bertawakkal kepada Allah saja.
اللَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ
(Dialah) Allah tidak ada Tuhan selain Dia.
Tidak ada ilah selain Allah ﷻ. Inilah ajaran utama para Rasul dan para pendakwah agama. Kena beritahu ini sebagai perkara utama kepada masyarakat.
Ramai yang keliru tentang perkara ini kerana ramai yang tidak faham apakah maksud ‘ilah‘ itu sendiri. Disebabkan tidak faham maksud ilah ini, ramai dalam kalangan masyarakat kita berzikir lama dan panjang dengan kalimah tauhid ini, namun dalam masa yang sama, mereka langgar apa yang mereka lafazkan berkali-kali itu.
Oleh kerana tidak faham tentang mana satu tauhid dan mana yang syirik, maka ramai dalam kalangan masyarakat kita telah melakukan syirik. Ramai yang bertawasul dalam berdoa; ramai yang pergi jumpa bomoh; ramai yang melafazkan perkara yang jatuh ke dalam syirik tanpa sedar; ramai yang melakukan perkara tahyul dan khurafat.
وَعَلَى اللَّهِ فَليَتَوَكَّلِ المُؤمِنونَ
Dan hendaklah orang-orang mukmin bertawakal kepada Allah saja.
Allah ﷻ memberi isyarat di dalam ayat ini yang jika kamu orang yang percaya kepada kalimat lailahaillallah, maka bagaimana kamu tidak boleh bertawakal kepada Allah ﷻ?
Maksud tawakal ini adalah berusaha dan kemudian serahkan kepada Allah ﷻ apakah kesannya. Bukannya hanya semata-mata terus serah kepada Allah ﷻ tetapi kenalah usaha dahulu kerana kita masih lagi boleh berusaha. Akan tetapi selepas usaha, serahkan kepada Allah ﷻ sama ada menjadi atau tidak usaha kita itu. Kemudan kita kena redha dan terima apa sahaja keputusan Allah ﷻ.
Sahabat tidak nampak apakah yang akan terjadi di masa hadapan dan mereka waktu itu sentiasa di dalam dugaan tetapi mereka teruskan juga perjuangan mereka kerana mereka bertawakal kepada Allah ﷻ. Mereka tidak tahu yang akhirnya Islam akan berjaya dan mereka akan mengalahkan musuh mereka. Kalau mereka sudah tahu dari awal, tentu senang hati mereka. Akan tetapi mereka tidak tahu, yang menguatkan diri mereka adalah tawakal mereka kepada Allah ﷻ dan percaya kepada janji daripada Rasulullah ﷺ.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Tarikh: 10 Februari 2022
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Maariful Qur’an
