Tafsir Surah an-Nahl Ayat 41 (Galakan Hijrah)

Nahl Ayat 41: Ayat 41 & 42 adalah Perenggan Makro ke 3 (Bahagian 2). Allah ﷻ hendak memberitahu balasan baik kepada mereka yang berhijrah di jalan Allah ﷻ. Kenapa disebut tentang hijrah selepas ayat-ayat tentang akhirat sebelum ini?

Kerana apabila menyampaikan ajaran agama berdasarkan wahyu, akan ada banyak penentangan dari manusia. Sampaikan kadangkala kita tidak boleh tinggal di kawasan itu lagi kerana ada orang yang sangat jahat. Maka langkah yang terpaksa diambil adalah berhijrah.

Ayat 41 ini adalah Ayat tabshir (berita gembira). Apakah kebaikan yang akan didapati oleh mereka yang sanggup untuk taat kepada Allah ﷻ? Dalam ayat ini juga ada hukum untuk berhijrah.

وَالَّذينَ هاجَروا فِي اللهِ مِن بَعدِ ما ظُلِموا لَنُبَوِّئَنَّهُم فِي الدُّنيا حَسَنَةً ۖ وَلَأَجرُ الآخِرَةِ أَكبَرُ ۚ لَو كانوا يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who emigrated for [the cause of] Allāh after they had been wronged – We will surely settle them in this world in a good place; but the reward of the Hereafter is greater, if only they could know.

(MELAYU)

Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah sesudah mereka dianiaya, pasti Kami akan memberikan tempat yang bagus kepada mereka di dunia. Dan sesungguhnya pahala di akhirat adalah lebih besar, kalau mereka mengetahui.

 

وَالَّذينَ هاجَروا فِي اللهِ مِن بَعدِ ما ظُلِموا

Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah sesudah mereka dianiaya,

Bagi mereka yang sanggup berhijrah kerana mahu menjaga agama Allah ﷻ, mereka akan memperolehi kebaikan. Iaitu selepas mereka dizalimi, sampaikan mereka tidak boleh hendak beramal agama dengan sempurna, maka mereka terpaksa mengambil keputusan untuk berhijrah meninggalkan kampung halaman mereka. Ini kerana tempat asal mereka tidak ada peluang untuk mereka mengamalkan agama Islam.

Ini adalah ayat tentang hijrah pertama para sahabat dari Mekah ke Habasyah. Para sahabat waktu itu telah ditindas dengan teruk sekali. Maka untuk menjaga agama dan iman mereka, mereka telah diarahkan oleh Nabi Muhammad ﷺ untuk berhijrah.

Di antara mereka yang hijrah ke negeri Habasyah dan termasuk orang yang paling terhormat dalam kalangan mereka ialah Uthman ibnu Affan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan isterinya (iaitu Siti Ruqayyah binti Rasulullah رضي الله عنها), Ja’far ibnu Abu Talib رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ (anak saudara Rasulullah ﷺ), Abu Salamah ibnu Abdul Aswad رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berserta sejumlah orang — lebih kurang lapan puluh orang — yang terdiri daripada lelaki dan wanita, dan isteri Abu Bakar As-Siddiq رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Kisah ini boleh dibaca di dalam sirah Islam.

Berhijrah kerana hendak mengamalkan agama Allah ﷻ dengan sempurna adalah wajib jikalau kita dihalang mengamalkan agama. Allah ﷻ telah mengingatkan perkara ini di dalam Nisa’: 97

إِنَّ الَّذينَ تَوَفّٰهُمُ المَلىٰئِكَةُ ظالِمي أَنفُسِهِم قالوا فيمَ كُنتُم ۖ قالوا كُنّا مُستَضعَفينَ فِي الأَرضِ ۚ قالوا أَلَم تَكُن أَرضُ اللَّهِ وٰسِعَةً فَتُهاجِروا فيها ۚ فَأُولٰئِكَ مَأوىٰهُم جَهَنَّمُ ۖ وَساءَت مَصيرًا
Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi”. Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.

Bayangkan ayat ini tentang golongan sahabat yang beriman, tetapi tetap mereka dikenakan dengan azab kerana mereka tidak berhijrah kerana cintakan dunia.

Kepada mereka yang sanggup berhijrah, mereka dijanjikan dengan berbagai kelebihan. Akan tetapi di sini ada disebut syarat-syaratnya:

1. Ia mestilah فِي اللهِ (kerana Allah ﷻ). Ia mestilah kerana hendak menjaga Allah ﷻ, mencari redha Allah ﷻ; bukannya kerana hendak mendapatkan kesenangan dunia. Maknanya di sini, kena ada ikhlas hijrah itu kerana Allah ﷻ. Ia mesti dilakukan kerana Allah ﷻ.

2. Mereka berhijrah itu setelah mereka dizalimi مِن بَعدِ ما ظُلِموا di tempat tinggal asal mereka sampaikan mereka terpaksa meninggalkan kampung halaman mereka. Atau mereka terusir hanya kerana menyampaikan kebenaran dan kerana hendak mengamalkan agama dengan sempurna. Atau, mereka diboikot sampaikan mereka sudah tidak selesa lagi tinggal di situ.

Kedua-dua elemen ini ada disebut di dalam Hashr: 8

لِلفُقَراءِ المُهٰجِرينَ الَّذينَ أُخرِجوا مِن دِيٰرِهِم وَأَموٰلِهِم يَبتَغونَ فَضلًا مِّنَ اللهِ وَرِضوٰنًا وَيَنصُرونَ اللهَ وَرَسولَهُ ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الصّٰدِقونَ
(Juga) bagi orang fakir yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan daripada harta benda mereka (kerana) mencari kurnia daripada Allah dan keredhaan-Nya dan mereka menolong Allah dan Rasul-Nya. Mereka itulah orang-orang yang benar.

Selain daripada dua syarat ini, ada dua lagi yang akan disebut di ayat seterusnya.

لَنُبَوِّئَنَّهُم فِي الدُّنيا حَسَنَةً

pasti Kami akan memberikan tempat yang bagus kepada mereka di dunia. 

Allah ﷻ akan berikan mereka tempat di dunia dengan baik. Yang dimaksudkan adalah Madinah. Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, Asy-Sya’bi رَحِمَهُ اللَّهُ dan Qatadah رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan bahawa tempat yang bagus itu adalah Kota Madinah.

Ini adalah berita gembira yang diberikan sebagai motivasi kepada para sahabat untuk meninggalkan kampung halaman (Mekah) mereka. Siapa yang tidak sedih untuk meninggalkan kampung halaman, tempat mereka membesar, keluarga, kawan dan segala harta mereka ada di situ? Maka Allah ﷻ berikan semangat kepada mereka di mana Allah ﷻ berjanji akan beri tempat yang selamat dan tetap. Allah ﷻ juga telah berfirman di dalam Nisa’: 100 tentang hal ini,

وَمَن يُهاجِر في سَبيلِ اللهِ يَجِد فِي الأَرضِ مُرٰغَمًا كَثيرًا وَسَعَةً
Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya dia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur;

Maka para sahabat telah mendapat tempat yang baik di Habasyah dan Madinah. Di Mekah mereka ditindas, maka di tempat hijrah mereka mendapat kawan dan komuniti yang baik; di Madinah mereka mendapat kekuatan sampaikan mereka dapat menguasai tanah-tanah tempat mereka berdakwah; dulu mereka susah di Mekah dari segi ekonomi tetapi di Madinah ramai para sahabat mendapat kekayaan. Maka janji Allah ﷻ kepada mereka telah dipenuhi.

Walaupun asbabun nuzul ayat ini tentang hijrah para sahabat, namun ia juga boleh terpakai di mana-mana zaman. Kerana kadangkala seorang Muslim perlu mengambil keputusan untuk meninggalkan kampung halaman kalau mereka tersekat untuk mengamalkan agama Islam dengan sempurna. Jangan takut untuk meninggalkan kampung halaman dan segala harta benda di kampung asal, kerana Allah ﷻ akan gantikan yang lebih baik di tempat yang baru.

 

وَلَأَجرُ الآخِرَةِ أَكبَرُ

Dan sesungguhnya pahala di akhirat adalah lebih besar,

Bukan sahaja mereka mendapat kebaikan di dunia kerana mereka hijrah, malahan di akhirat nanti, mereka akan diberikan dengan balasan yang lebih hebat. Ini adalah kerana mereka telah berkorban untuk menjaga agama dan ini adalah pengorbanan yang besar. Namun pengorbanan mereka itu tidak setimpal dengan balasan daripada Allah ﷻ yang berlipat kali ganda.

Manakan tidak, berapa lama sahaja kita kena bersabar dan berusaha menjaga agama? Mungkin dalam 30 tahun sahaja. Namun balasannya adalah nikmat berpanjangan sampai bila-bila di syurga! Inilah perniagaan dan saham yang paling menguntungkan.

Kenapa mereka diberi dengan balasan yang amat hebat itu? Mereka akan mendapat rahmat Allah ﷻ kerana memang mereka berharapkan rahmat Allah ﷻ seperti disebut di dalam Baqarah: 218

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَالَّذينَ هاجَروا وَجٰهَدوا في سَبيلِ اللَّهِ أُولٰئِكَ يَرجونَ رَحمَتَ اللَّهِ
Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah.

 

لَو كانوا يَعلَمونَ

kalau mereka mengetahui,

Alangkah baiknya kalau mereka dapat mengetahui perkara ini. Tahu apa? Tahu bahawa jika mereka sanggup berhijrah, di dunia mereka akan dapat kebaikan dan di akhirat akan dapat lebih banyak kebaikan lagi.

Maksudnya, seandainya orang-orang yang tidak ikut hijrah bersama kaum Muhajirin mengetahui pahala yang disimpan oleh Allah ﷻ. di sisi-Nya bagi orang-orang yang taat kepada-Nya dan mengikuti Rasul-Nya. Ini adalah kerana ada Muslim yang tidak ikut berhijrah dengan Nabi ﷺ dan para sahabat.

Ini kerana mereka tidak sanggup meninggalkan Mekah. Pada zaman sekarang pun ramai Muslim yang tinggal di negara yang tidak membenarkan Islam diamalkan. Maka mereka itu ada masalah nanti kerana akan ditanya kenapa mereka tidak berhijrah. Kalau mereka tidak ada jawapan yang baik, maka mereka akan diazab nanti.

Ibnu al-Arabi رَحِمَهُ اللَّهُ (bukan Ibnu Arabi) telah menyenaraikan 6 jenis hijrah dan hukum berkenaannya:

1. Hijrah daripada Dar al-Kufr kepada Dar al-Islam. Ini adalah wajib jikalau di tempat tinggal mereka itu menyebabkan mereka terhalang daripada mengamalkan agama dengan sempurna.

2. Hijrah daripada Dar al-Bid’ah. Ini juga mesti dilakukan jikalau tidak mampu menghalang masyarakat bid’ah itu mengubah cara beragama mereka. Dalilnya adalah An’am: 68

وَإِذا رَأَيتَ الَّذينَ يَخوضونَ في ءآيٰتِنا فَأَعرِض عَنهُم حَتّىٰ يَخوضوا في حَديثٍ غَيرِهِ ۚ وَإِمّا يُنسِيَنَّكَ الشَّيطٰنُ فَلا تَقعُد بَعدَ الذِّكرىٰ مَعَ القَومِ الظّٰلِمينَ
Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh Syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu).

3. Jikalau tempat tinggal kita dipenuhi dengan segala perkara yang haram. Ini pun perlu dilakukan kerana kita hendak melakukan perkara halal dan kalau perkara haram berleluasa, maka ia tidak baik bagi agama kita.

4. Untuk menyelamatkan diri daripada dicederakan atau dibunuh. Ini dibenarkan. Ini seperti yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti disebut di dalam Ankabut: 26 setelah baginda ditolak oleh umat baginda.

وَقالَ إِنّي مُهاجِرٌ إِلىٰ رَبّي
Dan berkatalah Ibrahim: “Sesungguhnya aku akan berpindah ke (tempat yang diperintahkan) Tuhanku (kepadaku);

Begitulah juga yang dilakukan oleh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ setelah baginda dengan tidak sengaja telah membunuh seorang lelaki Qibti seperti disebut di dalam Qasas: 21

فَخَرَجَ مِنها خائِفًا يَتَرَقَّبُ ۖ قالَ رَبِّ نَجِّني مِنَ القَومِ الظّٰلِمينَ
Maka keluarlah Musa dari kota itu dengan rasa takut menunggu-nunggu dengan khuatir, dia berdoa: “Ya Tuhanku, selamatkanlah aku daripada orang-orang yang zalim itu”.

5. Juga dibenarkan untuk meninggalkan tempat yang cuacanya tidak baik atau sedang dilanda penyakit berjangkit.

6. Meninggalkan tempat yang bahaya bagi harta kita kerana mungkin banyak kejadian rompakan dan kecurian.

Maka di atas adalah 6 situasi di mana hijrah wajib atau digalakkan. Kemudian kita pun patut lihat tentang perjalanan dan musafir pula. Ada 9 kesemuanya.

1. Perjalanan untuk memperbetulkan diri. Ini seperti untuk melihat alam dan kebesaran Allah ﷻ, melihat tempat-tempat azab yang diturunkan kepada umat terdahulu yang degil. Allah ﷻ banyak menyebut tentang perkara ini di dalam Al-Qur’an seperti An’am: 11

قُل سِيرُوا فِي الأَرضِ ثُمَّ انظُرُوا كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ المُكَذِّبينَ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat buruk (yang menimpa) orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul) itu.”

2. Perjalanan untuk mengerjakan Haji dan Umrah.

3. Perjalanan untuk berjihad

4. Untuk mencari pekerjaan dan rezeki

5. Untuk berniaga seperti firman Allah ﷻ di dalam Baqarah: 198

لَيسَ عَلَيكُم جُناحٌ أَن تَبتَغوا فَضلًا مِّن رَّبِّكُم
Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia daripada Tuhan kamu

6. Musafir untuk mencari ilmu. Ini amat digalakkan malah ia adalah fardhu kifayah.

مَنْ خَرَجَ في طَلَبِ العِلْمِ فَهُوَ في سَبيلِ اللهِ حَتَّى يَرْجِعَ
“Sesiapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka dia berada di jalan Allah sehinggalah dia kembali (ke tempat asalnya).”
(Riwayat Tirmidzi daripada hadith Anas bin Malik)
Kata al-Tirmidzi: “Hadith ini hasan gharib.”

7. Musafir ke tempat yang mulia dan mendapatkan berkat. Dalam hal ini, hanya tiga tempat sahaja yang dibenarkan seperti disebut di dalam hadith,

Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:
لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ: المَسْجِدِ الحَرَامِ ، وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَمَسْجِدِ الأَقْصَى
“Janganlah kamu bersusah payah mengembara (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga buah masjid iaitu masjid al-Haram, masjid Rasulullah ﷺ dan juga Masjid al-Aqsa”.
(Riwayat al-Bukhari (1189))

8. Perjalanan untuk mempertahankan sempadan negara Islam. Ini dinamakan ar-Ribat.

Salman al-Farisi رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata, “Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:
رِبَـاطُ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ خَيْرٌ مِنْ صِيَامِ شَهْرٍ وَقِيَامِهِ وَإِنْ مَاتَ جَرَى عَلَيْهِ عَمَلُهُ الَّذِي كَانَ يَعْمَلُهُ وَأُجْرِيَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ وَأَمِنَ الْفَتَّانَ.
‘Berjuang sehari semalam lebih baik daripada puasa selama sebulan berserta solatnya. Jika dia mati, maka pahala amal yang telah dia lakukan akan tetap mengalir, rezekinya pun akan tetap berlangsung dan akan dijaga daripada fitnah kubur.
(Sahih Muslim (1913))

9. Perjalanan melawat sanak saudara dan rakan taulan. Nabi ﷺ bersabda:

أَنَّ رَجُلاً زَارَ أَخًا لَهُ فِي قَرْيَةٍ أُخْرَى ، فَأَرْصَدَ اللَّهُ لَهُ ، عَلَى مَدْرَجَتِهِ ، مَلَكًا فَلَمَّا أَتَى عَلَيْهِ ، قَالَ : أَيْنَ تُرِيدُ ؟ قَالَ : أُرِيدُ أَخًا لِي فِي هَذِهِ الْقَرْيَةِ ، قَالَ : هَلْ لَكَ عَلَيْهِ مِنْ نِعْمَةٍ تَرُبُّهَا ؟ قَالَ : لاَ ، غَيْرَ أَنِّي أَحْبَبْتُهُ فِي اللهِ عَزَّ وَجَلَّ ، قَالَ فَإِنِّي رَسُولُ اللهِ إِلَيْكَ ، بِأَنَّ اللَّهَ قَدْ أَحَبَّكَ كَمَا أَحْبَبْتَهُ فِيهِ
“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat malaikat itu bertanya: “ke manakah engkau mahu pergi?” Jawab lelaki itu: “aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini”. Malaikat berkata: “Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya?”. Lelaki itu berkata: “Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah عَزَّ وَجَلَّ”. Malaikat itu berkata: “Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.”
(Riwayat Muslim (6714))

Jenis-jenis Hijrah

Di atas adalah hijrah yang melibatkan tempat iaitu berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain. Ini adalah jenis Hijrah Makaniyah. Akan tetapi ada satu lagi jenis Hijrah yang dipanggil Hijrah Maknawiyah (dari segi makna sahaja). Maka seseorang itu tidak berpindah pun tempat akan tetapi dia dikira telah berhijrah. Iaitu dia mengubah dirinya ke arah kebaikan. Ini seperti sabda Rasulullah ﷺ,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ
Daripada [Abdullah bin ‘Amru رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] daripada Nabi ﷺ, bersabda: “Seorang muslim adalah orang yang Kaum Muslimin selamat daripada lisan dan tangannya, dan seorang Muhajir adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah.”
(Sahih Bukhari (9))

Kemudian ulama’ membahagikan Hijrah Maknawiyah ini kepada beberapa jenis:

1. I’tiqadiyah (hijrah keyakinan). Iman mengalami proses naik dan turun, kuat dan lemah. Terkadang Iman bercampur dengan kemusyrikan dan terkadang Iman berada dalam kemurnian. Maka hijrah keyakinan mesti dilakukan bila keyakinan berada di tepi jurang kekufuran dan kemusyrikan.

2. Fikriyah (hijrah pemikiran). Berbagai informasi dan pemikiran dari belahan bumi boleh diperoleh di dunia maya dengan mudah. Maka hijrah fikriyah mesti dilakukan dalam rangka meninggalkan pemikiran-pemikiran yang tidak sesuai dengan ajaran Islam.

3. Syu’uriyah (hijrah kesenangan). Misalnya membaiki hal-hal seperti pakaian, gayahidup, musik. Contohnya meninggalkan pemikiran ketika membeli pakaian hanya kerana suka-suka dan untuk kepuasan/hanya atas dasar kesenangan semata tanpa memikirkan manfaat yang lebih.

4. Sulukiyah (hijrah tingkah laku). Membaiki akhlak ke arah yang baik dan islamik. Sebagai contoh, dahulu orang kafir membenci Rasulullah ﷺ bukan kerana diri baginda tetapi kerana apa yang baginda sampaikan. Namun mereka tidak dapat mengutuk akhlak baginda dan malah ramai yang beriman kerana akhlak baginda. Dalam kisah Rasulullah ﷺ ada seorang ibu tua yang selalu membenci Rasulullah ﷺ dan bahkan sering meludahi baginda, kemudian orang itu pun mengalami sakit dan baginda pun menjenguk orang itu, akhirnya kerana kebaikan hati Rasulullah ﷺ, orang tersebut masuk agama Islam.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 4 Januari 2024

Ringkasan Surah Nahl


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solahudin

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment