Ra’d Ayat 32: Ini adalah ayat Tasliah (pujukan) pada Nabi ﷺ dan para pendakwah.
وَلَقَدِ استُهزِئَ بِرُسُلٍ مِّن قَبلِكَ فَأَملَيتُ لِلَّذينَ كَفَروا ثُمَّ أَخَذتُهُم ۖ فَكَيفَ كانَ عِقابِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And already were [other] messengers ridiculed before you, and I extended the time of those who disbelieved; then I seized them, and how [terrible] was My penalty.
(MALAY)
Dan sesungguhnya telah diperolok-olokkan beberapa rasul sebelum kamu, maka Aku beri tangguh kepada orang-orang kafir itu kemudian Aku binasakan mereka. Alangkah hebatnya seksaan-Ku itu!
وَلَقَدِ استُهزِئَ بِرُسُلٍ مِّن قَبلِكَ
Dan sesungguhnya telah diperolok-olokkan beberapa rasul sebelum kamu,
Ini adalah ayat tasliah (pujukan) kepada Nabi Muhammad ﷺ dan para pendakwah. Allah ﷻ hendak beritahu, kalau sekarang baginda diolok-olokkan, dulu pun ramai para Nabi yang telah dihina. Maknanya, bukan Nabi Muhammad ﷺ seorang sahaja yang kena begitu.
Allah ﷻ beri tasliah ini kerana Nabi ﷺ dipersendakan oleh Musyrikin Mekah. Apabila baginda diolok-olokkan, baginda telah bersedih hati dek kerana kata-kata mereka itu yang amat menyakitkan hati. Memang teruk sekali apa yang telah dikatakan kepada Nabi Muhammad ﷺ, dan kalau orang lain, sudah lama berhenti daripada sampaikan wahyu.
Bagaimana ini menjadi pujukan pula? Ia memujuk kita kerana kalau kita tahu ada orang lain kena dugaan sebegitu juga, maka kita pun berasa lega sikit. Tidaklah kita rasa kita sahaja yang kena. Contohnya kalau kita pergi kenduri dan sakit perut kerana makan makanan rosak, tentu kita marah. Akan tetapi kalau kita tahu ada orang lain yang terkena sakit perut juga, psikologi kita berubah dan kita akan berasa kurang sakit.
Lagi satu, apabila Allah ﷻ sebut tentang ejekan yang baginda terima, maka itu bermaksud Dia tahu. Kita akan lebih tenang kalau orang yang kita sayang tahu tentang masalah yang kita hadapi, bukan? Di dalam ayat lain juga Allah ﷻ beritahu dengan lebih jelas yang Dia tahu apa yang baginda lalui seperti di dalam Hijr: 95-98 dan Dia memberi perlindungan kepada baginda.
إِنّا كَفَيناكَ المُستَهزِئينَ
Sesungguhnya Kami memelihara kamu daripada (kejahatan) orang-orang yang memperolok-olokkan (kamu),
الَّذينَ يَجعَلونَ مَعَ اللهِ إِلٰهًا آخَرَ ۚ فَسَوفَ يَعلَمونَ
(Iaitu) orang-orang yang menganggap adanya ilah yang lain di samping Allah; maka mereka kelak akan mengetahui (akibat-akibatnya).
وَلَقَد نَعلَمُ أَنَّكَ يَضيقُ صَدرُكَ بِما يَقولونَ
Dan Kami sungguh-sungguh mengetahui, bahawa dadamu menjadi sempit disebabkan apa yang mereka ucapkan,
فَسَبِّح بِحَمدِ رَبِّكَ وَكُن مِنَ السّاجِدينَ
maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan jadilah kamu di antara orang-orang yang bersujud (solat),
وَاعبُد رَبَّكَ حَتّىٰ يَأتِيَكَ اليَقينُ
dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal).
Ayat-ayat daripada surah Hijr ini amat menarik. Allah ﷻ beritahu yang Dia tahu apa yang sedang dilalui oleh baginda, kemudian Allah ﷻ beri saranan bagaimana menghadapinya. Iaitu jangan layan dan sibukkan diri dengan ibadah kerana kalau dilayan mereka, akan bertambah sakit hati, maka sebaliknya berpalinglah kepada Allah ﷻ. Luangkan masa dengan Allah ﷻ lebih baik dan lebih menenangkan, bukan?
Selain itu, apabila Allah ﷻ beritahu yang para Nabi terdahulu pun telah diejek dan ditolak, maka yang perlu diamalkan oleh Rasulullah ﷺ dan para pendakwah adalah sabar. Kalimah صبِر daripada katadasar ص بِ ر yang bermaksud untuk mengikat; tabah; tetap; bertahan dengan sabar; berpegang teguh pada akal dan perintah; tenang. Maka ada elemen ikat nafsu di sini. Tetap melakukan benda yang baik dan tidak goyang ketika mengalami tekanan dan dugaan.
Dari segi bahasa, الصبر itu adalah الحَبسُ dan المَنعُ. Tahukah apa itu الحبس والمنع? Tidak tahu bukan? Hendak tahu? Sabar, memang hendak beritahu pun. الحَبسُ bermaksud ‘tahan’ dan المَنعُ bermaksud ‘halang’.
Pertamanya tahan diri daripada marah. Apa-apabila berlaku, jangan melenting, tahan perasaan anda. Jangan layan perasaan kerana jika anda marah, maka anda telah kalah dengan syaitan. Ini memerlukan kekuatan seperti yang diriwayatkan daripada Abū Hurayrah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ ، إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الغَضَبِ
Orang kuat itu bukanlah orang yang kuat bergusti, akan tetapi orang kuat adalah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah.
(Riwayat Bukhārī (6114))
Keduanya, halang tubuh kita sama ada lidah atau anggota yang lain. Lidah jangan laju sahaja untuk menjerit atau memaki orang; jangan tampar muka dan koyakkan baju (perbuatan orang Arab dulu); tangan jangan laju untuk memukul orang, pecahkan barang atau baling pinggan mangkuk. Halang semua itu daripada berlaku.
Begitulah dalam banyak perkara, kita kena sabar. Sabar adalah sikap daripada jiwa yang besar dan terlatih. Iaitu terlatih dengan akhlak-akhlak yang diajar di dalam Al-Qur’an. Hendak sampaikan dakwah kepada umat pun, kena sabar; hendak menegur orang lain, kena sabar; hendak buat amal ibadat pun, kena sabar. Memang sepanjang hidup kita di atas dunia ini kena bersabar sepanjang masa. Kena latih diri untuk terima apa sahaja yang Allah ﷻ kenakan kepada kita.
Sebagaimana para Nabi juga mengalami kesusahan, maka kita pun kena bersabar. Kadang-kadang kita terpaksa menghadapi ejekan, tohmahan, amarah daripada orang lain dan sebagainya. Sebab itu Allah ﷻ sebut tentang sabar di dalam Muzzammil: 10 iaitu antara surah yang awal diturunkan kepada Rasulullah ﷺ semasa baginda memulakan dakwah,
وَاصبِر عَلىٰ ما يَقولونَ وَاهجُرهُم هَجرًا جَميلًا
Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu daripada mereka dengan cara yang baik.
Surah Muzzammil ini adalah surah terawal yang diturunkan kepada Rasulullah ﷺ apabila baginda dilantik menjadi Rasul. Maknanya dari peringkat permulaan lagi baginda sudah disuruh bersabar kerana baginda memang akan sakit telinga menadah kata-kata buruk daripada para penentang. Ini sama sahaja dengan kita kalau kita menjalankan kerja dakwah. Memang akan ada penentang dan bahasa mereka memang macam air longkang. Namun pekakkan sahaja telinga kerana inilah ujian bagi para pendakwah.
Soalan: bilakah perlu sabar? Ia hendaklah bermula sejak pertama kali ia berlaku. Kita selalunya melenting apabila sesuatu yang kita tidak suka terjadi, bukan? Namun dua tiga hari selepas itu barulah datang sabar. Ini tidak dikira sabar kerana itu adalah perkara normal bagi manusia (lama kelamaan apabila sudah terima hakikat, memang semua orang akan jadi sabar). Akan tetapi itu tidak dikira sebenarnya kerana Rasulullah ﷺ beritahu kita yang sabar itu dari mula-mula lagi,
عَنْ أَنَسٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الصَّبْرُ فِي الصَّدْمَةِ الْأُولَى
Daripada [Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Kesabaran itu ada pada saat pertama kali tertimpa (musibah) “.
(Sahih Bukhari (908))
Oleh itu sekiranya baru bersabar setelah lama masa berlalu, itu bukannya kerana Allah ﷻ lagi, tetapi kebiasaan manusia. Ia tidaklah mencabar sangat kalau sabar setelah lama ujian itu berlalu maka ia bukanlah sesuatu hebat sangat. Maka golongan Ulul Albaab akan terus sabar dari mula lagi kerana mereka hendak mencari redha Allah ﷻ. Mereka tahu yang Allah ﷻ suka kalau hamba-Nya sabar dengan melakukan taat dan sabar dalam menghadapi ujian daripada-Nya. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Qalam: 48 tentang contoh orang yang tidak sabar,
فَاصبِر لِحُكمِ رَبِّكَ وَلا تَكُن كَصاحِبِ الحوتِ إِذ نادىٰ وَهُوَ مَكظومٌ
Maka bersabarlah kamu (hai Muhammad) terhadap ketetapan Tuhanmu, dan janganlah kamu seperti orang yang berada dalam (perut) ikan ketika dia berdoa sedang dia dalam keadaan marah (kepada kaumnya).
Yang dimaksudkan adalah Nabi Yunus عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang tidak sabar dengan penolakan kaumnya. Maka ia menjadi contoh bagi kita untuk bersabar kerana Allah ﷻ. Kerana sabar itu kalau bukan kerana Allah ﷻ, ia tidaklah mendapat pahala.
فَأَملَيتُ لِلَّذينَ كَفَروا ثُمَّ أَخَذتُهُم
maka Aku beri tangguh kepada orang-orang kafir itu kemudian Aku binasakan mereka.
Mereka yang memperolok-olokkan Nabi itu tidak terus dikenakan azab. Tidaklah mereka itu ejek dan kutuk Nabi sahaja terus disambar petir. Kalimah أَملَي daripada katadasar م ل و yang bermaksud membuat sesiapa sahaja menikmati apa-apa dalam masa yang lama; memanjangkan tali kendali; memberi harapan palsu; berikan masa yang cukup untuk bertaubat; memberi tangguh; tahan lama; ruang masa; untuk seketika; sementara waktu.
Maknanya Allah ﷻ lewatkan azab bagi mereka. Mereka itu memang patut sudah dikenakan dengan azab akan tetapi Allah ﷻ sengaja panjangkan umur mereka, biar mereka buat apa yang mereka hendak buat. Allah ﷻ tangguhkan azab untuk mereka dan Allah ﷻ tidak terus beri azab, tidak terus matikan mereka. Ini juga ujian bagi Rasulullah dan para sahabat kerana mereka kena tahan dan sabar dengan kerenah para penentang itu.
Namun kenapa Allah ﷻ beri tangguh?
1. Kerana Allah ﷻ beri peluang untuk mereka bertaubat. Ramai para penentang Nabi Muhammad ﷺ yang akhirnya beriman seperti Abu Sufyan, Khalid al Walid dan ramai lagi. Seandainya Allah ﷻ terus berikan azab, maka tentulah orang-orang yang hebat sebegini tidak ada peluang. Kita pun Allah ﷻ telah beri tangguh, bukan? Kalau dulu kita buat syirik dan maksiat dan Allah ﷻ terus azab, bagaimana?
2. Allah ﷻ tahu bila masa yang sesuai untuk kenakan azab kepada mereka. Ini Allah ﷻ sahaja yang tahu maka kita serahkan kepada Allah ﷻ. Ada yang Allah ﷻ azab semasa mereka di dunia lagi dan ada yang Allah ﷻ tangguhkan sampai ke akhirat. Sebagai contoh, Allah ﷻ boleh sahaja musnahkan Firaun apabila dia terus menolak Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Akan tetapi Allah ﷻ beri tempoh masa yang lama, kerana Allah ﷻ hendak matikan Firaun dan pengikutnya beramai-ramai dalam laut.
Maka kita yang tidak dikenakan dengan azab lagi ini, jangan gembira sangat kerana mungkin Allah ﷻ belum tentukan bila kita akan diazab. Ini amat menakutkan sekali kerana entah-entah azab yang menunggu kita.
3. Kerana Allah ﷻ hendak mengazab mereka cukup-cukup. Allah ﷻ biarkan sahaja mereka mengumpul dosa mereka banyak-banyak – semakin panjang umur, semakin banyak dosa yang mereka buat. Kemudian bila sudah mati, baru Allah ﷻ kenakan azab seksa kepada mereka. Sampai masa, mereka akan dikenakan dengan azab yang amat teruk sekali. Kerana umur mereka panjang, maka mereka menambah-nambah dosa dan Allah ﷻ akan kenakan azab yang lebih teruk.
فَكَيفَ كانَ عِقابِ
Alangkah hebatnya seksaan-Ku itu!
Alangkah teruknya azab itu. Tidak dapat dibayangkan.
Ini juga tasliah kepada Nabi dan para pendakwah. Kalau kita tahu golongan penentang itu akan mendapat balasan atas perbuatan mereka, maka kita pun berasa tenang sedikit. Tidaklah kita marah sangat kerana kita tahu yang Allah ﷻ adil dan akan beri balasan yang setimpal kepada mereka.
Ra’d Ayat 33: Ayat tanbih yang ke sepuluh. Ini adalah ayat perbandingan.
أَفَمَن هُوَ قائِمٌ عَلىٰ كُلِّ نَفسٍ بِما كَسَبَت ۗ وَجَعَلوا لِلهِ شُرَكاءَ قُل سَمّوهُم ۚ أَم تُنَبِّئونَهُ بِما لا يَعلَمُ فِي الأَرضِ أَم بِظٰهِرٍ مِّنَ القَولِ ۗ بَل زُيِّنَ لِلَّذينَ كَفَروا مَكرُهُم وَصُدّوا عَنِ السَّبيلِ ۗ وَمَن يُضلِلِ اللهُ فَما لَهُ مِن هادٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Then is He who is a maintainer of every soul, [knowing] what it has earned, [like any other]? But to Allāh they have attributed partners. Say, “Name them. Or do you inform Him of that¹ which He knows not upon the earth or of what is apparent [i.e., alleged] of speech?”² Rather, their [own] plan has been made attractive to those who disbelieve, and they have been averted from the way. And whomever Allāh leaves astray – there will be for him no guide.
- i.e., other “deities.”
- i.e., your attributing of divinity to other than Allāh.
(MALAY)
Maka apakah Tuhan yang menjaga setiap diri terhadap apa yang diperbuatnya (sama dengan yang tidak demikian sifatnya)? Mereka menjadikan beberapa sekutu bagi Allah. Katakanlah: “Sebutkanlah nama-nama mereka itu”. Apakah kamu hendak memberitakan kepada Allah apa yang tidak diketahui-Nya di bumi, atau kamu mengatakan (tentang hal itu) sekadar perkataan pada lahirnya sahaja? Sebenarnya orang-orang kafir itu dijadikan (oleh syaitan) memandang baik tipu daya mereka dan dihalanginya dari jalan (yang benar). Dan barangsiapa yang disesatkan Allah, maka baginya tak ada seorang pun yang akan memberinya petunjuk.
أَفَمَن هُوَ قائِمٌ عَلىٰ كُلِّ نَفسٍ بِما كَسَبَت
Maka apakah Dia yang menjaga setiap jiwa terhadap apa yang diperbuatnya
Allah ﷻ mengingatkan Musyrikin Mekah yang Dia sentiasa memerhatikan perilaku dan amalan mereka. Allah ﷻ catat semua yang mereka lakukan dan semua itu akan dibalas nanti. Tidakkah mereka takut? Adakah mereka sangka Allah ﷻ akan biarkan sahaja apa yang mereka lakukan itu?
Kalimah قائِمٌ juga bermaksud Allah ﷻ yang mencipta dan menjaga mereka selama hari ini. Mereka hidup pun kerana Allah ﷻ, kekal hidup pun kerana Allah ﷻ. Apabila mereka melakukan syirik dan menolak tauhid, maka amat teruklah kerana mereka menentang Tuhan yang telah banyak berjasa kepada mereka.
Kalau kita baca, kita boleh lihat bahawa ayat ini bukan ayat yang penuh. Maknanya Allah ﷻ beri persoalan perbandingan kepada mereka: adakah sama Allah ﷻ seperti sembahan-sembahan dan ilah-ilah mereka yang tidak ada sifat seperti itu? Tentu tidak sama. Hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu segala perkara yang kita semua lakukan. Ini banyak sekali disebut dalam Al-Qur’an, contohnya:
وَمَا مِنْ دَابَّةٍ فِي الأرْضِ إِلا عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُبِينٍ
Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allahlah yang memberi rezeki-nya, dan Dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat penyimpanannya. Semuanya tertulis dalam Kitab yang nyata (Lauh Mahfuz). (Hud: 6)
Maka apakah Tuhan yang memiliki sifat tersebut sama dengan berhala-berhala dan ilah-ilah yang mereka sembah, padahal berhala-berhala itu tidak dapat mendengar, tidak dapat melihat, tidak berakal, dan tidak memiliki manfaat buat dirinya sendiri, tidak pula buat para penyembahnya; dan tidak dapat melenyapkan mudarat daripada dirinya, tidak pula daripada diri para pengabdinya? Begitu juga dengan ilah-ilah, roh-roh yang sembah dan minta tolong itu (Nabi, wali dan malaikat), adakah mereka ada sifat sama seperti Allah ﷻ?
Tentu tidak. Inilah jawapannya bagi soalan dengan kalimah من (siapa) di atas. Kalau hendak memuja selain Allah ﷻ pun, sekurang-kurangnya yang disembah itu dapatlah memberi bantuan dan perlindungan kepada mereka, bukan? Akan tetapi semuanya tidak boleh dilakukan oleh yang disembah itu.
Allah ﷻ tanya mereka sepatah: Adakah mereka tidak mahu beriman kepada Dzat yang tahu segala apa yang mereka lakukan? Beranikah mereka tidak mahu beriman kepada Allah ﷻ yang berkuasa penuh terhadap segala jiwa?
وَجَعَلوا لِلهِ شُرَكاءَ
Mereka menjadikan sekutu-sekutu bagi Allah.
Mereka masih ingkar, masih tetap juga berbuat syirik terhadap Allah ﷻ. Kalimah شُرَكاءَ dalam bentuk jamak kerana banyak benda yang mereka sembah selain Allah ﷻ. Mereka masih lagi seru sekutu-sekutu lain dalam sembahan dan dalam doa mereka. Ini adalah satu perkara yang amat pelik. Kenapakah lagi mereka mahu meminta kepada selain Allah ﷻ?
Ini tidak lain tidak bukan kerana mereka jahil. Begitu jugalah dengan masyarakat kita yang jahil tentang Tauhid dan tentang Syirik. Ramai sekali yang melakukan amalan syirik kerana mereka tidak sedar yang itu adalah perbuatan syirik.
قُل سَمّوهُم
Katakanlah: “Sebutkanlah nama-nama mereka itu”.
Allah ﷻ suruh golongan musyrik itu panggil ilah-ilah yang mereka seru itu. Lihat ada datang atau tidak? Ada sahut atau tidak? Boleh tolong atau tidak? Tentulah tidak. Yang diseru itu pun tidak tahu yang mereka diseru. Ini seperti bertepuk sebelah tangan sahaja.
Atau, Allah ﷻ suruh Nabi Muhammad ﷺ cabar mereka: beritahu nama-nama ilah mereka. Beritahulah nama mereka, berserta sifat yang mereka ada-adakan itu. Ceritakanlah dari mana mereka, apa sejarah mereka, bagaimana boleh diangkat menjadi tuhan, menjadi sembahan, menjadi wasilah untuk menyampaikan doa.
Memang kalau kita lihat sembahan-sembahan manusia, mereka reka bermacam-macam sifat kepada ilah-ilah itu; yang ini boleh beri anak, yang ini tunjuk jalan di muka bumi supaya tidak sesat, yang ini boleh beri rezeki, dan lain-lain lagi. Semua itu adalah rekaan semata-mata kerana semua kisah itu tidak ada dalilnya. Memang akan gagap kalau mereka mahu ceritakan semula.
أَم تُنَبِّئونَهُ بِما لا يَعلَمُ فِي الأَرضِ
Apakah kamu hendak memberitahu kepada Allah apa yang tidak diketahui-Nya di bumi,
Allah ﷻ perli mereka: Adakah mereka mahu beritahu benda yang tidak ada dalam dunia ini? Kamu benar yakin ada tuhan lain lagikah yang beritahu maklumat-maklumat ini? Adakah kamu mahu mengajar Allah ﷻ pula? Adakah kamu mahu mengajar benda yang Dia tidak tahu? Entah-entah ada benda yang Allah ﷻ tidak tahu? Entah-entah Allah ﷻ tidak tahu ada ilah lain selain Dia? Berani kamu berkata begitu dengan Allah ﷻ?
Terjemah kedua: Adakah kamu mahu beritahu Allah ﷻ, sesuatu yang kamu seru sedangkan yang kamu seru itu tidak tahu pun? Sebagai contoh, mereka minta pertolongan kepada wali yang telah mati untuk sampaikan hajat mereka kepada Allah ﷻ. Sedangkan wali-wali itu sendiri tidak dengar dan tidak tahu pun permintaan mereka yang meminta itu (kerana wali-wali itu sudah mati). Memang mereka tidak tahu pun apa yang berlaku di muka bumi.
أَم بِظٰهِرٍ مِّنَ القَولِ
atau kamu mengatakan sekadar perkataan pada lahirnya saja.
Adakah dakwaan mereka itu benar atau itu hanya kata-kata mereka sahaja? Rekaan mereka sahaja? Hanya hendak menzahirkan perkara yang memang tidak ada hakikat. Memang rekaan mereka itu tidak ada hakikat pun. Mana ada ilah yang lain melainkan itu lafaz zahir mereka sahaja. Mereka dapat itu pun daripada tok nenek mereka dan tok nenek mereka itu dapat daripada bisikan syaitan sahaja.
Sama sahaja seperti ajaran-ajaran sesat di negara kita ini. Semua perkara yang tidak ada dalil, hanya menggunakan kata-kata manusia sahaja. Ini seperti yang disebut di dalam ayat lain,
إِنْ هِيَ إِلا أَسْمَاءٌ سَمَّيْتُمُوهَا أَنْتُمْ وَآبَاؤُكُمْ مَا أَنزلَ اللَّهُ بِهَا مِنْ سُلْطَانٍ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلا الظَّنَّ وَمَا تَهْوَى الأنْفُسُ وَلَقَدْ جَاءَهُمْ مِنْ رَبِّهِمُ الْهُدَى
Itu tidak lain hanyalah nama-nama yang kalian dan bapa-bapa kalian ada-adakannya; Allah tidak menurunkan suatu keterangan pun untuk (menyembah)nya. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti sangkaan-sangkaan, dan apa yang diingini oleh hawa nafsu mereka, dan sesungguhnya telah datang petunjuk kepada mereka daripada Tuhan mereka.
(An-Najm: 23)
بَل زُيِّنَ لِلَّذينَ كَفَروا مَكرُهُم
Sebenarnya dicantikkan bagi orang-orang kafir itu tipu daya mereka
Walaupun tidak ada dalil, namun mereka masih juga membuat amalan dan pemujaan yang sesat itu. Ini adalah kerana kesalahan mereka telah ‘dicantikkan’ kepada mereka. Iaitu diperlihatkan indah pada pandangan mereka oleh syaitan. Sedangkan itu adalah khayalan mereka sahaja. Ini adalah kerana syaitan telah mengelabui mata mereka.
Makna ayat ini sama dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya Fussilat: 25:
وَقَيَّضنا لَهُم قُرَناءَ فَزَيَّنوا لَهُم مّا بَينَ أَيديهِم وَما خَلفَهُم
Dan Kami adakan untuk mereka teman-teman rapat (daripada jin dan manusia), lalu teman-teman itu memperhiaskan kepada mereka (fahaman-fahaman sesat) mengenai perkara-perkara dunia yang ada di hadapan mereka, serta perkara-perkara lepas yang di belakang mereka;
وَصُدّوا عَنِ السَّبيلِ
dan dihalanginya dari jalan
Oleh kerana itulah mereka nampak amalan mereka indah dan baik, maka mereka telah dijauhkan dari jalan Allah ﷻ. Mereka terhalang dari jalan yang benar, kerana mereka nampak amalan syirik dan kufur mereka itu benar.
Bukan sahaja Musyrikin Mekah ada masalah itu, tetapi dalam kalangan masyarakat Muslim kita ada juga masalah ini. Ramai yang mengamalkan amalan syirik dan bid’ah kerana mereka jahil wahyu. Mereka rasa dan sangka yang perbuatan mereka itu benar dan molek – kerana telah diamalkan turun temurun; ada dalam kitab itu dan ini; diajar oleh ‘ustaz’, ‘tok guru’; amalan itu menjadi; dan macam-macam lagi alasan mereka. Lebih-lebih lagi di era ledakan medsos ini berbagai amalan bercampur aduk mudah sangat tersebar. Ada yang benar ada yang jauh daripada kebenaran, tambahan disebarkan oleh pempengaruh serta selebriti popular tanahair. Ramai pengikut hanya membabi buta sahaja mengikut amalan yang disebarkan itu. Maka bertambah ramai tertipu dengan amalan syirik dan bid’ah yang disangka benar. Mereka telah ditipu oleh syaitan tetapi mereka tidak sedar.
وَمَن يُضلِلِ اللهُ فَما لَهُ مِن هادٍ
Dan barangsiapa yang disesatkan Allah, maka baginya tak ada seorang pun yang akan memberi petunjuk.
Oleh kerana mereka telah menutup pintu hati mereka kepada kebenaran, maka Allah ﷻ telah buat keputusan untuk menutup terus hati mereka daripada menerima hidayah. Ini dinamakan Khatmul Qalbi (penutupan hati). Sesiapa yang Allah ﷻ sesatkan, tidak akan ada yang boleh jadi petunjuk untuk mereka.
Mereka akan terus sahaja dalam kesesatan. Tidak ada sesiapa pun yang boleh beri hidayah kepada mereka lagi. Dakwah dan ajar lah bagaimana sekalipun, mereka tidak akan terima. Tentunya ini amat menakutkan sekali seandainya terjadi kepada diri kita, keluarga kita atau sesiapa sahaja yang kita kenal.
Akan tetapi kita jangan salah faham pula. Allah ﷻ sesatkan orang yang pasti sesat itu adalah kerana mereka tidak mengambil berbagai-bagai peluang yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka. Oleh kerana mereka banyak menentang, maka baru Allah ﷻ membuat keputusan untuk tutup hati mereka daripada menerima kebenaran. Ini kita telah sentuh tentang Khatmul Qalbi dalam perbincangan-perbincangan yang lepas.
Ini penting kerana ramai yang keliru. Mereka kata Allah ﷻ yang sesatkan mereka, Allah ﷻ tidak beri hidayah kepada mereka, maka bukan salah mereka, Allah ﷻ yang salah! Subhanallah! Ini amat jahil sekali kerana baca terjemahan tanpa belajar, dan baca satu ayat sahaja sudah buat keputusan yang melulu. Sedangkan Allah ﷻ bukan sewenang-wenangnya menyesatkan manusia. Yang Allah ﷻ sesatkan adalah kerana manusia itu sendiri yang pilih kesesatan. Ini disebut di dalam ayat-ayat lain. Sebab itulah kita kena belajar keseluruhan tafsir 30 juzuk supaya tidak keliru sebegini rupa! Allah ﷻ sebut di dalam Saf: 5
فَلَمّا زاغوا أَزاغَ اللَّهُ قُلوبَهُم ۚ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ
Maka tatkala mereka berpaling (daripada kebenaran), Allah memalingkan hati mereka; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.
Maknanya Allah ﷻ sesatkan manusia yang telah berpaling daripada kebenaran. Mereka sendiri yang pilih untuk menjadi sesat, maka Allah ﷻ teruskan kehendak mereka itu. Ini kerana Allah ﷻ tidak memaksa manusia untuk beriman. Manusia ada pilihan sendiri seperti yang Allah ﷻ sebut dalam Kahf: 29
وَقُلِ الحَقُّ مِن رَّبِّكُم ۖ فَمَن شاءَ فَليُؤمِن وَمَن شاءَ فَليَكفُر
Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang daripada Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya”.
Manusia yang diberikan dengan hidayah adalah manusia yang mahukan kebenaran. Dia mungkin tidak dilahirkan dalam keluarga orang beriman, tetapi mereka pilih untuk beriman dan membersihkan hati mereka daripada kesyirikan seperti disebut dalam Syams: 8-10 maka mereka itulah yang beruntung.
فَأَلهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقوَٮٰهَا
serta Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya.
قَد أَفلَحَ مَن زَكَّٮٰهَا
sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu,
وَقَد خَابَ مَن دَسَّٮٰهَا
dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.
Oleh itu, di sini kita tahu bahawa keimanan itu terpulang kepada diri sendiri. Jangan memandai hendak salahkan Allah ﷻ pula. Jangan lagi keliru tentang perkara ini. Belajarlah tafsir Al-Qur’an sampai pandai.
Ra’d Ayat 34: Takhwif duniawi dan ukhrawi
لَّهُم عَذابٌ فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا ۖ وَلَعَذابُ الآخِرَةِ أَشَقُّ ۖ وَما لَهُم مِّنَ اللهِ مِن واقٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
For them will be punishment in the life of [this] world, and the punishment of the Hereafter is more severe. And they will not have from Allāh any protector.
(MALAY)
Bagi mereka azab dalam kehidupan dunia dan sesungguhnya azab akhirat adalah lebih keras dan tak ada bagi mereka seorang pelindung pun dari (azab) Allah.
لَّهُم عَذابٌ فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا
Bagi mereka azab dalam kehidupan dunia
Di dunia lagi mereka akan dikenakan azab seperti musibah-musibah yang sesekali dikenakan kepada mereka. Antaranya Musyrkin Mekah itu akan dikalahkan dalam perang. Yakni melalui tangan orang-orang mukmin, ada yang dibunuh, ada pula yang ditawan.
وَلَعَذابُ الآخِرَةِ أَشَقُّ
dan sesungguhnya azab akhirat adalah lebih keras
Musibah yang menimpa di dunia itu memang sudah teruk tetapi seksaan di akhirat lagi teruk. أَشَقُّ bermaksud azab yang tidak sanggup ditanggung kerana terlampau teruk. Memang mereka tidak akan sanggup untuk menanggung azab itu.
Sebenarnya azab yang dikenakan itu, kalau makhluk dunia kena, sepatutnya sudah mati, tetapi Allah ﷻ tidak matikan mereka yang dikenakan azab dalam neraka itu. Maknanya, mereka dikenakan dengan azab yang teruk dan patut sudah mati, tetapi tidak mati-mati. Alangkah teruknya! Kerana kalau mati, sekali sahaja diazab, maka Allah ﷻ tidak mati-matikan mereka. Ini kerana tubuh badan ahli neraka telah dinaiktaraf: mereka rasa sakit azab itu, tetapi mereka tidak mati.
وَما لَهُم مِّنَ اللهِ مِن واقٍ
dan tak ada bagi mereka seorang pelindung pun dari Allah.
Iaitu tidak ada pelindung daripada azab Allah ﷻ. Di akhirat kelak, tidak akan sesiapa yang boleh membantu menyelamatkan mereka. Kalau di dunia, mereka mungkin ada banyak kawan, banyak pengikut yang boleh bantu dan selamatkan mereka, tetapi tidak akan ada di akhirat kelak.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 22 September 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA



Alhamdulillah izin kan saya ambil isi2 nya di kongsikan.
LikeLike
silakan
LikeLike