Tafsir Surah Yusuf Ayat 21 (Menetap di Mesir)

NABI YUSUF عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ DI MESIR

Yusuf Ayat 21: Pada waktu itu, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah bersedia untuk menjadi barang dagangan kerana baginda redha dengan ketentuan Allah ‎ﷻ. Maka baginda telah dijual dan dibawa ke tempat lain. Begitulah ujian yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terpaksa tempuhi, dipindahkan dari satu tempat ke satu tempat. Begitulah orang yang mengambil Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dari telaga itu telah menjual baginda di pasar hamba. Akan tetapi, dia telah meletakkan dengan harga yang mahal. Dia telah membeli Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan harga yang murah daripada abang-abang Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (atau penjual yang menjumpai Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di telaga itu), tetapi dia jualkan dengan harga yang mahal pula. Atau mungkin baginda dijual berkali-kali kepada peniaga hamba dan harga baginda semakin meningkat dan meningkat kerana mereka boleh melihat dia adalah ‘barang baik’ sampai akhirnya harganya telah menjadi mahal.

Oleh kerana dia telah meletakkan harga yang mahal, maka yang mampu membeli baginda adalah orang kaya sahaja sahaja. Menurut Qurtubi رَحِمَهُ اللَّهُ, harganya di Mesir dibida sampai naik sampai ke tahap emas seberat dirinya atau sutera seberat dirinya. Maka yang menang bidaan akhirnya adalah Al-Aziz Mesir.

وَقَالَ ٱلَّذِى ٱشتَرَٮٰهُ مِن مِّصرَ لِٱمرَأَتِهِۦۤ أَڪرِمِى مَثوَٮٰهُ عَسَىٰٓ أَن يَنفَعَنَآ أَو نَتَّخِذَهُ ۥ وَلَدًا‌ۚ وَڪَذٰلِكَ مَكَّنَّا لِيُوسُفَ فِى ٱلۡأَرضِ وَلِنُعَلِّمَهُ ۥ مِن تَأوِيلِ ٱلأَحَادِيثِ‌ۚ وَٱللَّهُ غَالِبٌ عَلَىٰٓ أَمرِهِۦ وَلَـٰكِنَّ أَڪثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعلَمُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the one from Egypt¹ who bought him said to his wife, “Make his residence comfortable. Perhaps he will benefit us, or we will adopt him as a son.” And thus, We established Joseph in the land that We might teach him the interpretation of events [i.e., dreams]. And Allāh is predominant over His affair, but most of the people do not know.

  • The minister in charge of supplies, whose title was al-‘Azeez.

(MALAY)

Dan orang Mesir yang membelinya berkata kepada isterinya: “Berikanlah kepadanya tempat (dan layanan) yang baik, boleh jadi dia bermanfaat kepada kita atau kita ambil dia sebagai anak”. Dan demikian pulalah Kami memberikan kedudukan yang baik kepada Yusuf di muka bumi (Mesir), dan agar Kami ajarkan kepadanya ta’bir mimpi. Dan Allah berkuasa terhadap urusan-Nya, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahuinya.

 

وَقالَ الَّذِي اشتَرٰهُ مِن مِّصرَ لِامرَأَتِهِ

Dan orang dari Mesir yang membelinya berkata kepada isterinya:

Seorang lelaki dari Mesir telah membeli Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan beliau belikan untuk isterinya. Namanya tidak disebut di dalam Al-Qur’an, hanya disebut pangkatnya sahaja dan itu akan disebut nanti. Nama tidak penting kerana itu tidak diberitahu oleh Allah ‎ﷻ. Melalui kisah selepas ini kita tahu yang beliau adalah seorang ahli politik (pemimpin). Dalam Tafsir ibn Kathir, dikatakan yang orang yang membelinya dari negeri Mesir itu dikenali sebagai Al-Aziz Mesir, yakni perdana menterinya, atau Raja Muda, Menteri Kewangan atau apa-apa pangkat yang sesuai bagi orang yang nombor dua dalam negara itu. Kalimat مِن مِّصرَ boleh bermakna dia sendiri dari Mesir, ataupun dia membeli Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di pasar hamba di Mesir.

Dalam Surah Yusuf ini hanya disebut Mesir sahaja sedangkan tempat asal Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (Kana’an) tidak disebut. Maka sekiranya Allah ‎ﷻ sebut, tentu ada kepentingan nama itu. Yang pertama adalah kerana kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini disampaikan Allah ‎ﷻ kerana puak Yahudi bertanya kepada Rasulullah ﷺ sejarah Bani Israil bagaimana boleh sampai ke Mesir. Maka inilah kisahnya. Akan tetapi takkan itu sahaja tujuannya? Mungkin kerana Mesir ini penting kerana Mesir ini adalah tempat Firaun dan ia tempat tinggal Bani Israil buat sekian waktu mereka di sana. Dua golongan ini mewakili jenis-jenis manusia yang ada zaman berzaman. Firaun adalah jenis manusia yang degil untuk menerima kebenaran dan Bani Israil adalah jenis kufur yang degil menerima kebenaran walaupun mereka itu tahu kebenaran itu. Maka dengan belajar tentang mereka, kita akan belajar banyak tentang jenis manusia seperti ini. Walaupun Firaun itu datang lama setelah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi tamadun Mesir ketika zaman Firaun itu tidak akan ada kalau bukan kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyelamatkan kerajaan Mesir pada zaman baginda menjadi menteri. Maka Mesir adalah satu tamadun yang amat hebat sampaikan kesannya sampai sekarang ada terpakai di dunia moden ini. Perhatikan desain-desain bangunan yang masih menggunakan piramid sebagai desain mereka. Bayangkan piramid sampai adalah kertas matawang Amerika Syarikat!

Al-Aufi رَحِمَهُ اللَّهُ telah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, bahawa nama si pembeli itu adalah Qitfir (Potiphar). Muhammad ibnu Ishaq mengatakan, nama si pembeli itu adalah Itfir ibnu Ruhaib, menteri negeri Mesir yang memegang jawatan sebagai menteri perbendaharaan Mesir pada waktu itu. Yang menjadi raja di zaman itu adalah Ar-Rayyan ibnul Walid, seorang lelaki daripada keturunan bangsa ‘Amaliq (raksasa). Menurut Mazhari, dia telah masuk Islam di tangan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan mati sebagai seorang Muslim.

Muhammad ibnu Ishaq رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan bahawa nama isteri menteri itu adalah Ra’il binti Ra’abil. Menurut selain Muhammad ibnu Ishaq, nama isterinya adalah Zulaikha. Inilah nama Zulaikha yang selalu digunakan oleh orang kita. Siap jadi doa pula di majlis perkahwinan. Oleh kerana kesahihan kisah ini tidak kuat, maka kita tidak menggunakan nama Zulaikha di dalam tafsir ini. Kita hanya akan sebut ‘isteri Al-Aziz’. Biarlah dia tidak bernama di sini dan janganlah beri nama ini kepada anak-anak kita kerana karektor dia di dalam surah ini adalah orang yang jahat. Takkan kita hendak beri nama orang jahat kepada anak kita?

Di dalam ayat ini digunakan istilah امرأة untuk merujuk kepada isterinya. Padahal ada istilah lain untuk isteri iaitu زَوْج (isteri) [istilah زوجة sebenarnya tidak pernah digunakan). Al-Qur’an mesti menggunakan istilah yang tepat setiap waktu, jadi kenapa digunakan istilah امرأة dan bukan زَوْج? Istilah امرأة (wanita/isteri) digunakan apabila wujud hubungan jasmani sahaja, tetapi tiada keserasian pemikiran dan keimanan. Maknanya hubungan suami isteri yang tidak sempurna. Maka Al-Qur’an menyebut mereka sebagai امرأة seperti:

• Imra’atu Nūḥ (isteri Nabi Nuh)
• Imra’atu Lūṭ (isteri Nabi Lut)
• Imra’atu Fir‘awn (isteri Firaun)

Istilah زَوْج (isteri) digunakan di dalam Al-Qur’an apabila jasad disertai dengan keserasian pemikiran, keimanan, kasih sayang dan keharmonian, maka disebut sebagai زَوْج contohnya di dalam Baqarah:35

وَقُلنا يٰئآدَمُ اسكُن أَنتَ وَزَوجُكَ الجَنَّةَ
Dan Kami berfirman: “Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga

Dan di dalam Ahzab:59

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزوٰجِكَ
Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu

Ada satu lagi istilah iaitu صاحبة (teman). Istilah زوجة (teman) ini digunakan di dalam Al-Qur’an apabila terputus semua bentuk ikatan — sama ada jasmani mahupun rohani. Sebagai contoh digunakan di dalam Abasa:34-37 apabila isteri melarikan diri dari suaminya di akhirat kelak,

يَوۡمَ يَفِرُّ ٱلۡمَرۡءُ مِنۡ أَخِيهِ (٣٤) وَأُمِّهِۦ وَأَبِيهِ (٣٥) وَصَـٰحِبَتِهِۦ وَبَنِيهِ (٣٦) لِكُلِّ ٱمۡرِىٍٕ مِّنۡہُمۡ يَوۡمَٮِٕذٍ شَأۡنٌ يُغۡنِيهِ (٣٧)
Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya, (34) Dan ibunya serta bapanya, (35) Dan isterinya serta anak-anaknya; (36) Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja. (37) 

Dan istilah ini digunakan juga untuk ‘pasangan’ Allah kerana Allah memang tidak ada pasangan pun, seperti digunakan di dalam An’am:101

أَنّىٰ يَكونُ لَهُ وَلَدٌ وَلَم تَكُن لَّهُ صٰحِبَةٌ
Bagaimanakah Dia mempunyai anak sedang Dia tidak mempunyai isteri?

Perhatikan juga kisah Nabi Zakaria. Pada mulanya baginda berkata: “isteriku mandul” di dalam Maryam:8

قالَ رَبِّ أَنّىٰ يَكونُ لي غُلٰمٌ وَكانَتِ امرَأَتي عاقِرًا
Nabi Zakaria bertanya: “Wahai Tuhanku! Bagaimanakah caranya aku akan beroleh seorang anak, sedang isteriku adalah seorang yang mandul

Nabi Zakaria menggunakan perkataan امرأة di sini kerana faktor penghalang dalam hubungan ialah tidak mampu melahirkan anak. Tetapi setelah Allah menganugerahkan anaknya Yahya kepadanya, maka Allah berfirman di dalam Anbiya’:90 dengan menyebut زَوْج pula,

فَاستَجَبنا لَهُ وَوَهَبنا لَهُ يَحيىٰ وَأَصلَحنا لَهُ زَوجَهُ
“Dan Kami perbaiki untuknya isterinya.” 

Begitu juga Al-Qur’an membongkar rumah Abu Lahab di dalam Masad:4

وَامرَأَتُهُ حَمّالَةَ الحَطَبِ
Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar.

Dikatakan imra’ah kerana tiada kasih sayang dan tiada keharmonian di dalam keluarga itu. SubhanAllah! Setiap lafaz dalam Al-Qur’an datang tepat pada tempatnya. Ia mengajar kita bahawa hubungan suami isteri bukan sekadar jasad, tetapi juga keserasian, akidah, kasih sayang dan rahmat. Kerana itu Allah mengajar doa kepada kita di dalam Furqan:74

رَبَّنا هَب لَنا مِن أَزوٰجِنا وَذُرِّيّٰتِنا قُرَّةَ أَعيُنٍ وَاجعَلنا لِلمُتَّقينَ إِمامًا
“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.”

Baik, kembali kepada perbincangan kita dalam ayat Surah Yusuf ini, kenapa digunakan istilah امرأة untuk isteri al-aziz itu dan bukannya زوج? adalah satu pilihan linguistik Al-Quran yang sangat teliti dan penuh hikmah. Ia bukanlah suatu kebetulan, tetapi bertujuan untuk menekankan kekurangan dalam hubungan perkahwinan itu, terutamanya dari segi moral dan spiritual. Apabila nanti kita akan belajar bagaimana isteri Al-Aziz itu akan mencuba menggoda Nabi Yusuf AS, dan memfitnah Nabi Yusuf serta menipu suaminya (Al-Aziz), dia telah meruntuhkan semua asas keharmonian, kesetiaan, dan ketenangan (sakinah) dalam rumah tangga mereka. Oleh itu, Allah menggunakan istilah امرأة untuk menunjukkan bahawa walaupun dia masih terikat secara undang-undang sebagai isteri (status fizikal), ikatan rohani dan moral sebagai pasangan sejati (زوج) telah musnah.

 

أَكرِمي مَثوىٰهُ

“Muliakanlah tempat tinggalnya, 

Walaupun beliau membeli Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi lihat bagaimana beliau cakap tentang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan isterinya. Beliau adalah seorang ahli politik yang sudah biasa berurusan dengan manusia. Maka tentulah dia tahu menilai manusia daripada perawakan dan percakapan mereka; dia juga kena berhati-hati dengan semua manusia yang dia ada interaksi kerana bukan semua manusia akan menunjukkan belangnya. Maka apabila dia melihat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai seorang yang hebat, maka ini adalah satu perkara yang hebat kerana ia datang daripada manusia yang berkedudukan tinggi dan pandai menilai manusia.

Kalimat أَكرِمي مَثوىٰهُ bermakna berilah tempat yang baik untuk budak itu tinggal. Ia juga bermakna berilah layanan yang baik kepada budak itu. Kalau tempat tidur itu, jadikanlah ia tempat tidur yang selesa dan ada permaidani macam tempat tidur orang besar-besar. Kenapa muliakan tempat tinggal, bukan muliakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Kerana kalau muliakan baginda sahaja, mungkin tempat tinggal biasa sahaja tetapi kalau tempat tinggal pun sudah mulia, tentulah baginda pun dimuliakan sekali. Jadi ada isyarat di sini yang dia sudah dapat merasakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu bukan biashe-biashe melalui perawakan dan kata-kata baginda. Mungkin mereka telah meluangkan masa bersama dalam perjalanan dari tempat pembelian ke rumah Al-Aziz itu. Jadi dalam interaksi mereka, Al-Aziz sudah dapat menilai Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Begitulah juga kita melihat dua orang wanita yang berjumpa Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di Madyan telah dapat mengenali istimewanya Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan sekali lihat sahaja.

Abu Ishaq telah meriwayatkan daripada Abu Ubaidah, daripada Abdullah ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang mengatakan bahawa orang yang ahli dalam firasat ada tiga orang, iaitu: Pertama, menteri negeri Mesir ketika dia mengatakan kepada isterinya dalam pesannya: Berikanlah kepadanya tempat (dan layanan) yang baik. (Yusuf:21) Kedua, seorang wanita yang mengatakan kepada ayahnya: Wahai bapaku, ambillah dia sebagai orang yang bekerja (pada kita). (Qasas:26), hingga akhir ayat. Yang ketiga adalah Abu Bakar As-Siddiq رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ ketika beliau mengangkat Umar Al-Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ sebagai khalifah penggantinya.

Ilmu ini dinamakan Physiognomist atau dalam bahasa Melayu disebut pakar fisiognomi iaitu seseorang yang dapat menilai atau mentafsirkan perwatakan, karakter, atau nasib seseorang berdasarkan ciri-ciri fizikal luaran, terutamanya bentuk wajah. Secara ringkasnya, seorang physiognomist percaya bahawa setiap aspek wajah, seperti bentuk hidung, mata, dahi, atau struktur muka, mempunyai kaitan dengan sifat dalaman seseorang. Perlu diingatkan bahawa fisiognomi pada masa kini tidak diiktiraf sebagai bidang sains yang sahih, sebaliknya lebih dianggap sebagai pseudosains atau seni ramalan kuno. Menurut riwayat-riwayat sejarah dan biografi, Imam Syafie رَحِمَهُ اللَّهُ dikenali memiliki kemahiran dalam bidang fisiognomi atau lebih tepatnya, firasat yang sangat tajam. Ini bukanlah bidang utama yang beliau ajar atau tulis dalam kitab-kitabnya seperti Al-Umm atau Al-Risalah, yang fokus pada fiqh dan usul fiqh. Namun, ia adalah kemahiran peribadi yang mengagumkan yang ada pada beliau. Terdapat kisah yang masyhur bahawa ketika beliau masih muda, beliau pernah belajar ilmu firasat daripada satu suku Arab di Yaman yang dikenali sebagai Bani Muzaynah. Mereka adalah pakar dalam mengenali sifat dan karakter manusia hanya dengan melihat rupa fizikal dan cara berjalan seseorang. Imam Syafie رَحِمَهُ اللَّهُ mempelajari ilmu ini sehingga menjadi sangat mahir.

Apabila Al-Aziz berkata أَكرِمي مَثوىٰهُ kepada isterinya itu, ia bukanlah permintaan tetapi sebagai arahan kerana beliau adalah ketua keluarga. Kenapa beliau beri arahan sebegitu? Mungkin kerana beliau kenal isterinya dan beliau tahu bagaimana isterinya itu melayan hamba-hamba di rumah mereka. Maka beliau hendak beritahu, hamba yang ini jangan dibuat seperti hamba lain kerana dia istimewa.

Beliau juga berniat untuk memberikan Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tinggal lama dengannya kerana kalimah مَثوا adalah tempat tinggal yang lama. Kenapa gunakan kalimah ini sedangkan ada banyak lagi kalimah yang lain? Kalimah مَثوَى daripada kata dasar ث و ي yang bermaksud menetap di suatu tempat, berhenti, menetap di suatu tempat, menahan sesiapa sahaja (di suatu tempat), penginapan, tempat tinggal, resort, tempat berehat, penghuni. Kalimah مَثوَى bermaksud tempat tinggal generasi demi generasi. Ia adalah tempat tinggal yang diwarisi. Maknanya, tempat tinggal yang lama. Selalunya digunakan sebagai tempat tinggal dan tempat mati juga – tinggal sampai mati di situ – tempat tetap untuk tinggal. Maka di sini kita boleh tahu bahawa beliau berniat supaya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tinggal lama di situ, bukannya untuk dijual kepada orang lain pula.

Oleh itu kita boleh lihat bagaimana Allah ‎ﷻ menempatkan baginda di tempat tinggal yang baik. Tidaklah baginda ditinggalkan di luar rumah sahaja seperti hamba yang lain, tetapi ditempatkan di tempat yang baik di dalam rumah. Allah ‎ﷻ muliakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

 

عَسَىٰٓ أَن يَنفَعَنَآ

boleh jadi dia bermanfaat kepada kita

Boleh jadi isteri Al-Aziz kehairanan kenapa suaminya itu hendak memuliakan hamba yang baru ini begitu sekali. Maka ini adalah jawapan Al-Aziz kepada isterinya itu. Beliau kata mungkin budak yang beliau baru beli itu bermanfaat bagi mereka; mungkin beliau telah nampak Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu memiliki perawakan sebagai seorang yang cerdik, dapat menolong apa sahaja di rumah. Namun kalau setakat hendak tolong menolong di rumah, hamba lain mereka pun tentu sudah ramai, maka ini adalah manfaat yang lain.

Beliau mungkin sudah melihat kepandaian Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ maka beliau mungkin berharap baginda boleh membantunya di dalam kerja-kerjanya. Mungkin Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ boleh memberi nasihat yang berguna kepadanya nanti. Nanti di hujung kisah ini nanti kita akan lihat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan menjadi menteri kewangan. Ini adalah kerana baginda sudah biasa melihat bagaimana kerajaan diurus ketika baginda hidup di rumah menteri ini. Maka di sini kita boleh andaikan yang menteri Al-Aziz itu akan mendidik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seolah-olah sebagai mentor kepada baginda.

 

أَو نَتَّخِذَهُ ۥ وَلَدًا‌

atau kita ambil dia sebagai anak”.

Kalau dia baik, boleh sahaja ambil dia untuk dijadikan anak angkat. Ini kerana ada riwayat yang mengatakan mereka tidak mempunyai anak. Beginilah perasaan sayang yang telah Allah ‎ﷻ masukkan ke dalam hati menteri itu kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sebenarnya Al-Aziz beriya mahukan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai anak angkat kerana ada penekanan pada kalimah نَتَّخِذَهُ kerana ada syaddah pada huruf ت itu.

Mungkin beliau memerlukan seseorang untuk dilatih untuk mengambil alih kedudukan dan keluarganya. Kalau dalam zaman moden ini, ia ada diamalkan di Jepun. Amalan ini dikenali sebagai pengambilan anak angkat dewasa atau dalam bahasa Jepun, mukoyōshi (婿養子), yang secara harfiah bermaksud “anak angkat menantu lelaki”. Sistem ini wujud sejak beratus-ratus tahun lalu sebagai satu penyelesaian praktikal bagi keluarga yang berhadapan dengan masalah tidak ada anak lelaki. Dengan cara ini perniagaan boleh diambilalih oleh seorang lelaki yang dijadikan anak angkat atau menjadi menantu lelaki. Lelaki itu boleh mengambil nama keluarga dan dengan ini meneruskan legasi keluarga itu. Amalan ini adalah praktikal dan sesuai bagi mereka kerana mereka boleh memilih lelaki yang sesuai. Kalau anak belum tentu akan itu ada ketrampilan, bukan? Tradisi ini juga diamalkan di Rom Purba dan ia dikenali sebagai adoptio dan adrogatio. Ia bukanlah sekadar satu amalan, tetapi satu mekanisme sosial dan politik yang penting untuk memastikan kelangsungan nama keluarga (nomen), legasi, dan harta benda.

 

وَكَذٰلِكَ مَكَّنّا لِيوسُفَ فِي الأَرضِ

Dan demikianlah Kami memberikan kedudukan yang baik kepada Yusuf di muka bumi (Mesir), 

Ini adalah jumlah mu’taridah. Kalimah كَذٰلِكَ (demikianlah) boleh ditafsirkan sama ada merujuk kepada keseluruhan kisah ini (abang-abang dengki, letak di dalam telaga, dijual dan seterusnya) atau ia boleh juga merujuk kepada kisah yang kita baru baca ini iaitu baginda ditempatkan di rumah seorang menteri. Allah ‎ﷻlah yang merancang semua ini untuk Nabi-Nya. Inilah juga jawapan kepada soalan daripada Bani Israil kepada Nabi Muhammad ﷺ: Kenapa Bani Israil boleh sampai duduk di negeri Mesir pula sedangkan mereka asalnya dari Palestin – jawapannya adalah sejarah mereka bermula di Mesir itu dengan datangnya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ke Mesir.

Ada jumlah muqaddar dalam ayat ini: Allah ‎ﷻ memuliakan kedudukan baginda setelah baginda dihina oleh saudara-saudaranya. Begitulah ada orang yang hina di mata manusia tetapi mulia di mata Allah ﷻ. Ternyata nasib Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mula berubah semenjak baginda ditempatkan di rumah Al-Aziz itu.

 

وَلِنُعَلِّمَهُ ۥ مِن تَأوِيلِ ٱلأَحَادِيثِ‌

dan agar Kami ajarkan kepadanya ta’wil percakapan.

Kenapa Allah ﷻ ditempatkan di rumah menteri itu? Kerana Allah ﷻ hendak mengajar baginda tentang ilmu dunia. Baginda diberikan kelebihan untuk menilai dan memahami perkara yang kompleks dan susah difahami oleh manusia lain. Bukan sahaja dalam ta’bir mimpi tetapi dalam percakapan biasa juga dan segala yang terjadi di sekeliling baginda. Kelebihan ini diberikan melalui kebijaksanaan baginda. Akhirnya nanti, Allah ‎ﷻ hendak jadikan baginda sebagai menteri kewangan Mesir juga. Oleh itu baginda ditakdirkan supaya tinggal di rumah orang politik supaya baginda dapat belajar banyak perkara.

Kita kena tahu bahawa Mesir ketika itu adalah kerajaan yang tamadunnya paling tinggi ketika itu. Antaranya kita akan lihat kisah para wanita yang makan menggunakan pisau yang orang Melayu pun ramai tidak tahu guna. Oleh kerana itu baginda didedahkan dengan banyak perkara tentang negara kerana baginda akan dengar percakapan tuan rumahnya itu terutama kalau tuannya itu berbincang dengan pembesar-pembesar yang lain. Begitulah kalau seseorang itu duduk di rumah seorang nelayan, tentu dia dapat belajar menjadi nelayan juga, bukan? Mesir juga adalah tamadun yang paling maju ketika itu sampaikan raja-raja di tempat lain akan menghantar anak-anak mereka untuk belajar di Mesir.

Begitulah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bergaul dengan pemimpin yang lain yang berbincang tentang perkara-perkara pemerintahan dan negara. Tentu baginda akan terdedah dengan perkara-perkara itu dan nanti baginda akan menjadi orang yang pandai dan faham tentang dunia dan hal politik. Baginda sendiri memang seorang yang bijak. Semua ini baginda mendapat ilham yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ dan ilmu dunia daripada pergaulannya. Maka baginda mendapat ilmu ramalan tepat dalam sesuatu perkara. Kedua-duanya baginda dapat.

Maka ini mengajar kita ilmu dunia pun diajar oleh Allah ﷻ menunjukkan kepentingannya. Jangan kita pandang hanya ilmu akhirat sahaja berguna. Kalau ia tidak penting, Allah ﷻ tidak ajar hal-hal dunia kepada kita. Namun Allah ﷻ mahu kita hidup di dunia ini dengan harmoni. Maka tidak salah kalau kita belajar ilmu psikologi, sosiologi, politik, kejuruteraan, kedoktoran dan sebagainya. Sebagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diajar berbagai-bagai perkara tentang dunia. Baginda telah mendapat ilmu agama daripada ayahnya dan sekarang baginda belajar ilmu keduniaan dari persekitaran menteri itu. Maka ia mengajar juga bahawa bukan ilmu dunia sahaja penting, tetapi perlukan ada ilmu agama juga. Kerana ilmu dunia tanpa dipandu oleh ilmu akhirat akan menjadikan manusia yang rosak  yang menyalahgunakan ilmu yang dia ada kepada kerosakan. Sebagai contoh, ilmu tentang nuklear boleh menghasilkan tenaga elektrik yang boleh dimanfaatkan oleh manusia; namun di dalam masa yang sama, ilmu yang sama itu juga boleh membuat bom nuklear yang membinasakan manusia dengan teruk sekali.

 

وَٱللَّهُ غَالِبٌ عَلَىٰٓ أَمرِهِ

Dan Allahlah yang menang terhadap urusan-Nya,

Kalimah غالِبٌ bermaksud mengalahkan seseorang/sesuatu. Apa sahaja yang terjadi kepada baginda adalah dalam urusan Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ yang menyusun semua sekali walaupun kalau baginda tidak mahukannya. Allah ﷻ tidak pernah tinggalkan baginda. Allah ﷻ mengalahkan rancangan manusia kerana rancangan manusia tidak ada apa-apa. Sebagaimana abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hendak menyisihkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ jauh-jauh tetapi nanti mereka akan kembali. Mereka sangka Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ entah merempat di mana-mana, sebaliknya Allah ﷻ tempatkan baginda di tempat yang mulia.

Bukan sahaja baginda, tetapi kita semua adalah dalam urusan Allah ‎ﷻ. Kita selalu merancang tetapi perancangan kita tidak semestinya menjadi kerana Allah ﷻ dapat mengalahkan perancangan kita. Kita boleh sahaja merancang, akan tetapi ingatlah bahawa ketentuan di tangan Allah ﷻ. Kita mungkin sangka sesuatu yang terjadi kepada kita itu sangat buruk, akan tetapi kita tidak pasti entah-entah ia adalah kebaikan untuk kita. Lihatlah bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sekarang kita baca baginda menjadi hamba, tetapi dengan menjadi hamba itulah baginda belajar banyak perkara. Sampaikan nanti apabila baginda keluar dari penjara dan ditawarkan jawatan menjadi penasihat raja, baginda minta dijadikan menteri kewangan. Ini kerana baginda yakin yang dengan ilmu yang baginda ada, baginda boleh melakukannya.

Dengan ilmu yang baginda ada, baginda telah menyelamatkan negeri Mesir itu. Memang ayah baginda menitiskan air mata kerana kehilangan anaknya; akan tetapi dengan segala yang terjadi, baginda telah menyelamatkan entah berapa ribu ibu bapa daripada tidak menitiskan air mata kerana baginda telah menyelamatkan negeri itu daripada musibah ketiadaan makanan.

 

وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ

tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahuinya.

Namun ramai manusia yang tidak faham tentang perkara ini. Mereka mengeluh apabila ada masalah, mereka rasa Allah ﷻ tinggalkan mereka, mereka rasa mereka tidak disayangi oleh Allah ﷻ kalau mereka mendapat nasib yang malang. Mereka berusaha berbagai-berbagai perkara tetapi mereka jatuh semangat dan putus asa setelah rancangan mereka tidak berjaya. Ini adalah kerana mereka tidak meletakkan tawakal mereka kepada Allah ‎ﷻ. Tawakal itu bermaksud serahkan urusan kepada Allah ﷻ (setelah berusaha) dan menerima dengan redha ketentuan Allah ﷻ setelah itu.

Orang yang tidak beriman tidak dapat menerima kalau apa yang mereka rancangkan tidak menjadi. Mereka salahkan diri mereka, orang lain, keadaan, malah ada yang menyalahkan Allah ‎ﷻ. Inilah kesalahan manusia yang tidak beriman dengan qadha dan qadar Allah ﷻ.

Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini memberi semangat kepada Rasulullah ﷺ dan para sahabat. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah dikeluarkan dari tempat tinggalnya di Kana’an akan tetapi ditempatkan di negeri Mesir dan akhirnya berjaya. Begitulah nanti Rasulullah ﷺ dan para sahabat tidak lama selepas surah ini diturunkan akan terpaksa keluar dari tanah air mereka Mekah akan tetapi mereka akan ditempatkan di Madinah dan di situ mereka akan berjaya menegakkan negara Islam dan mengembangkan Islam ke serata dunia. Semuanya di dalam perancangan Allah ﷻ yang kita tidak tahu bagaimana ia akan berakhir.

 

Kuiz (10 soalan pendek – 2-3 ayat setiap satu)

  1. Bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menunjukkan redha beliau terhadap ketentuan Allah ﷻ setelah dijual sebagai hamba?
  2. Siapakah yang akhirnya memenangi bidaan untuk membeli Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di Mesir, dan apakah pangkat beliau?
  3. Apakah dua kemungkinan tafsiran bagi frasa “مِن مِّصرَ” (dari Mesir) dalam konteks pembelian Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?
  4. Mengapakah nama Mesir disebut secara spesifik dalam kisah ini, berbanding tempat asal Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?
  5. Apakah yang dimaksudkan oleh Al-Aziz Mesir apabila beliau berkata kepada isterinya, “أَكرِمي مَثوىٰهُ” (Muliakanlah tempat tinggalnya)?
  6. Apakah tiga individu yang disebutkan dalam sumber sebagai ahli firasat atau mempunyai firasat yang tajam?
  7. Mengapakah Al-Aziz Mesir berminat untuk menjadikan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai anak angkat, dan apakah amalan yang serupa dalam sejarah?
  8. Bagaimana Allah ‎ﷻ merancang kedudukan yang baik bagi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di Mesir, dan apakah tujuannya?
  9. Bagaimanakah ilmu dunia dan ilmu agama digambarkan dalam konteks pendidikan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?
  10. Apakah maksud “وَاللهُ غالِبٌ عَلىٰ أَمرِهِ” dan mengapa kebanyakan manusia tidak memahami konsep ini?

Glosari Istilah Utama

  • Al-Aziz Mesir: Pangkat atau gelaran bagi pembesar atau menteri utama di Mesir pada zaman Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Beliau adalah individu yang membeli Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai hamba.
  • Qurtubi: Seorang ulama dan mufassir (pentafsir Al-Qur’an) terkenal, merujuk kepada Imam Al-Qurtubi.
  • Tafsir ibn Kathir: Sebuah karya tafsir Al-Qur’an yang masyhur, ditulis oleh Imam Ibnu Kathir.
  • Kana’an: Nama tempat asal Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan keluarganya, yang sering dikaitkan dengan Palestin kuno.
  • Ra’il binti Ra’abil / Zulaikha: Nama-nama yang disebutkan dalam riwayat sebagai isteri Al-Aziz Mesir. Sumber ini mengesyorkan tidak menggunakan nama Zulaikha kerana kesahihan riwayatnya tidak kuat dan karakternya negatif dalam kisah.
  • Firasat / Physiognomy: Ilmu atau kemahiran untuk menilai atau mentafsirkan perwatakan, karakter, atau nasib seseorang berdasarkan ciri-ciri fizikal luaran, terutamanya bentuk wajah. Dalam Islam, ia juga merujuk kepada ketajaman intuisi atau pandangan batin yang diberikan Allah ‎ﷻ.
  • Jumlah mu’taridah: Satu frasa atau klausa sisipan dalam ayat Al-Quran yang tidak mengubah makna utama ayat tetapi memberikan penjelasan atau penekanan tambahan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 29 September 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Overview Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah Yusuf Ayat 21 (Menetap di Mesir)”

  1. Kunci Jawapan Kuiz

    1. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menunjukkan redha beliau dengan bersedia menjadi barang dagangan setelah dijual, menunjukkan penerimaan terhadap ujian yang diberikan Allah kepadanya. Beliau melalui perpindahan dari satu tempat ke tempat lain sebagai sebahagian daripada ketentuan Ilahi.
    2. Al-Aziz Mesir, iaitu perdana menteri, raja muda, atau menteri kewangan, yang memegang jawatan nombor dua dalam negara itu, akhirnya memenangi bidaan untuk membeli Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Beliau adalah seorang yang kaya dan berkedudukan tinggi.
    3. Frasa “مِن مِّصرَ” boleh bermakna pembeli itu sendiri berasal dari Mesir, atau Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah dibeli di pasar hamba yang terletak di Mesir. Kedua-dua tafsiran ini memberikan konteks geografi kepada peristiwa tersebut.
    4. Nama Mesir disebut secara spesifik kerana kisah Nabi Yusuf ini menjawab pertanyaan puak Yahudi kepada Rasulullah tentang bagaimana Bani Israil boleh sampai ke Mesir. Ia juga penting kerana Mesir adalah tempat Firaun dan Bani Israil tinggal untuk sekian lama, mewakili jenis-jenis manusia yang degil terhadap kebenaran.
    5. Apabila Al-Aziz berkata “أَكرِمي مَثوىٰهُ”, beliau mengarahkan isterinya untuk menyediakan tempat tinggal yang baik dan selesa untuk Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, termasuk layanan yang mulia. Ini menunjukkan bahawa Al-Aziz merasakan Nabi Yusuf istimewa dan bukan hamba biasa.
    6. Tiga individu yang disebutkan sebagai ahli firasat atau mempunyai firasat yang tajam ialah: pertama, menteri negeri Mesir (Al-Aziz); kedua, seorang wanita yang menasihati ayahnya untuk mengambil Nabi Musa sebagai pekerja; dan ketiga, Abu Bakar As-Siddiq ketika melantik Umar Al-Khattab sebagai khalifah penggantinya.
    7. Al-Aziz berminat menjadikan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai anak angkat kerana mereka tidak mempunyai anak, dan beliau mungkin memerlukan seseorang untuk dilatih bagi mengambil alih kedudukan dan keluarganya. Amalan serupa wujud di Jepun (mukoyōshi) dan Rom Purba (adoptio/adrogatio) untuk memastikan kelangsungan nama keluarga dan legasi.
    8. Allah ‎ﷻ merancang kedudukan baik bagi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan menempatkannya di rumah seorang menteri, yang merupakan tempat tinggal yang mulia dan terhormat. Tujuan utamanya adalah untuk mengajarkan baginda ilmu dunia, termasuk ta’bir mimpi dan pemahaman kompleks tentang hal ehwal negara.
    9. Kisah Nabi Yusuf menunjukkan kepentingan ilmu dunia dan agama. Nabi Yusuf diajar ilmu agama oleh ayahnya (Nabi Ya’qub) dan kemudian belajar ilmu keduniaan, seperti politik dan pemerintahan, dari persekitaran rumah menteri. Ini menekankan bahawa kedua-dua jenis ilmu adalah penting untuk kehidupan yang harmoni, dan ilmu dunia tanpa panduan agama boleh merosakkan.
    10. “وَاللهُ غالِبٌ عَلىٰ أَمرِهِ” bermaksud Allah ‎ﷻ Maha Berkuasa dan mengalahkan segala rancangan manusia; apa sahaja yang terjadi adalah dalam urusan-Nya. Kebanyakan manusia tidak memahami konsep ini kerana mereka cenderung mengeluh, putus asa, atau menyalahkan takdir apabila rancangan mereka tidak menjadi, disebabkan kurangnya tawakal dan iman terhadap qadha dan qadar Allah.

    Like

Leave a reply to CelikTafsir Cancel reply