Ayat 26:
قالَت إِحدىٰهُما يىٰأبت استَئجِرهُ ۖ إِنَّ خَيرَ مَنِ استَئجَرتَ القَوِيُّ الأَمينُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
One of the women said, “O my father, hire him. Indeed, the best one you can hire is the strong and the trustworthy.”
(MELAYU)
Salah seorang dari kedua wanita itu berkata: “Ya bapaku ambillah dia sebagai orang yang bekerja (pada kita), kerana sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercaya”.
قالَت إِحدىٰهُما يىٰأبت استَئجِرهُ
Salah seorang dari kedua wanita itu berkata: “Ya bapaku ambillah dia sebagai orang yang bekerja
Salah seorang daripada anak gadis itu memberi cadangan kepada ayahnya. Kita tidak tahu siapakah yang berkata dalam ayat ini sama ada wanita yang sama yang telah pergi menjemput Nabi Musa atau tidak. Dan kita tidak boleh membuat spekulasi mengikut akal kita sahaja.
Ini mengajar kita yang anak-anak perempuan boleh juga memberi cadangan kepada ayahnya dan bukannya kena duduk senyap sahaja. Sebelum ini kita telah belajar tentang wanita yang bijak: ibu Nabi Musa, Aminah; ibu angkat Nabi Musa, Asiah; kakak Nabi Musa, Maryam. Dan sekarang kita belajar lagi tentang seorang lagi wanita bijak, anak perempuan lelaki ini.
Wanita itu mencadangkan kepada ayahnya untuk mengambil Nabi Musa bekerja dengan mereka.
إِنَّ خَيرَ مَنِ استَئجَرتَ القَوِيُّ الأَمينُ
kerana sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercaya”.
Anak gadis itu bukan sahaja beri cadangan tapi dia sebut kualiti Nabi Musa. Beliau kata yang sebaik-baik pekerja adalah yang kuat dan juga yang boleh dipercayai. Dan kita tahu yang ianya ditujukan kepada Nabi Musa kerana kalimah yang digunakan adalah dalam betul ma’rifah (khusus kepada seseorang). Gadis itu menyebut sifat itu sebagai benda yang baik kerana kualiti ini susah untuk dicari.
Inilah kualiti kerja yang baik sampai bila-bila pun. ‘Kuat’ itu maksudnya berkemampuan dan kriteria satu lagi adalah amanah. Maka kita sebagai pekerja hendaklah ada sifat-sifat ini. Tentunya itu adalah kualiti-kualiti yang amat berguna untuk mereka. Tak perlulah lagi mereka takut untuk menggembala ternakan mereka.
Ini menunjukkan yang mereka juga adalah wanita yang bijak kerana dapat membaca keadaan itu dan mengenali hati budi Nabi Musa. Dari kisah yang disampaikan oleh Nabi Musa, mereka dapat mengenali yang Nabi Musa itu adalah seorang yang amanah dan punya kekuatan yang telah terbukti semasa menolong mereka. Dan juga dari perawakan baginda yang mereka boleh tengok.
Umar, Ibnu Abbas, Syuraih Al-Qadi, Abu Malik, Qatadah, Muhammad ibnu Ishaq, dan lain-lainnya yang bukan hanya seorang telah mengatakan bahawa ketika wanita itu mengatakan: kerana sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercaya. (Al-Qasas: 26) Maka ayahnya bertanya, “Apakah yang mendorongmu menilainya seperti itu?” Dia menjawab, “Sesungguhnya dia dapat mengangkat batu besar yang tidak dapat diangkat kecuali hanya oleh sepuluh orang laki-laki. Dan sesungguhnya ketika aku berjalan bersamanya, aku berada di depannya, namun dia mengatakan kepadaku, “Berjalanlah kamu di belakangku. Jika aku salah jalan, beritahulah aku dengan lemparan batu kerikil, agar aku mengetahui jalan mana yang harus kutempuh.”
Begitulah sifat warak baginda. Baginda tidak beri wanita itu berjalan di hadapannya kerana kalau wanita itu di depan, maka baginda akan nampak pula susuk tubuh wanita itu.
Begitulah baginda menjaga mata baginda. Baginda tidak ambil peluang. Telinga baginda pun baginda jaga: kerana itu baginda suruh beritahu arah jalan dengan baling batu sahaja, tak perlu bercakap dengan baginda.
Ayat 27: Gadis itu cadangkan kerja sahaja, tapi bapanya itu tawarkan perkahwinan pula. Mari kita lihat kenapa.
قالَ إِنّي أُريدُ أَن أُنكِحَكَ إِحدَى ابنَتَيَّ هٰتَينِ عَلىٰ أَن تَأجُرَني ثَمٰنِيَ حِجَجٍ ۖ فَإِن أَتمَمتَ عَشرًا فَمِن عِندِكَ ۖ وَما أُريدُ أَن أَشُقَّ عَلَيكَ ۚ سَتَجِدُني إِن شاءَ اللهُ مِنَ الصّٰلِحينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
He said, “Indeed, I wish to wed you one of these, my two daughters, on [the condition] that you serve me for eight years; but if you complete ten, it will be [as a favor] from you. And I do not wish to put you in difficulty. You will find me, if Allāh wills, from among the righteous.”
(MELAYU)
Berkatalah dia (Syu’aib): “Sesungguhnya aku bermaksud menikahkan kamu dengan salah seorang dari kedua anakku ini, atas dasar bahawa kamu bekerja denganku lapan tahun dan jika kamu cukupkan sepuluh tahun maka itu adalah (suatu kebaikan) dari kamu, maka aku tidak hendak memberati kamu. Dan kamu Insya Allah akan mendapatiku termasuk orang-orang yang baik”.
قالَ إِنّي أُريدُ أَن أُنكِحَكَ إِحدَى ابنَتَيَّ هٰتَينِ
Berkatalah dia: “Sesungguhnya aku bermaksud menikahkan kamu dengan salah seorang dari kedua anakku ini,
Lelaki itu menawarkan untuk mengahwinkan salah seorang daripada dua anaknya itu kepada Nabi Musa. Mungkin salah seorang daripada anaknya itu sudah jatuh hati kepada Nabi Musa dan ayah ini dapat membaca perasaan anaknya itu. Sebab itu dia beriya-iya menganjurkan ayahnya ambil Nabi Musa bekerja dengan mereka.
Jadi ini mengajar kita yang bapa anak gadis boleh menawarkan anaknya atau mencari pasangan lelaki untuk anaknya. Maka tidaklah perlu sampai anaknya itu menjadi andartu kalau tiada orang meminang. Kalau anaknya sudah cukup umur, ayah boleh cari pasangan untuk anak.
Maka kalau kita ada anak gadis bolehlah kita tengok-tengok lelaki yang kita boleh percayai dan kita kenal mereka dan tahu kedudukan agama mereka, maka bolehlah kita tawarkan anak kita kepada lelaki itu. Tidak ada kerendahan pada perkara ini kerana ianya ada disebut di dalam Al-Qur’an.
Tambahan pula zaman sekarang memang sukar untuk mencari lelaki yang baik, maka bapa anak-anak perempuan kena menjalankan peranan mereka. Jangan biarkan sahaja anak perempuan cari sendiri. Entah siapa yang dicarinya nanti.
Dan apa yang dilakukan oleh bapa ini memang praktikal kerana dia hendak mengajak Nabi Musa sebagai pekerjanya dan tentulah Nabi Musa akan selalu berada di sekeliling anak-anaknya dan kalau tidak berkahwin maka akan menjadi masalah. Jadi lelaki ini memang seorang yang bijak.
Kita telah sebut yang bapa itu dapat membaca perasaan anaknya yang sudah minat kepada Nabi Musa dan ini mengajar kita yang seorang gadis boleh menggunakan isyarat untuk memberitahu yang dia minat kepada seseorang. Dan seorang bapa apabila anak-anak perempuannya memberi isyarat maka dengarlah dengan hati yang terbuka.
Sebagai contoh, cakaplah kepada ayah begini: “ayah, ayah… ada seorang pemuda di kolej saya sedap kalau dia bagi ceramah… ayah! Apa kata ayah datang tengok dia?” Bila anak sudah cakap macam itu, faham-faham sahajalah wahai bapa.
عَلىٰ أَن تَأجُرَني ثَمٰنِيَ حِجَجٍ
atas dasar bahawa kamu bekerja denganku lapan tahun
Dan balasan untuk berkahwin dengan anaknya adalah bekerja selama lapan tahun dengannya. Itulah mahrnya. Tapi bukanlah kena bekerja lapan tahun baru boleh berkahwin. Maknanya Nabi Musa akan berkahwin dengan gadis itu terus dan baginda akan bekerja selama 8 tahun dengan mereka.
Dan kalau kita ambil pendapat yang lelaki ini adalah Nabi Syu’aib, maka dalam masa lapan tahun itu Nabi Musa dapat belajar agama dengannya. Mengambil dari masa lapan tahun inilah maka pengajian madrasah di Pakistan memilih waktu pembelajaran untuk jadi alim selama lapan tahun. Dan kalau mahu buat pengkhususan maka tambah dua tahun lagi seperti juga dalam ayat ini.
Dan kerana Nabi Musa lari daripada Negeri Mesir maka lapan tahun adalah masa yang sesuai untuk baginda dilupakan oleh orang-orang Mesir. Supaya orang Mesir lupa tentang baginda dan bolehlah kalau baginda nak pulang nanti apabila keadaan sudah tenang nanti.
Maka rancangan ini adalah rancangan yang terbaik untuk semua pihak kerana lelaki tua itu mendapat pekerja yang baik dan dapat mengahwinkan anak perempuannya dan Nabi Musa dapat tempat tinggal, tempat kerja, tempat perlindungan yang selamat dari Mesir dan wanita itu mendapat suami yang baik.
Jadi ini mengajar kita yang jikalau bapa mertua ataupun bakal bapa mertua menawarkan kerja kepada kita janganlah malu untuk terima kerana ini ada di dalam Al-Qur’an. Jangan malu untuk terima. Dan jangan kutuk lelaki yang kerja dengan bapa mertua atau kerja di syarikat bapa mertua.
Satu lagi yang menarik adalah penggunaan kalimah حِجَجٍ yang digunakan untuk merujuk kepada ‘tahun’. Ini merujuk kepada ibadah Haji ke Mekah. Kerana dia kira setiap tahun ada Haji. Maknanya mereka juga kenal ibadah Haji. Jadi Nabi Musa adalah Nabi kaum Yahudi maka mereka sepatutnya tahu adanya amalan Haji ke Kaabah. Tapi seperti yang kita tahu, puak Yahudi tidak buat Haji pun. Ini kerana mereka telah meninggalkan agama yang benar.
فَإِن أَتمَمتَ عَشرًا فَمِن عِندِكَ
dan jika kamu cukupkan sepuluh tahun maka itu adalah (suatu kebaikan) dari kamu,
Nabi Musa kena kerja selama lapan tahun tetapi kalau dapat cukupkan jadi 10 tahun itu lebih baik. Kira sebagai bonus.
Tentulah masa 8 ataupun 10 tahun itu adalah masa yang lama, maka bapa gadis itu memujuk Nabi Musa dengan mengatakan yang bukanlah dia hendak menyusahkan Nabi Musa. Dia tidaklah memaksa Nabi Musa untuk cukupkan juga 10 tahun. Ini menunjukkan yang lelaki itu pandai untuk negosiasi. Jadi apabila kita berurusan begitu, janganlah kita tunjuk sangat yang kita beriya.
Maka walaupun dia memang hendak mengahwinkan anaknya dengan Nabi Musa tetapi tidaklah dia letak harga yang murah. Kerana 8 tahun bukanlah masa yang sekejap, bukan?
Mungkin ada yang berhujah mengatakan para sahabat dulu letak mahr murah-murah sahaja tetapi kita kena tahu keadaan mereka yang memang tidak ada apa-apa kerana mereka menyerahkan seluruh harta dan diri mereka untuk agama.
Jadi kalau zaman sekarang janganlah perasan nak ikut keadaan zaman dulu. Lagi satu, adakah lelaki-lelaki kita sama seperti para sahabat itu? Maka berilah mahr yang ada harga.
Dan kita lihat bagaimana pada zaman Nabi Musa itu bukan harga yang diletakkan tetapi mungkin menjadi kebiasaan mahr itu boleh digunakan sebagai jangka masa bekerja dengan seseorang. Ini ikut keadaan semasa. Ada ketika zaman Nabi, mahr adalah cincin besi sahaja dan ada waktu mahr adalah mengajar ayat Al-Qur’an kepada isteri.
Dan jangan kita rasa yang ayah dia itu mengambil kesempatan ke atas Nabi Musa kerana bukannya Nabi Musa tidak dibayar gaji tetapi baginda mendapat kerja dan gaji, tempat tinggal dan juga isteri.
وَما أُريدُ أَن أَشُقَّ عَلَيكَ
dan aku tidaklah hendak memberati kamu.
Ayahnya itu berkata: “Kamu akan lihat yang aku seorang yang baik dan tidak akan ambil kesempatan terhadap kamu.” Ini penting kerana kadangkala ada orang ambil kesempatan apabila menantunya duduk bersama dengannya.
سَتَجِدُني إِن شاءَ اللهُ مِنَ الصّٰلِحينَ
Dan kamu Insya Allah akan mendapatiku termasuk orang-orang yang baik”.
Ayah itu memberitahu yang dia seorang yang baik dan Nabi Musa akan nampak perkara itu nanti.
Ayat 28: Apakah jawapan balas Nabi Musa?
قالَ ذٰلِكَ بَيني وَبَينَكَ ۖ أَيَّمَا الأَجَلَينِ قَضَيتُ فَلا عُدوٰنَ عَلَيَّ ۖ وَاللهُ عَلىٰ ما نَقولُ وَكيلٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[Moses] said, “That is [established] between me and you. Whichever of the two terms I complete – there is no injustice to me, and Allāh, over what we say, is Witness.”
(MELAYU)
Dia (Musa) berkata: “Itulah (perjanjian) antara aku dan kamu. Mana saja dari kedua waktu yang ditentukan itu aku sempurnakan, maka tidak ada tuntutan tambahan atas diriku (lagi). Dan Allah adalah saksi atas apa yang kita ucapkan”.
قالَ ذٰلِكَ بَيني وَبَينَكَ
Dia (Musa) berkata: “Itulah (perjanjian) antara aku dan kamu.
Nabi Musa bersetuju dengan tawaran lelaki tua itu; dan ini adalah satu-satunya kisah yang menceritakan tentang perkahwinan di dalam Al-Qur’an. Dan kita boleh lihat bagaimana perbincangan ini adalah antara bapa seorang gadis dan juga lelaki yang akan berkahwin kerana jikalau dia sudah boleh berkahwin, maka dia sudah sepatutnya boleh buat keputusan tentang terma-terma perkahwinannya sendiri.
Tapi kadang-kadang kita tengok perbincangan perkahwinan antara keluarga kedua-dua pasangan di negara ini dan banyak di tempat lain, amat memalukan kerana kadang-kadang berkelahi kerana ada yang tidak puas hati dengan wang yang ditawarkan. Macam nak jual anak pula kadang-kadang kita lihat.
Sepatutnya bakal suami itulah yang kena menentukan sama ada dia sanggup atau tidak dengan harga mahr yang ditetapkan kerana dia yang akan membayarnya nanti. Kadang-kadang kerana ibubapa yang bodoh tidak ada akhlak, meletakkan harga yang tinggi sampaikan anak-anak mereka memulakan kehidupan suami isteri dipenuhi dengan hutang yang sampai beranak pinak pun mereka tidak habis bayar.
Tengoklah bagaimana P. Ramlee pun sampai buat kisah Seniman Bujang Lapok. Dia buat sketsa tentang satu pasangan yang kerana mas kahwin tinggi sangat sampai kena pinjam dengan ceti. Sampai anak beranak pinak pun tetap dia masih menanggung bayar bunga ceti!
Zaman sekarang lelaki sampai terpaksa buat pinjaman peribadi dengan bank. Lepas tu bertahun kena bayar. Padahal yang jadi mahal hanya kerana emak dan makcik-makcik kepoh hendak buat kenduri besar-besaran, pakai baju hias-hiasan, panggil orang besar-besaran. Semua itu tidak perlu dan membazir sahaja. Tidak perlu kita kena ikut golongan artis yang berkahwin di hotel berbintang-bintang. Artis bukanlah golongan yang kita patut ikuti.
أَيَّمَا الأَجَلَينِ قَضَيتُ فَلا عُدوٰنَ عَلَيَّ
Mana saja dari kedua waktu yang ditentukan itu aku sempurnakan, maka tidak ada tuntutan tambahan atas diriku (lagi).
Dan antara dua tempoh yang telah ditawarkan itu, mana saja yang baginda lakukan, janganlah dijadikan sebagai sebab untuk menyalahkan baginda nanti. Tambahan dua tahun itu pun sebagai bonus sahaja.
Maknanya nanti terpulang kepada Nabi Musa sama ada hendak buat 8 tahun ataupun 10 tahun. Baginda tidak beri penetapan dan ini bijak bagi pihak Nabi Musa. Baginda boleh tengok keadaan di hujung tahun kelapan itu. Kalau baginda rasa sesuai, baginda akan tambah lagi dua tahun.
Ulama’ tafsir mengatakan yang Nabi Musa menyempurnakan tempoh kerja baginda dengan Nabi Syu’aib selama 10 tahun. Ini berdasarkan:
Imam Bukhari mengatakan, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Abdur Rahim, telah menceritakan kepada kami Sa’id ibnu Sulaiman, telah menceritakan kepada kami Marwan ibnu Syuja’, dari Salim Al-Aftas, dari Sa’id ibnu Jubair yang mengatakan bahawa dia pernah ditanya oleh seorang Yahudi Hirah, “Manakah di antara kedua masa itu yang diselesaikan oleh Musa?” Aku menjawab, “Tidak tahu”, hingga aku mendatangi orang Arab yang paling alim, dialah Ibnu Abbas r.a. Lalu aku bertanya kepadanya mengenai masalah ini, maka dia jawab, “Sesungguhnya Musa menunaikan masa yang paling sempurna di antara kedua masa itu, kerana sesungguhnya utusan Allah itu apabila berkata pasti menunaikannya.”
وَاللهُ عَلىٰ ما نَقولُ وَكيلٌ
Dan Allah adalah saksi atas apa yang kita ucapkan”.
Nabi Musa menyerahkan kepada Allah yang akan menguruskan perkara itu di antara mereka. Kerana sama ada mereka hidup sampai ke tahun kelapan itu pun belum tentu lagi kerana ianya di dalam tangan Allah. Allah sahaja yang boleh menentukan sama ada ia terjadi ataupun tidak.
Atau bermaksud baginda menjadikan Allah sebagai saksi perjanjian mereka itu. Maka ini adalah janji yang kuat kerana dipersaksikan oleh Allah.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 13 Ogos 2020
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Ayat 26…
Releven dgn zaman skarang sebagai panduan untuk mengambil pekerja.
Kuat yg di masud di sini bolih sama erti dgn kuat dgn ilmu dan kepandaian yg dia ada sesuai dgn kehedak tugas yg akan d pikul…
LikeLike