Tafsir Surah Hud Ayat 69 – 72 (Kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ)

NABI IBRAHIM عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ DILAWATI PARA MALAIKAT

Hud Ayat 69: Sekarang kita masuk kepada kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula. Ini adalah Dakwa kedua – tentang ilmu. Bermula ayat ini sehingga ayat 83 adalah Perenggan Makro ke 5 iaitu kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan juga Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

وَلَقَد جاءَت رُسُلُنا إِبرٰهيمَ بِالبُشرىٰ قالوا سَلٰمًا ۖ قالَ سَلٰمٌ ۖ فَما لَبِثَ أَن جاءَ بِعِجلٍ حَنيذٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And certainly did Our messengers [i.e., angels] come to Abraham with good tidings; they said, “Peace.” He said, “Peace,” and did not delay in bringing [them] a roasted calf.

(MALAY)

Dan sesungguhnya utusan-utusan Kami (malaikat-malaikat) telah datang kepada Ibrahim dengan membawa khabar gembira, mereka mengucapkan: “Selamat”. Ibrahim menjawab: “Selamatlah,” maka tidak lama kemudian Ibrahim menyuguhkan daging anak sapi yang dipanggang.

 

وَلَقَد جاءَت رُسُلُنا إِبرٰهيمَ بِالبُشرىٰ

Dan sesungguhnya utusan-utusan Kami (malaikat-malaikat) telah datang kepada Ibrahim dengan membawa khabar gembira, 

Permulaan kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini berlainan dengan kisah Nabi-nabi sebelum ini:

    1. وَلَقَد أَرسَلنا نوحًا إِلىٰ قَومِهِ (Dan Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya)
    2. وَإِلىٰ عادٍ أَخاهُم هودًا (Dan kepada Ad, (Kami utuskan) saudara mereka, Hud)
    3. وَإِلىٰ ثَمودَ أَخاهُم صٰلِحًا (Dan kepada Tsamud, (Kami utuskan) saudara mereka, Saleh)

Di dalam kisah tiga Nabi sebelum ini telah disebut mereka itu diutus kepada kaum mereka. Akan tetapi tidak diberitakan dengan cara yang sama tentang Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini adalah kerana Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak mempunyai tempat tetap dan juga umat yang khusus kepada baginda kerana baginda berpindah banyak tempat.

Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lahir dan membesar di bumi Iraq. Kemudian baginda telah hijrah ke Palestin. Baginda turut menziarahi bumi Mesir, dan di sinilah berlakunya peristiwa Sarah di’rampas’ oleh Raja Mesir dalam Hadith Bukhari dengan kisah yang panjang. Dengan ketakutan Raja tersebut, lantas menghadiahkan seorang hamba yang bernama Hajar kepada Sarah, lalu mereka pulang ke Palestin. Selepas kelahiran Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Allah ﷻ memerintahkan Baginda untuk berhijrah ke bumi Hijjaz (Mekah). Al-Qur’an merekodkan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkunjung ke Mekah hanya beberapa kali sahaja melalui plot yang bersejarah: iaitu ketika Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ masih bayi, kemudian ketika Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah berkahwin, kemudian membina Ka’bah dan terakhir ketika peristiwa penyembelihan Qurban.

Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah tokoh yang besar dalam kalangan para Nabi maka nama baginda ada juga dalam kisah ini – walaupun sebenarnya kisah baginda pendek sahaja dalam perenggan ini, kerana kisah Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebenarnya yang hendak dibawa. Sebab utama adalah kerana mereka berdua ada kaitan yang rapat: Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah anak saudara Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan baginda telah mengikut Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berhijrah dari kampung asal mereka.

Dua malaikat (رُسُلُنا) telah datang kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam bentuk manusia. Ibnu Abbas رضي الله عنها pula mengatakan tiga malaikat iaitu Jibril, Mikail dan Israfil. Dari sini kita dapat tahu bahawa para malaikat juga digelar sebagai rasul. Maka ada rasul dalam kalangan manusia dan ada rasul dalam kalangan malaikat. Mereka datang kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan berita gembira – iaitu baginda akan mendapat anak lelaki yang bernama Ishaq. Malah bukan itu sahaja, baginda juga diberitahu yang baginda akan mendapat cucu yang bernama Ya’kub dan kedua anak dan cucu itu akan menjadi Nabi.

Apakah البُشرىٰ (berita gembira) yang dimaksudkan? Ia adalah pemberitahuan yang baginda akan mendapat anak dan cucu (yang kedua-duanya akan menjadi Nabi). Umur baginda telah lanjut akan tetapi baginda tidak pernah mendapat anak dengan isterinya yang bernama Sarah. Maka ini adalah berita yang amat besar kerana baginda pun tidak sangka yang baginda akan mendapat anak dengan umur yang sudah lanjut itu. Ia dinamakan البُشرىٰ kerana bagi orang beriman, mendapat anak yang soleh adalah berita yang amat besar. Kerana itulah orang beriman akan berdoa seperti disebut di dalam Furqan: 74

وَالَّذينَ يَقولونَ رَبَّنا هَب لَنا مِن أَزوٰجِنا وَذُرِّيّٰتِنا قُرَّةَ أَعيُنٍ وَاجعَلنا لِلمُتَّقينَ إِمامًا
Dan orang orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa.

Kalimah قُرَّةَ أَعيُنٍ (penyejuk mata) bermaksud anak yang soleh kerana kepada mereka lah yang kita berharap akan menjadi saham bagi kita apabila kita sudah tiada nanti. Maka bayangkanlah betapa besar berita البُشرىٰ yang diberikan kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini. Baginda sebenarnya sudah mempunyai anak bersama isterinya yang bernama Hajar (bekas hamba pemberian daripada Namrud) iaitu ibu kepada Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Akan tetapi Allah ﷻ mahu mengurniakan seorang lagi anak kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersama isterinya Sarah.

Alangkah hebatnya hidup ini jikalau kita diberikan dengan anak-anak yang soleh. Bayangkan jikalau kita dapat melihat anak kita membuka dan membaca Al-Qur’an tanpa kita suruh dan paksa mereka. Akan tetapi bagaimanakah cara untuk mendapat anak yang soleh ini? Kita sendiri terlebih dahulu mestilah menjadi orang yang soleh. Pernah bapa Abu Hanifah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ ditanya bagaimana beliau mendidik anaknya sehingga menjadi seorang ulama’ yang besar? Beliau menjawab, sebelum beliau mendidik anaknya, beliau telah mendidik dirinya sendiri terlebih dahulu.

 

قالوا سَلٰمًا

mereka mengucapkan: “Selamat”.

Mereka datang mengunjungi Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan mengucap salam. Maka beri salam adalah sunnah yang amat besar kerana para malaikat pun beri salam juga. Ucapan salam ini adalah ucapan yang diajar sendiri oleh Allah ﷻ kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di langit berdasarkan sebuah hadith daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi ﷺ bersabda:

خَـلَقَ اللَّهُ عَزَّ وجَلَّ آدَمَ علـى صُورَتِهِ طُولهُ سِتُّونَ ذِراعاً، فَلَـمَّا خَـلَقَهُ قال: اذْهَبْ فسَلِّـمْ علـى أولئِكَ: نَفَرٍ مِنَ الـمَلائِكَةِ جُلُوسٍ فـاسْتَـمعْ ما يُحَيُّونَكَ فإنَّها تَـحِيَّتُكَ وتـحِيَّةُ ذُرِّيَّتِكَ، فقال: السَّلامُ عَلَـيْكُمْ، فقالوا: السَّلامُ عَلَـيْكَ وَرَحْمَةُ اللَّهِ فَزَادُوهُ: وَرَحمَةُ اللَّهِ
“Telah Allah عَزَّ وجَلَّ mencipta Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan ciri-cirinya iaitu dengan tingginya 60 hasta. Setelah Allah ﷻ menciptanya, Allah ﷻ berfirman: Pergilah dan ucapkanlah salam kepada malaikat yang duduk itu dan dengarkan baik-baik bacaan salam mereka kepadamu kerana itu adalah sebagai salam penghormatan dan juga anak cucu keturunanmu. Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengucapkan “السَّلامُ عَلَـيْكُمْ”, lalu para malaikat berkata: “السَّلامُ عَلَـيْكَ وَرَحْمَةُ اللَّهِ”. Para malaikat telah menambah (وَرَحْمَةُ اللَّهِ)”.
(Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 5759 dan Riwayat Muslim, no. Hadith 5075)

Banyak hadith-hadith yang menyebut tentang kelebihan salam ini, antaranya riwayat daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash رضي الله عنهما berkata:

أنَّ رجلًا سأَل النبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم : أيُّ الإسلامِ خيرٌ ؟ قال : ( تُطعِمُ الطعامَ، وتَقرَأُ السلامَ، على مَن عرَفتَ، وعلى مَن لم تَعرِفْ )
“Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah ﷺ: Islam manakah yang paling baik? Nabi ﷺ bersabda: “Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal”.
(Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 11, 27, 5767 dan di dalam Riwayat Muslim, no. Hadith 56)

 

قالَ سَلٰمٌ

Ibrahim menjawab: “Selamatlah,”

Dalam menyebut salam ini seolah mereka beri salam dengan سَلٰمًا dan jawab pula dengan سَلٰمٌ. Tidaklah begitu. Tentulah mereka menyebut salam dengan penuh. Cuma diberitahu mereka memberi ‘salam’. Sebagaimana kita kata ‘takbir’ itu maksudnya adalah Allahu Akbar dan ‘tasbih’ adalah Subhanallah. Maka ‘salam’ itu merujuk kepada kalimat Assalamualaikum.

Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjawab salam mereka sebagaimana adab orang Islam. Memberi salam adalah sunat dan menjawab salam adalah wajib. Dengan ini terbuktilah bahawasanya sejak zaman dahulukala, zaman Nabi-nabi dan Rasul Allah, ucapan salam, selamat sejahtera, damai dan selamat dan bahagia ini telah terpakai.

Akan tetapi jawapan balas salam mestilah lebih lagi daripada salam yang diberikan atau sekurang-kurangnya sama dengan ucapan salam yang diberikan. Ini disebut dalam Nisa’: 86

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا
“Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”.

Daripada ayat ini kita tahu wajib untuk menjawab salam dan salam kita itu hendaklah lebih baik lagi daripada orang yang memberi salam itu. Semakin panjang ucapan salam itu, semakin banyak pahala seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ عِمْرَانَ بْنِ حُصَيْنٍ قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ: السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ فَرَدَّ عَلَيْهِ السَّلاَمَ ثُمَّ جَلَسَ فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم: عَشْرٌ ثُمَّ جَاءَ آخَرُ فَقَالَ: السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ فَرَدَّ عَلَيْهِ فَجَلَسَ فَقَالَ: عِشْرُونَ ثُمَّ جَاءَ آخَرُ فَقَالَ: السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ فَرَدَّ عَلَيْهِ فَجَلَسَ فَقَالَ: ثَلاَثُونَ
Daripada Imran bin Hushain, dia berkata, “Ada seorang laki-laki datang kepada Nabi ﷺ, lalu dia berkata, “Assalamu’alaikum.” Baginda menjawab salamnya. Kemudian dia duduk, lalu Nabi ﷺ bersabda, “Sepuluh.” Kemudian datang lagi seorang laki-laki lain dan berkata, “Assalamua’alaikum warahmatullah.” Lalu baginda menjawab salamnya. Kemudian dia duduk, baginda pun bersabda, “Dua puluh.” Kemudian datang lagi orang lain dan berkata, “Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.” Lalu baginda menjawab salamnya, dia pun duduk, lalu baginda bersabda, “Tiga puluh.”
(Riwayat Abu Daud (5195) dan At-Tirmidzi (2689))
Status: Sahih atau Hasan

Akan tetapi jika kita mengejar pahala salam yang banyak dan memberi salam yang panjang, maka takut orang yang menjawab itu pendek pula. Maka ada baiknya kita beri salam pendek sahaja supaya orang yang menjawab itu boleh jawab lebih panjang daripada kita.

Bagaimana kita tahu yang Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ jawab salam itu lebih lagi? Kita boleh lihat kalimah yang digunakan untuk salam malaikat adalah سَلامًا dan jawapan daripada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah سَلٰمٌ. Kalimah سَلامًا di dalam bentuk fi’liyah (katakerja) iaitu di dalam bentuk maf’ul sedangkan kalimah سَلٰمٌ adalah dalam bentuk ismiah (katanama). Bentuk ismiah adalah lebih tinggi lagi daripada bentuk fi’liyah.

Di dalam ayat ini Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjawab salam kepada orang yang tidak dikenalinya kerana baginda tidak kenal yang datang kepada baginda itu adalah para malaikat. Baginda tidak pernah lihat mereka maka tentunya bukan daripada penduduk setempat. Namun baginda menjawab salam mereka dan menghormati kedatangan mereka. Maka ini mengajar kepada kita bahawa beri salam itu hendaklah diberikan kepada semua orang, sama ada dikenali ataupun tidak.

Salah satu kekurangan orang kita adalah hanya beri salam kepada orang yang kita kenal saja dan kalau orang tidak yang tidak dikenali, selalunya kita hanya melihat saja mereka tanpa berkata apa-apa sedangkan kita tahu bahawa orang itu memang seorang muslim. Perhatikan sebuah hadith tentang perkara ini, riwayat daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

إِنَّ مِنْ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ أَنْ يُسَلِّمَ الرَّجُلُ عَلَى الرَّجُلِ، لَا يُسَلِّمُ عَلَيْهِ إِلَّا لِلْمَعْرِفَةِ
“Di antara tanda-tanda Kiamat adalah apabila seseorang itu memberi salam ke atas seseorang yang lain dan tidak diberikan salam ke atas seseorang itu melainkan kepada orang yang dikenalinya sahaja.”
(Riwayat Ahmad (3848))
Syeikh Syua’ai al-Arna’outh رَحِمَهُ اللَّهُ menilai hadith ini adalah hasan

 

فَما لَبِثَ أَن جاءَ بِعِجلٍ حَنيذٍ

maka tidak lama kemudian Ibrahim menghidangkan daging anak lembu yang dipanggang.

Daripada kalimat فَما لَبِثَ yang digunakan dalam ayat ini, ia memberitahu kepada kita, yang tidak lama mereka berada di situ, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah menyediakan daging panggang untuk menjamu tetamu baginda. Lihatlah bagaimana beradab sekali Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melayan tetamu baginda. Waktu itu baginda tidak tahu yang mereka para malaikat, maka baginda layan seperti manusia biasa. Rasulullah ﷺ bersabda tentang memuliakan tetamu,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ جَارَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] daripada Rasulullah ﷺ, baginda bersabda: “Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah dia mengucapkan perkataan yang baik atau diam. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir maka hendaklah dia memuliakan tetangganya. Dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhir maka hendaklah dia memuliakan tamunya.”
(Sahih Bukhari (67))

Memang sampai ke zaman kita sekarang ini pun anak lembu yang masih kecil di bawah usia setahun sangat enak jika dipanggang. Itulah hidangan yang dihidangkan oleh Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada tetamu itu. Telah tersebut di dalam kitab-kitab Tafsir bahawa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu setelah menetap di Jerusalem, sangatlah kayanya dengan binatang ternak. Baginda senang sekali jikalau ada tetamu yang akan bersama menghadapi hidangan baginda dan akan muram durja hatinya jikalau hidangannya tidak disertai oleh tetamu. Qurtubi رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan yang baginda yang memulakan budaya memuliakan tetamu dan tiba waktu makan, baginda akan keluar mencari orang yang akan bersamanya.

Kalimah لَبِثَ daripada katadasar ل ب ث yang bermaksud kelewatan; berlama-lama; tinggal; kekal di suatu tempat. Maka ia bermaksud tanpa lengah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah menyediakan makanan kepada tetamunya itu. Tidaklah baginda bersembang lama dengan mereka dengan bertanya datang dari mana, anak siapa, apa tujuan datang dan sebagainya. Sebaliknya baginda terus mengarahkan isterinya untuk menyediakan makanan. Maka ini mengajar kepada kita adab untuk tidak membiarkan tetamu kita kelaparan.

Di dalam ayat ini disebut baginda memberikan mereka عِجلٍ حَنيذٍ (daging anak lembu yang dipanggang) iaitu makanan yang paling sedap. Di dalam ayat Dzariyat: 26 disebut lain pula,

فَراغَ إِلىٰ أَهلِهِ فَجاءَ بِعِجلٍ سَمينٍ
Maka dia pergi dengan diam-diam menemui keluarganya, kemudian dibawanya daging anak lembu gemuk.

Dari sini kita dapat tahu bahawa daging itu bukan sahaja dipanggang (sedapnya) akan tetapi ia adalah daging jenis yang gemuk itu yang terbaik yang baginda dapat berikan kepada mereka. Ini mengajar kita untuk menjamu tetamu kita dengan makanan yang terbaik yang ada pada kita.


 

Hud Ayat 70:

فَلَمّا رَءا أَيدِيَهُم لا تَصِلُ إِلَيهِ نَكِرَهُم وَأَوجَسَ مِنهُم خيفَةً ۚ قالوا لا تَخَف إِنّا أُرسِلنا إِلىٰ قَومِ لوطٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But when he saw their hands not reaching for it, he distrusted them and felt from them apprehension.¹ They said, “Fear not. We have been sent to the people of Lot.”

  • Traditionally, if a guest refused to eat, it meant that he harbored ill will toward the host or intended him harm.

(MALAY)

Maka tatkala dilihatnya tangan mereka tidak menjamahnya, Ibrahim memandang aneh perbuatan mereka, dan merasa takut kepada mereka. Malaikat itu berkata: “Jangan kamu takut, sesungguhnya kami adalah (malaikat-malaikat) yang diutus kepada kaum Luth”.

 

فَلَمّا رَءا أَيدِيَهُم لا تَصِلُ إِلَيهِ

Maka tatkala dilihatnya tangan mereka tidak menjamahnya,

Apabila Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menghidangkan mereka dengan daging panggang, baginda perasan yang tangan mereka tidak menyentuh langsung makanan yang disediakan. Sudah tentu mereka tidak makan kerana malaikat tidak memakan makanan manusia.

Di sini juga mengajar kita adab tetamu iaitu apabila tuan rumah sudah menyediakan makanan maka hendaklah kita makan. Kalau kita tidak makan banyak pun sekurang-kurangnya hendaklah kita menjamah makanan itu untuk menggembirakan hati tuan rumah. Begitulah juga jikalau makanan yang disediakan itu tidak kena dengan selera kita tetapi tetaplah kita jamah sedikit.

Ini juga mengajar kita adab tuan rumah iaitu bukan setakat menyediakan makanan sahaja akan tetapi hendaklah juga memerhatikan tetamu itu makan ataupun tidak dan menjemput mereka untuk makan kalau mereka sebelum memulakan makan kerana mungkin juga tetamu itu segan untuk memulakan makan sebelum kita menjemputnya.

 

نَكِرَهُم وَأَوجَسَ مِنهُم خيفَةً

Nabi Ibrahim memandang aneh perbuatan mereka, dan merasa takut kepada mereka. 

Apabila mereka tidak menjamah makanan yang diberikan, ia telah menyebabkan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berasa pelik dengan sikap mereka. Kalimah daripada katadasar ن ك ر yang bermaksud tidak suka; tidak kenal; menafikan; tidak bersetuju dengan lidah; menjadi keras; sukar; berasa jijik terhadap sesuatu; membuat pertuduhan; dahsyat; mengerikan; orang yang menafikan fakta; paling tidak senonoh dan palsu. Di sini digunakan maksud tidak mengenali. Selalunya katadasar ini digunakan untuk kalimah ‘mungkar’ iaitu sesuatu yang buruk dan tidak dikenali sebagai baik.

Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kehairanan kenapa mereka tidak makan kerana baginda telah bersusah payah menjamu mereka dengan makanan yang sedap. Baginda tertanya-tanya sebab mereka masuk ke rumah dengan mengucapkan salam, dan baginda pun telah menyambut salam itu dengan baik; tandanya mereka bukan musuh.

Dalam masa yang sama timbul perasaan takut dalam hati baginda. Kalimah أَوْجَسَ daripada katadasar و ج س yang bermaksud untuk berasa bimbang tentang sesuatu; takutkan sesuatu; perasaan di dalam fikiran (ketakutan dan/atau syak wasangka). Oleh itu perkataan أَوْجَسَ bermaksud perasaan yang disimpan, tidak ditunjukkan. Kenapa baginda takut? Menurut riwayat daripada Qadatah رَحِمَهُ اللَّهُ:

“Menurut adat istiadat orang Arab sejak zaman purbakala, bila tamu datang dihidangi makanan, maka dia pun makan. Itu adalah alamat yang baik. Itu adalah petanda bahawa tetamu datang dengan baik dan dengan maksud baik. Tetapi jika mereka tidak mahu makan itu adalah alamat yang sangat tidak baik. Mungkin tamu itu musuh atau orang yang akan membahayakan. Ini kerana para pembunuh zaman itu beradab juga iaitu jikalau mereka datang untuk membunuh, mereka tidak akan makan makanan daripada orang yang akan dibunuhnya”.

Dari ini, tsabitlah yang Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak tahu perkara ghaib kerana jikalau baginda tahu perkara ghaib, tentu baginda telah kenal yang itu adalah malaikat dan baginda boleh baca hati mereka. Akan tetapi walaupun baginda itu seorang Nabi, namun tidaklah Nabi mengetahui perkara ghaib, termasuklah juga Nabi Muhammad ﷺ .

 

قالوا لا تَخَف إِنّا أُرسِلنا إِلىٰ قَومِ لوطٍ

Malaikat itu berkata: “Jangan kamu takut, sesungguhnya kami adalah (malaikat-malaikat) yang diutus kepada kaum Luth”.

Malaikat dapat tahu yang Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam ketakutan, maka mereka beritahu baginda, janganlah takut. Mereka beritahu yang mereka itu sebenarnya adalah malaikat. Tujuan mereka datang adalah diutus untuk menghancurkan kaum Luth. Iaitu penduduk dari dua buah kampung yang terkenal, iaitu Sadum (Sodom) dan Gamurrah. Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu seperti yang telah diberitahu adalah anak saudara Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Ini juga sebenarnya adalah berita gembira yang kedua selepas diberitahu dengan berita gembira tentang kelahiran anak dan cucu baginda. Ini adalah kerana apabila manusia yang zalim dan berdosa dihapuskan dari muka bumi, ia adalah satu berita yang baik kepada orang mukmin.

Tujuan mereka ke sana adalah untuk menghancurkan umat Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Mereka yang dalam perjalanan ke sana telah singgah berjumpa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk menyampaikan berita gembira tentang anak baginda kepada baginda. Ini adalah sebagai penghormatan kepada baginda kerana baginda dianggap sebagai ketua di tempat itu dan juga kerana Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu adalah anak saudara baginda. Jarak tempat tinggal mereka berdua hanyalah dalam 10 batu sahaja.


 

BERITA GEMBIRA KEPADA SARAH

Hud Ayat 71:

وَامرَأَتُهُ قائِمَةٌ فَضَحِكَت فَبَشَّرنٰها بِإِسحٰقَ وَمِن وَراءِ إِسحٰقَ يَعقوبَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And his wife was standing, and she smiled.¹ Then We gave her good tidings of Isaac and after Isaac, Jacob.

  • In pleasure at the news of the forthcoming punishment of the evil people who denied Prophet Lot (upon him be peace).

(MALAY)

Dan isterinya berdiri (dibalik tirai) lalu dia tersenyum, maka Kami sampaikan kepadanya berita gembira tentang (kelahiran) Ishak dan dari Ishak (akan lahir puteranya) Ya’qub.

 

وَامرَأَتُهُ قائِمَةٌ فَضَحِكَت

Dan isterinya berdiri lalu tersenyum,

Isteri Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ asalnya duduk di dapur, tetapi apabila beliau mendengar tentang berita gembira yang mereka bakal mendapat anak, beliau telah keluar. Isteri yang dimaksudkan adalah Sarah. Beliau tersenyum kerana lega setelah mendapat tahu keluarganya tidak akan dikenakan dengan apa-apa bahaya.

Ada juga yang mengatakan, Sarah tertawa kerana mendapat berita gembira tentang apa yang akan dikenakan kepada Kaum Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini kerana kaum itu telah melakukan dosa-dosa yang besar. Memang kehancuran kaum yang berbuat dosa tidak ditangisi seperti disebut dalam Dukhan: 29

فَما بَكَت عَلَيهِمُ السَّماءُ وَالأَرضُ وَما كانوا مُنظَرينَ
Mereka (ketika dibinasakan) itu tidak ditangisi oleh langit dan bumi (atau penduduk keduanya) dan mereka pula tidak diberi tempoh lagi.

Sedangkan kematian orang yang baik, ditangisi. Seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ جَابِرٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اهْتَزَّ عَرْشُ الرَّحْمَنِ عَزَّ وَجَلَّ لِمَوْتِ سَعْدِ بْنِ مُعَاذٍ
Daripada [Jabir] dia berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “‘Arsy Ar Rahman ‘azza wajalla bergetar kerana kematian Sa’d bin Mu’adz.”
(Sahih Bukhari (154))

Tidaklah molek seorang perempuan tua tertawa sedemikian, padahal tetamu sedang berbual mesra dengan suaminya, bukan dengan dirinya sendiri. Maka apa sebenarnya yang berlaku? Menurut Tafsir daripada Ibnu Abbas dan Mujahid dan lkrimah, Sarah tertawa bukan kerana mentertawakan tetamunya atau suaminya, tetapi mentertawakan dirinya sendiri, sebab di saat beliau berdiri itu beliau merasakan hangatnya darah haidnya yang keluar, setelah berpuluh tahun berhenti. Ertinya menurut tafsir Ibnu Abbas itu, dapat diambil kesimpulan, sekiranya seseorang yang telah lanjut usia itu telah berhaid kembali, maka suatu hal yang ganjil akan terjadi.

 

فَبَشَّرنٰها بِإِسحٰقَ

maka Kami sampaikan kepadanya berita gembira tentang (kelahiran) Ishak

Sarah berdiri kehairanan lalu tersenyum apabila mendengar berita beliau bakal dikurniakn seorang anak. Nama anak itu adalah Ishak. Pada waktu ini, Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah lahir kerana Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ merupakan anak kepada isteri Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang lain, Hajar.

Di dalam ayat ini digunakan فَبَشَّرنٰها yang bermaksud berita gembira itu diberikan kepada seorang wanita (Sarah). Ini kerana Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah mempunyai anak, maka berita gembira ini lebih kepada Sarah isterinya kerana Sarah yang belum pernah mempunyai anak.

Allah ﷻ telah memberikan sendiri nama anak Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, iaitu Ishak. Waktu itu mereka belum mempunyai anak lagi tetapi nama untuk anak itu mereka sudah ada. Maka ini mengajar kita boleh memilih nama anak sebelum mereka lahir lagi, tidak ada masalah. Akan tetapi pilihlah nama-nama yang baik. Kalau tidak ada makna pun tidak mengapa, asalkan jangan nama-nama yang buruk (mengandungi maksud yang buruk). Kalau nama yang mudah dan ringkas pun lagi senang, tidak perlu dicari nama pelik-pelik kemudian tanya ustaz apa maknanya. Pening ustaz pula untuk mencari maksudnya. Juga tidak perlu diberi nama yang panjang-panjang, nama pendek seperti Ishak, Ismail, Ya’kub pun sudah bagus.

 

وَمِن وَراءِ إِسحٰقَ يَعقوبَ

dan dari Ishak (akan lahir puteranya) Ya’qub.

Selepas disebut Nabi Ishak عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diberitahu yang baginda akan memperolehi cucu pula yang bernama Ya’qub. Ini menunjukkan bahawa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sempat mendapat cucu semasa baginda hidup lagi. Ternyata baginda mendapat dua berita gembira dalam satu masa.


 

Hud Ayat 72: Ini adalah kata-kata Sarah selepas beliau mendapat berita daripada malaikat yang beliau akan mengandung dan akan melahirkan anak.

قالَت يٰوَيلَتىٰ ءَأَلِدُ وَأَناْ عَجوزٌ وَهٰذا بَعلي شَيخًا ۖ إِنَّ هٰذا لَشَيءٌ عَجيبٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

She said, “Woe to me!¹ Shall I give birth while I am an old woman and this, my husband, is an old man? Indeed, this is an amazing thing!”

  • An expression of surprise and amazement.

(MALAY)

Isterinya berkata: “Sungguh menghairankan, apakah aku akan melahirkan anak padahal aku adalah seorang perempuan tua, dan ini suamiku pun dalam keadaan yang sudah tua pula? Sesungguhnya ini benar-benar suatu yang sangat aneh”.

 

قالَت يٰوَيلَتىٰ ءأَلِدُ وَأَناْ عَجوزٌ

Isterinya berkata: “Aduhai menghairankan, apakah aku akan melahirkan anak padahal aku adalah seorang perempuan uzur, 

Sarah amat terkejut apabila mendapat berita yang beliau akan melahirkan anak. Ini adalah kerana umurnya waktu itu sudah tua. Waktu itu dikatakan yang usia beliau adalah 70 tahun. Jika diikut akal logik, usia sebegitu bukanlah usia yang mampu untuk hamil dan melahirkan lagi.

 

وَهٰذا بَعلي شَيخًا

dan ini suamiku pun dalam keadaan yang sudah tua pula?

Bukan sahaja beliau sudah tua, malah suaminya iaitu Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga sudah tua. Ada riwayat yang mengatakan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ waktu itu berumur 120 tahun. Sarah sebagai isteri Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukanlah tidak percaya bahawa Allah ﷻ boleh sahaja berbuat sekehendak-Nya tetapi orang beriman yang bagaimana jua pun akan tetap memandang bahawa ini adalah suatu hal yang ajaib, yang mencengangkan.

 

إِنَّ هٰذا لَشَيءٌ عَجيبٌ

Sesungguhnya ini benar-benar suatu yang sangat aneh”.

Sarah mengatakan yang ini adalah perkara yang amat luar biasa kerana umur mereka berdua sudah melebihi umur normal untuk mendapatkan anak. Selama mereka bernikah, Sarah tidak pernah melahirkan anak lagi.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 21 Ogos 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment