Tafsir Surah Hud Ayat 47 – 49 (Bersabar dalam dakwah)

Hud Ayat 47: Setelah teguran daripada Allah ‎ﷻ itu, inilah tindak balas Nabi Nuh عليه السلام. Nabi Nuh.

قالَ رَبِّ إِنّي أَعُوذُ بِكَ أَن أَسئَلَكَ مَا لَيسَ لِي بِهِ عِلمٌ ۖ وَإِلّا تَغفِر لِي وَتَرحَمنِي أَكُن مِّنَ الخٰسِرِينَ

Sahih International

[Noah] said, “My Lord, I seek refuge in You from asking that of which I have no knowledge. And unless You forgive me and have mercy upon me, I will be among the losers.”

Malay

Nabi Nuh berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada memohon sesuatu yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku, dan memberi rahmat kepadaku, nescaya menjadilah aku daripada orang-orang yang rugi”.

 

قَالَ رَبِّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ

Nabi Nuh berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu

Nabi Nuh عليه السلام telah sedar kesalahan baginda. Maka baginda meminta ampun kepada Allah ﷻ. Nabi Nuh عليه السلام berdoa agar baginda tidak akan mengulangi kesalahannya itu lagi. Baginda memohon supaya Allah ﷻ memberi petunjuk kepadanya. Inilah tanda orang yang baik – kalau telah buat salah maka mengaku sahaja. Mungkin dulu tidak tahu, tetapi apabila sudah tahu, maka mengaku dan minta ampun.

Selepas ditegur, terus baginda meminta ampun dan meminta rahmat daripada Allah ﷻ. Bukannya baginda berhujah lagi. Begitulah kita juga bila ditegur kesalahan, hendaklah mengaku kesalahan dan jangan beri hujah lagi untuk mempertahankan diri kita. Kalau salah, mengaku sahaja salah.

Lihatlah di sini Nabi Nuh عليه السلام tidaklah berkata yang baginda ‘tidak akan buat lagi’ kesalahan itu tetapi baginda minta tolong daripada Allah ﷻ. Ini kerana baginda tahu kelemahan diri baginda sebagai seorang manusia. Maka baginda menyerahkan diri baginda kepada Allah ﷻ dan meletakkan diri baginda di bawah pengawalan-Nya. Ini kerana tidaklah ada daya dan upaya kita ini untuk taat kepada perintah dan larangan Allah ﷻ melainkan dengan kuasa-Nya juga. Kerana itu kita kena ingatkan diri kita dengan doa/zikir:

لَا ‌حَوْلَ ‌وَلَا ‌قُوَّةَ ‌إِلَّا ‌بِاللهِ
tiada daya dan upaya melainkan dengan bantuan Allah

 

أَنْ أَسْئَلَكَ مَا لَيْسَ لِي بِهِ عِلْمٌ

daripada memohon kepada-Mu yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya;

Selepas ditegur, Nabi Nuh عليه السلام terus menerima teguran itu. Baginda berjanji tidak akan berdoa perkara yang baginda tidak tahu. Baginda telah sedar kesalahannya itu dan terus meminta ampun. Walaupun baginda asalnya bertanya sahaja, bukanlah hendak mempersoalkan perbuatan Allah ﷻ. Sepertimana Nabi Adam عليه السلام juga, apabila telah melakukan kesalahan, terus sahaja Nabi Adam عليه السلام meminta ampun kepada Allah ﷻ.

 

وَإِلَّا تَغْفِرْ لِي

dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku,

Nabi Nuh عليه السلام tahu yang baginda telah membuat salah lalu terus sahaja meminta ampun. Nabi Nuh عليه السلام amat mengharapkan pengampunan daripada Allah ﷻ. Baginda tahu nasibnya malang sekali jikalau Allah ﷻ tidak ampunkan dosa. Maka kita pun dalam istighfar, mestilah berharap sungguh-sungguh dengan pengampunan daripada Allah ﷻ.

Begitulah sikap permohonan seorang Rasul kepada Tuhannya. Dalam kekhilafan yang sedikit pun, mereka tetap memohon ampun. Ini kerana baginda sedar sebanyak mana pun kebajikan yang diperbuat, belum tentu sepadan dengan nikmat yang dilimpahkan Tuhan. Sebab itulah maka orang yang soleh dan berbuat baik terus-menerus, dan kemudian terus-menerus pula mereka memohon ampun.

Begitulah kita kena takut jikalau sedar kita ada dosa dan sudah tentu sebagai hamba biasa kita tidak akan sunyi daripada dosa. Kita kena pandang dosa kita sebagai besar dan menakutkan, jangan pandang enteng-enteng sahaja dosa kita itu. Inilah bezanya antara orang baik dan orang jahat seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْعُودٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الْمُؤْمِنَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَأَنَّهُ قَاعِدٌ تَحْتَ جَبَلٍ يَخَافُ أَنْ يَقَعَ عَلَيْهِ وَإِنَّ الْفَاجِرَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَذُبَابٍ مَرَّ عَلَى أَنْفِهِ فَقَالَ بِهِ هَكَذَا
Daripada Abdullah bin Mas’ud رضي الله عنه berkata, bahawa Nabi ﷺ bersabda, “Sesungguhnya seorang mukmin (ketika) dia melihat dosa-dosanya, adalah seperti (ketika) dia duduk di lereng sebuah gunung, dan dia sangat khuatir gunung itu akan menimpanya. Sedangkan seorang fajir (orang yang selalu berbuat dosa), ketika dia melihat dosa-dosanya adalah seperti dia melihat seekor lalat yang hinggap di batang hidungnya, kemudian dia mengusirnya seperti ini lalu terbang (dia menganggap remeh dosa).”

(Sahih Bukhari No. 6309)

وَتَرْحَمْنِي

dan memberi rahmat kepadaku,

Nabi Nuh عليه السلام amat mengharap rahmat daripada Allah ﷻ. Baginda sedar yang segala rahmat hanyalah daripada Allah ﷻ. Maka kita dalam berdoa juga hendaklah berharap rahmat daripada Allah ﷻ. Selepas minta ampun atas kesalahan dosa, terus sahaja minta rahmat daripada Allah ﷻ.

 

أَكُن مِّنَ الْخٰسِرِينَ

nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang rugi”.

Baginda tahu yang sekiranya Allah ﷻ tidak ampunkan dan tidak memberi rahmat, maka amat rugilah baginda. Kalau seorang Nabi membuat kesalahan pun akan kerugian, apatah lagi kita manusia biasa ini?

Kalau seorang Nabi pun tidak dapat menolong anaknya sendiri, apatah lagi kalau antara manusia biasa? Lalu bagaimana kita boleh mengharap syafaat daripada orang lain kalau kita sendiri tidak berbuat kebaikan dan beriman?

Kesalahan apakah yang menyebabkan Nabi Hud عليه السلام meminta ampun ini? Itulah kesalahan dalam berdoa. Maka ini mengajar kita berhati-hati dalam bab berdoa. Jangan reka cara baru dalam berdoa. Jangan sandarkan kepada pendapat ustaz itu dan ini, ulama’ itu dan ini. Kekarutan orang kita dalam bab doa ini memang pelik sampai ada yang minta kepada malaikat. Walaupun dalam bab doa ini agak luas, tetapi mestilah berwaspada. Kalau tidak tahu, eloklah bertanya kepada orang yang tahu. Orang kita kadangkala tidak melihat makna doa pun tetapi hanya dengan mendengar doa yang berbunyi ‘sedap’ di telinga mereka. Itu sebab ada yang mendayu-dayu dalam doa sebab mahu ‘sedap’ bunyi sahaja.


 

Hud Ayat 48: Akhirnya bahtera pun mendarat

قيلَ يٰنوحُ اهبِط بِسَلٰمٍ مِّنّا وَبَرَكٰتٍ عَلَيكَ وَعَلىٰ أُمَمٍ مِّمَّن مَّعَكَ ۚ وَأُمَمٌ سَنُمَتِّعُهُم ثُمَّ يَمَسُّهُم مِّنّا عَذابٌ أَليمٌ

Sahih International

It was said, “O Noah, disembark in security from Us and blessings upon you and upon nations [descending] from those with you. But other nations [of them] We will grant enjoyment; then there will touch them from Us a painful punishment.”

Malay

Allah berfirman: Wahai Nuh! Turunlah (dari bahtera itu) dengan selamat dan berkat dari Kami kepadamu dan kepada umat-umat yang bersama-samamu. Dan (dalam pada itu) ada umat-umat dari keturunan mereka yang Kami akan beri kesenangan kepadanya (dalam kehidupan dunia), kemudian mereka akan dikenakan azab dari Kami yang tidak terperi sakitnya”.

 

قِيلَ يٰنُوحُ

Dikatakan: Wahai Nuh!

Sekarang Allah ﷻ berfirman kepada Nuh عليه السلام selepas baginda berdoa agak panjang lebar tadi.

Kalimah قِيلَ (dikatakan) adalah dalam bentuk mabni majhul (bentuk pasif dan tidak disebut siapa yang berkata). Ini adalah salah satu daripada keindahan bahasa Al-Qur’an. Ia kadangkala digunakan dan antara sebabnya adalah:

1. Kerana pelakunya sudah jelas, maka tidak perlu disebut lagi. Di dalam ayat ini, jelas sekali yang berkata itu adalah Allah ﷻ.

2. Untuk menekankan subjek, bukannya menekankan pelakunya. Di dalam ayat ini hendak menekankan arahan yang diberikan kepada Nabi Nuh عليه السلام.

 

اهْبِطْ بِسَلٰمٍ مِّنَّا

Turunlah (dari bahtera itu) dengan selamat dari Kami

Kalimah اهْبِطْ yang sama digunakan kepada Nabi Adam عليه السلام semasa baginda diturunkan dari syurga. Sekarang digunakan kepada Nabi Nuh عليه السلام pula. Maka ini memberitahu kita yang ada persamaan antara keduanya kerana kedua-dua mereka telah melakukan kesalahan.

Kedua-duanya telah mengaku dengan kesalahan mereka yang mereka telah lakukan. Nabi Adam عليه السلام bersalah memakan pokok larangan dan Nabi Nuh عليه السلام telah memohon doa untuk anaknya yang kafir; Nabi Adam عليه السلام telah diturunkan dari syurga ke bumi dan Nabi Nuh عليه السلام juga diturunkan dari bahtera ke bumi juga; kedua-dua Nabi Allah ﷻ itu telah diampunkan oleh Allah ﷻ atas kesalahan mereka.

‘Selamat’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah selamat daripada kesusahan. Bayangkan, apabila Nabi Nuh عليه السلام dan sahabat-sahabatnya turun dari kapal itu, semua kehidupan yang mereka kenali dulu sudah tidak ada. Binatang sudah tidak ada kecuali yang dalam bahtera, tumbuh-tumbuhan pun tidak ada juga.

Maka tentu makanan pun susah untuk didapati. Mereka kena memulakan hidup baru, tetapi Allah ﷻ menjanjikan keselamatan untuk mereka. Mereka akan duduk dengan sejahtera di muka bumi. Apabila Allah ﷻ telah rancang banjir itu, maka Allah ﷻ juga telah rancang bagaimana mereka akan diselamatkan selepasnya. Maka mesti berharap, yakin dan percaya kepada Allah ﷻ sahaja kerana Allah ﷻ tidak akan sia-siakan mereka dan juga orang-orang beriman (semoga kita termasuk golongan orang beriman). Kalau Allah ﷻ sendiri kata selamat, pastilah selamat seperti Allah ﷻ sejukkan api yang mengelilingi Nabi Ibrahim عليه السلام seperti yang disebut dalam Anbiya’:69

قُلنا يٰنارُ كوني بَردًا وَسَلٰمًا عَلىٰ إِبرٰهيمَ
Kami berfirman: “Hai api menjadi dinginlah, dan menjadi keselamatanlah bagi Ibrahim”,

Apakah yang selamat itu? Kalau bumi sudah lama banjir, maka tentu susah hidup mereka. Sebenarnya maksud yang selamat adalah iman mereka dan ini yang lebih penting. Kehidupan yang susah itu biasa sahaja kerana memang sentiasa menjadi ujian bagi kita. Akan tetapi iman, ini lebih utama. Jangan jadi seperti kebanyaka orang kita yang dilanda musibah banjir, sudahlah hidup susah, iman pula tidak dijaga. Kita lihat bila susah dilanda banjir, solat pun sudah tidak dijaga lagi.

Allah ﷻ sebut di sini بِسَلٰمٍ مِّنَّا yang bermaksud keselamatan mereka itu datangnya daripada Allah ﷻ, bukannya dari kapal. Maka ini mengajar kita untuk berharap keselamatan dan meminta keselamatan daripada Allah ﷻ. Segala punca keselamatan adalah daripada Allah ﷻ. Segala usaha kita tetap lakukan juga namun jangan lupa meminta dan meletakkan pengharapan penuh kepada Allah ﷻ apabila kita mengalami kesusahan hidup.

 

وَبَرَكٰتٍ عَلَيْكَ

dan berkat kepadamu

Allah ﷻ memberi berkat kepada baginda. Apakah maksud ‘berkat’?. Berkat adalah mendapat banyak kebaikan walaupun dari segi kuantiti, mungkin nampak sedikit.

Sebagai contoh, katakan kita sedang dahaga, tetapi air yang ada hanya sedikit sahaja. Kalau Allah ﷻ beri keberkatan kepada kita, air yang sedikit itu sahaja boleh menghilangkan dahaga kita. Begitu juga, kalau gaji kita kecil, tetapi kalau Allah ﷻ beri keberkatan, gaji yang sedikit itu cukup untuk kita dan keluarga kita.

Berkat juga bermaksud berkembang banyak. Allah ﷻ telah memberi keberkatan kepada Nabi Nuh عليه السلام. Keturunan manusia itu semuanya berasal daripada keturunan Nabi Nuh عليه السلام. Dikatakan bahawa hanya anak cucu Nabi Nuh عليه السلام sahaja yang meneruskan kelangsungan zuriat manusia. Tidak ada anak cucu daripada sahabat-sahabat baginda yang lain. Dalilnya adalah ayat Saffat:77

وَجَعَلنا ذُرِّيَّتَهُ هُمُ الباقينَ
Dan Kami jadikan anak cucunya orang-orang yang melanjutkan keturunan.

Maka, kita ini adalah keturunan Nabi Adam عليه السلام dan juga keturunan Nabi Nuh عليه السلام belaka. Sebab itulah Nabi Nuh عليه السلام juga digelar ‘Adam kedua’ atau أبو البشر الثاني (bapa manusia kedua). Maka kalau golongan Habib itu perasan mereka sahaja keturunan Nabi, maka kita pun boleh kata kita daripada keturunan Nabi juga (iaitu Nabi Adam عليه السلام dan Nabi Nuh عليه السلام ).

 

وَعَلَىٰ أُمَمٍ مِّمَّن مَّعَكَ

dan kepada umat-umat yang bersama-samamu.

Yang turun bersama baginda Nuh عليه السلام itu tidaklah ramai, tetapi mereka dikatakan sebagai أُمَمٍ – umat-umat. Ini memberi isyarat bahawa mereka bukan sahaja individu biasa, tetapi daripada keturunan mereka (keturunan Nabi Nuh عليه السلام), umat manusia akan berkembang biak dan menjadi bapa kepada umat-umat selepas mereka. Akan tetapi, seperti telah disebut sebelum ini, ada pendapat yang mengatakan keturunan Nabi Nuh عليه السلام sahaja yang berterusan.

Sebagai contoh, salah seorang anaknya yang bernama Sam bin Nuh akan lahir daripadanya keturunan orang-orang Semitik dan ada anak-anak yang lain. Tidak dapat dipastikan kerana kejadian itu telah terlalu lama dahulu dan dahulu tidak ada Pejabat Pendaftaran anak-anak yang lahir.

 

وَأُمَمٌ

Dan kaum-kaum lain

Iaitu selepas daripada anak cucu Nabi Nuh عليه السلام. Daripada keturunan baginda, diteruskan kelangsungan kehidupan anak cucu Nabi Adam عليه السلام dan Nuh عليه السلام di muka bumi ini. Ada yang baik dan ada yang tidak. Umat yang baik akan diberikan keselamatan dan keberkatan, tetapi umat yang tidak lain yang melakukan kebaikan, lain pula yang akan diberikan kepada mereka.

Atau, ia merujuk kepada kaum-kaum lain selain daripada umat Nabi Nuh عليه السلام pada zaman itu. Kerana baginda hanya diutus kepada umat baginda sahaja, seperti kebiasaan Nabi-nabi yang lain kecuali Nabi Muhammad ﷺ yang diutus ke seluruh alam seperti disebut dalam Anbiya’: 107

وَما أَرسَلنٰكَ إِلّا رَحمَةً لِّلعٰلَمينَ
Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.

Sedangkan Nabi Nuh عليه السلام hanya diutus kepada umatnya sahaja seperti disebut dalam A’raf: 59

لَقَد أَرسَلنا نوحًا إِلىٰ قَومِهِ
Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya

Menjadi pembicaraan juga dalam kalangan ahli-ahli sejarah dan penyelidik keadaan bumi, untuk pembuktian manusia purbakala tentang taufan zaman Nabi Nuh عليه السلام itu; apakah taufan itu meliputi seluruh permukaan bumi, ataukah hanya sebahagian bumi saja.

Menurut al-Maqrizhi: Seluruh penganut agama, pengikut Nabi-nabi, baik Islam atau Yahudi atau Nasrani, semuanya sama kepercayaannya bahawa Nabi Nuh عليه السلام itu adalah Bapa Kedua daripada manusia. Bahawa keturunan Adam عليه السلام ialah melalui Nuh عليه السلام, sehingga tidak ada satu orang atau satu kelompok manusia di muka bumi ini, yang bukan keturunan Adam عليه السلام melalui Nuh عليه السلام. Namun begitu menurut al-Maqrizhi seterusnya, orang Koptik, orang Majusyi dan Hindu dan orang Cina berpendapat lain; mereka tidak mengakui adanya taufan Nabi Nuh عليه السلام.

Setengah mempercayai bahawa taufan itu meskipun ada, hanya terbatas di bahagian Babylon dan di sebelah negeri-negeri bahagian Barat saja. Menurut mereka manusia pertama itu bernama Kiomrat. Kepercayaan mereka tentang Kiomrat manusia pertama sama dengan kepercayaan kita tentang Nabi Adam عليه السلام. Mereka berdiam di negeri sebelah Timur dari Babylon; Taufan itu tidak sampai ke daerah mereka, dan tidak juga sampai ke Hindustan dan Cina.

Akan tetapi ada yang percaya ia meliputi seluruh dunia. Dijadikan alasan oleh golongan sarjana yang menguatkan pendapat bahawa taufan itu meliputi seluruh permukaan bumi di waktu itu, ialah terdapatnya bekas-bekas yang ajaib pada lapisan-lapisan bumi, dan dapat disaksikan timbunan-timbunan kulit kerang, baik di daratan bumi sampai ke puncak-puncak bumi dan gunung. Di lembah-lembah bertemu bekas-bekas dan fosil daripada binatang-binatang purbakala dan tumbuh-tumbuhan berbagai ragam. Setengahnya tertonjol ke atas dan terdapat pula yang bertemu ketika digali. Di dalam gua-gua didapati orang tulang-tulang binatang berbagai bentuk yang mengagumkan. Didapat pula sisa-sisa alat perkakas manusia purbakala.

Semuanya itu dikatakan membuktikan bahawa taufan pun sampai meliputi tempat itu. Semuanya terpaksa berkumpul di sana, tetapi dihancurkan oleh taufan. Setengahnya tertimbun ke bawah lapisan kulit bumi, yang kian lama kian membatu, untuk digali orang yang datang di belakang akan menjadi bukti atas Kekuasaan dan Kebesaran Allah ﷻ.

Syaikh Muhammad Abduh رحمه الله sebagai Mufti Kerajaan Mesir, pernah ditanyakan pendapat beliau tentang itu. Jawapan beliau:

“Di dalam al-Qur’an tidaklah bertemu nas yang pasti yang dapat dijadikan keputusan tentang Taufan Nabi Nuh itu. Dan tidak pula dijelaskan apakah Risalat Nuh itu umum untuk seluruh manusia di muka bumi ini. Dan apa yang tersebut di dalam Hadis-hadis, meskipun ada yang sah sanadnya, namun semuanya adalah Hadis Ahad yang tidak menjadikan yakin. Padahal dalam menetapkan soal-soal yang akan dijadikan i’tikad seperti ini mestilah yakin, bukan semata-mata zhan.”

Ada pula yang berpendapat bahawa taufan itu adalah umum meliputi manusia yang ada pada waktu itu, sebab bumi belumlah begitu ramai, kecuali baru kaum Nuh عليه السلام; sebab itu taufan adalah umum juga, meskipun keumuman itu masih terbatas dengan mereka, sebab belum ada manusia lain kecuali mereka.

Mereka berkata: “Turunlah Adam ke muka bumi, sedang dia di waktu itu belum lagi dapat disebut ummat. Tetapi setelah berlalu beberapa kurun, barulah ada ummat sebagai keturunan daripada Adam. Adam hanya datang dua laki isteri. Keturunannya itulah yang berkembang dengan beransur-ansur. Jarak dari masa Adam dengan masa Nuh adalah lapan keturunan. Maka jika keturunan daripada lapan angkatan (generasi) itu menurunkan pula anak-pinak berlipat- ganda beribu-ribu, lalu terpancar-pancar di muka bumi ini, dan perpindahan baru dengan jalan kaki, lalu membangun hidup yang lebih maju bertamadun, nescaya hal itu mesti tersebut di dalam sejarah sebagai suatu keajaiban”.

Maka kesimpulannya ada 3 pendapat tentang banjir ini:

1. Ia terjadi seluruh dunia. Ini juga pendapat ahli kitab.

2. Ia hanya terjadi di kawasan Nabi Nuh عليه السلام dan umatnya sahaja dan ada umat lain yang tidak mengalaminya

3. Ia terjadi pada seluruh manusia yang waktu itu hanya umat Nabi Nuh عليه السلام sahaja. Maka banjir itu di kawasan itu sahaja, bukan seluruh dunia.

 

سَنُمَتِّعُهُمْ

yang Kami akan beri kesenangan kepada mereka,

Untuk umat lain, mereka akan mendapat kesenangan semasa di dunia. Di dunia mereka tidak dikenakan azab. Mereka tidak dikenakan dengan azab banjir ini. Maknanya banjir ini tidaklah seluruh dunia seperti yang dikatakan oleh Bible. Ia hanya dikenakan kepada umat Nabi Nuh عليه السلام sahaja. Maka ini adalah mukjizat sejarah Al-Qur’an. Kalaulah ia banjir satu dunia, maka tentu ada rekod tentang perkara ini, tetapi tidak ada. Maka Al-Qur’an memberitahu perkara yang sebenarnya bukanlah seperti yang disebut di dalam Bible.

Mereka yang hidup itu bolehlah hidup senang lenang sementara waktu. Namun tidak semestinya mereka akan selamat di akhirat. Kalau hidup senang di dunia bukanlah tanda Allah ﷻ sayang dan selamat di akhirat kerana orang kafir pun mendapat kesenangan juga seperti disebut dalam Baqarah:126

قالَ وَمَن كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ قَليلًا ثُمَّ أَضطَرُّهُ إِلىٰ عَذابِ النّارِ
Allah berfirman:” (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga dia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka

Ramai yang salah sangka dengan kesenangan hidup yang mereka alami. Mereka sangka Allah ﷻ sayang mereka, Allah ﷻ akan selamatkan mereka di akhirat kelak. Mereka sangka mereka golongan terpilih. Akan tetapi sebaliknya seperti firman Allah ﷻ dalam Mukminoon: 55-56

أَيَحسَبونَ أَنَّما نُمِدُّهُم بِهِ مِن مّالٍ وَبَنينَ
Apakah mereka mengira bahawa harta dan anak-anak yang Kami berikan kepada mereka itu (bererti bahawa),

نُسارِعُ لَهُم فِي الخَيرٰتِ ۚ بَل لّا يَشعُرونَ
Kami bersegera memberikan kebaikan-kebaikan kepada mereka? Tidak, sebenarnya mereka tidak sedar.

Ternyata sesiapa sahaja Allah ﷻ boleh berikan nikmat kesenangan di dunia, akan tetapi orang tertentu sahaja yang boleh mendapat nikmat iman. Maka kita kena berusaha untuk menjadi orang yang diredhai oleh Allah ﷻ.

 

ثُمَّ يَمَسُّهُم مِّنَّا عَذَابٌ أَلِيمٌ

kemudian mereka akan merasakan daripada Kami azab yang tidak terperi sakitnya”.

Mereka itu dikenakan azab jikalau mereka kufur kepada Allah ﷻ. Allah ﷻ sudah beritahu kepada Nabi Nuh عليه السلام bahawa ada dalam kalangan anak cucunya yang akan menentang Allah ﷻ. Memang semua mereka yang turun bersama dengan Nabi Nuh عليه السلام itu beriman semuanya. Namun Allah ﷻ sudah beri isyarat dalam ayat ini, akan ada dalam kalangan mereka yang tidak akan beriman.


 

KISAH-KISAH SILAM

Hud Ayat 49: Ayat ini sekarang berubah kepada firman Allah ﷻ kepada Nabi Muhammad ﷺ pula. Ini dipanggil jumlah mu’taridah – ada selit perkara lain – dalam bercakap tentang kisah Nabi Nuh عليه السلام, tiba-tiba terus khitab kepada Nabi Muhammad ﷺ pula. Maka selesailah kisah Nabi Nuh عليه السلام di sini.

تِلكَ مِن أَنباءِ الغَيبِ نوحيها إِلَيكَ ۖ ما كُنتَ تَعلَمُها أَنتَ وَلا قَومُكَ مِن قَبلِ هٰذا ۖ فَاصبِر ۖ إِنَّ العٰقِبَةَ لِلمُتَّقينَ

Sahih International

That is from the news of the unseen which We reveal to you, [O Muhammad]. You knew it not, neither you nor your people, before this. So be patient; indeed, the [best] outcome is for the righteous .

Malay

(Kisah Nabi Nuh) itu adalah dari perkara-perkara yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), yang engkau dan kaum engkau tidak mengetahuinya sebelum ini. Oleh itu, bersabarlah. Sesungguhnya kesudahan yang baik (yang membawa kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat) adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.

 

تِلْكَ مِنْ أَنبَاءِ الْغَيْبِ نُوحِيهَا إِلَيْكَ

Itu adalah dari berita-berita yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad),

Sebelum ini telah disebut tentang kisah Nabi Nuh عليه السلام. Kisah tentang Nabi Nuh عليه السلام itu adalah satu sahaja kalau kita lihat secara biasa. Namun Allah ﷻ menggunakan perkataan أَنبَاءِ iaitu dalam bentuk jamak (plural), seolah-olah ada banyak kisah di dalamnya. Ini memberi isyarat kepada kita bahawa kita mesti melihat kisah Nabi Nuh عليه السلام ini sebagai banyak kisah. Ada banyak kisah pengajaran dalam sebuah kisah yang besar. Maka, kita kena pecahkan dan mengambil pengajaran daripada setiap satu kisah itu.

Perkataan أَنبَاءِ bermaksud ‘berita-berita besar’. Berita-berita itu juga relevan dengan keadaan masyarakat semasa. Apa yang terjadi zaman dahulu, masih lagi terjadi pada zaman sekarang. Maka jangan kita lihat kisah Nabi Nuh عليه السلام ini sebagai hanya kisah sejarah silam sahaja, tetapi kita mesti ambil pengajaran daripada kisah baginda ini.

Kisah Nabi Nuh عليه السلام yang kita telah baca tadi termasuk kisah perkara ghaib yang Allah ﷻ wahyukan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ini menunjukkan Nabi Muhammad ﷺ sendiri tidak mengetahui perkara dan ilmu ghaib. Kalau Allah ﷻ tidak beritahu kepada Nabi ﷺ, Nabi ﷺ pun tidak tahu. Ini adalah kerana bangsa Arab telah lama tidak ada kitab wahyu dan telah lama tidak ada Nabi yang menyampaikan berita agama kepada mereka.

Ia juga sebagai dalil yang Nabi Muhammad ﷺ adalah seorang Rasul – kalau tidak seorang Nabi dan Rasul, tidak akan mengetahui kisah-kisah ini. Tidak mungkin baginda boleh reka kisah-kisah ini yang boleh dipastikan dengan maklumat yang ada di dalam simpanan Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani). Sedangkan baginda tidak ada perantaraan dengan mereka, tidak ada pun berbincang dengan mereka tentang hal-hal ini.

 

مَا كُنتَ تَعْلَمُهَا

yang engkau tidak mengetahuinya

Nabi ﷺ tidak akan mengetahui tentang kisah Nabi Nuh عليه السلام itu kalau Allah ﷻ tidak beritahu kepada baginda. Kisah ini telah terlalu lama berlaku dan tidak tercatat dalam buku sejarah. Mungkin disampaikan dari mulut ke mulut sahaja, tetapi tidak dapat dipastikan sejauh mana kesahihannya.

 

أَنتَ وَلَا قَوْمُكَ مِن قَبْلِ هَٰذَا

engkau dan kaum engkau, sebelum ini.

Sebelum turun ayat ini, Nabi Muhammad ﷺ dan bangsa Arab tidak tahu pun berkenaan kisah ini. Mereka mungkin ada dengar-dengar kisah itu, tetapi tidak pasti kesahihannya dan maklumat yang mereka dapat tidak banyak dan mungkin telah ditambah dengan kisah-kisah dongeng sebagai tambahan.

 

فَاصْبِرْ

Oleh itu, bersabarlah.

Bersabarlah kamu dalam belajar agama ini.
Bersabarlah kamu dalam menyebar agama tauhid ini.
Bersabarlah kamu menghadapi manusia yang menentang itu.

Bersabarlah juga dengan kata-kata nista dan penghinaan daripada orang kafir. Kalau mereka tidak terima, maka tetaplah dalam sabar. Lihatlah bagaimana Nabi Nuh عليه السلام itu telah melalui kesusahan demi kesusahan. Waktu ayat ini diturunkan, Nabi ﷺ telah berdakwah selama lebih kurang sepuluh tahun kepada penduduk Mekah. Baginda dan para sahabat yang telah memeluk Islam telah mengalami tentangan yang hebat daripada Musyrikin Mekah.

Namun Allah ﷻ beritahu dalam ayat ini supaya mereka bersabar dalam dakwah mereka. Untuk beri semangat kepada mereka, Allah ﷻ bawakan kisah Nabi Nuh عليه السلام yang telah berdakwah lebih lama lagi daripada mereka – 950 tahun! Dugaan yang Nabi Nuh عليه السلام alami juga adalah hebat. Oleh itu, mesej utama yang hendak disampaikan daripada kisah Nabi Nuh عليه السلام itu adalah tentang sabar.

Maka kalau kita baru berdakwah setahun dua dan sudah terasa bosan, maka bacalah kisah Nabi Nuh عليه السلام itu berkali-kali. Jangan perasan sudah lama berdakwah kalau baru setahun jagung mengajak orang lain kepada agama. Maka bersabarlah dalam perjuangan mengembangkan Islam, dalam berdakwah. Selalunya, apabila kita dakwah, ramai tidak mahu dengar dan mereka tolak kita, maka bersabarlah. Kerja dakwah ini memanglah susah.

Sebagaimana para Nabi juga mengalami kesusahan, maka kita pun hendaklah bersabar. Kadang-kadang kita kena hadapi ejekan, tohmahan, penghinaan daripada orang lain dan sebagainya. Sebab itu Allah ﷻ sebut tentang sabar di dalam Muzzammil:10 iaitu antara surah yang awal diturunkan kepada Rasulullah semasa baginda memulakan dakwah,

وَاصبِر عَلىٰ ما يَقولونَ وَاهجُرهُم هَجرًا جَميلًا
Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu daripada mereka dengan cara yang baik.

Dalam kehidupan seharian kita, kita hendaklah mengamalkan sabar. Terutama sekali jikalau kita ditimpa masalah. Inilah pakaian kita yang kena sentiasa ada. Maka sabar itu ada tiga jenis:

1. Sabar dalam taat. Iaitu untuk memenuhi arahan daripada Allah ‎ﷻ dan Rasul.

2. Sabar dalam meninggalkan larangan daripada Allah ‎ﷻ dan Rasul. Ini pun memerlukan kesabaran juga.

3. Sabar dalam menerima musibah dan ujian.

Sebagai motivasi untuk kita bersabar dalam semua perkara, Allah ﷻ sebut balasan bagi orang yang bersabar di dalam Zumar:10

إِنَّما يُوَفَّى الصّٰبِرونَ أَجرَهُم بِغَيرِ حِسابٍ
Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tanpa hisab

Apakah maksud ‘tanpa hisab’? Dibalas banyak sangat, sehingga tidak terkira. Hisab itu bermaksud ‘kira’. Balasan yang Allah ﷻ beri itu terlalu banyak sampai tidak terkira.

Tafsir kedua: ada juga hadith yang menunjukkan bahawa orang-orang yang sabar dengan dugaan berat yang mereka terima, tidak akan dihisab. Mereka terus sahaja masuk syurga. Padahal orang lain akan ditimbang-timbang dan dikira-kira amal ibadat mereka. Sedangkan menunggu untuk dihisab di Mahsyar itu pun merupakan sebuah kesengsaraan juga kerana terpaksa menunggu dalam tempoh masa yang amat lama. Maka kalau dapat masuk terus ke syurga tanpa hisab, itu adalah nikmat yang amat besar.

Kalau kita sabar dengan dugaan yang diberikan kepada kita, kita akan mendapat balasan daripada Allah ﷻ yang amat banyak. Ini berbeza dengan amalan ibadat lain seperti solat dan puasa di mana ia akan dibalas dengan kadar amal kebaikan itu.

Antara sabar yang kita kena amalkan adalah dengan menahan marah. Ini kerana ia adalah sifat orang Mukmin seperti disebut dalam Ali Imran:133-134

۞ وَسارِعوا إِلىٰ مَغفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُم وَجَنَّةٍ عَرضُهَا السَّمٰوٰتُ وَالأَرضُ أُعِدَّت لِلمُتَّقينَ
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;

الَّذينَ يُنفِقونَ فِي السَّرّاءِ وَالضَّرّاءِ وَالكٰظِمينَ الغَيظَ وَالعافينَ عَنِ النّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;

 

إِنَّ الْعٰقِبَةَ لِلْمُتَّقِينَ

Sesungguhnya kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.

Walaupun susah dalam menegakkan agama dan menyampaikan dakwah kepada manusia, tetapi hendaklah kita ingat bahawa balasan yang baik adalah bagi mereka yang bertaqwa. Bertaqwa itu maksudnya menjaga hukum yang Allah ﷻ telah sampaikan kepada kita. Dijanjikan penghujung yang baik mereka ini dan bukankah ini juga yang kita inginkan?

Dalam banyak ayat lain Allah ﷻ beritahu yang Dia bersama orang-orang yang sabar antaranya seperti disebut di dalam Anfal: 46

وَاصبِروا ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصّٰبِرينَ
dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.

Habis Ruku’ 4 daripada 10 ruku’ surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 13 Ogos 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah Hud Ayat 47 – 49 (Bersabar dalam dakwah)”

Leave a reply to CelikTafsir Cancel reply