Tafsir Surah Tawbah Ayat 79 – 81 (Sudah habis peluang munafik)

DERMA YANG DIHINA

Tawbah Ayat 79: Ayat Zajrun (teguran). Disebut sifat orang munafik lagi. Sekarang disentuh tentang perangai mereka yang suka mengutuk, menghina dan merendahkan orang lain.

‎الَّذينَ يَلمِزونَ المُطَّوِّعينَ مِنَ المُؤمِنينَ فِي الصَّدَقٰتِ وَالَّذينَ لا يَجِدونَ إِلّا جُهدَهُم فَيَسخَرونَ مِنهُم ۙ سَخِرَ اللَّهُ مِنهُم وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those who criticize the contributors among the believers concerning [their] charities and [criticize] the ones who find nothing [to spend] except their effort, so they ridicule them – Allāh will ridicule them, and they will have a painful punishment.

(MALAY)

(Orang-orang munafik itu) ialah orang-orang yang mencela orang-orang mukmin yang memberi sedekah dengan sukarela dan (mencela) orang-orang yang tidak memperoleh (untuk disedekahkan) selain sekadar usaha mereka sahaja, maka orang-orang munafik itu menghina mereka. Allah akan membalas penghinaan mereka itu, dan untuk mereka azab yang pedih.

 

الَّذينَ يَلمِزونَ المُطَّوِّعينَ مِنَ المُؤمِنينَ فِي الصَّدَقٰتِ

orang-orang yang mencela orang-orang mukmin yang memberi sedekah

Teruk sekali perangai orang-orang munafik itu, mereka telah mencela para sahabat yang mengeluarkan sedekah atau zakat. Mereka suka mencela golongan sahabat yang memberi infak secara sukarela dalam sedekah atau zakat. Jika diperhatikan kalimah يَلمِزونَ itu di dalam fi’il mudhari’ yang bermaksud mereka selalu melakukannya dan terus berlaku sampai sekarang.

Kalimah المُطَّوِّعينَ bermaksud mereka yang buat lebih daripada yang sepatutnya – mereka yang bersedekah dengan cara sukarela. Buat perkara yang lebih daripada yang wajib (extra). Daripada kata yang sama, dikeluarkan lafaz tatawwu’. Oleh itu, solat sunat yang bukan solat fardhu dipanggil Solat Tatawwu’.

Orang munafik akan mengutuk orang yang bersedekah itu tidak ikhlas, hanya hendak menunjuk-nunjuk sahaja. Pandai-pandai sahaja mereka berkata begitu, macamlah mereka tahu apa yang dalam hati manusia. Dalam ayat sebelum ini, Allah ﷻ beritahu, hanya Dia sahaja yang tahu rahsia hati manusia. Maka sekarang Allah ﷻ kutuk mereka yang sengaja mahu mengutuk orang yang sudah mengeluarkan infak, kononnya mereka tahu isi hati manusia dalam infak itu ikhlas atau tidak.

Janganlah begitu, kita bukannya tahu orang lain ikhlas atau tidak. Kalau mereka ikhlas, maka Allah ﷻ akan beri pahala; kalau mereka tidak ikhlas, maka mereka tidak dapat pahala. Tidak perlu kita menghakim, menentukan orang lain ikhlas atau tida. Tidak ada kena mengena dengan kita pun. TIdak perlu sibuk memikirkan apa yang di dalam hati dan perasaan manusia. Sebenarnya jikalau kita kata mereka tidak ikhlas semasa infak, kemungkinan besar kita sedang mengata diri sendiri. Sebab kita sedang bayangkan kalau kita yang infak. Kita tahu kalau kita infak tidak ikhlas, maka orang itu pun tentu tidak ikhlas. Maka perbuatan menuduh orang tidak ikhlas ini memalukan diri kita sendiri sahaja.

 

وَالَّذينَ لا يَجِدونَ إِلّا جُهدَهُم فَيَسخَرونَ مِنهُم

orang-orang yang tidak apa-apa selain sekadar usaha mereka sahaja, maka orang-orang munafik itu menghina mereka.

Sebelum ini telah disebut yang kalau orang mukmin infak, mereka kutuk; sekarang disebut mereka mencela golongan mukmin yang tidak ada apa-apa untuk diberi dari segi harta. Namun begitu walaupun orang mukmin itu tidak ada apa-apa sangat, mereka beri juga sekadar yang mampu. Kalimah جُهدَهُم bermaksud kesungguhan dan kemampuan mereka. Itu pun puak munafik kutuk sebab mereka kata beri sedikit sangat, baik tidak payah bagi.

Ada yang langsung tidak ada apa-apa untuk diberi, maka mereka sumbangkan usaha mereka. Mereka hulurkan bantuan melalui tulang empat kerat atau sumbangan idea dan pandangan mereka. Ini mengajar kita yang kalau tidak boleh hulur wang, maka boleh hulur bantuan dalam jihad atau dakwah. Namun itu pun tetap dipersenda juga dengan golongan Munafik itu.

Pada pandangan mata lalat munafik itu ada sahaja yang tidak kena: mukmin yang kaya dan dapat banyak bersedekah, mereka kata tidak ikhlas; mukmin yang miskin mereka kutuk juga kerana beri sedikit. Jika ada yang bantu dengan usaha sahaja, mereka hina juga.

Sikap munafik sebegini tidak jauh beza dengan orang kitalah juga, ada sahaja perkara yang mahu dikutuk tentang orang lain. Patutnya diam sahajalah, biarkan sahaja apa yang orang lain hendak beri. Sepatutnya yang tidak berbuat apa-apa itu, sebaiknya diamlah sahaja daripada berkata apa-apa yang hanya boleh mengundang dosa sahaja.

Asbabun Nuzul ayat ini adalah seperti yang diriwayatkan di dalam Sahih Bukhari,

عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ لَمَّا نَزَلَتْ آيَةُ الصَّدَقَةِ كُنَّا نُحَامِلُ فَجَاءَ رَجُلٌ فَتَصَدَّقَ بِشَيْءٍ كَثِيرٍ فَقَالُوا مُرَائِي وَجَاءَ رَجُلٌ فَتَصَدَّقَ بِصَاعٍ فَقَالُوا إِنَّ اللَّهَ لَغَنِيٌّ عَنْ صَاعِ هَذَا فَنَزَلَتْ { الَّذِينَ يَلْمِزُونَ الْمُطَّوِّعِينَ مِنْ الْمُؤْمِنِينَ فِي الصَّدَقَاتِ وَالَّذِينَ لَا يَجِدُونَ إِلَّا جُهْدَهُمْ } الْآيَةَ
Daripada [Abu Mas’ud رضي الله عنه] dia berkata; “Ketika ayat sadaqah turun, kami berlumba-lumba, lalu datanglah seseorang dengan membawa sadaqah yang banyak dan orang-orang berkata, dia orang yang hendak menunjuk. Kemudian datanglah seseorang lalu dia bersadaqah dengan satu sha’. Orang-orang berkata; “Sesungguhnya Allah lebih kaya daripada satu sha’ ini”. Maka turunlah ayat At-Taubah ayat: “Alladziina yalmizuunal muththawwi’iina minal mu’miniina fishshadaqati walladziina laa yajiduuna illa juhdahum”. (“Orang-orang (munafik itu) yang mencela orang-orang beriman yang memberi sedekah dengan sukarela dan (mencela) orang-orang yang tidak memperoleh (untuk disedekahkan) selain sekadar kesanggupannya”).
(Sahih Bukhari (1326))

Namun golongan Mukmin akan beri apa sahaja yang mereka boleh beri. Begitulah para sahabat berlumba-lumba bersedekah kerana hendak mengejar gandaan pahala yang Allah ﷻ janjikan seperti disebut dalam Baqarah:261

مَثَلُ الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُم في سَبيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَت سَبعَ سَنابِلَ في كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضٰعِفُ لِمَن يَشاءُ ۗ وَاللَّهُ وٰسِعٌ عَليمٌ
Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya.


Namun berapa jumlah sedekah itu tidaklah ditetapkan. Maka kita infaq sahaja apa yang kita mampu. Ini banyak disebut di dalam beberapa hadith. Antaranya, seperti sabda Rasulullah ﷺ:

فَاتَّقُوا النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَبِكَلِمَةٍ طَيِّبَةٍ
“Jagalah diri kalian dari neraka meskipun hanya dengan sedekah setengah biji kurma. Barangsiapa yang tidak mendapatkannya, maka ucapkanlah perkataan yang baik.”
(Bukhari No. 1413, 3595 dan Muslim No. 1016)


Rasulullah ﷺ juga bersabda,

مَنْ تَصَدَّقَ بِعَدْلِ تَمْرَةٍ مِنْ كَسْبٍ طَيِّبٍ وَلاَ يَقْبَلُ اللهُ إِلاَّ الطَّيِّبَ وَإِنَّ اللهَ يَتَقَبَّلُهَا بِيَمِيْنِهِ ثُمَّ يُرَبِّيْهَا لِصَاحِبِهَا كَمَا يُرَبِّيْ أَحَدُكُمْ فُلُوَّهُ حَتَّى تَكُوْنَ مِثْلَ الْجَبَلِ
“Barangsiapa yang bersedekah dengan sebutir kurma hasil daripada usahanya sendiri yang baik, sedangkan Allah tidak menerima kecuali yang baik saja, maka sungguh Allah akan menerimanya dengan tangan kanan-Nya lalu mengembangkannya untuk pemiliknya sebagaimana seseorang merawat anak kudanya hingga ia menjadi seperti gunung yang besar.”
(Bukhari No. 1410 dan Muslim No. 1014)


Orang Mukmin akan sentiasa mencari peluang untuk bersedekah kerana ia adalah bukti keimanan. Ini seperti disebut dalam hadith,

عَنْ أَبِي مَالِكٍ الْأَشْعَرِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الطُّهُورُ شَطْرُ الْإِيمَانِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ تَمْلَأُ الْمِيزَانَ وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ تَمْلَآَنِ أَوْ تَمْلَأُ مَا بَيْنَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالصَّلَاةُ نُورٌ وَالصَّدَقَةُ بُرْهَانٌ وَالصَّبْرُ ضِيَاءٌ وَالْقُرْآنُ حُجَّةٌ لَكَ أَوْ عَلَيْكَ كُلُّ النَّاسِ يَغْدُو فَبَايِعٌ نَفْسَهُ فَمُعْتِقُهَا أَوْ مُوبِقُهَا
Daripada [Abu Malik al-Asy’ari رضي الله عنه] dia berkata, “Rasulullah ﷺ bersabda: “Bersuci adalah setengah daripada iman, alhamdulillah memenuhi timbangan, subhanallah dan alhamdulillah keduanya memenuhi, atau salah satunya memenuhi apa yang ada antara langit dan bumi, solat adalah cahaya, sedekah adalah bukti, kesabaran adalah sinar, dan Al-Qur’an adalah hujjah untuk amal kebaikanmu dan hujjah atas amal kejelekanmu. Setiap manusia berusaha, maka ada orang yang menjual dirinya sehingga membebaskannya atau menghancurkannya.”
(Sahih Muslim (328))

 

سَخِرَ اللَّهُ مِنهُم وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ

Allah akan membalas penghinaan mereka itu, dan untuk mereka azab yang pedih.

Allah ﷻ beritahu yang golongan yang suka mencela itu, Allah ﷻ akan balas celaan mereka itu. Maksud literal kalimat ini adalah Allah ﷻ menghina mereka. Maksudnya Allah ﷻ akan beri balasan kepada mereka kerana penghinaan mereka. Mereka akan mendapat azab pedih daripada kata-kata mereka itu. Waktu itu, kita lihat siapakah yang digelakkan nanti.


 

Tawbah Ayat 80: Golongan Munafik itu telah dijanjikan azab. Akan tetapi kalaulah Rasulullah ﷺ mendoakan keampunan untuk mereka, adakah ia akan diterima?

استَغفِر لَهُم أَو لا تَستَغفِر لَهُم إِن تَستَغفِر لَهُم سَبعينَ مَرَّةً فَلَن يَغفِرَ اللَّهُ لَهُم ۚ ذٰلِكَ بِأَنَّهُم كَفَروا بِاللَّهِ وَرَسولِهِ ۗ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Ask forgiveness for them, [O Muḥammad], or do not ask forgiveness for them. If you should ask forgiveness for them seventy times – never will Allāh forgive them. That is because they disbelieved in Allāh and His Messenger, and Allāh does not guide the defiantly disobedient people.

(MALAY)

Kamu memohonkan ampun bagi mereka atau tidak kamu mohonkan ampun bagi mereka (adalah sama saja). Walaupun kamu memohonkan ampun bagi mereka tujuh puluh kali, namun Allah sekali-kali tidak akan memberi ampunan kepada mereka. Yang demikian itu adalah karena mereka kafir kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.

 

استَغفِر لَهُم أَو لا تَستَغفِر لَهُم

Kamu memohonkan ampun bagi mereka atau tidak kamu mohonkan ampun bagi mereka

Ayat ini khitab (ditujukan) kepada Nabi Muhammad ﷺ. Kalimah استَغفِر asalnya dalam bentuk fi’il amr (kata suruhan) (hendaklah engkau memohon ampun buat mereka) tetapi ia adalah berbentuk khabar. Baginda seorang yang berhati halus dan mahukan kebaikan untuk umat baginda. Oleh kerana sayang, baginda ada memohon ampun bagi pihak puak Munafik itu.

Namun Allah ﷻ beritahu dalam ayat ini yang istighfar baginda itu tidak ada gunanya. Ada jumlah muqaddar dalam ayat ini: kalau mereka itu telah ditakdirkan kafir, kamu istighfar atau tidak untuk mereka, Allah ﷻ tidak akan maafkan.

 

إِن تَستَغفِر لَهُم سَبعينَ مَرَّةً

Walaupun kamu memohonkan ampun bagi mereka sampai tujuh puluh kali, 

Allah ﷻ kata, jika baginda meminta ampun untuk mereka sebanyak 70 kali sehari pun, ia tidak bermanfaat bagi mereka. Akan tetapi kenapa dikhususkan bilangan 70 pula? Sebenarnya di dalam bahasa Arab, mereka menggunakan bilangan 7 sebagai tanda banyak.

Oleh itu menurut satu pendapat, kalimat ‘tujuh puluh kali’ dalam ayat ini hanya disebutkan sebagai batas maksima daripada bilangan istighfar buat mereka, kerana sesungguhnya dalam percakapan orang-orang Arab, bilangan tujuh puluh disebutkan untuk menunjukkan pengertian mubalaghah dan bukan sebagai batasan, tidak pula bilangan yang lebih daripada tujuh puluh memberikan pengertian yang sebaliknya.

Maka bukanlah ia bermakna 70 secara literal, tetapi ia bermaksud banyak kerana bagaimanakah pula kalau Rasulullah ﷺ istighfar bagi pihak mereka sebanyak 71 kali, adakah diterima? Tidak juga.

 

فَلَن يَغفِرَ اللَّهُ لَهُم

namun Allah sekali-kali tidak akan memberi ampunan kepada mereka.

Allah ﷻ sekali-kali tidak akan mengampuni mereka kerana dalam takdir Allah ﷻ, mereka itu Munafik (dan kafir) dan mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.

Menurut pendapat lainnya lagi, sebenarnya bilangan tujuh puluh ini mempunyai pengertian sesuai dengan bilangannya (memang dimaksudkan 70 secara literal). Seperti apa yang disebutkan di dalam riwayat Al-Aufi, daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما, bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

“أَسْمَعُ رَبِّي قَدْ رَخَّصَ لِي فِيهِمْ، فَوَاللَّهِ لَأَسْتَغْفِرَنَّ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً، لَعَلَّ اللَّهَ أَنْ يَغْفِرَ لَهُمْ! فَقَالَ اللَّهُ مِنْ شِدَّةِ غَضَبِهِ عَلَيْهِمْ: {سَوَاءٌ عَلَيْهِمْ أَسْتَغْفَرْتَ لَهُمْ أَمْ لَمْ تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ لَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ}
Ketika ayat ini diturunkan, aku mendengar Tuhanku memberikan, kemurahan kepadaku sehubungan dengan mereka. Maka demi Allah, aku benar-benar akan memohonkan ampun bagi mereka lebih daripada tujuh puluh kali. Mudah-mudahan Allah memberikan ampunan-Nya bagi mereka. Maka Allah berfirman kerana kemurkaan-Nya yang sangat terhadap mereka: Kamu mohonkan ampun bagi mereka atau tidak kamu mohonkan ampun bagi mereka (adalah sama saja). (At-Taubah: 80), hingga akhir ayat.
Menurut pentahqiq Tafsir Ibnu Katsir sanad ini ada syawahid daripada Ibnu Umar

 

Di dalam riwayat yang lain,

عن قَتادةَ قال : لما نزلتْ { اسْتَغْفِرْ لَهُمْ أَوْ لَا تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ إِنْ تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ سَبْعِينَ مَرَّةً فَلَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَهُمْ} قال النبيُّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ : لأزيدنَّ على السبعينَ ، فأنزل اللهُ تعالى { سَوَاءٌ عَلَيْهِمْ أَسْتَغْفَرْتَ لَهُمْ أَمْ لَمْ تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ لَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَهُمْ }
Daripada Qatadah beliau berkata: Apabila diturunkan ayat { اسْتَغْفِرْ لَهُمْ أَوْ لَا تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ إِنْ تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ سَبْعِينَ مَرَّةً فَلَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَهُمْ} Nabi ﷺ telah berkata: “Aku akan tambah lebih lagi daripada 70 kali”, maka Allah turunkan ayat { سَوَاءٌ عَلَيْهِمْ أَسْتَغْفَرْتَ لَهُمْ أَمْ لَمْ تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ لَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَهُمْ }.
Diriwayatkan oleh Ibn Hajar Asqalani di dalam Fathul Bari.
Status: para perawinya tsiqah

Oleh itu kalau dilihat daripada hadith ini, seolah-olah Rasulullah ﷺ berpegang yang memang 70 itu 70 lah juga. Sebab itu baginda hendak meminta ampun bagi pihak mereka lebih lagi daripada 70 kali supaya moga-moga Allah ﷻ terima.

Mungkin timbul persoalan, kenapa baginda beriya-iya pula untuk meminta ampun bagi pihak mereka? Bukankah mereka itu telah lama menyusahkan baginda? Maka untuk menjawabnya maka kita kena kenal sifat baginda yang amat prihatin kepada umat baginda. Dengan musuh pun baginda berharap mereka selamat. Sedangkan golongan Munafik ini sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan baginda. Sebagai contoh mereka tuduh isteri baginda (A’isyah رضي الله عنها) telah berzina untuk menjatuhkan kedudukan baginda. Akan tetapi baginda tetap juga mendoakan kebaikan untuk mereka. Maka jangan bandingkan dengan diri kita yang kalau boleh hendak sangat musuh kita masuk neraka! Hati seperti kita ini pastinya selama-lamanya tidak akan dapat faham kenapa baginda memohon keampunan untuk mereka.

Maka ini sebenarnya mengajar kita untuk cuba mendidik hati kita supaya menjadi lembut kepada orang lain. Pandanglah orang lain dengan pandangan rahmah (kasih sayang). Kalau sesama Muslim itu hendaklah kita jaga hubungan dengan mereka. Kalau ada berbeza pendapat pun, jangan jadikan itu sebagai punca untuk bermusuh. Malah kalau dengan musuh pun, jangan kita berlaku zalim kepada mereka. Kalau kita maafkan mereka, itu lebih baik bagi kita. Jangan ada rasa dengki, cemburu, benci dan dendam kepada sesiapa pun termasuklah musuh kita yang paling ketat!

 

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم كَفَروا بِاللَّهِ وَرَسولِهِ

Yang demikian itu adalah karena mereka kafir kepada Allah dan Rasul-Nya.

Mereka tidak akan diampunkan adalah kerana mereka kufur ingkar dengan arahan Allah ﷻ dan Rasulullah ﷺ. Macam-macam kesalahan yang mereka telah lakukan. Mereka telah menyakiti hati Nabi ﷺ dan hendak menyusahkan baginda sahaja malah berkali-kali telah menghina baginda. Mereka hendak menjatuhkan Islam lebih dahsyat lagi sehingga ada cubaan untuk membunuh Nabi ﷺ!

 

وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ

Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.

Apakah maksud ‘fasik’? Imam Abu Ja’far At-Thabari رحمه الله menerangkan:

“Makna kata ‘fasiq’ secara bahasa, dalam dialek masyarakat Arab adalah الخروجُ عن الشيء: keluar daripada sesuatu. Kerana itu, tikus gurun dinamakan fuwaisiqah [Arab: فُوَيْسِقة] kerana dia sering keluar dari tempat persembunyiannya. Demikian pula orang munafik dan orang kafir disebut orang fasik kerana dua jenis manusia ini telah keluar daripada ketaatan kepada Allah ﷻ. Kerana itulah, Allah ﷻ menyifati iblis dengan firman-Nya:

إِلا إِبْلِيسَ كَانَ مِنَ الْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِ
“Kecuali iblis (tidak mahu sujud), dia termasuk golongan jin, dan dia berbuat fasik terhadap perintah Tuhannya.” (Kahfi: 50)

Maksud kalimat “dia berbuat fasik” keluar daripada ketaatan kepada-Nya dan tidak mengikuti perintahnya. (Tafsir At-Thabari)

Fasik itu ada dua jenis:

1. Fasik Akbar (besar), iaitu kufur

2. Fasik Asghar (kecil), iaitu keluar daripada ketaatan tetapi tidaklah sampai melakukan dosa.

Oleh kerana golongan Munafik itu fasik jenis yang kufur, maka mereka tidak diberikan hidayah lagi. Ini adalah kerana hati mereka ditutup oleh Allah ﷻ. Ini dinamakan Khatmul Qalbi iaitu kufur peringkat keempat, di mana mereka tidak ada peluang lagi untuk mendapat hidayah.

Apabila sudah ditetapkan Khatmul Qalbi ke atas mereka, walau apa pun dakwah dan ajaran yang diberikan kepada mereka, mereka tidak akan mampu menerimanya. Hati mereka telah ditutup rapat daripada menerima hidayah lagi. Namun ingatlah yang mereka dikenakan dengan hukuman ini kerana mereka sendiri yang ingkar. Bukanlah Allah ﷻ tentukan dari awal lagi yang mereka itu tidak akan mendapat hidayah.

Akan tetapi bukanlah semua mereka itu tidak mendapat hidayah langsung kerana ada juga golongan yang asalnya munafik tetapi telah berubah menjadi orang yang benar-benar beriman. Ini adalah kerana mereka telah mengubah sikap mereka setelah membaca ayat-ayat Al-Qur’an yang menegur mereka. Ini bagi mereka yang belum mencapai kufur peringkat ke empat.

Ternyata yang menyebabkan mereka tidak mendapat hidayah adalah kerana perbuatan fasik mereka. Apabila mereka berhenti daripada membuat kefasikan, maka Allah ﷻ boleh sahaja memberi hidayah kepada mereka.

Habis Ruku’ 10 daripada16 ruku’ dalam surah ini.


 

ALASAN PALSU (3) KEPANASAN

Tawbah Ayat 81: Ayat zajrun kepada munafikin yang tidak menyertai jihad.

فَرِحَ المُخَلَّفونَ بِمَقعَدِهِم خِلٰفَ رَسولِ اللَّهِ وَكَرِهوا أَن يُجٰهِدوا بِأَموٰلِهِم وَأَنفُسِهِم في سَبيلِ اللَّهِ وَقالوا لا تَنفِروا فِي الحَرِّ ۗ قُل نارُ جَهَنَّمَ أَشَدُّ حَرًّا ۚ لَّو كانوا يَفقَهونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those who remained behind rejoiced in their staying [at home] after [the departure of] the Messenger of Allāh and disliked to strive with their wealth and their lives in the cause of Allāh and said, “Do not go forth in the heat.” Say, “The fire of Hell is more intense in heat” – if they would but understand.

(MALAY)

Orang-orang yang ditinggalkan (tidak ikut perang) itu, merasa gembira dengan tinggalnya mereka di belakang Rasulullah, dan mereka tidak suka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah dan mereka berkata: “Janganlah kamu berangkat (pergi berperang) dalam panas terik ini”. Katakanlah: “Api neraka jahannam itu lebih sangat panas(nya)” jika mereka mengetahui.

 

فَرِحَ المُخَلَّفونَ بِمَقعَدِهِم خِلٰفَ رَسولِ اللَّهِ

Orang-orang yang ditinggalkan (tidak ikut perang) itu, merasa gembira dengan tinggalnya mereka di belakang Rasulullah,

Berasa gembira sungguh orang munafik yang memang ditinggalkan oleh Allah ﷻ dengan tidak diberikan taufik untuk menyertai jihad. Allah ﷻ sedang menceritakan psikologi mereka, perasaan mereka kerana Rasulullah ﷺ dan orang Mukmin tidak boleh membaca isi hati manusia. Maka ini adalah ciri-ciri orang Munafik yang bodoh dan telah rosak hati mereka.

Kalimah المُخَلَّفونَ adalah dalam bentuk pasif yang bermaksud ‘mereka yang ditinggalkan’. Ini kerana walaupun mereka sendiri tidak mahu pergi berperang, tetapi sebenarnya Allah ﷻlah yang menyebabkan mereka tertinggal kerana Allah ﷻ tidak suka mereka membuat onar dalam kalangan para mukminin lain yang pergi berperang. Kalau mereka pergi, mereka akan timbulkan kekacauan. Baik mereka tidak payah pergi kalau begitu. Sebab itu Allah ﷻ tinggalkan mereka di Madinah.

Boleh juga bermaksud, yang menyebabkan mereka tertinggal di belakang adalah kerana iblis dan syaitan (dalam kalangan jin dan manusia) yang menghasut mereka supaya jangan ikut serta.

Akan tetapi kerana mereka bodoh, mereka gembira kerana dapat duduk di belakang sahaja tidak keluar jihad selepas Nabi ﷺ keluar berjihad dengan para sahabat yang lain. Mereka berasa mereka selamat sebab tidak pergi berjihad. Mereka berasa mereka pandai kerana dapat menyelamatkan diri mereka daripada susah dan dapat mengelakkan kematian dalam perang.

Berat sekali masalah mereka ini sampai boleh gembira pula apabila ditinggalkan, tidak pergi berjihad. Orang Mukmin yang sebenar akan bersedih kalau tidak dapat melakukan ibadah. Contohnya orang yang biasa solat berjemaah akan berasa ralat sangat kalau tidak dapat pergi kerana terhalang. Akan tetapi golongan Munafik ini suka pula apabila mereka membuat dosa dan meninggalkan ketaatan kepada Allah ﷻ dan Rasul.

Bagaimana pula dengan kita? Ramai dalam kalangan orang kita yang membuat dosa kemudian mereka menceritakan semula dosa-dosa mereka itu tanpa segan silu, bukan? Contohnya semalam mereka berikhtilat dengan wanita kemudian ceritakan kepada kawan-kawan mereka dengan rasa bangga. Mereka ini amatlah malang kerana tidak akan diampunkan dosa mereka seperti sabda Rasulullah ﷺ. Gelaran mereka adalah Mujahir.

عن سالم بن عبد اللّه قال: سمعت أبا هريرة يقول سمعت رسول اللّه صلّى اللّه عليه وسلّم- يقول: كلّ أمّتي معافى إلّا المجاهرين، وإنّ من المجاهرة أن يعمل الرّجل باللّيل عملا، ثمّ يصبح وقد ستره اللّه فيقول: يا فلان عملت البارحة كذا وكذا، وقد بات يستره ربّه، ويصبح يكشف ستر اللّه عنه
Daripada Salim bin Abdullah, dia berkata, aku mendengar Abu Hurairah رضي الله عنه bercerita bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda, ‘Setiap umatku akan mendapat ampunan, kecuali mujahirin (orang-orang yang terang-terangan berbuat dosa). Dan yang termasuk terang-terangan berbuat dosa adalah seseorang berbuat (dosa) pada malam hari, kemudian pada pagi hari dia menceritakannya, padahal Allah ﷻ telah menutupi perbuatannya tersebut, yang mana dia berkata, ‘Hai Fulan, tadi malam aku telah berbuat begini dan begitu.’ Sebenarnya pada malam hari Rabb-nya telah menutupi perbuatannya itu, tetapi pada pagi harinya dia menyingkap perbuatannya sendiri yang telah ditutupi oleh Allah ﷻ tersebut.”
(Sahih Bukhari (6069) dan Sahih Muslim (2990))


Mereka itu suka pula apabila perbuatan mereka yang خِلٰفَ رَسولِ اللَّهِ yang boleh bermaksud,

    1. Tinggal di belakang Rasulullah ﷺ (tidak ikut serta)
    2. Menyelisihi Rasulullah ﷺ (sesuatu yang Rasulullah ﷺ tidak suka)

Ini berbeza dengan golongan Mukmin yang Allah ﷻ sebut tentang mereka di dalam Hujurat:7

وَلٰكِنَّ اللهَ حَبَّبَ إِلَيكُمُ الإيمٰنَ وَزَيَّنَهُ في قُلوبِكُم وَكَرَّهَ إِلَيكُمُ الكُفرَ وَالفُسوقَ وَالعِصيانَ ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الرّٰشِدونَ
tetapi Allah menjadikan kamu “cinta” kepada keimanan dan menjadikan keimanan itu indah di dalam hatimu serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan, dan kederhakaan. Mereka itulah orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus,

Ternyata berbeza sekali golongan Munafik dan golongan Mukmin. Boleh pula mereka berasa gembira apabila tidak menjalankan apa yang Rasulullah ﷺ suka. Maka ini jugalah sikap orang yang mengamalkan bid’ah kerana sanggup beramal dengan amalan yang bukan daripada Rasulullah ﷺ. Amat bahaya sekali kalau umat Islam mengamalkan amalan yang bid’ah yang tidak ada asalnya daripada baginda kerana ia juga termasuk perkara yang mengingkari Rasulullah ﷺ. Rasulullah ﷺ sudah melarang membuat amalan bid’ah tetapi ramai yang selamba sahaja melakukannya. Berbangga pula ketika melakukannya, berasa terpaling soleh dan beriman semasa mereka melakukannya!

Allah ﷻ telah memberi ancaman kepada mereka yang berani menyelisihi Rasulullah ﷺ di dalam Nur: 63,

فَليَحذَرِ الَّذينَ يُخالِفونَ عَن أَمرِهِ أَن تُصيبَهُم فِتنَةٌ أَو يُصيبَهُم عَذابٌ أَليمٌ
maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah Rasul takut akan ditimpa cubaan atau ditimpa azab yang pedih.

 

وَكَرِهوا أَن يُجٰهِدوا بِأَموٰلِهِم وَأَنفُسِهِم في سَبيلِ اللَّهِ

dan mereka tidak suka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah

Ini adalah sifat mereka lagi: mereka tidak sekali-kali suka untuk berjuang pada jalan Allah ﷻ dengan harta dan diri mereka kerana mereka takut mati dan kedekut untuk infak. Hati mereka tidak suka susah kerana agama. Oleh itu mereka tidak mahu korbankan diri mereka, dan mereka tidak mahu korbankan harta mereka untuk infak. Pada jalan Allah ﷻ mereka tidak suka, tetapi pada jalan syaitan dan orang kafir mereka suka pula.

Lalu bagaimana dengan kita? Adakah kita selamat kerana tidak ada jihad sekarang? Jangan lagi berasa senang ya…. kerana kita dinilai daripada isi hati kita. Kalau kita sendiri tidak ada niat untuk berjihad, maka kita pun termasuk orang Munafik juga seperti disebut dalam hadith riwayat Abu Hurairah bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ مَاتَ وَلَمْ يَغْزُ، وَلَمْ يُحَدِّثْ بِهِ نَفْسَهُ، مَاتَ عَلَى شُعْبَةٍ مِنْ نِفَاقٍ
Barangsiapa yang mati sedangkan dia tidak pernah berperang, dan tidak pernah berniat dalam hatinya untuk berperang, maka dia mati dalam satu cabang daripada kemunafikan.
(Sahih Muslim No. 158))

Berkata Qadhi Iyyadh: “Hadith ini menerangkan bahawa apabila seseorang dihalang oleh suatu penghalang daripada melaksanakan suatu kefarduan dalam agama atau dihalang daripada bersegera melaksanakan satu rukun daripada rukun-rukun Syarak atau perkara Sunnah yang masyhur, bahawa dia akan diberi ganjaran berdasarkan niatnya selama mana dia dapat melaksanakan perkara tersebut. Adapun keazaman untuk melakukan sesuatu ialah pengganti bagi perlakuan tersebut sekiranya tidak dapat ditentukan waktu perlaksanaannya.” (Rujuk Ikmal al-Mu`lim (6/170)).

Maka adakah anda ada niat untuk berjihad? Sepatutnya kena ada dan kena simpan dalam hati kita: “Aku sokong jihad dan jikalau ada jihad, pasti aku akan menyertainya!” Namun bagaimana mungkin anda ada perasaan ini jikalau anda tidak belajar tentang jihad daripada ilmu tafsir Al-Qur’an sehingga anda memahaminya?

Antara surah yang menyebut tentang jihad adalah Surah Tawbah ini namun malangnya ia bukanlah surah yang selalu diperkatakan orang, bukan? Orang kita hanya tahu Surah Yaasin, Surah Mulk, Surah Dhuha, Surah Sajdah dan lain-lain surah yang digelar ‘Surah Lazim’ oleh mereka. Bilakah pula mereka hendak faham tentang jihad jika hanya surah-surah itu sahaja yang diulang-ulang sampai mati?

 

وَقالوا لا تَنفِروا فِي الحَرِّ

dan mereka berkata: “Janganlah kamu berangkat dalam panas terik ini”.

Yang lebih teruk, mereka bukan sahaja sesat sendiri, malah mereka hendak menyesatkan orang lain pula. Sudahlah mereka malas, penakut dan kedekut, mereka hasut pula orang lain supaya jadi seperti mereka! Kerana itu mereka kata kepada Muslim yang lain, tidak perlu kamu keluar pada jalan Allah ﷻ dalam musim panas. Sememangnya pada waktu Perang Tabuk itu, musim panas dan perjalanan pula amat jauh. Mereka sanggup berkata, “Jangan susah-susahkan diri, kan panas tu?”

Mereka tidak mahu orang lain pergi, kerana kalau ramai yang tidak pergi, maka tidaklah nampak sangat yang mereka tidak pergi. Kalau semua pergi dan mereka sahaja tidak pergi, nampak sangat mereka lain daripada orang lain. Oleh itu, mereka akan kempen orang lain pun tidak pergi juga. Busuk sekali hati mereka.

 

قُل نارُ جَهَنَّمَ أَشَدُّ حَرًّا ۚ لَّو كانوا يَفقَهونَ

Katakanlah: “Api neraka jahannam itu lebih sangat panas(nya)” kalaulah mereka mengetahui.

Allah ﷻ suruh beritahu kepada mereka, api neraka jahannam lebih panas daripada terik di dunia ini. Allah ﷻ suruh beritahu kerana Allah ﷻ tidak mahu bercakap sendiri dengan mereka (kerana terlalu marah dengan mereka). Oleh itu, Allah ﷻ suruh Nabi Muhammad ﷺ yang sampaikan. Kepanasan Neraka kita tidak akan dapat tahu selama kita hidup di dunia ini tetapi Allah ﷻ ada beri isyaratnya seperti Mukminoon:104

تَلفَحُ وُجوهَهُمُ النّارُ وَهُم فيها كٰلِحونَ
Muka mereka dibakar api neraka, dan mereka di dalam neraka itu dalam keadaan cacat.

Allah ﷻ berfirman di dalam Kahf:29

إِنّا أَعتَدنا لِلظّٰلِمينَ نارًا أَحاطَ بِهِم سُرادِقُها ۚ وَإِن يَستَغيثوا يُغاثوا بِماءٍ كَالمُهلِ يَشوِي الوُجوهَ ۚ بِئسَ الشَّرابُ وَساءَت مُرتَفَقًا
Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang.

Kalaulah mereka boleh memahami yang agama boleh memadamkan api neraka, tentulah mereka akan keluar berjihad. Tentulah mereka tidak kisah kalau terpaksa bersusah sedikit, kalau kena keluar dalam panas terik musim panas. Semua kesusahan itu adalah teramatlah kurang kalau dibandingkan dengan api neraka yang entah berapa juta darjah panasnya!

قَالَ الْإِمَامُ مَالِكٌ، عَنْ أَبِي الزِّناد، عَنِ الْأَعْرَجِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “نَارُ بَنِي آدَمَ الَّتِي يُوقِدُونَ بِهَا جزءٌ مِنْ سَبْعِينَ جُزْءًا [مِنْ نَارِ جَهَنَّمَ” فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنْ كَانَتْ لَكَافِيَةٌ. قَالَ إِنَّهَا فُضِّلَتْ عَلَيْهَا بِتِسْعَةٍ وَسِتِّينَ جُزْءًا]
Imam Malik رحمه الله telah meriwayatkan daripada Abuz Zanad, daripada Al-A’raj, daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah ﷺ telah bersabda: “Api manusia yang biasa kalian nyalakan itu merupakan sepertujuh puluh daripada panasnya api neraka Jahannam.” Mereka (para sahabat bertanya), “Wahai Rasulullah ﷺ, sekalipun panas api itu sudah cukup.” Rasulullah ﷺ bersabda, “Api neraka Jahannam lebih panas enam puluh sembilan kali lipat daripada api di dunia.”
(Imam Bukhari dan Imam Muslim mengetengahkannya)

Maka hujah kepada mereka adalah, kalau panas terik di dunia pun kamu tidak mampu hadap, maka adakah kamu sangka kamu boleh tahan azab panasnya api neraka? Fikir-fikirkanlah tentang hal ini.

Hujah ini ternyata hujah yang kuat. Katakanlah ada yang tidak berpuasa kerana beralasan panas dan tidak tahan haus, maka cakap kepadanya: “Panas? Azab Neraka lagi panas, tau!”; atau kalau ada yang tidak memakai tudung tutup aurat dengan beralasan panas dan rimas, maka sama sahaja hujah balas kepada mereka, “Panas? Azab Neraka lagi panas, tau!”. Hujah ini boleh digunapakai dalam banyak perkara. Semoga mereka fikir-fikirkan dan banding-bandingkan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 10 Julai 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

 

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment