ALASAN PALSU (1) TIDAK MAMPU
Tawbah Ayat 42: Sekarang kita masuk ke Perenggan Makro ke 4 surah ini. Dalam perenggan ini, perkara utama yang Allah ﷻ tekankan adalah perang kepada orang kafir dan kepada orang munafik. Maka sekarang masuk kisah orang munafik pula. Mereka pun perlu diperangi juga tetapi dengan cara yang benar. Nanti akan disebutkan dengan jelas. Perenggan ini panjang dan berterusan sehingga ke ayat 127. Mulanya diceritakan yang mereka itu berat untuk menyertai jihad.
Dalam Perang Tabuk itu, orang mukmin semua pergi keluar jihad kecuali lapan orang. Selain daripada itu semua mukmin pergi berperang kecuali mereka yang dibenarkan untuk bertahan di Madinah. Daripada 8 orang itu, 5 orang daripada kumpulan Lubabah dan 3 lagi daripada kumpulan Ka’ab bin Malik. Mereka itu mukmin tetapi ada masalah pada mereka, kerana itu mereka tidak pergi. Kisah mereka ini nanti akan disebut di hadapan nanti.
Selain itu, ada ramai lagi golongan munafik yang tidak pergi berperang. Mereka itu tidak dikira mukmin dan mereka itu lebih ramai yang tidak pergi. Kumpulan Munafik itu pula terbahagi kepada 4 golongan. Dua kumpulan yang pertama adalah:
I. Ada yang minta izin kepada Nabi ﷺ untuk tidak berjihad
II. Ada yang tidak minta izin pun dan apabila Nabi ﷺ pulang, barulah mereka beri alasan.
Selain daripada dua jenis ini, ada dua kumpulan pula yang pergi juga berjihad. Di dalam ayat ini disebut tentang mereka yang tidak pergi. Allah ﷻ beri teguran kepada mereka dalam ayat ini. Maka ayat ini adalah jenis Ayat Zajrun. Munafik itu tidak pergi berperang kerana munafik itu pilih keuntungan dunia. Mereka itu memang tidak ada iman langsung atau mereka lemah iman.
لَو كانَ عَرَضًا قَريبًا وَسَفَرًا قاصِدًا لَّاتَّبَعوكَ وَلٰكِن بَعُدَت عَلَيهِمُ الشُّقَّةُ ۚ وَسَيَحلِفونَ بِاللَّهِ لَوِ استَطَعنا لَخَرَجنا مَعَكُم يُهلِكونَ أَنفُسَهُم وَاللَّهُ يَعلَمُ إِنَّهُم لَكٰذِبونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Had it been a near [i.e., easy] gain and a moderate trip, they [i.e., the hypocrites] would have followed you, but distant to them was the journey. And they will swear by Allāh,¹ “If we were able, we would have gone forth with you,” destroying themselves [through false oaths], and Allāh knows that indeed they are liars.
- When you return from the Tabūk expedition.
(MALAY)
Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak berapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: “Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu”. Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.
لَو كانَ عَرَضًا قَريبًا
Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh
Menurut Ibnu Abbas رضي الله عنهما, yang dimaksudkan dengan ‘aradan qariban’ ialah ghanimah (rampasan perang) yang dekat (mudah diperoleh).
Sekarang Allah ﷻ beritahu apa yang dalam hati orang-orang Munafik itu: sekiranya apa yang dijanjikan itu mudah dapat, mereka akan ikut serta kerana mereka tahu mereka akan untung kerana yang mereka hendak dapat berperang itu adalah harta rampasan perang. Akan tetapi mereka tidak mahu bersusah payah. Mereka tidak mahu berkorban untuk agama. Mereka hanya hendakkan benda yang senang sahaja, yang mudah dicapai.
Maka kena tanya diri kita: Adakah kita pun seperti itu juga? Adakah kita juga berkira-kira untuk berkorban dalam hal agama? Adakah kita hanya mahukan keuntungan yang mudah? Kalau ada untung baru kita hendak beribadah atau hendak berdakwah?
وَسَفَرًا قاصِدًا
dan perjalanan yang tidak seberapa jauh,
Untuk mendapatkannya perjalanan pun dekat, tidak susah sangat, maka mereka pun akan pergi juga. Seperti yang telah disebut sebelum ini, kedudukan Tabuk itu adalah jauh dan musim itu sedang panas pula. Kena berjalan pula kerana kalau ada unta pun kena berkongsi seramai sepuluh orang. Maka tentunya golongan munafik itu tidak ada selera hendak pergi.
لَّاتَّبَعوكَ
pastilah mereka mengikutimu,
Jika senang dapat dan perjalanan tidak jauh, Allah ﷻ kata nescaya puak munafikin itu akan ikut serta orang-orang mukmin menyertai Perang Tabuk itu. Memang ada perang jihad yang mereka sertai kerana mereka rasa perang tidak susah dan kalau pergi, boleh dapat harta ghanimah nanti. Akan tetapi kali ini Allah ﷻ uji dengan satu perang yang amat payah.
Maka kita dapat tahu yang mereka hendakkan harta rampasan perang sahaja sebenarnya. Mereka bukannya hendak menegakkan agama Allah ﷻ di bumi ini. Itulah yang dimaksudkan dengan عَرَضًا iaitu pulangan yang boleh dilihat dengan mata. Sedangkan pahala dan balasan syurga mereka tidak nampak, bukan?
Maka kita dapat tahu dari sini yang golongan munafik ini sanggup buat ibadah yang mudah-mudah sahaja. Itu pun kerana untuk ditunjukkan kepada orang lain seperti disebut di dalam ayat yang lain. Maka kalau kita pun begitu juga, malas hendak beribadah, maka kita pun ada ciri-ciri munafik sebenarnya dan ini kita amat takut. Adakah kita solat setakat yang fardhu sahaja? Adakah kita sebagai lelaki hanya solat sendirian sahaja? Adakah kita buat ibadah ‘cukup-cukup makan’ sahaja? Asal ada nampak sebagai Muslim sahaja?
وَلٰكِن بَعُدَت عَلَيهِمُ الشُّقَّةُ
akan tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka.
Akan tetapi Tabuk itu nampak jauh bagi mereka, maka mereka tidak mahu pergi. Yang dimaksudkan dengan syuqqah ialah jauh dan dalam kes Perang Tabuk, mereka kena menuju ke negeri Syam. Mereka terasa payah kalau mereka menyertainya.
Kerana itulah nama lain bagi perang ini juga ialah perang Al-Fadhihah yang bermaksud “mengungkap hakikat kaum munafik.” Hal ini adalah kerana peperangan ini menyerlahkan perangai sebenar puak munafik, cara permusuhan mereka, dan mengungkap permusuhan mereka kepada kaum Muslimin. Allah ﷻ hendak tunjukkan mana mukmin dan mana yang munafik kerana yang munafik akan berat untuk pergi jihad.
Maka puak munafik ramai yang tidak pergi dan ada antara mereka yang tidak pergi berjumpa Nabi ﷺ pun untuk meminta keizinan pelepasan. Sepatutnya, kerana ini adalah nafrul am (arahan wajib), maka semua kena pergi dan kalau tidak boleh pergi, kena beritahu kepada Nabi ﷺ menjelaskan kenapa tidak boleh pergi.
Mereka tidak berjumpa Nabi ﷺ meminta izin untuk tidak menyertai perang dan apabila Nabi ﷺ pulang daripada peperangan, baru mereka menemui Nabi ﷺ untuk memberi alasan. Ternyata ini adalah munafik yang jenis paling teruk.
وَسَيَحلِفونَ بِاللَّهِ لَوِ استَطَعنا لَخَرَجنا مَعَكُم
Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: “Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu”.
Allah ﷻ beritahu, pasti mereka akan datang kepada Nabi ﷺ dan bersumpah dengan nama Allah ﷻ: “Kalau kami mampu, tentu kami pergi juga; akan tetapi kami tidak mampu”. Maka mereka telah datang bertemu Nabi Muhammad ﷺ dengan pelbagai alasan.
Sampai ada yang kata, oleh kerana Nabi ﷺ ajak pergi berperang dengan ‘orang putih’, dan orang-orang perempuan mereka cantik bermata biru, mereka kata mereka takut nanti kalau mereka nampak, mereka akan terpikat dan rosak diri mereka pula nanti. Mereka kata nafsu mereka lemah dan elok mereka duduk di Madinah sahaja. Ini memang alasan kelas murahan betul.
Golongan munafik menggunakan senjata sumpah untuk menguatkan hujah mereka. Mereka terpaksa menggunakannya kerana kata-kata mereka itu lemah, maka kena kuatkan dengan sumpah. Mereka sendiri sedar yang kalau mereka cakap kosong sahaja, mereka pun tahu yang orang lain tidak akan percaya. Maka kalau suka bersumpah, itu adalah perangai orang munafik sebenarnya dan ini disebut dalam Munafiqoon:2
اتَّخَذوا أَيمٰنَهُم جُنَّةً
Mereka itu menjadikan sumpah mereka sebagai perisai
يُهلِكونَ أَنفُسَهُم
Mereka membinasakan diri mereka sendiri
Allah ﷻ beritahu bohongan mereka itulah yang membinasakan diri mereka sendiri. Tambahan pula mereka bersumpah dengan nama Allah ﷻ dan ini amat berat kerana mempermainkan nama Allah ﷻ.
Mereka beri alasan sahaja dan Allah ﷻ tahu yang ia tidak benar kerana Allah ﷻ tahu apa yang ada dalam hati mereka. Kita memang tidak tahu, tetapi Allah ﷻ tahu. Maka dari sini kita tahu yang alasan mereka tidak diterima oleh Allah ﷻ kerana Allah ﷻ telah beri segala peluang kepada mereka untuk mereka gunakan tetapi mereka tidak menggunakannya.
Allah ﷻ kata mereka binasa kerana sudahlah tidak pergi berjihad, main sumpah pula dalam memberi alasan yang lemah. Ternyata dari sini kita tahu yang bukan jihad yang membinasakan manusia, tetapi binasa itu kerana tidak pergi berjihad. Yang munafik mungkin berasa selamat kerana tidak mati di medan perang, tetapi sebenarnya mereka telah binasa, mereka sahaja yang tidak tahu.
Bagaimana dengan kita? Mari lihat satu senario. A pergi ke kelas pengajian, tetapi B tidak pergi kelas pengajian walaupun diajak oleh A. Dalam perjalanan ke kelas, A kemalangan dan mati. Apa agaknya kata B nanti? Adakah dia akan kata, “Selamat aku sebab tak ikut si A tu pergi kelas, kalau tak dengan aku sekali mati!” Kalau inilah kata-katanya maka dialah yang tersilap kerana A walaupun telah mati kemalangan, tetapi mati dalam perjalanan menuntut ilmu bermakna syahidlah balasan untuknya. Sedangkan B tidak mendapat apa-apa pun melainkan kebodohan yang berpanjangan.
وَاللَّهُ يَعلَمُ إِنَّهُم لَكٰذِبونَ
dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.
Allah ﷻ tahu yang mereka memang berbohong dan Allah ﷻ beritahu Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda tidak tahu apa yang ada dalam hati mereka. Baginda itu manusia sahaja dan tidak dapat membaca niat dan bisikan hati manusia. Hanya apabila Allah ﷻ sendiri yang beritahu, barulah baginda tahu.
Habis Ruku’ 6 daripada 16 ruku’ dalam surah ini.
Tawbah Ayat 43: Ayat Zajrun (teguran) kepada Nabi Muhammad ﷺ. Kenapa pula Allah ﷻ tegur baginda? Kita kena faham keadaan waktu itu. Semasa Perang Tabuk, jihad telah diwajibkan kepada semua yang mampu pergi. Apabila telah diwajibkan, maka kalau ada yang tidak dapat pergi, mereka mestimeminta izin daripada Nabi ﷺ untuk tidak pergi.
Inilah disiplin yang diajar dalam hal ini. Kita dalam kerja pun kena ada disiplin, bukan? Kita kena ikut cara dan protokol tempat kerja kita – kalau tidak dapat hadir untuk bekerja, kenalah laporkan kepada majikan atau kepada HR. Takkan buat tidak tahu sahaja dan ambil cuti sendiri, bukan? Ini penting, kerana kalau tidak ada protokol, maka akan kacau bilau sesebuah organisasi itu.
Masalah besar bagi mukmin di Madinah adalah golongan munafik. Mereka itu adalah ‘api dalam sekam’, ‘gunting dalam lipatan’. Mereka bercampur gaul dengan puak mukmin dan berlagak sebagai orang yang beriman, tetapi sebenarnya tidak. Hati mereka sebenarnya benci kepada Islam.
Mereka itu tidak boleh dipercayai kerana mereka mungkin boleh pecahkan rahsia umat Islam. Tambahan pula waktu itu adalah zaman peperangan bergolak di antara Muslim dengan puak kafir dan puak Ahli Kitab. Akan tetapi golongan mukmin tidak kenal siapakah golongan munafik kerana sifat munafik itu adalah perkara dalam hati dan kita tidak dapat membaca hati orang, bukan? Kalau ada tanda di dahi siapa yang munafik, mudahlah hendak berhati-hati dengan orang yang sebegitu. Namun memang tidak ada tanda yang jelas.
Oleh itu, Perang Tabuk ini adalah satu peluang untuk puak mukmin tahu siapakah yang munafik dalam kalangan mereka. Kalau ada yang tidak pergi berperang, maka tahulah yang mereka itu munafik dan kena berhati-hati dengan mereka ini. Ini adalah peluang kerana berlainan daripada peperangan sebelum itu.
Peperangan sebelum itu adalah fardhu Kifayah sahaja dan tidak wajib, maka kalau puak munafik tidak pergi, mereka tidak boleh dipersalahkan kerana memang tidak wajib pun. Mereka yang tidak mahu pergi pun tidak perlu meminta izin. Namun Perang Tabuk ini Allah ﷻ telah menjadikan sebagai peluang untuk membongkar hati puak munafik itu.
Akan tetapi, apabila diwajibkan berjihad ke Tabuk, ada dalam kalangan golongan munafik yang meminta izin daripada Nabi ﷺ, dan disebabkan sifat baginda yang berhati lembut, maka dengan mudah saja baginda telah memberi izin kepada mereka untuk tidak menyertai Perang Tabuk itu. Maka hilanglah peluang untuk mengetahui siapa yang munafik. Ini kerana jika ditanya kenapa mereka tidak pergi, mereka boleh jawab: “Kami sudah minta izin daripada Rasulullah ﷺ dan baginda benarkan kami tidak sertai perang ini”.
Maka, kerana itulah Nabi Muhammad ﷺ ditegur oleh Allah ﷻ dalam ayat ini.
عَفَا اللَّهُ عَنكَ لِمَ أَذِنتَ لَهُم حَتّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكَ الَّذينَ صَدَقوا وَتَعلَمَ الكٰذِبينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
May Allāh pardon you, [O Muḥammad]; why did you give them permission [to remain behind]? [You should not have] until it was evident to you who were truthful and you knew [who were] the liars.
(MALAY)
Semoga Allah memaafkanmu. Mengapa kamu memberi izin kepada mereka (untuk tidak pergi berperang), sebelum jelas bagimu orang-orang yang benar (dalam keuzurannya) dan sebelum kamu ketahui orang-orang yang berdusta?
عَفَا اللَّهُ عَنكَ
Semoga Allah memaafkanmu.
Ayat ini dimulakan terus dengan menyatakan yang Allah ﷻ memaafkan Nabi Muhammad ﷺ. Memang Allah ﷻ tegur Nabi ﷺ tetapi ayat ini dimulakan dengan pemaafan. Maknanya ada kesalahan yang telah dilakukan boleh baginda sebenarnya. Akan tetapi kenapa Allah ﷻ beri kemaafan sedangkan seorang Nabi itu adalah maksum dan tidak ada dosa? Kita kena faham yang bukanlah Nabi ﷺ tidak melakukan kesalahan, tetapi kesalahan itu tidaklah berat sampai ke tahap berdosa. Ia dipanggil khilaaful awla (berlawanan dengan cara yang terbaik).
Mungkin ada yang tidak senang hati untuk mengatakan Nabi ﷺ telah bersalah. Namun di sini Allah ﷻ sendiri yang menegur dan menyatakan yang Nabi ﷺ telah bersalah. Maka kita terima seadanya, tidak berlebih-lebih. Kita kena ingat yang Allah ﷻ sahaja yang boleh menegur baginda. Jangan kita berlebihan pula dalam hal ini menyalahkan baginda atau merendahkan kedudukan baginda.
Permulaan ayat ini agak pelik dan kalau tidak belajar tafsir tentu tidak tahu latar belakang ayat ini dan kenapa Allah ﷻ terus memaafkan baginda. Selalunya sebelum peperangan, Nabi ﷺ tidak memberitahu kepada puak Muslim, ke mana mereka akan berperang. Ini adalah sebagai taktik peperangan kerana takut musuh dalam selimut menyampaikan berita kepada orang kafir.
Sebagai contoh, kadangkala kalau baginda hendak menyerang di timur, baginda akan tanya khabar bahagian barat. Atau baginda sengaja bertanya mana tempat ada air, tempat persinggahan dan sebagainya. Itu adalah untuk mengelirukan musuh dalam selimut – supaya mereka beritahu kepada sekutu mereka daripada pihak musuh yang Nabi ﷺ hendak menyerang dari arah barat. Akan tetapi keesokkannya Nabi ﷺ telah menghantar tentera ke arah lain. Inilah hikmah Nabi ﷺ dalam strategi peperangan.
Namun begitu berlainan pula strategi baginda dalam Perang Tabuk ini. Awal-awal lagi Nabi ﷺ sudah beritahu yang mereka akan pergi ke Tabuk untuk berperang dengan tentera Rom. Itu adalah tempat paling jauh yang pasukan tentera Islam pernah pergi. Tambahan pula ketika itu adalah musim panas. Bagi penduduk Madinah, tanaman utama mereka adalah kurma dan masa itulah buah kurma akan dikutip kerana sudah masak dan ranum. Ini adalah kerana ketika musim panas, lagi manis buah itu.
Kita juga jangan lupa yang hasil tahunan mereka bergantung kepada hasil tanaman kurma. Kebiasaannya yang berlaku sebelum ini, jika ada keperluan untuk keluar berjihad, mereka akan berhutang dengan pihak Yahudi yang dipercayai bagi mendapatkan modal berjihad. Setelah pulang berperang dan mereka memperoleh hasil tuaian maka mereka dapat membayar semula hutang tadi.
Namun keadaan sekarang tidak sama. Mereka berasa dilema kerana arahan untuk keluar berjihad dikeluarkan ketika mereka baru sahaja hendak menuai hasil tanaman mereka itu. Ditambah pula dengan faktor musim panas serta jarak Tabuk yang sangat jauh. Lebih membebankan lagi apabila arahan berjihad diwajibkan ke atas mereka SEMUA dan tidak ada yang terkecuali sebagaimana perang-perang sebelum ini.
Allah ﷻ sebenarnya tidak mahu Nabi ﷺ memberi izin kepada sesiapa pun untuk tinggal, melainkan alasan uzur syar’ie. Tujuan utamanya adalah kerana Allah ﷻ hendak menzahirkan siapakah yang munafik. Nanti akan terserlah bagaimana yang tidak pergi jihad itulah yang munafik. Allah ﷻ buat begini supaya orang-orang mukmin senang kenal mereka selepas itu. Begitulah cara untuk mengenal orang munafik dan selepas ini sampai bila-bila. Jikalau infak dan jihad disyariatkan dan ada yang tidak menyertainya atau menghulurkan infak, maka itulah tanda mereka itu adalah munafik.
Inilah satu kaedah pengecaman yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita. Ia amat penting kepada khalifah negara Islam supaya mereka dapat gunakan kaedah ini untuk tahu siapa munafik dan mereka bolehlah berjaga-jaga dengan mereka. Amat berbahaya sekali jikalau ada munafik dalam negara kerana mereka boleh menghancurkan umat Islam dari dalam.
Namun begitu masalahnya, Nabi ﷺ telah memberi izin kepada para munafik yang datang kepada baginda dengan pelbagai alasan untuk tidak menyertai Perang Tabuk ini. Semuanya baginda beri izin tanpa diperiksa secara mendalam. Dengan sebab izin itu, orang mukmin tidak dapat membezakan, sama ada orang yang tidak pergi perang itu adalah kerana mereka munafik atau tidak.
Oleh kerana Nabi ﷺ telah beri izin kepada mereka, Allah ﷻ tegur baginda kerana ini adalah sebuah kesilapan yang memberikan kesan yang besar. Walau bagaimanapun, Allah ﷻ telah memaafkan awal-awal lagi kesilapan Nabi ﷺ itu. Lihat kepada permulaan ayat ini, terlebih dahulu Allah ﷻ memaafkan Nabi ﷺ sebelum Allah ﷻ tegur. Ini menunjukkan sayangnya Allah ﷻ kepada baginda. Namun tegur tetap kena tegur juga kerana ia menjadi pengajaran buat kita semua.
لِمَ أَذِنتَ لَهُم
Mengapa kamu memberi izin kepada mereka
Sekarang barulah disebut teguran Allah ﷻ kepada baginda. Allah ﷻ mulakan dengan beri kemaafan sebelum disebut kesalahan baginda kerana kalau dimulakan dengan teguran, tentulah hati Nabi ﷺ akan pecah kerana baginda sangat terkesan dengan teguran daripada Allah ﷻ.
Begitulah sayangnya Allah ﷻ kepada baginda, Allah ﷻ mulakan dengan pemaafan dahulu. Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami ayahku, telah menceritakan kepada kami Abu Husain ibnu Sulaiman Ar-Razi, telah menceritakan kepada kami Sufyan ibnu Uyaynah, daripada Mis’ar, daripada Aun yang mengatakan, “Apakah kalian pernah mendengar suatu teguran yang lebih baik daripada ayat ini? Iaitu seruan yang menyatakan pemberian maaf sebelum penyaksian.” Allah ﷻ telah berfirman: Semoga Allah memaafkanmu. Mengapa kamu memberi izin kepada mereka (untuk tidak pergi berperang)? (At-Taubah: 43)
Apakah teguran Allah ﷻ? Allah ﷻ tanya baginda kenapa baginda cepat sangat beri izin kepada mereka, sedangkan Allah ﷻ tidak beri izin lagi? Ini pula adalah perang yang fardhu ain, bukan fardhu kifayah. Sepatutnya Nabi ﷺ kena tanya balik apa masalah mereka itu sebenarnya kalau betul ada masalah. Janganlah terus terima sahaja kerana mungkin alasan mereka tidak masuk akal dan tidak patut diterima.
Tentulah suka hati golongan munafik itu sebab mendapat izin daripada baginda. Mereka pun canang keliling kampung kata mereka berjaya menipu Rasulullah ﷺ. Atau mereka kata senang sahaja dengan Rasulullah ﷺ ini, boleh dibuat main-main sahaja. Sementara itu mukmin lain tidak tahu sama ada orang yang tidak pergi jihad itu munafik atau tidak kerana mereka telah mendapat izin daripada Nabi ﷺ. Seolah-olah mereka sudah dapat ‘lesen’ untuk tidak pergi jihad. Maka kerana itulah Allah ﷻ tegur Nabi ﷺ, kenapalah baginda dengan mudah sahaja memberi izin kepada mereka?
حَتّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكَ الَّذينَ صَدَقوا
sebelum jelas bagimu orang-orang yang benar
Sepatutnya baginda tidak beri izin (kena tangguh dulu) sehingga nyata kepada baginda siapa orang yang benar. Kalau hendak beri izin pun, biarlah kepada yang betul-betul ada uzur. Kalau tidak, maka wajibkan juga mereka untuk berjihad kerana ini cara untuk tahu siapa yang benar beriman dan siapa yang mengaku sahaja. Iaitu, mereka yang pergi berjihad ke Tabuk itulah yang benar dalam iman mereka dan merekalah orang mukmin yang sebenar.
Yang tidak pergi, buat tidak tahu sahaja, buat senyap sahaja apabila orang lain pergi, maka ketahuilah yang hati mereka itu sebenarnya ada sifat munafik. Oleh itu, selepas itu jangan lagi beri izin kepada mereka yang datang minta izin tanpa memberikan alasan yang benar.
وَتَعلَمَ الكٰذِبينَ
dan sebelum kamu ketahui orang-orang yang berdusta?
Sepatutnya Nabi ﷺ tidak beri izin sehingga nyata kepada baginda siapa yang berbohong. Iaitu berbohong dalam hal iman mereka (kata beriman tapi sebenarnya tidak). Ini dapat diagak dari alasan yang mereka berikan.
PELEPASAN DARI BERJIHAD
Tawbah Ayat 44: Sebelum ini disebut sifat golongan munafik dan sekarang disebut tentang orang Mukmin sejati pula. Allah ﷻ membuat perbandingan siapa yang kita jangan ikut, dan sekarang Allah ﷻ ajar kita sifat siapa yang kita patut ikut.
لا يَستَئذِنُكَ الَّذينَ يُؤمِنونَ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ أَن يُجٰهِدوا بِأَموٰلِهِم وَأَنفُسِهِم ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ بِالمُتَّقينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Those who believe in Allāh and the Last Day would not ask permission of you to be excused from striving [i.e., fighting] with their wealth and their lives. And Allāh is Knowing of those who fear Him.
(MALAY)
Orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, tidak akan meminta izin kepadamu untuk tidak ikut berjihad dengan harta dan diri mereka. Dan Allah mengetahui orang-orang yang bertakwa.
لا يَستَئذِنُكَ الَّذينَ يُؤمِنونَ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ أَن يُجٰهِدوا
Orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, tidak akan meminta izin kepadamu untuk tidak ikut berjihad
Inilah cara untuk mengenal siapakah yang benar-benar beriman dan yang munafik. Mereka akan taat apabila arahan daripada Rasulullah ﷺ sudah keluar. JIkalau sudah keluar arahan nafrul am, tidak boleh minta izin untuk ponteng. Mereka akan pergi walaupun berat bagi mereka. Orang yang benar-benar beriman kepada Allah ﷻ dan hari akhirat, tidak akan mencari alasan untuk tidak keluar berjihad apabila arahan jihad yang wajib telah dikeluarkan. Ini kerana mereka tahu kepentingan jihad itu.
Dalam Surah Nur juga ada disebut tentang meminta izin tetapi itu adalah keizinan dalam perkara yang lain. Maka kena pandai bezakan. Surah Tawbah ini adalah tentang jihad yang memerlukan semua orang Islam turun. Ayat daripada Surah itu adalah Nur:62
إِنَّمَا المُؤمِنونَ الَّذينَ ءآمَنوا بِاللهِ وَرَسولِهِ وَإِذا كانوا مَعَهُ عَلىٰ أَمرٍ جامِعٍ لَّم يَذهَبوا حَتّىٰ يَستَئذِنوهُ ۚ إِنَّ الَّذينَ يَستَأذِنونَكَ أُولٰئِكَ الَّذينَ يُؤمِنونَ بِاللهِ وَرَسولِهِ ۚ فَإِذَا استَأذَنوكَ لِبَعضِ شَأنِهِم فَأذَن لِّمَن شِئتَ مِنهُم وَاستَغفِر لَهُمُ اللهَ ۚ إِنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ
Sesungguhnya yang sebenar-benar orang mukmin ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan apabila mereka berada bersama-sama Rasulullah dalam sesuatu urusan yang memerlukan pertemuan, mereka tidak meninggalkan (Rasulullah) sebelum meminta izin kepadanya. Sesungguhnya orang-orang yang meminta izin kepadamu (Muhammad) mereka itulah orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya, maka apabila mereka meminta izin kepadamu kerana sesuatu keperluan, berilah izin kepada siapa yang kamu kehendaki di antara mereka, dan mohonkanlah ampunan untuk mereka kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Mukminin tidak akan meminta izin untuk tidak menyertai peperangan kerana mereka percaya kepada janji yang Allah ﷻ telah berikan dan mereka amat berharap. Sifat mereka ini disebut juga di dalam Mukminoon:61
أُولٰئِكَ يُسٰرِعونَ فِي الخَيرٰتِ وَهُم لَها سٰبِقونَ
mereka itu bersegera untuk mendapat kebaikan-kebaikan, dan merekalah orang-orang yang segera memperolehnya.
Maknanya mereka tidak akan lepaskan peluang untuk mendapat kebaikan.
بِأَموٰلِهِم وَأَنفُسِهِم
dengan harta dan diri mereka.
Apabila arahan jihad dikeluarkan, orang mukmin mesti mesti bersedia untuk mengorbankan diri dan harta mereka. Ini kerana jihad memerlukan belanja yang besar. Kebanyakan mereka yang hendak berjihad itu memang akan mengeluarkan belanja sendiri. Bukan sahaja belanja untuk diri mereka malah harus menyiapkan belanja untuk keluarga mereka yang akan ditinggalkan. Maka ini memang memerlukan pengorbanan tinggi yang tidak sanggup dilakukan oleh golongan munafik yang kedekut dan amat sayangkan harta.
Bukan setakat keluarkan harta sahaja, malah diri sendiripun mesti berani untuk keluar berperang. Ini memang agak berat kerana mereka mungkin akan kehilangan nyawa. Akan tetapi kalau mereka percaya kepada janji Allah ﷻ, maka mereka sebenarnya berharap yang mereka akan mati di medan jihad. Inilah peluang mereka seandainya mereka benar-benar faham kerana jihadlah satu-satu jalan pintas ke syurga.
وَاللَّهُ عَليمٌ بِالمُتَّقينَ
Dan Allah mengetahui orang-orang yang bertakwa.
Allah ﷻ tahu apa yang dalam hati manusia. Dia tahu siapa yang bertaqwa dan yang tidak. Cuma Allah ﷻ zahirkan siapa yang munafik dengan mengadakan kewajipan jihad. Ini kerana mereka yang tidak keluar berjihad tanpa alasan yang munasabah adalah tanda golongan munafik. Allah ﷻ tahu siapa yang beriman dan bertaqwa dan siapa yang munafik, cuma Allah ﷻ zahirkan kepada orang mukmin kerana orang mukmin tidak tahu apa yang di dalam hati manusia.
Tawbah Ayat 45:
إِنَّما يَستَئذِنُكَ الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ وَارتابَت قُلوبُهُم فَهُم في رَيبِهِم يَتَرَدَّدونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Only those would ask permission of you who do not believe in Allāh and the Last Day and whose hearts have doubted, and they, in their doubt, are hesitating.
(MALAY)
Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu, hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian, dan hati mereka ragu-ragu, kerana itu mereka selalu bimbang dalam keraguan.
إِنَّما يَستَئذِنُكَ الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ
Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu, hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian,
Allah ﷻ beritahu yang minta izin itulah yang munafik. Mereka nampak seperti Muslim tetapi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya iman.
وَارتابَت قُلوبُهُم
dan hati mereka ragu-ragu,
Hati mereka ragu-ragu tentang agama Islam. Ada perkara yang mereka terima dan ada yang mereka tidak terima. Sebagai contoh, mereka tidak percaya kepada janji Allah ﷻ tentang jihad. Sebab itu mereka sanggup mencari alasan untuk tidak keluar berjihad.
فَهُم في رَيبِهِم يَتَرَدَّدونَ
kerana itu mereka selalu bimbang dalam keraguan.
Hati mereka goyah serta dalam kebimbangan kerana keraguan yang sudah ada dalam hati mereka. Apabila sudah diwajibkan jihad, mereka sudah bimbang. Mereka bimbang sebab mereka tidak mahu berjihad, tidak mahu susah, tidak mahu keluarkan harta mereka, tetapi kalau mereka tidak pergi, mereka takut pecah tembelang mereka. Maka hati sering berbolak balik mahu pergi kah atau tidak?
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 23 Mei 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
