Ali Imran Ayat 27:
تولِجُ اللَّيلَ فِي النَّهارِ وَتولِجُ النَّهارَ فِي اللَّيلِ ۖ وَتُخرِجُ الحَيَّ مِنَ المَيِّتِ وَتُخرِجُ المَيِّتَ مِنَ الحَيِّ ۖ وَتَرزُقُ مَن تَشآءُ بِغَيرِ حِسابٍ
SAHIH INTERNATIONAL
You cause the night to enter the day, and You cause the day to enter the night; and You bring the living out of the dead, and You bring the dead out of the living. And You give provision to whom You will without account.”
MALAY
“Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya”.
تولِجُ اللَّيلَ فِي النَّهارِ
“Engkaulah (wahai Tuhan) yang menyumbat waktu malam ke dalam waktu siang,
Allah ﷻ berkuasa melakukan apa sahaja, termasuklah untuk menukar kejadian siang dan malam. Ada kala malam ‘disumbat’ masuk dalam siang sampai malam jadi panjang.
Perkataan تولِجُ bukan bermaksud ‘masukkan’ tapi ‘menyumbat’. Bayangkan kita menyumbat pakaian kita ke dalam beg yang sudah sendat.
وَتولِجُ النَّهارَ فِي اللَّيلِ
dan Engkaulah yang menyumbatkan waktu siang ke dalam waktu malam.
Allah ﷻ boleh menyumbatkan siang ke dalam waktu malam sampai siang menjadi panjang.
Kejadian ini kita boleh lihat di negara-negara yang ada banyak musim. Kadang-kadang tempoh waktu malam menjadi panjang dan kadang-kadang tempoh waktu siang menjadi panjang oleh kerana peredaran musim sepanjang tahun. Itu semua Allah ﷻ yang mengaturkannya.
Sebagaimana Allah ﷻ mengatur peredaran musim, Allah ﷻ juga mengatur peredaran kekuasaan manusia. Ada yang hamba menjadi raja dan ada raja Allah ﷻ turunkan menjadi hamba. Ada kerajaan yang sudah lama memerintah, tapi akhirnya Allah boleh jatuhkan sahaja dengan mudah.
وَتُخرِجُ الحَيَّ مِنَ المَيِّتِ
Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati,
Allah ﷻ juga boleh bawa keluar kehidupan daripada kematian. Dari benda yang mati, boleh keluar sesuatu yang hidup. Contohnya, daripada air mani yang mati, Allah ﷻ boleh jadikan manusia; daripada telur ayam yang mati, Allah ﷻ boleh keluarkan anak ayam; dan banyak lagi contoh.
Ini juga imbalan bagaimana dari negeri Mekah yang mati tauhid dan akidah itu, lahir seorang Nabi dan umat yang menegakkan hukum tauhid. Hasilnya mereka ‘hidup’ dengan beragamakan ajaran tauhid.
وَتُخرِجُ المَيِّتَ مِنَ الحَيِّ
dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup.
Allah ﷻ juga boleh keluarkan mati daripada kehidupan. Iaitu apabila telah sampai masa, setiap makhluk akan mati.
Ia juga bermaksud, daripada binatang yang hidup seperti ayam, boleh keluarkan telur ayam yang mati.
Ada juga yang berpendapat, maksud ayat ini adalah Allah ﷻ boleh jadikan seorang mukmin dari keluarga yang kafir dan menjadikan orang kafir daripada keluarga yang mukmin kerana orang yang benar-benar beriman adalah dari hatinya yang beriman. Bukanlah keluarganya yang menentukan imannya. Akan tetapi tentu kalau keluarga beriman, akan lebih mudah mengeluarkan anak yang beriman.
Allah ﷻ juga boleh keluarkan anak yang pandai daripada ayah yang bodoh, dan anak yang bodoh daripada ayah yang pandai. Kepandaian dan kebodohan tidak ada di dalam DNA kita. Ia adalah rezeki daripada Allah ﷻ yang dibantu oleh kehendak dan usaha kita.
وَتَرزُقُ مَن تَشاءُ بِغَيرِ حِسابٍ
Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya”.
Allah ﷻ memberi rezeki tidak terhitung banyaknya kepada makhluk. Allah ﷻ tidak mengira berapa banyak Dia beri sebab sebanyak mana pun diberi, langsung tidak merugikan diri-Nya. Ini seperti disebut di dalam Hadis Qudsi daripada Abu Dharr Al-Ghifari, yang diriwayatkan dalam Sahih Muslim (Hadis No. 2577) serta menjadi Hadis Ke-24 dalam Hadis 40 Imam An-Nawawi.
يَا عِبَادِي، لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ، قَامُوا فِي صَعِيدٍ وَاحِدٍ فَسَأَلُونِي، فَأَعْطَيْتُ كُلَّ إِنْسَانٍ مَسْأَلَتَهُ، مَا نَقَصَ ذَلِكَ مِمَّا عِنْدِي إِلاَّ كَمَا يَنْقُصُ الْمِخْيَاطُ إِذَا أُدْخِلَ الْبَحْرَ
“Wahai hamba-hamba-Ku! Sekiranya dari orang yang pertama hingga orang yang terakhir di antara kamu, samada manusia mahupun jin, berkumpul di satu padang yang luas lalu mereka memohon kepada-Ku, kemudian Aku berikan kepada setiap seorang daripada mereka apa yang dimintanya, hal itu sedikit pun tidak mengurangkan apa yang ada di sisi-Ku, melainkan seperti berkurangnya air laut apabila dimasukkan sebatang jarum ke dalamnya.”
Ayat ini adalah doa yang hebat. Apabila kita faham ayat ini dan kita baca dalam doa kita, ia akan ingatkan kita supaya tidak terumbang ambing dengan perubahan keadaan dan suasana dalam dunia ini. Kita akan terbangkit rasa tauhid, iaitu ingat dan sedar bahawa segalanya dalam kekuasaan Allah ﷻ dan tidak ada elemen dan entiti lain yang boleh menentukan sebaliknya.
Maka kita akan bersyukur apabila Allah ﷻ beri nikmat kepada kita dan bersabar apabila Allah ﷻ cabut nikmat itu. Kerana kita sedar yang semua itu di dalam ketentuan Allah ﷻ. Kerana Allah ﷻ uji kita dengan berbagai cara.
Selepas kita membaca lafaz ayat ini, boleh kita bacakan doa apa sahaja kehendak kita. Ini kerana dalam berdoa, kita harap kepada Allah ﷻ sahaja. Bila pengharapan kita lebih tinggi kepada Allah ﷻ, maka doa kita lebih mudah dimakbulkan. Sebagai contoh ada disebut di dalam hadis, diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a., bahawa Rasulullah bersabda kepada Mu’adh bin Jabal:
أَلَا أُعَلِّمُكَ دُعَاءً تَدْعُو بِهِ لَوْ كَانَ عَلَيْكَ مِثْلُ جَبَلِ أُحُدٍ دَيْنًا لَأَدَّاهُ اللَّهُ عَنْكَ؟ قُلْ يَا مُعَاذُ:اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. رَحْمَنَ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَرَحِيمَهُمَا، تُعْطِيهِمَا مَنْ تَشَاءُ وَتَمْنَعُ مِنْهُمَا مَنْ تَشَاءُ، ارْحَمْنِي رَحْمَةً تُغْنِينِي بِهَا عَنْ رَحْمَةِ مَنْ سِوَاكَ
Mahukah aku ajarkan kepadamu suatu doa yang jika engkau membacanya, sekiranya engkau mempunyai hutang sebesar gunung Uhud, nescaya Allah akan melunaskannya bagimu? Katakanlah wahai Mu’adh:(Wahai Allah, Pemilik Mutlak Segala Kekuasaan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau yang menghinakan sesiapa yang Engkau kehendaki. Di tangan-Mulah segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Wahai Yang Maha Pemurah di dunia dan akhirat serta Maha Penyayang bagi kedua-duanya, Engkau memberikan kedua-duanya kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan menghalangnya daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Rahmatilah aku dengan rahmat-Mu yang dengannya mencukupkan aku daripada memerlukan rahmat selain daripada-Mu).”
Nota: Hadis ini direkodkan oleh Imam al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Saghir, no. 558 dan al-Mu’jam al-Kabir, jilid 20, no. 323). Sanad (rantaian perawi) asal hadis ini dalam kitab al-Tabarani sebenarnya mempunyai sedikit kelemahan pada perawinya (dhaif). Bagaimanapun, status hadis ini dinaikkan kepada Hasan atas faktor berikut adanya Jalur Penguat (Mutaba’at & Syawahid). Hadis dengan teks yang hampir serupa turut diriwayatkan oleh Imam al-Hakim dalam kitab al-Mustadrak. Imam al-Hakim menilai hadis ini sebagai sahih, dan dipersetujui oleh Imam al-Dzahabi. Tokoh ulama hadis zaman moden, Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani, telah meneliti jalur-jalur riwayat ini dan mengkategorikannya sebagai Hasan di dalam kitabnya, Sahih al-Targhib wa al-Tarhib (no. 1821).
Berharaplah sahaja kepada Allah ﷻ. Sebagai contoh, dalam mendapatkan rezeki pun kena berharap kepada Allah ﷻ sahaja. Jangan bergantung kepada makhluk walaupun kita mungkin berniaga atau bekerja makan gaji. Namun pelanggan dan gaji itu semua adalah dalam tangan Allah ﷻ. Kita telah baca sebelum ini bagaimana semua kuasa-kuasa dan kejadian-kejadian itu Allah ﷻ sahaja yang boleh buat, maka minta kepada Allah ﷻ lah sahaja.
MENGAMBIL ORANG KAFIR SEBAGAI WALI
Ali Imran Ayat 28:
لّا يَتَّخِذِ المُؤمِنونَ الكٰفِرينَ أَولِيآءَ مِن دونِ المُؤمِنينَ ۖ وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ فَلَيسَ مِنَ اللَّهِ في شَيءٍ إِلّآ أَن تَتَّقوا مِنهُم تُقٰةً ۗ وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفسَهُ ۗ وَإِلَى اللَّهِ المَصيرُ
SAHIH INTERNATIONAL
Let not believers take disbelievers as allies rather than believers. And whoever [of you] does that has nothing with Allah , except when taking precaution against them in prudence. And Allah warns you of Himself, and to Allah is the [final] destination.
MALAY
Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah dia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali.
لّا يَتَّخِذِ المُؤمِنونَ الكٰفِرينَ أَولِياءَ مِن دونِ المُؤمِنينَ
Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman.
Ini adalah undang-undang kejayaan. Di dalam Ayat 26 sebelum ini telah disebut kuasa milik Allah dan diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Maka jangan berharap dan berkawan rapat dan berharap perlindungan dari orang kafir. Dalam kehidupan dunia, orang tauhid patutnya tidak berkawan baik dengan orang yang berakidah syirik. ‘Wali’ dalam ayat ini bermaksud kawan rapat yang kita harapkan bantuan mereka dalam kesusahan. Allah telah berfirman di dalam Baqarah:257
اللَهُ وَلِيُّ الَّذينَ ءآمَنوا يُخرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمٰتِ إِلَى النّورِ ۖ وَالَّذينَ كَفَروٓا أَولِياؤُهُمُ الطّٰغوتُ يُخرِجونَهُم مِّنَ النّورِ إِلَى الظُّلُمٰتِ ۗ أُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ ۖ هُم فيها خٰلِدونَ
Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka daripada kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
Ayat ini memberitahu kita yang wali orang-orang kafir adalah Taghut. Menurut Imam Ibnul Qayyim, taghut didefinisikan sebagai: “Setiap perkara yang dengannya seseorang hamba itu melampaui batasannya, sama ada berbentuk sesembahan (ma’bud), pengikut/pemimpin yang diikuti (matbu’), atau sesuatu yang ditaati (muta’).”
Maka jikalau kita mengambil orang kafir sebagai wali, maka kita telah mengambil taghut dan ia akan menjerumuskan kita ke lembah kehinaan. Jadi siapakah kita patut jadikan sebagai wali? Ini Allah telah sebut di dalam Tawbah:71
وَالمُؤمِنونَ وَالمُؤمِنٰتُ بَعضُهُم أَولِياءُ بَعضٍ ۚ يَأمُرونَ بِالمَعروفِ وَيَنهَونَ عَنِ المُنكَرِ
Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf, mencegah dari yang mungkar
Maka apabila kita berkawan dengan orang Mukmin juga, sama-sama akan tolong menolong dalam dakwah, ingat mengingati sesama sendiri untuk menjaga agama kita. Kerana itulah sangat penting kita pandai memilih kawan rapat kita. Kalau kita berkawan rapat dengan orang kafir, mereka akan mengajak kita ke arah taghut, menyuruh buat perkara yang jahat dan mencegah buat perkara yang baik. Allah juga telah berfirman di dalam Mumtahanah:1
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَتَّخِذوا عَدُوّي وَعَدُوَّكُم أَولِياءَ تُلقونَ إِلَيهِم بِالمَوَدَّةِ وَقَد كَفَروا بِما جاءَكُم مِّنَ الحَقِّ
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuhmu menjadi teman-teman setia yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita), kerana rasa kasih sayang; padahal sesungguhnya mereka telah engkar kepada kebenaran yang datang kepadamu
Asbabun Nuzul: Ayat ini awal sekali diterima oleh para sahabat. Pada zaman sahabat, tentunya mereka banyak bersahabat dengan rakan mereka yang sama-sama musyrik dengan mereka dahulu. Arab Madinah pula sudah lama berbaik dengan puak Yahudi. Tentu susah hendak meninggalkan kawan-kawan musyrik mereka itu sebab sudah lama kenal dan berkawan dengan mereka. Islam beritahu yang boleh kawan biasa sahaja dengan mereka tetapi jangan jadikan mereka sebagai wali.
Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir daripada Sa’id bin Jubair atau ‘Ikrimah, yang bersumber daripada Ibnu ‘Abbas: Beberapa tokoh Yahudi Madinah, antaranya Al-Hajjaj bin ‘Amr (sekutu Ka’ab bin al-Asyraf), Ibn Abi al-Huqaiq, dan Qais bin Zaid, sentiasa cuba mendekati dan bersahabat rapat dengan beberapa orang sahabat Ansar. Tujuan mereka adalah untuk menggoyahkan iktikad dan memalingkan orang-orang beriman daripada agama Islam. Melihat keadaan tersebut, Rifa’ah bin al-Mundhir, ‘Abdullah bin Jubair, dan Sa’id bin Khaitsamah mengingatkan sahabat-sahabat mereka dengan berkata:
“Jauhilah orang-orang Yahudi ini dan berhati-hatilah daripada bersahabat rapat dengan mereka agar mereka tidak menyesatkan kamu daripada agama kamu.”
Namun, sebahagian sahabat tetap meneruskan hubungan akrab tersebut. Maka Allah menurunkan ayat Ali Imran:28 ini sebagai larangan tegas agar tidak menjadikan orang-orang kafir sebagai teman setia atau pelindung (wali) dengan membelakangkan orang-orang beriman.
Jangan kita salah faham pula ayat ini. Islam tidaklah melarang berkenalan dan berbaik dengan non-Muslim. Tapi untuk hidup berkawan, ada cara-caranya yang diajar dalam Islam:
Pertama, berkawan atas dasar sahabat sesama Muslim iaitu mereka yang sama akidah dan mengamalkan syari’at yang sama dengan kita. Ini adalah persahabatan yang terbaik. Perhubungan ini dinamakan muwallat – tunjuk baik luar dan dalam. Perhatikan apa firman Allah tentang hal ini di dalam Mumtahanah:8-9
لَّا يَنهَٮٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَم يُقَـٰتِلُوكُم فِى ٱلدِّينِ وَلَم يُخرِجُوكُم مِّن دِيَـٰرِكُم أَن تَبَرُّوهُم وَتُقسِطُوٓاْ إِلَيہِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلمُقسِطِينَ (٨) إِنَّمَا يَنہَٮٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَـٰتَلُوكُم فِى ٱلدِّينِ وَأَخرَجُوڪُم مِّن دِيَـٰرِكُم وَظَـٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخرَاجِكُم أَن تَوَلَّوهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ (٩)
Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu) dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)
Kedua, yang dinamakan muwlasat, iaitu kita berhubungan dengan orang lain atas dasar untuk tolong orang susah. Tidak semestinya yang ditolong itu akidahnya kena betul baru kita kena tolong. Jadi kalau kita hendak menolong orang kafir, sama-sama buat kebaikan dengan mereka, ini tidak mengapa. Islam tidak melarang dalam hal ini, malah Islam menganjurkan.
Ketiga, dinamakan mudharat. Ini adalah apabila luaran kita tunjuk baik dengan orang yang berlainan akidah, tetapi dalam hati kita, kita marah kerana dalam keadaan tertentu kena tunjuk baik walaupun kita tidak suka. Ini juga penting untuk dilakukan supaya suatu hari nanti, kita dapat dekatkan dia dengan agama.
Namun begitu, janganlah kita ikut dia buat maksiat pula. Janganlah sampai begitu. Patutnya kita boleh tegur dia atas kesalahan dia, tetapi kita tangguhkan teguran itu kerana kita simpan teguran itu pada satu masa lain yang sesuai. Tegur tetap kena tegur, cuma kita tangguhkan sahaja. Ini kerana hendak menegur waktu itu mungkin tidak sesuai kerana susah hendak faham, terutama apabila memerlukan masa yang lama untuk menjelaskan sesuatu permasalahan agama.
Contohnya hendak jelaskan tentang konsep syirik dan bid’ah, tentu memakan masa kalau hendak beritahu kepada mereka yang tidak faham lagi. Kita tidak boleh menegur pada waktu itu kerana hati mungkin tengah marah dan kita tidak redha dengan apa yang orang itu lakukan.
Lainlah kalau kesalahan itu jelas sangat, maka kena tegur pada waktu itu juga. Contohnya, kalau dia sedang berzina atau mencuri, maka tidak boleh ditunggu lagi, hendaklah ditegur terus sebab sudah jelas kesalahan itu.
Oleh itu, berbuat baik dan bersahabat yang sepatutnya adalah sesama Mukmin, bukan dengan orang kafir kecuali kalau keadaan mudharat, iaitu kalau kita tidak berbaik dengan dia, maka boleh menyusahkan kita.
Kalau dengan non-Muslim, kita berkawan biasa-biasa sahaja. Bukanlah kita sentiasa berkepit dengan dia ke mana-mana dan kita menceritakan segala rahsia dan kesusahan kita kepadanya. Itu kita lakukan kepada orang Mukmin kerana mereka boleh beri nasihat berdasarkan agama, bukannya nafsu semata-mata seperti non-Muslim.
وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ فَلَيسَ مِنَ اللَّهِ في شَيءٍ
Dan sesiapa yang melakukan yang demikian maka tiadalah dia daripada Allah dalam sesuatu apapun
Yang tidak boleh adalah muwalat – berbaik luar dan dalam dengan orang kafir. Muwalat itu kita berbaik dengan orang dan dalam hati pun kasih juga kerana sesama Muslim dan sama akidah dan sama-sama mengikut sunnah. Zahir dan batin kita muliakan dia. Dengan orang kafir tidak boleh kerana kalau kita buat, dikutuk oleh Allah ﷻ.
Sesiapa yang buat begitu, dia tidak ada dalam agama Allah ﷻ walau sedikit. Allah akan meninggalkannya dan membiarkannya. Akan putus dari pimpinan Allah. Ini kerana dia dikira redha kepada kekufuran yang dilakukan oleh kawan mereka yang kufar itu. Padahal apabila kita rapat dengan seseorang, kita kena tegur dan ajak dia ke arah kebaikan. Namun adakah kita lakukan begitu dengan orang bukan Islam?
إِلّا أَن تَتَّقوا مِنهُم تُقٰةً
kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka
Melainkan jika mudharat untuk melindungi diri daripada bahaya mereka iaitu perkara itu tidak dapat dielakkan. Contohnya mereka itu pemimpin, ketua kita di tempat kerja, rakan sekerja kita dan sebagainya. Mereka itu tidak boleh dijadikan sebagai pelindung kita, tetapi bolehlah ada hubungan dengan mereka.
Ini amat relevan zaman sekarang kerana umat Islam sedang lemah. Maka kita terpaksa bersikap lunak kepada mereka. Inilah yang dinamakan Taqiyah. Kita terpaksa angguk dan tunduk kepada orang kafir yang lebih kuat untuk menyelamatkan diri kita. Supaya mereka sangka kita berpihak kepada mereka, akan tetapi hati kita tidak sebenarnya. Maka kalau kerajaan Islam adakan “peace treaty” dengan Amerika adalah dibolehkan, tetapi jangan jadikan Amerika sebagai pelindung kita.
Mungkin ada terkejut saya gunakan istilah ‘taqiyyah’ ini kerana ia sinonim dengan ajaran Syiah yang sesat itu. Istilah taqiyah memang ada dan dibenarkan, tapi tidaklah seperti yang digunakan oleh golongan Syiah itu. Mereka menggunakan taqiyah untuk menipu, termasuk menipu orang Islam. Mereka bukanlah taqiyah kerana lemah tapi kerana hendak merahsiakan akidah dan rancangan jahat mereka. Ini adalah taqiyyah yang salah.
Begitu juga di dalam negara kita, ada yang non-Muslim menjadi pemimpin negara. Kita tetap kena hormati mereka sebagai pemimpin yang dilantik. Namun begitu, kalau boleh, janganlah kita pula melantik mereka kerana pemimpin sepatutnya adalah dalam kalangan orang Islam. Maka kerana itu kalau mengundi itu kenalah undi orang Islam. Maka dalam pilihanraya, kita kena pilih pemimpin yang Muslim, tidak kira dari mana parti politiknya.
Ayat ini sama sekali tidak mengajar atau membimbing kita menjadi munafik. Sebaliknya, ayat ini memberikan rukhsah (kelonggaran/kemudahan) serta panduan Syariat untuk menyelamatkan nyawa dan keselamatan diri apabila orang beriman berada dalam keadaan darurat, terancam, atau tertindas. Konsep yang dimaksudkan dalam ayat ini dipanggil sebagai Taqiyyah (تَقِيَّة) atau Tuqah (تُقَاة). Ibnu ‘Abbas RA menjelaskan maksud Tuqah dalam ayat ini: “Taqiyyah itu hanyalah pada ucapan lidah. Apabila seseorang dipaksa mengucapkan sesuatu yang merupakan maksiat/kekufuran sedangkan hatinya tetap tenang dengan iman, maka hal itu tidak memudaratkannya.”
Imam Bukhari meriwayatkan kata-kata Abu Ad-Darda’,
إِنَّا لَنَشِرُّ فِي وُجُوهِ أَقْوَامٍ وَإِنَّ قُلُوبَنَا لَتَلْعَنُهُمْ
“Sesungguhnya kami bermuka manis/tersenyum di hadapan sesetengah kaum, sedangkan hati kami melaknati (membenci perbuatan) mereka.”
Sahih Al-Bukhari Hadis No. 6131
وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفسَهُ
Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap diri-Nya
Allah ﷻ ajar supaya kenal Dia dan kenal sifat-Nya. Kena ambil tahu tentang Allah ﷻ. Kena letak Allah ﷻ di hadapan dalam membuat keputusan. Jadi kena pegang hukum yang Allah ﷻ letak. Kena takut Allah ﷻ lebih daripada takut kepada makhluk.
وَإِلَى اللَّهِ المَصيرُ
Dan kepada Allah jualah tempat kembali.
Kalimah المصير adalah tempat akhir kita. Setelah pergi merata-rata, akhirnya pergi ke satu tempat sebagai destinasi akhir kita. Maka ingatlah yang akhirnya kita akan mengadap Allah ﷻ dan akan dipertanggungjawabkan atas segala perbuatan kita. Apa yang kita hendak jawab kalau perbuatan kita tidak taat kepada-Nya?
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 30 September 2026
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
