Tafsir Surah Ali Imran Ayat 18 – 19 (Islam: Satu-satunya Agama yang Diterima)

TUHAN YANG ESA

Ali Imran Ayat 18: Sebelum ini telah disebutkan tentang golongan Mukmin yang layak dimasukkan ke dalam syurga. Mereka orang yang taat kepada arahan Allah dan mereka ada sifat-sifat yang telah disebut di dalam ayat ini. Sekarang kita akan lihat apakah asas kepada sifat-sifat itu. Ini adalah pegangan yang kena ada iaitu Tauhid. Kalau tidak ada yang ini, maka segala sifat-sifat baik, segala amal-amal kebaikan tidak berguna langsung.

Perkara  yang akan disampaikan ini sudah ada dalam kitab-kitab sebelum Al-Qur’an. Diulang kembali dalam Al-Qur’an untuk kita pula. Dan diulang banyak kali supaya tidak ada hujah manusia tidak tahu tentang Tauhid kerana telah disebut berkali-kali dengan pelbagai cara tentang Tauhid ini.

شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ ۥ لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ وَٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ وَأُولُو العِلمِ قآئِمًا بِالقِسطِ ۚ لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

SAHIH INTERNATIONAL
Allah witnesses that there is no deity except Him, and [so do] the angels and those of knowledge – [that He is] maintaining [creation] in justice. There is no deity except Him, the Exalted in Might, the Wise.

MALAY
Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

 

شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ

Allah bersaksi bahawasanya tiada ilah melainkan Dia,

Allah bersaksi yang hanya Dia sahaja ilah. Jadi di dalam ayat ini, Allah memberitahu yang Dia sendiri menjadi saksi. Ini adalah persaksian dari Allah sendiri dan tidak ada persaksian yang lebih kuat dan lebih besar dari Allah! Dia tidak jadikan selain Dia, ada ilah-ilah yang lain. Tidak kira siapa pun, sama ada wali, Nabi atau malaikat malah jin.

Hanya Allah sahaja ilah bagi makhluk. Tidak ada tempat menumpang harap yang lain bagi makhluk melainkan kepada Allah sahaja. Hanya Allah sahaja tempat kita sembah, tempat kita berdoa dan tempat kita taat sebenar-benar taat. Inilah perkara utama yang disebut berulang-ulang kali di dalam Al-Qur’an. Dan kerana itulah kita kena faham benar perkara ini.

Apabila Allah beritahu yang dia bersaksi maksudnya Dia telah jelaskan segala dalil dan bukti tentang keesaanNya dengan menurunkan Al-Qur’an dan dibangkitkan para Rasul.

 

وَٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ

dan malaikat-malaikat

Para malaikat juga bersaksi yang hanya Allah sahaja ilah. Kita tidak tahu maklumat ini sendiri kerana malaikat tidak pernah mengucap depan kita. Akan tetapi kerana Allah yang beritahu seperti di dalam ayat ini, maka tentulah ia benar. Maka persaksian mereka juga terpakai.

Tentulah para Malaikat yang taat kepada Allah itu berpegang dengan Tauhid dan takkan mereka melakukan syirik. Mereka taat sepenuhnya kepada Allah dan tidak pernah dan tidak akan melakukan dosa. Allah berfirman di dalam Tahreem:6

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا قوا أَنفُسَكُم وَأَهليكُم نارًا وَقودُهَا النّاسُ وَالحِجارَةُ عَلَيها مَلٰئِكَةٌ غِلاظٌ شِدادٌ لّا يَعصونَ اللَّهَ ما أَمَرَهُم وَيَفعَلونَ ما يُؤمَرونَ
Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.

Maknanya ini adalah tamparan khusus bagi mereka yang menjadikan para malaikat sebagai ilah. Ini seperti Musyrikin Mekah yang meminta kepada para malaikat kerana mereka berakidah yang para malaikat itu ‘anak perempuan Allah’.

Maka kalau kita pun berharap kepada para malaikat juga, maka samalah sahaja dengan Musyrikin Mekah. Maka bagaimana dengan golongan pesilat yang ada amalan seru malaikat seperti: “Jibril di depanku, Mikail di kananku……”. Ini adalah amalan minta pertolongan kepada para malaikat. Adakah mereka sangka para malaikat itu makan gaji dengan mereka boleh arah-arah pula para malaikat itu untuk jaga dia? Pernah beberapa tahun lepas viral seorang wanita yang berdoa terus kepada malaikat. Inilah kejahilan yang tersebar sekarang di kalangan umat yang jahil.

Saya dulu semasa di dalam tarekat juga diajar untuk beri salam kepada 10 malaikat. Kerana kononnya supaya mereka kenal (sebab selalu beri salam kononnya). Jadi bila hendak minta tolong kepada mereka, senanglah kononnya sebab mereka sudah kenal. Ini memang ajaran yang sesat. Malangnya masih ramai yang tertipu dengan ajaran sufi tarekat sekarang. Mereka itu buang masa dengan perkara yang sesat.

 

وَأُولُو العِلمِ

serta orang-orang yang berilmu

Ini adalah kelebihan orang berilmu. Di awal ayat Allah sebut Dia yang bersaksi, kemudian para Malaikat dan sekarang disebut orang-orang berilmu pun bersaksi. Jadi di langit, saksi Allah adalah para Malaikat dan di bumi pula saksi Allah adalah golongan ahli ilmu. Ini adalah kedudukan mereka sangat tinggi di sisi Allah.

Siapakah yang berilmu itu? Yang pertamanya tentulah para Nabi. Para Nabi yang diberi ilmu wahyu yang sebenar, juga bersaksi perkara yang sama. Mereka telah sampaikan kepada umat mereka dan para pengikut mereka. Kalau kita pun sudah mendapat ilmu tentang akidah ini, maka kita pun dikira orang berilmu juga dan boleh termasuk di dalam golongan ini.

Selain dari para Nabi, manusia biasa pun mampu untuk belajar dan mendalami ilmu. Itulah yang kita kena lakukan. Jangan terus duduk dalam kejahilan sampai mati. Jangan berbangga dengan kejahilan, tapi hendaklah kita menambah ilmu kita. Tak selamat kalau jahil agama.

Jadi ayat ini Allah tidak khususkan sebut para Nabi, tapi Allah sebut أُولُو العِلمِ. Maknanya sesiapa sahaja boleh termasuk di dalam golongan ini. Ia juga menjadi dalil dari sekian banyak dalil tentang kepentingan ilmu, terutama sekali ilmu agama, terutama sekali ilmu wahyu. Nikmat terbesar yang Allah boleh kita bukanlah harta, pangkat, kesihatan, pasangan dan anak-anak, tapi ilmu. Allah berfirman di dalam Mujadilah:11

يَرفَعِ اللهُ الَّذينَ ءآمَنوا مِنكُم وَالَّذينَ أوتُوا العِلمَ دَرَجٰتٍ
Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat.

Rasulullah ada bersabda di dalam Hadis #36 Arbain Nawiyah,

وَمَنْ سَلَكَ طَرِيْقاً يَلْتَمِسُ فِيْهِ عِلْماً سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيْقاً إِلَى الجَنَّةِ
Barangsiapa yang menempuh perjalanan dalam rangka menuntut ilmu, maka Allah akan mudahkan baginya jalan menuju syurga.

Sahih Muslim, no. 2699

Tapi berapa ramai yang tidak ada ilmu wahyu dan amat jauh dari wahyu? Mereka sangka mereka telah banyak belajar ilmu agama, tapi ilmu wahyu (tafsir Al-Qur’an dan syarah hadis) belum belajar lagi. Kerana itu ada amalan-amalan mereka yang pelik-pelik dan seru sana dan sini. Negara kita ini memang boleh dikatakan tidak ada pengajaran wahyu sebenarnya dari dahulu lagi. Pemahaman agama pun masih baru sahaja. Lihatlah tahun 80an baru mula berjinak-jinak orang perempuan hendak pakai tudung tutup aurat. Jadi ilmu agama itu dari dahulu pakai ikut sahaja apa tok nenek buat. Maka tentulah ilmu wahyu itu amat jauh dari kebanyakan dari kita. Kalau dulu, tidak pernah terdengar pun pengajian tafsir Al-Qur’an. Baru sekarang baru bermula dan bercambah pengajaran wahyu di kalangan masyarakat kita. Diharap ini akan berterusan.

Jadi orang berilmu itu bukan sahaja mendapat pujian dari Allah, tapi Allah juga mengutuk orang yang jahil. Jadi ilmu itu bukanlah bonus sahaja, tapi ia adalah keperluan. Mungkin ada orang anggap, “baguslah orang itu ada ilmu, tapi takkan salah kalau tak berilmu…..” Kita kena tahu yang kalau tidak ada ilmu, maka itu adalah masalah. Allah berfirman di dalam Baqarah:78

وَمِنهُم أُمِّيّونَ لا يَعلَمونَ ٱلكِتَـٰبَ إِلّا أَمانِيَّ وَإِن هُم إِلّا يَظُنّونَ
Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang ‘buta huruf’, mereka tidak mengetahui akan isi Kitab Taurat selain dari penerangan-penerangan bohong (dari ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja.

Allah menyentuh tentang golongan yang tidak tahu apa yang terkandung di dalam kitab wahyu. Mereka boleh baca, mereka boleh hafal, tapi sikit habuk pun mereka tidak faham apa yang mereka baca. Ini seperti masyarakat kita yang baca Al-Qur’an bertahun-tahun, mendayu-dayu kalau dia baca Al-Qur’an, tapi dia tidak tahu maksud ayat-ayat yang dia baca itu. Orang yang tidak ada ilmu ini pakai agak-agak sahaja dalam hal agama. Entah betul entah tidak, mereka tibai sahaja. Mereka main-main dengan agama, bagi hujah bodoh, bagi pendapat yang menyesatkan. Hanya kerana tidak mahu belajar.

Orang yang tidak ada ilmu wahyu juga senang ditipu oleh syaitan. Macam tipu budak-budak sahaja. Sebab itu banyak fahaman pelik dan malah syirik timbul di kalangan manusia kerana mereka tidak ada penapis dari bisikan syaitan iaitu ilmu wahyu. Ada hadis tentang perkara ini. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَقِيهٌ وَاحِدٌ أَشَدُّ عَلَى الشَّيْطَانِ مِنْ أَلْفِ عَابِدٍ
“Seorang yang berilmu (faham agama) jauh lebih berat bagi syaitan untuk digoda berbanding seribu orang ahli ibadah (yang jahil).”

Rujukan: Sunan At-Tirmidzi: Bab Mawaqit / Al-‘Ilm (Hadis no. 2681). Sunan Ibnu Majah: Muqaddimah, Bab Fadhl al-‘Ulama wa al-Hath ‘ala Thalab al-‘Ilm (Hadis no. 222). Syaikh Al-Albani: Mengategorikan hadis ini sebagai Da’if dalam Dha’if al-Jami’ (no. 3968) dan Dha’if Sunan At-Tirmidzi. Walaupun sanad hadis ini dikategorikan sebagai Da’if, makna dan konsepnya adalah SAHIH serta disokong oleh banyak dalil-dalil lain yang sahih daripada Al-Qur’an dan Hadis lain tentang kepentingan ilmu. 

Apakah dalil lagi yang belajar ilmu ini wajib? Penting kita tahu hukum belajar dan faham agama ini, kerana ramai yang rasa tenang sahaja dengan kejahilan mereka. Bagi mereka, belajar ilmu agama ini untuk orang tertentu sahaja. Mereka tidak tahu agama, tidak mengapalah, tapi berangan hendak masuk syurga. Dalil yang belajar ilmu agama itu terutama ilmu kefahaman Tauhid adalah ayat seperti firman Allah di dalam Muhammad:19

فَاعلَم أَنَّهُ لا إِلٰهَ إِلَّا اللهُ وَاستَغفِر لِذَنبِكَ
Maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya tidak ada Ilah (sesembahan, tuhan) selain Allah dan mohonlah ampunan bagi dosamu

Di dalam ayat ini Allah mulakan dengan berkata: فَاعلَم (ketahuilah!). Maka ia adalah perintah dari Allah. Iaitu kita kena tahu, kena belajar, kena ada ilmu. Ilmu apa? Kefahaman أَنَّهُ لا إِلٰهَ إِلَّا اللهُ iaitu kefahaman Tauhid yang sempurna. Kena tahu apa itu إِلٰهَ, kena tahu siapa اللهُ. Ini memerlukan masa untuk memahaminya. Dan kerana tidak faham hal inilah, ramai yang mengamalkan syirik tanpa sedar. Mereka sangka mereka beragama Islam, buat amalan yang mendatangkan pahala, tapi sebenarnya jauh dari kebenaran! Kadang yang mengajar fahaman sesat ini dari kalangan ahli agama juga, pangkat tinggi juga. Tapi mereka ajar berdoa kepada selain Allah, istighasah boleh kepada selain Allah dan sebagainya. Mereka ajar zikir-zikir yang entah dari mana dan bunyi sangatlah bodoh seperti hu,hu,hu,hu dengan kepala terhangguk-hangguk.

Dan kemudian Allah kata apa? وَاستَغفِر لِذَنبِكَ (dan mohonlah ampunan bagi dosamu). Kenapa tiba-tiba minta ampun? Kerana sebelum kenal Tauhid, mesti sudah kenal syirik dulu. Mesti punya sudah ada fahaman syirik, amalan syirik yang telah dilakukan. Setelah belajar wahyu, barulah tahu segala amalan itu syirik belaka rupanya…! Allahu! Maka kerana itulah kena istighfar atas kesalahan dahulu kerana jahil.

Tapi itu bagi yang belajar. Yang tidak belajar, bagaimana? Mereka berterusan beramal dengan amalan syirik dan sangka itulah amalan yang benar. Begitulah malangnya kita sekarang kerana hidup di dalam masyarakat yang jahil wahyu, tapi diangkat menjadi ahli agama dan menjadi rujukan masyarakat. Semoga kita diselamatkan dari musibah ini dan diberikan ilmu yang benar.

 

قائِمًا بِالقِسطِ

menegakkan keadilan

Mereka dalam keadaan menegakkan keadilan iaitu menegakkan tauhid. Jadi bukan sahaja kena berilmu tapi hendaklah orang berilmu yang menegakkan keadilan.

Mereka yang mempunyai akidah tauhid akan menegakkan keadilan dalam dunia. Keadilan bukan sahaja ada dalam agama Islam, tetapi ianya juga dipandang tinggi dalam semua manusia sejagat walaupun bukan Muslim. Semua orang mahu adil di dalam dunia ini.

Tetapi ianya ditekankan lebih lagi dalam agama Islam. Islamlah agama yang menekankan kesamarataan pada semua manusia sebelum manusia Barat mengenali apa itu Human Rights. Memang mereka jaga Human Rights tapi itu adalah perkara baru dalam sejarah dunia. Sedangkan Human Rights sudah ada disebut di dalam Islam sejak diturunkan Al-Qur’an ini.

Memang hak manusia itu penting, tapi bagaimana pula dengan hak Allah? Adakah itu tidak lebih penting dari hak kita? Maka apakah hak Allah? Hak Allah adalah hanya Dia sahaja disembah, diibadati, dijadikan tempat pengharapan dan tempat kita meminta tolong. Inilah yang pertama sekali perlu ditegakkan.

 

لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

tiada ilah melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Kita hanya sembah dan berdoa kepada Allah sahaja kerana Dia sahaja yang ada sifat ilah. Dia sahaja yang ada sifat Aziz dan Hakeem.

Sifat Aziz bermaksud Allah Maha Perkasa dan boleh hukum sesiapa yang derhaka pada bila-bila masa sahaja kalau Dia mahu.

Tapi, Dia juga al-Hakim yang tangguh hukuman kepada makhluk di dalam kebijaksanaanNya.

Allah maha berkuasa dan Dia boleh buat apa-apa sahaja. Tapi Allah menggunakan kuasa itu dengan penuh kebijaksanaan. Bandingkan kalau manusia yang ada kuasa besar, selalunya mereka akan salah guna kuasa itu. Ini kita boleh lihat dalam dunia sekarang.


 

HANYA ADA SATU JALAN SAHAJA

Ali Imran Ayat 19: Ilmu tentang apakah yang dimaksudkan dengan ‘ilah’ kena dipelajari sehingga jelas bagi kita. Dan maklumat telah banyak diberikan dalam wahyu, akan tetapi ada juga berlaku banyak perselisihan di kalangan manusia.

Sekarang Allah jelaskan kenapa ada perselisihan itu. Kita juga boleh tahu kenapa ada perselisihan di kalangan masyarakat Muslim kita juga.

إِنَّ الدّينَ عِندَ اللَّهِ الإِسلٰمُ ۗ وَمَا اختَلَفَ الَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ إِلّا مِن بَعدِ ما جآءَهُمُ العِلمُ بَغيًا بَينَهُم ۗ وَمَن يَكفُر بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَريعُ الحِسابِ

SAHIH INTERNATIONAL
Indeed, the religion in the sight of Allah is Islam. And those who were given the Scripture did not differ except after knowledge had come to them – out of jealous animosity between themselves. And whoever disbelieves in the verses of Allah , then indeed, Allah is swift in [taking] account.

MALAY
Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.

 

إِنَّ الدّينَ عِندَ اللَّهِ الإِسلٰمُ

Sesungguhnya ugama di sisi Allah ialah Islam.

Ingatlah bahawa hanya Akidah dan cara hidup Islam sahaja yang diterima. Apabila dikatakan deen/’agama’, ia terdiri dari akidah dan cara hidup (bukan hanya bab ibadah sahaja).

Dan cara hidup pula merangkumi dua perkara – hubungan dengan Allah yang dipanggil ‘ibadat’ dan hubungan dengan makhluk yang dipanggil ‘adat’. Keduanya kena ikut cara Islam iaitu syariat. Semua ada diajar di dalam wahyu dan disampaikan oleh Rasul kita.

Kalimah ‘Islam’ bermaksud menyerahkan diri bulat-bulat 100% kepada Allah. Maka, agama yang dikehendaki oleh Allah adalah menyerahkan diri kita kepada Allah dengan sepenuhnya. Kalau setakat dalam kad pengenalan sahaja pakai nama ‘Muslim’, tapi tidak taat kepada perintah Allah, maka tidak bermakna langsung status Muslim mereka itu. Kerana yang penting adalah kita Muslim di mata Allah. Jangan orang pandang kita Muslim, tapi sebenarnya tidak di sisi Allah.

Menyerah diri kepada Allah itu antaranya dengan taat kepada segala arahanNya. Maka kenalah dipelajari wahyuNya kerana arahanNya ada di dalam wahyu. Kalau tidak belajar, bagaimana hendak taat?

 

وَمَا اختَلَفَ الَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ

Dan tidaklah berselisih orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu 

Kita pun tahu bahawa telah ada perselisihan di kalangan Yahudi dan Nasrani. Yang berselisih itu adalah di antara ulama’ dalam kalangan mereka, sebab itu digunakan lafaz ‘mereka yang diberi Kitab’. Maknanya mereka yang ada ilmu agama. Itulah kalangan agamawan mereka.

Samalah dalam masyarakat Islam pun, dalam kalangan ahli agama pun ramai yang bercakaran. Ramai yang hendak menegakkan fahaman yang mereka anuti. Kadangkala pertelingkahan mereka itu di luar norma kebiasaan manusia. Kadangkala kita orang awam pun rasa malu dengan perbuatan dan pertengkaran mereka.

Kenapa ahli agama ini berselisih? Ulama-ulama dari kalangan Ahli Kitab itu telah merasa diri mereka berkuasa dan merekalah yang membuat agama ikut acuan mereka sendiri.

Sebagai contoh, kita pun tahu bahawa agama asal Nabi Isa adalah tauhid. Tapi ianya telah dipesongkan oleh sesetengah golongan paderi mereka. Terdapat pertentangan antara mereka yang memegang fahaman tauhid dan mereka yang memegang fahaman triniti. Tetapi kerana yang berfahaman triniti itu yang kuat dengan Raja Rom waktu itu, maka fahaman triniti yang dipegang dan dipakai dan mereka yang berfahaman tauhid telah dicari dan dibunuh selagi ada.

 

إِلّا مِن بَعدِ ما جاءَهُمُ العِلمُ

melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan

Maknanya mereka yang berselisih itu sebenarnya ada ilmu tentang kitab (iaitu ilmu wahyu). Bukannya kerana tidak tahu wahyu. Maknanya mereka ini bukannya masyarakat awam. Manusia awam memang sudah selalu berselisih sebab mereka itu jahil. Tetapi sepatutnya ulamalah yang kena tahu yang mana benar dan mana yang tidak.

Malangnya ada ulama’ yang ikut syariat dan ada yang tidak. Ini biasa sahaja dari dahulu lagi. Maka kita yang orang awam ini kenalah pandai membezakan mana yang menggunakan dalil yang sahih, jangan pakai terima sahaja semua kata ulama’ dan ustaz.

Cara untuk bezakan adalah dengan mempelajari tafsir Al-Qur’an kerana inilah asas agama. Apabila kita sudah ada asas, maka kita dapat bezakan mana yang benar dan mana yang tidak benar. Kerana kita sudah ada kayu ukur.

 

بَغيًا بَينَهُم

semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka.

Semua perselisihan itu terjadi kerana dengki rupanya. Kerana mereka ingin memiliki kedudukan tinggi di dunia. Semua nak tunjuk pandai kerana hendak duduk di atas. Ramai yang hendak mempertahankan kedudukan mereka kerana takut anak murid sudah tidak percaya kepada mereka.

Sampai mereka sanggup melakukan perkara yang memalukan di kalangan orang awam. Pening orang awam tengok mereka yang dipanggil ulama’ melondehkan sesama sendiri. Mana satu yang benar pun mereka sudah tidak tahu. Orang awam pula banyak yang jahil yang akan ikut sahaja siapa yang memegang tampuk kekuasaan.

Macam sekarang di negara ini, ramai yang menilai siapa yang benar, dengan melihat siapakah yang terkenal, siapakah yang masuk TV, pendapat siapa yang dipakai di dada akhbar dan sebagainya. Mereka sudah tidak mahu belajar sendiri tapi cuma mahu taklid buta sahaja. Mereka cuma melihat mana ustaz yang popular. Tambahan pula sekarang banyak siaran realiti yang mengeluar banyak ustaz-ustaz selebriti.

 

وَمَن يَكفُر بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَريعُ الحِسابِ

Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.

Ini adalah ayat Takhwif Ukhrawi (penakutan dengan azab akhirat). Kita kena ingat yang Allah cepat sahaja dalam membuat keputusan. Bukan macam mahkamah di negara kita yang bertahun-tahun pun tak selesai kes lagi.

Apabila Allah sebut hisabNya amat cepat, ia mempunyai tiga makna,

1. Hisab Allah sudah dekat, boleh datang bila-bila masa sahaja. Maka jangan lengah dengan kehidupan dunia yang sementara ini. Dalilnya adalah Anbiya’:1

اقتَرَبَ لِلنّاسِ حِسابُهُم وَهُم في غَفلَةٍ مُعرِضونَ
Telah dekat kepada manusia hari menghisab segala amalan mereka, sedang mereka berada dalam kelalaian lagi berpaling (daripadanya).

2. Hisab sebelum mati. Allah boleh beri terus balasan semasa di dunia lagi dan kadangkala ia sangat cepat. Contohnya selepas kita baca Al-Qur’an dan selepas solat, kita terus rasa tenang. Dan kalau kita buat dosa, selepas buat dosa sahaja kita rasa bersalah, bukan? Kadang selepas kita buat dosa, Allah terus beli balasannya secara ‘cash’. Sebagai contoh, maka kita melihat aurat orang lain, kemudian Allah beri kepala kita terlanggar dinding.

3. Apabila Allah buat pengiraan hisab di akhirat, ia cepat sahaja. Menunggu di Mahsyar yang lama, sampai keresahan yang amat besar sampaikan makhluk akan pergi dari satu Rasul ke Rasul yang lain untuk minta Allah percepatkan hisab. Dan apabila Mahkamah Pengadilan dimulakan, ia akan selesai dalam masa setengah hari sahaja. Ada yang kata satu hari dan ada yang kata selama memerah susu sahaja. Bagaimana mungkin Allah lakukan audit yang sebegini?

Pernah Saidina Ali ditanya tentang hal ini. Beliau jawab sebagaimana Allah mampu untuk memberikan rezeki kepada semua makhlukNya tanpa tertinggal, maka begitu jugalah Allah mampu untuk membuat pengiraan hisab itu serentak. Kita sahaja yang tidak dapat bayangkan kerana ia adalah perkara ghaib dan akal kita tidak mampu mencapai pemahaman itu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 23 Julai 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir al-Azhar Dr Hamka

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment