Ali Imran Ayat 16: Ini adalah sambungan tentang hamba yang sedang menuju ke syurga seperti yang telah disebut dalam ayat sebelum ini. Inilah sifat dan doa mereka. Allah sedang perhati apa yang mereka lakukan. Marilah kita ikuti mereka dan semoga kita semua termasuk dalam kelompok ini. Maka kita kenalah amalkan doa ini juga.
الَّذينَ يَقولونَ رَبَّنآ إِنَّنآ ءآمَنّا فَاغفِر لَنا ذُنوبَنا وَقِنا عَذابَ النّارِ
SAHIH INTERNATIONAL
Those who say, “Our Lord, indeed we have believed, so forgive us our sins and protect us from the punishment of the Fire,”
MALAY
(Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab neraka”;
الَّذينَ يَقولونَ رَبَّنا إِنَّنا ءآمَنّا
orang-orang yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman,
Siapakah الَّذينَ di dalam ayat ini? Ia adalah sambungan dari mereka yang telah disebut di dalam ayat sebelum ini iaitu العِبادِ di dalam ayat وَاللَّهُ بَصيرٌ بِالعِبادِ.
Perhatikan permulaan doa mereka ini (رَبَّنا) tidak ada kalimah seruan yang biasa iaitu يا (wahai) membayangkan dekatnya mereka dengan Allah. Ya memang Allah dekat dengan kita dan mendengar doa kita. Jadi mereka terus berdoa kepada Allah tanpa melalui perantaraan pun kerana Allah memang dekat dengan kita. Allah mendengar apa sahaja seruan kita kepadaNya. Yang mengajar apabila berdoa kena bertawasul melalui perantaraan Nabi, malaikat atau wali itu tidak baca ayat Al-Qur’an agaknya. Atau, kalau mereka baca, mereka tak faham pun apa yang mereka baca.
Mereka punyalah hendak mempertahankan amalan songsang mereka itu sampai membandingkan realiti seorang rakyat biasa tidak akan dapat berjumpa raja, maka kena ada ‘orang tengah’ dan sebab itu mereka tawasul. Siapa suruh mereka bandingkan kerajaan manusia dengan kerajaan Allah? Raja memanglah tidak boleh dengar permintaan semua rakyat, maka kena tapis permintaan rakyat. Akan tetapi Allah bukan makhluk, Allah boleh dengar semua permintaan kita.
Kemudian perhatikan kalimah yang digunakan adalah يَقولونَ (mereka berdoa) yang di dalam fi’il mudhari’. Ia bermaksud ia sedang dilakukan dan terus dilakukan. Kalau fi’il madhi, ia sudah lepas. Jadi apabila ia di dalam bentuk fi’il mudhari’ maka ia memberi isyarat ia berterusan dilakukan. Maka ini mengajar kita yang orang Mukmin yang dapat menjadi ahli syurga itu selalu berdoa kepada Allah. Bukannya sekali sekala, bukannya apabila susah sahaja baru teringat dan berharap kepada Allah.
Di dalam ayat ini kalimah yang digunakan adalah panggilan kepada Allah dengan kalimah seruan رَبَّنا. Selalunya di dalam Al-Qur’an diajar doa dengan kalimah ini. Sedangkan di dalam hadis, banyak doa-doa yang Nabi ajar bermula dengan اللَّهُمَّ (ya Allah). Kalau digunakan رَبَّنا, kita bertawasul dengan sifat Rabb Allah, sifat Rububiyyah. Kalau digunakan اللَّهُمَّ pula kita bertawasul dengan nama Allah, sifat Uluhiyyah.
Mereka mengaku beriman sebelum berdoa meminta ampun. Ini bermaksud mereka bertawasul dengan iman. Mereka menggunakan iman mereka untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah. Eh, kenapa ada tawasul pula?
Inilah jenis tawasul yang dibenarkan dan digalakkan. Bukannya tawasul dengan Nabi, wali dan malaikat yang banyak dilakukan oleh masyarakat kita yang jahil dengan wahyu sampai mereka berani mereka-reka amalan baru. Bukanlah semua tawasul tidak dibenarkan. Cuma kena tahu dan belajar manakah jenis tawasul yang dibolehkan. Belajarlah, jangan ikut sahaja apa yang orang lain buat.
Kalimah إِنَّنا ءآمَنّا mempunyai dua taukid di dalamnya (kalimah إِنَّ dan syaddah pada kalimah ءآمَنّا). Jadi ada mubalaghah (bersangatan) di sini. Jadi ia bukan pernyataan iman diri sendiri sahaja. Ia juga menidakkan iman orang lain. Ia dipanggil (Al-Itsbatu ‘alal ghair) dalam ilmu Balaghah. Secara harfiah, ertinya memang “Sesungguhnya kami telah beriman”. Namun, secara balaghah (makna tersirat), susunan ini berfungsi untuk menetapkan suatu sifat pada diri sendiri, sekaligus menafikan (menolak) sifat tersebut dari orang lain. Iaitu ketika orang lain tidak beriman sebegini, kami beriman Ya Allah. Ketika orang lain menerima ajakan kepada Islam, kami terima, walaupun ramai yang tidak mahu beriman. Masuk Islam bukan senang bagi kebanyakan orang. Bayangkan zaman para sahabat, ketika itu mereka diserang oleh golongan Musyrikin. Jadi masuk Islam membahayakan mereka. Zaman sekarang pun, kadangkala Islam dipandang sebagai musuh, maka kalau anak masuk Islam, ada kemungkinan mereka dibuang dari keluarga.
Bagi yang sudah Muslim pun, mereka juga menghadapi tekanan. Ketika orang lain katanya beriman, tapi mereka melakukan amalan syirik seperti bertawasul dengan Nabi, wali, malaikat, kami tak buat semua itu. Kami tidak istighasah kepada selain dariMu Ya Allah….Kami hanya berdoa terus kepadaMu ya Allah.
Ketika orang lain tidak beriman sempurna, kami beriman sepenuhnya. Kami tidak ikut-ikut sahaja apa yang diamalkan oleh masyarakat. Kami belajar dan kami sampaikan ajaran yang benar kepada orang lain. Tapi kami menerima tentangan. Keluarga kami halang, kawan-kawan kami halang… akan tetapi, kami tetap beriman yang sempurna ya Allah.
Jadi kalimah إِنَّنا ءآمَنّا ini berat dan di dalamnya terisi dengan pengorbanan yang tinggi kerana ia bukan senang untuk didapati. Bukan senang masuk Islam, dan bukan senang berada di atas Jalan Sunnah. Ramai yang tidak suka tapi kami abaikan semua itu. Biarlah apa orang kata, walaupun sukar, kami tetap mahu beriman ikut Jalan Sunnah.
Sebelum ini telah disebut nikmat-nikmat dunia yang dikejar manusia. Kalau masuk Islam dan beriman, ada kemungkinan akan kehilangan nikmat dunia itu. Ada yang ditinggalkan pasangan kerana pasangan tidak mahu bersama lagi, ada yang kehilangan kerja, keluarga, harta benda. Malah ada yang dibuang keluarga. Inilah yang dialami oleh para sahabat dahulu dan mereka yang mahu berubah zaman sekarang. Dugaan sangat banyak akan tetapi mereka tetap beriman. Jadi إِنَّنا ءآمَنّا bukanlah kata-kata kosong.
Balaghah: terdapat kaedah iltifat yang digunakan di dalam ayat ini. Kalimah الَّذينَ adalah di dalam pihak ketiga. Sedangkan di dalam Ayat 15 sebelum ini Allah sedang bercakap dengan mereka (أَؤُنَبِّئُكُم). Kesan dari iltifat ini menarik. Dari segi balaghah, apabila Allah mengubah bercakap dari pihak kedua kepada pihak ketiga, kesannya adalah menjauhkan. Kesannya di dalam situasi ayat ini adalah: Allah memberi isyarat yang mereka belum lagi sampai ke tahap golongan mereka itu (الَّذينَ). Ia seperti seorang jurulatih yang kata, “pasukan yang mantap mereka akan buat begini, begini dan begini” sambil bercakap kepada pasukannya. Dia tidak kata: “korang semua dah buat begini, begini dan begini”. Maknanya pasukannya itu belum lagi sampai ke tahap itu dan dia mahu mereka meningkatkan diri mereka ke tahap itu.
فَاغفِر لَنا ذُنوبَنا
oleh itu, hapuskanlah dosa-dosa kami
Huruf ف bermaksud ‘maka’ dan ada kesinambungan dengan frasa sebelumnya. Ia dinamakan الفاء سببيَّةِ Fa’ Sababiyyah (huruf Fa’ yang menunjukkan sebab-akibat). Maksudnya jadi begini: “Disebabkan kami telah beriman kepada-Mu, maka ampunilah dosa-dosa kami.”
Jadi mereka minta ampun dari Allah. Tapi ada dua elemen yang terlibat. Yang pertama, ia bermaksud dosa-dosa yang telah lalu. Jadi ia lebih kurang jadi: “kami telah beriman dengan iman yang sebenar, maka ampunkan dosa kami dahulu ketika kami bukan Islam, ketika kami jahil. Dulu kami sembah berhala, ampunkan ya Allah; dulu kami tawasul kepada Nabi, wali dan malaikat kerana tok guru kami ajar, kami tak tahu ia salah, ampunkan kami ya Allah…!”
Dan keduanya, bukan sahaja dahulu tapi dosa sekarang dan akan datang. Ini kerana kita walaupun telah beriman, tapi kita kena sedar yang kita ini manusia yang tidak sunyi dari dosa. Kena sedar yang walaupun kita telah beriman, tidaklah kita jadi malaikat pula. Jadi seolah-olah mereka berkata: “Walaupun kami percaya dan hendak taat kepadaMu ya Allah, tapi ada banyak dosa kami. Kami pasti akan juga melakukan dosa, tapi ya Allah, ampunkanlah kami apabila kami melakukan kesalahan dan dosa.”
Begitulah kita kena sedar yang kita banyak dosa dan kita berharap sangat Allah ampunkan dosa kita. Jangan perasan yang kita ini baik terus, tidak ada dosa langsung. Ia mengajar kita yang semakin kita beriman, kena semakin merendah diri, bukannya membanggakan diri. Rasulullah ada bersabda,
كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ
“Setiap anak Adam (manusia) pasti melakukan kesilapan (dosa), dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan adalah mereka yang bertaubat.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi (No. 2499), Imam Ibn Majah (No. 4251), dan Imam Ahmad (No. 13049). Syeikh al-Albani menilai hadis ini sebagai Hasan (baik/boleh dijadikan hujah).
Bukan ampunkan sahaja, tetapi maksud ghafara adalah tutup terus dosa itu, jangan sebut-sebut lagi. Maka kalau Allah telah tutup, maka tidaklah kita malu di akhirat kelak. Kerana hanya Allah dan kita sahaja yang tahu. Kalau Allah tidak tutup, maka dosa itu akan dipampangkan dan semua akan tahu, maka tentulah kita akan malu, bukan?
Maka orang yang bertaqwa akan segera meminta ampun. Dan kita akan bertemu di dalam Ayat 135 nanti tentang sifat mereka,
وَالَّذينَ إِذا فَعَلوا فٰحِشَةً أَو ظَلَموا أَنفُسَهُم ذَكَرُوا اللَّهَ فَاستَغفَروا لِذُنوبِهِم وَمَن يَغفِرُ الذُّنوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَم يُصِرّوا عَلىٰ ما فَعَلوا وَهُم يَعلَمونَ
Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).
Perhatikan kalimah bagi dosa yang digunakan di dalam ayat ini adalah ذُنوبَ. Ada lagi kalimah lain bagi dosa yang digunakan di dalam Al-Qur’an iaitu سَيِّئَات. Kenapa ayat ini menggunakan istilah ذُنوبَ? Secara bahasa, ذَنْب berasal dari akar kata yang bererti “ekor” atau “pengikut”. Oleh itu dosa yang disebut ذَنْب adalah dosa yang memiliki ekor yang akan terus membuntuti pelakunya, baik di dunia mahupun di akhirat, selama dosa itu belum diampuni. Lagi satu ia adalah sesuatu yang memalukan kerana ekor adalah sesuatu yang memalukan bagi manusia.
Jadi digunakan istilah ذَنْب (jamaknya ذُنوبَ) di dalam doa orang Mukmin ini kerana mereka malu dengan dosa mereka. Walaupun mereka orang Mukmin dan dosa mereka tidak banyak, tapi dosa yang sedikit itu pun sudah menyebabkan mereka malu. Ini kerana mereka meletakkan standard yang tinggi pada diri mereka. Ini seperti disebut di dalam hadis,
إِنَّ الْمُؤْمِنَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَأَنَّهُ قَاعِدٌ تَحْتَ جَبَلٍ يَخَافُ أَنْ يَقَعَ عَلَيْهِ ، وَإِنَّ الْفَاجِرَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَذُبَابٍ مَرَّ عَلَى أَنْفِهِ فَقَالَ بِهِ هَكَذَا
“Sesungguhnya orang yang beriman melihat dosa-dosanya seolah-olah dia sedang duduk di bawah kaki sebuah gunung yang dia takut gunung itu akan menghempapnya. Sebaliknya, orang yang jahat (fajir) melihat dosa-dosanya seperti seekor lalat yang hinggap di hidungnya, lalu dia menghalaunya dengan tangannya seperti ini (hanya memandang remeh).”
(Hadis Riwayat Al-Bukhari, no. 6308)
Perumpamaannya begini: katakanlah seorang lelaki setiap hari dia Solat Tahajjud tanpa tinggal. Sekali dia tertinggal sahaja, dia akan rasa rugi, tidak sedap hati. Akan tetapi orang yang tak pernah Solat Tahajjud tidak rasa apa-apa pun, hidup tenang sahaja. Bezanya adalah standard yang mereka letakkan terhadap diri mereka. Jadi bagi orang yang disebut oleh Allah di dalam Ayat 16 ini meletakkan standard yang tinggi pada dirinya, sampaikan kalau ada dosa yang sedikit pun, dia sudah anggap ia sebagai ذُنوبَ.
Maka ayat ini mengajar kita satu konsep yang amat penting, iaitu jangan lupa untuk minta ampun. Walaupun kita beriman, walaupun kita telah melakukan ibadah. Kerana itulah Nabi ajar kita untuk istighfar 3 kali sebaik sahaja beri salam dalam solat. Kenapa? Mari kita bincangkan dan konsep ini terpakai untuk ibadah yang lain juga.
Ini kerana sebagai manusia, solat kita jarang sekali sempurna 100%. Sepanjang solat, fikiran kita sering melayang (ingat kerja, kereta, barang hilang, dan sebagainya). Kita mungkin kurang khusyuk, tergesa-gesa dalam bacaan, atau tidak menghayati setiap rukuk dan sujud. Istighfar di sini berfungsi sebagai “permohonan maaf” atas kelalaian kita di hadapan Allah semasa kita sedang menyembah-Nya. Kita mengakui bahawa solat yang kita persembahkan itu belum cukup layak bagi keagungan-Nya.
Ia juga untuk menjaga hati kita. Apabila seseorang selesai melakukan satu ketaatan yang besar seperti solat, syaitan akan datang dan membisikkan rasa bangga diri: “Hebatnya aku, aku dah solat awal waktu, berjemaah pula tu.” Sifat ujub ini boleh merosakkan pahala amalan. Dengan segera beristighfar sebanyak 3 kali, hati kita dipaksa untuk kekal tunduk dan sedar diri. Kita diingatkan bahawa kita boleh solat pun hanyalah kerana taufik dan izin daripada Allah, bukan kerana kehebatan diri kita sendiri.
Dalam Islam, hampir semua ibadah besar ditutup dengan istighfar atau taubat:
-
- Selepas Solat: Beristighfar 3 kali.
- Selepas Haji: Allah berfirman dalam Baqarah:199 agar memohon ampunan selepas bertolak dari Arafah.
- Selepas Majlis Ilmu/Pertemuan: Kita membaca Doa Kaffaratul Majlis untuk memohon ampun atas dosa perbualan.
- Di Hujung Hayat Nabi SAW: Selepas tugas dakwah selesai (Surah An-Nasr), Allah memerintahkan Nabi untuk bertasbih dan beristighfar.
Ini mengajar kita satu konsep suci: Seberapa banyak pun amal soleh yang kita lakukan, kita sentiasa memerlukan keampunan dan rahmat Allah untuk masuk ke dalam syurga-Nya.
وَقِنا عَذابَ النّارِ
dan peliharalah kami dari azab neraka”;
Kalau ikut logik kita, tentulah di sini kita akan minta dimasukkan ke dalam syurga, bukan? Tapi Allah ajar kita untuk minta selamat dari neraka. Keimanan tidak mengajar kita perasan yang kita akan pasti masuk syurga dan selamat dari neraka. Di dalam Furqan:65 Allah ajar kepada kita sifat-sifat Ibaadur Rahmaan,
وَالَّذينَ يَقولونَ رَبَّنَا اصرِف عَنّا عَذابَ جَهَنَّمَ ۖ إِنَّ عَذابَها كانَ غَرامًا
Dan orang-orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, jauhkan azab jahannam dari kami, sesungguhnya azabnya itu adalah kebinasaan yang kekal”.
Kita kena doa kepada Allah supaya selamatkan kita dari masuk neraka. Kita pun telah baca tentang banyak ayat-ayat tentang neraka, bukan? Di dalam surah ini pun kita sudah berjumpa. Maka sepatutnya kita amat takut dengan neraka! Jadi kita tak mahu duduk walau sekejap pun. Lihat, dengar dan cium sedikit pun neraka itu kita tidak mahu. Oleh itu, kita minta kepada Allah supaya berilah kepada kita sifat boleh meninggalkan dosa. Kerana kalau asyik buat dosa sahaja akan menyebabkan kita kena masuk neraka sebab neraka adalah tempat cuci dosa.
Kenapa mereka yang baik ini minta supaya mereka diselamatkan dari api neraka? Bukankah mereka telah selamat? Ini mengajar kita supaya jangan rasa selamat, jangan anggap kita sudah selamat dari neraka. Kerana itulah Allah berfirman di dalam Tahreem:6
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا قوا أَنفُسَكُم وَأَهليكُم نارًا
Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka
Jangan kita jadi seperti Yahudi dan Nasara yang perasan mereka selamat dari neraka, kononnya kerana mereka anak kesayangan Allah. Malangnya umat Islam pun sudah ada perasan begitu. Ada yang sangka Nabi Muhammad akan beri syafaat kepada mereka dan mereka akan selamat dari api neraka. Kalau masuk pun, mereka kata hanya sekejap sahaja.
Kemudian kita baca fadhilat sekian banyak amalan itu dan ini. Contohnya pahala berganda solat di MasjidilHaram, sekali baca Tasbih sekian banyak pahala, sekali Selawat sekian banyak pahala. Kita pun duduk kira punya kira, “eh banyak pahala aku ni….kalau ada dosa sikit-sikit, tak luak lagi pahala aku ni!” Itu belum kira lagi entah fadhilat rekaan datang dari amalan yang entah datang dari mana lagi. Kalau kita ada mentaliti begini, maka akan ada masalah. Memang fadhilat ada yang sahih, akan tetapi ia bukan bukan untuk dikira-kira sampai menjadikan kita rasa selamat! Ia adalah sebagai motivasi kepada kita untuk melakukan amalan ibadah, bukannya untuk kita kira-kira sampai tidak takut buat dosa dan perasan selamat dari neraka!
Maka jangan lupa minta dijauhkan dari neraka. Ada hadis yang sebut neraka pun akan doakan kita juga,
مَنْ سَأَلَ اللَّهَ الْجَنَّةَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ قَالَتِ الْجَنَّةُ: اللَّهُمَّ أَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ، وَمَنْ اسْتَجَارَ مِنَ النَّارِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ قَالَتِ النَّارُ: اللَّهُمَّ أَجِرْهُ مِنَ النَّارِ
“Sesiapa yang memohon syurga kepada Allah sebanyak tiga kali, maka syurga akan berkata: ‘Ya Allah, masukkanlah dia ke dalam syurga.’ Dan sesiapa yang memohon perlindungan daripada neraka sebanyak tiga kali, maka neraka akan berkata: ‘Ya Allah, selamatkanlah (lindungilah) dia daripada neraka.'”
(Hadis Riwayat At-Tirmidzi no. 2572, An-Nasa’i no. 5521, sahih menurut Syeikh al-Albani)
Antara doa yang jangan kita lupa baca sebelum beri salam dalam solat adalah supaya dijauhkan dari 4 perkara,
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan dengan-Mu daripada [1] azab neraka Jahannam, daripada [2] azab kubur, daripada [3] fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada [4] keburukan fitnah Al-Masih Ad-Dajjal.”
(Hadis Riwayat Muslim, no. 588)
Doa di dalam Ayat 16 ini sangat hebat. Tapi ia masih lagi pada peringkat awal kerana kita masih lagi di peringkat awal surah ini. Nanti doa ini akan dikembangkan lagi di dalam Ayat 193 di hujung surah ini nanti. Kita boleh lihat ada elemen yang sama, akan doa itu sudah semakin kembang.
رَّبَّنَا إِنَّنَا سَمِعْنَا مُنَادِيًا يُنَادِي لِلْإِيمَٰنِ أَنْ ءآمِنُوا بِرَبِّكُمْ فَـَٔامَنَّا رَبَّنَا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّئَاتِنَا وَتَوَفَّنَا مَعَ الْأَبْرَارِ
Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: `Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu’, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti;
Kita telah pernah sebutkan kaitan Surah Ali Imran dengan Surah Baqarah. Doa di dalam Ayat 16 ini ada persamaan dengan doa di dalam Baqarah:201.
وَمِنهُم مَّن يَقولُ رَبَّنا ءَاتِنَا فِي الدُّنيا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنا عَذابَ النّارِ
Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami daripada azab neraka”.
Yang pertama kita lihat, kedua-dua doa ini berakhir dengan kalimat: وَقِنا عَذابَ النّارِ. Cuma yang awalnya tidak tepat sama. Doa di dalam Baqarah:201 itu menekankan kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat. Di dalam Ali Imran:16 ini menekankan tentang Iman dan Istighfar. Tapi tetap ada kaitannya:
-
- Kebaikan di dunia (فِي الدُّنيا حَسَنَةً) akan didapati apabila beriman (ءآمَنّا).
- Kebaikan di akhirat (فِي الآخِرَةِ حَسَنَةً) akan didapati apabila kita tiada dosa setelah istighfar (فَاغفِر لَنا ذُنوبَنا).
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 20 Julai 2026
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan (deeper look)
Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah
Tafsir Al-Azhar Dr Hamka
Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
