Tafsir Surah Baqarah Ayat 212 (Dunia diperindahkan sebagai ujian)

KEHIDUPAN ADALAH UJIAN

Baqarah Ayat 212: Ini adalah dorongan kepada jihad (targhib) yang kelima. Allah ‎ﷻ hendak beritahu kedudukan orang yang bertaqwa. Mereka itu lebih tinggi kedudukan daripada orang kafir.

Allah ‎ﷻ juga hendak mengingatkan kita bahawa dunia ini sementara sahaja, maka jangan tertipu dengan godaan dunia. Manusia menjadi kafir dan sesat kerana terpukau dengan kilauan dunia, maka banyak ayat Al-Qur’an yang menjelaskan hakikat dunia ini kepada kita.

زُيِّنَ لِلَّذِيْنَ كَفَرُوا الْحَيٰوةُ الدُّنْيَا وَيَسْخَرُوْنَ مِنَ الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا ۘ وَالَّذِيْنَ اتَّقَوْا فَوْقَهُمْ يَوْمَ الْقِيٰمَةِ ۗ وَاللّٰهُ يَرْزُقُ مَنْ يَّشَاۤءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ

SAHIH INTERNATIONAL
Beautified for those who disbelieve is the life of this world, and they ridicule those who believe. But those who fear Allah are above them on the Day of Resurrection. And Allah gives provision to whom He wills without account.

MALAY
Kehidupan dunia (dan kemewahannya) diperhiaskan (dan dijadikan amat indah) pada (pandangan) orang-orang kafir, sehingga mereka (berlagak sombong dan) memandang rendah kepada orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertaqwa (dengan imannya) lebih tinggi (martabatnya) daripada mereka (yang kafir itu) pada hari kiamat kelak. Dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terkira (menurut undang-undang peraturan-Nya).

 

زُيِّنَ لِلَّذِيْنَ كَفَرُوا الْحَيٰوةُ الدُّنْيَا

Dunia diperhiaskan pada (pandangan) orang-orang kafir,

Kalimah الدُّنيا daripada katadasar د ن و yang bermaksud dekat; lebih rendah; kurang; lebih berkemungkinan; dalam jangkauan; dunia ini. Maka dunia ini sebenarnya rendah jika hendak dibandingkan dengan akhirat. Ia adalah dalam jangkauan, senang didapati kerana di depan mata kita sahaja.

Namun, begitu ramai manusia salah faham dengan dunia. Orang kafir, orang munafik dan orang yang ingkar itu amat suka dan bergembira dengan nikmat yang mereka dapat di dunia ini. Mereka sangka mereka itu orang terpilih, sedangkan hakikat sebenarnya pemberian yang mereka dapat itu adalah istidraj daripada Allah ﷻ – bukan mendekatkan mereka kepada Allah ﷻ, malah menjauhkan lagi daripada Allah ﷻ. Ini kita dapat faham melalui firman-Nya:

أَيَحْسَبُونَ أَنَّمَا نُمِدُّهُمْ بِهِ مِنْ مَالٍ وَبَنِينَ نُسَارِعُ لَهُمْ فِي الْخَيْرَاتِ بَل لَا يَشْعُرُونَ
Apakah mereka mengira bahawa harta dan anak-anak yang Kami berikan kepada mereka itu (bererti bahawa) Kami bersegera memberikan kebaikan kepada mereka? Tidak, sebenarnya mereka tidak sedar.
(Al-Mu’minun: 55-56)

Dunia dengan segala keindahannya telah menghalang orang kafir daripada beriman. Dunia telah dinampakkan indah kepada mereka. Kalimah زُيِّنَ ialah di dalam bentuk mabni majhul (pasif) maka tidak tahu siapakah yang memperindahkan dunia itu kepada orang kafir. Mungkin Allah ‎ﷻ dan mungkin juga syaitan. Mereka telah tertipu dengan bisikan syaitan yang memperindahkan dunia kepada mata mereka. Kalau kita katakan yang menjadikan dunia ini indah adalah Allah ‎ﷻ, mungkin ada bertanya kenapa begitu pula? Kerana jadikan dunia ini indah sampaikan ramai manusia menjadi sesat pula? Kerana dunia ini adalah ujian. Kalau dunia hendak dijadikan sebagai tempat ujian, kenalah indah; kalau tidak indah, tiada pulalah ujiannya, bukan?

Sementara kalimah زُيِّنَ bermaksud diperindahkan yang tidak indah. Sebenarnya dunia ini tidak indah dan tidak bernilai pun tetapi hanya dinampakkan indah dan cantik. Bagaimanakah maksud dunia ini indah? Apakah yang dikejar-kejar oleh manusia dalam dunia ini? Allah ‎ﷻ telah jelaskan di dalam Ali Imran: 14

زُيِّنَ لِلنّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوٰتِ مِنَ النِّساءِ وَالبَنينَ وَالقَنٰطيرِ المُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالفِضَّةِ وَالخَيلِ المُسَوَّمَةِ وَالأَنعٰمِ وَالحَرثِ ۗ ذٰلِكَ مَتٰعُ ٱلحَيَوٰةِ الدُّنيا ۖ وَاللَّهُ عِندَهُ حُسنُ المَآبِ
Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, daripada emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).

Ini menjawab syubhah kepada mereka yang memandang rendah umat Islam. Orang kafir bertanggapan masuk Islam ini tidak ada kepentingan keduniaan kerana melihat orang Islam yang hidupnya susah. Maka Allah ‎ﷻ jawab yang dunia ini tidak indah, tetapi dinampakkan sahaja indah.

Siapakah pula yang tertipu itu? لِلَّذينَ كَفَرُوا iaitu orang kafir sahaja yang tertipu. Ini kerana mereka tidak ada iman dan mereka tidak percaya kepada akhirat. Mereka hanya nampak dan beriman kepada dunia sahaja. Mereka tidak tahu hakikat dunia ini hanyalah ujian semata kerana itulah yang mereka kejar. Mereka menolak kebenaran wahyu yang disampaikan oleh Rasulullah ﷺ kerana:

  • Amalan Riba’ terhalang

Pemuka-pemuka Quraisy menolak Islam kerana ikatan adat lama pusaka usang, dan mereka terkemuka dalam hal itu. Orang kaya-kaya mereka menolak masuk kesatuan akidah kerana riba dihalangi, sedang kehidupan mereka ialah daripada menghisap darah si miskin.

  • Dengki

Pemuka-pemuka Yahudi di Madinah tidak mahu masuk Islam meski pun kebenaran yang dibawa Muhammad ﷺ terang-terang sesuai dengan isi Taurat, iaitu Tauhid, ialah kerana dengki mengapa sekarang Nabi tidak datang dari Bani Israil, dan pendeta-pendeta mereka keberatan masuk, sebab kedudukan mereka menjadi pemuka agama sudah menjadi suatu kemegahan duniawi.

  • Hilang pengaruh

Kaum munafik di bawah pimpinan Abdullah bin Ubai tidak mahu masuk, serba benci kepada Rasulullah ﷺ dan orang beriman, kerana sejak Nabi Muhammad ﷺ datang, kepemimpinannya terhadap orang Madinah telah hilang oleh kerana cahaya Nubuwat Nabi Muhammad ﷺ.

*Sebenarnya kalau diperhatikan sebab-sebab tiga puak ini memusuhi kebenaran, sama sahaja dengan puak-puak ahli bid’ah yang mempeloporkan dan mempertahankan amalan bid’ah mereka.

Orang kafir dan juga orang-orang yang ingkar dengan wahyu kalau kita perhatikan mendapat nikmat keduniaan yang banyak. Soalan yang mungkin timbul di benak fikiran orang Islam adalah: kenapa mereka yang dikatakan derhaka kepada Allah ‎ﷻ telah diberikan dengan nikmat dunia yang berganda-ganda? Semenjak dahulu sampailah sekarang, kita boleh lihat bagaimana orang kafir itu sentiasa sahaja lebih kaya, lebih maju daripada orang Islam. Mungkin ada yang kata, nampak macam Allah ‎ﷻ lebihkan mereka pula. Adakah mereka itu dalam puak yang benar dan Allah ‎ﷻ sayangkan mereka? Akan tetapi dikatakan mereka derhaka kepada Allah ‎ﷻ pula? Kenapa jadi begini? Nampak macam tidak logik pula, bukan?

Allah ‎ﷻ beritahu bahawa kekayaan dan kesenangan yang mereka dapati itu bukanlah kayu ukur atau sebagai tanda yang Allah ‎ﷻ sayang kepada mereka atau kedudukan mereka lebih tinggi. Sebenarnya dunia ‘diperlihatkan’ indah kepada orang-orang kafir dan kerana itu mereka bersusah payah dan berusaha bersungguh-sungguh hanya kepada hal-hal keduniaan sahaja.

Orang-orang Islam bukanlah tidak memandang keindahan dan kesenangan dunia, tetapi dalam masa yang sama, kita juga nampak kepentingan akhirat. Orang kafir nampak hanya dunia sahaja yang penting dan indah. Orang Mukmin pula mementingkan akhirat (tanpa menolak dunia). Kalau ada percanggahan antara dunia dan akhirat, akhiratlah yang lebih diutamakan. Amat bahaya sekali sekiranya kita mengaku Muslim, nama pun ada bau-bau Islam, tetapi kita ada sifat-sifat mereka. Amat bahaya sekali kerana perkara ini ada dalam hati kita dan kita kena selidik dan tanya diri kita sendiri. Kalau kita ada perasaan dan kecenderungan begitu, maka itu sudah menjadi satu masalah besar dan kita perlu ubah diri kita. Allah ﷻ mengingatkan kita di dalam Tawbah: 55

فَلا تُعجِبكَ أَموٰلُهُم وَلا أَولٰدُهُم ۚ إِنَّما يُريدُ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُم بِها فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَتَزهَقَ أَنفُسُهُم وَهُم كٰفِرونَ
Maka janganlah harta benda dan anak-anak mereka menarik hatimu. Sesungguhnya Allah menghendaki dengan (memberi) harta benda dan anak-anak itu untuk menyeksa mereka dalam kehidupan di dunia dan kelak akan melayang nyawa mereka, sedang mereka dalam keadaan kafir.

Oleh kerana orang kafir nampak hanya dunia sahaja yang penting (dan hanya dunia sahaja yang ada), maka mereka berusaha dengan sekeras-kerasnya untuk mendapatkan kesenangan dunia itu dan sanggup untuk melakukan apa sahaja demi mendapatkannya walaupun terpaksa menipu, menganiaya, melanggar hukum dan sebagainya. Tumpuan mereka hanya pada dunia sahaja. Oleh kerana itu sahaja yang mereka tumpukan dan usahakan, maka mereka dapatlah dunia itu kerana mereka berusaha keras untuk mendapatkannya. Disebabkan mereka berkehendakkan sangat dunia, maka Allah ‎ﷻ boleh berikan kepada mereka dan menjadikan dunia itu sebagai ujian buat mereka.

Akan tetapi orang Islam tidak boleh buat begitu, maka adalah kekurangan di sana sini dari segi keduniaan. Namun sebagai seorang mukmin, dia akan redha dengan apa sahaja pemberian daripada Allah ‎ﷻ kerana mereka sedar yang dunia ini sementara sahaja. Apalah yang hendak dikisahkan sangat dengan kekurangan dunia ini. Rasulullah ﷺ bersabda tentang hal ini,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمرو أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “قَدْ أَفْلَحَ مَنْ أَسْلَمَ ورُزق كَفَافًا، وقَنَّعه اللَّهُ بِمَا آتَاهُ
Daripada Abdullah ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Sesungguhnya beruntunglah orang yang telah masuk Islam dan diberi rezeki secukupnya serta Allah menganugerahkan kepadanya sifat qana’ah (cukup) terhadap apa yang diberikan kepadanya. Sahih Muslim (1746)

Ramai yang kalah dengan keindahan dunia. Mereka hanya nampak semuanya dunia, dunia, dunia. Mereka tidak nampak akhirat kerana jauh sangat daripada pandangan mata (malah tidak nampak pun kecuali melalui berita wahyu sahaja). Maka kerana itu Allah ﷻ berulang-ulang menerangkan hakikat dunia ini seperti disebut dalam Hadid: 20

اعلَموا أَنَّمَا الحَيَوٰةُ الدُّنيا لَعِبٌ وَلَهوٌ وَزينَةٌ وَتَفاخُرٌ بَينَكُم وَتَكاثُرٌ فِي الأَموٰلِ وَالأَولٰدِ ۖ كَمَثَلِ غَيثٍ أَعجَبَ الكُفّارَ نَباتُهُ ثُمَّ يَهيجُ فَتَرٰهُ مُصفَرًّا ثُمَّ يَكونُ حُطٰمًا
Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur.

Kita telah banyak diperingatkan oleh Rasulullah ﷺ tentang hakikat dunia, jadi janganlah tertipu.

حَدَّثَنَا قَيْسٌ قَالَ سَمِعْتُ مُسْتَوْرِدًا أَخَا بَنِي فِهْرٍ يَقُولُا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَاللَّهِ مَا الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ إِلَّا مِثْلُ مَا يَجْعَلُ أَحَدُكُمْ إِصْبَعَهُ هَذِهِ وَأَشَارَ يَحْيَى بِالسَّبَّابَةِ فِي الْيَمِّ فَلْيَنْظُرْ بِمَ تَرْجِعُ
[Qais] berkata: Aku mendengar [Mustaurid] salah seorang daripada bani Fihr berkata: Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Demi Allah, tidaklah dunia di akhirat kecuali seperti sesuatu yang dijadikan oleh jari salah seorang daripada kalian -Yahya (perawi) berisyarat dengan jari telunjuk di laut- maka perhatikanlah apa yang dibawa.”
(Sahih Muslim No. 5101)

Kenapa hendak dikejar sangat benda yang tidak bernilai?

عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ كَانَتْ الدُّنْيَا تَعْدِلُ عِنْدَ اللَّهِ جَنَاحَ بَعُوضَةٍ مَا سَقَى كَافِرًا مِنْهَا شَرْبَةَ
Daripada [Sahl bin Sa’ad] dia berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Seandainya dunia itu di sisi Allah sebanding dengan sayap nyamuk tentu Allah tidak mahu memberi orang orang kafir walaupun hanya seteguk air.”
(Jami’ Tirmidzi No. 2242). Status: Sahih

Di dalam hadith yang lain Rasulullah ﷺ bersabda,

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّ بِالسُّوقِ دَاخِلًا مِنْ بَعْضِ الْعَالِيَةِ وَالنَّاسُ كَنَفَتَهُ فَمَرَّ بِجَدْيٍ أَسَكَّ مَيِّتٍ فَتَنَاوَلَهُ فَأَخَذَ بِأُذُنِهِ ثُمَّ قَالَ أَيُّكُمْ يُحِبُّ أَنَّ هَذَا لَهُ بِدِرْهَمٍ فَقَالُوا مَا نُحِبُّ أَنَّهُ لَنَا بِشَيْءٍ وَمَا نَصْنَعُ بِهِ قَالَ أَتُحِبُّونَ أَنَّهُ لَكُمْ قَالُوا وَاللَّهِ لَوْ كَانَ حَيًّا كَانَ عَيْبًا فِيهِ لِأَنَّهُ أَسَكُّ فَكَيْفَ وَهُوَ مَيِّتٌ فَقَالَ فَوَاللَّهِ لَلدُّنْيَا أَهْوَنُ عَلَى اللَّهِ مِنْ هَذَا عَلَيْكُمْ
Daripada [Jabir bin Abdullah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا], Rasulullah ﷺ melintas masuk ke pasar selepas pergi dari tempat-tempat tinggi sementara orang-orang berada di sisi baginda. Baginda melintasi bangkai anak kambing dengan telinga melekat, baginda mengangkat telinganya lalu bersabda: “Siapa diantara kalian yang mahu membeli ini seharga satu dirham?” Mereka menjawab: Kami tidak mahu memilikinya, untuk apa? Baginda bersabda: “Apa kalian mahu (bangkai) ini milik kalian?” Mereka menjawab: Demi Allah, andai masih hidup pun ada cacatnya kerana telinganya menempel, lalu bagaimana halnya dalam keadaan sudah mati? Baginda bersabda: “Demi Allah, dunia lebih hina bagi Allah melebihi (bangkai) ini bagi kalian.”
(Sahih Muslim No. 5257)

Orang mukmin senang menolak dunia dan mementingkan akhirat kerana mereka selalu mendengar ayat-ayat tentang perbezaan dunia dan akhirat. Hasilnya, mereka telah tahu kebenaran. Kerana itulah para sahabat رضي الله عنهم apabila disuruh hijrah, mereka hijrah, disuruh jihad mereka akur. Ini kerana mereka faham ayat-ayat tentang dunia dan akhirat yang tidak sama. Antaranya mereka pegang dengan ayat A’la: 17

وَالآخِرَةُ خَيرٌ وَأَبقىٰ
Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.

 

وَيَسخَرونَ مِنَ الَّذينَ ءَامَنُواْ‌ۘ

mereka terus merendah-rendahkan orang-orang yang beriman. 

Oleh kerana mereka hanya nampak kejayaan dunia sahaja, maka mereka memperkecilkan dan merendah-rendahkan orang-orang beriman yang tidak ada kedudukan dan kekayaan dalam dunia. Ini adalah kerana mereka hanya memandang kejayaan itu dari segi kedudukan keduniaan sahaja. Itu adalah pandangan yang amat silap. Jika kita menilai kejayaan manusia dengan melihat pencapaian mereka dalam hal keduniaan sahaja, itu adalah salah. Lihatlah para Nabi, kebanyakan daripada mereka miskin-miskin belaka. Maka ini mengajar kita jangan memandang hina orang-orang miskin.

Begitulah, kedudukan di dalam dunia juga menjadi penghalang kepada manusia untuk beriman. Lihatlah kes pemuka-pemuka Musyrikin Mekah yang tidak mahu duduk bersama Nabi ﷺ jikalau ada orang yang lemah dan miskin ada bersama sampaikan Nabi Muhammad ﷺ dilarang daripada menghalau golongan yang lemah itu seperti disebut di dalam An’am: 52

وَلا تَطرُدِ الَّذينَ يَدعونَ رَبَّهُم بِالغَدوٰةِ وَالعَشِيِّ يُريدونَ وَجهَهُ ۖ ما عَلَيكَ مِن حِسابِهِم مِّن شَيءٍ وَما مِن حِسابِكَ عَلَيهِم مِّن شَيءٍ فَتَطرُدَهُم فَتَكونَ مِنَ الظّٰلِمينَ
Dan janganlah engkau usir orang-orang yang beribadat dan berdoa kepada Tuhan mereka pagi dan petang, sedang mereka menghendaki keredhaan-Nya semata-mata. Tiadalah engkau bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amal mereka, dan mereka juga tidak bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amalmu. Maka (sekiranya) engkau usir mereka, nescaya menjadilah engkau daripada orang-orang yang zalim.

Memang inilah yang terjadi zaman berzaman. Sebagai contoh perhatikan penghinaan Firaun kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, seperti disebut di dalam Zukhruf: 52

أَم أَناْ خَيرٌ مِّن هٰذَا الَّذي هُوَ مَهينٌ وَلا يَكادُ يُبينُ
“Bahkan bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina keadaannya ini, dan yang hampir-hampir tidak dapat menjelaskan perkataannya?

Orang kafir kata orang Islam itu bodoh sebab hidup kita tersekat dengan berbagai sekatan agama. Macam-macam tidak boleh buat. Sebagai contoh, pakaian kena jaga aurat, hari-hari mesti mengerjakan solat, bercakap perlu dijaga sebab tidak boleh cakap sebarangan, pergi kelab malam tidak boleh, tidak boleh minum arak, merokok, tidak boleh makan riba dan macam-macam kekangan lagi. Mereka kata kita hidup dalam kerugian. Begitulah Nabi ﷺ telah bersabda bahawa dunia ini adalah penjara kepada orang beriman.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الدُّنْيَا سِجْنُ الْمُؤْمِنِ وَجَنَّةُ الْكَافِرِ
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Dunia ini adalah penjara orang mukmin dan syurga orang kafir.”
(Hadith Sahih Muslim No. 5256)

Allah ‎ﷻ beritahu mereka yang nampak dunia itu indah hanyalah orang kafir sahaja. Malangnya, ada orang Islam pun begitu juga, bukan? Mereka yang mengajak kita buat maksiat, ajak pergi majlis bid’ah, buat benda yang salah dan macam-macam lagi. Lalu siapakah mereka itu sebenarnya?

Melalui ayat ini juga kita tahu yang orang kafir memang memandang rendah umat Islam dan mereka juga suka mempermain-mainkan kita dan memperolokkan kita. Ini kerana kalimah يَسخَرونَ boleh bermaksud mempermain-mainkan. Juga kalimah يَسخَرونَ di dalam bentuk fi’il mudhari’, jadi bermakna ia sentiasa sahaja berlaku sampai sekarang. Oleh sebab itu, jika kita sudah maklum tentang hal ini, kenapa perlu kita terkejut kalau ia terjadi di media sosial? Memang itu pun kerja mereka . Tidak perlulah kita melompat walaupun mereka hina Rasulullah ﷺ dengan membuat kartun dan sebagainya. Ya, memang kita marah, tetapi tidaklah perlu sampai melompat dan memalukan diri kita pula. Jangan sampai mengugut bunuh dan sebagainya kerana itu hanya merendahkan nama Islam sahaja. Akibatnya orang kafir seluruh dunia melihat kita sebagai orang yang senang diganggu emosinya pula. Yang penting, kita mesti menjalankan usaha untuk menaikkan nama Islam dan menyampaikan keindahan agama Islam kepada mereka. Yang mereka hina dan kutuk itu adalah kerana mereka tidak nampak keindahan Islam. Sebaliknya kita perlu tanya diri kita sendiri: Bolehkah kita salahkan mereka 100%? Bukankah tindakan kebanyakan umat Islam itu sendiri memang tidak mencerminkan agama Islam?

 

وَالَّذينَ اتَّقَوا فَوقَهُم يَومَ ٱلقِيَـٰمَةِ‌ۗ

Padahal orang-orang yang bertaqwa lebih tinggi daripada mereka pada hari kiamat kelak. 

Inilah berita gembira kepada orang yang bertaqwa: Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa mereka yang bertaqwa, iaitu mereka yang menjaga hukum Allah ‎ﷻ, lebih tinggi kedudukan daripada orang-orang kafir itu di akhirat kelak. Mungkin di dunia orang bertaqwa itu nampak rendah dan hina, namun di akhirat kelak orang bertaqwa yang lebih tinggi kedudukan mereka. Mungkin di dunia, orang bertaqwa itu nampak hina (pada pandangan orang kafir) akan tetapi di akhirat kelak mereka yang akan berada di atas. Buat apa hebat di dunia namun hina di akhirat?

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan ‘orang-orang bertaqwa’ kerana beriman sahaja tidak cukup. Kerana taqwa adalah peringkat yang lebih tinggi selepas beriman. Kerana beriman itu maksudnya ‘percaya’ dan ‘taqwa’ adalah menjaga hukum dan perintah Allah ‎ﷻ selepas percaya. Orang-orang yang bertaqwa akan masuk ke dalam syurga dan orang kafir itu akan masuk ke dalam neraka. Apabila masuk ke dalam syurga, maka kedudukan ahli syurga memang akan lebih tinggi daripada kedudukan mereka yang di neraka. Waktu itu orang bertaqwa pula yang akan mentertawakan orang kafir itu.

 

وَاللَّهُ يَرزُقُ مَن يَشاءُ بِغَيرِ حِسابٍ

Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terkira 

Sama ada rezeki lebih atau kurang itu adalah daripada takdir Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ yang menentukan siapa yang akan dapat berapa. Tidak boleh kita persoalkan kepada siapa Allah ‎ﷻ hendak beri. Kalau Allah ‎ﷻ hendak beri lebih banyak kepada orang kafir, bukan hak kita untuk persoalkan. Bukan semua orang kafir kaya pun. Semuanya adalah atas kehendak Allah ‎ﷻ untuk menguji hamba-Nya. Allah ﷻ boleh sahaja tanpa berkira, tanpa had kerana semua rezeki di Tangan-Nya. Kalau kita kerja dengan orang, tidak akan ada yang boleh bayar sejuta ringgit sehari kerana manusia tidak mampu tetapi Allah ﷻ mampu.

Kenapa sebut tentang rezeki dalam ayat ini? Kerana orang-orang kafir itu pada mereka mudah sahaja mereka rasa untuk dapat harta – boleh kerja macam-macam tanpa halangan, boleh makan riba, boleh menipu dan sebagainya. Maka Allah ‎ﷻ hendak beritahu bahawa Allah ‎ﷻ boleh beri rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Kalau orang kafir itu mementingkan harta dan kekayaan, boleh sahaja Allah ﷻ beri kepada mereka. Harta itu akan menyebabkan mereka terus bergelumang dengan dunia. Harta itu menjadi ujian bagi mereka. Malah, kepada orang Islam pun, diberikan dengan ujian ini. Ramai yang beriman ketika susah, namun apabila senang sedikit, sudah lupa untuk ibadah dan melakukan kebaikan. Asalnya orang yang baik-baik, sudah mula buat perkara yang salah kerana sudah terkesan dengan kesenangan dunia.

Melalui ayat ini juga kita diingatkan lagi yang rezeki itu daripada Allah ﷻ, bukan daripada kerja kita. Memang kita bekerja dan ada orang yang beri gaji kepada kita, tetapi rezeki itu tetap daripada Allah ﷻ. Rezeki bukan datang daripada manusia. Malah kalau kita bertaqwa, Allah ‎ﷻ masih juga akan beri rezeki yang kadang-kadang kita tidak sangka. Allah ‎ﷻ akan beri jalan keluar. Seperti yang Allah ﷻ sebut dalam Talaq: 3

وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ
Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya.

Maka ini mengajar kita supaya tidak perlu kita melanggar hukum Allah ‎ﷻ untuk mendapatkan rezeki. Kita masih boleh memperolehi rezeki kalau kita menjaga hukum-hukum-Nya. Allah ‎ﷻ masih lagi boleh beri rezeki yang banyak. Kita juga jangan sampai abaikan persediaan kita untuk akhirat semata-mata kerana dunia. Kenapa perlu mengejar dunia dan lupakan Allah ﷻ sedangkan Allah ﷻ yang beri rezeki kepada kita? Amat pelik apabila kita abaikan Pemberi Rezeki itu sendiri iaitu Allah ﷻ!

Namun begitu, dalam masa yang sama, janganlah hanya beramal kerana hendakkan rezeki sahaja. Ada orang ajar kalau jaga agama, Allah ﷻ akan murahkan rezeki. Kadangkala bila tanya kepada orang yang hidupnya senang, mulalah dia cerita amalan-amalan dia seperti jaga solat Tahajjud, jaga zikir dan sebagainya. Seolah-olahnya kalau orang miskin itu tidak beramallah pula kalau kita ikut logik ini. Kalau dikira begitu, tentulah para sahabat kaya raya semuanya kerana mereka paling banyak beramal. Sebenarnya tidak; rezeki itu daripada ketentuan Allah ﷻ, Dia yang tentukan berapa banyak seseorang itu akan dapat. Bukannya ditentukan dengan banyaknya amal ibadah kita.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 13 Februari 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 212 (Dunia diperindahkan sebagai ujian)”

Leave a comment