
Kembali kepada perbincangan ayat Surah Al-Fatihah. Dalam ayat Surah Al-Fatihah ini, kita juga boleh lihat penggunaan bahasa yang indah. Ayatnya adalah: Iaitu jalan orang-orang yang ‘Engkau’ telah beri nikmat kepada mereka. Ini menekankan bahawa hidayah itu datangnya daripada Allah ﷻ sahaja. Allah ﷻlah yang beri nikmat hidayah kepada mereka. Kita diingatkan yang segala nikmat, datang daripada Allah ﷻ.
Apabila kita tahu yang nikmat itu daripada Allah ﷻ, maka apabila kita baca ayat ini, kita berdoa kepada Allah ﷻ supaya, sebagaimana Allah ﷻ telah beri nikmat itu kepada mereka, maka berilah juga kepada kita nikmat yang sama. Inilah harapan kita semasa membaca ayat ini dalam solat dan bila-bila masa sahaja. Kerana Allah ﷻ sudah beri kepada orang sebelum kita, maka kita mahukan nikmat yang sama juga. Bukan kita minta lebih pun, tetapi yang Allah ﷻ sudah pernah beri kepada hamba-Nya sebelum kita.
Kita harus ingat yang Allah ﷻ sendiri ajar kita untuk membaca doa ini. Maka kita kenalah gunakan cara doa yang Allah ﷻ sudah ajar ini. Tidak sama kalau kita menyebut doa ini dalam kita faham apa kita cakap dengan tidak faham. Apabila kita faham, ia akan lebih menusuk ke dalam kalbu.
Kalau kita memang telah berada atas jalan yang benar, maka kita diingatkan bahawa Allah ﷻlah yang meletakkan kita di jalan itu. Tentunya, sedikit sebanyak kita sudah mula berada di atas jalan yang lurus kerana kita sudah Muslim, bukan?
Dan oleh kerana itu, kita kena bersyukur kepada Allah ﷻ kerana telah meletakkan kita di atas jalan yang lurus ini. Maka apabila kita bangkit pada rakaat kedua dan baca semua Surah Al-Fatihah, maka perkataan ‘alhamdulillah’ itu lebih bermakna buat kita.
Kalau Allah ﷻ suruh kita ikut jalan itu, tentu itu jalan yang selamat dan sukses. Maka kita mahukan jalan seperti tu. Kita mahu selamat dan kerana itu kita hendak sangat Allah ﷻ meletakkan kita di atas jalan itu.
Oleh sebab itu, jangan pilih jalan yang lain. Jangan ikut mereka yang tidak mengikut jalan yang lurus ini. Kita mahu berada atas jalan yang telah dilalui oleh salafussoleh, walaupun sedikit yang ikut. Daripada nas yang ada, kita pun tahu bahawa tidak ramai yang akan mengikut jalan itu.
Maka jangan takut dan lemah semangat kalau kita lihat tidak ramai yang mengikuti jalan itu. Memang itu janji Allah ﷻ. Jangan takut menjadi orang yang asing. Jangan takut kalau fahaman kita tidak sama dengan fahaman majoriti dalam masyarakat. Kena cari lagi mereka mahu berada di yang di jalan yang sama. Jangan hirau dengan pandangan orang lain.
Kita kena sedar yang majoriti manusia masuk neraka. Maka kita tidak boleh ikut kehendak dan fahaman majoriti manusia. Berikut hadith Rasulullah ﷺ:
1 Syurga, 999 Neraka?
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى : ” يَا آدَمُ ، فَيَقُولُ : لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ وَالْخَيْرُ فِي يَدَيْكَ ، فَيَقُولُ : أَخْرِجْ بَعْثَ النَّارِ ، قَالَ : وَمَا بَعْثُ النَّارِ ، قَالَ : مِنْ كُلِّ أَلْفٍ تِسْعَ مِائَةٍ وَتِسْعَةً وَتِسْعِينَ فَعِنْدَهُ يَشِيبُ الصَّغِيرُ وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَى وَمَا هُمْ بِسُكَارَى وَلَكِنَّ عَذَابَ اللَّهِ شَدِيدٌ ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ وَأَيُّنَا ذَلِكَ الْوَاحِدُ ، قَالَ : ” أَبْشِرُوا فَإِنَّ مِنْكُمْ رَجُلًا وَمِنْ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ أَلْفًا
Abu Sa’id al-Khudri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ meriwayatkan Nabi ﷺ bersabda: Allah berfirman: Wahai Adam!’ Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjawab: Aku menjawab panggilan-Mu, segala kebaikan ada di kedua tangan-Mu. Lalu Allah berfirman: Keluarkanlah rombongan penghuni Neraka. Baginda bertanya: Berapakah jumlah rombongan penghuni Neraka? Allah menjawab: Untuk setiap seribu orang ada sembilan ratus sembilan puluh sembilan. Saat itu rambut anak kecil mendadak beruban, setiap orang yang hamil keguguran kandungannya, dan engkau lihat manusia mabuk padahal mereka tidak mabuk, melainkan azab Allah sangat pedih. Para Sahabat bertanya: Ya Rasul Allah, Siapakah di antara kami yang termasuk satu orang itu? Nabi ﷺ menjawab: Bergembiralah, sesungguhnya satu orang daripada kalian dan seribu orang itu daripada Ya’juj dan Ma’juj.
(Sahih al-Bukhari, Kitab Ahadis al-Anbiya’, Hadith No. 3121)
Apakah ‘nikmat’ itu?
Perkataan أَنۡعَمۡتَ datang daripada katadasar ن ع م yang bermaksud ‘dalam keadaan ketenangan’. Ada persamaan dengan perkataan yang diberikan untuk binatang ternakan seperti kambing dan lembu. Mereka dipanggil an’am dalam bahasa Arab. Kita pun boleh lihat binatang-binatang itu keadaan mereka adalah tenang sahaja, tidak seperti binatang-binatang liar yang lain.
Ini adalah isyarat bahawa orang-orang yang telah melepasi ujian dalam dunia ini, adalah mereka yang telah mencapai ketenangan yang Allah ﷻ berikan kepada mereka. Mereka tidak kelam kabut, kita boleh nampak ketenangan pada wajah mereka. Apa-apa sahaja yang terjadi, mereka akan tenang-tenang sahaja.
Apakah makna ‘nikmat’ itu. Kalau dikatakan ‘nikmat’, tentulah banyak nikmat yang boleh disebut. Antaranya nikmat kekayaan, nikmat kesihatan, kesenangan, pangkat dan sebagainya. Itu semua nikmat juga.
Namun nikmat yang dimaksudkan dalam ayat Surah Al-Fatihah ini adalah nikmat yang sebenar. Nikmat yang sebenar bukanlah kehidupan yang senang, kerana bukan itu yang diberi kepada empat golongan yang disambut sebelum ini. Kita pun tahu, bahawa kebanyakan Nabi hidup dalam kemiskinan. Lihatlah kisah Umar رضي الله عنه melawat Nabi ﷺ dan nampak baginda tidur atas tukar. Kisahnya begini:
عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ دَخَلْتُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَهُوَ مُضْطَجِعٌ عَلَى حَصِيرٍ فَجَلَسْتُ فَأَدْنَى عَلَيْهِ إِزَارَهُ وَلَيْسَ عَلَيْهِ غَيْرُهُ وَإِذَا الْحَصِيرُ قَدْ أَثَّرَ فِي جَنْبِهِ فَنَظَرْتُ بِبَصَرِي فِي خِزَانَةِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَإِذَا أَنَا بِقَبْضَةٍ مِنْ شَعِيرٍ نَحْوِ الصَّاعِ وَمِثْلِهَا قَرَظًا فِي نَاحِيَةِ الْغُرْفَةِ وَإِذَا أَفِيقٌ مُعَلَّقٌ قَالَ فَابْتَدَرَتْ عَيْنَاىَ قَالَ مَا يُبْكِيكَ يَا ابْنَ الْخَطَّابِ قُلْتُ يَا نَبِيَّ اللَّهِ وَمَا لِي لاَ أَبْكِي وَهَذَا الْحَصِيرُ قَدْ أَثَّرَ فِي جَنْبِكَ وَهَذِهِ خِزَانَتُكَ لاَ أَرَى فِيهَا إِلاَّ مَا أَرَى وَذَاكَ قَيْصَرُ وَكِسْرَى فِي الثِّمَارِ وَالأَنْهَارِ وَأَنْتَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَصَفْوَتُهُ وَهَذِهِ خِزَانَتُكَ فَقَالَ يَا ابْنَ الْخَطَّابِ أَلاَ تَرْضَى أَنْ تَكُونَ لَنَا الآخِرَةُ وَلَهُمُ الدُّنْيَا قُلْتُ بَلَى
1479 صحيح مسلم كتاب الطلاق باب في الإيلاء واعتزال النساء وتخييرهن وقوله تعالى وإن تظاهرا عليه
Umar ibn al-Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: Aku masuk ke kamar baginda sedang berbaring di tikar lalu aku duduk mendekatinya. Ketika baginda membetulkan sarungnya, aku melihat bekas tikar berkesan di rusuk baginda. Aku perhatikan sekeliling gudang itu. Aku tidak melihat berisi apa-apa, kecuali selonggok gandum kira-kira segantang dan qarazh sebanyak itu pula terletak di sudut dinding dan sehelai kulit sedang tergantung. Itulah hanya isi gudang simpanan baginda. Melihat keadaan seperti itu, air mata ku mengalir bercucuran. Lalu baginda bertanya: “Kenapa kamu menangis hai anak Khathab?” Jawabku, “Ya, Nabiyallah! Aku menangis kerana melihat tikar ini membekas di rusuk engkau. Dan gudang ini tidak ada apa-apa yang tersimpan di dalamnya. Padahal gudang Kaisar Rumawi dan Kisra Persia berlimpah-limpah dengan buah-buahan dan serba cukup adanya. Sedangkan anda adalah Rasulullah dan pilihan-Nya. Beginilah hanya keadaan gudang simpanan mu.” Sabda Nabi ﷺ, “Hai anak Khathab! Tidak sukakah engkau, akhirat untuk kita dan dunia untuk mereka?” Jawabku, “Aku suka, ya Rasulullah!”
(Sahih Muslim No. 1479)
Maka jelas di sini, kita bukan mahu mengejar nikmat kesenangan hidup di dunia. Kerana itu bukanlah nikmat yang sebenar. Nikmat sebenar adalah iman dan agama. Allah ﷻ telah berfirman:
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإسْلامَ دِينًا ٣
“Pada hari ini telah Ku-sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu Jadi agama bagimu.”
(Al-Maaidah: 3)
Lihatlah bagaimana lafaz نِعْمَتِي (nikmat-Ku) itu dinisbahkan kepada agama. Maknanya, nikmat yang kita hendak adalah dalam hal agama. Ini kerana kalau agama kita sempurna dan baik, kita akan mendapat nikmat yang lebih besar lagi. Apabila akhirat kita anggap lebih penting daripada kehidupan di dunia, maka kita akan mudah redha dengan apa sahaja yang terjadi kepada kita dalam dunia. Kerana kita tahu yang nikmat yang sempurna bukannya di dunia, tetapi di syurga nanti.
Kita juga tahu bahawa dunia ini penuh dengan ujian dan kesusahan. Ujian merupakan nikmat yang Allah ﷻ berikan kepada hamba-Nya. Jika kita berjaya melepasi ujian daripada-Nya, maka Allah ﷻ akan membalas dengan kebaikan di akhirat kelak. Oleh itu, kita kena tahu tujuan hidup kita di dunia ini. Bukannya bersenang lenang untuk mencari nikmat kehidupan sementara ini semata.
Memang kita mengharap nikmat yang di akhirat nanti. Akan tetapi bukanlah nikmat itu hanya dapat di akhirat sahaja. Di dunia pun sudah boleh dapat. Seperti yang Allah ﷻ telah firmankan dalam Nahl: 97.
مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Sesiapa yang beramal soleh, daripada lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih daripada apa yang mereka telah kerjakan.
Kehidupan baik حَيَاةً طَيِّبَةً yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah kehidupan di dunia. Namun bukanlah ia bermaksud harta banyak dan sebagainya, sebaliknya ia bermaksud Allah ﷻ beri ketenangan, kepuasan, kesukaan dengan apa yang mereka ada. Kalau kita puas walaupun dengan harta yang sedikit, maka itu sudah merupakan kekayaan yang banyak.
Lumrah nafsu manusia selalunya tidak berasa puas. Kalau yang sudah ada sejuta Ringgit, mereka mahukan dua juta. Yang ada satu billion, mahukan dua billion pula. Manusia sebegini tidak mendapat nikmat yang dimaksudkan dalam ayat Surah Al-Fatihah ini.
Lihatlah juga kata ulama’ yang besar, Ibn Taimiyyah رحمه الله. Ibn Taimiyyah رحمه الله berkata ada syurga di dunia dan tidak akan memasuki syurga akhirat jikalau tidak masuk syurga dunia dahulu.

“Di dunia itu terdapat syurga. Barangsiapa yang tidak memasukinya, maka dia tidak akan memperoleh syurga akhirat.” (Al-Wabilus Shayyib minal kalimit Thayyib, hal. 81)
Ibnul Qayyim رحمه الله (anak murid utama Ibn Taimiyyah رحمه الله) menjelaskan bahawa syurga dunia adalah:
-
- mencintai Allah ﷻ,
- mengenal Allah ﷻ,
- senantiasa mengingat-Nya,
- merasa tenang dan thuma’ninah ketika bermunajat pada-Nya,
- menjadikan kecintaan hakiki hanya untuk-Nya,
- memiliki rasa takut dan rasa harap kepada-Nya,
- senantiasa bertawakal pada-Nya dan
- menyerahkan segala urusan hanya pada-Nya.
(Shahih Al Wabilush Shoyyib, Dar Ibnul Jauziy)
Ibn Qayyim رحمه الله belajar dan mendampingi Ibn Taimiyyah رحمه الله selama 16 tahun. Beliau wafatnya di dalam penjara Qal`ah Dimasyq disaksikan oleh salah seorang muridnya yang menonjol, Al-`Allamah Ibnul Qayyim رحمه الله. Beliau berada di penjara itu selama dua tahun tiga bulan dan beberapa hari, mengalami sakit dua puluh hari lebih. Selama dalam penjara beliau selalu beribadah, berzikir, tahajjud dan membaca Al-Qur’an.
Walaupun telah dipenjara sebegitu rupa, namun ia tidak memberi kesan kepada Ibn Taimiyyah رحمه الله kerana hatinya telah mendapat nikmat daripada Allah ﷻ. Ibn Qayyim رحمه الله berkata bahawa kalau mereka mengalami susah hati, mereka akan pergi melawat ibn Taimiyyah رحمه الله dan mereka akan merasa tenang melihat keadaan beliau.
Lihatlah, kalau kita hendak kata nikmat itu adalah nikmat kesenangan dunia, tentulah Ibn Taimiyyah رحمه الله itu hidup senang lenang, namun tidak. Malah beliau telah diberi ujian yang amat berat sekali.
Oleh itu, nikmat yang kita mahu dalam doa kita dalam Surah Al-Fatihah ini adalah nikmat yang tertinggi. Nikmat yang bukan daripada harta dan kuasa. Nikmat yang berupa harta dan kuasa biasa sahaja Allah ﷻ berikan kepada hamba-Nya termasuk hamba-Nya yang kufur seperti Firaun itu. Maka Firaun tidaklah mendapat nikmat tertinggi yang dimaksudkan dalam ayat ini.
Oleh kerana kita sudah tahu nikmat ini adalah satu nikmat yang amat tinggi, maka kita kenalah cuba untuk mendapatkannya. Jangan rasa yang kita tidak layak kerana nikmat ini boleh didapati oleh setiap manusia asalkan mereka mahu berusaha. Dan yang penting, kena doa kepada Allah ﷻ agar diberikan nikmat ini kepada kita.
Ulama’ ada juga berbincang, adakah orang kafir dapat nikmat? Kalau kita lihat dalam dunia sekarang, yang banyak ada harta dan kesenangan adalah orang kafir. Adakah kita rasa Allah ﷻ lebih sayang kepada mereka sampaikan mereka dapat lebih lagi daripada orang Islam?
Ini perlu dijelaskan kerana kalau manusia tidak jelas, mereka akan pandang tinggi kepada orang kafir yang kaya raya dan berjaya itu dan akan cuba untuk mengikuti cara-cara mereka. Ini amat bahaya kerana kalau cara mereka itu bertentangan dengan agama, takkan kita mahu ikut pula?
Oleh kerana itu, kita kena faham, segala kelebihan dan nikmat yang didapati oleh orang kafir itu bukanlah nikmat yang sebenarnya, kerana apa yang mereka dapat itu akan memberi azab kepada mereka akhirnya. Kerana dengan kesenangan, kekuasaan dan kekayaan mereka itu, iaa semakin menjauhkan mereka daripada agama yang benar.
Dan kita kena faham bahawa, kalau mereka kaya dan senang, bukanlah itu tanda Allah ﷻ sayang kepada mereka. Biasa sahaja orang kita berfahaman begini: ‘Hidup si A tu sentiasa malang dan susah dan tak kaya-kaya sebab dia ada buat salahlah tu, tidak solatlah tu, harta tidak berkat… dan sebagainya’. Mereka fikir kehidupan yang susah di dunia ini tanda Allah ﷻ tidak sayangkan mereka.
Jangan kita terjerumus dengan fahaman yang sebegitu. Itu adalah fahaman orang kafir. Sebagai contoh, Kristian mazhab Protestant berfahaman, kalau seseorang itu kaya, itu tanda tuhan sayang. Itu salah faham dan orang Islam pun ada fahaman begitu. Mereka itu tidak sedar yang kesenangan dan kesusahan adalah ujian. Selalu kita menganggap kesusahan itu adalah ujian, bukan? Namun ketahuilah, kesenangan itu juga adalah ujian.
Kebiasaannya orang yang senang, susah hendak ingat Allah ﷻ. Maka dengan kesenangan hidup keduniaan yang Allah ﷻ berikan, mereka diuji: sama ada mereka ingat kepada Allah ﷻ atau tidak.
Dan kerana salah faham dengan konsep inilah, menyebabkan ramai orang Islam yang solat kerana mereka hendakkan rezeki mereka murah serta memperolehi kesenangan dalam kehidupan. Padahal kita sepatutnya solat kerana itu adalah arahan daripada Allah ﷻ. Kalau solat kerana hendakkan rezeki, itu sudah salah niat. Selalu bukan kita dengar orang ajar Solat Dhuha untuk murah rezeki?
Untuk memahami dengan lebih mendalam, kita kena faham hakikat dunia. Iaitu kita kena tahu betapa rendah nilainya seperti yang Allah ﷻ telah firmankan dalam An’am: 32:
وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَلَلدَّارُ الْآخِرَةُ خَيْرٌ لِّلَّذِينَ يَتَّقُونَ أَفَلَا تَعْقِلُونَ
Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?
Allah ﷻ kata kehidupan dunia ini hanya permainan dan hiburan sahaja. Ayat ini adalah tentang orang kafir yang hidup di dunia ini dengan menjadikan kehidupannya sebagai permainan dan melakukan perkara yang sia-sia sahaja. Mereka tidak ada melakukan perkara yang bermanfaat. Sedangkan orang mukmin akan beramal dan mengumpulkan sebanyak mungkin pahala semasa hidup di dunia.
Walau bagaimanapun bukanlah bermaksud dunia ini langsung tiada nilai. Kena faham apakah maksud ayat ini. Kita tidaklah menolak langsung dunia ini. Boleh sahaja untuk kita menikmati kehidupan dunia ini seperti memakai pakaian yang cantik, menggunakan kereta yang bagus, tetapi jangan jadikan nikmat dunia ini sebagai tujuan utama hidup kita. Kita kena tahu yang tujuan hidup kita adalah untuk mencari bekal untuk akhirat. Kena buat amalan kebaikan dengan banyak. Barulah kehidupan kita di dunia ini tidak menjadi ‘mainan’ sahaja.
Memang keindahan dunia ini amat merbahaya kerana ia ada sahaja di depan mata kita dan kita hanya nampak dunia sahaja. Walaupun kita sudah banyak membaca dan faham apakah kepentingan akhirat, syurga dan neraka, namun mata kita tidak nampak semua benda-benda ghaib itu. Berbeza dengan keindahan dan nikmat dunia, yang memang kita sedang hadapi setiap hari ini.
Dan kita memang sudah biasa membuat keputusan berdasarkan apa yang kita nampak di hadapan mata kita. Oleh kerana itu, ramai yang terjerumus ke dalam perangkap dunia sampai mereka lupa akhirat, lupa yang akhirnya mereka akan pergi ke sana dan lupa untuk menyiapkan bekal ke sana. Maka jangan kita lebihkan dunia daripada akhirat. Ingatlah yang kita tinggal di dunia ini sekejap sahaja.
Dalilnya, setiap hari ada sahaja orang yang mati. Kita pun tidak lama lagi, akan mati, entah sebentar lagi boleh mati, kita tidak tahu. Oleh kerana dunia ini kehidupan yang sementara sahaja, maka ia bukanlah tempat untuk mengaut nikmat. Yang kita benar-benar mahukan ialah nikmat yang sebenarnya di syurga nanti. Kalau kita tidak dapat nikmat semasa di dunia ini pun, tidaklah mengapa, asalkan kita mendapat nikmat yang banyak di akhirat nanti.
Ada sebuah hadith daripada Nabi Muhammad ﷺ yang mengatakan bahawa dunia tidak bernilai walaupun sebelah sayap nyamuk.
عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ كَانَتْ الدُّنْيَا تَعْدِلُ عِنْدَ اللَّهِ جَنَاحَ بَعُوضَةٍ مَا سَقَى كَافِرًا مِنْهَا شَرْبَةَ مَاءٍ
Daripada Sahl bin Sa’id as-Sa’idi رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Rasulullah ﷺ bersabda, “Seandainya dunia ini di sisi Allah senilai harganya dengan sayap nyamuk, nescaya Allah tidak akan memberi minum barang seteguk sekalipun kepada orang kafir.”
(HR. Tirmidzi No. 2242)

Lihatlah apa kata Nabi ﷺ kita sendiri: Dunia ini tiada nilai. Apa yang kita boleh buat dengan satu sayap nyamuk? Seekor nyamuk kalau mahu terbang perlukan sepasang sayap. Kalau kita sedar hakikat dunia, maka kita tidak tertipu dengan dunia lagi.
Kesimpulannya, terlalu banyak ayat Al-Qur’an dan hadith yang mengingatkan kita supaya jangan fokus kepada kenikmatan dunia sahaja. Kalau kita tumpukan sangat kepada dunia, akhirnya akan mati juga. Semua akan ditinggalkan, termasuk anak pinak, harta benda dan duit yang kita kumpulkan itu.
Kena ingat bahawa tempat tinggal kita yang kekal abadi adalah di akhirat nanti. Oleh kerana itu, nikmat yang kita mahukan adalah di tempat yang kita akan kekal abadi, di syurga, in sha Allah. Maka mestilah membuat persediaan untuk akhirat. Kalau rumah di dunia ini tidak percuma, maka rumah dan istana di akhirat juga tidaklah percuma.
Maka jangan terkesan sangat dengan apa yang terjadi di dunia ini. Apa-apa sahaja yang terjadi kepada kita, kita redha sahaja, terimalah ia sebagai ujian daripada Allah ﷻ. Tapi bukanlah kita disuruh untuk menolak terus dunia ini. Kerana kita masih hidup di dunia.
Kita masih lagi perlu makan, berkeluarga dan sebagainya. Para Nabi dan para sahabat pun tidaklah menidakkan keinginan nafsu mereka. Cuma ia perlu dijalankan dalam lingkungan syariat. Dan kita kena ingat yang hati mereka tidak tertakluk kepada dunia. Itulah maksud zuhud yang sebenarnya.
Kesimpulan
Kesimpulannya kita harus faham apakah yang kita minta kepada Allah ﷻ dalam ayat ini. Jangan kita baca sahaja tanpa faham. Dan selepas tahu, kita mestilah cuba sedaya upaya untuk mencapainya.
Ingatlah juga bahawa sedikit sebanyak kita sudah mendapat nikmat yang disebut dalam ayat ini. Kerana kita sekarang sudah mendapat iman dan islam. Maka kita kena bersyukur kepada Allah ﷻ supaya Dia menambah nikmat itu. Bersyukurlah kepada Allah ﷻ di atas nikmat iman yang telah diberikan-Nya ini, kerana bayangkan kalau kita sekarang dalam agama lain dan sembah batu, matahari, api dan sebagainya?
Dan majoriti manusia adalah kufur, tetapi Dia telah memilih kita sebagai Muslim. Tingkatan iman dan Islam seseorang tentunya tidak sama, tetapi sekurang-kurangnya kita sudah Muslim, bukan? Bersyukurlah. Cuma kita kenalah memperbaiki diri dan iman kita. Jangan pula rasa sudah selamat kerana rasa sudah Muslim.
Sekian sahaja tentang mereka yang kita kena ikut dan maksud nikmat yang mereka perolehi. Selepas ini kita akan belajar apakah jalan dan sifat yang salah pula. Ini amat penting supaya kita tahu mana yang salah maka kita akan tahu mana yang mesti kita elak. Kalau hendak tahu tentang putih, kita kena bezakan dengan hitam, bukan? Barulah jelas putih apabila dibandingkan dengan hitam.
Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya.
Kemaskini: 12 Oktober 2019
Rujukan:
Jamal Zarabozo
Nouman Ali Khan

Assalaamualaikum warohmatullahi wabarokatuh… Mohon penjelasan ttg “dua umat” dlm hadith mengenai “Dari setiap 1000 orang, 999 di neraka dan hanya 1 orang yg masuk syurga” – Jazakallahu khairan
LikeLike
majoriti dari manusia akan masuk neraka. maka janganlah ikut majoriti. kena ikut yang sahih.
LikeLike