Tafsir Surah Fatihah Ayat 7 [Bahagian 1] (Siapa orang-orang yang diberi nikmat)

Ayat 7:

صِرٰطَ الَّذينَ أَنعَمتَ عَلَيهِم غَيرِ المَغضوبِ عَلَيهِم وَلَا الضّالّينَ

Sahih International

The path of those upon whom You have bestowed favor, not of those who have evoked [Your] anger or of those who are astray.

Malay

Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

صِرٰطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ

Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah beri nikmat kepada mereka;

Sekarang kita masuk kepada ayat yang baru. Lihatlah lafaz ayat ini bagaikan kita sedang berbicara dengan Allah ﷻ, kerana digunakan kata ganti nama kedua – Engkau. Nanti kita akan lihat bagaimana apabila disebut tentang mereka ‘yang dimurkai’ dalam ayat seterusnya, ia adalah dalam bentuk ayat pasif dan apabila menyebut tentang mereka ‘yang sesat’, ia adalah dalam bentuk ayat aktif. Semua itu memberi pemahaman yang berbeza.

Ayat ini menjelaskan lagi apakah ‘jalan lurus’ seperti yang telah disebut dalam ayat sebelum ini, supaya jelas dan tidak ada yang menyalahguna dan mendakwa jalan merekalah yang lurus. Memang ramai dalam dunia Islam yang kata merekalah jalan yang lurus. Akan tetapi bagaimana kita tahu siapakah yang berada atas jalan yang lurus itu?

Allah ﷻ mengajar dalam ayat ini untuk membandingkan dengan cara orang-orang terdahulu kerana mereka yang telah melalui jalan itu dan mereka telah mendapat pujian daripada Allah ﷻ.

Kalau kita lihat, ayat ini tidak memberitahu yang jalan yang lurus itu adalah Jalan Al-Qur’an dan Sunnah. Kenapa tidak begitu? Bukankah kalau kita berpegang kepada Al-Qur’an dan Sunnah, kita akan selamat? Tidak disebut begitu kerana kalau kata hanya ikut jalan Al-Qur’an dan sunnah, mungkin ada yang salah faham. Mungkin ada yang buat jalan sendiri dan mendakwa yang mereka mengikut Al-Qur’an dan Sunnah Nabi.

Berapa banyak yang sudah mendakwa begitu dengan memetik ayat-ayat Al-Qur’an dan hadith-hadith tetapi mereka sebenarnya jauh dari jalan yang lurus? Mereka itu tidak berada atas jalan yang lurus kerana mereka faham Al-Qur’an dan Sunnah dengan cara mereka sendiri. Padahal kita sepatutnya mengikut jalan yang telah dilalui oleh golongan Salafussoleh – mereka yang berada dalam tiga kurun yang pertama selepas kebangkitan Islam.

Mereka adalah yang belajar sendiri dengan Nabi Muhammad ﷺ, dan mereka rapat dengan mereka. Sahabat belajar dengan Nabi ﷺ, Tabein belajar dengan para sahabat dan Tabi’ Tabein belajar dengan Tabein. Maka, mereka jauh lebih faham agama daripada kita. Maka kita kenalah periksa sama ada amalan dan fahaman kita sama dengan cara yang mereka amalkan. Kerana ada yang buat cara sendiri tetapi mendakwa mereka ikut Al-Qur’an.

Namun mereka buang jalan Sunnah dan reka fahaman Al-Qur’an dengan cara mereka sendiri. Ini adalah salah sama sekali dan ramai yang telah tertipu dengan mereka. Lihatlah bagaimana ada puak yang hanya berpegang dengan Al-Qur’an tanpa berpegang dengan Hadith – golongan Anti-Hadith; lihatlah bagaimana Syiah kata mereka juga berpegang dengan Al-Qur’an dan Hadith, tetapi mereka tafsir ayat Al-Qur’an ikut pemahaman mereka yang sesat dan mereka pilih dan reka hadith supaya kena dengan kehendak mereka.

Ingatlah bahawa yang kita hendak, bukan membuat jalan yang baru. Jalan itu telah lama ada dan telah dilalui oleh golongan salaf yang sebelum kita. Maka apabila kita baca ayat ini dalam doa kita, kita sebenarnya minta Allah ﷻ tunjuk apakah jalan itu. Kerana kita hendak mencapai jalan yang lurus itu dengan cara yang benar. Kita mahu ikut cara mereka yang diberi ‘nikmat’. Bukan jalan yang salah dan sesat.

Apabila kita selalu membaca ayat ini, sepatutnya kita kena tertanya-tanya, siapakah ‘mereka’ yang dimaksudkan? Allah ﷻ sudah beritahu yang kita ada contoh untuk kita ikut, takkan kita tidak mahu tahu siapakah mereka? Kalau kita tidak teringin ikut cara mereka, maknanya kita tidak jujur dengan diri kita sendiri. Dan kalau hendak ikut mereka, kenalah kita tahu siapa mereka, bukan?

Macam dalam dunia sekarang sebagai contoh, kalau ada artis yang disukai, tentu manusia akan cari macam-macam maklumat tentang artis pujaan mereka itu. (Nota: ini bukan suruh cari maklumat tentang artis, kerana itu adalah kerja bodoh dan membuang masa sahaja. Cuma dijadikan sebagai contoh supaya lebih faham).

Kita ingin tahu apakah sifat-sifat mereka yang Allah ﷻ maksudkan dan apakah yang menyebabkan mereka berada di atas jalan yang lurus. Kerana apabila kita sudah tahu sifat-sifat mereka, kita bolehlah cuba ikut sifat-sifat itu, bukan?

Untuk mengetahui siapakah mereka dan sifat-sifat mereka, cara pertama adalah kita lihat dalam Al-Qur’an apakah yang Allah ﷻ telah beritahu kita tentang mereka. Ini adalah tafsir Al-Qur’an dengan Al-Qur’an. Satu ayat dijelaskan dalam ayat-ayat lain. Inilah tafsir yang paling utama. Ulama’ tafsir akan mencari penjelasan ayat-ayat Al-Qur’an pada ayat-ayat Al-Qur’an yang lain dahulu.

Kalau tidak jumpa, baru dicari maksudnya dengan bersandarkan kepada Hadith yang sahih. Kerana kita kena terima mana-mana ayat Al-Qur’an dengan pemahaman dalam ayat lain. Kalau kita jumpa ayat yang nampak berlawanan dengan ayat-ayat lain, maka ketahuilah yang pemahaman kita salah kerana ayat-ayat Al-Qur’an tidak akan berlawanan antara satu sama lain.

Oleh itu, adakah ayat dalam Surah Al-Fatihah ini ditafsirkan dalam ayat lain? Sudah tentu ada. Ayat ini ditafsirkan dalam Ayat Nisa: 69

وَمَن يُطِعِ اللهَ وَالرَّسولَ فَأُولٰئِكَ مَعَ الَّذينَ أَنعَمَ اللهُ عَلَيهِم مِنَ النَّبِيّينَ وَالصِّدّيقينَ وَالشُّهَداءِ وَالصّالِحينَ ۚ وَحَسُنَ أُولٰئِكَ رَفيقًا
Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).

Dalam ayat daripada Surah an-Nisa’ ini, Allah ﷻ memberitahu yang jalan yang lurus itu adalah ‘Taat kepada Allah ﷻ’ dan ‘Taat kepada Rasul’. Inilah kunci pemahaman kepada jalan yang lurus.

Taat kepada Allah ﷻ adalah taat kepada Al-Qur’an dan taat kepada Rasul merujuk kepada Sunnah Nabi. Untuk mencapainya, hendaklah belajar tafsir Al-Qur’an untuk taat kepada Allah ﷻ dan belajar syarah Hadith untuk taat kepada Rasul. Kerana kalau kita tidak belajar, bagaimana kita tahu apa yang kita perlu taati, bukan? Malangnya ramai yang mengaku taat kepada Allah ﷻ dan Rasul tetapi tidak belajar pun akan perkara yang mereka perlu taat.

Lihatlah bagaimana perkataan yang sama digunakan dalam Surah Al-Fatihah – أَنْعَمَ اللهُ عَلَيْهِمْ. Maka tahulah kita yang ayat ini mentafsir ayat ke 7 daripada Surah Al-Fatihah itu.

Siapakah yang telah diberi nikmat itu?

Masih lagi kita syarah ayat Nisa: 69 di atas. Selepas memberitahu definisi ‘Jalan yang Lurus’, Allah ﷻ menyenaraikan siapakah orang yang telah diberi nikmat. Ada empat golongan yang disebut: Para Nabi, Siddiqin, Syuhada’ dan Solehin.

Kita kena kenal mereka dan kena tahu apakah sifat mereka. Banyaklah yang telah disebut dalam Al-Qur’an dan hadith-hadith tentang mereka.

Yang pertama disebut adalah para Nabi. Kita tidak boleh menjadi Nabi tetapi kita masih boleh mencontohi sifat-sifat mereka. Secara ringkasnya, para Nabi itu berdakwah menggunakan ayat-ayat Allah ﷻ untuk mengajak manusia kepada Allah ﷻ. Mereka sanggup berkorban dalam menjalankan usaha mereka dan tidak putus asa dalam menyampaikan dakwah.

Kita pun kena jadi seperti mereka juga kerana kita mahu mengikuti cara Nabi. Sebagai contoh, kita ikut cara Nabi Ibrahim عليه السلام. Seperti yang Allah ﷻ sebut dalam An’am: 161

قُلْ إِنَّنِي هَدَانِي رَبِّي إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ دِينًا قِيَمًا مِّلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku telah diberikan petunjuk hidayah oleh Tuhanku ke jalan yang betul lurus, (kepada) ugama yang tetap teguh, iaitu ugama Nabi Ibrahim yang ikhlas, dan tiadalah dia daripada orang-orang musyrik”.

Bukan Nabi Ibrahim عليه السلام sahaja, tetapi kita kena ikut cara nabi-nabi yang lain, terutama sekali cara Nabi Muhammad ﷺ kerana kita ikut syariat baginda. Nabi Muhammad ﷺ pernah bersabda yang kalau Nabi Musa عليه السلام masih hidup lagi, Nabi Musa عليه السلام pun kena ikut syariat baginda. Kita tidak boleh ikut syariat Nabi lain tetapi akidah mereka kita kena ikut, begitu juga dengan akhlak mereka dan banyak lagi yang kita boleh contohi daripada mereka.

Dan kemudian disebut orang-orang yang siddiqSiapakah mereka? Iaitu mereka yang membenarkan kebenaran apabila mereka mendengarnya. Iaitu orang-orang dahulu yang telah membenarkan Nabi-nabi. Mereka itu percaya sungguh dengan Allah ﷻ dan Nabi. Mereka tidak berganjak daripada pegangan mereka walaupun diuji.

Sebagai contoh, lihatlah Abu Bakr رضي الله عنه. Ada musyrikin yang datang kepada beliau dan mengejek yang Muhammad ﷺ kata baginda sudah mi’raj ke langit, dan tanpa ragu, beliau terima sepenuhnya sekiranya Nabi ﷺ kata begitu. Mereka datang untuk melemahkan pegangan Abu Bakr رضي الله عنه, mahukan beliau berasa sangsi terhadap Nabi ﷺ, namun tidak berjaya.

Mereka juga sanggup berkorban apa sahaja atas nama Allah ﷻ kerana kalau pendirian kita tetap, kita akan sanggup korbankan segalanya termasuk nyawa sendiri. Kita percaya akhirat itu benar. Apa-apa sahaja yang kita korbankan, kita kena yakin yang kita akan mendapat ganjaran berganda-ganda banyaknya di akhirat kelak. Lihatlah bagaimana Abu Bakr رضي الله عنه menyerahkan segala hartanya atas jalan Allah ﷻ. Apabila ditanya apa yang tinggal untuk dirinya, beliau jawab: Allah ﷻ dan Rasul!

Zaman sekarang, orang siddiq itu adalah, apabila telah diberitahu bahawa apa yang mereka amalkan itu salah contohnya, mereka terima dan mereka membenarkan kerana yang memberitahu itu telah membawakan dalil-dalil daripada Al-Qur’an dan Sunnah. Padahal, berkemungkinan mereka pun buat juga. Namun apabila kebenaran telah datang, mereka membenarkan dan menerimanya.

Bermakna mereka menerima dalil daripada Al-Qur’an dan Hadith. Tidak menolak lagi walaupun dahulunya mereka pernh membuat amalan yang salah itu. Dia percaya bahawa kalau ia datang daripada Al-Qur’an dan hadith Nabi, tentulah ia adalah kebenaran.

Dan ketiganya disebut: orang-orang yang bersaksiIaitu orang-orang yang mati Syahid. Dia telah berjihad fi sabilillah supaya orang kafir berhenti daripada sembah berhala. Bermakna, dia juga telah menyebarkan agama. Sama ada dengan cara jihad perang atau jihad menggunakan mulut.

Dia juga akan termasuk dalam golongan orang yang bangkit di hadapan Allah ﷻ nanti dan bersaksi siapakah yang menerima dakwahnya semasa di dunia dulu dan siapakah yang menolak. Dan Nabi Muhammad ﷺ sendiri akan bersaksi bahawa dia telah menyebarkan agama Allah ﷻ. Tidakkah kita mahu Nabi Muhammad ﷺ menjadi saksi kita? Maka berpegang teguhlah dengan ajaran Islam yang benar dan sebarkan ajaran itu.

Mereka itu beruntung kerana Allah ﷻ telah memilih mereka. Ramai yang mahu mati syahid, tetapi tidak semua dapat. Sebagai contoh, Khalid al Walid رضي الله عنه banyak sekali berjihad di jalan Allah ﷻ, tetapi beliau tidak dapat mati semasa berperang, namun mati di katil rumahnya.

Satu lagi sifat golongan ini, mereka juga sanggup berkorban segala-galanya termasuk berkorban nyawa mereka sendiri. Ini kerana mereka percaya dengan janji Allah ﷻ yang akan membalas segala pengorbanan mereka itu.

Dan keempat dan akhir sekali disebut: orang-orang yang solehiaitu orang-orang yang taat kepada Allah ﷻ dengan melakukan suruhan dan meninggalkan larangan-Nya. Inilah dia orang-orang Mukmin. Untuk kenal siapakah orang mukmin, contoh terbaik adalah para sahabat Nabi. Kerana Nabi ﷺ sudah kata mereka adalah ahli syurga.

Di hujung ayat ini, Allah ﷻ memberitahu bahawa merekalah yang sepatutnya kita jadikan sebagai ikutan kita, bukannya artis, ahli sukan atau pemimpin politik di dunia. Ini penting kerana manusia memang akan ada ikutan atau idola mereka. Maka kita kena pandai memilih orang yang menjadi ikutan kita. Jangan salah pilih pula.

Ingatlah bahawa Nabi ﷺ pernah bersabda bahawa kita akan dibangkitkan dengan orang yang kita cintai. Adakah kita hendak dibangkitkan bersama dengan golongan dalam Surah an-Nisa ini atau bersama dengan artis, ahli sukan dan pemimpin politik?

قِيلَ لِلنَّبِىِّ – صلى الله عليه وسلم – الرَّجُلُ يُحِبُّ الْقَوْمَ وَلَمَّا يَلْحَقْ بِهِمْ قَالَ الْمَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ
Ada yang berkata pada Nabi ﷺ, ‘Ada seseorang yang mencintai suatu kaum, namun dia tidak pernah berjumpa dengan mereka.’ Nabi ﷺ lantas bersabda, ‘Setiap orang akan dikumpulkan bersama orang yang ia cintai.’”
(HR Muslim No. 2640)

Maka kita sudah tahu apakah syarat jalan yang lurus dan siapakah contoh ikutan kita. Kalau sudah tahu apakah sifat mereka, sanggupkah kita ikut? Kalau tidak mampu, sekurangnya kenalah ada niat untuk mengikut cara mereka. Kerana kita mungkin tidak berkorban macam mereka, tetapi dalam hati kita, kena ada niat untuk cuba dan kita lakukan sedikit sebanyak.

Allah ﷻ telah memberikan rahmat-Nya kepada kita, kita mungkin tidak perlu melalui apa yang para Nabi Nabi itu lalui. Sebagai contoh, kita tidak perlu sampai ke tahap terpaksa sembelih anak kita sendiri seperti yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim عليه السلام.

Kita juga tidak dalam suasana perang sekarang, maka tidak perlu berjihad dalam  berperang dan mungkin pada sesetengah orang, tidak ada peluang untuk berperang. Kerana untuk berperang dan berjihad, kena ada syarat-syaratnya. Bukan boleh terus sahaja bunuh orang kafir.

Ramai yang mempunyai fahaman salah tentang Jihad, sampaikan mereka pergi ke tempat-tempat awam orang kafir dan bom mereka. Padahal yang sepatutnya dilakukan adalah dakwah kepada mereka, bukan bom terus. Adakah patut, mereka belum tahu tentang Islam lagi, tetapi kita terus bom mereka?! Kebodohan manusia memang tiada hadnya!

Dalam ayat ini, kita disuruh untuk menyebut contoh orang-orang yang Allah ﷻ telah kurniakan nikmat kepada mereka. Dalam kehidupan ini, kita selalu mengambil orang-orang yang sebelum kita sebagai contoh teladan untuk diikuti. Kerana itu bahasa yang digunakan dalam ayat ini adalah ‘past tense’. Iaitu orang-orang yang sudah lepas.

Ini adalah kerana orang-orang yang sudah lepaslah yang boleh diikuti. Kalau orang-orang yang ada sekarang, belum tentu mereka akan selamat lagi. Kita tidak tahu apa nasib mereka di hujung hayat mereka.

Orang-orang yang diberi nikmat itu telah diberitahu oleh Allah ﷻ dalam surah An-Nisa. Itu adalah tafsir pertama.

Tafsir kedua, ‘orang-orang yang telah diberi nikmat’ itu bermaksud ‘orang mukmin’. Iaitu merujuk kepada Nabi Muhammad ﷺ dan yang bersama baginda. Dan orang mukmin itu bukan hanya pada zaman itu sahaja, ia akan ada pada setiap zaman. Maka, kita kena cari siapakah mereka dan kita kena bersama dengan mereka mengamalkan Islam ini.

Seperti yang kita sudah beritahu, jalan yang lurus itu sudah dilalui oleh golongan-golongan sebelum kita. Sudah ramai orang yang lalui jalan itu, maknanya, kita ada golongan yang boleh kita ikut mereka. Apabila dikatakan kita kena ikut mereka, maknanya, bukan kita faham agama ini ikut faham kita sendiri sahaja.

Sebab itu apabila kita memperkatakan tentang ‘jalan yang lurus’, kita tidak hanya kata ia jalan Al-Qur’an dan sunnah sahaja. Kena ditambah, jalan Al-Qur’an dan Sunnah seperti yang difahami oleh golongan sebelum kita – golongan salafussoleh. Kerana mereka telah melaluinya dan Allah ﷻ telah kata mereka yang telah mendapat nikmat.

Sebagai contoh, untuk faham apa yang hendak disampaikan dalam Al-Qur’an, kita kena belajar. Tidak boleh baca dan faham sendiri. Namun entah berapa ramai yang mengaku mereka itu benar. Maka itu adalah perasan sendiri sahaja.

Tiga golongan (siddiqin, syuhada’ dan solehin) yang disebut dalam Surah An-Nisa’ sebelum ini akan sentiasa ada sampai kiamat. Hanya Nabi sahaja yang tidak akan sesiapa yang boleh jadi lagi. Apabila ada yang telah mati, Allah ﷻ akan ganti dengan orang lain. Kecuali para Nabi sahaja, kerana Nabi terakhir adalah Nabi Muhammad ﷺ.

Walau bagaimanapun para siddiqin, syuhada’ dan solehin akan sentiasa sahaja ada di setiap zaman. Maka kita kena cari mereka dan bergaul dengan mereka, belajar dengan mereka. Tiga golongan itu pasti ada kerana Allah ﷻ tidak akan bagi Al-Qur’an dan tidak beri guru untuk mengajarnya. Allah ﷻ mahu kita faham Al-Qur’an. Kalau dulu, Nabi yang ajar para sahabat. Kemudian para sahabat ajar para tabein.

Dan tabein ajar golongan tabi’ tabein dan seterusnya zaman berzaman. Sekarang, kita lihat belajar apa kata ulama’. Dan kena lihat bagaimana diamalkan oleh golongan-golongan itu. Memang mereka itu tidaklah jelas kelihatan kerana mereka bukannya para selebriti, maka kenalah buka mata dan cari mereka.

Kena belajar dengan mereka. Kerana kita tida akan faham sendiri. Cuma kena pandai cari guru. Kena pandai nilai manakah guru yang ajar dengan benar. Kita kena kritis dalam perkara ini. Jangan hanya terima sahaja semua ustaz kerana ada ustaz yang tidak belajar tafsir pun. Terlalu banyak ajaran sesat sekarang. Mereka juga mengaku mereka bawa ajaran Al-Qur’an dan Sunnah.

Entah berapa ramai yang mengaku, tetapi dalam masa yang sama, mereka merosakkan agama dan manusia. Mereka mengaku dan mendakwa yang mereka berada di atas jalan yang lurus. Bagaimana kita hendak tahu mana satu yang benar-benar di atas jalan lurus itu? Ayat ini beri jawapan, iaitu kena ikut golongan yang telah disebut.

Dalam sebuah hadith, Nabi ﷺ ada menyebut jalan yang lurus adalah yang mengikut sunnah baginda dan sunnah Khalifah Rasyidin al Mahdiyyin. Berikut adalah potongan daripada hadith tersebut:

فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الْمَهْدِيِّينَ الرَّاشِدِينَ…
“…berpeganglah kamu dengan sekalian dengan sunnahku dan sunnah Khalifah al-Rasyidin yang berada di atas petunjuk…”
(Riwayat Imam Ahmad (17144), Ibn Majah (42), Abu Daud (4607) dan al-Tirmidzi (266))

Kalimah الرَّاشِدِينَ adalah mereka yang tahu apakah kebenaran itu dan ikut mengamalkan kebenaran itu. Ini penting kerana ada yang tahu apakah kebenaran tetapi mereka tidak ikut.

Kalimah الْمَهْدِيِّينَ pula bermaksud mereka yang terpimpin, lawan kepada ضلل (sesat). Kedua-dua sifat ini adalah lawan kepada dua sifat yang juga disebut dalam Surah Al-Fatihah – yang dimurkai dan sesat. غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ. Lafaz الرَّاشِدِينَ lawan kepada الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ dan الْمَهْدِيِّينَ lawan kepada الضَّالِّينَ. Kita akan belajar tentang dua golongan ini nanti dalam ayat yang seterusnya.

Siapakah mereka? Ramai yang kata mereka yang dimaksudkan adalah empat orang Khalifah selepas Nabi Muhammad ﷺ sahaja – Saidina Abu Bakr, Umar, Uthman dan Ali رضي الله عنهم. Ini mungkin tidak berapa tepat. Makna yang lebih luas adalah, mereka itu adalah umat yang selepas Nabi ﷺ dan mengikut jalan Nabi ﷺ.

Ini memberi makna yang lebih luas. Sahabat menjadi contoh kita, maka kena lihat cara bagaimana mereka amalkan agama. Kena ada usaha untuk cari maklumat. Yang penting, kita kena ada niat untuk mengikut mereka. Kalau kita sudah ada niat yang murni, tentu kita akan berusaha untuk mencari maklumat bagaimana mereka mengamalkan agama.

Kalau kita sudah melakukan yang terbaik, sudah berusaha setakat yang kita mampu, kalau kita tersilap, mungkin Allah ﷻ ampunkan kerana kita bukannya tidak ada usaha, cuma tersilap sahaja.

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya.

Kemaskini: 12 Oktober 2019


Rujukan: 

Jamal Zarabozo

Nouman Ali Khan

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

4 thoughts on “Tafsir Surah Fatihah Ayat 7 [Bahagian 1] (Siapa orang-orang yang diberi nikmat)”

  1. Assalamualaikum tuan Ustaz.
    Saya pohon izin untuk mencetak tafsiran surah al Fathihah khasnya, dari blog tuan, untuk diedarkan kepada penuntut kelas Bahasa al Quraan (bahasa Arab), yang saya sedang ajarkan kepada orang² dewasa disurau tempat saya di Puchong Selangor.

    Harap mendapat keizinsn tuan Ustaz.
    جزكالله خير.

    Like

      1. Assalamualaikum ustaz.. Bolehkan kalau saya mahu salin tafsir ini dengan tangan saya. Saya mahu bukukan utk manfaat saya dah keluarga.. Syukran ustaz

        Like

Leave a comment