Tafsir Surah Hud Ayat 35 – 37 (Bahtera Nabi Nuh عليه السلام)

Hud Ayat 35:

أَم يَقولونَ افتَرىٰهُ ۖ قُل إِنِ افتَرَيتُهُ فَعَلَيَّ إِجرامي وَأَناْ بَريءٌ مِّمّا تُجرِمونَ

Sahih International

Or do they say [about Prophet Muhammad], “He invented it”? Say, “If I have invented it, then upon me is [the consequence of] my crime; but I am innocent of what [crimes] you commit.”

Malay

(Mereka terus berdegil), bahkan mereka menuduh dengan mengatakan Nabi Nuh sengaja mengada-adakan secara dusta: bahawa Tuhan mengurniakan pangkat Nabi kepadanya. Nabi Nuh diperintahkan menjawab dengan berkata: “Kalau aku yang mereka-reka wahyu itu maka akulah yang akan menanggung dosa perbuatanku itu, dan sebenarnya aku bersih dari dosa kesalahan kamu menuduhku”.

 

أَمْ يَقُولُونَ افْتَرىٰهُ

Adakah mereka menuduh dia mengada-adakan dusta:

Mereka pula kata Nabi Nuh عليه السلام mengadakan dusta terhadap Allah ‎ﷻ. Mereka kata apa yang Nabi Nuh عليه السلام itu bawa hanyalah dusta belaka, mengaku Nabi pula. Mereka bukanlah tidak tahu tentang ‘Tuhan yang satu’ tetapi mereka menggunakan patung wali-wali itu sebagai perantaraan kepada Allah ﷻ. Mereka menggunakan tawasul untuk menyampaikan doa mereka kepada Allah ﷻ.

Wali-wali itu memang orang-orang yang baik semasa mereka hidup. Namun selepas mereka mati, mereka dijadikan sebagai perantaraan doa kepada Allah ﷻ. Mula-mula mereka membina patung hanya sebagai tanda peringatan. Akan tetapi lama kelamaan mereka sembah pula patung-patung itu kerana syaitan telah mengambil peluang untuk sesatkan mereka.

Bagaimana dengan masyarakat kita? Ada terdapat dalam kalangan masyarakat Islam kita yang memuja tok wali. Ada yang beri salam kepada Syeikh Abdul Qadir Jailani lah, Tok Kenali lah dan macam-macam lagi amalan-amalan yang sesat sebegitu. Ada sekolah tahfiz yang ajar anak murid mereka untuk berdoa kepada Tok Kenali supaya mereka senang hafal Al-Qur’an.

Mereka yang ingkar dalam kalangan umat Nabi Nuh عليه السلام mendakwa baginda menipu dan reka sahaja wahyu yang disampaikan. Mereka kata sebenarnya tidak ada larangan untuk bertawasul kepada tok-tok wali itu, cuma Nabi Nuh عليه السلام sahaja yang reka kata Tuhan tidak suka. Mereka juga kata, sebenarnya Allah ﷻ suka mereka buat begitu.

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa ‘dia’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Nabi Muhammad ﷺ. Iaitu Musyrikin Mekah mengatakan yang kisah Nabi Nuh عليه السلام yang baginda sampaikan ini adalah rekaan Nabi Muhammad ﷺ sahaja. Ini memberitahu kepada mereka bahawa kisah yang Nabi ﷺ bawakan ini adalah kebenaran dan bukan rekaan baginda.

 

قُلْ إِنِ افْتَرَيْتُهُ

Katakanlah: “Kalau betul aku telah mereka-reka wahyu itu

Nabi Nuh عليه السلام (atau Nabi Muhammad ﷺ) diperintahkan menjawab kepada mereka yang kata kalau baginda reka apa yang baginda sampaikan. Ini adalah kemungkinan sahaja, iaitu hujah ‘kalau’. Bukannya benar para Nabi itu reka wahyu pula.

 

فَعَلَيَّ إِجْرَامِي

maka akulah yang akan menanggung dosa itu,

Sekiranya benar Nabi عليه السلام reka sendiri wahyu itu, maka baginda sanggup menanggung dosa kesalahan itu. Perkataan إِجْرَامِي bermaksud sesuatu yang telah dimandatkan kepada kita untuk melakukannya tetapi kita tidak melakukannya. Maka ini adalah satu kesalahan atau dosa. Nabi Nuh عليه السلام (atau Nabi Muhammad ﷺ) disuruh untuk mengatakan bahawa kalau baginda menipu, tentulah baginda akan menerima azab akibat kesalahan dosa baginda itu.

Baginda sanggup tanggung, namun bagaimanakah dengan mereka yang telah melakukan dosa-dosa mereka itu? Adakah kamu sanggup menanggung dosa kamu?

 

وَأَنَاْ بَرِيءٌ مِّمَّا تُجْرِمُونَ

dan aku berlepas diri dari perbuatan dosa kamu itu”.

Nabi Nuh عليه السلام berlepas diri daripada perbuatan tawasul mereka itu kepada lima wali itu. Nabi Nuh عليه السلام tidak mahu ada kena mengena dengan mereka. Mana-mana amalan salah mereka, baginda tidak terlibat kerana baginda sudah menasihati mereka. Baginda tidak akan mengiktiraf amalan sesat dan kufur itu.

Kerana itulah kita juga tidak boleh menerima amalan syirik khurafat masyarakat kita. Tidak perlu kita menjaga hati mereka dengan mengatakan perbuatan itu boleh dilakukan. Jangan duduk-duduk dengan mereka semasa mereka melakukan amalan sesat mereka itu. Kita wajib untuk isytihar berlepas diri daripada amalan mereka. Jangan bersekongkol dengan mereka. Jangan iktiraf perbuatan salah mereka. Kena sampaikan kepada mereka bahawa perbuatan mereka itu adalah salah.

Habis Ruku’ 3 daripada 11 ruku’ surah ini


 

Hud Ayat 36: Setelah 950 tahun berdakwah tanpa henti, Nabi Nuh عليه السلام telah mengaku kepada Allah ‎ﷻ. Doa baginda ini disebut dalam Mukminoon:26 

قالَ رَبِّ انصُرني بِما كَذَّبونِ
Nuh berdoa: “Ya Tuhanku, tolonglah aku, kerana mereka mendustakan aku”.

Sekarang Allah ﷻ beritahu hasilnya kepada Nabi Nuh عليه السلام. Selepas diberitahu tentang keadaan mereka ini, barulah Nabi Nuh عليه السلام mengangkat tangan berdoa kepada Allah ﷻ untuk memusnahkan mereka.

وَأوحِيَ إِلىٰ نوحٍ أَنَّهُ لَن يُؤمِنَ مِن قَومِكَ إِلّا مَن قَد ءآمَنَ فَلا تَبتَئِس بِما كانوا يَفعَلونَ

Sahih International

And it was revealed to Noah that, “No one will believe from your people except those who have already believed, so do not be distressed by what they have been doing.

Malay

Dan (setelah itu) diwahyukan kepada Nabi Nuh: “Bahawa sesungguhnya tidak akan beriman lagi dari kaummu melainkan orang-orang yang telah sedia beriman. Oleh itu, janganlah engkau berdukacita tentang apa yang mereka sentiasa lakukan.

 

وَأُوحِيَ إِلَىٰ نُوحٍ

Dan diwahyukan kepada Nabi Nuh:

Allah ﷻ memberitahu kepada Nabi Nuh عليه السلام satu perkara yang baginda tidak akan dapat tahu jika Allah ﷻ tidak beritahu kerana baginda tidak boleh membaca hati manusia, lalu tentu baginda tidak tahu perkara ghaib. Salah satu perkara ghaib adalah sama ada seseorang itu beriman atau tidak.

Baginda juga tidak tahu masa hadapan; entah akan ada orang yang akan beriman atau tidak; maka perkara ini hanya Allah ﷻ sendiri yang beritahu kerana Allah ﷻ tahu apa dalam hati manusia dan Allah ﷻ tahu apakah yang akan terjadi di masa hadapan.

 

أَنَّهُ لَن يُؤْمِنَ مِن قَوْمِكَ

“Bahawa sesungguhnya tidak akan beriman lagi daripada kaummu

Baginda telah mengajar dan berdakwah selama 950 tahun kepada umat baginda. Semua tidak beriman kecuali hanya segelintir sahaja. Walaupun baginda telah berdakwah dengan berbagai-bagai cara dalam tempoh yang lama sekali. Ini ada disebut dalam Nuh: 5-9

قَالَ رَبِّ إِنِّي دَعَوْتُ قَوْمِي لَيْلًا وَنَهَارًا
Nabi Nuh berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman);

فَلَمْ يَزِدْهُمْ دُعَائِي إِلَّا فِرَارًا
“Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (sesuatu faedah pun) selain daripada menambahi mereka melarikan diri (daripada kebenaran).

وَإِنِّي كُلَّمَا دَعَوْتُهُمْ لِتَغْفِرَ لَهُمْ جَعَلُوا أَصَابِعَهُمْ فِي آذَانِهِمْ وَاسْتَغْشَوْا ثِيَابَهُمْ وَأَصَرُّوا وَاسْتَكْبَرُوا اسْتِكْبَارًا
“Dan sesungguhnya aku, tiap-tiap kali menyeru mereka (beriman) supaya Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, – mereka menyumbatkan telinganya dengan jari masing-masing, dan berselubung dengan pakaiannya, serta berdegil dengan keingkarannya, dan berlaku sombong takbur dengan melampau.

ثُمَّ إِنِّي دَعَوْتُهُمْ جِهَارًا
“Kemudian aku telah menyeru mereka dengan terang-terang;

ثُمَّ إِنِّي أَعْلَنتُ لَهُمْ وَأَسْرَرْتُ لَهُمْ إِسْرَارًا
“Selain daripada itu, aku (berulang-ulang) menyeru mereka secara beramai-ramai dengan berterus-terang, dan menyeru mereka lagi secara berseorangan dengan perlahan-lahan.

Allah ﷻ beritahu yang tidak akan ada lagi yang akan beriman selepas itu. Walau apapun yang Nabi Nuh عليه السلام dakwah dan beri hujah selepas itu, tidak akan ada sesiapa lagi yang akan beriman. Maka, tidak perlulah Nabi Nuh عليه السلام buang masa kalau begitu; tidak perlu berdakwah lagi.

 

إِلَّا مَن قَدْ ءآمَنَ

melainkan orang-orang yang telah sedia beriman.

Hanya mereka yang telah beriman sahaja dengan baginda yang akan terus beriman. Yang selain itu, tidak akan beriman sampai bila-bila pun. Memang tidak ramai pun pengikut baginda yang mahu beriman. Tidak dapat dipastikan berapa ramai kerana terdapat banyak riwayat. Ada kata 14, ada kata 40 dan ada kata 80 dan bilangan-bilangan yang lain. Namun paling ramai pun dikatakan 80 orang sahaja. 950 tahun berdakwah, seramai itu sahaja pengikut baginda.

Bayangkan kesedihan yang Nabi Nuh عليه السلام rasakan apabila diberitakan dengan berita ini. Setelah sekian lama berdakwah, hanya sedikit sahaja yang beriman. Allah ﷻ beritahu kepadanya bahawa yang lain tidak akan beriman lagi sampai bila-bila. Pastilah berita ini amat mencengkam perasaan baginda.

 

فَلَا تَبْتَئِسْ

Oleh itu, janganlah engkau berdukacita

Allah ﷻ tahu yang Nabi Nuh akan bersedih, maka Allah ﷻ telah memujuk baginda. Perkataan تَبْتَئِسْ lebih kurang sama maksudnya dengan لا تَحزَن (jangan berdukacita). Perkataan تَبْتَئِسْ diambil daripada perkataan بِئسٌ yang bermaksud ‘tidak selesa’. Perkataan تَبْتَئِسْ bermaksud kedukaan yang amat sangat yang menyebabkan rasa tidak selesa.

Iaitu, apabila dikatakan kepada Nabi Nuh عليه السلام bahawa tidak akan ada lagi yang akan beriman dengan baginda, ia telah memberikan rasa tidak selesa kepada baginda, sampaikan baginda tidak boleh tidur malam. Oleh itu, Allah ﷻ hendak memujuk baginda supaya jangan jadi begitu.

Ia telah ditakdirkan menjadi begitu, bukan salah baginda. Ini kerana, kalau baginda sedih sangat, ia akan memudaratkan diri baginda. Nanti sampai tidak boleh hendak fokus untuk perkara lain, hendak mengajar pun sudah tidak mampu.

Ayat ini untuk memujuk hati Nabi Muhammad ﷺ yang sudah lebih 10 tahun berdakwah di Mekah dan mendapat tentangan yang amat kuat. Pengikut baginda pun tidak ramai dan tentunya baginda juga bersedih. Maka Allah ﷻ beritahu Nabi Muhammad ﷺyang Nabi Nuh عليه السلام yang lebih lama berdakwah pun tidak ramai pengikut juga. Maknanya ada lagi orang lain yang lebih teruk nasibnya daripada baginda. Begitulah kalau kita dengar ada orang yang lebih berat ujiannya yang diberikan kepada mereka, maka kesusahan yang kita alami ini terasa kurang lah sedikit.

Pengajarannya adalah tidak perlu kita bersusah payah bersedih tentang orang yang telah memilih untuk tidak beriman. Ini jikalau kita sudah ajak dan dakwah kepada mereka. Allah ﷻ berfirman di dalam Luqman:23

وَمَن كَفَرَ فَلا يَحزُنكَ كُفرُهُ ۚ إِلَينا مَرجِعُهُم فَنُنَبِّئُهُم بِما عَمِلوا
Dan barangsiapa kafir maka kekafirannya itu janganlah menyedihkanmu. Hanya kepada Kami-lah mereka kembali, lalu Kami beritakan kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan.

 

بِمَا كَانُوا يَفْعَلُونَ

tentang apa yang mereka sentiasa lakukan.

Ayat ini menunjukkan akhlak seorang pendakwah. Kena ada kelembutan dalam hati pendakwah. Kena ada rasa belas kasihan untuk mereka yang didakwah. Tanpa kriteria ini maka dakwah tidak akan berjaya.

Sebagaimana anak kita yang degil, kita sanggup ajar mereka lagi kerana kita sayang dan ada belas kasihan dengan mereka. Lihatlah bagaimana Nabi Nuh عليه السلام telah berusaha dakwah dengan susah payah dan dalam jangka masa yang amat lama. Itu menunjukkan betapa baginda begitu mengambil berat tentang hal kaumnya. Walaupun berbagai-bagai tuduhan dilemparkan kepada baginda umpamanya disebut dalam Qamar: 9

كَذَّبَت قَبلَهُم قَومُ نوحٍ فَكَذَّبوا عَبدَنا وَقالوا مَجنونٌ وَّازدُجِرَ
Sebelum mereka, kaum Nabi Nuh juga telah mendustakan (Rasulnya); iaitu mereka mendustakan hamba Kami (Nabi Nuh) serta mereka menuduhnya dengan berkata: Dia seorang gila dan dia telah diancam (dan dihalang daripada menjalankan dakwah agama).

Memang begitulah dugaan yang dihadapi oleh baginda. Sememangnys para Nabi diberikan dengan ujian yang paling berat. Kemudian ujian peringkat rendah sedikit diberikan kepada orang yang kuat imannya. Maknanya, semakin beriman semakin kuat dugaannya. Ini seperti disebut dalam hadith,

عَنْ مُصْعَبِ بْنِ سَعْدٍ عَنْ أَبِيهِ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ النَّاسِ أَشَدُّ بَلَاءً قَالَ الْأَنْبِيَاءُ ثُمَّ الصَّالِحُونَ ثُمَّ الْأَمْثَلُ فَالْأَمْثَلُ مِنْ النَّاسِ يُبْتَلَى الرَّجُلُ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ فَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ صَلَابَةٌ زِيدَ فِي بَلَائِهِ وَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ رِقَّةٌ خُفِّفَ عَنْهُ وَمَا يَزَالُ الْبَلَاءُ بِالْعَبْدِ حَتَّى يَمْشِيَ عَلَى ظَهْرِ الْأَرْضِ لَيْسَ عَلَيْهِ خَطِيئَةٌ
Daripada [Mush’ab bin Sa’d] daripada [Bapanya] berkata; saya bertanya; “Wahai Rasulullah, siapa manusia yang paling berat cubaannya?” Baginda menjawab; “Para Nabi, lalu orang-orang soleh, kemudian orang yang paling mulia dan yang paling mulia daripada manusia. Seseorang akan diuji sesuai dengan kadar agamanya, jika agamanya kuat maka akan ditambah ujiannya, dan jika agamanya lemah maka akan diringankan ujiannya. Tidaklah ujian itu berhenti pada seorang hamba sampai dia berjalan di muka bumi tanpa mempunyai dosa.”
(Jami’ Tirmidzi (1400))
Status: Hasan

Baginda begitu sabar sekali menghadapi dugaan itu dan terus menjalankan dakwah kepada kaumnya. Hanya apabila Allah ﷻ beritahu yang mereka tidak akan beriman barulah baginda berdoa kepada Allah ﷻ. Doa yang dilafazkan oleh Nabi Nuh عليه السلام itu ada tertulis dalam Al-Qur’an:

{رَبِّ لَا تَذَرْ عَلَى الأرْضِ مِنَ الْكَافِرِينَ دَيَّارًا}
Ya Tuhanku, janganlah Engkau biarkan seorang pun di antara orang-orang kafir itu tinggal di atas bumi. (Nuh: 26)


 

Hud Ayat 37: Hanya selepas baginda diberitahu yang tidak akan ada lagi yang akan beriman, barulah Nabi Nuh عليه السلام berdoa kepada Allah ﷻ supaya melakukan sesuatu terhadap kaumnya. Selepas Nabi Nuh عليه السلام berdoa kepada Allah ﷻ untuk membantu baginda, Allah ﷻ telah membalas doa baginda.

وَاصنَعِ الفُلكَ بِأَعيُنِنا وَوَحيِنا وَلا تُخٰطِبني فِي الَّذينَ ظَلَموا ۚ إِنَّهُم مُّغرَقونَ

Sahih International

And construct the ship under Our observation and Our inspiration and do not address Me concerning those who have wronged; indeed, they are [to be] drowned.”

Malay

Dan buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami, dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya); dan janganlah engkau merayu kepadaKu untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan (dengan taufan)”.

 

وَاصْنَعِ الْفُلْكَ

Dan buatlah bahtera

Cukuplah dengan berdakwah itu, tidak perlu berdakwah lagi kepada umat baginda sebab baginda sudah diberitahu yang mereka tidak akan beriman. Sekarang ada kerja lain yang perla dilakukan – membina sebuah bahtera. Allah ﷻ telah mengarahkan baginda untuk membina sebuah kapal yang besar – bukan perahu atau bot yang kecil. Waktu itu tidak pernah ada manusia yang pernah membina kapal. Mereka tidak tahu yang manusia boleh mengembara melalui kapal di lautan.

Selepas adanya contoh bahtera Nabi Nuh عليه السلام ini, barulah manusia tahu dan banyak bahtera, kapal dan pelbagai jenis alat pengangkutan laut direka oleh manusia. Ternyata asalnya pembinaan kapal bermula dengan Nabi Nuh عليه السلام. Manakala Nabi Daud عليه السلام adalah peneraju kepada penggunaan besi.

Dalam riwayat Israiliyat, ada disebut pembahagian bahtera itu. Bahtera itu dibahagikan kepada tiga bahagian:

    • Bahagian bawah untuk binatang
    • Bahagian tengah untuk manusia
    • Bahagian atas burung supaya mereka senang untuk terbang dan mendarat
    • Bahtera itu ada penutup di sebelah atas sebab hujan masih ada lagi.

Ini adalah kisah Israiliyat. Maka kita kena terima sahaja tanpa mengatakan ia benar atau salah.

Ayat ini memberitahu kita bahawa Nabi Nuh عليه السلام yang mesti membina bahtera itu. Bukanlah malaikat yang membinanya. Bukan juga baginda mengarahkan orang lain membinanya dan baginda melihat sahaja. Maknanya mereka yang berdakwah, kena berusaha. Bukan lihat sahaja. Allah ﷻ boleh sahaja buatkan kapal itu untuk baginda tetapi ini adalah ujian bagi Nabi Nuh عليه السلام juga. Kalau redha dengan ujian, maka Allah ﷻ akan redha kepada hamba itu seperti disebut dalam hadith,

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ عِظَمُ الْجَزَاءِ مَعَ عِظَمِ الْبَلَاءِ وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلَاهُمْ فَمَنْ رَضِيَ فَلَهُ الرِّضَا وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السُّخْطُ
Daripada [Anas bin Malik] daripada Rasulullah ﷺ, bahawa baginda bersabda: “Besarnya pahala sesuai dengan besarnya cubaan, dan sesungguhnya apabila Allah ﷻ mencintai suatu kaum maka Dia akan menguji mereka. Oleh kerana itu, barangsiapa redha (menerima cubaan tersebut) maka baginya keredhaan, dan barangsiapa murka maka baginya kemurkaan.”
(Sunan Ibn Majah (4021))
Status: Hasan

Secara umumnya, Allah ﷻ perintahkan Nabi Nuh عليه السلام membina kapal dengan menanam pokok al-Saj terlebih dahulu selama 20 tahun. Kemudian membina kapal menggunakan kayu tersebut selama 40 tahun. Ada pendapat 100 tahun dan ada pendapat 400 tahun. Adapun bentuk dan keluasan kapal, terdapat banyak riwayat, antaranya:

    • Panjangnya 300 hasta, lebarnya 50 hasta dan tingginya 30 hasta.
    • Panjangnya 300 hasta, lebarnya 60 hasta dan tingginya tidak disebut.
    • Panjangnya 1200 hasta, lebarnya 600 hasta dan tingginya tidak disebut.
    • Panjangnya 400 hasta, lebarnya 30 hasta dan tingginya tidak disebut.

Pendapat yang paling kuat dan ramai adalah yang pertama.

 

بِأَعْيُنِنَا

dengan pengawasan Kami,

Bagaimanakah agaknya seorang lelaki yang tidak pernah pergi ke laut, yang tinggal dalam kalangan masyarakat yang kehidupan mereka bukan berdekatan dengan laut, tahu bagaimana hendak membina satu bahtera? Tentulah tidak boleh jikalau tanpa bantuan daripada Allah ﷻ. Allah ﷻ yang telah memberi bantuan dan penerangan tentang bagaimana hendak melakukannya.

Bahtera itu akan digunakan untuk melayari lautan yang luas. Bukan baginda sahaja yang akan naik, tetapi ramai lagi yang beriman yang akan naik dengan baginda. Bukan itu sahaja, binatang-binatang pun akan naik juga. Maka, bahtera ini bukan bahtera yang kecil, tetapi yang besar.

Apabila dikatakan yang bahtera itu dibuat di bawah pengawasan Allah ﷻ, itu bermakna Allah ﷻ melihat apa yang baginda lakukan. Allah ﷻ akan pastikan yang baginda buat dengan betul. Kita kadangkala memerlukan bantuan dan pengawasan sebegini. Untuk pastikan apa yang kita buat adalah perkara yang betul supaya tidak sia-sia apa yang kita buat. Terutamanya, kalau itu adalah pertama kali kita lakukan. Walaupun kita sudah ada manualnya.

Sebagai contoh, katakanlah kita sudah ada resipi bagaimana memasak satu-satu jenis masakan. Walaupun kita sudah ada resipi, tetapi ia adalah lebih baik jika kita ada orang yang sudah biasa memasak masakan itu untuk memantau kita dan memastikan bahawa apa yang kita lakukan ada betul.

‘Dengan pengawasan’ juga bermaksud dengan ‘perlindungan Allah ﷻ’ juga. Tentunya ada yang hendak khianat kepada kerja Nabi Nuh عليه السلام itu, tetapi Allah ﷻ memberitahu bahawa Dia akan memberi pengawasan kepada baginda sepanjang proses pembinaan kapal itu.

Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata).

Jamak bagi عين adalah أعيُن dan عُيُون dan digunakan di dalam Bahasa Arab untuk jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi mata dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi mata air.

Di sini Allah ﷻ sebut mata-Nya banyak. Ini adalah jenis ayat mutasyahibat yang kita tidak perlu untuk bahaskan kerana kita tidak tahu bagaimana hakikatnya mata-mata Allah ﷻ itu.

 

وَوَحْيِنَا

dan dengan panduan wahyu Kami;

Allah ﷻ akan menghantar malaikat untuk mengajar Nabi Nuh عليه السلام bagaimana untuk buat bahtera itu. Kiranya, Allah ﷻ hantar arkitek dan engineer kepada baginda. Kerana kalau tidak diajar sebegitu, tidak akan menjadi bahtera itu kerana Nabi Nuh عليه السلام tidak ada ilmu bagaimana hendak membuat bahtera.

Allah ﷻ ajar bagaimana baginda patut membina kapal itu melalui Jibril عليه السلام, Adapun bentuknya seperti yang diriwayatkan bahawa Jibril عليه السلام mengajarnya membina kapal dan Allah ﷻ memerintahkannya untuk menjadikan kepala kapal seperti kepala ayam jantan dan bahagian depannya seperti burung. Ekornya seperti ekor ayam jantan. Ia mempunyai tiga tingkat. Dipakukan dengan paku besi untuk menguatkan antara kayu-kayu.

Tingkat yang pertama untuk haiwan buas dan binatang yang melata serta singa. Pada tingkat kedua, binatang liar dan burung. Tingkat ketiga adalah untuk manusia. Dikatakan bilangan anak Adam atau manusia yang menyertai kapal tersebut:

    • 80 orang, separuh lelaki dan separuh perempuan.
    • Ada pendapat 72 orang dan isteri Nabi Nuh عليه السلام dan anak-anaknya yang mencukupkan 78 orang, separuh daripadanya lelaki dan yang lain perempuan.
    • Ada pendapat 10 orang.
    • Ada pendapat lain daripada itu.

(https://muftiwp.gov.my/ar/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2762-al-kafi-897-besar-bahtera-nabi-nuh-as)

وَلَا تُخٰطِبْنِي فِي الَّذِينَ ظَلَمُوا

dan janganlah engkau merayu kepadaKu terhadap mereka yang zalim itu,

Perkataan تُخَاطِبْنِي daripada katadasar خ ط ب yang bermaksud sejenis percakapan di mana seorang bercakap kepada orang lain (seperti khatib yang memberi khutbah). Ia adalah percakapan satu hala sahaja dan bukan dialog. Seperti khutbah Jumaat, bukannya perbincangan antara khatib dan jemaah. Khatib bercakap dan yang lain mendengar sahaja.

Semasa baginda membina bahtera itu, timbullah perasaan berat hati dalam Nabi Nuh عليه السلام, tentang nasib kaumnya yang akan mati nanti dalam banjir itu. Tentulah baginda rasa sedih kerana bila baginda lihat mereka, baginda sudah tahu bahawa mereka itu semuanya akan mati.

Maka, Nabi Nuh عليه السلام terdetik dalam hatinya hendak memohon kepada Allah ﷻ supaya ditambah orang beriman kepada Allah ﷻ. Namun sebelum sempat baginda minta, Allah ﷻ telah beri kata dua: tidak boleh mendoakan bagi pihak mereka.

Allah ﷻ pesan supaya jangan minta tolong untuk mereka walaupun ahli keluarga baginda sekalipun. Allah sudah siap-siap bagi peringatan. Nabi Nuh عليه السلام tidak ada apa-apa lagi yang baginda boleh buat melainkan terima sahaja. Sudahlah baginda kena sabar dengan apa yang dilakukan oleh kaumnya terhadap baginda, tetapi baginda juga kena sabar dengan ketetapan Allah ﷻ.

Satu lagi tafsir ayat ini, tidak perlulah mengadu kepada Allah ﷻ tentang kaum baginda yang akan mengejek baginda nanti kerana membina kapal bahtera jauh dari laut. Atau bina sesuatu yang mereka tidak pernah lihat. Memang akan ada yang akan mengejek, tetapi Allah ﷻ suruh buat sahaja, jangan layan mereka kerana kalau layan pun tidak berguna.

 

إِنَّهُم مُّغْرَقُونَ

kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan”.

Penggunaan perkataan مُّغْرَقُونَ dalam isim maf’ul yang mengisyaratkan bahawa mereka itu tetap dan pasti akan ditenggelamkan. Iman mereka dan taubat mereka tidak akan diterima. Takdir mereka telah ditentukan oleh Allah ﷻ. Nanti mereka akan mengejek tetapi pengakhiran mereka adalah ditenggelamkan dalam laut. Maka tidak perlu layan mereka.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 12 Ogos 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment