Tafsir Surah Yunus Ayat 73 – 75 (Allah ﷻ kunci mati hati)

Yunus Ayat 73: Apakah tindakan kaumnya selepas mendengar dakwah Nabi Nuh عليه السلام yang tidak minta upah itu? Bayangkan baginda telah berdakwah selama 950 tahun. Sekarang Allah ‎ﷻ sebut nasib mereka akhirnya.

فَكَذَّبوهُ فَنَجَّينٰهُ وَمَن مَّعَهُ فِي الفُلكِ وَجَعَلنٰهُم خَلىٰئِفَ وَأَغرَقنَا الَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِنا ۖ فَانظُر كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ المُنذَرينَ

Sahih International

And they denied him, so We saved him and those with him in the ship and made them successors, and We drowned those who denied Our signs. Then see how was the end of those who were warned.

Malay

Mereka tetap juga mendustakan Nabi Nuh, lalu Kami selamatkan dia bersama-sama pengikut-pengikutnya yang beriman di dalam bahtera, dan kami jadikan mereka pengganti-pengganti (yang memakmurkan bumi) serta Kami tenggelamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami (dengan banjir dan taufan sehingga punah-ranah semuanya). Maka lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang (yang mendustakan ayat-ayat kami) setelah diberi amaran.

 

فَكَذَّبُوهُ

Mereka tetap juga mendustakan Nabi Nuh,

Kaumnya masih juga menolak ajakan dakwah daripada Nabi Nuh عليه السلام. Yang menolak itu adalah musyrikin ketika zaman baginda. Gelaran ‘musyrikin’ sebenarnya merujuk kepada golongan yang menentang ajakan tauhid untuk setiap zaman, tidak kira di zaman mana sekalipun.

Ini termasuk jugalah orang Islam di zaman sekarang yang menolak tauhid dan sebaliknya mereka melakukan syirik. Mereka juga dikenali sebagai ‘musyrikin’ walaupun mereka mengaku Islam. Mengaku Islam sahaja tidak cukup, kita mesti beriman sempurna tanpa melakukan syirik.

 

فَنَجَّينٰهُ وَمَن مَّعَهُ

lalu Kami selamatkan baginda bersama-sama pengikut-pengikutnya

Apabila kaumnya ingkar, mereka telah dikenakan dengan azab dalam bentuk banjir yang besar. Banjir itu menenggelamkan mereka. Namun Nabi Nuh عليه السلام, dan orang beriman telah diselamatkan. Dalam surah ini diceritakan dengan ringkas sahaja kisah baginda kerana kisah itu banyak disebut dalam surah-surah yang lain.

Yang selamat bersama baginda hanyalah mereka yang beriman. Ada riwayat mengatakan dalam 40 orang dan ada riwayat yang kata dalam 80 orang. Allahu a’lam. Di sini kita dapat tahu yang selamat bukanlah orang yang kaya, tetapi orang yang beriman. Maka kalau hendak selamat, hendaklah beriman sempurna.

 

فِي الْفُلْكِ

di dalam bahtera,

Allah ﷻ selamatkan mereka dengan memasukkan mereka ke dalam bahtera. Apabila semua tempat telah dibanjirkan, maka yang selamat hanyalah mereka yang berada di dalam bahtera itu. Bahtera tersebut bukanlah bahtera ‘cruise’ mewah dan bukan juga kapal Titanic. Ia adalah kapal laut pertama dalam sejarah manusia dan tentulah jaket keselamatan dan bot keselamatan pun tidak ada. Namun kuasa Allah ﷻ sahaja yang dapat menyelamatkan mereka.

 

وَجَعَلْنٰهُمْ خَلىٰئِفَ

dan Kami jadikan mereka pengganti-pengganti

Merekalah umat yang menggantikan penduduk yang semuanya telah mati dalam banjir itu. Keturunan merekalah yang selepas itu tersebar ke serata dunia. Ada juga pendapat yang mengatakan hanya keturunan Nabi Nuh عليه السلام sahaja yang hidup.

 

وَأَغْرَقْنَا الَّذِينَ كَذَّبُوا بِئآيٰتِنَا

serta Kami tenggelamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami.

Selain daripada mereka yang ikut Nabi Nuh عليه السلام di dalam bahtera itu, umat baginda yang lain tidak selamat. Mereka semua ditenggelamkan dalam Banjir Besar yang semua sudah tahu kisahnya. Musyrikin Mekah pun tahu akan kisah mereka.

 

فَانظُرْ كَيْفَ كَانَ عٰقِبَةُ الْمُنذَرِينَ

Maka lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang (yang mendustakan ayat-ayat kami) setelah diberi amaran.

Mereka diberikan dengan azab semasa di dunia lagi. Ini kerana mereka telah diberikan peringatan dengan banyak sekali namun mereka masih lagi ingkar. Maka, Allah ﷻ telah mengazab mereka.

Oleh itu, jangan kita bersenang lenang sangat. Jika Allah ﷻ mahu menurunkan azab kepada kita, bila-bila masa sahaja ia boleh berlaku. Dengan semakin banyak kemungkaran yang dilakukan manusia sekarang, kita takut kalau-kalau Allah ﷻ buat keputusan turunkan azab segera.

Sekiranya Allah ﷻ turunkan azab yang menyeluruh, dengan kita sekali pun boleh terkena azab itu. Semoga Allah ﷻ selamatkan kita semua sebagaimana Allah ﷻ selamatkan Nabi Nuh عليه السلام dan pengikut baginda.


 

PARA NABI SETELAH NABI NUH عليه السلام

Yunus Ayat 74: Contoh takhwif duniawi secara ijmali (secara umum, tidak disebut nama Nabi). Kalau secara tafsili, akan disebut nama Nabi.

ثُمَّ بَعَثنا مِن بَعدِهِ رُسُلًا إِلىٰ قَومِهِم فَجاءوهُم بِالبَيِّنٰتِ فَما كانوا لِيُؤمِنوا بِما كَذَّبوا بِهِ مِن قَبلُ ۚ كَذٰلِكَ نَطبَعُ عَلىٰ قُلوبِ المُعتَدينَ

Sahih International

Then We sent after him messengers to their peoples, and they came to them with clear proofs. But they were not to believe in that which they had denied before. Thus We seal over the hearts of the transgressors

Malay

Kemudian Kami utuskan sesudah Nabi Nuh, beberapa orang Rasul kepada kaum masing-masing; lalu Rasul-rasul itu datang kepada kaum mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata; dalam pada itu kaum mereka tetap juga tidak mahu beriman kepada apa yang mereka telah mendustakannya sebelum itu. Demikianlah, Kami meterikan atas hati orang-orang yang melampaui batas.

 

ثُمَّ بَعَثْنَا مِن بَعْدِهِ رُسُلًا

Kemudian Kami utuskan sesudahnya (Nabi Nuh), Rasul-rasul

Telah banyak Rasul-Rasul diturunkan seperti Nabi Luth, Nabi Ibrahim, Nabi Saleh عليهم السلام dan lain-lain lagi. Kaum Nabi Nuh عليه السلام dihancurkan semua sekali maka yang tinggal adalah pengikut-pengikut baginda yang beriman sahaja. Akan tetapi lama kelamaan keturunan mereka telah melakukan kesyirikan yang sama juga. Mereka telah melakukan tawassul dengan berleluasa.

Sebagaimana masyarakat sekarang ini yang melakukan tawasul dengan berleluasa. Kenapakah begitu? Bukankah mereka yang melakukan tawassul itu telah dihancurkan kesemuanya sekali? Ini adalah kerana walaupun mereka telah mati, tetapi yang mengajar mereka melakukan tawassul itu masih hidup lagi. Guru itu adalah iblis dan syaitan. Maka, Allah ﷻ turunkan Rasul-rasul bersilih ganti selepas itu untuk memperbetulkan tauhid hamba-hamba-Nya.

 

إِلَىٰ قَوْمِهِمْ

kepada kaum masing-masing;

Setiap kaum akan mendapat Rasul mereka. Hanya Nabi Muhammad ﷺ sahaja yang diutuskan untuk keseluruhan umat manusia. Rasul-rasul itulah yang menyampaikan ilmu tauhid kepada kaum mereka. Jika bukan kerana mereka itu diturunkan, memang tidak akan sampai ajakan tauhid kepada manusia. Maka, itu memerlukan pendakwah-pendakwah untuk menyampaikan kepada mereka.

Kepada kita, tidak diturunkan Rasul lagi. Allah ﷻ membuat keputusan yang bersesuaian dengan zaman. Ketika zaman dahulu, media untuk menyebarkan maklumat tidak ada, maka mestilah diturunkan Rasul kepada setiap kaum. Akan tetapi, kepada kita yang hidup di era moden ini, banyak sekali cara untuk menyampaikan dakwah. Maka, tidak ada lagi Rasul. Namun kita masih ada pendakwah-pendakwah yang meneruskan tugas-tugas Rasul itu.

 

فَجَاءُوهُم بِالْبَيِّنٰتِ

Maka Rasul-rasul itu datang kepada kaum mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata;

Kalimah فَجَاءُوهُم itu bermaksud para Rasul itu yang datang mencari umat mereka. Mereka adalah mad’u (orang yang didakwah). Ini mengajar kita yang kita sebagai pendakwah yang harus mencari mad’u, bukannya hanya menunggu mereka datang. Jika para Rasul yang mulia pun pergi kepada mad’u, maka kita yang bukan Nabi, bukan juga ulama’ pun kenalah cari mereka. Kerana orang yang buat salah selalunya tidak berasa mereka berbuat salah, maka mustahil untuk mereka mencari ustaz untuk memperbetulkan mereka.

Sekiranya mereka tahu mereka bersalah, mereka pun kebanyakannya tidak ada yang mahu ‘menghulur tengkuk’ sendiri untuk ditegur oleh golongan ustaz. Maka para pendakwah yang kena cari mereka itu. Nabi Musa عليه السلام seorang nabi yang hebat pun Allah ﷻ suruh pergi kepada Firaun seperti disebut dalam Naaziat:17

ٱذهَب إِلَىٰ فِرعَونَ إِنَّهُ ۥ طَغَىٰ
“Pergilah kamu kepada Fir’aun, sesungguhnya dia telah melampaui batas,

Para Rasul itu datang bertemu kaum mereka membawa kebenaran dengan memberikan dalil-dalil yang jelas nyata. Bukan dalil yang samar-samar. Termasuklah juga, mereka membawa mukjizat. Kalau mereka tidak bawa الْبَيِّنٰتِ dan kaum mereka tolak, tidaklah bersalah kaum mereka itu. Akan tetapi kaum mereka itu diazab kerana menolak الْبَيِّنٰتِ yang dibawa oleh para Rasul mereka. Menolak الْبَيِّنٰتِ adalah suatu kesalahan yang besar yang mengundang murka Allah ﷻ.

Ini mengajar kita bahawa ajaran agama ini mesti jelas. Jangan dibiarkan samar-samar sepertimana yang diajar oleh golongan sesat seperti golongan tarekat itu. Pengajaran mereka boleh mengelirukan manusia, bukannya mendekatkan mereka kepada agama. Tanyalah kepada penganut-penganut tarekat itu tentang agama, akan nampak yang mereka keliru dan bermacam-macam pandangan agama yang sampai daripada mulut mereka. Ini kerana memang apa yang diajar oleh guru tarekat mereka itu bukan daripada agama yang jelas nyata, melainkan daripada mimpi khayalan guru mereka sahaja.

Allah ﷻ tidak menyebut mukjizat dibawakan di dalam ayat ini kerana bukan semua ada mukjizat. Maka apakah الْبَيِّنٰتِ yang ada pada kita? Itulah Al-Qur’an. Kita tidak diberikan mukjizat sebagaimana para Rasul itu akan tetapi kita diberikan mukjizat yang kekal sampai ke hari ini iaitu Al-Qur’an. Jelas sekali dalam berdakwah hendaklah disebut dan dijelaskan ayat-ayat Al-Qur’an. Namun malang sekali kita lihat ramai pendakwah dan penceramah hari ini tidak membawa perkara ini. Ini amat menyedihkan kerana guru agama pun tidak menghiraukan ayat Al-Qur’an.

Lebih malang lagi apabila ada golongan agamawan juga yang menakut-nakutkan dengan berkata Al-Qur’an ini berat sangat, kita orang awam tidak akan mampu untuk faham. Mereka kata kalau belajar, boleh menjadi sesat. Kenyataan sebegini teramalah mengarut sekali! Jika benarlah mempelajari Al-Qur’an boleh menyesatkan, kenapa Allah ﷻ berikan kepada kita, dan memerintahkan Rasulullah ﷺ sampaikan kepada kita? Memang tidaklah semudah itu Al-Qur’an boleh difahami oleh semua, sebab itu kenalah belajar tafsir. Akan tetapi ia boleh difahami oleh manusia. Sedangkan jin yang tidak berapa pandai itu pun boleh faham, takkan kita yang diberikan kelebihan akal tidak mampu untuk faham pula?

 

فَمَا كَانُوا لِيُؤْمِنُوا بِمَا كَذَّبُوا بِهِ مِن قَبْلُ

mereka tetap juga tidak mahu beriman kepada apa yang mereka telah dustakan sebelum itu.

  1. Bilakah mereka dustakan Rasul-Rasul itu? Maksud ayat ini, apabila para Rasul itu datang kepada mereka dan menyampaikan ajakan tauhid pada mulanya, mereka terus menolak dakwah para Rasul itu. Mereka tidak dengar betul-betul dan buka hati mereka, sebaliknya mereka tolak terus. Mereka kata ini adalah ajaran yang karut kerana lain dengan apa yang mereka faham.

Selepas itu, setelah sekian lama, apa sahaja yang disampaikan oleh Rasul itu, mereka akan tolak. Mereka tidak akan berganjak daripada keputusan asal mereka yang mula-mula telah tolak itu. Sebagai contoh, selepas ini akan dibawakan kisah Nabi Musa عليه السلام dan Firaun. Daripada mula lagi Firaun tidak mahu beriman walau apa pun hujah dan dalil termasuk mukjizat yang ditunjukkan oleh Nabi Musa عليه السلام dan Firaun tidak beriman sehingga ke hujung hayatnya (nyawa di kerongkong baru dia hendak beriman).

Walaupun para Rasul itu telah membawa bukti-bukti dan dalil-dalil yang jelas pun, mereka tetap tidak mahu beriman. Ini mengajar kita, kalau kita tolak dakwah dari awal-awal lagi, maka ia menjadi susah untuk kita menerima dakwah itu kemudiannya. Kalau ditolak dan ditolak lagi, akhirnya hatinya akan tertutup terus untuk menerima tauhid. Allah ﷻ telah sebut dalam An’am: 110 tentang hal ini:

وَنُقَلِّبُ اَفْـِٕدَتَهُمْ وَاَبْصَارَهُمْ كَمَا لَمْ يُؤْمِنُوْا بِهٖٓ اَوَّلَ مَرَّةٍ وَّنَذَرُهُمْ فِيْ طُغْيَانِهِمْ يَعْمَهُوْنَ ࣖ ۔
Dan kami palingkan hati mereka dan pemandangan mereka sebagaimana mereka telah tidak (mahu) beriman kepada (ayat-ayat Kami ketika datang kepada mereka) pada awal mulanya, dan Kami biarkan mereka meraba-raba di dalam kesesatannya dengan bingung.

Inilah bahayanya bila berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini. Apabila kita membawakan ajaran sunnah, mereka terus tolak tanpa usul periksa. Mereka akan kata ini adalah ajaran karut sebelum mereka dengar apa yang kita hendak sampaikan. Kebanyakan mereka tidak mahu menerimanya. Tambahan pula ada golongan jahil yang menghalang manusia daripada mendengar dengan menuduh kita sebagai golongan Wahabi. Mereka kata Wahabi sesat, sampaikan ramai orang takut hendak dengar apa yang kita hendak sampaikan.

Yang terima hanyalah sedikit sahaja. Iaitu golongan yang tidak tolak terus. Walaupun mungkin pada awalnya, mereka kehairanan kenapa ajaran Sunnah ini berlainan dengan apa yang mereka tahu dan amal selama ini, akan tetapi mereka masih membuka minda dan hati mereka untuk mendengar lagi. Lalu Allah ﷻ tarik mereka kepada kebenaran akhirnya.

2. Tafsiran lain bagi maksud مِن قَبْلُ itu adalah umat mengikut penolakan ajaran wahyu yang dilakukan oleh tok nenek sebelum itu. Ini kerana manusia banyak mengikut sahaja amalan salah tok nenek mereka tanpa periksa. Walaupun amalan tok nenek itu jauh daripada amalan dan ajaran wahyu, mereka amalkan sahaja. Bila datang ajaran wahyu yang sebenar, mereka tolak. Inilah masalah zaman berzaman sampailah sekarang. Allah ﷻ sebut tentang mereka dalam Zukhruf: 22-23

بَل قالوا إِنّا وَجَدنا ءآباءَنا عَلىٰ أُمَّةٍ وَإِنّا عَلىٰ ءآثٰرِهِم مُّهتَدونَ
(Tidak ada sebarang bukti bagi mereka) bahkan mereka (hanyalah) berkata: Sesungguhnya kami telah mendapati datuk nenek kami menurut satu jalan ugama, dan sesungguhnya kami beroleh petunjuk menurut jejak mereka sahaja”.

وَكَذٰلِكَ ما أَرسَلنا مِن قَبلِكَ في قَريَةٍ مِّن نَّذيرٍ إِلّا قالَ مُترَفوها إِنّا وَجَدنا ءآباءَنا عَلىٰ أُمَّةٍ وَإِنّا عَلىٰ ءآثٰرِهِم مُّقتَدونَ
Dan demikianlah halnya (orang-orang yang taqlid buta); Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) kepada (penduduk) sesebuah negeri, seseorang Rasul pemberi amaran, melainkan orang-orang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata: “Sesungguhnya kami dapati datuk nenek kami menurut satu jalan ugama, dan sesungguhnya kami hanya mengikut jejak mereka sahaja”.

Begitu jugalah yang terjadi dengan umat manusia dahulu seperti kaum Nabi Nuh عليه السلام itu. Selama 950 tahun baginda ditolak kerana umat baginda mewasiatkan kepada anak cucu supaya tolak ajaran Nabi Nuh عليه السلام. Maka seluruh keturunan mereka turun temurun menolak baginda. Kerana itulah baginda akhirnya minta supaya dimatikan semua sekali umat baginda yang menentang itu kerana mereka tidak ada harapan lagi.

3. Atau yang dimaksudkan adalah mereka sememangnya tidak ambil peduli kisah Nabi Nuh عليه السلام dahulu. Mereka sudah tahu apa yang terjadi kepada kaum Nabi Nuh عليه السلام, tetapi mereka tidak mengambil pengajaran. Sebab itu penting kita belajar dan faham kisah-kisah para Nabi dan kaum mereka. Jika tidak belajar, memang susah untuk kita benar-benar beriman.

 

كَذٰلِكَ نَطْبَعُ عَلَىٰ قُلُوبِ الْمُعْتَدِينَ

Demikianlah, Kami meterikan atas hati orang-orang yang melampaui batas.

Inilah balasan yang dikenakan kepada mereka. Allah ﷻ menutup terus hati mereka daripada menerima hidayah kerana mereka telah melampau. Melampaui batas itu bermaksud melakukan syirik dan mengerjakan amalan yang bid’ah. Oleh kerana ayat ini bermula tentang kaum Nabi Nuh عليه السلام yang melakukan tawassul, maka ‘melampaui batas’ yang dimaksudkan adalah melakukan tawassul dalam berdoa. Ada tawassul yang digalakkan, tetapi mereka masih juga hendak melakukan tawassul yang dilarang.

Tindakan melampau itu juga adalah tindakan mereka menolak para Rasul itu dari awal-awal lagi. Begitulah juga yang terjadi kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ada Musyrikin Mekah yang terus menolak baginda semenjak awal lagi walaupun mereka tahu bahawa apa yang baginda bawa itu adalah kebenaran. Mereka tolak kerana mereka sombong dan takut kedudukan mereka dalam masyarakat akan terjejas.

Begitu juga dengan zaman sekarang. Ada golongan agama yang ada kedudukan agama di dalam masyarakat yang tidak mahu mendengar dan mengikut dakwah Sunnah. Mereka mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat. Merekalah yang menjadi pakar rujuk masyarakat. Merekalah yang diminta fatwa dan keputusan agama selama ini.

Mereka rasa kalau mereka terima ajaran sunnah itu, bermakna mereka telah mengakui bahawa apa yang mereka lakukan sebelum itu adalah salah dan mereka tidak mahu mengaku begitu. Mereka ada ego dan ego itulah yang menjatuhkan mereka.

Ada pula yang mendapat upah daripada kedudukan mereka itu. Mereka itulah yang dipanggil untuk mengetuai majlis bacaan tahlil, doa selamat dan sebagainya. Selepas mereka buat amalan bid’ah itu, mereka diberi habuan upah pula. Bagi mereka, sekiranya dakwah Sunnah diterima, maka tiada lagi amalan bid’ah yang mereka boleh jadikan sebagai sumber kewangan. Amat rugilah mereka. Disebabkan itulah, mereka akan menentang habis-habisan.

Maka, apakah kesan akibatnya kepada mereka apabila mereka tolak awal-awal lagi? Bahayanya adalah Allah ﷻ boleh meterikan, boleh kunci mati hati mereka untuk menerima tauhid nanti kerana mereka tolak dari awal-awal lagi. Walaupun selepas diajak berkali-kali, mereka tetap tidak mahu terima.

Apabila sudah tolak berkali-kali, Allah ﷻ akan kunci mati hati mereka untuk menerima iman. Mereka tidak akan terima iman itu sampai bila-bila pun. Mereka sudah kehilangan peluang untuk beriman. Allah ﷻ tidak akan beri hidayah kepada mereka lagi. Alangkah ruginya. Kita pun kadang-kadang hairan kenapalah mereka susah sangat hendak terima dakwah. Ini adalah kerana hati mereka sudah keras seperti disebut dalam Zumar:22

أَفَمَن شَرَحَ اللَهُ صَدرَهُ لِلإِسلٰمِ فَهُوَ عَلىٰ نورٍ مِّن رَّبِّهِ ۚ فَوَيلٌ لِّلقٰسِيَةِ قُلوبُهُم مِّن ذِكرِ اللهِ ۚ أُولٰئِكَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ
Adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu dia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) daripada Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata.

Ketika itu, berdakwahlah dan berhujahlah apa sahaja pun, mereka tidak akan terima. Seperti Allah ﷻ sebut dalam Baqarah:6

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا سَواءٌ عَلَيهِم ءأَنذَرتَهُم أَم لَم تُنذِرهُم لا يُؤمِنونَ
Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman.

Jangan kita hanya sangka non-Muslim sahaja boleh terkena penyakit ini. Orang yang mengaku Muslim pun boleh terkena juga. Apakah punca hati menjadi keras ini? Allah ﷻ sebut dalam Hadid:16

أَلَم يَأنِ لِلَّذينَ ءآمَنوا أَن تَخشَعَ قُلوبُهُم لِذِكرِ اللهِ وَما نَزَلَ مِنَ الحَقِّ وَلا يَكونوا كَالَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ مِن قَبلُ فَطالَ عَلَيهِمُ الأَمَدُ فَقَسَت قُلوبُهُم ۖ وَكَثيرٌ مِّنهُم فٰسِقونَ
Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik.

Di dalam ayat daripada Surah Hadid ini Allah ﷻ menegur bukannya golongan kafir, tetapi Muslim. Ini kerana mereka sudah tidak menjaga hati mereka, tidak menghiraukan ajaran wahyu, perangai sudah seperti golongan Yahudi dan Nasara. Apakah bukan ini yang berlaku sekarang?


 

NABI MUSA DAN NABI HARUN عليهما السلام

Yunus Ayat 75: Sekarang Allah ﷻ beri contoh kepada kita tentang kisah Nabi Musa عليه السلام. dan Firaun pula.

ثُمَّ بَعَثنا مِن بَعدِهِم مّوسىٰ وَهٰرونَ إِلىٰ فِرعَونَ وَمَلَإيْهِ بِئآيٰتِنا فَاستَكبَروا وَكانوا قَومًا مُّجرِمينَ

Sahih International

Then We sent after them Moses and Aaron to Pharaoh and his establishment with Our signs, but they behaved arrogantly and were a criminal people

Malay

Kemudian Kami utuskan sesudah Rasul-rasul itu, Nabi Musa dan Nabi Harun, kepada Firaun dan pembesar-pembesarnya dengan membawa ayat-ayat Kami; lalu mereka (Firaun dan pembesar-pembesarnya) berlaku sombong takbur (enggan menerimanya), dan mereka adalah kaum yang biasa melakukan dosa.

 

ثُمَّ بَعَثْنَا مِن بَعْدِهِم مُّوسَىٰ وَهٰرُونَ

Kemudian Kami bangkitkan sesudah Rasul-rasul itu, Nabi Musa dan Nabi Harun,

Banyak sekali kisah Nabi Musa عليه السلام dalam Al-Qur’an. Ini adalah kerana banyak pengajaran yang kita boleh dapat daripada kisah baginda. Apa yang baginda lalui, ada banyak persamaan dengan apa yang dilalui oleh Nabi Muhammad ﷺ dan pendakwah-pendakwah kita. Maka Allah ‎ﷻ banyak beri pengajaran daripada pengalaman baginda.

Tambahan pula baginda adalah Nabi yang paling utama daripada golongan Yahudi. Maknanya baginda telah berhadapan dengan bangsa yang paling degil dalam sejarah manusia. Baginda juga adalah salah seorang daripada lima Rasul Ulul Azmi. Baginda juga ada kelebihan yang tidak diberikan kepada manusia lain iaitu baginda boleh bercakap terus dengan Allah ﷻ. Sebab itulah nama baginda disebut sebanyak 136 kali di dalam Al-Qur’an. Bandingkan kedudukan kedua adalah Nabi Ibrahim عليه السلام dan itu pun hanya sebanyak 69 kali sahaja nama baginda disebut.

Kemudian nama Nabi Yusuf عليه السلام pula sebanyak 58 kali. Seterusnya adalah Nabi Isa عليه السلام sebanyak 55 kali (21 kali dengan sebutan Nabi Isa عليه السلام, manakala 11 kali dengan sebutan al-Masih, dan 23 kali dengan Ibnu (Putra) Maryam). Selanjutnya adalah Nabi Nuh عليه السلام sebanyak 43 kali, Nabi Luth عليه السلام sebanyak 27 kali, Nabi Adam عليه السلام sebanyak 25 kali, Nabi Muhammad ﷺ sebanyak 25 kali, Nabi Sulaiman عليه السلام sebanyak 21 kali, Nabi Harun عليه السلام sebanyak 20 kali.

Seterusnya adalah Nabi Ya’qub 18 kali, Nabi Daud 18 kali, Nabi Ishaq 17 kali, Nabi Ismail 12 kali, Nabi Zakariya 12 kali, Nabi Syuaib 11 kali, Nabi Saleh 10 kali, Nabi Hud 7 kali, Nabi Yunus 5 kali, Nabi Yahya 5 kali, Nabi Ayyub 4 kali, Nabi Ilyas 4 kali, Nabi Idris 2 kali, Nabi Zulkifli 2 kali, dan Nabi Ilyasa’ 2 kali.

 

إِلَىٰ فِرْعَوْنَ وَمَلَإيْهِ

kepada Firaun dan pembesar-pembesarnya

Satu lagi sebab Nabi Musa عليه السلام disebut paling banyak adalah kerana baginda berhadapan dengan Firaun, musuh tauhid yang paling petah berkata-kata. Kesesatan Firaun amat melampau sekali ini, sampaikan dia mengaku dialah rabb, juga mengaku dialah ilah.

Firaun mengaku sebagai rabb telah disebut dalam Nazi’at: 24

فَقَالَ أَنَا رَبُّكُمُ ٱلأَعلَىٰ
(Firaun) berkata: “Akulah tuhanmu yang paling tinggi”.

Dia mengaku sebagai ilah disebut dalam Qasas: 38

وَقالَ فِرعَونُ يٰأيُّهَا المَلَأُ ما عَلِمتُ لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيري
Dan berkata Fir’aun: “Hai pembesar kaumku, aku tidak mengetahui ilah bagimu selain aku.

Kalimah مَلَئِهِ berasal daripada katadasar م ل أ yang bermaksud ‘memenuhkan’. Digunakan dalam ayat ini merujuk kepada ‘pembesar-pembesar’ kerana orang-orang yang besar ini memenuhkan hati mereka yang melihat pembesar itu dengan rasa kagum, takjub, takut dan sebagainya. Atau, mereka memenuhkan istana sebagai orang Raja. Mereka inilah orang kita akan lihat orang yang berpangkat tinggi, berkedudukan tinggi dengan pandangan yang lain macam.

Golongan ملأ pada zaman Firaun itu adalah golongan elit dalam masyarakat Mesir. Mereka memegang jawatan yang tinggi dalam kerajaan seumpama kabinet menteri pada zaman sekarang.

Kenapakah Nabi Musa dan Nabi Harun عليهماالسلام dihantar kepada Firaun dan golongan elit itu? Bukankah nampak seolah-olah mereka hanya berdakwah pada orang-orang kaya sahaja? Bagaimana pula dengan golongan-golongan miskin dan hamba? Bagaimana pula dengan Bani Israil? Bukankah agama itu untuk semua orang?

Kita harus faham bahawa Nabi Musa dan Nabi Harun عليهماالسلام dihantar kepada Firaun dan pembesar-pembesarnya itu kerana merekalah kepala yang diikuti oleh rakyat jelata. Apa-apa sahaja pegangan mereka akan diikuti dan dituruti oleh masyarakat umum. Tambahan pula sewaktu zaman Firaun itu, masyarakat tidak mempunyai kebebasan untuk memilih agama. Mereka kena ikut apa yang pemimpin mereka kata. Maka, kenalah dakwah kepada kepala dahulu.

Masyarakat Mesir pada waktu itu terbahagi kepada dua golongan, iaitu Bangsa Qibti dan juga Bani Israil. Para pembesar dan orang-orang kaya adalah daripada bangsa Qibti manakala Bani Israil adalah golongan hamba. Nabi Musa dan Nabi Harun عليهماالسلام dihantar kepada dua-dua golongan itu, bukan kepada Firaun dan pembesar sahaja.

Kedua-dua Nabi عليهماالسلام itu mempunyai misi yang berbeza untuk bangsa Qibti dan kepada Bani Israil. Ini adalah kerana bangsa Qibti masih kafir dan Bani Israil sudah Muslim sebenarnya (namun tidaklah taat seperti yang sepatutnya). Maka, tidaklah sama pendekatan yang digunakan untuk Firaun dengan pendekatan yang digunakan kepada Bani Israil.

Kita juga kena tahu bahawa ملأ (pembesar) pada zaman Firaun itu juga ada dua jenis: ada daripada bangsa Qibti dan ada daripada Bani Israil. Kenapakah begitu? Bukankah Bani Israil itu adalah golongan hamba? Dalam kalangan mereka juga ada pembesar, kerana untuk mengawal Bani Israil, Firaun memerlukan ‘Orang Dalam’. Maka, mereka melantik ketua-ketua daripada Bani Israil sendiri menjadi pembesar. Antaranya yang kita kenal adalah seperti Qarun (ya Qarun daripada Bani Israil).

Namun begitu pembesar daripada Bani Israil itu sebenarnya di bawah telunjuk Firaun. Mereka diletakkan di tempat mereka supaya mereka senang mengawal Bani Israil itu. Sepertimana ketika Jepun memerintah negara ini, mereka akan melantik ketua-ketua dalam kalangan masyarakat kita juga, supaya mereka itu boleh menjadi mata-mata kepada Jeneral Jepun.

 

بِئآيٰتِنَا

dengan membawa ayat-ayat Kami;

Allah ‎ﷻ hantar mereka dengan membawa mukjizat. Iaitu mukjizat yang utama sekali adalah tangan Nabi Musa عليه السلام yang bercahaya dan tongkat baginda yang bertukar menjadi ular. Selain itu, ada beberapa lagi mukjizat. Kesemua sekali terdiri daripada sembilan tanda yang telah disebut dalam Al-Qur’an.

Tanda-tanda itu jelas. Mereka sepatutnya tidak ada masalah untuk melihat tanda-tanda itu. Oleh itu, jikalau mereka tolak, bukanlah kerana mereka tidak nampak atau tidak faham, tetapi kerana sombong sahaja. Macam kita sekarang, apabila berdakwah, kita menyampaikan kepada masyarakat ayat-ayat Al-Qur’an yang jelas, tetapi ramai yang masih tidak mahu terima. Itu adalah kerana mereka degil sahaja.

 

فَاسْتَكْبَرُوا

lalu mereka sombong

Maksud ‘sombong’ dalam ayat ini adalah sombong untuk menerima ajaran tauhid. Mereka berasa mereka besar dan tidak memerlukan agama ‘baru’ bagi mereka. Mereka memandang rendah terhadap Nabi Musa dan Harun عليهماالسلام. Mereka berdua itu daripada Bani Israil dan kerana itu Firaun dan pembesar-pembesarnya tidak memandang mereka berdua kerana mereka daripada golongan hamba. Mereka tidak memandang apakah yang dibawa oleh kedua Nabi itu, tetapi mereka melihat status kedua-dua mereka.

Orang kita pun kadangkala begitulah juga. Ramai yang tidak memandang hujah yang diberikan oleh pendakwah Tauhid, sebaliknya mereka melihat siapakah orang itu. Kalau orang itu tidak mempunyai kedudukan, mereka susah hendak terima. Atau kalau mereka itu tidak belajar di pondok, di sekolah agama, belajar sana dan sini, mereka tidak mahu terima. Mereka sombong dengan merasakan yang mereka lebih pandai daripada orang lain. Hujah yang diberikan, mereka tolak terus. Mereka tidak dengar pun.

 

وَكَانُوا قَوْمًا مُّجْرِمِينَ

dan mereka adalah kaum yang biasa melakukan dosa.

Mereka itu adalah kaum penjenayah. Lihatlah bagaimana mereka telah menghambakan Bani Israil sekian lama. Itulah dosa mereka selain daripada dosa syirik yang mereka lakukan. Apabila Nabi Musa dan Harun عليهماالسلام datang untuk mengajak kepada Tauhid, mereka tidak mahu beriman. Dari situ, banyak lagilah dosa yang mereka lakukan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 24 Jun 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment