Baqarah Ayat 205:
وَإِذا تَوَلّىٰ سَعىٰ فِي الأَرضِ لِيُفسِدَ فيها وَيُهلِكَ الحَرثَ وَالنَّسلَ ۗ وَاللَّهُ لا يُحِبُّ الفَسادَ
And when he goes away, he strives throughout the land to cause corruption therein and destroy crops and animals. And Allah does not like corruption.
Kemudian apabila dia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah dia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia); sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.
وَإِذا تَوَلّىٰ سَعىٰ فِي الأَرضِ لِيُفسِدَ فيها
Dan apabila dia berpaling dia terus berusaha di muka bumi untuk berbuat kerosakan padanya;
1. Iaitu apabila dia pergi dari majlis tempat dia bercakap dan mempersonakan manusia itu. Mereka itu memang pandai berkata-kata jadi mereka buat kerosakan dengan tohmahan dan propaganda sesat mereka.
2. Ada juga yang menafsirkan ayat ini sebagai bermaksud apabila dia berkuasa. Dia pandai berkata-kata sehingga dia dapat memerintah. Kemudian tatkala menjadi pemerintah dia hanyalah pandai bercakap sahaja, kerja tidak buat pun. Kemajuan tidak dicapai, masyarakat menjadi rosak. Yang berkuasa sibuk menjaga kuasanya dan yang tidak berkuasa sibuk hendak mendapatkan kuasa. Mereka menggunakan segala taktik untuk meruntuhkan kerajaan supaya mereka dapat mengambilalih pemerintahan
Kalimah سَعىٰ bermaksud berlari-lari anak yang memberi isyarat yang mereka memang berusaha. Mereka bukan berusaha dalam kebaikan tetapi untuk keburukan kerana yang dicarinya adalah kepentingan dirinya sahaja. Kerosakanlah yang akan terjadi.
1. Iaitu bermaksud kerosakan pada agama, iaitu melakukan syirik. Keluar sahaja dari majlis Nabi ﷺ, terus berbuat syirik. Dia melakukan perkara yang melanggar syariat dan berbuat dosa. Hukum-hukum Allah ﷻ hanya dipakai apabila dapat menguntungkan dirinya sahaja, mana yang dia boleh terima dan mana yang dia tidak suka, dia akan tinggalkan.
2. Atau ia boleh juga bermaksud, apabila mereka dapat kuasa, mereka akan berbuat kerosakan di mukabumi.
Kita telah bincangkan kerosakan yang dilakukan oleh golongan munafik ini di dalam ayat Baqarah: 11
وَإِذا قيلَ لَهُم لا تُفسِدوا فِي الأَرضِ قالوٓا إِنَّما نَحنُ مُصلِحونَ
Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi”, mereka menjawab: ” Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan”.
وَيُهْلِكَ الْحَرْثَ
dan dia membinasakan tanaman;
1. Oleh kerana orang itu hanya mementingkan diri sendiri, dia sudah tidak memikirkan kepentingan rakyat. Maka tanaman akan punah ranah dan tidak subur. Tanaman adalah isyarat kepada kemakmuran. Negeri itu sudah tidak makmur lagi kalau mereka memerintah.
2. Iaitu bermaksud ‘berzina’. Mereka jenis yang suka berzina. Apabila berzina maka akan lahir anak-anak luar nikah yang tidak mendapat penjagaan yang sempurna kerana bapa sudah tidak mengaku itu anaknya.
3. Orang-orang munafik zaman Nabi ﷺ sungguh jahat sampaikan mereka merosakkan tanaman pada sahabat yang beriman.
4. Tafsir lain mengatakan mereka mengganggu isteri para sahabat lain.
Bagaimanakah perbuatan golongan munafik boleh menyebabkan kesan kepada tanam-tanaman? Kerana perbuatan dosa akan menyebabkan Allah ﷻ menahan rezeki daripada turun ke bumi. Banyak ayat-ayat dan hadith tentang perkara ini, antaranya Rum: 41
ظَهَرَ الفَسادُ فِي البَرِّ وَالبَحرِ بِما كَسَبَت أَيدِي النّاسِ لِيُذيقَهُم بَعضَ الَّذي عَمِلوا لَعَلَّهُم يَرجِعونَ
Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).
Perhatikan juga hadith daripada Thauban رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
إِنَّ الْعَبْدَ لَيُحْرَمُ الرِّزْقَ بِالذَّنْبِ يُصِيبُهُ
Sesungguhnya seorang lelaki itu akan terhalang daripada rezekinya disebabkan oleh dosa yang menimpanya.
(Riwayat Ibn Majah No. 4022 dan Ahmad No. 22438)
Begitulah ada hubungan dosa dengan alam. Jangan sangka dosa kita ini akan ditanggung di akhirat sahaja, akan tetapi di dunia lagi kita akan dibalas. Kita sahaja yang tidak sedar. Antara balasan itu adalah:
1. Hilangnya Keberkahan. Keberkahan adalah anugerah Allah ﷻ yang membuat sesuatu menjadi lebih bermanfaat. Dosa dapat menghapus keberkahan dari hasil bumi, meskipun usaha telah dilakukan dengan maksima.
2. Kerosakan Ekosistem. Perbuatan manusia yang berdosa, seperti merosak sumber air, mengeksploitasi sumber daya alam secara berlebihan, dan mengabaikan tanggung jawab terhadap bumi, dapat menyebabkan tanaman sulit tumbuh atau kemarau.
3. Kurangnya Hujan. Ramai ulama’ menjelaskan bahawa maksiat dan dosa dapat menjadi sebab tertahannya hujan, yang berpengaruh langsung pada pertumbuhan tanaman.
Tujuan Allah ﷻ berikan musibah ini kepada manusia adalah untuk mereka beringat dan membaiki diri. Ini seperti disebut di dalam Sajdah: 21
وَلَنُذيقَنَّهُم مِّنَ العَذابِ الأَدنىٰ دونَ العَذابِ الأَكبَرِ لَعَلَّهُم يَرجِعونَ
Dan demi sesungguhnya, Kami akan merasakan mereka sedikit daripada azab dunia sebelum azab yang besar (di akhirat kelak), supaya mereka rujuk kembali bertaubat.
وَالنَّسْلَ
dan (merosakkan) binatang ternak;
1. Apabila mereka mementingkan dunia dan mereka merosakkan flora dan fauna negara, maka binatang ternak pun sudah tidak hidup dengan sihat lagi. Rakyat sibuk hendak mendengar apa yang mereka kata sampai tidak menjaga binatang ternak mereka lagi. Hutan-hutan dan tanaman ditebas dan digondolkan sampai makanan untuk binatang sudah tidak ada lagi. Hutan sudah gondol, maka mudah erosi berlaku. Akibatnya tanah runtuh sering terjadi. Banjir pun selalu sahaja berlaku.
2. Orang Munafik zaman Nabi ﷺ yang merosakkan binatang ternak orang beriman.
Dalam dunia sekarang, kita boleh lihat bagaimana begitu ramai manusia yang melakukan apa sahaja demi mencapai keuntungan. Antaranya, pengeluar makanan menghasilkan makanan yang tidak baik untuk kesihatan. Mereka telah mengubah komposisi makanan itu (Genetically Modified Food – GMO) yang boleh membahayakan kesihatan. Walaupun mereka sedar kesan buruk GMO terhadap kesihatan manusia namun mereka tidak mempedulikannya dan tetap melakukannya asalkan ia boleh mendatangkan keuntungan yang banyak kepada mereka.
Lalu bagaimana untuk kita kembali mendapat kesuburan tanaman dan ternakan? Allah ﷻ suruh kita bertaubat dan bertaqwa seperti disebut di dalam A’raf: 96
وَلَو أَنَّ أَهلَ القُرىٰ ءآمَنوا وَاتَّقَوا لَفَتَحنا عَلَيهِم بَرَكٰتٍ مِّنَ السَّماءِ وَالأَرضِ وَلٰكِن كَذَّبوا فَأَخَذنٰهُم بِما كانوا يَكسِبونَ
Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.
Juga perhatikan ayat Nuh: 10-12
فَقُلتُ استَغفِروا رَبَّكُم إِنَّهُ كانَ غَفّارًا
“Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun.
يُرسِلِ السَّماءَ عَلَيكُم مِدرارًا
“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;
وَيُمدِدكُم بِأَموالٍ وَبَنينَ وَيَجعَل لَكُم جَنّاتٍ وَيَجعَل لَكُم أَنهارًا
“Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).
وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الْفَسَادَ
Dan Allah tidak suka orang-orang yang berbuat kerosakan;
Kenapa kita tidak boleh buat kerosakan? Jawapannya mudah sahaja: Kerana Allah ﷻ tidak suka! Berapa banyak manusia yang di depan kita, nampak baik sahaja. Kalau bercakap, mereka bercakap baik-baik sahaja, akan tetapi di belakang kita, macam-macam dosa yang mereka buat. Allah ﷻ amat tidak suka orang yang sebegini. Mereka tidak akan selamat di akhirat kelak.
Baqarah Ayat 206: Ini adalah sambungan kepada sifat orang-orang Munafik itu. Ada orang bagi nasihat kepada mereka tetapi lihatlah bagaimana balasan mereka.
وَإِذا قيلَ لَهُ اتَّقِ اللَّهَ أَخَذَتهُ العِزَّةُ بِالإِثمِ ۚ فَحَسبُهُ جَهَنَّمُ ۚ وَلَبِئسَ المِهادُ
And when it is said to him, “Fear Allah,” pride in the sin takes hold of him. Sufficient for him is Hellfire, and how wretched is the resting place.
Dan apabila dikatakan kepadanya: “Bertaqwalah engkau kepada Allah” timbullah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu padanlah dia (menerima balasan azab) neraka jahannam dan demi sesungguhnya, (neraka jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal.
وَإِذَا قِيلَ لَهُ
Dan apabila dikatakan kepadanya;
Iaitu apabila orang yang teruk perangainya itu dinasihati oleh sahabat-sahabat yang lain; apabila ada orang yang berani untuk menegurnya. Kebanyakannya takut hendak tegur sebab sudah tahu bahawa dia adalah seorang yang ganas. Namun para sahabat itu orang pandai, maka mereka menjalankan kerja-kerja amar makruf nahi mungkar. Kita beri sahaja nasihat, mereka terima atau tidak, itu antara mereka dengan Allah ﷻ.
اتَّقِ اللَّهَ
“Takutlah kamu kepada Allah.”
Inilah nasihat daripada para sahabat – mengingatkan mereka kepada Allah ﷻ, takutlah kepada Allah ﷻ, taqwalah kepada Allah ﷻ, jangan buat kerosakan lagi. Kena belajar agama dan amalkan apa yang Allah ﷻsuruh buat. Jangan langgar lagi hukum Allah ﷻ, jangan buat pasal lagi.
أَخَذَتْهُ الْعِزَّةُ بِالْإِثْمِ
Kesombongannya mendorong dia meneruskan buat dosa;
Apabila dinasihati, dia terus sombong, tidak mahu terima. Dia pula marah kita bila kita nasihat dia. Begitulah sifat orang-orang munafik, tidak boleh ditegur. Sama sahaja dengan kebanyakan orang Melayu kita. Lagi kita tegur, lagi dia menentang dan lagi dia buat kerosakan. Dia mempunyai sifat sombong sampai menyebabkan dosa. Dia sombong tidak mahu terima Allah ﷻ sampaikan dia mengeluarkan perkataan-perkataan yang berdosa. Dia lawan kata-kata orang yang beriman dan dia buat perkara-perkara yang berdosa. Sombong kerana dia sangka dia sempurna, tidak ada kesalahan, sebaliknya orang yang menegur itu yang salah.
Ini adalah satu masalah yang amat besar dalam kalangan kita. Iaitu berat atau payah hendak terima nasihat. Kalau ada orang yang nasihat kepada kita, kita pula marah orang itu balik. Ada yang kata: “Apa kau kisah, kubur kan lain-lain?”, atau ada yang kata: “Jangan sibuk hal aku lah, tengok diri kau sahaja…” dan seumpamanya. Sombong kerana mereka itu belajar di pondok, universiti, anak tok guru, belajar tarekat, anak tok imam, tok siak, sudah pernah pergi Haji, Umrah dua tiga kali, ada ustaz yang dia belajar juga, sudah pernah khatam Qur’an (masa dia budak kecil sebelum sunat), dan isilah apa-apa sahaja kata-kata bongkak mereka itu dan perasan mereka sudah hebat sangat. Orang yang menegur itu pula kena marah balik; “Siapa kau? Kau ustaz, ulama’? Kau pandai sangat? Kau ni belajar dengan ustaz Wahabi lah ni! Kau bagus sangat?!” dan isilah lagi dengan tuduhan-tuduhan mereka. Seolah-olah mereka itu sempurna sangat sampai tidak ada kesalahan. Apa sempurnanya sedangkan Rasulullah ﷺpun ditegur oleh Allah ﷻ, takkan mereka tidak boleh ditegur? Allah ﷻ menegur Nabi ﷺ di dalam Ahzab: 1
يىٰأَيُّهَا النَّبِيُّ اتَّقِ اللهَ
Hai Nabi, bertaqwalah kepada Allah
Ini adalah sifat yang amat buruk sekali dan ia adalah sifat orang Munafik. Kita diajar untuk senang menerima nasihat kerana dengan nasihat itulah yang dapat memperbaiki keadaan diri kita. Bayangkan kalau tidak ada orang yang nasihat kepada kita, tentulah kita akan terus melakukan kesalahan dan terus di dalam kesesatan, bukan? Kalau orang lain nasihat kita, maka terima sahajalah. Kerana walaupun ia keluar dari mulut orang itu (tidak kiralah siapa dia) tetapi ia sebenarnya daripada Allah ﷻ. Allah ﷻ yang gerakkan orang itu untuk menegur kita. Kenapa perlu sombong sangat? Terimalah nasihat walaupun datang daripada seorang budak hingusan.
Orang yang degil itu kalau kita nasihat, mereka akan buat lagi banyak dosa dan kesesatan. Sebagai contoh bila kita tegur jangan buat qasidah, selawat ramai-ramai, mereka semakin buat secara besar-besaran. Digunakan stadium, dijemput para habib yang entah dari mana asalnya, dihias pentas dengan gah sekali bak konsert rock, digunakan duit rakyat macam duit sendiri. Bila kita tegur, dipusingnya teguran kita kata kita tidak sayang Nabi, tidak benarkan selawat.
فَحَسْبُهُ جَهَنَّمُ
cukuplah Neraka Jahannam
Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka disebabkan oleh kelakuan dan perbuatan berdosa mereka itu. Kerana sifat mereka yang sombong tidak terima nasihat itu, maka mereka terus melakukan kesalahan dan akan menuju kepada neraka. Cukup sahaja neraka itu kerana tidak ada lagi balasan yang lebih teruk dari neraka itu.
وَلَبِئْسَ الْمِهَادُ
dan ia adalah seburuk-buruk tempat tinggal.
Tidak ada tempat yang lagi buruk dari neraka. Mereka akan tinggal di sana selama-lamanya kalau kesalahan yang mereka lakukan adalah kesalahan syirik. Mereka jadi begitu kerana mereka sudah jadi sombong sampai tidak mahu menerima nasihat lagi. Itulah balasan yang akan diberikan kepada mereka. Atau kepada kita, kalau kita melakukan perkara yang sama.
Kalimah sebenarnya adalah buaian, tempat bayi didodoikan. Ia tempat yang paling selesa, sampai sudah dewasa pun kita rasa selesa kalau tidur di dalam ‘hammock’, bukan? Ia adalah perlian daripada Allah ﷻ, sebagaimana warden penjara cakap kepada bantuan baru, “Silakan masuk ke bilik lima bintang, tuan….”. Juga neraka itu ada sifat buaian juga di mana ia sempit dan pergerakan terbatas di dalam buaian.
Allah ﷻ menekankan neraka ada tempat yang paling buruk kerana tidak ada tempat lain yang lebih buruk. Ia menegur fahaman sesetengah orang kita yang pandang ringan sahaja dengan neraka. Mereka sangka ia macam penjara di dunia sahaja agaknya. Berbulu sahaja telinga dengar soalan: “Tapi orang Islam akan masuk syurga juga selepas masuk neraka kan ustaz?” Ewah, tanya macam neraka tidak ada apa-apa sahaja. Agaknya boleh bersabar dalam neraka asalkan akhirnya masuk syurga. Perasan sungguh akan masuk syurga. Entah-entah kekal dalam neraka!
Baqarah Ayat 207: Ini adalah golongan ke-empat, iaitu mereka yang beriman. Setelah Allah ﷻ cerita golongan yang bodoh, Allah ﷻ cerita pula golongan yang pandai.
وَمِنَ النّاسِ مَن يَشري نَفسَهُ ابتِغاءَ مَرضاتِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ رَءوفٌ بِالعِبادِ
And of the people is he who sells himself, seeking means to the approval of Allah. And Allah is kind to [His] servants.
Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hamba-Nya.
وَمِنَ النَّاسِ
Dan di antara manusia,
Golongan ke-empat ini sanggup menjual dirinya untuk menjadi hamba Allah ﷻ yang sebenar.
مَنْ يَشْرِي نَفْسَهُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ
yang menjual dirinya kerana hendak mencari redha Allah;
Mereka telah menjual diri mereka iaitu perniagaan dengan Allah ﷻ. Di dalam Tawbah: 111 Allah ﷻ beritahu yang memang Dia telah beli jiwa mereka ini,
إِنَّ اللَّهَ اشتَرىٰ مِنَ المُؤمِنينَ أَنفُسَهُم وَأَموٰلَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الجَنَّةَ ۚ يُقٰتِلونَ في سَبيلِ اللَّهِ فَيَقتُلونَ وَيُقتَلونَ ۖ وَعدًا عَلَيهِ حَقًّا فِي التَّورىٰةِ وَالإِنجيلِ وَالقُرءآنِ ۚ وَمَن أَوفىٰ بِعَهدِهِ مِنَ اللَّهِ ۚ فَاستَبشِروا بِبَيعِكُمُ الَّذي بايَعتُم بِهِ ۚ وَذٰلِكَ هُوَ الفَوزُ العَظيمُ
Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar daripada Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.
Menjual diri itu maksudnya berkorban malah sampai sanggup berkorban diri dalam jihad fisabilillah. Memang ayat-ayat yang kita sedang baca ini adalah targhib (ajakan) kepada jihad.
Kalimah مَرْضَاتِ اللَّهِ bermaksud hendak menggembirakan Allah ﷻ. Mereka ini menjual diri mereka hanya kerana hendak mendapat redha Allah ﷻ. Redha Allah ﷻ adalah segala-galanya. Mendapat redha Allah ﷻ bermaksud akan mendapat syurga. Menjual diri kepada Allah ﷻ ini tidaklah akan tercapai dan terbukti kalau orang tidak berani mengorbankan harta benda dan kalau perlu jiwanya untuk itu, kalau keadaan menghendaki.
Mereka ini paling takut dengan Allah ﷻ. Maka kalau di hadapan kekuasaan yang zalim pun mereka berani mengangkat mulut menyanggah kezaliman itu walaupun apa yang akan menimpa dirinya. Sebab bertambah banyak dia menderita bertambah pulalah dekatnya kepada Allah ﷻ dan bertambah dia mencapai redha-Nya.
Allah ﷻ menggunakan perumpamaan menjual kerana manusia faham istilah jual beli. Apabila jual, tentu ada pembelinya dan harganya. Siapakah pembeli dan harga yang dibalas? Pembeli adalah Allah ﷻ dan bila Allah ﷻ yang beli, Allah ﷻ boleh beri segala-galanya. Allah ﷻ boleh balas dengan beri pembalasan yang paling hebat sekali iaitu syurga yang nikmatnya kekal abadi sampai bila-bila.
Orang sebegini bukan setakat mengamalkan ibadah peribadi sahaja akan tetapi lebih daripada itu. Solat, puasa, zakat, haji dan amal soleh yang lain bukanlah semata-mata amalan yang beku. Solat berjemaah beramai-ramai di waktu subuh dan amalan yang lain, bukanlah tujuan, tetapi jalan untuk menuju dan membuat jiwa lebih besar sehingga sanggup memikul tugas hidup berbuat baik dan berbuat yang mulia. Jiwa bertambah besar dan besar lagi, tidak tersangkut dan terikat oleh perkara-perkara remeh, sehingga hidup yang hanya sebentar singgah di dunia ini hendak meninggalkan bekas yang lama, beratus kali lipat daripada umur yang dilalui. Sehingga walaupun jasmani telah mati, namun dia tetap hidup dari abad ke abad. Kemudian setelah dia meninggal dunia, pastilah dia berhak duduk menjadi tetangga Allah ﷻ, bersama Nabi-nabi, Rasul-rasul dan Shiddiqin serta Syuhada dan Soliheen.
Mereka ini orang yang menjalankan amar ma’ruf nahi mungkar dan bukan hanya melihat sahaja kesalahan manusia.
رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
Rasulullah ﷺ bersabda: “Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran hendaklah dia mencegah kemungkaran itu dengan tangannya. jika tidak mampu, hendaklah mencegahnya dengan lisan, jika tidak mampu juga, hendaklah dia mencegahnya dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman.”
(Sahih Muslim No. 70)
Maka mereka itu berani menegur walaupun kepada pemimpin yang berkuasa. Sabda Nabi ﷺ:
الدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ، قُلْنَا : لِمَنْ؟ قَالَ: اللَّهِ، وَلِكِتَابِهِ، وَلِرَسُولِهِ، وَلأَئِمَّةِ المُسْلِمِينَ، وَعَامَّتِهِمْ
Agama itu merupakan nasihat. Kami bertanya: ‘Kepada siapa?’ Baginda bersabda: ‘Kepada Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, pemimpin-pemimpin orang Islam dan masyarakat semuanya.”
Riwayat Muslim (55), Abu Daud (4944) dan al-Nasa’i (7/156)
Dikatakan asbabun Nuzul ayat ini adalah kisah seorang sahabat yang namanya Suhayb ar-Rumi, رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ kerana beliau berasal dari Rom. Beliau adalah antara yang paling awal masuk Islam. Beliau datang ke Mekah dalam keadaan miskin tetapi menjadi kaya raya dengan usaha perniagaan. Beliau juga seorang yang pandai memanah. Semasa beliau hendak berhijrah ke Madinah, orang Musyrikin hendak menghalangnya. Beliau mengeluarkan semua anak panahnya dan berkata yang beliau boleh memanah mereka, tidak ada yang lebih pandai daripadanya memanah. Tidak pernah panahannya yang tidak mengena. Jadi akan ramai yang mati kena panahannya dan kalau sudah habis anak panahnya beliau akan menggunakan pedangnya dengan bersungguh-sungguh. Maka, katanya sebelum beliau sendiri terbunuh, akan ramai yang menjadi arwah. Itulah keberanian sahabat. Musyrikin Mekah tidak mahu beliau meninggalkan mereka kerana beliau telah menjadi kaya. Maka Suhayb رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ telah menawarkan mereka untuk mengambil hartanya yang disimpan di sekian-sekian tempat. Beliau beritahu kepada Musyrikin Mekah, daripada mereka membuang masa dengannya dan mungkin mati, baiklah mereka pergi cari hartanya yang banyak itu dan ambillah harta itu dan tinggalkan sahaja beliau hendak hijrah ke Madinah. Kerana itu, orang Musyrikin Mekah membiarkan sahaja beliau. Sebab yang mereka hendak adalah harta sebenarnya. Memang mereka memperolehi harta Suhayb رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang banyak itu. Apabila beliau sampai ke Madinah, Nabi ﷺ telah memberi pujian dan tahniah kepada beliau kerana beliau telah jual dunia untuk membeli akhirat. Rasulullah ﷺ bersabda ربح البيع أبا يحيى ربح البيع أبا يحيى (beruntung sekali peniagaan engkau Abu Yahya (kunyah Suhayb), beruntung sekali peniagaan engkau Abu Yahya. Dan telah diturunkan ayat ini berkenaan beliau.
Akan tetapi ada lagi riwayat lain mengatakan ayat ini diturunkan tentang sahabat yang lain. Jadi asbanun nuzul bukanlah tepat dan kerana ada yang sahih, ada yang tidak tepat, ada yang beri pendapat lain. Maka kita tidak bergantung sangat dengan asbabun nuzul ayat sebagaimana sangkaan sesetengah orang. Asbabun nuzul ini sebagai tambahan sahaja kerana kita boleh gunakan sahaja maksud ayat tanpa disandarkan kepada mana-mana kisah. Sebab itu tidak semua ayat di dalam penulisan ini ada asbabun nuzul kerana ia tidak perlu dalam setiap ayat.
وَاللَّهُ رَءُوفٌ بِالْعِبَادِ
Dan Allah taala Amat pengasih akan hamba-hambaNya.
Kata رَءُوفٌ itu bermaksud Allah ﷻ tahu apakah yang kita lalui. Dia tahu bagaimana kita dicemuh dan ditohmah dalam mengamalkan agama sunnah ini. Dia tahu kepayahan yang sahabat lalui dan juga kita.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 18 Januari 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

