MINTALAH KEBAIKAN DUNIA DAN AKHIRAT SEKALI
Baqarah Ayat 200: Masih lagi tentang hukum Haji. Ini adalah teguran Allah ﷻ tentang cara berdoa.
فَإِذا قَضَيتُم مَّنَـٰسِكَڪُم فَاذكُرُوا اللَّهَ كَذِكرِكُم ءَابَآءَڪُم أَو أَشَدَّ ذِكرًا ۗ فَمِنَ النّاسِ مَن يَقولُ رَبَّنا ءَاتِنَا فِي الدُّنيا وَما لَهُ فِي الآخِرَةِ مِن خَلَـٰقٍ
And when you have completed your rites, remember Allah like your [previous] remembrance of your fathers or with [much] greater remembrance. And among the people is he who says, “Our Lord, give us in this world,” and he will have in the Hereafter no share.
Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkan-Nya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia”. (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat.
فَإِذَا قَضَيْتُمْ مَّنَـٰسِكَڪُم
Maka apabila kalian telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kalian;
Apabila sudah melontar, sudah cukur dan sudah tawaf. Iaitu selesai sudah segala ibadat Haji dan segala rukun-rukun Haji. Sekarang para hujjaj berhari raya di Mina tiga hari tiga malam.
فَاذْكُرُوا اللَّهَ
maka sentiasalah ingat akan Allah;
Sepatutnya selepas sudah selesai kerja Haji, maka kita sangka sepatutnya yang disuruh adalah bersyukurlah, kerana sudah selesai segala kewajipan dan boleh balik ke kampung halaman semula. Namun sebaliknya yang disuruh adalah berzikir. Ini kerana zikir ini amat penting, maka selalu Allah ﷻ ingatkan di dalam Al-Qur’an. Di sini pun Allah ﷻ sudah tiga kali sebut tentang zikir di dalam kumpulan ayat-ayat ini. Ini kerana ibadah tidak berakhir dengan zikir sahaja. Selepas ibadah, tetap kena zikir lagi seperti Allah ﷻ sebut tentang solat di dalam Nisa’: 103
فَإِذا قَضَيتُمُ الصَّلوٰةَ فَاذكُرُوا اللَهَ قِيٰمًا وَقُعودًا وَعَلىٰ جُنوبِكُم
Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring.
Perhatikan selepas solat pun kena zikir lagi kepada Allah ﷻ. Ini kerana ibadah zikir itu bukan sahaja bermaksud lafaz dengan mulut sahaja, namun ia lebih lagi daripada itu. Ada empat jenis zikir, iaitu dengan lidah melalui ucapan, dengan anggota tubuh melalui perbuatan, dengan fikiran melalui perenungan yang menghantar kepada pengetahuan, serta dengan hati melalui kesedaran akan kebesaran-Nya yang menghasilkan emosi keagamaan dan keyakinan yang benar. Jadi kalau kita faham zikir itu sebagai meratib sahaja, maka amatlah malang kerana pemahaman tentang zikir yang cetek sangat.
Dalam ibadah kena zikir, luar ibadah pun kena zikir juga. Antaranya dengan perbuatan tubuh kita iaitu dengan melakukan ketaatan kepada Allah ﷻ. Walaupun kita buat kerja-kerja dunia, namun jangan lupa kepada Allah ﷻ. Kerana itu Allah ﷻ berfirman قِيٰمًا وَقُعودًا وَعَلىٰ جُنوبِكُم iaitu bermaksud di dalam segala keadaan. Kekurangan kita adalah sangka zikir ini pada masa tertentu dan pada tempat tertentu sahaja. Ini adalah pemahaman yang cetek. Perhatikan setelah habis Solat Jumaat pun Allah ﷻ suruh kita banyak ingat kepada Allah ﷻ seperti disebut di dalam Jumuah: 10
فَإِذا قُضِيَتِ الصَّلوٰةُ فَانتَشِروا فِي الأَرضِ وَابتَغوا مِن فَضلِ اللَّهِ وَاذكُرُوا اللَّهَ كَثيرًا لَّعَلَّكُم تُفلِحونَ
Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.
Maknanya, Allah ﷻ benarkan kita bekerja mencari rezeki, akan tetapi di dalam kerja seharian kita pun tetap kena ingat Allah ﷻ dan bukan sedikit tetapi banyak-banyak.
كَذِكْرِكُمْ ءَابَآءَڪُم
sepertimana kalian dahulu menyebut-nyebut tok nenek kalian;
Musyrikin Mekah apabila Haji sudah hendak habis, mereka memuji keturunan mereka. Mereka siap buat majlis besar-besaran di mana mereka akan membacakan puisi. Mereka memperingati tentang keturunan mereka yang pahlawan yang berani, gagah, dermawan dan sebagainya. Ini kerana kesukaan mengisi masa lapang mereka pada waktu itu adalah bercerita tentang orang-orang yang sudah berlalu.
Ini tidak elok dilakukan kerana akan menyebabkan ada yang berasa hati sampaikan selepas mengerjakan ibadah Haji, terjadi perpecahan umat, sedangkan sepatutnya ibadah Haji itu untuk mengeratkan umat Islam sedunia. Tambahan pula ia adalah perbuatan yang membuang masa di tempat yang mulia.
Kita orang Melayu ada juga buat perangai membanggakan puak-puak kita. Selalunya berkenaan politik dan keturunan dulu-dulu. Sudah bercerita tentang politik pula di sana. Kita pun suka juga bersembang. Tentang bermacam-macam hal kehidupan, tentang filem, tentang kerja, tentang anak-anak, tentang orang itu dan ini. Kalau kita pun buat begitu juga, kita tidak mengikuti ayat ini. Maka Allah ﷻ suruh kita ingat tentang Allah ﷻ bukannya ingat tentang benda-benda itu. Kena tinggalkan tentang dunia dan ingat kepada Allah ﷻ.
أَوْ أَشَدَّ ذِكْرًا
bahkan lebih lagi ingat (kepada Allah);
Kenalah kita ingat kepada Allah ﷻ lebih lagi daripada yang lain. Kalimah أَشَدَّ bermaksud lebih teguh, lebih mantap, lebih banyak. Kenapa hendak disebut-sebut sangat tentang kehebatan dan jasa tok nenek itu? Sedangkan Allah ﷻ lebih banyak jasa-Nya. Kalimah أَوْ di sini bukannya bermaksud ‘atau’ kerana kalau begitu, seolah-olah ia pilihan sahaja. Kalimah أَوْ di sini bermaksud ‘dan’ dan ‘bahkan’. Iaitu kena ingat Allah ﷻ lebih lagi daripada ingat kepada tok nenek. Jangan sibukkan diri dengan pencapaian tok nenek tetapi sibuklah diri dengan Allah ﷻ.
فَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ
Maka ada di antara manusia (semasa buat haji) yang berdoa:
Peluang apabila berada di Tanah Haram adalah untuk berdoa kerana ia merupakan salah satu tempat yang makbul doa. Apatah lagi waktu itu kita sedang melakukan ibadah yang besar. Seperti yang kita selalu diingatkan, doa amat molek dilakukan selepas melakukan ibadah. Akan tetapi ada orang yang hanya mementingkan dunia sahaja maka mereka tidak mengambil manfaat untuk berdoa dengan doa yang baik. Perhatikan cara doa mereka:
رَبَّنَا ءَاتِنَا فِي الدُّنْيَا
Wahai Tuhan kami, berilah kepada kami di dalam dunia ini;
Allah ﷻ memberitahu bahawa ada manusia yang pergi mengerjakan Haji adalah untuk keduniaan sahaja. Mereka hanya mahukan kesenangan dunia sahaja. Mereka hanya minta ‘dunia’, bukan ‘kebaikan’ di dunia pun. Mereka tidak kisah pun apa yang mereka dapat itu baik untuk agama atau pun tidak, asalkan dapat sahaja. Zaman Jahiliyyah dahulu, antaranya mereka minta tahun itu kesuburan tanah, hujan, anak dan sebagainya. Zaman sekarang pun ramai yang seperti itu juga. Mereka minta projek kerajaan, rezeki yang banyak, kejayaan dalam perniagaan, anak, pasangan dan bermacam-macam hal keduniaan lagi.
Allah ﷻ menegur ramai yang berdoa begini. Sampai mereka buat sembahyang hajat di Mekah semata-mata hendakkan hal dunia. Ada yang pergi Umrah, sebab hendak kahwin, siap pergi dengan pasangannya yang mereka belum kahwin lagi. Atau ramai yang berdoa di sana kerana hendakkan projek kerajaan. Tidaklah salah kita minta hal dunia, tetapi kita kena banyakkan lagi minta hal akhirat. Dalam ayat ini, mereka minta hal dunia sahaja. Nanti kita akan bandingkan dengan doa orang yang pandai.
Memang Allah ﷻ suruh kita berdoa dalam semua perkara. Sampaikan kalau tali kasut terputus pun, ada hadith Nabi ﷺ kata hendaklah berdoa kepada Allah ﷻ. Namun begitu kita berdoa kenalah ada kepentingan akhirat melebihi dunia. Kena lebihkan tentang akhirat. Jangan lebihkan tentang dunia sahaja. Kepentingan kita sepatutnya tentang akhirat.

وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ خَلَـٰقٍ
maka tidak ada bagi orang itu, bahagian di akhirat, apa-apa balasan baik pun;
Mereka tidak diberikan dengan kelebihan di akhirat kerana mereka hanya mahukan hal dunia sahaja. Maknanya mereka tidak mendapat syurga. Jadi jangan sangka orang yang pergi Haji itu pasti dapat masuk syurga kerana belum tentu lagi. Kena tengok apa niatnya semasa pergi Haji itu. Jangan katakan orang pergi buat Haji, yang syahid, yang mengajar agama dan dermawan pun dimasukkan ke dalam neraka (malah mereka yang paling awal masuk) seperti disebut di dalam hadith yang amat menakutkan yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:
ويقول عليه الصلاة والسلام: (إِنَّ أَوَّلَ النَّاسِ يُقْضَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَلَيْهِ، رَجُلٌ اسْتُشْهِدَ، فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا، قَالَ: فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا؟ قَالَ: قَاتَلْتُ فِيكَ حَتَّى اسْتُشْهِدْتُ. قَالَ: كَذَبْتَ. وَلَكِنَّكَ قَاتَلْتَ لِأَنْ يُقَالَ: جَرِيءٌ، فَقَدْ قِيلَ، ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى أُلْقِيَ فِي النَّارِ. وَرَجُلٌ تَعَلَّمَ الْعِلْمَ، وَعَلَّمَهُ وَقَرَأَ الْقُرْآنَ، فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا، قَالَ: فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا؟ قَالَ: تَعَلَّمْتُ الْعِلْمَ، وَعَلَّمْتُهُ وَقَرَأْتُ فِيكَ الْقُرْآنَ. قَالَ: كَذَبْتَ، وَلَكِنَّكَ تَعَلَّمْتَ الْعِلْمَ لِيُقَالَ: عَالِمٌ، وَقَرَأْتَ الْقُرْآنَ لِيُقَالَ: هُوَ قَارِئٌ، فَقَدْ قِيلَ، ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى أُلْقِيَ فِي النَّارِ. وَرَجُلٌ وَسَّعَ اللهُ عَلَيْهِ، وَأَعْطَاهُ مِنْ أَصْنَافِ الْمَالِ كُلِّهِ، فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا، قَالَ: فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا؟ قَالَ: مَا تَرَكْتُ مِنْ سَبِيلٍ تُحِبُّ أَنْ يُنْفَقَ فِيهَا إِلَّا أَنْفَقْتُ فِيهَا لَكَ. قَالَ: كَذَبْتَ، وَلَكِنَّكَ فَعَلْتَ لِيُقَالَ: هُوَ جَوَادٌ، فَقَدْ قِيلَ، ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ، ثُمَّ أُلْقِيَ فِي النَّار)ِ. رواه مسلم (1905) .
Rasulullah ﷺ bersabda, “Orang yang pertama kali diputuskan pada hari kiamat adalah seorang laki-laki yang mati syahid di jalan Allah. Lalu dia didatangkan, kemudian Allah memperlihatkan kepadanya nikmat-Nya, maka dia pun mengenalinya. Allah berkata, ‘Apa yang telah engkau lakukan dengan nikmat itu?’ Orang tersebut berkata, ‘Aku telah berperang di jalan-Mu sampai aku mati syahid.’ Lalu Allah berkata, ‘Engkau dusta! Sebaliknya engkau melakukan itu supaya disebut sebagai seorang pemberani dan ucapan itu telah dilontarkan.’ Kemudian diperintahkan agar orang tersebut dibawa, maka dia diseret dengan wajahnya (terjerembab di tanah), sampai dia pun dilemparkan di neraka.
Kemudian ada orang yang belajar agama dan mengajarkannya, serta membaca Al-Qur’an. Lalu orang itu didatangkan, lalu Allah memperlihatkan nikmat-Nya dan orang itu pun mengenalinya. Allah berkata, ‘Apa yang telah engkau lakukan dengan nikmat itu?’ Orang itu menjawab, ‘Aku telah belajar agama, mengajarkannya dan aku telah membaca Al-Qur’an.’ Allah berkata, ‘Engkau dusta! Sebaliknya engkau belajar agama supaya disebut orang alim dan engkau membaca Al-Qur’an supaya disebut sebagai qari’ dan ucapan itu telah dilontarkan.’ Kemudian diperintahkan agar orang tersebut dibawa, maka dia pun diseret dengan wajahnya (terjerembab di tanah) sampai dia pun dilemparkan di neraka.’
Kemudian ada seorang laki-laki yang diberikan kelapangan oleh Allah (kaya) dan menganugerahinya segala macam harta. Lalu dia pun didatangkan, lalu Allah memperlihatkan nikmat-Nya itu dan orang itu pun mengenalinya. Allah berkata, ‘Apa yang telah engkau lakukan dengan nikmat itu?’ Orang itu mengatakan, ‘Aku tidak meninggalkan satu jalan pun sebagai peluang untuk berinfak melainkan aku berinfak di situ semata-mata kerana-Mu.’ Allah berkata, ‘Kau bohong! Sebaliknya kau melakukan seperti itu supaya disebut dermawan dan ucapan itu telah dilontarkan.’ Maka orang itu diperintahkan untuk dibawa, lalu dia pun diseret dengan wajahnya (terjerembab di tanah), kemudian dia dilemparkan di neraka.”
(Sahih Muslim No. 1905)
Kenapa Allah ﷻ mengutuk mereka yang hanya minta dunia sahaja? Kalimah الدُّنيا daripada katadasar د ن و yang bermaksud dekat; lebih rendah; kurang; lebih berkemungkinan; dalam jangkauan; dunia ini. Maka dunia ini sebenarnya rendah jika hendak dibandingkan dengan akhirat. Akan tetapi ia adalah dalam jangkauan, senang didapati kerana di depan mata kita sahaja.
Ramai manusia salah faham dengan dunia. Orang kafir, orang munafik dan orang yang ingkar itu amat suka dan bergembira dengan nikmat yang mereka dapat di dunia. Mereka sangka mereka itu orang terpilih, sedangkan sebenarnya pemberian yang mereka dapat itu adalah istidraj daripada Allah ﷻ – bukan mendekatkan mereka kepada Allah ﷻ, malah menjauhkan lagi daripada Allah ﷻ. Ini kita dapat faham melalui firman-Nya:
أَيَحْسَبُونَ أَنَّمَا نُمِدُّهُمْ بِهِ مِنْ مَالٍ وَبَنِينَ نُسَارِعُ لَهُمْ فِي الْخَيْرَاتِ بَل لَا يَشْعُرُونَ
Apakah mereka mengira bahawa harta dan anak-anak yang Kami berikan kepada mereka itu (bererti bahawa) Kami bersegera memberikan kebaikan kepada mereka? Tidak, sebenarnya mereka tidak sedar.
(Al-Mu’minun: 55-56)
Ramai yang kalah dengan keindahan dunia. Mereka hanya nampak semuanya dunia, dunia, dunia. Mereka tidak nampak akhirat kerana jauh sangat daripada pandangan mata (malah tidak nampak pun kecuali melalui berita wahyu sahaja). Maka kerana itu Allah ﷻ berulang-ulang menerangkan hakikat dunia ini seperti disebut dalam Hadid: 20
اعلَموا أَنَّمَا الحَيَوٰةُ الدُّنيا لَعِبٌ وَلَهوٌ وَزينَةٌ وَتَفاخُرٌ بَينَكُم وَتَكاثُرٌ فِي الأَموٰلِ وَالأَولٰدِ ۖ كَمَثَلِ غَيثٍ أَعجَبَ الكُفّارَ نَباتُهُ ثُمَّ يَهيجُ فَتَرٰهُ مُصفَرًّا ثُمَّ يَكونُ حُطٰمًا
Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur.
Allah ﷻ hendak memastikan kita tahu bahawa dunia ini hanyalah ‘permainan’ sahaja. ‘Permainan’ ini selalunya dikaitkan dengan kanak-kanak kerana itulah sahaja yang mereka ingat dalam kehidupan mereka. Mereka tidak fikirkan tentang makan, tentang kerja, tentang tugas, kerana mereka hanya hendak bermain saja. Kanak-kanak itu beriya-iya sangat bermain permainannya, sampai masanya dia tinggalkan sahaja. Maknanya ia tidak penting dan tidak bernilai, bukan?
Baqarah Ayat 201: Allah ﷻ tegur cara berdoa yang salah dalam ayat sebelum ini dan mengajar cara doa yang betul di dalam ayat ini:
وَمِنهُم مَّن يَقولُ رَبَّنا ءَاتِنَا فِي الدُّنيا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنا عَذابَ النّارِ
But among them is he who says, “Our Lord, give us in this world [that which is] good and in the Hereafter [that which is] good and protect us from the punishment of the Fire.”
Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami daripada azab neraka”.
وَمِنْهُمْ مَّنْ يَقُولُ
Dan ada di antara mereka yang berdoa:
Ini adalah cara berdoa yang betul. Doa ini pun kita selalu sangat baca. Sekarang kita kena faham apakah maksud doa ini supaya kita lebih khusyuk semasa menyebutnya.
رَبَّنَا ءَاتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً
Wahai Tuhan kami, berilah kepada kami di dunia ini, kebaikan;
Orang yang beriman dan mukmin, cara berdoa pun mereka pandai. Lihatlah apakah perkataan yang digunakan: dia tidak minta ‘dunia’, tetapi ‘kebaikan di dunia’. Sebelum ini telah disebut orang yang bodoh itu hanya sebut رَبَّنَا ءَاتِنَا فِي الدُّنْيَا. Ada beza antara keduanya kerana orang yang pandai dalam berdoa sebut حَسَنَةً di dalam dunia.
Kebaikan apakah yang paling baik sekali? Ada berbagai pendapat tentang apakah maksud حَسَنَةً itu. Hasanah di sini yang paling utama adalah: Al-Qur’an dan Hadith. Iaitu ilmu kefahaman Al-Qur’an dan Hadith. Kerana dengan ilmu yang dua itu, akan selesai segala perkara agama kepada kita. Itulah hasanah yang terbaik. Ia bermula dari situ. Dengan memahami Al-Qur’an dan Hadith, kita akan faham agama keseluruhannya. Akan tetapi ramai yang apabila mereka doa begini, mereka sangka mereka meminta harta dan kesenangan dunia. Jadi kena betulkan semula niat dalam hati kita semasa berdoa, supaya kita niatkan bahawa apa yang kita hendak minta itu adalah ilmu Al-Qur’an dan Hadith. Kerana ramai yang berdoa menggunakan ayat ini, tetapi mereka salah faham tentang makna doa ini.
Ada lagi tafsir lain bagi maksud حَسَنَةً ini: Ia adalah perkara yang kita boleh buat dan boleh mendapat pahala yang berpanjangan walaupun kita sudah mati. Ini seperti hadith riwayat Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:
إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
“Apabila matinya seseorang insan maka akan terputuslah amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan juga anak soleh (atau solehah) yang mendoakan kepada untuk ibubapanya.”
(Riwayat Muslim No. 1631)
Ia bermaksud sedekah jariah dan ilmu yang diajarkan kepada orang lain. Lebih-lebih lagi ilmu tafsir Al-Qur’an yang sepatutnya diajar kepada orang lain untuk dimanfaatkan. Kemudian ilmu diajar pula kepada orang lain dan yang mula mengajar itu pun akan mendapat pahala itu juga. Oleh itu, walaupun dia sudah mati tetapi ilmu itu boleh disambungkan kepada orang lain dan dia akan mendapat pahala yang berpanjangan. Sedekah jariah pula adalah sedekah yang berpanjangan. Sebagai contoh, kita infak duit untuk dibuat masjid. Setiap kali masjid itu digunakan, kita akan mendapat pahala.
Ada yang mengatakan yang ia bermaksud isteri yang solehah kerana isteri yang solehah boleh mengasuh anak mereka sampai menjadi anak yang soleh yang akan mendoakan untuk mereka dan beramal dengan apa yang diajar sehingga si ayah dan si ibu akan mendapat pahala yang berpanjangan walaupun mereka sudah tiada. Isteri yang solehah pula mudah untuk diajar kefahaman agama kepada mereka sampaikan boleh memberi kebaikan yang banyak. Kerana ilmu agama yang awal hendaklah diberikan kepada anak-anak semasa di rumah lagi dan untuk itu memerlukan ibu yang solehah yang boleh membimbing anaknya itu. Sebelum mereka mendapat yang ajaran yang tidak benar di luar, ibu mereka telah menanamkan ilmu agama yang benar ke dalam jiwa mereka. Namun kenalah ingat bahawa ibu yang solehah itu mendapat ajaran agama daripada bapa yang soleh juga, maka hendaklah kita sebagai orang lelaki memberi pengajaran agama kepada keluarga kita.
Ada sahabat yang kata kebaikan dunia yang dimaksudkan adalah anak yang soleh yang dapat menyambung kerja dan perjuangan ayahnya dalam agama.
Ada yang memberi maksud yang luas lagi seperti kesihatan dan lain-lain. Asalkan ia membawa kepada kebaikan akhirat. Contohnya kesihatan kerana dengan kesihatan, dapat melakukan ibadah dengan banyak. Atau kenderaan kerana dengan kenderaan ia boleh membawa untuk belajar ilmu dan mengajar. Jadi kita boleh panjangkan kepada segala perkara yang walaupun ia tentang keduniaan, tetapi sebenarnya ia membawa kepada akhirat. Jadi kalau kita pandai, kita akan dapatkan hal dunia yang ada kebaikan untuk akhirat juga.
Ada orang yang salah faham dengan doa ini dengan mengatakan Allah ﷻ suruh cari dunia dahulu. Ini adalah tersilap kerana Allah ﷻ bukan suruh minta dunia, tetapi ‘kebaikan’ di dunia. Kita juga telah sebutkan yang kebaikan itu yang membawa kepada kebaikan di akhirat. Jadi kesimpulannya, ia ke arah akhirat juga.
وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً
dan kebaikan di akhirat;
Kita minta kebaikan yang paling baik, iaitu Syurga. Kena minta dimasukkan ke dalam syurga. Bukan setakat itu sahaja tetapi segala perkara yang berkenaan akhirat yang bermula dengan kematian. Dalam kubur lagi kita minta dipermudahkan.
عَنْ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ قَالَ خَرَجْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي جَنَازَةِ رَجُلٍ مِنْ الْأَنْصَارِ فَانْتَهَيْنَا إِلَى الْقَبْرِ وَلَمَّا يُلْحَدْ فَجَلَسَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَجَلَسْنَا حَوْلَهُ كَأَنَّمَا عَلَى رُءُوسِنَا الطَّيْرُ وَفِي يَدِهِ عُودٌ يَنْكُتُ بِهِ فِي الْأَرْضِ فَرَفَعَ رَأْسَهُ فَقَالَ اسْتَعِيذُوا بِاللَّهِ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلَاثًا زَادَ فِي حَدِيثِ جَرِيرٍ هَاهُنَا وَقَالَ وَإِنَّهُ لَيَسْمَعُ خَفْقَ نِعَالِهِمْ إِذَا وَلَّوْا مُدْبِرِينَ حِينَ يُقَالُ لَهُ يَا هَذَا مَنْ رَبُّكَ وَمَا دِينُكَ وَمَنْ نَبِيُّكَ قَالَ هَنَّادٌ قَالَ وَيَأْتِيهِ مَلَكَانِ فَيُجْلِسَانِهِ فَيَقُولَانِ لَهُ مَنْ رَبُّكَ فَيَقُولُ رَبِّيَ اللَّهُ فَيَقُولَانِ لَهُ مَا دِينُكَ فَيَقُولُ دِينِيَ الْإِسْلَامُ فَيَقُولَانِ لَهُ مَا هَذَا الرَّجُلُ الَّذِي بُعِثَ فِيكُمْ قَالَ فَيَقُولُ هُوَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَقُولَانِ وَمَا يُدْرِيكَ فَيَقُولُ قَرَأْتُ كِتَابَ اللَّهِ فَآمَنْتُ بِهِ وَصَدَّقْتُ زَادَ فِي حَدِيثِ جَرِيرٍ فَذَلِكَ قَوْلُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ { يُثَبِّتُ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا } الْآيَةُ ثُمَّ اتَّفَقَا قَالَ فَيُنَادِي مُنَادٍ مِنْ السَّمَاءِ أَنْ قَدْ صَدَقَ عَبْدِي فَأَفْرِشُوهُ مِنْ الْجَنَّةِ وَافْتَحُوا لَهُ بَابًا إِلَى الْجَنَّةِ وَأَلْبِسُوهُ مِنْ الْجَنَّةِ قَالَ فَيَأْتِيهِ مِنْ رَوْحِهَا وَطِيبِهَا قَالَ وَيُفْتَحُ لَهُ فِيهَا مَدَّ بَصَرِهِ قَالَ وَإِنَّ الْكَافِرَ فَذَكَرَ مَوْتَهُ قَالَ وَتُعَادُ رُوحُهُ فِي جَسَدِهِ وَيَأْتِيهِ مَلَكَانِ فَيُجْلِسَانِهِ فَيَقُولَانِ لَهُ مَنْ رَبُّكَ فَيَقُولُ هَاهْ هَاهْ هَاهْ لَا أَدْرِي فَيَقُولَانِ لَهُ مَا دِينُكَ فَيَقُولُ هَاهْ هَاهْ لَا أَدْرِي فَيَقُولَانِ مَا هَذَا الرَّجُلُ الَّذِي بُعِثَ فِيكُمْ فَيَقُولُ هَاهْ هَاهْ لَا أَدْرِي فَيُنَادِي مُنَادٍ مِنْ السَّمَاءِ أَنْ كَذَبَ فَأَفْرِشُوهُ مِنْ النَّارِ وَأَلْبِسُوهُ مِنْ النَّارِ وَافْتَحُوا لَهُ بَابًا إِلَى النَّارِ قَالَ فَيَأْتِيهِ مِنْ حَرِّهَا وَسَمُومِهَا قَالَ وَيُضَيَّقُ عَلَيْهِ قَبْرُهُ حَتَّى تَخْتَلِفَ فِيهِ أَضْلَاعُهُ زَادَ فِي حَدِيثِ جَرِيرٍ قَالَ ثُمَّ يُقَيَّضُ لَهُ أَعْمَى أَبْكَمُ مَعَهُ مِرْزَبَّةٌ مِنْ حَدِيدٍ لَوْ ضُرِبَ بِهَا جَبَلٌ لَصَارَ تُرَابًا قَالَ فَيَضْرِبُهُ بِهَا ضَرْبَةً يَسْمَعُهَا مَا بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ إِلَّا الثَّقَلَيْنِ فَيَصِيرُ تُرَابًا قَالَ ثُمَّ تُعَادُ فِيهِ
Daripada Al Bara bin Azib رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dia berkata, “Kami bersama Rasulullah ﷺ keluar untuk melihat jenazah seorang lelaki Ansar, kami pun tiba di perkuburan. Ketika lubang lahad telah dibuat, Rasulullah ﷺ duduk, lalu kami ikut duduk di sisinya. Kami diam, seakan-akan di atas kepala kami ada burung. Saat itu baginda memegang sebatang kayu yang ditancapkan ke dalam tanah, baginda lalu mengangkat kepalanya dan bersabda:
“Mintalah perlindungan kepada Allah daripada seksa kubur.” Baginda ucapkan kalimat itu hingga dua atau tiga kali. Demikianlah tambahan dalam hadith Jarir.
Baginda menyambung: “Sungguh, mayat itu akan dapat mendengar bunyi tapak selipar mereka ketika berpaling pulang; iaitu ketika ditanyakan kepadanya, ‘Wahai orang yang ditanya ini,
Siapa Rabbmu?
Apa agamamu?
Dan siapa Nabimu?’
-Hannad menyebutkan; Baginda bersabda: – “lalu ada dua malaikat mendatanginya kemudian mendudukkannya. Malaikat itu bertanya,
“Siapa Rabbmu?” dia menjawab, “Rabbku adalah Allah.” Malaikat itu bertanya lagi,
“Apa agamamu?” dia menjawab, “Agamaku adalah Islam.” Malaikat itu bertanya lagi,
“Siapa lelaki ini yang diutus kepada kamu semua?” Dia menjawab, “Dia adalah Rasulullah ﷺ.” Malaikat itu bertanya lagi,
“Apa (cara yang kamu lakukan sehingga) kamu ketahui (cara untuk menjawab soalan tadi)?” Dia menjawab,
“Aku membaca Kitabullah, aku beriman (mempelajari) dengannya dan membenarkannya (menyebarkannya).”
Dalam hadith Jarir menambahkan, “Maka inilah makna firman Allah:
“Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman…” hingga akhir ayat Ibrahim: 27
Kemudian kedua perawi sepakat pada lafaz, “Baginda bersabda: “Kemudian ada suara dari langit yang menyeru, “Benarlah apa yang dikatakan oleh hamba-Ku, hamparkanlah permaidani untuknya di syurga, bukakan untuknya pintu-pintu syurga dan berikan kepadanya pakaian syurga.” Baginda melanjutkan: “Kemudian didatangkan kepadanya wewangian syurga, lalu kuburnya diluaskan sejauh mata memandang.” Baginda melanjutkan:
“Jika yang meninggal adalah orang kafir, maka rohnya akan dikembalikan kepada jasadnya. Saat itu datanglah dua malaikat seraya mendudukkannya. Kedua malaikat itu bertanya,
“Siapa Rabbmu?” Dia menjawab, “Hah, hah, hah. Aku tidak tahu.” Malaikat itu bertanya,
“Apa agamamu?” Dia menjawab, “Hah, hah. Aku tidak tahu.” Malaikat itu bertanya lagi,
“Siapa lelaki yang diutus kepada kalian ini? ‘ Dia menjawab, “Hah, hah. Aku tidak tahu.”
Setelah itu terdengar suara dari langit: “Dia telah berdusta. Berilahd ia hamparan permaidani dari neraka, berikan pakaian dari neraka, dan bukakanlah pintu-pintu neraka untuknya.” Baginda melanjutkan: “Kemudian didatangkan kepadanya panas dan baunya neraka. Lalu kuburnya disempitkan hingga tulangnya saling berhimpitan.” Dalam hadith Jarir ditambahkan,
“Baginda bersabda: “Lalu dia dibelenggu dalam keadaan buta dan bisu. Dan baginya disediakan sebuah pemukul daripada besi, sekiranya pemukul itu dipukulkan pada sebuah gunung nescaya akan menjadi debu.” Baginda melanjutkan:
“Lelaki kafir itu kemudian dipukul dengan pemukul tersebut hingga suaranya dapat didengar oleh semua makhluk; dari hujung timur hingga hujung barat -kecuali jin dan manusia- hingga menjadi debu.” Baginda meneruskan ceritanya: “Setelah itu, rohnya dikembalikan lagi.”
(HR Abu Daud Kitab as Sunnah fil Mas-alati fil Qabri wa ‘Azabil Qabri)
Semoga kita diberikan nikmat melihat syurga tempat kita walaupun di dalam kubur.
Daripada Abdullah bin Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, Rasulullah ﷺ bersabda:
إِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا مَاتَ عُرِضَ عَلَيْهِ مَقْعَدُهُ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ إِنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَمِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ وَإِنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ النَّارِ فَيُقَالُ هَذَا مَقْعَدُكَ حَتَّى يَبْعَثَكَ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Setiap seorang daripada kamu, manakala telah mati akan diperlihatkan kepadanya kedudukan tempatnya setiap pagi dan petang. Jika dia daripada ahli syurga maka (akan diperlihatkan seperti) ahli syurga dan jika dia ahli neraka maka daripada ahli neraka. Dikatakan kepadanya, “Inilah tempatmu sehingga dibangkitkan semula pada hari kiamat.”
(Riwayat al-Bukhari No. 1379 dan Muslim No. 2866)
Juga supaya dimasukkan ke dalam golongan yang masuk ke syurga tanpa hisab seperti disebut dalam hadith yang diriwayatkan daripada Imran bin al-Husain رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi ﷺ bersabda:
يَدْخُلُ الجَنَّةَ مِن أُمَّتي سَبْعُونَ ألْفًا بغيرِ حِسابٍ، قالوا: مَن هُمْ يا رَسولَ اللهِ؟ قالَ: هُمُ الَّذِينَ لا يَسْتَرْقُونَ، ولا يَتَطَيَّرُونَ، ولا يَكْتَوُونَ، وعلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
“Tujuh puluh ribu daripada umatku akan masuk syurga tanpa hisab.” Para sahabat bertanya: “Siapakah mereka wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Mereka adalah orang-orang yang tidak minta diruqyah, tidak mengamalkan tatayyur, tidak menggunakan pengubatan dengan besi (yang dilarang) dan mereka selalu bertawakal pada Rabbnya.”
(Riwayat al-Bukhari No. 5752 dan Muslim No. 220)
Alam akhirat itu lebih penting daripada dunia. Sebenarnya kita kena lebihkan minta tentang akhirat melebihi tentang dunia. Perhatikan doa ini, bukannya kita minta ‘dunia’ tetapi ‘kebaikan di dunia’. Sebenarnya hal dunia ini Allah ﷻ telah sediakan untuk kita, jadi tidak perlu teruk-teruk sangatlah mencarinya. Yang kita kena cari dan lebih banyak usaha adalah tentang akhirat. Perhatikan Qasas: 77
وَابتَغِ فيما ءآتٰكَ اللهُ الدّارَ الآخِرَةَ ۖ وَلا تَنسَ نَصيبَكَ مِنَ الدُّنيا
Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu untuk negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) duniawi
Ayat ini sebenarnya Allah ﷻ suruh kejar akhirat, bukannya kejar dunia. Jadi secara ringkasnya, ia jadi begini وَابتَغِ الدّارَ الآخِرَةَ (Carilah negeri akhirat itu). Akan tetapi gunakanlah dunia فيما ءآتٰكَ اللهُ (dengan apa yang Allah telah berikan). Maknanya dunia ini Allah ﷻ telah siap berikan kepada kita, rezeki semua sudah ditentukan. Namun kenapa Allah ﷻ kata وَلا تَنسَ نَصيبَكَ مِنَ الدُّنيا (dan janganlah kamu melupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) duniawi)? Seolah-olah tekankan dunia pula. Allah ﷻ sebut begini kerana ada orang yang terlalu lebihkan akhirat, sampai mereka terlupa langsung tentang dunia, makan pakai mereka, anak isteri mereka. Jadi Allah ﷻ kena ingatkan kepada mereka: dalam kamu mencari akhirat itu, sesekali tengoklah dunia juga. Maknanya akhirat lebih penting lagi. Yang kita pula terbalik. Sebagai contoh ada emak nasihat kepada anak dia, “kau ni kerja-kerja juga, tapi janganlah lupa solat!”. Nasihat ini nampak bagus, bukan? Namun perhatikan ayatnya – dia sebenarnya suruh jadikan akhirat itu sebagai sampingan sahaja, bukannya yang utama.
Ada juga yang salah dengan berkata: dunia dan akhirat kena seimbang. Mana boleh seimbang kerana Allah ﷻ sendiri kata yang akhirat itu lebih baik dan lebih kekal. Takkan sama duit 10 ringgit dan sejuta! Allah ﷻ berfirman di dalam A’la: 17
وَالآخِرَةُ خَيرٌ وَأَبقىٰ
Sedangkan kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.
وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
dan selamatkanlah kami daripada azab api Neraka;
Kenapa kita minta diselamatkan daripada api neraka sedangkan kita sudah minta dimasukkan ke dalam syurga? Kerana tidak sama kalau minta masuk syurga sahaja. Ada orang yang masuk syurga, tetapi mereka kena masuk neraka terlebih dahulu untuk membersihkan dosa-dosa mereka. Jadi, doa ini dilengkapkan dengan permintaan ketiga – diselamatkan daripada api neraka. Kita berharap semoga kita tidak langsung dimasukkan ke dalam neraka walau sesaat pun. Tidaklah kita mahu lihat, dengar dan hidu bau neraka itu langsung.
Nabi ﷺ tidak pernah lupa untuk membaca doa ini, maka kita pun kenalah selalu amalkan doa ini. Namun begitu janganlah kita sangka hendakkan kemewahan kesenangan di dunia sahaja. Bukan tidak boleh minta, tetapi doalah selepas itu. Jangan sentiasa doa berkenaan dunia sahaja kerana itu adalah doa orang kafir. Mereka hanya minta berkenaan dunia sahaja. Janganlah doa kita hanya berindukkan dunia sahaja. Dalil inilah doa yang selalu dibaca oleh Rasulullah ﷺ,
حَدَّثَنَا أَبُو مَعْمَرٍ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْوَارِثِ عَنْ عَبْدِ الْعَزِيزِ عَنْ أَنَسٍ قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ اللَّهُمَّ { رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ }
Daripada Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dia berkata; Nabi ﷺ selalu berdoa; “RABBANAA AATINA FID DUNYA HASANATAN WA FIL AKHIRATI HASANAH WAQIAN ADZABAN NAAR (Ya Allah berilah kami kebaikan di dunia dan di akhirat, dan lindungilah kami dari azab neraka).”
(Sahih Bukhari No. 4160)
Kita kena ingat bahawa doa itu hanya diterima jikalau kita tidak melakukan syirik kepada Allah ﷻ.
Inilah sahaja doa yang tsabit daripada Nabi ﷺ yang dibaca oleh baginda semasa melakukan tawaf. Tidak ada doa yang lain. Semasa kita tawaf di Kaabah, kita boleh senyap sahaja, atau kita boleh membaca doa-doa yang lain. Walau bagaimanapun kalau kita mahu doa yang tsabit daripada Nabi ﷺ, inilah doa yang baginda baca. Jadi, disunatkan untuk membaca doa ini semasa kita tawaf antara Rukun Yamani dan Hajarul Aswad. Atau boleh juga baca doa ini sepanjang kita tawaf. Tidak perlu buka buka-buku zikir yang agensi bagi sampai berjenis-jenis doa yang hendak dibaca.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 16 Januari 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

terima kasih sentiasa masuk mailbox, at least bole baca setiap kali dpt. Selalunya xde nak bukak celiktafsir.net(sebab pemalas huhu)
LikeLike
Terima kasih sebab comment awak ini saya terfikir untuk buat posting newsletter kepada subscriber setiap kali saya update posting. Sebenarnya kami sedang di dalam proses editing post-post yang lama.
LikeLike