Tafsir Surah Mulk Ayat 13 – 15 (Allah ‎ﷻ beri kemudahan kepada kita)

SOALAN 1: ADAKAH ALLAH ‎ﷻ TIDAK TAHU MAKHLUKNYA?

Mulk Ayat 13: Sekarang Allah ‎ﷻ memberikan lagi dalil tambahan tentang kuasa-Nya. Allah ‎ﷻ sedang bercakap dengan menggunakan kata-ganti kedua pula dalam ayat ini. Di sini Allah ‎ﷻ hendak memberitahu tentang Sifat-Nya yang Maha Mendengar.

Ayat 13 – 17 adalah Perenggan Makro Keempat. Ia menceritakan Kebenaran Tauhid. Ketahui dan yakinkan sifat-sifat Allah ‎ﷻ yang Maha Mengetahui, Maha Pencipta yang boleh menghancurkan bumi dan segala isinya.

Sementara ulama’ menyebutkan bahawa ketika turunnya ayat-ayat yang sebelum ini kaum musyrikin saling menyarankan supaya jika mereka berbicara agar berbisik-bisik, sehingga tidak didengar oleh Tuhan Muhammad. Saranan mereka itu dijawab Allah ‎ﷻ di sini.

وَأَسِرّوا قَولَكُم أَوِ اجهَروا بِهِ ۖ إِنَّهُ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ

Sahih International

And conceal your speech or publicize it; indeed, He is Knowing of that within the breasts.

Malay

Dan tuturkanlah perkataan kamu dengan perlahan atau dengan nyaring, (sama sahaja keadaannya kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.

 

وَأَسِرُّوا قَوْلَكُمْ

Dan sembunyikanlah kata-kata kamu;

Iaitu kamu cakaplah dengan perlahan, dengan rahsia atau berbisik kepada orang lain. Kalimah سِرُّ bermaksud ‘cakap dengan perlahan’, contohnya kita berbisik kepada orang lain. Dengan harapan supaya orang lain tidak dengar. Perkataan أَسِرُّوا adalah ayat dalam bentuk perintah. Allah ‎ﷻ cabar kita dalam ayat ini. Allah ‎ﷻ cabar kita untuk cakap berbisik dengan orang lain, tengoklah Allah ‎ﷻ tahu atau tidak.

Kalimah أَسِرُّوا di dalam bentuk fi’il amr (perintah) akan tetapi bukan itulah dimaksudkan di sini. Ini dalam bentuk perintah akan tetapi bermakna khabar. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu ilmu-Nya di sini. Allah ‎ﷻ mahu kita tahu.

 

أَوِ اجْهَرُوا بِهِ

atau kamu zahirkan;

Perkataan جهر bermaksud bercakap dengan kuat iaitu jahrkan perkataan kamu. Senyap atau terang-terangan, sebenarnya sama sahaja bagi Allah ‎ﷻ. Cakap perlahan, berbisik, cakap dengan kuat pun, Allah ‎ﷻ dengar semuanya.

 

إِنَّهُ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ

sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang dalam lipatan hati-hati kamu;

Sama ada kita kata dengan jelas atau tidak, Allah ‎ﷻ tahu. Macam kita baca doa, ada dalam hati yang kita tidak sebutkan, tetapi Allah ‎ﷻ tahu. Malah yang tidak dikatakan dalam hati pun Allah ‎ﷻ tahu. Sebagimana ada yang kita cakap dalam hati, tetapi ada yang kita tidak cakap dalam hati pun iaitu ‘lintasan hati’. Itu pun Allah ‎ﷻ tahu. Sebelum kita cakap lagi, Allah ‎ﷻ sudah tahu apa yang kita hendak cakap. Maka ini mengajar kita yang Allah ‎ﷻ tahu ikhlas atau tidak dalam hati manusia. Sedarlah Allah ‎ﷻ tahu niat sebenar kita melakukan sesuatu itu. Maka kerana itu nanti ramai manusia akan melihat amal kebaikannya menjadi debu sahaja seperti disebut di dalam Furqan: 23 kerana tidak ikhlas.

وَقَدِمنا إِلىٰ ما عَمِلوا مِن عَمَلٍ فَجَعَلنٰهُ هَباءً مَّنثورًا
Dan kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan.

Apakah kesannya kepada kita yang membaca ayat ini? Orang yang mengetahui dan menjiwai ayat ini, tentunya hendak memikirkan tentang buat maksiat pun dia takut kerana dia tahu yang Allah ‎ﷻ mengetahui apa yang ada dalam hatinya. Tentu dia malu dengan Allah ‎ﷻ. Jangan kata hendak buat, mahu dirancang untuk buat pun sudah segan.

Dalam ayat ini Allah ‎ﷻ memuji Diri-Nya yang Maha Mengetahui. Dia Maha Tahu apa sahaja yang berlaku dalam alam ini. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu perkara ghaib, hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu apa yang ada dalam hati manusia. Jadi jangan kita kata ada jin tahu dalam hati manusia, ada guru yang boleh baca hati kita, dan sebagainya. Itu adalah fahaman syirik kerana apabila Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu, kemudian kalau kita kata ada selain Allah ‎ﷻ yang tahu, maka itu adalah fahaman syirik. Ini kerana kita telah meletakkan kuasa Allah ‎ﷻ pada makhluk. Malangnya, ada juga orang kita yang takut bersalam dengan guru dan ustaz, kerana takut guru atau ustaz itu boleh tahu apa yang ada dalam diri mereka, niat buruk mereka, amalan dosa mereka. Ini amat karut sekali.

Ayat ini juga mengajar kita bahawa apabila menyebut dan menyeru nama Allah dalam zikir tidak perlu kuat-kuat kerana Allah ‎ﷻ maha mendengar. Terdapat kumpulan sufi tarekat reka fahaman baru iaitu kena zikir dengan kuat kerana kita ini kononnya jauh daripada Allah ‎ﷻ. Ini adalah fahaman yang salah dan datang daripada puak yang tentunya jauh daripada ilmu wahyu.


 

Mulk Ayat 14: Bagaimana Allah ‎ﷻ boleh tahu apa yang ada dalam hati kita?

أَلا يَعلَمُ مَن خَلَقَ وَهُوَ اللَّطيفُ الخَبيرُ

Sahih International

Does He who created not know, while He is the Subtle, the Acquainted?

Malay

Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Dia Maha Halus urusan Pentadbiran-Nya, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya!

 

أَلَا يَعْلَمُ مَنْ خَلَقَ

Tidakkah yang menciptakan itu tidak tahu?;

Ini adalah soalan dalam bentuk soalan yang retorik. Digunakan di sini untuk kita berfikir. Sudah memang Allah ‎ﷻ yang menjadikan makhluk dan segala alam ini, tentulah Dia mengetahui segala-galanya. Jadi Allah ‎ﷻ juga hendak memberitahu yang Dialah yang Maha Pencipta.

Kita memang boleh fikir sendiri bagaimana ayat ini menunjukkan kekuasaan Allah ‎ﷻ. Iman bukanlah sesuatu yang hanya percaya buta-buta sahaja. Kita boleh gunakan akal fikiran kita dengan melihat kejadian kita sendiri. Untuk faham lagi, lihat analogi ini: kalau pencipta telefon, tentulah dia tahu luar dalam tentang telefon itu, sebab dia yang cipta dan buat telefon itu, bukan? Lalu, bagaimana dengan Allah ‎ﷻ yang menjadikan kita? Tentulah Dia tahu luar dalam tentang diri kita, malah lebih lagi. Lihatlah bagaimana dengan menggunakan akal fikiran, kita boleh capai kepada tahap keimanan yang tinggi. Itulah maksudnya agama Islam ini tidak meninggalkan akal. Agama Islam ini sesuai dengan akal.

Inilah beza Allah ‎ﷻ dengan makhluk. Kita ini kalaulah mempunyai anak cucu yang ramai, nama cucu pun kita ingat dan tersasul bila sebut. Akan tetapi Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui setiap makhluk-Nya. Kita tidak terlepas daripada pengawasan-Nya.

Maka, pemahaman makna ayat ini adalah: tidakkah yang menjadikan makhluk itu mengetahui? Namun begitu penggunaan perkataan مَن boleh juga disandarkan kepada ‘Allah’ dan boleh juga disandarkan kepada ‘makhluk’. Oleh itu, kalau disandarkan perkataan من itu kepada makhluk, ia boleh diterjemahkan sebegini: Tidakkah Allah ‎ﷻ mengetahui ‘siapa’ yang Dia telah ciptakan?

 

وَهُوَ اللَّطِيفُ

dan Dialah yang Maha Lembut;

Allah ‎ﷻ Maha Halus di dalam urusan pentadbiran-Nya. Bukanlah bermaksud Allah itu halus pula. Maksudnya Dia Maha Mengetahui perkara yang kecil-kecil, yang halus-halus pun Dia tahu. Cacing, nyamuk, lalat, virus yang kecil-kecil dan halus mulus itu pun Allah ‎ﷻ tahu dan Allah ‎ﷻ uruskan perjalanan hidup mereka.

Jadi jangan kita sangka Allah ‎ﷻ hanya tahu tentang perkara-perkara yang besar sahaja. Yang sekecil-kecilnya pun Allah ‎ﷻ tahu juga. Semua sekali Allah ‎ﷻ kawal. Perjalanan darah kita, pernafasan kita – semua Allah ‎ﷻ yang kawal. Perancangan Allah ‎ﷻ amat halus dan kita pun tidak perasan apakah penghujungnya nanti. Lihatlah kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan perjalanan hidupnya dari kecil sampailah baginda menjadi seorang menteri. Satu persatu perancangan Allah ﷻ itu membawa supaya baginda akhirnya menjadi menteri. Perancangan Allah ﷻ amatlah halus, dan kita makhluk yang lemah ini tidak nampak ke mana perancangan itu akan berakhir. Maka di hujung surah itu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata sebagaimana dinukilkan di dalam Yusuf: 100

وَقَد أَحسَنَ بي إِذ أَخرَجَني مِنَ السِّجنِ وَجاءَ بِكُم مِنَ البَدوِ مِن بَعدِ أَن نَزَغَ الشَّيطانُ بَيني وَبَينَ إِخوَتي ۚ إِنَّ رَبّي لَطيفٌ لِما يَشاءُ ۚ إِنَّهُ هُوَ العَليمُ الحَكيمُ
Dan sesungguhnya Tuhanku telah berbuat baik kepadaku, ketika Dia membebaskan aku dari penjara dan ketika membawa kamu dari dusun padang pasir, setelah syaitan merosakkan (hubungan) antaraku dan saudara-saudaraku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Lembut terhadap apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Perhatikan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyebut sifat Allah إِنَّ رَبّي لَطيفٌ لِما يَشاءُ. Baginda memuji perancangan Allah ﷻ sepanjang hidup baginda. Semasa kejadian itu semua, baginda tidak tahu apakah penghujung nasib baginda akan tetapi baginda tetap bersabar di atas iman dan yakin dengan perancangan Allah ﷻ.

 

الْخَبِيرُ

Lagi Maha Mengetahui?;

Dia Maha Mengetahui segala apa yang terjadi. Tidak ada yang dapat disembunyikan daripada-Nya. Perkataan الْخَبِيرُ bukan sahaja bermaksud ‘mengetahui’, tetapi memahami dengan mendalam. Kerana ada perkara yang kita tahu, tetapi kita tidak faham. Allah ﷻ bukan sahaja Tahu, tetapi Dia amat faham sekali.

Kedua-dua sifat Allah ﷻ ini bersesuaian dengan ayat-ayat sebelumnya. Surah ini menceritakan tentang manusia yang mengambil pengajaran (dan menjadi baik) dan manusia yang salah memilih jalan (dan menjadi rugi) dan kemudian Allah ﷻ beritahu kesan-kesan yang mereka akan hadapi daripada tindakan mereka itu di mana terdapat dua kesan berbeza: Allah ﷻ hendak memberitahu kepada kedua-dua pihak ini bahawa Allah ﷻ Maha Mengetahui. Kepada golongan yang salah, Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa Dia tahu apa yang mereka kata, apa yang mereka fikirkan dan apa yang mereka lakukan walau sekecil mana sekalipun. Allah ﷻ pasti akan balas dengan balasan yang sesuai. Kepada golongan yang baik, Allah ﷻ juga hendak memberitahu kepada mereka bahawa Dia mengetahui apakah amalan baik yang telah mereka lakukan. Allah ﷻ tidak akan mensia-siakan perbuatan baik mereka itu. Allah ﷻ akan balas dengan kebaikan yang berlipat kali ganda.

Maka sematkan di dalam hati dan benak kita yang Allah ﷻ mengetahui segala-galanya. Kalau kita kerja dengan orang, mungkin ketua kita tidak tahu apakah kebaikan yang kita lakukan. Kalau dia tidak tahu, mungkin dia tidak dapat balas dengan memberikan bonus atau naikkan gaji. Akan tetapi, dengan Allah ﷻ, kita jangan risau, Allah ﷻ tahu semuanya dan Allah ﷻ akan balas. Ini sepatutnya memberi ketenangan dan kesenangan fikiran kepada orang-orang yang beramal baik.

Habis Ruku’ 1 daripada 2 ruku’ dalam surah ini.


 

Mulk Ayat 15: Dalil Aqli. Sekarang Allah ﷻ menceritakan tentang nikmat yang telah Dia berikan kepada makhluk-Nya.

هُوَ الَّذي جَعَلَ لَكُمُ الأَرضَ ذَلولًا فَامشوا في مَناكِبِها وَكُلوا مِن رِّزقِهِ ۖ وَإِلَيهِ النُّشورُ

Sahih International

It is He who made the earth tame for you – so walk among its slopes and eat of His provision – and to Him is the resurrection.

Malay

Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah daripada rezeki-Nya; dan kepada Allah jualah  dibangkitkan hidup semula.

 

هُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ ذَلُولًا

Dialah yang menjadikan bumi untuk kamu mudah untuk dilalui;

Sekarang Allah ﷻ menceritakan tentang bumi. Memang surah ini bertukar sekejap sentuh tentang langit dan sekejap sentuh tentang bumi. Berkenaan langit kita telah diberitahu yang ada pengawal yang menjaganya, maka jin syaitan yang naik ke langit untuk mencuri maklumat di langit akan direjam dengan api. Api dunia adalah mukaddimah kepada api neraka yang mereka akan dapat nanti. Nah, sekarang apabila disebut tentang bumi, ia adalah mukaddimah nikmat-nikmat di dalam syurga. Lihat keindahan bumi ini dan bagaimana Allah ﷻ telah menjadikan bumi ini mudah untuk kita berjalan dan duduki. Kalau bumi kita ini berpaya semuanya, tentulah susah kita berjalan, kena ada kenderaan seperti bot pula untuk bergerak ke sana sini.

Tidaklah bumi itu tanahnya lembik kerana itu pun susah juga untuk dijalani kerana sudah sedang berlecak pula. Namun, tidak jadi begitu kerana Allah ﷻ memudahkan untuk kita duduk atas bumi ini. Allah ﷻlah yang membuatkan bumi kita ini mudah untuk dijelajahi. Allah ﷻ juga tidak menjadikan keseluruhan dunia ini berbukit bukau sampai susah manusia berjalan di atasnya.

Tidaklah juga Allah ﷻ jadikan bumi ini berbatu sahaja semuanya kerana kalau berbatu, tentu susah untuk kita. Sebab kalau ia keras, ia akan terkesan dengan cuaca sejuk dan panas. Kalau cuaca sejuk, ia akan menjadi terlalu sejuk dan kalau cuaca panas, ia akan menjadi terlalu panas sebab ia akan menyerap kesejukan dan kepanasan itu. Akan tetapi oleh kerana bumi itu lembut, ia tidak terkesan sangat dengan cuaca.

Allah ﷻ menjadikan bumi ini mudah untuk kita. Perkataan ذَلُولًا juga bermaksud ‘mudah untuk diuruskan’ atau ditundukkan. Bumi ini memang Allah ﷻ telah jadikan untuk kita gunakan maka kerana itu Allah ﷻ mudahkan. Kalau Dia telah jadikan untuk kita tetapi susah untuk kita usahakan, itu tidak sesuai dengan rahmat Allah ﷻ. Antara kemudahannya, telah dijadikan tanah itu lembut untuk senang kita bercucuk tanam padanya. Bayangkan kalau semua bumi ini berbatu? Tentu kita hendak menanam pun susah. Walaupun lembut, tetapi ia cukup keras untuk kita membina rumah, bangunan dan berdiri di atasnya. Allah ﷻ berikan bumi itu sudah cukup sesuai untuk kita diami. Tidak terlalu keras dan tidak terlalu lembut.

 

فَامْشُوا فِي مَنَاكِبِهَا

Maka berjalanlah kamu ke setiap pelusuk bumi itu;

Setelah Allah ﷻ jadikan bumi ini mudah untuk dilalui, Allah ﷻ menggalakkan kita berjalan padanya. Bermusafirlah padanya dan lihatlah alam ini. Yang tinggi engkau dakilah, yang rendah engkau redahlah. Di mana sahaja kamu hendak pergi, kamu boleh pergi untuk mencari rezeki dan kehidupan. Terokailah alam ini yang Allah ﷻ telah jadikan buat kita. Berjalan dan perhatikanlah alam dunia ini untuk melihat kehebatan Allah ﷻ supaya kita semakin terkesan dengan Allah ﷻ. Carilah rezeki yang Allah ﷻ telah sediakan buat kita. Jangan bermalas-malas, menganggur dan tunggu orang bagi makan sahaja sebaliknya berusahalah!

Dengan kemajuan teknologi moden ini, semakin banyak tempat yang boleh diteroka oleh umat manusia. Manusia boleh mencari berbagai-bagai sumber dari alam ini. Ramai yang takut makanan tidak cukup, tetapi Allah ﷻ telah jadikan fikiran dan minda kita ini bijak untuk mencari jalan mencari rezeki, asalkan kita mahu berusaha.

Perkataan مَنَاكِبِ dari segi bahasa, bermaksud ‘bahu’. Bahu itu berada di tepi tubuh kita. Bermaksud Allah ﷻ menyuruh kita berjalan di tepian bumi ini. Perkataan مَنَاكِبِ boleh juga bermaksud bahu binatang yang dijadikan tunggangan semasa bermusafir. Ini adalah kerana kalau kita duduk di atas binatang, dikatakan di bahagian bahunya. Sebagaimana Allah ﷻ telah jinakkan bumi, maka begitulah Allah ﷻ jinakkan binatang sampai kita boleh menaikinya dan mengawal pergerakannya supaya boleh kita tunggang.

Kalimah مَنَاكِبِ juga boleh bermaksud gunung-ganang kerana seperti juga bahu yang terbonjol keluar, gunung-ganang juga begitu. Oleh itu, ia boleh bermaksud, kita juga boleh mendaki gunung-ganang itu. Ibnu Abbas, Mujahid, As-Saddi, dan Qatadah mengatakan bahawa مَنَاكِبِ ertinya daerah-daerah yang jauh, daerah-daerah pedalamannya, dan seluruh kawasannya. Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا dan Qatadah رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan pula bahawa مَنَاكِبِ ertinya gunung-ganangnya.

Di sini Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah امْشُوا untuk membawa maksud berjalan. Akan tetapi ada beberapa lagi kalimah untuk berjalan yang digunakan di dalam Al-Qur’an yang membawa konotasi berbeza. Ada jalan yang tenang-tenang seperti disebut di dalam Nahl: 36

فَسيروا فِي الأَرضِ فَانظُروا كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ المُكَذِّبينَ
Maka berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul).

Jadi امْشُوا adalah berjalan tenang-tenang sahaja kerana ia tentang kehidupan dunia. Namun begitu apabila tentang mendapatkan bukti, Allah ‎ﷻ suruh فَسيروا yang bermaksud lebih lagi cara berjalannya. Apabila mendapatkan keampunan Allah ‎ﷻ dan syurga pula, Allah ‎ﷻ suruh lebih laju seperti disebut di dalam Ali Imran: 133

وَسارِعوا إِلىٰ مَغفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُم وَجَنَّةٍ
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga

Untuk mentaati Allah ‎ﷻ, mestilah laju lagi seperti disebut di dalam Dzariyat: 50

فَفِرّوا إِلَى اللهِ
Maka segeralah kembali kepada (mentaati) Allah.

Apabila mengerjakan Solat Jumaat pun disuruh kita bersegera seperti disebut di dalam Jumuah: 9

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِذا نودِيَ لِلصَّلوٰةِ مِن يَومِ الجُمُعَةِ فَاسعَوا إِلىٰ ذِكرِ اللَّهِ وَذَرُوا البَيعَ
Hai orang-orang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli.

Akan tetapi apabila telah selesai Solat Jumaat dan dibenarkan untuk mencari rezeki, tidak pula disuruh bersegera seperti disebut di dalam Jumuah: 10

فَإِذا قُضِيَتِ الصَّلوٰةُ فَانتَشِروا فِي الأَرضِ وَابتَغوا مِن فَضلِ اللَّهِ
Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurnia Allah

Ini kerana rezeki Allah ‎ﷻ telah tentukan bagi kita, jadi tidak perlu tergesa-gesa sangat. Ia pasti ada kerana apabila Allah ‎ﷻ telah hidupkan kita, Dia telah tetapkan rezeki buat kita setakat yang kita akan terima. Begitulah dalam bab dunia, Allah ‎ﷻ suruh relaks-relaks sahaja tetapi dalam hal kebaikan akhirat, Allah ‎ﷻ suruh bersegera seperti disebut di dalam Baqarah: 148 sampaikan disuruh berlumba-lumba,

فَاستَبِقُوا الخَيرٰتِ
berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan

Dalam bab rezeki, yang kena ada adalah tawakal dan yakin dengan janji Allah ‎ﷻ seperti disebut di dalam hadith,

عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ إِنَّهُ سَمِعَ نَبِيَّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصًا وَتَرُوحُ بِطَانًا
Umar Bin Al Khaththab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menerangkan bahawa dia mendengar Nabiyullah ﷺ  bersabda: “Jika kalian bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benarnya tawakkal, nescaya Dia akan memberikan rezeki kepada kalian, sebagaimana Dia telah memberikan rezeki kepada burung yang berangkat di pagi hari dalam keadaan kosong dan kembali dalam keadaan kenyang.”
(Sunan Ibn Majah No. 200)

 

وَكُلُوا مِنْ رِّزْقِهِ

Dan makanlah daripada rezeki-Nya;

Allah ‎ﷻ menyuruh kita menggunakan nikmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita dalam dunia ini. Selepas Allah ‎ﷻ suruh kita berjalan di muka bumi, Allah ‎ﷻ suruh makan hasil rezeki yang Dia telah sediakan. Ini bermaksud kena berjalan untuk mencari rezeki. Kerana itu perniagaan berlangsung di tempat-tempat yang jauh supaya boleh bertukar-tukar barang jualan.

Kalimah كُلُوا bermaksud ‘kalian makanlah’, tetapi tidak semestinya hanya tentang mencari makan sahaja. Kerana رِزْقِ boleh bermaksud lebih daripada itu. Ketenangan pun adalah rezeki juga. Bayangkan ayat ini diturunkan kepada para sahabat yang ketika itu lemah dan ditindas di Mekah. Namun Allah ‎ﷻ sebut tentang berjalan-jalan dengan tenang dan makan apa sahaja yang ada di bumi. Sedangkan mereka waktu itu lemah dan terhad dengan apa yang mereka boleh lakukan. Hendak makan pun terhad kerana suasana di Mekah ketika itu. Akan tetapi di sini Allah ‎ﷻ memberi mereka isyarat yang mereka nanti akan diberikan dengan keluasan dan kebebasan di atas muka bumi dan rezeki yang melimpah ruah; iaitu apabila mereka hijrah ke Madinah.

Apabila Allah ‎ﷻ telah suruh kita makan, maka jangan kita mengamalkan ‘pantang’. Jangan kita memandai-mandai mengharamkan perkara yang halal. Ini kerana perbuatan mengamalkan pantang itu sebenarnya adalah perbuatan kufur. Allah ‎ﷻ telah halalkan makanan untuk kita makan, tetapi kita pandai-pandai haramkan untuk diri kita pula. Yang selalu melakukan begini adalah ibu-ibu yang mengandung. Itu adalah salah kerana mengharamkan yang halal. Kalau tidak selera makan, itu tidak mengapa kerana ia bermakna Allah ‎ﷻ sudah tarik nikmat makan sesuatu makanan kepada kita. Itu tidak menjadi masalah. Namun janganlah kita haramkan benda yang kita boleh makan.

Selalunya amalan pantang itu adalah daripada suruhan orang-orang tua atau daripada bidan-bidan yang mereka terima amalan pantang itu dari dulu lagi. Bukan berasaskan daripada kajian saintifik pun, tetapi hanya daripada kata-kata orang-orang tua. Yang mengajar pantang itu adalah syaitan sebenarnya. Dengan mengharamkan memakan sesuatu walaupun dalam satu jangkamasa sahaja, itu sudah menidakkan kebenaran Allah ‎ﷻ yang membenarkan kita makan apa sahaja yang boleh dimakan.

Namun begitu, ini bukanlah kita menidakkan kata-kata doktor dan pengamal perubatan yang telah menjalankan kajian dan mereka memang tahu manakah makanan yang sesuai dimakan atau tidak. Mereka telah belajar dan tahu daripada pengalaman mereka. Akan tetapi bidan kampung itu ada buat kajiankah?

Kalimah كُلُوا ini juga adalah dalil untuk mengatakan bahawa hukum asal sesuatu benda itu adalah halal, sehinggalah ada dalil yang mengatakan ia adalah haram. Ini merupakan salah satu daripada kaedah fiqh.

Apabila Allah ‎ﷻ menyuruh kita berjalan di mukabumi dan mencari rezeki padanya, bermakna Allah ‎ﷻ menyuruh kita berusaha untuk mencari kehidupan. Bukan bermalas-malasan menunggu hasil daripada orang lain sahaja. Ingatlah kisah Saidina Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pernah suatu hari beliau nampak ahli ibadat hanya duduk-duduk sahaja beribadat di masjid melakukan ibadat mengharapkan pemberian orang sahaja. Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ telah memarahi dan memukul mereka kerana mereka sepatutnya berusaha mencari rezeki dahulu, barulah mereka bertawakal kepada Allah ﷻ. Bukan hanya bertawakal tetapi tidak berusaha sedikit pun.

Kenanglah nikmat Allah ﷻ beri kita berjalan dan Allah ﷻ beri kita makan. Ini adalah antara nikmat-nikmat yang Allah ﷻ berikan kepada kita. Tidak kira sama ada kita kafir atau Muslim. Kalau kita beriman, maka pemberian Allah ﷻ ini adalah percuma sahaja akan tetapi kalau yang ingkar kepada Allah ﷻ, Allah ﷻ akan tanya balik kepada mereka: bagaimana mereka menggunakan nikmat yang Allah ﷻ berikan kepada mereka tetapi tidak taat kepada-Nya? Allah ﷻ berfirman tentang hal ini di dalam Takathur: 8

ثُمَّ لَتُسأَلُنَّ يَومَئِذٍ عَنِ النَّعيمِ
kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan

Memang kita semua akan ditanya dengan nikmat yang kita dapat ini seperti disebut di dalam hadith yang panjang,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ أَوْ لَيْلَةٍ فَإِذَا هُوَ بِأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ فَقَالَ مَا أَخْرَجَكُمَا مِنْ بُيُوتِكُمَا هَذِهِ السَّاعَةَ قَالَا الْجُوعُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ وَأَنَا وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَأَخْرَجَنِي الَّذِي أَخْرَجَكُمَا قُومُوا فَقَامُوا مَعَهُ فَأَتَى رَجُلًا مِنْ الْأَنْصَارِ فَإِذَا هُوَ لَيْسَ فِي بَيْتِهِ فَلَمَّا رَأَتْهُ الْمَرْأَةُ قَالَتْ مَرْحَبًا وَأَهْلًا فَقَالَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيْنَ فُلَانٌ قَالَتْ ذَهَبَ يَسْتَعْذِبُ لَنَا مِنْ الْمَاءِ إِذْ جَاءَ الْأَنْصَارِيُّ فَنَظَرَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَصَاحِبَيْهِ ثُمَّ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ مَا أَحَدٌ الْيَوْمَ أَكْرَمَ أَضْيَافًا مِنِّي قَالَ فَانْطَلَقَ فَجَاءَهُمْ بِعِذْقٍ فِيهِ بُسْرٌ وَتَمْرٌ وَرُطَبٌ فَقَالَ كُلُوا مِنْ هَذِهِ وَأَخَذَ الْمُدْيَةَ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِيَّاكَ وَالْحَلُوبَ فَذَبَحَ لَهُمْ فَأَكَلُوا مِنْ الشَّاةِ وَمِنْ ذَلِكَ الْعِذْقِ وَشَرِبُوا فَلَمَّا أَنْ شَبِعُوا وَرَوُوا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَتُسْأَلُنَّ عَنْ هَذَا النَّعِيمِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَخْرَجَكُمْ مِنْ بُيُوتِكُمْ الْجُوعُ ثُمَّ لَمْ تَرْجِعُوا حَتَّى أَصَابَكُمْ هَذَا النَّعِيمُ
Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dia berkata; Pada suatu hari atau suatu malam Rasulullah ﷺ  pergi keluar rumah, tiba-tiba baginda bertemu dengan Abu Bakar dan ‘Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا. Lalu baginda bertanya: “Mengapa kalian keluar rumah malam-malam begini?” Mereka menjawab; ‘Kami lapar, ya Rasulullah! ‘ Rasulullah ﷺ bersabda: “Demi Allah yang jiwaku dalam Tangan-Nya, aku juga keluar kerana lapar seperti kalian. Marilah!” Mereka pergi mengikuti baginda ke rumah sahabat Ansar (Abu Haitsam bin At Taihan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ). Namun sayang dia sedang tidak di rumah. Tetapi tatkala isterinya melihat Rasulullah ﷺ datang, dia mengucapkan; “Marhaban wa Ahlan (selamat datang).” Maka Rasulullah ﷺ bertanya: “Ke mana si Fulan (Abu Haitsam)?”‘ Isterinya menjawab; ‘Dia sedang mengambil air tawar untuk kami.’ Tiba-tiba suaminya datang dan melihat Rasulullah ﷺ berserta dua sahabat baginda, maka dia berkata; ‘Alhamdulillah, tidak ada orang yang lebih bahagia daripadaku hari ini, kerana kedatangan tamu yang mulia.’ Lalu dia mengambil setandan kurma, di antaranya ada yang masih muda, yang mulai masak, dan yang sudah masak betul. Katanya; ‘Silakan dimakan ini.’ Sambil dia mengambil pisau. Nabi ﷺ bersabda: ‘Jangan disembelih yang lagi mempunyai susu.’ Maka dipotongnya seekor kambing, lalu mereka makan kambing, makan kurma setandan, dan minum. Setelah semuanya kenyang dan puas makan dan minum, Rasulullah ﷺ bersabda kepada Abu Bakar dan ‘Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا: ‘Demi Allah yang jiwaku berada dalam Tangan-Nya, kalian akan ditanya pada hari kiamat tentang nikmat yang kalian peroleh ini. Kalian keluar dari rumah kerana lapar dan pulang sesudah memperoleh nikmat ini.’
(Sahih Muslim No. 3799)

 

وَإِلَيْهِ النُّشُورُ

Dan kepada-Nya jualah kamu akan kembali;

Sama ada kita lalai dengan ugama, atau kita menjelajah seluruh dunia untuk kenal Allah ‎ﷻ, maka untuk menyempurnakan kehidupan sahaja, apa-apa kita buat di dunia pun, kita semua akan kembali kepada Allah ‎ﷻ. Itu kita kena ingat. Kena ingat bahawa kita semua akan kembali menemui Tuhan. Tadi Allah ‎ﷻ suruh berjalan di muka bumi, sekarang Allah ‎ﷻ ingatkan tentang perjalanan kita setiap hari yang menuju kematian. Jangan lupa yang setiap hari kita sebenarnya menuju ke kubur!

Perkataan نُّشُورُ bermaksud ‘berkembang’. Kenapa digunakan perkataan itu di sini yang maksudnya adalah kita akan bertemu dengan Allah ‎ﷻ? Kerana nanti di akhirat, kita semua akan dikumpulkan dan ‘dikembangkan’ mengikut kumpulan masing-masing. Ada golongan yang baik dan ada golongan yang rugi.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 6 Januari 2025

Ringkasan Surah Mulk


Rujukan:

Maulana Hadi

Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh (Dr) Haitham Al-Haddad

Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh Abdul Nasir Jangda

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Bacaan tambahan

Nouman Ali Khan

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

4 thoughts on “Tafsir Surah Mulk Ayat 13 – 15 (Allah ‎ﷻ beri kemudahan kepada kita)”

Leave a comment