Tafsir Surah Kahfi Ayat 57 – 59 (Manusia lupa dosanya)

Kahf Ayat 57: Ayat Zajrun (teguran).

وَمَن أَظلَمُ مِمَّن ذُكِّرَ بِئآيٰتِ رَبِّهِ فَأَعرَضَ عَنها وَنَسِيَ ما قَدَّمَت يَداهُ ۚ إِنّا جَعَلنا عَلىٰ قُلوبِهِم أَكِنَّةً أَن يَفقَهوهُ وَفي ءآذانِهِم وَقرًا ۖ وَإِن تَدعُهُم إِلَى الهُدىٰ فَلَن يَهتَدوا إِذًا أَبَدًا

Sahih International

And who is more unjust than one who is reminded of the verses of his Lord but turns away from them and forgets what his hands have put forth? Indeed, We have placed over their hearts coverings, lest they understand it, and in their ears deafness. And if you invite them to guidance – they will never be guided, then – ever.

Malay

Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu dia berpaling daripadanya dan lupa akan apa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya; sesungguhnya (disebabkan bawaan mereka yang buruk itu) Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya, dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak). Dan jika engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka dengan keadaan yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayah petunjuk selama-lamanya.

 

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنْ ذُكِّرَ بِئآيٰتِ رَبِّهِ

Dan siapakah yang lebih zalim lebih daripada seorang yang telah diberi peringatan ayat-ayat Tuhannya

Bila Allah ﷻ sebut: ‘siapa yang lebih zalim?’, maksudnya tidak ada lagi yang lebih zalim daripada orang itu. Macam kita tanya orang: “Siapa lagi kuat?” itu bermaksud dia nak beritahu yang dia yang paling kuat dan tidak ada yang lebih kuat daripadanya.

Peringatan yang dimaksudkan itu adalah ayat-ayat Al-Qur’an. Tentu ada pendakwah yang telah menyampaikan ayat-ayat Al-Qur’an kepada manusia dan mengajar mereka pemahaman kepada ayat-ayat Al-Qur’an itu. Telah disebut bagaimana Al-Qur’an itu disampaikan dengan pelbagai cara dan diberikan berbagai perumpamaan. Begitulah orang yang telah belajar wahyu selalunya tidak akan duduk diam kerana dia akan sampaikan kepada orang lain.

Ini mengingatkan kita yang dakwah kenalah dijalankan menggunakan Al-Qur’an. Kena sampaikan Al-Qur’an dulu kepada manusia. Kalau perkara lain itu datang kemudian. Yang penting kena mulakan dengan sampaikan Al-Qur’an kerana Al-Qur’an lah yang menjadi kayu pengukur kepada perkara-perkara yang lain. Begitu juga hadith hendaklah dibaca dengan pemahaman Al-Qur’an kerana hadith pun tidak boleh bercanggah dengan Al-Qur’an.

 

فَأَعْرَضَ عَنْهَا

lalu dia berpaling daripadanya 

Orang yang paling zalim itu tidak mendengar pun ayat-ayat Al-Qur’an yang disampaikan kepadanya. Dia berpaling daripada pengajaran daripada Al-Qur’an itu. Begitulah yang dilakukan oleh Musyrikin Mekah dan manusia zaman berzaman.

Ayat ini merujuk kepada orang kafir. Akan tetapi kalau kita pun diberi peringatan ayat-ayat Al-Qur’an dan kita tidak mengambil pengajaran daripadanya, kita pun sama seperti orang kafir juga. In ikerana kafir itu bermaksud ‘ingkar’ dan tidak semestinya orang bukan Islam sahaja yang ingkar. Ada juga orang yang nama sahaja Muslim tetapi ingkar dengan wahyu. Sepatutnya apabila ayat Al-Qur’an dibacakan, seorang yang mengaku sebagai Muslim kena dengar dan ambil pengajaran daripada ayat-ayat itu.

 

وَنَسِيَ مَا قَدَّمَتْ يَدَاهُ

dan dia lupa apa yang telah dikerjakan oleh tangannya;

Dia lupa dosa yang dilakukan oleh tangan, malah bukan sahaja tangan tetapi apa sahaja oleh anggota dan hatinya. Cuma dosa selalunya dilakukan dengan tangan, maka kerana itu disebut tangan di sini. Oleh kerana orang itu berpaling daripada peringatan, maka akan dikenakan kesan buruk kepadanya. Pukulan pertama ialah segera lupa perbuatan-perbuatan salah yang telah banyak dilakukan oleh kedua belah tangan. Sehingga kesalahan telah berturut dikerjakan setiap hari. Tiap kali ditanyakan, tiap kali juga dia mengatakan lupa, atau tidak mengaku berbuat. Atau membela diri mengatakan bahawa yang salah itu adalah benar, atau menimpakan kesalahan yang diperbuatnya sendiri ke atas pundak orang lain. Hati tertutup, telinga tertekan, kebenaran tidak masuk, merasa diri masih kuat, padahal tempat sandaran sudah lama runtuh.

Dia lupa sebab banyak sangat dosa yang dia telah lakukan sepanjang hidup dia. Sebab sudah selalu sangat dia melakukan dosa yang sama. Begitulah kalau kita tanya orang berjudi berapa kali dia berjudi, dia tidak akan ingat berapa kali. Kalau kita tanya kepada orang yang minum arak itu, berapa kali dia minum arak, dia pun tidak akan ingat. Sebab sudah banyak kali sangat buat. Itu adalah dosa yang jarang kita lakukan. Namun bagaimana dengan dosa yang biasa kita buat seperti umpat orang lain? Adakah kita ingat dosa kita itu? Tentu tidak ingat, bukan? Ini kerana sudah banyak kali kita lakukan.

Namun ingatlah ada malaikat yang tetap menulis berapa kali dia berjudi dan berapa kali dia minum arak. Allah ﷻ sendiri tahu apa yang kita lakukan, tidak perlu malaikat untuk tuliskan. Manusia mungkin lupa, tetapi Allah ﷻ tidak lupa. Allah ﷻ akan balas segala perbuatan dosa mereka itu.

Ada juga orang yang bukan dia tidak tahu dia buat dosa, tetapi dia lupa kesan daripada perbuatan dosanya itu.

Begitulah manusia itu mudah lupa dengan dosa, mudah lupa dengan Allah ﷻ. Maka semua ini ada kesannya kepada diri kita. Iaitu kita akan lupa buat persediaan untuk selamatkan diri kita di akhirat kelak. Ini seperti yang Allah ﷻ sebut di dalam Hashr: 19

وَلا تَكونوا كَالَّذينَ نَسُوا اللهَ فَأَنسٰهُم أَنفُسَهُم ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الفٰسِقونَ
Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik.

 

إِنَّا جَعَلْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ أَكِنَّةً أَنْ يَفْقَهُوهُ

Sesungguhnya Kami jadikan ke atas hati-hati mereka itu satu tutupan yang menghalang mereka dari memahami kebenaran;

Pukulan kedua yang dikenakan kepada mereka adalah tutupan hati. Dalam hati telah ada penyakit, tetapi tidak segera diubati. Kemudian penyakit itu bertambah teruk dan mendalam, sehingga apa jua pun ubat yang diberikan tidak berkesan lagi.

Tutupan yang dimaksudkan adalah tutupan dalam bentuk rohani (tutupan maknawi). Sebab kita tidak nampak tutupan itu, tetapi ia ada. Maksudnya hati mereka ditutup daripada memahami isi kandungan Al-Qur’an. Apabila kita sampaikan kepada mereka ayat-ayat Al-Qur’an dan ajaran di dalamnya, mereka tidak akan faham.

Allah ﷻ berikan tutupan ini selepas mereka tidak mahu mendengar ayat-ayat Al-Qur’an. Bukan sahaja mereka tidak menerimanya malah mereka menentangnya. Jangan kita sangka yang Allah ﷻ terus tutup pintu hati seseorang dari awal lagi. Allah ﷻ akan beri peluang kepada mereka dahulu. Namun apabila mereka sentiasa menolak ajakan tauhid, barulah Allah ﷻ akan tutup. Ini dinamakan Khatmul Qalbi (Penutupan Hati). Hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh tentukan.

Perkataan أَكِنَّةً bermaksud tutupan yang tidak membenarkan cahaya masuk. Ini adalah penggunaan yang tepat kerana ‘hidayah’ Al-Qur’an selalu dikaitkan dalam bentuk cahaya. Mereka tidak mendapat hidayah itu kerana Allah ﷻ sudah membuat keputusan untuk menutup pintu hati mereka. Ini kerana Allah ﷻ sudah buat keputusan untuk mengazab mereka, kerana itu Allah ﷻ sudah tidak benarkan hidayah sampai kepada mereka.

Apakah maksud faqih فقه itu? Ia adalah pemahaman yang mendalam. Ia juga bermaksud faham dan kemudian amalkan. Ini kerana kadang-kadang kita faham, tetapi kita tidak mahu ikut, maka itu bukan فقه. Ada yang sudah faham terjemahan ayat-ayat Al-Qur’an dan faham apakah arahan yang dimaksudkan tetapi mereka tidak memasukkan pemahaman dan pengajaran itu ke dalam diri mereka.

Macam kita juga, kalau kita dengar khutbah yang diberikan, kita bukan mahu mengambil pengajaran, tetapi kita komen pula khutbah itu. Kita kata macam-macam komen terhadap cara khatib itu cakap, suara dia kuat atau tidak kuat dan macam-macam lagi. Kita kata kalau khatib itu cakap lebih kuat, atau memasukkan cerita-cerita lagi, tentu lebih menarik.

Begitulah yang banyak dilakukan tetapi semua komen mereka itu tidak penting, kerana yang penting adalah apakah pengajaran yang kita boleh ambil. Kadangkala kita fokus kepada perkara tidak penting dan sebaliknya meninggalkan perkara yang penting.

 

وَفِي ءآذَانِهِمْ وَقْرًا

dan pada telinga-telinga mereka ada sumbatan;

Bukan sahaja hati mereka telah ditutup tetapi telinga mereka juga telah ditutup. Ini pun sumbatan rohani kerana kalau hendak dikorek buang, tidak boleh. Mereka yang telah disumbat telinga mereka itu memang dengar ayat Al-Qur’an dibaca dan ditafsirkan, tetapi mereka tidak faham. Kadang-kadang banyak kali kita sudah beritahu kepada mereka, tetapi mereka tidak faham-faham.

Ataupun mereka tidak mahu dengar pun. Bila kita baca dan sampaikan kepada mereka, mereka macam masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Mereka duduk tidak selesa dan sentiasa tengok jam untuk cari peluang melarikan diri daripada mendengar dakwah kita. Ini bahaya sekali kerana untuk mendapat pemahaman agama, kena sedia untuk beri telinga untuk mendengar ajaran. Kalau dengar pun sudah tidak mahu, memang tidak ada harapan.

 

وَإِنْ تَدْعُهُمْ إِلَى الْهُدَىٰ

Dan jika kamu menyeru mereka kepada petunjuk,

Bagaimana pula kalau kita seru mereka untuk menerima hidayah? Kita sentiasa mencari peluang untuk menyampaikan kepada manusia, tetapi bagaimana tindakan mereka?

Kita kena juga sampaikan dakwah kepada manusia tidak kira siapa mereka. Kita tidak boleh kata: “Ahhh… dia ni dah kena khatmul qalbi ni.. buang masa jer kalau aku sampaikan dakwah kepada dia…takkan terima punya…”. Ini tidak boleh terjadi kerana kita manusia tidak tahu siapa yang Allah ﷻ telah tutup pintu hati kerana kita tidak tahu, maka kita sampaikan sahaja. Kalau mereka tidak terima pun, kita tetap dapat pahala dakwah.

 

فَلَنْ يَهْتَدُوا إِذًا أَبَدًا

mereka tidak mungkin akan mendapat petunjuk selama-lamanya. 

Mereka yang sudah ditutup pintu hati dan telinga mereka daripada menerima hidayah, tidak akan mendapat hidayah itu. Tidak kiralah disampaikan oleh sesiapa pun kerana Allah ﷻ telah membuat keputusan untuk masukkan mereka ke dalam neraka. Mereka itu mereka tunggu mati sahaja untuk diazab dalam alam akhirat.

Inilah yang kita takut terjadi kepada kita atau orang yang kita kenal. Maka kita amat takut kalau mereka yang didakwah itu menolak. Kalau mereka tidak mahu terima tidak mengapa lagi kerana ada peluang. Akan tetapi kalau mereka mula menentang, maka takut Allah ﷻ buat keputusan untuk terus tutup hati mereka. Kita tidak tahu bilakah Allah ﷻ buat keputusan itu.

Akan tetapi kita jangan salah faham pula. Allah ﷻ sesatkan orang yang pasti sesat itu adalah kerana mereka tidak mengambil berbagai-bagai peluang yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka. Oleh kerana mereka banyak menentang, barulah Allah ﷻ membuat keputusan untuk menutup hati mereka daripada menerima kebenaran. Ini kita telah sentuh tentang Khatmul Qalbi dalam perbincangan-perbincangan yang lepas.

Ini penting kerana ramai yang keliru. Mereka kata Allah ﷻ yang sesatkan mereka, Allah ﷻ tidak beri hidayah kepada mereka, maka bukan salah mereka, Allah ﷻ yang salah! Subhanallah! Ini amat jahil sekali kerana baca terjemahan tanpa belajar, dan baca satu ayat sahaja sudah buat keputusan yang melulu. Sedangkan Allah ﷻ bukan sewenang-wenangnya menyesatkan manusia. Yang Allah ﷻ sesatkan adalah kerana manusia itu sendiri yang pilih kesesatan. Ini disebut di dalam ayat-ayat lain. Sebab itulah kita kena belajar keseluruhan tafsir 30 juzuk supaya tidak keliru sebegini rupa! Allah ﷻ sebut di dalam Saf : 5

فَلَمّا زاغوا أَزاغَ اللَّهُ قُلوبَهُم ۚ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ
Maka tatkala mereka berpaling (daripada kebenaran), Allah memalingkan hati mereka; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.

Maknanya Allah ﷻ sesatkan manusia yang telah berpaling daripada kebenaran. Mereka sendiri yang memilih untuk menjadi sesat, maka Allah ﷻ teruskan kehendak mereka itu. Ini kerana Allah ﷻ tidak memaksa manusia untuk beriman. Manusia ada pilihan sendiri seperti yang Allah ﷻ sebut dalam Kahf: 29

وَقُلِ الحَقُّ مِن رَّبِّكُم ۖ فَمَن شاءَ فَليُؤمِن وَمَن شاءَ فَليَكفُر
Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang daripada Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya”.

Manusia yang diberikan dengan hidayah adalah manusia yang mahukan kebenaran. Dia mungkin tidak dilahirkan dalam keluarga orang beriman, tetapi mereka pilih untuk beriman dan membersihkan hati mereka daripada kesyirikan seperti disebut dalam Syams: 8-10 maka mereka itulah yang beruntung.

فَأَلهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقوَٮٰهَا
serta Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaannya.

قَد أَفلَحَ مَن زَكَّٮٰهَا
sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu,

وَقَد خَابَ مَن دَسَّٮٰهَا
dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.

Di sini kita tahu bahawa keimanan itu terpulang kepada diri sendiri. Jangan memandai hendak salahkan Allah ﷻ pula. Jangan lagi keliru tentang perkara ini. Belajarlah tafsir Al-Qur’an sampai pandai.


 

KESABARAN ALLAH ﷻ

Kahf Ayat 58: Ini adalah ayat jumlah mu’taridah. Allah ﷻ menyelitkan pengajaran. Sebagaimana kebiasaan Al-Qur’an menggandingkan sesuatu dengan lawannya, maka setelah ayat-ayat yang lalu menampilkan ancaman, kini ditampilkan ajakan untuk bertaubat agar manusia memperoleh rahmat.

Ayat ini juga menjelaskan, dalam ramai yang telah ingkar dengan Allah ﷻ, kenapa mereka masih selamat lagi?

وَرَبُّكَ ٱلغَفُورُ ذُو ٱلرَّحمَةِ‌ۖ لَو يُؤَاخِذُهُم بِمَا ڪَسَبُواْ لَعَجَّلَ لَهُمُ ٱلعَذَابَ‌ۚ بَل لَّهُم مَّوعِدٌ لَّن يَجِدُواْ مِن دُونِهِۦ مَوٮِٕلاً

Sahih International

And your Lord is the Forgiving, full of mercy. If He were to impose blame upon them for what they earned, He would have hastened for them the punishment. Rather, for them is an appointment from which they will never find an escape.

Malay

Dan Tuhanmu Maha Pengampun, lagi melimpah-limpah rahmatNya. Jika Dia mahu menyeksa mereka (di dunia) disebabkan apa yang mereka telah usahakan, tentulah Dia menyegerakan azab itu menimpa mereka; (tetapi Dia tidak berbuat demikian) bahkan ditentukan bagi mereka satu masa yang mereka tidak sekali-kali akan dapat sebarang tempat perlindungan daripadanya.

 

وَرَبُّكَ الْغَفُورُ

Dan Tuhan kamu itu Maha Pengampun

Allah ﷻ ingatkan yang Dia sanggup untuk mengampunkan dosa hamba-Nya. Tidak kira berapa banyak dosa manusia itu, kalau dia sanggup untuk bertaubat, Allah ﷻ sanggup untuk mengampunkan dosanya. Maka ambillah peluang keemasan ini sebelum terlambat.

Ada tiga sifat Allah ﷻ yang diambil daripada katadasar غ ف ر iaitu الْغَفَّارُ, الْغَافِرُ dan الْغَفُورُ. Kalimah الْغَفُورُ yang paling banyak disebut sampai 91 kali. Banyaknya disebut sifat الْغَفُورُ di dalam Al-Qur’an memberi kesan bahawa Allah ﷻ membuka pintu seluas-luasnya bagi hamba-Nya untuk bermohon. Kalimah الْغَافِرُ merujuk kepada sifat Allah ﷻ sebagai pengampun tanpa memandang sama ada makhluk diberi keampunan atau tidak. Maknanya sifat itu memang telah ada pada Allah ﷻ. Kalimah الْغَفَّارُ dikatakan sifat Allah ﷻ yang menutup aib manusia di dunia sedangkan kalimah الْغَفُورُ bermaksud Allah ﷻ menutup aib hamba-Nya di akhirat.

Ada juga yang berpendapat maksud الْغَفُورُ adalah banyak memberi keampunan sedangkan kalau الْغَفَّارُ bermaksud banyak dan berulangkali memberi keampunan dan luasnya sifat maghfirah Allah ﷻ itu. Dengan demikian, kata الْغَفَّارُ lebih mendalam dan kuat kandungan maknanya daripada kata الْغَفُورُ, dan kerana itu pula ada yang berpendapat bahawa ia dapat mencakup orang-orang yang bermohon ampun, mahupun yang tidak bermohon.

Ada juga yang berpendapat bahawa الْغَافِرُ yang menutupi sebahagian dosa, الْغَفُورُ yang menutupi kebanyakan, dan الْغَفَّارُ yang menutupi semuanya. Bahkan terbuka kemungkinan untuk diampuni oleh-Nya walau bagi yang tidak bermohon pun, selama dosanya bukan mempersekutukan Allah ﷻ. Ini kerana dosa syirik tidak akan diampunkan (melainkan kalau bertaubat sendiri) seperti disebut di dalam Nisa’: 48.

إِنَّ اللهَ لا يَغفِرُ أَن يُشرَكَ بِهِ وَيَغفِرُ ما دونَ ذٰلِكَ لِمَن يَشاءُ
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya

 

ذُو الرَّحْمَةِ

yang memiliki rahmat;

Allah ﷻ sanggup dan mudah mengampuni segala dosa manusia tidak kira berapa banyak, kerana Dia ada rahmah (kasih sayang). Dialah juga yang memberi rahmat kepada manusia. Kita sangat berharap kepada rahmat Allah ﷻ, bukan?

Apakah tanda Allah ﷻ itu mempunyai rahmat?

 

لَوْ يُؤَاخِذُهُمْ بِمَا كَسَبُوا

Kalaulah Dia hendak menyeksa mereka dengan apa yang mereka telah lakukan;

Apabila ada kalimah لَوْ di sini, ia bermaksud ia tidak terjadi. Cuma Allah ﷻ hendak beritahu sahaja kalau Dia hendak buat. Kalaulah Allah ﷻ mahu seksa manusia itu semasa mereka di dunia lagi, tentu sahaja boleh. Bayangkan berapa banyak manusia yang ingkar dan melakukan syirik. Adakah Allah ﷻ tidak mampu untuk terus mengazab mereka? Tentu boleh sahaja.

 

لَعَجَّلَ لَهُمُ الْعَذَابَ

Maka tentu Dia akan segerakan bagi mereka azab itu

Sekiranya Allah ﷻ mahu terus matikan mereka dan beri azab kepada mereka semasa di dunia, Allah ﷻ boleh sahaja buat. Kalau Allah ﷻ mahu terus mengazab kerana kesalahan yang mereka lakukan, maka sekarang juga Allah ﷻ sudah boleh azab. Tidak ada sesiapa yang boleh halang dan tahan azab itu. Allah ﷻ tidak perlu tunggu sesiapa. Akan tetapi rahmat Allah ﷻ lebih luas sebagaimana yang telah disebut di dalam satu hadith,

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِىِّ – صلى الله عليه وسلم – قَالَ « لَمَّا خَلَقَ اللَّهُ الْخَلْقَ كَتَبَ فِى كِتَابِهِ – هُوَ يَكْتُبُ عَلَى نَفْسِهِ ، وَهْوَ وَضْعٌ عِنْدَهُ عَلَى الْعَرْشِ – إِنَّ رَحْمَتِى تَغْلِبُ غَضَبِى »
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, daripada Nabi ﷺ, baginda berkata, “Tatkala Allah menciptakan makhluk-Nya, Dia menulis dalam kitab-Nya, yang kitab itu terletak di sisi-Nya di atas ‘Arsy, “Sesungguhnya rahmat-Ku lebih mengalahkan kemurkaan-Ku.”
(Sahih Bukhari no. 7404 dan Muslim no. 2751)

Hanya kerana rahmat Allah ﷻlah, maka kita ini sekarang terselamatlah walaupun banyak dosa yang kita buat, bukan? Kalaulah Allah ﷻ terus beri azab selepas sahaja manusia melakukan dosa, tentulah tidak akan ada manusia yang hidup lagi di atas dunia kerana kita semua ini berdosa. Allah ﷻ sebut tentang perkara ini di dalam Fatir: 45

وَلَو يُؤاخِذُ اللهُ النّاسَ بِما كَسَبوا ما تَرَكَ عَلىٰ ظَهرِها مِن دابَّةٍ وَلٰكِن يُؤَخِّرُهُم إِلىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى ۖ فَإِذا جاءَ أَجَلُهُم فَإِنَّ اللهَ كانَ بِعِبادِهِ بَصيرًا
Dan kalau sekiranya Allah menyeksa manusia disebabkan usahanya, nescaya Dia tidak akan meninggalkan di atas permukaan bumi suatu makhluk yang melata pun akan tetapi Allah menangguhkan (penyeksaan) mereka, sampai waktu yang tertentu; maka apabila datang ajal mereka, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Melihat (keadaan) hamba-hamba-Nya.

 

بَلْ لَّهُمْ مَّوْعِدٌ

Akan tetapi bagi mereka itu sudah tempoh;

Kalimah مَّوْعِدٌ daripada katadasar و ع د yang antara lain bermaksud janji, ancaman. Perjanjian apa? Iaitu selagi tidak mati, Allah ﷻ tidak beri azab. Ini kerana semasa hidup itu, mereka sedang berada dalam ujian. Allah ﷻ hanya akan mengazab mereka apabila mereka mati nanti. Inilah janji Allah ﷻ kepada Diri-Nya iaitu beri tangguh kepada manusia.

Maka مَّوْعِدٌ yang dimaksudkan itu adalah Hari Kiamat nanti. Buatlah apa yang mereka hendak buat semasa di dunia. Apabila mati nanti, siaplah mereka. Bilakah azab itu akan diberikan telah ditentukan oleh Allah ﷻ dan Dia sahaja yang tahu.

Mereka yang menentang akan diberi tangguh kecuali kalau mereka melawan orang yang menyebar agama dan mengancam untuk membunuh para Rasul atau pendakwah. Kalau mereka buat begitu, mereka akan diazab semasa di dunia lagi. Seperti yang telah dikenakan kepada Kaum Aad dan Tsamud dan banyak lagi kaum lain.

 

لَّن يَجِدُواْ مِن دُونِهِۦ مَوٮِٕلاً

Tidak mungkin mereka akan mendapati tempat berlindung/berlepas daripadanya;

Apabila Allah ﷻ telah kenakan azab kepada mereka, sama ada di dunia atau di akhirat, tiada tempat berlindung daripada azab itu lagi.

Perkataan مَوْئِلً daripada katadasar و أ ل yang bermaksud mencari perlindungan, cari jalan keluar menyelamatkan diri, cari naungan. Ia bermaksud tempat yang disediakan kepada binatang-binatang ternak daripada ancaman-ancaman luar seperti serigala dan binatang buas yang lain.

Perkataan yang digunakan ini menunjukkan bahawa mereka nanti akan cuba menyorok seperti binatang menyorok. Namun tidak ada tempat hendak menyorok lagi. Ke mana sahaja mereka hendak lari, tetap dikenakan juga dengan azab itu. Mereka tidak akan dapat melarikan diri lagi.


 

Kahf Ayat 59: Takhwif Duniawi. Allah ﷻ menyebut tentang kaum-kaum yang telah dikenakan dengan azab semasa di dunia lagi.

وَتِلكَ القُرىٰ أَهلَكنٰهُم لَمّا ظَلَموا وَجَعَلنا لِمَهلِكِهِم مَّوعِدًا

Sahih International

And those cities – We destroyed them when they wronged, and We made for their destruction an appointed time.

Malay

Dan penduduk negeri-negeri (yang derhaka) itu Kami telah binasakan ketika mereka melakukan kezaliman, dan Kami telah tetapkan satu masa yang tertentu bagi kebinasaan mereka.

 

وَتِلْكَ الْقُرَىٰ أَهْلَكْنٰهُمْ

Dan itulah penduduk-penduduk negara/kampung yang telah Kami binasakan mereka;

Ini adalah umat-umat terdahulu daripada generasi-generasi yang telah berlalu yang Allah ﷻ telah binasakan disebabkan kekufuran dan keingkaran mereka untuk menerima kebenaran. Ini seperti yang telah dikenakan kepada penduduk Negeri Madyan, Tsamud, Aad, Sadum dan Gamurrah. Mereka bukan sahaja ingkar tetapi mereka juga telah mengancam untuk membunuh atau mencederakan Rasul mereka.

Maka waktu inilah para Rasul itu angkat tangan untuk berdoa dan Allah ﷻ makbulkan dan musnahkan mereka. Allah ﷻ suruh pembaca Al-Qur’an ambil pengajaran dengan apa yang terjadi kepada mereka.

 

لَمَّا ظَلَمُوا

tatkala mereka melakukan kezaliman;

Waktu mereka dikenakan dengan azab itu, mereka sedang melakukan kezaliman. Yang dimaksudkan dengan ‘zalim’ di sini adalah melakukan syirik. Tidak diazab sesuatu kaum itu melainkan mereka telah melakukan syirik. Ini menunjukkan yang bala datang kerana syirik kepada Allah ﷻ. Oleh itu kezaliman itu di pihak mereka, bukannya Allah ﷻ yang zalim.

Oleh itu tidak ada Solat Tolak Bala seperti yang dilakukan oleh mereka yang jahil. Untuk tolak bala, kena minta ampun daripada dosa syirik yang telah kita lakukan. Ini adalah kerana mereka dikenakan dengan bala adalah kerana amalan syirik. Maka amalkanlah doa-doa bertaubat supaya Allah ﷻ terima taubat kita. Antaranya, doa Nabi Adam  yang diajar oleh Allah ﷻ. Doa itu ada dalam Surah A’raf. Janganlah pula buat perkara bidaah seperti Solat Tolak Bala dan Solat Hajat pula kerana amalan itu tidak ada contoh daripada Nabi ﷺ dan para sahabat.

Kalimat لَمَّا ظَلَمُوا yang digunakan adalah indah sekali. Ia bermaksud mereka bukan diazab selepas mereka berbuat zalim. Namun selepas berkali-kali mereka berbuat zalim. Maknanya, Allah ﷻ beri peluang banyak kali kepada mereka tetapi mereka tidak ambil peluang itu.

 

وَجَعَلْنَا لِمَهْلِكِهِمْ مَّوْعِدًا

Dan Kami jadikan kebinasaan mereka itu pada waktu dan tempat yang memang telah ditentukan; 

Bermakna masa kehancuran mereka telah ditetapkan oleh Allah ﷻ. Tidak didahulukan dan tidak dilambatkan bilakah akan terjadinya kebinasaan itu. Seperti Firaun, telah ditetapkan bilakah dia akan mati dan tempatnya. Dia tidak mati di istananya, tetapi dalam laut. Semua itu telah ditetapkan oleh Allah ﷻ. Kita tidak dapat mengubahnya. Hanya sahaja kita yang tidak tahu bilakah masa itu.

Sekian Ruku’ 8 daripada 12 ruku’ di dalam surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 12 Jun 2024

Ringkasan Surah Kahf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment