Tafsir Surah Kahfi Ayat 25 – 28 (Berapa tahun mereka tidur?)

BERAPA LAMA TINGGAL DI DALAM GUA

Kahf Ayat 25: Kembali kepada kisah Ashabul Kahfi.

وَلَبِثوا في كَهفِهِم ثَلٰثَ مِاْئَةٍ سِنينَ وَازدادوا تِسعًا

 Sahih International

And they remained in their cave for three hundred years and exceeded by nine.

Malay

Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka: Tiga ratus tahun dengan tambah sembilan lagi (dengan kiraan kamu).

 

وَلَبِثُوا فِي كَهْفِهِمْ ثَلٰثَ مِاْئَةٍ سِنِينَ

Dan mereka tinggal dalam gua itu selama 300 tahun;

Dalam hadith, diceritakan apabila Allah ﷻ beritahu 300 tahun pemuda Kahfi itu tinggal dalam gua, para sahabat bertanya, 300 tahun tepatkah? Maka Allah ﷻ tambah ayat seterusnya.

 

وَازْدَادُوا تِسْعًا

dan tambah sembilan tahun;

Maknanya 309 tahun mereka tinggal di gua itu. Jumlah 309 tahun itu adalah Tahun Qamari (yang dipanggil bulan Islam – kalendar yang mengikut kiraan perjalanan bulan). Sementara 300 Syamsiah (Gregorian Calender – kalendar yang mengikut perjalanan matahari). Setiap seratus tahun syamsiah, ditambah tiga tahun jikalau menggunakan kalendar qamari.

Maka dalam ayat ini, Allah ﷻ memberikan jumlah tahun jika menggunakan kalendar Islam dan juga kalendar yang biasa kita guna itu. Bermakna, Allah ﷻ iktiraf juga penggunaan kalendar Gregorian itu (kalendar yang kita biasa guna). Ia juga adalah salah satu daripada mukjizat sejarah Al-Qur’an kerana menyebut tentang kalendar yang berlandaskan matahari yang telah lama digunakan oleh manusia.

Apabila diberitahu dalam ayat ini mereka tinggal selama 309 tahun, puak Yahudi kehairanan kerana setahu mereka dalam hikayat mereka, Pemuda Kahfi tinggal di gua itu selama 300 tahun sahaja. Memanglah kalau zaman Pemuda Kahfi itu dikira 300 tahun kerana mereka menggunakan kiraan Tahun Syamsiah tetapi orang Arab menggunakan kaedah lain.

Allah ﷻ lebih mengetahui berapa lamakah mereka tinggal di dalam gua itu. Maka, apabila mereka tanya kenapa tdiambah 9 tahun lagi itu, Allah ﷻ jawab dalam ayat seterusnya:


 

Kahf Ayat 26: Bagaimana kalau ada yang membantah tentang maklumat di atas?

قُلِ ٱللَّهُ أَعلَمُ بِمَا لَبِثُواْ‌ۖ لَهُ ۥ غَيبُ ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلأَرضِ‌ۖ أَبصِر بِهِۦ وَأَسمِع مَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَلِىٍّ وَلَا يُشرِكُ فِى حُكمِهِۦۤ أَحَدًا

 Sahih International

Say, ” Allah is most knowing of how long they remained. He has [knowledge of] the unseen [aspects] of the heavens and the earth. How Seeing is He and how Hearing! They have not besides Him any protector, and He shares not His legislation with anyone.”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah jua yang mengetahui tentang masa mereka tidur; bagiNya lah ilmu pengetahuan segala rahsia langit dan bumi; terang sungguh penglihatanNya (terhadap segala-galanya)! Tidak ada bagi penduduk langit dan bumi pengurus selain daripadaNya dan Dia tidak menjadikan sesiapapun masuk campur dalam hukumNya.

 

قُلِ اللهُ أَعْلَمُ بِمَا لَبِثُوا

Katakanlah: Allah lah yang paling tahu berapa lama mereka tinggal;

Allah ﷻ sahaja yang tahu masa yang tepat. Maka jangan persoalkan kalau Allah ﷻ sudah beritahu mereka tinggal selama 309 tahun dalam gua itu. Allah ﷻ tahu dengan tepat berapa hari, berapa jam, berapa bulan, tetapi Allah ﷻ tidak beritahu kepada kita. Masa itu tidak penting untuk diketahui. Yang penting adalah pengajaran yang boleh diambil.

 

لَهُ ۥ غَيبُ ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلأَرضِ‌ۖ

MilikNya lah sahaja ilmu ghaib langit dan bumi;

Allah ﷻ tahu segala maklumat kerana Allah ﷻ sahaja yang tahu tentang perkara yang ghaib. Kita tidak akan tahu apa-apa melainkan diberitahu oleh Allah ﷻ. Kita tahu sedikit pun atas izin Allah ﷻ semata. Maka, kalau ada orang yang kata guru mereka tahu tentang perkara ghaib, maka itu adalah tidak benar.

Ini selalu terjadi kepada golongan tarekat. Pada mereka, guru mereka tahu macam-macam. Akan tetapi memang ahli tarekat senang untuk ditipu oleh guru-guru mereka dan senang untuk ditipu oleh syaitan kerana mereka tidak ada ilmu wahyu. Selalunya yang termasuk dalam ajaran tarekat ini adalah golongan yang jahil agama.

Ini terjadi juga kepada puak Syiah sekarang. Mereka meletakkan imam-imam mereka sampai kepada taraf Allah ﷻ, kerana mereka kata imam-imam itu tahu segala apa yang terjadi di alam ini.

 

أَبْصِرْ بِهِ

Alangkah tajam penglihatan Allah

Allah ﷻ Maha Melihat apakah yang terjadi dalam alam ini. Khusus dalam ayat ini berkenaan kisah pemuda Kahf ini, Allah ﷻ sahaja yang tahu apakah yang terjadi semasa mereka di dalam gua itu. Allah ﷻ telah menghalang orang lain daripada memasuki gua itu, maka Dia sahaja yang tahu apa yang akan terjadi.

 

وَأَسْمِعْ

dan alangkah tajam pendengaran Allah;

Allah ﷻ tahu segala-galanya tentang makhluk Dia. Dia Maha Tahu segala-galanya yang terjadi dalam alam ini. Khusus kepada kisah pemuda Kahf ini, Allah ﷻ sahaja yang tahu apakah percakapan pemuda Kahf itu sesama mereka.

Tentu banyak percakapan antara mereka, tetapi Allah ﷻ hanya memberitahu kepada kita sedikit Sahaja kerana yang sedikit itu sahaja yang penting untuk kita ambil pengajaran.

 

مَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَلِىٍّ

Tidak ada bagi mereka selain daripada-Nya sebarang pelindung pun

Keselamatan Pemuda Kahfi itu adalah dalam tangan Allah ﷻ. Allah ﷻlah yang menyelamatkan mereka semasa mereka di dalam gua itu dan Allah ﷻlah juga yang menyelamatkan mereka semasa mereka lari ke gua itu dan selepas mereka keluar dari gua itu. Tidak ada pun yang menyelamatkan mereka selain Allah ﷻ.

Oleh itu apabila ada manusia yang bertawasul dan mengambil berkat daripada Pemuda-pemuda Kahfi itu, amatlah mengarut sekali kerana mereka sendiri tidak memiliki kuasa. Mereka sendiri pun berharap kepada Allah ﷻ, maka bagaimana mereka hendak membantu orang lain?

 

وَلَا يُشرِكُ فِى حُكمِهِۦۤ أَحَدًا

dan Dia tidak berkongsi dengan sesiapa pun dalam membuat keputusan;

Apabila Allah ﷻ berkeinginan membuat sesuatu, Dia tidak perlu bertanya kepada sesiapa pun. Dia buat terus sahaja dan ia akan terjadi. Tidaklah Allah ﷻ perlu bermesyuarat dengan sesiapa, minta pendapat sesiapa. Ini adalah seperti pendapat sesat yang mengatakan Allah ﷻ ada melantik para wali yang mengurus alam ini. Ini adalah pandangan syirik (syirk fi tasarruf – mengurus). Maka kalau kita perlukan apa-apa, maka berdoa teruslah kepada Allah ﷻ kerana semua keputusan di tangan Allah ﷻ. Kalau kita perlukan bantuan apa-apa pun, Allah ﷻ sahaja yang boleh bantu.

Sekian, habis kisah Para Pemuda Kahfi itu.


 

NASIHAT KEPADA RASULULLAH

Kahf Ayat 27: Dalil Wahyi (arahan daripada Allah ﷻ).

وَٱتلُ مَآ أُوحِىَ إِلَيكَ مِن ڪِتَابِ رَبِّكَ‌ۖ لَا مُبَدِّلَ لِكَلِمَـٰتِهِۦ وَلَن تَجِدَ مِن دُونِهِۦ مُلتَحَدًا

 Sahih International

And recite, [O Muhammad], what has been revealed to you of the Book of your Lord. There is no changer of His words, and never will you find in other than Him a refuge.

Malay

Dan bacakanlah apa yang diwahyukan kepadamu daripada kitab Tuhanmu; tiada sesiapa yang dapat mengubah kalimah-kalimah-Nya; dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripada-Nya.

 

وَٱتلُ مَآ أُوحِىَ إِلَيكَ مِن ڪِتَابِ رَبِّكَ‌ۖ

Dan bacakanlah apa yang telah diwahyukan kepada kamu daripada kitab Tuhanmu;

Ini adalah ayat perintah. Allah ﷻ mengarahkan Nabi ﷺ untuk terus membacakan ayat-ayat Al-Qur’an kepada manusia. Bukan Nabi ﷺ baru sekarang disuruh untuk baca, tetapi baginda disuruh untuk teruskan membaca, terus lakukan apa yang baginda telah lakukan.

Termasuk juga kena bacakan kepada Ahli Kitab. Mereka tidak berpuas hati kerana Nabi ﷺ tidak memberikan maklumat seperti yang mereka mahukan. Mereka adalah satu bangsa yang suka maklumat-maklumat yang terperinci. Maklumat-maklumat itu semua tidak penting tetapi mereka mahu tahu juga.

Oleh itu jangan jadi seperti mereka yang ingin tahu segala perkara kerana kalau ada maklumat yang tidak disebut oleh Allah ﷻ, itu bermakna maklumat itu tidak penting untuk diketahui. Maka kita kena rasa cukup dengan maklumat yang diberikan oleh Allah ﷻ.

Allah ﷻ juga memerintah Nabi ﷺ membacakan ayat-ayat Al-Qur’an dan menyampaikannya kepada manusia. Maknanya, dalam berdakwah, kita kena bacakan kepada manusia ayat-ayat Al-Qur’an. Itulah cara dakwah yang sebenarnya. Semasa Nabi ﷺ berdakwah dulu, baginda juga berdakwah dengan membacakan ayat Al-Qur’an kepada manusia. Tidaklah baginda menyanyikan nasyid dan qasidah pula.

Terdapat hikmah yang tinggi dalam ayat-ayat Al-Qur’an yang dapat membuka hati manusia. Itulah yang kita kena ajarkan kepada manusia. Selepas mereka telah menerima Al-Qur’an, boleh kita teruskan dengan mengajar hadith kepada mereka. Hadith itu boleh dibacakan kepada mereka yang telah menerima tauhid.

Kalau mereka belum terima tauhid, mereka akan tanya bermacam-macam perkara sampai kita sendiri susah hendak menjawabnya. Ini kerana hadith itu ada yang sahih, ada yang lemah dan ada yang palsu. Mereka akan menimbulkan banyak persoalan tentang hadith. Ini adalah kerana hati mereka belum menerima tauhid. Akan tetapi tentang ayat-ayat Al-Qur’an, tidak ada sesiapa yang berani mempersoalkan kerana ia memang mutawatir daripada Allah ﷻ.

Setelah dibacakan ayat-ayat wahyu, maka mestilah diikuti. Bukannya seperti orang kita yang hanya baca sahaja tanpa faham (kalau tidak faham, bagaimana hendak ikut?). Ini kerana kalimah اتْلُ ada membawa maksud ‘ikut’ seperti yang digunakan di dalam Syams: 2

وَٱلقَمَرِ إِذَا تَلَٮٰهَا
dan bulan apabila mengikutinya,

Untuk mengharap rahmat daripada Allah ﷻ, hendaklah kita ikuti ajaran di dalam Al-Qur’an dengan sebaik-baiknya. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Fatir: 29

إِنَّ الَّذينَ يَتلونَ كِتٰبَ اللهِ وَأَقامُوا الصَّلَوٰةَ وَأَنفَقوا مِمّا رَزَقنٰهُم سِرًّا وَعَلانِيَةً يَرجونَ تِجٰرَةً لَّن تَبورَ
Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah dan mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka dengan diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan merugi,

Lihatlah di dalam Fatir: 29 ini Allah ﷻ sebut amalan yang dilakukan setelah membawa kitab. Maknanya bukan setakat baca sahaja, tetapi mestilah beramal. Begitulah yang dimaksudkan dengan ‘sebenar-sebenar bacaan’ seperti disebut di dalam Baqarah: 121

الَّذينَ ءَاتَينَـٰهُمُ ٱلكِتَـٰبَ يَتلونَهُ حَقَّ تِلاوَتِهِ أُولٰئِكَ يُؤمِنونَ بِهِ
Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan, mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya;

 

لَا مُبَدِّلَ لِكَلِمَـٰتِهِۦ

Tidak ada sesiapapun yang boleh merubah kalimah-kalimahNya;

Ini bermaksud tidak ada sesiapa yang boleh mengubah ayat-ayat Al-Qur’an. Mungkin ada yang hendak menambah maklumat-maklumat yang ada dalam Al-Qur’an tetapi mereka tidak boleh langsung.

Ayat ini juga hendak menempelak golongan Ahli Kitab yang telah mengubah kandungan kitab mereka. Allah ﷻ mengingatkan kepada orang Islam supaya jangan mengubah ayat-ayat Al-Qur’an. Sebenarnya, kalau mereka hendak ubah pun, memang tidak boleh. Ini kerana Allah ﷻ telah mengatakan dalam ayat ini dan ayat-ayat lain bahawa tidak ada sesiapa yang boleh ubah Al-Qur’an. Allah ﷻ akan menjaga kandungan Al-Qur’an sampai bila-bila.

Selain itu, ia juga bermaksud kita tidak boleh mengubah mana-mana keputusan Allah ﷻ. Allah ﷻ telah tetapkan sesuatu itu terjadi. Contohnya, kalau Allah ﷻ sudah tetapkan seseorang itu mati sebagai kafir, kita tidak boleh berbuat apa-apa pun. Kita kena terima bahawa Allah ﷻ itu adalah Maha Adil. Jangan kita sekali-kali kita kata Allah ﷻ tidak berlaku adil bila-bila masa pun.

 

وَلَن تَجِدَ مِن دُونِهِۦ مُلتَحَدًا

Dan kamu tidak akan dapat selain daripada Allah tempat berlindung;

Nanti di Padang Mahsyar tidak ada tempat untuk berlindung daripada Allah ﷻ. Bukan di akhirat sahaja, di dunia lagi tidak dapat lari daripada ketentuan Allah ﷻ. Perkataan مُلْتَحَدًا diambil daripada katadasar ل ح د (lahad) yang bermaksud suatu tempat yang longgar yang kita dapat bergerak di dalamnya. Allah ﷻ berkata bahawa di akhirat kelak tidak ada tempat keluar dan tidak ada ruang untuk melarikan diri. Kita semua akan berada dalam pegangan-Nya.

Ada yang menafsirkan bahawa maksud ayat ini adalah: jikalau Nabi ﷺ tidak membacakan ayat Al-Qur’an kepada manusia, tidak ada tempat berlindung bagi Nabi Muhammad ﷺ daripada Allah ﷻ kerana baginda tidak menjalankan tugas baginda. Ini selari dengan ayat lain iaitu Jin: 22

قُل إِنّي لَن يُجيرَني مِنَ اللهِ أَحَدٌ وَلَن أَجِدَ مِن دونِهِ مُلتَحَدًا
Katakanlah lagi; “Sesungguhnya aku, tidak sekali-kali akan dapat diberi perlindungan oleh sesiapa pun daripada (azab) Allah (jika aku menderhaka kepada-Nya), dan aku tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripada-Nya,


 

Kahf Ayat 28: Tasliah (pujukan) kepada Nabi Muhammad ﷺ.

وَٱصبِر نَفسَكَ مَعَ ٱلَّذِينَ يَدعُونَ رَبَّہُم بِٱلغَدَوٰةِ وَٱلعَشِىِّ يُرِيدُونَ وَجهَهُ ۥ‌ۖ وَلَا تَعدُ عَينَاكَ عَنہُم تُرِيدُ زِينَةَ ٱلحَيَوٰةِ ٱلدُّنيَا‌ۖ وَلَا تُطِع مَن أَغفَلنَا قَلبَهُ ۥ عَن ذِكرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَٮٰهُ وَكَانَ أَمرُهُ ۥ فُرُطًا

 Sahih International

And keep yourself patient [by being] with those who call upon their Lord in the morning and the evening, seeking His countenance. And let not your eyes pass beyond them, desiring adornments of the worldly life, and do not obey one whose heart We have made heedless of Our remembrance and who follows his desire and whose affair is ever [in] neglect.

Malay

Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Qur’an, serta dia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.

 

وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ

Dan bersabarlah diri kamu bersama dengan orang yang menyeru Tuhan mereka

Maksud وَاصْبِرْ adalah ‘sabarkanlah’, tabahlah. Allah ﷻ suruh Nabi ﷺ bersabar iaitu berasa cukup dengan pengikut-pengikut Nabi ﷺ yang telah ada sekarang iaitu sahabat-sahabat baginda. Ia bukan sahaja bermaksud duduk bersama mereka, akan tetapi hidup bersama mereka, bermuamalah bersama mereka, tanya pendapat mereka, bekerja dengan mereka.

Sebab mereka itulah orang yang telah menerima kebenaran, yang telah beriman dan yakin, yang telah mengorbankan segala-galanya buat Tuhan. Mereka telah meninggalkan jahiliyah dan hidup bersama Nabi ﷺ dalam Islam. Setia dalam senang dan susah, dan telah memutuskan ikatan dengan kaum keluarga mereka yang masih menyembah berhala. Bersedia mengikuti Nabi ﷺ ke mana pun baginda berpindah (muhajirin) dan bersedia menyambut dan membela baginda dengan harta dan jiwa (Ansar).

Ada di antara mereka yang dahulu kaya, sekarang telah kehabisan harta bendanya. Ada di antara mereka pemuda, yang telah terputus hubungan dengan orang tuanya. Ada di antara mereka merupakan bekas hamba, yang telah mendapat kembali harga diri kerana iman. Pagi dan petang mereka menyembah Allah ﷻ dengan tekun. Mereka yang berbagai corak itu telah bersatu dalam satu ikatan, iaitu ikatan Islam. Hendaklah engkau wahai utusan-Ku – demikian firman Allah ﷻ – tahan dan sabar hidup bersama mereka memimpin mereka.

 

بِالْغَدَوٰةِ وَالْعَشِيِّ

pagi-pagi dan petang-petang

Para sahabat beribadat kepada Allah ﷻ walaupun di waktu-waktu yang sibuk. Ini kerana waktu pagi dan petang itu merupakan waktu-waktu yang manusia lain menghabiskan masa dengan dunia. Namun begitu para sahabat itu meninggalkan waktu yang sibuk itu untuk beribadat kepada Allah ﷻ. Ada waktu yang kena solat iaitu waktu-waktu yang telah ditetapkan. Ini juga menjadi dalil bagi saranan untuk melakukan zikir pagi dan petang.

Juga bila disebut pagi dan petang, ini adalah isyarat kepada sepanjang masa. Begitulah yang dilakukan oleh para Sahabat. Mereka sentiasa ingat kepada Allah ﷻ dan kita pun sepatutnya begitulah hendaknya. Maknanya, dalam buat kerja seharian, ingatlah kepada Allah ﷻ juga. Bukan waktu ibadat sahaja kita kena ingat Allah ﷻ tetapi sepanjang masa.

Apabila mereka sentiasa ingat kepada Allah ﷻ, maka ini akan mengundang bantuan daripada Allah ﷻ. Oleh kerana itu Rasulullah ﷺ kena bersama dengan mereka kerana baginda juga tentunya berharap bantuan daripada Allah ﷻ.

 

يُرِيدُونَ وَجْهَهُ

Mereka ingin keredhaan Allah semata-mata; 

Maksud ‘mahu Wajah Allah’ bermaksud mahu keredhaan Allah ﷻ semata. Para sahabat Nabi ﷺ itu ikhlas dalam amal ibadat mereka. Segala amalan yang mereka buat itu adalah kerana mengharapkan redha Allah ﷻ semata-mata. Mereka bukannya berharap kepada kebendaan duniawi walaupun mereka itu orang yang rata-ratanya orang miskin belaka.

Namun begitu tidaklah mereka berharap kosong sahaja tetapi mereka berharap dengan melakukan amal kebaikan dan amal ibadah. Jangan kita tidak berbuat apa-apa tetapi dalam masa yang sama, hendak berharap.

Kata وَجْهَهُ wajah-Nya menjadi bahan pembicaraan para agamawan. Pening pula golongan yang kepalanya mahu membayangkan wajah Allah, maka mereka pun mulalah takwil maksud ‘wajah’ di sini. Dapat dipastikan bahawa yang dimaksudkan dengan ‘wajah’ di sini bukanlah wajah sebagaimana wajah makhluk, kerana Allah ﷻ tidak menyerupai sesiapa pun. Iaitu Allah ﷻ ada mempunyai wajah, akan tetapi tidaklah kita kata wajah-Nya sama seperti wajah makhluk pula. Sebagai contoh, pintu pun ada wajah juga, tetapi tidaklah sama dengan wajah kita, bukan?

Bagi makhluk, wajah adalah bahagian yang paling menonjol dari sisi luarnya serta paling jelas menggambarkan identitinya. Jika suatu susuk tertutup wajahnya, maka tidak mudah mengenal siapa dia. Sebaliknya jika seluruh sisi luarnya tertutup, kecuali wajahnya, maka dia masih dapat dibezakan daripada susuk yang lain, bahkan tanpa kesulitan dia dapat dikenali. Demikian wajah menjadi pertanda identiti. Dari sini dapat difahami pendapat sesetengah ulama yang memahami kata wajah yang digunakan bagi Allah ﷻ dalam erti sifat-sifat-Nya yang tercakup dalam al-Asma’al-Husna, kerana nama-nama itu menjelaskan sifat-sifat Allah ﷻ dan dengannya dapat terungkap sedikit lagi, sesuai dengan kemampuan manusia, siapa Tuhan Yang Maha Esa itu.

Seseorang yang menghadap Allah ﷻ dengan menyeru salah satu nama-Nya – katakanlah menyeru ar-Rahman, maka dia pada hakikatnya memohon sebahagian daripada rahmat kasih sayang-Nya tercurah kepadanya. Demikianlah sehingga dengan menyebut nama-Nya itu si pemohon mengharapkan wajah-Nya, yang dalam hal ini adalah percikan daripada rahmat- Nya yang merupakan salah satu daripada sifat-sifat-Nya yang Maha Sempurna dan indah itu. Begitu juga dengan menyeru sifat-sifat-Nya yang lain, sehingga pada akhirnya kita dapat berkata, siapa yang mengharapkan wajah-Nya maka dia mengharap curahan daripada sifat-sifat-Nya yang indah itu, dengan jalan menempatkan diri pada posisi yang menjadikan dia dapat memperoleh anugerah. Ini sama seperti dengan seseorang yang menghadapkan wajahnya kepada orang lain agar dia dapat dilihat dan diberikan anugerah.

Dapat juga dikatakan bahawa mengharap wajah-Nya bererti mengharap redha-Nya, kerana seseorang yang diredhai tidak akan dibelakangi, tetapi akan dilihat dengan penuh kasih sayang, dan ini menuntut terarahnya wajah kepada yang disukai/diredhai itu.

Ada yang mengatakan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan Pemuka-pemuka Quraish yang mahu supaya Nabi ﷺ membuat sebuah majlis khas untuk mereka, supaya tidak dicampuri oleh orang-orang yang miskin dan lemah, antaranya Bilal, Ammar dan Ibn Mas’ud رضي الله عنهم. Mereka tidak mahu menyertai majlis Nabi ﷺ kerana majlis Nabi ﷺ dipenuhi dengan orang-orang yang miskin dan lemah. Mereka merasakan mereka berkedudukan tinggi dan tidak layak bercampur dengan golongan lemah dan miskin. Ini seperti disebut juga di dalam Syuara’: 111

قالوا أَنُؤمِنُ لَكَ وَاتَّبَعَكَ الأَرذَلونَ
Mereka berkata: “Apakah kami akan beriman kepadamu, padahal yang mengikuti kamu ialah orang-orang yang hina?”.

Maknanya mereka rasa terhina pula kalau duduk-duduk bersama dengan orang-orang yang miskin dan tidak berpengaruh. Allahﷻ melarang ikut permintaan mereka dengan menurunkan ayat yang kita sedang pelajari ini. Allah ﷻ tidak benarkan baginda menghalau para sahabat yang ikhlas itu. Memang mereka lemah dan rendah dalam masyarakat. Namun, mereka yang miskin dan lemah itu telah memberikan segalanya untuk bersama dengan Nabi ﷺ. Hati mereka ikhlas untuk mendapatkan keredhaan Allah ﷻ. Larangan ini juga ada disebut di dalam An’am: 52

وَلا تَطرُدِ الَّذينَ يَدعونَ رَبَّهُم بِالغَدوٰةِ وَالعَشِيِّ يُريدونَ وَجهَهُ ۖ ما عَلَيكَ مِن حِسابِهِم مِّن شَيءٍ وَما مِن حِسابِكَ عَلَيهِم مِّن شَيءٍ فَتَطرُدَهُم فَتَكونَ مِنَ الظّٰلِمينَ
Dan janganlah engkau usir orang-orang yang beribadat dan berdoa kepada Tuhan mereka pagi dan petang, sedang mereka menghendaki keredaan-Nya semata-mata. Tiadalah engkau bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amal mereka, dan mereka juga tidak bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amalmu. Maka (sekiranya) engkau usir mereka, nescaya menjadilah engkau daripada orang-orang yang zalim.

 

وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ

dan jangan sekali-kali kamu palingkan kedua mata kamu daripada mereka;

Maka baginda dilarang daripada meninggalkan para sahabat. Baginda tidak boleh tidak memandang mereka. Baginda tidak boleh tidak menghiraukan mereka. Baginda kena tetapkan hubungan dengan mereka. Lihatlah mereka dengan pandangan rahmah, pandangan kasih sayang.

Ini juga adalah dugaan kepada guru. Bila sudah mula mengajar manusia, dan yang belajar itu sudah boleh terima, guru itu hendaklah sentiasa mengajar mereka. Tidak boleh tinggalkan mereka. Hendaklah mengajar anak murid itu secara berterusan. Guru tidak boleh tidak memperdulikan anak-anak murid dia yang dia telah mula ajar itu. Kena sentiasa tanya khabar dan terus mengajar mereka. Jangan bila ada anak murid yang kaya, beri lebih perhatian kepada anak murid yang kaya pula.

Allah ﷻ menasihati Nabi ﷺ kerana baginda rasa kalau orang-orang yang elit itu mahu beriman dan mendengar kata baginda, mereka akan menguatkan lagi Islam. Tentu kalau mereka masuk Islam, lebih ramai lagi manusia akan mengikuti mereka dan masuk Islam. Oleh itu baginda rasa kalau baginda boleh buat majlis khas untuk mereka, itu akan memberikan harapan yang baik kepada Islam secara keseluruhan. Harapan Nabi ﷺ itu suci, akan tetapi Allah ﷻ lebih mengetahui apa yang lebih baik.

Ada dua golongan pada zaman itu yang Nabi ﷺ mengharapkan sangat mereka itu akan beriman. Pertama adalah golongan ‘elit dalam masyarakat’ seperti puak Quraish. Keduanya adalah golongan yang ‘elit dalam ilmu agama’ iaitu pendeta-pendeta Yahudi. Dua golongan ini Nabi ﷺ rasa kalau mereka beriman, mereka akan dapat membawa masuk lebih ramai lagi pengikut-pengikut mereka ke dalam Islam.

Islam telah mengubah bagaimana cara kriteria manusia dinilai. Sekarang bukan lagi dikira status mereka dalam masyarakat. Yang penting dalam Islam adalah mereka yang bertaqwa. Mereka yang bertaqwa itu lebih tinggi statusnya dalam Islam. Sekiranya Nabi ﷺ memberi perhatian kepada orang yang berkedudukan dalam masyarakat, hanya kerana mereka kaya atau berpengaruh, itu akan menyebabkan patah hati dalam kalangan sahabat-sahabat yang lain.

Bukanlah Nabi ﷺ mahukan kedudukan dan kekayaan kalau bergaul dengan golongan kaya dan berpengaruh itu tetapi tujuan Nabi ﷺ adalah supaya dakwah Islam dapat diperkembangkan lagi. Pada baginda, kalau golongan berpengaruh itu terima Islam, maka akan menyebabkan semakin ramai lagi manusia yang masuk Islam. Walaupun tujuan baginda itu baik, tetapi itu pun tidak dibenarkan oleh Allah ﷻ. Nabi ﷺ pernah ditegur dalam Surah Abasa berkenaan perkara ini.

Dalam Islam, kita tidak boleh ada rasa kita lebih baik atau hebat daripada orang lain berdasarkan kepada status kita. Kita memang disuruh menghormati orang lain kerana umur mereka dan ilmu mereka. Akan tetapi jangan berlebihan sangat. Jangan kita mengharap orang menghormati kita disebabkan oleh kedudukan kita.

Nabi ﷺ pernah memberikan pangkat panglima kepada seorang yang berusia muda iaitu Saad bin Abi Waqqas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ walaupun ada lebih ramai lagi sahabat yang lebih tua. Ini adalah untuk mengajar sahabat bahawa kedudukan dalam masyarakat bukanlah kerana kedudukan dalam masyarakat atau kerana telah lama dalam Islam. Nabi ﷺ pernah melantik Amr al As رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menjadi panglima perang walaupun beliau baru sahaja memeluk Islam selama tiga bulan. Pada waktu itu Amr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mengetuai sahabat yang besar seperti Abu Bakr dan Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا. Namun begitu sahabat lain taat kepada Amr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ walaupun beliau baru sahaja memeluk Islam.

Kita juga kena ambil pengajaran daripada ayat ini. Katakanlah kita dijemput untuk beri ceramah tetapi penganjur pun ada juga menjemput orang lain yang lebih muda. Jangan kita melenting jikalau slot yang diberikan kepada kita kurang daripada yang diberikan kepada orang muda itu. Jangan kita meninggi diri.

 

تُرِيدُ زِينَةَ الْحَيَوٰةِ الدُّنْيَا

hanya kerana hendakkan kehidupan di dunia;

Jangan guru itu tinggalkan mana-mana anak muridnya jika dia sudah ada anak murid yang lebih berharta. Walaupun ada anak-anak murid lain yang lebih kaya atau lebih ramai, jangan dia lupakan anak murid yang lama. Itu tidak boleh.

Bukanlah maksud ayat ini Nabi ﷺ mahukan kesenangan dunia pula. Tidaklah begitu maksudnya. Akan tetapi baginda memikirkan bagaimana hendak menyebarkan agama dengan lebih meluas lagi. Maka baginda berharap yang orang-orang kaya dan berpengaruh di Mekah itu mahu beriman dengan agama Islam kerana kalau mereka beriman, tentu lebih ramai lagi akan masuk beriman juga.

Memang tujuan dan niat baginda itu baik, tetapi Allah ﷻ ingatkan baginda jangan lupakan sahabat baginda yang ikhlas dalam beragama itu kerana mahukan kepada orang kaya dan berpengaruh. Jangan berharap kepada mereka.

Kita sekarang pun ada dugaan ini juga. Katakanlah kita AJK masjid. Kalau ada seorang yang menghulurkan derma lebih sedikit daripada orang lain, kita sudah mula melayannya lain macam. Padahal, bukan tentu dia seorang yang rajin datang ke masjid pun. Ada lagi orang lain yang berjasa kepada masjid maka mereka itu jangan dilupakan.

 

وَلَا تُطِع مَن أَغفَلنَا قَلبَهُ ۥ عَن ذِكرِنَا

Dan jangan kamu taat kepada orang yang telah Kami lalaikan hati mereka dari mengingati Kami;

Pernah orang kaya mahu bercakap dengan Nabi Muhammad ﷺ dan kononnya hendak belajar. Akan tetapi mereka beri syarat: kalau mahukan mereka bercakap dengan baginda, maka kena asingkan mereka daripada orang-orang yang miskin dan hina (pada pandangan mereka itu). Maka terdetik juga di hati baginda untuk mengadakan majlis asing khas untuk orang-orang kaya itu. Maka Allah ﷻ telah menegur baginda supaya jangan buat begitu.

Ini kerana orang-orang seperti itu tidak dapat dijadikan kawan. Sebab hati mereka telah tertutup daripada mengingati Allah ﷻ. Petang dan pagi mereka hanya memperturutkan hawa nafsu. Yang mereka cari siang malam hanyalah harta benda, isi alam yang dijadikan Tuhan, sesuatu yang tidak kekal. Segala usaha dan kerjanya tidak lagi mengenal batas-batas, halal dan haram.

Cuma di dalam ayat ini Allah ﷻ beritahu Dia yang lalaikan hati mereka. Adakah Allah ﷻ yang membuat keputusan begitu? Kalau begitu, mereka itu tidaklah salah kerana Allah ﷻ yang membuat keputusan begitu, bukan? Ini adalah fahaman yang salah. Ayat sebegini mestilah dibaca dengan ayat-ayat yang lain. Seperti ayat Saf: 5. Daripada pemahaman melalui ayat-ayat itu, kita dapat faham yang Allah ﷻ lalaikan hati-hati mereka kerana mereka yang memalingkan hati mereka daripada Allah ﷻ pada asalnya.

فَلَمّا زاغوا أَزاغَ اللَّهُ قُلوبَهُم
Maka tatkala mereka berpaling (daripada kebenaran), Allah memalingkan hati mereka

Jangan kita ikut hawa nafsu dan kehendak mereka yang lalai dalam agama. Kadang-kadang kita rasa orang kaya yang kita mengajar itu lebih baik sebab dia memiliki banyak duit dan kita rasa dengan duit itu kita boleh lebih banyak tolong orang lain. Padahal mereka tidak pedulikan Al-Qur’an dan Allah ﷻ. Mereka mungkin jemput kita kerana mereka mahu menampakkan diri mereka islamik sahaja. Maka kita kena pandai nilaikan sendiri.

Mungkin ada yang berhujah: apa salahnya kalau Nabi ﷺ mengadakan majlis yang khusus untuk golongan yang kaya dan berpengaruh itu? Bukannya lama pun, sekejap sahaja. Ia tidaklah bermakna yang baginda tinggalkan para sahabat baginda yang miskin itu, bukan? Itu hanya hujah akal yang lemah sahaja. Kalaulah Nabi ﷺ buat begitu, maka ia memberi kedudukan yang tinggi kepada orang lain dan akan menyebabkan para sahabat akan terasa hati. Islam tidak mengamalkan sistem diskriminasi dalam dakwah dan pengajian ilmu. Semua manusia sama sahaja di mata Allah ﷻ, kaya atau miskin. Yang membezakan manusia adalah tingkatan taqwa mereka.

 

وَاتَّبَعَ هَوَىٰهُ

dan mereka itu mengikuti hawa nafsunya;

Tidak boleh ikut mereka kerana mereka hanya mengikut hawa nafsu mereka sahaja. Begitulah sikap orang yang jauh daripada wahyu. Apabila kita ajak mereka untuk belajar tafsir Al-Qur’an, mereka beralasan sahaja. Ada sahaja masalah dan halangan bagi mereka mereka. Mereka tolak dengan kata ‘tapi’. Kata kita betul, tapi…… Itulah sahaja alasan mereka.

 

وَكَانَ أَمرُهُ ۥ فُرُطًا

dan tingkah-laku mereka melampaui batas

Oleh kerana mereka mengikut hawa nafsu mereka, maka tindakan mereka melampaui batas yang ditetapkan dalam agama. Mereka sudah tidak kisah akan batas-batas dalam agama.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 29 Mei 2024

Ringkasan Surah Kahf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Kahfi Ayat 22 – 24 (Bilangan Pemuda-pemuda Kahf)

BERAPAKAH BILANGAN MEREKA?

Kahf Ayat 22: Ayat ini hendak menceritakan berapa ramai Pemuda-pemuda Gua itu. Allah ﷻ hendak menceritakan tentang pertelingkahan manusia tentang bilangan pemuda Kahfi itu. Allah ﷻ menceritakan tiga pendapat dan melemahkan dua daripada pendapat tersebut.

سَيَقولونَ ثَلٰثَةٌ رّابِعُهُم كَلبُهُم وَيَقولونَ خَمسَةٌ سادِسُهُم كَلبُهُم رَجمًا بِالغَيبِ ۖ وَيَقولونَ سَبعَةٌ وَثامِنُهُم كَلبُهُم ۚ قُل رَّبّي أَعلَمُ بِعِدَّتِهِم مّا يَعلَمُهُم إِلّا قَليلٌ ۗ فَلا تُمارِ فيهِم إِلّا مِراءً ظٰهِرًا وَلا تَستَفتِ فيهِم مِّنهُم أَحَدًا

 Sahih International

They will say there were three, the fourth of them being their dog; and they will say there were five, the sixth of them being their dog – guessing at the unseen; and they will say there were seven, and the eighth of them was their dog. Say, [O Muhammad], “My Lord is most knowing of their number. None knows them except a few. So do not argue about them except with an obvious argument and do not inquire about them among [the speculators] from anyone.”

Malay

(Sebahagian dari) mereka akan berkata: “Bilangan Ashaabul Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka “; dan setengahnya pula berkata:”Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka” – secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak diketahui; dan setengahnya yang lain berkata: “Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kelapannya ialah anjing mereka”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit”. Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran), dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari golongan (yang membincangkannya).

 

سَيَقُولُونَ ثَلٰثَةٌ

Ada di antara mereka yang akan kata pemuda-pemuda gua itu tiga orang

Allah ﷻ beritahu yang akan ada dalam kalangan manusia yang kata bilangan pemuda itu tiga orang semuanya tetapi Allah ﷻ gunakan kalimah سَيَقُولُونَ yang bermaksud mereka ‘akan’ berkata. Maknanya belum cakap lagi. Ini bermakna Allah ﷻ sudah beritahu awal-awal apa kata mereka. Soalannya, siapakah yang dimaksudkan? Terdapat dua kemungkinan:

1. Mungkin yang dimaksudkan adalah umat yang hidup pada zaman para Pemuda Kahf itu. Mereka tahu serba sedikit kisah tentang para pemuda yang melarikan diri untuk menyelamatkan akidah mereka tetapi mereka tidak ada maklumat yang sebenarnya.

2. Yang berkata dalam ayat ini adalah golongan Yahudi atau Nasrani pada zaman Nabi Muhammad ﷺ. Maklumat tentang bilangan mereka itu tidak diketahui dengan umum kerana ia sudah berlalu terlalu lama maka maklumat tentang mereka sudah menjadi samar-samar.

 

رَّابِعُهُمْ كَلْبُهُمْ

dan keempatnya adalah anjing mereka

Jangan lupa tentang anjing pula. Kita telah baca sebelum ini yang anjing itu menunggu sahaja di pintu gua itu. Ditambah dengan tiga orang lelaki dan seekor anjing, bermaksud jumlahnya adalah empat.

 

وَيَقُولُونَ خَمْسَةٌ

dan ada pula yang kata mereka itu lima orang,

Manakala ada pula yang berkata para pemuda itu ada lima orang. Tadi dikatakan tiga orang, sekarang pendapat yang mengatakan lima orang pula.

 

سَادِسُهُمْ كَلْبُهُمْ

yang keenam itu anjing mereka

Sementara yang keenam daripada mereka adalah anjing itu.

 

رَجْمًا بِالْغَيْبِ

Itu semua adalah tekaan tanpa dalil tentang perkara ghaib;

Allah ﷻ beritahu yang dua pendapat di atas hanyalah tekaan sahaja. Kata-kata tanpa dalil. Kalimah رجم adalah perbuatan melempar ke suatu tempat yang tidak diketahuinya, sama ada lemparan itu mengenai sasaran atau tidak. Atau perbuatan seseorang yang melempar dalam gelap. Kalau terkena pun lemparan itu, itu hanyalah sebagai satu kebetulan sahaja. Kalau terkena pun, yang melempar tidak tahu sama ada tepat atau tidak.

Maknanya, mereka hanya meneka-neka sahaja bilangan pemuda di dalam gua itu kerana tidak dapat dipastikan perkara ini kerana ia telah lama berlaku dahulu. Perkara ini sudah termasuk perkara ghaib kerana kita tidak dapat melihat untuk pastikan kebenarannya. Ini mengajar kita yang jikalau Allah ﷻ tidak memberitahu kita tentang perkara ghaib, kita tidak akan tahu.

Ini juga memberitahu kita bahawa bilangan pemuda di dalam gua itu memang dibincangkan oleh Ahli Kitab dalam kalangan mereka dengan berbagai-bagai pendapat. Pendapat-pendapat itu tidak benar kerana mereka bergantung kepada maklumat yang tidak sahih. Tambahan lagi ketika itu, penulisan tidak tepat seperti sekarang.

 

وَيَقُولُونَ سَبْعَةٌ

Dan ada yang kata mereka itu tujuh orang

Sekarang Allah ﷻ sebut pendapat yang ketiga pula. Ini golongan lain pula selain daripada golongan Yahudi itu. Setelah Allah ﷻ sebut pendapat yang meneka-neka, sekarang Allah ﷻ berikan bilangan yang baru pula. Iaitu ada tujuh orang pemuda Kahfi itu.

 

وَثَامِنُهُمْ كَلْبُهُمْ

dan yang kelapan itu adalah anjing mereka;

Manakala bersama dengan tujuh orang pemuda itu, memang ada seekor anjing. Pada kali ini, Allah ﷻ tidak menafikan bilangan yang ini kerana tidak ada kalimah رَجْمًا بِالْغَيْبِ selepasnya. Maka, besar kemungkinan ini adalah bilangan yang betul kerana Allah ﷻ membezakan antara pendapat yang meneka sahaja dan pendapat yang betul.

Ada juga perbincangan kenapa ada harf و bersama ثَامِنُهُمْ sedangkan sebelum ini tidak ada. Lihat semula kalimah رَّابِعُهُمْ كَلْبُهُمْ tidak ada و dan kalimah سَادِسُهُمْ كَلْبُهُمْ juga tidak ada و bersamanya. Tiba-tiba di sini ada pula وَثَامِنُهُمْ كَلْبُهُمْ. Ahli bahasa mengatakan orang Arab dahulu mengira sehingga ke angka tujuh dan apabila sampai ke angka lapan, mereka akan tambah و. Allahu a’lam.

Akan tetapi pendapat Al-Biqa‘i رَحِمَهُ اللَّهُ, dan sebelumnya oleh pakar bahasa Arab dan tafsir, Az-Zamakhsyari رَحِمَهُ اللَّهُ, harf و difahami di sini berfungsi untuk menunjukkan betapa kukuh keterikatan antara sifat dan yang disifati dan bahawa hal sifat demikian mantap pada diri yang disifatinya, yakni bahawa para pengucap itu benar-benar mengucapkan ucapannya dengan pengetahuan yang mantap dan hati yang tenang, bukan perkiraan sebagaimana kedua ucapan sebelumnya. Maka ini hendak menunjukkan pendapat yang mengatakan mereka itu ada 7 orang adalah jawapan yang lebih kuat. Akan tetapi kita hendak kata ia tepat pun tidaklah boleh kerana Allah ﷻ pun tidak mengiyakan juga.

 

قُلْ رَّبِّي أَعْلَمُ بِعِدَّتِهِمْ

Katakanlah: Tuhanku lebih mengetahui jumlah mereka sebenarnya;

Ini adalah petunjuk bahawa yang terbaik dalam hal ini adalah mengembalikan pengetahuan itu kepada Allah ﷻ. Bilangan mereka pun tidak penting untuk diketahui kerana yang penting adalah kita ambil pengajaran daripada kisah mereka. Kita belajar tentang mereka dan jumlah bilangan mereka itu tidak mengandungi apa-apa pengajaran pun. Lainlah kalau hendak berbomoh, bertawassul atau perkara yang bukan-bukan pula.

 

مَّا يَعْلَمُهُمْ إِلَّا قَلِيلٌ

Tidaklah yang mengetahuinya melainkan sedikit sahaja;

Memang ada yang tahu berapa bilangan mereka dengan tepat, tetapi yang tahu itu tidak ramai. Yang sedikit itu tentulah orang yang hidup pada masa itu, yang turut ziarah ke dalam gua itu, termasuk raja negeri itu, dan mereka sekarang sudah tidak ada lagi. Atau yang sedikit itu ialah Rasul Allah ﷺ sendiri. Akan tetapi baginda dilarang Tuhan turut mempertengkarkan bilangan mereka sebab yang demikian itu hanyalah akan menghabiskan waktu belaka.

Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا dalam riwayat yang sahih mengatakan bahawa beliau adalah antara orang yang tahu tentang bilangan mereka. Beliau mengatakan bahawa jumlah mereka adalah seramai tujuh orang. Sama seperti yang dikatakan dalam pendapat ketiga ini.

 

فَلَا تُمَارِ فِيهِمْ

Maka janganlah kamu bertengkar tentang mereka

Kalimah تُمَارِ daripada katadasar م ر ي yang bermaksud untuk memukul tanah (dengan kaki kuda); teragak-agak; goyah; kebimbangan; risau; pertikaian; perbahasan; keraguan. Di sini kalimah تُمَارِ bermaksud pertikaian dan perbahasan. Oleh kerana bilangan ini tidak penting, maka kalau ada orang yang kata bilangan mereka sekian–sekian banyak, maka tidak perlu bertengkarlah kerana ia bukanlah perkara yang penting. Yang lebih penting adalah pengajaran yang kita boleh ambil daripada kisah mereka.

Allah ﷻ beritahu kerana ada banyak pendapat tentang perkara ini. Semua memperolehi daripada sumber-sumber yang berlainan. Kalau mahu dilayan semua, buang masa sahaja sedangkan ia bukan penting pun. Ini sama macam perbincangan tentang bumi datar atau bumi bulat. Tidak perlu masuk campurlah perbincangan buang masa ini. (Jawapannya bumi ini sfera, namun kalau yang hendak kata datar juga, biarlah).

 

إِلَّا مِرَاءً ظٰهِرًا

melainkan perkara yang zahir sahaja;

Allah ﷻ mengajar kita bahayanya jika mahu berbahas tentang perkara yang kita tidak ada ilmu. Hanya berbahas tentang perkara yang nampak jelas zahir sahaja. Maknanya bukanlah tidak boleh berbahas, berdebat dan bertengkar, tetapi hendaklah dilihat apa yang dibahaskan. Kalau perkara tidak ada di depan mata, masing-masing tidak ada bukti dan dalil, maka buat apa bertegang urat leher?

Juga bermaksud kita hanya berbahas dalam suasana sederhana dan ringan Sahaja kerana pengetahuan tentang masalah ini tidak membawa faedah yang banyak. Kalau tahu pun bilangan mereka, apa yang hendak kita buat dengan maklumat itu? Adakah boleh menambah iman kalau kita tahu bilangan mereka dengan tepat?

 

وَلَا تَسْتَفْتِ فِيهِمْ مِّنْهُمْ أَحَدًا

Dan jangan kamu tanya tentang mereka itu kepada seorang pun daripada mereka;

Kalimah تَسْتَفْتِ daripada katadasar ف ت ي yang bermaksud berani; pemurah; belia; kemurahan hati; sifat lelaki; orang muda; berani; hamba; memberi nasihat; menerangkan; memberi pendapat atau arahan; penghakiman atau keputusan; memberikan dekri undang-undang rasmi; mengeluarkan perintah (ilahi) atau undang-undang suci; menerangkan maksud; melafazkan; berunding; meminta pendapat atau nasihat. Kalimah ‘fatwa’ diambil daripada katadasar inilah. Di sini Allah ﷻ tidak membenarkan Nabi ﷺ tanya kepada golongan Yahudi itu kerana mereka sendiri pun tidak tahu berapakah jumlah Pemuda Kahfi itu dan yang mereka sebut bilangan itu hanyalah daripada tekaan mereka sahaja رَجْمًا بِالْغَيْبِ. Sebab itu mereka pun tanya kepada Nabi ﷺ kerana mereka pun tidak tahu.

Maka ini mengajar kita, kalau ada orang kita yang suka sangat hendak tahu perkara terperinci seperti bilangan, jenis, warna dan fakta lain daripada kisah-kisah islami, itu maknanya mereka itu ada sifat-sifat Yahudi kerana golongan Yahudi yang suka maklumat sebegitu. Atau jenis dukun bomoh yang buat amalan mengarut dengan hal ini. Biasa dukun-dukun menuliskan nama-nama itu pada kain putih dan diletakkan di tempat yang tersembunyi untuk menjaga rumah, sehingga pencuri takut memasuki pekarangan rumah itu. Ini adalah perbuatan khurafat dan boleh membawa kepada syirik!

Sememangnya jumlah Pemuda Kahfi itu tidak penting. Begitu juga, di mana mereka tinggal, itu juga tidak penting. Yang penting adalah cerita pengajaran tentang mereka. Yang penting pengajaran yang kita ingat di sini ialah keteguhan iman, keyakinan, semangat persaudaraan yang padu kerana sama pendirian. Kalau benar bahawa mereka itu adalah anak raja-raja, anak orang besar, dapatlah kita mengambil iktibar bagaimana kukuhnya keyakinan mereka, sehingga sanggup mereka meninggalkan hidup mewah, kerana tempat yang aman memelihara iman yang telah tumbuh dalam jiwa.

Sekian Ruku’ 3 daripada 12 ruku’.


 

KEPENTINGAN MENYEBUT IN SHA ALLAH

Kahf Ayat 23: Ayat ini dipanggil jenis ‘Jumlah Mu’taridah‘. Ayat ini dan ayat 24 ini bagaikan tiada kaitan dengan ayat sebelumnya. Seperti diselit cerita yang lain pula dalam rentetan kisah sebelum ini.

Dalam Al-Qur’an, terdapat banyak ayat yang sebegini. Dalam satu ayat menceritakan suatu perkara, tiba-tiba ada ayat yang nampak asing. Ini kerana Allah ﷻ hendak sampaikan pengajaran di tengah-tengah cerita. Seorang guru yang mengajar Al-Qur’an perlu memberitahu apakah yang dimaksudkan dengan ayat itu.

وَلا تَقولَنَّ لِشَيءٍ إِنّي فاعِلٌ ذٰلِكَ غَدًا

 Sahih International

And never say of anything, “Indeed, I will do that tomorrow,”

Malay

Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): “Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, esok”.

 

وَلَا تَقُولَنَّ لِشَيْءٍ

Jangan sekali-kali kamu berkata kepada sesuatu pun:

Ayat ini adalah peringatan kepada Nabi Muhammad ﷺ dan kita juga. Kita kena sedar yang kita tertakluk kepada qadha dan qadar yang Allah ﷻ telah tetapkan.

 

إِنِّي فَاعِلٌ ذَٰلِكَ غَدًا

“Sesungguhnya aku akan buat sesuatu perkara itu esok”.

Ingatlah yang hari esok bukan dalam tangan kita tetapi dalam kekuasaan Allah ﷻ. Ayat ini adalah teguran kepada Nabi Muhammad ﷺ kerana apabila orang Musyirikin Mekah bertanya kepada Nabi ﷺ tentang kisah penghuni gua itu, Nabi ﷺ kata baginda akan memberitahu jawapannya kepada mereka esok. Kerana selalunya Allah ﷻ akan memberikan jawapan dengan segera.

Ini menunjukkan bahawa Nabi ﷺ tidak tahu perkara ghaib. Sekiranya Nabi ﷺ tahu perkara ghaib, tentulah Nabi ﷺ akan terus jawab kepada mereka. Akan tetapi Nabi ﷺ tidak tahu perkara ghaib dan kerana itu Nabi ﷺ kena tunggu wahyu daripada Allah ﷻ. Maka kalau Nabi ﷺ pun tidak tahu, jangan kita percaya kalau ada tok guru-tok guru yang kata mereka tahu perkara ghaib. Kalau Nabi ﷺ sendiri pun tidak tahu, takkan mereka boleh tahu pula?

Malangnya, masyarakat kita yang jauh daripada wahyu, sampai ada kata kalau tok guru pandang sahaja muka seseorang itu, dia kononnya boleh tahu orang itu baik atau tidak. Berapa banyak wirid dia lakukan semalam, dan macam-macam lagi. Sampai ada anak murid takut untuk berjabat salam dengan guru itu kerana takut dapat tahu semua kesalahan dia. Itu semua syaitan yang ajar. Malang sekali fahaman ini berleluasa dalam ajaran tarekat.

Nabi ﷺ tidak mendapat wahyu tentang perkara ini selama beberapa hari. Ada yang kata sampai 15 hari. Ini adalah kerana Nabi ﷺ tidak mengucapkan ‘in sha Allah’ (kalau Allah ﷻ kehendaki). Allah ﷻ jadikan ini sebagai pengajaran kepada Nabi ﷺ dan juga kepada kita.

Oleh kerana Nabi ﷺ tidak terus dapat menjawab, baginda telah ditertawakan oleh orang kafir. Mereka kata Nabi ﷺ telah ditinggalkan oleh Tuhannya. Ini tentulah tidak benar sama sekali kerana akhirnya Allah ﷻ jawab jua.

Terdapat sebuah Hadith Bukhari & Muslim berkenaan Nabi Sulaiman عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga pernah tidak menyebut in sha Allah:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ سُلَيْمَانَ بْنَ دَاوُدَ قَالَ لَأَطُوفَنَّ اللَّيْلَةَ عَلَى سَبْعِينَ امْرَأَةً تَلِدُ كُلُّ امْرَأَةٍ غُلَامًا فَطَافَ عَلَيْهِنَّ فَلَمْ تَلِدْ امْرَأَةٌ مِنْهُنَّ إِلَّا امْرَأَةٌ نِصْفَ غُلَامٍ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ قَالَ إِنْ شَاءَ اللَّهُ لَكَانَ كَمَا قَالَ
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Sulaiman bin Dawud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pernah mengatakan, ‘Sungguh, aku akan bergilir-gilir di antara tujuh puluh wanita (isteri-isteri baginda) dalam satu malam, nescaya setiap daripada mereka akan melahirkan seorang anak laki-laki’. Lalu baginda bergilir bersama mereka dan tidak ada seorang pun daripada mereka yang melahirkan, kecuali seorang wanita yang melahirkan anak setengah laki-laki (cacat).” Rasulullah ﷺ kemudian bersabda: “Sekiranya Sulaiman mengucapkan ‘Insya Allah’, sungguh baginda akan mendapatkan sebagaimana yang baginda katakan.”
(Sahih Bukhari (1452))

Begitulah rencana Nabi Sulaiman عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ supaya para isteri baginda akan melahirkan anak laki-laki dan setelah anak itu dewasa kelak akan menjadi perajurit yang berjuang pada Sabilillah. Maka lupalah baginda mengucapkan kalimat In sya Allah! Maka disetubuhinyalah isteri-isterinya itu bergiliran. Akan tetapi yang kejadian adalah di luar rencana baginda. Tidak ada isteri itu yang mengandung di masa itu, kecuali seorang. Setelah isteri itu melahirkan anak, ternyata anak itu hanya separuh sifatnya sebagai manusia.” (Mungkin bodoh atau cacat).

Dalam ayat ini, Allah ﷻ mengajar Nabi ﷺ dan kita, jikalau hendak melakukan sesuatu pada masa akan datang, hendaklah baginda memulangkan hal itu kepada kehendak Allah ﷻ kerana Allah ﷻlah yang Maha Tahu tentang perkara ghaib, perkara yang telah terjadi, yang akan terjadi, yang tidak akan terjadi dan bagaimana akan terjadinya. Jangan pula kita kata kita pasti akan melakukannya kerana mungkin Allah ﷻ tidak benarkan.

Dengan mengucapkan in sya Allah, maka kita menyerahkan urusan kita kepada Allah ﷻ, dan Allah ﷻ suka. Begitulah yang pernah terjadi kepada Bani Israil yang banyak bertanya tentang jenis lembu yang perlu disembelih. Mereka bertanya dan bertanya sampai menyusahkan diri mereka sendiri. Akan tetapi apabila akhir sekali mereka sebut in sha Allah, maka Allah ﷻ bantu mereka mencari lembu itu seperti disebut di dalam Baqarah: 70

قالُوا ادعُ لَنا رَبَّكَ يُبَيِّن لَّنا ما هِيَ إِنَّ البَقَرَ تَشٰبَهَ عَلَينا وَإِنّا إِن شاءَ اللَّهُ لَمُهتَدونَ
Mereka berkata lagi: “Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkan-Nya kepada kami lembu betina yang mana satu? Kerana sesungguhnya lembu yang dikehendaki itu kesamaran kepada kami (susah kami memilihnya), dan kami insya Allah akan mendapat petunjuk (untuk mencari dan menyembelih lembu itu)”.


 

Kahf Ayat 24: Sambungan ayat ‘jumlah mu’taridah‘. Apakah adab kita apabila kita kata kita akan melakukan sesuatu?

إِلّا أَن يَشاءَ اللهُ ۚ وَاذكُر رَبَّكَ إِذا نَسيتَ وَقُل عَسىٰ أَن يَهدِيَنِ رَبّي لِأَقرَبَ مِن هٰذا رَشَدًا

 Sahih International

Except [when adding], “If Allah wills.” And remember your Lord when you forget [it] and say, “Perhaps my Lord will guide me to what is nearer than this to right conduct.”

Malay

Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): “Insya Allah”. Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa; dan katakanlah: “Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini”.

 

إِلَّا أَنْ يَشَاءَ اللهُ

Melainkan kamu kata “In sha Allah” – Jika Allah kehendaki;

Segala sesuatu bergantung kepada kehendak Allah ﷻ. Bukan kita yang tentukan. Walaupun kita sudah cakap in sha Allah pun, tetapi kalau Allah ﷻ tidak mahu ia terjadi, ia tidak ada terjadi. Kita cuma boleh merancang dan berharap sahaja.

Ini kerana kehendak kita dan kehendak Allah ﷻ mungkin tidak sama. Sepertimana Pemuda Kahfi ini, mereka bukannya mahu tinggal terus dalam gua itu selama 300 tahun lebih. Mereka hanya mahu singgah dan kemudian pergi ke tempat lain sahaja. Namun Allah ﷻ yang tetapkan mereka tinggal tidur dalam gua itu sampai lebih 300 tahun.

Tidak ada manusia yang boleh mengatakan apa yang terjadi esok hari, tahun hadapan dan sebagainya. Kalau ada yang kata ada tok guru yang tahu ilmu ghaib, itu adalah syirik kepada Allah ﷻ. Iaitu ‘syirik dalam ilmu’. Sepatutnya ilmu ghaib itu kepunyaan Allah ﷻ, tetapi kita kata ada manusia yang ada ilmu ghaib pula. Kalau kita cakap begitu, kita telah berbuat sesuatu yang syirik.

Kita hanya cakap in sha Allah pada perkara yang kita buat sahaja. Bukan kepada perkara yang Allah ﷻ buat. Contohnya, kita tidak perlu cakap “semoga Allah ampunkan dosa kita, in sha Allah”. Kerana perbuatan mengampunkan itu adalah kerja Allah ﷻ.

Malangnya, masyarakat kita yang jahil tentang salah gunakan kalimah ini. Pada mereka, kalau mereka tidak mahu lakukan, maka mereka sebut in sha Allah. Ini adalah kerana jahil sungguh dengan agama. Mereka telah tukar pemahaman agama dengan akal yang amat bodoh sekali.

 

وَاذْكُرْ رَبَّكَ إِذَا نَسِيتَ

Dan ingatlah Tuhan kamu ketika kamu lupa;

Seperti yang kita telah sebut di awal surah ini, apabila Musyrikin Mekah datang bertanyakan kepada Nabi Muhammad ﷺ tentang tiga perkara (setelah mereka dapat idea daripada Yahudi), maka Nabi ﷺ beritahu yang baginda akan beritahu esok. Nabi ﷺ tidak sebut in sha Allah. Nabi Muhammad ﷺ bukannya tidak tahu untuk sebut ‘in sha Allah’, tetapi pada kali ini baginda terlupa. Maka Allah ﷻ tegur baginda kerana terlupa sahaja.

Ada pengajaran dalam ayat ini: Kalau kita lupa sesuatu, sebutlah nama Allah ﷻ, bacalah contohnya ‘subhanallah‘ banyak kali. Mudah-mudahan dengan kita ingat Tuhan itu, Dia akan memberikan kita ingat kembali apa yang kita lupakan. Kerana lupa itu disebabkan oleh syaitan, seperti yang disebutkan dalam ayat 63 surah ini. Apabila syaitan telah diusir, in sha Allah, lupa itu akan hilang.

Lupa bukanlah hal yang disengaja. Melalui ayat ini dan beberapa ayat-ayat yang lain kita mendapat pelajaran bahawa kekhilafan atau kealpaan yang tidak disengajakan terjadi juga pada diri Nabi-nabi dan Rasul-rasul. Sebab itu maka ulama-ulama ahli sunnah sependapat bahawa kealpaan yang kecil itu tidak mustahil bagi seorang Nabi. Yang mustahil ialah jika seorang Nabi atau Rasul berbuat dosa besar! Namun demikian kealpaan yang kecil itu pun ditegur dengan halus oleh Tuhan. Kealpaan mengucapkan in sha Allah sebagai peneguh janji sahaja sudah ditegur. Ini kerana bagi Rasul-rasul dan Nabi, kealpaan kecil itu amat besar ertinya.

Allah ﷻ juga telah ajar kita untuk berdoa supaya Allah ﷻ tidak menghukum kita di atas kealpaan ini. Ini disebut di dalam ayat Baqarah: 286 yang kita dianjurkan untuk membacanya setiap hari ketika hendak tidur.

رَبَّنا لا تُؤاخِذنا إِن نَّسينا
Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa

Atau kalau lupa cakap ‘in sha Allah’ selepas kita bercakap dengan seseorang, kita boleh cakap juga dengan diri kita. Tidak perlu disebutkan kepada orang itu. Ini disunatkan kita lakukan. Kerana ia adalah antara kita dan Allah ﷻ supaya kita sentiasa terikat dengan Allah ﷻ. Ia adalah kalimah untuk menjaga akidah kita daripada rosak. Peringatan agar kita sedar yang usaha kita ini adalah ikhtiar sahaja, bukan taqdir Allah ﷻ. Sebagai contoh, selepas bercakap dengan seseorang dalam telefon dan kita berjanji (tetapi lupa hendak sebut in sha Allah) kita letak telefon. Tiba-tiba kita teringat, maka sebut sahaja pada diri kita: in sha Allah. Tidak perlulah telefon orang itu semula.

Tidak ada salahnya kalau kita gunakan ‘in sha Allah’ dengan orang bukan Islam pun. Jangan kita malu hendak menggunakannya di depan orang yang tidak faham apakah maksud ‘in sha Allah’ itu. Kalau mereka tanya, kita sudah ada peluang untuk mengajar kepada mereka.

 

وَقُلْ عَسَىٰ أَنْ يَهْدِيَنِ رَبِّي لِأَقْرَبَ مِنْ هَٰذَا رَشَدًا

Dan katakanlah: mudah-mudahan Tuhanku akan menunjukkan kepadaku petunjuk yang lebih dekat dari ini. 

Kita sentiasa mengharap supaya Allah ﷻ akan memberikan kita pengetahuan yang lebih mendalam. Contohnya, walaupun kita sudah ada guru yang telah memberikan satu pemahaman kepada kita, kadang-kadang Allah ﷻ akan memberikan guru yang lain, kawan yang baru atau buku yang lain, supaya kita lebih faham tentang agama.

Oleh kerana itu tidak salah kalau belajar dengan lebih daripada satu guru. Kadangkala kita sudah selesai belajar dengan satu guru, dan berjumpa guru lain yang lebih hebat, maka boleh sahaja kita bertukar guru. Itu maksudnya Allah ﷻ sudah beri guru yang lebih baik daripada guru kita. Guru itu pula janganlah terasa hati. Masalah dengan guru selalunya berkecil hati kalau anak murid belajar dengan orang lain. Untuk guru yang hatinya kecil, jangan hiraukan.

Maka begitu juga dengan ilmu kita. Kadangkala kita mendapat maklumat yang baru, dalil yang baru atau hujah yang baru. Maka biasalah kalau kita ubah pendapat kita kepada pendapat yang lain setelah kita mendapat maklumat yang lebih tepat.

Dua ayat yang kita sedang belajar ini dipanggil jumlah mu’taridah. Allah ﷻ tegur Nabi ﷺ kerana tidak sebut in sha Allah. Di dalam kisah Pemuda Kahfi ini, tiba-tiba Allah ﷻ menyelit untuk menceritakan sesuatu perkara yang penting. Maka kita pun diingatkan supaya tidak lupa menyebut in sha Allah dalam banyak perkara.

Selepas disebutkan peringatan untuk sebut in sha Allah itu, baru kembali kepada kisah Pemuda Kahfi. Oleh itu, kita boleh nampak banyak ayat Al-Qur’an yang perlu tafsiran, tidak boleh dibaca begitu sahaja. Oleh itu kena belajar berdepan – dinamakan belajar secara talaqqi. Barulah kita dapat faham Al-Qur’an dengan sebenarnya. Tidak boleh faham Al-Qur’an sendiri kerana takut tersalah faham kalau baca terjemahan dalam kitab sahaja. Sekiranya tersalah faham, buruk akibatnya.

Malangnya, orang Melayu kita salah faham dengan konsep ‘in sha Allah’ ini. Mereka gunakan kalimat ini sebagai indikasi yang mereka tidak mahu buat pula. Sebagai contoh, kalau ada orang ajak pergi ke sesuatu tempat, orang yang tidak mahu pergi kata: in sha Allah…. nanti aku pergilah….. Orang yang dengar pun sudah tahu: “ini kamu memang tak mahu pergi lah ni.”

Itu adalah cara penggunaan yang salah. Memang jenis orang jahil agama kalau begitu. Mereka lupa bahawa kalimah ini adalah sebagai janji daripada kita untuk melakukan sesuatu, cuma tidak dapat dilakukan jika Allah ﷻ tidak benarkan sahaja. Maka maksud penggunaan ‘in sha Allah’ perlu diperbetulkan dalam masyarakat kita. Mereka kena belajar ayat ini dengan betul.

Ayat ini ada kaitan juga dengan Ashabul Kahfi itu kerana mereka telah merancang untuk tinggal sekejap sahaja di gua, tetapi Allah ﷻ takdirkan mereka tinggal selama lebih daripada 300 tahun; mereka merancang untuk beli makanan dengan senyap supaya orang tidak perasan mereka tetapi akhirnya Allah ﷻ takdirkan mereka ditemukan juga oleh masyarakat setempat. Ini mengajar kita yang semua yang terjadi adalah dalam perancangan Allah ﷻ semata-mata.

Kita hanya boleh merancang sahaja, namun Allah ﷻ yang tentukan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 27 Mei 2024

Ringkasan Surah Kahf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Kahfi Ayat 21 (Hukum bina masjid atas kubur)

TEMPAT PERSEMBUNYIAN MEREKA TERBONGKAR

Kahf Ayat 21: Akhirnya mereka diketahui juga

وَكَذٰلِكَ أَعثَرنا عَلَيهِم لِيَعلَموا أَنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ وَأَنَّ السّاعَةَ لا رَيبَ فيها إِذ يَتَنٰزَعونَ بَينَهُم أَمرَهُم ۖ فَقالُوا ابنوا عَلَيهِم بُنيٰنًا ۖ رَّبُّهُم أَعلَمُ بِهِم ۚ قالَ الَّذينَ غَلَبوا عَلىٰ أَمرِهِم لَنَتَّخِذَنَّ عَلَيهِم مَّسجِدًا

 Sahih International

And similarly, We caused them to be found that they [who found them] would know that the promise of Allah is the truth and that of the Hour, there is no doubt. [That was] when they disputed among themselves about their affair and [then] said, “Construct over them a structure. Their Lord is most knowing about them.” Said those who prevailed in the matter, “We will surely take [for ourselves] over them a masjid.”

Malay

Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya orang-orang itu mengetahui bahawa janji Allah menghidupkan semula orang mati adalah benar, dan bahawa hari kiamat itu tidak ada sebarang syak padanya; pendedahan itu berlaku semasa orang-orang itu berbantahan sesama sendiri mengenai perkara hidupnya semula orang mati. Setelah itu maka (sebahagian dari) mereka berkata: “Dirikanlah sebuah bangunan di sisi gua mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka”. Orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata: “Sebenarnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka”.

 

وَكَذَٰلِكَ أَعْثَرْنَا عَلَيْهِمْ

Demikianlah Kami perlihatkan ke atas mereka;

Demikianlah (كَذَٰلِكَ), merujuk kepada perbuatan mereka keluar mencari makanan di bandar. Bagaimana keadaan mereka waktu itu? Oleh kerana zaman mereka telah berlalu terlalu lama (309 tahun), maka pakaian mereka sudah lain daripada orang zaman itu. Tentu cara percakapan mereka pun sudah berlainan dengan masyarakat waktu itu.

Meskipun Al-Qur’an tidak menjelaskan secara terperinci keadaan utusan itu ketika masuk ke dalam kota, khayalan kita sendiri pun telah dapat mengagak bagaimana bingungnya dia sesampai di dalam kota. Sedangkan seorang penduduk Ipoh yang meninggalkan kota ini agak setahun, lalu datang kembali, akan tercengang juga melihat berbagai perubahan, apatah lagi kalau dia meninggalkan kota 100 tahun! Mungkin sekali orang datang berkerumun melihat orang ganjil itu ketika dia menilik-nilik makanan yang akan dibawanya ke dalam gua pada satu kedai. Setelah tawar-menawar dan timbul persetujuan harga, nescaya dikeluarkannya wangnya untuk membayar makanan itu. Lalu pasti lama orang kedai menimbang-nimbang dan membolak-balik wang itu. Nescaya si utusan sudah sangat berhati-hati supaya dirinya jangan masuk ke dalam perangkap keganasan hukum raja. Akan tetapi bagaimana dia akan dapat menyembunyikan, padahal wangnya sendiri menjadi saksi.

Maka dengan keadaan mereka itulah yang menyebabkan mereka dikenali. Kalimah أَعْثَرْ bermaksud ‘tergelincir’. Mereka yang keluar itu telah diberi pesanan supaya berhati-hati. Jangan sampai orang bandar perasan mereka. Namun mereka telah ‘tergelincir’. Bukankah kadang-kadang kita hendak simpan rahsia, tetapi kita tersilap cakap dan sebagainya, sampai orang tahu rahsia kita?

Begitulah yang terjadi kepada pemuda-pemuda itu. Oleh kerana keadaan mereka berlainan dengan orang zaman itu, maka perbuatan dan percakapan mereka telah menyebabkan orang pelik dengan mereka. Tambahan pula lelaki itu menggunakan wang yang sudah tidak digunakan sekian lama. Maka pekedai itu sangka dia telah menggali harta karun dan mahu tahu dari mana dia dapat.

Sebenarnya Allah ‎ﷻlah yang menyebabkan mereka tergelincir itu. Semua ini adalah dalam aturan Allah ﷻ. Ada sebab dan ada tujuan Allah ﷻbuat begitu. Iaitu kerana Allah ﷻ hendak memberi pengajaran agama kepada manusia waktu itu dan zaman berzaman.

Ketika hendak membeli makanan dengan duit perak mereka, peniaga zaman itu tentu tidak mahu menerima duit itu kerana duit itu adalah duit purba. Bayangkan kalau sekarang ini ada orang bawa keluar Duit Pisang zaman Jepun. Tentu kecoh pekedai-pekedai. Mereka tanya dari mana dapat duit itu? Ada yang kata pemuda itu sudah menjumpai harta karun dan sudah heboh hal mereka. Akhirnya perihal mereka itu telah sampai ke pengetahuan Raja waktu itu. Pemuda itu telah dibawa kepada Raja dan beliau telah menjelaskan duduk perkara yang sebenarnya.

Oleh kerana semua penduduk waktu itu beragama Nasrani, maka mereka amat berminat kerana mereka mendapat kisah ada penganut Nasrani dari 300 tahun dahulu yang menjaga agamanya. Maka mereka takjub kerana dapat berjumpa dengan mereka.

Akhirnya pemuda itu telah membawa Raja dan rakyat negeri itu untuk pergi ke gua tempat persembunyian mereka. Apabila sampai, beliau suruh mereka tunggu di luar kerana hendak meminta izin daripada rakan-rakannya yang lain untuk membenarkan mereka yang lain masuk.

Ada dikatakan bahawa rombongan Raja itu dapat masuk menemui pemuda-pemuda Kahfi itu dan raja telah mengucapkan salam dan memeluk mereka. Menurut riwayat, nama raja itu adalah Yandusus. Sekali lagi, nama tidak penting. Selepas mereka meluangkan sedikit masa dengan rombongan itu maka mereka kembali ke tempat perbaringan mereka dan Allah ﷻ mewafatkan mereka. Kali ini mereka benar-benar telah mati, bukan tidur mati lagi.

Memang Allah ﷻ bertujuan supaya pemuda-pemuda Kahfi itu diperlihatkan kepada orang-orang di bandar itu. Kerana ada pengajaran yang hendak Allah ﷻ sampaikan kepada mereka. Apakah pengajaran penting yang Allah ﷻ hendak beritahu sampai Allah ﷻ rancang Pemuda Kahfi itu tidur selama 309 tahun?

 

لِيَعْلَمُوا أَنَّ وَعْدَ اللهِ حَقٌّ

agar mereka tahu bahawasanya janji Allah itu benar;

Mereka telah dibawakan kepada Raja dan ketika itu Raja memang sedang dalam kebingungan tentang isu kehidupan selepas mati. Ada yang kata yang dibangkitkan hanyalah roh, bukan jasad sekali. Begitulah menurut keterangan lkrimah رَحِمَهُ اللَّهُ: Dalam negeri itu pada waktu sedang terjadi perselisihan faham di antara dua golongan, tentang manusia akan dibangkitkan kembali di hari kiamat. Ada yang mengatakan bahawa yang akan dihidupkan kembali itu hanyalah Roh! Tubuh tidak! Sedang pertengkaran itu memuncak, tiba-tiba muncullah utusan penduduk Kahfi itu ke tengah kota membeli makanan.

Seperti kita telah sebutkan sebelum ini, antara masalah yang dihadapi oleh manusia adalah fahaman materialisme, atau ‘kebendaan’. Mereka hanya melihat fizikal sahaja. Mereka tidak dapat menerima bahawa mereka akan dihidupkan kembali. Mereka hanya mementingkan dunia yang nyata ini sahaja.

Oleh itu, dengan adanya Pemuda-pemuda itu, telah pasti kepada mereka bahawa memang ada kehidupan selepas mati. Allah ﷻ boleh sahaja tidurkan Pemuda-pemuda Kahfi sekian lama dan boleh sedarkan mereka semula. Maka begitu jugalah nanti keadaan bangkit daripada mati. Maka sedarlah mereka bahawa janji Allah ﷻ untuk menghidupkan kembali makhluk itu adalah benar. Mereka waktu itu percaya kepada kebangkitan semula, tetapi tidak ‘yakin’ kerana tidak dapat melihat sendiri. Sedangkan perkara kebangkitan semula ini kena yakin.

Waktu itu walaupun ramai penduduk telah memeluk agama Nasrani, tetapi masih ada lagi saki baki fahaman syirik zaman dahulu. Macam orang kita juga, walaupun sudah lama beragama Islam, tetapi masih lagi ada fahaman Hindu dan animisme dalam masyarakat kita seperti bersanding dan makan pulut kuning.

Waktu itu fahaman salah tentang kebangkitan semula yang kuat. Sampai ada juga yang langsung tidak percaya kepada kebangkitan semula. Maka Allah ﷻ jadikan kejadian Pemuda Kahfi ini sebagai pengajaran. Allah ﷻ hendak mengajar yang Dia boleh bangkitkan sekali roh dan jasad manusia sekali. Kalau Allah ﷻ boleh hidupkan manusia selepas tiga ratus tahun tidur, maka kalau Allah ﷻ mahu hidupkan kembali manusia adalah amat mudah.

Satu lagi janji yang Allah ﷻ tunaikan di dalam kisah Pemuda Kahfi ini adalah menjaga mereka apabila mereka berusaha menjaga agama dan akidah mereka. Janji Allah ﷻ ini disebut di dalam hadith,

عَنْ أَبِي الْعَبَّاسِ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ الله عَنْهُمَا قَالَ: كُنْتُ خَلْفَ النَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا فَقَالَ: ( يَا غُلاَم! إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ: اِحْفَظِ الله يَحْفَظْكَ، اِحْفَظِ الله تَجِدْهُ تُجَاهَكَ، إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ الله، وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاالله، وَاعْلَمْ أَنَّ الأُمَّةَ لَوِ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ الله لَكَ، وَإِنِ اجْتَمَعُوْا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ الله عَلَيْكَ، رُفِعَتِ الأَقْلاَمُ وَجَفَّتِ الصُّحُفُ )
رواه الترمذي وقال حَدِيثٌ حسن صحيح
Daripada Abu ‘Abbas, Abdullah ibn Abbas, رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا beliau berkata: Aku pernah duduk di belakang Nabi ﷺ pada suatu hari, lalu Baginda bersabda kepadaku: Wahai anak! Sesungguhnya aku mahu ajarkan engkau beberapa kalimah: Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka pintalah daripada Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah. Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudaratkan kamu dengan suatu mudarat, nescaya mereka tidak mampu memudaratkan kamu kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu. Pena-pena telah diangkatkan dan lembaran-lembaran telah kering (dakwatnya).
Hadith riwayat al-Imam at-Tirmidzi (2440)
Beliau berkata: Ia adalah Hadith Hasan Sohih

 

وَأَنَّ السَّاعَةَ لَا رَيْبَ فِيهَا

Dan kiamat itu tidak syak padanya;

Lagi satu Allah ﷻ hendak memberi dalil bahawa tidak syak lagi bahawa Dia akan buat Hari Kiamat itu nanti. Allah ﷻ boleh buat apa sahaja. Nah sekarang bukti telah ada di depan mata mereka maka mereka telah beriman dengan kebangkitan semula dan akhirat.

Apakah tindakan kita setelah membaca ini? Sepatutnya kita buat persediaan mulai sekarang untuk menghadapi Kiamat kerana kita sudah tahu ia pasti. Begitulah yang Rasulullah ﷺ ajar para sahabat,

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَتَى السَّاعَةُ قَالَ وَمَا أَعْدَدْتَ لِلسَّاعَةِ قَالَ حُبَّ اللَّهِ وَرَسُولِهِ قَالَ فَإِنَّكَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ قَالَ أَنَسٌ فَمَا فَرِحْنَا بَعْدَ الْإِسْلَامِ فَرَحًا أَشَدَّ مِنْ قَوْلِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِنَّكَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ قَالَ أَنَسٌ فَأَنَا أُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَأَبَا بَكْرٍ وَعُمَرَ فَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ مَعَهُمْ وَإِنْ لَمْ أَعْمَلْ بِأَعْمَالِهِمْ
Daripada [Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata; “Pada suatu hari seorang laki-laki datang kepada Rasulullah ﷺ seraya bertanya; ‘Ya Rasulullah, bilakah kiamat itu akan datang? ‘ Mendengar pertanyaan laki-laki itu, Rasulullah ﷺ balik bertanya: ‘Apa yang telah engkau siapkan untuk menghadapi kiamat? ‘Laki-laki itu menjawab; ‘Kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya.’ Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Sesungguhnya engkau akan bersama orang yang engkau cintai.’ Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; ‘Tidak ada yang lebih menyenangkan hati kami setelah masuk Islam selain sabda Rasulullah ﷺ yang berbunyi: ‘Sesungguhnya engkau akan bersama orang yang engkau cintai.’ Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; ‘Kerana saya mencintai Allah, Rasulullah, Abu Bakar, dan Umar, maka saya berharap kelak akan bersama mereka meskipun saya tidak dapat beramal seperti mereka.’
(Sahih Muslim (4777))

 

إِذْ يَتَنٰزَعُونَ بَيْنَهُمْ أَمْرَهُمْ

Ketika mereka (yang hidup) saling berbantah diantara mereka dalam urusan mereka;

Allah ﷻ berikan dalil dan bukti bahawa memang Allah ﷻ boleh menghidupkan kembali manusia yang telah mati pada ketika keimanan mereka telah bercelaru tentang perkara itu. Kalimah يَتَنٰزَعُونَ daripada katadasar ن ز ع yang daripadanya menjadi تنازع yang bermaksud saling tarik menarik. Ini kerana di dalam diskusi dan perdebatan, masing-masing pihak akan cuba menarik pihak yang satu lagi kepada pendapatnya.

Kalimah هم di dalam kalimah بَيْنَهُمْ merujuk kepada orang yang hidup di zaman Raja baru itu. Orang-orang yang hidup pada zaman itu berbantah sesama sendiri tentang hari Kiamat dan kehidupan semula. Ada yang percaya dan ada yang tidak. Maka peristiwa Pemuda Kahfi itu menjadi hujjah dan dalil kepada mereka yang percaya kepada hari Kiamat.

Ada juga pendapat yang mengatakan, yang mereka berbantah itu adalah tentang membina bangunan dan tutup sahaja tempat Para Pemuda Kahfi itu, atau binakan masjid sebagai tempat ibadah. Ini akan disebut selepas ini.

Ada pula yang berpendapat bahawa yang dimaksudkan di sini adalah perbezaan pendapat penduduk negeri tentang pemuda-pemuda Penghuni Gua itu. Misalnya, apakah mereka mati atau tidur, apakah akan hidup terus atau kembali lagi ke gua. Berapa lama keberadaan mereka dalam gua, dan lain-lain. Ada juga yang berpendapat bahawa perbezaan itu bukan berkaitan dengan pemuda-pemuda tersebut, tetapi berkaitan dengan penduduk negeri itu sendiri, berkait dengan apa yang harus mereka lakukan terhadap pemuda-pemuda Ashab al-Kahf itu.

 

فَقَالُوا ابْنُوا عَلَيْهِمْ بُنْيٰنً

Maka berkatalah satu puak: binakanlah atas mereka satu bangunan;

Satu pendapat mengatakan bahawa yang berkata ini adalah golongan yang beriman. Mereka cadangkan supaya dibina bangunan dengan tujuan untuk menutup gua tempat Pemuda Kahfi itu mati supaya mereka tidak diketahui dan dipuja kemudiannya. Biarkan sahaja mereka dalam keadaan mereka.

Sampai sekarang, kita tidak pasti manakah tempat Gua itu yang sebenarnya. Golongan yang mencadangkan supaya ditutup pandangan kepada Pemuda-pemuda Kahfi itu adalah golongan yang berfahaman tauhid. Mereka tidak ramai kalau dibandingkan dengan orang lain – samalah seperti zaman sekarang juga. Mereka mencadangkan supaya pemuda Kahfi itu dibiarkan dalam keadaan seperti itu. Mereka akhirnya kalah dengan golongan yang ramai yang musyrik.

Inilah yang sepatutnya dilakukan kerana fahaman syirik tebal dalam hati kebanyakan manusia. Kalau mereka tahu di mana kedudukan Pemuda Kahfi itu, maka mereka akan cari dan jadikan tempat persembahan pula. Sekarang walaupun tidak tahu di manakah kedudukan kubur mereka pun, ada orang kita yang bertawasul kepada mereka. Bayangkan kalau memang tahu di mana kubur mereka?

Saya teringat bagaimana kubur Arwah Tok Guru Nik Aziz sampai terpaksa dipagar kerana ada golongan jahil yang mengambil tanah kubur beliau. Memang begitulah yang akan terjadi kalau penyebaran tauhid tidak dikembangkan. Ramai dalam kalangan orang kita ini cenderung untuk membuat amalan syirik kerana jahil agama. Nama sahaja orang Islam, tetapi dalam hati mereka ada fahaman syirik. Nama sahaja Muslim tetapi tidak belajar agama, hanya ikut sahaja apa yang tok nenek dan orang ramai buat.

 

رَّبُّهُمْ أَعْلَمُ بِهِمْ

Tuhan merekalah yang lebih mengetahui tentang mereka;

Tuhanlah yang tahu apa yang patut diperbuat tentang mereka. Kita tidak tahu. Biarkan sahaja kedudukan mereka sebegitu. Jangan didedahkan tempat mati mereka kerana Allah ﷻ sahaja yang tahu kedudukan mereka itu. Kalau diketahui oleh orang yang jahil, tentu akan dijadikan tempat sembah pula.

Ucapan mereka seperti dirakam ayat ini adalah ucapan orang yang telah berputus asa untuk mengetahui dan menemukan hakikat kebenaran, dan kerana itu mereka mengusulkan untuk membuat bangunan buat pemuda-pemuda Penghuni Gua itu.

Atau ia bermaksud kita dapat tahu setakat ini sahaja, kisah penuh yang sebenarnya hanya diketahui oleh Allah ﷻ sahaja. Allah ﷻ beritahu sedikit sahaja maklumat kepada kita.

 

قَالَ الَّذِينَ غَلَبُوا عَلَىٰ أَمْرِهِمْ

Maka berkata golongan yang menang ke atas urusan mereka;

Ini pula adalah kata-kata golongan yang berfahaman syirik lagi walaupun mereka beragama Nasrani. Mereka adalah golongan paderi yang memegang tampuk kedudukan agama dalam masyarakat. Mereka adalah golongan yang lebih ramai dan kerana itu kata-kata mereka lebih kuat lagi. Maknanya, merekalah yang berkuasa dan keputusan mereka selalunya diikuti.

Saya pernah bertanya kepada guru saya, kenapa di negeri yang sepatutnya menjaga Sunnah, masih terdapat perkara-perkara bid’ah dan mungkar? Jawapannya kepada saya, “Sejak bila pemimpin ikut cakap ulama’?”

 

لَنَتَّخِذَنَّ عَلَيْهِمْ مَّسْجِدًا

Kami pastikan akan jadikan atas mereka itu masjid/gereja;

Mereka hendak mendirikan rumah peribadatan di tempat Pemuda Kahfi itu. Kalau zaman itu, mungkin yang dimaksudkan adalah ‘gereja’. Mereka yang berkuasa itu hendak membina gereja di atas kubur pemuda-pemuda itu. Ini adalah kebiasaan agama Nasrani pada waktu itu kerana mereka telah jauh daripada wahyu.

Kristian sekarang ini pun mereka memang tanam wali-wali (yang mereka lantik sendiri) mereka dalam gereja mereka. Mereka namakan sebagai ‘saints’. Ini adalah perbuatan yang buruk sekali kerana perbuatan ini menyebabkan orang memuja dan beribadat kepada kuburan itu. Mereka menjadikan kubur itu tempat ambil berkat, tempat berdoa dan sebagainya. Manusia membuat syirik dengan cara ini.

Oleh kerana itulah Nabi Muhammad ﷺ telah melarang membina masjid atas kubur, atau masjid yang mengadap kubur atau di tepi kubur. Kerana ini amat bahaya kerana kuburan itu boleh dijadikan tempat orang membuat syirik. Begitulah yang diajar oleh Nabi ﷺ kita seperti disebut di dalam hadith;

عَنْ عَائِشَةَ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ أَنَّ أُمَّ حَبِيبَةَ وَأُمَّ سَلَمَةَ ذَكَرَتَا كَنِيسَةً رَأَيْنَهَا بِالْحَبَشَةِ فِيهَا تَصَاوِيرُ فَذَكَرَتَا لِلنَّبِيِّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ إِنَّ أُولَئِكَ إِذَا كَانَ فِيهِمُ الرَّجُلُ الصَّالِحُ فَمَاتَ بَنَوْا عَلَى قَبْرِهِ مَسْجِدًا وَصَوَّرُوا فِيهِ تِلْكَ الصُّوَرَ فَأُولَئِكَ شِرَارُ الْخَلْقِ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ *
Daripada ‘Aisyah Ummul Mukminin رضي الله عنها, bahawa Ummu Habibah dan Ummu Salamah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا menceritakan kepada Nabi ﷺ bahawa mereka pernah melihat gereja di Habasyah yang di dalamnya terdapat patung-patung. Maka baginda pun bersabda: “Sesungguhnya apabila orang soleh daripada golongan mereka meninggal, maka mereka mendirikan masjid di atas kuburannya dan membuat patungnya di dalamnya. Maka mereka itulah seburuk-buruk makhluk di sisi Allah pada hari kiamat.”
(Sahih Bukhari (427))

Kerana itu Rasulullah ﷺ pernah melarang dikapur dan dibuat binaan kuburan,

عَنْ جَابِرٍ قَالَ: نَهَى رَسُوْلُ اللهِ أَنْ يُجَصَّصَ الْقَبْرُ وَأَنْ يُقْعَدَ عَلَيْهِ وَ أَنْ يُبْنَى عَلَيْهِ
“Daripada Jarir رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: Rasulullah ﷺ melarang kuburan dikapur, diduduki dan dibangun di atasnya.”
(Sahih Muslim (2240))

Namun malangnya di masjid kita di Malaysia ini banyak yang dibina berdekatan dengan kubur. Kalau di kawasan luar dan tidak dibina binaan, tidak mengapa. Akan tetapi kalau ada binaan seperti ada kelebihan kepada ahli kubur itu, ini adalah masalah besar. Kalau ada masjid sebegitu, ada masalah tentang akidah. Maka kita elakkan untuk solat di masjid yang sebegitu. Imam Ahmad رَحِمَهُ اللَّهُ sampai mengatakan yang solat di masjid yang ada kubur tidak sah. Ini adalah untuk menjaga akidah manusia.

Menurut satu riwayat lagi tatkala didapati kubur Nabi Daniel عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di Iraq oleh Amirul Mu’minin Umar bin Khathab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, adalah sangat menakjubkan kerana tubuh Nabi Allah Daniel عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang mulia itu tidak rosak dimakan tanah, padahal sudah ratusan tahun. Lalu Sayidina Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menyuruh orang menguburkan kembali jenazah yang mulia itu pada tengah malam di tempat yang dirahsiakan.

Sekiranya dibina tempat peribadatan di kuburan, lama-kelamaan akan berlaku perkara syirik di tempat itu. Sepertimana sekarang ini sudah banyak kubur-kubur yang dikatakan kubur Nabi dan wali-wali yang dikerumuni oleh manusia yang jahil wahyu. Mereka menjadikan kubur-kubur itu sebagai tempat ibadat, tempat minta hajat. Sampai kepada tahap ada yang sembah kubur-kubur itu. Sebagai contoh kubur Habib Noh. Itu yang kita tidak mahu.

Mereka yang suka beribadat di kubur itu digelar Golongan Quburiyyun. Antara yang kita kenal sekarang adalah golongan Habib yang datang dari Yaman itu. Mereka memang melakukan ibadat di kuburan para wali (kononnya pada anggapan mereka). Maka mereka telah menghias kuburan orang mati itu dan beribadat di situ.

Mereka berdoa di situ, berqasidah di situ, memukul gendang di situ dan banyak lagi amalan khurafat yang mereka lakukan. Mereka bina binaan pada kuburan itu dan mereka memasang kelambu, letak gambar besar-besar orang yang telah mati itu dan menabur bunga pada kuburan itu.

Memang kalau dilihat tidak jauh bezanya dengan kubur orang Hindu. Namun malangnya inilah golongan yang disanjung di negara ini sekarang. Mereka diberi peluang untuk menghabiskan duit dan masa rakyat kita untuk berjoget qasidah di stadium dan di masjid-masjid. Mereka diberi peluang untuk menyampaikan ajaran sesat mereka di masjid, malah di televisyen pun. Kalau ustaz Sunnah tidak ada tauliah ditangkap, akan tetapi Habib ini satu Malaya dia boleh jelajah bagi ceramah dan kelas padahal mereka pun tidak ada tauliah.

Sepatutnya golongan mereka ini dihalau sebaliknya mereka disanjung pula. Mereka patutnya dihalau kerana mereka akan merosakkan akidah rakyat kita. Semoga kesesatan mereka akan diketahui oleh lebih banyak orang. Maka kerana itu kita terpaksa bongkar kesesatan mereka walaupun ramai juga yang marah apabila kita kata begini.

Nota: ada juga yang terbalik pendapatnya dengan mengatakan golongan mukmin yang hendak membina masjid di atas kuburan Pemuda Kahfi itu. Ini adalah tafsiran yang salah kerana kalau kita lihat dalil-dalil lain yang ada, memang tidak boleh dibina masjid di atas kuburan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 27 Mei 2024

Ringkasan Surah Kahf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Kahfi Ayat 19 – 20 (Setelah bangun daripada tidur)

PEMUDA-PEMUDA YANG BANGKIT

Kahf Ayat 19: Banyak sungguh kekeliruan manusia tentang ayat ini. Ada orang yang amalkan pembacaan ayat ini dengan cara yang salah. Mereka gunakan ayat ini sebagai azimat pula. Sebenarnya ayat ini adalah ayat menceritakan apakah yang berlaku apabila Pemuda Kahfi itu apabila mereka bangkit dari tidur mereka.

وَڪَذٰلِكَ بَعَثنَـٰهُم لِيَتَسَآءَلُواْ بَينَہُم قَالَ قَآٮِٕلٌ مِّنہُم ڪَم لَبِثتُم قَالُواْ لَبِثنَا يَومًا أَو بَعضَ يَومٍ قَالُواْ رَبُّكُم أَعلَمُ بِمَا لَبِثتُم فَٱبعَثُوٓاْ أَحَدَڪُم بِوَرِقِكُم هَـٰذِهِۦۤ إِلَى ٱلمَدِينَةِ فَليَنظُر أَيُّہَآ أَزكَىٰ طَعَامًا فَليَأتِڪُم بِرِزقٍ مِّنهُ وَليَتَلَطَّف وَلَا يُشعِرَنَّ بِڪُم أَحَدًا

 Sahih International

And similarly, We awakened them that they might question one another. Said a speaker from among them, “How long have you remained [here]?” They said, “We have remained a day or part of a day.” They said, “Your Lord is most knowing of how long you remained. So send one of you with this silver coin of yours to the city and let him look to which is the best of food and bring you provision from it and let him be cautious. And let no one be aware of you.

Malay

Dan demikianlah Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya: “Berapa lama kamu tidur?” (sebahagian dari) mereka menjawab: “Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari”. (Sebahagian lagi dari) mereka berkata: “Tuhan kamu lebih mengetahui tentang lamanya kamu tidur; sekarang utuslah salah seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah dia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya; dan hendaklah dia berlemah-lembut dengan bersungguh-sungguh (semasa di bandar); dan janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal kamu.

 

وَڪَذٰلِكَ بَعَثنَـٰهُم

Demikianlah Kami bangkitkan mereka;

Akhirnya mereka dibangkitkan setelah sekian lama mereka tidur dalam gua. Kalimah كَذَٰلِكَ selalunya digunakan sebagai perbandingan. Di sini ia membandingkan dengan kekuasaan Allah ﷻ. Pertama telah disebut kuasa dan tanda Allah ﷻ boleh menjadikan mereka tidur lama. Sekarang mereka bangkit dalam keadaan sihat wal afiat tanpa perlu makan sebutir nasi pun selama itu. Tujuannya adalah untuk menzahirkan kuasa Allah ﷻ. Kalaulah mereka terus tidur sahaja tanpa diketahui oleh orang lain, tidaklah jelas kekuasaan Allah ﷻ kepada manusia.

Sepanjang masa itu, tempat mereka itu tidak dinaiki dan dijumpai oleh orang langsung. Kerana seperti yang telah disebut sebelum ini, sesiapa yang melihat gua itu sahaja, akan diselimuti dengan rasa gerun. Ini semua Allah ﷻ lakukan supaya tidur mereka tidak diganggu.

Mereka tidur dalam masa 309 tahun. Maka setelah sekian lama, kaum mereka telah masuk kembali mengikut agama Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang sebenar. Namun begitu walaupun mereka telah beriman dengan agama Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, tetapi mereka tidak banyak maklumat tentang kebangkitan semula kerana tidak banyak diceritakan dalam Kitab Injil. Ada yang tidak pasti dan ada yang ragu-ragu tentang kesahihan kebangkitan semula. Jarak antara mereka dan Nabi Muhammad ﷺ dalam enam ratus tahun kira-kiranya.

 

لِيَتَسَاءَلُوا بَيْنَهُمْ

supaya mereka saling bertanya antara sesama mereka;

Allah ﷻ biarkan mereka bertanyaan sesama mereka tentang berapa lamakah mereka tinggal di gua itu. Ini adalah penambahan maklumat daripada ayat 12 sebelum ini (ثُمَّ بَعَثنٰهُم لِنَعلَمَ أَيُّ الحِزبَينِ أَحصىٰ لِما لَبِثوا أَمَدًا). Mereka bertanyaan sesama sendiri kerana masing-masing tidak pasti. Jika dilihat keadaan diri mereka, memang tidak nampak yang mereka telah tidur selama 300 tahun lebih. Sebab itu mereka sangka sama ada sehari tidur, atau setengah hari, atau ada yang kata Allah ﷻ sahaja yang tahu. Tidak ada yang menyangka langsung yang mereka tidur sampai 300 tahun lebih.

Akhirnya nanti mereka mengetahui bahawa mereka telah tidur selama 309 tahun. Supaya nanti mereka mengetahui bahawa panjang atau pendeknya masa, bukanlah itu yang menyebabkan matinya kebenaran atau hidupnya kebatilan, tetapi yang melakukannya adalah Allah ﷻ yang menciptakan di bumi ini aneka hiasan baginya, sehingga manusia tertarik. Allah ﷻ juga yang memperjalankan masa dan hari-hari untuk menguji manusia siapa yang terbaik amalnya.

Begitulah Allah ﷻ telah menyiapkan bagi manusia suatu hari yang ketika itu hiasan dan kelazatan dunia yang bagaimana pun, tidak akan dapat mengalihkannya lagi daripada hakikat itu. Hari tersebut adalah hari kematian. Ketika itu – seperti perkataan Ali Ibn Abi Thalib رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ: “Manusia semua tertidur (ketika berada di dunia) dan bila mereka mati, mereka terbangun.” Manakala hari yang lain adalah hari kehancuran dan kepunahan alam insani semua. Hari itu akan terserlahlah kebenaran dan hakikat dunia.

 

قَالَ قَآٮِٕلٌ مِّنہُم ڪَم لَبِثتُم

Maka berkata salah seorang daripada mereka: berapa lama kamu tidur di sini?

Salah seorang daripada mereka bertanya kepada yang lain: agaknya berapa lama kamu tinggal (dan tidur) di sini? Kalimah لَبِثتُم daripada katadasar ل ب ث yang bermaksud tinggal di satu-satu tempat.

 

قَالُوا لَبِثْنَا يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْمٍ

Mereka jawab: kita tidur di sini sehari atau separuh hari sahaja;

Kenapa mereka cakap begitu? Kerana mereka memang rasa mereka tidur sekejap sahaja. Mereka masuk ke gua itu pada awal siang. Apabila mereka terjaga, ia adalah waktu akhir siang. Tidaklah mereka berambut atau berjanggut panjang atau baju mereka telah reput kerana Allah ﷻ telah pelihara fizikal mereka.

Mereka tidak tahu jangka masa mereka tidur kerana Allah ﷻ telah buat tidak ada apa-apa perubahan kepada mereka. Sebab itu mereka rasa mereka tinggal tidak lama. Maka, kalau ada filem yang tunjuk mereka dalam keadaan kusut masai, itu adalah salah. Kalau mereka dalam keadaan macam itu, tentulah mereka tidak berkata mereka tinggal paling lama sehari sahaja di situ.

 

قَالُوا رَبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَا لَبِثْتُمْ

Mereka berkata: Tuhan kamu yang lebih mengetahui berapa kamu tidur dalam gua ini;

Ini adalah pendapat ketiga yang serahkan sahaja kepada Allah ﷻ kerana kalau tidur setengah hari atau sehari suntuk, mereka mungkin nampak keadaan di luar gua sudah berubah. Maka tidak mungkin sehari sahaja. Namun mereka tidak ada punca hendak tahu (sebab kalendar elektronik sememangnya tidak wujud lagi Ketika itu). Akhirnya mereka mengembalikan pengetahuan tentang berapa lamanya mereka tidur di situ kepada Allah ﷻ. Begitulah adab kita dengan ilmu. Kalau kita tidak pasti, kita serahkan sahaja kepada Allah ﷻ.

Ucapan anak muda ini bukan sekadar untuk menunjukkan akhlak terhadap Allah ﷻ tetapi ia merupakan salah satu hakikat yang berkaitan dengan akidah Tauhid yang harus dihayati oleh setiap insan. Iaitu bahawa pengetahuan yang sebenarnya hanya dapat dimiliki oleh Allah ﷻ. Manusia tidak dapat mengetahui apa yang berada di luar dirinya. Dia tidak mengetahui kecuali dirinya dan apa yang mengelilinginya, itu pun atas izin Allah ﷻ. Apa yang diketahui di luar dirinya, hanya berdasar tanda-tanda luaran sahaja, dan pengetahuannya pun hanya sebatas apa yang terungkap baginya daripada tanda-tanda itu, sedang pengetahuan tentang hakikat sesuatu tidak dapat diketahui kecuali oleh Allah ﷻ.

Kemudian mereka berasa lapar. Inilah yang menjadi masalah lebih utama kemudiannya. Di sisi lain, ucapan di atas mengandungi anjuran untuk menghentikan diskusi tentang masa keberadaan mereka dalam gua, bermakna desakan untuk tidak berfikir sehingga menghabiskan waktu dan tenaga dalam hal-hal yang tidak terjangkau oleh akal. Ucapan Penghuni Gua yang diabadikan Al-Qur’an itu, menganjurkan agar tenaga digunakan untuk sesuatu yang penting dan bermanfaat. Ucapan di atas disusuli dengan usul agar segera menugaskan seseorang membeli makanan, kerana itulah yang terpenting dan bermanfaat untuk saat dan kondisi mereka ketika itu. Ini menegur manusia yang tidak habis-habis memikirkan perkara yang tidak penting.

Ayat ini juga mengajar kita, kalau tidak tahu, cakap sahaja tidak tahu. Tidak perlu hendak meneka-neka, hendak ‘goreng’. Ini semua mahu tunjuk pandai dan palatau sahaja. Inilah penyakit orang berilmu. Mereka segan untuk cakap ‘maaf, saya tidak tahu’. Maka mereka gorenglah sampai hangit asalkan boleh beri jawapan apabila ditanya. Antara contoh yang boleh dikongsi dalam permasalahan sebegini adalah kisah Imam Malik رَحِمَهُ اللَّهُ apabila ditanya kepadanya beberapa persoalan oleh murid-muridnya:

سُئِلَ عَنْ ثَمَانِيَةٍ وَأَرْبَعِينَ مَسْأَلَةً فَقَالَ فِي ثِنْتَيْنِ وَثَلَاثِينَ مِنْهَا: لَا أَدْرِي
“Ditanya (Imam Malik) 48 persoalan, maka jawab Imam Malik 32 daripadanya dengan aku tidak tahu.” [Lihat: Syarah al-Zurqani ‘ala al-Muwatta’, 1/54]

Kisah ini menunjukkan kepada kita bahawa seorang Imam yang hebat di zamannya sehingga Imam Malik  digelar sebagai Imam Dar al-Hijrah tidak malu untuk mengatakan beliau tidak tahu dalam sesuatu permasalahan. Suasana pada hari ini cukup berbeza apabila kebanyakan para penceramah tanpa segan dan malu menjawab setiap persoalan yang diajukan tanpa didasari dengan ilmu. Kesan daripada sikap sebegini, masyarakat akan menjadi huru-hara dan akan timbul banyaknya fitnah-fitnah.

Melalui ayat ini sudah memberi indikasi yang jumlah mereka tidak kurang daripada 7 orang. Kenapa? Mari kita kira:

Kalimatقَالَ قَآٮِٕلٌ مِّنْهُمْ كَمْ لَبِثتُم mengandungi kalimahقَآٮِٕلٌ yang di dalam bentuk mufrad. Maknanya ada seorang yang bertanya.

Kemudian kalimat قَالُوا لَبِثْنَا يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْمٍ mengandungi jawapan ‘mereka’ kerana digunakan kalimah قَالُوا. Minimal untuk jadi jamak adalah 3 orang.

Akhir sekali di sini kalimat قَالُوا رَبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَا لَبِثْتُمْ juga adalah dalam bentuk jamak dan minimal adalah 3 orang. Kesimpulannya: 1 + 3 + 3 = 7. Demikianlah kesan yang dikutip oleh sekian ulama daripada suatu riwayat yang dinisbahkan kepada sahabat Nabi ﷺ , Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا yang mengatakan bilangan mereka adalah 7 orang.

 

فَابْعَثُوا أَحَدَكُمْ بِوَرِقِكُمْ هَٰذِهِ إِلَى الْمَدِينَةِ

Maka suruhlah seorang dari kamu pergi ke bandar dengan wang perak ini;

Seperti telah disebutkan sebelum ini, mereka itu adalah anak-anak orang kaya, maka tentulah mereka memiliki wang. Mereka masih mempunyai lebihan wang yang mereka bawa dari rumah mereka. Tidaklah mereka pergi ke gua itu tanpa apa-apa bekal, kononnya zuhud. Tidak salah untuk membuat persediaan. Pada wang itu ada gambar Diqyanus, iaitu raja yang memerintah semasa mereka mula masuk ke dalam gua itu. Biasalah duit akan ada gambar, maka tidak salah kalau zaman sekarang kita bawa duit syiling atau duit kertas yang ada gambar padanya walaupun ke dalam solat.

Apabila digunakan kalimah الْمَدِينَةِ, ia bermaksud memang ada bandar yang asalnya mereka tinggal dan ia berdekatan dengan tempat mereka. Bandar yang mereka akan pergi keluar mencari makanan itu adalah bandar yang mereka tinggalkan dahulu. Ada yang mengatakan bahawa nama kota itu adalah Daqsus. Ada yang mengatakan namanya Tharasus, ada yang kata Ifsus dan kemudian namanya menjadi Tarsus. Ini kerana Al-Qurtubi رَحِمَهُ اللَّهُ berpendapat, semasa mereka mula tidur, nama bandar itu Ifsus dan apabila mereka bangkit, namanya telah ditukar menjadi Tarsus. Sekali lagi, nama bandar itu tidak penting.

Ada perbincangan tentang kalimah بِوَرِقِكُمْ ini. Kalimah ini daripada katadasar و ر ق yang bermaksud daun, helaian kertas, duit, syiling, duit perak. Selalunya ia diterjemahkan sebagai wang syiling perak. Namun ada juga pendapat yang mengatakan kerana ia juga bermaksud kertas, maka duit yang dimaksudkan di sini adalah duit kertas, bukannya duit syiling. Oleh itu Al-Qur’an telah menyebut tentang duit kertas yang telah lama digunakan oleh manusia. Malah lebih lama lagi sebelum disebut oleh sejarah duit kertas iaitu di China pada kurun ke 11. Sekiranya ia benar, maka ia adalah salah satu daripada mukjizat Al-Qur’an dari segi sejarah. Iaitu Allah ﷻ sudah beritahu akan sampai satu masa, manusia akan kembali menggunakan wang kertas.

Kalimah وَرِقِ mereka ini penting disebut kerana benda inilah nanti yang akan membocorkan rahsia mereka. Ini kerana wang bertukar mengikut zaman dan nanti apabila mereka hendak membayar dengan wang zaman mereka, nanti akan pecah rahsia mereka.

Qurtubi رَحِمَهُ اللَّهُ menukilkan pendapat Ibn Khuwaizmandad رَحِمَهُ اللَّهُ yang mengambil beberapa hukum di sini:

1. Boleh berkongsi harta. Kerana wang diberikan adalah milik mereka bersama.

2. Boleh mewakilkan sesuatu urusan (Power of Attorney)

3. Boleh berkongsi makanan. Walaupun setiap seseorang pemakanannya berbeza dan jumlah kuantitinya tidak sama. Ada yang makan banyak dan ada yang makan sedikit.

 

فَلْيَنْظُرْ أَيُّهَا أَزْكَىٰ طَعَامًا

Maka hendaklah dia perhatikan manakah makanan yang paling suci;

Bukan dia suruh cari makanan yang paling sedap, tetapi makanan yang paling suci. Bermakna, mereka hendak mencari makanan yang halal. Kena cari sembelihan yang halal. Sebab yang mereka tinggalkan dulu adalah manusia yang menyembah berhala. Sembelihan golongan musyrik tidak halal. Maka makanan mereka tidak suci kerana mereka tidak kisah halal atau haram lagi. Atau, para Pemuda itu tahu yang kaum mereka sembelih binatang sambil sebut nama berhala mereka dan kemudian jual di pasar.

Kalimah أَزْكَىٰ juga boleh bermaksud makanan yang suci, yang baik untuk kesihatan. Maka ini mengajar kita untuk memilih makanan, jangan hanya semberono sahaja. Kena pastikan kebersihan makanan supaya kesihatan kita terjaga. Juga pastikan makanan itu jenis makanan yang baik. Carilah makanan yang berkhasiat; yang memberi tenaga kepada kita dan tidak memudaratkan kesihatan. Zaman sekarang makanan telah dicampur dengan pelbagai bahan pengawet contohnya, sampaikan ia memberi kesan yang buruk kepada kesihatan manusia.

Oleh itu, yang disuruh membeli makanan itu disaran supaya mencari makanan yang halal dan suci. Kena tanya apa kisah dengan binatang sembelihan itu, siapa yang sembelih, halal atau tidak. Ini mengajar kita adab dalam mencari makanan. Tidak boleh kita selamba sahaja makan apa sahaja yang disajikan di hotel atau dalam kapal terbang atau di mana-mana tanpa tanya apakah ia halal atau tidak. Kalau di Malaysia tidak mengapalah sebab tempat kita majoriti adalah orang Islam; akan tetapi kalau di negara lain, kenalah berhati-hati.

 

فَليَأتِڪُم بِرِزقٍ مِّنهُ

Maka hendaklah dia bawa balik dengan sebahagian rezeki itu

Perkataan بِرِزْقٍ مِنْهُ bermaksud beli sekadar yang perlu sahaja. Jangan beli banyak-banyak, nanti buang sahaja dan membazir. Lihatlah betapa berhemahnya mereka. Bandingkan dengan kita yang selalu beli makanan banyak sangat, tetapi tidak habis dimakan. Tambahan pula kalau pergi Bazar Ramadhan, rasa mahu beli semua makanan. Kalau ada jual bata bakar pun ada orang yang hendak makan agaknya. Beli punyalah banyak, kemudian kita buang makanan itu. Itu membazir namanya. Ada pengajaran yang kita boleh praktikkan dalam kehidupan kita daripada ayat ini.

 

وَلْيَتَلَطَّفْ

dan hendaklah dia bersikap lemah lembut;

Perkataan itu diambil daripada kalimah latiff (kelembutan) iaitu dalam perbuatan dia semasa mencari makanan itu, semasa dia terpaksa bergaul dengan orang-orang di kota untuk membeli makan itu, hendaklah dia sedaya mungkin bersembunyi dan tidak menarik perhatian kepada diri mereka.

Janganlah dia berbuat sesuatu yang menarik perhatian orang lain. Jangan buat hal tetapi berlembutlah dengan orang. Jangan bagi alasan kepada orang lain untuk tanya lebih-lebih kepada mereka. Kerana mereka memang orang yang lari daripada pemerintah dan nama mereka pun tentu telah disebut-sebut dan dicari orang. Maka mereka tidak mahu tarik perhatian.

Ada masalah sedikit dengan ayat ini. Ada orang yang menggunakan ayat ini untuk tumbuk orang. Mereka kata kalau tumbuk orang sambil baca ayat ini, orang yang ditumbuk itu akan mati. Ada pula yang guna ayat ini untuk mencari harta karun. Ada yang cari mushaf Al-Qur’an yang ada tulisan ayat ini dalam tulisan warna merah sebab mereka kata ada keramat dalam Al-Qur’an itu. Begitulah bermacam perkara khurafat yang diamalkan oleh orang yang jahil untuk salah guna ayat ini. Padahal warna merah itu adalah kerana sebagai tanda pertengahan Al-Qur’an. Ini kerana kalimah ini terletak betul-betul pada pertengahan Al-Qur’an 30 juzuk.

Semua kepercayaan khurafat itu adalah daripada ajaran syaitan untuk menyesatkan manusia yang bodoh. Masyarakat kita bukannya hendak belajar tafsir Al-Qur’an dan faham makna isi kandungan. Mereka cuma pandai baca sahaja. Mereka hormat kepada Al-Qur’an dan kerana itu mereka akan jaga mushaf dan letak di tempat tinggi. Akan tetapi mereka telah salah gunakan sampai mereka gunakan ayat Al-Qur’an sebagai azimat. Ada juga yang gunakan sebagai pendinding diri, sebagai pemurah rezeki dan macam-macam lagi. Ada yang letak khat cantik-cantik dan gantung di rumah dan pejabat. Punyalah cantik berpusing-pusing tulisan itu sampai tidak tahu ayat apa. Tidak kisah pun ayat apa sebab letak di dinding bukan ada sesiapa baca pun. Ada yang letak di cermin kereta agaknya supaya kereta tidak kena kemalangan. Ada yang bawa buku Yaasin atau letak bawah bantal. Ada yang letak pada jenazah baru mati (agaknya hendak suruh mayat itu baca). Ini semua adalah amalan yang karut dan yang dilakukan oleh orang jahil sahaja.

 

وَلَا يُشْعِرَنَّ بِكُمْ أَحَدًا

dan jangan dia beri sesiapa pun merasa tentang kamu; 

Pemuda yang ditugaskan untuk pergi membeli makanan itu hendaklah berhati-hati dan berjaga sangat jangan sampai orang merasa tempat persembunyian mereka itu. Ini kerana kalimah يُشْعِرَنَّ daripada kalimah شعور yang bermaksud ‘rasa’. Kerana akan ada bahaya kalau mereka diketahui yang akan disebut selepas ini.

Maksudnya adalah janganlah yang ditugaskan itu mengucapkan atau melakukan suatu sikap, ucapan dan tindakan yang dia tidak sedari sehingga orang lain merasa tentang keberadaan mereka di sini. Kita dapat melihat betapa berhati-hatinya para pemuda itu, sehingga yang ditugaskan itu diingatkan untuk menyedari sepenuhnya ucapan dan tindakannya, dan jangan sampai ada di antara ucapan atau tindakannya itu yang menyebabkan penduduk kota ‘merasa’ tentang keberadaan mereka. Sekiranya ‘merasa’ saja telah terlarang, tentu lebih-lebih lagi jika ‘mengetahui’.


 

Kahf Ayat 20: Bagaimana kalau orang lain sedar tentang mereka?

إِنَّهُم إِن يَظهَروا عَلَيكُم يَرجُموكُم أَو يُعيدوكُم في مِلَّتِهِم وَلَن تُفلِحوا إِذًا أَبَدًا

 Sahih International

Indeed, if they come to know of you, they will stone you or return you to their religion. And never would you succeed, then – ever.”

Malay

“Sesungguhnya, kalaulah mereka mengetahui hal kamu, tentulah mereka akan merejam dengan membunuh kamu, atau mereka akan mengembalikan kamu kepada ugama mereka (secara paksa); dan jika berlaku demikian, kamu tidak sekali-kali akan berjaya selama-lamanya”.

 

إِنَّهُمْ إِنْ يَظْهَرُوا عَلَيْكُمْ

Bahawasanya kalau mereka itu tahu hal kamu,

Mereka mesti berhati-hati kerana tidak mahu penduduk negeri itu tahu tentang mereka. Kerana mereka itu adalah orang larian daripada undang-undang dan Raja sedang mencari mereka. Maka mereka takut kalau tertangkap kerana bahaya jika mereka dapat ditangkap.

 

يَرْجُمُوكُمْ

tentulah mereka akan rejam kamu

Sekiranya mereka ditangkap, hukuman bagi mereka adalah direjam (dibaling dengan batu) sampai mati. Tentunya ia dilakukan di khalayak ramai supaya ia menjadi pengajaran kepada orang lain. Dari sini kita dapat tahu bahawa itulah hukuman yang akan dikenakan kepada mereka jika ditangkap dan tidak mahu terima agama kaum mereka. Mungkin itulah yang telah diberitahu kepada mereka atau itulah undang-undang negara mereka.

 

أَوْ يُعِيدُوكُمْ فِي مِلَّتِهِمْ

atau memaksa kamu masuk balik dalam agama mereka; 

Ataupun mereka mungkin akan dipaksa untuk murtad. Mereka takut nanti pengikut-pengikut Daqyanus akan menyeksa mereka. Takut nanti mereka bersetuju untuk masuk agama syirik mereka kalau tidak tahan diseksa. Atau kalau teruk sangat diseksa, mereka akan mati.

Perkataan مِلَّتِ digunakan dalam ayat ini, bukan دين ‘deen’. Ini adalah kerana agama mereka itu bukan agama sebenarnya dan kerana itu tidak digunakan kalimah دين. Kalimah مِلَّتِ atau millah itu bermaksud fahaman pegangan rasmi sesuatu negara. Mereka melihat amalan mereka yang mereka anggap sebagai agama itu sebagai adalah sebahagian daripada kenegaraan mereka. Oleh itu, apabila pemuda-pemuda itu tidak mahu mengamalkan amalan syirik mereka, masyarakat syirik itu menganggap pemuda-pemuda itu menolak negara mereka.

Padahal, pemuda-pemuda itu bukan begitu. Mereka tidak ada masalah bercakap bahasa yang sama, pakaian yang sama dan makanan yang sama. Akan tetapi yang mereka tolak adalah amalan yang syirik. Sekiranya amalan yang salah, tidak kira sama ada diamalkan oleh semua orang atau tidak dalam negara itu, tetap tidak boleh diamalkan.

Sama seperti kita juga sekarang. Apabila kita menolak amalan bersanding yang menyerupai amalan agama Hindu, ada antara masyarakat kita yang kata kita menolak adat resam masyarakat kita. Mereka sangka kita tidak sayang kepada bangsa pula. Padahal, yang kita tolak adalah apa-apa sahaja yang bertentangan dengan agama Islam. Bukan kita menolak adat bangsa Melayu.

Kita hendaklah tahu bahawa tidak sama taraf antara ‘adat’ dan ‘Islam’. Kalau adat bercanggah dengan agama, hendaklah dibuang adat itu. Antara adat dan agama, adat kena mengalah. Jangan hanya kerana kita memegang adat yang salah, sampai menjerumuskan kita ke dalam neraka pula.

Masyarakat perlu sedar bahawa walaupun amalan itu telah dibuat zaman berzaman, ia tidak semestinya diterima oleh agama. Kalau ia adalah amalan yang salah dan syirik, ia masih tidak diterima sampai bila-bila. Tambahan pula adat ini bukannya sesuatu yang kekal. Adat Melayu pun sudah berubah zaman berzaman. Apabila masa berlalu, adat baru pula yang timbul. Sebagai contoh, adat dulu, bakal tunang lelaki tidak boleh ke rumah bakal tunangan dalam majlis pertunangan. Namun sekarang sudah menjadi perkara biasa sahaja. Maknanya makcik dan pakcik tidak payahlah sembang kencang sangat pasal mahu menjaga adat, kerana orang biasa sahaja langgar dan ubah adat.

 

وَلَنْ تُفْلِحُوا إِذًا أَبَدًا

Dan kamu sekali-sekali tidak akan dapat keuntungan di dunia dan di akhirat selama-lamanya. 

Pemuda-pemuda Kahfi itu sedar yang kalau mereka dipaksa kembali ke dalam agama asal mereka, maka mereka tidak akan berjaya di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.

Di dunia lagi sudah rugi. Ini adalah kerana amalan yang bercanggah dengan agama itu sebenarnya merugikan namun kita sahaja yang tidak perasan. Ini kerana kebanyakan masanya perlu mengeluarkan belanja yang tinggi tetapi ia tidak berhasil langsung dan tidak ada pahala. Sama Sahaja seperti mereka yang mengadakan Majlis Ya Hanana, habis berpuluh ribu ringgit, namun dosa sahaja yang dapat. Yang untung kepala Habib yang tukang nyanyi dan tukang selawat itu sahaja. Yang bodoh terkinja-kinja itu bukannya dapat apa.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 26 Mei 2024

Ringkasan Surah Kahf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Kahfi Ayat 17 – 18 (Kedudukan Gua Kahf)

KISAH DI DALAM GUA

Kahf Ayat 17: Ayat ini adalah tafsir bagi ayat ke 9. Ayat ke 9 itu adalah ayat yang menceritakan kisah Pemuda Kahfi itu dengan ringkas sahaja. Sekarang diberikan lokasi secara umum sahaja akan tempat itu.

۞ وَتَرَى الشَّمسَ إِذا طَلَعَت تَزٰوَرُ عَن كَهفِهِم ذاتَ اليَمينِ وَإِذا غَرَبَت تَّقرِضُهُم ذاتَ الشِّمالِ وَهُم في فَجوَةٍ مِّنهُ ۚ ذٰلِكَ مِن ءآيٰتِ اللهِ ۗ مَن يَهدِ اللهُ فَهُوَ المُهتَدِ ۖ وَمَن يُضلِل فَلَن تَجِدَ لَهُ وَلِيًّا مُّرشِدًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [had you been present], you would see the sun when it rose, inclining away from their cave on the right, and when it set, passing away from them on the left, while they were [laying] within an open space thereof. That was from the signs of Allāh. He whom Allāh guides is the [rightly] guided, but he whom He leaves astray – never will you find for him a protecting guide.

(MELAYU)

Dan kamu akan melihat matahari ketika terbit, condong dari gua mereka ke sebelah kanan, dan bila matahari terbenam menjauhi mereka ke sebelah kiri sedang mereka berada dalam tempat yang luas dalam gua itu. Itu adalah sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Allah. Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk; dan barangsiapa yang disesatkan-Nya, maka kamu tidak akan mendapatkan seorang pemimpin pun yang dapat memberi petunjuk kepadanya.

 

وَتَرَى الشَّمْسَ إِذَا طَلَعَتْ تَزٰوَرُ عَنْ كَهْفِهِمْ ذَاتَ الْيَمِينِ

Dan kamu dapat tengok apabila matahari terbit, ia akan cenderung ke sebelah kanan gua mereka

Allah ﷻ memberikan penerangan tentang perjalanan matahari di tempat itu. Seperti Allah ﷻ hendak kita membayangkan kita berada di sana.

Perkataan تَزَاوَرُ bermaksud lengkongan. Laluan matahari itu tidak tepat kena kepada tempat gua mereka tetapi cukup untuk cahaya matahari masuk. Gua itu memerlukan cahaya supaya tidak berkulat di dalamnya dan tidak berkepam di dalamnya. Ia juga memberikan sedikit kehangatan yang diperlukan oleh mereka di dalamnya, tetapi tidaklah pancaran itu tepat sampaikan panas sangat. Lihatlah bagaimana Allah ﷻ menjaga mereka. Begitulah kalau kita jaga agama, Allah ﷻ akan jaga kita seperti sabda Rasulullah ﷺ,

عَنْ أَبِي الْعَبَّاسِ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ الله عَنْهُمَا قَالَ: كُنْتُ خَلْفَ النَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا فَقَالَ:
( يَا غُلاَم! إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ: اِحْفَظِ الله يَحْفَظْكَ، اِحْفَظِ الله تَجِدْهُ تُجَاهَكَ، إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ الله، وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاالله، وَاعْلَمْ أَنَّ الأُمَّةَ لَوِ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوْكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوْكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ الله لَكَ، وَإِنِ اجْتَمَعُوْا عَلَى أَنْ يَضُرُّوْكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوْكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ الله عَلَيْكَ، رُفِعَتِ الأَقْلاَمُ وَجَفَّتِ الصُّحُفُ )
رواه الترمذي وقال حديث حسن صحيح
Daripada Abu al-‘Abbas, Abdullah ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا beliau berkata: Aku pernah duduk di belakang Nabi ﷺ pada suatu hari, lalu Baginda bersabda kepadaku: Wahai anak! Sesungguhnya aku mahu ajarkan engkau beberapa kalimah: Jagalah Allah nescaya Allah akan menjagamu. Jagalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka pintalah daripada Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah. Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu dengan suatu mudharat, nescaya mereka tidak mampu memudaratkan kamu kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu. Pena-pena telah diangkatkan dan lembaran-lembaran telah kering (dakwatnya).
(Hadith Riwayat al-Imam At-Tirmidzi (2440))
Beliau berkata: Ia adalah Hadith Hasan Sahih

 

Mereka tidak mengadakan Doa Selamat, Baca Yaasin, Solat Hajat berjemaah sebelum mereka bertolak pergi ke gua itu. Mereka tidak buat amalan-amalan bid’ah ini. Namun Allah ﷻ selamatkan mereka kerana keimanan mereka.

 

وَإِذَا غَرَبَتْ تَّقْرِضُهُمْ ذَاتَ الشِّمَالِ

Dan bila matahari jatuh, ia akan menjauhi dari sebelah kiri pintu gua;

Apabila waktu petang, cahaya matahari akan semakin menjauh dari gua itu. Kalimah تَّقْرِضُ bermaksud bergerak sedikit demi sedikit. Ini adalah kerana Allah ﷻ hendak menyorokkan gua itu daripada orang ramai. Kalau ada orang yang datang ke kawasan itu, ada kemungkinan mereka akan mula bertolak dari rumah mereka dan sampai ke kawasan itu pada waktu petang. Maka, jika matahari menjauh dari tempat gua itu, kemungkinan manusia untuk menemui tempat itu adalah tipis.

Apabila dikatakan matahari dari barat dan timur tidak kena kepada pintu gua itu, ini menunjukkan pintu gua itu mengadap ke arah utara. Apabila berada di bahagian tengah, maka mereka akan mendapat tiupan angin yang segar.

Kalau cahaya matahari masuk tentu akan panas. Maka Pemuda Kahfi yang ditidurkan dalam gua itu digolekkan oleh Allah ﷻ untuk menjauhi matahari. Bila cahaya matahari bergerak, mereka pun bergerak supaya tubuh mereka tidak kepanasan. Melalui ayat ini, kita boleh tahu bahawa pintu gua itu mengadap ke arah utara. Kerana apabila matahari terbit, matahari itu condong ke sebelah kanan. Iaitu, bayang-bayang daripada sinar matahari itu berada di kanan. Ini adalah tanda arah yang digunakan dahulu sampai sekarang, menunjukkan yang Allah ﷻ tahu cara penggunaan tanda arah ini akan kekal sampai bila-bila.

Allah ﷻ telah memberi isyarat tentang sifat gua itu tetapi tidak diberitahu kepada kita di negeri manakah ia terletak kerana di manakah kedudukannya tidaklah penting. Yang penting adalah apakah pengajaran yang boleh diambil daripada kisah mereka. Walaupun begitu, memang ada yang ambil berat tentang hal ini dan mereka melakukan kajian secara menyeluruh dengan melihat kedudukan matahari ini. Apabila sampai kepada satu-satu tempat, mereka akan periksa dengan kedudukan matahari dan sinaran matahari, adakah seperti yang disebut di dalam ayat ini. Kita di sini tidak hiraukan tentang tempat, maka kita tidak masukkan pendapat tentang lokasi-lokasi tersebut. Kerana akhirnya sama sahaja, tidak ada sesiapa pengkaji itu boleh mengatakan tempat dialah yang tepat.

 

وَهُمْ فِي فَجْوَةٍ مِّنْهُ

dan mereka berada di ruang luas di tengah-tengah gua; 

Perkataan فَجْوَةٍ bermaksud ‘di tengah-tengah’. Ini mengisyaratkan bahawa mereka tidur di tengah-tengah gua itu. Ini menunjukkan yang gua itu besar (kerana itu kalimah كَهْفِ yang digunakan, bukan غار). Atau, ia juga boleh bermaksud gua itu berada di tengah-tengah lembah antara dua bukit atau gunung.

Sinar matahari itu tidak terkena kepada mereka kerana mereka berada di ruang yang luas dalam gua itu. Kerana kalau mereka terkena tepat sinar matahari itu, nescaya badan dan pakaian mereka akan kepanasan.

 

ذَٰلِكَ مِنْ ءآيٰتِ اللهِ

Demikian itu daripada tanda-tanda Allah;

Ini adalah dalil bahawasanya Allah ﷻ mampu untuk berbuat apa sahaja. Dialah yang mengarahkan mereka untuk pergi ke gua itu. Dialah yang memberikan keadaan yang sesuai untuk mereka tinggal di dalam gua itu. Allah ﷻ menjaga keadaan mereka supaya mereka sesuai duduk di dalam gua itu dalam jangka masa yang lama. Dia juga yang menidurkan mereka sehingga 309 tahun lamanya.

 

مَنْ يَهْدِ اللهُ فَهُوَ الْمُهْتَدِ

Sesiapa yang dipimpin oleh Allah, maka dia sahaja yang terpimpin;

Yang memberi pimpinan adalah Allah ﷻ. Apabila Allah ﷻ yang memberi pimpinan, maka tentulah orang itu pasti akan terpimpin. Begitulah, bagi manusia yang ada keinginan untuk kembali kepada Allah ﷻ, mereka pasti akan nampak kebenaran, Mereka inilah yang ada inabah dalam diri mereka. Kalimah أَنابَ daripada katadasar ن و ب yang bermaksud bertaubat dan kembali lagi dan lagi dan berturut-turut (kepada Allah ﷻ) dengan amal yang ikhlas apabila ditimpa musibah; kembali (kepada Allah ﷻ) dengan bertaubat lagi dan lagi dengan keikhlasan. Inabah adalah sifat condong kepada Allah ﷻ, mahu kepada Allah ﷻ.

Sifat ‘inabah’ adalah keinginan untuk tahu kebenaran kerana bila dalam hati ada keinginan kepada kebenaran, mereka tidak degil, mudah menerima dan boleh beriman dengan mudah. Entah berapa ramai orang yang telah jumpa kebenaran, dan apabila kita tanya kepada mereka apa yang menyebabkan mereka jumpa kebenaran itu, mereka akan jawab bahawa pada satu ketika mereka berdoa supaya diberikan dan ditunjukkan kebenaran. Maknanya hati mereka telah bersedia untuk menerima kebenaran, dan apabila kebenaran itu ditunjukkan kepada mereka, mereka telah bersedia untuk menerimanya. Mereka terus ambil dan pegang dengan kemas.

 

وَمَن يُضلِل فَلَن تَجِدَ لَهُ وَلِيًّا مُّرشِدًا

Dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, kamu sekali-kali tidak dapat mereka ada penjamin

Sesiapa yang menentang kebenaran, mereka itu akan disesatkan oleh Allah ﷻ. Bukanlah Allah ﷻ mahu menyesatkan mereka dari mula tetapi kerana mereka sentiasa sahaja menolak kebenaran, maka Allah ﷻ telah membuat keputusan untuk menyesatkan mereka.

Akan tetapi kita jangan salah faham pula. Allah ﷻ sesatkan orang yang pasti sesat itu adalah kerana mereka tidak mengambil berbagai-bagai peluang yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka. Oleh kerana mereka banyak menentang, maka baru Allah ﷻ buat keputusan untuk menutup hati mereka daripada menerima kebenaran. Ini kita telah sentuh tentang Khatmul Qalbi dalam perbincangan-perbincangan yang lepas.

Ini penting kerana ramai yang terkeliru. Mereka kata Allah ﷻ yang sesatkan mereka, Allah ﷻ tidak beri hidayah kepada mereka, maka bukan salah mereka, Allah ﷻ yang salah! Subhanallah! Ini amat jahil sekali kerana baca terjemahan tanpa belajar, dan baca satu ayat sahaja sudah membuat keputusan yang melulu. Sedangkan Allah ﷻ bukan sewenang-wenangnya menyesatkan manusia. Yang Allah ﷻ sesatkan adalah kerana manusia itu sendiri yang pilih kesesatan. Ini disebut di dalam ayat-ayat lain. Sebab itulah kita kena belajar keseluruhan tafsir 30 juzuk supaya tidak keliru sebegini rupa! Allah ﷻ sebut di dalam Saf: 5

فَلَمّا زاغوا أَزاغَ اللَّهُ قُلوبَهُم ۚ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ
Maka tatkala mereka berpaling (daripada kebenaran), Allah memalingkan hati mereka; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.

Maknanya Allah ﷻ sesatkan manusia yang telah berpaling daripada kebenaran. Mereka sendiri yang pilih untuk menjadi sesat, maka Allah ﷻ teruskan kehendak mereka itu. Ini kerana Allah ﷻ tidak memaksa manusia untuk beriman. Manusia ada pilihan sendiri seperti yang Allah ﷻ sebut dalam Kahf: 29

وَقُلِ الحَقُّ مِن رَّبِّكُم ۖ فَمَن شاءَ فَليُؤمِن وَمَن شاءَ فَليَكفُر
Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang daripada Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya”.

Manusia yang diberikan dengan hidayah adalah manusia yang mahukan kebenaran. Dia mungkin tidak dilahirkan dalam keluarga orang beriman, tetapi dia pilih untuk beriman dan membersihkan hatinya daripada kesyirikan seperti disebut dalam Syams: 8-10 maka dialah termasuk mereka yang beruntung.

فَأَلهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقوَٮٰهَا
serta Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaannya.

قَد أَفلَحَ مَن زَكَّٮٰهَا
sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu,

وَقَد خَابَ مَن دَسَّٮٰهَا
dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.

Di sini kita tahu bahawa keimanan itu terpulang kepada diri sendiri. Jangan memandai hendak salahkan Allah ﷻ pula. Jangan lagi keliru tentang perkara ini. Belajarlah tafsir Al-Qur’an sampai pandai.

Kerana kalau menentang ajaran Al-Qur’an, Allah ﷻ boleh menutup hati daripada menerima hidayah langsung dan ini dinamakan Khatmul Qalbi. Oleh kerana mereka telah sesat semasa di dunia, maka mereka tidak akan mendapat penjamin semasa perbicaraan di Mahsyar; Kalau di dunia, mungkin ada orang boleh tolong beri jamin, namun tidak di Mahsyar. Kalau Allah ﷻ telah sesatkan seseorang itu, maka tidak ada lagi sesiapa yang boleh beri petunjuk kepada dia. Ini adalah kerana Allah ﷻ telah tutup pintu hati dia kepada kebenaran. Namun kena ingat yang ini hanya diputuskan oleh Allah ﷻ apabila seseorang itu menentang kuat sangat kepada kebenaran berkali-kali. Kita jangan pula tuduh orang itu dan orang ini sudah ditutup pintu hatinya kerana kita tidak tahu keputusan Allah ﷻ.

Maknanya bukanlah Allah ﷻ sesatkan orang itu dari mula lagi. Akan tetapi kesesatan yang diberikan ini adalah kerana orang itu kuat sangat menentang.

 

Sekian Ruku’ 2 daripada 12 ruku’


 

Kahf Ayat 18: Ini adalah tafsir bagi ayat 11 iaitu keadaan tidur mereka itu.

وَتَحسَبُهُم أَيقاظًا وَهُم رُقودٌ ۚ وَنُقَلِّبُهُم ذاتَ اليَمينِ وَذاتَ الشِّمالِ ۖ وَكَلبُهُم باسِطٌ ذِراعَيهِ بِالوَصيدِ ۚ لَوِ اطَّلَعتَ عَلَيهِم لَوَلَّيتَ مِنهُم فِرارًا وَلَمُلِئتَ مِنهُم رُعبًا

 Sahih International

And you would think them awake, while they were asleep. And We turned them to the right and to the left, while their dog stretched his forelegs at the entrance. If you had looked at them, you would have turned from them in flight and been filled by them with terror.

Malay

Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka.

 

وَتَحْسَبُهُمْ أَيْقَاظًا

Engkau sangka mereka itu sedar;

Kalau ada orang yang melihat keadaan Pemuda Kahfi waktu itu, mereka akan sangka para pemuda itu sedang sedar. Kalimah أَيْقَاظًا daripada katadasar ي ق ظ yang bermaksud terjaga, bangun daripada tidur; berwaspada; berhati-hati atau dalam keadaan bersedia. Daripada kata dasar inilah kita selalu dengar kalimah ‘yaqazah’ iaitu banyak golongan sesat yang kata pernah berjumpa dengan Rasulullah ﷺ di dalam keadaan yaqazah.

Sebahagian pentafsir seperti Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا ada mengatakan bahawa ketika Allah ﷻ menidurkan mereka, Allah ﷻ jadikan mata mereka tidak tertutup dan tetap terbuka. Allah ﷻ tutup telinga mereka sahaja, tetapi tidak mata mereka. Oleh itu kalaulah ada orang tiba-tiba datang dan ternampak mereka, akan disangkakan yang mereka itu terjaga kerana mata mereka terbuka.

Ada juga pendapat lain mengatakan orang tidak sangka mereka tidur kerana keadaan mereka bergolek dari kiri ke kanan dalam tidur mereka itu. Kalau ada yang melihat mereka, tentu mereka sangka yang para pemuda itu sedang jaga.

 

وَهُمْ رُقُودٌ

sedangkan mereka itu tidur dengan nyenyak sekali;

Makna رُقُودٌ adalah ‘tidur dengan sedap’. Maknanya tidur dengan nyenyak. Boleh diterjemahkan dalam bahasa kita ‘tidur mati’. Kadang-kadang kita tidur dengan muka kita tersenyum. Maknanya itu bukan tidur yang menggelisahkan.

 

وَنُقَلِّبُهُم ذاتَ اليَمينِ وَذاتَ الشِّمالِ

Kami balik-balikkan mereka ke arah kanan dan ke arah kiri

Allah ﷻ menggerakkan tubuh mereka berpusing ke sebelah kanan. Untuk menjaga tubuh mereka. Kemudian Allah ﷻ balikkan tubuh mereka ke sebelah kiri pula. Kiri dan kanan ini adalah nisbah kepada pintu gua.

Pergerakan itu berulang-ulang dari masa ke semasa. Ada beberapa tafsir tentang ayat ini. Ada yang kata Allah ﷻ menggerakkan mereka ke arah kiri apabila sinar matahari menyinari sebelah kanan dan menggerakkan mereka ke arah kanan apabila matahari menyinari sebelah kiri pula supaya mereka tidak tepat terkena sinaran matahari.

Ada juga yang mengatakan Allah ﷻ membolak-balikkan badan mereka supaya darah mereka dapat mengalir dengan baik. Sama seperti yang dilakukan oleh jururawat kepada pesakit yang terbaring lama di katil hospital. Jururawat akan bantu memusingkan kedudukan pesakit itu. kerana mungkin pesakit itu tidak dapat bergerak sendiri kerana dia koma atau tidak mampu untuk bergerak. Ini kerana kalau tidak digerakkan, darah akan mendap ke satu tempat dan akan menyebabkan masalah lain pula. Ini dinamakan ‘bed sore’. Atau, supaya badan mereka tidak dimakan oleh tanah.

 

وَكَلْبُهُمْ بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِ

Dan anjing mereka menghamparkan dua lengannya ke arah pintu gua dengan cara nak terkam;

Ini adalah anjing penggembala yang telah mengikut golongan pemuda itu. Dari sini juga kita dapat tahu bahawa anjing itu juga tidak mati-mati seperti para Pemuda itu juga. Anjing itu duduk di pintu gua dan kedudukan anjing itu seolah-olah bersedia untuk terkam, tetapi sebenarnya dia tidur juga. Ada yang kata tidur anjing itu juga dalam keadaan matanya celik. Sebab kalau dia tidur dalam keadaan biasa, tidak kelihatan yang dia sedang menjaga kawasan itu. Anjing itu tidur dengan keadaan mendepangkan tangannya. Keadaannya seolah-olah hendak menerkam kalau orang melihatnya.

Allah ﷻ menyebut tentang anjing dalam ayat ini kerana anjing itu telah berkhidmat kepada mereka. Oleh itu, janganlah kita menghina anjing. Kadang-kadang orang kita sampai bencikan kepada anjing, kalau nampak sahaja anjing, mereka akan terus tendang atau baling dengan batu dan sebagainya. Kita hendaklah menghormati binatang-binatang yang telah dijadikan oleh Allah ﷻ. Anjing itu tidak bersalah pun. Manusia yang salah faham kerana mereka diajar yang anjing itu adalah ‘najis’ namun perkara ini perlu diperbincangkan lagi.

Sebenarnya, perkataan وَصِيدِ bermaksud ‘tutupan’, bukan pintu. kerana kalau pintu, perkataan lain yang digunakan – باب. Sebenarnya, tempat masuk itu kalau dilihat, ia lebih nampak sebagai penutup pintu gua, bukannya pintu. Mungkin kerana batu-batu telah jatuh menutupi pintu gua itu.

Keadaan ini bertujuan supaya orang-orang yang terjumpa tempat itu, mereka tidak terfikir bahawa ia adalah pintu gua kerana Allah ﷻ tidak mahu ada sesiapa yang menemui tempat itu dan masuk ke dalam gua itu. Kalau mereka sampai pun, mereka tidak akan jumpa pintu untuk memasukinya.

Mungkin timbul persoalan, kenapa pula para Pemuda yang beriman ini membela anjing pula? Bukankah kita tidak dibenarkan untuk membela anjing? Bukankah terdapat riwayat hadith yang menyatakan kesan buruk memelihara anjing di dalam rumah sebagai penyebab terhalangnya rahmat Allah ﷻ ke dalam rumah. Hadith ini diriwayatkan oleh Abi Thalhah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

لاَ تَدْخُلُ المَلاَئِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ، وَلاَ صُورَةُ تَمَاثِيلَ
“Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang terdapat anjing, dan patung untuk disembah”.
(Riwayat Bukhari No. 3225)

Persoalan ini boleh dijawab dengan dua cara. Pertama, syariat yang melarang membela anjing adalah syariat Nabi Muhammad ﷺ dan bukannya syariat zaman dulu. Yang keduanya, di dalam syariat Nabi Muhammad ﷺ pun boleh sahaja membela anjing jika digunakan sebagai penjaga dan pemburu. Boleh lihat hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنِ اقْتَنَى كَلْبًا، إِلَّا كَلْبَ صَيْدٍ، أَوْ مَاشِيَةٍ، نَقَصَ مِنْ أَجْرِهِ كُلَّ يَوْمٍ قِيرَاطَانِ
“Sesiapa yang membela anjing selain anjing memburu, atau anjing yang menjaga tanaman, berkurang pahalanya setiap hari sebanyak dua qirath”.
(Riwayat Muslim No. 1574)

 

لَوِ اطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ مِنْهُمْ فِرَارًا

Kalau kamu dapat lihat mereka kamu nescaya akan lari daripada mereka

Perkataan طَّلَعْ bermaksud ‘menjumpai sesuatu selepas memanjat’. Ia mengandungi makna kesungguhan untuk mendaki untuk melihat sesuatu dari tempat tinggi. Kata itu kemudian difahami dalam erti: melihat sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh orang lain.

Ini bermaksud, orang hanya dapat melihat gua itu setelah memanjat ke tempat yang tinggi dan melihat ke bawah. Ini bermakna, gua itu adalah di antara dua gunung. Susah untuk sampai ke tempat itu. Maknanya, memang Allah ﷻ sudah pelihara tempat itu supaya para Pemuda itu tidak ditemui. Kalaulah dapat lihat mereka pun, perasaan gerun akan diberi oleh Allah ﷻ kepada orang yang melihat mereka itu.

 

وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا

dan engkau akan dipenuhi dengan rasa gerun kepada mereka;

Kalau sesiapa nampak mereka, kalau lihat sahaja sudah menjadi gerun. Allah ﷻ telah menyeliputi mereka dengan perkara-perkara yang menyeramkan. Sesiapa yang memandang sahaja mereka, akan lari dalam ketakutan.

Allah ﷻ juga telah menjadikan tempat itu tidak mudah untuk didatangi orang. Pelbagai penghalang telah diberikan. Sudahlah susah untuk sampai ke tempat itu. Apabila sampai pun, mereka tidak menemui pintu. Ada anjing pula yang seolah-olah menjaga pintu gua itu. Mereka yang sampai ke tempat itu pun akan timbul rasa gerun untuk masuk lagi ke tempat itu.

Oleh kerana itu kalau sesiapa yang tersesat sampai ke situ, mereka akan berpusing dan lari dari tempat itu. Itu semuanya adalah untuk menjaga supaya pemuda-pemuda itu tidak dijumpai. Inilah cara Allah ﷻ jaga kedudukan mereka selama tiga ratus dan sembilan tahun.

Akan tetapi kalau diperhatikan, disebut لَوَلَّيْتَ (lari) dahulu sebelum disebut رُعْبًا (takut). Ini bermaksud yang lari itu bukannya kerana takut. Takut itu datang kemudian, iaitu ditanam oleh Allah ﷻ ke dalam hati orang yang telah melihat keadaan para Pemuda itu.

Adapun sahabat yang pernah menemui gua di mana tempat berlakunya peristiwa tersebut adalah Mu‘awiyah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan Ibn ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا. Yang demikian telah dinukilkan dalam kitab al-Lubab fi ‘Ulum al-Kitab (12/466) sebagaimana yang dikisahkan oleh al-Zamakhsyari رَحِمَهُ اللَّهُ bahawa Mu’awiyah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ ketika mana beliau menyerang tentera Rom beliau melalui gua tersebut seraya berkata: Kalaulah dibuka tempat tersebut nescaya kita akan melihat mereka. Kemudian Ibn ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata: Apakah yang ada bagimu dalam perkara itu? Sesungguhnya Allah telah menghalangi sesuatu yang lebih baik bagimu daripada itu. Kemudian beliau berkata dengan menyebut firman Allah ‎ﷻ:

لَوِ اطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ مِنْهُمْ فِرَارًا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا (jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri daripada mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka.)

Kemudian Mu‘awiyah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: “Aku tidak akan berhenti sampai mengetahui keadaan mereka” lalu beliau memerintahkan sejumlah orang untuk pergi dan melihat. Ketika mereka masuk ke dalam gua, Allah ﷻ mengirimkan angin kepada mereka dan angin itu membawa mereka keluar.

Syeikh Abu Bakar al-Jazairi رَحِمَهُ اللَّهُ menyatakan bahawa: Jika engkau melihat mereka pada saat tidur mereka dengan mata terbuka, tentulah engkau berpaling daripada mereka dengan ketakutan dan rasa gementar. Yang demikian disebabkan Allah ﷻ telah meletakkan atas mereka kekaguman dan keagungan, sehingga tidak ada yang mendekati mereka atau menyentuh mereka dengan kejahatan sehinggalah sampai waktu yang telah ditentukan, untuk menjadikan keadaan mereka sebagai tanda daripada tanda-tanda kekuasaan, kebesaran dan keajaiban perancangan-Nya dalam penciptaan. (Lihat Aisar al-Tafasir, 3/245)

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 17 Mei 2024

Ringkasan Surah Kahf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah