Tafsir Surah Baqarah Ayat 70 – 73 (Orang mati dihidupkan)

Ayat 70: Mereka masih tidak berpuas hati lagi. Mereka masih ingin bertanya lagi. Inilah masalah bertanya sampai menyusahkan diri.

قالُوا ادعُ لَنا رَبَّكَ يُبَيِّن لَّنا ما هِيَ إِنَّ البَقَرَ تَشٰبَهَ عَلَينا وَإِنّا إِن شاءَ اللَّهُ لَمُهتَدونَ

Sahih International

They said, “Call upon your Lord to make clear to us what it is. Indeed, [all] cows look alike to us. And indeed we, if Allah wills, will be guided.”

Malay

Mereka berkata lagi: “Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami lembu betina yang mana satu? Kerana sesungguhnya lembu yang dikehendaki itu kesamaran kepada kami (susah kami memilihnya), dan kami insya Allah akan mendapat petunjuk (untuk mencari dan menyembelih lembu itu)”.

 

قَالُوا ادْعُ لَنَا رَبَّكَ

Mereka berkata: “Tolonglah doa untuk kami kepada Tuhan kamu”

Sekali lagi mereka bertanyakan soalan yang menyusahkan diri mereka sendiri. Dan sekali lagi mereka mengatakan itu ‘Tuhan Musa’.

 

يُبَيِّنْ لَّنَا مَا هِيَ

“Supaya Dia menjelaskan untuk kami apakah hakikat sebenar lembu betina itu?”

Mereka sudah mula merasakan bahawa kalau mereka tidak cari lembu itu, kelak mereka akan dimurkai oleh Allah ‎ﷻ. Maka mereka telah berusaha untuk mencari lembu itu. Sekarang mereka ingin tahu ‘hakikat’ lembu itu pula. Ingin benar-benar tahu. Kerana mereka sudah rasa ini adalah lembu yang istimewa. Padahal asalnya ia adalah mana-mana lembu sahaja.

 

 إِنَّ الْبَقَرَ تَشٰبَهَ عَلَيْنَا

“Sesungguhnya lembu betina itu masih samar kepada kami”;

Mereka masih lagi merasa keliru. Kerana pada mereka, sama sahaja lembu yang dijelaskan oleh Allah ‎ﷻ itu dengan lembu-lembu yang lain. Daripada bahasa yang digunakan, kita boleh tahu bahawa mereka telah mencari tetapi mereka tidak jumpa.

Mereka tidak jumpa kerana mereka telah menyusahkan diri mereka dengan banyak bertanya dan kerana itu kebarangkalian untuk menjumpai lembu betina yang memenuhi kriteria yang telah disebut itu amat payah. Padahal, kalau dari mula lagi mereka buat, mereka hanya perlu sembelih mana-mana lembu betina sahaja.

 

وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ لَمُهْتَدُونَ

“Dan kami mudah-mudahan dengan izin Allah lepas ini akan terpimpin.”;

Iaitu semoga mereka terpimpin untuk mencari lembu yang benar. Oleh kerana mereka ada tambah perkataan ‘in sha Allah’ inilah yang menyebabkan Allah ‎ﷻ t‎olong mereka akhirnya untuk menjumpai lembu betina itu kemudiannya. Kerana lafaz itu telah meredakan kemarahan Allah ‎ﷻ.

Oleh kerana itu, memang kita sentiasa kena gunakan lafaz ‘in sha Allah’ ini. Ini salah satu pengajaran penting di dalam ayat ini. Maknanya kita meletakkan segala qadha dan qadar kepada Allah ‎ﷻ. Kalau kita kata esok kita akan pergi ke mana-mana, tanpa sebut in sha Allah, itu tidak patut sekali kerana kita tidak pasti sama ada kita boleh pergi atau tidak.

Malangnya, dalam masyarakat kita sekarang, sudah jadi lain pula. Kalau ada orang yang kata ‘in sha Allah’, automatik kita akan sangka yang orang itu sebenarnya tidak mahu pergi. Bukankah begitu? Lihatlah bagaimana syaitan telah menukar satu makna yang baik kepada makna yang buruk pula.

Lihat bagaimana mereka sudah bertanyakan tentang ‘hakikat’ lembu betina itu. Macam orang tasauf sekarang, mereka hendak tahu ‘hakikat’ Tuhan pula. Macam-macam perkara mereka hendak tahu ‘hakikat’nya. Contohnya, bila dengan Al-Qur’an, mereka nak tahu ‘hakikat’ Qur’an itu apa. ‘Alif’ makna apa, ‘Lam’ makna apa, ‘sabdu’ atas Allah ‎ﷻ makna apa dan sebagainya.

Mereka hendak mencari ‘hakikat’ belaka. Samalah dengan kaum Yahudi ini yang hendak mengetahui apakah hakikat lembu itu, puak tasauf kita hendak tahu hakikat macam-macam pula. Padahal benda itu tidak perlu tahu pun tidak mengapa. Kita tidak akan dapat untuk mencapai hakikat sebenar sesuatu perkara itu.

Sama sahaja antara mereka itu. Tetapi orang tasauf itu menyangka yang mereka itu dapat ilmu yang lebih dari orang lain. Dan mereka rasa mereka terpimpin lebih dari orang lain. Ini adalah kerana syaitan guna helah yang sama semasa kempen kepada mereka dan yang kempen kepada orang Yahudi itu.


 

Ayat 71:

قالَ إِنَّهُ يَقولُ إِنَّها بَقَرَةٌ لّا ذَلولٌ تُثيرُ الأَرضَ وَلا تَسقِي الحَرثَ مُسَلَّمَةٌ لّا شِيَةَ فيها ۚ قالُوا ٱلـَٔـٰنَ جِئتَ بِالحَقِّ ۚ فَذَبَحوها وَما كادوا يَفعَلونَ

Sahih International

He said, “He says, ‘It is a cow neither trained to plow the earth nor to irrigate the field, one free from fault with no spot upon her.’ ” They said, “Now you have come with the truth.” So they slaughtered her, but they could hardly do it.

Malay

Nabi Musa menjawab: “Bahawasanya Allah berfirman: Sebenarnya (lembu yang dikehendaki itu) ialah lembu betina yang tidak pernah digunakan untuk membajak tanah (sawah bendang), dan tidak pula (digunakan mengangkut air) untuk menyiram tanaman; ia juga tidak cacat dan tidak ada belang pada warnanya”. Mereka berkata: “Sekarang barulah engkau dapat menerangkan sifat-sifatnya yang sebenar”. Maka mereka pun menyembelih lembu yang tersebut, dan hampir-hampir mereka tidak dapat menunaikan (perintah Allah) itu.

 

قَالَ إِنَّهُ يَقُولُ إِنَّهَا بَقَرَةٌ لَّا ذَلُولٌ تُثِيرُ الْأَرْضَ

Lalu Nabi Musa berkata bahawasanya Allah berkata bahawa lembu betina itu tidak pernah diajar untuk membajak tanah;

Lembu itu bukan sahaja tidak buat kerja membajak tanah, diajar pun tidak pernah untuk membajak tanah. Ini memang jenis lembu yang duduk makan sahaja. Tidak seperti lembu-lembu yang lain. Ini memang lembu yang kerjanya hanya makan dan tidur sahaja.

 

وَلَا تَسْقِي الْحَرْثَ

dan tidak diguna untuk siram tanaman;

Menyiram tanaman pun tidak pernah. Maknanya, lembu ini dibela sahaja. Sebab ia cantik sangat. Begitulah kalau ibubapa ada anak yang disayangi (anak emas), mereka tidak dikerah sangat untuk buat kerja di rumah.

Maka, bukan senang untuk mencari lembu yang jenis ini. Sudahlah lembu yang cantik, tidak diguna untuk membuat kerja pula.

 

مُسَلَّمَةٌ

Sihat tubuh badan dia;

Ini lembu yang sihat lagi cantik. Bukan yang jenis kurus, bukan gemuk. Ia juga tidak ada cacat seperti buta sebelah, kaki pincang dan sebagainya.

 

لَّا شِيَةَ فِيهَا

Tidak ada jalur;

Maknanya, badan dia tidak ada jalur, tidak ada tanda, tidak berbelang warnanya. Warna kekuningan itu pada keseluruhan badannya. Kerana kalau ada jalur atau tompok-tompok, sudah dikira ada kekurangan.

 

قَالُوا الْآنَ جِئْتَ بِالْحَقِّ

Mereka berkata: Sekarang ini baru engkau menjelaskan sifat-sifat lembu itu dengan sebenarnya;

Apabila Nabi Musa عليه السلام menjelaskan sifat lembu itu, mereka sudah rasa takjub dengan lembu itu pula. Mereka pun segera merata-rata mencari lembu itu. Mengikut satu cerita Israiliyat, mereka mengambil masa 40 tahun untuk bertemu dengan lembu itu (tidak boleh dijadikan hujah kerana lama sangat masa itu).

Lihatlah betapa kurang ajarnya mereka dengan Nabi mereka. Mereka kata baru sekarang Nabi Musa beritahu kebenaran. Seolah-olah sebelum ini Nabi Musa عليه السلام main-main sahaja bagi maklumat. Seolah-olah sebelum ini Nabi Musa عليه السلام tidak beri kebenaran lagi.

Allah ‎ﷻ telah membiarkan mereka mencari lembu itu dalam masa yang lama. Macam-macam jenis mereka cari, namun ada sahaja kecacatan pada lembu itu. Ini kerana salah mereka juga kerana banyak sangat bertanya.

Akhirnya mereka telah berjaya menjumpai lembu itu. Tuan lembu itu pula hanya mahu menjual dengan harga yang mahal. Akhirnya mereka telah membeli lembu itu dengan emas seberat lembu itu. Atau, emas sepenuh kulit lembu itu. Mereka kena kongsi wang yang banyak untuk membeli lembu itu.

Sampai sekarang pun, kalau lembu yang warna kuning ini memang mahal harganya sebab ia cantik; tetapi cerita ini adalah Kisah Israiliyat dan tidak boleh dijadikan sebagai sumber tafsir. Jadi, walaupun kisah ini masyhur dan ada juga dalam kitab-kitab tafsir kita kena tinggalkan juga. Kerana kalau sampai 40 tahun kena cari lembu itu, sudah lama sangat.

 

فَذَبَحُوهَا

Maka mereka menyembelih lembu itu;

Akhirnya mereka dapat juga menjumpai lembu itu dan mereka menyembelihnya. Mereka cari sapi tersebut dan kebetulan ditemukan pada seorang anak muda yang berbakti kepada ibunya, lalu mereka beli dengan emas sepenuh bungkusan yang terbuat dari kulit sapi itu. Atau dikatakan dibeli dengan emas seberat lembu itu.

 

وَمَا كَادُوا يَفْعَلُونَ

dan hampir-hampir mereka tidak dapat menunaikan perintah itu;

Mereka hampir tidak dapat menyembelihnya kerana timbul rasa sayang kepada lembu itu. Mereka rasa sayang untuk menyembelih lembu itu sebab lembu itu cantik sangat. Dan mereka pula memang jenis kaum yang suka memuja lembu. Mulanya mereka memang tidak mahu sembelih tetapi oleh kerana mereka telah dipaksa untuk menyembelih lembu itu, barulah mereka sembelih.

Atau, ia mungkin juga bermaksud sudah susah sangat untuk mereka cari lembu itu kerana kriteria lembu itu sudah jadi susah sangat untuk dijumpai.

Ada pendapat yang mengatakan mereka tidak dapat nak beli lembu itu kerana tuan punya lembu itu meletakkan harga yang terlalu tinggi.

Ada juga pendapat yang mengatakan mereka berat untuk sembelih lembu itu kerana tujuan lembu itu adalah untuk menyelesaikan persoalan siapakah pembunuh lelaki yang telah pernah disebut sebelum ini. Jadi ada yang tidak mahu rahsia itu terbongkar.

Maknanya, pengajaran yang kita boleh ambil dari ayat ini, bila sudah diperintah, ikut sahaja. Jangan soal dan tanya banyak. Bangsa Yahudi memang banyak soal. Kita pun ada yang jenis macam itu juga. Macam-macam soalan orang kita akan tanya bila disampaikan ilmu agama kepada mereka.

Soalan yang mereka tanya itu adalah soalan yang tidak perlu mereka tanya sebenarnya. Kalau tanya banyak tetapi hendak buat, tidak mengapalah juga, tetapi terdapat juga jenis yang sengaja suka bertanya hanya kerana ingin bertanya, tanpa ada keinginan untuk buat pun. Kadang-kadang susah kita hendak jawab soalan dari pelajar kerana soalan itu tidak pernah ditanya oleh orang dahulu dan ulama’ pun tidak jawab.

Warna kuning ini memang ada masalah besar. Banyak yang menganggap keramat kalau warna kuning. Sebab itu ada ‘Pulut Kuning’, balut nisan dengan warna kuning dan sebagainya.

Kita pun biasa lihat, ada kubur yang berbalut nisannya dengan warna kuning. Terdapat juga keris keramat yang dibalut kain kuning. Termasuklah dengan penggunaan pulut kuning dan sebagainya. Ia adalah tanda kepada pemujaan.

Sekarang kita sudah tahu bahawa perkara yang berkenaan dengan kuning itu telah diceritakan di dalam Surah Baqarah. Raja-raja selalunya akan menggunakan warna kuning. Tidak kira raja negara mana. Kuning adalah warna diraja.

Ini termasuklah yang bukan raja pun, ada yang gemar memakai warna kuning sebagai tanda keramat. Ada di kalangan masyarakat kita, yang kalau hendak bersalin pun mesti ada kain warna kuning juga. Kadang-kadang apabila yang ada pangkat sikit sahaja pun sudah mula hendak memakai warna kuning. Ini semua adalah kesan-kesan peninggalan kepada pemujaan dalam masyarakat kita. Walaupun sudah lama masuk Islam, masih lagi tidak boleh ditinggalkan sepenuhnya. Masih lagi ada kepercayaan tahyul dan khurafat dalam masyarakat kita.

Ada yang rasa susah untuk meninggalkannya. Sebagai contoh, sudah biasa sangat makan pulut kuning, apabila ada majlis sahaja, kena ada pulut kuning. Ini kerana pulut itu dipanggil ‘pulut semangat’ oleh orang dulu-dulu kerana ada elemen pemujaan padanya. Pulut hijau mereka tidak pula mahu buat. Maka, selalu juga kita makan. Tetapi seeloknya kita tinggalkan kesan-kesan dari pemujaan ini. Namun begitulah, kalau kita tegur mereka ini, nanti kita pula yang akan kena balik.

Habis Ruku’ 8 dari 40 surah ini


 

Ayat 72: Ayat ini hendak memberitahu satu lagi perangai buruk Yahudi: mereka yang buat kesalahan tetapi suka menuduh orang lain. Dalam ayat ini dikisahkan bagaimana seorang lelaki membunuh lelaki lain, tetapi dituduh orang lain pula yang membunuhnya.

Dia membuat kesalahan itu kerana mahukan perkara keduniaan dan dia menuduh orang lain untuk menyorok kebenaran dan kerana itu dia telah memecahbelahkan manusia. Inilah satu sifat Yahudi. Kerana mereka tidak ada sifat takut kepada Tuhan namun sebaliknya mereka ada sifat tamak kepada dunia.

Mereka tamakkan dunia sampai sanggup membunuh orang. Dan untuk melepaskan diri, mereka sanggup menuduh orang lain. Kalau ia masih berlaku lagi, tidaklah menghairankan kerana ia memang sifat mereka. Dan kalau ada di kalangan kita yang membuat perkara sebegini juga, maka ini adalah sifat Yahudi dan kita tidak banyak bezanya dengan mereka sebenarnya.

Ayat ini banyak pentafsir yang mengaitkannya dengan lembu yang disembelih sebelum ini. Tetapi sebenarnya tidak kerana kisah itu adalah dari Israiliyat dan kisah Israiliyat tidak boleh dijadikan sebagai sumber rujukan. Jadi, walaupun ia adalah kisah yang masyhur, tetapi kita kena tinggalkannya.

وَإِذ قَتَلتُم نَفسًا فَٱدَّٲرَٲٔتُم فيها ۖ وَاللَّهُ مُخرِجٌ مّا كُنتُم تَكتُمونَ

Sahih International

And [recall] when you slew a man and disputed over it, but Allah was to bring out that which you were concealing.

Malay

Dan (ingatlah), ketika kamu membunuh seorang manusia, kemudian kamu tuduh-menuduh sesama sendiri tentang pembunuhan itu, padahal Allah tetap melahirkan apa yang kamu sembunyikan.

 

وَإِذْ قَتَلْتُمْ نَفْسًا

Dan ketika kamu bunuh satu jiwa

Seorang anak saudara telah membunuh pakciknya kerana mahukan harta pakciknya itu. Dia memang akan mendapat harta itu bila pakciknya itu mati, tetapi oleh kerana dia tidak sanggup untuk menunggu lama, jadi dia terus bunuh sahaja pakciknya itu.

 

فَٱدَّٲرَٲٔتُم فِيهَا

dan kamu saling tuduh-menuduh;

Lelaki yang  membunuh itu telah meletakkan jasad pakciknya di kampung lain dan menuduh orang lain yang membunuh pakciknya itu. Kerana kejadian pembunuhan itu, manusia telah berselisih dan tuduh menuduh. Dalam kisah ini hanya seorang sahaja yang membunuh. Dan yang dibunuh adalah seorang sahaja. Tetapi ayat ini menggunakan perkataan ‘kamu semua’.

Ini adalah kerana ada saksi yang tidak menceritakan hal yang sebenar. Jadi mereka telah bersubahat dalam hal pembunuhan itu. Sebenarnya, sesiapa sahaja yang terlibat akan bertanggungjawab sekali. Oleh kerana itu Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan ‘kamu semua’.

Seperti yang kita telah sebut, kerana kisah ini datang selepas kisah lembu warna kuning itu, maka banyak pentafsir mengaitkan dua cerita ini berasal dari kisah yang sama. Tetapi dalam pentafsiran kita, kita memberikan makna yang lain.

Begini kisahnya yang selalu diceritakan, termasuk dalam kitab-kitab tafsir pun: Seorang lelaki yang telah tua tidak ada waris. Orang yang jenis ini dinamakan kalalah. Dia pula adalah seorang yang kaya. Dia hanya ada seorang anak saudara lelaki. Anak saudara lelaki itulah sahaja warisnya. Bila dia mati, hartanya akan dapat kepada anak saudara itu. Dan memang dia hendak berikan kepada anak saudaranya pun.

Tetapi anak saudara itu tidak sabar untuk menunggu lelaki itu mati untuk mendapatkan harta itu. Lalu dia membunuh bapa saudaranya kerana dia hendakkan harta itu dengan segera. Dalam Tafsir Jalalain, disebut ada dua orang anak saudara. Untuk mengelakkan dia ditangkap, maka dia telah meletakkan mayat itu di kampung orang yang bermusuhan dengan bapa saudaranya.

Esoknya, apabila mayat bapa saudaranya dijumpai, dia telah menuduh orang di kampung itulah yang membunuh bapa saudaranya. Jadi telah berlaku tuduh menuduh di antara mereka. Hampir terjadi peperangan disebabkan oleh kes ini.

 

وَاللَّهُ مُخْرِجٌ مَّا كُنْتُمْ تَكْتُمُونَ

Dan Allah akan mengeluarkan apa yang kamu semua sembunyikan;

Allah ‎ﷻ akan menceritakan balik apa yang mereka sembunyikan. Allah ‎ﷻ akan mengeluarkan keputusan tentang perkara yang mereka sembunyikan itu. Allah ‎ﷻ akan beritahu perkara yang sebenar.

‘Kamu’ dalam ayat ini adalah anak saudara yang membunuh itu dan mereka yang tahu tentang perkara itu (tapi menyembunyikan kebenaran).

Tetapi Allah ‎ﷻ tidak sebut pun siapakah lelaki yang membunuh itu. Maka, ayat ini boleh digunakan sebagai merujuk kepada sesiapa sahaja. Ayat ini hendak mengatakan bahawa Allah ‎ﷻ akan membuka rahsia sesiapa sahaja yang menyorok maklumat yang disimpan. Kerana ayat yang digunakan dalam ayat ini adalah dalam ‘present-future tense’ – maknanya, boleh digunakan untuk setiap masa.

Siapakah yang sedang membaca ayat ini semasa ia diturunkan?

1. Bangsa Yahudi – Allah ‎ﷻ akan mengeluarkan rahsia tentang kedatangan Nabi yang ada dalam kitab mereka tetapi mereka telah menyembunyikannya. Sebagaimana dalam kisah di atas, memang ada yang sudah tahu siapakah yang membunuh lelaki itu, tetapi mereka merahsiakannya.

2. Orang munafik yang menyorok kekafiran mereka.

3. Orang Islam yang mungkin ada niat jahat dalam hati mereka. Itu pun Allah ‎ﷻ akan dedahkan.

Ia juga merujuk kepada kita yang sedang membaca Al-Qur’an ini sekarang. Jangan sangka kita terlepas. Kalau kita ada sembunyi kebenaran, maka Allah ‎ﷻ akan keluarkan dan kita akan malu nanti. Maka kita kena jujur dengan diri kita.


 

Ayat 73: Banyak tafsir mengaitkan kisah dalam ayat ini dengan kisah lembu betina warna kuning yang disuruh Bani Israil sembelih itu. Mereka berkata tafsir ayat di bawah ini adalah: “Maka pukullah mayat ini dengan bahagian lembu yang disembelih itu tadi.”

Tetapi kalau tafsir sebegini, ada masalah dari segi masa. Kerana hendak menunggu lembu kuning itu dijumpai, dikatakan telah mengambil masa 40 tahun. Sedangkan mana mungkin masa diambil sehingga 40 tahun baru dapat diselesaikan kes itu? Lagi pun, ini adalah kisah Israiliyat yang tidak boleh dijadikan hujah. Kisah Israiliyatlah yang mengaitkan lembu yang disembelih itu dengan kisah lelaki yang membunuh bapa saudaranya ini.

Oleh itu, kita kena pisahkan dua kisah ini, kerana ia tidak ada kaitan di antara satu sama lain.

فَقُلنَا اضرِبوهُ بِبَعضِها ۚ كَذٰلِكَ يُحيِي اللَّهُ المَوتىٰ وَيُريكُم ءَايَـٰتِهِ لَعَلَّكُم تَعقِلونَ

Sahih International

So, We said, “Strike the slain man with part of it.” Thus does Allah bring the dead to life, and He shows you His signs that you might reason.

Malay

Maka Kami (Allah) berfirman: “Pukullah si mati dengan sebahagian darinya” (Mereka pun memukulnya dan dia kembali hidup). Demikianlah Allah menghidupkan orang-orang yang telah mati, dan memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanNya, supaya kamu memahaminya.

 

فَقُلْنَا اضْرِبُوهُ بِبَعْضِهَا

Pukullah mayat itu dengan bahagian anggota mayat itu;

Pukul dengan bahagian tubuh si mati itu sendiri. Contohnya, pukullah mayat itu dengan tangan dia. Inilah pendapat yang kita kena pegang, iaitu kisah dalam ayat ini tidak ada kena mengena dengan kisah lembu betina dalam ayat-ayat sebelum ini. Ia bermaksud pukullah mayat itu dengan anggota mayat itu sendiri, dan bukannya sebahagian dari anggota lembu yang telah disembelih itu.

Akan tetapi, memang kebanyakan tafsir menyebut pukul dengan bahagian dari lembu itu. Maka tidaklah salah kalau berpegang dengan pendapat ini juga.

Maka selepas dibuat begitu, tiba-tiba mayat itu bangun hidup semula. Selepas dia hidup balik itu, dialah yang memberitahu bahawa anak saudaranyalah yang telah membunuhnya dan dia telah mati balik selepas dia cakap begitu. Ini adalah antara mukjizat Nabi Musa عليه السلام. Jadi tidaklah lelaki itu terus hidup. Selepas diberitahu siapa yang membunuhnya, dia telah mati semula.

 

كَذَٰلِكَ يُحْيِي اللَّهُ الْمَوْتَىٰ

Demikianlah Allah menghidupkan orang yang sudah mati;

Ini adalah satu dalil hujah kepada kita: kalau Allah ‎ﷻ boleh hidupkan dengan cara begitu, Allah ‎ﷻ tentu sahaja boleh menghidupkan sesiapa yang telah mati. Yang ditunjukkan dalam ayat ini adalah salah satu cara untuk Allah ‎ﷻ menghidupkan manusia yang telah mati.

Bukanlah itu sahaja cara yang ada. Macam-macam cara Allah ‎ﷻ boleh gunakan untuk menghidupkan yang mati. Allah ‎ﷻ Maha Berkuasa. Jadi apabila Allah ‎ﷻ menghidupkan semua makhluk-Nya nanti apabila akhirat bermula, tidak ada masalah bagi Allah ‎ﷻ. Allah tidak tertakluk dengan hukum alam.

 

وَيُرِيكُمْ ءَايَـٰتِهِ

Dan Allah memperlihatkan dalil-dalil tanda kekuasanNya

Begitulah mudahnya Allah ‎ﷻ hendak menghidupkan semula makhluk yang telah mati. Tidak ada masalah langsung bagi Allah ‎ﷻ. Maka tidak perlu hairan bagaimana Allah ‎ﷻ akan menghidupkan semula manusia yang telah mati.

Allah ‎ﷻ boleh lakukan perkara mustahil yang mengatasi segala adat kebiasaan dalam dunia.

 

لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

Mudah-mudahan kamu dapat berfikir;

Iaitu berfikir mengenai hakikat Allah ‎ﷻ boleh menghidupkan orang yang sudah mati. Dan hakikat yang Allah ‎ﷻ itu berkuasa penuh untuk melakukan apa sahaja. Dan Allah ‎ﷻ akan bongkarkan kebenaran yang disorok oleh manusia.

Ada banyak pengajaran yang kita boleh ambil dari ayat ini yang boleh ditadabbur.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

 

Kemaskini: 18 Disember 2020

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s