HUKUM BALAS SAMA RATA (QISAS)
Baqarah Ayat 178: Kita sudah masuk bahagian kedua Surah Baqarah. Bahagian pertama sebelum ini tentang tauhid dan risalah. Bahagian kedua ini sehingga akhir adalah tentang umur munazimah dan umur muslihah dan juga ada tentang jihad dan infak. Maka, selepas ini, dalam Surah Baqarah ada empat perkara yang akan dibincangkan:
1. Umur muslihah
2. Umur munazimah
3. Jihad
4. Infak
Ayat yang kita akan baca ini adalah jenis yang dipanggil umur munazimah: iaitu cara-cara untuk mendapatkan kesempurnaan hidup di antara manusia. Ayat ini berkenaan dengan hukum Qisas dan Diyat. Bagi orang Yahudi, hanya ada Qisas sahaja dalam hukum agama mereka. Manakala bagi Nasara, hanya ada Diyat sahaja.
Dalam ayat 177 sebelum ini, ia adalah tentang taqwa – taqwa itu menjaga diri daripada melakukan kesalahan yang tidak disukai Allah ﷻ. Dalam ayat ini, Allah ﷻ mengajar bagaimana menjaga hubungan dengan masyarakat pula. Ia amat penting untuk dijaga supaya tidak terjadi pembunuhan yang berleluasa dalam masyarakat. Sebenarnya, kalau manusia telah menerima ayat 177 (Ayatul Birr) itu, tidaklah perlu dijalankan hukum seperti hukum Qisas ini. Namun Allah ﷻ tahu bahawa manusia ini banyak jenis. Ada manusia yang banyak masalah maka berlaku juga pembunuhan di kalangan manusia. Maka kena ada hukum jika terjadi pembunuhan.
Kita juga telah perhatikan di dalam perbincangan ayat 173 tentang pemakanan, itu adalah untuk memelihara jasmani manusia. Sekarang kita belajar bagaimana Islam memelihara jiwa manusia pula.
Ayat 178 – 188 adalah berkenaan hukum Qisas, Wasiat, Rasuah dan lain-lain.
Umur munazimah dalam Surah Baqarah ini dimulakan dengan hal kehakiman. Sepatutnya umat Islam tidak berbunuhan sesama sendiri. Namun ada juga yang terjadi kerana ada yang degil dan sebagainya. Oleh itu, haruslah diadakan sistem untuk menghentikan perkara itu daripada berlarutan sampai boleh menyebabkan peperangan. Maka kena ada pengadilan yang dapat memuaskan hati manusia dan ia mesti adil supaya tidak berpanjangan lagi perkara itu. Jikalau tidak adil, masalah akan berpanjangan kerana akan ada yang tidak berpuas hati dan mahu membalas dendam. Apabila itu berlaku, ada yang membalas dendam lebih daripada yang sepatutnya. Daripada seorang sahaja yang mati, boleh sampai terjadi dua orang atau lebih akan mati apabila ada yang saling berbalas dendam. Daripada berkelahi satu kampung boleh menjadi satu negeri bermasalah. Kalau jadi begitu, negara kita sendiri hancur dari dalam, tidak perlu orang kafir serang kita pun. Hal duit manusia boleh maafkan lagi, tetapi bab nyawa manusia sanggup berbunuhan demi mempertahankan maruah dan membalas dendam. Maka sebab itulah harus diadakan undang-undang yang adil. Yang penting, di penghujungnya kita haruslah bersatu supaya kita dapat menjalankan kerja dakwah kepada orang bukan Islam.
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيكُمُ ٱلقِصَاصُ فِى ٱلقَتلَىۖ ٱلحُرُّ بِٱلحُرِّ وَٱلعَبدُ بِٱلعَبدِ وَٱلأُنثَىٰ بِٱلأُنثَىٰۚ فَمَن عُفِىَ لَهُ ۥ مِن أَخِيهِ شَىءٌ فَٱتِّبَاعُۢ بِٱلمَعرُوفِ وَأَدَآءٌ إِلَيهِ بِإِحسَـٰنٍ۬ۗ ذَٰلِكَ تَخفِيفٌ مِّن رَّبِّكُم وَرَحمَةٌ۬ۗ فَمَنِ ٱعتَدَىٰ بَعدَ ذَٰلِكَ فَلَهُ ۥ عَذَابٌ أَلِيمٌ
O you who have believed, prescribed for you is legal retribution for those murdered – the free for the free, the slave for the slave, and the female for the female. But whoever overlooks from his brother anything, then there should be a suitable follow-up and payment to him with good conduct. This is an alleviation from your Lord and a mercy. But whoever transgresses after that will have a painful punishment.
Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman “Qisas” (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan daripada Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ
Wahai orang-orang yang beriman;
Kita juga termasuk dalam ayat ini kerana kita adalah orang-orang yang beriman. Maka mereka yang mengaku beragama Islam, kena ikuti undang-undang ini. Ia juga memberitahu kita yang undang-undang ini hanya akan diterima pakai oleh mereka yang benar-benar beriman sahaja kerana kalau tidak beriman, mungkin mereka merasakan undang-undang rekaan manusia yang lebih baik daripada apa yang Allah ﷻ telah tetapkan. Orang-orang yang beriman juga akan dapat mengamalkan keadilan, kerana kalau tidak ada keimanan, maka kezalimanlah yang berleluasa. Maka, kena ada hakim yang menjalankan perbicaraan yang adil.
Apabila Allah ﷻ menyeru orang beriman di dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an, maka ada sesuatu yang penting yang hendak disampaikan. Oleh itu, kena diberi perhatian, kerana ada arahan yang perlu dilakukan dan ada larangan yang perlu ditinggalkan. Akan tetapi malang sekali jikalau orang beriman yang diseru itu, tidak tahu pun yang dia sedang diseru kerana tidak faham apa yang terdapat di dalam Al-Qur’an ini. Maka begitulah kebanyakan daripada masyarakat kita yang tidak tahu pun seruan daripada Allah ﷻ ini.
كُتِبَ عَلَيكُمُ ٱلقِصَاصُ فِى ٱلقَتلَىۖ
difardhukan ke atas kamu hukum Qisas dalam kes orang yang telah dibunuh;
Ini adalah undang-undang keadilan. Allah ﷻ menggunakan kalimah كُتِبَ yang bermaksud telah dituliskan. Allah ﷻ tidak kata diwajibkan, difardhukan, tetapi dituliskan. Ini adalah kerana perkara penting selalunya ditulis, baru menjadi pesanan yang penting dan undang-undang yang terpakai. Ini sama seperti undang-undang di negara kita, kalau sudah menjadi akta, barulah ia menjadi undang-undang rasmi. Bandingkan di antara perjanjian mulut dan perjanjian bertulis pun tidak sama, bukan?
Kalimah ٱلقِصَاصُ daripada kata dasar ق ص ص yang bermaksud untuk menyampaikan; memberitahu; berkomunikasi; menceritakan; ikut jejak seseorang; mengisytiharkan; menyebut tentang sesuatu; perbuatan mengikut; membalas dendam yang adil; pembalasan. Maksud di sini adalah balas dengan ikut perbuatan seseorang. Hukum Qisas ini termasuk dalam salah satu hukum syariat jenayah di dalam Islam selain Hudud dan Ta’zir. Hukum Qisas ini adalah membalas balik kesalahan yang telah dilakukan sama seperti yang telah dikenakan ke atas mangsa. Cuma di dalam ayat ini berkenaan kes pembunuhan sahaja dan secara spesifik apabila pembunuhan itu sengaja dilakukan. Untuk kecederaan dan pembunuhan tidak sengaja dan seperti sengaja, ada hukum lain.
Seperti yang kita tahu, membunuh orang lain dengan sengaja adalah satu kekejaman. Allah ﷻ berfirman di dalam Maidah: 32
مِن أَجلِ ذٰلِكَ كَتَبنا عَلىٰ بَني إِسرٰءيلَ أَنَّهُ مَن قَتَلَ نَفسًا بِغَيرِ نَفسٍ أَو فَسادٍ فِي الأَرضِ فَكَأَنَّما قَتَلَ النّاسَ جَميعًا
Oleh kerana itu Kami tetapkan (suatu hukum) bagi Bani Israil, bahawa: barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya.
Qisas di dalam ayat ini adalah tentang bunuh balas yang sama rata. Kerana itu ada tambahan فِى ٱلقَتلَىۖ di dalam ayat ini. Kena ada persamaan dari segi balas bunuh dan ini ada diterangkan selepas ini. Maklumat lanjut mestilah belajar fiqah di mana akan diterangkan dengan panjang lebar (fiqh jinayat). Ayat ini menerangkan tentang Qisas dengan cara ringkas sahaja, oleh itu bagaimana cara menjalankannya, Nabi ﷺ telah menjelaskan mana yang tidak jelas. Kita juga boleh lihat bagaimana amalan para sahabat untuk kita lebih memahaminya. Para ulama’ telah banyak memberikan penjelasan bagaimana perkara ini dijalankan di negara yang mengamalkan undang-undang Islam.
Dengan bangkitnya ajaran Agama Islam, Nabi Muhammad ﷺ telah menyatukan bangsa Arab yang telah beratus tahun tidak mengenal persatuan, kerana tidak ada suatu kuasa untuk mempersatukan mereka. Agama pusaka Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah tinggal hanya sebutan. Yang penting bagi mereka ialah kabilah sendiri. Di antara kabilah dengan kabilah berperang. Bermusuh dan berebut tanah pengembalaan ternak atau berebut unta ternak itu sendiri. Nescaya terjadi pembunuhan, maka timbullah perbalahan di antara suku dengan suku atau kabilah dengan kabilah. Undang-undang waktu itu seperti undang-undang koboi sahaja, siapa yang kuat yang membalas dendam sedangkan yang lemah terzalimi.
Maka dengan agama Islam, undang-undang Allah ﷻ dapat ditegakkan di Tanah Arab kerana Islam sudah ada kerajaan. Inilah pentingnya memiliki kuasa kerana dengan adanya kuasa, barulah hukum syariat Islam dapat ditegakkan dengan sempurna.
الْحُرُّ بِالْحُرِّ
Orang merdeka dengan merdeka;
Ayat ini mengajar kita yang kita ini semua setaraf sahaja di sisi Allah ﷻ, tidak kira merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan. Seandainya yang membunuh itu seorang yang merdeka, maka dibalas bunuh orang yang merdeka itu juga. Ia bukan bermakna, kalau dibunuh seorang yang merdeka daripada satu kaum, kena cari seorang yang merdeka daripada kaum yang membunuh itu juga. Bukanlah begitu, sebaliknya kena cari orang yang membunuh itu. Ini kerana kalau kita lihat daripada perkataan yang digunakan, ada tambahan ال sebelum setiap perkataan itu. Ini bermaksud orang yang spesifik. Ia adalah orang yang sama. Tidak boleh kalau seorang yang merdeka membunuh seseorang, disuruh diambil nyawa seorang hamba pula. Atau digantikan dengan orang lain pula. Inilah yang berlaku pada zaman Arab Jahiliyah koboi dulu. Mungkin yang membunuh itu ketua kaum dan dia boleh memaksa orang lain untuk menjadi galang ganti dia pula. Ini tidak boleh sama sekali dan dihalang di dalam syariat Islam.
Jadi konsep di dalam Qisas adalah sama-rata. Konsep ini disebut juga di dalam ayat lain seperti Baqarah:194
فَمَنِ اعتَدىٰ عَلَيكُم فَاعتَدوا عَلَيهِ بِمِثلِ مَا اعتَدىٰ عَلَيكُم
Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu
Lihat juga Nahl: 126
وَإِن عاقَبتُم فَعاقِبوا بِمِثلِ ما عوقِبتُم بِهِ ۖ وَلَئِن صَبَرتُم لَهُوَ خَيرٌ لِّلصّٰبِرينَ
Dan jika kamu memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan seksaan yang ditimpakan kepadamu. Akan tetapi jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar.
Cuma sekiranya balas balik ini bukanlah dilakukan oleh keluarga si mati. Ia tetap harus melalui proses penghakiman dan siasatan perlu dijalankan. Proses pembunuhan itu tetap dilakukan oleh kerajaan Islam. Perbicaraan dan siasatan tetap perlu dijalankan oleh pihak berwajib.
وَالْعَبْدُ بِالْعَبْدِ
Hamba dengan hamba;
Tidak boleh diganti dengan hamba yang lain melainkan dibalas kepada hamba yang telah membunuh. Juga tidaklah boleh ganti kepada orang merdeka. Contohnya satu kaum itu kuat sampaikan dia mendesak walaupun yang membunuh itu hamba daripada kaum lain, tetapi dia mahu pula orang merdeka daripada kaum itu kerana pada dia hamba tidak cukup memuaskan hatinya. Juga hanya diambil nyawa orang yang bertanggungjawab membunuh; janganlah kerana seorang ahli keluarga kita dibunuh, seluruh suku itu diserang dan dibunuh pula.
Menurut keterangan al-Baidhawi رَحِمَهُ اللَّهُ, ahli tafsir yang terkenal: “Di zaman Jahiliyah pernah terjadi pertumpahan darah di antara dua buah persukuan Arab. Yang satu kabilahnya kuat dan yang satu lagi lemah. Maka terbunuhlah salah seorang daripada anggota kabilah kuat itu oleh kabilah yang lemah tadi. Lantaran merasa diri kuat, kabilah yang kuat itu mengeluarkan sumpah; akan mereka balas bunuh, biarpun yang terbunuh dalam kalangan mereka seorang budak (hamba sahaya), mereka akan meminta orang yang merdeka. Walaupun yang terbunuh dalam kalangan mereka seorang perempuan, mereka akan minta ganti nyawa dengan seorang laki-laki.”
وَالْأُنْثَىٰ بِالْأُنْثَىٰ
Perempuan dengan perempuan;
Kalau yang membunuh itu seorang perempuan, perempuan itu yang perlu dibunuh kembali. Bukannya dicari perempuan lain. Begitulah yang kita kena jelaskan kerana dalam ayat ini, ada yang keliru. Ada yang sangka, kalau yang dibunuh itu orang merdeka, maka yang kena dibunuh orang merdeka pula. Bukan begitu. Takkan kalau yang membunuh itu seorang hamba, dan yang dibunuh pula orang merdeka, kena cari balas bunuh orang merdeka pula. Yang kena bunuh adalah hamba yang membunuh itulah.
Di dalam Maidah: 45 ada disebut tentang Qisas di dalam hal lain,
وَكَتَبنا عَلَيهِم فيها أَنَّ النَّفسَ بِالنَّفسِ وَالعَينَ بِالعَينِ وَالأَنفَ بِالأَنفِ وَالأُذُنَ بِالأُذُنِ وَالسِّنَّ بِالسِّنِّ وَالجُروحَ قِصاصٌ ۚ فَمَن تَصَدَّقَ بِهِ فَهُوَ كَفّارَةٌ لَّهُ ۚ وَمَن لَّم يَحكُم بِما أَنزَلَ اللهُ فَأُولٰئِكَ هُمُ الظّٰلِمونَ
Dan Kami telah tetapkan terhadap mereka di dalamnya bahawasanya jiwa (dibalas) dengan jiwa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi, dan luka (pun) ada qisasnya. Barangsiapa yang melepaskan (hak qisas)nya, maka melepaskan hak itu (menjadi) penebus dosa baginya. Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim.
Hukum Qisas ini akan memberi kepuasan kepada ahli keluarga yang dibunuh dan orang yang telah dicederakan. Adalah penting untuk diberi pilihan kepada ahli keluarga dan mangsa untuk membalas balik kerana dengan cara itu, ia boleh memuaskan hati ahli keluarga dan mangsa. Ini adalah fitrah dalam diri manusia yang mahukan keadilan. Kalau tidak dibenarkan, maka akan tersimpan perasaan dendam dalam diri ahli keluarga itu. Maka kerana itu Allah ﷻ beri kuasa kepada waris si mati itu di dalam ayat ini dan juga di dalam Isra’: 33
وَلَا تَقتُلُواْ ٱلنَّفسَ ٱلَّتِى حَرَّمَ ٱللَّهُ إِلَّا بِٱلحَقِّۗ وَمَن قُتِلَ مَظلُومًا فَقَد جَعَلنَا لِوَلِيِّهِۦ سُلطَـٰنًا فَلَا يُسرِف فِّى ٱلقَتلِۖ إِنَّهُ ۥ كَانَ مَنصُورًا
Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya), melainkan dengan suatu (alasan) yang benar. Dan barangsiapa dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepada ahli warisnya, tetapi janganlah ahli waris itu melampaui batas dalam membunuh. Sesungguhnya dia adalah orang yang mendapat pertolongan.
Malangnya, bukan begitu yang terjadi dalam undang-undang bukan Islam pada hari ini. Ada yang telah disahkan telah membunuh, tetapi mereka tidak dibunuh, mereka hanya dipenjarakan sahaja (atau dikenakan denda sahaja). Apabila ini berlaku, tidak akan rasa aman dalam diri keluarga mereka yang dibunuh. Itu bukanlah keadilan.
Kita yakin bahawa hukum yang diturunkan Al-Qur’an inilah jalan yang baik. Sekiranya di kebanyakan negara Islam yang berlaku sekarang ialah hukum sivil secara barat, bukanlah bererti bahawa itulah yang lebih bagus, ia berlaku hanyalah kerana telah beratus tahun lamanya hukum baratlah yang menguasai negeri-negeri Islam yang mereka dijajah. Akan tetapi di negeri-negeri Islam yang telah merdeka, di zaman sekarang sudah mulai timbul kembali peninjauan atas hukum dan pembinaan hukum yang sesuai dengan keperibadian bangsa itu sendiri, di antaranya di negeri Brunei yang telah mengamalkan hukum syariat Islam. Tidaklah mustahil bahawa perkembangan fikiran kita akan sampai juga kepada cara Islam ini.
فَمَنْ عُفِيَ لَهُ مِنْ أَخِيهِ شَيْءٌ
Barangsiapa yang mendapat kemaafan daripada keluarga waris si mati apa pun;
Setelah menyebut tentang boleh diambil nyawa pembunuh di dalam qisas, sekarang disebut tentang pemaafan pula. Dari sini kita boleh lihat yang Islam tidak memaksa memberi maaf. Diberitahu dahulu apakah hak keluarga si mati, kemudian baru disebut tentang pemaafan. Jadi bukanlah pemaafan sebagai pilihan utama. Seolah-olah Islam berkata kepada keluarga si mati: kamu ada hak untuk membunuhnya balik, akan tetapi nah di sini ada lagi dua pilihan lain yang anda boleh ambil. Apabila telah disabitkan kesalahan pembunuh itu, hakim akan bertanya kepada waris, apakah yang mereka hendak buat. Ada waris yang memberi maaf kepada pembunuh, maknanya diberi maaf daripada diambil nyawanya. Pembunuh itu memang sudah membunuh orang, tetapi keluarga yang dibunuh tidak memilih untuk membalas bunuh sebaliknya hendak meminta ganti rugi ataupun dimaafkan terus tanpa ganti rugi (diyat). Maka ada maaf seratus peratus dan ada maaf yang mesti bayar denda. Begitulah agama Islam ada tiga cara bagaimana satu pembunuhan itu dibalas.
Pertama, dengan bunuh balas.
Kedua, pemaafan dengan bayar diyat.
Ketiga, dengan memberi maaf tanpa bayar diyat.
Kalimah شَيْءٌ di dalam ayat ini bermaksud apa sahaja pemaafan. Jadi kalau daripada ramai-ramai waris itu hanya ada seorang sahaja yang hendak memberi maaf, maka pembunuh itu akan terlepas daripada hukuman bunuh. Maka penjenayah itu mesti memberi diyat atau dilepaskan dengan kemaafan penuh. Allah ﷻ sebut tentang diyat dan pemaafan ini di dalam Nisa’: 92
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ أَن يَقْتُلَ مُؤْمِنًا إِلَّا خَطَأً وَمَن قَتَلَ مُؤْمِنًا خَطَأً فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُّؤْمِنَةٍ وَدِيَةٌ مُّسَلَّمَةٌ إِلَىٰ أَهْلِهِ إِلَّا أَن يَصَّدَّقُوا فَإِن كَانَ مِن قَوْمٍ عَدُوٍّ لَّكُمْ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُّؤْمِنَةٍ وَإِن كَانَ مِن قَوْمٍ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُم مِّيثٰقٌ فَدِيَةٌ مُّسَلَّمَةٌ إِلَىٰ أَهْلِهِ وَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُّؤْمِنَةٍ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ تَوْبَةً مِّنَ اللَّهِ وَكَانَ اللَهُ عَلِيمًا حَكِيمًا
Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja. Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja, maka (wajiblah ia membayar kaffarah) dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman serta membayar “diah” (denda ganti nyawa) yang diserahkan kepada ahlinya (keluarga si mati), kecuali jika mereka sedekahkan (memaafkannya). Tetapi jika ia (yang terbunuh dengan tidak sengaja) daripada kaum (kafir) yang memusuhi kamu, sedang ia sendiri beriman, maka (wajiblah si pembunuh membayar kaffarah sahaja dengan) memerdekakan seorang hamba yang beriman. Dan jika ia (orang yang terbunuh dengan tidak sengaja itu) daripada kaum (kafir) yang ada ikatan perjanjian setia di antara kamu dengan mereka, maka wajiblah membayar “diah” (denda ganti nyawa) kepada keluarganya serta memerdekakan seorang hamba yang beriman. Dalam pada itu, sesiapa yang tidak dapat (mencari hamba yang akan dimerdekakannya), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut; (hukum yang tersebut) datangnya daripada Allah untuk menerima taubat (membersihkan diri kamu). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Mana satukah yang hendak digunakan? Keputusan ada di tangan ahli keluarga. Kalau semua ahli keluarga memaafkan, maka pembunuh itu dilepaskan. Akan tetapi sekiranya separuh sahaja memaafkan atau hanya ada seorang sahaja memaafkan, maka pembunuh itu terlepas juga daripada hukuman bunuh, akan tetapi ahli keluarga yang tidak memaafkan boleh meminta sebahagian daripada diyat.
Lihatlah bagaimana Allah ﷻ menggunakan lafaz أَخِيهِ (saudaranya) kerana orang Islam adalah saudara seagama. Oleh kerana memikirkan yang kita semua satu agamalah yang menyebabkan waris si mati itu boleh beri maaf. Maka ini adalah anjuran di dalam Islam. Ada satu hadith berkenaan perkara ini,
حَدَّثَنَا حُمَيْدٌ عَنْ أَنَسٍ أَنَّ الرُّبَيِّعَ عَمَّتَهُ كَسَرَتْ ثَنِيَّةَ جَارِيَةٍ فَطَلَبُوا إِلَيْهَا الْعَفْوَ فَأَبَوْا فَعَرَضُوا الْأَرْشَ فَأَبَوْا فَأَتَوْا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبَوْا إِلَّا الْقِصَاصَ فَأَمَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْقِصَاصِ فَقَالَ أَنَسُ بْنُ النَّضْرِ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتُكْسَرُ ثَنِيَّةُ الرُّبَيِّعِ لَا وَالَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ لَا تُكْسَرُ ثَنِيَّتُهَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا أَنَسُ كِتَابُ اللَّهِ الْقِصَاصُ فَرَضِيَ الْقَوْمُ فَعَفَوْا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ مِنْ عِبَادِ اللَّهِ مَنْ لَوْ أَقْسَمَ عَلَى اللَّهِ لَأَبَرَّهُ
Daripada Humaid daripada Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Rabayyi’ -bapa saudaranya- pernah mematahkan gigi seri seorang budak wanita, kemudian mereka meminta kepadanya untuk memaafkan, namun mereka (keluarganya) menolak. Kemudian ditawarkan kepada mereka denda, namun mereka tetap menolak, lalu mereka mendatangi Nabi ﷺ, maka baginda memerintahkan untuk diqisas. Anas bin An Nadhr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; ‘Wahai Rasulullah, apakah gigi seri Ar Rubayyi’ akan dipatahkan?’ Tidak, demi Dzat yang mengutusmu dengan kebenaran, gigi serinya jangan dipatahkan. Maka Rasulullah ﷺ bersabda: “Ya Anas, Kitabullah adalah Al Qisas. Maka orang-orang tersebut rela memberikan maaf. Kemudian Nabi ﷺ bersabda: “Sesungguhnya di antara hamba-hamba Allah terdapat orang yang apabila ia bersumpah atas nama Allah maka Allah akan mengabulkannya.”
(Sahih Bukhari No. 4140)
Allah ﷻ juga telah mengingatkan di dalam Hujurat:10
إِنَّمَا المُؤمِنونَ إِخوَةٌ فَأَصلِحوا بَينَ أَخَوَيكُم ۚ وَاتَّقُوا اللهَ لَعَلَّكُم تُرحَمونَ
Orang-orang beriman itu sesungguhnya adik beradik. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara keduanya itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.
Kalimah أَخِيهِ juga menjawab satu soalan penting: adakah orang Islam yang membunuh orang Islam yang lain jatuh kafir? Dosa membunuh adalah dosa besar, akan tetapi apabila Allah ﷻ menggunakan أَخِيهِ (saudaranya) maka ia memberi isyarat bahawa pembunuh itu masih saudara seislamnya.
Seperti yang telah disebut, di dalam Hukum Qisas juga ada hukuman balas balik yang tidak melibatkan kehilangan nyawa. Sebagai contoh dalam feqah telah ditetapkan, kalau kemalangan dan terputus jari satu – lima ekor unta perlu dibayar oleh penyebab kemalangan. Kalau tidak, jarinya pula yang akan dipotong. Kalau gigi sebatang pun lima ekor unta juga. Maknanya semua telah ada harga yang diletakkan oleh undang-undang Islam. Semua diceritakan dalam kitab hadith dengan terperinc dan telah dijelaskan oleh ulama’ feqah. Untuk seorang hamba abdi, diyat yang dikenakan adalah 50% daripada diyat orang merdeka.
Maknanya, syariat Islam ini mengajar kita untuk berjaga-jaga dalam perjalanan kehidupan kita supaya jangan sampai kita menyebabkan kecederaan kepada orang lain. Contohnya apabila memandu kereta, pandulah dengan berhemah kerana kita akan dikenakan balas balik atau denda kalau kita tsabit menyebabkan kemalangan itu. Maknanya, tidaklah lepas begitu sahaja. Bila kita tahu ada denda yang tinggi, tentulah kita akan berhati-hati dalam setiap tindak tanduk kita.
Sekiranya orang yang melakukan kesalahan itu tidak dapat membayar dengan itu, keluarga dia yang kena bayar. Jadi, ahli keluarga pun kena ambil tahu keadaan saudara mara mereka. Sebab mereka juga mesti bertanggungjawab di atas perbuatan ahli keluarga mereka. Namun sekarang kerana cara ini tidak diamalkan, orang kita tidak buat kisah apa yang dilakukan oleh ahli keluarga mereka. Sebab itulah kita tidak faham undang-undang Islam.
فَاتِّبَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ
maka hendaklah disusuli dengan cara makruf;
Ini adalah suruhan kepada yang memaafkan. Kemaafan itu hendaklah disusuli dengan cara yang makruf. Maka wali si mati itu kena susuli kemaafan itu dengan tuntutan yang makruf. Jangan ada keji mengeji, ungkit mengungkit seperti disebut di dalam Baqarah: 264
لا تُبطِلوا صَدَقٰتِكُم بِالمَنِّ وَالأَذىٰ
Jangan rosakkan sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti
Makruf juga bermakna menuntut jumlah yang sesuai dan ini tidak ditetapkan kerana ia berubah-ubah mengikut zaman. Jangan pula maafkan tetapi tuntut ganti rugi 200 juta. Mati hidup balik pun pembunuh itu tidak boleh bayar. Jadi makruf itu bermaksud tuntutan itu mestilah bersesuaian dengan keadaan semasa. Hendaklah dilihat juga sama ada dia mampu bayar atau tidak. Antara sebab dikenakan bayaran ganti rugi itu adalah supaya pembunuh itu menyesal dan tidak melakukannya lagi. Akan tetapi kalau dia memang tidak mampu bayar, memang tidak ke mana juga akhirnya.
وَأَدَاءٌ إِلَيْهِ بِإِحسَـٰنٍ۬ۗ
dan hendaklah dia menunaikan pembayaran kepada penerima dengan sebaik-baiknya;
Ini pula adalah arahan kepada yang dimaafkan. Pembunuh itu pula hendaklah menunaikan dengan cara ihsan iaitu kena bayar dengan cara baik. Dia pun sudah setuju hendak bayar jadi jangan tidak beri pula. Jangan dia beri dengan cara tidak sepatutnya, sebagai contoh dengan cara kurang ajar, bayar dengan menggunakan duit 5 sen dan sebagainya. Di dalam syarak telah ditetapkan bayaran yang dikenakan adalah 100 ekor unta. Jangan setelah ditetapkan bayaran, dia minta diskaun pula. Ini orang telah beri maaf, hargailah pemaafan itu. Kerana itulah di sini digunakan kalimah إِحسَـٰنٍ۬ sedangkan untuk waris sebelum ini digunakan kalimah الْمَعْرُوفِ sahaja. إِحسَـٰنٍ۬ lebih besar daripada الْمَعْرُوفِ yang memberi isyarat penjenayah itu mesti lebih lagi berbuat baik untuk menghargai kemaafan yang telah diberikan oleh waris.
Pembunuh itu yang kena bayar sendiri dan caranya mestilah tunai dan kerana itu kalimah yang digunakan adalah أَدَاءٌ. Bayaran mesti ditunaikan sekaligus tanpa ansuran. Mungkin waris si mati minta sebanyak seratus ekor unta dalam harga 500 ribu Ringgit, iaitu bagi yang sengaja bunuh.
Hukum Qisas telah ada pada Bani Israil sebelum Islam lagi, cuma mereka tidak ada hukum Diyat ini. Ia telah diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ kerana memang syariat Nabi Muhammad ﷺ lebih lembut berbanding syariat sebelumnya. Ini adalah rahmat Allah ﷻ terhadap umat Nabi Muhammad ﷺ.
ابْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُ كَانَ فِي بَنِي إِسْرَائِيلَ الْقِصَاصُ وَلَمْ تَكُنْ فِيهِمْ الدِّيَةُ فَقَالَ اللَّهُ تَعَالَى لِهَذِهِ الْأُمَّةِ { كُتِبَ عَلَيْكُمْ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى الْحُرُّ بِالْحُرِّ وَالْعَبْدُ بِالْعَبْدِ وَالْأُنْثَى بِالْأُنْثَى فَمَنْ عُفِيَ لَهُ مِنْ أَخِيهِ شَيْءٌ } فَالْعَفْوُ أَنْ يَقْبَلَ الدِّيَةَ فِي الْعَمْدِ { فَاتِّبَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ وَأَدَاءٌ إِلَيْهِ بِإِحْسَانٍ } يَتَّبِعُ بِالْمَعْرُوفِ وَيُؤَدِّي بِإِحْسَانٍ { ذَلِكَ تَخْفِيفٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَرَحْمَةٌ } مِمَّا كُتِبَ عَلَى مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ { فَمَنْ اعْتَدَى بَعْدَ ذَلِكَ فَلَهُ عَذَابٌ أَلِيمٌ } قَتَلَ بَعْدَ قَبُولِ الدِّيَةِ
Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata; “Dahulu pada Bani Israil terdapat hukum qisas namun tidak ada diyah pada mereka, lalu Allah Azza wa jalla menurunkan ayat: “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu qisas berkenaan dengan orang-orang yang dibunuh; orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba, dan wanita dengan wanita. Maka barangsiapa yang mendapat suatu pemaafan daripada saudaranya, hendaklah (yang memaafkan) mengikuti dengan cara yang baik, dan hendaklah (yang diberi maaf) membayar (diyat) kepada yang memberi maaf dengan cara yang baik (pula). (Al-Baqarah:178). Pemberian maaf itu maksudnya adalah menerima diyat pada pembunuhan dengan sengaja, mengikuti dengan cara yang baik iaitu dia mengikuti ini dengan cara yang ma’ruf, dan membayar dengan cara yang baik serta melaksanakan ini dengan kebaikan. Yang demikian itu adalah suatu keringanan daripada Tuhan kamu dan suatu rahmat (Al-Baqarah: 178) daripada apa yang telah diwajibkan atas kaum sebelum kalian, sesungguhnya hal tersebut adalah qisas bukan diyah. Barang siapa yang melampaui batas setelah itu, maka baginya azab yang pedih.’ Iaitu membunuh setelah menerima diyah.
(Sahih Bukhari No. 4138)
ذَٰلِكَ تَخْفِيفٌ مِنْ رَّبِّكُمْ
Yang demikian itu adalah keringanan daripada Tuhan kalian;
Makna Allah ﷻ ‘meringankan’ adalah diberi pilihan kedua dan ketiga untuk keluarga yang dibunuh. Kalau tidak ada keringanan ini, maka hukuman matilah sahaja yang ada jawabnya. Namun sekarang mereka boleh memilih untuk mengambil diyat atau mereka boleh memaafkan terus kerana cara yang pertama adalah dengan balas bunuh. Namun Allah ﷻ beri kelonggaran dan keringanan.
وَرَحْمَةٌ
dan sifat belas;
Ini adalah pemberian kepada mangsa dan waris mangsa. Kerana hukum asalnya adalah kena bunuh balik tetapi Allah ﷻ memberikan jalan keluar kerana sifat Rahmah-Nya. Allah ﷻ sayang kepada makhluk-Nya dan banyak Allah ﷻ permudahkan dalam soal hukum hakam. Dengan adanya rahmah ini, maka waris dan mangsa boleh mendapat diyat dan mereka juga boleh menunjukkan rahmah kepada pembunuh dan penjenayah dengan memberi kemaafan yang penuh.

Manakah yang lebih baik? Ambil nyawa atau maafkan? Tentulah memaafkan itu lebih baik seperti firman Allah ﷻ di dalam Baqarah: 237
وَأَن تَعفوا أَقرَبُ لِلتَّقوىٰ
Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan itu lebih hampir kepada taqwa
Allah ﷻ menyebut salah satu daripada sifat orang Mukmin adalah memberi maaf di dalam Ali Imran: 134
الَّذينَ يُنفِقونَ فِي السَّرّاءِ وَالضَّرّاءِ وَالكٰظِمينَ الغَيظَ وَالعافينَ عَنِ النّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;
Sekiranya memaafkan orang lain, Allah ﷻ akan beri pengampunan kepada orang yang memaafkan, seperti disebut di dalam Nur: 22
وَليَعفوا وَليَصفَحوا ۗ أَلا تُحِبّونَ أَن يَغفِرَ اللهُ لَكُم
dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu?
فَمَنِ ٱعتَدَىٰ بَعدَ ذَٰلِكَ
Sesiapa yang melampaui batas selepas keputusan itu
Ini terjadi kalau selepas keluarga itu meminta diyat, dan apabila sudah dibayar diyat itu, kemudian dibunuh juga pembunuh itu. Seandainya inilah yang berlaku, pembunuh kedua ini tidak ada hukum diyat kepadanya. Maknanya, dia kena bunuh balas sahaja kerana dia telah melampaui batas.
Jangan melampaui batas selepas keputusan sudah dibuat dan semua pihak telah setuju. Maka kena dapatkan persetujuan daripada semua pihak. Kerana itu, keputusan untuk tidak balas bunuh mestilah didapatkan daripada semua ahli keluarga. Kalau seorang sahaja tidak setuju, maka ia tidak akan terjadi.
فَلَهُ عَذَابٌ أَلِيمٌ
bagi mereka azab yang pedih
Ini adalah ancaman daripada Allah ﷻ. Kalau kamu tidak takut balasan di dunia, atau kamu boleh lepas semasa di dunia kerana kamu ada kuasa, ingat! Akhirat itu ada dan kamu tidak akan selamat. Selamat di dunia tidak semestinya selamat di akhirat. Sesiapa yang tidak ikut keputusan selepas itu akan mendapat azab yang pedih. Jangan setelah keputusan dibuat, pergi bunuh pula pembunuh asal itu.
Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 25 Februari 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
