MENYEMBUNYIKAN KEBENARAN
Baqarah Ayat 174: Ini adalah satu lagi ayat amaran dari Allah ﷻ. Iaitu kepada orang yang menyembunyikan ilmu daripada disampaikan kepada manusia yang amat memerlukan ilmu wahyu. Mereka yang berilmu kena sampaikan hukum halal haram kepada manusia sampai mereka faham. Oleh itu berdosa besar jikalau sembunyikan ilmu daripada manusia. Kena sampaikan sama ada mereka yang disampaikan itu hendak terima atau tidak, jangan hirau, janji kita sudah sampaikan.
إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكتُمُونَ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلڪِتَـٰبِ وَيَشتَرُونَ بِهِۦ ثَمَنًا قَلِيلاًۙ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ مَا يَأكُلُونَ فِى بُطُونِهِم إِلَّا ٱلنَّارَ وَلَا يُڪَلِّمُهُمُ ٱللَّهُ يَومَ ٱلقِيَـٰمَةِ وَلَا يُزَڪِّيهِم وَلَهُم عَذَابٌ أَلِيمٌ
Indeed, they who conceal what Allah has sent down of the Book and exchange it for a small price – they consume not into their bellies except the Fire. And Allah will not speak to them on the Day of Resurrection, nor will He purify them. And they will have a painful punishment.
Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan (meminda atau mengubah) apa-apa keterangan Kitab Suci yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya keuntungan dunia yang sedikit faedahnya, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka selain dari api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan Dia tidak membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
إِنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ مِنَ ٱلڪِتَـٰبِ
Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang Allah telah turunkan dari Kitab wahyu;
Ayat ini merujuk kepada ‘orang agama’ yang menyembunyikan ilmu agama daripada pengikut mereka. Mereka tidak menceritakan kebenaran kepada masyarakat bahawa ada perbuatan masyarakat itu yang salah di sisi agama. Mereka tidak memberitahu, kerana mereka takut hendak beritahu. Walaupun asbabun nuzul ayat ini tentang golongan Yahudi yang menyembunyikan kebenaran wahyu kepada umat mereka, tetapi jangan kita sangka ia hanya ditujukan kepada mereka. Ini kerana apa yang terjadi kepada mereka itu adalah ajaran bagi kita supaya kita terjadi kepada mereka. Usul fiqh yang terkenal adalah العِبارَةُ بِعُمومِ اللّفظِ لا بِخُصوصِ السَّبَبِ (Yang menjadi perhatian adalah umum tujuan kata-kata, bukan khusus sebab terjadinya).
Dalam segala agama dan segala masa, ada sahaja orang yang amat pintar, sampai dapat disebut sarjana dalam hukum-hukum agama. Namun begitu oleh kerana ilmunya itu tidak diikat oleh iman, mudah saja baginya memutar-mutar atau menyembunyikan maksud ayat atau suruhan atau larangan untuk menghalang kemahuan orang yang diseganinya atau yang ada kuasa. Imam Ghazali رَحِمَهُ اللَّهُ banyak sekali menyebut tentang ulama-ulama yang datang mengambil muka kepada orang-orang yang berkuasa, dan mudah sajalah baginya kelak menyembunyikan hukum yang sebenarnya kerana mencari kedudukan atau kerana takut. Untuk itu mereka dibayar. Kadang-kadang dengan diberi pangkat yang indah-indah bunyinya, ataupun pangkat, ataupun kebesaran, ataupun wang emas berpundi-pundi. Maka terpujilah dia oleh orang-orang yang berkuasa, dikatakan ulama’ yang pandai menyesuaikan diri, yang maju fikirannya, yang tidak terikat oleh suatu ketentuan dan sebagainya. Dia pun bersenang hatilah, padahal agamanya telah terjual.
Mereka takut hendak beritahu kerana takut masyarakat tidak dapat terima. Masyarakat pula memang senang terkejut kalau diberitahu benda-benda baru yang mereka tidak pernah dengar (kerana tidak pernah belajar wahyu). Apabila masyarakat tidak dapat terima, guru-guru agama itu takut masyarakat sudah tidak panggil mereka datang mengajar. Apabila mereka tidak dipanggil mengajar, mereka takut mereka tidak dapat upah mengajar lagi. Atau kedudukan mereka dalam masyarakat akan jatuh. Maknanya mereka takut punca pendapatan mereka akan hilang. Maka mereka but keputusan untuk membisukan sahaja tentang kesalahan fahaman dan amalan dalam masyarakat. Agaknya mereka harap orang lainlah yang beritahu.
Antaranya yang mereka tidak beritahu adalah tentang apakah makanan yang tidak boleh dimakan, juga tentang kesalahan pengharaman makan dalam amalan pantang. Sebab apa mereka takut hendak beritahu? Kerana hendakkan habuan dunia yang sedikit sahaja pun.
وَيَشْتَرُونَ بِهِ ثَمَنًا قَلِيلً
dan membeli dengannya keuntungan dunia yang sedikit faedahnya
Mereka tidak memberitahu kerana mereka takut anak murid akan lari. Nanti takut tidak dapat duit lagi daripada anak murid-anak murid mereka yang selalu beri imbuhan kepada mereka selepas mereka mengajar. Sekarang agama sudah menjadi satu cara untuk mencari wang. Memang untung kalau jual agama. Banyak ustaz-ustaz yang mengambil upah mengajar di masjid-masjid sampai mereka boleh pakai kereta besar-besar. Mereka ramai yang hidup dengan mewah. Itu belum lagi dikira mereka mengambil upah menjadi kepala tekong majlis tahlil atau Solat Hajat.
Kalau mereka tidak mengharap upah dalam bentuk kewangan, ada juga mereka yang mengharap kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Ini kerana ramai dalam kalangan orang agamawan yang menjadi tempat rujukan mereka dan dipandang tinggi dalam masyarakat. Mereka telah mendapat kedudukan yang selesa dalam masyarakat.
Kita takut nanti terjadi seperti yang terjadi kepada Bani Israil. Pendeta-pendeta mereka menjadi rujukan orang bawahan mereka. Orang bawahan akan datang kepada mereka untuk mendapatkan fatwa tentang sesuatu perkara. Kadang-kadang fatwa yang diberikan tidak seperti yang mereka ingini. Jadi, mereka akan pergi kepada pendeta yang lain pula sampai mereka dapat fatwa yang sesuai dengan kehendak mereka. Akhirnya, pendeta yang boleh beri fatwa yang mereka kehendaki itulah yang akan mendapat upah.
Begitulah yang terjadi dengan agama Islam sekarang. Masyarakat mahukan pendapat agama yang kena dengan selera mereka yang telah biasa mereka lakukan. Sebab itulah ada guru-guru agama yang tidak berani memberitahu kebenaran, takut anak-anak murid mereka akan lari kepada guru yang membenarkan apa yang mereka buat. Sebagai contoh, kalau kita beritahu Majlis Tahlil tidak boleh diadakan, mereka akan mencari guru agama yang kata boleh buat. Banyak jenis guru agama sekarang, ada yang sampai sanggup mengatakan tidak salah malahan baik untuk mengadakan majlis Tahlil dan Solat Hajat. Asalkan mereka mendapat ramai pengikut. Mereka dapat ramai pengikut dengan kata perkara yang sesuai dengan selera masyarakat. Apabila banyak pengikut, bermakna mereka akan dapat lagi banyak duit upah. Itu juga dikira sebagai menjual agama untuk mendapat upah yang sedikit. Kenapa dikata upah yang mereka dapat itu ‘sedikit’? Kerana banyak mana pun upah yang mereka dapat itu tidak dapat hendak dibandingkan dengan hukuman yang mereka akan terima.
Selalu hujah yang mereka gunakan adalah: “Ini adalah perkara khilafiah. Ada pendapat yang mengatakan boleh.” Mereka kata itu adalah perbezaan pendapat antara ulama’. Ada kata boleh, dan ada yang kata tidak boleh. Ingatlah bahawa akan ada sahaja orang yang mengaku ahli agama yang akan mengatakan boleh melakukan sesuatu itu. Kalau kita hendak mencari ustaz yang mengatakan boleh buat apa-apa, kita akan berjumpa dengan ustaz yang kata boleh. Namun adakah benar hujah mereka itu? Kita kenalah jujur dengan agama. Janganlah hanya mengikut pendapat ustaz sahaja. Kena dapatkan apakah dalil mereka. Kalau pendapat yang diberikan tidak ada dalil, tidak boleh dipakai. Memanglah khilafiah, tetapi antara yang ‘ada dalil’ dan ‘tidak ada dalil’. Maka kita tidak boleh terima pendapat kosong sahaja. Kalau dalil yang diberikan bukan daripada Al-Qur’an dan Sunnah, maka tolaklah hujah mereka itu. Ada kemungkinan mereka pun tidak tahu apa yang mereka cakapkan. Janganlah kita bodoh sangat sampai kita sangka kalau seseorang itu dipanggil ‘ustaz’, dia sudah tahu semua tentang agama. Ramai yang ikut sahaja kata masyarakat awam kerana takut hendak menegur.
Di sini Allah ﷻ menggunakan kalimah يَشْتَرُونَ yang asalnya bermaksud tukar dan boleh digunakan untuk bermaksud ‘beli’. Kenapa Allah ﷻ gunakan istilah beli sedangkan kalau digunakan kalimah ‘pilih’ pun boleh, bukan? Ada balaghah di sini. Iaitu Allah ﷻ hendak memberitahu kita tentang buruknya pilihan mereka. Mereka memang suka kepada kesesatan kerana kita kalau beli, mesti barang yang kita mahu dan kita suka, bukan? Ini menunjukkan mereka memang suka kesesatan itu. Juga bermakna mereka sengaja melakukan perkara itu dan bukannya kerana terpaksa dan tersilap (jarang kita dengar orang terpaksa beli dan tersilap beli).
Keduanya, Allah ﷻ hendak menunjukkan betapa bodohnya mereka itu kerana suka membeli barang yang buruk. Kalau suami anda membeli peti ais yang rosak dengan harga RM10,000, tentu anda kata suami anda bodoh, bukan? Benda buruk tidak dibeli dengan harga yang mahal. Pertama, ia tidak dibeli pun; kedua, lagi bodoh kalau dibeli dengan harga yang mahal. Maka harga apa yang ditukar oleh golongan kafir itu? Peluang untuk mendapat hidayah, bukan? Alangkah bodohnya!
Allah ﷻ sebut apa yang mereka kejar itu adalah ثَمَنًا قَلِيلً. Khabarnya konon adalah orang menegur ulama yang demikian dalam suatu negeri. Lalu dengan enaknya dia menjawab: “Di dalam Al-Qur’an hanya tersebut larangan menjual dengan harga yang sedikit. Kalau telah dijual dengan harga yang banyak, tentu tidak terlarang lagi.” Alangkah besar pengaruh syaitan atas dirinya, sehingga sampai hati dia berbicara demikian. Padahal berapa pun terjual agama itu, selama masih di dunia ini juga, tetaplah sedikit harga itu. Sebab segala macam yang bernama benda, walaupun bumi seisinya, tidaklah dapat mengganti kerugian iman yang telah kosong di dalam hati.
أُولَٰئِكَ مَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ إِلَّا النَّارَ
Mereka itu tidaklah mereka makan dalam perut-perut mereka melainkan api neraka
Apabila ustaz-ustaz, guru-guru agama menggunakan kedudukan mereka dalam masyarakat untuk memberikan pandangan agama hanya untuk memuaskan hati pengikut-pengikut mereka, dan dapat rezeki dengan cara itu, Allah ﷻ kata Dia akan memasukkan api neraka ke perut mereka. Maknanya, rezeki yang mereka makan hasil daripada apa yang mereka ajar kepada masyarakat itu adalah api neraka sebenarnya. Mereka sangkakan yang itu adalah rezeki, tetapi rupanya ia adalah api neraka. Mungkin nampak makanan itu sedap sampai gendut perut mereka, akan tetapi yang mereka makan itu hakikatnya adalah api neraka! Yang mereka makan itu akan menghantar mereka ke neraka!
Sebelum ini kita telah belajar ayat-ayat yang mengajar kita untuk makan benda-benda yang halal lagi baik. Akan tetapi jikalau kita tidak menjaga agama ini dan menyampaikan ajaran kepada umat manusia, bukan benda baik yang kita akan makan, tetapi api neraka!
وَلَا يُكَلِّمُهُمُ اللَّهُ يَوْمَ ٱلقِيَـٰمَةِ
dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari Kiamat;
Ini adalah satu penghinaan apabila Allah ﷻ tidak berkata-kata dengan mereka. Berapa banyak pun mereka dapat daripada laba dunia ini, ia tidak kekal mana kerana sampai masanya mereka akan ketemu juga hari akhirat. Di sana nanti Allah ﷻ tidak akan berkata dengan mereka kecuali dengan kata-kata yang tidak baik – dalam keadaan marah. Kalau di dunia ini ada orang tidak layan kita pun kita sudah tidak selesa, bukan? Bayangkan perasaan anda kalau ada yang bersalam dengan anda tetapi tidak pun lihat muka anda. Sekarang fikirkan bagaimana nanti kalau Allah ﷻ tidak layan di akhirat?
Tidak ada kata-kata yang baik dan mesra untuk mereka jenis ini kerana amat berat kesalahan yang mereka lakukan. Allah ﷻ tidak akan berkata-kata dengan mereka dengan lembut. Tidak seperti Allah ﷻ berkata dengan hamba-Nya yang mukmin. Allah ﷻ menzahirkan keredhaan Allah ﷻ kepada mereka yang mukmin dengan pemberian yang lebih baik lagi daripada syurga (iaitu Allah ﷻ berkata-kata dengan mereka). Namun kepada mereka yang menyembunyikan ilmu yang benar, Allah ﷻ amat murka dengan mereka. Allah ﷻ cakap kasar dan kesat dengan mereka. Macam manusia halau dan hambat anjing. Begitulah seperti firman Allah ﷻ di dalam Mukminoon: 108
قالَ اخسَئوا فيها وَلا تُكَلِّمونِ
Dia (Allah) berfirman: “Tinggallah dengan hina di dalamnya, dan janganlah kamu berbicara dengan Aku.
Begitulah nasib yang mereka akan terima. Mereka sepatutnya orang yang banyak belajar agama, sepatutnya tahu mana yang haram dan mana yang halal. Merekalah yang sepatutnya menyelamatkan masyarakat dari neraka, tetapi mereka tidak beritahu kebenaran kepada masyarakat.
وَلَا يُزَكِّيهِمْ
dan tidaklah Tuhan akan menyucikan mereka;
Bermakna Allah ﷻ tidak akan mengampunkan dosa-dosa mereka. Kita sebagai manusia tentu banyak dosa yang kita lakukan. Kita mengharapkan semoga Allah ﷻ akan mengampunkan segala dosa-dosa kita itu. Namun kalau Allah ﷻ kata Dia tidak akan menyucikan dosa kita, maka amat malanglah nasib kita nanti. Maknanya orang-orang yang disebut di dalam ayat ini akan kekal dalam neraka dosa mereka tidak dibersihkan. Ini adalah kerana tujuan orang mukmin kalau masuk pun ke dalam neraka adalah untuk menyucikan dosa mereka. Setelah sampai masanya (entah berapa ribu tahun) barulah mereka akan dimasukkan ke dalam syurga kerana mereka telah menjalani hukuman di neraka. Akan tetapi kalau dosa mereka tidak dibersihkan, tentulah mereka akan kekal dalam neraka. Nauzubillah min dzalik.
وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
dan bagi mereka azab yang pedih;
Inilah semua yang akan diberikan kepada mereka yang tidak mahu menceritakan halal haram yang telah Allah ﷻ beritahu dalam Al-Qur’an. Kesalahan yang dimaksudkan adalah menyembunyikan ilmu wahyu; maka ini mengajar kita yang amat berat sekali kesalahan ini sampaikan berbagai-bagi azab yang akan dikenakan kepada mereka. Azab yang pedih bermakna azab yang tidak akan berkurangan langsung dari mula-mula masuk neraka sampai bila-bila.
Baqarah Ayat 175:
أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ ٱشتَرَوُاْ ٱلضَّلَـٰلَةَ بِٱلهُدَىٰ وَٱلعَذَابَ بِٱلمَغفِرَةِۚ فَمَآ أَصبَرَهُم عَلَى ٱلنَّارِ
Those are the ones who have exchanged guidance for error and forgiveness for punishment. How patient they are in pursuit of the Fire!
Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk (ugama Allah), dan (membeli) azab seksa neraka dengan meninggalkan keampunan Tuhan. Maka sungguh ajaib kesanggupan mereka menanggung seksa api neraka itu.
أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ ٱشتَرَوُاْ ٱلضَّلَـٰلَةَ بِٱلهُدَىٰ
Mereka yang bersifat seperti ini, adalah orang-orang yang membeli kesesatan dengan menjual petunjuk
Iaitu mereka yang menyembunyikan ilmu yang benar kerana mereka mahukan kedudukan dan imbuhan dari masyarakat. Allah ﷻ kata mereka jual hidayah dengan beli neraka. Mereka sudah dapat hidayah, tetapi mereka tukar dengan kesesatan.
Di sini juga mengajar kita yang kalau menyembunyikan ilmu dapat kesesatan, maka kalau kita sebarkan ilmu maka kita akan mendapat hidayah. Maka ini memberi motivasi kepada kita untuk menyebarkan ilmu dengan banyak, dengan pelbagai cara. Jangan simpan ilmu malah hendaklah disebarkan dengan sebanyak mungkin kerana umat sangat-sangat memerlukannya.
وَالْعَذَابَ بِالْمَغْفِرَةِ
dan membeli azab dengan menjual keampunan
Mereka ambil azab dengan jual keampunan. Ini adalah sesuatu yang amat bodoh sekali. Ini adalah perniagaan yang amat merugikan sekali. Mereka dapat kebaikan di dunia (dari segi harta), tetapi menerima nasib yang teruk di akhirat kelak.
Di sini juga mengajar kita yang kalau menyembunyikan ilmu dapat azab, maka kalau kita sebarkan ilmu maka kita akan mendapat keampunan dan kita sangat-sangat memerlukan keampunan daripada Allah ﷻ kerana kita manusia yang banyak dosanya. Maka ini sekali lagi memberi motivasi kepada kita untuk menyebarkan ilmu dengan banyak, dengan pelbagai cara.
فَمَا أَصْبَرَهُمْ عَلَى النَّارِ
Maka alangkah sabarnya mereka menanggung azab neraka
Ini adalah kata-kata ejekan daripada Allah ﷻ. Kalimah ما di sini adalah ما تعجوب iaitu alangkah peliknya. Allah ﷻ hendak kata lihatlah betapa tololnya mereka. Mereka boleh sabar dalam neraka? Adakah mereka hendak bersabar dalam neraka? Mereka rasa mereka boleh bersabar duduk dalam neraka?
Walaupun mereka sabar dalam neraka, mereka akan duduk dalam neraka juga. Tidak tahu entah berapa lama (terpulang kepada Allah ﷻ). Orang yang duduk dalam penjara dalam dunia ini, kalau mereka sabar, akhirnya mereka akan keluar juga. Ataupun mereka akhirnya akan mati juga akhirnya. Namun kalau duduk di neraka, mungkin tidak akan keluar-keluar dan tidak akan mati-mati. Berapa lama duduk dalam neraka pun tidak akan tahan. Duduk sesaat pun sudah azab ya amat.
Selalunya kalau kita sabar, kita akan dibalas dengan sebab kesabaran kita itu tetapi tidak dalam kes ini. Tidak ada ada apa-apa kebaikan yang mereka akan dapat kalau mereka bersabar selama mana pun dalam neraka kerana neraka bukan tempat untuk sabar. Tempat sabar adalah di dunia.
Baqarah Ayat 176: Kenapa mereka layak mendapat azab yang sebegitu punya teruk?
ذٰلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ نَزَّلَ ٱلڪِتَـٰبَ بِٱلحَقِّۗ وَإِنَّ ٱلَّذِينَ ٱختَلَفُواْ فِى ٱلكِتَـٰبِ لَفِى شِقَاقِۭ بَعِيدٍ
That is [deserved by them] because Allah has sent down the Book in truth. And indeed, those who differ over the Book are in extreme dissension.
(Segala balasan yang buruk) itu adalah dengan sebab Allah telah menurunkan Kitab dengan mengandungi kebenaran (tetapi mereka berselisih padanya); dan sesungguhnya orang-orang yang berselisihan mengenai (kebenaran) kitab, itu sebenarnya mereka adalah dalam keadaan berpecah-belah yang jauh (dari mendapat petunjuk hidayah Allah).
ذَٰلِكَ بِأَنَّ اللَّهَ نَزَّلَ ٱلڪِتَـٰبَ
Mereka mendapat azab itu kerana Allah telah menurunkan kitab wahyu
Allah ﷻ marah sebab Dia telah turunkan wahyu untuk disebarkan, bukan untuk disimpan. Wahyu yang diturunkan itu adalah untuk diamalkan oleh manusia bukan tinggal di dalam kitab sahaja. Kalau tidak disebarkan, tentulah orang tidak mengamalkannya. Maka sesiapa yang Allah ﷻ telah pilih untuk belajar wahyu, maka mereka kena sampaikan apa yang mereka telah belajar.
Maka anda yang sedang membaca tulisan ini, kena sebarkan tulisan ini. Kena sampaikan kepada mereka yang masih tidak tahu. Jangan simpan sendiri tapi kena disebarkan kepada masyarakat yang kebanyakannya masih jahil tentang ajaran wahyu.
Allah ﷻ tekankan di sini yang Dialah yang menurunkan kitab-kitab wahyu itu. Maka jangan ambil enteng tentangnya. Ia bukan datang daripada para Rasul atau daripada para malaikat, tetapi daripada Allah ﷻ. Kalau surat daripada orang yang penting tentu kita akan baca, bukan? Bagaimana pula dengan surat daripada Allah ﷻ?
بِالْحَقِّ
dengan bawa kebenaran;
Ada dua maksud yang kita boleh daripada potongan ayat ini:
1. Benar-benar Allah ﷻ telah turunkan kitab wahyu daripada-Nya kepada manusia melalui para malaikat yang disampaikan kepada para Rasul. Maka jangan sangsi lagi akan hal itu.
2. Allah ﷻ berikan wahyu untuk zahirkan kebenaran. Kebenaran apa? iaitu Dia adalah Tuhan dan semua kena puja Dia sahaja (tidak boleh puja selain-Nya). Kalau sembunyi fakta ini, Allah ﷻ murka kerana tujuan kebenaran itu adalah hendaklah disampaikan kepada masyarakat. Kalau disimpan sahaja, ia tidak menepati kehendak Allah ﷻ.
وَإِنَّ الَّذِينَ اخْتَلَفُوا فِي ٱلكِتَـٰبِ
Dan sesungguhnya orang-orang yang berselisih dalam hal kitab ini;
Manusia memang selalu sahaja ada perselisihan di antara mereka. Jadi perselisihan tentang kitab wahyu ini kita boleh bahagikan kepada dua jenis:
1. Di antara orang beriman yang menerima adanya kitab wahyu dan kumpulan kafir yang menolak adanya wahyu daripada Allah ﷻ.
2. Di antara semasa Muslim pun ada perselisihan. Walaupun mereka telah terima adanya Al-Qur’an, tapi penerimaan tidak sama. Ada yang setakat baca sahaja tanpa faham apa yang mereka baca. Ada yang baca dan faham, kemudian mereka sembunyikan kebenaran yang ada di dalam Al-Qur’an. Ada yang baca tetapi buat pemahaman sendiri kerana tidak belajar dengan betul. Maka kerana itulah ada banyak perselisihan dalam kalangan umat Islam sekali pun. Begitulah dalam hal agama, ada yang beritahu tentang kebenaran, dan ada yang sembunyi kebenaran itu. Mereka berselisih itu sebab mereka yang menyembunyikan kebenaran itu ada kepentingan peribadi untuk mereka. Iaitu mereka hendak menjaga periuk nasi mereka. Mereka takut kalau mereka beritahu kebenaran, rezeki mereka akan berkurangan. Apakah kedudukan mereka?
Perbezaan pendapat dalam kalangan manusia pasti ada dari dahulu sampai sekarang. Malah di kalangan ulama’ pun ada perbezaan pendapat, malah tafsiran mereka kepada ayat-ayat Al-Qur’an pun ada yang berbeza. Akan tetapi ini adalah perbezaan dari segi ilmu dan tidak merosakkan masyarakat. Hanya di dalam perincian hal-hal tertentu sahaja. Dan mereka pun tidaklah bermusuh malah hormat menghormati pandangan sesama mereka kerana mereka ada ilmu. Yang kita tidak boleh terima adalah perbezaan antara orang belajar dan tidak belajar, antara yang berilmu dan yang jahil. Takkan kita hendak terima pandangan yang tidak ada asas?
Yang paling menakutkan adalah kalau ayat-ayat Al-Qur’an dan hadith diputar belit sampai membenarkan yang salah dan menyalahkan yang benar. Begitulah kalau orang yang pandai itu, mereka boleh sahaja putar belit ayat-ayat Al-Qur’an. Kerana itulah kita kena belajar apakah pemahaman golongan salaf terhadap maksud ayat-ayat Al-Qur’an dan juga hadith. Jangan kita buat fahaman sendiri. Jangan kita jadi seperti golongan Yahudi yang memutar belitkan kitab Taurat mereka. Malangnya begitulah yang terjadi zaman berzaman. Akan ada sahaja yang putar belit agama. Dan memang zaman berzaman, yang merosakkan agama bukanlah tukang kebun dan tukang besi, akan tetapi ahli agama.
لَفِي شِقَاقٍ بَعِيدٍ
sesungguhnya berada dalam persimpangan yang amat jauh.
Mereka berada amat jauh daripada kebenaran. Kalimah شِقَاقٍ itu sendiri sudah bermaksud perpecahan dan Allah ﷻ tambah kalimah بَعِيدٍ untuk memberitahu yang ini bukan perpecahan kecil tetapi amat jauh, amat besar. Perpecahan boleh terjadi di dalam masyarakat kerana kebenaran tidak akan sampai lagi kepada mereka. Ia terjadi kerana ada orang berilmu yang sembunyikan ilmu dari orang ramai. Oleh kerana ilmu tidak disampaikan malah di sorok-sorok, masyarakat akan terus berada dalam kegelapan dan kejahilan. Ini kerana mereka telah mengamalkan sesuatu yang amat berlawanan dengan kebenaran yang sepatutnya disampaikan.
Perbezaan yang berlaku di dalam memahami dalil-dalil syarak adalah satu lumrah di dalam kehidupan. Ini kerana, akal manusia itu berbeza-beza dari sudut tahapnya. Tambahan pula, perselisihan atau perbezaan pendapat ini telah berlaku pada zaman Nabi ﷺ dan juga para sahabat رضي الله عنهم. Apatah lagi, pada zaman selepas daripada mereka, sudah pasti lebih banyak perselisihan yang berlaku sehingga munculnya pelbagai mazhab dan aliran. Ini tidak ada masalah kalau ia dilakukan oleh golongan mujtahid yang layak. Terdapat sebuah athar daripada salaf yang menyatakan bahawa Allah ﷻ tidak akan menghukum seseorang itu pada permasalahan yang terdapat khilaf padanya iaitu:
لا يُعَذِّبُ اللَّه بِمَسْأَلَةٍ اخْتُلِفَ فِيهَا
“Allah ﷻ tidak akan mengazab (manusia) disebabkan perkara yang diperselisihi padanya.”
[Imam al-Sakhawi (902 H) berkata aku merasakan ini adalah perkataan sebahagian para salaf. Lihat: al-Maqasid al-Hasanah, 731/1]
Malah kalau seorang mujtahid tersilap membuat hukum, dia tetap dapat pahala sebagaimana disebut di dalam hadith Nabi ﷺ:
إِذَا حَكَمَ الْحَاكِمُ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَصَابَ فَلَهُ أَجْرَانِ وَإِذَا حَكَمَ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَخْطَأَ فَلَهُ أَجْرٌ
“Apabila seorang hakim melakukan hukum lalu dia berijtihad dan kemudiannya dia benar maka untuknya dua ganjaran pahala. Sekiranya beliau menghakimi dan berijtihad, kemudian dia tersilap maka baginya satu pahala.”
(Riwayat Bukhari No. 7352 dan Muslim No. 1716)
Akan tetapi jangan berpecah di dalam hal-hal yang asas dan usul di dalam agama. Ia tidak bagus dan dilarang oleh Allah ﷻ. Adapun berkaitan hal ini ada sebuah lagi lafaz yang masyhur iaitu:
اخْتِلَافُ أُمَّتِي رَحْمَةٌ
“Perselisihan (Perbezaan) dalam kalangan umatku adalah rahmat.”
Akan tetapi kebanyakan para ulama’ menilai riwayat ini (riwayat di atas) tiada asal baginya dan ia bukanlah sebuah hadith Nabi ﷺ sebagaimana yang dikatakan oleh kebanyakan orang.
Banyak ayat Al-Qur’an yang melarang kita berpecah, berselisih daripada pegangan jalan wahyu seperti yang disebut di dalam An’am: 153
وَأَنَّ هَـٰذَا صِرٰطِى مُستَقِيمًا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُم عَن سَبِيلِهِۦۚ ذٰلِكُم وَصَّٮٰكُم بِهِۦ لَعَلَّڪُم تَتَّقُونَ
Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa
Seperti yang kita tahu, kita tidak dapat mengelak daripada timbulnya perbezaan pendapat. Namun begitu perbezaan pendapat itu tidaklah semestinya menyebabkan perpecahan. Kita tidak tahu sama ada pegangan kita benar ataupun tidak, kerana ada kemungkinan kita juga tersilap. Mungkin kerana bias yang kita ada, kekurangan ilmu kita, pengalaman kita yang mencorak pola pemikiran kita. Jadi jangan terus menolak pendapat yang berlainan dengan pegangan kita. Yang kita mahukan adalah kebenaran, walaupun ia mungkin bukan datang daripada kita atau daripada puak kita. Dari mana pun kebenaran itu datang, kita kena terima kerana ia daripada Allah ﷻ. Akan tetapi apa yang perlu kita buat kalau ada perbezaan pendapat? Bukannya tanya mimpi, tanya kawan, tanya tok guru kita yang tidak semestinya tahu semua, tetapi Allah ﷻ telah ajar dalam Nisa’: 59
فَإِن تَنٰزَعتُم في شَيءٍ فَرُدّوهُ إِلَى اللهِ وَالرَّسولِ إِن كُنتُم تُؤمِنونَ بِاللهِ وَاليَومِ الآخِرِ ۚ ذٰلِكَ خَيرٌ وَأَحسَنُ تَأويلًا
Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Qur’an) dan (Sunnah) Rasul-Nya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.
Jadi kalau ada pendapat yang bersandarkan kepada wahyu, maka terimalah. Jangan kerana ia datang daripada puak yang lain daripada puak kita, kita tolak pula. Orang selalu mengeluh kenapa kita berpecah, tetapi tidak ramai yang hendak mencari jalan bagaimana untuk kita bersatu. Nah, Allah ﷻ sebenarnya sudah ajari pun di dalam Nisa’: 59 ini. Kembalilah kepada pandangan wahyu. Carilah tafsiran kepada ayat-ayat Al-Qur’an. Dan jangan terus duduk di dalam perpecahan. Allah ﷻ menegur perpecahan dalam kalangan umat Islam di dalam An’am:159
إِنَّ ٱلَّذِينَ فَرَّقُواْ دِينَہُم وَكَانُواْ شِيَعًا لَّستَ مِنہُم فِى شَىءٍۚ
Bahawasanya orang-orang yang mencerai-beraikan ugama mereka (dengan perselisihan-perselisihan yang berdasarkan hawa nafsu), dan mereka menjadi berpuak-puak, tiadalah engkau terkait sedikit pun dalam (perbuatan) mereka
Allah ﷻ telah melarang kita daripada berpecah tentang wahyu Allah di dalam Ali Imran: 103.
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai;
Di dalam ayat ini Allah ﷻ bukan sahaja melarang bercerai berai akan tetapi memberi jalan supaya kita tidak berpecah – وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ. Kalau kita berpegang dengan حَبْلِ اللَّهِ iaitu wahyu Allah, kita akan dapat bersatu. Allah ﷻ sebut tentang حَبْلِ اللَّهِ dahulu sebelum melarang berpecah kerana kita kena ada asas untuk bersatu. Kalau kita tidak ada asas ilmu wahyu maka perbezaan pendapat tidak dapat diselesaikan kerana masing-masing akan ikut kepala masing-masing. Sampai ke mana kalau begitu? Kalau awak beri pendapat guru awak, orang lain pun ada guru juga, bukan? Maka kena ada asas ilmu wahyu. Malangnya kita sekarang terkebelakang kerana ramai yang tidak tahu menahu pun apa yang diajar di dalam Al-Qur’an ini. Maka kita kena ajak lebih ramai umat untuk mempelajarinya.
Habis Ruku’ 21 daripada 40 surah ini
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 20 Disember 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
