Tafsir Surah Baqarah Ayat 173 (Jangan haramkan yang halal)

Baqarah Ayat 173: Selepas disuruh untuk makan makanan yang halal dan baik-baik, sekarang Allah ‎ﷻ menyebut larangan memakan makanan yang buruk (haram).

Sebelum itu kita kena faham yang ayat ini bukan hendak kata ini sahaja yang diharamkan. Ada yang keliru dengan ayat ini. Mereka kata: “ayat Al-Qur’an kata ini sahaja yang haram”. Oleh itu, kita kena faham yang ayat ini cuma hendak mengatakan tentang barang makanan yang Musyrikin Mekah kata halal sedangkan ia haram (maka Allah ﷻ tolak salah faham mereka itu dalam ayat ini). Allah ‎ﷻ hendak beritahu kesilapan mereka dan menidakkan perkara-perkara yang mereka kata halal (tapi sebenarnya haram). Kena faham konteks ayat ini baru tidak salah faham.

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيڪُمُ ٱلمَيتَةَ وَٱلدَّمَ وَلَحمَ ٱلخِنزِيرِ وَمَآ أُهِلَّ بِهِ لِغَيرِ ٱللَّهِ‌ۖ فَمَنِ ٱضطُرَّ غَيرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَآ إِثمَ عَلَيهِ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Sahih International

He has only forbidden to you dead animals, blood, the flesh of swine, and that which has been dedicated to other than Allah. But whoever is forced [by necessity], neither desiring [it] nor transgressing [its limit], there is no sin upon him. Indeed, Allah is Forgiving and Merciful.

Malay

Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah; maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ

Sesungguhnya Dia mengharamkan kepada kamu

Ada makna penting yang kita kena lihat pada perkataan إِنَّمَا itu. Kalau asal daripada penggunaan bahasa Arab, perkataan itu boleh bermaksud Allah ‎ﷻ *hanya* mengharamkan perkara-perkara ini sahaja. Secara umumnya tidak banyak makanan yang Allah ‎ﷻ haramkan. Sedikit sangat kalau dibandingkan dengan apa yang Allah ‎ﷻ telah halalkan.

Tetapi sebelum kita pergi jauh, kita kena faham konteks ayat ini – Allah  ‎ﷻ sebenarnya hendak membetulkan salah faham Musyrikin Mekah yang mengatakan benda-benda yang disebut dalam ayat ini adalah halal. Di sini, Allah ‎ﷻ hendak betulkan fahaman mereka. Mereka ada berkata yang ada makanan lain yang haram, jadi Allah ‎ﷻ hendak beritahu, yang haramnya adalah perkara-perkara yang disebut ini. Yang mereka haramkan itu tidak haram sebenarnya. Maka, bukanlah senarai ini sahaja makanan yang haram. Kena rujuk ilmu feqah untuk mengetahui makanan-makanan lain lagi yang haram. Ia diperincikan lagi dalam ilmu feqah.

Di dalam ayat ini kalimah حَرَّمَ dinisbahkan kepada Allah‎ ﷻ. Iaitu Allah ‎ﷻ yang mengharamkan. Maka di sini mengajar kita yang hak untuk mengharamkan dan juga menghalalkan adalah hak Allah ‎ﷻ. Kalau kita manusia memandai mengharamkan yang Allah ‎ﷻ halalkan dan  menghalalkan apa yang Allah haramkan, maka itu telah mengambil hak Allah ‎ﷻ dan ia berdosa besar. Jangankan kita, malah Rasulullah ﷺ pun tidak boleh suka-suka mengharamkan, sampaikan baginda pernah ditegur di dalam Tahreem:1

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ لِمَ تُحَرِّمُ ما أَحَلَّ اللَّهُ لَكَ
Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah halalkan bagimu;

Jadi jangan buat hukum yang tidak ada dasarnya di dalam wahyu. Ingat kembali yang Allah ‎ﷻ pernah mengingatkan kita jangan ikut bisikan syaitan yang memang suka kalau kita buat perkara ini seperti disebut di dalam Baqarah:169

وَأَن تَقولوا عَلَى اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ
dan (dia menyuruh) supaya kamu berkata terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui (dalilnya).

 

 

الْمَيْتَةَ

(adalah daripada jenis) bangkai,

Bangkai adalah binatang yang mati bukan dengan cara sembelihan cara Islam. Mungkin ada yang mati sendiri sebab sakit dan sebagainya, atau dibunuh dengan cara yang selain daripada sembelihan cara Islam. Atau, mungkin dilanggar, ditanduk, terjatuh dari bukit dan sebagainya lagi. Tafsir bagi maksud bangkai itu terdapat di dalam Maidah: 3

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ
Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang terpukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya, dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala.

Yang dikecualikan dari bangkai adalah makanan lain seperti ikan dan juga belalang. Dalilnya adalah Maidah: 96

أُحِلَّ لَكُم صَيدُ البَحرِ وَطَعامُهُ
Dihalalkan bagimu binatang buruan laut dan makanan (yang berasal) dari laut sebagai makanan yang lazat bagimu

Manakala satu lagi bangkai yang dibenarkan adalah jikalau ia diburu oleh binatang buruan kita seperti disebut di dalam Maidah: 4

يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبٰتُ وَمَا عَلَّمْتُم مِّنَ الْجَوَارِحِ مُكَلِّبِينَ تُعَلِّمُونَهُنَّ مِمَّا عَلَّمَكُمُ اللهُ فَكُلُوا مِمَّا أَمْسَكْنَ عَلَيْكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللهِ عَلَيْهِ وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ
Mereka menanyakan kepadamu: “Apakah yang dihalalkan bagi mereka?”. Katakanlah: “Dihalalkan bagimu yang baik-baik dan (buruan yang ditangkap) oleh binatang buas yang telah kamu ajar dengan melatihnya untuk berburu; kamu mengajarnya menurut apa yang telah diajarkan Allah kepadamu. Maka makanlah dari apa yang ditangkapnya untukmu, dan sebutlah nama Allah atas binatang buas itu (waktu melepaskannya). Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat cepat hisab-Nya.

Ia dihalalkan walaupun anjing buruan (atau burung yang dilatih) itu mematikan binatang yang diburu. Maknanya binatang itu tidak disembelih. Akan tetapi apabila ia telah dilatih (supaya tidak memakan binatang itu melainkan menangkap untuk tuannya) dan dibacakan bismillah sebelum dilepaskan binatang buas itu, maka gigi dan taring binatang itu dianggap seperti pisau yang menyembelih.

Kenapa bangkai diharamkan? Kerana ia buruk untuk kesihatan. Binatang yang mati sendiri bahaya dimakan kerana mungkin ia ada penyakit dan beracun tubuhnya. Binatang yang tidak disembelih mengikut cara Islam juga tidak mengeluarkan darah dengan sempurna menyebabkan kandungan darahnya mendap di dalam tubuh binatang itu dan tidak elok dimakan.

Bagi Musyrikin Mekah, bangkai binatang boleh dimakan dan ia adalah salah satu daripada sumber makanan mereka. Sedangkan dalam Islam, hanya boleh dimakan binatang yang disembelih cara Islam sahaja. Maknanya, kena ada ikhtiar manusia dalam kematian binatang itu. Puak Musyrikin Mekah kata ini adalah satu pendapat yang pelik kalau hanya boleh makan makanan yang ‘dimatikan’ oleh manusia, sedangkan yang Allah ‎ﷻ ‘matikan’ (dengan banyak cara lain), tidak boleh dimakan pula. Namun beginilah cara yang Allah ‎ﷻ kehendaki. Kena melalui proses yang betul sebelum boleh dimakan binatang itu.

 

وَالدَّمَ

dan darah,

Dalam ayat lain, ada disebut bahawa darah yang tidak dibolehkan makan adalah ‘darah yang mengalir’. Ini seperti disebut di dalam An’am: 145

قُل لَّآ أَجِدُ فِى مَآ أُوحِىَ إِلَىَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطعَمُهُ ۥۤ إِلَّآ أَن يَكُونَ مَيتَةً أَو دَمًا مَّسفُوحًا
Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir

Jadi ia bukannya darah yang melekat pada daging dan tulang pada binatang. Oleh itu, tidak perlu dibasuh bersih sangat daging ayam atau daging binatang yang kita makan. Ada yang salah faham, sampai basuh berkali-kali daging ayam kerana hendak menghilangkan darah pada daging itu. Sampaikan putih langsung daging itu dan tidak ada rasa manis pada daging itu lagi.

Darah yang dihalalkan ada dua, iaitu hati dan limpa. Ini adalah kerana memang hati dan limpa itu adalah terbina dari darah sebenarnya, akan tetapi ia dihalalkan. Dalilnya seperti disebut di dalam hadith,

أُحِلَّتْ لَنَا مَيْتَتَانِ وَدَمَانِ، فَأَمَّا الْمَيْتَتَانِ، فَالْحُوتُ وَالْجَرَادُ، وَأَمَّا الدَّمَانِ، فَالْكَبِدُ وَالطِّحَالُ
“Dihalalkan buat kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. Dua jenis bangkai iaitu: Ikan dan belalang. Manakala dua jenis darah iaitu: Hati dan limpa.”
Riwayat Ibn Majah (3314), Ahmad (5723) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (1/254). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan hadith ini hasan dalam takhrij al-Musnad.

Jadi, darah yang dilarang adalah darah yang banyak. Hukum ini juga berat bagi Arab Jahiliyah kerana darah yang mengalir adalah sumber makanan kepada Musyrikin Mekah. Mereka akan cucuk binatang ternak mereka (ketika masih hidup kerana mereka bukan hendak bunuh) sampai mengeluarkan darah dan mereka akan kumpulkan darah itu dan simpan sampai darah itu sampai pejal dan mereka akan makan. Memang darah yang disimpan untuk sekian waktu akan menjadi pejal dan ada yang makan benda sebegini. Sampai sekarang pun ada lagi manusia barat yang makan darah sebegini. Macam orang Barat, mereka akan tadah darah dan mereka jadikan macam puding. Ini adalah salah dan kita tidak boleh makan sebegini. Musyrikin Jahiliah juga menggunakan darah itu sebagai sejenis kuah, di mana mereka akan menggunakan darah itu untuk dimasak sekali dengan makanan mereka.

Menggunakan darah sebagai sumber makanan adalah satu cara yang ‘ekonomi’ kepada mereka kerana kalau mereka ambil darah itu sedikit-sedikit daripada binatang ternak mereka, tidaklah binatang itu mati dan mereka boleh ambil banyak kali. Maka, marahlah mereka apabila dikatakan tidak boleh makan darah. Mereka tidak perasan bahawa ini adalah satu kekejaman kepada haiwan.

 

وَلَحْمَ الْخِنْزِيرِ

dan daging babi;

Yang haram kita lakukan dengan babi itu adalah memakan dagingnya. Ayat ini menyebut ‘daging’ babi tetapi ia meliputi semua bahagian badan – kulit, tulang dan sebagainya. Maka jangan buat sup tulang babi dan kata: “Allah haramkan dagingnya sahaja!”

Babi juga adalah salah satu sumber makanan Musyrikin Mekah dan mereka tidak dapat terima larangan memakan babi ini kerana pada mereka, ia adalah makanan yang sedap. Kata mereka: “Takkan benda sedap pun tidak boleh dimakan?” Begitulah kata mereka. Ini adalah kerana mereka pakai akal.

Kita haram makan babi kerana ada pengharaman jelas daripada Allah‎ ﷻ. Hikmahnya mungkin banyak seperti kerana ia kotor, ada cacing yang susah dimatikan dengan api yang panas. Akan tetapi kalau kita perhatikan bangsa yang makan daging babi elok sahaja. Ada yang mengatakan kerana babi ini tidak kira makanan, semua dimakannya termasuklah najis sekali pun. Ada lagi yang mengatakan memakan daging babi akan menyebabkan meningkatnya syahwat. Namun ini semua adalah hujah-hujah andaian sahaja. Mungkin benar dan mungkin tidak. Ia dicari manusia untuk menguatkan hukum sahaja supaya rasa tenang di hati ini. Walaupun tidak ada hujah-hujah itu, kita tetap mengharamkan daging babi itu kerana Allah ‎ﷻ kata ia haram. Tambahan pula bukan agama Islam sahaja yang mengharamkan babi malah Yahudi dan Kristian juga sebenarnya.

Kenapa Allah ‎ﷻ jadikan babi sedangkan ia haram dimakan? Kerana ia adalah ujian daripada Allah ‎ﷻ. Kalau barang yang diuji tidak ada, bukanlah ujian namanya. Maka kita kena terima hakikat yang memang ada perkara dalam dunia ini yang Allah ‎ﷻ jadikan ia menarik akan tetapi kita tidak boleh dekati kerana ia menjadi ujian bagi kita untuk menilai adalah kita dapat menjaga hukum atau tidak.

Ada khilafiah tentang hukum memegang babi. Ramai yang kata kalau terpegang babi, kulit babi, tulang babi dan sebagainya, kena sertu. Sedangkan tidak ada hadith yang mengatakan kalau pegang babi kena sertu. Yang ada itu adalah hanya qiyas dengan pegang anjing. Iaitu memang ada hadith yang mengatakan kena sertu guna tanah kalau kena air liur anjing pada bekas makanan kita. Namun tidak ada hadith yang mengatakan tentang sertu kalau pegang babi. Namun begitu ia adalah pendapat di dalam mazhab Syafie. Sedangkan zaman Nabi ﷺ sudah ada babi dan memang bangsa ada yang memakan babi.

Di dalam masa yang sama, ada yang berpendapat yang dilarang hanyalah makan daging babi sahaja sampaikan ada pendapat yang kata boleh memakai dompet, kasut dan barangan dari kulit babi yang lain. Cuma, lebih selesa di hati kita sepatutnya kalau kita tinggalkan terus segala perkara yang berkenaan babi ini. Jangan kita terlibat dalam industri babi ini. Tambahan pula, dari segi hukum feqah, binatang yang tidak boleh disembelih dan dimakan, bahagian tubuhnya pun adalah najis. Kita pun tidak pernah dengar para sahabat menggunakan bahan-bahan dari tubuh babi.

 

وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ

dan apa sahaja yang disembelih untuk selain Allah;

Ini adalah larangan seterusnya. Kalimah أُهِلَّ bermaksud ‘ditentukan, disebut, didedikasikan’. Ia daripada kata dasar: ه ل ل yang bermaksud bulan baru yang menjelma, permulaan kepada bulan qamariah, menyebut nama entiti sebelum binatang disembelih. Musyrikin Mekah ada yang sembelih binatang ternak atas nama berhala (ditujukan untuk berhala-berhala itu). Mereka akan jeritkan seperti: “Ini untuk Uzza” contohnya. Iaitu semasa menyembelih binatang itu, mereka menyebut nama selain Allah ‎ﷻ, seperti berhala, jin, Nabi atau wali pujaan mereka. Mereka sembelih binatang itu untuk didedikasikan kepada selain daripada Allah ‎ﷻ. Kalau Syiah, mereka akan sebut nama Ali sebelum menyembelih binatang.

Dalam ayat ini, diletakkan perkataan بِهِ dekat dengan kalimah أُهِلَّ. Ini bermaksud, menyebut nama sembahan lain selain Allah ‎ﷻ semasa menyembelih binatang itu. Terdapat juga ayat-ayat lain yang lebih kurang sama seperti dalam Maidah: 3, An’am: 145 dan Nahl: 115 di mana perkataan بِهِ jauh daripada perkataan أُهِلَّ.

وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللهِ بِهِ (Maidah: 3)

أَو فِسقًا أُهِلَّ لِغَيرِ ٱللَّهِ بِهِ (An’am: 145)

وَما أُهِلَّ لِغَيرِ اللهِ بِهِ (Nahl: 115)

Dalam ayat-ayat itu, ia adalah apabila nama Allah ‎ﷻ disebut semasa menyembelih binatang sembelihan, tetapi sebenarnya bukan kerana Allah ‎ﷻ. Maknanya, tidak sebut untuk siapa, tetapi bukan kerana Allah ﷻ. Ini pun tidak boleh. Sebagai contoh kalau sembelih kerana wali. Ini adalah dosa besar atau rosak akidah. Ada kalangan masyarakat kita yang sembelih binatang, tetapi bukan kerana Allah ‎ﷻ. Contohnya, sembelih kambing sebab hendak menghalau hantu. Ramai yang kita dengar bomoh-bomoh yang apabila berubat, mereka akan kata kalau hendak sembuh, kena sembelih ayamlah, kambinglah dan sebagainya. Memang masa pesakit sembelih binatang itu, mereka baca bismillah (dan ikut cara sembelihan Islam) tetapi sembelihan itu tidak sah dan haram memakan daging sebegitu.

Semua pengharaman ini nampak senang sahaja kepada kita kerana kita tidak makan bangkai, darah dan kita ada banyak daging lagi boleh dimakan selain daripada daging babi. Namun bayangkan apabila ayat ini diturunkan kepada para sahabat. Mereka bukan ada supermarket zaman itu. Bukan senang untuk mendapat daging apa-apa pun. Mereka kena ternak atau berburu untuk mendapatkan daging. Jadi, apabila ayat ini diturunkan, ia telah mengurangkan pilihan makanan kepada mereka. Kita juga kena ingat bahawa mereka kadang-kadang tinggal bersama dengan ahli keluarga mereka yang bukan beragama Islam. Dulu senang sahaja mereka makan dengan keluarga mereka yang makan semua itu. Namun selepas ayat ini, ada bahan makanan yang sebelum itu mereka boleh kongsi makan dengan ahli keluarga mereka yang bukan Islam, tetapi tidak boleh dimakan lagi. Contohnya, jikalau binatang itu disembelih atas nama Latta atau Uzza, mereka sudah tidak boleh makan lagi.

Atau mungkin ada binatang yang mati disebabkan panas terik dan tidak sempat disembelih – dahulu mereka boleh sahaja makan tetapi sekarang sudah tidak boleh.

Atau mereka dahulu makan darah yang dibekukan dan darah itu ada yang dijadikan sebagai kuah. Sekarang mereka tidak boleh makan. Tentu keadaan susah untuk mereka. Namun bagi yang beriman kuat, mereka sanggup ikut.

Adakah wajib tukang sembelih menyebut nama Allah semasa menyembelih binatang (yang halal dimakan?) Ulama’ khilaf dalam perkara ini,

Pandangan Pertama: Wajib menyebut nama Allah (membaca Basmalah) untuk sembelihan secara mutlak. Tidak dihalalkan tanpa membacanya. Inilah pandangan sekumpulan ulama dan satu riwayat daripada Imam Ahmad. Pandangan ini juga menjadi pilihan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah.

Pandangan Kedua: Wajib ketika ingat, jika terlupa tidak mengapa. Maka diharuskan apa-apa yang disembelih tanpa menyebut nama Allah ke atasnya kerana terlupa bukan disengajakan. Inilah pandangan para ulama mazhab Hanafi, Maliki dan yang masyhur di dalam mazhab Ahmad.

Pandangan Ketiga: Sunat secara mutlak dan ia bukanlah menjadi satu syarat. Inilah pandangan para ulama dari mazhab al-Imam al-Syafie dan satu riwayat daripada Imam Ahmad.

Tarjih: Kata Dr. Musfir bin ‘Ali al-Qahtani:

“Dan yang rajah, wallahu a’lam adalah pandangan majoriti ulama dalam kalangan ulama mazhab Hanafi, Mazhab Malik, dan yang masyhur di sisi para ulama mazhab Hambali iaitu menyebut nama Allah atau membaca basmalah adalah wajib ketika ingat berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا تَأڪُلُواْ مِمَّا لَم يُذكَرِ ٱسمُ ٱللَّهِ عَلَيهِ وَإِنَّهُ ۥ لَفِسقٌ
“dan janganlah kamu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) Yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya, kerana Sesungguhnya Yang sedemikian itu adalah perbuatan fasik (berdosa);” (An’am: 121)

Jika tidak membaca Basmalah kerana terlupa, tidak mengapa memakan sembelihan tersebut berdasarkan firman Allah SWT:

رَبَّنا لا تُؤاخِذنا إِن نَّسينا أَو أَخطَأنا
“Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau kenakan hukuman kepada kami jika kami terlupa atau tersalah.” (Baqarah: 286)

Demikian juga berdasarkan sabda Nabi SAW:

إِنَّ اللهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَتِيْ الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوْا عَلَيْهِ
“Sesungguhnya Allah memaafkan dari umatku kesalahan yang dilakukan kerana tersilap dan terlupa.”
Dikeluarkan oleh Ibn Majah di dalam Sunannya. Kata al-Albani: Sahih.

Bagaimana pula tindakan kita kalau tidak tahu sama ada daging yang kita akan makan itu telah disembelih dengan cara yang benar atau telah disebut nama Allah atau tidak? Kita tidak diberatkan dengan perkara itu. Kita bersangka baik dan sebut sahaja bismillah dan makan sahaja tanpa ragu-ragu. Dalilnya dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah R.Anha, Nabi SAW ditanya:

قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ هَا هُنَا أَقْوَامًا حَدِيثٌ عَهْدُهُمْ بِشِرْكٍ يَأْتُونَا بِلُحْمَانٍ لَا نَدْرِي يَذْكُرُونَ اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا أَمْ لَا – أَفَنَأْكُلُ مِنْهَا؟- قَالَ اذْكُرُوا أَنْتُمْ اسْمَ اللَّهِ وَكُلُوا.
Mereka bertanya: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya di sini (Madinah) terdapat kaum-kaum yang baru sahaja (meninggalkan) kesyirikan (baru menganut Islam) yang membawa kepada kami daging yang kami tidak tahu mereka menyebut nama Allah atau tidak ke atasnya (semasa sembelihan). Apakah boleh kami memakannya? Sabda Nabi SAW: “Kalian sebutlah nama Allah dan makanlah.”
Riwayat al-Bukhari (7398), Abu Daud (2829), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (7661), Ibn Majah (3174)

 

فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ

Maka sesiapa yang terpaksa, tanpa sengaja;

Iaitu, dia terpaksa makan sebab tidak ada makanan lain. Kalimah ٱضطُرَّ adalah daripada kata dasar ض ر ر yang bermaksud menyakiti, mengganggu, menyusahkan, kejahatan, kebuluran, waktu susah, penyakit, kematian, kehilangan, memaksa. Kalimah darurat diambil daripada kata dasar ini iaitu apabila seseorang terpaksa melakukan sesuatu yang asalnya dilarang. Contohnya seseorang itu dalam musafir dan sesat dalam hutan dan tidak ada makanan. Yang ada hanyalah makanan yang haram dimakan. Kalau dia tidak makan, dia akan mati. Kalau dalam keadaan macam itu, dia dibenarkan makan apa yang diharamkan dalam ayat ini. Malah dia wajib makan kerana keperluan menjaga nyawa. Boleh makan, termasuk makan daging mayat manusia pun dibenarkan.

Maka kena tengok keadaan juga. Kalau waktu itu tidak ada makanan lain, tetapi dia tidaklah sampai mati kalau tidak makan babi, tidaklah boleh makan. Jangan asal datang kedai makan dan tidak ada makanan lain selain babi, awak pergi makan pula. Juga mengidam semasa mengandung pun tidaklah dikira darurat. Kita ada pernah dengar wanita mengandung yang mengidam makan babi, ini tidak boleh langsung sama sekali!

Perkataan بَاغٍ bermaksud memberontak, sengaja atau ‘teringin’. Ia daripada kata dasar ب غ ي yang bermaksud mengejar sesuatu, ingin kepada sesuatu, berusaha untuk mendapatkan sesuatu (dengan cara baik atau buruk), mencintai sesuatu, melampau dapat mendapatkan sesuatu, tidak taat, menderhaka, melebihi had, tidak benar, pelacur atau wanita tidak baik. Kadang-kadang kita tidak benarkan seseorang buat sesuatu, tetapi mereka melawan, maka mereka buat juga. Maksud ayat ini, orang itu terpaksa makan, bukan sengaja hendak makan, bukan teringin hendak rasa macam mana rasa daging babi.

 

وَلَا عَادٍ

dan tidak melampaui batas;

Walaupun sudah dibolehkan makan, tetapi tidaklah boleh makan sampai kenyang. Setakat untuk hidup untuk hari itu sahaja. Ada ulama’ yang beri contoh, boleh makan setakat tiga kali suap sahaja dan kalau lebih dari itu (sebab orang kata daging babi ini sedap, orang kata…) itu sudah melampau tetapi boleh simpan sedikit sebagai bekal untuk esok kalau-kalau orang itu agak memang tidak akan ada makanan lain.

Di dalam membincangkan ayat ini, ulama’ juga berbincang tentang memakan daging manusia. Ulama’ sepakat haramnya membunuh manusia untuk memakan dagingnya. Namun bagaimana kalau manusia itu sudah mati dan menjadi mayat?  Para ulama sepakat bahawa haram hukumnya memakan daging manusia yang sudah mati walaupun dalam keadaan darurat tapi masih ada pilihan makanan lain yang sama-sama haram. Contohnya ada daging babi, makanlah daging babi itu. Akan tetapi, para ulama berselisih pendapat dalam hal “apakah boleh memakan daging sendiri atau manusia lain yang sudah mati dalam keadaan darurat dan tidak ada pilihan makanan lain yang sama-sama diharamkan”. Di sini ulama’ terbahagi menjadi dua pendapat:

    • Pendapat pertama: tidak boleh memakan daging manusia yang sudah mati dalam keadaan apapun, dan ini adalah pendapat jumhur ulama’.
    • Pendapat kedua: boleh memakan daging sendiri atau daging manusia yang sudah mati dalam keadaan darurat dengan syarat dia tidak menemukan apapun untuk dimakan kecuali daging manusia, dan ini adalah pendapat ulama mazhab Syafi’i.

Dalil pendapat pertama adalah ayat Isra’: 70 وَلَقَد كَرَّمنَا بَنِىٓ ءَادَمَ (Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam). Ayat ini mengatakan dengan jelas bahawa manusia adalah makhluk yang dimuliakan, sehingga dilarang untuk dibunuh apalagi dimakan dagingnya, kerana memakan dagingnya adalah bentuk kehinaan, padahal Allah telah jelas memuliakan manusia.

Dalil pendapat kedua adalah kaedah fiqh “situasi darurat dapat menghalalkan yang haram” (الضرورات تبيح المحظورات). Akan tetapi mengenangkan jijiknya manusia untuk dimakan, apatah lagi manusia bukanlah makanan (seperti daging babi, darah, dan bangkai binatang) maka pendapat jumhurlah yang lebih kuat di hati ini.

Bagaimana pula dengan hukum meminum arak dalam keadaan darurat? Seseorang yang terpaksa meminum arak dengan sebab paksaan, maka dia boleh minum tanpa sebarang khilaf. Tetapi jika disebabkan kelaparan dan kehausan, Imam Malik berpendapat tidak harus seseorang itu meminumnya kerana menurutnya arak itu hanya akan menambahkan kehausannya. Imam Malik juga menegaskan Allah mengharamkan arak secara mutlak, manakala bangkai diharamkan secara bersyarat iaitu jika tidak ada darurat.

Abu Bakar al-Abhari berpendapat sekiranya arak itu dapat menghilangkan haus dan dahaga, maka harus meminumnya kerana Allah berfirman bahawa khinzir itu adalah keji, kemudian Allah mengharuskannya dalam keadaan darurat. Allah juga berfirman bahawa arak itu adalah keji. Memandangkan khinzir dan arak adalah sesuatu yang keji, maka keharusan meminum arak dalam keadaan darurat adalah sama dengan keharusan memakan khinzir ketika darurat.

Walau bagaimanapun, pendapat yang menyatakan bahawa pengharaman itu tidak boleh menjadi halal kerana arak bukannya melegakan kehausan malahan menambahkan lagi kedahagaan dan kehausan. Sekiranya dakwaan ini benar, maka minum arak adalah tetap haram walaupun dalam keadaan darurat, namun sebaliknya harus meminum arak ketika darurat untuk menghilangkan kehausan.

 

فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ

tidak ada dosa ke atasnya;

Sebagai contoh, seseorang terpaksa makan daging babi. Ataupun dia tidak tahu bahawa dia sebenarnya makan daging babi semasa dia makan itu, tidaklah ada dosa baginya. Ini adalah rukhsah daripada Allah ﷻ untuk keadaan yang terdesak. Ini kerana agama Islam ini adalah agama yang praktikal.

 

إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ

Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun

Allah ‎ﷻ akan beri pengampunan bagi orang yang terpaksa makan tanpa sengaja dan tidak makan berlebihan. Akan tetapi kenapa Allah kena ampunkan kerana telah disebut sebelum ini فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ jadi sebenarnya tidak ada dosa pun kalau makan kerana darurat dan terpaksa. Ulama’ mengatakan ini untuk memberi kelegaan kepada orang beriman yang takut kalau-kalau mereka buat keputusan yang salah kerana memakan makanan yang haram sebelum mereka berusaha untuk mencari makanan alternatif. Jadi Allah‎ ﷻ ringankan perasaan mereka dengan mentatakan Dia maha pengampun.

Perkataan غَفُورٌ itu dalam bentuk isim mubalaghah – ekstrim/bersangatan. Maknanya, Allah ‎ﷻ amat pengampun. Allah ﷻ boleh ampunkan dosa besar mana pun dan berapa banyak pun kalau Dia mahu.

Namun Allah ﷻ tidak sentiasa mengampun. Ada beza antara dua makna itu kerana kalau kita tahu Allah  ‎ﷻ sentiasa mengampuni, kita akan ambil peluang dan buat kesalahan yang banyak. Maknanya, ada masanya Allah ‎ﷻ mengampunkan dosa kita dan ada yang tidak Dia ampunkan. Semuanya terpulang kepada kehendak Allah ﷻ. Jangan kita ada fahaman orang Kristian. Kepada mereka, semua dosa mereka telah diampunkan selepas mereka mengaku yang Nabi Isa عليه السلام adalah tuhan. Dan kalau ada dosa, mereka pergi mengadu kepada paderi mereka sahaja dan selesai. Maka pada mereka dosa itu tidak ada masalah sangat. Maka apabila mereka rasa mereka sudah selamat daripada dosa, maka mereka telah mendapat tiket untuk melakukan apa sahaja dosa yang mereka mahu. Maka senanglah mereka hendak berbuat dosa.

 

رَحِيمٌ

dan Maha Pengasih.

Allah ﷻ sentiasa mengasihani hamba-Nya. Kerana itu Allah ﷻ sanggup untuk mengampunkan dosa hamba-hamba-Nya. Kalau kita sayang kepada seseorang, bukankah senang kita hendak memaafkan kesalahan dia?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 20 Disember 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 173 (Jangan haramkan yang halal)”

Leave a comment