Tafsir Surah Baqarah Ayat 165 – 166 (Menyesal ikut guru)

MENSYIRIKKAN MAKHLUK DENGAN ALLAH

Baqarah Ayat 165: Ayat zajrun, iaitu ayat ancaman Allah. Ini adalah kepada mereka yang tidak menggunakan akal dan hati mereka untuk berfikir. Ayat yang telah lalu menyatakan dasar untuk mengenal Tuhan Allah dan menanamkan Roh Tauhid di dalam hati sanubari dengan mengenal Allah dari bekas perbuatanNya. Apabila renungan terhadap alam telah mendalam tidaklah mungkin akan ada perasaan bahawa yang lain bersekutu dengan Allah. Maka sekarang datanglah lanjutan ayat menerangkan darihal manusia yang tidak mengerti Tauhid itu, lalu mempersekutukan yang lain dengan Allah.

وَمِنَ النّاسِ مَن يَتَّخِذُ مِن دونِ اللَّهِ أَندادًا يُحِبّونَهُم كَحُبِّ اللَّهِ ۖ وَالَّذينَ ءآمَنوا أَشَدُّ حُبًّا لِّلَّهِ ۗ وَلَو يَرَى الَّذينَ ظَلَموا إِذ يَرَونَ العَذابَ أَنَّ القُوَّةَ لِلَّهِ جَميعًا وَأَنَّ اللَّهَ شَديدُ العَذابِ

Sahih International

And [yet], among the people are those who take other than Allah as equals [to Him]. They love them as they [should] love Allah . But those who believe are stronger in love for Allah. And if only they who have wronged would consider [that] when they see the punishment, [they will be certain] that all power belongs to Allah and that Allah is severe in punishment.

Malay

(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. Dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya milik bagi Allah, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu).

 

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَتَّخِذُ مِنْ دُونِ اللَّهِ أَنْدَادًا

Ada di antara manusia yang mengambil tandingan-tandingan lain selain dari Allah

Dalam ayat sebelum ini telah disebutkan jasa-jasa Allah ‎ﷻ. Maka, kalau Allah ‎ﷻ sahaja yang berjasa, maka puja Allah ‎ﷻlah sahaja sepatutnya. Namun ada yang puja juga selain Allah ‎ﷻ. Apabila disebut ‘selain Allah’, ada empat perkara yang manusia jahil puja selain Allah ‎ﷻ iaitu: Roh Nabi, Wali, Jin, Malaikat.

Perkataan أَنْدَادًا bermaksud benda yang mereka puja ‘disamakan’ seperti Allah ‎ﷻ. Kalimah أَنْدَادًا adalah jamak kepada نِدٌّ. Kalimah ini maksudnya luas dan asalnya ia bermaksud ‘tandingan’. Kalau bertanding, tentulah yang bertanding itu lebih kurang sahaja kedudukannya, bukan? Maknanya sembahan-sembahan itu menjadi tandingan kepada Allah ‎ﷻ pula seolah-olah sama kedudukan dengan Allah dan layak bertanding dengan Allah pula. Sedangkan Allah ‎ﷻ tidak ada tandingan. Mereka percaya ada sedikit sebanyak kuasa Allah ‎ﷻ yang ada pada pujaan mereka itu. Mereka ganti Allah ‎ﷻ dengan أَنْدَادًا dalam sesetengah perkara. Contohnya mereka menyeru selain Allah dalam berdoa iaitu seperti yang dilakukan oleh ramai manusia yang menyeru Nabi, wali dan malaikat di dalam doa mereka. Ini adalah perbuatan syirik seperti disebut oleh Rasulullah,

عَنْ شَقِيقٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَلِمَةً وَقُلْتُ أُخْرَى قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ مَاتَ وَهْوَ يَدْعُو مِنْ دُونِ اللَّهِ نِدًّا دَخَلَ النَّارَ وَقُلْتُ أَنَا مَنْ مَاتَ وَهْوَ لَا يَدْعُو لِلَّهِ نِدًّا دَخَلَ الْجَنَّةَ
Dari Syaqiq dari Abdullah, Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda beberapa kalimat yang aku tambahkan. Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barang siapa yang mati, sedangkan dia menyeru selain Allah sebagai tandingannya maka dia masuk neraka.” Sedangkan aku berkata; ‘Barang siapa yang mati dan dia tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu maka dia masuk syurga.’
Sahih Bukhari (4137)

 

يُحِبُّونَهُمْ كَحُبِّ اللَّهِ

Mereka cinta kepada pujaan-pujaan mereka itu seperti mereka sayang kepada Allah;

Mereka bukan puja sahaja tetapi mereka kasih kepada pujaan mereka itu. Mula-mula tidak begitu, namun lama kelamaan jadi begitu. Begitulah yang terjadi kepada Musyrikin Mekah dahulu yang jatuh sayang kepada berhala pujaan mereka itu. Malangnya ini juga berlaku di kalangan umat Islam. Sebagai contoh, ibadah iktikaf. Iktikaf di masjid dilakukan adalah ibadah untuk Allah ‎ﷻ di masjid tetapi ada yang bertapa di kubur tok wali, yang tawaf kubur wali pun ada kerana mereka sayang sangat kepada tok wali itu. Itu pun jenis iktikaf juga. Tapi cara iktikaf yang salah.

Maksud كَحُبِّ اللَّهِ boleh jadi dua makna:

1. Mereka cinta kepada sembahan ma’bud bathil mereka itu sama seperti mereka cinta kepada Allah.
2. Mereka tidak cinta kepada Allah tapi cinta mereka kepada sembahan bathil mereka seperti yang mereka sepatutnya cinta kepada Allah.

Antara pujaan yang dimaksudkan adalah tok guru mereka, guru-guru mereka dan ustaz-ustaz mereka. Apabila ayat Al-Qur’an dibawakan kepada mereka, mereka tolak hujah ayat-ayat Al-Qur’an itu dan mereka bawa hujah tok guru mereka. Mereka kata ‘guru kami kata begini dan begitu’.

Ini dipanggil ‘syirik tok guru’. Sebagai contoh, apabila kita beritahu bahawa tauhid itu kena berdoa kepada Allah ‎ﷻ sahaja, mereka akan jawab: “takkanlah tok guru-tok guru itu salah, mereka pun pandai juga”. Mereka kata lagi: “takkan guru itu nak masuk neraka” dan berbagai-bagai lagi alasan yang mereka berikan. Mereka kata ada tok guru yang kata boleh pakai perantaraan (tawassul). Dan apa-apa sahaja yang tok guru cakap, mereka terus terima tanpa melihat kepada dalil-dalil lagi.

Inilah yang terjadi di dalam agama-agama sebelum Islam dan menjadi sebab keruntuhan mereka menjadi kufur. Dalam Islam sekarang pun boleh juga datang keruntuhan agama seperti yang menimpa umat-umat yang dahulu. Kerosakan agama umat yang dahulu ialah kerana aturan agama sudah sangat dicampuri oleh kepala-kepala agama, oleh pendeta, uskup, rabbi dan sebagainya. Pemuka-pemuka agama itu yang menentukan halal-haram, menambah-nambah agama, sehingga hilang yang asli dan dibungkus dengan tambahan. Sehingga berkuasalah pemuka agama mencampakkan orang dari dalam agama, yang dalam agama Kristian Katolik misalnya, disebut pengucilan (excommunicate), ertinya suatu pendapat fikiran yang berbeza dari yang diputuskan oleh gereja, dapatlah hukuman dikeluarkan dari agama. Maka keputusan itu tetaplah berlaku, tidak dapat dibantah. Terkenallah suatu masa ada orang yang dibakar, disula, digunting lidah, dimasukkan ke dalam tong yang dipaku, lalu dbuling-gulingkan sampai mati. Dan semua hukum itu katanya, adalah atas kehendak Tuhan!

Ini juga dinamakan shirk fi hubb (syirik dalam kecintaan). Mereka lebih cintakan benda lain dan makhluk lain lagi daripada Allah ‎ﷻ. Apabila هُمْ dimasukkan dalam perkataan يُحِبُّونَهُمْ itu, ia bermaksud yang dicintai itu adalah benda-benda yang tidak bernyawa dan bernyawa sekali. Kalau hanya merujuk kepada benda-benda yang tidak bernyawa, perkataan yang digunakan adalah يحبونها.

Kita sepatutnya sayang Allah ‎ﷻ dalam hati kita. Asas kepada ibadah antaranya adalah cinta. Dalam kita melakukan ibadah kepada Allah, kena ada rasa cinta, suka untuk melakukan ibadah itu. Allah tidak terima ibadah tanpa rasa cinta. Bayangkan kalau isteri kita memasak tapi memasak dalam marah, berdegang-degang bunyi periuk belanga kerana dia marah, bukan memasak dengan kasih sayang waktu itu. Adakah makanan itu jadi sedap? Kita suami hendak makan pun rasa tak semangat.

Jadi cinta kena ada. Namun masalahnya, banyak antara kita yang membezakan antara intelek dan sayang. Kadangkala kita mungkin sudah tahu sesuatu itu benar, tetapi tidak masuk ke dalam hati kita kalau tidak ada cinta. Sebab itu orientalis yang belajar tentang Allah ‎ﷻ dan agama Islam, tidak masuk Islam. Ini kerana mereka cuma belajar sahaja tentang Islam, tetapi mereka tidak sayang kepada Islam kerana cinta tidak masuk ke dalam hati mereka. Kerana itulah dalam bab ibadah, ia adalah perbuatan yang dilakukan kepada sesuatu yang kita cintai. Maka kita sembah Allah ‎ﷻ dengan perasaan cinta kepada-Nya.

 

وَالَّذينَ ءآمَنوا أَشَدُّ حُبًّا لِّلَّهِ

Sedangkan orang-orang yang beriman lebih sayang kepada Allah;

Bagaimana pula sifat orang mukmin? Tidak ada yang lain yang mereka lebih sayang lebih daripada Allah ‎ﷻ. Apabila dibacakan ayat-ayat Al-Qur’an kepada mereka dan diterangkan apakah maksudnya, mereka senang untuk terima. Jadi cinta orang Mukmin lebih kuat kerana ia berdasarkan bukti dan dalil yang jelas, bukannya agak-agak sahaja. Sebagai contoh, yang sembah berhala itu adakah mereka yakin yang berhala mereka dapat membantu mereka? Tentu tidak. Mereka reka sahaja dan nama ma’bud bathil mereka itu dan letak sifat-sifat ma’bud bathil itu seperti disebut di dalam Najm:23

إِن هِيَ إِلّا أَسماءٌ سَمَّيتُموها أَنتُم وَءآباؤُكُم مّا أَنزَلَ اللهُ بِها مِن سُلطٰنٍ ۚ إِن يَتَّبِعونَ إِلَّا الظَّنَّ وَما تَهوَى الأَنفُسُ ۖ وَلَقَد جاءَهُم مِّن رَّبِّهِمُ الهُدىٰ
Benda-benda yang kamu sembah itu tidak lain hanyalah nama-nama yang kamu dan datuk nenek kamu menamakannya. Allah sekali-kali tidak menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya. Mereka yang berbuat demikian, tidak menurut melainkan sangkaan-sangkaan dan apa yang diingini oleh hawa nafsu mereka. Padahal demi sesungguhnya telah datang kepada mereka petunjuk dari Tuhan mereka.

Apakah tanda cinta? Sesiapa yang mencintai sesuatu/seseorang, mereka akan sentiasa menyebut-nyebutnya. Apakah yang kita selalu sebutkan dalam hidup kita? Adakah sukan, fesyen, filem, politik, teknologi? Apa yang kita selalu sebutkan itulah yang kita sayangkan sangat. Kalau kita sentiasa menyebut-nyebut perkara itu selain dari Allah ‎ﷻ, maka kita sayangkan perkara itu lebih daripada Allah ‎ﷻ.

Dan siapa yang kita sayang, kita akan ikut arahannya atau permintaannya, bukan? Jadi kita mungkin mengaku kita cinta kepada Allah, tapi kalau bertembung dua cinta, bagaimana? Katakanlah isteri (yang kita juga sayang) ajak kita ke Pasar Malam sedangkan kita belum solat lagi, mana satu yang kita ikut? Yang kita ikut itulah yang kita lebih cinta. Bayangkan situasi ini pula: anda terjaga untuk buang air; adakah anda ambil peluang untuk Solat Tahajjud atau anda lebih sayang tidur anda? Di dalam Tawbah:24 Allah menyebut perkara-perkara yang kita cinta dalam dunia ini dan terdapat ancaman kalau kita lebih sayang kepadanya dari taat kepada Allah.

قُل إِن كانَ ءآباؤُكُم وَأَبناؤُكُم وَإِخوٰنُكُم وَأَزوٰجُكُم وَعَشيرَتُكُم وَأَموٰلٌ اقتَرَفتُموها وَتِجٰرَةٌ تَخشَونَ كَسادَها وَمَسٰكِنُ تَرضَونَها أَحَبَّ إِلَيكُم مِّنَ اللَّهِ وَرَسولِهِ وَجِهادٍ في سَبيلِهِ فَتَرَبَّصوا حَتّىٰ يَأتِيَ اللَّهُ بِأَمرِهِ ۗ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ
Katakanlah: “jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu dapati, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya”. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.

Kita lihat contoh Rasulullah yang meninggalkan Mekah yang baginda cintai kerana baginda lebih cinta kepada Allah; lihatlah kepada ahli-ahli sihir Firaun yang meninggalkan khidmat kepada Firaun yang boleh beri upah yang banyak kerana mereka lebih cinta kepada iman dan Allah. Inilah baru cinta sejati. Kita pun telah belajar sebelum ini tentang Nabi Ibrahim yang taat untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail. Padahal itu adalah anak pertamanya setelah sekian lama tidak ada anak; anak itu pula sudah besar dan sudah lama baginda tidak berjumpa. Alih-alih kena sembelih pula! Akan tetapi baginda tetap taat kerana cinta baginda kepada Allah melebihi cinta baginda kepada anak kesayangannya itu. Rasulullah telah mengajar kita tentang keutamaan cinta kita di dalam satu hadis,

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ
Daripada Anas bin Malik رضي الله عنه daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Tiga perkara yang apabila ada pada diri seseorang, dia akan mendapat manisnya iman: Dijadikannya Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya daripada selain keduanya. Jika dia mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah. Dan dia benci kembali kepada kekufuran seperti dia benci dilempar ke dalam neraka”

(Sahih Bukhari No. 15)

Jangan salah faham pula, bukannya tidak boleh cinta selain Allah. Kita adalah manusia yang ada emosi maka tentulah ada perasaan sayang dan cinta kepada isteri, anak, keluarga, tanahair, hartabenda dan sebagainya. Meskipun orang yang beriman itu mencintai yang lain juga, namun cintanya kepada yang lain itu, tidak lain hanyalah kerana didorong oleh cintanya kepada Allah. Misalnya mereka mencintai tanahair. Mereka mencintai tanahair sebab tanahairnya itu adalah pemberian Allah. Mereka mencintai anak isteri, harta benda dan lain-lain, kerana semuanya itu dipandang sebagai amanat Allah yang tidak boleh disia-siakan. Oleh sebab itu jika ditilik cinta mereka, nyatalah bahawa cinta itu hanya satu jua, tidak terbahagi.

 

وَلَوْ يَرَى الَّذِينَ ظَلَمُوا إِذْ يَرَوْنَ الْعَذَابَ

Dan jika orang-orang yang zalim (buat syirik) itu melihat api neraka

Inilah ayat zajrun (ancaman). Ini adalah ancaman kepada orang yang degil. Kalimat الَّذِينَ ظَلَمُوا bermaksud mereka yang melakukan syirik kerana sembah dan berdoa kepada selain Allah. Kalaulah orang yang membuat syirik itu boleh nampak apa yang mereka akan terima. Kalau mereka terus dengan perbuatan syirik mereka dan lebih cintakan selain Allah dari Allah sendiri, maka mereka akan melihat azab dari kesan perbuatan mereka itu.

 

أَنَّ الْقُوَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا

tahulah mereka bahawa kekuatan itu hanya milik Allah semua sekali.

Apabila nampak azab di hadapan mata, barulah nanti orang-orang yang berbuat syirik itu akan nampak kekuatan Allah ‎ﷻ kerana waktu itu tidak ada pelindung lagi selain daripada Allah ‎ﷻ. Pujaan mereka semasa mereka hidup di dunia dahulu, seperti Roh Nabi, wali, jin dan malaikat tidak dapat menolong mereka langsung.

Semasa mereka di dunia, mereka tidak menggunakan akal mereka yang sihat untuk melihat kekuatan Allah ‎ﷻ. Macam seorang budak yang tidak takut kepada polis sebab tidak nampak polis tetapi apabila mereka ditangkap dan dimasukkan ke dalam lokap, barulah mereka nampak takut dan rasa hendak terkincit. Begitulah juga manusia yang melakukan syirik di akhirat kelak. Mereka akan nampak kekuatan Allah ‎ﷻ pada waktu itu. Semua sudah jelas di depan mata.

 

وَأَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعَذَابِ

dan bahawa Allah itu sangat keras azabNya.

Barulah mereka sedar. Mereka akan dikenakan dengan azab yang amat keras. Namun pada waktu itu sudah terlambat kerana mereka hanya nampak azab itu apabila di akhirat kelak. Waktu itu sudah terlambat untuk melakukan apa-apa. Maka di dunia inilah kita hendak bersedia dan melakukan amal yang benar. Hendaklah belajar supaya kita dapat kefahaman yang tepat seperti kehendak Allah ‎ﷻ.


 

GOLONGAN YANG RUGI BERPUTUS HUBUNGAN SESAMA SENDIRI

Baqarah Ayat 166: Ini pula adalah berkenaan tok guru yang mengajar ilmu salah. Segala perbuatan salah dalam agama dan amalan selalunya bukanlah anak murid buat sendiri, tetapi diajar oleh guru-guru dan pemimpin yang sesat. Jadi mesti akan ada yang mengajar dan pelajar; yang mengikut dan yang diikut. Kebanyakan manusia hanya mengikut sahaja apa yang diajar kepada mereka tanpa usul periksa. Sekarang Allah ‎ﷻ hendak menceritakan apakah yang pemimpin-pemimpin itu akan kata di akhirat kelak.

إِذ تَبَرَّأَ الَّذينَ اتُّبِعوا مِنَ الَّذينَ اتَّبَعوا وَرَأَوُا العَذابَ وَتَقَطَّعَت بِهِمُ الأَسبابُ

Sahih International

[And they should consider that] when those who have been followed disassociate themselves from those who followed [them], and they [all] see the punishment, and cut off from them all the ties [of relationship],

Malay

(Iaitu) ketika ketua-ketua yang menjadi ikutan itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutnya, sedang kedua-dua pihak melihat betapa ngerinya azab seksa itu, dan (ketika) terputusnya segala hubungan di antara mereka.

 

إِذ تَبَرَّأَ الَّذينَ اتُّبِعوا مِنَ الَّذينَ اتَّبَعوا

Ketika mereka (pemimpin-pemimpin ajaran sesat) itu melepaskan diri daripada orang-orang yang mengikuti mereka

Yang dimaksudkan dengan pemimpin-pemimpin itu adalah guru-guru yang mengajar ajaran yang salah kepada anak-anak murid mereka. Apabila di akhirat kelak, mereka akan berlepas diri dari pengikut mereka dan pelajar mereka kerana mereka tidak mahu bertanggungjawab atas ajaran salah yang mereka telah berikan. Mereka mengajar bukan ilmu dari Al-Qur’an dan Sunnah. Banyak yang menggunakan kitab karangan manusia sahaja. Belum tentu betul lagi kitab-kitab itu. Tulisan manusia tentang agama hendaklah disandarkan kepada nas dari Al-Qur’an dan Sunnah. Umat sepatutnya belajar tafsir Al-Qur’an dan Hadith terlebih dahulu baru boleh belajar kitab-kitab yang lain. Ini kerana apabila mereka sudah mahir dengan Al-Qur’an dan Hadith, mereka akan dapat menilai sama ada kata-kata manusia itu betul atau tidak.

Malangnya kita sekarang dalam zaman yang hanya ikut mengikut tanpa usul periksa. Banyak yang pakai terima sahaja apa yang ada disebut dalam kitab (fahaman AADK – Asal Ada Dalam Kitab). Mereka juga melihat kepada penampilan ahli agama itu. Sebagai contoh, hanya apabila seseorang ustaz itu terkenal, ramai pengikut, sudah masuk TV, masyarakat kita akan pandang mereka sebagai hujjah utama mereka. Bukan Al-Qur’an dan Sunnah lagi yang mereka ikut, tetapi manusia. Begitulah golongan sesat yang lebih ikut ajaran dari guru mereka lebih lagi Sunnah Nabi. Sampaikan ada yang mengajar kalau Nabi ikut kanan dan tok guru ikut kiri, mereka akan ikut kiri! Masalahnya orang macam ini ramai pula pengikutnya di negara kita ini, alangkah malangnya.

Masalahnya, mengikut orang ini pun satu masalah yang besar dalam masyarakat kita. Bukan dalam hal agama sahaja. Dalam hal kehidupan pun begitu juga kerana ada yang tidak kisah pun hal agama dan pemimpin mereka bukanlah ikutan-ikutan mereka dalam agama. Sebagai contoh, yang muda hanya menjadikan artis-artis sebagai model kehidupan mereka. Padahal artis-artis itu kebanyakannya tidaklah mempunyai akhlak yang baik untuk diikuti. Namun itulah yang terjadi sekarang. Amat menakutkan apakah yang akan terjadi kepada mereka.

Kadang-kadang yang mengikut orang lain adalah hanya kerana mereka takut mereka dilihat ganjil dalam masyarakat. Sebagai contoh, mereka takut kalau mereka berpakaian lain daripada orang lain. Mereka takut kalau mereka bertudung dan menutup aurat, orang akan melihat mereka pelik. Begitulah juga dalam hal agama. Ramai yang takut kalau mereka tidak pergi kenduri yang ada majlis bersanding, orang akan kutuk mereka. Mereka takut kalau mereka tidak pergi ke Majlis Tahlil, nanti apa orang akan kata. Mereka takut mereka dikatakan tidak bergaul dengan masyarakat. Mereka sampai sanggup melakukan perkara syirik, hanya supaya mereka dianggap sebahagian daripada masyarakat. Itulah sebabnya mereka mengikut ustaz itu, ustaz ini, imam itu dan imam ini. Macam sekarang, yang popular adalah golongan Habib yang entah datang dari mana, sebab dahulu tidak ada. Maka golongan inilah yang mereka ikuti dan sanjungi.

Maka ramai yang mengajar ajaran salah dan nanti mereka tidak mahu bertanggungjawab di akhirat kelak. Nanti orang-orang yang diikuti itu akan berlepas diri dari orang yang ikut mereka. Tok-tok guru yang mereka sanjung semasa di dunia dulu tidak mengaku pun yang mereka pernah mengajar itu dan ini kepada mereka. Iaitu anak-anak murid mereka yang mereka ajar dahulu semasa di dunia. Anak-anak murid itu hanya ikut sahaja membuta-tuli. Guru-guru sesat dan pemimpin itu berlepas diri dari bertanggungjawab. Mereka akan kata yang bukan mereka yang paksa anak-anak murid mereka ikut sesat macam mereka. Mereka akan kata anak-anak murid itu sahaja yang sesat sendiri kerana ada mereka ajak juga orang lain, tetapi orang lain ada yang tidak ikut pun.

 

وَرَأَوُا الْعَذَابَ

dan mereka melihat api neraka;

Kedua-dua pihak akan melihat api neraka itu – yang mengikut dan juga yang kena ikut. Apabila tengok sahaja api neraka, tok guru itu melepaskan diri daripada anak-anak murid mereka. Masing-masing sudah ketar lutut.

 

وَتَقَطَّعَتْ بِهِمُ الْأَسْبَابُ

dan putuslah pertalian antara mereka;

Waktu itu, terputus segala hubungan antara mereka. Tidak ada lagi hubungan mesra dan hormat antara guru dan murid. Putus sudah hubungan kasih sayang antara mereka. Dahulu semasa di dunia, anak murid itu puja dan sanjung guru dia sampai sujud pun ada. Dia puji dan angkat melambung – guru itu cahayalah, boleh buat itu dan inilah, guru dia hafal itu dan ini dan macam-macam lagi yang mereka puji. Namun, sudah tidak berlaku di akhirat nanti. Pada hari itu, bukan sahaja perpisahan antara guru dan murid, tetapi juga antara suami dan isteri. Antara ibu dan anak.

Di dalam ayat ini digunakan kalimah الْأَسْبَابُ iaitu jamak bagi السَّبَبُ. Asalnya ia bermaksud tali, seperti tali yang digantung di pokok. Tali itu berfungsi untuk membantu kita memanjat pokok itu. Oleh itu, mana-mana perkara yang membolehkan kita mencapai sesuatu tujuan kita dipanggil ‘sebab’. Waktu itu sebab-sebab yang menyebabkan manusia rapat, sayang dan sanjung menyanjung akan putus dan hilang.

Kemudian kita hendak bincangkan peranan huruf ب pada kalimah بِهِمُ. Secara asasnya, huruf ب dalam bahasa Arab boleh membawa 14 hingga 18 makna yang berbeza bergantung pada konteksnya. Di sini peranan yang dimainkan oleh huruf ب adalah sebagai Ba’ Mulabasah. Ba’ Mulabasah (ياء المُلابَسَةِ) adalah satu istilah dalam ilmu tatabahasa Arab (Nahwu) yang merujuk kepada salah satu jenis fungsi yang boleh dimainkan oleh huruf Ba’ (ب). Perkataan “Mulabasah” (مُلابَسَة) berasal dari kata akar labisa (لَبِسَ) yang bermaksud memakai, meliputi, atau bercampur/berhubungan. Oleh itu, Ba’ Mulabasah membawa maksud “Ba’ yang menunjukkan hubungan, penggabungan, atau kaitan yang tidak terpisahkan” antara sesuatu. Ia sering diterjemahkan sebagai “yang disertai dengan…” atau “berada dalam keadaan…” Ba’ Mulabasah paling kerap dilihat dalam bentuk Hal (حال) atau sifat (adjective) sesuatu objek atau subjek. Contoh Kalimat:

Terjemahan Harfiah: “Zaid telah datang ‘dengan’ pakaiannya.”

Analisis Ba’ Mulabasah: Dalam contoh ini, Ba’ (بِ) menunjukkan hubungan (mulabasah) yang tidak terpisah antara Zaid dan pakaiannya. Maksud sebenar ayat ini ialah: “Zaid telah datang [dalam keadaan] memakai pakaiannya.” Iaitu keadaan Zaid ketika datang disertai atau terikat dengan pakaiannya. Dan pakaian itu tidak terpisah dengannya.

Di dalam ayat yang kita bincangkan ini, apabila kalimah بِهِمُ mengandungi Ba’ Mulabasah. Mengikut pandangan yang mengaitkan Ba’ di sini sebagai Ba’ Mulabasah, maknanya menjadi: Keadaan di mana semua hubungan dan alat yang mereka gunakan di dunia untuk berhubung atau mencapai tujuan mereka terputus secara total di akhirat. Ketua-ketua dan tok guru mereka tidak akan dapat menolong, malah tok-tok guru itu pun tidak selamat sebenarnya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 8 Disember 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment