Baqarah Ayat 164: Dalam ayat sebelum ini, Allah ﷻ telah memberitahu kepada kita bahawa Dialah sahaja Tuhan tempat kita melakukan ibadat dan tempat kita memohon doa. Itu adalah pengulangan semula Dakwa Surah Baqarah ini. Sekarang diberikan dalil kenapa kita kena sembah Allah sahaja dan kena ikut apa yang Allah ﷻ perintah kita. Kali ini Allah ﷻ menyebut tentang tanda-tanda yang Allah ﷻ telah berikan dalam alam ini kepada kita. Dalil jenis ini dinamakan Dalil Aqli Afaqi (dalil dari sesuatu yang kita boleh lihat di dalam alam).
Sebelum ini disebut tentang ayat-ayat Allah ﷻ dalam Al-Qur’an yang memberi hidayah kepada manusia. Kemudian ayat-ayat itu telah disembunyikan oleh mereka yang telah memahaminya. Namun bukan itu sahaja ‘ayat-ayat’ Allah ﷻ. Ada lagi ‘ayat-ayat’ Allah ﷻ dalam alam ini yang selain daripada ayat-ayat Al-Qur’an. Kita kena faham yang maksud asal perkataan ‘ayat’ adalah ‘tanda’. Allah ﷻ telah beri banyak tanda kepada manusia dalam alam tentang kewujudan-Nya. Jadi, kalau ada manusia yang tidak sampai kepada mereka ayat-ayat dalam bentuk Kitab, sepatutnya mereka telah dapat melihat tanda-tanda Allah ﷻ telah ada dalam alam ini.
إِنَّ في خَلقِ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَاختِلٰفِ اللَّيلِ وَالنَّهارِ وَالفُلكِ الَّتي تَجري فِي البَحرِ بِما يَنفَعُ النّاسَ وَما أَنزَلَ اللَّهُ مِنَ السَّماءِ مِن مّاءٍ فَأَحيا بِهِ الأَرضَ بَعدَ مَوتِها وَبَثَّ فيها مِن كُلِّ دابَّةٍ وَتَصريفِ الرِّيٰحِ وَالسَّحابِ المُسَخَّرِ بَينَ السَّماءِ وَالأَرضِ لَآيٰتٍ لِّقَومٍ يَعقِلونَ
Indeed, in the creation of the heavens and earth, and the alternation of the night and the day, and the [great] ships which sail through the sea with that which benefits people, and what Allah has sent down from the heavens of rain, giving life thereby to the earth after its lifelessness and dispersing therein every [kind of] moving creature, and [His] directing of the winds and the clouds controlled between the heaven and the earth are signs for a people who use reason.
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.
إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ
Sesungguhnya pada penciptaan tujuh langit-langit dan bumi itu
Dalil aqli pertama kenapa kita kena ibadat dan doa hanya kepada Allah ﷻ adalah Allah ﷻlah yang menjadikan langit dan bumi. Kalimah خَلْقِ yang diterjemahkan di atas dengan penciptaan dapat juga bererti pengukuran yang teliti atau pengaturan. Kerana itu, di samping makna di atas, ia juga dapat bererti pengaturan sistem kerjanya yang sangat teliti. Alam yang begini hebat, tidak mungkin ia terjadi sendiri seperti yang didakwa oleh golongan yang tidak percaya Tuhan. Lihatlah langit itu dengan segala kehebatannya. Teramat luasnya langit itu kita sampai sekarang tidak tahu besarnya. Semakin maju teknologi dan kajian astronomi, semakin luas alam ini dengan entah berapa bilion bintang. Tingginya dan besarnya langit itu akan tetapi Allah jadikan tanpa tiang seperti Allah telah berfirman di dalam Ra’d:2
اللهُ الَّذي رَفَعَ السَّمٰوٰتِ بِغَيرِ عَمَدٍ تَرَونَها
Allah-lah Yang meninggikan langit tanpa tiang (sebagaimana) yang kamu lihat
Begitulah Allah banyak mengajar kita untuk melihat alam ini untuk menyedari kehebatan Allah. Di dalam masa yang sama, sedarlah kita betapa kerdilnya kita ini. Maka kenapa masih lagi degil untuk taat kepada Allah? Kenapa masih sombong untuk hanya sembah dan berdoa kepadaNya sahaja. Maka Allah suruh kita selalu lihat pada alam semesta ini. Sebagai contoh di dalam Yusuf: 105 Allah ﷻ menyebut tentang banyaknya tanda-tanda di dalam alam ini.
وَكَأَيِّن مِن آيَةٍ فِي السَّماواتِ وَالأَرضِ يَمُرّونَ عَلَيها وَهُم عَنها مُعرِضونَ
Dan berapa banyak sekali tanda-tanda (kekuasaan Allah) di langit dan di bumi yang mereka melaluinya, sedang mereka berpaling daripadanya.
Tinggilah sangat langit itu dan banyaklah lapis-lapisnya, sehingga gagallah penglihatan kita untuk melihatnya, oleh kerana sangat jauhnya, yang dapat kita lihat hanyalah warna biru belaka. Langit itu banyak lapis dan kerana itulah kalimah yang digunakan adalah السَّمٰوٰتِ (langit-langit).
Ternyata hebat sangatlah Allah ﷻ ini, maka pengajarannya kita hendaklah taat kepada Allah ﷻ dan ikut arahan-Nya. Kita kenalah takjub kepada Allah ﷻ. Sekiranya seorang guru sesat boleh buat perkara pelik sedikit pun sudah ramai yang mengikut membabi buta, sepatutnya dengan Allah ﷻ lagilah kita kena takjub, bukan? Tujuan kita belajar tentang kehebatan alam ini supaya memberi kesan taat kepada Allah, bukannya Allah hendak beritahu sahaja. Sebagai contoh kalau kita kata di hadapan itu ada polis, bukannya kita hendak beritahu sahaja, tapi sebenarnya kita hendak suruh orang yang kita beritahu itu supaya berhati-hati dan beringat.
Bagaimana pula dengan bumi yang kita diami sekarang? Allah berfirman di dalam Mursalat:25-26
أَلَم نَجعَلِ الأَرضَ كِفاتًا
Bukankah Kami menjadikan bumi (tempat) berkumpul,
أَحياءً وَأَموٰتًا
orang-orang hidup dan orang-orang mati?
Ia merujuk kepada sifat bumi yang memegang dan menyimpan apa sahaja yang Allah letakkan di atas dan di dalamnya. Dalam perut bumi dan di atas bumi itu ia memegang sama ada yang hidup atau yang mati. Asal kita lahir ke dunia ini dalam keadaan hidup tapi akhirnya akan mati. Masa hidup duduk atas bumi dan nanti bila sudah mati akan masuk duduk dalam bumi pula. Sehinggalah sampai satu waktu kita akan dikeluarkan dari bumi. Dan di dalam bumi ini pun kita tidak habis kaji lagi sedangkan kita hidup di atasnya. Berapa banyak spesis baru pun kita tidak tahu kerana asyik ada sahaja spesis binatang yang baru. Dari masa ke semasa akan timbul kajian-kajian dan penemuan baru tentang alam ini. Itu baru bahagian tanah yang hanya 1/5 sahaja dari permukaan bumi. Dengan lautan belum lagi kita kaji betul-betul kerana ia terlalu luas dan kita pun susah untuk tinggal lama di lautan.
Jadi kalau kita baca ayat-ayat ini dan tidak memberi kesan apa-apa, maka kita tidak menghayati ayat-ayat ini dengan sebenarnya. Kalau kita tidak memikirkan dengan menggunakan akal, tentu ia hanya menjadi ayat-ayat biasa sahaja kerana kita lahir-lahir sudah lihat langit dan bumi, bukan? Jadi sudah terbiasa dengan alam ini walaupun sehebat mana pun ia. Jadi apabila kita sedar kebesaran Allah, maka apa-apa sahaja yang Dia sampaikan di dalam Al-Qur’an tidak memberi kesan kerana kita tidak memikirkan siapa penghantarnya. Bayangkan kalau kita dapat surat khas dari Agong, tentu kita akan baca terus, bukan? Kerana kita sedar dia orang besar. Tapi ramai orang tidak hairan dengan kebesaran Allah dan kerana itu Al-Qur’an ini ramai orang buat tidak tahu sahaja.
وَاخْتِلٰفِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ
dan pertukaran siang dan malam itu,
Kedua: berselisihnya siang dan malam bersama dengan pergerakan bumi dan bulan. Selepas malam datanglah siang; selepas siang, datanglah malam, tidak pernah berhenti lagi kitaran ini. Ia tetap terjadi tanpa henti dan sempurna entah berapa juta tahun selama bumi dan matahari dijadikan. Ini kerana Allah yang tetapkan jadualnya. Dan hebatnya rahmat Allah kepada kita, pertukaran siang dan malam ini terjadi dengan lembut. Tidaklah tengah siang tiba-tiba gelap jadi malam; tengah sedap tidur tiba-tiba cerah sebab siang. Melainkan Allah buat pertukaran itu bertukar sedikit demi sedikit supaya mata kita boleh menyesuaikan diri dengan pertukaran cahaya itu. Ini seperti disebut dalam Yaasin: 37 di mana Allah kata Dia ‘tanggalkan’.
وَآيَةٌ لَّهُمُ اللَّيلُ نَسلَخُ مِنهُ النَّهارَ فَإِذا هُم مُّظلِمونَ
Dan suatu tanda (kekuasaan Allah yang besar) bagi mereka adalah malam; Kami tanggalkan siang dari malam itu, maka dengan serta merta mereka berada dalam kegelapan.
Allah jadikan pertukaran siang dan malam ini supaya senang hidup kita. Kita memerlukan siang untuk senang bekerja dan gelap untuk memudahkan kita tidur. Allah jadikan keduanya untuk kita seperti disebut dalam Nahl:12
وَسَخَّرَ لَكُمُ اللَّيلَ وَالنَّهارَ وَالشَّمسَ وَالقَمَرَ ۖ وَالنُّجومُ مُسَخَّرٰتٌ بِأَمرِهِ ۗ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّقَومٍ يَعقِلونَ
Dan Dia menundukkan malam dan siang, matahari dan bulan untukmu. Dan bintang-bintang itu ditundukkan (untukmu) dengan perintah-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang memahami(nya),
Juga disebut dalam Yunus:67
هُوَ الَّذي جَعَلَ لَكُمُ اللَّيلَ لِتَسكُنوا فيهِ وَالنَّهارَ مُبصِرًا ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّقَومٍ يَسمَعونَ
Dia lah yang menjadikan malam bagi kamu supaya kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya perubahan malam dan siang itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu mendengar (keterangan-keterangan yang tersebut dan mengambil pelajaran daripadanya).
Apabila kita melihat alam langit dan bumi dan pertukaran siang dan malam itu menjadikan kita takjub kepada Allah dan kita sedangkan segala penciptaanNya ini tidak sia-sia seperti firmanNya di dalam Ali Imran:190-191
إِنَّ فِي خَلۡقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفِ ٱلَّيۡلِ وَٱلنَّهَارِ لَأٓيَٰتٖ لِّأُوْلِي ٱلۡأَلۡبَٰبِ ١٩٠ ٱلَّذِينَ يَذۡكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَٰمٗا وَقُعُودٗا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمۡ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلۡقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ رَبَّنَا مَا خَلَقۡتَ هَٰذَا بَٰطِلٗا سُبۡحَٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ
Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. (iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka.
Maka disunatkan kita untuk mengucapkan kalimat رَبَّنَا مَا خَلَقۡتَ هَٰذَا بَٰطِلٗا سُبۡحَٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ apabila kita melihat kehebatan penciptaan Allah ini.
Dan dengan adanya matahari dan bulan, siang dan malam, maka dapatlah manusia mengira perjalanan masa dari dahulu lagi. Kita sekarang pakai kalender tapi Allah telah letak kalenderNya di langit dari dahulu lagi. Ini Allah telah sebut di dalam Isra’:12
وَجَعَلنَا اللَّيلَ وَالنَّهارَ ءآيَتَينِ ۖ فَمَحَونا ءآيَةَ اللَّيلِ وَجَعَلنا ءآيَةَ النَّهارِ مُبصِرَةً لِّتَبتَغوا فَضلًا مِّن رَّبِّكُم وَلِتَعلَموا عَدَدَ السِّنينَ وَالحِسابَ ۚ وَكُلَّ شَيءٍ فَصَّلنٰهُ تَفصيلًا
Dan Kami jadikan malam dan siang sebagai dua tanda, lalu Kami hapuskan tanda malam dan Kami jadikan tanda siang itu terang, agar kamu mencari kurnia dari Tuhanmu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun-tahun dan perhitungan. Dan segala sesuatu telah Kami terangkan dengan jelas.
Ingatlah yang malam dan siang tidak terjadi sendiri melainkan dengan Qudrat Allah ﷻ. Memang siang terjadi kerana adanya cahaya matahari, tetapi siapa yang menjadikan matahari dan siapa yang mengatur perjalanan bumi ini?
وَالْفُلْكِ الَّتِي تَجْرِي فِي الْبَحْرِ
dan kapal yang belayar di lautan
Ketiga: lihatlah betapa hebatnya kapal yang berlayar di lautan. Allah ﷻlah yang melayarkan kapal-kapal itu. Allah ﷻ yang ajar bagaimana buat kapal; Allah ﷻ yang menjadikan laut; Allah ﷻ yang bagi kapal itu boleh timbul di atas laut walaupun ia berat. Kalau kita meletakkan besi ke dalam air, tentu ia tenggelam bukan? Namun kenapakah apabila kapal besi yang amat besar, menanggung pula muatan bertan-tan itu tetapi boleh pula timbul? Allah berfirman di dalam Shura:32
وَمِن ءآيٰتِهِ الجَوارِ فِي البَحرِ كَالأَعلٰمِ
Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah kapal-kapal (yang besar tinggi) seperti gunung, belayar laju merempuh lautan
Kapal-kapal yang terapung menggunakan konsep daya keapungan (buoyancy force). Daya ini akan menolak kapal itu untuk kekal terapung di atas air. Konsep ini menggunakan prinsip fizik iaitu prinsip Archimedes yang ditemukan oleh Archimedes sendiri yang merupakan seorang ahli fizik yang terkenal. Apakah itu prinsip Archimedes? Prinsip ini menyatakan bahawa apabila sesuatu objek diletakkan ke dalam air atau bendalir, daya apungan yang menolak objek itu adalah sama dengan berat air atau bendalir yang disesarkan. Namun itu hanyalah penjelasan dari sudut sains fizik. Dari sudut hakikatnya, hukum alam (fizik) ini adalah kerana Allah ﷻ yang menentukannya dan begitulah Allah ﷻ tundukkan air laut buat kita. Allah yang buat keputusan untuk menjadikan air itu lembut dan senang kapal terapung dan bergerak. Kalaulah ia keras dan kasar, tidak dapat langsung kapal itu bergerak, bukan?
بِمَا يَنْفَعُ النَّاسَ
dengan membawa faedah bagi manusia yang ramai;
Tuhanlah yang mengajar Nabi Nuh عليه السلام cara membuat kapal. Dari situ, manusia sekarang sudah boleh membuat kapal yang berteknologi tinggi seperti “supertanker”. Dengan kapal-kapal itu, dapat digunakan untuk membawa muatan-muatan untuk kepentingan manusia. Barang dagangan dari satu negara ke negara lain senang dibawa dengan laluan laut. Walaupun ada kapal terbang, tetapi lebih murah kalau pakai kapal laut.
Mungkin kita tidak nampak kepentingan kapal ini kerana kita bukannya menaiki kapal hari-hari. Akan tetapi jasa kapal itu amatlah besar bagi kita kerana banyak keperluan kita dipenuhi dengan adanya pengangkutan kapal di laut. Bayangkan segala barang yang kita perlukan adalah dibawa dari negara yang jauh melalui jalan laut, sama ada makanan, pakaian dan sebagainya. Walaupun ada lagi cara pengangkutan lain, akan tetapi cara pengangkutan laut adalah cara yang paling ekonomik untuk penghantaran barangan sejak zaman berzaman. Maka perhatikanlah nikmat kapal dan laut ini yang Allah ﷻ telah mudahkan untuk kita seperti firman-Nya di dalam Luqman: 31
أَلَم تَرَ أَنَّ الفُلكَ تَجري فِي البَحرِ بِنِعمَتِ اللهِ لِيُرِيَكُم مِّن آيٰتِهِ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآٰيٰتٍ لِّكُلِّ صَبّارٍ شَكورٍ
Tidakkah kamu memperhatikan bahawa sesungguhnya kapal itu berlayar di laut dengan nikmat Allah, supaya diperlihatkan-Nya kepadamu sebahagian daripada tanda-tanda (kekuasaan)-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi semua orang yang sangat sabar lagi banyak bersyukur.
Begitu hebatnya teknologi kapal ini sampaikan tidak kurang 23 kali kapal disebut di dalam Al-Qur’an. Dari kali pertama kapal digunakan pada zaman Nabi Nuh sampailah ke zaman sekarang, ia masih digunakan lagi dan kita masih takjub lagi dengan industri perkapalan. Maka benarlah ayat ini dan lihat satu lagi di dalam Luqman:31
أَلَم تَرَ أَنَّ الفُلكَ تَجري فِي البَحرِ بِنِعمَتِ اللهِ لِيُرِيَكُم مِّن آيٰتِهِ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآٰيٰتٍ لِّكُلِّ صَبّارٍ شَكورٍ
Tidakkah kamu memperhatikan bahawa sesungguhnya kapal itu berlayar di laut dengan nikmat Allah, supaya diperlihatkan-Nya kepadamu sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan)-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi semua orang yang sangat sabar lagi banyak bersyukur.
وَما أَنزَلَ اللَّهُ مِنَ السَّماءِ مِن مّاءٍ
dan apa yang Allah turunkan dari langit daripada air;
Keempat: kenanglah air hujan yang Allah ﷻ turunkan dari langit. Ia turun dari rahmat dan berkat-Nya, lebih-lebih lagi air yang amat berguna kepada manusia. Kita pun tahu kita amat memerlukan air hujan ini untuk keperluan hidup kita. Dari air yang satu jenis itu, Allah ﷻ telah menghidupkan berbagai-bagai jenis tanaman. Dan turunnya itu pun sedikit demi sedikit; kalaulah Allah turunkan sekaligus dengan banyak, maka rosaklah rumah-rumah dan tanam-tanaman.
Di sini Allah ﷻ hendak mengingatkan kita tentang kehebatan-Nya. Kita mungkin tidak perasan kerana kita hari-hari dapat air. Ia suatu perkara yang mudah diperolehi oleh kita sehingga tidak sedar akan nikmat besar ini. Akan tetapi kalau kita hendak menurunkan air dari langit, tentu kita sesekali tidak mampu. Hebatnya Allah ﷻ turunkan air dari langit tetapi asalnya adalah dari bumi, bukan? Ia diambil dari air laut yang kalau kita terus minum boleh mati kerana ia masin sangat. Memang patut pun air laut itu masin kerana ia adalah tempat kehidupan dan juga kematian banyak kehidupan. Kalaulah air itu tidak masin dan tidak bergelora, tentulah busuk kerana sangat banyak bangkai di dalamnya.
Sebenarnya Allah tidaklah turunkan air hujan itu dari langit, tapi dari awan. Kalimah السَّماءِ tidak semestinya bermaksud langit tapi ia boleh bermaksud ‘atas’ dan awan itu di atas. Dan air itu pun bukannya dari awan, tapi dari bumi juga. Begitulah, Allah ﷻ naikkan air laut ke langit melalui proses penyejatan, lalu Allah ﷻ simpan di dalam awan kemudian gerakkan awan itu ke tempat yang memerlukan air. Perkara ini berlaku setiap hari tanpa susah bagi Allah ﷻ. Tidak perlu mesin atau kilang untuk membersihkan air laut itu untuk digunakan kerana sistem Allah ﷻ itu lebih canggih lagi dan kerana itu air yang kita minum adalah air tawar yang manis seperti disebut dalam Mursalat: 27
وَجَعَلنا فيها رَوٰسِيَ شٰمِخٰتٍ وَأَسقَينٰكُم مّاءً فُراتًا
dan Kami jadikan padanya gunung-gunung yang tinggi, dan Kami beri minum kamu dengan air tawar?
Air yang Allah turunkan dari langit itu diambil dari tasik, sungai dan lautan dan mana-mana sumber air di daratan. Ini adalah mode of transportation yang Allah sendiri buat. Kalau kita hendak cuba pindahkan air dari satu tempat ke satu tempat yang lain, tak mampu kita melakukannya.
Allah ﷻ suruh kita fikirkan tentang nikmat yang amat hebat ini. Kita mungkin tidak perasan kerana kita dengan mudahnya memperolehi air setiap hari namun jika kita mahu duduk sejenak dan fikirkan nikmat yang Allah ﷻ berikan kepada kita ini seperti disebut dalam Waqiah: 68-70
أَفَرَأَيتُمُ الماءَ الَّذي تَشرَبونَ
Tidakkah kamu melihat air yang kamu minum?
ءأَنتُم أَنزَلتُموهُ مِنَ المُزنِ أَم نَحنُ المُنزِلونَ
Kamukah yang menurunkannya dari awan (sebagai hujan), atau Kami yang menurunkannya?
لَو نَشاءُ جَعَلنٰهُ أُجاجًا فَلَولا تَشكُرونَ
Kalau Kami kehendaki, Kami akan jadikan ia masin, maka kenapa kamu tidak bersyukur?
Kenapakah Allah ﷻ turunkan dari langit (dari atas)? Kerana kalau Allah ﷻ beri air dari bawah, yang duduk di kawasan tinggi tidak dapat air pula, bukan? Maka Allah ﷻ uruskan supaya air itu diturunkan dari atas supaya yang rendah dapat air, yang duduk di kawasan tinggi pun dapat air juga. Hebat, bukan? Semua kehidupan boleh mendapat air itu seperti manusia, haiwan dan juga tumbuh-tumbuhan. Kita yang duduk di rumah pun boleh dapat air, tidak perlu order di Shopee pun.
فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا
maka Allah menghidupkan dengan bumi selepas matinya dengan air itu
Dengan air hujan itu, Allah ﷻ menghidupkan bumi yang gersang kekeringan kerana lama tidak dapat air. Sebenarnya bukan bumi yang hidup tapi kehidupan yang di dalam bumi itu. Memang kehidupan di dunia memerlukan air untuk kehidupan. Allah telah sebut perkara ini di dalam Anbiya’:30
أَوَلَم يَرَ الَّذينَ كَفَروا أَنَّ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ كانَتا رَتقًا فَفَتَقنٰهُما ۖ وَجَعَلنا مِنَ الماءِ كُلَّ شَيءٍ حَيٍّ ۖ أَفَلا يُؤمِنونَ
Dan apakah orang-orang yang kafir tidak mengetahui bahawasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu, kemudian Kami pisahkan antara keduanya. Dan dari air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakah mereka tiada juga beriman?
Bumi yang tandus, apabila ada sahaja air, terus timbul kehidupan di atasnya. Tanaman tumbuh, maka hidupan lain pun datang. Allah boleh sahaja hidupkan tanah dan kehidupan tanpa memerlukan air. Ini kerana Allah tidak perlu itu semua. Akan tetapi ini mengajar kepada kita yang makhluk ini bahawa untuk melakukan sesuatu, kena ikut hukum sebab musabbab (cause and effect).
Hebatnya air yang Allah turunkan ini, dengan air satu jenis itu menghidupkan berbagai jenis tumbuh-tumbuhan yang berbagai jenis. Dan dengan tanah yang sama, di tempat yang sama, menghidupkan berbagai jenis tumbuhan.
وَبَثَّ فيها مِن كُلِّ دابَّةٍ
dan Allah membiakkan di atas muka bumi setiap jenis makhluk yang melata;
Kelima: Allah ﷻlah yang membiakkan di bumi setiap binatang bernyawa. Berbagai-bagai jenis binatang termasuklah binatang mamalia, serangga dan sebagainya. Tidak terkira jenis-jenis binatang itu. Sampaikan sekarang pun masih ada spesies dan jenis-jenis binatang yang kita tidak tahu wujud pun baru dijumpai. Dan binatang itu pun berjenis-jenis pula, ada yang bermanfaat bagi kita, ada yang tidak nampak jelas manfaatnya, malah ada yang berbahaya kepada kita seperti harimau dan singa. Dan ada yang tidak berbahaya tapi tidak nampak manfaatnya seperti rama-rama tapi Allah ciptakan untuk menunjukkan kehebatanNya.
وَتَصْرِيفِ الرِّيٰحِ وَالسَّحَابِ
dan mengirimkan angin untuk menggerakkan awan
Keenam: berubahnya perjalanan angin. Sekejap ke sini dan sekejap ke sana. Sekejap kuat, sekejap sepoi sepoi bahasa. Tadi telah disebut tentang kapal yang bergerak di lautan. Pergerakan kapal layar memerlukan angin untuk menggerakkannya. Allah berfirman di dalam Shura:33
إِن يَشَأ يُسكِنِ الرّيحَ فَيَظلَلنَ رَواكِدَ عَلىٰ ظَهرِهِ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّكُلِّ صَبّارٍ شَكورٍ
Jika Dia kehendaki, Dia menghentikan tiupan angin, maka tinggallah kapal-kapal itu terapung-apung di muka lautan. Sesungguhnya yang demikian mengandungi tanda-tanda (yang besar pengajarannya) bagi tiap-tiap seorang (mukmin) yang sentiasa bersikap sabar, lagi sentiasa bersyukur.
Dan sekarang disebut dengan angin ini membawa awan yang mengandungi air hujan, yang menghembus layar kapal untuk bergerak, yang membawa debunga pokok dan bunga. Ada yang pakai angin untuk menggerakkan kincir, untuk menumbuk gandum dan menjana tenaga elektrik. Tadi telah disebut tentang awan dan pergerakan awan itu juga digerakkan oleh angin.
المُسَخَّرِ بَينَ السَّماءِ وَالأَرضِ
yang tunduk di bawah pengawasan di antara langit dan bumi;
Ketujuh: awan yang mengikut arahan Allah ﷻ. Awan itu mengikut tiupan angin dan angin itu tunduk di bawah pengawasan Allah ﷻ. Allah ﷻ yang mengarahkan angin itu untuk bergerak ke sana dan ke sini.
Seorang manusia sahaja yang pernah diberikan mukjizat untuk menguasai angin iaitu Nabi Sulaiman عليه السلام. Selain daripada baginda, kuasa angin hanya tertakluk di bawah pengurusan Allah ﷻ. Kalau ada tok bomoh hujan boleh tolak hujan, itu karut sahaja. Betapa hebatnya teknologi manusia sekarang, masih tidak akan dapat mengawal angin dan pergerakan awan. Sekali puting beliung datang, bertempiaran manusia lari.
Allah ﷻlah yang menggerakkan angin untuk membawa awan untuk menurunkan hujan di satu-satu tempat. Jadi, kalau ada tempat yang sudah lama tidak turun hujan, sepatutnya kita berdoa kepada Allah ﷻ, supaya menurunkan hujan. Malangnya masyarakat kita ada pula yang pakai bomoh yang dikatakan boleh turunkan hujan atau lagi hebat boleh menyekat hujan daripada turun. Mereka dipanggil Bomoh Hujan. Padahal, yang sepatutnya kita kena buat kalau datang musim kemarau adalah buat Salat Istisqa’ – Salat memohon hujan. Barulah nampak kekuasaan Tuhan kalau kita buat begitu. Salat itu selalu dibuat oleh orang-orang di tanah Arab kerana mereka mahir agama. Namun jarang sangat kita dengar buat di Malaysia kerana masyarakat kita lambat belajar (belajar wudhu’ sahaja pun bertahun-tahun baru habis). Jadi tidak sempat sampai belajar bab Salat Istisqa’. Untuk mengerjakan salat itu, hendaklah dilakukan di padang luas. Semua kena turun termasuklah bawa ternakan sekali. Pakai baju yang buruk sedikit untuk merendahkan diri di hadapan Allah ﷻ. Kena diimami oleh ketua kampung atau ketua negara. Itulah cara yang benar. Namun di Malaysia, jarang atau tidak pernah kita dengar salat sunat ini dilakukan.
Yang selalu mereka buat adalah Salat Hajat. Padahal Salat Hajat berjamaah itu sendiri adalah bid’ah. Tidak pernah dilakukan oleh Nabi ﷺ dan sahabat. Namun oleh kerana menjadi imam Salat Hajat boleh buat duit, maka ramailah yang buat. Dan kerana orang kita jahil agama, mereka hanya tahu Salah Hajat sahaja. Memang kesian orang Melayu ini, setakat tahu Solat Hajat sahaja tidak habis-habis. Ada masalah sikit, Solat Hajat, sampaikan anak-anak hendak periksa pun disuruh Solat Hajat. Sepatutnya disuruh mereka belajar dan diajar cara belajar kepada mereka. Sedangkan Nabi dan para sahabat hendak berperang pun tidak buat Solat Hajat, kita setakat hendak hadapi peperiksaan sahaja hendak buat Solat Hajat?
لَآيٰتٍ لِّقَومٍ يَعقِلونَ
sebagai dalil-dalil bukti kepada kaum yang boleh berfikir
Lihatlah bagaimana indahnya alam ini dengan flora dan faunanya. Bagaimana cantiknya kerjasama antara makhluk-makhluk dalam alam ini. Mereka memerlukan satu sama lain. Ini semua adalah bukti kekuasaan Allah ﷻ. Pada kalimah لَآيٰتٍ adalah huruf lam taukid sebagai penekanan dan maksudnya ia pasti menjadi tanda. Tanda-tanda itu telah diberikan kepada semua manusia, tetapi tidak semua boleh menggarapnya. Yang boleh memahaminya adalah mereka yang menggunakan akal mereka. Yang sel-sel otak masih berfungsi dan agak cerdik sedikit.
Perkataan عْقِلُ sebenarnya diambil dari perkataan ‘ikat’. Orang-orang Arab dahulu akan menggunakan tali untuk mengikat unta mereka daripada lari. Tali-tali itu apabila tidak digunakan untuk mengikat unta, akan dililit di kepala mereka. Maka, maksud عْقِلُ dalam bahasa Arab sebenarnya adalah ‘mengikat hati’. Iaitu akal fikiran yang dapat mengawal hati. Apabila akal dapat mengawal hati, bermakna akal dapat mengawal nafsu. Apabila nafsu dapat dikawal, manusia dapat berfikir dengan jelas. Barulah nampak ‘ayat-ayat’ Allah ﷻ yang Allah ﷻ telah letakkan dengan jelas di dalam alam ini.
Namun masalahnya, manusia sekarang susah untuk mendapat peringkat pemikiran yang jelas ini. Ini kerana manusia sekarang amat mudah untuk mendapatkan hiburan. Kalau hendak dengar lagu senang sangat, hendak tengok tv, tengok wayang, dan sebagainya. Sampaikan tidak ada peluang untuk berfikir dengan jelas dan mendalam. Untuk melihat tanda-tanda yang telah ada dalam alam ini, memerlukan minda yang dapat berfikir dengan jelas tetapi kalau akal fikiran kita tidak dilatih untuk memikirkan dengan mendalam, maka tidak akan sampai ke tahap itu. Oleh kerana kita tidak melatih fikiran kita kerana sudah sibuk dengan hiburan serta benda-benda ringan yang tidak berfaedah, maka kita tidak dapat memikirkan tentang tanda-tanda Allah ﷻ dalam alam ini.
Dalam Mulk:10, ada disebutkan tentang penyesalan manusia di akhirat nanti. Mereka kata “alangkah baiknya kalau kami semasa di dunia memikirkan.” Itu bermaksud, iman boleh didapati sama ada dengan ayat-ayat Allah ﷻ dalam Kitab, atau ayat-ayat Allah ﷻ dalam alam ini. Iaitu orang yang pakai akal fikiran dia untuk mencapai tahap iman yang tinggi.
وَقالوا لَو كُنّا نَسمَعُ أَو نَعقِلُ ما كُنّا في أَصحٰبِ السَّعيرِ
Dan mereka berkata: “Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli neraka”.
Jadi, Islam adalah agama yang menggunakan akal. Maka kita hendaklah menggunakan akal kita dengan melihat alam ini dan menggunakannya untuk meningkatkan iman kita. Barulah kita boleh melihat hidayah dalam alam ini. Orang yang ada ilmu dipanggil ulama’ dan kerana orang alim itu adalah ilmulah yang mereka itu paling takut kepada Allah kerana mereka ada pengetahuan seperti disebut di dalam Fatir:28
وَمِنَ النّاسِ وَالدَّوابِّ وَالأَنعٰمِ مُختَلِفٌ أَلوٰنُهُ كَذٰلِكَ ۗ إِنَّما يَخشَى اللهَ مِن عِبادِهِ العُلَماءُ ۗ إِنَّ اللهَ عَزيزٌ غَفورٌ
Dan demikian (pula) di antara manusia, binatang-binatang melata dan binatang-binatang ternak ada yang bermacam-macam warnanya (dan jenisnya). Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.
Di ayat ini disebutkan ulama’, menurut ertinya yang asli, iaitu orang yang berilmu. Dengan ayat ini dapatlah kita fahamkan bahawasanya mencari Tuhan dalam ajaran Islam ialah dengan memperdalam penyelidikan tentang alam. Maka Tuhan Allah yang didapati dari sebab ilmu itu, jauh lebih mendalam pengaruhnya atas jiwa dan budi daripada apa yang ditentukan ilmu Sifat 20 (setakat main sifat ‘ada’ lawannya ‘tiada’….), atau susunan manusia atau ilmu teologi orang Kristian yang memberi bentuk Tuhan itu sebagai manusia, atau Tuhan menjelmakan diri sebagai manusia. Penyelidikan ilmu-ilmu pengetahuan yang telah demikian tinggi pada abad kita ini rupanya telah membawa para sarjana kepada keimanan akan adanya Tuhan menurut sistem yang diajarkan oleh Al-Qur’an ini (dengan melihat kepada alam).
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 8 Disember 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

