Tafsir Surah Baqarah Ayat 95 – 96 (Sayang dunia jadi punah)

Baqarah Ayat 95: Agak-agaknya adakah mereka akan meminta untuk dimatikan terus?

وَلَن يَتَمَنَّوهُ أَبَدًا بِما قَدَّمَت أَيديهِم ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ بِٱلظَّـٰلِمِينَ

Sahih International

But they will never wish for it, ever, because of what their hands have put forth. And Allah is Knowing of the wrongdoers.

Malay

Dan sudah tentu mereka tidak akan mencita-citakan mati itu selama-lamanya, dengan sebab dosa-dosa yang telah mereka lakukan; dan Allah sentiasa mengetahui akan orang-orang yang zalim itu.

 

وَلَنْ يَتَمَنَّوْهُ أَبَدًا

Dan tidak akan sekali-kali mereka itu akan meminta mati selama-lamanya

Nescaya mereka tidak akan berdoa begitu kerana mereka paling takut untuk mati. Kalau berperang pun mereka tidak mahu berperang di barisan hadapan kerana mereka itu memang jenis penakut. Allah gunakan kalimah لن di sini yang bermaksud ‘tidak akan sampai bila-bila’. Allah tahu apa yang di dalam hati mereka.

Ayat ini menjadi satu dalil dan pembuktian kebenaran Al-Qur’an. Begitulah kalau ada ayat-ayat yang mencabar manusia. Kalau mereka hendak patahkan ayat Al-Qur’an, senang sahaja sebenarnya. Iaitu mereka datang kepada Nabi dan kata yang Al-Qur’an tidak benar, “sebenarnya kami bersedia mati dan menginginkannya.” Nah kalau mereka ada yang berkata begini, maka patahlah hujah Al-Qur’an ini. Akan tetapi tidak ada seorang pun yang datang dan berkata begitu kepada baginda. Maka kebenaran Al-Qur’an terbukti dengan ayat ini juga.

 

بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ

dengan sebab dosa-dosa yang telah mereka lakukan dengan tangan-tangan mereka;

Mereka tidak akan doa begitu kerana mereka tahu mereka banyak dosa. Bukan dosa-dosa tangan mereka sahaja tetapi termasuk jugalah segala dosa yang dilakukan oleh anggota mereka yang lain. Cuma digunakan kalimah tangan kerana tangan yang banyak melakukan dosa kalau dibandingkan dengan anggota yang lain. Kerana itu yang dilaknat adalah tangan Abu Lahab.

تَبَّت يَدا أَبي لَهَبٍ وَتَبَّ

Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa.

Mereka tahu bahawa mereka tidak banyak amal yang baik yang mereka lakukan. Dan mereka tahu bahawa mereka melebihkan dunia dari akhirat. Dan sebab mereka tahu yang amalan yang mereka buat itu tidak sesuai dengan syurga. Mereka tahu yang mereka banyak dosa. Maka mereka sendiri tidak yakin yang mereka akan masuk syurga.

Macam kita juga, kita sudah boleh agak kita banyak amalan dunia atau amalan akhirat. Kita sendiri pun takut kalau kita tiba-tiba mati, bukan? Sebab kita tahu banyak lagi dosa kita tidak minta ampun. Kita tahu amalan ibadat kita tidak banyak. Kita tahu yang banyak lagi perubahan yang kita tidak buat lagi.

 

وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِٱلظَّـٰلِمِينَ

Dan Allah Maha Mengetahui sifat-sifat jelek orang-orang yang zalim.

Allah ‎ﷻ maha tahu apa yang dilakukan oleh hamba-Nya. Allah ‎ﷻ tahu siapa yang berbuat zalim di atas dunia ini. Ini memberi isyarat yang Yahudi itu telah berbuat zalim. Mereka zalim dalam hal agama, akidah dan juga hal keduniaan.

Penyakit yang Allah hendak ubati adalah penyakit perasan akan selamat. Allah ingatkan jangan perasan kerana Dia tahu apa sahaja amalan manusia. Jangan perasan akan selamat tapi takutlah akan hisab di akhirat kelak kerana segala perbuatan kita akan dipertimbangkan.


 

Baqarah Ayat 96:

وَلَتَجِدَنَّهُم أَحرَصَ النّاسِ عَلىٰ حَيَوٰةٍ وَمِنَ الَّذينَ أَشرَكوا ۚ يَوَدُّ أَحَدُهُم لَو يُعَمَّرُ أَلفَ سَنَةٍ وَما هُوَ بِمُزَحزِحِهِ مِنَ العَذابِ أَن يُعَمَّرَ ۗ وَاللَّهُ بَصيرٌ بِما يَعمَلونَ

Sahih International

And you will surely find them the most greedy of people for life – [even] more than those who associate others with Allah. One of them wishes that he could be granted life a thousand years, but it would not remove him in the least from the [coming] punishment that he should be granted. And Allah is Seeing of what they do.

Malay

Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati mereka itu setamak-tamak manusia kepada hidup (yang lanjut masanya), dan (lobanya mereka kepada hidup itu) melebihi loba orang-orang kafir musyrik. Tiap-tiap seorang dari mereka suka kiranya dia boleh hidup seribu tahun, padahal umur panjang yang demikian, tidak akan dapat melepaskannya dari azab (yang disediakan oleh Allah). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang mereka lakukan.

 

وَلَتَجِدَنَّهُم أَحرَصَ النّاسِ عَلىٰ حَيَوٰةٍ

Kamu akan dapati mereka manusia yang paling tamak atas kehidupan dunia;

Allah ‎ﷻ beritahu sifat orang Yahudi. Mereka itu manusia yang paling tamak dalam dunia. Mereka memang manusia yang mementingkan keduniaan. Apabila berdoa, mereka akan minta panjang umur. Mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk dapat kelebihan di dunia. Mereka mahu membolot semua sekali harta dalam dunia ini.

Kalimah حَيَوٰةٍ adalah dalam bentuk nakirah (bentuk umum). Maka ia bermaksud apa jenis kehidupan pun. Termasuklah kalau kehidupan yang penuh kehinaan. Asalkan terus hidup. Kerana kehidupan dunia bagi mereka tentu lebih baik dari akhirat kelak. Mereka tahu yang amal-amal mereka tidak akan membantu mereka di akhirat!

Allah mengutuk penyakit sayangkan dunia dan takut mati. Sedangkan dunia itu sesuatu yang rendah dan tidak berharga; dan mati itu pasti datang. Sepatutnya kita tidak takut mati kerana dengan mati itulah yang menyebabkan kita boleh masuk ke syurga. Dengan mati juga kita akan dapat bertemu dengan Allah seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Majah yang bersumber dari Aisyah r.a., sebagai berikut:

‏عن ‏ ‏عائشة ‏ ( ‏أن رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏قال ‏ ‏من أحب لقاء الله أحب الله لقاءه ومن كره لقاء الله كره الله لقاءه فقيل يا رسول الله كراهية لقاء الله في كراهية لقاء الموت فكلنا يكره الموت قال لا إنما ذاك عند موته إذا بشر برحمة الله ومغفرته أحب لقاء الله فأحب الله لقاءه وإذا بشر بعذاب الله كره لقاء الله وكره الله لقاءه ‏ ) .
Dari Aisyah r.ah., Sesungguhnya Rasulullah saw telah bersabda: Barangsiapa yang suka bertemu dengan Allah, maka Allah pun suka bertemu dengannya. Barangsiapa yang membenci bertemu dengan Allah, maka Allah benci bertemu dengannya. Lalu ada sahabat yang bertanya, “Ya Rasulullah, apakah kebencian bertemu dengan Allah itu kerana kebencian terhadap kematian? Kita semua membenci kematian.” Rasulullah menjawab: “Bukan. Hal itu hanya akan terjadi pada saat dia mahu mati. Apabila diberitakan kepadanya dengan berita gembira bahawa dia akan mendapat rahmat Allah dan pengampunannya, maka dia suka bertemu dengan Allah. Dan apabila diberitakan kepadanya bahawa dia akan mendapatkan seksaan Allah dia benci bertemu dengan Allah, dan Allah benci bertemu dengannya.
HR. Ibn Majah.

Apa yang digambarkan oleh Rasulullah adalah berkaitan dengan macam manusia. Ada manusia yang takut mati, dan ada manusia yang tidak takut mati. Manusia yang takut mati adalah manusia yang tidak mahu bertemu dengan Allah. Sebab, jika dia mati maka dia akan bertemu dengan Allah. Orang yang tidak bertemu dengan Allah adalah orang yang tidak menyiapkan bekal untuk bertemu dengan Allah. Dia tidak memiliki amal saleh sebagai bekal hidupnya di akhirat. Selama hidupnya, dia berpangku tangan, tidak beramal saleh, dan selalu melakukan pelanggaran atas perintah Allah.

Hadis di atas juga menggambarkan bahawa orang yang akan mati akan mengalami sakaratul maut. Pada saat itulah, Allah akan menggambarkan kepadanya semua yang telah dilakukannya selama hidupnya, yang baik dan buruk. Orang yang hidupnya bergelimang dengan dosa akan melihat perbuatannya itu pada saat sakaratul maut. Pada saat itulah, dia menangis dan ketakutan untuk mati dan menghadap kepada Allah.

Sebaliknya, ada manusia yang tidak takut mati. Mereka adalah manusia yang ingin segera bertemu dengan Allah. Sebab, jika dia mati maka dia akan segera bertemu dengan Allah. Orang yang mahu segera bertemu dengan Allah adalah orang yang telah menyiapkan bekal untuk bertemu dengan Allah. Dia telah memiliki amal saleh sebagai bekal hidupnya di akhirat. Selama hidupnya, dia beribadah kepada Allah dan taat kepada-Nya dan selalu melakukan perbuatan yang sesuai dengan perintah Allah.

Orang yang hidupnya taat beribadah kepada Allah akan melihat perbuatannya itu pada saat sakaratul maut. Pada saat itulah, dengan melihat amalnya, wajahnya cerah, ceria, dan bahkan tersenyum karena melihat amalnya yang saleh. Saat itu pun, dia ingin agar segera bertemu dengan Allah.

 

وَمِنَ الَّذِينَ أَشْرَكُوا

dan lebih teruk lagi daripada orang-orang musyrik;

Puak Bani Israil itu takut mati dan malah lebih teruk lagi dari golongan Musyrikin Mekah yang membuat syirik itu. Mereka kutuk Musyrikin Mekah itu, tetapi mereka sebenarnya lebih teruk dari musyrikin itu. Kenapa pula mereka lebih teruk dari golongan musyrik? Kerana orang musyrik pun mengharap supaya mereka mati dalam peperangan yang boleh menaikkan nama mereka dan disebut-sebut orang. Mereka sanggup mempertahankan berhala dan agama mereka kerana kepercayaan mereka yang kuat. Maknanya orang musyrik pun sanggup mati mempertahankan sesuatu.

Dan orang Musyrikin Mekah tidak percaya kepada kehidupan selepas mati, jadi mereka tidak takut mati. Malah Musyrikin Mekah itu yang sepatutnya lebih sayangkan dunia kerana pada mereka kehidupan hanya di dunia sahaja (You Only Live Once) jadi kenalah cukup-cukup puaskan hati selama di dunia. Sedangkan orang Yahudi itu patutnya tahu tentang hari kebangkitan dan pembalasan. Yang kehidupan dunia ini sementara sahaja. Jadi kerana mereka lebih tahu, maka mereka lebih teruk kalau sangat sangat kepada dunia, sampai lupa kepada akhirat.

Satu lagi kemungkinan adalah kerana puak Yahudi itu sendiri tahu apa yang mereka telah lakukan. Maka mereka takut kepada akhirat dan mereka berharap supaya mereka hidup lagi lama, untuk melambatkan masuk neraka. Oleh kerana orang Yahudi memang takut hendak berperang kerana mereka takut mati. Mereka akan cari peluang untuk elak dari berperang. Untuk mengelak berperang, mereka akan beri alasan mereka menunggu Rasul akhir zaman turun supaya mereka boleh mengalahkan orang-orang kafir dengan mudah. Dan kalau pun mereka terpaksa berperang, mereka tidak akan duduk di barisan hadapan kerana mereka jenis takut mati.

 

 يَوَدُّ أَحَدُهُمْ لَوْ يُعَمَّرُ أَلْفَ سَنَةٍ

Setiap orang dari mereka amat berkeinginan kalau diberikan umur seribu tahun;

Begitulah mereka. Kalimat يَوَدُّ أَحَدُهُمْ (setiap seorang dari mereka) itu merujuk kepada setiap mereka yang kufur itu, dan mempunyai perangai seperti yang telah disebut. Mereka berharap sangat supaya mereka dapat hidup lama. Ini kerana mereka lebih selesa dengan dunia yang indah bagi mereka. Begitulah, puak yang sesat memang hendak hidup lama. Kerana mereka sayang dengan dunia.

Tapi tidaklah mereka minta hidup seribu tahun. Ini mereka pun tahu takkan dapat dan kerana itu digunakan kalimah لو di sini. Maksud di sini adalah mereka itu sebenarnya enggan bertemu dengan Allah. Mereka juga tahu yang mereka pasti akan mati, tapi mereka hendak mereka yang menentukan sendiri bila mereka akan mati, bukan Allah.

Kematian pasti akan datang menjemput kita, cepat atau lambat sahaja, tidak boleh dielak. Maka kita kena ada sikap yang sihat terhadap kematian. Sungguh alangkah pendeknya hidup dunia dan alangkah sempitnya ia bila jiwa manusia merasa bahawa hidup ini tidak bersambung dengan kehidupan ukhrawi. Alangkah pendeknya ia bila jiwa tidak mengharapkan kecuali hembusan dan tarikan nafas dalam beberapa saat di dunia ini. Kepercayaan tentang adanya kehidupan akhirat merupakan nikmat yang tercurah oleh iman ke dalam hati sanubari manusia yang beriman. Itu adalah nikmat, yang dianugerahkan Allah kepada setiap orang yang berfikir dan bersedia menghadapinya.

 

وَما هُوَ بِمُزَحزِحِهِ مِنَ العَذابِ أَن يُعَمَّرَ

Dan tidaklah umur yang panjang itu boleh melepaskan mereka dari azab Sekiranya Allah panjangkan umur mereka

Kalau doa mereka supaya umur mereka dipanjangkan itu dimakbulkan Allah ‎ﷻ, ia tidak dapat melepaskan mereka dari azab Allah ‎ﷻ. Tidak ada kebaikan kalau umur mereka panjang beribu-ribu tahun pun. Ini kerana mereka akan gunakan masa itu untuk membuat keburukan dan kezaliman. Hanya menambah dosa mereka sahaja sebenarnya. Memang ia tidak akan terjadi, tetapi Allah ‎ﷻ hendak beritahu, kalau ia terjadi sekalipun, ia tidak bermanfaat untuk mereka. Ia akan jadi lebih buruk bagi mereka.

Umur yang panjang kalau dipenuhi dengan kebaikan, barulah beruntung. Dan memang naluri manusia mahukan umurnya panjang. Tapi bagaimana cara untuk memanjangkan umur kita? Rasulullah telah ajar pun kita,

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
“Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim.”
(Riwayat Bukhari (5986) dan Muslim (2557))

Tapi kalau umur panjang itu diisi dengan dosa, maka alangkah malangnya. Allah telah menyebut tentang mereka yang dipanjangkan umur tapi mengumpul dosa sahaja di dalam Maryam:75

قُل مَن كانَ فِي الضَّلٰلَةِ فَليَمدُد لَهُ الرَّحمٰنُ مَدًّا ۚ حَتّىٰ إِذا رَأَوا ما يوعَدونَ إِمَّا العَذابَ وَإِمَّا السّاعَةَ فَسَيَعلَمونَ مَن هُوَ شَرٌّ مَّكانًا وَأَضعَفُ جُندًا

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesiapa yang berada di dalam kesesatan, maka biarlah (Allah) Ar-Rahman melanjutkan baginya satu tempoh yang tertentu, hingga apabila mereka melihat apa yang dijanjikan kepada mereka, – sama ada azab sengsara dunia ataupun azab kiamat, maka (pada saat itu) mereka akan mengetahui siapakah orangnya yang lebih buruk kedudukannya dan lebih lemah penyokong-penyokongnya.”

Di dalam A’raf: 14, iblis minta ditangguhnya kematiannya sehingga ke hari kebangkitan.

قالَ أَنظِرني إِلىٰ يَومِ يُبعَثونَ
Iblis berkata: “Beri tangguhlah aku sampai waktu mereka dibangkitkan”.

Ini mengajar kita umur yang panjang, bukanlah ada kelebihan dari segi agama. Sebab itu Allah ‎ ﷻboleh sahaja beri kepada iblis umur yang panjang. Kalau umur kita panjang tetapi banyak dosa, lagi bahaya kerana mengumpul dosa menjadi semakin banyak dan menyebabkan kita diazab lebih teruk di dalam neraka. Maka jangan berdoa minta umur panjang, tetapi doalah supaya dimatikan dalam keadaan beriman.

Tahukah anda bahawa doa iblis ini banyak diulang-ulang oleh orang kita? Itulah doa minta panjang umur. Biasa bukan dengar doa minta dipanjangkan umur ini? Maka kalau kita berdoa begitu, maknanya kita ikut sunnah iblis sebenarnya. Oleh itu ini bukanlah doa yang baik. Sebaliknya kita sepatutnya minta dimatikan dalam keadaan baik iaitu di dalam iman. Antaranya doa sebegini:

اللَهُمَّ اخْتِمْ لنا بِحُسْنِ الْخَاتِمَة وَلاَ تَخْتِمْ عَلَيْنَا بِسُوءِ الخَاتِمَة
“Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan pengakhiran yang baik) dan jangan Kau akhiri hidup kami dengan pengakhiran yang buruk.”

Atau, boleh amalkan doa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti disebut dalam Yusuf: 101

تَوَفَّني مُسلِمًا وَأَلحِقني بِالصّالِحينَ
wafatkanlah aku dalam keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang yang soleh.

 

وَاللَّهُ بَصِيرٌ بِمَا يَعْمَلُونَ

Dan Allah Maha Melihat terhadap apa yang mereka lakukan.

Allah ‎ﷻ tetap memerhatikan sahaja apa yang mereka perbuat dan Allah ‎ﷻ akan membalas segala perbuatan mereka itu. Jangan sangka yang mereka akan terlepas.

Yang menjadikan kita susah hendak lupakan dunia ini adalah kerana kita sayang sangat kepadanya. Kerana kita sudah terpesona dengan keindahan dunia dan sudah tertipu dengan dunia. Padahal, kita semua akan pergi jua meninggalkannya. Ini semua orang tahu, termasuklah orang musyrik, termasuklah kita pun. Maka, kalau kita sudah tahu yang kita akan mati juga akhirnya, janganlah terpaut sangat kepada dunia.

Ingatlah yang tempat tinggal kita yang sebenarnya adalah di syurga nanti. Ke situlah kita hendak kembali. Maka sebagai seorang Islam, kita hendaklah mempersiapkan diri kita untuk sampai ke sana. Iaitu dengan mengikut arahan Allah ‎ﷻ dan meninggalkan larangan-Nya.

Habis Ruku’ 11 dari 40 surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 25 September 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

3 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 95 – 96 (Sayang dunia jadi punah)”

  1. Assalamualaikum Tuan, untuk tafsir ayat 101 ini. Yang di campak kan kebelakang ada kitab Allah. Adakah ianya Al-Quran atau Taurat?

    Like

Leave a comment