Tafsir Surah Baqarah Ayat 51 – 53 (Yahudi menyembah patung anak lembu)

Baqarah Ayat 51: Ini adalah jasa ketiga yang Allah ﷻ ingatkan kepada mereka. Di ayat sebelum ini disebut keselamatan jasmani mereka (diselamatkan daripada Firaun dan dapat menyeberang laut) maka sekarang disebut nikmat keselamatan rohani mereka.

وَإِذ وٰعَدنا موسىٰ أَربَعينَ لَيلَةً ثُمَّ اتَّخَذتُمُ العِجلَ مِن بَعدِهِ وَأَنتُم ظٰلِمونَ

Sahih International

And [recall] when We made an appointment with Moses for forty nights. Then you took [for worship] the calf after him, while you were wrongdoers.

Malay

Dan (kenangkanlah) ketika Kami berjanji kepada Nabi Musa (untuk memberi Taurat kepadanya sesudah dia bersiap selama) empat puluh malam. Kemudian, setelah dia pergi, kamu menyembah (patung) anak lembu, dan kamu sebenarnya orang-orang yang zalim (terhadap diri sendiri).

 

وَإِذ وٰعَدنا موسىٰ أَربَعينَ لَيلَةً

Dan ingatlah ketika Kami saling mengambil perjanjian dengan Nabi Musa selama 40 hari;

Kejadian ini berlaku setelah mereka selamat daripada dikejar oleh Firaun dan selepas kisah belahan laut itu. Sepatutnya, selepas kejadian yang besar itu, bangsa Bani Israil dapat menerima Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai Nabi mereka dan mereka sepatutnya taat kepada baginda tanpa soal lagi. Akan tetapi kita lihatlah apa yang terjadi.

Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah bertapa (bermunajat) di Lembah Thuwa di pergunungan Sinai untuk menerima kitab Taurat. Ini kerana setelah mereka selamat dan boleh membina kehidupan sendiri, mereka memerlukan pimpinan wahyu. Setakat mencapai kemerdekaan sahaja belumlah cukup. Yang lebih penting ialah apakah yang harus dilakukan sesudah merdeka. Jalan manakah yang mesti dituju serta peraturan apakah yang wajib diikuti.

Kalimah وٰعَد mengandungi makna saling. Allah ﷻ dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ  saling berjanji; jikalau Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bermunajat, Allah ﷻ akan memberinya Kitab Taurat. Ada juga yang memahami kata tersebut bukan dalam pengertian saling, tetapi ia hanyalah sepihak, iaitu daripada Allah ﷻ yang berjanji menganugerahkan kitab Taurat kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ setelah berlalu empat puluh malam daripada ibadah yang diperintahkan Allah ﷻ kepadanya itu.

Asalnya munajat itu adalah 30 malam, dan Allah ﷻ perintahkan untuk menambahkannya lagi 10 malam menjadi 40 malam. Dalam tempoh itu, kaumnya yang menunggu berita di bawah gunung telah menyembah patung anak sapi yang diperbuat daripada emas. Ketika Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak ada, Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang ditugaskan memimpin mereka, namun mereka berani membantah baginda. Ini disebut di dalam dalam A’raf:142

۞ وَوٰعَدنا موسىٰ ثَلٰثينَ لَيلَةً وَأَتمَمنٰها بِعَشرٍ فَتَمَّ ميقٰتُ رَبِّهِ أَربَعينَ لَيلَةً ۚ وَقالَ موسىٰ لِأَخيهِ هٰرونَ اخلُفني في قَومي وَأَصلِح وَلا تَتَّبِع سَبيلَ المُفسِدينَ
Dan Kami telah janjikan masa kepada Nabi Musa (untuk memberikan Taurat) selama tiga puluh malam, serta Kami genapkan jumlahnya dengan sepuluh malam lagi, lalu sempurnalah waktu yang telah ditentukan oleh Tuhannya empat puluh malam. Dan berkatalah Nabi Musa kepada saudaranya Nabi Harun (semasa keluar menerima Taurat): “Gantikanlah aku dalam (urusan memimpin) kaumku dan perbaikilah (keadaan mereka sepeninggalanku), dan janganlah engkau menurut jalan orang-orang yang melakukan kerosakan”.

Disebut malam berkenaan munajat Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini, bukan hari atau siang (sedangkan siang pun tentu baginda di sana juga), mengisyaratkan bahawa malam adalah waktu yang paling baik untuk bermunajat menghadapkan diri kepada Allah ﷻ, kerana keheningan dan kegelapan malam serta ketiadaan aktiviti lain, dapat membantu melahirkan ketenangan fikiran dan kekhusyukan kepada Allah ﷻ.

 

ثُمَّ اتَّخَذتُمُ العِجلَ مِن بَعدِهِ

Kemudian kamu ambil anak lembu (sebagai pujaan) selepas pemergiannya (Nabi Musa)

Iaitu selepas Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ naik ke Gunung Sinai. Mereka telah melakukan syirik terang-terangan. Samiri telah mengumpul emas-emas di tangan Bani Israil ketika itu dan meleburkannya dan menjadikan patung anak lembu. Semasa di Mesir dahulu, mereka melihat orang Mesir menyembah berhala anak lembu yang bernama Apis; lalu mereka hendak tiru pula.

Ada pula yang berpendapat umat Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang menjadikan lembu sebagai sesembahan mereka, meniru orang-orang Kan‘an yang mendiami daerah sebelah barat Palestin, Suria dan Lebanon. Mereka menyembah berhala, antara lain yang diperbuat daripada tembaga dalam bentuk manusia berkepala lembu, yang duduk mengulurkan kedua tangannya bagaikan menanti pemberian. Kepada berhala inilah – yang mereka namai ba’l. Berhala yang sama diminta oleh Bani Israil kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagaimana disebut di dalam A‘raf: 138.

وَجٰوَزنا بِبَني إِسرٰءيلَ البَحرَ فَأَتَوا عَلىٰ قَومٍ يَعكُفونَ عَلىٰ أَصنامٍ لَّهُم ۚ قالوا يٰموسَى اجعَل لَّنا إِلٰهًا كَما لَهُم ءآلِهَةٌ ۚ قالَ إِنَّكُم قَومٌ تَجهَلونَ
Dan Kami bawakan Bani Israil ke sebarang Laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah berhala-berhalanya. (Melihatkan yang demikian) mereka (Bani Israil) berkata: “Wahai Musa buatlah untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan”. Nabi Musa menjawab: “Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil.

Bayangkan semua ini berlaku selepas segala apa yang telah terjadi dan segala apa yang mereka telah saksikan. Setelah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyelamatkan mereka dan selepas Allah ‎ﷻ telah belahkan laut untuk mereka. Mereka masih lagi mahu melakukan perkara syirik. Maka amat berat sekali dosa yang telah mereka lakukan.

Allah ﷻ boleh sahaja berikan Taurat itu selesai dalam satu malam sahaja. Akan tetapi Allah ﷻ menguji umat baginda untuk melihat sama ada mereka benar-benar beriman dengan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Di dalam ayat ini hanya disebut اتَّخَذتُمُ العِجلَ (Kalian mengambil anak lembu) tanpa disebut ambil sebagai apa. Kita boleh faham yang mereka menjadikan patung anak lembu itu sebagai sembahan dengan melihat kepada konteks ayat-ayat Al-Qur’an, akan tetapi tidak disebut secara jelas. Agaknya sengaja tidak disebutkan kerana betapa buruk dan tidak logiknya perbuatan tersebut, sehingga ia tidak wajar diabadikan di dalam Al-Qur’an.

Alangkah jahatnya perbuatan kamu itu wahai Bani Israil! Padahal kamu telah dibebaskan daripada lembah kehinaan di bawah takluk Firaun yang menganggap dirinya Tuhan. Itu adalah kesyirikan yang teramat besar dan sekarang kamu pula berbuat kejahatan besar itu belum lama sesudah kamu dibebaskan. Ini membuktikan bahawa kamu langsung tidak tahu menghargai erti kebebasan!

 

وَأَنْتُمْ ظٰلمُونَ

dan kamu waktu itu zalim;

Makna ‘zalim’ dalam ayat ini bermaksud syirik. Ini kerana maksud zalim adalah tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Apabila tidak meletakkan Allah ﷻ pada tempatnya, maka ini adalah kezaliman dan ia merupakan kezaliman yang paling besar. Allah ﷻ berfirman dalam Luqman:13

وَإِذ قالَ لُقمٰنُ لِابنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يٰبُنَيَّ لا تُشرِك بِاللهِ ۖ إِنَّ الشِّركَ لَظُلمٌ عَظيمٌ
Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu dia memberi pelajaran kepadanya: “Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar”.

Ada dalam kalangan umat Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang telah menyembah patung anak sapi. Orang-orang lain tidak berani melarang, kerana yang buat itu adalah orang-orang yang gagah. Malah Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun tidak berani hendak melarang mereka kerana telah dibentak dan diugut bunuh oleh mereka. Kalau baginda teruskan juga, maka baginda mungkin dibunuh.

Yang menjadi kepalanya adalah seorang individu yang bernama Samiri. Allah ‎ﷻ hendak menekankan bahawa yang zalim sebenarnya adalah mereka kerana bangsa Bani Israil ini adalah jenis yang suka menyalahkan orang lain dalam kesalahan mereka. Sampai Allah ﷻ pun mereka salahkan apabila mereka telah melakukan kesalahan. Maka Allah ﷻ ingin menekankan bahawa merekalah sebenarnya yang bersalah, bukannya orang lain, pasti sekali bukannya Allah ﷻ.


 

Baqarah Ayat 52: Ini adalah sambungan kepada ayat sebelum ini. Inilah nikmat yang diberikan kepada mereka. Sebelum ini disebut kesyirikan yang mereka lakukan.

ثُمَّ عَفَونا عَنكُم مِّن بَعدِ ذٰلِكَ لَعَلَّكُم تَشكُرونَ

Sahih International

Then We forgave you after that so perhaps you would be grateful.

Malay

Kemudian sesudah itu Kami maafkan kesalahan kamu, supaya kamu bersyukur.

 

ثُمَّ عَفَونا عَنكُم مِّن بَعدِ ذٰلِكَ

Kemudian Kami ampunkan kamu selepas itu;

Iaitu mereka tidaklah terus dihancurkan kerana kesyirikan mereka itu. Maknanya tidak dihancurkan semua umat mereka sampai tidak ada baka. Sebahagian sahaja dibunuh, iaitu mereka yang melakukan syirik itu. Sedangkan dalam sejarah, ada kaum yang dimusnahkan semua sekali termasuk keturunan mereka walaupun bukan semua yang berbuat salah. Mereka itu dimusnahkan kerana mereka tidak menegur golongan yang membuat salah itu.

Makna عَفَ adalah memaafkan dalam keadaan sayang. Ini kerana kita boleh juga memaafkan seseorang walaupun masih lagi dalam keadaan marah kepadanya. Akan tetapi Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan yang menunjukkan Dia masih sayangkan mereka. Inilah nikmat dan jasa yang Allah ﷻ maksudkan.

Lagi satu makna عَفَ adalah Allah ﷻ telah memadamkan rekod dosa itu. Tidak ada dalam rekod lagi, semua telah dibersihkan (expunge). Dalam hal ini, kalimah عَفَ lebih kuat daripada غفر kerana kalau غفر bermaksud telah maafkan, tetapi rekod masih ada lagi, belum dipadamkan.

Memang, perbuatan mereka itu amat zalim sekali. Betapa tidak, Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah mengajarkan tauhid kepada mereka, Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun yang menemani selama kepergian Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terus menerus mengingatkan mereka. Tidak sedikit pun alasan atau dalihan yang dapat membenarkan tindakan mereka itu. Walaupun demikian, Allah ﷻ tidak menyeksa mereka, bahkan memaafkan mereka setelah melakukan puncak dosa itu, dengan tujuan agar mereka mahu bersyukur. Ini menunjukkan betapa luasnya sifat pengampun Allah ﷻ.

Mereka diberi maaf sesudah berbuat kesalahan besar itu, bukan pula kerana mereka itu ummat yang istimewa atau suku pilihan Allah ﷻ, melainkan kerana kejahilan. Oleh kerana itu, Allah ﷻ tidak hancurkan mereka seluruhnya. Ini kerana kejadian itu ialah sebelum Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pulang membawa Hukum Taurat dan syariat untuk mereka. Maka hendaklah mereka bersyukur kerana masih diberikan kesempatan untuk memperbaiki diri.

Allah ﷻ memaafkan semua sekali dosa mereka. Bukanlah dengan Allah ﷻ memaafkan itu hendak mengatakan yang perbuatan mereka itu betul, tetapi maaf itu dengan makna Allah ﷻ telah menerima taubat mereka. Taubat mereka itu pula dengan hukum bunuh. Sesiapa yang sembah anak lembu dikenakan bertaubat dan untuk taubat, mestilah dibunuh. Itulah syariat Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ waktu itu. Cara mereka bertaubat adalah: mereka kena saling bunuh membunuh sesama mereka. Iaitu mereka yang tidak menyembah anak patung itu disuruh membunuh mereka yang telah menyembah.

Waktu itu Allah ﷻ turunkan kabus supaya tidak nampak siapakah yang mereka bunuh. Mujurlah syariat kita tidak seperti itu lagi, iaitu tidak perlu bunuh diri. Cukup sekadar taubat sahaja jikalau pernah melakukan syirik. Kalau tidak, banyaklah yang kena bunuh kerana banyak sangat amalan syirik yang kita buat sebenarnya tanpa kita sedari.

Satu lagi nikmat Allah ﷻ kepada mereka: walaupun mereka sembah anak lembu itu, Allah ﷻ tidak turunkan azab ke atas mereka yang boleh menghapuskan seluruh keturunan mereka itu. Sampai sekarang Bani Israil itu masih ada lagi. Yang tidak sembah anak lembu itu dibiarkan hidup seperti biasa, dan yang sembah sahaja dikenakan hukum bunuh. Ringkasnya, ada dua nikmat yang Allah ﷻ telah berikan.

 

لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Mudah-mudahan kamu bersyukur;

Tujuannya mereka diampunkan adalah supaya mereka boleh bersyukur kepada Allah ﷻ dengan melakukan ketaatan. Maknanya syukur itu mestilah ditunjukkan dengan melakukan taat kepada perintah dan larangan Allah ﷻ. Mereka sepatutnya bersyukur kerana setelah melakukan perbuatan syirik itu, Allah ﷻ masih mahu mengampunkan lagi kesalahan syirik mereka.

Dengan peringatan-peringatan sebegini, sepatutnya sedarlah Bani Israil yang mendapat peringatan ini ketika Rasulullah ﷺ itu bahawa memang sejak dari mula lagi mereka telah keras kepala, sombong tetapi bodoh, tinggi hati tetapi jahil.

Kesalahan melakukan syirik adalah dosa teramat besar, akan tetapi Allah ﷻ masih sanggup lagi menerima taubat pelakunya. Syarat untuk taubat kita diterima, kita kenalah hidup lagi. Kalau sudah mati, tidak ada harapan untuk diterima taubat. Maka kita mestilah meminta ampun selagi kita masih hidup. Seandainya kita sudah mati, tidak ada sesiapa yang boleh memohon ampun dosa syirik kita. Untuk dosa selain syirik, masih boleh lagi sanak saudara atau orang Islam yang lain mohon mengampunkan dosa untuk kita. Akan tetapi untuk dosa kesalahan syirik, pelaku syirik itu mestilah meminta ampun sendiri dan ini mesti dilakukan sebelum mati.

Namun begitu, untuk meminta ampun kepada Allah ﷻ semasa hidup, seseorang itu mestilah sedar bahawa dia telah melakukan syirik. Ini memerlukan ilmu tentang apa itu Tauhid dan apa itu syirik kerana kalau tidak, ramai yang melakukan syirik kerana tidak mengerti. Penjelasan tentang Tauhid dan syirik banyak disebut di dalam Al-Qur’an, kerana itulah pentingnya belajar tafsir Al-Qur’an.

Maka pengajaran penting di sini adalah tentang syukur tetapi yang lebih penting kita kena tahu adalah bagaimana cara bersyukur. Adakah hanya dengan menyebut Alhamdulillah sahaja? Itu tidak cukup kerana perbuatan syukur yang sebenar adalah dengan mentaati perintah Allah ﷻ dan meninggalkan larangan-Nya. Barulah dikira benar-benar syukur. Kalau kita mendapat sesuatu daripada orang, adakah kita akan lawan cakapnya? Tentu tidak, bukan? Maka begitulah juga dengan Allah ﷻ. Dengan segala nikmat yang telah diberikan kepada kita, adakah layak kita melawan arahan-Nya? Allah ﷻ ajar kita cara bersyukur seperti disebut Baqarah: 172

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا كُلُوْا مِنْ طَيِّبٰتِ مَا رَزَقْنٰكُمْ وَاشْكُرُوْا لِلّٰهِ اِنْ كُنْتُمْ اِيَّاهُ تَعْبُدُوْنَ
Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.

Ternyata di dalam ayat ini Allah ﷻ memberitahu yang jikalau kita mendapat rezeki makanan, maka hendaklah bersyukur. Ayat ini hendaklah dibaca bersama dengan Mukminoon: 51 untuk mendapat pemahaman tentang apakah itu syukur.

يا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلوا مِنَ الطَّيِّبٰتِ وَاعمَلوا صٰلِحًا
Hai rasul-rasul, makanlah daripada makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang soleh.

Kalau dibaca kedua-dua ayat ini, kita boleh kaitkan bahawa syukur yang dimaksudkan di dalam Baqarah: 172 itu adalah dengan melakukan amal soleh seperti disebut pula di dalam Mukminoon: 51. Inilah kaitan antara syukur dan beramal soleh. Maka ia bukanlah dari segi iktikad dan melafazkan Alhamdulillah sahaja, tetapi hendaklah diikuti dengan melakukan amal soleh. Kerana itulah Rasulullah ﷺ banyak melakukan ibadat seperti yang disebut di dalam hadith yang masyhur,

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّى قَامَ حَتَّى تَفَطَّرَ رِجْلَاهُ قَالَتْ عَائِشَةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتَصْنَعُ هَذَا وَقَدْ غُفِرَ لَكَ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ فَقَالَ يَا عَائِشَةُ أَفَلَا أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا
Aisyah رضي الله عنها berkata, Rasulullah ﷺ ketika melaksanakan solat maka baginda berdiri hingga kedua kakinya bengkak. Aisyah رضي الله عنها bertanya, “Wahai Rasulullah, apa yang engkau perbuat, sedangkan dosamu yang telah lalu dan yang akan datang telah diampuni?” Lalu baginda menjawab, “Wahai Aisyah, bukankah seharusnya aku menjadi hamba yang banyak bersyukur?”.
(Sahih Muslim (5046))

Dari sini kita dapat belajar bahawa semakin banyak nikmat yang kita dapat, hendaklah kita menunjukkan syukur dengan lebih banyak melakukan ibadah.

Apakah lagi maksud syukur? Ia juga bermaksud taat kerana kalau tidak taat, itu adalah kufur. Ini seperti yang Allah ﷻ telah sebut dalam Baqarah: 152

وَاشكُروا لي وَلا تَكفُرونِ
dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur

Cuma kufur itu ada banyak jenis. Ada kufur yang mengeluarkan seseorang itu daripada Islam dan ada yang tidak. Contohnya seperti ayat Baqarah: 152 ini, ia bermaksud kufur nikmat. Iaitu tidak iktiraf yang Allah ﷻ telah beri nikmat kepada kita. Ada orang yang mendapat segala nikmat namun dia tidak kata itu daripada Allah ﷻ, tetapi daripada kepandaian dia bekerja atau berniaga katanya.

Juga kena ingat yang kita sekarang menikmati segala pemberian daripada Allah ﷻ. Jika Allah ﷻ yang telah memberikan segalanya kepada kita, takkan kita hendak melawan Dia pula? Bayangkan ada orang yang beri hadiah dan kurnia kepada kita, tetapi kita lawan cakapnya, bagaimana?


 

Baqarah Ayat 53: Ini adalah nikmat keempat.

وَإِذ آتَينا موسَى الكِتٰبَ وَالفُرقانَ لَعَلَّكُم تَهتَدونَ

Sahih International

And [recall] when We gave Moses the Scripture and criterion that perhaps you would be guided.

Malay

Dan (kenangkanlah) ketika Kami turunkan kepada Nabi Musa kitab (Taurat) dan keterangan-keterangan (yang terkandung di dalamnya, yang membezakan antara yang benar dengan yang salah), supaya kamu mendapat petunjuk.

 

وَإِذْ آتَيْنَا مُوسَى الْكِتٰبَ

Dan ingatlah ketika Kami beri kepada Nabi Musa Kitab Taurat;

Kitab yang dimaksudkan adalah Kitab Taurat. Kitab itu bermaksud mereka telah diberikan dengan hukum yang mereka kena ikuti.

 

وَالْفُرْقَانَ

sebagai pembeza;

Iaitu pembeza antara hak dan batil. Kalau buat begini, syirik; kalau begitu, tidak. Al-Qur’an pun sama juga menjelaskan apakah syirik supaya kita dapat membezakannya. Kerana itulah Al-Qur’an juga dikenali sebagai al-Furqan. Dari segi akidah, sama sahaja ajaran Al-Qur’an dengan kitab-kitab yang lain. Yang berbeza adalah dari segi syariat.

Kalimah الفرقان di dalam ayat ini mengandungi tiga tafsiran:

    1. Merujuk kepada Kitab Taurat itu sendiri, sebagai penjelasan bagi sifat Kitab Taurat. Iaitu Kitab Taurat itu menjadi pembahagi, penerang, pembeza antara benar dan batil.
    2. Oleh kerana ada huruf و (dan) sebelum kalimah الفرقان itu, maka ia memberi indikasi bahawa ia adalah perkara yang lain. Maka ada tafsir yang mengatakan kalimah الفرقان (pembeza) itu merujuk kepada mukjizat-mukjizat yang telah diberikan kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (contohnya tongkat baginda) sebagai tanda kebenaran baginda.
    3. Hukum syariat yang terdapat di dalam Kitab Taurat itu.

 

لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

supaya kamu mendapat petunjuk;

Mereka sepatutnya menggunakan Kitab Taurat itu sebagai panduan petunjuk mereka. Sebagai manusia seharusnya ada usaha untuk mendapatkan petunjuk dan hidayah. Allah ﷻ sudah menolong dengan menurunkan Kitab sebagai panduan.

Kitab itu mestilah dipelajari dan diikuti. Bukanlah kalau sudah ada Kitab daripada Allah ﷻ, maka terus selamat. Yang menerimanya mestilah belajar dan berpegang dengannya. Perumpamaannya, Allah ﷻ sudah membuka jalan untuk mereka, sekarang mereka mesti mengikut sahaja jalan itu.

Begitulah jugalah kita dengan Al-Qur’an ini, mesti dipelajari. Jangan setakat berbangga sahaja ada Al-Qur’an tetapi tidak faham apakah yang Al-Qur’an sampaikan. Majoriti masyarakat kita hanya tahu baca sahaja Al-Qur’an itu tetapi tidak tahu apakah yang disampaikan oleh Al-Qur’an. Amat malang sekali.

Kesimpulannya terlalu banyak nikmat yang telah diberikan kepada Bani Israil itu. Kalau diikutkan begitu kurang ajarnya mereka, sudah tentu mereka itu tidak layak untuk mendapat nikmat lagi. Namun Allah ﷻ tetap berikan juga Kitab Taurat kepada mereka. Mudah-mudahan dengan kitab itu mereka terpimpin.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 12 September 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 51 – 53 (Yahudi menyembah patung anak lembu)”

  1. Maaf bertanya boleh jelaskan lagi tentang hadis ni“Kalau bukan kerana bani Israil nescaya makanan dan daging kita tidak akan membusuk dan seandainya bukan kerana Hawa (isteri Nabi Adam) nescaya wanita tidak akan mengkhianati suaminya selama-lamanya.” (HR Bukhari & Muslim).Saya faham tentang daging itu manakala tentang wanita tidak akan khianati bukan kerana Hawa.Boleh jelaskan thank you

    Like

    1. Khianat yang dimaksudkan di dalam hadis itu bukan bermaksud curang terhadap suami atau melakukan zina dengan orang lain. Hawa mengkhianati suami adalah iaitu apabila ia mengingkari perintah Allah dengan mengajak Nabi Adam a.s memakan buah khuldi. Al-Quran juga merujuk bahawa terdapat isteri para nabi yang khianat dengan suami mereka. Dan khianat itu bukanlah bermaksud dengan berzina akan tetapi mereka melakukan sesuatu yang menyakiti hati suaminya. Misalnya isteri Nabi Nuh dan Nabi Luth berkhianat dengan suami bukan sebab berzina tetapi ingkar perintah Allah.

      Ibnu Hajar berkata, khianat yang dimaksudkan di dalam hadis itu adalah merujuk kepada peristiwa Hawa mengajak Nabi Adam a.s makan buah khuldi yang telah dilarang oleh Allah. Khianatnya Hawa di situ adalah kerana termakan ajakan iblis dan melanggar perintah Allah hingga menyebabkan mereka dikeluarkan dari syurga. Hadis itu juga menceritakan bahawa apa yang telah berlaku pada Hawa, itulah sebenarnya sifat semula jadi wanita yang telah Allah ciptakan. Jadi, lelaki tidak boleh menyalahkan wanita sepenuhnya sama ada tidak sengaja atau kadang-kadang melakukan kesalahan dan menyakiti lelaki. Lelaki (suami) lah yang kena berhati-hati dan berjaga. Jangan ikut sahaja. Sebab itu Hawa tidak dipersalahkan bersendirian kerana Nabi Adam juga bersalah kerana termakan ajakan.

      Bagi wanita pula janganlah terlalu mengikut sangat perangai semula jadi itu, sebaliknya berusahalah untuk mendisplinkan diri dan melawan kehendak nafsu itu. Ya, ia memang sifat semulajadi, tapi kenalah lawan.

      Like

Leave a comment