Tafsir Surah Baqarah Ayat 43 – 48 (Minta tolong dengan solat dan sabar)

Ayat 43: Ayat ini adalah sebagai rawatan/penawar kepada kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan. Dalam agama, kalau tidak cinta Allah, sebaliknya cinta kepada dunia, tidak akan pergi ke mana. Agama memerlukan hubungan yang rapat dengan Tuhan. Barulah akan terima segala arahan. Kalau jauh dengan Allah, baru sanggup nak tinggalkan arahan. Kalau rapat dengan Allah, tentu tidak berani nak meninggalkan arahan Allah.

Oleh kerana itu, Allah nak rawati Ahli Kitab untuk kembali kepada ajaran Taurat yang sebenar dengan mengadakan hubungan rapat dengan Allah. Barulah hukum yang payah pun mereka akan sanggup buat kerana ianya adalah arahan ‘kekasih’.

وَأَقيمُوا الصَّلَوٰةَ وَءآتُوا الزَّكَوٰةَ وَاركَعوا مَعَ الرّٰكِعينَ

Sahih International

And establish prayer and give zakah and bow with those who bow [in worship and obedience].

Malay

Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.

 

وَأَقِيمُوا الصَّلَوٰةَ

Dan hendaklah kamu mendirikan sembahyang;

Kena baiki hubbul jah (cinta kepada kedudukan). Caranya adalah dengan hinakan diri depan Allah taala dengan melakukan solat. Mengaku hina dina depan Allah. Maka, falsafah solat itu adalah: tinggikan Allah dan hinakan diri kita. Kena bersungguh dalam melakukannya. Kalau tidak faham, maka tidaklah rasa diri hina dan Allah itu tinggi.

Maka kerana kepentingan solat itu, maka Bani Israil itu diajak untuk kembali taat kepada Allah dengan melakukan solat. Kalau sebelum ini mereka telah pernah mencampuradukkan yang haq dan batil, maka berhentilah dari buat kesalahan itu.

Allah beri arahan kepada mereka semua, hendaklah dirikan solat. Kerana ianya adalah amalan yang boleh merapatkan hamba dan Allah. Solat adalah ibadat terbaik untuk merapatkan diri dengan Allah. Kerana apabila kita sudah takbir, kita tidak dibenarkan buat perkara lain – tidak boleh bercakap, tidak boleh makan, tidak boleh ingat selain Allah.

Tidak sama dengan ibadat puasa, haji dan sebagainya – masih boleh buat macam-macam hal lagi. Sambil tawaf pun ada bercakap dalam telefon lagi, masih ambil gambar lagi. Dan tawaf itu masih sah lagi. Tapi tidak dengan solat – kena tawajuh kepada Allah dari mula sambil habis.

Celaka kalau dalam solat tapi tidak ingat kepada Allah – ini mafhum dari ayat Quran. Oleh itu, untuk memperbaiki hubungan dengan Allah, tidak ada amalan yang sehebat solat.

 

وَآتُوا الزَّكَوٰةَ

Dan mengeluarkan zakat;

Dan tunaikanlah zakat. Ini adalah titah supaya tidak zalim dengan orang lain. Ini termasuk dalam perkara adat – hubungan sesama manusia. Kalau solat tadi, hubungan dengan Allah.

Mengeluarkan zakat dapat menyelesaikan masalah hubbul maal (cinta harta benda). Kerana cinta harta jugalah yang menyebabkan berselerak habis umat Islam. Maka kena tunaikan zakat yang dapat mengurangkan rasa cinta kepada harta itu.

Maka kena infak dan zakat. Jadikan orang lain sebagai tempat memberi dan ambil pahala bagi kita. Kita telah ambil harta dari Allah dan kita kena beri kepada orang lain, kerana ada bahagian orang lain dalam harta kita. Ianya bukan sepenuhnya harta kita. Allah beri kita harta yang lebih supaya kita boleh salurkan kepada orang lain.

Asal zakat adalah kasihan belas kepada orang lain, kerana kita beri harta yang kita cari sendiri kepada orang lain. Memang kita sayang harta kita, tapi dengan cara itu boleh mengeratkan hubungan kita dengan orang lain. Dengan bermodalkan amalan zakat ini, hubungan sesama manusia akan terjaga.

Kalau tidak ada belas kasihan kepada orang lain, tidak ada harapan untuk manusia lagi. Oleh kerana itu, Allah syariatkan zakat kepada manusia. Inilah yang sekurang-kurangnya yang kena lakukan. Ia mewakili segala perbuatan baik kepada orang lain.

Paling kurang sekali dalam hubungan sesama manusia, kita jangan buat zalim atau menyusahkan kepada orang lain. Iaitu jangan disebabkan kita, orang lain jadi susah. Yang paling baik adalah kita susah untuk senangkan orang lain. Dan di tengah-tengah, kita sama-sama senang.

 

وَارْكَعُوا مَعَ الرَّٰكِعِينَ

Dan rukuklah bersama dengan orang yang rukuk;

Ayat ini mengajak ahli Kitab untuk bersama-sama mendirikan solat dengan orang Islam yang lain. Dalam ibadat mereka pun ada mendirikan solat juga sebenarnya, cuma sebab dah banyak perubahan, ramai mereka yang sudah tidak buat lagi.

Dalam ayat ini, mereka masih lagi diberi peluang untuk kembali bersama dengan orang Islam. Mereka masih lagi diajak untuk menerima Nabi Muhammad sebab baginda adalah Rasul mereka juga.

Ini adalah rawatan kepada penyakit hasad dengki. Iaitu perasaan tidak suka ada orang yang lebih dari kita. Maka kena rukuk dengan orang lain. Supaya semasa berjemaah itu kita dapat rasakan yang diri sama dengan orang lain. Walaupun dah jadi khalifah pun, tapi jangan angkat diri kerana mereka masih solat bersama dengan orang lain juga.

Macam khalifah ur raasyidin, mereka masih boleh ditegur oleh manusia biasa.  Ini adalah kerana mereka anggap diri mereka sama dengan umat lain. Maka solat berjemaah dapat menghalang seseorang itu dari merasa diri lebih dari orang lain.

Allah kata hendaklah kamu rukuk bersama orang lain yang rukuk. Ini maksudnya kena duduk berjemaah dengan orang lain. Jangan duduk seorang diri tapi hendaklah bermasyarakat. Dan kalau bermasyarakat dalam bentuk ibadat, itulah yang terbaik sekali.

Ianya sesuatu yang perlu dilakukan dulu. Kalau tidak baik bermasyarakat dalam ibadat, jangan harap yang bermasyarakat di luar jadi baik. Jadi, kena mulakan dengan bermasyarakat dalam ibadat – duduk dalam saf berjemaah dan ikut kepada imam. Kalau ini tidak boleh, seseorang tidak mungkin bermasyarakat dengan baik. Masyarakat akan jadi teruk kalau tidak datang solat berjemaah. Inilah cara Allah ajar manusia.

Dalam amalan Yahudi, tidak ada amalan rukuk – solat mereka hanya ada qiyam dan sujud sahaja. Jadi, dalam ayat ini, mereka diajar untuk belajar rukuk seperti umat akhir zaman. Maksudnya, mereka kena hidup berjemaah dengan kalangan Nabi Muhammad. Mereka sudah kena ikut syariat Nabi Muhammad. Barulah mereka akan selamat kalau mereka buat begitu. Kalau duduk dengan puak Yahudi sahaja, tidak akan jadi.

Satu lagi pengajaran adalah sembahyang itu kena buat di masjid. Tidak boleh buat di rumah. Tapi malangnya, telah diajar kepada kita oleh guru yang salah, boleh pula solat di rumah bersama anak dan isteri. Mereka kata buat macam itu dah dapat pahala 27 darjat. Padahal, orang perempuan kalau solat di rumah sudah boleh dapat 27 darjat dengan solat sendiri. Iaitu sama dengan pahala orang lelaki yang solat di masjid.

Adakah Allah tidak adil dengan beri kelebihan kepada perempuan? Tidak sama sekali. Keadaan orang perempuan tidak sama dengan orang lelaki. Peluang perempuan untuk beribadat memang kurang, sebab mereka sibuk dengan urusan jaga anak dan sebagainya, maka Allah ganti kekurangan itu dengan memberi pahala yang banyak kepada mereka dalam membuat ibadat yang sedikit.

Mereka dapat pahala dengan buat kerja rumah dan sebagainya. Tuhan itu Maha Adil. Tapi itu adalah untuk perempuan. Kepada lelaki, mereka wajib untuk solat berjemaah di masjid atau di surau.


 

Ayat 44: Satu lagi sifat Pendita Yahudi

۞ أَتَأمُرونَ النّاسَ بِالبِرِّ وَتَنسَونَ أَنفُسَكُم وَأَنتُم تَتلونَ الكِتٰبَ ۚ أَفَلا تَعقِلونَ

Sahih International

Do you order righteousness of the people and forget yourselves while you recite the Scripture? Then will you not reason?

Malay

Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?

 

أَتَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ

Patutkah kamu menyuruh manusia kepada kebaikan;

Iaitu mereka menyuruh orang lain belajar agama. Ini adalah ayat teguran kepada puak Yahudi. Sebelum itu kita kena faham perangai mereka. Ada kalangan puak Yahudi yang datang duduk dengar ajaran dalam majlis Nabi Muhammad. Tentulah mereka akan dengar tentang perkara-perkara baik yang diajar oleh Nabi Muhammad.

Maka, selepas itu mereka akan pergi menceritakan apa yang mereka dengar kepada pendita-pendita mereka. Mereka tanya adakah benar apa yang diajar oleh Muhammad itu? Pendita mereka pun jawab, memang pun apa yang Muhammad ajar, tidak salah.

Maka, pengikut mereka pun tanya, kalau Nabi Muhammad itu betul, kenapa tidak ikut dia sahaja? Pendita menjawab yang Nabi Muhammad itu adalah Nabi bangsa Arab dan mereka adalah bangsa Yahudi jadi mereka tak ikut kerana bukan Nabi mereka.

 

وَتَنْسَوْنَ أَنْفُسَكُمْ

Tapi kamu lupa diri kamu sendiri;

Mereka suruh orang lain belajar, tapi mereka sendiri tak belajar. Mereka mengaku yang Nabi Muhammad itu adalah seorang rasul dan bawa ajaran yang benar. Mereka suruh orang lain ikut Nabi Muhammad tapi mereka sendiri tidak ikut Nabi Muhammad.

Macam-macam alasan yang diberikan oleh mereka. Itulah sebabnya Allah tegur mereka. Mereka suruh orang lain ikut, tapi mereka sendiri tidak ikut. Mereka tidak memikirkan keselamatan iman mereka sendiri.

Ini adalah sesuatu yang menakutkan. Takut kita termasuk dalam golongan macam ini. Kita memberi nasihat kepada orang lain, tapi kita sendiri tak menjaga perbuatan kita. Contohnya, kita mungkin tetap dalam menjalankan ibadat sembahyang dan puasa, tapi dalam masa yang sama, kita juga ada menipu orang lain.

Kita hanya melakukan perkara yang pada zahirnya nampak Islam, tapi kita tak buat perkara-perkara lain yang disuruh oleh agama. Contohnya, mengambil rasuah. Berapa banyak negara Islam yang rakyatnya yang ada pangkat mengambil rasuah? Kalau nak cepat berurusan dengan kerajaan di negara Islam, kena bagi rasuah sikit, baru jalan kerja itu. Di negara kita ini pun banyak juga.

Walaupun kita beragama Islam, tapi malangnya akhlak kita buruk. Inilah yang menyebabkan orang bukan Islam tidak memandang tinggi kepada agama Islam. Kepada mereka, kalau agama itu baik, tentulah orang yang beragama itu pun jadi baik juga, bukan?

Jadi, kita kena ingat yang kita adalah duta kepada agama Islam. Tapi malangnya kita menjadi duta yang teruk untuk Islam. Kerana akhlak kita yang buruk, orang bukan Islam tidak nampak keindahan Islam. Realiti ini kita terpaksa terima, walaupun pahit.

 

وَأَنْتُمْ تَتْلُونَ الْكِتٰبَ

sedangkan kamu baca Kitab;

Allah tegur lagi mereka. Sedangkan mereka itu baca kitab Taurat, tapi tak mahu belajar dengan Nabi Muhammad. Mereka sebenarnya kaum yang telah diberikan Kitab Taurat, dan memang mereka baca kitab itu, oleh itu sepatutnya mereka tahu apakah kebenaran.

Tapi mereka telah salah fahaman. Mereka sangka mereka diamanahkan untuk jaga Taurat sahaja. Sedangkan anak murid mereka, mereka suruh pergi belajar dengan Nabi Muhammad. Maknanya, mereka pun tahu yang Islam itu adalah agama yang benar juga. Cuma mereka sangka, mereka sebagai pendeta yang tidak layak untuk terima Islam.

Begitulah ada dalam kalangan orang-orang agama di negara kita ini. Mereka sepatutnya sudah tahu banyak tentang Islam, tapi mereka masih tidak belajar tafsir Quran lagi. Kalau kita tanya kepada guru-guru itu, adakah elok kalau belajar tafsir, mereka akan kata elok. Tapi mereka sendiri tak belajar.

Maka, anak-anak murid mereka pun, apabila lihat guru mereka sendiri tidak mementingkan pembelajaran tafsir, mereka pun tidak mahu nak pergi belajar juga. Oleh itu, ayat ini ditujukan kepada guru-guru yang bersifat seperti pendita Yahudi.

Macam kita juga, Allah telah takdirkan kita bernasib baik kerana kita ada Quran. Tapi ramai antara kita tak pakai ajaran yang ada dalam Quran itu. Padahal, dari kecil lagi kita telah diberitahu yang Quran ini adalah sumber pedoman kita. Tapi sampai ke tua, sampai mati tidak belajar apakah yang disampaikan oleh Quran ini. Ini amat-amat menyedihkan. Tak tahulah macam mana kita nak jawap di hadapan Allah taala nanti.

Antara sebab kita tidak mengikut ajaran dalam Quran adalah kerana kita sendiri tidak belajar apakah yang Quran suruh kita buat sebab kita tak belajar tafsir. Padahal, tafsir ini wajib dipelajari. Kalau hanya membaca sahaja Quran tapi tak faham apakah yang hendak disampaikan oleh Quran, bagaimana kita hendak beramal sebagaimana yang disarankan oleh Quran?

Ramai yang kata mereka baca terjemahan ayat-ayat Quran itu. Tapi soalannya, adakah dengan baca terjemahan itu sahaja, mereka sudah faham apakah yang hendak disampaikan oleh ayat-ayat Quran itu? Saya rasa tidak. Kerana kalau kita baca terjemahan pun, kita tidak faham kerana ianya memerlukan penjelasan dari orang yang tahu tentang tafsir.

 

أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Tidakkah kamu mempunyai akal?

Allah tegur lagi golongan Yahudi itu: Tidakkah kamu memikirkan betapa teruknya kamu dan betapa jauhnya kamu dari kebenaran?

Perkataan ‘aqal’ dalam bahasa Arab asalnya adalah dari perkataan ‘ikat’. Iaitu orang Arab akan mengikat unta mereka supaya tidak lari. Maka, dari situ datang perkataan ‘aqal’. Iaitu mengikat nafsu kita. Orang yang berakal akan berupaya untuk mengawal nafsu mereka.

Mereka berfikir tanpa dipengaruhi oleh nafsu. Masalahnya kalau kita tidak dapat mengawal nafsu, tingkah laku kita bukan berdasarkan kepada fikiran yang waras, tapi hasil dari ikutan nafsu kita. Orang yang tidak menggunakan akal, adalah mereka yang ikut nafsu mereka.


 

Ayat 45: Ayat ini adalah sebagai penawar bagi kesalahan-kesalahan yang telah disebut diatas tadi.

Kenapa mereka boleh jadi sampai begitu? Kerana mereka mengejar keduniaan. Sebelum Nabi Muhammad datang, mereka ramai anak murid dan ramai orang rujuk kepada mereka.

Tapi kalau mereka sekarang kena belajar pula dengan Nabi, masuk majlis Nabi, tentulah mereka pula yang kena jadi anak murid dan tidak ada yang datang belajar dengan mereka lagi. Mereka dah tak jadi guru dah. Mereka tak boleh terima kalau jadi macam itu. Mereka tak bersedia nak jadi anak murid semula.

Ini adalah masalah dalam hati dan kena rawati cepat-cepat masalah hati itu. Kena minta pertolongan dengan solat dan sabar. Sabarlah dengan kata-kata manusia yang ejek mereka – kalau ada yang ejek mereka dengan berkata: dulu jadi guru, sekarang jadi anak murid pula?

Mintalah bantuan dengan Allah dengan sifat sabar, sebab sabar itu menerima seadanya dalam segala keadaan, apa sahaja kata-kata orang terhadap mereka atau perbuatan orang terhadap kita. Jangan peduli dengan mereka.

 

وَاستَعينوا بِالصَّبرِ وَالصَّلَوٰةِ ۚ وَإِنَّها لَكَبيرَةٌ إِلّا عَلَى الخٰشِعينَ

Sahih International

And seek help through patience and prayer, and indeed, it is difficult except for the humbly submissive [to Allah ]

Malay

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;

 

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ

Dan hendaklah kamu meminta pertolongan kepada Allah dengan bersabar;

Pertamanya, kita kena sabar dengan apa yang terjadi kepada kita. Kita kena sedar yang apa-apa sahaja yang terjadi kepada kita adalah dalam taqdir Allah. Maka kita kena terima.

Ada satu lagi sabar yang penting, iaitu sabar dalam belajar. Kerana belajar itu bukanlah sesuatu yang mudah. Berapa ramai yang mulanya bersemangat untuk belajar tapi lama kelamaan mereka tidak sanggup lagi hendak meneruskan. Hendaklah kita bersabar dalam mempelajari agama ini sampai kita faham sungguh-sungguh apakah yang agama ini hendak dari kita.

Hendaklah kita minta kepada Allah untuk memberi kita kesanggupan untuk belajar. Kerana pembelajaran akan mengambil masa yang lama. Kalau kita tidak diberi kesanggupan itu, kita tidak sanggup untuk menempuhinya. Kita kena minta dengan Allah. Kalau Allah tak tolong kita dan beri taufik kepada kita, tentulah kita hanyut. Mula-mula mungkin bersemangat, tapi lama-lama layu. Amat bahaya kalau kita tahu agama ini sikit-sikit sahaja. Kita kena mendalaminya.

Perkataan وَاسْتَعِينُوا itu bermaksud ‘meminta pertolongan’. Lebih tepatnya lagi, ia bermaksud kita meminta pertolongan apabila kita tidak mampu melakukan sesuatu seorang diri. Tapi sebelum kita meminta pertolongan itu, kita telah melakukan usaha kita sendiri. Bukanlah kita minta tolong kepada seseorang, tapi kita tidak melakukan apa-apa pun.

Contohnya, kita minta tolong orang untuk tukar tayar kereta kita yang pecah, takkan kita duduk dalam kereta sambil orang yang tolong kita itu sedang tukar tayar itu, bukan? Tentulah kita pun kena buat sama. Begitulah dalam kita meminta pertolongan kepada Allah.

Kita kena ada usaha kita juga. Sebagai contoh, Allah telah membantu tentera Badr dengan menghantar malaikat untuk menolong mereka. Tapi para sahabat tidak duduk diam menunggu sahaja malaikat yang berperang dengan orang kafir.

Pertolongan yang sebenarnya adalah dari Allah. Maka kita hendaklah bersabar dalam semua perkara. Kerana pertolongan Allah itu mungkin tidak serta merta.

Satu lagi sabar yang penting adalah sabar dari menceritakan kepada makhluk tentang masalah yang dihadapi. Sebaliknya hendaklah mengadu hal kita kepada Allah taala. Kerana Allah akan bantu kita, bukannya orang. Lambat laun Allah akan bantu kita. Kerana kalau kita mengadu sangat kepada orang, maka Allah tidak bantu kerana kita sudah letak pengharapan kita kepada makhluk, bukan kepada manusia.

 

وَالصَّلَوٰةِ

Dan mendirikan bersembahyang;

Dalam ayat ini, Allah mengajar kita cara untuk mendapatkan pertolongan, dan salah satunya adalah dengan melakukan solat.

Mintalah pertolongan kepada Allah dengan amalan solat. Kerana solat itu adalah amalan dimana kita memberitahu dan mengadu keadaan kita kepada Allah. Waktu itu kita boleh luahkan segala perasaan kita kepada Allah. Kita minta kepada Allah untuk beri kekuatan kepada kita. Allah tidak akan hampakan permintaan hambaNya. Dia boleh meredakan keadaan buruk yang ada pada diri kita.

Allah beritahu kepada puak ahli Kitab, kalau mereka menghadapi masalah seperti yang disebutkan, maka mengadulah kepada Allah dengan sabar dan dengan solat.

 

وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ

Dan sesungguhnya ini adalah perkara yang besar;

Maksudnya, sabar dan solat itu adalah sesuatu yang sukar untuk dilakukan. Amat payah nak sabar dalam belajar dan juga menjaga sembahyang. Kalau kita melihat solat itu sebagai satu ibadat biasa sahaja, maka ianya akan jadi susah. Tapi kalau kita tahu bahawa dengan solat itu adalah cara untuk memohon pertolongan kepada Allah, dan kita memang perlukan pertolongan Allah dalam semua hal, maka kita akan rasa mudah untuk mendirikan solat.

Satu pendapat mengatakan bahawa yang dimaksudkan sukar itu adalah solat. Dan ada yang berpendapat meminta pertolongan itu pun sukar juga. Iaitu ada orang yang tak nampak kepentingan dalam berdoa kepada Allah. Mereka tidak meletakkan pengharapan kepada Allah dalam setiap perkara.

Padahal, sepatutnya kita sentiasa kena berdoa dan mengharap bantuan kepada Allah. Memang kita kadang-kadang ada minta tolong kepada orang lain, dan kita juga ada usaha kita juga, bukan? Tapi sebelum kita berusaha dan sebelum kita minta tolong kepada orang lain, kita kena minta pertolongan kepada Allah dahulu. Inilah adab kita dalam menguruskan hidup kita.

 

إِلَّا عَلَى الْخٰشِعِينَ

Melainkan kepada orang-orang yang takut patuh

Dan sifat sabar dan solat ini adalah sangat berat untuk diamalkan. Kecuali kepada mereka ada sifat ‘khusyuk’. Orang yang khusyuk sahaja yang boleh buat. Hanya orang sebegitu yang boleh sabar dan berdoa selepas solat dengan mudah.

Siapakah orang yang khusyuk? Orang yang sentiasa fikir akhirat. Dia tahu dan sedar yang dia akan dibalas segala perbuatannya di akhirat nanti. Maka hatinya sentiasa ingat dan fikir tentang akhirat. Nak buat apa-apa sahaja, dia akan fikirkan tentang kesannya di akhirat. Maka, Allah jelaskan siapakah yang ada sifat khusyuk itu dalam ayat seterusnya.

Khusyuk bermaksud orang yang takut dan patuh kepada Allah taala. Dia takut memikirkan apakah yang akan dihadapinya kelak di akhirat. Oleh itu, dia akan patuh kepada arahan Allah. Apabila dia takut dan patuh, maka dia akan jadi orang yang khusyuk dalam sembahyang dan juga dalam belajar.

Dan kita kena takjub kepada Allah. Apabila kita rasa gerun dan takjub dengan Allah, maka kita akan dapat khusyuk dalam solat. Tapi kalau kita tak rasa gerun berdepan dengan Allah, maka kita akan rasa biasa sahaja solat itu.

Allah jelaskan lagi siapakah mereka yang ada sifat khusyuk itu dalam ayat seterusnya.


 

Ayat 46: Allah memberitahu apakah definisi orang yang khusyuk. Begitulah Quran, mulanya akan diberitahu tentang sesuatu, kemudian di ayat yang lain, akan diterangkan dengan lebih jelas lagi.

الَّذينَ يَظُنّونَ أَنَّهُم مُّلاقو رَبِّهِم وَأَنَّهُم إِلَيهِ رٰجِعونَ

Sahih International

Who are certain that they will meet their Lord and that they will return to Him.

Malay

(Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.

 

الَّذِينَ يَظُنُّونَ

Orang-orang yang percaya dengan yakin;

Lafaz ‘dzan’ dalam ayat ini bermaksud ‘assume’, tapi dalam masa yang sama, ia juga bermaksud ‘convinced’ – yakin.

 

أَنَّهُمْ مُّلَاقُو رَبِّهِمْ

bahawa sesungguhnya mereka akan berjumpa Tuhan mereka;

Mereka yakin dan sedar bahawa hakikat kehidupan ini, akhirnya akan dikembalikan untuk bertemu dengan Allah. Kita ingat yang kita tidak kekal dalam dunia ini. Bila-bila masa sahaja kita boleh dimatikan oleh Allah taala. 

 

وَأَنَّهُمْ إِلَيْهِ رٰجِعُونَ

Dan bahawasanya kepada Allah lah kembalian mereka semua;

Kita kena sentiasa ingat yang kita semua kita akan kembali bertemu Tuhan. Tapi ramai antara kita menjalani kehidupan di dunia ini seperti melupai hakikat itu. Macam tak ingat pun untuk mati. 

Orang yang khusyuk adalah mereka yang sentiasa yakin yang mereka akan bertemu dengan Tuhan mereka di akhirat. Apa sahaja yang terjadi sekarang di dunia adalah bersifat sementara sahaja. Kalau kita jumpa kepada Tuhan nanti, semuanya akan jadi ringan dan tidak ada apa-apa. Segala masalah itu akan dihilangkan. Mungkin masalah nampak besar semasa di dunia ini, tapi ianya tiada apa-apa di akhirat kelak.

Mereka tahu yang mereka akan dikembalikan kepada Tuhan untuk menerima balasan. Mereka akan menerima balasan baik dari kesabaran dan amalan mereka yang baik.


 

Ayat 47: Allah memperingatkan kepada Bani Israil zaman Nabi dan juga zaman sekarang, tentang segala nikmat yang telah diberikan kepada mereka.

يٰبَني إِسرٰءيلَ اذكُروا نِعمَتِيَ الَّتي أَنعَمتُ عَلَيكُم وَأَنّي فَضَّلتُكُم عَلَى العٰلَمينَ

Sahih International

O Children of Israel, remember My favor that I have bestowed upon you and that I preferred you over the worlds.

Malay

Wahai Bani Israil! Kenangkanlah nikmat-nikmatKu yang Aku telah kurniakan kepada kamu, dan (ingatlah) bahawasanya Aku telah melebihkan (nenek-moyang) kamu (yang taat dahulu) atas orang-orang (yang ada pada zamannya).

 

يٰبَنِي إِسْرٰءيلَ

Wahai Bani Israil,

Allah menyeru kepada semua sekali golongan bani Israil.

 

اذْكُرُوا نِعْمَتِيَ الَّتِي أَنْعَمْتُ عَلَيْكُمْ

Ingatlah tentang nikmat yang telah Aku berikan kepada kamu;

Iaitu diberikan kepada bangsa mereka beribu-ribu Nabi dan rasul yang telah diutuskan kepada mereka. Mereka juga diberikan kecerdikan yang luar biasa. Dan rupa paras yang elok. Dan juga kekayaan yang berlimpah-limpah.

Allah nak beritahu dalam ayat ini bahawa Dia lah yang memberikan segala nikmat dan kelebihan itu. Allah tekankan dalam ayat ini kerana bangsa Israil sangka yang mereka dapat segala kelebihan itu kerana mereka bangsa terpilih, bangsa yang lain dari bangsa lain.

Allah nak kata yang fahaman itu tidak benar, bukan mereka ada kelebihan sendiri tapi Allah yang pilih sendiri. Bukanlah mereka dapat kelebihan itu kerana diri mereka tapi kerana Allah yang pilih. Oleh kerana Allah yang pilih, Allah boleh ambil balik kelebihan yang telah diberikan kepada mereka itu dan boleh diberikan kepada orang lain.

Allah ulangi semula perkara pertama yang disebutkan sebelum ini dalam ayat 40, sebagai menambah galakan kepada puak Yahudi. Galakan ini diberikan supaya mereka cepat-cepat beriman dengan Nabi Muhammad. Jangan lengahkan masa lagi.

 

وَأَنِّي فَضَّلْتُكُمْ عَلَى الْعٰلَمِينَ

Dan Kami telah berikan kamu kurniaan yang lebih melebihi penduduk alam (pada zamannya);

Allah kata: Aku telah melebihkan kamu melebihi penduduk alam zaman kamu dahulu. Kamu lebih dari semua golongan dari segi keagamaan dan kekayaan. Oleh kerana kamu pernah jadi orang yang baik-baik, orang yang hebat-hebat, maka jangan pula hari ini kamu jadi orang yang ketinggalan.

Perkataan yang Allah gunakan dalam ayat adalah bermaksud ‘dahulu’ (past tense). Dulu memang mereka dilebihkan dari penduduk alam yang lain. Tapi kerana mereka telah banyak melakukan kesalahan, sampai membunuh nabi-nabi mereka, Allah tukarkan kedudukan itu kepada orang Muslim.

Makna ayat ini memang wajib ditafsirkan berdasar pengertian tersebut, mengingat umat sekarang ini (umat Nabi Muhammad Saw.) lebih utama daripada mereka, kerana berdasarkan firman Allah Swt. yang berkhitab kepada umat ini, iaitu:

كُنتُم خَيرَ أُمَّةٍ أُخرِجَت لِلنّاسِ تَأمُرونَ بِالمَعروفِ وَتَنهَونَ عَنِ المُنكَرِ وَتُؤمِنونَ بِاللهِ

Kalian adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. (Ali Imran: 110)


 

Ayat 48: Ayat ini adalah ayat jenis Takhwif Ukhrawi. Ayat ini diberikan supaya mereka jadi takut dan supaya mereka cepat-cepat beriman kepada Nabi Muhammad dan kepada Quran

Allah ingatkan yang dunia ini sementara sahaja. Semua orang akan mati akhirnya. Akhiratlah sahaja tempat yang akan kekal selama-lamanya. Tidak ada rawatan lagi di sana, jadi kena betulkan diri kita semasa di dunia.

وَاتَّقوا يَومًا لّا تَجزي نَفسٌ عَن نَّفسٍ شَيئًا وَلا يُقبَلُ مِنها شَفٰعَةٌ وَلا يُؤخَذُ مِنها عَدلٌ وَلا هُم يُنصَرونَ

Sahih International

And fear a Day when no soul will suffice for another soul at all, nor will intercession be accepted from it, nor will compensation be taken from it, nor will they be aided.

Malay

Dan peliharalah diri kamu dari (azab sengsara) hari (akhirat), yang padanya seseorang tidak dapat melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikitpun (dari balasan azab), dan tidak diterima syafaat daripadanya, dan tidak pula diambil daripadanya sebarang tebusan; dan mereka (yang bersalah itu) tidak akan diberi sebarang pertolongan.

 

وَاتَّقُوا يَوْمًا لَا تَجْزِي نَفْسٌ

Dan takutlah kamu pada hari yang tidak boleh satu jiwa membela;

Sebelum ini Allah dah suruh takut kepadaNya. Tapi mereka tak takut kepadaNya. Maka dalam ayat ini, Allah perli, kalau tak takut kepadaNya, maka sekurang-kurangnya takutlah kepada Hari Kiamat nanti. Seumpama Allah nak perli, kalau kau boleh, kau selamatkan dirimu dari hari itu.

 

عَنْ نَفْسٍ شَيْئًا

jiwa yang lain;

Ingatlah, tidak ada sesiapa yang boleh tolong orang lain. Pada hari akhirat kelak, seorang emak akan tinggalkan anak, suami akan tinggalkan isteri, anak tidak teringat langsung kepada emaknya, dan semua sekali hubungan tidak akan diingati hari itu.

Semua akan sibuk dengan diri masing-masing sahaja pada hari itu. Sampaikan seorang emak yang menyusu anaknya pun akan membuang anaknya pada hari itu. Allah berfirman dalam Abasa:37

لِكُلِّ امرِئٍ مِنهُم يَومَئِذٍ شَأنٌ يُغنيهِ

Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya.

 

وَلَا يُقْبَلُ مِنْهَا

Dan tidak akan diterima daripadanya

Hendaklah berjaga-jaga pada hari di akhirat. Hari yang seorang pun tidak dapat menyelamatkan mana-mana orang lain walau sedikit pun. Walaupun seorang Nabi, atau wali atau apa-apa sahaja, tidak dapat nak menyelamatkan orang lain.

Kalau di dunia, masih boleh tolong lagi kerana ada dalam usaha kita. Di akhirat, tidak akan diterima syafaat (bantuan sokongan). Nak tolong tak boleh, nak jamin orang lain pun tidak boleh.

 

شَفٰعَةٌ

syafaat;

Syafaat dalam ayat ini yang dimaksudkan adalah ‘syafaat kasih sayang’. Atau dalam bahasa Arabnya adalah ‘Syafaat Qahriyah’. Contohnya, kita ambil perumpamaan seorang raja yang sayang isterinya. Jadi, ada orang yang membodek isteri yang disayangi oleh raja itu untuk mendapatkan sesuatu.

Jadi, kerana raja sayangkan isterinya itu, dan isteri itu telah minta tolong bagi pihak orang lain, mungkin raja itu akan tolong. Maknanya, dia beri pertolongan bukan kerana orang yang meminta itu, tapi kerana yang meminta itu adalah orang yang disayanginya – isterinya.

Padahal, mungkin orang yang meminta itu tidak layak untuk diberikan pertolongan. Itu adalah perumpamaan tentang apakah yang terjadi dalam dunia. Tapi kerajaan Allah taala tidak begitu. Jangan samakan kerajaan Allah taala dengan kerajaan manusia.

Maka, orang yang disayangi oleh Allah, seperti malaikat, nabi dan wali-wali tidak boleh memohon kepada Allah untuk menyelamatkan seseorang. Katakanlah orang-orang itu memang dah sepatutnya masuk neraka, Allah tidak akan selamatkan dia walaupun yang memohon adalah orang kesayanganNya. Ini tidak akan berlaku. Jangan kita samakan kerajaan di dunia dengan kerajaan Allah taala.

Orang-orang kafir memang tidak akan mendapat syafaat. Perihalnya sama dengan makna yang terkandung di dalam firman Allah Swt. lainnya, iaitu:

فَما تَنفَعُهُم شَفاعَةُ الشّافِعينَ

Maka tidak berguna lagi bagi mereka syafaat dari orang-orang yang memberi syafaat. (Al-Muddatsir. 48)

Maknanya, orang mukmin masih akan dapat syafaat dari mereka yang boleh memberi syafaat. Tapi orang kafir tidak akan ada harapan itu. Begitu juga dengan firman Allah Swt kepada penghuni neraka:

فَما لَنا مِن شافِعينَ* وَلا صَديقٍ حَميمٍ

Maka kami tidak mempunyai pemberi syafaat seorang pun, dan tidak pula mempunyai teman yang akrab. (Asy-Syu’ara: 100- 101)

Bani Israil sangka mereka akan diberikan syafaat kerana mereka sangka mereka adalah bangsa terpilih. Tapi Allah nak kata tidak begitu. Kita pun jangan sangka sebegitu sebab kita umat Nabi Muhammad, kita secara otomatik akan dapat syafaat dari Nabi. Bukan semua akan dapat syafaat. Contohnya, kalau kita mengamalkan amalan bidaah, kita pun tidak dapat syafaat dari Nabi.

 

وَلَا يُؤْخَذُ مِنْهَا

Dan tidak akan diterima daripadanya

Kalau di dunia, banyak perkara kita boleh gunakan duit untuk bayar dan dapatkan sesuatu. Ada orang sampai gunakan rasuah untuk mendapatkan sesuatu. Mereka mungkin rasuah sana dan sini. Tapi di akhirat, tidak boleh begitu. Tidak akan diambil rasuah dari sesiapa pun. Kalau sesiapa yang ada emas sebesar bumi atau sekali ganda lagi pun tidak akan dapat menebus dirinya.

 

عَدْلٌ

imbuhan;

Imbuhan seperti rasuah tidak akan diterima. Tidak boleh nak rasuah sesiapa di Mahsyar nanti. Tidak akan boleh untuk melepaskan diri dengan cara begitu. Tidak akan diterima langsung. Tidak boleh rasuah sesiapa pun pada hari itu untuk merayu bagi pihak mereka kepada Allah taala.

Ianya mungkin boleh jadi di dunia tapi ia tidak akan terjadi di akhirat. Ini sama seperti yang Allah sebut dalam Ali Imran:91

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا وَماتوا وَهُم كُفّارٌ فَلَن يُقبَلَ مِن أَحَدِهِم مِلءُ الأَرضِ ذَهَبًا وَلَوِ افتَدىٰ بِهِ

Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan mati sedang mereka tetap dalam kekafirannya, maka tidaklah akan diterima dari seseorang diantara mereka emas sepenuh bumi, walaupun dia menebus diri dengan emas (yang sebanyak) itu.

Persoalan mungkin timbul: Apakah yang boleh diberikan sebagai rasuah pada hari itu? Sedangkan semua sekali tidak ada harta lagi dah waktu itu, pakaian pun tidak ada. Yang mereka akan beri sebagai rasuah adalah: mereka akan menawarkan keluarga mereka nanti.

Contohnya, mereka akan tawarkan supaya emak mereka dimasukkan ke dalam neraka asalkan mereka boleh masuk syurga. Begitu sekali mereka akan buat.

 

وَلَا هُمْ يُنْصَرُونَ

Dan mereka tidak boleh ditolong oleh sesiapapun.

Semua sekali mengharap hanya belas kasihan Allah sahaja. Dan mereka tidak akan ditolong dari mana-mana arah pun. Tidak ada cara apa pun untuk membantu mereka lagi. Tidak ada harapan langsung. Melainkan kalau mendapat bantuan dari Allah sendiri.

Mungkin mereka sangka, mungkin Tuhan kasihan kepada mereka – tapi itu tidak akan berlaku. Kerana Allah dah janji nak beri balasan kepada mereka atas kesalahan yang dilakukan.

Dari ayat ini, kita boleh faham bahawa akan ada makhluk yang akan mendapat bantuan. Cuma *mereka* sahaja yang tidak dapat bantuan.

Semua cara-cara yang digunakan semasa di dunia ini sekarang tidak boleh digunakan di akhirat nanti untuk menyelamatkan diri. Yang kita boleh harapkan hanya amalan kita semasa di dunia dan iman kita.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Updated: 5 Mac 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s