Tafsir Surah Baqarah Ayat 30 (1) (Perlantikan manusia sebagai khalifah)

MEMULIAKAN NABI ADAM عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ

Baqarah Ayat 30: Ayat sebelum ini telah disebutkan bahawa Allah ﷻ telah menjadikan manusia daripada tiada kepada ada dan hujungnya nanti akan bertemu dengan Allah ﷻ. Seterusnya dalam ayat ini, Allah ﷻ menceritakan bahawa makhluk pertama yang dicipta adalah Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka ini adalah sejarah tentang asal mula manusia.

Bermula ayat 30 – 39 ini menceritakan tentang peranan Khalifah di muka bumi. Manusia diberi peranan sebagai khalifah untuk mentadbir dan memakmurkan dunia. Pertamanya, di dalam ayat ini, Allah ﷻ hendak kita tahu sejarah kita, asal salasilah kita, kedudukan dan kelebihan yang ada pada kita sebagai manusia.

Keduanya, ayat ini adalah peringatan daripada Allah ﷻ yang Allah ﷻ telah memberikan darjat yang tinggi kepada kita. Akan tetapi kalau kita tidak laksanakan tugas kita seperti yang Allah ﷻ kehendaki, Allah ﷻ boleh jatuhkan kedudukan kita itu. Seandainya kita tidak beringat dan berjaga-jaga, kita boleh ditewaskan oleh orang yang lebih rendah darjatnya daripada kita.

Ketiga, manusia dianggap sebagai berjaya dan selamat jikalau mengikuti segala perintah Allah ﷻ semasa di dunia. Perintah itu ada dua: arahan suruhan dan arahan larangan. Jika tidak ikut kedua-duanya, kita tidak selamat.

Akhirnya keempat, Allah ﷻ hendak mengingatkan kita yang syaitan akan datang dan menghasut manusia. Allah ﷻ memperkenalkan iblis/syaitan di dalam rentetan ayat-ayat ini. Pertamanya, dia akan hasut supaya manusia tidak faham arahan Allah ﷻ itu. Ini kerana kalau tidak tahu, bagaimana mahu taat? Sebab itulah syaitan tidak membiarkan manusia belajar wahyu Allah ﷻ. Akibatnya ramai tidak belajar tafsir Al-Qur’an dan syarah hadith di negara kita. Ia seperti pengajaran yang asing sedangkan sepatutnya ia menjadi perkara pertama yang kita belajar dalam agama.

Sekiranya manusia itu pula sudah faham, syaitan tidak akan berputus asa. Syaitan akan hasut supaya manusia tidak ikut arahan itu, sebaliknya dia akan suruh kita ikut nafsu dan akal kita yang lemah. Maka ada manusia yang tewas dengan hasutan ini. Allah ﷻ mahu mengingatkan kita supaya jangan terpedaya dengan syaitan.

Selagi manusia tidak belajar dan menerima wahyu, manusia akan sentiasa berbalah sesama sendiri. Ternyata ini adalah sifat asal manusia kerana setiap manusia mempunyai nafsu, perasaan dan akal yang berbeza. Kerana itulah kalau kita bergantung kepada diri kita sahaja, kita tidak akan bersatu. Hanya dengan keinginan untuk mengikut wahyulah baru manusia akan bersatu.

Malang sekali, dalam kalangan manusia yang ada keinginan untuk memahami Al-Qur’an, ada pula yang silap belajar tafsir, atau baca sendiri terjemahan Al-Qur’an tanpa belajar, maka dia akan silap faham tentang maksud ayat ini dan ayat-ayat lain. Ini kerana banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an yang boleh menyebabkan perselisihan faham kalau tidak belajar dengan betul. Oleh itu, kenalah belajar dan ambil maklumat yang sahih sahaja. Kenalah berhati-hati dalam pembelajaran tafsir kerana jika tidak ditapis memang terdapat banyak kisah israiliyat yang dimasukkan ke dalam kitab-kitab tafsir. Sepatutnya kisah-kisah sebegitu tidak dimasukkan kerana ia tidak perlu dan ia boleh mengelirukan.

Selain itu, kita juga kena lihat kemahiran manusia dalam sesuatu perkara. Ada yang mahir hadith, ada yang mahir fiqh dan ada yang mahir dalam ilmu tafsir. Untuk mendapatkan maklumat yang lebih tepat, kita kena rujuk tafsir kepada mereka yang mahir dalam ilmu tafsir. Ini kerana jarang ada seseorang yang mahir dalam semua perkara agama. Amat menyedihkan kerana negara kita ini tidak mementingkan pengajian tafsir Al-Qur’an hingga menyebabkan masyarakat ramai yang jahil tentang ajaran yang disampaikan dalam Al-Qur’an.

Baik, kembali kepada tafsir ayat ini. Allah ﷻ hendak kita tahu yang kita adalah makhluk yang mulia dan terbaik. Dalilnya, malaikat disuruh sujud kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kenapa malaikat kena sujud kepada manusia? Kerana manusia ada satu kelebihan. Apakah kelebihan itu? Adakah kerana amal kita yang banyak? Kalau kerana amal kita, kita tidak akan dapat mencapai tahap amal ibadat para malaikat. Ada malaikat yang sujud tidak bangkit-bangkit langsung sampai bila-bila. Ternyata tentunya kita memiliki kelebihan yang tinggi ini kerana sebab yang lain.

Sebenarnya, para malaikat dan jin disuruh sujud kepada manusia kerana kelebihan ilmu. Itu sahaja lebihnya kita daripada para malaikat. Inilah yang Allah ﷻ beritahu dalam ayat ini nanti. Ada bahagian dalam diri kita yang mampu menerima ilmu yang tidak ada pada malaikat. Ia adalah seumpama sebuah cip dalam komputer yang menyebabkan adanya kemampuan pada satu-satu komputer itu dimasukkan data ke dalamnya.

وَإِذ قالَ رَبُّكَ لِلمَلٰٓئِكَةِ إِنّي جاعِلٌ فِي الأَرضِ خَليفَةً ۖ قالوٓا أَتَجعَلُ فيها مَن يُفسِدُ فيها وَيَسفِكُ الدِّمآءَ وَنَحنُ نُسَبِّحُ بِحَمدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قالَ إِنّيٓ أَعلَمُ ما لا تَعلَمونَ

Sahih International

And [mention, O Muhammad], when your Lord said to the angels, “Indeed, I will make upon the earth a successive authority.” They said, “Will You place upon it one who causes corruption therein and sheds blood, while we declare Your praise and sanctify You?” Allah said, “Indeed, I know that which you do not know.”

Malay

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.

 

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلٰٓئِكَةِ

Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat;

Kalimah إِذْ boleh jadi dalam bentuk dzarf zaman (masa) atau dzarf makan (tempat). Di dalam ayat ini ia menggunakan maksud dzarf zaman. Kedudukannya selalu di pertengahan ayat dan bukannya seperti di awal ayat seperti di dalam ayat ini. Apabila ia di dalam kedudukan sebegini maka ia membawa maksud yang lebih mendalam lagi. Ulama mengatakan kalimah ini mempunyai taqdir iaitu makna yang tidak dinyatakan di sini iaitu أذكر yang bermaksud ‘ingatlah’ atau ‘berilah peringatan’. Maka di dalam ayat ini Allah ﷻ hendak menyampaikan satu ilmu kepada kita.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ menceritakan keadaan semasa Dia sedang berkata-kata dengan para malaikat. Allah ﷻ beritahu kepada para malaikat bahawa Dia hendak menjadikan khalifah di muka bumi. Ada orang yang salah faham dengan ayat ini. Mereka kata, apabila Allah ﷻ hendak menjadikan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Allah ﷻ bermesyuarat dulu dengan malaikat dan tanya pendapat mereka. Ini tidak benar kerana Allah ﷻ tidak perlu pun bertanya kepada malaikat. Jangan disamakan dengan keadaan kita pula yang memang memerlukan pandangan dan pendapat orang lain dalam membuat sesuatu keputusan. Kita makhluk jahil terlalu banyak perkara yang kita tidak tahu; berbeza dengan Allah ﷻ yang Maha Mengetahui segala-galanya. Kita juga kadangkala meminta pendapat orang lain kerana kita menghormati mereka yang ada sama kedudukan dengan kita; berbeza sekali dengan Allah ﷻ tidak ada tandingan. Jelas kita yakin di sini, yang Allah ﷻ tidak perlu bermesyuarat dengan malaikat. Memang salah kalau kita kata begitu. Maka apakah yang terjadi sebenarnya?

Dalam ayat ini Allah ﷻ berfirman hanya untuk memberitahu malaikat yang Dia hendak menjadikan Khalifah di bumi. Bagaimana kejadian dan di manakah tempat kejadian ini tidaklah kita ada maklumat tentangnya. Namun yang penting kita kena faham adalah tidaklah sesekali Allah ﷻ bertanyakan pendapat malaikat. Maka jangan kita salah faham kerana ada yang silap faham dengan mengatakan Allah ﷻ bermesyuarat dengan malaikat pula. Kononnya mereka mahu mengatakan yang mesyuarat itu amat penting sampaikan Allah ﷻ bermesyuarat terlebih dahulu dengan malaikat sebelum menjadikan manusia yang bermula dengan seorang insan yang bernama Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Itu ternyata fahaman yang salah sekali. Pendapat sebegitu akan mencacatkan sifat ketuhanan Allah ﷻ dan juga iman orang yang berkata begitu, kerana sebenarnya dia ada masalah akidah. Memang dia tidak kenal Allah ﷻ kalau dia berkata begitu.

Manusia memanglah kena bermesyuarat sebab manusia tidak sempurna. Manusia pun tidak tahu segala-galanya, maka kena tanya pendapat orang lain juga. Sepertimana Nabi ﷺ pun bermesyuarat dengan para sahabat dalam perkara yang bukan wahyu. Ini kerana Nabi ﷺ adalah seorang manusia, masih tetap ada kelemahannya, namun Allah ﷻ tidak ada kelemahan langsung. Maka jangan kata Allah ﷻ bermesyuarat dengan malaikat ketika Allah ﷻ hendak menjadikan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Penyampaian berita ini kepada mereka amat penting, kerana malaikat nanti akan dibebani dengan tugas-tugas berkenaan manusia; ada yang akan bertugas mencatat amal-amal manusia, ada yang bertugas memeliharanya, ada yang membimbingnya, dan sebagainya. Maka memang patutlah mereka perlu diberitahu dari awal lagi.

 

Pengenalan kepada Malaikat

Di sini kita bertemu dengan penyebutan tentang salah satu makhluk ghaib iaitu malaikat. Maka ada baiknya kita sentuh sedikit tentang malaikat. Kalimah مَلٰٓئِكَةِ daripada kata dasar م ل ك yang bermaksud memerintah, berupaya, mengawal, kekuasaan, raja, kerajaan. Untuk satu malaikat dipanggil ‘malak’ dan apabila jamak, barulah dipanggil ‘malaikat’. Ternyata di dalam bahasa Melayu ada sedikit kesilapan sebenarnya. Namun tidak mengapa.

Ada juga yang berpendapat kalimah مَلٰٓئِكَةِ diambil daripada kalimah أَلَكَ atau مَألَكَة yang bererti ‘mengutus’ atau ‘perutusan risalah’. Sememangnya para malaikat juga termasuk Rasul yang dilantik oleh Allah ﷻ. Ada juga yang berpendapat ia diambil daripada kalimah لأك yang bermaksud ‘menyampaikan sesuatu’.

Beriman dengan malaikat merupakan salah satu daripada rukun iman. Oleh itu, kita sebagai seorang yang beriman wajib beriman bahawa wujudnya malaikat. Tambahan pula, malaikat ini bukanlah sekadar teori sahaja bagi kita akan tetapi mereka berkait rapat dengan kita kerana mereka sentiasa bersama dengan kita. Kita kena bezakan fahaman tentang malaikat dengan agama lain. Ini kerana agama lain pun ada akidah tentang malaikat, tetapi sudah jadi mengarut pula; maka Islam datang untuk membersihkan fahaman sesat mereka.

Malaikat adalah makhluk, bukan Tuhan dan bukan ada elemen ketuhanan seperti anak Tuhan. Malaikat dari sisi martabat/tingkatan adalah hamba-hamba yang dimuliakan, menyembah Allah ﷻ semata-mata. Tidak ada sedikit pun daripada mereka yang mempunyai keistimewaan rububiyah dan uluhiyah. Akan tetapi mereka adalah jenis makhluk yang berbeza dengan makhluk-makhluk yang lain. Antara perbezaan mereka adalah dari segi penciptaan, iaitu para malaikat diciptakan oleh Allah ﷻ daripada cahaya sebagaimana sabda Nabi ﷺ:

خُلِقَتِ الْمَلَائِكَةُ مِنْ نُورٍ
“Diciptakan malaikat daripada cahaya.”
(Riwayat Muslim (2996))

Di dalam hadith yang lain ada disebut, di dalam riwayat daripada Saidatina Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, Rasulullah ﷺ bersabda:

خُلِقَتِ الْمَلَائِكَةُ مِنْ نُورٍ، وَخُلِقَ الْجَانُّ مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ، وَخُلِقَ آدَمُ عَلَيْهِ السَّلَامُ مِمَّا وُصِفَ لَكُمْ
“Malaikat diciptakan daripada cahaya, jin diciptakan daripada nyala api dan Adam diciptakan daripada apa yang disifatkan (diceritakan) bagi kamu.”
(Riwayat Muslim (2996))

Kita tidak tahu dengan pasti makhluk manakah yang dicipta dahulu; akan tetapi daripada hadith ini, ulama’ mengatakan ia mempunyai susunan kejadian iaitu malaikat yang dicipta dahulu, kemudian jin dan selepas itu barulah kita manusia.

Oleh kerana malaikat dijadikan daripada cahaya, maka malaikat adalah makhluk ghaib. Syeikh Sulaiman al-Ashqar رَحِمَهُ اللَّهُ telah berkata dalam Bab Melihat Malaikat:

“Malaikat ini diciptakan daripada cahaya, maka disebabkan itu manusia tidak mampu melihatnya. Lebih-lebih lagi, Allah tidak memberi pandangan mata kita berkemampuan untuk melihat malaikat. Untuk itu, umat ini tidak mampu melihat malaikat dalam bentuknya yang sebenar melainkan Rasulullah ﷺ sahaja. Ini kerana, Baginda ﷺ telah melihat Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebanyak dua kali dalam bentuknya sebagaimana yang Allah ciptakan. Tambahan pula, nas-nas telah menunjukkan bahawa manusia mampu melihat malaikat apabila ia berubah daripada bentuk asalnya kepada bentuk manusia.”
[Lihat: ‘Alam al-Malaikat al-Abrar,10/1]

Apabila dikatakan mereka dijadikan daripada ‘cahaya’, tidaklah kita tahu jenis cahaya itu. Ia bukanlah cahaya yang kita biasa lihat seperti cahaya lampu, cahaya matahari dan sebagainya. Hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu. Itulah kita katakan mereka itu makhluk ‘halus’. Halus itu bukanlah bermaksud mereka terlalu kecil, tetapi tidak mampu dilihat oleh mata kasar kita.

Kelebihan mereka boleh menyerupai bentuk lain. Akan tetapi penyerupaan mereka itu tentulah dalam bentuk yang mulia. Maknanya tidaklah mereka menyerupai menjadi anjing, babi atau lain-lain makhluk yang buruk. Jin juga boleh menyerupai bentuk lain tetapi mereka tidak kisah kalau menjadi bentuk makhluk yang hina. Oleh itu, malaikat itu tidaklah hodoh, malah mereka itu cantik kejadiannya. Cuma adalah dalam kalangan mereka yang menggerunkan, sesuai dengan tugas mereka. Sebab untuk malaikat yang ditugaskan menjaga Neraka, takkan mereka berwajah ramah pula. Sememangnya diterima manusia yang rupa mereka indah, sebab itulah apabila ‘makcik datin-datin’ melihat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, mereka menyebut rupa baginda begitu indah bagaikan malaikat seperti disebut di dalam Yusuf: 31

فَلَمّا رَأَينَهُ أَكبَرنَهُ وَقَطَّعنَ أَيدِيَهُنَّ وَقُلنَ حاشَ ِللهِ ما هٰذا بَشَرًا إِن هٰذا إِلّا مَلَكٌ كَريمٌ
Maka tatkala wanita-wanita itu melihatnya, mereka kagum kepada (keelokan rupa)nya, dan mereka melukai (jari) tangannya dan berkata: “Maha sempurna Allah, ini bukanlah manusia. Sesungguhnya ini tidak lain hanyalah malaikat yang mulia”.

Malaikat dari sisi tugas, sentiasa menyembah Allah ﷻ dan bertasbih kepada-Nya seperti disebut di dalam Anbiya’: 19-20:

وَمَنْ عِنْدَهُ لَا يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِهِ وَلَا يَسْتَحْسِرُونَ . يُسَبِّحُونَ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ لَا يَفْتُرُونَ
Dan malaikat-malaikat yang di sisi-Nya, mereka tidak mempunyai rasa angkuh untuk menyembah-Nya dan tiada (pula) merasa letih. Mereka selalu bertasbih malam dan siang tiada henti-hentinya.

Allah ﷻ memberikan kepada mereka sifat tunduk secara sempurna terhadap perintah-Nya dan kekuatan dalam melaksanakannya. Mereka difitrahkan untuk berbuat taat. Ini kerana mereka ini adalah ma’sum (terpelihara daripada melakukan dosa). Ini seperti disebut di dalam Tahreem: 6:

لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
yang tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.

Kerana itulah mereka memang sesuai diberi tugas-tugas yang berat. Ada yang mencatat amalan makhluk setiap hari, dan mencatat segala ucapan, ada yang membawa wahyu kepada Rasul-rasul dan Nabi-nabi, ada yang memikul Arasy Tuhan, ada yang menjaga syurga dan yang menjaga neraka, dan ada yang siang dan malam berdoa memuji-muji Allah ﷻ dan bersujud, dan ada pula yang mendoakan agar makhluk yang taat diberi ampun dosanya oleh Tuhan. Manusia yang beriman dan istiqamah (ketetapan hati) di dalam iman kepada Allah ﷻ, juga akan didatangi oleh Malaikat-malaikat, untuk menghilangkan rasa takut dan dukacita mereka. Mereka juga membantu tentera orang Mukmin seperti yang berlaku ketika peperangan Badar di mana para malaikat itu datang, sehingga 3,000 banyaknya. Ini semua disebut di dalam nas-nas yang sahih. Terdapat banyak lagi tugas mereka yang lain.

Jumlah malaikat tersangat banyak, tidak ada yang boleh menghitung jumlah mereka selain Allah ﷻ. Di antara mereka ada para pemikul Arasy, penjaga-penjaga syurga, penjaga-penjaga neraka, para pemelihara, para penulis dan selain mereka dan 70,000 daripada mereka solat setiap hari di Baitul-Ma’mur. Apabila mereka keluar, nescaya mereka tidak akan pernah kembali kepadanya. Dalam kisah al-Mi’raaj, sesungguhnya Nabi ﷺ tatkala mendatangi langit ke tujuh, baginda bersabda:

فَرُفِعَ لِي البَيْتُ المعْمُورُ، فَسَأَلْتُ جِبْرِيلَ فَقَالَ: هَذَا البَيْتُ المعْمُورُ يُصَلِّي فِيهِ كُلَّ يَوْمٍ سَبْعُونَ أَلْفَ مَلَكٍ إذَا خَرَجُوا لَمْ يَعُودُوا إلَيْهِ آخِرَ مَا عَلَيهِمْ. متفق عليه.
…lalu aku diangkat ke Baitul Ma’mur, aku bertanya kepada Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dia menjawab: ‘Ini adalah Baitul Ma’mur, setiap hari 70,000 malaikat solat di dalamnya, apabila mereka keluar, nescaya mereka tidak akan pernah kembali kepadanya.‘
(Sahih Bukhari No. 3207)

Saiz para malaikat itu sangatlah besar.

Daripada Jabir رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda:
أُذِنَ لِي أَنْ أُحَدِّثَ عَنْ مَلَكٍ مِنْ مَلائِكَةِ اللهِ مِنْ حَمَلَةِ العَرْشِ إنَّ مَا بَيْنَ شَحْمَةِ أُذُنِهِ إلَى عَاتِقِهِ مَسِيرَةُ سَبْعِمِائَةِ عَامٍ
“Aku diberi izin menceritakan tentang satu malaikat daripada malaikat-malaikat Allah, daripada malaikat pemikul Arasy. Sesungguhnya (jarak) di antara daun telinga bahagian bawahnya sampai ke bahunya adalah perjalanan tujuh ratus tahun.”
(Riwayat Abu Daud No. 4727)
Status: Sahih

Bagaimana pula dengan Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang selalu menjumpai Rasulullah ﷺ? Baginda pernah melihat rupa Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang asli dan baginda memberitahu kita,

عن عبد الله بن مسعود رضي الله عنه أن محمداً- صلى الله عليه وسلم- رَأَى جِبْرِيلَ لَهُ سِتُّمِائَةِ جَنَاحٍ
Daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, sesungguhnya Muhammad ﷺ pernah melihat Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dia mempunyai enam ratus sayap.
(Sahih Bukhari No. 4857)

Selain daripada saiz yang besar, mereka juga mempunyai kekuatan yang luar biasa. Sebagai contoh, Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengangkat tempat tinggal Kaum Luth dengan hujung sayapnya sahaja. Mereka juga boleh bergerak dengan kepantasan luar biasa. Antara kesyirikan dan kesesatan yang manusia lakukan adalah dengan hal berkenaan malaikat. Sebagai contoh orang-orang di zaman jahiliyah menggambarkan para malaikat itu sebagai manusia dan mereka pun menentukan jenisnya, iaitu perempuan. Ini dibantah keras oleh Al-Qur’an. Tidak patut sekali makhluk ghaib itu ditentukan kelamin jantan atau betinanya.

Mereka juga ada emosi dan berperasaan. Mereka juga berfikir dan kerana itulah mereka bertanya kepada Allah ﷻ kenapa hendak menjadikan manusia sebagai khalifah. Contoh para malaikat pun ada perasaan malu adalah hadith ini:

أَنَّ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُضْطَجِعًا فِي بَيْتِي كَاشِفًا عَنْ فَخِذَيْهِ أَوْ سَاقَيْهِ فَاسْتَأْذَنَ أَبُو بَكْرٍ فَأَذِنَ لَهُ وَهُوَ عَلَى تِلْكَ الْحَالِ فَتَحَدَّثَ ثُمَّ اسْتَأْذَنَ عُمَرُ فَأَذِنَ لَهُ وَهُوَ كَذَلِكَ فَتَحَدَّثَ ثُمَّ اسْتَأْذَنَ عُثْمَانُ فَجَلَسَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَسَوَّى ثِيَابَهُ قَالَ مُحَمَّدٌ وَلَا أَقُولُ ذَلِكَ فِي يَوْمٍ وَاحِدٍ فَدَخَلَ فَتَحَدَّثَ فَلَمَّا خَرَجَ قَالَتْ عَائِشَةُ دَخَلَ أَبُو بَكْرٍ فَلَمْ تَهْتَشَّ لَهُ وَلَمْ تُبَالِهِ ثُمَّ دَخَلَ عُمَرُ فَلَمْ تَهْتَشَّ لَهُ وَلَمْ تُبَالِهِ ثُمَّ دَخَلَ عُثْمَانُ فَجَلَسْتَ وَسَوَّيْتَ ثِيَابَكَ فَقَالَ أَلَا أَسْتَحِي مِنْ رَجُلٍ تَسْتَحِي مِنْهُ الْمَلَائِكَةُ
Bahawa [‘Aisyah رضي الله عنها] berkata; ‘Pada suatu ketika, Rasulullah ﷺ sedang berbaring di rumah saya dengan membiarkan kedua pahanya atau kedua betisnya terbuka. Tidak lama kemudian, Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ meminta izin kepada Rasulullah ﷺ untuk masuk ke dalam rumah baginda. Maka Rasulullah ﷺ pun mempersilakannya untuk masuk dalam keadaan baginda tetap seperti itu dan terus berbincang-bincang (tentang suatu hal). Kemudia Umar bin Khathab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pula datang dan meminta izin kepada Rasulullah ﷺ untuk masuk ke dalam rumah baginda. Rasulullah ﷺ pun mempersilakannya untuk masuk dalam keadaan baginda tetap seperti itu dan terus berbincang-bincang (tentang suatu hal). Kemudian Uthman bin Affan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُpula telah datang dan meminta izin kepada baginda untuk masuk ke dalam rumah baginda. Rasulullah ﷺ pun mempersilakannya untuk masuk seraya mengambil posisi duduk dan membetulkan pakaiannya. Muhammad ﷺ berkata; Saya tidak mengatakan hal itu pada hari yang sama. Lalu Uthman رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ masuk dan langsung bercakap-cakap dengan baginda tentang berbagai hal. Setelah Uthman رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ keluar dari rumah, Aisyah رضي الله عنها bertanya; “Ya Rasulullah, tadi ketika Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُmasuk ke rumah engkau tidak terlihat tergesa-gesa untuk menyambutnya. Kemudian ketika Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ datang dan masuk, engkau pun menyambutnya dengan biasa-biasa saja. Akan tetapi ketika Uthman bin Affan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ datang dan masuk ke rumah maka engkau segera bangkit daripada perbaringan dan langsung mengambil posisi duduk sambil membetulkan pakaian engkau. Sebenarnya ada apa dengan hal ini semua ya Rasulullah’?” Rasulullah ﷺ menjawab: “Hai Aisyah, bagaimana mungkin aku tidak merasa malu kepada seseorang yang para malaikat pun merasa malu kepadanya?.”
(Sahih Muslim (4414))

Para malaikat juga ada ilmu dan mereka juga mengajar. Lihat Najm: 5

عَلَّمَهُ شَديدُ القُوىٰ
wahyu itu (disampaikan dan) diajarkan kepadanya oleh (malaikat Jibril) yang amat kuat gagah,

Tempat asal malaikat adalah di langit, sesekali sahaja mereka turun ke bumi untuk menjalankan tugas-tugas mereka. Mereka tidak makan seperti manusia, makanan mereka adalah zikir kepada Allah ﷻ.

Penting untuk kita mengetahui asas akidah bagi malaikat kerana ada banyak kesesatan fahaman tentang para malaikat ini. Seperti yang telah disebut, Arab Jahiliyyah menganggap mereka adalah anak-anak perempuan Allah ﷻ; ada agama yang memuja mereka sebagai dewa (demigod). Malah lebih teruk lagi ada pula dalam kalangan orang Islam yang menganggap mereka itu bukan entiti yang wujud melainkan ia adalah dalam bentuk tenaga, atau potensi sahaja. Mereka mendakwa yang datang kepada Nabi Muhammad ﷺ untuk menyampaikan wahyu itu adalah pemikiran suci Nabi Muhammad ﷺ sendiri. Ada juga tidak lama dahulu diviralkan dalam media sosial bagaimana orang Melayu yang berdoa terus kepada malaikat. Maka ini adalah antara fahaman-fahaman sesat dan malah tentu banyak lagi.

Kerana itulah penting maklumat tentang para malaikat ini diambil daripada wahyu sama ada daripada Al-Qur’an atau hadith Nabi. Ia tidak boleh direka melalui anggapan sahaja kerana malaikat adalah makhluk ghaib dan kita tidak boleh mengetahui tentang perkara ghaib melainkan daripada wahyu sahaja.

Apakah rukun beriman dengan malaikat?

1. Mengaku yang malaikat memang wujud dan wujud itu adalah wujud hakiki. Mereka bukan maya, bukan ilusi, dan bukan pula sesuatu yang bersatu dalam diri manusia. Mereka itu wujud dengan sifat-sifat yang disebut di dalam nas.

2. Mengakui bilangan mereka sangat banyak. Hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu bilangan mereka.

3. Mengakui mereka adalah makhluk yang mulia di sisi Allah ﷻ.

4. Mengakui kelebihan mereka daripada sebahagian yang lain. Mereka pun ada pangkat dalam kalangan mereka. Sebagai contoh Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu adalah ketua para malaikat.

5. Hendaklah mencintai malaikat dan tidak memusuhi mereka seperti Yahudi. Ini adalah kerana mereka itu dicintai oleh Allah ﷻ dan kita kena cinta apa yang Allah ﷻ cinta.

6. Mengakui bahawa malaikat adalah hamba Allah ﷻ seperti makhluk-makhluk yang lain, tidak lebih daripada itu.

7. Beriman secara terperinci akan malaikat-malaikat yang disebut namanya di dalam nas. Iaitu nama-nama dan tugas mereka. Ini bukan setakat 10 malaikat sahaja tetapi ada banyak lagi.

 

إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً

Sesungguhnya Aku akan jadikan di mukabumi satu khalifah;

Allah ﷻ sebenarnya beritahu kepada malaikat, bukannya mahu bertanya pendapat mereka sama ada boleh jadikan Adam atau tidak. Allah ﷻ sudah ada keputusan untuk menjadikan manusia semenjak dari awal lagi. Dia hanya beritahu sahaja kepada malaikat. Waktu itu Allah ﷻ belum jadikan Adam lagi.

Maksud ‘khalifah’ di sini adalah: manusia yang silih berganti. Apabila mati, diganti oleh manusia lain. Bergilir-gilir hidup dan mati. Bukannya ‘khalifah’ itu maksudnya pengganti Allah ﷻ di dunia pula. Ini pun satu lagi salah faham dalam masyarakat. Ramai orang yang faham bahawa maksud ‘khalifah’ itu adalah sebagai khalifah kepada Allah ﷻ. Pemahaman ini adalah amat terpesong sekali kerana Allah ﷻ tidak memerlukan pengganti-Nya di dunia ini. Maksud khalifah adalah pengganti kepada orang sebelumnya.

Yang sebenarnya manusia menggantikan golongan jin yang tinggal di bumi sebelum itu di mana selepas mereka telah gagal melaksanakan tugas mereka sebagai hamba Allah ﷻ yang taat. Maka mereka digantikan dengan manusia. Manusia yang datang kemudian menggantikan manusia sebelumnya. Kita semua ini adalah khalifah.

Oleh kerana Allah ﷻ meletakkan kita sebagai khalifah di atas muka bumi ini, maka kita seharusnya memahami apakah sebenarnya maksud khalifah ini. Terdapat banyak maksud khalifah, tetapi kita akan tekankan 3 maksud sahaja di sini.

Maksud pertama adalah ‘pengganti’. Sebagai contoh, seorang guru besar sebuah sekolah bersara dan ada guru besar mengambil alih tempatnya, maka guru besar yang baru itulah pengganti kepada yang sebelumnya. Contoh yang lain pula adalah jika seorang datuk meninggal dunia dan anaknya yang paling tua mengambil tempat sebagai ketua keluarga. Ini juga maksud khalifah. Dia akan mengambil alih semua tugas dan tanggungjawab ketua keluarga.

Maksudnya di sini, Allah ﷻ meletakkan manusia bertanggungjawab menjaga dunia. Kita mengambil alih tugas ini daripada orang sebelum kita dan apabila kita meninggal dunia, orang yang selepas kita pula yang akan memikul tanggungjawab itu. Lihat contoh Allah ﷻ berfirman di dalam (An’am: 133) menggunakan kalimah khalifah:

وَرَبُّكَ الْغَنِيُّ ذُو الرَّحْمَةِ ۗاِنْ يَّشَأْ يُذْهِبْكُمْ وَيَسْتَخْلِفْ مِنْۢ بَعْدِكُمْ مَّا يَشَاۤءُ كَمَآ اَنْشَاَكُمْ مِّنْ ذُرِّيَّةِ قَوْمٍ اٰخَرِيْنَ
Dan Tuhanmu Maha Kaya, penuh rahmat. Jika Dia menghendaki, Dia akan memusnahkan kamu dan setelah kamu (musnah) akan Dia ganti dengan yang Dia kehendaki, sebagaimana Dia menjadikan kamu daripada keturunan golongan lain.

Maksud kedua khalifah adalah seseorang yang dibiarkan membuat keputusan sendiri tanpa dipantau. Katakan kita akan meninggalkan rumah kita, dan kita berikan tanggungjawab kepada anak kita untuk menjaganya. Maksudnya anak kita pada waktu itu menjadi khalifah. Ketika itu dia ada kebebasan untuk melakukan apa sahaja yang dia inginkan kerana kita sebagai ketua rumah tidak ada. Kita mungkin telah menggariskan peraturan dan larangan yang dia boleh dan tidak boleh buat, tetapi kita tiada di rumah untuk memantaunya.

Maka, khalifah di sini bermaksud, seseorang yang mempunyai pilihan untuk melakukan apa sahaja. Mereka boleh melakukan apa yang sepatutnya dilakukan tetapi mereka boleh melakukan yang sebaliknya. Keputusan di tangan mereka. Oleh yang demikian, inilah yang diberikan oleh Allah ﷻ kepada kita. Dia telah memberikan kita kebebasan untuk membuat pilihan. Allah ﷻ tidak memaksa kita. Dia tidak memaksa kita untuk solat. Dia tidak memaksa kita untuk berbuat baik, atau bercakap benar sepanjang masa. Semua terpulang ke atas diri kita sama ada kita mahu atau tidak.

Maksud yang ketiga adalah seseorang yang diberi tanggungjawab bagi pihak orang lain. Dan ini adalah berbeza dengan pemilikan. Ini kerana kita diberikan tanggungjawab mengurus bumi ini di mana seterusnya kita akan menyerahkan tanggungjawab itu kepada yang lain pula. Maka kita tidak memiliki sepenuhnya tanggungjawab itu selamanya, tetapi untuk sementara waktu sahaja.

Begitulah manusia yang diletakkan di dunia ini seharusnya memahami yang mereka tidak memiliki apa-apa. Allah ﷻlah pemilik sepenuhnya langit dan bumi. Kita mungkin rasakan yang kita memiliki baju dan kasut yang kita pakai ini, tetapi akhirnya kita sedar yang kita harus mengembalikan semua barang itu. Ini kerana kita akan mati dan kita tidak akan membawa semua itu ke akhirat. Begitu juga dengan tubuh badan kita ini. Kita tidak memilikinya sepenuhnya. Semua anggota tubuh badan ini akan menjadi saksi dan akan bercakap bagi pihak kita akhirat kelak.

Oleh hal yang demikian, ketiga-tiga maksud di atas dapat menjelaskan maksud khalifah. Ia adalah sebuah tanggungjawab yang begitu besar sekali dan telah diumumkan kepada malaikat di langit. Kerana itulah para malaikat amat terkejut dengan pengumuman tersebut kerana ia adalah tugas yang amat besar dan berat.

Maka terma ‘khalifah’ bukanlah bermaksud pemimpin sahaja. Ia bermaksud pengganti. Apabila digunakan kepada pemimpin, maka ia bermaksud pemimpin yang baru menggantikan pemimpin yang sebelumnya. Maka jangan pula kita sangka bahawa Khalifah itu hanya Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja, kerana ia adalah tugas semua manusia yang bermula daripada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sehinggalah ke hari kiamat. Ini mengajar kita yang kita ini ada tanggungjawab untuk memimpin dunia ini, untuk memakmurkan dunia ini dan berdakwah kepada manusia.

Agama Yahudi dan Kristian juga percaya bahawa makhluk manusia yang pertama dijadikan adalah Adam. Akan tetapi ada perbezaan antara fahaman kita dan mereka. Kita percaya bahawa Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memang dijadikan untuk tinggal di dunia. Memang asalnya baginda tinggal di Syurga, tetapi Allah ﷻ telah takdirkan bahawa baginda akan tinggal di dunia. Sebaliknya, agama Kristian pula percaya bahawa Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah ‘dibuang’ dari syurga. Ini adalah pendapat yang kurang tepat.

Maka, Allah ﷻ beritahu para malaikat yang Dia akan menjadikan makhluk yang silih berganti yang menegakkan hukum-Nya di dunia dan mengikut perintah Allah ﷻ. Kemudian Allah ﷻ beri peluang kepada para malaikat untuk beritahu apa pendapat mereka atau bertanya tentang makhluk yang akan dijadikan itu. Ini kerana sekiranya mereka mengkritik selepas Allah ﷻ jadikan, mereka akan binasa.

Akan tetapi, kalau beritahu sebelum dijadikan, masih boleh lagi untuk bertanyakan soalan. Sekali lagi, ini bukannya Allah ﷻ bermesyuarat dengan malaikat, tidak. Sebab Allah ﷻ tetap akan menjadikan juga makhluk itu.

Maka di dalam ayat ini, Allah ﷻ memberitahu kepada malaikat tentang manusia. Manusia belum dijadikan lagi ketika itu, tetapi Dia sudah menceritakan kepada mereka tentang manusia. Dia memberitahu yang Dia akan menjadikan makhluk yang digelar manusia yang akan menetap di bumi. Jelaslah di sini memberitahu kita yang sebelum Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dijadikan lagi, sudah ada perancangan yang manusia akan diletakkan di bumi.

Ini penting kerana terdapat di antara kita yang menyangka Adam dan Hawa diturunkan ke bumi sebagai ‘hukuman’ setelah melanggar perintah Allah ﷻ kerana telah terpedaya dengan bisikan iblis. Di sini kita jelas bahawa Adam dan Hawa semenjak dari awal lagi telah dirancang untuk turun ke bumi. Maka, penurunan mereka ke bumi bukanlah satu bentuk hukuman. Kita memang sudah dirancang untuk diletakkan di bumi. Dalam ayat (Al-Baqarah: 29 هُوَ ٱلَّذِى خَلَقَ لَكُم مَّا فِى ٱلأَرضِ جَمِيعًا), Allah ﷻ telah menyebut bahawa bumi telah dijadikan untuk kita, bukan? Oleh sebab itu, kita sebagai Muslim sepatutnya sudah jelas mengenai perkara ini: Dunia ini bukanlah hukuman buat kita.

Bagaimana kita dapat lebih memahami perkara ini? Perhatikan analogi berikut. Bayangkan seorang pekerja di sebuah syarikat. Majikannya telah menghantar e-mail ke seluruh jabatannya mengatakan lelaki ini akan dihantar ke negeri lain. Semua kakitangan lain mendapat e-mail ini, kecuali lelaki itu sendiri. Pada minggu berikutnya, lelaki itu datang ke pejabat lewat 30 saat sahaja. Majikannya memanggilnya dan memberitahu yang disebabkan kelewatannya itu, dia akan dihantar ke negeri lain.

Soalan: Adakah adil dia dihukum begitu teruk hanya kerana kelewatan 30 saat sahaja? Padahal kakitangan lain sudah sedia maklum dari awal lagi yang lelaki itu akan dihantar ke negeri lain. Maka, kita tahu yang dia dihantar ke negeri lain itu bukanlah kerana kelewatan 30 saat itu, tetapi ia merupakan perancangan majikannya dari awal lagi. Akan tetapi digunakan insiden lewat itu sebagai penyebab dia mula dihantar sahaja.

Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga sudah tahu sebenarnya dari awal lagi yang baginda akan diturunkan ke bumi. Ini kerana iblis sudah datang dan mengkhabarkan berita tersebut kepadanya. Kemudian iblis memperdaya baginda dengan mengatakan jika baginda ingin kekal tinggal di Jannah, maka baginda harus memakan buah daripada pohon terlarang itu. Ini kerana iblis telah mendakwa yang hanya malaikat dan penduduk tetap hanya layak tinggal di Jannah selama-lamanya. Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukanlah tergolong daripada golongan yang layak itu. Maka, tujuan Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ makan buah itu kerana baginda percaya yang baginda akan menjadi malaikat atau penduduk tetap Jannah.

Ramai yang mempersoalkan perkara ini: Sekiranya Allah ﷻ telah memutuskan apa yang akan terjadi kepada kita dan apakah pengakhiran kita, maka bagaimana pula kita dipersalahkan? Adakah ini semua satu ‘muslihat’?

Persoalan tentang takdir adalah persoalan paling lama dalam dunia falsafah. Ia dibincangkan zaman berzaman oleh ramai orang. Persoalan ini boleh saja ditanyakan terus oleh manusia pertama iaitu Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, bukan? Namun tidaklah baginda mempersoalkan keputusan Allah ﷻ itu.

Mari kita sambung. Kita kena ingat yang kita berada di bumi bukanlah sebagai hukuman atau sumpahan daripada Allah ﷻ. Kepercayaan Kristian mengatakan yang bumi ini adalah hukuman dan manusia dilahirkan dalam dosa (the Original Sin—Konsep ‘Dosa Asal’). Ini bukanlah konsep dalam Islam. Allah ﷻ sebenarnya mahu memuliakan kita dengan meletakkan kita di bumi ini. Dia mahu kita hidup dengan aman di bumi dan bukakan jalan kita ke Jannah.

Akan tetapi ramai yang mempunyai persoalan mengenai takdir. Mereka berhujah yang jikalau semua perkara telah ditakdirkan oleh Tuhan, maka kita sebenarnya tidak bersalahlah, bukan? Jikalah kita boleh mengambil kasut dan melemparkan kepada mereka yang tidak berpuas hati dengan persoalan takdir ini, adakah dia akan berasa marah? Sudah pasti dia marahkan kita yang melempar kasut itu kepadanya. Akan tetapi, katakanlah kita jawab: “Itu adalah qadr Allah ﷻ. Allah ﷻ telah menetapkan bahawa kamu akan dibaling dengan kasut, bukannya salah aku!”

Sudah pasti orang itu masih marahkan kita. Dia mahukan kita memikul tanggungjawab kesalahan kita itu. Apa yang kita buat itu tetap salah, walaupun itu adalah takdir Allah ﷻ. Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang telah membuat keputusan untuk memakan buah daripada pohon terlarang itu, dan baginda mengambil tanggungjawab di atas kesalahannya itu dan bertaubat kepada Allah ﷻ. Bandingkan perbuatan ini dengan iblis yang membuat kesalahan tetapi kemudian telah menyalahkan Allah ﷻ di atas kesalahannya itu.

 

Allahu a’lam. Mari kita lihat apakah respons para malaikat

Kemaskini: 22 Julai 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment