SIFAT-SIFAT GOLONGAN MUNAFIK
Baqarah Ayat 8: Ayat ini adalah berkenaan golongan Munafik. Sebelum ini dua ayat tentang orang yang menzahirkan kekufuran mereka. Selepas ini ada 13 ayat menerangkan tentang golongan kafir, tetapi tidak menzahirkan kekufuran mereka. Kisah mereka ini diceritakan sampai 13 ayat kerana mereka ini lebih berbahaya.
Maka mulai ayat ke 8 hingga ayat ke 20 adalah tentang ciri-ciri orang Munafik. Ingatlah bahawa orang munafik ini solat berjemaah dengan Nabi ﷺ di Masjid Nabi. Mereka tidak meninggalkan solat berjemaah bersama Nabi ﷺ, kecuali solat Subuh dan Isya’. Jihad pun kadang-kadang mereka pergi, zakat pun kadang-kadang mereka bayar.
Mereka bersama Nabi ﷺ dan para sahabat yang lain, tetapi mereka tidak beriman sebenarnya. Maka Allah ﷻ kata mereka kafir kerana mereka jahil dan mereka tidak menepati kehendak Islam dan kerana mereka itu ‘jahil akidah’. Jahil akidah ini adalah amat bahaya sekali. Masyarakat kita pun ramai yang jahil akidah dan mereka dikira sudah berada di atas pagar munafik. Maka kalau mereka duduk bersama dengan kita, solat dengan kita, belum tentu mereka selamat lagi.
Ubatnya adalah belajar faham Al-Qur’an dari awal hingga akhir. Kita kena ajar mereka kerana takut mereka mati dalam ‘kufur jahil’. Iaitu mereka tidak tahu perkara yang mereka wajib tahu dan yang wajib mereka tolak. Kita takut tanpa sedar mereka ini munafik. Bukan mereka sahaja, tetapi kita pun kena takut diri kita pun tergolong dalam golongan munafik juga.
Oleh itu, kena ajak mereka datang belajar tafsir Al-Qur’an dan kita sendiri kena habis belajar tafsir Al-Qur’an. Kalau sudah belajar tafsir Al-Qur’an, mereka sendiri akan sedar yang adakah yang mereka dulu ada membuat perkara yang salah.
Walaupun ayat-ayat yang kita akan baca ini adalah tentang Munafik di Madinah pada zaman Nabi, akan tetapi sifat mereka ini sama sahaja dengan munafik pada mana-mana zaman termasuk zaman sekarang. Ini kerana Al-Qur’an bukanlah buku sejarah untuk menceritakan hal orang dahulu akan tetapi menceritakan pengajaran yang boleh diambil daripada kejadian masa dahulu. Banyak maklumat tentang sifat munafik yang Allah ﷻ sebut dalam Al-Qur’an sebab ramai yang punah kerana jahil dalam agama. Orang munafik itu, pada zahirnya mereka nampak Muslim, tetapi batinnya mereka kufur. Mereka itu bukan jenis ‘kufur ingkar’, tetapi ‘kufur jahil’. Maka, amat bahaya kalau tidak belajar tafsir Al-Qur’an.
Kita juga kena faham antara ‘jahil akidah’ dan ‘jahil amalan’. Kalau ada yang hanya melakukan amalan munafik, masalah mereka kurang sedikit sebab akhirnya mereka akan masuk syurga selepas duduk dalam neraka. Itu jikalau mereka tidak ada masalah akidah. Akan tetapi kalau ada masalah akidah, tempat mereka adalah di dalam neraka selama-lamanya.
Dalam ayat-ayat selepas ini kita akan belajar tentang golongan Munafik. Namun harus diingatkan kita mestilah berhati-hati, bukan tugas kita untuk mengatakan atau menuduh orang lain sebagai munafik. Bukan ajaran Nabi ﷺ untuk mengatakan seseorang itu munafik. Yang kita kena buat adalah kena belajar supaya kita boleh periksa diri kita takut-takut kita pun munafik juga.
Iaitu kita kena periksa diri kita dahulu, bukan gunakan pengetahuan ini untuk melihat atau menilai seseorang itu munafik atau tidak. Bukannya untuk kita senang-senang menuduh orang lain munafik, lebih-lebih lagi kalau mereka tidak setuju dengan kita. Oleh itu, berhati-hatilah dan jaga hati kita daripada terjerumus dalam perkara ini.
وَمِنَ النّاسِ مَن يَقولُ ءآمَنّا بِاللهِ وَبِاليَومِ الآخِرِ وَما هُم بِمُؤمِنينَ
And of the people are some who say, “We believe in Allah and the Last Day,” but they are not believers.
Dan di antara manusia ada yang berkata: “Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat”; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.
وَمِنَ النّاسِ مَن يَقولُ ءآمَنّا بِاللهِ وَبِاليَومِ الآخِرِ
Dan ada diantara manusia itu yang berkata: “Kami beriman dengan Allah dan dengan hari akhirat”;
Mereka itu adalah golongan munafik. Kalau bab mengaku, memang mereka nombor satu. Merata-rata mereka akan canangkan iman mereka. Namun kenapa disebut dua akidah ini sahaja? Bagaimana pula dengan yang lain? Ia adalah ringkasan kepada akidah yang lain. Kerana percaya kepada Allah ﷻ adalah yang paling utama dan percaya kepada akhirat itu adalah yang kedua. Orang yang percaya kepada akhirat sahajalah yang akan menjaga agama mereka dan takut berbuat dosa. Mereka yang percaya tahu yang mereka akan disoal di akhirat kelak. Maka Allah ﷻ selalunya sebut dua perkara ini sahaja apabila berkata tentang iman.
Atau, boleh jadi dua inilah sahaja yang disebut oleh golongan munafik itu dan Al-Qur’an ulang secara tepat apa yang mereka sendiri katakana kerana mereka sama ada dalam kalangan Yahudi atau golongan Arab yang baik dengan Yahudi. Oleh itu mereka hanya sebut tentang dua jenis iman yang juga dipercayai oleh orang Yahudi. Sebab itulah mereka tidak sebut tentang iman kepada Nabi Muhammad ﷺ.
Allah ﷻ sebut مِنَ النّاسِ dengan tidak menyebut secara spesifik siapakah mereka. Ini adalah kerana Allah ﷻ sedang menyindir mereka tanpa menelanjangi mereka di khalayak ramai. Allah ﷻ menegur mereka dengan sebut secara umum sahaja kerana ini adalah ayat awal yang menyebut tentang mereka. Allah ﷻ tidak memalukan mereka. Begitulah juga tidak diketahui siapakah nama-nama orang munafik di zaman Nabi itu (kecuali beberapa orang sahaja) kerana memberi peluang kepada mereka untuk berubah. Ini seperti kita hendak menegur seseorang tetapi kita tidak sebut nama dia sebaliknya kita kata: “Adalah orang itu kan, dia kata begini dan begini….”. Kerana kita tidak mahu memalukannya, tetapi kita tetap kena beri teguran itu. Memang nanti akan disebut ‘munafik’ secara terus akan tetapi itu akan datang kemudian. Di dalam Surah Baqarah yang baru memperkenalkan mereka ini, tidak disebut secara khusus lagi.
Kalimat munafik atau sifat nifaq itu asal ertinya ialah lubang tempat bersembunyi di bawah tanah. Lubang perlindungan daripada bahaya udara, disebut nafaq. Dari sinilah diambil erti orang yang menyembunyikan keadaan yang sebenarnya, sebagai suatu helah atau penipuan. Seolah-olah mereka menyorok di dalam lubang itu.
Golongan munafik ini memang mengaku mereka beriman dan mereka menampakkan keislaman mereka dari segi zahir atau lahiriah. Mereka mengaku begitu kerana mereka takut disisih oleh masyarakat.
Dalam ayat ini, mereka mendakwa dengan lidah mereka yang mereka beriman. Mereka mengatakan mereka beriman dengan dua rukun iman: ‘percaya kepada Allah’ dan ‘percaya kepada Hari Akhirat’. Disebut hanya dua rukun iman untuk merangkumi kesemua rukun iman yang lain. Tidak perlu disebut kesemua rukun iman.
Akan tetapi, walaupun mereka mengaku dengan mulut mereka sendiri, Allah ﷻ menafikan keimanan dalam hati mereka. Lafaz mereka benar, tetapi hati mereka yang tidak benar. Mereka hanya mendakwa dengan lidah sahaja sedangkan lidah bukan tempat iman. Iman yang duduknya di dalam hati. Mereka ini ‘cakap tak serupa bikin’, tidak sama seperti yang di dalam hati mereka. Maka ini adalah sifat orang munafik. Cuba fikirkan, adakah kita pernah begitu? Sedangkan Allah ﷻ telah berfirman melarang hal ini di dalam Saf: 2
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لِمَ تَقولونَ ما لا تَفعَلونَ
Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?
Orang munafik memang akan mengaku yang mereka beriman. Mereka kata mereka solat dan mereka beriman juga. Hakikat sebenarnya hati mereka tidak. Lihatlah bagaimana mereka sendiri berasa bahawa mereka itu ada masalah. Maka mereka akan datang sendiri tanpa dipinta untuk menyatakan ‘keislaman’ mereka. Ini sama seperti anak-anak kita yang tiba-tiba akan beritahu mereka tidak bersalah – bermakna, mereka mesti ada berbuat salah.
Kita akan belajar isi jiwa orang munafik di Madinah ketika Islam mulai berkembang di sana. Kaum munafik itu dua jenis. Pertama munafik dalam kalangan orang Yahudi, yang kian lama kian merasa bahawa mereka telah terdesak, padahal selama ini merekalah yang menjadi tuan di Madinah, kerana kehidupan mereka lebih makmur daripada penduduk Arab asli, dan merasa lebih pintar. Kian lama kian mereka merasakan bahawa kekuasaan Nabi Muhammad ﷺ dan kebebasan Islam semakin naik, dan mereka semakin terdesak ke tepi. Mereka inilah yang mengatakan percaya kepada Allah ﷻ dan percaya kepada Hari Akhirat, tetapi sengaja mereka tidak menyebut bahawa mereka pun percaya kepada Kerasulan Muhammad ﷺ dan Wahyu Al-Qur’an.
Munafik kedua ialah golongan orang Arab Madinah sendiri, yang dipimpin oleh Abdullah bin Ubay. Sebelum Nabi ﷺ datang, dialah yang dipandang sebagai pemuka masyarakat Arab Madinah yang terdiri daripada persukuan Aus dan Khazraj. Akan tetapi dengan datangnya Nabi ﷺ dia semakin ditinggalkan orang, sebab semakin nyata bahawa dia tidak jujur. Kerjanya hanya mencemuh dan mengutuk keperibadian Nabi ﷺ. Di hadapan Nabi ﷺ dia tidak berani bercakap begitu maka kena berlakon baik sahaja di hadapan baginda.
وَمَا هُمْ بِمُؤْمِنِينَ
Mereka sebenarnya tidak beriman.
Allah ﷻ sendiri beritahu yang mereka itu tidak beriman. Kalimah ما digunakan untuk menafikan sesuatu dan ia tidak sama dengan لا. Di sini ia hendak menafikan kata-kata mereka yang beriman. Mereka tidak beriman dalam hati mereka. Mereka mungkin beramal dengan amalan ibadah orang Islam tetapi mereka sebenarnya tidak beriman sebenarnya. Mereka bukan ‘mukmin’.
Mungkin mereka ada sedikit sebanyak iman di dalam hati mereka, tetapi iman mereka lemah, kerana kurangnya ilmu mereka. Maka bukanlah semua orang munafik itu kafir, tetapi ada di antara mereka yang lemah iman mereka. Di dalam Al-Qur’an banyak disebut ‘orang-orang yang beriman’. Ia tidak sama dengan ‘mukmin’. Perumpamaan seperti ‘orang menyanyi’ dan ‘penyanyi’ yang tidak sama.
Allah ﷻ tahu apa yang dalam hati mereka dan kerana itu Allah ﷻ boleh kata mereka itu munafik (kita tidak boleh sesuka hati menuduh orang lain). Mereka hanya dipanggil ‘Muslim’ kerana duduk sekali dengan orang Islam yang lain.
Kalau mereka duduk tinggal di Amerika contohnya, mereka akan ikut perangai orang Amerika. Sebab waktu itu, mereka tidak malu dengan sesiapa lagi. Cuma sebab mereka duduk sekali dengan orang Muslim lainlah yang mereka kena buat perangai Islam tu.
Baqarah Ayat 9: Apakah sifat mereka ini?
يُخٰدِعونَ اللهَ وَالَّذينَ ءآمَنوا وَما يَخدَعونَ إِلّآ أَنفُسَهُم وَما يَشعُرونَ
They [think to] deceive Allah and those who believe, but they deceive not except themselves and perceive [it] not.
Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.
يُخٰدِعُونَ اللهَ
Mereka hendak tipu Allah Taala;
Ini adalah sifat utama orang munafik: menipu. Malah dengan Allah ﷻ pun mereka cuba hendak tipu. Namun bolehkah mereka hendak menipu Allah ﷻ? Tentu tidak boleh. Kerana syarat utama hendak berjaya dalam penipuan adalah orang yang ditipu itu tidak tahu dia ditipu. Mereka sahaja sangka dalam hati mereka yang mereka menipu Allah ﷻ dan ini kerana mereka tidak kenal Allah ﷻ seperti yang sepatutnya. Mereka tidak tahu yang Allah ﷻ tahu apa sahaja yang di dalam hati mereka.
Kalau mereka tidak dapat menipu Allah ﷻ, mereka menipu wakil Allah ﷻ, iaitu Nabi Muhammad ﷺ. Itu pun tidak berjaya kerana Allah ﷻ pelihara baginda daripada kesan tipu daya mereka.
Di sini digunakan kalimah يُخٰدِعُونَ dan nanti kita akan bertemu dengan kalimah يَخدَعونَ tidak lama lagi. Beza يُخٰدِعُونَ adalah cubaan menipu dengan bersungguh-sungguh sedangkan يَخدَعونَ adalah menipu biasa sahaja, dalam bentuk umum sahaja. Ia daripada kata خدع iaitu penipuan yang dilakukan tetapi di dalam masa yang sama tunjuk seolah-olah membuat perkara baik. Perbuatan ini tercela dalam semua keadaan apa pun kecuali di dalam peperangan kerana الحرب خدعة (peperangan adalah tipu daya).
وَالَّذِينَ ءآمَنُوا
Dan (mereka mahu menipu) orang-orang yang beriman.
Iaitu mereka mahu menipu para sahabat Nabi ﷺ. Mereka cuba hendak menipu orang beriman. Mereka hendak dilihat sebagai orang beriman juga dan tidak canggung dengan orang Muslim yang lain kerana mereka tidak mahu diperangi oleh orang Islam yang lain. Tujuan mereka juga supaya mereka boleh mendapat imbuhan daripada Islam seperti zakat, sedekah dan harta ghanimah.
Kenapa mereka dikira menipu? Kerana mereka sebut apa yang bukan dalam hati mereka.
وَما يَخدَعونَ إِلّآ أَنفُسَهُم
Tidaklah mereka menipu melainkan diri mereka sendiri
Kesan penipuan itu akan terkena kepada diri mereka kerana penipuan itu akan menyebabkan bahana kepada diri mereka sendiri. Tidaklah penipuan mereka itu akan memberi kesan bahaya kepada orang lain melainkan diri mereka sendiri sahaja. Malangnya, mereka sendiri pun tidak sedar.
وَمَا يَشْعُرُونَ
dan mereka sebenarnya tidak sedar.
Akhirnya mereka menipu diri mereka sendiri, tetapi mereka tidak sedar. Ini adalah kerana mereka tidak ada kefahaman dalam agama. Mereka tidak faham agama dengan kefahaman yang sebenar. Mereka tidak faham yang kefahaman agama kena ikut neraca Al-Qur’an. Bukannya ikut suka sendiri dan kata-kata guru-guru mereka.
Ibn Asyur رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan mereka tidak sedar kerana mereka tidak memiliki kecerdasan berfikir kerana mereka orang dungu. Maknanya Allah ﷻ kutuk mereka kerana kebodohan mereka. Kalimah يَشْعُرُونَ daripada شعر yang bermaksud ‘rasa’. Ia juga digunakan untuk bulu tubuh kita kerana kadang kita tidak perasan pun ia jatuh sampai masuk dalam makanan kita.
Maka di sini Allah ﷻ hendak beritahu yang mereka tidak rasa pun mereka tertipu kerana orang pandai kalau ditipu sekurang-kurangnya mereka tahu mereka sedang ditipu, tetapi orang bodoh tidak akan sedar bahawa mereka sebenarnya sedang ditipu.
Mereka sendiri tidak sedar bahawa mereka adalah munafik. Mereka sangka mereka sudah Muslim. Begitulah dengan kita, kita amat takut kalau-kalau kita sekarang ini pun munafik juga. Kita sekarang sangka kita sudah Muslim. Namun mungkin tanpa kita sedar, kita rupanya tergolong dalam golongan munafik juga.
Oleh itu, kita kenalah periksa diri kita dan bandingkan dengan kehendak dalam Al-Qur’an. Munafik ini adalah satu penyakit hati. Kalau sesuatu penyakit itu, mesti ada tanda-tandanya. Kita kena tahu apakah tanda orang munafik itu. Tanda-tanda itu diterangkan dalam ayat-ayat seterusnya.
Lihatlah, kalau duduk dengan Nabi ﷺ pun boleh menjadi salah faham, boleh keliru, lalu bagaimana agaknya dengan kita zaman sekarang? Ini amat menakutkan sekali.
Nabi ﷺ tidak sebut siapakah yang munafik pada zamannya itu kerana mungkin mereka akan beriman berkat duduk dengan Nabi ﷺ dan rapat dengan Al-Qur’an. Maka itulah sebabnya Nabi ﷺ tidak pernah sebut nama mereka (untuk menjaga nama baik mereka). Begitu jugalah kita ini. Kita harap dengan kita terus belajar Al-Qur’an ini akan dapat mengeluarkan kemunafikan jika ada dalam diri kita.
Baqarah Ayat 10: Kenapa mereka jadi begitu?
فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ فَزَادَهُمُ ٱللَّهُ مَرَضً۬اۖ وَلَهُم عَذَابٌ أَلِيمُۢ بِمَا كَانُواْ يَكذِبُونَ
In their hearts is disease, so Allah has increased their disease; and for them is a painful punishment because they [habitually] used to lie.
Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).
فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ
Dalam hati mereka ada penyakit;
Mereka itu digelar sebagai munafik kerana dalam hati mereka ada ‘penyakit’. Disebabkan oleh penyakit ini, keimanan tidak dapat masuk ke dalam diri mereka. Apakah maksud ‘penyakit’ dalam ayat ini?
Penyakit yang dimaksudkan adalah penyakit hati, bukan penyakit fizikal. Antaranya adalah penyakit akidah yang rosak. Dalam ayat lain, maksud penyakit lain pula, oleh kerana itu tidak semua penyakit itu sama. Kena lihat kepada apa yang hendak disampaikan dalam ayat itu. Jangan kita sangka kalau disebut ‘penyakit’ dalam ayat-ayat yang lain, ia bermaksud penyakit akidah pula.
Penyakit dalam ayat ini juga bermaksud dengki, atau benci kepada kebenaran. Ia juga bermaksud dengki dengan orang yang membawa kebenaran. Ini adalah satu sifat yang amat bahaya dan perlu dikeluarkan. Kalau seseorang itu dapat membuang perasaan itu, barulah boleh masuk iman ke dalam hatinya. Kalau tidak, sampai bila-bila pun iman tidak dapat masuk. Golongan Munafik itu dengki dengan Islam dan kejayaan Islam. Oleh itu mereka cuba untuk melemahkannya dari dalam.
Dengki dengan orang yang membawa kebenaran adalah penyakit hati yang amat buruk. Berapa ramai yang ada masalah ini? Tentulah ramai yang kita tahu berpenyakit seperti ini. Iaitu mereka yang apabila maksud Al-Qur’an dibawa kepada mereka, mereka benci dan tolak kerana ia berlainan dengan fahaman mereka dan kumpulan mereka. Selagi kita tidak berpegang dengan fahaman yang mereka anuti, mereka akan bermusuh dengan kita.
Susunan ayat yang Allah ﷻ gunakan juga mempunyai makna yang tersirat (balaghah). Susunan ayat yang biasa di dalam bahasa Arab adalah begini: مرض في قلوبهم. Akan tetapi Allah ﷻ dahulukan kalimah قلوب kerana hendak menekankan hati di sini. Ini adalah satu kaedah di dalam Al-Qur’an di mana Allah ﷻ mendahulukan sebut perkara yang hendak ditekankan atau yang lebih utama. Ini kerana penyakit hati adalah amat bahaya. Penyakit hati boleh membawa ke neraka sedangkan penyakit fizikal hanya setakat di dunia sahaja. Namun malangnya manusia lebih pentingkan penyakit fizikal sahaja. Sebab itu apabila Covid melanda dunia, semua orang kelam kabut tetapi tidak ramai yang risaukan penyakit hati mereka.
Allah ﷻ tekankan penyakit hati untuk kita ubati. Penyakit fizikal pun kita prihatin juga tetapi itu tidaklah seteruk penyakit hati. Ini kerana penyakit fizikal kalau tidak diubati pun tidak wajib seperti dalil disebut di dalam sebuah hadith yang terkenal,
عَنْ عَطَاءِ بْنِ أَبِي رَبَاحٍ قَالَ: قَالَ لِي ابْنُ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا: أَلَا أُرِيكَ امْرَأَةً مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ؟ قُلْتُ: بَلَى، قَالَ: هَذِهِ الْمَرْأَةُ السَّوْدَاءُ أَتَتْ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَتْ: إِنِّي أُصْرَعُ وَإِنِّي أَتَكَشَّفُ فَادْعُ اللَّهَ لِي قَالَ: إِنْ شِئْتِ صَبَرْتِ وَلَكِ الْجَنَّةُ وَإِنْ شِئْتِ دَعَوْتُ اللَّهَ أَنْ يُعَافِيَكِ قَالَتْ: أَصْبِرُ قَالَتْ: فَإِنِّي أَتَكَشَّفُ فَادْعُ اللَّهَ أَنْ لَا أَتَكَشَّفَ فَدَعَا لَهَا
Diriwayatkan daripada ‘Atha’ ibn Abi Rabah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: “Ibnu ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bertanya kepadaku: ‘Mahukah aku perlihatkan kepadamu salah satu wanita penghuni Syurga?’ Aku menjawab: ‘Tentu.’ Beliau berkata: ‘Inilah seorang wanita kulit hitam yang suatu hari datang kepada Nabi ﷺ lalu berkata: ‘Sesungguhnya aku terkena penyakit epilepsi dan auratku terbuka (ketika dia terkena epilepsi itu –pent), maka sudilah kiranya engkau berdoa untukku kepada Allah (agar Allah memberikan kesembuhan kepadaku –pent)’ Baginda bersabda: ‘Jika kamu kamu sabar maka kamu akan mendapatkan Syurga. Dan jika kamu mahu aku akan berdoa kepada Allah agar Allah memberikan kesembuhan kepadamu.’ Wanita itu menjawab: ‘Aku akan bersabar.’ Lalu dia berkata lagi: ‘Akan tetapi auratku tersingkap (ketika kejadian –pent), maka sudilah kiranya engkau berdoa untukku kepada Allah agar auratku tidak tersingkap (saat kambuh –pent).’ Lalu Nabi ﷺ berdoa untuk wanita tadi agar tidak tersingkap.”
(HR. Al-Bukhari, no. 5220 dan Muslim, no. 4673)
Syarah: lihatlah di dalam hadith ini di mana wanita itu meminta Nabi ﷺ mendoakan kesembuhannya. Akan tetapi Nabi ﷺ mengajar kita bahawa kalau kita bersabar dengan sakit itu, ia boleh menghapuskan dosa kita dan menyebabkan kita masuk ke syurga. Kalau sembuh daripada sakit itu wajib, tentu Nabi ﷺ telah mendoakan wanita itu.
Satu lagi penyakit hati yang amat bahaya adalah keras hati. Keras daripada menerima kebenaran, keras hati untuk ingat kepada Allah ﷻ dan suruhannya, keras hati daripada dakwah. Apabila keras hati, maka nasihat tidak diterima dan tidak lembut tubuh untuk mengikut arahan Allah ﷻ. Allah ﷻ berfirman di dalam Zumar: 22
أَفَمَن شَرَحَ اللَهُ صَدرَهُ لِلإِسلٰمِ فَهُوَ عَلىٰ نورٍ مِّن رَّبِّهِ ۚ فَوَيلٌ لِّلقٰسِيَةِ قُلوبُهُم مِّن ذِكرِ اللهِ ۚ أُولٰئِكَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ
Adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu dia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) daripada Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata.
Apakah ada harapan lagi bagi orang yang ada masalah dengan hati mereka? Keras hati, dengki, benci, ragu-ragu, dan banyak lagi penyakit hati. Itu semua akan membahayakan orang itu. Ini seperti disebut di dalam hadith yang masyhur,
Daripada Nu’man bin Basyir berkata, aku mendengar Nabi ﷺ bersabda:
أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً، إِذَا صَلَحَتْ، صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ، فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ
“Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).”
(Riwayat Bukhari (52) dan Muslim (1599))
Pokok penyakit yang terutama di dalam hati mereka pada mulanya ialah kerana merasa diri lebih pintar. Kalau mereka ada kedudukan, mereka takut kedudukan mereka terganggu. Mereka sebenarnya tidak faham agama, tetapi tidak mahu mengaku terus terang.
Satu lagi penyakit mereka adalah syak dan ragu-ragu tentang Allah ﷻ. Mereka ragu dengan Tuhan sendiri. Mereka ragu-ragu dan mempersoalkan arahan agama. Ini disebabkan oleh kerana hawa nafsu. Penyakit itu telah mengakibatkan rosak akidah. Yang mereka ragukan itu adalah tentang agama.
Sebagai contoh mereka rasa kalau mereka doa terus sendiri kepada Allah ﷻ, Allah ﷻ tidak layan doa mereka, maka mereka perlu mendapatkan orang lain untuk doakan untuk mereka. Inilah yang dinamakan tawasul dalam doa (yang dilarang).
Golongan Munafik ini juga mementingkan diri sendiri. Mereka ada penyakit cintakan dunia. Maka mereka itu masuk Islam kerana hendak mendapatkan habuan keduniaan sahaja. Kalau Islam mendatangkan faedah kepada mereka, mereka terima, kalau tiada keuntungan buat mereka, mereka akan tolak. Golongan Munafik zaman Nabi masuk Islam kerana hendak mendapatkan zakat dan harta ghanimah kerana itu adalah kesukaan mereka kepada harta.
Allah ﷻ sendiri kata dalam ayat ini bahawa Munafik itu adalah satu jenis penyakit. Maka kita kena tahu apakah simptom-simpton penyakit itu kerana setiap penyakit ada tanda-tandanya. Sebab itulah perkara ini disebut di dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an membongkar apa yang ada dalam hati mereka. Antara surah lain yang banyak menyebut tentang golongan Munafik adalah Surah Tawbah.
فَزَادَهُمُ اللهُ مَرَضًا
Maka Allah akan tambah bagi mereka penyakit baru;
Apabila mereka sudah ada penyakit itu, Allah ﷻ akan tambah penyakit baru. Ia akan bertambah apabila semakin banyak ayat Al-Qur’an yang mereka tolak. Penyakit itu akan bertimpa-timpa ke atas mereka. Ini kerana hati yang rosak akan ada banyak titik-titik hitam dan hidayah tidak akan masuk. Apabila hidayah tidak masuk, maka kemaksiatan sahaja yang akan bertambah.
Apakah penyakit yang ditambah itu? Asalnya ragu-ragu sahaja tetapi apabila tidak diubati, terus menjadi lebih teruk dengan menolak. Asalnya menolak dengan hati dan lama kelamaan boleh menolak dengan perkataan pula.
Apabila tidak menerima ajaran Islam, maka mereka akan membuat dosa. Ini kerana tiada kefahaman Islam yang benar. Dosa mereka itu akan bertambah semakin teruk sampai akhirnya mereka akan berbuat syirik kepada Allah ﷻ. Ini seperti orang yang sangka kalau mereka berdoa sendiri, doa mereka tidak diterima kerana mereka rasa mereka tidak layak didengar oleh Allah ﷻ disebabkan mereka banyak dosa dan sebagainya. Maka mereka akan menggunakan orang lain sebagai perantaraan untuk menyampaikan doa mereka kepada Allah ﷻ. Mereka akan bertawasul dalam berdoa. Maka itu adalah perbuatan syirik. Asalnya mereka ada perasaan ragu-ragu. Kemudian Allah ﷻ tambah penyakit itu apabila mereka terus di dalam perasaan itu. Apabila mereka melaksanakannya, maka mereka telah melakukan perbuatan syirik. Mula-mula ragu sahaja, tetapi kemudian mereka laksanakan.
Ingatlah, jikalau kita sombong dalam ibadat untuk membaca doa terus kepada Allah ﷻ (tanpa melalui perantaraan), Allah ﷻ akan masukkan kita ke dalam neraka jahannam. Mereka yang buruk sangka kepada Tuhan menyangka yang Tuhan tidak akan makbulkan doa mereka kalau mereka berdoa sendiri. Padahal, Allah ﷻ itu Maha Mendengar rintihan hamba-Nya. Sememangnya Allah ﷻ mahukan kita doa terus kepada-Nya. Bukan melalui perantaraan. Mereka yang ada prasangka begitu adalah kerana mereka rasa sangsi dengan Allah ﷻ.
Bagi orang Munafik yang dengki dengan kejayaan Islam di Madinah itu, Allah ﷻ tambah lagi perasaan sakit hati mereka itu dengan memberikan kejayaan demi kejayaan kepada Islam. Segala usaha mereka untuk menjatuhkan Islam, gagal. Mereka ragu dengan kebenaran Islam.
Ragu itu biasa sahaja ada pada mulanya. Majoriti sahabat pun ragu dengan Islam juga pada mulanya, tetapi mereka sanggup menimbang kembali untuk mencari kebenaran dan hilanglah keraguan itu akhirnya. Akan tetapi kalau ragu tidak diubati dengan menjadi apa yang benar, maka penyakit itu akan bertambah buruk. Ini seperti seseorang yang sudah ada sakit sedikit tetapi enggan jumpa doktor. Maka penyakit lama kelamaan akan bertambah melarat ke tahap yang parah dan susah diubati. Padahal kalau dia jumpa doktor dan makan ubat dari awal, tidaklah teruk sangat.
Di dalam ayat ini, berulangnya kalimah مَّرَضٌ. Kedua-duanya di dalam bentuk nakirah (umum) kerana tidak ada ال. Ada kaedah yang mengatakan kalau pengulangan kalimah nakirah, maka yang kedua itu adalah perkara yang lain. Maka kita boleh katakan penyakit yang asalnya itu bertambah dengan penyakit baru yang lain. Macam orang yang tidak menjaga tahap penyakit kencing manisnya, lama kelamaan akan merebak pergi ke penyakit jantung pula.
Ayat ini berbunyi فَزَادَهُمُ اللهُ iaitu nampak Allah ﷻ yang tambah penyakit mereka itu. Ini adalah kerana Allah ﷻ yang menetapkan sunnatullah. Iaitu kalau penyakit tidak diubati dari mula, maka akan bertambah teruk sesuatu penyakit itu atau bertambah dengan penyakit yang lain pula. Akan tetapi kenapa disebut nama Allah ﷻ pula? Disebut nama Allah ﷻ di sini kerana hendak menekankan memang Allah ﷻ sendiri murka dengan mereka.
وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
dan bagi mereka azab yang pedih;
Untuk orang munafik, diberikan ‘azab yang pedih’. Azab ini lebih teruk daripada yang diberikan kepada orang kafir. Azab yang pedih bermaksud azab yang tidak berkurangan langsung. Di dalam Nisa’: 145 kita diberitahu yang tempat mereka adalah di neraka yang paling dalam (paling teruk)
إِنَّ المُنٰفِقينَ فِي الدَّركِ الأَسفَلِ مِنَ النّارِ وَلَن تَجِدَ لَهُم نَصيرًا
Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka.
Ini adalah kerana mereka ini lebih teruk daripada orang kafir di mana mereka mengaku beriman namun sebenarnya tidak. Orang Mukmin sangka mereka itu kawan mereka tetapi sebenarnya mereka melemahkan Islam dari dalam. Mereka menghasut umat Islam supaya menjadi lemah iman seperti mereka juga. Maka kerana itu mereka layak mendapat azab yang paling teruk sekali.
بِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ
dengan apa yang mereka dustakan;
Mereka bohong kerana cakap apa yang bukan dalam hati mereka. Mereka dikenakan azab itu adalah kesalahan mereka sendiri.
Maka, ini adalah simptom pertama orang yang ada penyakit munafik – mereka suka menipu. Kita pun sudah tahu yang salah satu daripada sifat munafik adalah menipu bila berkata-kata. Kita pun sudah pastinya pernah membaca hadith ini,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Tanda-tanda munafik ada tiga; jika berbicara dusta, jika berjanji mengingkari dan jika diberi amanat dia khianat”.
(Sahih Bukhari (32))
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 7 Julai 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)



“Golongan munafik itu tidak terus mengaku kafir dan duduk terus sebelah pihak Yahudi kerana kalau mereka mengaku kafir, mereka akan dihukum bunuh. Itu adalah hukum hudud. Kerana dakwah kepada orang kafir itu hanya tiga hari sahaja, kalau tak masuk Islam atau tidak bayar pampasan, mereka akan dibunuh. Oleh itu, mereka tidak berani nak mengaku kafir terus. Jadi, di depan Nabi dan para sahabat, mereka mengaku mereka beriman”
Assalamualaikum.
Mungkin perlu diluaskan atau dipelbagai sebab munafik tidak langsung menyertai(terang2an) kekafiran mereka. Kemungkinan lain yang harus dinyatakan adalah “kepentingan” .kerana situasa munafik berlaku dimadinah.kepentingan utama mereka adalah “kemungkinan” dakwah nabi juga akan menang.jadi sekiranya mereka terang-terangan kekafiran mereka,mereka akan rugi.kafi mereka sembunyikan kekafiran mereka antara sebab lain adalah kepentingan.
Tetapi setelah fatahul makkah .nabi sudah menang.situasi berbeza..mereka sembunyikan kekafiran mereka kerna mereka takut untuk dihukum
Wallahua’lam.semoga membantu mentafsiran .
LikeLike
ya, disebut dalam surah-surah dan ayat-ayat yang lain. Memang satu ayat tidak dapat memberikan cerita penuh, kena dirujuk kepada ayat-ayat lain. Nak dicerita keseluruhan tentang munafik dalam ayat ini pun, sudah ada disebut dalam ayat-ayat yang lain, jadi tidak perlu. maka, kena baca keseluruhan Quran juga akhirnya.
LikeLike