Tafsir Surah Yaasin Ayat 39 – 40 (Jangan lengahkan hidup kita)

Yaasin Ayat 39: Selepas matahari, sekarang disebut pasangannya pula iaitu bulan.

وَالقَمَرَ قَدَّرنٰهُ مَنازِلَ حَتّىٰ عادَ كَالعُرجونِ القَديمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the moon – We have determined for it phases, until it returns [appearing] like the old date stalk.

(MELAYU)

Dan telah Kami tetapkan bagi bulan manzilah-manzilah, sehingga (setelah dia sampai ke manzilah yang terakhir) kembalilah dia sebagai bentuk tandan yang tua.

 

وَالْقَمَرَ قَدَّرْنَٰهُ

Dan bulan, Kami telah tetapkan baginya,

Selain matahari, satu lagi makhluk yang besar dan manusia kenal adalah bulan. Semasa siang, matahari kelihatan; semasa malam, bulan pula yang muncul. Jadi bolehlah dikatakan yang bulan adalah pasangan matahari, bukan?

Seperti matahari, bulan juga Allah ‎ﷻ telah menentukan sifat dan pergerakannya. Bulan juga ada orbitnya. Ia bergerak mengikut arahan Allah ‎ﷻ dan tidak pernah gagal. Pergerakannya pun ada kadar yang Allah ‎ﷻ tentukan. Tidaklah bulan berjalan mengikut kehendaknya sendiri.

Allah ‎ﷻ banyak jadikan matahari dan bulan sebagai contoh kehebatan-Nya. Ingatkah lagi kita telah pernah memberi bandingan matahari dan bulan? Ingat kembali kisah tiga Rasul dan seorang Lelaki Beriman. Rasul boleh diibaratkan sebagai matahari dan pengikut mereka boleh diibaratkan sebagai bulan. Ini kerana pengikut mendapat ilmu daripada para Rasul sebagaimana bulan mendapat cahaya daripada matahari. Cahaya matahari kekal sedangkan cahaya bulan sekejap ada sekejap hilang. Begitulah para pengikut, kadang iman tinggi, kadang turun dan naik.

Akan tetapi matahari dan bulan menarik dijadikan contoh peringatan kepada kita. Matahari ada tugasnya dan bulan ada tugasnya. Begitulah juga para Rasul ada tugas mereka yang Allah ‎ﷻ telah bebankan ke atas mereka. Begitulah juga dengan umat. Ambillah contoh Lelaki Beriman itu yang menjalankan juga dakwah kepada kaumnya walaupun kaum itu telah menolak dakwah daripada tiga orang Rasul! Beliau tidak pula memberi alasan: “Apa lagi aku nak cakap, tu tiga Rasul dah cakap kena tolak jer!” Maka setiap orang Islam sebenarnya ada tanggungjawab untuk menjalankan dakwah dalam apa cara sahaja yang mereka mampu. Dakwah bukan kerja kerajaan sahaja, bukan kerja pejabat agama dan bukan kerja para ustaz sahaja. Masing-masing ada tugas masing-masing sebagaimana matahari ada tugas dan bulan juga ada tugas!

 

مَنَازِلَ

beberapa fasa;

Kita boleh lihat bulan itu ada peringkatnya. Kalimah مَنَازِلَ daripada kata dasar ن ز ل yang bermaksud untuk turun; berlaku; menetap di satu tempat; hantar ke bawah; memberi; yang disediakan untuk hiburan tetamu; tempat tinggal; hadiah; stesen; rumah agam; menyebabkan sesuatu turun; wahyu ilahi; wahyu yang beransur-ansur; susunan yang teratur dan penyusunan yang sahih. Ia bermaksud tempat berhenti kerana apabila kita sampai ke destinasi kita, kita akan turun dari kenderaan.

Kita boleh lihat kedudukan (stesen) bulan tidak sama setiap malam. Malam ini satu tempat, kalau esok sudah berubah sedikit. Ada 28 ‘stesen’ atau fasa bulan ini (kerana satu hari bulan tidak kelihatan langsung). Setiap stesen ini telah dikenalpasti oleh orang Arab (dan diberi nama setiap satunya) yang memerhatikan perjalanan bulan dan menentukan tarikh. Kerana itu Allah ‎ﷻ menyebut tentangnya di dalam Yunus: 5

هُوَ الَّذي جَعَلَ الشَّمسَ ضِياءً وَالقَمَرَ نورًا وَقَدَّرَهُ مَنازِلَ لِتَعلَموا عَدَدَ السِّنينَ وَالحِسابَ
Dia lah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dia lah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempatnya masing-masing supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa.

Bulan mengambil masa lebih kurang 29 hari 12 jam 44 minit untuk melengkapkan satu orbit lengkap mengelilingi bumi. Oleh itu kiraan sebulan dalam bulan Qamariah adalah 29 hari atau 30 hari. Dengan cara ini, kita dapat menentukan waktu dalam sebulan. Ini kerana Allah ‎ﷻ telah menentukan kadar pergerakan bulan dan dengan itu kita dapat menentukan tarikh dalam setahun.

Fasa pergerakan bulan yang berubah-ubah ditetapkan oleh Allah.

Fasa-fasa ini juga menggambarkan iman para pengikut Rasul yang tidak sama seperti iman para pengikut. Ini biasa sahaja bagi manusia. Malah begitulah nasihat Rasulullah ﷺ kepada Abu Bakr dan Hanzalah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا,

عن حَنْظَلَةَ الأُسَيِّدِيِّ، وكان من كتَّاب رسولِ اللهِ ﷺ قال: لقيني أبو بكرٍ، فقال: كيفَ أنتَ يا حَنْظَلَةُ؟ قال: قلتُ: نافقَ حَنْظَلَةُ. قال: سبحانَ اللهِ ما تقولُ؟! قال: قلتُ: نكونُ عند رسولِ اللهِ ﷺ يُذكِّرُنا بالنارِ والجنةِ حتى كأنَّا رأيُ عينٍ، فإذا خرجنا من عند رسولِ اللهِ ﷺ عافَسْنا الأزواجَ والأولادَ والضَّيْعاتِ فنسينا كثيرًا. قال أبو بكرٍ: فواللهِ إنَّا لنلقى مثلَ هذا. فانطلقتُ أنا وأبو بكرٍ حتى دخلنا على رسولِ اللهِ ﷺ، قلتُ: نافقَ حَنْظَلَةُ يا رسولَ اللهِ. فقال رسولُ اللهِ ﷺ: وما ذاك؟ قلتُ: يا رسولَ اللهِ نكونُ عندك تُذكِّرُنا بالنارِ والجنةِ حتى كأنَّا رأيُ عينٍ، فإذا خرجنا من عندك عافَسْنا الأزواجَ والأولادَ والضَّيْعاتِ فنسينا كثيرًا. فقال رسولُ اللهِ ﷺ: والذي نفسي بيدِه لو تدومون على ما تكونون عندي وفي الذِّكرِ لصافحتْكم الملائكةُ على فُرُشِكم وفي طُرُقِكم، ولكن يا حَنْظَلَةُ ساعةً وساعةً (ثلاثَ مراتٍ).
Diriwayatkan oleh Hanzalah al-Usayyidi رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ: “Aku bertemu Abu Bakr, lalu dia bertanya kepadaku, ‘Bagaimana keadaanmu, wahai Hanzalah?’ Aku menjawab, ‘Hanzalah telah menjadi munafiq.’ Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, ‘Subhanallah! Apa yang kamu katakan?’ Aku menjelaskan, ‘Ketika kami berada di sisi Rasulullah ﷺ dan baginda mengingatkan kami tentang neraka dan syurga, seolah-olah kami melihatnya dengan mata kepala kami sendiri. Tetapi apabila kami kembali kepada keluarga, anak-anak, dan urusan dunia, kami melupakan banyak perkara tersebut.’ Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, ‘Demi Allah, aku juga mengalami hal yang sama.’ Maka kami pergi menemui Rasulullah ﷺ, dan aku berkata, ‘Wahai Rasulullah, Hanzalah telah menjadi munafiq.’ Rasulullah ﷺ bertanya, ‘Apa yang terjadi padamu?’ Aku menjawab, ‘Wahai Rasulullah, ketika kami berada di sisimu, engkau mengingatkan kami tentang neraka dan syurga, seolah-olah kami melihatnya dengan mata kepala kami sendiri. Tetapi apabila kami kembali kepada keluarga, anak-anak, dan urusan dunia, kami melupakan banyak perkara tersebut.’ Maka Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, jika kamu tetap berada dalam keadaan seperti ketika bersamaku dan sentiasa dalam zikir, nescaya para malaikat akan berjabat tangan denganmu di tempat tidurmu dan di jalan-jalanmu. Tetapi wahai Hanzalah, sesaat begini dan sesaat begitu.’”
(Sahih Muslim No. 2750)

Fasa-fasa bulan ini juga mengingatkan kita kepada kekuatan agama umat Islam. Di zaman Rasulullah ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم, Islam amat kuat. Namun apabila umat Islam semakin ramai dan mereka jauh daripada wahyu, maka kekuatan agama umat Islam mulai menjadi lemah. Semakin lama semakin lemah. Akan tetapi jangan kita berputus harap dengan umat Islam. Sebagaimana bulan akan kembali kelihatan penuh, maka begitu jugalah umat Islam. Apabila ia lemah, akan sampai masanya Allah ‎ﷻ akan memberi bantuan dan memberi kekuatan kepada umat Islam kembali.

 

حَتَّىٰ عَادَ كَالْعُرْجُونِ الْقَدِيمِ

Sehingga kembali menjadi seperti tandan pohon kurma yang tua yang melengkung;

Kita boleh lihat perubahan bulan dalam sebulan dan bila sampai hujung bulan, bulan itu akan berbentuk melengkung (bulan sabit). Kalimah الْعُرْجُونِ daripada kata dasar ع ر ج و (juga ditulis ع ر ج ن) yang bermaksud memukul dengan kayu, cap atau cop dengan buah ara atau batang kurma; dahan pokok. Kalimah urjun digunakan untuk tangkai kurma kering, atau mayang dalam bahasa kita, dan menarik apabila ada persamaan dengan bentuk bulan sabit.

Juga ada persamaan dengan fasa-fasa bulan. Perhatikan,

Kemudian akan menjadi penuh semula dan akan kembali menjadi melengkung. Begitulah juga kitaran hidupnya. Ini adalah isyarat kepada manusia bahawa kita juga melalui proses yang sama. Mula-mula kita kecil dan membesar sampai dewasa. Apabila kita tua, badan kita akan membongkok melengkung seperti tandan tua itu juga. Kalau dulu kita pakaikan pampers kepada anak kita, sudah tua nanti anak kita pula pakaikan pampers untuk kita. Maka beringatlah untuk menggunakan masa yang telah diberikan kepada kita dengan baik. Jangan kita sia-siakan masa kita semasa di dunia ini dengan berbuat maksiat.

Juga peringatan buat kita supaya jangan menangguh untuk beramal dan belajar. Ramai yang tertipu dalam hal ini. Ia adalah salah satu senjata iblis yang dinamakan taswif. Taswif (التسويف) berasal daripada kata Arab “سَوْفَ” (sawfa) yang bermaksud “nanti” atau “akan datang”. Dalam konteks ilmu akhlak dan tazkiyah (penyucian jiwa), taswif merujuk kepada sikap menangguh-nangguhkan amal kebaikan atau menunda taubat, dengan berkata:

“Nanti aku bertaubat…”
“Akan datang aku berubah…”
“Bila dah pencen nanti barulah aku solat berjemaah di masjid…”
“Nantilah bila aku dah pencen, aku belajarlah agama…”
“Tunggulah, sekarang susah… nak hantar tuisyen, kelas silat, kelas piano…takde masa lah ustaz….”

Begitulah kebanyakan kita, tangguh punya tangguh tiba-tiba buka mata sudah dalam kubur. Atau tangguh sampai ke tua baru hendak belajar, baru hendak beramal tetapi badan dan otak sudah tidak mampu lagi. Apa yang dibaca dan dipelajari bagaikan susah pula hendak faham dan ingat. Apabila tidak mampu, maka banyaklah perkara tidak tahu. Maka kerana itu mereka menggunakan sahaja mana-mana amalan yang telah biasa diamalkan oleh masyarakat walaupun ia tidak berlandaskan kepada wahyu. Begitulah sedihnya kalau sudah tua baru mahu kembali kepada agama sebab sudah teringat tidak lama akan masuk ke dalam kubur. Barulah hendak belajar membaca Al-Qur’an. Membaca?! Tidak perlulah lagi belajar membaca. Belajar membaca itu ketika muda, kalau sudah tua sudah terlambat. Waktu tua yang singkat itu lebih baik diberikan masanya untuk belajar makna Al-Qur’an. Kalau belajar membaca entah berapa tahun pula baru habis, jadi bilalah pula dapat faham arahan Allah ‎ﷻ itu? Daripada boleh membaca tetapi tidak tahu apa-apa, baik terus belajar maksud Al-Qur’an. Bukanlah membaca itu tidak penting, tetapi kerana masa sudah singkat, perlu diberikan perhatian kepada perkara yang lebih penting.


Yaasin Ayat 40: Sekarang digabungkan sebutan dan matahari di dalam satu ayat. 

لَا الشَّمسُ يَنبَغي لَها أَن تُدرِكَ القَمَرَ وَلَا اللَّيلُ سابِقُ النَّهارِ ۚ وَكُلٌّ في فَلَكٍ يَسبَحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is not allowable [i.e., possible] for the sun to reach the moon, nor does the night overtake the day, but each, in an orbit, is swimming.

(MELAYU)

Tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan bulan dan malam pun tidak dapat mendahului siang. Dan masing-masing beredar pada garis edarnya.

 

لَا الشَّمْسُ يَنْبَغِي لَهَا أَنْ تُدْرِكَ الْقَمَرَ

Tidak mampu bagi matahari itu mengejar bulan;

Bulan dan matahari tidak akan dapat duduk di tempat yang sama. Matahari tidak boleh melepasi bulan. Ia tidak boleh mengejar sampai memotong bulan walaupun ia lebih besar. Kalimah يَنْبَغِي daripada kata dasar ب غ ي yang bermaksud untuk melanggar; melepasi sempadan; bertindak tidak adil atau kurang ajar; berbohong; menindas seseorang; memperlakukan secara tidak adil; benci; mencari; keinginan; teringin; mahu; tidak suci; penzinaan; zina; pelacuran. Kalimah بغى asalnya bermaksud ‘meminta sesuatu lalu memperolehinya’ dan dari sini ia mengambil maksud ‘dapat’. Jadi kalimah لا ينغي bermaksud ‘tidak dapat’.

Manakala kalimah تُدْرِكَ daripada kata dasar د ر ك yang bermaksud untuk memintas; mencapai umur yang ada akal; mencapai kematangan; bahagian bawah; jurang; mencari had sesuatu perkara; memahami. Jadi kalimah لَا يَنْبَغِي أَنْ تُدْرِكَ bermaksud ‘tidak boleh memintas’. Tidak dapat atau tidak boleh matahari mengejar bulan kerana matahari ada masanya dan bulan ada masanya. Tidak boleh mendahului antara satu sama lain. Walaupun matahari dari segi saiznya, ia lebih besar daripada bulan; tetapi masih tidak dapat mendahului bulan.

Sebenarnya matahari tidak perlu pun mengejar bulan. Buat apa ia perlu kejar? Masing-masing sudah mempunyai tempat peredarannya dan tugas sendiri. Maka begitulah dengan umat Islam, tidak perlu menjadi Nabi asalkan menjalankan tugas masing-masing sebagai seorang Muslim yang mementingkan agama dan menjalankan kerja dakwah. Masing-masing melakukan tugas dalam bidang dan kemampuan masing-masing. Begitulah umat memerlukan ilmu daripada Rasul dan Rasul memerlukan umat untuk membantu baginda membantu baginda menjalankan kerja dakwah dan menyampaikan kepada orang lain kerana baginda seorang tidak mampu melakukannya sendirian.

Lihatlah bagaimana matahari yang besar pun mengikut perintah dan hukum Allah. Namun bagaimana pula dengan kita yang kerdil ini? Bagaimana kita berani hendak menolak hukum Allah yang Dia telah tetapkan untuk kita?

 

وَلَا اللَّيْلُ سَابِقُ النَّهَارِ

Dan tidak boleh malam itu boleh mendahului siang hari.

Siang dan malam ada turutannya masing-masing. Tidak boleh salah satu mendahului yang lain. Itulah susunan yang Allah ‎ﷻ telah buat. Akan tetapi Allah ‎ﷻ boleh sahaja menjadikan malam berterusan tanpa siang seperti Allah ‎ﷻ telah sebut dalam Qasas: 71

قُل أَرَءيتُم إِن جَعَلَ اللهُ عَلَيكُمُ اللَّيلَ سَرمَدًا إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ مَن إِلٰهٌ غَيرُ اللهِ يَأتيكُم بِضِياءٍ ۖ أَفَلا تَسمَعونَ
Katakanlah: “Adakah engkau fikirkan, jika Allah menjadikan untukmu malam itu terus menerus sampai hari kiamat, siapakah ilah selain Allah yang akan mendatangkan sinar terang kepadamu? Maka apakah kamu tidak mendengar?”

Atau siang berterusan tanpa malam. Ini Allah ‎ﷻ telah sebut dalam Qasas: 72.

قُل أَرَءيتُم إِن جَعَلَ اللهُ عَلَيكُمُ النَّهارَ سَرمَدًا إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ مَن إِلٰهٌ غَيرُ اللهِ يَأتيكُم بِلَيلٍ تَسكُنونَ فيهِ ۖ أَفَلا تُبصِرونَ
Katakanlah: “Adakah engkau fikirkan, jika Allah menjadikan untukmu siang itu terus menerus sampai hari kiamat, siapakah ilah selain Allah yang akan mendatangkan malam kepadamu yang kamu beristirehat padanya? Maka apakah kamu tidak memperhatikan?”

Akan tetapi Allah ‎ﷻ tidak jadikan begitu kerana kalau jadi begitu, pening kita jadinya. Ini menunjukkan perancangan dan pengurusan Allah ‎ﷻ terhadap alam ini yang begitu hebat sekali. Kita hendak urus keluarga dan satu syarikat pun sudah payah dan pening kepala, bukan? Ia juga menunjukkan ketaatan alam langit dan bumi terhadap ketentuan dan arahan Allah ‎ﷻ seperti disebut di dalam Fussilat: 11

ثُمَّ استَوىٰ إِلَى السَّماءِ وَهِيَ دُخانٌ فَقالَ لَها وَلِلأَرضِ ائتِيا طَوعًا أَو كَرهًا قالَتا أَتَينا طائِعينَ
Kemudian Dia menunjukkan kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Dia berfirman kepadanya dan kepada bumi: “Turutlah kamu berdua akan perintah-Ku, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa!” Keduanya menjawab: “Kami berdua sedia menurut – patuh dengan sukarela”

 

وَكُلٌّ فِي فَلَكٍ يَسْبَحُونَ

Dan masing-masing beredar pada orbitnya.

Kalimah فَلَكٍ daripada kata dasar ف ل ك yang bermaksud bulat; kapal; bahtera; orbit badan angkasa; paksi. Bulat itu pula lebih kepada bujur (oblong) iaitu sama seperti bentuk orbit. Oleh itu di dalam ayat kalimah فَلَكٍ itu kita ditafsirkan sebagai ‘orbit’. Iaitu bulan dan matahari berada dalam orbitnya sendiri. Apa yang mereka buat dalam orbit itu?

Kata يَسْبَحُونَ bermakna ‘mereka berenang’ dari segi bahasa. Kiranya terapung lah. Bermakna mereka sentiasa bergerak dalam orbit mereka. Seperti juga kalau orang yang berenang, mereka kena sentiasa bergerak. Kalau tidak, mereka akan tenggelam. Pergerakan mereka itu adalah atas arahan Allah ‎ﷻ – mereka menurut arahan Allah ‎ﷻ – bermakna mereka ‘sujud’ kepada arahan Allah ‎ﷻ. Pergerakan itu adalah di dalam orbit yang menjadi laluan pergi-balik (round trip). Allah ‎ﷻ juga telah berfirman di dalam Anbiya’: 33

وَهُوَ الَّذي خَلَقَ اللَّيلَ وَالنَّهارَ وَالشَّمسَ وَالقَمَرَ ۖ كُلٌّ في فَلَكٍ يَسبَحونَ
Dan Dialah yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. Masing-masing daripada keduanya itu beredar di dalam garis edarnya.

Semua ini adalah ketentuan Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ boleh buat apa sahaja yang Dia kehendaki. Dia boleh kalau hendak mengubah perjalanan matahari dan bulan itu. Namun Allah ‎ﷻ tidak akan mengubahnya, kerana Allah ‎ﷻ telah sebut dalam Fath: 23 bahawa Allah ‎ﷻ tidak akan mengubah ‘sunnatullah’, iaitu perjalanan alam ini. Kalau matahari keluar waktu siang, bulan akan keluar waktu malam dan sebagainya.

سُنَّةَ اللهِ الَّتي قَد خَلَت مِن قَبلُ ۖ وَلَن تَجِدَ لِسُنَّةِ اللهِ تَبديلًا
Sebagai suatu sunnatullah yang telah berlaku sejak dahulu, kamu sekali-kali tiada akan menemukan perubahan bagi sunnatullah itu.

Allah ‎ﷻ telah beri beberapa contoh pasangan: malam/siang dan matahari/bulan. Maka, pasangan bagi kehidupan di dunia ini adalah kehidupan di akhirat. Manakah yang lebih penting? Tentunya kehidupan di akhirat kelak. Ini disentuh dalam A’la: 17

وَالآخِرَةُ خَيرٌ وَأَبقىٰ
Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.

Maka, kita kenalah jadikan kehidupan di dunia ini sebagai tempat bercucuk tanam untuk kita menuainya di akhirat kelak.

Begitulah jikalau kehidupan dunia ini ada pasangannya, maka janganlah kita bersedia dan berusaha untuk kehidupan dunia sahaja. Janganlah kita lupa pasangannya, iaitu akhirat yang pasti ada. Jangan kita ragukan yang akhirat pasti akan datang. Ingatlah bahawa sebagaimana kitaran tandan tamar dan juga bulan, kehidupan kita pun ada kitarannya. Akan datang masanya nanti apabila kita menjadi tua dan tidak dapat hendak beribadat banyak lagi dan akhirnya kita akan mati. Maka, ambillah peluang semasa kita hidup dan semasa kita masih berupaya untuk beribadat, untuk menanam sebanyak mungkin amal-amal yang soleh.

Sebagaimana matahari dan bulan ada tugas masing-masing, kita pun ada tugas kita. Kita menjalankan kerja agama dan kerja dakwah mengikut kadar kemampuan kita, sama ada kadar matahari ataupun kadar bulan. Kalau ada ilmu banyak dan pandai, maka banyaklah yang kita boleh ajar dan sampaikan kepada masyarakat; tetapi kalau kurang, usahakanlah setakat kemampuan kita sahaja. Jadi tugas dakwah bukan tugas para ustaz semata-mata, akan tetapi semua orang. Saya terharu dan kagum dengan mereka yang baru belajar sahaja boleh terus mengajak masyarakat ke arah kebaikan, dengan cara mereka sendiri. Ada yang mula mengajar, ada yang membuat kumpulan kecil untuk mempelajari maksud ayat-ayat Al-Qur’an, ada yang buat posting-posting di media sosial mereka untuk menyampaikan ilmu. Ikut kadar dan ikut kemampuan, asalkan kita jalan terus!

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 25 Mei 2025

Ringkasan Surah Yaasin


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment